Theflowersellingboy

Khamis, 24 Ogos 2023

KERAJAAN PERPADUAN (KP)....Terus Mara. PN, terimalah ketentuan Allah.

Tahniah kepada PMX. 

Tahniah juga kepada Presiden UMNO. 

Tidak ketinggalan GPS GRS Warisan dan yang lain yang sudi 

bersama dalam KP.

Tahniah juga kepada penyokong PHBN yang terus memberi 

kepercayaan kepada gabungan ini pada PRN6N yang mampu 

mengekalkan penguasaan di ketiga tiga negeri Selangor, Negeri 

Sembilan dan Pulau Pinang , yang dicanangkan oleh PN untuk 

dikuasai sebagai satu refetrendum rakyat.  


Ucapan tahniah ini agak terlambat tapi "better late than never".


Sudah tentu penghargaan dan ucapan kesyukuran layak 

dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja 

Raja Melayu   diatas kebijaksanaan dan keperhatinan Baginda 

baginda sekalian dalam resolusi membentuk KP berikutan tiada 

mana mana parti atau gabungan parti yang memperolehi majoriti 

mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU 15 yang lepas. . 


Moto "Yang Menang tidak Menang Semua , Yang Kalah tidak Kalah 

Semua" adalah rasional kepada keputusan pembentukan KP ini. No 

zero-sum game...bukan yang menang sapu semua dan yang kalah 

mulut  ternganga melopong.


Proses pembentukan juga telah berjalan dengan rapi teratur dan adil 

kepada semua parti parti atau gabungan parti yang bertanding. 

Setiap pihak yang terlibat di jemput menghadap YDA yang 

didahului oleh pimpinan PN, diikuti oleh PH, BN dan yang lain lain.


Pimpinan PN telah menolak cadangan KP itu dengan 

menandatangani dokumen mengesahkan tidak bersetuju. PH dan BN 

bersetuju. GPS GRS Warisan dan yang lain lain juga turut bersetuju 

menjadikan KP menguasai 148 ahli Dewan Rakyat dari jumlah 222.


KP telah dibentuk....move on. Rakyat mahukan perkhidmatan , 

bukan terus berpolitik. Tunggu tamat penggal untuk bersaing lagi. 

Usah berterusan mengganggu  gugat dengan ancaman KP akan 

tumbang mengikut jadual waktu PN yang sentiasa berganjak  

walaupun ianya sesuatu yang diluar fikiran logik dan rasional dalam 

sebuah negara demokrasi.


Kacau ganggu ini memberi kesan yang negatif kepada usaha usaha 

pemulihan dan pengukuhan ekonomi dan mata wang, ancaman 

kepada keselamatan dan kesetabilan politik termasuk memecahbelah

kan perpaduan antara rakyat untuk hidup dalam suasana yang harmoni. 


PRN6N telah selesai. Tapi masih lagi berpolitik tidak rasional. 

Masih dengan agenda untuk tumbangkan KP PHBN walaupun 

penguasaan diperingkat Dewan Rakyat tidak berubah.  


Oleh itu pimpinan dan penyokong PN berfikirlah 

secara RASIONAL  dahulukan Rakyat dan Negara. 

Apakah PN telah hilang keyakinan akan ketentuan 

Allah?  Bermuhasabahlah!!!

Mainkan peranan yang aktif dalam semak dan 

imbang kerana mana mana kerajaan pun perlu 

dipantau agar tidak tersasar atau jauh tersasar dari 

memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat 

dan negara.


Uruskan negeri negeri yang telah dikuasai dengan 

kemenangan yang besar untuk menjadi model 

sebuah pemerintahan Islam dan Melayu yang 

bermaruah selaras dengan apa yang dicita citakan.


PHBN dan sekutunya dari Sabah dan Sarawak 

yang menerajui KP ketika ini, uruskan kekayaan negara dengan tata kelola yang telus tulus, adil 

cekap tidak membazir dengan berbagai ketirisan 

serta pembaziran dalam berbagai bentuk kerana 

rakyat dan negara mahukan sebuah kerajaan yang 

AMANAH bukan tukang PEMUSNAH harapan 

rakyat dan negara.


INGAT, disamping kamu, ada PN yang sentiasa 

memantau setiap langkah dan tindakan kerana 

sebarang kelalaian dan kealpaan apatah lagi 

penyelewengan dalam memberi khidmat yang 

terbaik kepada rakyat dan negara akan menjadi 

modal atau aset politik pada penggal yang akan 

datang. 


Sudah tentu PN akan menjalankan fungsi semak 

dan  imbang yang berkesan kerana mereka juga 

bercita cita untuk menjadi kerajaan.. 







Isnin, 26 September 2022

INSPIRASI al-BALAD

 INSPIRASI al-BALAD


Aku mimpikan sebuah al-Balad, sebuah NEGARA untuk dijadikan tempat tinggal sebagai persinggahan sebelum ke negara   kekal abadi. Ianya satu persinggahan, umpama transit di sebuah lapangan terbang sebelum mendarat di destinasi akhir. 


Transit aku di kelas pertama.


Dipersinggahan itu....


Mata aku ingin melihat gunung ganang, bukit bukau, lembah dan paya serta hutan belukar yang menghijau. 


Mata dan halwa telinga ku merindui sungai jernih di ulu yang tidak berhenti henti menghilir, dan desiran air terjun  yang memercik membasahi bumi dan menyegarkan tumbuhan,  membentuk jalur aliran menuju ke kuala bersatu mesra dalam  lambungan gelombang  ombak menzahirkan kebiruan. 

  

Siulan beburung, sang unggas yang bercengkerama, raja belantara mangsa memangsa tanpa penjara , mahu ku lakarkan sebagai cerita menghiburkan hati yang lara dan duka.


Ya. aku sedar bahawa langit itu tidak sentiasa cerah...awan mendung gelaplah dia. 


Ya, al-Balad memberi tahu aku bahawa manusia yang menzahirkan zuriat sentiasa menghadapi kesukaran dan kesulitan, manusia menyangka tiada siapa yang mengatasi kuasanya dan terlepas dari azab seksa, sentiasa bermegah dengan harta dan kekayaan, menyangka tiada siapa yang melihat.


Tidakkah manusia itu sedar dan insaf bahawa Allah telah memberikan dua mata untuk melihat kekuasan dan kekayaan Allah. Ada lidah dan bibir. Ada otak untuk berfikir untuk memilih dua jalan yang Allah tunjukkan,  Jalan Kebaikan dan  Jalan Kejahatan. Pilihlah Jalan Kebaikan dan jauhi Jalan Kejahatan.


Berilah makan bagi mengelakkan kelaparan kepada anak yatim dan fakir miskin. Rezeki, harta dan kekayaan yang dimiliki itu sebahagiannya adalah hak orang lain termasuk anak yatim dan fakir miskin. Perlu diuruskan dengan baik. 


Apatah lagi harta dan kekayaan negara yang diamanah untuk diuruskan, uruslah dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Jauh dan elakkan kerja kerja mungkar dalam apa saja bentuk seperti rasuah, penipuan, penyelewangan dan salah guna kuasa. 


Ingat, sebahagian dari harta dan kekayaan itu adalah hak anak yatim dan fakir miskin. Jangan menzalimi mereka. 


Jadilah orang orang yang beriman yang berpesan pesan dengan sabar dan kasih sayang agar  menjadi PIHAK KANAN, disisi Allah yang akan beroleh syurga. Jauhilah tergolong sebagai PIHAK KIRI yang kufur dan ingkar kerana tempatnya di neraka menerima azab sengsara yang tidak terperinya.


Adakah aku dapat tinggal di  al-Balad yang aku idamkan, sebagai pihak kanan disisi Allah?


Ya....harap harap begitu, tapi..


Semalam aku bermimpi naik keretapi

Lajunya terakam dalam rasanya ngeri

Apakah cerita negara kita ini

Yang batil dan berhasad dengki makin menjadi jadi


PRU 15 nanti....

Mari ramai ramai keluar mengundi....

Kasi buang itu pencuri.....

No sori pada mereka ini!!!!!!!!!!!!!!!!

Aku nak ke kanan , tidak ke kiri!!!!!!


ADUH MALAYSIA!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!




 


Isnin, 7 Mac 2022

Letakkan Sesuatu Pada Tempatnya

Mengikuti perbahasan Tan Sri Muhaiddin, AP  Pagoh yang juga mantan PM PN,  di persidangan parlimen hari ini, saya terkesan dengan satu kenyataannya bahawa AP Pekan yang juga mantan PM BN adalah seorang yang cerdik.....'cerdik menipu' katanya. I

Saya terkesan bukan kerana mereka bersaing pengaruh tetapi tidak kena pada tempatnya. Ini tidak bermaksud kenyataan itu tidak layak disebutkan di dalam parlimen yang sentiasa disebutkan sebagai yang dewan mulia. Tidak, tempat bukan isunya.

Isunya adalah orang yang cerdik dan orang yang menipu tidak sekufu....tidak ngam. Cerdik itu adalah sifat yang baik. Kerja menipu itu kerja orang tidak baik atau jahat. Oleh itu AP Pagoh itu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.

"Dia seorang yang cerdik bekerja keras  memberi perkhidmatan demi membangunkan negara untuk keselesaan hidup rakyat dan kemakmuran negara". Ini satu contoh mudah yang meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Sebaliknya jika kerjanya untuk merosakkan negara, tempatnya bukan dikalangan orang yang cerdik.

Finomina salah meletakkan tempat ini, bukan perkara baru, telah diterima lama oleh masyarakat tanpa menyedari kesan buruknya. Kita biasa mendengar seorang peniaga yang membuat keuntungan hasil dari menipu timbangan. Orang itu dikatakan pandai menggunakan timbangan sehingga pembeli mudah ditipu. Maka dengan bangga peniaga itu diistiharkan sebagai peniaga yang pandai kerana berjaya buat untung. 

Kecenderungan meletakkan sesuatu pada tempat yang salah ketika ini semakin meluas dan diterima bahkan ianya sebagai satu cara mempromosikan diri dan perniagaan. 

Renung dan fikirkanlah 5 finomina dibawah ini, sebagai contoh dari banyak contoh meletakkan sesuatu pada tempat yang salah.

1. Menyerahkan amanah kepada bukan ahlinya.

2. Petualang didendangkan. Wira disenyapkan. 

3. Terpalit dengan jenayah diangkat sebagai bos dengan kata kata 'Apa nak malu bosku'.

4.  Yang bersalah lepas bebas berbicara, yang menyatakan hak dan kebenaran disekatkorantinkan.

5. Yang benar diprosokkan dan yang batil diangkat.

Semoga finomina seperti contoh 5 diatas,  segera kita tolak dan hapuskan jika kita mahu jadi bangsa yang bermaruah dan punya harga diri. Tidak ada rugi jika kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak juga untung dan ada faedahnya meletakkan sesuatu  bukan pada tempatnya.

Allah sahaja yang maha mengetahui.





 



Sabtu, 1 Januari 2022

INI CERITA BENAR.....BENAR BELAKA : Anak Balik Esok Daftarlah Nama....

Selepas solat Isya , dan dalam perjalanan ke kereta untuk balik ke rumah, seorang  kawan mendatangi Ali untuk menanyakan sesuatu. 

"Anak anak balik mengundi ker"

Ali anggok.

"Suruh dia orang daftar nama"

"Dia orang dah daftar", jawab Ali segera.

"Bukan sebagai pengundi. Tapi duit minyak"

Duit minyak? Apa kah jadah duit minyak tu? Spontan soalan soalan itu berlegar dalam kepala tapi tak dizahirkan dengan kata kata walaupun Ali faham tujuannya. 

"Adalah sikit"

Ali berlalu dengan meninggalkan kata kata, "Saya tak macm tu. Anak saya pun tak macam tu". Kawan itu nampak macam tersipu sipu.

"Ini cerita benar. Benar belaka" tegas Ali.

"Oh patutlah boleh menang".

Khamis, 23 Disember 2021

ABAHKU BERSUJUD......

Sebaik sahaja selesai memberi salam solat 'Asyar,  Abahku terus bersujud. Tapi aku makmumnya tidak ikut sama. Berdoa sendiri sebelum ke bilik rehat keluarga. 


Lama juga sujudnya, tak kurang dari sepuluh minit. Ini kali pertama aku lihat Abahku sujud selepas salam, membuatkan aku ingin tahu apakah bisikan hatinya  kepada Allah. 


"Lama abah sujud?" Tanyaku sebaik sahaja Abahku duduk di sisi kananku.  

"Sujud syukur", jawab Abahku.

"Oh". Aku faham dan boleh teka apa bisikan Abahku pada Allah. 


Pagi tadi Abahku menerima berita yang amat menggembirakannya dan bagi kami sekeluarga. Dia telah dipilih untuk menerajui sebuah konglomerat  besar. Jadi orang besar, katakan , rezeki bertambah dan hidup sudah tentu bertambah mewah. 


Sudah tentu sujud Abahku adalah bisikan hati menyatakan kesyukuran atas pemilihannya mengetuai satu syarikat besar sebagai presiden yang mempunyai kuasa eksekutif. Rezki kurniaan Allah bertambah.


Rezki itu datang tepat pada masanya kerana beberapa bulan lepas  Abahku telah dipecat sebagai Timbalan Ketua Eksekutif  sebuah syarikat kerana perbedaan pandangan dengan ahli lembaga pengarah  yang lain termasuk Ketua Eksekutif syarikat dalam cara urustadbir syarikat . 


Abahku mendakwa bahawa terdapat salah guna kuasa dalam urustadbir syarikat oleh majoriti ahli lembaga pengarah yang diketuai oleh  Ketua Eksekutif. Abahku fedup. Itulah luahan hati Abahku ketika kami berkesempatan berbual cerita.


Sekarang wajah Abahku menampakkan seri. Senyum Abahku meleret sentiasa , menghilangkan lebam yang dulu terserlah dimuka. Aku bangga dengan Abahku . Mak dan anak anak dan cucu Abahku juga bersyukur dan terlalu gembira.  Maklumlah Abahku sudah dipilih jadi Presiden Eksekutif (Executive Chairman) sebuah konglomerat .


Kami berbual bicara. 


Abahku meminta aku memberi pandangan mengenai ahli ahli lembaga pengarah yang akan bersama dengannya dalam membuat keputusan untuk kebaikan syarikat....sudah tentu garis bawahnya ialah untuk membuat untung. Profail ahli lembaga pengarahnya disertakan bersama.


Tapi siapa aku untuk memberi pandangan tentang perjalanan syarikat kerana aku sendiri gagal dalam pelajaran , hanya diperingkat sijil lulus SPM. Sebelum sempat aku bersuara , Abahku minta aku menyelak helaian muka dua . 


"Ini bilik mesyuarat lembaga pengarah ker bah". Abahku mengangguk tanpa melihat wajahku. 


Hati aku berbisik mengapa banyak kerusi . Banyak ker ahli lembaga pengarah. Terdapat tiga lapis susunan kerusi  kiri dan kanan yang berjumlah lima puluh semuanya.


"Ok..ada komen?" Abahku bertanya ketika aku sedang mahu cari jawapan tentang bilangan lembaga ahli pengarah dan susun atur kerusi dan jumlahnya dalam bilik mesyuarat lembaga pengarah.


"Banyak kerusi bah. Ramai ker ahli lembaga pengarah?"


Abahku tidak segera menjawab macam soalan itu tidak penting baginya. 


Masa berjalan.


Selang setahun Abahku dinyah keluar dari jawatan Pengerusi Eksekutif atas alasan Abahku tidak perform. Seorang dari ahli lembaga pengarah yang lain diangkat sebagai Pengerusi Eksekutif menggantikan Abahku. Namun Abahku dikekalkan sebagai salah seorang dari  ahli lembaga pengarah.  


Hari ini aku menjadi makmum waktu solat 'Asyar yang Abahku menjadi imam. 


Sekali lagi aku lihat Abahku sujud begitu lama sebaik saja selesai memimpin doa selepas solat. Tidak seperti dulu , aku tidak pula bertanya tentang sujud yang dilakukan oleh Abahku itu sama ada sujud syukur atau sujud taubat. Allah sahaja yang mengetahui.

 

Rabu, 27 Januari 2021

"TOKPA TAK ALUU....."


Saya sedang melayari fb, bahan bacaan utama masa kini.

 

Komen komen dalam fb sangat memualkan. Tiada santun , tidak kira siapa, dibantai dan dimaki hamun. Kata dan susun kata tiada sempadan...lepas apa sahaja....carut mencarut sudah jadi biasa. 


Yang jelas si pengomen merasakan dialah yang betul suci bersih. Yang lain tak boleh pakai. Apatah lagi jika ada fakta dan kebenaran tentang sesuatu peristiwa. 


Hebuh tentang PM. Maka berbaris barislah sipengomen buat posting yang kesemuanya mengutuk sikap PM itu. Macam macam kata kata yang terhambur dalam tulisan......tak tahu malulah......letak jawatanlah.....tak ada harga dirilah...


Waduh bosannya saya.


Tiba tiba, "Tokpa tak alu", suara halus dari cucu yang berusia lima tahun, si Ayesyah. Dia menghampiri kesamping kiri.

"Tokpa tak aluu", sekali lagi diulang ayat itu.

"Pasal apa tak aluu?"

"Tokpa tak pakai baju" jawabnya tuntas.


Saya ambil baju yang ada disamping, terus sarung baju t itu. "Dah pakai dah" , saya berdiri berlagak bergaya depan Ayesyah Dia tersenyum. Puas hati nampak gayanya. Pagi pagi lagi dah kena sebijik. Padan muka saya yang melanggar adat penampilan diri.


"Syah mari kita main game. Tokpa ada ada satu game. Syah menang , ada hadiah. Nak hadiah apa?" Saya mahu melupakan kisah tak malu kerana tak pakai baju itu.


Dua orang abang Ayesyah tengah  tengok cerita kartun saluran 116. Sesekali memandang ke arah kami, macam ada minat nak bersama. 


Ayesyah menghampiri, "Syah nak  sekuter, macam abang tu. Nak main kat bawah, kat play ground".

"Ok, no problem. Tokpa promise".


Saya meminta Aesyah tutup kedua belah mata. Dia patuh. Saya menggenggam kedua belah tangan setelah memasuki wang siling sepuluh sen di genggaman kanan dan tiada apa apa di genggaman kiri. Siap sempurna genggaman, saya minta Ayesyah membuka mata.


"Cuba teka. Tangan mana ada barang?"

"Yang ni", Ayesyah memegang genggaman tangan kanan saya. Waduh, betul pula tekaannya, bisik hati saya. Tapi saya cuba mencari helah. 


"Cuba Syah tutup mata sekali lagi"

Dia patuh. 

Saya tidak berbuat apa apa. Isi genggaman tetap kekal. 

"Ok , boleh buka mata"

"Tangan tu", Ayesyah tunjukkan tangan yang sama.

Waduh waduh, betul lagi. Saya cari helah lagi.

"Apa barang tu?"

"Tokpa tak suruh teka apa barang". Naqib pelajar tahun empat sekolah rendah, abang sulung Ayesyah tiba tiba bersuara dari kawasan tuntunan tv yang berdekatan.


Naqib dan adiknya Fateh yang juga abang Ayesyah menuju ke arah kami.

"Tak adillah tokpa", Fateh bersuara. "Bukalah tangan tu", minta siNaqib.

Saya cuba cari helah. "Tokpa nak uji ..."

Belum sempat habis ayat, Naqib segera mencelah. 

"Be fair tokpa, mesti ikut rule. Dalam game ada rule".

"Betul tu", suara Fateh menyokong.

Saya membuka genggaman tangan. Ayesyah bukan main seronok, tekaannya berjaya. Naqib dan Fateh bukan main gembira.


"Ingat promise tokpa. Janji mesti tepati. Ustaz Aqib kata mungkir janji berdosa, tak masuk syurga".


"Ok no problem. Nantilah. Tokpa mandi dulu. Lepas  ni kita ke Alamanda, beli sekuter". 


Saya meninggalkan mereka untuk ke bilik air bersiap untuk ke Alamanda. Dalam bilik air terngiang ngiang akan kata kata si Naqib dan Fateh....ingat promise tokpa...be fair... janji mesti tepati....dalam game ada rule...ustaz kata mungkir janji berdosa, tak masuk syurga . 


Ya dalam game ada rule....saya mula faham fasal apa ramai netezen yang meluahkan kata kata yang melepasi sempadan sopan. Mereka telah bosan kerana tiada lagi kepatuhan terhadap  the rule of the political game.


"Oh no, there is no one rule in the political game" , bisik hati saya.


Mereka makhlok berciri:

Ada peluang bantai. 

Hari ini kawan  

Esok musuh ketat. 

Lusa jadi sahabat. 

Berdakap bukan sekali.

Bercakap tak pandai berhenti

Hanya untuk satu matlamat 

KUASA.


Saya terpaksa menunggu sehingga si Ayesah membesar dan masuk politik. Mungkin dia akan berkata, "Orang politik tak aluu". Saya tidak akan dapat mendengarnya.



Isnin, 31 Ogos 2020

Ini Sebuah Cerita Rekaan DiBumi Nyata: Kusangka Disini Ada Keindahan (IDEALIS KU SEMAKIN SLIM)

 


Aku seorang idealis. Mahu yang sempurna. Baik sebaik baiknya. Tiada cacat cela. Perfect. Selain dari itu ianya bukan Aku. 

Ini bukan mimpi. Aku tidak pernah percaya kepada mimpi. Itu mainan waktu tidur. Itu sahaja.

Kakiku sentiasa berpijak dibumi nyata. Fikiranku bukan melayang diawang awangan. Sekali Aku percaya akan sesuatu selama lamanya ianya menjadi pegangan Aku. TITIK!

Aku percaya bahawa berbuat baik itu adalah satu kemestian, satu kewajiban.Wajib bagi Aku untuk jadi orang yang baik. Ianya bukan harus atau sunat. Makruh dan haram jauh sekali. 

Niatku mesti baik. Kata kataku adalah pernyataan dari niatku yang baik. Aku lakukan yang baik baik sahaja. Apa ada hal?

Maka Aku tidak pernah diganggu dengan perasaan waswas, syak wasangka dan ragu ragu. Dan Aku percaya persekitaranku yang terdiri dari berbagai makhluk Allah  juga seperti Aku.

Aku mahu menghirup udara yang bersih nyaman, sekitaran yang indah mata memandang, tidak lain dari itu. 

Dengan yakin Aku mengorak langkah menuju ke satu arah. Disana ada bicara sesama manusia, makhluk ciptaan Allah yang sebaik baiknya.

Dibumi nyata yang Aku pijak ini, Aku ikuti bicara manusia. 

Aku ada telinga, ada mata dan ada rasa. 

Waduh....mengapa begitu jadinya. Betulkah yang Aku dengar ini. Maki sana dan maki sini. Hamun sana hamun sini. Cerca sana cerca sini.

Benarkah apa yang mataku  melihat. Harga diri didagangkan macam barter trade. "Nah ambil ini". Aku lihat manusia manusia itu tersenyum lebar , masing masing mahu bersegera berada dibarisan hadapan untuk suatu 'Nah'.

Waduh...meluatnya rasa hatiku. 

Aku sangka disini ada keindahan.....

......IDEALIS KONON! 









Sabtu, 30 Mei 2020

Apakah Itu Kerajaan Tebuk Atap. Dan Adakah Kerajaan PN Dalam Kategori Tebuk Atap?




Adakah PN Kerajaan Tebuk Atap?


Tinggalkan dulu bicara tajuk diatas. Ikuti dulu perkembangan politik terkini untuk kita lebih faham mengapa berlaku ketidaktentuan atau kecelaruan dalam politik negara ketika ini, termasuklah jenama kerajaan Tebuk Atap.


Adakah pernah terjadi dimana mana negara di dunia ini, dalam satu persidangan Parlimen  parti kerajaan ditempatkan  di kedudukan yang berlawanan. Satu ditempat kerajaan dan satu lagi di tempat pembangkang. Ini adalah satu kebiasaan baru, the new normal.


Dengan sebab new normal inilah Mahathir dan beberapa ahli parti BERSATU telah diberhentikan menjadi ahli parti. Ianya menyalahi peraturan parti, kata PM yang juga presiden memangku Pengerusi parti. 


Itu yang terbaru dan terkini yang melibatkan kedudukan Mahathir dan geng dalam partinya.


Tetapi huru hara politik ini atau yang lebih enak dipanggil sebagai dinamika politik ini telah lama berlaku semenjak UMNO BN tewas pada PRU 14 pada 9 Mei 2018.


Politik Malaysia sentiasa panas. PH yang menang, tidak senang duduk, diharuk oleh geng geng pembangkang UMNO BN dan PAS, yang tewas dalam PRU 14. Makin panas, macam api dicurahkan petrol, apabila geng geng Azmin dari PKR yang diberi jenama  Kartel dan Sikitol dan penyokong BERSATU yang berdegil mahukan Mahathir terus berkuasa tanpa melakukan serah kuasa kepada Anwar seperti yang telah dimaterikan dalam perjanjian bertulis.


Kartel bersama sebahagian ahli BERSATU, berhujah bahawa tiada tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian yang telah dimaterikan itu tentang serah kuasa. Hujah mereka benar dan ada kekuatan. Time is the essence dalam sebarang perjanjian.


Tetapi mereka lupa atau buat buat lupa, mungkin ada muslihat yang terpendam untuk direalisasikan, bahawa dalam menjalani kehidupan kita ada adab dan adat. Ada norma norma yang mengikatkan kita dalam apa sahaja perlakuan dan tindakan. Bukan sahaja undang undang bertulis.


Ingat, adat dan adab kita sewaktu berjanji sehingga orang Melayu menzahirkan satu pepatah, "Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji". Dimana saja kerbau itu diheret oleh tuannya, dia patuh dan turut. Itu binatang. Takkan akhlak manusia lebih rendah dari binatang.


Lebih dari sekali Mahathir membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia akan serah kuasa pada Anwar. Waktunya setelah setahun , berubah kepada dua tahun dan terus berubah kepada lepas persidangan Apex pada November, seterusnya ikut 'suka hati akulah'. Akhirnya dia letak jawatan sebab 'ikut suka hati akulah'. Tumbanglah PH. Melepaslah Anwar.


Terduduklah Mahathir dibangku pembangkang! Dan diberhentikan keahlian partinya.


Dia tidak berpuas hati. Mahu pecat Muhyddin dengan cara yang betul, katanya.


Sekarang mari kita bicara "Apakah Itu Kerajaan Tebuk Atap. Adakah Kerajaan PN  Termasuk Dalam Kategori Tebuk Atap?"


Sepintas lalu saya telah menyentuh watak politik dalam persekitaran politik yang bercelaru ini. Mereka adalah geng kartel/sikitol, Mahyuddin (PM dari BERSATU) dan Mahathir, dengan penyertaan penggerak tambahan dari UMNO BN dan PAS.


Apa yang telah mereka lakukan selain yang telah saya sentuh tentang Mahathir yang mungkir janji menyerahkuasa kepada Anwar, dan yang menyebabkan PH tumbang, tidak ada beza. Ada dua motif. Pertama menggagalkan Anwar jadi PM. Kedua menumbangkan PH.


Kita dapati dalam berbagai tindakan politik sama ada dari geng kartel , Muhyiddin dan Mahathir, dan ditambah dengan UMNO serta PAS, itulah matlamat mereka. Cuma Mahathir tidak serasi dengan Najib. Itu saja.


Geng geng GPS dari Sarawak dan beberapa parti dari Sabah peranannya adalah sebagai mangkuk tambah atau tumpang 'tui' sahaja, bagi mencukupkan angka untuk dapat paling kurang 112 ahli dewan rakyat bagi maksud menumbangkan PH.


Lihat sahaja langkah sheraton. Siapa yang terlibat. Mereka adalah dari orang dan parti yang sama.


Cuma apabila YDA mengambil tanggungjawab untuk menentukan siapa dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada budibicaranya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat, Mahathir tidak bersama dengan Muhyiddin , kartel, UMNO , PAS dan GPS, sebaliknya menjadi calun PH.,


Akhirnya apa yang berlaku telah berlaku. Muhyiddin  telah diistihar sebagai PM dan Mahathir tewas. Kesannya, sekali lagi PH tumbang. Kali pertama oleh perletakan jawatan Mahathir dan kali kedua tidak cukup angka.


Kenapa berlaku semuanya ini? Lebih tepat, kenapa PH, kerajaan pilihan rakyat tumbang?


Sebab adanya pengkhianatan. Ada orang kata, khususnya dalam PKR, ada musuh dalam selimut, Tapi saya lebih suka memberi jenama musuh didepan mata. Menentang Presiden sendiri secara terang terangan, tanpa berlapik pun, tidakkah layak dipanggil musuh didepan mata?


Waduh PH, waduh PKR , kenapa ada mata cuma pandang, dan telinga cuma dengar. Ada peraturan dan kuasa tidak dikuatkuasakan. Nasi sudah jadi bubur.


Ingat selepas ini, usah percaya pada pengkhianat lagi.  Tidak jadi kerajaan pun tidak apa, asalkan pengkhianat tidak bersama.


Sekarang mari kita bicara kerajaan tebuk atap.

Sebelum itu, seingat saya, jenama Tebuk Atap ini disuarakan oleh Presiden PAS sebagai reaksi kepada dakwaan penyokong PH bahawa Kerajaan PN adalah kerajaan yang dikiaskan sebagai Kerajaan Pintu Belakang.


Presiden PAS mengatakan yang kurang lebih bermaksud , pihak pembangkang (BERSATU + Geng Azmin , UMNO dan PAS) boleh sahaja memilih apa cara/jalan bagi menumbangkan PH.  Lalu beliau gunakan kiasan tebuk atap sebagai ganti pintu belakang.  Semenjak dari itu jenama tebuk atap ini sudah menjadi sewaktu dengan pintu belakang. Kedua duanya memberi makna yang sama.


Menggunakan pintu belakang bukan satu adat dan adab untuk mengunjung dan memasuki rumah orang. Jadi kiasan kerajaan pintu belakang  membawa maksud mengambil kuasa atau lebih tepat merampas kuasa melalui jalan yang diluar dari yang direstui oleh rakyat. Sebab itu amat mudah sesiapa pun untuk memahami apa itu kerajaan tebuk atap.


Dengan kata yang sopan dan merendah diri, PM mengakui bahawa PN adalah kerajaan tanpa restu rakyat.


Dulu, watak hero dipanggil ORANG MUDA. Tapi dalam bicara ini, watak yang dikenalpasti adalah watak pengkhianat . Jadi apakah panggilan watak yang sesuai yang kita boleh fikirkan dalam kerja kerja pengkhianatan ini? Fikirkanlah bersama.



Wahai pemuka pemuka politik, sentiasa ingat bahawa kerja pengkhianatan tidak ada barakah. Hari ini mengkhianat, esok lusa pihak lain melakukan perkara yang sama. Pengkhianatan menyuburkan dendan kesumat. Oleh itu usahlah mungkir janji atas alasan bahawa politik itu seni serba boleh atau ianya satu dinamika politik. Kesan pengkhianatan  atau mungkir janji menzahirkan pihak  yang akan melakukan tebuk atap.

Sekali lagi saya mahu mengingatkan PH, terutama PKR, usahlah jadi kerajaan jika didalamnya ada peegkhianat!













Rabu, 27 Mei 2020

Ditakdirkan Berlaku Musibbah: Siapakah Yang Perlu Diangkat Sebagai PM.




Alhamdulillah, jantung saya masih berdenyut lagi. Masih lagi debab debub. Saya terus berfikir , kemungkinan apa yang akan terjadi bersangkutan dengan politik negara. 

PM seorang pengidap sakit kanser sedang dalam kurantin. Covid , negatif...alhamdulillah. 

Politik? Banyak tanda tanda masalah. Diri pula terkurung . Pandangan mata tersekat , setakat empat dinding bilik kurungan. Telinga tiada terdengar bisikan, yang indah indah mahupun yang mengerikan. Tapi yang pasti kerajaan pimpinannya diberi berbagai jenama ....kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang.

Dia tidak mudah dapat menafikan kebenaran jenama yang diberikan keatas kerajaan pimpinannya. Tapi jenama itu terlalu keras dan menghinakan. Dia akur bahawa kerajaan pimpinannya adalah kerajaan tanpa restu rakyat. Bukankah itu jenama yang lebih sopan berbanding pintu belakang atau tebuk atap? 

Dia tidak suka, paling sakit hati dipanggil sebagai pengkhianat negara. Dia bukan pengkhianat. Dia adalah penyelamat negara. Cuma caranya berbeza dari normal lama , melalui pilihanraya. Caranya adalah normal baru, satu kebiasaan yang baru bagi menerajui kepimpinan negara.

Mungkin itulah yang ada dalam fikiran PM ketika berada dalam kurantin ini.

Saya teringat satu posting dalam fb. Sebuah pantun empat kerat:

Berdiri penat bersila pun penat
Lebih baik duduk berlunjur
M khianat, AA khianat, My pun khianat
AI juga yang jujur.

Siapa kah yang pengkhianat?

Seorang kawan memberi komen tentang pantun diatas. Sebenarnya tiada siapa pun yang jadi pengkhianat. Cuma katanya berbeza dalam cara mengurus tadbir negara. Normal baru, kot?

Apapun masing masing ada pandangan dalam menyikapi sesuatu finomina. Tak kisahlah.

Perkara yang menjadi kegusaran saya ialah apa akan terjadi jika ditakdirkan Allah musibah menimpa kepada negara. Bukan musibbah covid 19 kerana PM disahkan negatif covid. Tapi beliau adalah pengidap kanser, satu penyakit yang tidak kurang risikonya berbanding dengan serangan jantung dari segi menambahkan statistik bilangan kematian. Semoga di jauhi Allah.

Tapi andai kata kita terucap nanti kalimah musibah ..Innalillawainnailahirraji'un.....dari Allah kau datang kepadanya kau dikembalikan.... Bagaimana?

Siapa pengganti? 

Adakah Azmin Ali yang telah ditunjukkan oleh PM sebagai menggantikannya bagi mempengerusikan mesyuarat kabinet jika ketiadaan PM?

Atau Ismail Sabri, menteri yang berperanan aktif dalam hal hal covid? 

Atau siapa?

Bagimana dengan Mahathir, yang nampaknya bernafsu untuk menjadi PM. Atau dari kepimpinan UMNO seperti Najib, dan Zahid walaupun sedang menghadapi perbicaraan dalam berbagai tuduhan. Tentang dakwaan yang dihadapi itu bukan satu perkara yang sulit untuk diketepikan dari segi kaedah politik. Adakah salah seorang dari mereka berdua?

Bagaimana dengan presiden PAS  yang ketika ini seorang duta bertaraf menteri? Tidak mungkin tidak mempunyai keinginan untuk diupgrade sebagai PM? Mustahil dari segi pertimbangan politik!

Siapa lagi? Dari sebelah timur, menyeberangi laut China selatan , takkan tiada keinginan untuk jadi PM, mencipta sejarah sebagai PM pertama Malaysia dari wilayah itu.

Siapa lagi? Siapa lagi yang layak jadi PM? 

Adakah tiada seorang pun dari mereka itu yang layak. Tiada kemampuan dari segi fizkal dan keupayaan daya fikir  untuk diangkat sebagai PM. Atau mereka juga termasuk dalam senarai pengkhianat negara?

Saya pening kepala memikirkan siapa kah bakal PM  negara jika musibah benar benar ditakdirkan begitu. Debab debub debab debub , denyutan jantung bertambah laju.

Apa pilihan yang kita ada. Senarai diatas nampaknya ada masalah dari segi penilaian dihati saya. Tidak berkenan dan tidak ngam. 

Bagaimana dengan AI seperti dalam rangkap pantun diatas? 

AI atau Anwar Ibrahim, seperti insan yang lain, tidak sunyi dari sifat insan yang  lemah. 

Didakwa dan dihukum atas kesalahan, yang menurut penilaian saya ada keraguan, dihina dan dicerca sebagai gila kuasa sedangkan ada pihak yang telah berpuluh tahun berkuasa tapi mahu lagi berkuasa tiada pula dicapnya gila kuasa, dizalimi dan dimungkiri janji tapi masih lagi sanggup bersama demi negara dan bukan kepentingan diri.

Bukankah itu sifat seorang penyabar. Ikhlas dalam perjuangan. Berjiwa besar demi negara. Seorang yang sentiasa mengucapkan demi keadilan , membantah kezaliman dan penindasan , membenci segala kebeborakan dan salah guna kuasa.  Tidak cuma melalui ucapan dan kata kata tapi AI telah membuktikan dengan  amalan dan tindakan. Harga yang telah beliau bayar ialah disumbatkan dalam penjara, bermula dari zaman remaja.

Ya, ditakdirkan berlaku musibah, AI lah yang rasanya layak diangkat untuk jadi PM Malaysia. 

Beliau mempunyai sokongan. Tapi angka sokongan yang ada ketika ini dikatakan tidak cukup dalam ukuran demokrasi. Tapi mengapa disia siakan aset negara yang berharga ini. Sokonglah beliau.















Selasa, 26 Mei 2020

DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB : Nasib Baik Jantung Saya Masih Berdebab Debub.




Saya selalu terfikir dan berangan angan untuk menulis sebuah cerita, sebuah novel konon, tentang pengkhianatan dalam sebuah persahabatan. 

Bagi saya cerita tentang pengkhianatan dalam persahabatan ini bukan perkara baru, sudah sedia ada pengalaman. Tapi pengkhianatan yang saya nak tulis, atau berangan angan untuk tulis ini adalah amat luar bisa sekali. Ianya satu norma baru dalam pengkhianatan. Kesan pengkhianatan itu amat meluas sekali. Deritanya, merananya , sakit hatinya alang kepalang sekali. Bukan satu, tidak juga dua, seribu pun terlalu kecil bilangan penderitanya, yang jadi mangsa.

Tapi saya ada satu isu yang menjadi penghalang sekian lama yang masih belum mampu diatasi. Dari mana titik mulanya ceritanya. Apakah perkataan pertama yang mampu menggerakkan perkataan lain untuk membentuk ayat ayat bagi menerus dan menamatkan cerita. Tentang isi cerita, plot dan cara cerita, rasanya bukan satu isu besar.  

Cukup. Sekadar itu. Buat sementara waktu berhentikan angan angan menjadi penulis sebuah novel, konon! Bicaralah soal dibawah ini.

Saya mendapat maklumat yang mendebarkan hati. Macam mana ni. Boleh percaya? Mungkin itu fake news. Satu yang biasa dari dulu. Kini serupa juga, berita palsu mendahului berita benar dan sahih, dialam maya.

Tapi kalau ianya berita sahih dan benar? 

PM dikurantin. Covid punya fasal. Tapi masih negatif. Alhamdulillah.

Tapi. PM pengidap penyakit kanser. Adakah termasuk dalam istilah penyakit kronik seperti kencing manis , sakit jantung, darah tinggi dan sakit buah pinggang? Rasanya begitu, saya mengesahkan sendiri.

Debaran jantung semakin kuat. Apa akan jadi? 

Tapi setakat ini PM hanya dikurantinkan sahaja. Kesihatan beliau dari sudut serangan covid masih positif. Dia  masih negatif covid. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Dalam tempoh kurantin selama 14 hari, beliau masih lagi PM , meneraju kepimpinan negara. Dalam zaman digital dan komunikasi dihujung jari, ruang kurantin bukan hal yang boleh menyekat penyampaian dan penerimaan segala maklumat , tiada isu tentang timbal balik, inisiatif dan reaksi. Boleh sahaja mengarah dan membuat keputusan. Beres.

Tapi. Ada lagi tapi. Pergerakan fizikal PM jadi terbatas dalam ruang kurantin. Langkahnya terhad setakat seluas ruang kurantin itu. Itupun hujung jari kakinya tidak mampu memijaki setiap tepi dinding ruang kurantin. 

Ya, PM tidak mampu bergerak lebih dari itu. Bukan kerana tiada tenaga disebabkan hidapan kanser tapi itu sahaja ruang yang telah ditentukan Allah baginya semasa dalam tempoh kurantin. Apatah lagi untuk membuat langkahan seperti yang telah dilakukan bergerak menuju hotel Sheraton, tidak beberapa lama dulu. Ingatannya masih segar tentang langkah yang meletakkan dia sebagai PM.

Aduh, debaran jantung saya datang semula. Debab debub debab debub kencangnya mengatasi kebiasaan. Satu norma baru dalam persekitaran politik kerajaan berbagai jenama. 

Kerajaan yang diwujudkan dengan berbagai jalan, kata pihak disebelah sana. Ada yang kata guna jalan pintu belakang. Ada yang tidak jumpa pintu lalu usaha memanjat dilakukan untuk masuk cara tebuk atap. Waduh, lagi satu norma baru.

Wah, apa lagi pihak yang disebelah sana dengan pantas seperti kilat menjenamakan kerajaan berbagai jalan ini sebagai KERAJAAN PENGKHIANAT MANDAT RAKYAT. 

Apa pun cara dan jenama yang diberikan, PM dengan rendah diri telah melakukan sujud syukur. Syukur ke hadrat Allah. Tapi saya tidak pasti apa doa yang telah dilafazkan oleh PM. Itu antara PM dengan Allah. 

Yang saya pasti melalui mata dan telinga sendiri, PM, dengan merendah diri dalam penampilan wajah yang tidaklah seceria seperti seorang yang baru dinaikkan tahkta sebagai perdana menteri, melafazkan kepada sekalian rakyat bahawa kerajaan pimpinannya adalah KERAJAAN TANPA RESTU RAKYAT.

Itulah yang sangat sangat saya bimbang dan risau ketika ini. Bukan kerana PM dikurantin sebagai sebahagian dari usaha memutuskan rangkaian covid. Rangkain covid adalah negatif  terhadap PM. Itu adalah sahih.

Bagaimana untuk mempertahankan sebuah kerajaan tanpa restu rakyat jika PM dalam keadaan kurantin, apatah lagi selama 14 hari. Sekerat hari pun, ianya satu peluang keemasan bagi pemain pemain politik meraih keuntungan, ianya satu laba. Dan bala kepada PM.

Pergerakan fizikal PM terbatas. Mata nya tidak nun jauh memandang. Telinganya kosong tanpa bisikan, syaitan mahupun insan.  Tiada simpton politik negatif atau positif yang dapat dinilaikan. Apa gula gula politik yang perlu difikirkan yang mampu mencair dan melembutkan hati untuk ditawarkan agar kerajaan tanpa restu rakyat ini perlu disepakatkan.

TIADA. KOSONG. ZERO.

PM tiada pilihan melainkan berada dalam kurantin.

Debab debub debab debub debab debub debab debub, denyutan jantung saya semakin kencang , menyambut  dan menyambung denyutan jantung PM yang berada dalam kurantin.




Isnin, 25 Mei 2020

Quiz Raya Covid19 (QCR)




Selamat Hari Raya Kepada Semua Anak anak dan Cucu cucu  Yang Berjauhan.

Sebagai Ketua Keluarga Besar saya ingin menyatakan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kami beraya dalam musim covid19 ini  dengan penuh kepatuhan akan perintah menjarakkan pergaulan (social distancing). Maka berjauhanlah kami pada raya tahun ini, masing masing beraya dirumah. Tiada salam dan peluk cium. Berhubung sahaja melalui panggilan video . Walaupun ianya tidak sesempurna seperti dulu dalam memesrakan hubungan tetapi ianya satu pilihan terbaik untuk melawan virus covid19 dari menambahkan bilangan mangsa serangan.

Satu kebiasaan baru (new normal) telah  saya mulakan iaitu quiz dalam talian melalui sistem/saluran wasap. Sepuluh soalan telah disedia dan dihantar kepada setiap keluarga, bagi yang telah berkeluarga, dan yang masih tunggal, untuk dijawab ( ada 4 keluarga dengan jumlah 8 orang cucu dan satu  tunggal).

Saya namakan quiz ini sebagai Quiz Raya Covid19 (QRC). Falsafah quiz ini adalah  untuk mengikat dan mengeratkan kasih sayang walaupun dalam kejauhan. Secara  fizikal kami jauh berpisah tapi diolah sebagai berdekatan. Yang diutamakan ialah penyertaan . Tiada jawapan yang boleh diistiharkan sebagai salah kerana masing masing melihat dari sudut pandangan sendiri, world view sendiri, tafsiran menurut nilai sendiri.

Bagaimanapun ada motivating factor dikesampingkan iaitu ada habuan yang menunggu kepada keluarga yang dipilih secara mesyuarah yang wajar dinobatkan sebagai pemenang. Tugas saya hanya sebagai ketua Keluarga Besar  bagi menghidupkan suasana kemesraan dan kegembiraan sesama ahli keluarga. Dan sudah tentu menyediakan habuan bagi yang dipilih secara mesyuarah yang wajar dinobat sebagai pemenang QRC.

Berikut adalah  jawapan kepada soalan. Banding dan nilai jawapan untuk dimesyuarahkan dan diputuskan sebagai jawapan yang  boleh diistiharkan sebagai pemenang QRC.  

Soalan dan Jawapan: (Dalam tulisan/font italic ialah jawapan)

1. Dekat berpandangan jauh KERINDUAN

2. Mak cik Kiah berniaga goreng pisang dlm musim covid. Dia tanya anaknya pasal apa berniaga rugi?  Anaknya jawab sebab tak ada orang yg beli

3. Apa itu new normal... beri satu contoh. New normal mempunyai berbagai tafsiran mengikut kepentingan pengucap. Jika pengucap itu berkecenderungan politik atau kepentingan politik ianya satu kebiasaan yang kononnya bersifat positif , ianya satu mainan politik. Contoh dari perspektif ini ialah PN SEBUAH KERAJAAN PERIHATIN RAKYAT. Sebab itu ada bantuan yg dipanggil bantuan prihatin rakyat. Ada juga melihat sebagai tidak ada beza antara new normal dan old normal terutama jika dikaitkan dengan politik dan kuasa. Jadi jahat boleh, baik pun boleh. Pakai mask pun boleh tak pakaipun boleh . Patuh PKP boleh Tak patuhpun tak ada hal.

4. Ulas keadaan seperti ini: harimau, ayam, ular dan musang duduk serumah. Biar betul, nak cari maut.

5. Adakah new atau old normal dlm persekitaran politik. Beri sebab pd jwpn. Tidak ada. Zero. Politik hanya memerlukan kuasa untuk menegakkan dan mengaturkan apa sahaja kaedah  dan cara yang boleh meraih dan mengekalkan kuasa. Satu saat ini kawan dua saat nanti boleh jadi lawan.

6. Apakah itu political maneuvering dlm hal normality. Ianya adalah mainan politik untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa. tiada yg tidak baik pd wajah parti politik itu sendiri. suci secucinya.

7. Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong kitakan rugi. Jawapan seperti ini tidak mempunyai rasa  buruk sangka  cuma mengingatkan bahawa yang bercakap bohong tidak memberi apa apa menfaat. Ada juga yg mengatakan ....lama lama jadi pencuri. Tapi ini bersangka buruk. Tidak membina sifat positif yg ingat mengingatkan.

8. Kepada pemain saham...apa asas jual dan beli saham. Jual waktu harga tinggi, dan beli waktu harga rendah. Pemain saham matlamatnya nak buat untung.

9. Apakah yg negatif adalah juga positif. Hahahahaha...bila kita diistiharkan sebagai negatif convid19 maka kita adalah positif , sehat tanpa convid.

10. Pagi raya buat apa? Macam macam boleh buat. Yang afdalnya setelah bersih diri, berpakaian cantik , berwangi wangian yang muda/isteri/anak/cucu yg tinggal serumah pohon keampunan kepada ketua keluarga.

Ok. Kepada anak anak semua, bermesyuarahlah untuk memilih yang menang. Bagi papa semua menang kerana mengambil bahagian dalam QRC ini.








Rabu, 20 Mei 2020

Nak Jadi King Maker Ikut Contoh Pendakwah Ebit Liew Yang Berakal Panjang .





Saya mahu bicara subjek yang serious secara santai. Sudah tentu ianya subjek yang membentuk sikap, pandangan serta reaksi kita dalam berhadapan dan menjalani kehidupan harian kita, iaitu POLITIK.

Sesiapa saja kata jangan bermain politik atau saya tidak minat berpolitik maka orang itu sama ada tidak tahu apa itu politik atau sengaja buat buat tidak tahu.

Anda membeli seekor ayam atau apa saja adalah kesan dari keputusan politik. Kalau harga ayam itu pada pendapat anda mahal diluar dari kemampuan anda, sudah tentu ianya menyusahkan dan anda marah. Anda marah pada siapa?

Anda marah pada penjual, sudah tentu. Anda juga mungkin marah kerajaan kerana tidak kawal harga, menyebabkan harga ayam mahal, sudah tentu.

Cukup setakat itu. Yang lain anda fikir sendirilah. Bukan harga ayam atau barangan yang saya mahu bicarakan.

Mari kita bersantai cerita fasal 'King Maker'. King maker ini adalah kata kata yang penggunaannya secara bermusim. Musim piliharaya, dan ketika mana isu isu politik menjadi perbincangan hangat seperti dalam sesuatu PRU dan pembentukan sesebuah kerajaan secara kerjasama antara parti politik.

Rengkas cerita, ketika ini ada pihak begitu berbangga dengan mendakwa partinya adalah menjadi king maker dalam politik Malaysia kerana telah berjaya menjadi kerajaan persekutuan dan menguasai tiga buah kerajaan kerajaan negeri. Lalu dipujinya presiden partinya  yang dikatakan berpandang jauh melalui hantaran twitter, kalau tak silap saya.

Sudah tentu saya tersenyum. Tapi tidak lebar sebagai reaksi sepontan.

Asas yang digunakan ialah dengan bilangan ahli parlimen yang tidak ramai, iaitu 18 orang, telah berjaya mendapat 3 jawatan menteri dan beberapa jawatan timbalan menteri (lupa pula bilangannya) dan jawatan jawatan diagensi dan GLC sebagai pengerusi.

Ertinya partinya amat hebat. Tanpa penyertaan partinya kerajaan tidak akan dapat dibentuk, dinegeri atau di persekutuan. Maknanya parti yang menang kecil menjadi penentu bagi pembentukan kerajaan dan diperuntukkan jawatan menteri.

Oh, kalau begitu formulanya maka parti yang layak untuk dinobatkan sebagai king maker ialah MCA yang ada dua sahaja ahli Parlimen tetapi telah diberikan satu jawatan menteri dan beberapa jawatan timbalan menteri dan mengetuai kedudukan di agensi dan GLC.

18 ahli parlimen dapat 3 menteri. Berbanding dengan 2 ahli parlimen dan 1 menteri. Kiralah sendiri . Parti mana yang lebih hebat.

Untuk dapat title king maker bukan itu formulanya. Formula itu ada cacat yang nyata. Nak tahu?

Itu formula ria'. Jangan jadi ria'. Sepatutnya menyatakan kesyukuran, merendah diri diatas kejayaan membantu membentuk kerajaan persekutuan dan mengetuai 3 kerajaan negeri. Bukankah itu imej yang wajar ditampilkan sebagai parti yang mendakwa membawa imej Islam?

Mengapa pilih jalan cacat untuk jadi king maker sedangkan jalan yang diredhai Allah luas terbuka, apatah lagi sebuah parti politik yang menjadi kerajaan persekutuan dan menguasai 3 buah negeri.......berkhidmat dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sesuai dengan tanggungjawab memikul amanah yang diberikan oleh rakyat.

Masih lagi rakyat yang hidup susah. Tiada kerja atau ada kerja tetapi pendapatan kecil dengan mempunyai tanggungan yang besar. Tinggal dalam rumah yang daif dengan persekitaran yang tidak sihat. Tidak mempunyai bekalan air yang bersih untuk minum dan membersih diri dan berbagai kerja cucian.

Tumpukan kepada memberi dan menyampaikan perkhidmatan untuk memberi keselesaan rakyat. Bukan berbangga mempunyai bilangan menteri yang ramai sedangkan tugas sebenar  untuk keselesaan rakyat terabai.

Lakukan apa yang telah ditunjukkan pendakwah Ebit Liew yang memberi berbagai bantuan seperti bekalan makanan , wang ringgit dan bantuan membina rumah serta membayar sewa rumah. Ingat dia hanya seorang pendakwa yang tidak ada banyak kuasa dan berbagai kemudahan berbanding dengan sebuah kerajaan yang terlali banyak kuasa. Gunakanlah kuasa untuk memberi kselesaan hidup kepada rakyat yang memerlukan.

Haa' barulah layak dinobatkan sebagai king maker! 


















Rabu, 13 Mei 2020

Cash Is King? Dimana Kedudukan Rakyat?




Benarkah 'cash is king' dalam percaturan politik untuk berkuasa dan kekal berkuasa.

Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku ketika ini, tidak mudah untuk dinafikan peranan cash itu. Ianya bukti yang jelas. Ya, ramai yang mengutuk. Tapi tidak mudah untuk tidak cair semangat apabila cash dihulurkan.

Wang itu adalah segala galanya. Jatuh bangun sebuah kerajaan boleh diusahakan dengan mengamalkan falsafah cash is king. 

Cash adalah segala galanya. Wang umpama umpan dimata kail. Ulur sahaja ke dalam lubuk ikan, sudah tentu segera dilahap oleh ikan apatah lagi dari ikan ikan yang sedang kelaparan. Terjeratlah ikan itu dimata kail.

Kejatuhan kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri PH adalah atas kuasa cash is king, bukan atas kuasa yang ditentukan rakyat. 

Setelah rakyat memberi amanah/mandat kepada PH melalui PRU 14,  rakyat hanya boleh berangan angan dengan janji dalam manifesto PH kerana manifesto itu boleh sahaja dikalahkan oleh kuasa money is king.

Money is king itu bermula dari hasrat untuk mendapat dan mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun, dan istiqamah dengan nya. Kuasa politik untuk mengurus tadbir negara, menguasai urusan kekayaan negara.

Tidak ada salahnya mempunyai hasrat untuk mendapat kuasa bagi mengurus tadbir negara. Proses untuk tujuan itu telah sedia ada melalui pilihanraya.Tidak ada masalah. 

Hanya ianya menjadi masalah apabila berlaku beberapa keadaan yang bernafsukan tamak kuasa.

Pertama, untuk terus berkuasa. Cash akan sentiasa menjadi umpan kepada pelahap pelahap cash untuk terus memberi sokongan. Bukan setakat umpan, cash itu boleh digunakan sebagai ugutan. Biasa dengar, "You scratch my back I will scratch  your back in return".

Kedua, pihak yang kalah tidak redha menerima keputusan rakyat, mungkin disebabkan tidak menyangka boleh kalah dalam pilihanraya setelah begitu lama menjadi pemerintah.

Ketiga, musuh dalam selimut yang bercita cita tinggi yang merasakan mempunyai pengikut dan sokongan dan lebih layak untuk menjadi pemimpin. 

Keempat, kesempatan dan peluang yang diwujudkan oleh pihak lain dalam percaturan kuasa dan kepimpinan.

Empat keadaan diatas sama ada secara bersendirian atau bergabung mampu mencetus dan mencambahkan hasrat untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa politik, dan seterusnya menguasai tampok pemerintahan negara. Dan cash adalah senjata yang  terbaik untuk berbuat demikian...."hulurkan sahaja, tunduklah dia, cairlah semangat melawan dia".

Mari sama sama lihat kejatuhan PH diperingkat persekutuan dan diperingkat negeri. Apakah cash itu satu 'political equation' bagi mendapat dan mengekal kuasa?

Diperingkat Persekutuan, yang menjadi penyebab kejatuhan PH ialah pemimpin yang tamak berkuasa, pemimpin yang berwatak musuh dalam selimut dan pemimpin yang ambil peluang dan kesempatan dalam percaturan memiliki kuasa.

Dimana peranan cash is king?

Secara sepintas lalu, tidak mudah kelihatan kerana ianya dilindungkan disebalik mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Ada yang kata untuk selamatkan NEGARA.......konon! 

Cuba tanya dan fikir sendiri, setelah berpuluh tahun berkuasa, bersara dan diberi kuasa semula kemudian tidak mahu serah kuasa seperti yang dijanjikan, tidakkah unsur cash itu sedikit sebanyak menjadi daya tarik untuk kekal berkuasa? Haa cash itu masih menguasai fikiran!

Lihat sahaja PN ( kerajaan yang menerima banyak gelaran: Pintu Belakang, Tebuk Atap, Pengkhianat, PM kata kerajaan tanpa restu rakyat,  saya  kata kerajaan Tumpang Tui), operasi cash is king itu amat ketara sekali, tiada selindung selindung lagi. 

Ada berapa menteri dan timbalan menteri berbanding dengan PH dan UMNO BN dulu?

Mengapa perlu terlalu banyak menteri dan timbalan menteri? Mengapa perlu duta bertaraf menteri? Apakah carrier diplomat tidak menjalankan tugas dengan baik sehingga memerlukan duta lantikan politik bertaraf menteri. Wakil rakyat mengetuai agensi kerajaan dan pengerusi GLC, layakkah semua mereka itu?

Waduh menimbun sekali. Dan tidak banyak yang berfungsi. Belanja besar sekali sedangkan keperluan rakyat yang mendesak bukan satu keutamaan.

Semua ini adalah disebabkan cash boleh membeli taat setia. Cash berfungsi sebagai 'you scratch my back I scratch your back , in return' , atau tagging #kautolongakuakutolongkau.

Dimana equation rakyat dalam mata hati kerajaan PN? Ya, makcik Kiah dapat janji janji palsu.

Operasi cash is king terus bermaharaja lela ketika ini, dilakukan tanpa segan silu demi membeli taat setia untuk kekal berkuasa. Terus kekal sebagai cara hidup dalam percaturan politik negara. Sebab itulah satu demi satu kerajaan negeri PH tumbang.

Namun begitu rakyat sahaja yang mampu menewaskan cash is king ini seperti mana yang telah dilakukan keatas pimpinan UMNO/BN dalam PRU 14 lalu. Rakyat adalah RAJA. Jangan pilih kerajaan cash is king ini. Taubat nasohalah wahai sekalian rakyat.