Theflowersellingboy

Khamis, 30 Jun 2016

Surah Al An'am , Ayat 123: ORANG-ORANG BESAR YANG JAHAT




"Dan demikianlah kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu pada hal tiadalah mereka memperdayakan  melainkan dirinya sendiri ( kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk) sedang mereka tidak menyedarinya"-- Al An'am 123.
 
Untuk renungan bersama akan firman Allah SWT diatas.
 
i) Bahawa terdapat dalam sesebuah negeri itu orang-orang besar yang jahat yang melakukan tipudaya. 
 
ii) Mereka tidak sedar bahawa mereka menipu diri mereka sendiri kerana merekalah yang akan menerima akibat buruknya.
 
Orang-orang besar adalah orang yang ada kuasa dan pengaruh (pemimpin) tetapi tidak amanah yang melakukan salah guna kuasa dan tipu daya.

Jika orang besar itu pemimpin sebuah negara, tipu daya yang dilakukan itu boleh merosakkan negara dan kerugian kepada rakyat. Bahkan yang rosak sebenarnya adalah pemimpin itu sendiri. Tapi mereka tidak menyedarinya.
 
Bagaimana dengan negara kita?

 

Ahad, 19 Jun 2016

Parti Yang Masuk Bertanding Mestilah Mahu Menang Di Dunia dan Di Akhirat. Usahlah Rebut Nomor Dua, Tiga dan Corot. Rebutlah Kemenagan Kerana Dengan Kemenangan Itu Boleh Lah Kita Usahakan Melakukan Kebaikan Untuk Menang Di Akhirat.

Pembangkang yang bertanding dalam piliharaya, tirulah cara UMNO/BN. UMNO/BN bertanding untuk menang bukan untuk duduk nombor dua , tiga atau corot.


UMNO/BN menang besar di PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar. Tahniah. Walaupun mengahadapi kekecuhan dalaman, UMNO masih membuktikan ianya bukan semudah itu untuk dikalahkan. 

Sebaliknya pemnbangkang-pembangkang yang terdiri dari AMANAH/PH dan PAS tewas yang memilukan lagi memalukan. Rasakan kekalahan kalian. Tiada takziah untuk kalian.

Mana logik pembangkang-pembangkang boleh menang. Yang boleh menang hanya satu saja iaitu Kerajaan atau pembangkang. Bukan pembangkang-pembangkang. Itupun tak boleh fikir? 

Bukan tidak boleh fikir tapi sombong , ego dan ada diantara parti pembangkang itu tidak ada hasrat untuk menang atau memenangkan sesama pembangkang. Bahkan rela parti kerajaan UMNO/BN menang.  

Sebenarnya dua PRK itu adalah persaingan diantara dua parti pembangkang PAS dan AMANAH/PH untuk menguji siapakah yang mempunyai pengaruh yang lebih berbanding yang satu lagi. Siapa yang dapat undi lebih, parti itulah yang menang. Itulah mereka maknakan kemenagan dalam dua PRK ini. Bukan menang pilihanraya.

Oleh itu tidak hairan ada parti pembangkang yang kalah mengatakan bahawa kemenangan sebenarnya adalah diakhirat. Sepatutnya parti itu tidak perlu bertanding. Buang masa dan mengecewakan harapan pengundi.

Bagi saya kemenangan UMNO/BN memang telah dijangkakan. Saya telah menyatakan ini dalam dua paparan yang lepas sebelum hari penamaan calun lagi. Letak tali leher pun UMNO/BN akan menang.

UMNO/BN menang kerana pembangkang berpecah. UMNO menang kerana ada parti pembangkang yang tidak serious untuk menang tapi hanya untuk membuktikan siapa diantara parti pembangkang yang dapat number 2 dan tercorot selepas UMNO/BN. 

Sepatutnya pembangkang-pembangkang tidak perlu bertanding. Membazir wang negara dan wang parti. Buang masa rakyat/pengundi. Itu yang telah saya nyatakan dalam paparan yang lepas.

Namun begitu ada juga sisi yang baik apabila ada pertandingan. Sisi yang baik ialah UMNO/BN yang memerintah terpaksa bekerja keras membuktikan mereka adalah kerajaan yang berkhidmat atau melakukan sesuatu untuk rakyat jika mahu mendapat undi dari rakyat. Sebab itu berbagai projek dan bantuan datang turun seperti air hujan dari bukit menuruni lembah.

Minta saja projek yang baru dan yang telah dijanjikan tapi telah dilupakan, minta saja bantuan, minta saya belas ikhsan. Beres dan segera diluluskan/diuruskan.

Kerana,

(i) 'Money is ever available , no problem'. 

Demi 

(ii) Keselamatan nyawa nelayan dalam kes nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia. Ianya segera dirunding dan didapatkan pelepasan. Ajaib sekali kerana tindakan yang pantas dan cepat berbanding dengan jika bukan semasa pilihanraya. 

Pengundi manakah yang mampu melupakan jasa seperti itu, berhutnag ntawa!

Proses dan prosedur kewangan kerajaan tidak penting kerana keperluan pada masa pilihanraya (PRU/PRK) mengatasi  peraturan kerajaan itu. Sama ada wang ada disediakan atau tidak, ianya tidak penting. Yang penting ialah undi yang perlu didapatkan dari pengundi. Dan cara yang mudah dan praktikal ialah dengan meluluskan berbagai projek dan keperluan yang dimahukan oleh pengundi.

Beri tahu saya pengundi mana yang mudah menolak tawaran seperti itu? Kalau ada, pengundi itu termasuk dalam kategori gila.

Pembangkang boleh panggil itu rasuah atau beli undi atau salah guna kuasa. 

Tapi apa tanggungjawab sebuah kerajaan? Sudah tentu memberi khidmat terbaik kepada rakyat/pengundi yang memerlukan. 

Soal ianya dilakukan dalam pilihanraya bukan satu perkara yang merugikan kepentingan pengundi/rakyat. Jadi pembangkang tidak perlu bising soal kelulusan projek pada pilihanraya.

Kesimpulannya  kemenangan UMNO/BN dalam 2 PRK ini bukanlah disebabkan UMNO/BN itu dilihat lebih baik dari pembangkang.  Dan dalam masa yang sama pembangkang tidak pula menjadi pihak yang rakyat/pengundi boleh bergantung harap untuk benar-benar serious bagi membaikki kerosakan yang dilakukan oleh UMNO/BN. Kerana pembangkang sendiri berpecah dan bercelaru.
 
Dalam sinario seperti diatas, apa pilihan paling logik, praktikal, rasional dan yang memberi menfaat kepada pengundi Sg. Besar dan Kuala Kangsar selain dari mengundi UMNO/BN.

Sudah tentu mengundi BN kerana dalam jangka masa pendek ianya tidak mengubah apa-apa kerana kalau pun UMNO/BN kalah parti itu masih lagi menjadi kerajaan, sedangkan pengundi akan dapat menfaat jika UMNO/BN yang menang.

Oleh itu UMNO/BN perlu memperbaikki kerosakan yang sedang berlaku kerana pada PRU yang akan datang, rakyat akan memilih sebuah kerajaan dan bukan untuk menggantikan seorang dua anggota parlimen.

UMNO/BN jangan terus berkhayal bahawa pengundi Cina telah kembali ke pangkuan dan pengundi Melayu sentiasa setia kepada UMNO/BN. Berdoalah pembangkang terus berpecah.

Pembangkang pula jangan berterusan bercakaran dan mahu menguji siapakah yang lebih kuat dan berpengaruh diantara mereka. Bertandinglah dalam sebuah kesatuan yang jitu untuk melawan UMNO/BN. Jangan mimpi untuk menang jika masing-masing tinggi dengan rasa sombong, dan kejarlah kemenangan di dunia dan di akhirat.

Rabu, 15 Jun 2016

Adakah Dak Ai Pekerja Kontrek Itu Berpuasa?

 
 
 
Paparan dibawah ini hanya sebuah cerita rekaan. Bukan cerita benar.
 
                                   xxxxxxxxxx
 
Aku kuli kontrek saja. Banyak terdedah kepada sinaran matahari. Buat kerja berat bersama dengan kawan-kawan menyiapkan berbagai projek binaan, yang tinggi bertingkat dan yang tidak bertingkat. Bukan untuk aku dan tidak juga untuk kawan-kawanku. Untuk orang lain lah. 

Sebagai pekerja kontrek binaan, kami mempunyai tenaga fizikal yang hebat serta tahan lasak. Pekerja pejabat jangan cuba-cuba mahu bersaing tenaga dan kelasakan dengan kami. Malu nanti.
 
Minta maaf, bukan niat aku untuk mencabar pekerja pejabat. Aku hanya mahu menyatakan perkara sebenar. 

Satu contoh ialah kehebatan aku dan kawan-kawan bekerja ditengah panas terik dalam tempoh yang panjang. Aku tidak fikir pekerja pejabat sanggup melakukannya, walaupun kurang dari 5 minit. 
 
Cuma aku dan kawan-kawan aku tidak tahan dahaga. Banyak air yang kami minum untuk memulihkan tenaga. Yang ini pekerja pejabat boleh menang. 
 
Panas perit oiii, bukan kepalang. Itulah basahan hidup kami untuk mencari rezeki.
 
Lihat saja warna kulitku. Asalnya tidaklah segelap awan mendung. Tapi bila hari-hari terdedah dengan panahan sang matahari, kulit aku sudah 'sun-burned'. 
 
Terlupa pula aku nak beritahu namaku.

Orang kampongku panggil aku Dak Ai. Dak itu pendekan dari kata budak. 
 
Aku tidak tahu dari mana datangnya sebutan Ai sedangkan nama aku tidak sebegitu sebutannya. Tapi biarkanlah, aku terima panggilan sebagai Dak Ai atau Ai saja. Aku seronok dengan Ai itu. 

Aku membahasakan diriku juga sebagai Ai. Sama dengan sebutan I dalam bahasa Inggeris. Aku seronok gila, terasa status aku sama macam orang putih yang banyak orang pandang tinggi. 
 
Bayangkan seorang kuli kontrek membahasakan dirinya I. Macam orang berpendidikan  Inggeris. Sekolah Melayu pun hanya diperingkat rendah! 
 
Hahahaha, jangan marah dan jangan ada yang bulu telinganya tegak. Meluat.

Bapaku seorang Imam kampong. Orang panggil bapaku sebagai ustaz. Dia seorang yang sangat mengambil berat dan keras tentang melaksanakan tanggungjawab agama terutama solat fardhu dan puasa.

Kami adik beradik 3 orang semuanya , memang dilatih semenjak berusia 4 tahun lagi untuk solat dan berpuasa. Bapaku selalu memuji aku berbanding dengan yang lain dalam hal melaksanakan tanggungjawab agama itu. Jadi ada masanya mereka panggil aku lebai.

Lebai? Oh mungkin ini sebabnya aku dipanggil Ai? 

Cukuplah sedikit tentang diriku. Aku ada satu cerita dalam bulan puasa.

Seorang abangku bertugas sebagai pegawai penguatkuasa di sebuah institusi agama. Seorang lagi bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Pegawai juga. Aku saja yang kerja kontrek sepadan dengan tahap pendidikan. Padan muka aku.

Pada satu hari dalam bulan puasa, kami berbuka dirumah bapa, berkumpul sekeluarga. Bapaku buat keputusan tidak berjemaah disurau. Dia telah meminta orang lain menggantikannya. Dia mahu berjemaah di rumah dengan anak-anak dan cucu pada hari itu. 
 
Sambil berbuka kami bercerita. Cerita tentang orang yang tidak berpuasa.

Cerita itu dimulakan oleh abang yang jadi penguatkuasa agama itu. Katanya dia telah berjaya menangkap lebih dari 10 orang yang tidak berpuasa kerana makan dikhalayak ramai. 
 
Kadang-kadang dia kantoi juga kerana silap orang. Asalkan rupa Melayu, orang itu melayu dan Islamlah, bagi abang aku. Abang telah menyerbu orang itu yang sedang makan disebuah restoran. Orang itu amat marah dan bertanyakan apa kesalahannya.

Sebaik saja  dia diberitahu kerana tidak berpuasa orang itu dengan berang mengeluarkan kad pengenalannya. Sah dia bukan orang Islam. Tidak juga orang Melayu. Abang aku terpaksa minta maaf. Kami semuanya ketawa. Padan muka abang aku itu kerana bertindak berasaskan pra sangka dan tanpa maklumat yang sahih.
 
Abang beritahu yang tidak berpuasa itu terdiri dari orang Islam dari berbagai sektor pekerjaan. Ada kerja pejabat dan ada yang kerja kontrek macam aku.
 
Bapaku paling kuat menyokong tindakan menangkap orang yang tidak berpuasa. Katanya memalukan. Malu kepada agama lain kata bapaku. Tambah-tambah lagi bila abangku kata mereka itu makan dikhalayak ramai. Maka bapaku kata,"Padan muka".
 
"Pekerja kontrek pun abang tangkap?" Aku tanya abang.
 
Abang mengangguk. Katanya pekerja itu makan dikhalayak ramai.
 
"Tapi kalau dia minum kerana dahaga, sebab kerja berat dalam panas terik , macam mana bang?" Aku bertanya abang.
 
Abang aku macam tidak percaya dengan pertanyaan itu datangnya dari aku seolah-olah aku tidak tahu bahawa minum pun tidak boleh semasa berpuasa. Bukankah aku ini lebai? Macam mana boleh tanya soalan bodoh itu.
 
"Mana boleh minum dikhalayak ramai", kata abangku.
 
"Dia orang haus bang. Kerja berat. Panas terik bang".Aku minta simpati.
 
"Ai pun kerja kontrek juga. Dan Ai berpuasa. Kalau Ai boleh tahan dahaga mengapa dia orang tidak boleh. Sebenarnya tidak dilatih semasa kecil dulu", kata abang.
 
Bapaku pandang padaku, wajahnya ceria dan terukir senyum dibibir semacam beri isyarat bahawa dia bangga dengan aku anaknya, yang dapat menahan dahaga dalam bulan puasa walaupun kerja dalam panas terik. 

Aku tunduk. Aku tidak mampu menelan makanan yang sedang aku kunyah. Kesat rasanya untuk menyusuri tekak. Akhirnya berjaya juga aku telan kerana aku ada satu soalan penting untuk abang aku.

"Abang tak tukar kerja di sini?"

Abang geleng kepala. Katanya perkhidmatannya adalah perkhidmatan tertutup. Tak boleh tukar ke jabatan dan negeri lain.

Ah aku rasa lega dengan jawapan abang itu.

"Puasa tanpa solat, tidak ada makna. Mari kita semua solat berjemaah", bapa memberhentikan perbualan di meja makan. Dia mendahului kami untuk mengambil wudu'. 

Aku menuju ke bilik air bagi tujuan yang sama. Hatiku berbisik bertanya, macam mana pula jika orang bersolat tetapi tidak berpuasa. Ada makna kah? Dan dia pula bersama-sama makan berbuka? Adakah orang seperti ini termasuk dalam senarai abang aku yang boleh ditangkap?

Aku tersenyum sendirian kerana abang aku tetap di tempat kerja lamanya. Bukan disini.






  
 


 

Selasa, 14 Jun 2016

Kerja Berat Dalam Bulan Puasa:Mampukah Kita Melakukannya.




1. Selamat menjalani ibadat puasa semoga amalan puasa kita itu diterima oleh Allah SWT.
 
2. Dalam bulan Ramadhan ini saya banyak berihat. Kalau buat kerja pun, hanya dalam tempoh masa yang pendek, paling lama 2 jam. 
 
3. Berbeza dengan pekerja kontraktor binaan yang sedang membuat sebuah rumah tidak jauh dari rumah saya, mereka telah mula bekerja pada jam 7 pagi dan berakhir menghampiri pukul 6 petang. Mereka bekerja di tengah panas terik dalam tempoh yang begitu lama.

4. Saya tidak pasti, apakah pekerja itu beragama Islam. Tapi saya mengandaikan ada diantara mereka beragama Islam. Jika mereka berpuasa, maka saya menghormati mereka. Berlapar dan berdahaga tapi sanggup melakukan kerja berat di hari panas terik. 
 
5. Jika mereka tidak berpuasa, saya amat memahami. Tetapi adakah selama-lamanya mereka terpaksa tidak  berpuasa? Apa kedudukan dari segi hukum?

6. Sudah tentu mereka mengeluarkan peluh yang banyak. Tekak menjadi kering dan tubuh kekurangan air. Mungkin akan mengalami gejala dihaiderasi (kurang air dalam anggota badan) yang membahayakan nyawa. Lapar pula.
 
7. Saya selalu bertanya pada diri sendiri: Adakah mereka tidak dahaga? Saya menjawab : Jika saya melakukan kerja seperti mereka itu, sudah tentu berbotol air akan saya minum.

8. Jawapan saya itu tidak bermaksud saya mengatakan mereka tidak berpuasa. Jawapan itu hanya menjelaskan kedudukan saya yang tidak dapat menahan diri dari dahaga jika banyak bekerja, apatah lagi melakukan kerja berat dalam bulan puasa. Saya percaya sebahagian besar orang juga seperti saya.
 
7. Jawapan itu juga adalah satu pernyataan rasa kagum saya kepada mana-mana pekerja kontraktor binaan dan mereka yang melakukan kerja berat yang sanggup menjalankan ibadat berpuasa.
 
8.  Seandainya saya seperti mereka, bagaimana, sanggupkah saya berpuasa? Susah bagi saya hendak menjawab kerana terpaksa memilih diantara kewajipan agama dan kesanggupan untuk bertahan lapar dan dahaga. Mungkin saya akan tewas.
 
9. Yang pasti ialah saya bukan seperti mereka yang melakukan kerja berat dalam bulan puasa. Sebab itu saya boleh tahan dahaga. Sesungguhnya  saya bersyukur ke hadrat  Allah SWT.
 
10.  Selalu saya bertanya soalan : Mengapa tidak ada peraturan/undang-undang yang memperuntukkan bahawa dalam bulan puasa, pekerja-pekerja Islam dikecualikan dari melakukan kerja-kerja fizikal yang berat dan terdedah kepada panas terik?
 
11. Ya, mungkin ada pihak yang melihat peraturan seperti itu sebagai tidak munasabah dan praktikal, bahkan bersifat diskriminasi. 
 
12. Baik, jika peraturan seperti itu dianggap sebagai diskriminasi bagaimana pula jika diadakan peraturan/undang-undang yang mensyaratkan pada bulan puasa kerja-kerja berat seperti itu dihad/dipendekkan tempoh masanya tanpa mengambilkira sama ada pekerja Islam dan bukan Islam. Gaji/upah tetap sama.
 
13. Tidak praktikal juga? Atau boleh melambatkan/merencatkan pembangunan negara?
 
14. Jika mahu cari alasan menolak cadangan seperti itu, memang mudah dan banyak.
 
15. Tetapi isunya ialah bagaimana hendak menyelamatkan pekerja Islam dalam sektor kerja berat agar mereka mampu berpuasa. 

16. Pada puasa tahun ini penjawat awam telah diberi kebenaran untuk memendekkan masa kerja dari tempoh masa biasa agar dapat segera balik ke rumah untuk persiapan berkaitan dengan ibadah puasa itu. Satu keputusan yang menggembirakan penjawat awam dan sudah tentu memudahkan mereka dalam menghadapi ibadah berpuasa.
 
17. Jika penjawat awam yang sebahagian besar bekerja dalam suasana lebih selesa, yang tidak berpanas terik, yang tidak menghadapi dahaga yang amat sangat, diberi kemudahan dalam bulan puasa, mengapa tidak difikirkan sesuatu untuk pekerja binaan dan yang sejenis dengannya?
 
18. Jika penjawat awam atau sesiapa saja selain yang bekerja berat ditangkap kerana tidak berpuasa oleh pihak berkuasa agama, adakah pekerja berat ini boleh dikecualikan jika didapati tidak berpuasa? Mungkin itu yang akan ditanya oleh pekerja berat ini atas alasan perbezaan layanan diantara mereka dengan penjawat awam.

19. Dan jika pekerja berat ini ditangkap kerana tidak berpuasa adakah ianya satu jalan penyelesaian yang boleh membantu mereka untuk berpuasa pada masa depan?

20. Dan akhir sekali saya mahu tanya berapa ramai diantara kita yang sanggup melakukan kerja berat dalam panas terik dalam keadaan berpuasa? Saudara yang mampu melakukannya, saya tabik hormat , mudah-mudahan kekuatan yang saudara tunjukkan itu mampu dijadikan contoh.
 
 


Khamis, 2 Jun 2016

Politik Matang dan Sejahtera PAS: Mampukah PAS Amalkan.?




PAS mahu berubah kepada politik matang dan  sejahtera. Itu yang dinyatakan oleh presiden PAS, TG Haji Hadi Awang.
 
Cuma PAS tidak menyatakan berubah dari kedudukan yang macam mana, dari politik apa ke politik matang dan sejahtera. 

Namun begitu sesuatu perubahan itu sudah tentu kearah yang lebih baik dari kedudukan yang ada dan yang telah berlalu. Biasanya begitulah maksud sesuatu perubahan. Saya percaya PAS berada dalam parameter yang sama.

Sekiranya politik lama menguntungkan , tiada kelemahan , saya fikir PAS tidak akan mengambil pendekatan berubah kepada politik matang dan sejahtera. Dalam lain perkataan , ada yang tidak kena dalam politik lamanya itu.
 
Apakah dulu PAS tidak matang? Tidak mungkin, parti yang sudah berusia lebih 60 tahun itu tidak matang dalam perjuangan.
 
Dan apakah PAS tidak ambil berat tentang kesejahteraan? Juga tidak mungkin kerana perjuangan PAS adalah berteraskan Islam. Dan Islam agama yang menitikkan kesejahteraan.
 
Jadi apa yang tidak kena dengan cara berpolitik PAS dulu?
 
Saya beruntung kerana berkesempatan mengikuti ucapan dari Ketua Penerangan PAS Ustaz Nasharuddin wakil rakyat Temerloh.
 
Saya dapati ucapan beliau dari segi intonasi suara, penggunaan isyarat bahasa badan adalah sama dengan ucapan-ucapan yang saya pernah dengar dahulu. Keras dan beri perintah. Ada unsur siku dan lutut.
 
Yang ada beza kali ini ialah isi ucapannya. Pertama  kali saya mendengar isi ucapan yang menyentuh soal pendekatan yang santun dalam hubungannya dengan pihak luar. Maksud dari kata-katanya saya simpulkan sebagai satu keperluan bagi PAS untuk menjaga imej parti itu (parti Islam), sesuai dengan imej fisikal yang dipamerkan.
 
Secara jelas beliau tidak mahu bahawa orang yang berserban, berkopiah putih dan berjubah dan ada yang berjanggut yang sentiasa meneriak Allah hu akbar setiap kali mahu memberi sokongan, tidak molek mengamalkan politik maki hamun.

Saya percaya semua orang bersetuju. Ianya bukan saja memalukan PAS bahkan memalukan orang Islam kerana telah tertanam dan menjadi kepercayaan banyak orang bahawa PAS membawa imej Islam.
 
Saya percaya dan kecewa.
 
Bagi saya, memang, sebahagian besar ahli-ahli PAS termasuk kepimpinan PAS sepanjang yang saya ketahui telah gagal membawa imej Islam yang sebenarnya walaupun keterampilan Islamnya boleh dilihat menerusi pakaian dan petikan-petikan ayat al-quran dan hadith.
 
Dari segi perlakuan dan kesopansantunan penggunaan bahasa dan tekanan suara, PAS gagal membawa imej Islam. PAS juga tidak ada bezanya dengan parti-parti lain yang dikatakan sekular seperti UMNO dalam hal melemparkan dakwaan kepada pihak yang bersaing. 
 
PAS terlalu mesra  dengan  kata-kata  seperti jebon, munafik, kafir dan kata-kata lain seperti barua , khianat, kadam DAP, kuda tunggangan dan berbagai kata yang sejenis dengannya bagi memperkecilkan pihak lain yang tidak dipersetuji atau sealiran dengannya.
 
Apakah PAS miskin dengan  perbendaharaan kata bagi maksud menyatakan tidak bersetuju dengan pihak lain?
 
Mungkin PAS mahu berhujah bahawa mereka lakukan itu kerana mendakwa pihak lain yang dahulu melakukannya? 
 
Adakah  cara sedemikian menjadi panduan PAS dalam cara berhujah dengan pihak yang tidak dipersetujui? Dan adakah cara ini PAS yakin boleh memenangi hati orang ramai untuk bersama dengan PAS? 
 
Saya percaya isi ucapan Ustaz  Nasharuddin itu adalah satu rujukan yang jelas kepada tatalaku PAS yang lepas.
 
Saya mendoakan perubahan PAS ke politik matang dan sejahtera ini akan berjaya. Ianya sesuatu yang senang dituturkan dan tidak mudah diamalkan.
 
Itu doa saya.
 
Tapi saya tidak mampu untuk meyakinkan sepenuhnya hati saya melihat kepada perkembangan yang terbaru dikalangan pimpinan PAS.
 
Oleh itu saya pohon maaf. Saya ada sedikit perasaan ragu-ragu. 
 
Kata-kata ketua pemuda PAS bahawa Amanah telah diberi arak oleh DAP, saya anggap satu permulaan yang tergelincir ke arah perubahan kepada politik matang dan sejahtera. Ianya adalah  politik cari jalan untuk berkelahi diantara Amanah  dan DAP dengan PAS.Ianya satu pertanda yang tidak sihat.
 
Sindiran presiden PAS juga , saya percaya ditujukan kepada Amanah dengan menggunakan perkataan mangga masam kepada lawan PAS di PRK Sg. Besar , bukanlah langkah mula yang baik kearah mengamalkan politik matang dan sejahtera.