Theflowersellingboy

Selasa, 27 September 2016

SIAPA YANG LAYAK JADI PM




Dua minggu saya tidak menjengok blog ini. Maka tiada apa-apa yang dibicarakan.

Hari ini tergerak hati untuk membicarakan sesuatu. Sesuatu yang juga menjadi perhatian sebahagian rakyat iaitu tentang siapakah yang layak jadi PM.

Sudah tentu soalan itu berbangkit hasil dari perkembangan semasa politik di negara kita.

Apabila soalan siapakah yang layak jadi PM diketengahkan maka tidak keterlaluan ianya boleh ditafsirkan bahawa ada dikalangan rakyat yang merasakan PM yang ada sekarang ini perlu turun, berundur atau letak jawatan. Ada sebab-sebab yang kuat mereka mahu PM sekarang berundur. 

Antara alasan dalam desakan 'undur' mereka itu ialah tentang salah urus tadbir yang merugikan negara dan rakyat, merosak dan mencemarkan nama baik negara dan soal integriti.

Mereka boleh mendesak tetapi sekiranya  BN khususnya UMNO iaitu parti yang membentuk kerajaan persekutuan ketika ini masih lagi memberi sokongan kepada PM yang ada ketika ini, desakan itu tidak akan mampu menukar PM yang sedia ada itu.

Riak-riak yang ada ketika ini memberi isyarat bahawa sokongan itu masih diperolehi oleh PM, dan beliau sendiri tidak rela untuk melepaskan jawatan walaupun didakwa melakukan kerosakan kepada negara.

Dengan demikian membicarakan siapakah yang layak menggantikan PM dalam konteks yang ada ketika ini, saya fikir ianya tidaklah sia-sia walaupun ianya memenatkan.

Ianya tidak sia-sia kerana ia memperlihatkan betapa pedulinya rakyat tentang pengisian jawatan tertinggi negara. Rakyat mahukan hanya yang 'terbaik' saja yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri. 

Secara umumnya maksud yang terbaik itu ialah seseorang yang mampu dan berkebolehan serta secara konsisten melaksanakan tadbir urus negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Orang itu adalah layak menjadi PM.

Bermakna, PM yang ada ketika ini tidak termasuk dalam kategori 'yang terbaik'. Lalu perlu diganti.

Namun ketika ini rakyat tiada pilihan melainkan menerima apa yang ada sehingga PRU yang akan datang.

Bagaimana pula jika PM yang ada mahu melepaskan jawatan sebelum PRU. Siapakah yang layak menjadi PM yang baru?

Bagi saya tiada seorang pun yang 'terbaik'. Maknanya tiada seorang pun yang mampu memberi khidmat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Zero.

Saya mengatakan zero ialah kerana pilihan yang ada pada kita untuk berPM yang baru hanya dari kalangan parti BN khususnya UMNO kerana parti itu mempunyai kerusi majoriti walaupun memperolehi suara minoriti dalam PRU yang lepas.

Jadi apa pilihan kita selain dari ahli parlimen UMNO/BN. Sesungguhnya kita tiada pilihan. 

Ertinya kita akan dapat PM dari kalangan ahli parlimen yang mengamalkan budaya dan sifat yang sama seperti PM yang digantikan.

Bagimana dengan TPM Zahid? 

Ada pihak yang meragui kemampuan beliau khususnya dalam hubungan antara bangsa. Bahasa Inggeris beliau dikatakan tidak mencapai tahap yang diperlukan dalam hubungan antara bangsa seperti yang telah dipamerkan dalam ucapan di perhimpunan PBB baru-baru ini.

Saya masih lagi boleh bertolak ansur dalam hal ini dengan syarat beliau mesti mempertingkatkan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. 

Namun begitu saya masih tidak yakin beliau boleh menjadi PM yang terbaik kerana orientasi beliau tidak ada bezanya dengan PM yang digantikan.

Begitu juga yang lain-lain dari kalangan UMNO/BN termasuklah Hishamuddin. Beliau juga tidak layak. 

Tapi oleh kerana penguasaan bahasa Inggerisnya dikatakan pada tahap yang wajar dalam hubungan antara bangsa, ada pihak yang yakin beliau layak sebagai pengganti. 

Bahawa menjadi PM bukan saja dilihat dari sisi kemampuan menguasai Bahasa Inggeris. 

Budaya yang membentuk pemikiran dan sifat peribadi seseorang itu adalah terlalu amat penting. 

Bermula dari zaman Mahathir sehingga kini, UMNO/BN tidak lagi  mengamalkan budaya yang mampu membentuk peribadi yang bersifat amanah dalam mengurus tadbir negara demi kesejahteraan rakyat. Budaya wang dan projek adalah menjadi idaman seterusnya amalan sebahagian besar ahli termasuklah dari kalangan ahli parlimen parti itu.

Jadi lupakanlah hasrat untuk tukar PM sebelum PRU.
Tunggulah PRU 14 dan ambillah peluang untuk mendapatkan PM yang terbaik. PM yang terbaik tidak akan diperolehi dari kalangan parti UMNO/BN.

Namun begitu jika Mahayuddin dari Parti Bersatu menang, saya berpendapat beliau bukanlah calun PM yang terbaik. Walaupun kelihatan beliau agak sedikit baik dari PM yang ada ketika ini, tapi beliau juga mewarisi budaya UMNO/BN.  

Beliau adalah calun yang layak menjadi PM, menurut Mahathir.

Saya masih tidak dapat melupakan apa yang telah dilakukan oleh Mahathir semasa menjadi PM. Ya, membangun Malaysia satu hal yang terpuji. Tetapi melakukan kerosakan kepada negara adalah lebih besar dari pembangunan dan kemajuan yang telah diusahakan. Sebab itulah jika ada orang tanya antara Najib dan Mahathir siapa pilihan anda. Saya tolak kedua-duanya kerana kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Yang demikian siapa yang layak jadi PM selepas PRU 14?

Jika UMNO/BN menang dan jika Najib masih mengetuai UMNO/BN beliaulah yang layak tapi bukan PM yang terbaik. Kalau Pembangkang menang, Mahyuddin bagi saya tidak akan mampu jadi PM terbaik, dan dengan itu tidak layak.

Jadi siapa yang layak? Anwar Ibrahimlah yang layak. Tapi ada halangan/sekatan kerana beliau tidak boleh menjadi calun.

Siapa DIA PM kita jika Pembangkang menang dalam PRU 14.



Rabu, 14 September 2016

Untuk Sihat Sentiasalah Bersenam Tapi Bukan Senaman.....




Mahu sihat? Sentiasalah bersenam. Ada banyak jenis senaman. Aerobik, jogging, 10,000 langkah sehari dan maca-macam gerakan badan seperti taichi. 
 
Jika mahu sihat , amalkan senaman diatas secara konsisten. Jangan malas. Malas, membuatkan badan tidak sihat. Badan yang tidak sihat menambahkan kos hidup kerana kerap ke klinik atau hospital untuk dapat rawatan dan kos membeli ubat.
 
Jadi mengapa perlu bazirkan wang untuk rawatan sedangkan wang boleh diselamatkan dengan melakukan senaman. Kos bersenam tidak mahal. Ada baju dan seluar pun sudah mampu melakukan senaman. Tak ada kasutpun tidak mengapa. 
 
Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini, wang mesti digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula nilai wang yang semakin merosot. Oleh itu sentiasa mengambil berat tentang penggunaan wang. Satu dari caranya ialah menjaga kesihatan badan secara melakukan senaman. Badan sihat kos perubatan zero.  
 
Namun begitu, awas ada juga senaman yang tidak sihat. Senaman ini telah diperkenalkan setahun dua yang lepas. Senaman ini dibuat secara kumpulan, dalam beberapa barisan tertentu. Ada konduktor macam senaman aerobik. 
 
Namun senaman ini berbeza dari segi tujuan dan semangat bersukan , tidak seperti senaman yang lain. Senaman ini dirangsangkan oleh emosi amarah, sakit hati dan dendam. Bukan untuk kesihatan badan. Ia boleh menaikkan tekanan darah dan serangan jantung kerana emosi kemarahan dan kebencian menjadi enjin menggerakkan setiap langkah dan gerakan mereka.

Ertinya tujuan senaman ini ialah untuk menyakitkan hati pihak yang tidak disenangi. Semangatnya bukan untuk bersukan tetapi untuk berkonfrantasi.

Maka diadakan beberapa barisan dihadapan rumah mana-mana pihak atau orang perseorangan yang tidak disenangi untuk dipamerkan sukan itu.  Dimulakan dengan berdiri tegak membelakang rumah tersebut, membongkok ke hadapan atau menonggeng, mengarah punggung ke rumah berkenaan.

Mereka pun ketawa macam nak gila kerana berjaya menonggengkan punggung mereka ke arah rumah tersebut. Harapan mereka ialah orang yang tidak disenangi, jika ada menonton senaman mereka itu akan marah dan sakit hati. 

Siapa yang naik marah dan siapa yang sakit hati? Mereka yang bersenam itulah yang marah dan sakit hati. Tekanan darah naik tinggi dan denyutan jantung bertambah laju dari biasa. Sebab orang yang dikonfrantasi tidak ambil peduli.

Itulaj yang dinamakan SENAMAN TONGGENG PUNGGUNG. Senaman ini difahamkan dijadualkan pada 19 November 2016 nanti. Datanglah beramai-ramai untuk menyanksikan senaman tonggeng punggung ini. Ikuti berita semasa untuk mengetahui tempat yang akan diadakan senaman tersebut.

Jangan tiru senaman ini kerana ianya tidak menyihatkan badan bahkan boleh menjejaskan kesihatan yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup.
 

 
 

Selasa, 13 September 2016

MELAYU YANG JADONG.




'Jadong' satu perkataan yang baru bagi saya. Ianya gabungan tiga perkataan yang menjelaskan sesuatu sifat, dan sudah tentu sifat itu merujuk kepada sifat manusia, khususnya manusia Melayu. 

Jahat, Bodoh dan Sombong itulah Jadong. Orang Melayu, tidak pula ada statistik yang menyokongnya, sebahagian besarnya adalah Jadong. Sekurang-kurang itulah persepsi saya, dan mereka yang menciptakan perkataan itu.

Apa yang telah dan sedang berlaku menjadi asas kepada persepsi saya itu. 

Bahawa orang Melayu suka yang jahat-jahat walaupun kejahatan itu merupakan perkara yang mereka benci dan kutuk, sekurang-kurangnya mereka tunjukkan melalui pertuturan mahupun tulisan. Apa yang tersembunyi dalam hati, saya tidak tahu. Allah saja yang tahu.

Bahawa orang Melayu itu bodoh dan suka kekal bodoh dan dibodohkan. Yang penting bagi orang Melayu ialah menjadi penerima dan pengguna kerana menerima dan mengguna tidak perlu banyak menggunakan otak dan berusaha serta bekerja kuat. Menjadi orang miskin bukan sesuatu yang menggusarkan orang Melayu asalkan ada pihak yang bersedia memberi.

Bahawa orang Melayu adalah Sombong. Sombong dengan sifat keMelayuannya yang halus budi bahasa dan yang taat setia tidak berbelah bagi sehingga percaya mereka adalah tuan walaupun hidup dalam kemiskinan. 

Itulah Jadong. Melayu yang Jadong -yang Jahat, Bodoh dan Sombong.

Saya percaya, majoriti Melayu adalah Jadong. Sebab tanpa majoriti yang Jadong, sifat itu akan terkubur.

Ini bererti ada segolongan kecil Melayu yang tidak termasuk dalam kumpulan Jadong. Tapi mereka adalah lebih Jadong dari majoriti Melayu yang jadong. Kerana orang yang lebih jahat, lebih bodoh dan lebih sombong saja yang dapat menguasai mereka dalam sifat yang sama. Kata orang, pencuri saja yang boleh tangkap pencuri.

Dengan lebih Jadong, Melayu kumpulan yang kecil ini dapat mengekalkan kedudukan mereka bertahta, menguasai majoriti Melayu yang jadong. Mereka ini memegang tampok kuasa. Mereka ini menguasai sumber kekayaan negara. Mereka ini berjaya menguasai emosi majoriti Melayu yang jadong. 

Kelihatan mereka ini adalah pemurah, penyayang dan pengasih keatas majoriti Melayu yang jadong. 
 
Mereka mahu mengekalkan majoriti Melayu sebagai jadong kerana yang jadong sajalah yang akan kekal menjadi penerima dan pengguna, yang malas berfikir, yang tidak mahu beusaha dan bekerja kuat dan yang sentiasa mengharapkan suapan. Yang jadong sajalah yang mudah dimainkan emosinya.

Sebut saja Ketuanan Melayu, laung saja kata-kata itu maka secara beremosi dan spontan Melayu yang majoriti akan menyambutnya dengan teriakan dan laungan Hidup Melayu yang bukan saja membawa maksud Melayu bahkan terseret sekali Agama dan Negara. 

Dengan demikian jangan 'usik' agama mereka dan jangan cuba menjadi tuan di negara mereka. Melatah dan mengamoklah mereka.

Walaupun agama menjadi teriakan kebanggaan mereka, ianya tidak bermakna mereka adalah beriman sepenuhnya kepada apa yang diajar dalam agama mereka. Mereka masih lagi mahu jadi jadong -Jahat, Bodoh dan Sombong.

Tidak juga mereka sayangkan negara kerana apapun yang dilakukan oleh kumpulan Melayu yang kecil yang berkuasa yang boleh merosakkan negara tidak menjadi hal kepada mereka asalkan mereka kekal menerima suapan.

Bangsa, Agama dan Negara a dalah resepi yang ampuh sebagai alat bagi mempengaruhi fikiran dan emosi mereka untuk sentiasa bersama mempertahan dan mengekalkan  sifat JADONG Melayu itu. 

Jadong itu adalah resepi yang perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun Demi Melayu, Demi Islam dan Demi Negara. Dan matlamat sebenarnyaDemi Mengekalkan Elit Melayu Yang Berkuasa.

Kalau tidak percaya renunglah perkara-perkara berikut dalam hal yang berkaitan dengan satu contoh saja iaitu 1MDB. Lihat bagaimana sikap dan pendirian Melayu majoriti sama ada yang kaya atau miskin dan yang berpendidikan atau sebaliknya.

1. Apabila timbul kegusaran tentang 1MDB yang boleh membei kesan kepada kewangan negara.

Apakah pendirian Melayu.

2, Apabila telah jelas dan diakui sendiri oleh yang punya akaun bahawa ada wang masuk ke dalam akaun peribadi.

Apakah hujah orang melayu.
 
3. Apabila telah didedahkan pihak penyiasat USA tentang kecurangan individu tertentu yang menyalahi undang-undang di negara tersebut berkiatan pengubahan wang haram yang bersumberkan wang 1MDB.

Adakah orang Melayu ambil peduli. Tidakkah Melayu merasa malu kerana nama baik pimpinan telah dengan dinyatakan dengan jelas. Dan mengapa tidak merasa malu apabila negara asing pula mahu menjaga kepentingan 1MDB dengan bertindak menyaman individu-individu yang telah mencuri wang 1MDB sedangkan tidak ada tindakan dari negara kita untuk mendapatkan semula wang yang telah dicuri.

4. Apabila ada menteri dan bekas menteri telah secara jelas mengatakan bahawa terdapat kaitan yang jelas masalah 1MDB dengan kepimpinan.

Apakah yang dilakukan oleh orang Melayu.

Saya ada hanya satu jawapan iaitu bahawa orang Melayu masih lagi mahu kekal menjadi JADONG. 

Sabtu, 10 September 2016

Masih Lagi Salam Mahathir -Anwar: Apa Maksud Sebenarnya.




Salam Mahathir - Anwar, usahlah salam itu menjadi igauan dan bicara diri!!!!!??????

Ada yang menyeru seperti itu mengharapkan salam itu tidak perlu dihebuh-hebuhkan, bahawa ianya satu salam biasa-biasa saja yang dilakukan oleh siapa saja. 

Ada pula yang bertanya mengapa jadi begitu, dengan rasa kehairanan, tidak percaya, dan ada yang berprasangka.Tidak mungkin salam itu dibiarkan begitu saja seperti angin berlalu, kata sebahagian yang lain.

Tidak mungkin salam itu cepat sejuknya. Kerana Salam itu adalah salam yang mempunyai nilai sejarah, tafsir sebahagian yang lain.

Apa pun, bagi saya, salam Mahathir - Anwar itu adalah bukan sembarangan salam. Ianya  bukan salam pada hari raya. Tidak juga salam semasa sama-sama dalam kerajaan atau salam kerana adat orang bersua muka. Tidak juga salam antara dua musuh untuk mencari jalan damai.

Jadi apa jenis salam Mahathir - Anwar ini? 

Dikalangan musuh Mahathir, secara khususnya orang UMNO, pengikut dan pemimpin yang setia kepada Presiden UMNO, DS Najib, salam Mahathir itu dikategorikan sebagai salam orang yang terdesak. Salam orang politik yang sudah terdesak.

Lalu atas kepercayaan dan sangkaan seperti itu, mereka memandang lekeh akan salam Mahathir itu dari segi mendapat sokongan dan pengaruh politik.  

Kata mereka parti Mahathir, yang mengambil nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang baru saja diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Syarikat (ROS) tidak akan mampu mengalahkan UMNO/BN, kerana tidak ada kekuatan sokongan, dan dengan sebab itu menjadikan Mahathir terdesak untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH), sedangkan PH kata mereka tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekejasama dengan parti Mahathir. 

Namun ada pula yang mengambil kedudukan berwaspada, jangan pandang rengan. 

Dan ada yang dengan sengaja menjadi tidak waras dalam otak kepala. Lalu tanpa rasa malu dengan segera menggunakan perkataan-perkataan dan ayat-ayat lucah menjelmakan sikap mereka tehadap salam tersebut yang menyerlahkan lagi sifat benci dan hasad dihati mereka terhadap Anwar khususnya, sambil menyalahkan Mahathir yang dikatakan sanggup tunduk pada musuh ketatnya demi kepentingan politik diri.

Lihat, Mahathir datang ke mahkamah bersalam dengan Anwar, Anwar juga yang disalahkan. Apa ada kena mengena salam itu dengan kes liwat, satu dakwaan politik yang amat menjijikkan itu.

Saya ingin bertanya: Mengapa celupar dan menghinakan diri sendiri? Adakah itu satu dari ciri-ciri yang perlu ada dalam parti yang dianggotai?

Usahlah salam itu menjadi igauan sesiapa. Tidak perlu salam itu menjadi bicara diri . Kalau tidak mampu melihat sisi positif salam itu, lihatlah salam itu sebagai satu yang biasa-biasa saja.

Baiklah. 

Salam Mahathir - Anwar itu bolehlah saya bersetuju sebagai salam orang yang terdesak. Orang yang terdesak itu adalah Mahathir bukan Anwar. Salam itu bukan salam perdamaian diantara orang yang bermusuh, atau salam untuk memohon kemaafan atas kesalahan yang telah dilakukan. Tidak juga salam yang biasa-biasa sewaktu bersua muka.

Ertinya Anwar menyambut salam Mahathir itu merangkumi hal yang lebih besar dari liputan itu. Menjangkau jauh demi masa depan negara. Demi generasi dan anak cucu kita untuk kelangsungan masa depan yang lebih baik.

Sambutan tangan Anwar menggenggam tangan Mahathir bukan bertujuan untuk menerima permohonan maaf Mahathir atas kezaliman yang telah ditimpakan oleh Mahathir keatas Anwar dan keluarga Anwar.  Kerana Anwar telah berulang kali mengatakan bahawa dia sendiri telah memaafkan Mahathir.

Keluarga Anwar iatu Dr Wan Azizah, Nurul Izah dan Nurul Nuha, walaupun nampaknya tidak dapat bersikap sepenuhnya seperti Anwar, juga bersetuju dengan salam yang disambut oleh Anwar itu. Jadi tidak timbul keluarga Anwar mahukan Mahathir memohon maaf.

Lagipun Mahathir sendiri menyatakan salamnya bukan salam perdamaian.  Jadi tidak keterlaluan untuk kita menerima bahawa salam Mahathir adalah salam politik bagi orang yang terdesak. Salamnya adalah salam untuk faedah jangka pendek, untuk kepentingan diri dan mereka yang mempunyai kepentingan yang sama dengannya.

Namun begitu, ada satu yang sama yang mahu dicapai oleh Mahathir dan Anwar iaitu bagi menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipimpin dan dianggotai oleh pimpinan serta sebahagian pengikut yang sedang membawa negara kepada kehancuran.

Jika Najib dapat dijatuhkan, dan jika UMNO/BN dapat ditumbangkan, ianya sudah cukup untuk mahathir dan sekutu-sekutunya.

Bagi Anwar pula, matlamatnya mencakupi lebih dari itu iaitu satu reformasi bukan saja bagi menumbangkan pemimpin dan parti pemerintah yang membawa kehancuran kepada negara bahkan untuk menyusun dan memperbaikki dan melaksanakan satu sistem kenegaraan yang berteraskan tadbir urus yang tulus dan telus demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sebab itulah Anwar sedia menyambut salam yang dihulurkan oleh Mahathir. Dan sudah tentu ianya satu strategi politik kerana salam Mahathir itu juga bermotifkan politik. Saya percaya Anwar juga berfikiran bahawa kerjasama diantara parti-parti pembangkang adalah satu pilihan terbaik bagi menumbangkan pemerintah yang ada. Sama juga dengan apa yang dipercayai oleh Mahathir kerana katanya jika mahu tumbangkan UMNO/BN pembangkang mesti bekerjasama.

Hanya kita mendoakan selepas pemerintah dapat ditumbang dan kerajaan baru dapat ditubuhkan, sebuah kerajaan yang lebih baik demi negra dan rakyat dapat ditubuhkan.

Tapi soalnya, jika usia Mahathir masih lagi ada, apakah kesalahan-kesalahan yang telah beliau lakukan itu perlu dibawa ke muka pengadilan?

Anwar pernah mengatakan bahawa Mahathir telah lanjut usianya, dan memejarakan Mahathir pada usia sedemikian bukan satu pilihan yang sesuai. Anwar juga pernah berkata, kurang lebih bahawa dia memaafkan kesalahan Mahathir terhadap dirinya tetapi kesalahan Mahathir terhadap rakyat dan negara adalah ditentukan oleh rakyat.

Jadi masa depan kerjasama politik yang bermula dengan salam Mahathir pada Anwar ini masih lagi boleh menjadi pertanyaan.

Selasa, 6 September 2016

Merealisasikan Harapan Negara dan Rakyat: Apa Pilihan Anda




Ada tiga personaliti yang mengisi sebahagian besar fikiran rakyat ketika ini.  Mereka menjadi personaliti harapan rakyat. Saya hanya menggunakan ganti nama personaliti-personaliti itu dengan huruf M, A dan N. 

Saya boleh teka bahawa anda semua sudah mula mahu ketawa. 
Saya amat memahaminya.

Tidak mengapa. Saya hanya mahu bertanya: Diantara M, A dan N yang mana satu anda pilih? Hanya pilih satu sahaja. Tidak boleh pilih kombinasi dua atau tiga kerana pengalaman menunjukkan bahawa kombinasi sedemikian adalah tidak serasi. 

Walaupun M, A dan N itu jika digabungkan akan melahirkan manusia iaitu MAN, makhluk ciptaan Allah yang terbaik, tapi dalam hal yang diketengahkan ini, ianya tidak jadi begitu. Banyak membawa kerosakan dari kebaikan.

Sifat buruk M yang tidak boleh ditinggalkan ialah tiada yang lebih utama dari M. Dialah yang pertama. Dialah yang teratas. Dialah yang mendahului.Oleh itu apa pun kombinasi yang hendak dicadang atau diusahakan, sebutan M mesti mendahului A mahu pun N. Susunan dari kiri ke kanan mesti bermula dengan M. Susunan dari atas ke bawah juga mesti juga bermula dengan M.

Bahkan jika diterjemahkan ke tulisan jawi, M sebagai Mim, A sebagai Alif dan N sebagai Nun, peraturan susunan huruf jawi yang bermula dari kanan ke kiri juga mesti dipakai untuk Mim.

A dan N juga tidak serasi. N terlalu suka berkhayal dan syok sendiri sehingga dalam banyak keadaan sama ada secara sedar atau tidak, N tidak ambil kisah tentang harga dan maruah diri. Katalah apa yang mahu dikata, cercalah selama mana yang dimahukan, N yang digoda dengan perasaan syok sendiri akan terus berbangga dalam setiap penampilannya. Banyak pujian dan ampuan yang diterima, lagi panjanglah khayalan si N itu.

Yang demikian pilihan kombinasi dua atau tiga tidak akan dapat merealisasikan Harapan Rakyat.

Hanya pilih satu sahaja, jika mahukan harapan rakyat menjadi kenyataan.  

Nampaknya M bukan pilihan yang baik kerana penting diri sendiri. Oleh itu dengan apa cara sekalipun sama ada sah atau tidak sah, dan sebagainya, asalkan diri sendiri nendapat untung dan faedah melebihi yang lain, M sedia melakukannya.

N jika dipilih, menjadi hancurlah harapan rakyat kerana seperti Mat Jenin, N tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu kesan buruk kepada rakyat dan negara kerana terlalu berkhayal dan syok sendiri. N juga seperti Pak Kaduk, menang sorak kampong tergadai.

M boleh diketepikan. Lupakan saja N. Anda hanya ada satu pilihan iaitu A.

Pilihlah A?

Nanti dulu. Jangan terburu-buru kerana harapan rakyat dan negara terlalu besar. Fikir panjang-panjang.

Bagi saya A wajar dipilih. Dan saya yakin A mampu membawa kebaikan kepada negara dan rakyat. Namun begitu, fikiran saya agak terganggu apabila M  mendekati A, seolah-olah M mahu jadikan satu kombinasai diantara A dan M, bagi merealisasikan Harapan Rakyat dan Negara.

Seperti yang dinyatakan diatas, sama seperti anda, saya juga hanya boleh memilih satu saja, bukan kombinasi. Maka A adalah pilihan saya.

Sebaliknya jika A bersedia untuk berkombinasi dengan M, saya merasakan ianya tidak akan menguntungkan negara dan rakyat. Ianya satu kombinasi, dan jika terpaksa rakyat memilihnya, adalah satu pilihan yang cacat.

Kerana M tetap M dengan sifat-sifat diri yang sentiasa mahu menjadi yang pertama, utama dan mendahului yang lain, dengan apa cara sekalipun.  

Cuma saya merasa agak lega apabila memikirkan bahawa M seperti kita juga ada tarikh penamatnya.

Isnin, 5 September 2016

MAHATHIR SALAM ANWAR




Mahathir salam Anwar setelah 18 tahun tidak bersalaman. Satu berita yang viral ketika ini.
 
Saya katakan bahawa Mahathir yang salam Anwar, bukan Anwar salam Mahathir. Mereka bersalaman setelah salam Mahathir disambut oleh Anwar. Ertinya Mahathir mencari Anwar. Itu adalah tafsiran saya. Saya tidak nampak ianya salam perdamaian atau saling maaf memafkan.
 
Untuk tujuan apa?
 
Sudah tentu salam Mahathir itu bukan salam persahabatan. Bukan juga salam mengunjungi seorang sahabat yang lama tidak bersua muka untuk bertanya khabar. Tidak juga salam untuk menyatakan rasa kesal diatas apa saja kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukannya terhadap Anwar, jauh lagi untuk mohon kemaafan. Ertinya bukan salam yang menyangkut hati demi menyambung kasih sayang, buang yang keruh ambil yang jernih.
 
Setakat sekarang , seperti yang boleh dilihat dari riak wajah dan kata-kata Mahathir, salam yang dihulurkan bukan bagi tujuan untuk berdamai dan menyambung semula persahabtan yang telah menjadi rosak semenjak 18 tahun yang lepas.
 
Salam Mahathir adalah salam untuk memudahkan kerja beliau bagi mencapai matlamatnya untuk menjatuhkan PM Najib. Dan sekarang ditambah lagi untuk mengalahkan UMNO/BN dalam PRU 14.
 
Setakat sekarang apa yang beliau dan geng lakukan bagi menjatuhkan PM Najib nampaknya belum begitu berkesan. Kata orang, beliau sudah terdesak, memerlukan bantuan dari mana-mana dan siapa saja dalam misinya untuk menjatuhkan Najib dan mengalahkan UMNO.
 
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Mahathir menghalalkan cara untuk mencapai matlamat itu walaupun cara itu amat berat untuk beliau lakukan.
 
Menghadiri mahkamah untuk bersalaman dengan Anwar bukan satu perkara yang mudah untuk hati beliau bersetuju. Beliau menelan ego dan kebencian yang masih ada terhadap Anwar demi satu tujuan iaitu menjatuhkan Najib. Apa saja yang dilakukan oleh Najib misalnya dalam kes Undang-undang MKN, jika dapat dihalang, beliau akan merasa satu kejayaan. 
 
Dan apabila Anwar mengemukakan injunksi bagi undang-undang MKN ini, Mahathir nampak ianya satu peluang untuk bekerjasama dengan Anwar. Maka berlakulah salam di mahkamah yang dihulurkan oleh Mahathir dan disambut oleh Anwar.
 
Saya tidak hairan mengapa Anwar menyambut salam Mahathir. Anwar sebenarnya telah lama memafkan Mahathir. Tetapi rakyat belum tentu memafkan Mahathir atas kezaliman dan salah guna kuasa semasa memerintah selama 22 tahun.
 
Jadi apabila Mahathir sendiri datang ke mahkamah untuk bersalaman, ianya bukan satu perkara yang pelik bagi Anwar. Salam disambut.
 
Bagimana pula pendapat dan tafsiran anda tentang salam yang dilakukan oleh dua pemimpin ini.
 
Bagi saya, Mahathir masih lagi tidak mahu menyatakan kekesalannya terhadap apa yang telah dilakukan keatas Anwar. Egonya dalam hal ini terlalu tegar untuk diketepikan. Saya tidak tahu sampai bila Mahathir akan menyatakan kekesalannya itu dan mohon maaf dari Anwar dan keluarga. Sesungguhnya saya amat mengharapkan perkara itu berlaku. Hanya Allah yang maha mengetahui.