Theflowersellingboy

Selasa, 29 November 2016

Kepemimpinan (leadership), Pilihanraya (Election) dan Generasi Pewaris Bangsa (Generation)


Apa kaitannya diantara kepemimpinan sesebuah negara dengan pilihanraya dan generasi negara  itu?
 
Ianya tidak boleh dipisahkan. Bagi saya Kepemimpinan adalah fungsi kepada tata kelola pilihanraya dan penzahiran serta pewarisan generasi bagi  sesuatu negara.
 
Ertinya kualiti kepemimpinan adalah faktor dan syarat utama dalam menentukan tahap tata kelola pilihanraya dan generasi yang dilahir dan diwariskan.
 
Baik kepemimpinan baiklah tata kelola pilihanraya dan generasi yang  dizahir dan diwariskan. Begitulah sebaliknya.

Seorang sahabat telah buat tagging kepada saya melalui laman facebook kenyataan berikut:

"Leadership is not about the next election, it's about the next generation".

Saya bersetuju dengan kenyataan itu, tetapi masih mempercayai bahawa 'leadership' itu amat penting dan mempunyai kaitan dan kesan langsung ke atas pilihanraya (election) dan generasi yang dibentuk dan diwariskan. Hubungannya seperti isi dengan kuku.

Lalu saya membalas kenyataan itu dengan menyatakan bahawa:
 
"True....and the next election is about forming the  new government for the next generation".

Dalam masa yang sama saya terbaca kenyataan seorang menteri persekutuan yang menasihatkan anak muda pelajar yang mahu mencebur dalam politik agar tidak mengharapkan balasan, misalnya, dalam bentuk projek untuk menjadi kaya tetapi mesti mempunyai naluri keazaman (passion) untuk menolong rakyat dan membangunkan negara.,
 
Saya lihat ada banyak komen yang sifatnya sinis yang meragui nasihat sedemikian. Politik apa yang kita lihat realitinya adalah satu jalan paling cepat untuk mengumpul kekayaan, sama ada secara sah atau haram.
 
Saya pun ikut sama memberi komen yang mempercayai kenyataan diatas :
 
"........or we call politic is the fastest way to accumulate wealth, either way legal or illegal".
 
Sekarang saya percaya anda telah jelas bahawa Kepemimpinan, Pilihanraya (politik) dan Generasi tidak boleh dipisahkan. Bahawa penentu kepada kualiti pilihanraya dan kualiti generasi adalah kepemimpinan politik. Realiti ini kena terima.
 
Ertinya setiap daripada kita mesti mengambil berat tentang politik tanah air. Diperingkat yang paling baik ialah melibatkan diri secara aktif, dan berciata-cita untuk menjadi pemimpin politik dan seterusnya bersaing  dalam pilihanraya untuk mendapat mandat rakyat menubuhkan kerajaan.
 
Apa yang berlaku di negara kita sekarang dalam hubungan politik dengan pilihanraya dan pembentukan generasi bangsa?

Amat malang dan menyedihkan. Kerana politik itu adalah satu cara yang cepat untuk mengumpulkan kekayaan. Wang adalah raja. Wang adalah segala-galanya.

Cuba beri tahu saya:

Bagaimana caranya untuk mendapatkan wang beratus juta /berbillion hanya dengan menjadi menteri/perdana menteri ?

Bagi saya ianya tidak mungkin hanya bergantung kepada pendapatan yang sah sahaja.
 
Tapi realitinya menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semacam menerima suasana politik seperti ini berterusan. Inikah generasi yang kita mahu dan kita wariskan?


Ahad, 27 November 2016

MELAYU YANG BERMARUAH dan KETUANAN MELAYU: Apa Pilihan Orang Melayu.




Apa yang China mahu?
 
Begitulah soalan yang membawa nada kecewa pimpinan BN khususnya UMNO semasa menyambut keputusan PRU yang lepas. UMNO kalah undi populariti dengan skor 42% berbanding arwah PR sebanyak 58%. 
 
Pengundi China sebahagian besar ketika itu tidak menyokong BN dengan mengambil petunjuk kekalahan yang teruk menimpa MCA dan Gerakan, dua parti komponen BN yang majoritinya mendapat sokongan orang-orang China.
 
Saya tidak pasti apa jawapan dari orang China. Tetapi kalau saya orang China, saya akan jawab secara sinis bahawa macam-macam  orang Cina mahu. Begitu juga jika ditanya kepada orang Melayu saya jawab dengan air muka yang sama dengan kenyataan yang sama.

Soalan itu sebenarnya membawa maksud bahawa mereka yang ditanya adalah bersifat tamak dan tidak bersyukur. 
 
Bagi orang China ianya tidak memberi kesan bagi mempengaruhi fikiran mereka  memberikan undi kepada BN. Malah lebih menyakitikan hati, seterusnya menjauhkan diri.
 
Bagi orang Melayu jika ditanya seperti itu ianya bukan saja menggambarkan sifat tamak, tidak bersyukur bahkan tidak tahu mengenang budi.
 
Dan orang Melayu apabila budi dikaitkan, ia mudah jadi cair lalu menyerah dan mengalah. Jika dulunya ada rasa benci dan geram, ianya turut luntur dengan memujuk hati mereka bahawa 'yang dah lepas itu, lupakan saja'.
 
Itulah bezanya antara Melayu dan China.

Tapi bukan itu yang saya mahu bicarakan selanjutnya. Saya hanya mahu terus berbicara dengan satu pertanyaan kepada orang Melayu: Apakah pilihan mereka (termasuk saya) jika ditanya dan diminta membuat pilihan diantara Melayu Yang Bermaruah dan Ketuanan Melayu, yang mana satu pilihan orang Melayu.
 
Saya memilih Melayu Yang Bermaruah.
 
Melayu Yang Bermaruah dan Ketuanan Melayu tidak sama, jaraknya bagai langit dengan bumi. Kandungannya dari segi konsep, matlamat dan semangat berbeza. Kedua-dua tidak serasi, tidak sekupu (incompatible), tidak boleh tinggal serumah atau dibawah satu bumbung yang sama, dan saling kontradik. 

Namun kedua-duanya mencari perkara yang sama: mencari nilai-nilai murni (good virtues) seperti beramanah, bercakap benar, tepati janji, bersifat adil, bertolongan dan bantu membantu, berilmu dan berkemahiran, integriti, menjaga kehormatan dan harga diri, beradab dan bersopan dan sebagainya. 
 
Yang memisahkan MELAYU YANG BERMARUAH dan KETUANAN MELAYU ialah  matlamatnya. Melayu Yang Bermaruah mencari, memelihara, menyemai dan menyubur , mengekal dan mempertahankan MARUAH yang berpaksikan kepada Nilai-nilai Murni yang disebutkan itu. MARUAH menjadi matlamat dan bersifat dominan.

Ertinya dalam mencari dan menyuburkan serta mengamalkan sifat menepati janji, misalnya, ianya dilakukan semata-mata kerana untuk menjadi MELAYU YANG BERMARUAH, tidak ada lain dari itu. Kalau berjanji hanya kerana mahu menjaga martabat Melayu.

Sebaliknya KETUANAN MELAYU yang juga mencari untuk memiliki nilai-nilai murni yang sama, yang ada setengah pihak mengatakan demi martabat Melayu , tertegak atas paksi KUASA iaitu Memiliki dan Mengekalkan kuasa Melayu. Dominannya ialah KUASA.

Demi kuasa Melayu, nilai-nilai murni seperti bercakap benar boleh dikompromi atau diketepikan sahaja. Amanah bisa sahaja menjadi cair mengalir ke dalam longkang demi kuasa Melayu.

Melayu Yang Bermaruah tidak perlu hiraki. 
 
Ketuanan Melayu tertegak  memerlukan hiraki--ada TUAN ada SAHAYA yang secara mudah kita dapat kenalpasti melalui pertanyaan seperti berikut: Kamu siapa dan saya siapa.
 
Contoh jawapan dari soalan diatas:
 
Kamu orang luar atau pendatang. Saya anak watan, anak jati negara ini.

atau

Kamu bukan parti saya. Saya parti yang memerintah ketika ini.

Maka sifat murni yang ada, misalnya menepati janji mudah sahaja di ketepikan berdasarkan kamu siapa dan saya siapa. Berbohongpun tidak menjadi masalah asalkan KUASA dapat dimilikki atau kekal selama-lamanya, dari dulu dan kini.

Sekali lagi saya bertanya: Apakah pilihan terbaik bagi kita orang Melayu- Melayu Yang Bermaruah atau Ketuanan Melayu?

Saya telah buat pilihan> Saya pilih Melayu Yang Bermaruah demi kesinambungan generasi Melayu.

Memilih Ketuanan Melayu akan berakhir dengan kemusnahan Melayu itu sendiri kerana nilai-nilai murni yang dimiliki oleh orang Melayu akan terhakis dalam perjalanan masa. 

KUASA tidak kekal kerana dengan KUASA ianya boleh memusnahkan nilai-nilai murni yang menjadi asas dalam kelangsungan sebuah peradaban bangsa.


 
 
 





 


 

 

Jumaat, 25 November 2016

RUU 355: Yang Di Tunggu Tidak Kunjung Tiba



Sudah lama aku menanti
Aku menanti RUU 355 yang menjanjikan harapan
Menjanjikan pemerkasaan hukum Allah yang sedia Perkasa
yang tidak kunjung tiba
 
Penggal demi penggal aku dihebuhkan
RUU 355 , kali ini, penggal ini kita bentang
 Semua mesti sokong 
Menjadi wajib bagi yang Islam
Bukan Islam, tiada kena mengena, harus sokong
Atau buat diam
 
Aku teruja sekali
Penantian aku kali ini ada sinar harapan
Sungguh berbaloi aku menanti
 
Walaupun aku tahu RUU 355 telah ditampal sana sini
Tidak mengapa asalkan ia dapat dibentangkan.
Ianya satu permulaan yang baik
Ada cahaya di penghujung terowong.
 
 
Bentang tanpa penjelasan?
Aku bertanya
Apa gunanya?
Bila RUU 355 boleh beroperasi?

Sejarah berulang kembali
RUU 355 hanya untuk dibentangkan saja
tidak lebih dari itu.
 
Aku amat kecewa sekali
Walaupun sipembentang begitu ghairah 
Mahu mengadakan perhimpunan raksaksa
 
Aku tetap kecewa 
kerana yang ditunggu tidak kunjung tiba. 
hanya yang mungkin tiba
satu perhimpunan raksaksa.
 
 
  
 

 

Selasa, 22 November 2016

Berikan Senyuman Ayam Pada Fajar 2020 Nanti.




Malaysia menjadi Negara Maju 2020? Anda yakin?
 
Saya tidak yakin.
 
Ok. Saya mengalami gangguan talian talipon, dan sekali gus internet, kerana saya menggunakan streamix, yang terlalu kerap sedangkan saya duduk dalam sebuah bandaraya, bukan di kawasan pedalaman. Cuba bayangkan mereka yang duduk di pedalaman. Ah terseksa sekali.
 
Dan untuk perkhidmatan itu dipulihkan ianya memakan lebih dari sebulan.
 
Oh hebat angan-angan kepimpinan Malaysia mahu menjadikan negara ini sebagai negara maju apabila berkokoknya ayam pada fajar 2020 nanti!
 
Mari kita berikan 'senyuman' ayam untuk memujuk ayam itu terus berkokok dan tidak merajuk sehingga hari kiamat kerana kita masih lagi pada tahap dunia ketiga.
 
Macam mana nak senyum, pandai-pandailah sendiri, asalkan ayam tidak merajuk dan terus berkokok.
 
Sebulan lebih saya menunggu. Baru hari ini perkhidmatan itu dipulihkan. Sebab itu paparan saya diinternet terganggu.
 
Kerosakan talian talipon dilaporkan pada 12 Oktober apabila saya tidak dapat capaian perkhidmatan internet. 
 
Capaian internet sekejap ada sekejap tiada macam iklan biskut pada suatu ketika dulu. Kejap ada krjap tak ada. Lalu pada tarikh diatas saya buat laporan.
 
Alhamdulillah, talian talipon pulih dalam tempoh 3 hari. Tapi internet masih lagi tidak dipulihkan.
 
Tunggu punya tunggu, internet masih lagi tidak dipulihkan. Lalu tiga kali laporan dibuat melalui panggilan no.100 dan kunjungan ke pejabat. 
 
Jawapan melalui sms TM menyatakan ,"We are trying our best to resolve the report within the next working day.....", bertarikh 16 November. 
 
Tapi tidak juga pulih. Tidak ada sesiapa dari TM atau teknician yg dilantik oleh TM datang ke rumah untuk membuat siasatan.
 
Lalu terpaksalah pergi ke pejabat pada 21 November mengadu hal. Jawapannya sama seperti dalam sms yg dinyatakan diatas. Saya tany sampai bila? Tapi tiada jaminan kerana katanya pihaknya hanya boleh menyediakan laporan ke bahagian teknikal untuk mengambil tindakan.
 
Pagi ini lebih kurang 12 tengah hari 2 teknisian datang ke rumah. Saya tanya fasal apa lambat mengambil tindakan. Jawabnya dia baru saja menerima laporan pada sebelah pagi saja. 
 
Lihat, bagaimana mereka bekerja. Laporan telah lama dibuat. Tindakan hanya pagi ini (22 November). Lembab. TM yang lembab.
 
Lembab atau tidak prihatin?
 
Bagi saya sama saja kerana ia menyusahkan orang. Saya bukan ahli perniagaan yang terlalu bergantung kepada perkhidmatan internet. Kalau ahli perniagaan bagaimana? Sudah tentu mengalami kerugian yang besar.
 
Kalau berterusan sikap dan perkhidmatan TM ini saya meragui kita boleh menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.
 
Masalah kecil sangat. Hanya ia mengambil masa tidak sampai 10 minit teknisian itu membuat kerja. Internet berjaya dipulihkan.
 
Sikap pekerja TM telah mencacatkan nama TM. Dan jika sikap ini berterusan, macam mana kita mampu menghadapi cabaran yang lebih besar sebagai sebuah negara yang maju?
 
Sekali lagi kita beri 'senyuman ayam' kepada pekerja TM. Ayam terus berkokok pada fajar 2020 walaupun negara kita masih lagi pada tahap negara dunia ketiga.
 
 
Saya percaya ayam akan berkokok pada pagi itu nanti. Dan saya juga tidak meragui bahawa angan-angan itu akan berterusan tidak tahu bila akan menjadi kenyataan.
 
 

Rabu, 16 November 2016

JIKA ANDA SEORANG YANG GENIUS.........





Jika anda seorang genius dalam matematik, sila jawab soalan matematik seperti dibawah ini.   Anda perlu membuat kira-kira menambah angka-angka yang diberi.  

Soalannya kelihatan amat mudah. Tapi awas anda jangan tertipu dengan keangkuhan sifat genius anda itu sehingga lupa bahawa jawapan yang anda berikan dalam bentuk angka itu tidak punya apa-apa makna jika ianya tidak dikaitkan dengan sesuatu hal. 

Maksud saya , setelah anda membuat kiraan sama ada secara congak (kiraan dalam otak), menggunakan jari atau mesin kira (calculator) dan satu angka telah anda perolehi katakan 20,000, angka itu tidak berguna  atau tidak bermakna langsung jika tidak dikaitkan dengan sesuatu hal.

Angka itu hanya bermakna atau mempunyai fungsi dalam kehidupan kita jika anda kaitkan dengan misalnya wang simpanan yang anda berjaya simpan, atau anda kaitkan dengan bilangan biji guli yang anda miliki.

"Saya ada 20,000 biji guli" akan segera difahami berbanding dengan  "Saya ada 20,000". Orang akan bertanya, "Apa bendanya 20,000 itu?"
 
Oleh itu angka jawapan anda itu mestilah diikuti dengan mengaitkan angka itu dengan sesuatu hal seperti yang dinyatakan diatas. Tidak ada had langsung tentang penceritaan angka itu. Anda boleh sahaja menulis 20,000 itu adalah merupakan wang simpanan saya semenjak  berumur setahun hingga dua puluh tahun.

Markah yang akan diberi terbahagi kepada 3 iaitu i) kiraan angka yang betul (5%), ii) Mengaitkan angka itu dengan sesuatu hal (95%), dan markah bonus (2%). Markah bonus itu disediakan jika terdapat peserta yang berjaya menjawab (i) dan (ii). Markah bonus itu adalah bagi mereka yang berjaya memberi lebih terperinci yang mengaitkan setiap angka itu dengan sesuatu hal.

Saya percaya anda telah memahami apa yang perlu dilakukan bagi mempamerkan kehebatan anda dalam matematik. Oleh itu jika anda seorang yang genius jawab soalan dibawah ini. 

Jika anda berjaya menjawab anda akan diistiharkan sebagai seorang yang genius kerana anda amat prihatin tentang perkembangan dan apa yang sedang berlaku di negara kita ini. Ertinya anda seorang yang sayangkan negara Malaysia, satu-satunya negara anda yang ada di dunia ini.

Buatlah tambahan angka-angka ini. Ianya adalah sejumlah wang dalam mata wang Amerika Serikat (US dollar). Jangan lupa jadikan angka itu bermakna.

380,000,000 + 44,800,000 + 30,550,000 + 50,912,000 + 31,000,000 + 41,799,000 + 35,371,333 + 5,485,000 + 35,000,000 + 57,500,000 + 38,980,000 + 100,000,000 + 33,500,000.

Jika anda seorang genius, cubalah!

Rabu, 9 November 2016

Trump Menang. Clinton Kalah. Bila Masa Kita Mahu Berubah.




Donald Trump menang. Clinton kalah. Ahli parti Republikan akan mengambil alih pentadbiran Amerika Serikat (AS). Parti Demokrat menyerah kuasa kepada Republikan.

Sebelum pengundian, majoriti penganalisis mengatakan Clinton  akan menang. Sebahagian besar rakyat AS dan rakyat luar AS percaya Clinton akan menang. Tapi keputusan sebenar setelah rakyat mengundi, Trump yang menang.

Apa ertinya ini?

Saya berpendapat  bahawa sehebat manapun analisis yang dibuat, dengan menggunakan berbagai data dan cernaan berbagai maklumat, fikiran rakyat AS tidak mudah dibaca, ditafsir dan diterjemahkan ke pihak mana undi akan diberikan.

Ertinya juga bahawa rakyat AS menggunakan 'conscience' dan bukan 'atas dasar budi mesti dibalas'atau rakyat bermentaliti projek.. Kaedah dan pendekatan sepert BR1M tidak laku di Amerika.

Ertinya tidak kira mereka itu dari ahli Demokrat atau Republikan, jika 'conscience' mereka mengatakan mengundi Republikan itu lebih baik bagi diri dan negaranya walaupun ianya seorang Demokrat, parti Republikanlah yang diundi.

Dan faktor takut serta bimbang atas nama kaum dan agama seperti yang selalu dimainkan  di Malaysia juga tidak terpakai di Amerika dalam mempengaruhi fikiran rakyat dalam membuat pilihan.

Bagi rakyat Amerika, tidak ada satu parti politik, Demokrat atau Republikan mempunyai kedudukan yang terjamin untuk terus kekal berkuasa. 

Disamping mereka mahu sebuah parti yang boleh menjadi  kerajaan yang bertanggungjawab, mereka juga tidak terlalu taksub untuk mengekalkan parti yang sama bagi meneraju kerajaan pada satu tempoh yang lama. Paling lama hanya bagi tempoh dua penggal saja. 

Di Malaysia amat kontras sekali. Di negara kita ada faktor taksub. Taksub kepada parti, kaum dan agama lebih mempengaruhi pengundi.  Maka emosi digunakan semaksima dan optima yang mungkin. 

Maka adalah konsep 'mengenang budi'.

Maka adalah retorik demi bangsa, agama dan negara.

Maka adalah neratif tentang ancaman keselamatan jika berlakunya perubahan.

Ketiga-tiga yang dinyatakan diatas itu boleh mencair otak mereka, menyejukkan kemarahan dan menggerakkan tangan mereka untuk mengekalkan parti yang sama.

Begitulah yang sebenarnya berlaku kepada sebahagian besar rakyat terutama yang mempunyai capaian maklumat yang terhad. Mereka mudah untuk yakin dan menjadi taksub bahawa perubahan sebuah kerajaan tidak akan menjamin sebuah kehidupan yang lebih baik.

Lalu mereka mengundi kerana taksub. 

Walaupun mereka benci kepada perkara yang mungkar seperti rasuah, dan terlalu amat marah dengan kenaikan kos sara hidup yang membebankan, yang mereka sendiri melaluinya, dan hati kecil atau conscience mereka mengatakan begitu, oleh kerana taksub mereka tetap tidak akan mahu berubah.

AS lain Malaysia lain. 
Mengapa perlu kita bandingkan

Mungkin itu diantara ayat-ayat yang akan disampaikan kepada saya oleh mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Itu hak mereka. Saya hormat hak itu.

Tapi jangan pula memaki hamun jika harga barang naik. Jangan bising-bising dan marah-marah lalu mengatakan sebagai fitnah jika negara kita dipanggil sebagai sebuah negara pimpinan kleptokrasi (perompak).

Jangan minta bukti dari saya kerana saya tahu bukti sudah jelas dan nyata. Cuma mereka yang taksub tidak mahu percaya.

JANGAN MENCURI HAK ORANG WALAUPUN SEPASANG KASUT KERANA HUKUMAN TETAP AKAN DITERIMA




Ini adalah cerita benar . Kami satu keluarga 6 orang yang terdiri dari saya dan isteri bersama dengan anak dan menantu dan dua orang cucu.

Pada 6 Novmber 2016, Ahad, kurang lebih memasuki pukul satu tengahari, di sebuah kondo di Putra Jaya.

"Itu kasut saya. Yang itupun kasut saya. Kamu curi kasut saya."

Dua lelaki muda, usia mungkin diantara 30 dan tidak melebihi 40 tahun, yang dikatakan mencuri kasut itu segera menafikan. Seorang darinya  yang memakai topi keledar berwarna merah amat agressif sekali dengan suara tinggi dan bertindak mahu bergaduh.

Pertengkaran semakin panas dengan disaksikan seorang pengawal keselamtan. 

Kawan yang tidak bertopi keledar, telah bersedia memulangkan kasut itu. Tapi telah dimarahi oleh yang bertopi keledar. Dia masih mengatakan kasut yang dia dan kawannya pakai itu bukan kasut curi.

Pengawal keselamatan nampaknya kurang cekap dalam menangani kes yang berlaku. Dia hanya mengambil number kad pengenalan kedua-kedua yang disyakki mencuri kasut itu setelah kami meminta dia berbuat demikian. Dia tidak langsung menyoal kedua lelaki itu misalnya dari mana, ke mana dan apa tujuan berada di kondo. Mungkin pengawal itu tidak fasih berbahasa Melayu kerana dia orang Nepal.

Dua orang lelaki itu masih lagi bertegas bahawa kasut yang dipakai itu bukan kasut yang dicuri seperti yang kami dakwa. Oleh itu kami berpendapat tidak berbaloi  untuk mendapat semula kasut itu kerana lelaki itu (pakai topi keledar) makin bertindak ganas dengan menolak anak menantu saya (yang punya kasut). 

Melihatkan itu , saya segera menghampiri lelaki itu untuk bertindak balas tapi dihalang oleh pengawal. Walaupun saya tidak segagah mana tapi saya tidak rela melihat anak menantu diperlakukan seperti itu. 

Bahkan isteri saya yang memang seorang yang tidak suka gaduh, lagi penakut, meluru ke hadapan memarahi lelaki itu. Anak saya (isteri menantu) yang juga bukan seorang yang suka bergaduh dan seorang penakut juga  mara menghampiri lelaki itu dan memarahinya. 

Apabila saya lihat dua lelaki itu menaikki motorsikalnya untuk meninggalkan tempat itu, saya bertindak segera mengambil gambar mereka  sebagai bahan bukti jika berlaku sesuatu hal yang tidak dikehendaki. Ketika itu mereka mengacah mahu melanggar saya.

Saya berjaya mengambil 3 gambar. Satu dari gambar itu terpampang jelas number pendaftaran motorsikal yang dinaikki.

Selepas mereka pergi,  saya bersama isteri menaikki kereta meninggalkan kondo itu untuk menuju ke selatan. 

Saya dan isteri amat sedih dan susah hati melihatkan seorang dari cucu kami menangis teresak-esak kesan dari melihat sendiri peristiwa itu terutama saya percaya apabila melihat bapanya ditolak oleh lelaki yang pakai topi keledar.

Dalam perjalanan balik itu saya meminta isteri menalipon anak saya agar jangan ulang cerita atau berbicara peristiwa itu dihadapan anak-anaknya dikhuatiri akan memberi tekanan emosi kepada cucu saya itu.

Waktu di rumah, melalui whatsapp, anak memberitahu bahawa pencuri itu telah dikenalpasti. Pada mulanya mereka tidak mengaku mencuri walaupun bersedia meminta maaf dan memulangkan segera kasut-kasut itu. 

Bagi menantu saya kes itu dianggap selesai walaupun yang mencuri itu masih tidak mengaku.

Bagaimanapun, oleh kerana laporan polis telah dibuat, pihak polis telah menyoal siasat kedua-dua lelaki itu. Akhirnya, mereka yang tidak mengaku mencuri itu telah membuat pengakuan mereka lah yang mencuri kasut-kasut itu. 

Siapakah pencuri itu?

Adakah dakwaan yang dibuat oleh menantu saya itu yang saya yakin dakwaan itu adalah benar tersasar atau salah orang?

Untuk menjawabnya cuba fikirkan dan pertimbangkan perkara-perkara berikut:

i) Tidak ada sesiapa yang berfikiran waras akan mengatakan kasut yang dipakai oleh orang lain sebagai kasutnya jika dia tidak yakin kasut itu dia yang punya. Apatah lagi orang itu kali pertama dia bertemu muka.

ii) Tindakan memulangkan kasut itu oleh salah seorang dari yang mencuri itu sudah tentu satu pengakuan bahawa kasut itu bukan dia yang punya.

iii) Bertindak ganas dan melarikan diri sambil mahu melanggar orang yang membuat dakwaan adalah satu tindakan orang yang merasa diri bersalah.

Dengan 3 tip diatas sudah jelas yang mencuri kasut itu ialah orang yang kami dakwa berbuat demikian.

Tapi kenapa masih tidak mengaku walaupun bersedia meminta maaf dan menyerah balik kasut itu?

Jawabnya: Kalau sudah  biasa menjadi pencuri, dianya tidak mudah mengaku sebagai pencuri walaupun bersedia meminta maaf dan memulangkan semula kasut itu.

Tapi apabila polis yang melakukan soal siasat, akhirnya mengaku juga.
 
Apa pun bagi saya bukan sangat fasal kasut itu. Tidak berbaloi bergaduh untuk hanya  mendapat semula kasut itu walaupun kita tahu kasut itu kita yang punya. 

Yang saya sedih sekali mengapalah mencuri kasut itu. Bukan barupun, tidak juga cantik dan dari jenama yang mahal. 

Curi wang dibank lebih baik!

Maaf, jangan buat begitu. Jangan mencuri hak orang lain sama ada kecil atau besar. Pencuri walau sehebat manapun pasti akan menerima hukuman.

Ya, ada pencuri yang boleh berlepas diri dari dakwaan. Tapi tidak  boleh berlepas diri dari hukuman bukan sahaja di akhirat malah di dunia lagi. Hati kecilnya sentiasa keluh kesah dan tidak pernah tenteram.