Theflowersellingboy

Rabu, 20 April 2011

Hitch hiking-Batu 4 Jalan Cheras ke Johor Baru....6


Batu empat Jalan Cheras
Hajat kembara ke Singapura
Usaha ada kerja pun keras
Takdir tuhan tentukan segala

Aku disebelah kiri dan Dosmy disebelah kanan. Kecewa? Tidak juga. Lain kali kan ada, 'jika usia masih ada ke Singapura lah kita Mi'


Selepas sarapan pagi di rumah bapa Rohani di Larkin ,Dosmy dan Aku telah bersiap sedia untuk bergerak ke utara menuju Melaka. Berita  Mersing dinaikki air telah membantu kami membuat keputusan untuk mengakhiri  perjalanan atau hitch hiking kami. Selepas bersalaman dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rohani dan keluarga maka menapaklah kami menuju ke utara. Seperti yang telah kami alami sebelum ini, ada beberapa pemandu kenderaan mengulangi perangai yang sama berhenti melampaui kami, menunggu beberapa ketika, dan meluncur laju bilamana kami telah menghampiti kereta mereka. Rupanya perangai seperti ini sudah menjadi satu budaya. Tetapi tidak semua yang buat begitu. 

'Tidak semua yang buat begitu', memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan pengembaraan secara hitch hiking ini. Kami boleh saja menaikki bas dan mampu membayar tambang bas ke Melaka sebab duit masih lagi banyak berbaki. Banyak makan free berbanding belanja menggunakan wang sendiri. Tempat tidur pun percuma, di Kubu, rumah bapa saudara Dosmy, di masjid Parit Jawa dan malam tadi di rumah Pak Shariff bapa Rohani.

Sebuah lori yang sederhana besar berhenti. Aku dan Dosmy tidak ghairah untuk segera mendekati lori itu, Kami berjalan bersahaja dan selamba saja. "Mau naik kah", Tanya pemandu itu apabila kami melintasi lorinya. Aku dan Dosmy saling pandang memandang. Aku semacam tidak percaya dengan ajakan apek separuh umur itu. Takkan apek tua ini faham tentang hitch hiking. Entah-entah tak pernah pergi sekolah. Kalau tidak tak kan jadi pemandu lori.

"Kita naiklah. Jangan memilih", Dosmy mematikan keraguan yang ada dalam kepalaku mengenai ajakan si apek tua itu. "Mana mau pergi?', lancar juga Bahasa Melayu si apek itu. "Saya Skudai berhenti", sambung siapek sebelum kami dapat membuka mulut untuk menyatakan destinasi kami. "Skudai, boleh juga ", jawab Dosmy yang duduk ditengah diantara siapek dan Aku. Dalam perjalanan yang tidak laju itu kami berbual-bual dengan si apek tua itu. Beliau menyatakan bahawa beliau bekerja sebagai pemandu lori sayur dan mempunyai empat orang anak dimana dua orang sedang belajar di luar negara. Seorang di Australia mengambil Akauntansi yang dijangka selesai tidak lama lagi dan seorang di England dalam bidang perubatan, tahun kedua. Apabila ternampak kami beliau merasa belas kerana merasakan anaknya diluar negeri itu mungkin berkeadaan seperti kami. Katanya lagi kalau dia tolong orang, orang lain akan tolong anaknya pula. "Awak mesti kerja kuat. Mesti banyak belajar", antara nasihat yang diberikan apabila kami memberitahu bahawa kami masih bersekolah lagi.
 
Aku sebenarnya merasa amat malu kerana mempunyai perasaan memandang rendah terhadap si apek yang baik hati itu. 

Sesampai saja di di Pekan Skudai hampir memasuki pukul 12 tengah hari, kami turun dan mengucapkan terima kasih kepada apek pemandu lori yang baik hati itu. Beliau mengajak kami makan bersama, Jawapan pertama kami ialah terima kasih sebagai cara menolak yang berbudi bahasa. Namun beliau bersungguh mengajak dengan menyatakan kedai makanan itu kedai Melayu. Beliau pula suka makan masakan asam pedas. Terliur juga seleraku apabila masakan asam pedas disebutkan, dan sambil memandang pada Dosmy, "Tauke sudah ajak, apa boleh buat, terima kasih sajalah", kami melangkah  menuruti si apek itu.

Berselera sungguh kami bertiga makan.

Sebelum berpisah, kami sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada si apek dan beliau pula  mengulangi nasihat untuk kami belajar rajin-rajin dan selamat dalam perjalanan. 

Waktu memasuki pukul satu. Matahari memancar membakari anggota badan kami. Kami terus menapak keutara dalam panas terik . Dosmy mencadangkan supaya berhenti untuk berteduh apabila ternampak  beberapa batang pokok berhampiran dengan jalan yang kami lalui. Aku bersetuju kerana  itupun yang Aku mahu. Selain dari beberapa batang pokok besar terdapat juga tumbuhan yang lain terutama pokok senduduk.
Kami menyandarkan badan pada batang pokok itu untuk melepaskan kepenatan. Perutku pula buat pasal, angin menggelodak didalamnya. Aku tidak boleh tahan, ada sesuatu yang mahu keluar segera. "Mi, kau tunggu sini. Aku nak pergi ke pokok senduduk tu", kataku sambil menunjuk kearah perut denga muka ku berkerut. "Cepat sikit, nanti ada kereta berhenti", Dosmy memberi tekanan semasa aku dalam keadaan tertekan.

"Oii cepatlah", panggil Dosmy semasa Aku baru saja mengesat sesuatu menggunakan daun senduduk, bersuci tanpa air. Maka berlari-lari Aku menuju ke arah Dosmy. Sebuah kereta sport yang tidak berbumbung telah sedia berhenti. "Mari naik", jemput pemandu yang berkulit cerah macam  mat salleh. Dosmy duduk di hadapan dan Aku di belakang. "Nak ke mana? Saya nak ke Melaka, Radio Melaka", pemandu macam mat salleh mahu tahu destinasi kami sama ada sama dengan destinasinya. "Sama pakcik", jawab Dosmy. "Panggil uncle, Uncle Mat, Ahmad Wan Yet pemain violin terkenal", uncle itu memperkenalkan diri sambil tersenyum dan ketawa kecil. Nama itu memang telah biasa bagi kami, cuma inilah kali pertama bertemu. Kulit putih macam mat salleh. 

Dosmy memandang Aku sambil tangannya mengipas-ngipas hidung  apabila melihat Aku duduk dalam keadaan yang tidak selesa. "Ada lalat ke? Tanya uncle Mat. "Tadi ada, dah lari kebelakang", Dosmy menahan ketawanya. "Ok lah bila kereta berjalan, larilah dia", kata uncle mat yang segera meluncurkan keretanya. Dosmy dan Aku ketawa kecil saja..

Selasa, 19 April 2011

Curriculum Vitae (cv) Saya Pula

Nama: Yousef Imran Azrul Aswad
Jejak Pertama Ke Alam Nyata: 26 Julai 2010
DiMana?: Hospital Pantai Pandan Indah Kuala Lumpur
Pukul Berapa?: 4.30 Petang, Waktu Malaysia
Menangis?: Biasalah, terlalu gembira tengok dunia
Lepastu kemana?: No 17, Persiaran Istana, Jalan Istana, Melaka
Berapa Lama Berkelana?: Dua bulan saja, ikut ummi duduk berihat
Lepastu?: Ke One Ampang Point, Tingkat Satu
Sampai Sekarang?: Ya lah. Sesekali ke ke Rembau, Kg. Senama sebelum ke Melaka, Jalan Istana
Ummi Bekerja Di Mana?: Di Technip, Jalan Tun Razak
Ayah?: Syarikat Miazu lah, apa lagi. Nak order kereta?
Ummi dan Ayah Kerja, Siapa Tempat Bermanja?: Tok Wan di Kg. Pandan
Yang Unik: Tengoklah saya, ada rupa anak Korea? Mari mata bertentang mata. Macam mana. Tak percayakah?
Sayang Siapa?: Ummi dan Ayah
Lagi?: Oma,Tokpa, Wan dan Atokyah
Itu Saja?: Banyak lagi, panjang senarainya
Minuman Harian Yang Jadi Idaman: Susu Ummilah
Makanan Membesar , Membina Kekuatan dan Menyehat Badan: Sayuran Pilihan, Ikan Tak Bertulang Harganya Boleh Tahan, Daging-dagingan , Nasi Buburan dan Macam-macam, Semuanya yang 'Halallan Tauyiban'.
Baca Doa Makan: Mesti, Tanya Ummi dan Ayah
Masih Pakai Nappy?: Ini Soalan Terlalu Peribadi, Tahun depan jumpa saya
Berat Badan?: 26 Julai 2010 hanya 3.7 kilo. 
Sekarang?: Mari ke kilinik kita timbang
Ketinggian?: Bolehlah buka switch tv.
Hobi: Macam-macam, seribu satu senyuman
Ada Wawasan?: Sudah Tentu. Destinasi Harapan ke Jalan Yang Benar
Cita-cita: Tidaklah Rahsia tapi Simpan Sendiri Untuk Jadi Kemudi
Misi: Lima Perkara Yang Utama dan Enam Perkara Panduan Bersama
Cuba Huraikan: Mudah Saja, Untuk Dunia dan Akhirat
Siapa Saksi: Ummi dan Ayah, siapa lagi
Kelayakan Akademik: Kita jumpa dihari konvo saya 2033
Bidang Pengajian: Masih dalam peringkat pilihan
Profession Pilihan: Sabar Dulu, banyak sangat tawaran
Secara Ringkas Kata-kata yang meyakinkan: Alhamdulillah, bersama kita mengembangkan kasih sayang berbuat baik sesama insan dan jauhkan dari fitnah tohmahan

Sekian curriculum vitae saya. Ada mana-mana pihak yang sudi berkawan dan berkongsi pandangan dan perasaan sila e-mail di yiaaha@oneampang.kl.my atau di blog theflowerselling boy

Yang Benar
Yousef Imran




















Mengapa Anak Kecil Menangis?

 Anda ada anak yang baru dilahirkan atau menjaga cucu yang baru dilahirkan? Jika jawapannya ya, mari kita kongsi pengalaman.

1. Sebahagian besar anak yang baru dilahirkan akan dikesan menghidapi sakit kuning atau sekarang orang telah terbiasa dengan nama 'jaundice'. Rawatan yang selalu diberikan ialah dengan memberi minum air masak banyak-banyak dan juga susu. Tujuannya supaya anak itu banyak kencing dan dengan ini boleh menurunkan tahap sakit kuning itu.

2. Kalau sakitnya agak serious yang bacaan darahnya melebihi paras 14, biasanya akan dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan cahaya lampu. Biasanya rawatan itu paling berkesan.

3.Pada masa dulu sakit kuning ini tidak dianggap sakit yang serious. Ia sesuatu yang biasa terjadi kepada anak yang baru lahir. Rawatan yang di buat ialah menjemur anak pada sebelah pagi waktu matahari sedang naik lebih kurang pukul lapan dan sembilan. Inilah rawatan yang dilakukan dahulu. Sekarang ada juga tapi, jarang-jarang.

4. Sekarang ini ada orang yang promosi minum susu kambing. Tapi saya lebih yakin susu ibu lebih baik dari susu binatang seperti kambing.

5.Anak kecil itu juga terlalu sensitif kepada dunia barunya termasuk suhu panas dan sejuk. Oleh itu cuba elakkan penggunaan kipas yang melampau kelajuannya dan pakaikan pakaian seperti barut dan baju serta seluar yang panjang serta badannya sentiasa dibalut dengan kain untuk memberi kepanasan kepdanya. Ingat bahawa anak itu belum lagi membina lemak yang banyak, jadi mudah merasa sejuk. Cuba elakkan anak terlalu lama terdedah tanpa pakaian dan dalam hawa yang sejuk.

6. Jika selalu terdedah kemungkinan besar anak itu akan mengalami sakit perut. Sakit perut inilah yang membuatkan anak itu sentiasa menangis menggeliat.Satu lagi kemungkinan sakit perut ialah kesan dari susuan ibu yang dalam badannya banyak angin. Mungkin kepada orang muda perkara angin dalam badan dan masuk kedalam perut anak kecil itu melalui susuan ibu, adalah sesuatu yang dipersoalkan, tetapi pengalaman saya mendapati ianya adalah perkara yang benar. Pengalaman memberi tahu apabila susuan dari ibu seperti ini diberhentikan maka anak itu tidak lagi sakit perut.

7. Selain dari lama terdedah tanpa balutan pakain yang sempurna dan susuan dari ibu yang mempunyai banyak angin dalam badan, angin juga terdapat dalam badan anak itu disebabkan selepas mandi tidak dibuat tuaman. Banyak orang muda tidak tahu apa itu tuam. Tuam ialah cara mengeluarkan angin dari perut anak melalui aplikasi memanaskan perut anak termasuk di bahagian belakang, terutama di bahagian pusat dengan memanas atau melayurkan daun sireh kemudian dilekapkan dibahagian berkenaan dalam beberapa saat dan diulang-ulang beberapa kali sebelum dipakaik barut. Sebaik-baiknya disapu juga minyak angin yang lembut  diperut, belakang, betis dan kaki sebelum dipakaikan pakaian yang lengkap.

8.Makanan ibu yang menyusu perlu dijaga, perlu berpantang. Elak memakan sayur atau bahan makanan yang sejuk-sejuk seperti sayur kangkong, bayam atau buah papaya. Orang dulu-dulu , zaman 60an kebawah sebahagian besarnya kuat berpantang. Makan ikan panggang saja. Tidak semua ikan yang dimakan. Ikan kembong memang dielakkan. Saya juga dapati bahawa ibu yang menyusu yang memakan   yogurt   boleh memberi kesan sakit perut kepada anak susuan. Tetapi saya tidak ada penjelasan yang saintifik, sekadar pemerhatian saja. Itulah yang dikatakan pengalaman.

9.Ibu yang menyusu mestilah mengambil makanan secara teratur dari segi waktunya untuk mengelak ruang perut di dahului oleh angin sebelum makanan.

10.Selain dari minyak untuk disapu diperut untuk merawat sakit perut, anda juga boleh memanaskan perut anak anda dengan cara menitikkan sedikit minyak angin itu ditapak tangan dan menggeselkan kedua tapak tangan sehingga panas dan lekapkan tapak tangan itu keperut anak terutama di bahagian pusat. Perkara ini telah di beritahu oleh kedai sengseh. Anda juga boleh dapatkan ubat sakit perut di kedai sengseh selain di farmasi.

11.Kunjungan dari saudara mara sahabat handai kawan taulan, jauh dan dekat untuk mengucap tahniah kehadiran orang baru dan tahniah kepada ibu dan bapa terutama ibu yang telah berjaya dan selamat melahirkan anak adalah satu tradisi yang mulia dan perlu diteruskan. Namun adalah diharapkan kunjungan tidak dibuat waktu senja atau maghrib atau disebelah malam. Selain mengganggu ibu yang bersalin untuk berihat, ada juga mempercayai hantu syaitan berkeliaran diwaktu itu dan mengikuti sama para pengunjung itu. Lalu mengambil peluang mengganggu anak yang baru lahir itu dengan wajah yang menakutkan.Ini menyebabkan anak itu menangis, dan kadang-kadang sepanjang malam. Kerana ada yang berpendapat, anak itu boleh melihat hantu syaitan walaupun anak itu tidak boleh melihat kita. Saya percaya? Jawabnya percaya tetapi susah untuk dibukti atau diterangkan. Hanya pengalaman meyakinkan saya. Sebab itu saya sentiasa membaca ayat Kursi sebagai satu cara untuk meredakan tangisan anak. Kadang-kadang ank itu reda tangisannya. Kadang-kadang terus menangis juga. Tapi saya tetap percaya dengan bacaan itu.

Untuk tujuan kunjungan ini adalah lebeh sesuai kunjungan itu di pendekkan masa bualannya dan tidak dibuat menjelang senja.

Sama ada semuanya benar, separuh benar atau semua tidak benar bukan itu mesej saya.

Mesej saya ialah apabila anak kecil itu menangis, itu adalah suara hatinya memberitahu sesuatu. Kalau berpanjangan, ada yang tidak kena: mungkin lapar hendakkan susu; minta dibersihkan kerana kencing atau berak; perut tidak sedap atau sakit; diganggu hantu syaitan. Dan bukan anak itu menangis kerana ianya perkara biasa kepada mereka. Sebenarnya mereka memberitahu kita, belai dan rawatlah mereka segera dengan penuh sabar dan kasih sayang.

Mesej kedua saya ialah jangan memandang sepi cara yang telah dilakukan oleh orang dulu-dulu walaupun mereka tidak ada atau kurang dengan ilmu dan pengetahuan modern. Mereka memerhati dan mereka sentiasa berusaha mencari jalan dan kaedah untuk merawat anak mereka. Kadang-kadang melalui 'trial and error' mereka terjumpa dengan kaedah yang sesuai lagi yang mujarrab.

Itulah saja yang dapat saya kongsikan. Anda fikir dan timbang dulu sebelum mencubanya. Yang mustahak dua mesej yang hendak saya sampaikan.