Theflowersellingboy

Khamis, 19 Mei 2011

Nenen Untuk Naqib, Tokpa Pening Kepala


 Ahmad Naqib yang sedang nyenyak tidur selepas didodoi oleh tokpa
 
Selepas solat Subuh dia akan melelapkan matanya barang sepuluh minit, sudah cukup untuk dibangun semula bagi memulakan rutin pagi seterusnya. Semenjak dua bulan ini, rutin paginya telah berubah. Biasanya selepas Subuh dia akan bersiap sedia dengan pakaian sukan (track suit) untuk bersenam pagi mengelilingi halaman rumah sebanyak 100 kali pusingan yang mengambil masa hampir 1 jam. Itulah nasihat yang telah diberikan oleh doktor yang melakukan pembedahan pintasan jantung, supaya dia sentiasa melakukan senaman .Tetapi semenjak anak keduanya melahirkan seorang putera pada Mac yang lepas dan buat sementara tinggal bersama dengannya rutin hariannya telah diubahsuai .

"Pa ambil Naqib", kejut anaknya yang sedang mendukung cucunya. Dia membuka mata memandang kearah cucunya yang kedua-dua tangannya bergerak keatas kebawah seperti orang sedang bersilat. Dia bangun dan terus mengambil cucunya dengan meletakkan kepala diatas lengan kanan dan tapak tangan kanan menggalas badan dengan disokong tapak tangan kiri. Dia mula bergerak melangkah setapak dua ke hadapan dan berundur ke belakang untuk mendodoi cucunya sambil menghayun perlahan kekiri dan kanan cucu yang berada dalam dakapan tangannya.

"Naqib budak baik
Dia rajin sembahyang
Dia budak cantik
Semua orang sayang"

Itulah lirik yang sentiasa mengiringi hayunan semasa mendodoi cucu yang dalam dakapannya untuk melenakan anak kecil itu supaya melelapkan mata. Mundar mandirnya ke hadapan dan berundur ke belakang dilakukan selama mata cucunya belum tertutup. Akhirnya setelah 10 minit mundar mandir, dia telah berjaya menidurkan cucunya dan membaringkannya diatas katil.

Dia berihat duduk menyandarkan badan disofa. Dia mula memikirkan cara bagaimana anaknya itu akan menguruskan cucunya apabila cuti bersalin akan berakhir pada hujung Jun yang akan datang ini. Anaknya seorang yang bekerjaya, seorang penjawat awam, seorang doktor yang baru saja tamat latihan 'housemanship'nya. Bekerja disebuah hospital disebuah daerah di Johor. Menantunya bekerja dengan sebuah syarikat gas dan minyak di Kuala Lumpur . Pada setiap petang Jumaat akan balik ke rumah dan pada pagi Isnin akan ke Kuala Lumpur sehinggalah  hari Jumaat berikutnya.

'Kesian. Takkan nak berterusan', Dia bangun dan memandang ke arah cucunya. Kemudian duduk semula. Fikirannya mula diganggu dengan perkara-perkara yang negatif, perkara-perkara yang buruk yang akan menimpa keatas cucunya nanti. Dia teringat cerita pembantu rumah yang melarikan anak yang dibawah jagaan semasa kedua ibubapa bekerja. Pembantu yang memberi ubat tidur untuk memudahkan anak tidur. Sekali lagi dia mengalihkan pandangan kearah cucunya. Tiba-tiba air matanya mula mengalir membasahi pipinya. Dia tidak mahu perkara itu berlaku keatas cucunya. Dia terlalu takut. ' Ya Allah, jauhilah perkara ini. Lindungilah cucuku ini. Kasihannilah dia yang tidak berdosa', tercetus kerisauan hatinya memohon pertolongan dari Allah.

'Hantar ke nursery saja', hatinya membisik sebagai pilihan yang lebih selamat. Tapi dia juga terbaca dalam akhbar mengenai pengasuh di sebuah nursery yang membiarkan anak menyusu sendiri sehingga tersedak dan meninggal dunia. 'Ahh semua tak boleh harap. Tak boleh percaya. Bayaran mahal tapi apa telah terjadi?' Dia mula marah dan sakit hati.

Dia bertambah runsing. Fikirannya semakin buntu. Dia masih lagi belum dapat mencari jalan yang terbaik cara bagaimana penjagaan cucunya nanti. Masa telah dekat menghampiri. Pejam celik pejam celik tanpa disedari masa akan tiba, tidak dapat disekat. Dia kena cari penyelesaian yang terbaik demi cucu yang disayangi.

'Macam mana kalau Naqib dijaga buat sementara. Tapi berapa lama?' Dia mencadang dan dia mempersoalkan tempoh masa jagaan. Sebenarnya hati kecilnya juga tidak bersetuju untuk memisahkan diantara anak dengan kedua-dua ibubapanya. Seperti dia dahulu, sewaktu menimang anak kesayangan, dia tidak merelakan anaknya dijaga oleh ibubapanya atau mertuanya dengan memisahkan anak-anak darinya. Ini membuatkan nenek mertuanya bersetuju untuk tinggal bersama dengannya untuk menjaga cicitnya.

Dia sekali lagi bangun semacam telah nampak jalan keluar. Dia menuju ke tingkap yang masih lagi belum terbuka. Dia membuka tingkap seluas mungkin untuk menghirup udara luar. Terasa angin mencecah pipinya. Matanya menikmati kehijauan pokok dan warna-warni bunga di halaman rumah. Sungguh menyegarkan fikiran. Semuanya itu adalah hasil tangan isterinya yang sangat tekun dan rajin menguruskan persekitaran rumah. "Rumah kalau tak ada pokok dan bunga, nampak malap, bang. Tak ceria. Hidup kita pun tak tenang. Jam kalau tengok pokok dan bunga ni, rasa teeenang sangat. Seronok. Hilang stress" Dia tersenyum sendirian mengingatkan kata-kata isterinya semasa menyiram pokok bunga pada suatu pagi. 

Isterinya seorang yang meminati keindahan taman. Persekitaran rumah mesti dihiasi dengan pokok dan bunga-bungaan yang berbagai jenis yang menarik, yang mewangi mahupun yang cantik warnanya. Setiap pagi selepas sarapan akan diulit belai pokok-pokok bunga dengan siraman air dan baja serta semburan racun menghindar ulat serangga.. Daun-daun yang telah kuning tua, yang telah digigit ulat serangga akan digunting buang. Isterinya akan mengajak sama dia membantu melakukannya. Dia tidak keberatan untuk menolong sama tapi ada ketikanya dia memberi komen yang tidak disenangi isterinya.

"Minggu lepas kita dah ubah ke sudut sana. Hari ni nak balik ketempat asal semula. Penatlah" Komen ini membuatkan isterinya menarik muka seribu wajah, merosakkan mood cerianya. "Jemulah kalau tak diubah-ubah. Tempat yang sama saja. Kita mesti kreatif bang. Bukannya berat. Eksersais bang", Biasanya itulah alasan yang digunakan oleh isterinya semasa meminta dia membantu untuk mengalihkan pasu-pasu bunga kesudut atau tempat yang dirasakan boleh mewujudkan satu kelainan dan keindahan mata memandang.

Dia tersenyum lagi seperti pada mula-mula matanya menikmati keindahan pemandangan di halaman rumahnya. 'Betul juga kata si Jam tu. Kalau tidak boring tengok laman yang kosong', bisiknya mengakui kebenaran akan kata-kata isterinya itu. Dia menghargai apa yang telah dilakukan isterinya itu. Cuma kadang-kadang boleh menimbulkan masalah bagi dia suami isteri untuk keluar pergi bercuti sehari dua, mendapatkan suasana dan pemandangan yang baru kerana isterinya sentiasa risau pokok tanamannya akan layu dan mati, tidak disirami terutama pada musim panas kering. Apa tah lagi monyet, beruk dan kongkang selalu mengunjungi rumahnya untuk mencari makan di pokok-pokok besar yang tumbuh liar di persekitaran rumahnya. Kadang-kadang binatang itu merosakkan dan memecahkan pasu-pasu bunga kesayangan isterinya.

'Tak boleh. Duduk sana tak mungkin. Mesti Jam tak setuju'. Dia mula sedar bahawa pilihan untuk duduk bersama dengan anaknya untuk menjaga cucu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Dia meninggalkan kawasan tingkap yang dibiar terbuka dan melangkah menuju kekatil dimana cucunya sedang lena terbaring. Dia merenung cucunya. 'Abis macam mana', persoalan ditanya lagi untuk dia sendiri mencari jawapan. Tidak mungkin dan tidak wajar dia mencadangkan untuk anaknya memohon cuti tanpa gaji untuk menjaga anaknya. 'Berapa lama?'. 'Berhenti kerja'. Ini cadangan gila. Mana mungkin setelah belajar begitu lama, lima tahun lebih  dan telah tamat housemanship, tiba-tiba berhenti kerja.

Dia bertambah pening. Jalan penyelesaian belum kunjung tiba. Cucunya mula menggerak-gerakkan badan. Matanya mula dibuka. Suara mula keluar. Cucunya menangis dan dia dengan penuh kasih sayang mengangkat cucu untuk didakap dan dibawa untuk mendapatkan mamanya. Cucunya masih menangis, kehausan, dahaga. Nenen ibunya boleh memberhentikan tangisan. Tiada tangisan, hanya yang terdengar nyonyotan cucunya begitu deras sekali. Dia keluar dari bilik anaknya dengan membawa sama persoalan yang masih belum dapat diatasi. Kepalanya masih pening kerana masih lagi belum ketemu ubat yang mujarrab.

Rabu, 18 Mei 2011

Saluran ke ijazah pertama: saluran mana yang lebih popular dan lebih menguntungkan

Bertarikh 18 Mei 2011 hari Rabu, di Poliklinik Kerajaan , Air Keroh Melaka, pukul 10.20 pagi terdapat beberapa anak-anak muda lelaki dan perempuan sedang berurusan dengan pihak klinik untuk membuat Pemeriksaan Perubatan bagi tujuan memasuki Institut Pengajaian Tinggi. Saya sempat bertanya ringkas seorang daripadannya yang menyatakan akan mengikuti kursus Sains Kuantitatif di UiTM Lendu Melaka. Beliau adalah lepasan peperiksaan SPM tahun 2010 yang lepas.

Berbanding dengan tahun awal enam puluhan sehingga tujuh puluhan pada abad yang lepas, peluang untuk  belajar di institusi pengajian tinggi ketika ini amat terbuka luas. Pada tahun-tahun di abad yang lepas seseorang pelajar itu akan mula menghadapi proses penyingkiran iaitu peperiksaan seawal diperingkat rendah lagi. Untuk memasuki sekolah menengah pelajar wajib menduduki peperiksaan darjah enam. Jika lulus , alhamduliilah , bolehlah meneruskan pelajaran diperingkat menengah. Sebaliknya jika  gagal maka setakat itulah bekalan pendidikan yang akan dibawa bersama dalam meneruskan kehidupan. Biasanya mereka memasuki ke pasaran buruh pada umur yang terlalu muda, menjadi penorih getah atau nelayan menurut persekitaran mereka.

Ketika ini , paling rendah pendidikan yang akan diterima tanpa penyingkiran, walaupun ada peperiksaan UPSR  diperingkat rendah dan  PMR diperingkat menengah rendah, pelajar dengan keputusan yang kurang baik pun berpeluang untuk meneruskan pendidikan sehingga ke tingkatan lima sama ada dalam jurusan biasa mahu pun  bidang vokesyenal dan teknik. Seterusnya mereka ini akan menduduki peperiksaan SPM atau yang setaraf dengannya  untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi lagi, jika memnuhi syarat-syarat yang diperlukan. Bermakna proses penyingkiran pada ketika ini berlaku setelah seseorang itu diberi peluang mendapat pendidikan selama 11 tahun. Selepas SPM dan yang setaraf dengannya seseorang pelajar itu akan meneruskan kehidupan mereka sama ada masuk kepasaran buruh/menganggur atau meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.

Mereka yang berjaya dalam SPM yang mahu meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi  mempunyai pilihan untuk berbuat demikian melalui saluran-saluran seperti memasuki tingkatan enam untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan; memasuki Kolej Matrikulasi untuk menghadapi peperiksaan khas yang telah ditentukan; dan memasuki Universiti bagi mengikuti kursus di peringkat asas atau diploma.

Pelajar yang sempat saya ketemui tadi telah memilih untuk mengambil diploma. Kalau mendapat keputusan yang boleh melayakkan beliau untuk mengambil ijazah , saya percaya beliau tidak akan melepaskan peluang itu. 

Saya tidak mempunyai stastistik untuk membandingkan saluran mana yang menjadi pilihan yang popular bagi seseorang pelajar itu  bagi meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah pertama. Cuma saya melihat bahawa meneruskan pelajaran ke tingkatan enam dan menduduki peperiksaan STP untuk ke peringkat ijazah pertama telah menjadi kurang popular. Bahkan ada setengah pihak berpendapat bahawa saluran tingkatan enam itu adalah bagi pelajar-pelajar yang gagal untuk memasuki kolej matrikulasi atau gagal  dalam permohonan di peringkat diploma. Kelihatan bahawa saluran pilihan yang popular untuk keperingkat ijazah pertama ialah melalui kolej matrikulasi dan mendapatkan diploma terlebih dahulu.

Ada juga setengah pihak menyatakan bahawa saluran matrikulasi juga sudah menunjukkan aliran yang menurun dari segi pilihan  keperingkat ijazah pertama kerana katanya peperiksaan itu tidak mengeluarkan sijil yang diiktirafkan tidak seperti SPM dan STP. Ini akan merumitkan seseorang yang keluar dari kolej untuk mendapat pekerjaan setelah gagal memasuki universiti. Keputusan peperiksaan matrikulasi katanya tidak dapat digunakan bagi menilai tahap pendidikan yang diterima oleh seseorang. Dengan demikian mereka itu terpaksa menggunakan keputusan SPM semasa melamar pekerjaan. Sama ada kenyataan ini benar atau sebaliknya perlulah dibuat siasatan. Tapi saya lebih cenderong untuk mempercayainya kerana belum pernah terjumpa dalam mana-mana iklan pekerjaan, yang menyebutkan syarat keputusan peperiksaan matrikulasi.

Kalau anda bertanya saya, saluran yang mana yang akan saya cadangkan untuk dipilih saya suka mencadangkan saluran mendapatkan diploma terlebih dahulu, iaitu dapatkan keputusan peringkat diploma yang terbaik, kemudian teruskan keperingkat ijazah pertama. Kenapa? Saya tidak ada jawapannya.

Selasa, 17 Mei 2011

Sepanjang Perjalanan Dari Bukit Chandan Kuala Kangsar ke Bukit Istana: Warna-warna Kehidupan

Hari ini Selasa 17 Mei 2011 Kuala Kangsar: Waktu berangkat untuk balik ke Melaka telah dirancang pada  pada jam 8.30 pagi. Itulah jangkaan masa yang telah diberitahu oleh anakku Jaja yang bermalam dirumah mertua di Taman Raja Bendahara untuk mengambil kami berdua berangkat ke Melaka

.Justeru pada 8 pagi kami mengambil sarapan di cafe  tempat kediaman Rumah Rihat Kuala Kangsar (RRKK)  setelah semua barang-barang keperluan dimuatsiap dalam beg dan bekas isian yang lain. Jam, isterku memesan mehun goreng dan aku dengan kegemaran pagi sekeping roti bakar bersapukan kaya. Untuk membasahi tekak kami memesan air minuman yang sama iaitu segelas air suam untuk menelan ubat dan secawan milo 'o' setiap seorang.

Supaya tidak timbul kekeliruan , Jam menjelaskan milo'o' itu bermaksud milo yang tidak ada gula dan susu kerana dalam pengertian biasa atau pengertian setengah restoran/cafe/gerai milo'o' itu bermaksud milo yang tidak ada susu tetapi ada gula. Perkara ini telah berlaku beberapa kali kepada kami. Sepatutnya kata pengusaha restoran/cafe/gerai kami memesan milo kosong dan bukan milo 'o'. Kami pula berpendapat 'o' itu sama ertinya dengan kosong.

Itulah benda yang sama, sebutan berbeza membawa pengertian yang berbeza. Kadang-kadang pula sebutan berbeza tetapi bagi maksud behda yang sama misalnya sejenis kuih yang dipanggil  Buah Melaka. Yang peliknya kuih yang sama ini dipanggil Ondeh-ondeh oleh orang Melaka dan bukan buah Melaka.

Begitu juga perkataan semalam. Bagi orang dibahagian tengah hingga selatan semalam itu sama ertinya dengan yesterday dalam bahasa Inggeris. Bagi orang utara mereka menggunakan perkataan kemarin untuk yesterday.
Dengan yang demikian lebih baik kita menyatakan dengan tepat waktu dan hari untuk mengelakkan kekeliruan. Misalnya semalam pada hari Isnin 16 Mei 2011 pada pukul 2 petang saya telah mengadakan satu majlis khatam Quran.

Tetapi dalam masyarakat Melayu masih lagi menggunakan waktu solat sebagai penentuan masa bagi seuatu majlis. Contoh : Jemput kerumah selepas Zohor/'Asar/'Isya . Tidak dinyatakan dengan tepat pukul berapa. Maka orang yang dijemput itu akan datang pada waktu yang tidak sama. Kadang-kadang membuatkan majlis terpaksa lewat dimulakan atau dimulakan juga dengan bilangan yang tidak ramai tetapi kemudiannya bertambah semasa majlis sedang berjalan.

Anakku dan suaminya beserta Naqib cucuku, bapa dan ibu mertua serta adik-adik iparnya sampai di RRKK sepuluh minit memasuki pukul sepuluh pagi. Kelewatan adalah disebabkan untuk mengurus Naqib dari segi mandinya, kencing beraknya, muntahnya dan untuk mengisap nenen. Aku dan  isteri telah menjangka perkara seperti ini kerana itulah yang telah kami hadapi dulu semasa bersiap-siap untuk berjalan membawa sama anak kecil.


Kami meninggalkan RRKK pada pukul 10 pagi. Besanku suami isteri dan dua orang anak juga ke Kuala Lumpur atas  urusan tertentu.

Sepanjang perjalanan kami telah berhenti di tiga kawasan Rihat dan Rekreasi (R&R) iaitu di Tapah, Ulu Bernam dan Dengkil untuk berihat dan urusan bersih dan segar diri disamping membeli buah-buahan di Tapah dan Solat Zohor dan makan tengah hari di Dengkil. Nampaknya kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pengurusan R&R yang kami singgah adalah baik sekali.

Cuma ada satu perkara yang kurang menarik ialah tiadanya pokok-pokok besar yang ditanam disepanjang tempat letak kereta. Ini membuatkan keadaan yang tidak selesa dalam cuaca yang begitu panas apabila kita mahu masuk semula kedalam kereta bagi memulakan perjalanan selepas berihat terutama jika kita membawa sama anak kecil, apatah lagi yang baru lahir. Jika ada pokok-pokok besar dikawasan tempat letak kereta ianya boleh menjadi teduhan kereta disamping menghijaukan kawasan R&R itu sendiri. Bukankah hijau yang kita cari! Contohilah Melaka sebuah bandaraya hijau walaupun masih ada lagi tempat yang belum hijau. Tapi usaha tetap berjalan.

Satu perkara yang menjelekkan ialah perangai pengguna yang menggunakan kemudahan yang ada seperti tandas. Masih lagi kedapatan pengguna yang tidak mengguna dengan baik dan betul kemudahan yang disediakan. Contoh: Ada pengguna tidak tergerak tangannya untuk 'flush' najis buangannya sehingga menimbulkan rasa jijik bagi pengguna seterusnya. Ada yang membuang putung rokok pula kedalam mangkok tandas. Agaknya orang yang serupa inilah yang suka membuang putung rokok diatas jalan semasa pemanduan. Apa punya perangai manusia  ini? Jangan terperanjat, ada yang berkopiyah putih, tak kurang juga yang bersongkok  hitam dan yang paling banyak yang tak pakai kopiah atau songkok. Sungguh memalukan.

Akhirnya kami sampai di rumah pada jam 320 petang. Bersyukur kepada Allah kerana  memudahkan sepanjang perjalanan kami  dari Bukit Chandan Kuala Kangsar dan selamat sampai di kediaman kami di Persiaran Istana.