Theflowersellingboy

Isnin, 22 Ogos 2016

"Kami Bersetuju, Dato' Seri".




Jika ada orang bertanya siapakah yang akan menang dalam pertarungan politik, diantara mantan PM Mahathir dan geng, dan PM sekarang Najib, dan geng. 
 
Apakah jawapan anda?
 
Sebelum anda mahu memberi jawapan, saya tetapkan terlebih dahulu jajaran yang perlu anda patuhi. Bahawa bagi saya pertempuran antara dua PM ini (mantan dan semasa) adalah satu pertempuran politik, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
 
Ertinya jika kedua-dua belah pihak termasuk para penyokong mereka , begitu teruja mendakwa bahawa pertempuran mereka adalah demi rakyat dan bagi kepentingan negara, maka ketawakanlah saja sampai gusi anda menjadi kering, dan ketawakanlah dengan suara yang terbahak bahak.
 
Ya, saya sudah sekian lama ketawa terbahak-bahak. Sekarang sudah masuk ke peringkat meluat dan menyampah.

Oleh yang demikian anda jangan sekali-kali cuba menggunakan masa anda walaupun sesaat cuma untuk mencari atau memberi jawapan dengan melihat dari segi nilai kebenaran. Siapa yang benar dan siapa yang salah, bukan satu kiraan dan pertimbangan politik.

Anda akan kecewa jika kebenaran yang anda mahu cari!

Anda jawablah sendiri menurut jajaran yang saya tetapkan diatas.
 
Jawapan saya begini:
 
Bagi saya pertempuran mereka itu adalah bagi memilikki sesuatu  demi kepentingan, kelangsungan kedudukan mereka agar hidup mereka di dunia berterusan selesa dan selamat.

Di Malaysia, memiliki kuasa politik, dengan apa cara sekalipun, adalah segala-galanya. Ianya puncak yang perlu direbut dan ditawani terlebih dahulu. Bahkan wang yang dipercayai adalah segala-galanya juga adalah perlu bermula dengan penguasaan politik.
 
Tiada kuasa politik dipuncak, 
i) Lupakan saja kuasa ekonomi. 
ii) Lupakan saja untuk menjadi orang kaya dan hidup bermewah melampaui rezeki yang halal. 
iii) Lupakan saja untuk mendapat pengikut dan penyokong yang bersuara lantang lagak berani mati  dan tanpa malu-malu membela apa saja tindak laku walaupun bersifat  keji dan batil. iv) Lupakan saja untuk mendapat pengikut dan penyokong yang berpendidikan tinggi, berpengetahuan dan berilmu bertukar menjadi manusia yang tidak rasional, menghina dan merendahkan martabat ilmu mereka.
v) Lupakan saja untuk bertindak sesuka hati melampaui peraturan dan undang-undang. 
vi) Lupakan saja para dermawan yang dengan rela hati menghulurkan bantuan dan pertolongan. 
vii) Lupakan saja dari terlepas tuduhan, siasatan dan diheret ke muka mahkamah atas dakwaan melakukan kesalahan yang terang lagi nyata.
viii) Lupakan saja untuk menghimpunkan orang dalam bilangan sejauh mata memandang untuk hadir mendengar temberang dan penipuan. 
ix) Lupakan saja untuk menunjukkan sifat baik hati dan pemurah dengan menabur budi dalam berbagai bentuk dan cara, dan membiayai kos bagi hal-hal yang memang di tunggu dan diharap-harapkan oleh ramai orang walaupun sekali dalam seumur hidup mereka.
 
Hanya dengan anda berada dipuncak kuasa politik, lupaan-lupaan diatas akan terkubur dengan sendirinya. Anda akan dapat segala-galanya jika anda dipuncak kuasa politik. 
 
Yang paling menakjubkan dan menyeronokkan ialah  anda mampu menjadikan orang bodoh menjadi lebih bodoh dan yang pandai boleh bersedia untuk menjadi dungu. 
 
Cuma perlu diingatkan bahawa ketakjuban itu hanya boleh berlaku di Malaysia saja. Tidak di Jepun. Tidak di Korea. Tidak juga di negara-negara barat yang selalu kita cap sebagai negara kafir yang rendah moral.
 
Saya percaya anda masih lagi belum ketemu jawapan saya iaitu siapakah yang menang dalam pertempuran politik antara Mahathir dan Najib. Sebenarnya saya telah secara tidak langsung telah menyatakan pemenangnya.
 
Antara Mahathir dan Najib tidak ada beza, dilihat dari segi politik. Kedua-dua berada dipuncak kuasa politik. Kedua-dua menggunakan kuasa politik melampaui etika dan konvensyen amalan politik dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Dengan sebab itu kedua-dua boleh berkata, "Aku punya sukalah".

Ertinya kedua-duanya adalah pemenang politik. Namun oleh kerana ketika ini Najib berada dipuncak kuasa politik, pertempuran politik dengan Mahathir sudah semestinya akan dimenangi oleh Najib. Kerana Najib  pada ketika ini boleh berkata, "Aku punya sukalah". Dan ramai pula dari berbagai latarbelakang yang akan berkata , "Kami bersetuju, Dato' Seri".
 

Ahad, 21 Ogos 2016

Gunakan Perkhidmatan Grab, kerana Harganynya Munasabah dan Murah




Empat hari berehat tanpa meninjau blog. Berehat makan angin di Pulau Pinang setelah berpuluh tahun tidak menjejaki pulau mutiara itu.
 
Banyak yang telah berubah. Terasa macam kali pertama melawat P.Pinang.
 
Anak ajak makan angin di P.Pinang. Sebenarnya saya dan isteri, tidak diajak bersamapun tidak menjadi hal. Kami lebih suka duduk di rumah. Tambahan lagi jika perjalanan itu dengan kapal terbang, kami terlalu phobia sedangkan perjalanan udara itu bukan perkara baru kepada kami berdua.
 
Tapi disebabkan anak mahukan kami mengikutnya, kami bersetuju.
 
Kami sampai di Pulau Pinang pada 17.8.16, pukul 9 pagi. Bertolak ke George Town dengan teksi menujuhotel St.Giles Wembley, berdekatan dengan Komtar.. Setelah daftar masuh kami tidak buang masa terus menghubungi 'grab' untuk membawa kami ke Bukit Bendera.
 
Lain sungguh dari Bukit Bendera dulu.
 
Kami beratur untuk naik train. Semasa beratur, masih lagi manusia-manusia yang cuba mahu potong 'q'. Namun begitu ianya tidak melibatkan warga Malaysia. Yang suka potong q itu dari negara luar. Tidak perlu di namakan negara itu, cukup sekadar mengatakan ianya amat memalukan kepada kita yang beragama Islam.
 
Kami mengambil masa kurang lebih satu jam untuk melihat tinjau dan bergambar serta makan tengah hari. Layanan pekerja-pekerja termasuk yang membawa kami bersiar dengan menggunakan buggy amat baik sekali. Pengetahuan mereka tentang tempat yang dilwati amat baik sekali. Percakapan amat santun.
 
Harga makanan amat menyenangkan hati. Kami menjangkakan harga makanan di kawasan pelancung tentunya mahl. Tapi jangkaan itu sungguh meleset. Harganya tidak mahal. Sama dengan tempat bukan pelancung.
 
Pada hari kedua kami tinggal di hotel Shangrilla Rasa Sayang. Seronok juga. 
 
Satu perkara yang perlu dinyatakan ialah setiap tempat yang kami mahu pergi kami gunakan perkhidmatan grab, bukan teksi atau sewa kereta. Perkhidmatannya baik sekali dengan pemandunya yang peramah. Yang paling penting harganya murah.
 

Isnin, 15 Ogos 2016

Menghapuskan Rasuah: Mari Kita Sama Berdoa Agar SPRM Menjadi Sebuah Badan Bebas.


 
 
Dilaporkan oleh beberapa portal berita bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru akan memberi fokus keatas perkhidmatan awam untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang bersih dari perlakuan rasuah.
 
"Kalau sudah rasa panas, datanglah", adalah antara kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau sebagai diantara pendekatannya melawan rasuah. Saya tafsirkan kata-kata itu lebih ditujukan kepada penjawat awam.
 
Baik. Apa yang dinyatakan itu adalah azam dan komitmen Ketua Pesuruhjaya itu dalam melawan rasuah. Saya percaya beliau akan melakukannya dengan penuh kesungguhan. Dan diharapkan dengan penuh keberanian, melaksanakan tugas atas prinsip BERANI KERANA BENAR.

Apa pula respons kita sebagai rakyat yang benci pada rasuah?
 
Sebagai rakyat saya percaya kita boleh dan wajar membantu tanggungjawab murni yang dijalankan oleh SPRM ini. Kita boleh menyalurkan maklumat atas perbuatan songsang, haram dan durjana yang boleh merosakkan negara kita yang aman dan kaya dengan sumber anugerah Allah. Paling mudah, tanpa kos, kita boleh iringkan doa kita setiap kali selepas solat. Doakan kejayaan dan keselamatan mereka.
 
Hasil pertolongan kita itu, insya Allah boleh menyelamatkan negara dari sebuah negara yang kaya menjadi negara yang miskin, dan rakyat boleh hidup dengan aman serta kekayaan negara dapat di agihkan dengan adil dan saksama.
 
Melawan rasuah, risikonya amat besar sekali, 'very, very high risk'. Nyawa boleh terbang.
 
Doa kita boleh membuatkan warga SPRM menjadi jitu dan lebih cekal dalam menghadapi apa saja cabaran. 
 
Sudah tentu kita tidak perlu menunggu mereka mengadakan solat hajat beramai-ramai seperti yang berlaku baru-baru ini. Biarlah kita mendahului mereka kerana mereka bekerja untuk kita juga, demi negara.

Baik. Itu respons yang wajar kita berikan sebagai menyokong azam Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu.
 
Adakah itu sudah memadai? 

Apa sebenarnya yang kita mahu dalam hal melawan rasuah ini?

Sudah tentu kita mahu perlakuan rasuah dihapuskan sepenuhnya, meliputi dan merangkumi semua. Ertinya kita mahu rakyat bebas rasuah sama ada  sebagai pemberi dan penerima rasuah. Ini ideal kita untuk menjadi sebuah negara yang berintegriti.
 
Tapi mampukah SPRM dalam bentuk struktur yang melakukannya? Adakah caveat boleh mencelah dalam setiap atau kes-kes tertentu yang diambil oleh SPRM.
 
Dalam pertanyaan yang mudah, BEBAS kah SPRM dalam menjalankan tugas tanpa celahan, sekatan, kacau ganggu dari mana-mana pihak?
 
Tidak. Dalam struktur yang ada, cita-cita untuk sebuah Malaysia yang bebas rasuah hanya merupakan satu impian indah dan murni saja. Impian tidak mungkin jadi realiti. Dan paling ditakuti akan menjadi satu impian yang NGERI.
 
Sebaik manapun ketuanya, secekap mana warganya menjalankan tugas, selagi mereka tertakluk kepada seseorang yang berkuasa menentukan kedudukan dan masa depan, impian tidak mungkin jadi realiti.  
 
Saya tidak perlu mengemukakan bukti!  
 
Oleh itu, saya tidak hairan dengan kenyataan Ketua PSRM sama ada yang baru atau pendahulu-pendahulunya bahawa beliau akan memberi fokus kepada perkhidmatan awam. Beliau mahu sebuah perkhidmatan awam yang bersih.
 
Kenapa perkhidmatan awam saja? Ada sekatan untuk meliputi dan merangkumi selain perkhidmatan awam dan warga swasta?
 
Tidak boleh dinafikan ada dikalangan penjawat awam yang sememangnya jahat dan suka melakukan rasuah.  Mereka mesti dinyahkan dari perkhidmatan awam. Tiada maaf bagimu!

Tapi satu hakikat mesti diterima bahawa penjawat awam bekerja adalah atas arahan. Sebab itu dalam setiap surat yang ditandatangani ada aku janji mereka, 'Saya Yang Menurut Perintah'.

Bukanlah bermakna mereka sentiasa menerima perintah dari pihak atasan untuk bersubahat melakukn rasuah. Namun akujanji mereka itu ada risikonya. 

Jika ada arahan yang bertentangan dengan peraturan yang boleh menyebabkan ketirisan, kerugian dan amalan rasuah, penjawat awam itu boleh mengambil pendirian tertentu. 
 
Jika mereka ada kekuatan dan keberanian, mereka akan menyatakan bahawa jika arahan itu dipersetujui kesannya buruk sekali kepada jabatan dan negara termasuk dirinya sendiri.

Tapi, risikonya tinggi. Masa depannya boleh bertukar jadi gelap. Mereka boleh disejukbekukan.  Melainkan mereka hanya takut dan tunduk kepada perintah Allah.

Berapa orang yang ada kekuatan untuk berbuat begitu? 
 
Banyak yang senyap dan akur kerana kedudukan mereka adalah ibarat sebagai 'telan mati emak, luah mati bapa'.
 
Saya tidak perlu mengemukakan statistik bagi menyokong hujah saya itu. Cukuplah dengan mentafsirkan peristiwa yang telah dan sedang berlaku.

Apa pun kita wajar optimis dengan apa yang dijanjikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu. Kita iringkan doa agar beliau dan warga SPRM diberikan kekutan dan keberanian, dan sentiasa dilindungi Allah dalam menjalankan tugas yang murni itu.

Dan jangan lupa setiap selepas solat kita mohon kepada Allah agar SPRM dijadikan sebuah badan bebas yang tidak tertakluk kepada mana-mana pihak atau orang perseorangan yang ada kuasa.
 

 
 
 

Jumaat, 12 Ogos 2016

Malaysia Is Going Dowbhilll, kata Tun Musa bekas TPM. Malaysia Menjunam Ke Dalam Gaung, kata Saya.




Malaysia is going downhill, kata Tun Musa Hitam bekas TPM.
 
Saya menyifatkan 'downhill' itu sebagai gaung. Jadi secara kasar saya terjemahkan kata-kata Tun Musa itu sebagai, 'Malaysia sedang menjunam ke dalam gaung'.

Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang gagal ( A Failed State). Itu yang Tun Musa simpulkan.

Kenyataan ini amat berat dan serious sekali. Perdana Menteri DS Najib sepatutnya tidak berlengah untuk memberi respons. 
 
Kenyataan Malaysia sebuah negara yang gagal bukan perkara baru. Ianya telah diucapkan oleh YB Lim Kit Siang (DAP). 
 
Memang benar, DS Najib pernah menafikan kenyataan dari YB Lim Kit Siang itu, dengan mengatakan Malaysia bukan sebuah negara yang gagal.

Biasanya kenyataan dari pembangkang walaupun ada asas yang kukuh, mudah saja dinafikan oleh kerajaan, dan sebahagian besar rakyat percaya dan memihak kepada kerajaan.
 
Sama juga dalam kes 1MDB yang telah di tegur oleh mantan Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim. Kerajaan menafikannya dengan mengatakan 1MDB masih sihat walafiat, jangan risau.
 
Apabila Tun Mahathir (mantan PM 22 tahun dari kerajaan parti yang sama)  dalam beberapa tahun kemudiannya mencelah dengan mengkritik 1MDB, kerajaan sedikit terganggu dengan kritikan itu. Tapi masih lagi menafikan kelemahan 1MDB.
 
Sebelum Tun Mahathir mencelah,    YB Rafizi (PKR) dan YB Tony Phua (DAP), sebagai meneruskan apa yang telah dibangkitkan oleh DS Anwar (Anwar berada dalam penjara) telah dengan rancak membangkitkan ketempangan dan kecelaruan dalam urustadbir 1MDB, tapi kerajaan macam biasa tidak ambil kisah dan meremehkannya malah mempertahankan kesihatan 1MDB yang tenat itu. (Rujuk kepada pendedahan DoJ Amerika Serikat baru-baru ini).

Oleh itu adalah menjadi satu kebiasaan bahawa setiap yang datang dari pembangkang terus dinafikan kebenarannya tanpa mahu melihat fakta dan asas-asas yang dikemukakan dalam sesuatu teguran dan kritikan.

Bagaimana pula dengan kenyataan yang berat dari Tun Musa? (mantan TPM dari pimpinan kerajaan parti yang sama). Masih  tidak mahu respons atau respons dengan penafian?

Kita tunggu. Tapi jangan lama-lama. Jangan tunggu lama-lama nanti kerajaan dikebas orang!

Simptom sebuah negara yang akan menjunam ke dalam gaung susah untuk disembunyikan.

Simptom awal ialah sindrom penafian, terutama sekali jika datangnya dari kritikan dan teguran pembangkang.

Nampaknya penafian bukan satu kekecualian, ianya satu perkara biasa atau 'normal' dalam sistem operasi kerajaan ketika ini. Sebab itulah Tun Musa amat risau dan takut dengan "so many normals".

Pembunuhan dan gejala jenayah yang berlaku dihadapan mata , sudah menjadi satu perkara biasa ketika ini. Sudah normal. Rasuah dan pengubahan wang haram, penyelewangan dan pecah amanah adalah juga sudah jadi perkara biasa. Kesempitan hidup rakyat akibat kenaikan kos sara hidup adalah dipandang sebagai perkara biasa, sesuatu yang normal.
 
Maka jika rakyat mengadu kepada kepimpinan kerajaan atau kepimpinan kerajaan mendapat maklumat tentang rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, respons yang diterima biasanya menunjukkan sikap yang tidak serious dari kepimpinan kerajaan itu. 
 
Antara respons yang selalu diberikan ialah i) jika harga ayam naik, tukar kepada daging, ii) jika harga tol naik, jangan guna jalan bertol, iii) jika sayur kobis naik, tukar makan kangkong.
 
Adakah itu satu jalan penyelesaian?
 
Respons seperti itu adalah satu refleksi kepada sikap pimpinan kerajaan yang tidak serious dan ambil berat tentang keperitan hidup rakyat. 'Biasalah', (normal) adalah kata-kata yang mengiringi setiap respons bagi sesuatu masalah yang dihadapi rakyat. Ertinya rakyat kena terima kos kenaikan harga. 
 
Lihat begitu mudah kerajaan menguruskan ekonomi sebuah negara.  Kesusahan yang dibangkitkan oleh rakyat itu dianggap sebagai perkara biasa saja. 
 
Jika mereka serious sudah tentu mereka tidak memberi respons seperti itu tapi mencari jalan agar kos ayam dan tol yang tinggi itu tidak akan menambah beban kepada rakyat. 
 
Kalau begini caranya bagaimana boleh dielakkan negara dari menjunam ke dalam gaung.
 
Saya simpulkan bahawa sekiranya kerajaan meneruskan sidrom penafian sebagai sistem operasinya dan tidak mahu ambil peduli akan segala teguran dan kritikan atas kepincangan tadbir urus sehingga membebankan rakyat dan merugikan negara serta melihat kepincangan itu sebagai sesuatu yang biasa atau terlalu banyak yang 'normals' seperti yang dituturkan oleh Tun Musa, destinasi kita adalah ke arah negara yang gagal bukan negara maju berpendapatan tinggi.
 
Kata Tun Musa negara kita akan menjadi seperti negara Filipina pada satu ketika dulu. Amat menakutkan.
 
Apabila ini menjadi realiti, ianya sudah terlambat bagi rakyat menyalahkan kerajaan. Kerana rakyatlah yang sebenarnya mempertahankan kerajaan yang ada ini terus beroperasi dengan lagak gaya penafian, sombong dan tidak ambil peduli tentang kerosakan yang dilakukan  sehingga merugikan negara dan membebankan kehidupan rakyat.

Waktu itu kita sudah masuk gaung! Tidak mudah untuk keluar dari gaung yang dalam. Lagipun kita jatuh menjunam seperti MH 370 yang sehingga kini tidak tahu dimana kuburnya.
 



Khamis, 11 Ogos 2016

Jika PRU 14 Diadakan UMNO/BN Akan Tetap Menang.




Betul kah PRU 14 akan diadakan pada tahun depan? Hanya PM Najib saja yang boleh memberi jawapan. Yang lain hanya boleh buat tekaan dan ramalan berdasarkan bacaan dari berbagai sudut.

Jika benar, mampukah UMNO/BN bertahan dan mengekalkan kuasa Persekutuan?

Sudah tentu UMNO/BN boleh mengekalkan kuasa. UMNO/BN yakin boleh menang sebab itu berani mengadakan PRU 14 lebih awal  untuk mendapat mandat baru dari rakyat.

Dalam keadaan pembangkang yang bercelaru dan tidak bersatu adalah mustahil UMNO/BN boleh dikalahkan. Apatah lagi PAS sebagai parti pembangkang yang berpengaruh dan kuat menunjukkan kecenderungan untuk  bersendirian bahkan lebih condong kepada memberi kemenangan kepada UMNO.

Bagi PAS biarlah UMNO yang menang asalkan Pakatan Harapan kalah dengan menggunakan strategi bertanding 3 penjuru iaitu UMNO/BN, PAS dan PH (AMANAH, DAP dan PKR).

PAS amat benci dengan DAP kerana DAP menentang Hudud atau sekarang PAS panggil sebagai pindaan kepada Akta 355 walaupun kawan baik UMNO iaitu MCA, MIC dan Gerakan dan juga parti-parti komponen BN di Sabah Sarawak juga dengan lantang menentang hudud atau pindaan Akta 355.

UMNO juga dengan jelas menentang Hudud tapi ianya tidak mengacau fikiran PAS untuk membenci UMNO.

PAS juga berbulu mata dengan AMANAH yang PAS enak memanggil parti itu sebagai PAN. AMANAH mesti dikalahkan, tidak kira oleh PAS atau UMNO. Hilang deposit AMANAH satu kejayaan besar PAS walaupun yang kalahkan AMANAH itu adalah UMNO . PAS akan bertepuk tangan paling kuat diiringi dengan Takbir seolah-olah berjaya di medan perang syahid. Paling puas sekali jika PAS yang mengalahkan AMANAH.

Bagaimana dengan BERSATU parti yang baru saja memohon untuk didaftarkan oleh ROS? Adakah BERSATU dapat menumbangkan UMNO? Adakah BERSATU boleh mendapat kerjasama dengan PH atau parti komponen PH?
 
Mengikut setengah bacaan, parti itu tidak akan didaftarkan sebelum PRU 14. Dengan itu mereka yang dikatakan mewakili BERSATU akan bertanding sebagai calun bebas atau menggunakan/menumpang salah satu parti dalam PH.
 
Sebagai calun bebas, peluang menang terlalu tipis. Tidak mungkin calun bersatu itu mahu merendah diri untuk menumpang parti PH. Bersetujukah PH , calun BERSATU menumpang? Rasanya tidak.
 
Ertinya gerakan yang dibawa oleh Mahathir dan geng-gengnya bagi menumbangkan Najib/UMNO tidak akan berjaya.
 
Oleh itu jika PRU 14 diadakan pada tahun depan UMNO/BN akan tetap menang dan kekal sebagai kerajaan Persekutuan. Bukan itu saja, UMNO/BN akan menguasai Negeri Kelantan dan menambah bilangan kerusi di Perak, Negeri Sembilan, Melaka , Johor dan Pahang.
 
Kejayaan UMNO/BN adalah hasil sumbangan parti PAS yang mahukan AMANAH dan DAP kalah. PKR kalahpun boleh menyenangkan hati PAS walaupun PAS sendiri kalah.
 
Adakah PAS tidak amhu menang dalam pilihanraya? PAS mahu menang terutama di Kelantan. Tapi PAS diKelantan sekarang tidak sekukuh semasa Nik Aziz. Keberangkalian kalah adalah besar sekali.
 
Bagi PAS tidak perlu kecewa jika kalah. Yang penting keredhaan dari Allah. Ini bermakna parti yang menang tidak mendapat keredahaan dari Allah termasuk UMNO gamaknya. Begitupun UMNO/BN menang lebih baik bagi PAS dari DAP , AMANAH dan PKR yang menang.
 
Besar kemungkinan UMNO/BN akan dapat 2/3 semula.
 
Kemenangan UMNO/BN ini adalah sumbangan PAS. Oleh itu PAS akan dapat sesuatu selepas PRU 14
 
Selain faktor PAS, faktor-faktor 'konvensional' seperti dalam PRU yang lepas-lepas seperti daftar pengundi yang dipindah tempat mengundi, kekuatan jentera dan kewangan masih lagi menjadi faktor yang tidak mudah untuk mengalahkan UMNO/BN.
 
Bagaimana dengan kes 1MDB , GST dan berbagai penyelewangan yang membebankan rakyat dan merugikan negara? Rakyat masih pilih UMNO/BN.
 
Ya, itu pilihan yang akan dibuat oleh rakyat khususnya orang Melayu. Bagi orang Melayu UMNO mengatasi salah laku dan penyelewangan. UMNO lebih penting dari menegakkan kebenaran.
 
 
 
 

Selasa, 9 Ogos 2016

RAYUAN PEMIMPIN MELAYU




Mengambil sempena pendedahan DoJ tentang 1MDB, tergerak dihati saya untuk menukilkan sesuatu tentang Bangsa Melayu khususnya atas tajuk RAYUAN PEMIMPIN MELAYU. 

Sebenarnya , ianya telah saya nukilkan pada 9 Ogos 2015 dalam akaun Facebook saya. Sesungguhnya, apa yang terjadi ketika ini adalah buatan kita sendiri, kita ORANG MELAYU. Jangan sekali-kali kita salahkan orang lain atau campur tangan kuasa asing. 

Renungkanlah nukilan saya ini dengan dada dan fikiran terbuka , lepas dari buruk sangka atas apa saja alasan atau sebab atau perspektif politik anda.


RAYUAN PEMIMPIN MELAYU
Pemimpin Melayu tahu siapa itu Melayu
-Melayu itu adalah satu bangsa yang tidak mahu berfikir
-Melayu itu bodoh dan perlu kekal jadi bodoh
-Melayu itu miskin dan perlu kekal jadi miskin
-Melayu itu emosional, emosinya perlu disemarakkan mengatasi daya fikir yang waras

Bicaralah Demi Melayu
orang Melayu lentuk layu dan lesu
kerana Melayu telah diajar:
Demi Melayu....orang melayu merelakan kedurjanaan
Demi Melayu....orang Melayu boleh bersekongkol dengan bukan Melayu, menipu Melayu
Demi Melayu.... orang Melayu boleh menghalalkan apa yang halal disisi islam
Demi Melayu....orang Melayu mesti diperbodohkan dan kekal bodoh

Tapi Pemimpin Melayu tidak pernah beri tahu
bahawa mereka ada agenda DEMI ELIT MELAYU
Demi kelangsungan Elit Melayu kekal berkuasa
memonopoli kekayaan negara

Bagi Pemimpin Melayu
Orang Melayu adalah terlalu penting diperlangsongkan dengan sifatnya
-tidak mahu berfikir
-bodoh tidak berilmu
-miskin dan kekal miskin
-emosi yang mudah disemarakkan

Demi Melayu....laung mereka
Orang Melayu jawab: HIDUP MELAYU

Ahad, 7 Ogos 2016

Kecurian Wang di Sekolah Menengah Datuk Bendahara (SMDB): Amoi Yang Mana Satu?

   


Viral. Amoi kena tangkap. Amoi kena tangkap sebab mencuri wang. Amoi mencuri wang kelab sukan. Kelab sukan Sekolah Menengah Datuk Bendahara.

Di sekolah itu ada tiga orang pelajar keturunan Cina. Mereka dipanggil Amoi saja. Seorang Amoi berambut pendek. Seorang lagi berambut panjang bertocang satu. Dan seorang lagi berambut panjang bertocang dua.

Amoi yang mana satu?

Soalan ini menjadi popular. Di kantin dan dimana-mana saja ruang pelajar-pelajar berkumpul soalan ini ditanya. Bahkan dikalangan guru-guru soalan yang sama juga ditanya. Amoi yang mana satu?

Rafi dan Mat, pelajar tingkatan 5A, hari itu, tidak pergi ke kantin pada waktu rehat. Mereka asyik berwhatsapp dalam grup whatsapp  yang dipanggil 'viralkan saja' yang diwujudkan dikalangan kawan-kawan sekolah. 

Mengisi perut bukan keutamaan kepada kedua-dua pelajar ini walaupun perut berkeroncong lapar. Mesej tentang Amoi mencuri wang itu lebih penting dari mengisi perut yang lapar.

Mesej ini lebih menarik dari mendengar ustaz Ali yang bakal menyambung bebelannya fasal amal makruf nahi mungkar, pada sessi selepas rehat nanti.

"Ya Allah banyaknya!" Rafi dan Mat bersuara serentak. Tapi nada suara itu tidak membawa nada orang marah. Bahkan diikuti dengan ketawa kecil.

Menurut mesej yang di viralkan dalam applikasi whatsapp yang tertulis dalam smartphone Rafi, sebanyak 26 ribu ringgit wang kelab telah dilesapkan. Dua tahun berturut-turut kejadian kecurian ini berlaku.

Mesej itu dibalas dengan soalan: Macam mana boleh berlaku? Mana penyata kewangan? Apa kerja juru audit dalaman? Amoi yang mana satu? 

Jawapan yang diterima: Dalam siasatan. 

Tapi tiada jawapan  Amoi yang mana satu.

Oleh kerana Amoi itu belum dapat dikenalpasti, Rafi dan Ali menggunakan otak masing-masing meneroka berbagai kemungkinan.

Mungkin juga wang itu dicuri secara sendiket. Kerja lebih dari seorang, bukan seorang Amoi saja.  Sebab jumlah yang dicuri terlalu besar.

Mereka mula pening kepala kerana kemungkinan yang dikatakannya itu menambahkan lagi  persoalan yang lain.

Apa maksud bukan seorang Amoi? Adakah lebih satu Amoi atau Amoi dengan yang bukan Amoi. Siapa yang bukan Amoi itu. Atau adakah melibatkan 3 Amoi?

Pening! Pening! Pening!

Dahi mereka berkerut.

Terima lagi satu mesej: Amoi dengan guru disiplin.

Mesej ini lagi mengelirukan. Adakah Amoi bersama dengan guru disiplin melesapkan wang 26 ribu itu? Atau Amoi dipanggil oleh guru disiplin kerana mencuri wang?

Reaksi Mat, " Tidak mungkin".

Reaksi Rafi , "Habislah".

Mat menyatakan tidak mungkin guru disiplin terlibat mencuri wang. "Guru disiplin takkan buat begitu".

Rafi, yang memang gemar untuk berfikir diluar dari garis berbaik sangka, ketawa kecil. "Guru disiplin pun manusia biasa. Tambah-tambah dengan Amoi, cairlah dia". 
 
"Kau ni, fitnah tu", Mat bersuara tapi bukan marah hanya sekadar sedap untuk berkata.

Bagi Rafi pula ia tidak mudah menghukum sesuatu itu fitnah atau sebaliknya. Dia berminat untuk tahu dan mencari jalan untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku. Hanya dengan bersangka yang bersifat 'negatif' akan memberikan dia ransangan untuk mendapatkan berbagai maklumat dari berbagai sumber yang dapat menjawab kepada isu yang berbangkit.

Sebab itu dia mahu tahu siapa Amoi itu. Rafi lebih memilih untuk berfikir secara rasional berdasarkan ilmu berbanding dengan diganggu oleh emosi atas dasar kasihan, simpati dibawah garis jantina, bangsa dan agama.

Selagi Rafi tidak tahu Amoi yang mana satu, apa saja mesej yang diterima, mesej itu tidak menyampaikan berita dan cerita yang konklusif. Berita dan cerita itu hanya sebagai maklumat yang berguna dan wajar disimpan bukan saja dalam smartphonenya bahkan dalam otak kepalanya.

Namun begitu otak Rafi masih lagi meneroka cuba mengesan Amoi yang mana satu yang diviralkan mencuri wang kelab sukan SMDB, yang dikatakan sebanyak 26 ribu ringgit.

Sudah tentu orang yang mencuri itu ada capaian (access) pada wang itu? Tahu dimana wang itu berada. Sama ada disimpan dalam safety box dalam bentuk tunai atau disimpan dalam bank dalam bentuk akaun simpanan atau akaun semasa. Terlibat dalam pengeluaran dan penerimaan wang kelab itu. Maknanya ada otoriti. Melebihi dari seorang. Sebagai pemegang amanah menguruskan wang itu -menerima wang masuk dan mengeluarkan wang . 

Haahh, mesti bukan seorang Amoi saja. Tidak juga dua dan tiga Amoi jika Amoi yang lain tiada otoriti keatas wang kelab itu.

Jadi yang pasti jika benar Amoi yang mencuri, Amoi itu ada otoriti. Dan dia bersama yang lain. Mungkin dua orang lagi bergantung kepada otoriti yang diberi dalam penggunaan wang itu.

Rafi semakin dekat kepada jawapan yang hendak dicari iaitu Amoi yang mana satu yang mencuri. Dia pun mahu tahu siapa lagi yang terlibat.

Bagi Rafi, mencuri wang walaupun satu sen apatah lagi wang yang telah diamanahkan, adalah satu kesalahan, termasuk dalam perbuatan mungkar. Inikan pula jumlah yang dicuri, amat besar bagi sebuah kelab sukan sekolah. Ianya adalah jenayah yang perlu dihukum dengan hukuman yang berat.

Jika benarlah Amoi itu telah dipanggil oleh guru disiplin, Rafi masih lagi ragu-ragu kebenaran akan menang. Menurut maklumat yang dia ada, guru disiplin itu mudah tergoda dengan rayuan perempuan. Apatah lagi jika Amoi itu seorang yang cantik dan pandai menggoda. Cair cikgu disiplin itu dibuatnya.

Bagimana dengan guru besar?

Rafi hanya mampu tersenyum.

Semua pelajar 5A telah berada dalam kelas. Sebentar lagi ustaz Ali akan masuk mengajar, menyambung pelajaran semalam tentang amal makruf nahi mungkar.

"Kita mesti berani menyatakan yang benar. Yang penting kita melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar", itulah ayat akhir ustaz Ali sebelum meninggalkan kelas semalam. Hari ini sambung lagi.

Beranikah ustaz Ali menyatakan yang benar. Yang benar mengenai kes kecurian wang kelab sukan SMDB.

Rafi sedang menunggu ustaz Ali masuk dan akan menanyakan soalan itu.

Bagi Rafi, bukan soal banyak atau sedikit wang yang di curi tapi dia mahu cari kebenaran. Semalam ustaz Ali bercakap perkara yang sama bahawa kebenaran perlu ditegakkan. Berani kerana benar.

Tapi bagaimana jika guru disiplin beritahu guru besar bahawa setelah siasatan di buat, tiada kes untuk mendakwa si Amoi itu mencuri wang kelab sukan SMDB. Kemudian, Guru Besar mengistiharkan kes mencuri wang itu di tutup.

Beranikah ustaz Ali berkata sesuatu?

Rafi percaya ustaz Ali akan segera menyokong kenyataan Guru Besar itu. Dan semua pihak wajib menerima dan tidak perlu memanjangkan kes kecurian itu kerana perbuatan itu adalah satu fitnah. Fitnah adalah lebih berat dari membunuh.

"Waduhhhhhhhhhhhh........Gagal lah aku nak cari AMOI yang mana satu".

 

Sabtu, 6 Ogos 2016

Pak Jan Dengan Empat Ekor Lembunya (3)



Pak Jan mengayuh basikal menuju ke rumah pasong di kampong sebelah. Dia mahu segera membawa balik empat ekor lembunya. 
 
Sambil mengayuh basikal tuanya Pak Jan tersenyum diikuti dengan pujian kepada isterinya, "Bijak sungguh isteriku , tak sangka".
 
Mak Mah sedih amat sangat apabila ditengking oleh Pak Jan sehingga beliau menangis. Bagi Mak Mah, kata 'pompuan' yang keluar dari mulut suaminya itu adalah satu panggilan yang bersifat memandang rendah terhadap kaum perempuan, khusus dirinya. Panggilan seperti itu seolah-olah memberi tahu bahawa orang perempuan tidak mampu berfikir dalam menghadapi masalah, apatah lagi untuk menyelesaikan masalah.
 
"Apa masalahnya bang?" Mak Mah bertanya sebaik dapat menenangkan diri dan berhenti dari menangis akibat dari ditengking oleh Pak Jan.
 
"Takkan awak tak tahu", suara Pak Jan masih tinggi bernada marah. "Awak setuju kita jual sekor dua lembu tu untuk membayar ganti rugi yang diminta oleh menejer estet orang putih tu?"

"Abang.....", mak Mah bingkas bangun. Suaranya tinggi, bukan lagi suara seorang isteri bercakap dengan suaminya. Dia semacam sudah mempunyai kekuatan baru untuk berhadapan dengan suaminya, bukanlah sebagai seorang 'pompuan'. "Tidak setuju". Mak Mah tegas.

Pak Jan yang masih lagi sedang bersandar didinding serambi rumahnya memandang Mak Mah. Dia sedikit terpinga dan tidak percaya Mak Mah berani bersuara tinggi. Dalam ingatannya, sepanjang mereka bersama belum pernah dia mendengar Mak Mah bersuara tinggi walaupun dalam hal-hal yang tidak menyebelahi isterinya itu. Kali ini lain sekali pompuan ini.

"Semua empat ekor lembu itu sudah ada yang punya. Tak boleh di jual". Tegas Mak Mah.
 
Pak Jan tidak mahu berhujah balas. Dia pun telah bersetuju dengan apa yang telah dirancang oleh isterinya keatas empat ekor lembunya itu. Cuma dia jadi buntu untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi seperti yang diberitahu oleh Tok Ali Ketua Rumah pasong kampong sebelah, jika mahukan empat ekor lembunya dilepaskan dan dibawa balik ke rumah.
 
"Duitnya Mah. Mana nak cari?", Suara Pak Jan seperti orang merayu.
 
"Macam ni bang. Saya setuju lembu yang bunting itu di jual. Tapi dengan syarat lembu itu masih ditangan kita. Setuju? Kata-kata Mak Mah ini lagi membingongkan otak kepala Pak Jan. Macam mana lembu yang dijual masih lagi jadi miliknya? Gila kah isteriku ini?
 
"Awak ni mengigau kah?" Tanya Pak Jan.
 
"Saya pompuan bang, otak sentiasa berjalan", Pedihnya tikaman kata-kata sindiran dari Mak Mah bahawa jangan anggap orang pompuan mudah buntu dalam menghadapi sesuatu masalah.
 
Pak Jan senyap, tidak berkata apa-apa. Dia sedang menunggu penjelasan Mah Mah tentang formula 'jual dan milik semula' lembu yang bunting itu.
 
Mak Mah menghuraikan formula magiknya itu, jual dan milik. Dia bermula dengan mengenalpasti apakah matlamat mereka dalam kes lembu yang kena tangkap itu, dan cara mencapai matlamat.
  
Matlamatnya: Empat ekor lembu boleh dilepaskan dan dimiliki semula dan bayaran ganti rugi boleh dibayar.
 
Cara mencapai matlamat: Jual lembu yang sedang bunting.
 
Justifikasi: Lembu yang bunting boleh mendapat harga yang baik. Mungkin boleh laku lebih dari satu ratus. Tapi terima sahaja harga satu ratus sebagai daya menarik orang minat membelinya.
 
"Bila dah jual, lembu itu pembeli yang punya. Dan siapa yang nak membeli lembu tu", Pak Jan meragui formula Mak Mah boleh menjadi realiti.
 
"Bang, kita rundinglah dengan Tok Ali, ketua Rumah Pasong tu. Minta dia beli. Saya percaya dia akan bersetuju. Sebab dia beli dua ekor lembu pada harga yang murah. Kita minta lembu itu kita yang jaga tak payah kena bayar apa-apa. Nanti kalau lembu itu dah biak kita bagi dua", Mak Mah menjelaskan formulanya sedikit panjang.
 
Pak Jan menganggok-anggok kepala, termakan diotak kepalanya bahawa ini satu jalan penyelesaian yang baik.
 
Kemudian datang satu lagi persoalan. Adakah Tok Ali berminat untuk membeli?
 
"Dua ekor lembu bang. Tapi kita jual dengan harga seekor saja. Takkan tak terliur Tok Ali", Pak Jan terasa bahunya dipicit-picit oleh isterinya semacam memujuk.
 
"Bagaimana jika Tok Ali mahu bela lembu itu sendiri", keraguan terakhir akan formula Mak Mah itu disuarakan oleh Pak Jan.
 
Mendengarkan kata-kata Pak Jan itu , Mak Mah ketawa besar lalu berkata, "Manalah ada tempat Tok Ali itu nak bela lembu, bang. Dia kan polis", Mak mah terus ketawa. Pak Jan tersengeh-sengeh sedikit malu kerana tidak mampu berfikir perkara semudah itu.

Melihat Pak Jan melangkah  menuju ke basikal untuk ke rumah pasong berjumpa Tok Ali, Mak Mah meminta Pak Jan membawa dua tiga biji buah durian sebagai buah tangan kepada Tok Ali.
 
Pak Jan menganggok dan tersenyum.
 
Krikkkkk bunyi brek sebuah kereta mengelak dari melanggar Pak Jan.
 
Wuuuuuuh......nasib baik.
 
Pemandu kereta itu tidak berhenti. Dan Pak Jan pula terus kayuh basikalnya ke rumah pasong yang sudah jelas kelihatan. Harap harap Tok Ali bersetuju.
 
 
  
 

Jumaat, 5 Ogos 2016

Pak Jan Dengan Empat Ekor Lembu (2)




Pak Jan menyandarkan badannya di serambi rumahnya. Dia berfikir kuat sekali. Dahinya berkerut. Dia cuba mencari jalan menyelesaikan kebuntuan yang dihadapi. 
 
'Macam mana empat ekor lembunya dapat diselamatkan, untuk dibawa balik dan dimasukkan ke dalam kandang di belakang rumahnya'.
 
Apa masalahnya? Pak Jan menyoal dirinya sebagai langkah pertama bagi memecahkan kebuntuannya.
 
Sudah tentu  bukan fasal mendapatkan semula empat ekor lembunya yang kena tangkap. Kalau itu , ianya mudah diatasi. Jalan penyelesaian telah pun diberikan oleh Tok Ali ketua rumah pasong kampong sebelah. Bayar saja ganti rugi yang diminta oleh menejer estet itu. Selesai.
 
Jalan kedua, masuk mahkamah. Selesai.
 
Jadi apa masalahnya?
 
Duit oh duit. Mana nak ambil duit.
 
Jual lembu?
 
Tiba-tiba wajah Mak Mah terbayang dihadapannya sebaik saja idea jual lembu diketengahkan. Mukanya masam bercampur sedih, memberi isyarat tidak bersetuju idea menjual  lembu itu. Mak Mah sudah sedia dengan rancangan sendiri bagi memenfaatkan empat ekor lembunya itu.
 
"Bang, esok kalau ada jodoh si Leman nanti saya nak tumbangkan sekor lembu ni. Si Itamtu.  Si Kuning tu, buat kekah bakal cucu pertama kita tu. Bulan depan katanya Si Milah tu bersalin. Si Moo yang jantan itu kita buat baka, jangan jual. Si Kuyu tu kita biakkanlah. Nampaknya macam dah bunting".

Waduh, itu masalahnya!
 
Duit! Duit ! Duit! Mana nak cekau ni!
 
Suara keluhan Pak Jan kuat sekali sehingga menghinggapi telinga Mak Mah yang sedang sibuk di dapur.

"Nak cekau apa bang?" Muncul Mak Mah, menghilangkan bayangan wajah Mak Mah yang ada dalam otak Pak Jan. Pak Jan sedikit keliru. Adakah ini bayangan atau Mak Mah yang sebenar. Dia menggosok-gosok matanya. Benar, tidak silap. Yang berdiri di hadapannya ialah isterinya Mak Mah.
 
"Apa yang nak cekau tu bang"? Tanya Mak Mah.
 
"Tak boleh selesai masalah", Pak Jan tidak menjawab apa yang ditanya oleh isterinya. Dia menambahkan satu lagi pertanyaan.
 
"Masalah apa bang?"
 
Pucat jadinya muka Mak Mah apabila ditengking olah Pak Jan yang telah naik darah dengan pertanyaan yang menyakitkan hatinya. Takkan isterinya tidak mahu memikirkan soal empat ekor lembu yang kena tangkap itu. Macam mana nak keluarkan lembu itu dari kandang di rumah pasong.
 
"Pompuan!" Keluh Pak Jan
 
"Apa salah saya?" Air mata Mak Mah mula mengalir
 
........bersambung

Selasa, 2 Ogos 2016

Nasihat Dari Seorang Kawan: Jangan Gatal Gatal Tangan.




Menerima satu kiriman mesej dari seorang kawan. Beliau ingatkan, 
 
"Jangan gatal-gatal tangan tulis ikut hati nurani  dan timbangan fikiran atas nama kebenaran bagi menegakkan yang makruf dan menghalang serta mencegah yang mungkar. 
 
Selagi yang diperkatakan itu ada kaitan dengan pemerintah, lebih baik buat diam, jangan ambil kisah. Melainkan kau nak masuk penjara, nasihat ini kau ketepikan".

Begitulah antara lain nasihat yang diterima. Nasihatnya amat panjang sekali dengan memberi sebab-sebab mengapa saya jangan gatal-gatal tangan.

Saya faham. Saya pun maklum akan keadaan sekarang ini. Mana mungkin mentimun boleh melawan durian. Digolek hancur, menggolek pun lebur.

Ya, mengapa saya perlu ambil kisah tentang hal ehwal negara. Siapa saya? Hanya warga biasa. Saya bukan  ahli politik. 
 
Biarlah orang politik yang sentiasa mahu berebut kuasa itu yang ambil kisah. Kalau ada yang kena masuk jel, berbaloi juga kerana 'stake'nya tinggi iaitu ada kuasa yang hendak direbut.
 
Apa yang saya dapat kalau saya gatal-gatal tangan tulis fasal amanah dan salah guna kuasa? Dapat jel saja.
 
Apa pula yang saya dapat jika saya mendiamkan diri bila saya tahu ada pihak yang diberi amanah telah pecah amanah? 
 
Sudah tentu saya bebas tak masuk dalam jel. Bukankah ini pilihan yang paling baik.
 
Betul juga nasihat kawan saya itu. Lebih baik duduk diam, ontok-ontok saja.
 
Tidak mengapa dalam hati rasa sakit yang membengkak. Biarlah denyutan jantung semakin cepat. Biarlah kemarahan itu dipendam saja.  Asalkan segala-galanya tidak diminta tangan untuk menulisnya.
 
Kena strok? Itu sudah ditakdirkan.
 
Saya kena terima realiti. Bukan merealisasikan satu ideal bagi sebuah negara yang menjadi idaman setiap warga negaranya. 
 
Lupakan ideal itu. Lagipun tiada sebuah negara di dunia ini yang mampu mencapai tahap yang ideal. Ada saja kelemahan dan kekurangan. 
 
Penyebab utamanya ialah persaingan untuk merebut kuasa dan terus mahu mengekalkan kuasa walau apa pun keadaan sekalipun. Masing-masing apabila ada kuasa dan berkuasa mempunyai kebebasan untuk memberi tafsiran kepada tindakan yang mereka lakukan termasuklah memberi makna dan liputan kepada perkataan dan istilah yang digunakan.
 
Misalnya apa yang boleh dimasukkan sebagai 'yang merosakkan nama baik dan keselamatan negara'?
 
Apa saja boleh dimasukkan meliputi keadaan diatas. Yang hitam boleh menjadi putih.
 
Ianya bukan satu perkara yang pelik. Ada saja penyokong jika hitam iu dikatakan putih. 
 
Ertinya jika ada kain berwarna hitam dan ada pula yang mengesahkan bahawa kain itu berwarna hitam, jangan hairan jika ada pihak lain pula mengatakan kain hitam itu putih. Dan jangan jadi bingong bila mendapati  bilangan yang menyokong hitam itu putih mengatasi mereka yang mengatakan hitam itu hitam. .

Itulah sebabnya, jika anda mahu dikenakan, walaupun apa yang anda kata itu sesuatu yang benar, tindakan anda itu boleh saja sewenang-wenangnya ditafsirkan sebagai boleh merosak dan meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

Itulah nasihat akhir kawan saya itu. Dan saya percaya.
 
Oleh itu saya tidak lagi ada nafsu untuk terus menulis. Kalaupun mahu gatal-gatal tangan saya hanya  menggatal tangan menulis cerita-cerita kartun dan berbagai dongengan seolah-olah saya berada dalam alam fantasi.