Theflowersellingboy

Khamis, 30 Mac 2017

RUU 355: Macam Cerita Lebai Malang




RUU 355 akhirnya jadi macam cerita lebai malang. Lebai yang mudik ke hulu dan mudik ke hilir untuk hadir majlis kenduri berakhir dengan kelaparan. 

Sampai dihulu, majlis kenduri sudah habis. Maka mudiklah ke hilir dengan harapan dapat menjamah sepinggan nasi berlauk kambing. 

Pun kecewa kerana sampai saja dihilir, tetamu jemputan berduyun-duyun balik meninggalkan majlis. Kempunanlah si lebai itu. Malang sungguh nasib si lebai.

Serupa juga dengan RUU 355. RUU 355 ini bolehlah diibaratkan sebagai majlis kenduri di hulu dan di hilir yang menjadikan silebai kempunan. 

Bila PM Najib aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN memutuskan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 seperti yang telah dijanjikan,  kerana tidak mendapat pendirian  konsensus dari kawan-kawan dari parti gabungan BN yang lain, sudah tentu ianya tidak memberikan satu harapan yang cerah kepada masa depan RUU 355.

Keputusan PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN ini sudah tentu tidak menggembirakan PAS kerana RUU 355 adalah amat penting kepada politik PAS. 

Adakah PAS kempunan?

Reaksi yang diketahui sekarang ini, PAS belum lagi berada di tahap kempunan. Masih 'beristiqamah', satu perkataan yang selalu digunakan bagi memujuk rasa kesal, kecewa, marah diatas kegagalan dalam sesuatu sasaran yang hendak dicapai. Dan dikuatkan dengan kata-kata redha atas ketentuan Allah.

Ada berita  melaporkan bahawa PAS akan mengambil tanggugjawab untuk membentang sendiri usul RUU 355 itu kerana usul itu sebenarnya adalah usul yang diinisiatif oleh PAS. Ianya tidak menjadi masalah jika kerajaan tidak mahu membentangnya.

Ada pula berita menyatakan bahawa terdapat dikalangan pimpinan PAS yang amat memahami akan kedudukan PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi  BN yang menerima tekanan dari parti-parti lain gabungan BN untuk tidak bersetuju membentangkan RUU itu. Seolah-olah mengatakan, PAS sedia memaafkan atas mungkir janji itu.

Nampaknya ada pimpinan PAS ketika ini yang sanggup berlunak dengan PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN yang melakukan mungkir janji. Berbeza dengan sikap pada masa-masa yang berlalu. 

Dan ianya juga terlalu jauh bezanya jika yang mungkir janji itu datangnya dari pimpinan PKR, Amanah sementelah lagi DAP. Maka dikutuknya dengan berbagai jenama kutukan.

Apapun saya percaya dengan sikap beristiqamah dan redha, PAS akan mengambil tanggungjawab untuk membentangkan sendiri RUU 355 ini, sebagai RUU persendirian.

Saya percaya PAS mampu melakukannya. 

Tapi persoalan yang relevan yang perlu ditanya ialah adakah PAS terus diberi ruang untuk membentangkannya pada sessi parlimen yang bersidang ketika ini?

Saya tidak pasti kerana tiada siapa yang mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan walaupun sesaat cuma lagi. Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.

Namun begitu bukankah Allah mengatakan agar kita mesti sentiasa berfikir, menggunakan otak yang dikurniakan Allah.  

Berbagai peristiwa dan petanda yang telah kita saksi, lalui dan alami sudah tentu boleh digunakan sebagai sandaran bagi meramalkan masa depan sebagai langkah persediaan untuk kita bergerak dan bertindak.

Dalam hubungi RUU ini, PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN telah dengan jelas menyerahkan nasib RUU ini kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menguruskannya. Ertinya terpulanglah kepada cara mana Speaker mahu melakukannya.

Pengalaman yang lepas telah dengan jelas menunjukkan bahawa RUU ini tidak diberikan keutamaan berdasarkan angka giliran yang diberikan dalam aturan mesyuarat. Hal-hal berkaitan urusan kerajaan mendahului hal persendirian seperti RUU 355. Ini bukan satu bentuk salah guna kuasa speaker. Ini adalah peraturan yang sedia ada.

Perjalanan RUU ini bagi saya amat menyedihkan walaupun belum ke tahap trajis. 

Pertama ianya mendapat berbagai reaksi sama ada dalam bentuk tentangan, sokongan mahupun dalam bentuk mahu melihat RUU ini tidak akan  menjadi satu undang-undang yang boleh membawa imej yang kurang baik kepada Islam.

Kedua, semacam ada usaha dari pihak kerajaan untuk melengah-lengahkan pembentangan RUU ini kerana telah melalui beberapa sessi persidangan parlimen dengan cara meletakkan angka giliran yang tidak mungkin sempat dibincangkan dalam sesuatu persidangan parlimen.

Ketiga, dua kali dibentangkan oleh wakil Marang ( Presiden PAS) tapi tidak pernah dibahaskan. Ianya tidak memberi apa-apa makna jika tidak dibahaskan.

Keempat, ianya diberi satu harapan yang memuncak apabila kerajaan bersetuju untuk membentangkannya. Tapi yang hendak dibentangkan itu adalah setelah dibuat beberapa pindaan terhadap RUU yang asal. Bagaimanapun PAS tidak menunjukkan reaksi tidak bersetuju dengan pindaan itu.

Kelima, keputusan PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN menarik balik persetujuan  kerajaan untuk membentang RUU itu kerana tidak mendapat persetujuan konsensus dari parti-parti komponen BN yang lain. 

Perkara kelima adalah MUNGKIR JANJI!

Bagi saya PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN dari awal tidak mempunyai hasrat yang murni bagi menyokong RUU 355 terutama sekali apabila PAS mengwar warkan RUU 355 itu adalah berkaitan dengan hukum Hudud.

Bukankah PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN dengan jelas menyatakan bahawa Hudud tidak sesuai di negara ini. Cuma apabila PAS mengatakan RUU 355 bukan hukum Hudud maka berlaku sedikit perubahan sikap kerajaan (UMNO) dengan mengambil pendirian menyokong RUU 355.

Saya berat mempercayai bahawa RUU 355 yang dibawa oleh Marang ini tidak akan menjadi undang-undang kerajaan. Ianya hanya boleh diingati sebagai satu rang undang-undang persendirian yang hanya mampu dibacakan saja dalam persidangan parlimen sebanyak dua kali tanpa perbahasan, Tidak lebih dari itu.

Alasan saya ialah siapa itu PAS dimata PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN berbanding dengan ahli-ahli komponen BN. 

Cuba tanya soalan begini: 

i) Mampukah UMNO menubuhkan kerajaan tanpa penyertaan parti-parti yang ada dalam BN? 

Saya jawab , sekali kali tidak mampu.

ii) Mampukah UMNO menubuhkan kerajaan bersama PAS tanpa kerjasama dari parti-parti komponen dalam BN?

Sekali lagi saya jawab tidak mampu.

Jadi jelas bahawa pilihan terbaik PM aka Presiden UMNO aka Pengerusi BN adalah wajib meninggalkan PAS dan kekal bersama dengan komponen yang ada, jika mahu kekal berkuasa. Untuk bersama dengan komponen, persetujuan secara konsensus adalah satu peraturan atau hukum  yang telah ditetapkan oleh BN yang mesti dipatuhi.

Dengan demikan, apa alasan yang boleh digunakan bahawa UMNO akan menyokong RUU 355. Sudah tentu ianya kenyataan sokongan yang kosong yang penuh muslihat berselindung di sebalik kata-kata bahawa terpulanglah kepada kuasa Speaker dewan rakyat untuk menentukannya.

RUU 355 ini telah memberi kemenangan kepada UMNO, secara tidak langsung kepada BN untuk mengekalkan kuasa. UMNO berjaya memecah belahkan PR dan pakatan pembangkang. UMNO juga telah berjaya menggagalkan hasrat PAS untuk memperkenalkan Hudud melalui pemerkasaan peruntukan RUU 355. 

Akhirnya PAS akan jadi kempunan seperti lebai malang yang kempunan untuk menjamah makanan di dua majlis kenduri.

Dan PAS juga telah berjaya di asingkan dari parti pembangkang dalam bentuk kerjasama politik misalnya dengan PKR. Natijahnya pembangkang menjadi lemah. Pembangkang akan kalah pada PRU 14.

Dengan UMNO pun PAS rugi dengan PKR pun telah menimbulkan rasa curiga. Macamlah lebai malang. Kenduri dihulupun tak dapat makan, kenduri dihilirpun sama juga.

Rabu, 29 Mac 2017

Ikan Sardin Untuk Makanan Kucing

Ikan Sardin. Di setengah tempat dipanggil ikan selayang? Ikan ini sekarang sudah dijadikan makanan kucing.


Pada pagi ini 29 Mac 2017, di sebuah pasar raya kelihatan dua orang wanita dalam usia emas sedang memilih dengan tekun ikan sardin. Terdengar percakapan mereka tentang ikan itu:

Wanita A: Ikan ni sedap dimakan kalau digoreng. Cecah pula dengan sambal cili padi asam limau, berdesut sedapnya.

Wanita B: Saya tak goreng. Saya rebus banyak-banyak.

Wanita A: Dulu masa muda-muda saya rebus juga, masak singgang. Sedap. Tapi dah tua ni tekak lain pulak. Rasa hanyi kalau makan secara rebusan. Sebab itu saya goreng sahaja. Cecah dengan sambal cili api campur asam limau hilanglah rasa hanyi.

Wanita B: Saya tak tahu apa rasanya. Hanyi ke, tak hanyi ke. Sebab saya tak pernah makan.

Wanita A: Eh pasal apa awak beli banyak- banyak. Nak buat keropok untuk dijual ke?

Wanita B : Tak lah. Saya suka keropok. Keropok Losong Terengganu yang saya paling suka. Tapi ikan ni bukan nak buat keropok.

Wanita A: Ikan ni memang sedap. Sebab itu orang suka buat keropok. Mungkin awak pun dah makan.

Wanita B: Tak tau lah. Tapi saya tak makan ikan ni.

Wanita A: Pasal apa awak beli banyak sangat.

Wanita B: Saya bela banyak kucing. Saya rebus ikan ni dan beri makan kucing.

Wanita A: Oooooo. Oklah saya pergi timbang dulu.

Wanita A itu melangkah secara bergegas meninggalkan Wanita B yang baru kali pertama berjumpa. Tak tahulah apa yang ada dalam hatinya. Mungkin rasa malu kerana makan ikan sama standard dengan makanan kucing, dan mungkin berkecil hati akan kata-kata wanita B itu. 

Tapi semasa melintasi wanita B untuk pergi ke kaunter bayaran, wanita A itu bersalaman dengan wanita B sambil mengucapkan jumpa lagi dilain masa. Ertinya dia tidak menaruh perasaan kecil hati atau malu.
 
Jadi saya saja  yang bersangka buruk.  
 

Ahad, 26 Mac 2017

Usahlah Bersedih ......




"Jika kamu berpisah dengan hal-hal berkaitan dunia, usah kamu bersedih. Kamu wajar bersedih jika ilmu dan amalan kamu masih terlalu sedikit atau tiada langsung untuk dibawa bekal di akhirat nanti". 

Itu adalah nasihat seorang kawan. 

Oh saya sudah tersasar.

Ceritanya bermula selepas saya menjual kereta MBB 2020. 

Saya menyatakan rasa sedih kepada seorang kawan. Kurang lebih begini yang saya telah beritahu kepadanya:

"Beberapa orang kawan memberi komen tentang kereta Mercedez MBB 2020 yang saya jual beberapa hari yang lepas. 

Ada yang tanya mengapa saya jual? Mengapa tidak dijual pada tahun 2020, cadang seorang kawan. Mengapa perlu sedih, dapatlah gantinya, nasihat seorang kawan. Ada yang merasa sedih kerana pernah menaikki kereta itu bersama saya semasa menjalankan tugas rasmi misalnya menghadiri majlis rasmi.

Saya telah pun memberi sebab mengapa kereta itu  perlu dijual. Ia berkaitan kemampuan membiayai kos saraannya. Dan saya tidak mampu untuk menangguhkan penjualan sehingga ke tahun  2020 seperti yang dicadangkan oleh seorang kawan.

Apa boleh buat. Sayang tetap sayang. Tapi saya perlu mengukur kemampuan diri. Jika tidak mampu, jalan terbaik ialah melepaskan sahaja kepada mereka yang lebih mampu.

Kalau tidak dijual, kereta itu akan tersadai tanpa digunakan dan menjadi besi buruk yang mengarat dan mereput dimakan hari. 

Kawan yang tahu asal usul kereta itu dan pernah merasakan khidmat kereta itu, mempunyai perasaan yang sama seperti apa yang saya rasa. 'Sedih'.

Badan kereta inilah yang telah membawa saya kesana ke sini dalam tempoh yang agak panjang. Dua orang pemandu yang diberi tugas dan telah menjalankan tugas dengan cemerlang telahpun meninggal dunia, namun kereta ini tetap bersama saya sehingga tarikh dijual.

Bagaimana mungkin untuk tidak merasa sedih apabila berpisah? Ianya masih berfungsi, cuma sewaktu usia sudah meningkat, performancenya tidak sama semasa muda dahulu. 

Kalau saya umpamakan kereta itu sebagai manusia, nama asal kereta itu bukanlah MBB 2020 atau yang saya selalu wawarkan sebagai Melaka Bandaraya Bersejarah 2020. Orang Cina panggil Er Ling Er Ling. 

Nama asalnya ialah MM 5, yang dikaitkan sebagai Money Man, simbolik kepada tugas yang diamanahkan kepada saya.

Money Man ini membawa banyak cerita kepada saya. Cerita suka, duka ,pahit, maung dan naik turunnya saya sebagai penjawat awam. Sungguh nostalgik sekali sepanjamg saya menjadi penjawat awam.

Kereta inilah yang telah membawa money man ke sana ke sini dalam menjalankan tugas rasmi.

Apabla saya bersara dan diberi peluang memilkki kereta ini, namanya ditukarkan dari MM 5 kepada MBB 2020.

MM5 sudah lama menghilang dari mata saya. MBB 2020 pula hari demi hari nanti akan saya lupa. 

Tetapi saya tidak akan mudah lupa kereta ini dari segi fizikalnya, dalam dan luarnya , khidmat baik dan kadang-kadang kerenahnya. 

Dan sudah tentu saya tidak akan lupa peristiwa separuh ngeri ketika meluncur di lebuhraya utara selatan di kawasan Kluang menuju utara. Dengan kelajuan tidak melebihi 60 km/j, sewaktu menuruni bukit tidak semena-mena kereta itu berpusing pusing. Nasib baik tidak ada kereta dibelakang. Belum saatnya bagi saya.

Begitulah sedikit cerita yang saya pendekkan tentang hubungan perasaan saya terhadap kereta yang dijual itu, rasa sayang dan sedih".

Waduh, benar apa yang dikatakan oleh kawan saya itu. Mengapa perlu bersedih hanya berpisah dengan harta dunia, sebuah kereta walaupun telah lama berjasa.

Saya terima nasihatnya itu. Syukur alhamdulillah.

Jumaat, 24 Mac 2017

Selamat Merantau MBB 2020



Akhirnya setelah 3 orang tawar menawar nak beli kereta, seorang telah bersetuju dengan harga yang diminta.

Kereta belum tukar nama tapi pembeli mahu bayar dulu. Macam mana ni? 

Sayang juga untuk melepaskan kereta yang telah digunakan selama 26 tahun. Tapi kalau tak dijual kereta itu tersadai . Bukan kerana rosak tapi belanja minyaknya terlalu tinggi. Tambah-tambah lagi dengan harga minyak yang sentiasa naik.

OKlah, jual sahaja lupakan kenangan lama.

Hari ini pembeli nak datang ambil. Maknanya, hilanglah dari pandangan mata. Tidak ada lagi digaraj.

Sebelum hilang dimata, mahu bergambar kenangan. Sedih juga. Keluar air mata. Kereta inilah yang membawa saya pergi balik semasa bekerja dulu.


Selamat Merantau.....Semoga Sihat Selalu Setelah Memberi Khidmat 26  Tahun......MBB 2020



Selasa, 21 Mac 2017

Siri Debat Yang Penting Tapi Melucukan.




Nampak gaya, debat yang ditunggu-tunggu antara Nazri dan Mahathir berkemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan. Pihak polis telah tidak bersetuju  atas alasan keselamatan dan prosedural.

Saya menganggapnya sebagai tidak masuk akal dan remeh. Adakah polis menyatakan tidak mampu untuk mengawal keselamatan dalam debat seperti itu? Tidak mungkin polis selemah itu. Saya terlalu yakin polis mampu mengawal keselamatan.

Debat ini jika dibandingkan dengan perhimpunan BERSIH, terlalu jauh dari segi risiko dan ancaman keselamatan yang mana perhimpunan BERSIH 5 yang lalu telah berjalan dengan baik dibawah kawalan polis.

Tidak mengapa itu keputusan pihak polis. Dan saya tidak mahu bicarakan selanjutnya.

Nazri tidak bersetuju dengan keputusan pihak polis itu sambil mengeluarkan kata-kata bahawa Malaysia bukan negara polis. Beliau serious dan masih mahu debat itu diteruskan dan berjanji akan datang ditempat yang dijanjikan (MRSM Kuala Kangsar) pada tarikh yang telah dipersetujui.

Saya tidak ragu-ragu akan kenyataan Nazri ini. Beliau bukan seorang yang penakut tidak seperti ahli-ahli UMNO yang lain mahupun dari barisan kepimpinan kerajaan. 

Jangan salah faham. Saya sebenarnya dalam banyak hal tidak bersetuju dengan Nazri, dan tidak juga dengan Tun Mahathir. Tapi sikap dan pendirian Nazri berkaitan dengan debat ini mendapat tabik hormat dari saya.

Isu yang beliau perlu debat atau pertahankan dari serangan Mahathir adalah isu yang amat berat yang sebahagian besar dari kita percaya isu-isu itu tidak mudah untuk dipertahankan. Ianya seperti melihat gajah dihadapan mata pada waktu siang. 

Nazri akan menjawab bahawa gajah dihadapan mata itu bukan gajah. Ianya seekor kancil atau gambar seekor gajah.

Sudah tentu beliau akan diketawakan atau di 'boo' oleh para hadirin. Namun beliau terus bersikap, 'Ada aku kisah' sebagai respons  kepada ejekan 'boo' dari para hadirin.

Begitulah tahap keberanian Nazri dalam mempertahankan PM, parti dan kerajaan. Soal orang percaya atau sebaliknya, bukan satu perkara yang menguasai sikapnya. Bagi Nazri menang atau kalah bukan satu isu. Bagi beliau isu sebenarnya ialah berdebat untuk mempertahankan PM, parti dan kerajaan. 

Beliau adalah ahli UMNO, ahli majlis tertinggi UMNO, menteri kabinet yang dilantik atas persetujuan Perdana Menteri. 

Jadi saya berpendapat, beliau merasakan ada tanggungjawab yang beliau perlu ambil bagi mempertahankan parti, kerajaan dan perdana menteri. 

Ertinya, bagi beliau, tiada guna menjadi ahli UMNO dan menerima jawatan menteri jika tidak berani mempertahankan parti , kerajaan, dan kepimpinan parti dan kerajaan apabila pihak luar menyerang bertubi kali.  

Malang sekali jika debat ini tidak menjadi. Ramai yang akan kecewa terutamanya Nazri dan Tun Mahathir.

Tun Mahathir, menurut berita yang dilaporkan, memberi Nazri tempoh sehingga tengah hari esok untuk bertindak mengusahakan debat itu akan menjadi kenyataan. Dan Tun Mahathir juga masih mahukan debat ini menjadi kenyataan pada masa akan datang jika debat kali ini tidak dapat diteruskan.

Saya tidak meragui sikap berani Nazri untuk mengadakan debat pada masa akan datang. Begitu juga dengan hasrat memuncak tinggi Tun Mahathir.

Namun pada masa hadapan itu, bila? Berapa lama jaraknya dari sekarang?

Bagi saya sebulan dua penangguhan adalah terlalu lama. Apatah lagi setelah berlaku PRU 14. 

Oleh itu besar kemungkinan debat ini tidak akan menjadi kenyataan.

Apa pun, sama ada debat itu mengambil tempat atau berkubur tanpa nisan, nama yang telah dan terus akan tercemar adalah parti UMNO (ahli dan kepimpinan), kerajaan, perdana menteri DS Najib dan Tun Mahathir. Sebab:

Isu ini melibatkan dua kepimpinan tertinggi UMNO (pimpinan semasa dan bekas pimpinan) dan kerajaan.

Isu BMF dan Forex yang merugikan kewangan kerajaan adalah isu pada zaman Mahathir sebagai presiden UMNO dan perdana menteri. UMNO dan kerajaan tidak menerimanya sebagai satu kesalahan. Malah isu kerugian forex itu telah dibangkitkan oleh Anwar Ibrahim tetapi kerajaan dan UMNO masa itu tidak menerima ianya sebagai satu kesalahan.

Kepimpinan sekarang pula mengatakan BMF dan Forex adalah satu skendal kewangan.

Parti mana yang menerajui kerajaan sekarang ini berbanding dengan dulu? UMNO bukan?

Jadi UMNO, dari dulu  adalah sebuah parti yang telah merosakkan pengurusan kewangan kerajaan. 

Kini timbul isu 1MDB, Felda dan lain-lain yang juga berkaitan skendal kewangan.

Adakah kerajaan sekarang dipimpin dari parti yang berbeza dari dulu? UMNO juga bukan?

Bagi Mahathir pula, apabila keluar dari UMNO, ianya seolah-olah memberitahu bahawa parti UMNO tidak lagi boleh diberi kepercayaan untuk mentadbir negara untuk masa depan yang lebih baik. Ertinya UMNO itu dari Dulu, Kini dan Selama-lamanya tidak boleh dipercayai dalam menguruskan negara.

Ini bukan saya kata. Ini apa yang pemimpin UMNO kata melalui perbuatan mereka sendiri. 

Debat yang dihebuh-hebuhkan ini (Nazri - Mahathir), yang kemungkinan besar akan tidak menjadi kenyataan adalah juga sama dengan kisah persemukaan antara Najib dan Mahathir yang juga tidak menjadi kenyataan adalah merupakan siri-siri perdebatan yang isunya serious yang menyangkut dengan 'hidup mati' negara tapi berakhir dengan kehampaan kepada rakyat.

Perdebatan ini bagi saya wajar dirakamkan sebagai peristiwa penting lagi lucu dalam sejarah Malaysia.  






Isnin, 20 Mac 2017

Politik Suka-suka




Politik suka-suka. 

Politik gaya ini diperkenalkan oleh Ketua Pemuda Pas Nik Abduh, anak kepada TGNA (arwah).

Beliau tewas dalam persaingan politik bagi merebut jawatan no, 2 Kawasan Pengkalan Cepa dengan memperolhi undi 37 berbanding lawannya 207. Satu jarak yang amat besar, hampir 6 kali ganda yang sudah tentu membawa mesej politik yang serious kepada masa depan politik Nik Abduh.

Tapi beliau tidak mengambil berat sangat tentang kekalahan seperti itu kerana beliau bertanding atas dasar 'suka-suka' saja. Ertinya kalah tak mengapa, kalau menang boleh saja terima.

Bertanding dalam politik atas dasar suka-suka?  Seorang kepimpinan tertinggi peringkat pemuda boleh kata begitu. Biar betul Nik Abduh.

Kalah menang, memang adat pertandingan. Semua pihak harus terima hakikat ini. 

Tetapi mempertahankan sebab kekalahan kerana bertanding atas dasar suka-suka bukan saja amat melucukan bahkan memalukan.

Lucu sekali jika ada orang berjuang dalam politik atas dasar suka-suka atau mahu main-main saja. Bukankah politik itu perlukan banyak pengorbanan dari segi masa, tenaga bahkan harta serta wang ringgit?

Mampukah orang yang tidak serious memikul  tanggungjawab politik apabila dipilih nanti? 

Saya kira ahli-ahli PAS Kawasan Pengkalan Cepa telah memberi jawapan yang jelas bahawa orang yang tidak serious dalam politik walaupun apa kedudukan semasa (Ketua Pemuda) atau anak orang yang ternama (Nik Aziz) wajar ditolak. Dan ditolak mentah-mentah.

Dan alasan memikul tanggungjawab Ketua Pemuda yang memerlukan masa dan tumpuan yang lebih seperti yang dinyatakan oleh penyandang jawatan no 1, Yb Nik Amar tidak juga boleh diterima. 

Sudah tentu Nik Abduh telah mengambil kira hal itu sebelum menawarkan diri bagi menduduki jawatan no. 2 Pas Kawasan Pengkalan Cepa.

Tapi jika atas dasar lawan suka-suka maka apa perlunya Nik Abduh mengambil kira masa serta tumpuan yang perlu diberikan pada jawatan yang dia turut bertanding. Maka benarlah akan kata-kata beliau bahawa dia bertanding atas dasar suka-suka.

Tahniah kepada perwakilan yang pandai membaca akan tujuan Nik Abduh bertanding jawatan itu. Nik Abduh tidak serious dan layak ditolak.

Kekalahan Nik Abduh juga boleh ditafsirkan bahawa beliau dahulunya naik bukan atas kekuatan diri tapi berpayung dan bernaung atas kekuatan ayahnya yang amat dihormati. 

Ia nya sungguh memalukan.


Ahad, 19 Mac 2017

Dari "Nothing to hide" kepada 'Something to hide".




Debat Nazri-Mahathir pada 25 Mac 2017 yang akan datang ini amat ditunggu oleh sebahagian besar rakyat. Tapi malang sekali debat itu tidak dibuat siaran secara langsung oleh RTM untuk diikuti sebahagian besar rakyat. 

Difahamkan alasan tiada siaran secara langsung adalah kerana Nazri tidak mewakili kerajaan atau parti UMNO. Satu alasan yang melucukan. 

Sepatutnya pertimbangan bagi menyiarlangsung atau sebaliknya sesuatu perdebatan perlu dilihat dari segi isu yang mahu diperdebatkan sama ada ianya mempunyai kepentingan negara atau tidak. 

Adakah isu tentang apa yang dikatakan sebagai skendal kewangan negara seperti BMF, Forex dan 1MDB tidak dianggap sebagai isu yang penting? 

Kalau begitulah asas pertimbangan mengapa tiada siaran secara langsung akan perdebatan Nazri-Mahathir ini maka sesungguhnya ia amat malang sekali. Amat lucu dan memalukan!

Apapun Nazri yang telah menunjukkan satu sikap yang berani berhadapan dengan isu yang penting ini walaupun beliau nampaknya tidak mendapat sokongan dari kerajaan mahupun dari parti, wajar diberikan tabik hormat. 

Soalnya apakah kerajaan dan parti (UMNO/BN) dengan sikap berlepas tangan itu , dan membiarkan Nazri seolah-olah keseorangan dalam mempertahankan PM dan Kerajaan dalam isu-isu yang mahu didebatkan, boleh melelapkan  mata dan menutup telinga begitu saja sedangkan isu-isu itu ada kepentingan yang tinggi kepada negara? 

Tutuplah serapat-rapat mata dan sumbatlah seketat-ketat telinga, parti dan kerajaan termasuk PM tidak boleh berlepas tangan dari isu-isu yang mahu didebatkan.

Dalam kata lain, implikasinya ialah pada awal lagi, sebelum debat mengambil tempat, sikap kerajaan dan parti boleh ditafsirkan sebagai tidak berani berhadapan dengan Mahathir, yang saya percaya merupakan suara sebahagian besar parti pembangkang dalam isu-isu tersebut.

Apabila dikatakan tidak berani, dan ramai yang percaya begitu, maka ada sesuatu hal yang kerajaan percaya bahawa apa yang didakwa oleh Mahathir atau penyokongnya adalah benar. Satu kekalahan moral kepada PM, kerajaan dan UMNO/BN.

Oleh itu Nazri sepatutnya diberi sokongan oleh PM, Kerajaan dan parti dalam berhadapan dengan Mahathir dalam isu-isu yang mahu diperdebatkan dengan cara menunjukkan keberanian menyiarkan secara langsung perdebatan itu agar rakyat dapat mengikuti perdebatan itu dan membuat penilaian dan pertimbangan masing-masing.  

Kalau tidak, sekali lagi kerajaan akan dianggap sebagai penakut sebagaimana yang telah berlaku dalam "Nothing To Hide', persemukaan antara PM Najib dan Mahathir dahulu. Tapi kali ini akan dipanggil sebagai  "Something To Hide". 
  


Selasa, 14 Mac 2017

Mengapa Kau Termenung, Mengapa Kau Bersedih.





Mengapa kau termenung

Hari ini banyak menung. Duduk atas sofa. Laptop atas riba. Jari-jari tidak teransang untuk menekan huruf-huruf yang berbaris di papan kekunci walau satu huruf pun. Minda beku.

Termenung memanjang. 

Wah teringat lagu 60an nyanyian Jeffri Din, 'Mengapa Kau Termenung'. Mungkin ada jawapan pada lirik lagu itu.

Taip, 'You Tube, Jeffri Din Mengapa Kau Termenung', untuk cari lagu 60an yang popular pada zamannya itu.

Mengapa kau termenung
Mengapa kau bersedih
Hiburkan hati mu
Gembira selalu

Bila termenung kita bersedih. 

Ubat termenung dan bersedih ialah 'hiburkan hati mu' dan 'bergembira selalu'. 

Aduhai....inilah masalahnya. Macam mana nak menghibur hati dan macam mana nak jadi gembira.

Ikan termenung pun dah naik harga. Melambung macam nak gila. Sebab itu banyak yang termenung.

Wang pencen tak naik berbanding dengan harga ikan termenung. Nak pegangpun, takut ditanya oleh penjual, "Encik mahu berapa kilo?"

Waduhhhh duh duh duh duh....sedih sungguh.

Macam mana tak sedih, dengar cerita 1MDB dah gunakan tabung wang pencen 4 billion untuk pelaburan. Pelaburan itu katanya sudah lebur. Bukan itu sahaja 1MDB menghadapi masalah besar dalam perniagaan. Operasi perniagaan tak datang untung sebaliknya rugi sehingga mengumpulkan hutang sebanyak 42 billion ringgit.

Macam mana 1MDB nak bayar hutang tabung pencen sebanyak 4 billion? 

Jadi jangan tanya mengapa saya bersedih? 

Wang pencen itulah yang menyara hidup saya dan isteri. Habis, kalau 1MDB tak bayar hutang 4 billion itu, sudah tentu boleh jejaskan bayaran wang pencen kepada pesara-pesara termasuk saya. Itulah sumber pendapatan saya. Nak harapkan derma dari pihak lain, tak kan ada.

'Hiburkan hati mu, bergembira selalu'

Dalam keadaan termenung dan bersedih, macam mana cara nak hiburkan hati? 

Makin sakit hati dibuatnya.

Apakan tidaknya , harga minyak masak naik. Harga minyak naik walaupun harga minyak dunia turun. Ada pulak yang cadangkan kalau harga minyak dunia turun, hapuskan semua subsidi. 

Matilah macam ni!

Kalau semua subsidi dihapuskan, ertinya semua barang yang dapat subsidi akan naik harganya.

Aduh sakitnya hati.

Tak apa. Saya tunggu bulan September untuk menghiburkan hati. Tak lama lagipun. Pejam celik pejam celik tibalah september. Masa itu saya boleh ketawa besar. Tak perlu termenung dan bersedih lagi.

Dengar khabar bulan September PRU 14. Rasanya berita ini boleh percaya. Sebab parti kerajaan dan pembangkang sibuk sangat kempen sana kempen sini membawa macam-macam cerita yang enak didengar telinga. Mahu bantu rakyat.

Hahahahaha....sekarang saya mula boleh ketawa. Sebab lepas september saya tak  akan susah lagi. 

Lepas PRU 14 Rakyat didahulukan dan Kerajaan Sedia Berkorban. Kerajaan tu maksudnya menteri-menteri lah. 

Ertinya lepas PRU 14, apa saja rakyat minta kerajaan akan layan dan luluskan. Rakyat minta harga barang diturunkan, kerajaan akan turunkan. Rakyat minta tambah BR1M, kerajaan akan tambah. Hapus GST, boleh saja. Hapus tol, beres. 

Apa lagi yang rakyat mahu. Beritahu saja, kerajaan tetap lulus. Nak minta kerja, bila-bila masa kerajaan akan sediakan. Bukan saja kerja , gaji pun tinggi, minima 4,500 ringgit sebulan, mengatasi paras kemiskinan. 

Hahahahaha seronok . Terhibur dihati. Tak perlu termenung dan bersedih lagi.

Waduh duh duh duh...itu hanya janji pilihanraya lah.

Termenung dan bersedih nampaknya selepas PRU 14. 

'Rakyat Didahulukan' hanya kata-kata manis untuk menang pilihanraya saja. Selepas menang pilihanraya, kerajaan punya sukalah. 

Buktinya sudah jelas ada dihadapan mata. Dan telah dan sedang dirasa seksanya ketika ini.

Oleh itu untuk tidak terus termenung memanjang dan bersedih, berubahlah kepada parti yang tidak menggunakan kata-kata 'Rakyat Didahulukan' sebaliknya kepada parti yang menyeru agar rakyat bersatu bagi memilih sebuah kerajaan yang mementingkan tadbir urus yang baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.














Rabu, 8 Mac 2017

Macam-macam Kerenah Pembeli Kereta Terrpakai




Saya mahu jual kereta lama, Mercedes 230 E, manual, keluaran tahun 1991. Usia kurang lebih 26 tahun.

Telah diiklankan.

Dua tiga hari ni 3 orang yang telah menyatakan minat melalui perbualan talipon. Dua orang telah datang ke rumah melihat kereta itu. 

Seronok juga rupanya menjadi penjual kereta lama. Macam-macam soalan ditanya tentang kereta itu yang ada juga soalan itu tidak perlu dijawab dan boleh menaikkan darah juga.

Semua soalan itu bertujuan untuk mencari cacat cela kereta itu. Matlamat akhirnya ialah menurunkan harga.

Tapi senyum tetap senyum kerana yang penting kereta itu boleh dijual pada harga yang diminta.

Pembeli A : Fasal apa encik nak jual kereta ni?

Saya: Saya dah ada kereta ganti yang baru saja dibeli. Jadi kereta tua itu tak perlu lagi. Membazir saja bayar cukai jalan dan insuran. Kereta tua ni pun kuat makan minyak. Harga minyak selalu naik. Tak laghat saya.

Pembeli A: Number plet ni termasuk sama?

Saya: Ooo, tak masuk. Anak saya nak ambil. Dia nak beli kereta baru.

Pembeli A: Kalau tak masuk number plet, susahlah. Sebab number plet ni, kereta ni ada harga. Lagipun kereta ini manual. Susah nak drive dalam bandar. Lenguh kaki. Juallah sekali dengan number plet.

Saya: Saya dah serahkan semuanya kepada anak saya. Runding dengan dia lah.

Pembeli A: Anak ada rumah?

Saya: Dia tak duduk sini. Tinggal di Ampang.

Pembeli A kelihatan telah tidak berminat. Dia bercerita fasal restorannya, restoran sup kambing spesial. Dia mempelawa untuk merasakan keenakan sup kambingnya. Saya hanya mendengar saja tanpa menunjuk keterujaan untuk menikmati sup kambingnya.

Pembeli B: Saya memang berminat nak beli kereta ni. Sekarang saya pakai Mez 190. Nak tukar lebih besar sikit.

Saya: Tengok dan periksalah.

Pembeli B: Kereta kelas ni mudah berkerat di sebelah bawah. Shock absorber ok ker. Steering ok?  Macam mana enjin , senang start ke? Cat ok ker? Body ok ker? Kereta ni tak rosak ke?

Saya: Encik tengoklah sendiri. Tinjau bahagian bawah, berkarat atau tidak. Encik hidup sendiri enjin. Cat dan body encik tengok sendiri. 

Pembeli B: Kereta ni selalu rosak ke?

Saya sebenarnya tidak mahu menjawab soalan seperti ini. Kereta dah berusia 26 tahun takkan tak rosak. Kereta barupun tidak boleh jamin tidak rosak. Tapi dah dia mengulang tanya perkara yang sama maka saya putuskan untuk menjawab.

Saya: Macam orang tua, encik, kalau banyak buat kerja mudah terpele'ut. Semput dibuatnya. Tak sama dengan orang muda.

Pembeli B: Tak boleh kurang harga ke? Saya minat ni.

Saya: Encik bincang dengan anak saya. Saya dah serahkan kepadanya.

Pembeli B: Oooh anak encik tu tak boleh tolak ansur. dia kata harga fix, tak boleh kurang. Saya minat ni encik.

Pembeli C (bercakap melalui talipon dari Kulai Johor): Kereta you tu selalu rosak ke? Enjin macam mana. Cat ok ker. Boleh jalan jauh ke, misalnya dari Johor Baru ke Kedah?

Saya: Kereta dah tua brother. Nak tahu datanglah sendiri tengok.

Pembeli C: Kalau kereta tak ok , buat apa saya tengok.

Saya: Terpulang pada you brother. Your money , my car.

Pembeli C: Ok lah kalau saya mahu datang, saya fon you lah.

Begitulah kerenah pembeli kereta terpakai. Tentang pertanyaan tu saya rasa adalah hak mereka sebelum mebuat keputusan mahu beli atau tidak. Cuma ada soalan-soalan tak perlu ditanya misalnya kereta itu rosak, cat luntur atau enjin boleh start atau sebaliknya, body berkarat ke, jika mereka sendiri datang dan melihat kereta itu. Dah ada depan mata nilaikan saja. 

Saya dapati soalan-soalan itu bertujuan untuk mencari cacat cela kereta itu. Jika banyak yang cacat misalnya enjin susah nak start, body berkarat , tayar botak dan cat sudah luntur, mereka akan berhujah menggunakan alasan kecacatan itu untuk meminta harga dikurangkan.

Tapi semua mereka gagal untuk mencari kecacatan kereta itu. Walaupun sudah berusia, masih boleh bergaya.

Hanya pembeli A yang mengatakan bahawa tanpa number flet kereta itu, harganya tidak seperti yang diminta.

Tapi dia juga tidak menyatakan berapa harga yang dia sanggup bayar. Ertinya, dia bukan nak beli kereta tapi hendak membeli number yang dia rasa ada nilai.

Saya rasa begitu juga. Isteri saya berpendapat sama. Anak sayapun begitu. Bezanya antara kami dan pembeli A ialah sementara dia melihat dari segi number flet kami melihat bukan saja number flet bahkan kereta itu lebih baik dari mana-mana kereta yang seusia dengannya dari segi performance dan jalan jarak jauh. Stable.

Kalau begitu mengapa saya mahu jual?

Saya dah ada kereta yang lain, yang baru  memasuki 2 tahun usia di jalan raya. Dan ekonomikal sekali. Mercedes yang saya nak jual ni, mak datuk kuat makan minyak. Sekali saya tekan pedal minyak, segayung minyak ditelannya. Mana boleh tahan. Dah bersara, mana mampu nak bayar harga minyak yang sentiasa naik.

Itulah sebenarnya kereta itu mahu dijual. Jual bodynya saja, number plet kami mahu simpan kerana kereta ni ada nilai sentimental. Dapat simpan number plet, cukuplah. 

Wahai pembeli kereta terpakai: Kamu mahu beli kereta terpakai pada harga yang rendah dengan menetapkan spesifikasi performance seperti kereta baru.  

Nak gila ker?

Isnin, 6 Mac 2017

SIAPA ALI BABA




Nama Ali Baba ketika ini sudah menjadi popular. Popular yang tidak disukai.

Sebelum itu perlu diingatkan Ali Baba ini bukanlah Ali Baba dari negara Cina, sebuah konglomerat yang berjaya.

Dikalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang nama ini menjadi tolak menolak seolah-olah nama ini membawa 'sial' jika melekat kepada mereka.

PM memulakannya dengan menamakan persahabatan diantara Lim Kit Siang dan Dr. Mahathir yang dulunya musuh ketat menjadi semakin rapat dan akrab sebagai persahabatan Ali Baba. 

Lim Kit Siang segera memberi respons sehari selepas diistiharkan menjalinkan persahabatan Ali Baba dengan Dr. Mahathir. Beliau memulangkan nama itu kepada PM Najib atas alasan Najib mempunyai jalinan persahabatan yang akrab dengan Jho Low satu personaliti yang terkenal di seluruh dunia yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Jadi kedudukan sekarang ialah 1-1.

Apalah hina dan buruknya Ali Baba ini sehingga Kerajaan dan pembangkang terlalu phobia dengan nama itu? Adakah ianya nama yang boleh membawa 'sial'?

Maka dengan itu menolak nama Ali Baba akan  menghilang kesialan yang dibawa oleh nama itu. Adakah itu yang mereka percaya?

Saya tidak percaya nama itu membawa sial. Tapi saya percaya bahawa mereka percaya nama itu membawa sial sebab mereka khususnya kerajaan (termasuk parti kerajaan) yang membina kesialan itu.

Apa itu Ali Baba?

Persahabatan Ali Baba adalah persahabatan antara Melayu dan Cina dimana Ali itu adalah orang Melayu dan Baba itu adalah orang Cina. 

Persahabatan itu mempunyai muslihat tertentu, khususnya dalam urusan perniagaan. 

Orang Cina (Baba) menggunakan kedudukan istimewa orang Melayu (Ali)  bagi meraih faedah atau keuntungan yang lebih berbanding balasan yang diberikan kepada orang Melayu atas persetujuan menggunakan kedudukan istimewa orang Melayu.

Apakah kedudukan istimewa orang Melayu? 

Kedudukan istimewa orang Melayu ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Maka dengan kedudukan istimewa itu berbagai polisi telah dibuat yang memberikan kelebihan kepada orang Melayu berbanding yang bukan Melayu termasuklah dalam perniagaan. Misalnya dalam pemberian kontrak dan pemilikan harta seperti rumah.

Maka ada kuota khas untuk orang Melayu dari segi mendapat kontrak sama ada kontrak kerja mahupun penyediaan perkhidmatan serta perolehan bekalan barang-barang. 

Sekatan dari segi kuota ini tidak membenarkan bukan melayu untuk turut serta dalam tender kerajaan. 

Tapi, peraturan buatan manusia mudah saja dipermainkan oleh manusia itu sendiri kerana sebahagian besar manusia mempunyai nafsu tamak dan haloba, dan ada pula yang bersedia untuk mendapat sedikit keuntungan tanpa bekerja keras, cukup dengan menjual nama dan harga diri.

Rengkasnya, sudah menjadi satu kepercayaan, dan ianya satu realiti bahawa nafsu berniaga orang cina (kerja kuat, berkemahiran, punya modal dan dapat untung besar) jauh mengatasi nafsu berniaga orang Melayu. 

Bagi orang Melayu, cukup dengan mendapat sedikit keuntungan tanpa nafsu berniaga mengatasi  atau sekurang-kurangnya sama tara dengan  nafsu niaga orang cina (kerja kuat, berkemahiran, modal). 

Dengan sikap yang sedemikian dan diperkuatkan lagi dengan peruntukan kuota yang menjamin hanya orang melayu sahaja yang boleh memperolehi kontrak kerajaan   mengapa perlu memiliki nafsu niaga seperti orang cina sedangkan faedah dan keuntungan  walaupun sedikit boleh diraih. 

Maka jalan paling mudah (satu daripada ciri yang ada pada orang melayu yang tidak suka bekerja keras) ialah mengadakan satu pakatan atau persahabatan dengan kontraktor cina, dengan memberikan kontrak  itu kepada kontraktor cina dengan menerima bayaran yang kecil sebagai balasan. 

Walaupun kontrak itu masih lagi atas nama kontraktor melayu tetapi persetujuan dibuat bahawa segala-galanya adalah dalam bentuk 'lock stock and barrel'. Semuanya ditentukan oleh kontraktor cina.

Itulah yang dikatakan persahabatan yang ada muslihat. Ertinya persahabatan yang tidak telus , tidak jujur dan menipu serta tidak amanah dan sanggup menjual maruah diri dan nama baik bangsa. 

Dan satu perkara yang sebenar berlaku yang menyangkut paut dengan operasi Ali Baba ini tapi sentiasa mahu disembunyikan ialah bahawa orang melayu itu adalah satu kelompok yang eksklusif yang tidak merangkumi dan meliputi semua yang bernama melayu. 

Mereka terdiri dari melayu yang mempunyai hubungan politik dengan parti pemerintah. Lagi akrab dan rapat dengan kepimpinan yang ada kuasa lagi banyaklah kontrak yang diperolehi.

Muslihat orang cina ialah bagaimana untuk mendapat kontrak yang hanya diperuntukkan kepada orang melayu dan membuat keuntungan.

Sebaliknya, orang Melayu pula muslihatnya ialah untuk mendapat untung walaupun kecil tanpa perlu berusaha dengan menjual kontrak itu kepada orang Cina. 

Itulah dia ALI BABA.

Macam mana, adakah Ali Baba boleh membawa sial atau boleh ditafsirkan sebagai persahabatan yang boleh membawa sial.

Orang politik khususnya parti politik kerajaan terutama UMNO telah ada jawapan. Pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) juga telah ada jawapan. 

Jawapan mereka sama, tidak ada beza.

Ini satu yang pelik. Kerajaan dan pembangkang jarang sekali bersetuju dalam banyak hal, biasanya bercakaran. Tetapi kali ini yang berkaitan dengan Ali Baba mereka mempunyai pandangan yang sama. Mereka katakan Ali Baba itu tidak baik. Dalam bahasa kasar boleh membawa sial. Dan dengan itu perlu diberikan kepada lawan.

Sekarang ini mereka sedang tolak menolak. Kesian Ali Baba. Gajah sama gajah berjuang pelanduk mati ditengah-tengah.

Menurut satu berita hari ini, seorang menteri telah melanjutkan kerja yang telah dimulakan oleh PM dengan mengatakan pembangkang (PH dan BERSATU) mengamalkan konsep Ali Baba dalam menjalinkan persahabatan. Katanya persahabatan yang tidak telus dan tidak ikhlas yang dikuasai oleh orang Cina atau parti DAP sama seperti dalam kes kontrak   tadi.

Ertinya persahabatan Dr. Mahathir dan Lim Kit Siang akan memberi keuntungan yang lebih kepada orang Cina. LKS akan menjadi TPM dan dia juga yang akan menentukan siapa yang boleh menjadi PM. Semuanya dibawah telunjuk LKS atau Baba. Ali turut sahaja sebagai kuda tunggangan.

Itu kata menteri yang memanjangkan kata-kata PM.

Mesejnya adalah jelas. Bahawa jika PH + BERSATU menang dalam PRU 14, orang melayu dan segala yang bernama dan berbau melayu serta ada kaitan dengan melayu seperti agama Islam dan institusi raja-raja melayu akan dibuang ke tepi, disingkir dan mungkin dihapuskan. Melayu berada dalam keadaan amat bahaya!

'HILANGLAH MELAYU DARI DUNIA'! menggantikan 'TAK KAN MELAYU HILANG DI DUNIA'.

Maka terketar-ketarlah orang melayu dibuatnya.

Itulah harapan mereka agar orang melayu bimbang dan takut hilang di dunia.

Oleh itu orang melayu yang ketika ini telah menunjukkan riak dan mula menjadi gelombang berhijrah ke pembangkang perlu disekat. Caranya dengan menimbulkan cerita 'hantu' yang memang mudah mempengaruhi minda melayu agar tidak menyokong Pembangkang dalam PRU 14 akan datang. 

Ali Baba dijadikan hantu. Persahabatan Ali Baba itu boleh mendatangkan sial kepada orang melayu. Persahabatan Mahathir dan LKS itu perlu ditentang dalam bentuk memberikan undi kepada UMNO/BN. Kalahkan Pembangkang. 

Kita tunggu jawapan balas LKS atau pembangkang terhadap kenyataan menteri itu.

Sementara itu, saya bersetuju bahawa persahabatan berciri Ali Baba adalah persahabatan yang berasaskan kepada muslihat bagi memberi faedah kepada pihak yang berkepentingan. Muslihat bererti adanya unsur-unsur tidak jujur, tidak telus dan mengambil kesempatan.

Ertinya Ali (melayu yang eksklusif ) dan Baba ( cina yang rapat dengan melayu yang eksklusif) saling bekerjasama bagi melakukan perkara yang keji. Menipu dan menjual harga diri dan maruah bangsa.

Siapakah yang membina Ali Baba, adalah satu persoalan yang amat relevan  yang boleh memberi jawapan siapakah yang suka menipu dan menjual harga diri dan nama baik bangsa.

Siapa gamaknya gerangan yang hina itu?

Sudah tentu mereka yang dapat kontrak (melayu eksklusif) dan menerima/melaksanakan kontrak (cina yang rapat dengan melayu eksklusif), dan yang menawarkan kontrak (pimpinan kerajaan).

Jadi yang layak dipanggil Ali Baba bukanlah pembangkang.

Oleh itu mengapa melayu dan rakyat yang mengundi pada PRU 14 nanti  perlu takut dengan pembangkang kerana pembangkang bukan Ali Baba. Pembangkang tidak membawa sial.

Nah ambillah nama Ali Baba.

Siapa sepatutnya menerima nama Ali Baba ini? 

Sudah tentu yang telah membina ciri-ciri Ali Baba.

RASUAH ADALAH SATU CARA HIDUP?





Mengapa rasuah?

Sebab  rasuah itu adalah syarat yang perlu (a necessary condition)  untuk hidup. Ianya bukan salah satu syarat untuk hidup ( not one of the conditions) yang membawa maksud tanpa rasuah kita boleh hidup. 

Tanpa rasuah kita tidak boleh hidup. Ianya satu budaya, satu cara hidup.

Rasuah tidak ambil kira latarbelakang. 

Orang miskin pun melakukan rasuah. Orang kaya pun sama. Orang bodoh tidak terkecuali. Orang pandai sama juga. Orang jahil agama ambil rasuah juga. Orang alim yang dipanggil ulamak juga buat perkara yang sama. Orang bawah diperingkat akar umbi tidak ada kurangnya. Yang diperingkat atas bertaraf kepimpinan lagilah ligat perlakuan rasuahnya. Pendek kata OKU dan bukan OKU tidak mampu mengelakkan rasuah.

Sebab semua kita adalah orang yang ada kuasa , kedudukan dan keistimewaan.

Kedudukan kita sebagai pengundi, sama ada kita miskin atau kaya, cacat mahupun sempurna, kita ada kuasa untuk menentukan siapa yang kita mahu serahkan kuasa. 

Maka undi kita adalah mahal yang menyebabkan kita menjadi rebutan oleh orang yang mahu berkuasa. Maka ianya mewujudkan persaingan. Bagi memenangi persaingan, para pesaing akan membuat tawaran cuba mengatasi diantara satu dengan yang lain.

Sudah tentu tawaran yang terbaik, mengikut pertimbangan kita akan kita pilih dan bukan semata-mata atas kemampuan mereka memberi perkhidmatan.

Keistimewaan juga adalah punca rasuah. Misalannya orang Melayu yang mempunyai keistimewaan dalam bentuk peruntukan kuota membeli rumah.

Selain dari melayu, bangsa lain tidak boleh membeli rumah yang telah di kuotakan untuk orang melayu. 

Hanya dengan mengenepikan kuota itu sahaja rumah tersebut boleh dijual kepada bukan melayu. Pihak yang ada kuasa saja yang boleh berbuat demikian dengan menggunakan berbagai alasan dengan syarat ada balasan.

 Apabila ini dilakukan, ianya juga satu bentuk rasuah. 

Memang benar, secara amnya rasuah amat dibenci tetapi tidak mampu dikecualikan dalam kehidupan . Ertinya tidak boleh hidup tanpa rasuah.

Selagi ada kuasa, rasuah tidak mungkin diketepikan dalam kehidupan. Untuk menghapus rasuah, kuasa mesti dihapuskan terlebih dahulu.

Tapi ironi nya kuasa adalah amat perlu dalam mengatur kehidupan. Tanpa ada yang berkuasa maka kehidupan tidak dapat diurus kerana tiada siapa yang mahu mendengar kata. 

Ertinya kuasa adalah perlu. Untuk hapuskan rasuah , perlu ada kuasa. 

Oleh itu jangan salahguna kuasa.

Adakah kita mampu untuk tidak menyalahgunakan kuasa? Saya jawab, tidak.

Sesiapa sahaja yang ada kuasa, kedudukan dan keistimewaan tidak akan dapat elak dari menyalahguna kuasa, kedudukan dan keistimewaan  biar pun orang itu alim ulamak apatah lagi yang jahil tentang dosa pahala.

Mesti ingat bahawa kita ada kuasa, kedudukan dan keistimewaan. Disanalah sumber rasuah. 


Khamis, 2 Mac 2017

Kenangan Dimasa Dulu

Kenangan Dimasa Dulu. Bergambar bersama isteri berhampiran dengan the pyramid setelah menghadiri konvokesyen anak perempuan kami Siti Nuradilla yang dihadiahkan ijazah doktor  perubatan oleh University of Mansoura 2015
Yang dikenang adalah yang telah lepas berlalu. Ada orang menggunakan 'pada suatu masa dulu'. Ada juga yang lebih enak dengan 'duluuu' saja, apabila mahu bercerita kisah lama, dengan memuncungkan mulut memanjangkan sebutan 'luuu'.

Dan macam-macam lagi cara untuk mengembalikan kisah silam , kisah lama yang ditinggalkan tetapi sentiasa menjadi ingatan selagi nyawa dikandung badan. Itulah yang dinamakan kenangan.

Hanya dulu saja yang boleh dikenang. Tidak ada kenangan untuk masa depan. Kalau ada yang mahu mengenang masa depan ianya adalah angan-angan dan berkhayal saja. Dan sudah tentu khayalan itu bermula dengan, "Kalau aku jadi menteri....";  "Seronoknya kalau ada rumah besar..." dan macam-macam kalau lagi.

Itu bukan kenangan. Itu adalah khayalan dan angan-angan. 

Masa depan adalah masa harapan, mengharapkan sesuatu yang baik. Orang yang kecewa dan putus asa, tidak mengharapkan masa depan. Sebab itu, mereka yang putus asa dan kecewa tidak ambil peduli tentang masa depan sehingga boleh membunuh diri jika segala-galanya gelap untuk masa depan.  

Apa yang telah kita lalui pada masa dulu, sama ada bersifat duka, pahit maung mahupun yang sebaliknya, yang apabila diingatkan semula, ianya sungguh manis sekali walaupun dulunya amat pahit sekali. Itulah KENANGAN.

Tetapi apabila kisah dulu yang diingatkan semula yang boleh membangkitkan perasaan duka dan benci, sakit hati dan iri hati, itu bukannya kenangan. Itu adalah DENDAM KESUMAT.

Kenangan adalah yang manis-manis saja walaupun dulunya pahit. 

Ianya adalah garapan dan cernaan dari berbagai elemen positif dan negatif yang tindak balas kimianya menghasilkan satu perasaan yang menyenangkan yang dipanggil kenangan. 

Duluuuu, semasa saya kecil dulu, seperti sebahagian besar anak kecil yang lain, sifat degil dan nakal telah menjadikan saya selalu dimarahi oleh yang lebih tua termasuklah guru dan ibubapa.

Teringat saya hukum yang dikenakan oleh seorang guru kerana saya buat bising dalam kelas. Apa hukumannya?

Hukumannya tidak berat tapi amat memalukan.

Saya diminta keluar dari bilik darjah dan berdiri dihadapan pintu masuk ke kelas sehingga tamat waktu persekolahan. 

Sesiapa saja yang melalui kelas saya, sama ada murid mahupun cikgu, mata mereka tidak lepas dari memandang saya. Pandangan yang saya anggap sebagai mewakili kata-kata mengejek, "Padan muka".

Lagi amat memalukan apabila yang memandang itu adalah murid yang amat memandang tinggi terhadap saya, yang dianggap sebagai murid yang baik dan cerdik.

"Ya Allah malunya aku", itu kata hati saya.

Amat memalukan perasaan saya ketika itu. 

Tapi tidak sekarang, apabila ingatan itu datang kembali. Saya tidak marah kepada cikgu yang menghukum, dan tidak juga merasa malu pada kawan-kawan yang lain. 

Malah saya seronok mengingatkan kembali peristiwa itu kepada mereka.

Dan banyak lagi peristiwa yang lebih serious yang memalukan saya pada masa dulu, jika saya mahu cerita satu persatu. Tapi semuanya apabila dikenang kembali membuatkan saya senyum senang sekali.

Photo diatas diambil di Mesir, berhampiran dengan Pyramid sewaktu kami menghadiri dan menemani anak di majlis konvokesyennya  di University of Mansoura. 

Ianya satu peristiwa yang amat manis sekali, dan  mungkin menjadi peristiwa terakhir bagi kami menghadiri konvokesyen bagi meraikan kejayaan anak-anak kami dalam pelajaran, kecuali ada diantara mereka yang mahu melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Itupun jika Allah mengizinkan. Jika sihat tubuh badan dan 'akal fikiran dan jika usia masih ada.

Oleh itu photo diatas, bergambar suami isteri adalah satu pernyataan kesyukuran kami diatas kurniaan Allah kepada kami, anak-anak yang menyenangkan hati kedua ibubapanya. Ianya perlu menjadi kenangan abadi.