Theflowersellingboy

Selasa, 31 Mei 2016

Senarai Kerja Sebelum Memasuki Bulan Puasa.


 
 
Ramadhan datang lagi. Beberapa hari lagi akan mula berpuasa sebulan. Mohon Allah memberikan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran serta kekuatan untuk menghadapi puasa tahun ini. Semoga Allah panjangkan usia, Amin.
 
Mendekati puasa, saya menyediakan jadual kerja untuk dilakukan sebelum masuk bulan puasa. Ini merupakan rutin tahunan setiap kali menghadapi puasa.
 
Kerja-kerja yang telah dijadualkan ialah mengemas  dan membersih ruang rumah luar dan dalam, dan kawasan sekeliling rumah, agar senang dihati dan sedap mata memandang. 
 
Ya, saya akui, untuk melakukan kerja-kerja itu ianya bukan sesuatu yang mudah bagi pesara yang beberapa tahun lagi akan mencecah usia 70an. Apatah  lagi yang telah menjalani pembedahan jantung terbuka 10 tahun yang berlalu. Tenaga semakin menurun berbanding tahun lepas. Jauh beza jika dibanding sewaktu usia muda. 

Namun pada tahap kemampuan tenaga yang ada, saya akan tetap lakukan. Lakukan sendiri tanpa mengupah orang lain. Baik untuk kesihatan diri.

Menurut kerja yang telah disenaraikan , kerja kawasan luar rumah yang saya perlu lakukan ialah memesin rumput,  meracun dan mencabut rumput di halaman yang saya panggil sebagai dataran kecil iaitu rumput yang tumbuh di celah-celah batu interlocking; mencantas dan membuang daun serta rumput di pasu-pasu bunga, menyiram dan membaja; dan membasuh serta mopping verandah disekeliling rumah termasuk garaj kereta.
 
Semua itu adalah kerja saya seorang saja.
 
Manakala kerja kawasan dalam rumah adalah dengan bantuan dari isteri yang terdiri dari membersih segala ruang yang ada termasuk menanggalkan langsir untuk dihantar cuci.

Semua kerja-kerja itu mesti siap sebelum memasuki bulan puasa tidak berapa lama lagi. Tujuannya bagi mengelakkan kerja-kerja itu dilakukan pada bulan puasa kerana saya percaya saya tidak ada kekuatan tenaga untuk melakukannya walaupun semangat tidak pernah luntur. Ada semangat tapi tanpa tenaga ianya amat mengecewakan.

Boleh kah saya melakukannya dalam beberapa hari lagi?

Entahlah!

Sebenarnya senarai kerja itu telah lama disediakan. Maksud saya ianya bukanlah senarai diatas kertas tapi senarai yang ada dalam hati, apa yang perlu dilakukan. Hati yang menyemak, perasaan yang bertanya dan mata yang memandang. Sudah buat atau belum.

Setakat semalam belum lagi.
 
Sayang sekali dalam seminggu dua ini hujan kerap turun terutamanya di sebelah malam. Keadaan rumput yang basah tidak mengizinkan saya untuk memesin rumput kerana mesin rumput berkuasa letrik itu terlalu sensitif dengan rumput yang basah. Motornya boleh rosak. 
 
Mesin itu baru saja diperbaikki yang melibatkan kos hampir RM 90.00. 

Jadi rumput kawasan tidak dapat dipotong. Malang sekali, saya tidak pula menggantikan dengan kerja kawasan dalam rumah kerana ada kerja-kerja pembaikan dalam rumah yang sedang dibuat. Sehingga kehari ini belum siap sepenuhnya.
 
Pada hari ini, rumput masih juga basah. Jadi tidak boleh mesin rumput. Tapi kerja dalam rumah boleh dilakukan kerana kontraktor menangguhkan kerja pembaikan dalam rumah.
 
Dengan demikian saya dan isteri ambil kesempatan untuk menanggalkan langsir diruang tamu dan bilik tidur di sebelah bawah dan membersih dan mopping lantai di ruang yang tidak terlibat dengan kerja-kerja pembaikan.
 
Saya menanggal langsir dan isteri melipat kain langsir. 
 
Kerja ini menghasilkan suasana yang unik sekali. Ianya amat memeranjatkan, melucukan, geli geleman dan menakutkan.
 
Bagi saya ianya memeranjatkan , geli geleman dan melucukan. Bagi isteri saya pula, ianya satu kerja yang menakutkan dan akhirnya melucukan.  Jika boleh dia tidak mahu melakukan. 
 
Semasa kerja menanggalkan pin dari sangkutannya, keluarlah beberapa ekor cicak dicelah-celah langsir yang mahu ditanggalkan itu. Maka terdengar jeritan terperanjat saya sambil menyumpah memarahi cicak-cicak itu. Isteri, apa lagi turut menjerit ketakutan sambil menyumpah memarahi cicak itu: binatang tak tau diajar.

Saya ketawa sehabis saja memarahi cicak itu.  Apabila mendengar isteri masih terus memarahi cicak itu, saya sambung ketawa kerana pertembungan antara manusia dan cicak ini sungguh melucukan.  Siapa takut siapa?
 
Sungguh melucukan -apakah bodohnya kami memarahi binatang yang tidak faham apa yang kami cakap, fikir saya. 

Isteri juga turut ketawa setelah kembali tenang.

Saya terperanjat bukan kerana takut. Tapi geli geleman tengok cicak-cicak itu. Saya tidak suka jika cicak itu menyentuhi mana-mana anggota badan saya. Sebab itu saya menjerit. Bukan kerana takut. Tapi anak-anak saya akan ketawakan saya jika itu yang saya katakan.

Setelah bertenang, kami teringat akan cucu kami Yousef yang kami panggil Asyef. Dia seorang cucu yang amat berani berbanding dengan ummi dan neneknya dalam hal berurusan dengan cicak.

Pada suatu hari, ketika itu Asyef baru berusia empat tahun, terdengarlah bunyi riuh rendah dalam bilik tidur Asyef sekeluarga. Rupanya waktu pendingin udara dipasang, keluarlah seekor cicak yang amat besar dari alat pendingin udara itu. Apa lagi ummi Asyef menjerit macam orang tengok hantu, kuat sekali, menggeletar sambil menjerit,  "Cicak!".

Mendengarkan jeritan itu si asyef ni bertanya, mana cicak tu mi, syef nak tangkap.

Cicak itu sudah lari tidak kelihatan lagi. Tapi keberanian Yousef itu membuatkan suasana berubah dari kecuh kepada gelak ketawa.

Ok. Keadaan yang sama berlaku pada hari ini. Bukan saja semasa menanggalkan langsir bahkan semasa isteri melipat kain langsir, cicak mengacau lagi.

Kali ini isteri yang kena sebab dia yang melipat kain langsir itu. Nak tahu apa yang berlaku?

Melompat-lompatlah sang isteri ketakutan sambil memarahi cicak-cicak itu. Saya yang sedang menanggal sebahagian lagi langsir ketawa seronok. Saya kata, "Panggil Asyef. Dia boleh tolong tangkap". Isteri yang ketakutan itu, mendapat sedikit ketenangan apabila nama cucunya disebut, kemudian mula ketawa.

Akibat dari kehadiran cicak itu, saya kena buat kerja tambahan. Isteri meminta saya mengibas-ibaskan kain langsir itu bagi menghalau cicak dari kain langsir itu sehingga pasti cicak sudah tiada dikain langsir itu sebelum isteri melipatnya.

Tak fasal-fasal satu kerja bertambah untuk saya.

Habis saja bab langsir, saya teruskan kerja membersih dan mopping di ruang selain yang melibatkan ruang kerja kontraktor. Isteri ke dapur menyediakan makanan tengah hari.
 
Hanya ruang tamu dan ruang makan tamu saja yang sempat saya lakukan untuk hari ini. 
 
Waktu Zohor telah masuk, kerja perlu diberhentikan. Setakat itu saja, tenaga saya hanya mampu sehingga waktu zohor saja. Selepas makan tengah hari dan petang saya perlu rihat, tonton tv sambil berblogging.

Esok, dengan izin Allah saya akan teruskan kerja. Keutamaan ialah memesin rumput. Harap-harap rumput tidak basah.

Sabtu, 28 Mei 2016

Sendiri Bentang Sendiri Minta Tangguh...KELAKAR (Kelakau) Kan!



Sendiri beriya-iya minta bentang, sendiri dengan sukarela minta tangguh. Kelakar betul dia ni. Minta tangguh bukan sehari dua, tapi empat bulan lamanya. Rasanya kalau buah durian, ianya telah habis gugur.

Kelakar betul. 

Kelakau, kata orang Melaka. Macam hamblau.

Tapi tidak semua menganggap pembentangan RUU persendirian yang dilakukan oleh Presiden PAS dua hari yang lepas sebagai sesuatu yang kelakar. Khalid Samad, pengarah Komunikasi Amanah kata ianya sebagai sesuatu yang pelik, luar biasa. Dan ada juga yang kata sebagai ajaib.

Namun begitu saya masih mengatakan ianya sebagai kelakar (kelakau) yang menghiburkan kerana tidak ada kesungguhan dan keazaman bagi menentukan apa yang dibentang segera diperbincang, dan dengan penuh harapan dan doa ianya dilulus dan dipersetujui.

Ianya kelakau dalam sebuah hamblau (hamblau itu adalah satu pertunjukan seperti badut di hadapan pasangan pengantin yang sedang bersanding diatas pelamin dengan mengenakan berbagai pakaian dan solekan dan hiasan diri agar pasangan pengantin dan para hadirin tidak dapat mengenali pemain hamblau itu. Setahu saya hanya di Melaka saja. Sekarang hamblau itu rasanya telah pupus).

Hamblau ini menghiburkan, tidak serious. Seronok-seronok saja.

Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh presiden PAS itu. Ianya menghibur, menyeronok dan menggembirakan hati setiap mereka yang percaya pembentangan RUU itu  adalah satu kejayaan yang amat bersejarah kepada PAS khususnya, dan kepada orang-orang Islam di Malaysia yang sudah lama mengharapkan hudud dilaksanakan. Sesungguhnya ramai yang teruja termasuk saya.

Saya mahu akan tangan beri hormat kepada PAS khususnya kepada Tuan Guru Haji Hadi.

Tapi amat kecewa sekali. 

Sehabis saja dibentang atau membaca usul dalam bacaan pertama RUU itu, tanpa perlu menunggu pencadang dan penyokong, presiden PAS itu memohon perbahasan RUU itu ditangguhkan pada persidangan Parlimen akan datang.

Anti klimeks.

Macam mana? Cuba anda nilai sendiri.

PAS sudah lama mahukan hudud. Ianya satu perjuangan parti itu. Kita wajar meghormatinya.

UMNO parti yang PAS kata sebagai sekular, yang dengan jelas menyatakan/berpendirian bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia, sekarang ini disanjung oleh PAS kerana kepimpinan UMNO memberi laluan kepada pembentangan RUU itu. 

Ingat, UMNO tidak pernah berubah pendirian parti itu tentang hudud.

Kepimpinan parti Amanah yang mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza tentang hudud, yang tidak pernah menolak hudud dianggap sebagai musuh dan pengkhianat. 
 
DAP, parti majoriti Cina dan bukan Islam yang mudah difahami tidak akan bersetuju dengan hudud dikatakan sebagai anti orang Islam, tiada adab kerana cepat melenting.

Presiden PAS  memuji MCA, Gerakan dan MIC kerana tidak bertindak seperti DAP yang mudah melenting tentang hudud.

Tapi MCA, Gerakan dan MIC bertindak lebih dari melenting. Kepimpinan mereka secara sepakat mengadakan sidang akhbar menyatakan dengan jelas menentang RUU itu walaupun mereka sebahagian dari BN yang bersama UMNO, parti yang PAS sudah tunjukkan kemesraan dalam perundingan.

Mengapa marah sangat dengan Amanah. Mereka tidak menentang pembentangan RUU itu. Bahkan menurut Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam, beliau mahu berdiri dan menyokong usul Haji hadi itu. Malangnya Haji Hadi sebelum sempat proses cadang dan sokong usul mengambil tempat, telah dengan sendiri memohon perbahasan usul yang dibentangkan itu di tangguhkan.

Sebab itu Khalid Samad kata pembentangan itu sebagai pelik!  Maksudnya apa yang dilakukan oleh PAS khususnya Hadi adalah sesuatu yang pelik dan tidak masuk akal!

Sendiri kata penting. Sudah begitu lama PAS mahu bentangkan dengan berbagai halangan dan helah bagi menggagalkan pembentangan. Dan setelah diberi laluan oleh UMNO , Hadi minta tangguh pula.

Ertinya PAS tidak serious. Pembentangan itu seperti pertunjukkan hamblau, main-main saja untuk menghibur dan menyenangkan hati ahli dan orang Melayu yang sebahagian besar tidak menentang hudud walaupun mempunyai pendekatan dan pandangan yang berbeza dengan apa yang hendak dilakukan oleh PAS.

Tapi jika hudud yang dibawa oleh PAS itu diluluskan, orang Melayu akan terima kerana ianya hukum Allah.

Bagi saya pembentangan itu sesuatu yang kelakar. Sebab selain dari tidak ada semangat kesegeraan untuk membahaskan usul itu, PM Najib dalam satu sidang akhbar dalam respons terhadap kemarahan parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan keatas pembentangan RUU itu telah menyatakan dengan jelas bahawa apa yang dibentangkan oleh Hadi itu bukan Hudud.

Bukan hudud?

Kepada ahli-ahli PAS dan orang Melayu, nampaknya kita telah dikelirukan.  Hadi dan parti PAS menegaskan bahawa RUU itu adalah berkaitan dengan hudud. Sebaliknya PM kata bukan Hudud.

Kata-kata siapa yang kita boleh percaya.

Kelakar, bukan. Seorang kata hudud dan seorang pula kata bukan hudud bagi RUU yang sama. Tapi kedua-duanya akan jadikan sebagai isu dalam kempen PRK Kuala Kangsar dan Sg. Besar.

Ohhhhh sekarang baru jelas RUU itu untuk dijadikan isu PRK dan bukan untuk mahu cepat dilaksanakan hudud. Patutlah tangguh sehingga Oktober. Bukannya hudud!

Dari niat agama bertukar jadi alat politik untuk berkempen! Ini bukan saya kata. Ini yang diberitahu oleh Ketau Pemuda PAS.

Kelakau kan!

Saya ingatkan semula:

i) Hadi bentang , Hadi minta tangguh.
ii) Hadi marah DAP yang majoriti bukan Islam kerana melenting fasal hudud.
iii) Hadi puji MCA, MIC dan Gerakan yang katanya tidak melenting seperti DAP sedangkan parti-parti itu secara sepakat mengadakan sidang akhbar menetang RUU itu. Dan seorang Exco MCA di Kedah diberitakan meletak jawatan kerana RUU ini.
iv) Hadi marah kepimpinan Amanah yang tidak pun menentang hudud melainkan mempunyai perbezaan pandangan dari segi pendekatan.
v) UMNO jelas berpendirian tidak terima hudud dan PM Najib mengatakan RUU itu bukan mengenai hudud sedang PAS tujuan PAS ialah untuk melaksanakan hudud. Tapi PAS tidak marah UMNO malah semakin mesra, dan PAS dan UMNO mahu menggunakan RUU itu sebagai bahan kempen PRK.

Serious kah apa yang PAS mahu?

Ianya hanya satu kelakau saja.



Jumaat, 27 Mei 2016

Mengapa Mara`h DAP saja?




Hadi amat marah pada DAP kerana katanya tidak hormat orang Islam. Katanya DAP anti Islam sebab DAP tidak setuju dengan pembentangan RUU berkaitan dengan hudud.
 
Jika DAP anti Islam, Hadi punya alasan untuk marah. Bukan saja Hadi, semua orang Islam  perlu marah pada DAP.  Saya setuju dengan Hadi.
 
Tapi apa itu anti Islam? Setakat tidak bersetuju dengan pembentangan RUU itu, tidak kuat untuk mengatakan DAP anti Islam. MCA, MIC dan Gerakan dan parti-parti yang lain juga tidak bersetuju dengan hudud, termasuk kepimpinan UMNO.
 
Rasanya Hadi tidak lupa penentangan UMNO dan kepimpinan parti itu tentang Hudud. Bagaimana pendirian Dr. Mahathir semasa jadi PM dulu. Macam mana dengan kenyataan PM Najib tentang hudud. Bukankah Najib sendiri mengatakan hudud tidak sesuai dalam negara berbilang bangsa. 
 
Yang terbaru, pendirian presiden Parti Ikatan, kawan blok ketiga PAS, seorang Islam , juga mengatakan hudud tidak sesuai semasa pemasyhuran kuasa blok ketiga diantara PAS dan Ikatan.
 
Mengapa Hadi begitu sensitif dan marah sekali jika kata-kata atau tindakan yang ditafsirkan sebagai tidak bersetuju dengan hudud itu yang diucap atau dilakukan oleh DAP sedangkan banyak lagi pihak lain juga melakukan perkara yang sama. 
 
Mengapa Hadi susah nak faham penentanagn atau tidak bersetuju hudud dari kalangan bukan Islam. Mereka bukan Islam sudah tentu , sama ada mereka tidak faham tentang hukum itu (sebahagian besar orang Islam juga tidak faham) , atau khuatir hukum itu akan melibatkan mereka walaupun telah diberitahu ianya tidak ada kena dengan bukan Islam atau penentangan mereka atas dasar Perlembagaan Persekutuan, maka Hadi tidaklah secepat itu mendakwa DAP anti Islam.
 
Tapi jika, Hadi masih mengatakan penentangan DAP itu adalah sebagai anti Islam maka Hadi juga mesti marah pada MCA, MIC , PM Najib, bekas PM Dr. Mahathir dan presiden Ikatan.
 
Kalau Hadi berbuat begitu, marah Hadi itu lebih kredibel.
 
Adakah berjayanya RUU itu dibentangkan sebagai satu isyarat Najib bersetuju dengan Hudud? 
 
Saya tidak percaya.
 
Jangan silap dan buruk sangka mengatakan saya pula anti hudud. Saya menyokong hudud bukan kerana PAS atau mana-mana parti politik yang mahu menjayakannya tapi ianya hukum Allah. 
 
Tapi saya tidak yakin kepimpinan UMNO khususnya PM Najib mahukan hudud dilaksanakan sama ada di Kelantan atau di mana-mana negeri di Malaysia.
 
Sebenarnya tidak perlu tunggu PAS untuk membawa RUU itu. UMNO yang berkuasa yang mendakwa memperjuangkan Islam itu sepatutnya seawal dulu lagi telah meminda undang-undang yang berkaitan bagi perlaksaan hudud.
 
Mungkin yang lepas UMNO dan kepimpinan UMNO telah terlepas pandang. Kita boleh maafkan.
 
Tapi mengapa UMNO meminta PAS yang membawa RUU itu dan bukan UMNO yng memerintah itu yang melakukannya?
 
Jika sebenarnya UMNO mahukan hudud, UMNO boleh melakukan pindaan tanpa banyak kerenah pentadbiran. Tapi mengapa tidak? Tidak ada sebuah negeri yang dikuasai UMNO yang mahu melakukannya.
 
Adakah soalan itu tidak ada dalam kepala Hadi? 
 
Adakah tidak terdetik dihati kita semua, terutamanya Hadi dan ahli-ahli PAS mengapa RUU itu yang pada mulanya diletakkan disenarai terakhir dalam agenda persidangan parlimen, sedia dinaik dan dipercepatkan untuk tujuan pembentangan dihari terakhir persidangan parlimen. Dan untuk dibahas dan dibincangkan pada sessi parlimenakan datang yang dijangka bersidang pada Oktober.
 
Dan mengapa pula pada persidangan-persidangan yang lepas, RUU itu yang juga disenaraikan sebagai agenda terakhir tidak pula mahu disegerakan?
 
Ya, mungkin ada yang boleh berkata bahawa kita sewajarnya bersikap bersangka baik atas persetujuan RUU itu dibentangkan. Namun apa yang telah berlaku termasuk kenyataan menetang hudud yang telah dikeluarkan yang tidak langsung dipulihkan dengan PM menyatakan antara lain bahawa "Saya sebagai Perdana Menteri merasakan sudah tiba masanya RUU mengenai hudud dibentangkan untuk persetujuan parlimen. Dan Kerajaan akan melakukannya".
 
Kalau benar, kerajaan mahukan atau menyokong perlaksaan hudud, sepatutnya itu yang dilakukan. 
 
Hudud ini bukan hukum politik. Tidak ada kena mengena langsung dengan politik. Hudud ini menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah untuk melaksanakanya. Jika itu dilakukan, tidak perlu mana-mana parti politik untuk mecadang dan membawa bil persendirian untuk perlaksanaan hudud.
 
Kenapa kerajaan tidak melakukannya? Sebab pemimpin parti yang memerintah iaitu UMNO dan parti-parti gabungan dalam BN yang lain akan tidak bersetuju. 
 
Bagi orang dan parti politik UMNO, yang mana lebih penting? Sudah tentu sokongan politik lebih penting. Hudud tidak memberi mereka kuasa. Sokongan politik memberi mereka kuasa.
 
MCA dan parti lain yang anggota ahlinya bukan Islam sudah jelas memberi reaksi tidak meyokong. Di Kedah diberitakan seorang Exco negeri itu dari MCA keluar dari MCA kerana tidak bersetuju dengan pembentangan RUU ini.
 
Tindakan exco itu adalah , bagi saya satu tindakan yang boleh juga dikategorikan sebagai biadap jika kemarahan Hadi terhadap DAP itu dijadikan asas kemarahan Hadi.
 
Oleh itu, adalah lebih molek Hadi bertindak secara konsisten dengan memberikan ulasan yang sama kepada sesiapa saja yang jadi penghalang kepada RUU termasuk menuntut secara jelas pendirian PM Najib yang pernah menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.  
 
Jika itu yang Hadi dilakukan saya tabik hormat pada Hadi. 
 
Tapi setakat marah kepada DAP dan tidak kepada yang lain terutama kepimpinan Islam, pembentangan RUU ini menjadikan hati saya ragu ianya sesuatu yang akan mendapat sokongan dari kerajaan khususnya Perdana Menteri.
 
Tapi jika berjaya, alhamdulillah. 
 
Walaupun saya tidak bersetuju dengan marah Hadi itu, tapi saya faham mengapa beliau marah sangat pada DAP dan tidak pada yang lain khususnya kepada pemimpin Islam yang tidak bersetuju dengan hudud. Marah Hadi itu adalah marah politik. DAP dan PAS telah berpatah arang berkerat rotan. 

Bagi saya, buat ketika ini PAS tidak mampu untuk marah UMNO. Begitu juga UMNO tidak mampu untuk tidak melayan kehendak PAS. Kedua-duanya saling perlu memerlukan untuk menambah bilangan penyokong dan pengundi. Dua PRK iaitu di KK dan SG Besar adalah pemangkin kepada saling perlu memerlukan ini.

Lantas marah DAP adalah juga isyarat jelas memberi tahu kepada pengundi Melayu di kedua-dua kawasan itu bahawa PAS adalah pejuang Islam dan UMNO juga menyokong perjuangan PAS itu. Pengundi Melayu dari PKR, Amanah dan DAP sudah diharapkan dapat mengambil maklum akan perkara ini.

Datang Oktober nanti, saya kurang yakin apa yang hendak dilakukan oleh PAS  itu akan dapat dilakukan tanpa berbagai alasan dan helah dari kerajaan. Harap-harap ianya tidak jadi seperti apa yang saya sangka.

Akhirnya Tuan Guru Haji Awang, janganlah mudah nak marah-marah kepada DAP. Kalau nak marah, marah juga mereka yang melakukan perbuatan yang sama seperti DAP lakukan iaitu menentang hudud.

 

Khamis, 26 Mei 2016

Pembangkang Yang Berpecah Tidak Perlu Bertanding PRK Sg. Besar dan Kuala Kangsar




Sekali lagi saya ulang: UMNO akan  menang dalam PRK Sg. Besar dan Kuala Kangsar. Itu bukan doa saya, bukan juga harapan. Tapi itu adalah kenyataan.

Perkembangan semasa berkaitan dengan PRK di Sg. Besar dan Kuala Kangsar tidak memberi harapan yang cerah kepada parti pembangkang. Dengan demikian saya bertambah yakin UMNO akan menang PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar. 

Oleh itu parti-parti pembangkang wajar mengistiharkan diri tidak bertanding agar kita dapat menyelamatkan wang menguruskan PRK disamping wang parti-parti yang bertanding.

Jika pembangkang mahu juga bertanding, hanya satu parti pembangkang saja yang bertanding tetapi bukan PAS. 

PAS akan kalah kerana pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina yang menyokong DAP dan PKR tidak akan mengundi PAS lagi. Mereka akan mengundi BN (UMNO). Pengundi Melayu PKR juga tidak akan  mengundi PAS kerana sikap PAS yang degil dan tidak setiakawan.

Jika pun PKR atau Amanah saja yang bertanding peluang pembangkang untuk menang paling baik ialah 50:50. 

PAS tidak akan menyokong Amanah kerana mereka sudah berpatah arang berkerat rotan.  Tiada maaf bagimu wahai Amanah.

Dan diantara PKR dan UMNO, perkembangan yang kita lihat, PAS lebih mahu mendekati UMNO dari PKR. Tambahan lagi PKR ketika ini kurang sihat yang boleh menyebabkan sebahagian penyokongnya tidak keluar mengundi.

Tidak dinafikan UMNO ada masalah. Tapi UMNO ada kekuatan dari segi jentera dan wang. Wang boleh menyejukkan hati penyokong dan pengundi Melayu yang agak marah-marah. 

UMNO sudah masak dengan watak Melayu. Marahnya cepat memuncak. Tapi hatinya tidak kesampaian jika budi dan jasa dikenang-kenangkan: 

Tengok saja jalan raya, klinik, hospital, jambatan, subsidi baja, sekolah, letrik, air paip, bantuan buku teks, pakaian sekolah, dan macam-macam lagi. Apakah kamu tidak bersyukur? Tidak mengenang budi? Apa lagi yang kamu mahu.....nah ambil BR1M. Demi Melayu, agama dan tanah air, UMNO lakukannya. Apakah kamu tidak kenang budi?

Orang Melayu akan cair jiwa dan raganya. Tiada lagi marah melekat dihati. Orang berbudi, apa salahnya kita beri undi, yang jadi PM juga orang Melayu.

Apa pembangkang boleh beri? Air liur saja. 

Dalam keadaan sara hidup yang menekan ini, pemberian wang sebanyak 50 ringgit, apatah lagi lebih dari itu adalah terlalu bermakna. Ianya sungguh merengankan. Yang penting bagi pengundi Melayu ialah membantu menyelesaikan/merengankan masalah  yang ada didepan mata. 

Soal urustadbir yang baik, soal moral kepimpinan yang baik, dan menolak rasuah tidak dapat memenangi hati mereka kerana semuanya itu tidak membantu merengankan masalah beban yang dihadapi ketika itu.

Jangan silap bahawa saya tidak mengatakan pengundi Melayu ini tidak mahu pimpinan yang baik, tadbirurus yang baik dan kerajaan yang tidak rasuah. Itu yang mereka mahu.

Tapi mereka perlukan wang dulu. Dan godaan wang selalunya berjaya memenangi undi mereka.

Untuk melawan UMNO mesti ada wang yang banyak. UMNO percaya wang adalah RAJA. Oleh itu memperolehi wang dengan apa cara sekalipun termasuk dari para penderma adalah agenda utama UMNO/BN dalam menghadapi pilihanraya. 

Pembangkang boleh buat berbagai janji yang dimahukan oleh rakyat. Tapi setakat itu saja pembangkang tidak mudah untuk mengalahkan UMNO/BN. Apatah lagi pembangkang yang berpecah belah sama ada sesama parti atau diantara parti dan kedua-duanya akan tidak dapat mengatasi undi yang diperolehi UMNO.

Jika senario pembangkang masih kekal seperti yang dinyatakan iaitu berpecah belah, UMNO akan berterusan berkuasa selagi ada matahari dan bulan. 

Jadi untuk PRK Sg.Besar dan Kuala Kangsar ini, pembangkang yang berpecah itu tidak perlu bertanding.  

 

 
 

Isnin, 23 Mei 2016

Apa Pilihan Rakyat Diantara Dua Jembalang Ini.




Negara kita sekarang ini bercelaru, haru biru dan amat memalukan. Kerajaan dan parti kerajaan bercelaru. Pembangkang pun bercelaru.

Rakyat menaruh harapan kepada kerajaan dan pembangkang demi kebaikan dan kesejahteraan hidup mereka. Tapi apa yang boleh diharapkan dari pihak yang bercelaru dan keliru?

Kerajaan dan pembangkang menjadikan rakyat sebagai landasan kuasa. Berebut-rebut memberi harapan kepada rakyat. Semua kata dan tindakan adalah untuk kebaikan rakyat, untuk faedah rakyat dan demi rakyat mereka berkhidmat!

Putar alam punya orang, kata rakyat yang amat marah.

Lihat apa yang kerajaan telah dan sedang lakukan. Banyak kerosakan dari yang memberi faedah kepada rakyat. Tapi kerajaan masih lagi melalak mengatakan mereka bekerja untuk kebaikan rakyat.

Lihat saja pengurusan wang dan sumber negara. Kemana perginya sumber negara yang kaya itu? Digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat?

Jawabnya, sumber itu telah digunakan untuk kepentingan sebilangan kecil elit, sebahagian kecil kelompok yang berkuasa dan dekat dengan yang ada kuasa. 

Berbagai cara dan tipu daya digunakan termasuklah menyekat sebarang maklumat yang boleh mendedahkan salahlaku mereka yang berkuasa melalui peruntukan berabagai undang-undang.

Mereka yang memperjuangkan ketelusan dalam tadbir urus negara , dan berjaya mendedahkan salahlaku dalam penggunaan sumber wang negara akan ditaklukkan kepada peruntukan undang-undang Rahsia Rasmi Kerajaan yang boleh didakwa dan dikenakan hukuman tertentu.

Maka tidak hairanlah pihak yang berkuasa boleh melakukan apa yang mereka suka selagi apa yang mereka lakukan itu tidak menjejaskan kepentingan mereka, dari segi kedudukan kuasa dan ekonomi peribadi. Undang-undang yang ada mereka tafsirkan sedemikian rupa yang menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan kelompok dan peribadi.

Lihat saja tentang perjanjian-perjanjian konsessi misalnya konsessi lebuhraya bertol. Kadar tol, terma dan syarat termasuk tarikh tamat konsessi itu adalah diluar pengetahuan rakyat sedangkan ianya mempunyai kepentingan rakyat.

Rakyat perlu terima saja kerana apa yang dilakukan adalah demi rakyat. Konon!

Banyak lagi salah laku yang menyusahkan rakyat. Rasuah, kelihatan sekarang ini sudah boleh diterima oleh sebahagian rakyat, yang telah menetapkan pendirian bahawa pimpinan kerajaan yang melakukannya perlu disokong dan dipertahankan walaupun mereka yang menyokong itu sentiasa mengingatkan ayat-ayat al-quran tentang menentang kemungkaran dan menyuruh melakukan kebaikan.

Tapi demi pemimpin yang disokong , demi kelompok yang berkepentingan maka rasuah bukan lagi satu perbuatan yang mungkar . 

Mungkin mereka ini adalah pengamal yang percaya dengan kata-kata 'bohong sunat' iaitu boleh saja berbohong bahkan dapat pahala jika berbohong. Rasuah itu adalah sesuatu yang sunat dilakukan jika ianya melibatkan kepentingan diri dan kelompok.
 
Dalam keadaan tadbir urus kerajaan yang jelik ini maka sebahagian besar rakyat menaruhkan harapan penuh kepada parti pembangkang untuk pembangkang mengambil alih teraju pemerintahan.

Itu adalah harapan sebahagian besar rakyat.

Tapi apa yang berlaku diantara parti pembangkang yang mahu memperjuangkan keadilan sosial demi kepentingan rakyat , konon, adalah tidak jauh dari apa yang dilakukan oleh kerajaan, kerana tidak ada kesepakatan antara parti dan dalam parti. Masing-masing terlalu ego dan tamakkan kuasa. 

Maka apa bezanya dengan Kerajaan yang ada yang sentiasa menyalahgunakan kuasa disebabkan tamak dan haloba. Sudah tentu tidak ada beza jika pembangkang yang ambil kuasa.

Kerajaan bercelaru, pembangkangpun serupa macam itu rakyat yang haru biru.

Malang sekali kerajaan dan pembangkang tidak tahu malu. Rakyat  semakin menderita, kena tipu bahkan menanggung malu disebabkan kerenah dan perangai buruk kerajaan dan pembangkang.

Apa pilihan rakyat? Rakyat kena buat pilihan diantara 2 hantu jembalang ini.
 

 




 
 

Jumaat, 13 Mei 2016

Parti Pembangkang (PAS dan PH): Jangan Buang Masa, Tenaga dan Wang Untuk Masuk Bertanding DiPRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, UMNO Pasti Menang , Insya Allah




1. Berkaitan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dalam 2 paparan yang lepas, saya menujumkan jika PAS yang bertanding melawan UMNO dalam pertandingan banyak penjuru , UNMO akan menang, yang lain akan kalah.
 
2. Saya juga meramalkan jika PAS saja yang bertanding, dan itupun yang dimahukan UMNO seperti yang jelas dari kenyataan menteri UMNO Nazri Aziz yang menyatakan bahawa yang layak bertanding ialah PAS kerana dua kawasan itu ditandingi oleh PAS pada PRU 13 dulu, PAS juga akan kalah.
 
3. Persaingan yang rapat ialah jika UMNO berhadapan dengan PH (PKR atau PH). Jika PKR yang bertanding, persaingan lebih hebat, peluang 50:50, namun UMNO mempunyai kedudukan lebih baik sedikit memandangkan perkembangan yang kurang sihat dalam PH termasuklah MB Besar Selangor Azmin Ali yang semacam lebih berminat PAS yang bertanding bukan PKR atau PH.

4. Mengapa UMNO mahukan PAS saja yang bertanding? Adakah UMNO mahukan PAS menang? Tidak mungkin UMNO melihat PAS akan memberi saingan yang kuat. Yang pasti UMNO mahu menang dan kekal. Hanya dengan parti yang UMNO lihat sebagai lemah, kemenangan mudah dicapai.

5. Sebenarnya UMNO terlalu yakin boleh menang jika PAS yang bertanding jika berlaku pertandingan satu lawan satu. Sebab, PAS sudah dilihat oleh pengundi sebagai tidak serious. Menang bukan matlamat PAS seperti yang dihebuhkan oleh presiden PAS. PAS tidak kemaruk kuasa. Bagi PAS memadai jadi penasihat kepada UMNO. Ertinya PAS bertanding ialah bagi menyelamatkan UMNO.
 
6. Jika berlaku lawan banyak penjuru, UMNO akan menang. Ertinya UMNO akan menang dan kekal berkuasa di dua kawasan Parlimen itu sama ada pertandingan satu lawan satu atau banyak penjuru. 
 
7. Oleh itu untuk dua kawasan ini, parti-parti lain tidak perlu bertanding kerana buang masa, tenaga dan wang saja sama ada wang parti mahupun wang rakyat (perbelanjaan yang dikeluarkan oleh SPR dan jabatan-jabatan lain yang terlibat dalam pilihanraya itu). 
 
8. Daripada bertanding yang sudah tentu kalah, lebih baik parti PH dan PAS perkemaskan rumah sendiri. Selesaikan persengkataan dikalangan pembangkang terlebih dahulu bagi menghadapi PRU 14. Biarlah UMNO menang percuma. Lagipun PRU 14 hanya tinggal paling lamabt 2 tahun lagi.

Rabu, 11 Mei 2016

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Apa kata TokNujum....Parti Mana Yang Akan Menang.




PRK Parlimen Kuala Kangsar, di Perak dan Sungai Besar di Selangor akan diadakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh SPR nanti. Difahamkan SPR akan bermesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan PRK di dua kawasan parlimen itu.

Kita tunggu keputusan SPR.

Sementara itu mari kita main teka-teka atau jadi tok nujum. 
Pada pandangan anda parti manakah yang 'justified' untuk bertanding? 

Anda mesti jadi tok nujum yang professional, berdasarkan  pemikiran yang logik , rasional disertakan dengan hujah atau alasan yang meyakinkan. 

Elakkan pemikiran anda dipengaruhi oleh kecenderungan kepada sesuatu parti. Ianya bukan perkara yang mudah terutama jika anda ahli parti tertentu, apatah lagi amat taksub dengan parti anda itu.

Sebab itu anda mesti bersikap professional.

Sebelum itu saya perlu terangkan maksud 'justified' itu.
Saya tidak bermaksud 'justified' itu sebagai layak untuk bertanding kerana sesiapapun atau parti manapun adalah layak untuk bertanding selagi ianya dibenarkan oleh undang-undang negara. Contoh, orang muflis dan bukan warga negara tidak layak untuk bertanding.

'Justified' itu kalau disamakan dari segi nilai wang ianya dipanggil sebagai 'value for money' atau dalam bahasa yang biasa kita gunakan ialah 'berbaloi'.  Atau orang Negeri Sembilan kata, "tak abih boreh".

Kalah pun kalah tak jadi hal kerana 'ada fight'.  Itu maksud atau semangat justified dalam pertandingan itu.

Parti manakah yang justified untuk bertanding?

Adakah UMNO? PAS? PH?

Kalau PH, adakah PKR, Amanah atau DAP?

Saya  percaya sebagai tok nujum, anda sudah ada jawapan atau sedang memikirkan jawapan yang sesuai. Tapi mesti ingat, anda mesti jadi nujum yang professional.

Bagi saya hanya dua parti saja yang justified untuk bertanding. Sebab, yang kita mahu tahu dalam sesuatu pilihanraya adalah parti mana/siapa yang menang dan parti  mana/siapa yang kalah. Yang menang akan tubuh kerajaan, dan kehidupan kita akan banyak ditentukan/dipengaruhi oleh parti yang menang itu.  

Parti yang kalah sama ada satu atau lebih tidak memberi kesan kepada kehidupan kita walaupun jika mereka mahu bekerja sama selepas kalah. Suara mereka tidak ada dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Oleh itu mengapa kita perlukan lebih dari dua parti yang bertanding?

Jika dua saja yang bertanding kita boleh lihat dan ukur kekuatan dan kekurangan/kelemahan parti-parti yang bertanding itu dengan jelas. 

Jika perbezaan undinya terlalu kecil maka ianya baik kepada pengundi/rakyat. Dan menjadi ingatan awal kepada parti yang menang -jangan main-main, kedudukan kamu seperti telur dihujung tanduk. Jangan menyusahkan rakyat atau pengundi. Awas jangan mungkir janji.

Parti yang menang itu akan bekerja kuat. Dan parti yang kalah itu adalah kalah yang berbaloi.

Kedua-dua parti itu adalah parti yang boleh diharap oleh rakyat.

Kalau parti itu menang besar macam mana? 

Menang besar atau kecil ia bukan satu faktor yang boleh justified bagi perlawanan banyak penjuru. Mesti satu lawan satu.

Atas dasar satu lawan satu ini, saya berpendapat parti-parti UMNO dan PH adalah justified untuk bertanding dalam kedua-dua kawasan parlimen ini. 

UMNO adalah incumbent atau parti yang mempertahankan kedudukan. Dan parti yang memimpin kerajaan Persekutuan sekarang ini. Jadi tiada soalan lagi. 

Bagimana dengan PAS?

PAS sebuah parti yang banyak pengaruh dan tidak boleh diketepikan begitu saja. Lagipun kedua-dua kawasan itu adalah kawasan yang ditandingi oleh PAS dalam pilihanraya yang lepas dibawah PR.

Tapi mengapa saya kata PAS tidak justified untuk bertanding. Atau adakah saya mahu pertandingan 3 penjuru iaitu UMNO, PAS dan PH?

Tidak, bukan pertandingan 3 penjuru yang saya mahukan.

Pertandingan 3 penjuru atau lebih dari satu lawan satu tidak justified, buang masa, membazir wang, not value for money, tidak berbaloi dan 'abihkan boreh' saja.

Kedudukan PAS sekarang yang membuatkan saya kata tidak justified. Tambahan lagi dua kawasan ini adalah kawasan barat Semenanjung Malaysia, bukan timur.

UMNO paling seronok jika PAS yang bertanding seperti yang saya dapat fahamkan dari kenyataan Nazri Aziz sebab katanya pada pilihanraya lepas PAS yang bertanding. Beliau semacam tidak mahu parti selain dari PAS bertanding melawan UMNO.

Pelik tak kenyataan dari lawan mengalu-alukan hanya PAS saja  bertanding melawan UMNO? 

Saya tidak pelik kerana itu yang mereka mahu kerana kemenagan sudah terjamin. Saya meneka itulah yang mereka percaya.

Saya fikir ada asasnya. Kalau pada PRU 13 semasa PAS bersama PR satu pakatan politik pembangkang yang kental ketika itu, PAS boleh kalah, sudah tentu secara bersendirian PAS akan kalah. PAS telah kehilangan pengundi khususnya dari penyokong PKR dan DAP. Dan juga penyokong PAS yang beralih kepada Amanah yang pada masa ini bersama dengan PKR dan DAP dalam PH.

Jadi mana ada logiknya PAS boleh menang atau memberi saingan yang berbaloi?

Ingat, asas pertandingan politik PAS ialah untuk berdakwah dan bukan mendapatkan kuasa politik. Itu yang sentiasa diberitahu oleh PAS termasuk presiden PAS. Maka lahirlah kata-kata hikmat bahawa PAS bertanding bukan untuk menang tapi untuk mencari keredaan Allah.

Saya tidak pasti sama ada kenyataan itu merupakan suara hati atau ada sebab-sebab lain kenyataan seperti itu dibuat. 

Pelik? Ya, ianya amat pelik dan mendukacitakan kerana PAS sebuah parti yang banyak pengaruh, pada satu ketika dulu.

Bukankah memiliki kuasa politik amat penting dalam menentukan hala tuju termasuklah dalam kerja dakwah. Hanya parti yang menang saja yang boleh melakukannya. Apa guna bertanding kalau kemenagan bukan yang dimahukan? Bukankah membazir wang dan membuang masa.

Sebab itu saya katakan PAS tidak justified bertanding. Bukan kerana parti itu tetapi disebabkan kemenangan bukan yang dikehendaki oleh PAS. Maka layu longalailah orang/pengundi untuk mengundi PAS.

Jadi yang justified bertanding ialah UMNO dan PH.

Parti apa dari PH?

DAP tidak justified.

Secara logiknya Amanah wajar bertanding jika kaedah persefahaman PR dulu digunapakai oleh kepimpinan PH kerana penubuhan Amanah adalah kesan dari pergolakan dalam PAS dulu. Ertinya penyokong Amanah adalah mereka yang berhijrah dari PAS.

Soalnya adakah Amanah itu sudah kuat?

Dalam hal ini saya tidak mahu jadi tok nujum. Biarlah diselesaikan oleh kepimpinan PH.

Yang saya mahu nujumkan ialah bahawa UMNO dan PH adalah parti-parti yang justified untuk bertanding di kedua-dua kawasan Parlimen, Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Siapa menang? Sayapun tidak mahu meramalkan. Tapi saya jangka persaingan adalah rapat sekali. 

Tapi oleh kerana PAS menyatakan mahu bertanding sama, dan jika PH juga bertanding, UMNO boleh senyum besar. 

Dan jika bahang Sarawak masih lagi membara dikalangan parti-parti PH dalam menentukan kedudukan mereka, misalnya parti mana yang akan bertanding dan mereka berseliseh mengenainya, tidak ada persetujuan sebulat suara, senyuman UMNO lagi melebar.

Jika pula, PAS dan PKR bersetuju untuk bekerjasama dalam pertandingan merebut kuasa di dua kawasan ini, UMNO bukan saja akan senyum melebar bahkan ketawa besar, terbahak-bahak dengan menyampaikan salam, mampus kau PH.

Kalau begitu keadaannya, hanya UMNO saja yang justified untuk  bertanding. Yang lain buang masa dan membazir wang.
 

 



 

Selasa, 10 Mei 2016

Kaya, Kuasa dan Nama Bukan Milikmu Wahai Sahabatku



(Buat Sahabatku Penjawat Awam)


Jika kaya yang kau mahu
lupakan saja kerjaya mu itu
kau dibayar bukan menurut jumlah waktu
kau dibayar hanya untuk bersetuju

Jika kuasa yang kau mahu
lupakan saja nafsu mu itu
turunkan saja tanda tanganmu itu
itu  saja yang kau perlu laku

Jika masyhur nama yang kau mahu
mimpi dan khayal sudah menggoda otak mu
kau hanya pemalu gong tukang beritahu
kau tidak lebih dari itu

Apa lagi yang kau mahu?

Sahabatku
Aku tahu mengapa kau mahu jadi kaya
sebab hatimu cemburu
kerana orang itu boleh kaya sekelip mata

Aku faham mengapa kau mahu kuasa
kerana kau bermatian dari A hingga ke Z
sedang orang itu hanya perlu menggerakkan jari saja menunjuk kearahmu

Aku juga tahu
namamu sekadar tersenarai sebagai urus setia
sedang orang itu mesti disebut dalam setiap bicara

Sahabatku
setinggi manapun kedudukan mu dalam hiraki
kau tetap penjawat awam
dibawah naungan empat perkataan
Saya Yang Menurut Perintah

Wahai sahabatku
kau tidak kebal seperti orang itu

Ingat sahabatku
kau hanya penggalang ganti
untuk kena seligi
atas kesilapan yang tidak pernah kau mahu buat
atas kecurangan orang itu 

Oleh itu sahabatku
jika kau mahu terus bekerjaya
patuhilah perintah
setakat yang direstui Allah.



Isnin, 9 Mei 2016

Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar: Parti Mana Akan Melawan UMNO. Jika PAS Saja , UMNO Boleh Senyum Lebar.




Parti manakah yang akan bertanding bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar di Perak dan Sungai Besar di Selangor?

Yang pasti ialah parti UMNO (BN) bagi kedua-dua kawasan itu. Yang pasti juga ialah PAS yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding walaupun mereka tidak menjadikan mendapat kemenagan sebagai asas untuk mereka bertanding.

Bagaimana dengan parti-parti dalam PH - Amanah, PKR dan DAP? Mana satu yang mahu bertanding?

Jawapannya, ikut hati dan nafsu parti masing-masing,  saya percaya ketiga-tiga parti itu mahu bertanding. Ini bukan saya suka-suka percaya saja. Saya percaya berasaskan bukti. Bukti pada pilihanraya Sarawak yang baru saja berlangsung.
 
Tapi apa makna persepakatan politik dibawah nama PH jika ketiga-tiganya mahu bertanding. Mungkin itu yang ditanya oleh setengah pihak atau yang dipegang teguh oleh sebahagian ahli dan kepimpinan parti-parti gabungan PH itu.
 
Lebih baik tiada kesepakatan politik! Rengus dan marah orang yang berpegang teguh kepada prinsip persepakatan dalam politik.

Saya boleh berhujah dan beritahu mereka bahawa bukankah politik ini permainan serba mungkin yang tidak mudah ditelek dan diramal. Hari ini kawan, esok belum tentu. Kalau tidak semua janji akan ditepati sedangkan janji politik bukan janji yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Pelawaan Timbalan Presiden PKR mengajak PAS bersama dalam PH dan kenyataan PAS untuk bertanding di dua kawasan parlimen tersebut adakah satu kebetulan? Atau strategi politik?

Kebetulan atau tidak dan sama ada ianya bersifat strategi atau sebaliknya ianya tidak menjawab soalan siapa yang akan bertanding dari PH bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu. 

Nampak gaya, jika kepimpinan PH tidak dapat segera menjawab siapa yang akan bertanding, parti mana yang dipersetujui untuk bertanding diantara mereka, gabungan parti-parti dalam PH ini dikhuatiri akan tidak panjang umurnya. Retak menunggu belah.

Adakah jemputan Timbalan Presiden PKR untuk PAS bersama dalam PH merupakan satu isyarat politik bahawa PKR atau Timbalan Presiden itu secara peribadi mahukan PAS bertanding di kedua-dua kawasan itu. Alasannya kedua-dua kawasan itu adalah kawasan PAS menurut yang dipersetjui semasa PAS dalam PR dulu.

Jika PAS dalam PH maka logiknya kawasan itu mesti diberikan kepada PAS seperti mana semasa dalam PR dulu. Adakah itu maksud jemputan Azmin itu.

Dalam hubungan ini, PAS, saya percaya akan jual mahal dan mengambil kesempatan meraih faedah sebaik mungkin akan jemputan Azmin itu. 
 
PAS boleh saja berkata bahawa mereka akan beri pertimbangan dengan syarat jemputan Azmin itu mesti jujur dan ikhlas. Bagi PAS ukuran jujur dan ikhlas  itu membawa maksud bahawa Azmin dan kepimpinan PH mesti bersetuju hanya PAS saja yang bertanding di kedua-dua kawasan itu melawan UMNO. 

Saya kira Azmin tiada masalah melihat kepada rekod hubungannya dengan PAS. Dua Exco Selangor pun dari PAS.
 
Halangan yang pasti adalah dari kepimpinan PH sama ada dari PKR, Amanah mahu pun DAP. Mungkin PKR ada sedikit tolak ansur. Tapi tidak dari Amanah apatah lagi DAP yang tidak langsung percaya dengan PAS terutama dibawah Hadi.

Adakah ini akan meretakkan PH? Adakah bara di PRN Sarawak akan semarak melintasi lautan cina selatan dan membahang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar?

Kita sama-sama lihat dan tunggu. Tunggu apa yang akan diputuskan oleh kepimpinan PH yang dikatakan akan bersidang tidak berapa lama lagi.
 
Sementara itu saya mahu meneka bahawa mesyuarat kepimpinan PH nanti akan panas. Amanah dan DAP tetap mahukan parti PH bertanding sama ada PKR atau Amanah. Atau disebabkan Amanah masih baru maka  Amanah diberikan satu kawasan dan PKR satu kawasan. 
 
Apapun mesyuarat itu akan panas.
 
Sinario PAS mahu bertanding dan jemputan Azmin agar PAS menyertai PH serta bahang yang dijangka dalam mesyuarat kepimpinan PH nanti, adalah satu petanda yang menggembirakan UMNO, mereda dan merengankan beban yang sedang dihadapi oleh parti itu ketika ini. Lega PM Najib bernafas.
 
Jika berlaku pertandingan 3 penjuru, PAS, PH dan UMNO  dan tidak ada faktor DR. Mahathir yang mahu Najib undur, besar kemungkinan UMNO akan dapat mengekalkan kerusi di kedua-dua kawasan itu.
 
Jika hanya PH saja yang bertanding, UMNO berhadapan dengan tentangan yang hebat. Dengan isu-isu semasa yang dihadapi Najib, dan dibantu pula faktor DR. Mahathir, risiko UMNO kalah itu boleh menjadi satu kebarangkalian yang tidak mudah dinafikan.
 
Tapi jika PAS saja yang bertanding (atas andaian PH percaya PAS akan bersama PH selepas pilihanraya), UMNO boleh senyum lebar. PAS tidak pun merasa apa-apa dengan senyum lebar UMNO itu kerana kekalahan bagi PAS bukan sesuatu yang pedih dan sedih, dan kemenangan pula bukan matlamat utama parti itu. 
 
Jadi saya hairan mengapa Azmin menjemput PAS untuk bersama dalam PH, sebuah parti yang tidak mengutamakan kemenangan.
 
Perkembangan dalam PH dan cara PAS berpolitik yang tidak pentingkan kemenangan telah merengankan beban UMNO untuk memenangi piliharaya di dua kawasan ini. Jika faktor DR. Mahathir tidak masuk campur , UMNO akan selesa. PM Najib boleh tersenyum lebar. 
 
Sekarang yang kita mahu tahu parti mana yang akan melawan UMNO?

Ahad, 8 Mei 2016

BN Menang Besar Di Sarawak: Tiada Tahniah Untuk Mu




Yang batil kerap menang. Dan yang hak, buat masa ini kerap kalah. 

Saya percaya bukan itu yang kita percaya dan bukan itu yang kita mahu. Ianya bukan pegangan saya dan bukan yang saya mahu. Saya percaya bahawa yang batil itu tetap kalah. Yang hak tetap berjaya. 

Sebab itu kita selalu mempertahankan kata-kata: Berani kerana Benar. Kerana yang berkata benar dan yang melakukan yang hak saja yang akhirnya akan berjaya.

Tetapi apa yang berlaku setakat ini adalah sebaliknya. Sebab, tidak ramai yang mahu atau berani menyatakan kebenaran. Risiko dari segi kedudukan, kemewahan dan kuasa terlalu tinggi jika kebenaran itu diperjuang dan dipertahankan. 

Sebab itu ada juga yang mempertahankan kebatilan walaupun mereka itu juga amat tidak suka kepada kebatilan.

Siapa suka jadi pencuri? Siapa suka dikatakan ambil rasuah? Siapa suka dipanggil sebagai pembunuh? Penyangak? Penyamun? Perogol? Penghisap darah? Zalim?

Semua kita membencinya. Tapi dalam realiti kehidupan, kebatilan kerap menang. Ertinya mereka yang melakukan kebatilan mempunyai peluang besar untuk menang.

Oh itu cerita batil dan hak. Lupakan saja. Lebih baik kita tinjau sedikit PRN di Sarawak. Siapa yang menang?

BN menang dalam PRN Sarawak. Kemenangan yang amat besar iaitu 72 kerusi dari 82. Pembangkang termasuk bebas kalah teruk. DAP hilang 5 dari 12 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya sebelumnya. PKR hanya menang 3. PAS dan Amanah  kosong. Bebas sama juga.

Tapi saya rasa BN tidak layak diberi ucapan Tahniah. Bukan saya kata BN khususnya PBB tidak kuat. Ia sebuah parti yang kuat, tidak mudah digugat.

Tapi PRN Sarawak ini bukan satu persaingan mendapatkan kuasa politik bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang berjalan secara demokratik. Ianya terlalu berat sebelah, memihak kepada BN. 

Saya tidak perlu senaraikan contoh tentang berat sebelah itu hanya memadai dengan kes melarang kepimpinan pembangkang dari Semenanjung untuk berkempen di Sarawak sedangkan pemimpin BN dari Semenanjung berduyun-duyun memasuki Sarawak. Dan sudah tentu banyak benda-benda manis yang digendung dan dicurahkan semasa berkempen itu.

Jadi tidak hairan menang besar. Cuma tidak layak mendapat ucapan tahniah.

Menurut BN , orang Cina sudah kembali menyokong BN, tidak seperti PRU 13 dimana berlaku tsunami Cina ke pembangkang khususnya memilih DAP. 

Betul kah begitu? Saya fikir ada juga benarnya. Mungkinkah ianya akan berlaku di Semenanjung?

Mungkin dua pilihanraya kecil yang akan berlangsung di Semenanjung tidak berapa lama nanti akibat dari BN kehilangan 2 ahli Parlimen berikutan kemalangan helikopter semasa kempen PRN Sarawak akan dapat memberi isyarat tentang sokongan orang China kepada BN.
 
Bagi saya, di Semenanjung mungkin ada juga kesannya . Tapi terlalu kecil kerana orang-orang di Semenanjung terutama orang-orang China adalah pengundi yang terdedah dengan berbagai maklumat, apatah lagi maklumat yang melibatkan salah guna kuasa dan tadbir urus yang tempang/merosakkan negara seperti kes 1MDB.

Namun kita tunggu dan lihat.

Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan helikopter itu. Dan bagi yang Islam saya mendoakan agar mereka dicucuri dengan rahmat dan dimasukkan dikalangan orang yang diredhai Allah: Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNYa kita dikembalikan. Amin.

 
  





 

Jumaat, 6 Mei 2016

1MDB Tutup Kedai: Negara dan Rakyat Yang Sengsara.




1MDB tutup kedai. Tidak berniaga lagi. Gagal dan merugikan yang membebankan negara dan rakyat.

Sebenarnya dari mula syarikat itu ditubuhkan, ianya tidak ada langsung hasrat untuk mensejahterakan rakyat. Tidak juga untuk memakmurkan negara. Hanya yang ada ialah untuk menggunakan kekayaan negara bagi kepentingan kelompok-kelompok tertentu.

Walaupun negara telah sedia ada sebuah syarikat pembangunan strategik iaitu Khazanah, 1MDB tetap juga ditubuhkan. Mengapa?

Mengapa kuasa membuat keputusan diberikan secara mutlak kepada Perdana Menteri/Menteri Kewangan seperti termaktub dalam perkara 117 memorandum dan artikel syarikat. 

Jadi apa guna adanya Lembaga Penasihat, yang tidak pun pernah bermesyuarat? Apa guna adanya Lembaga Pengarah? Apa guna adanya Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden?

Adakah ini satu cara yang terbaik untuk menguruskan sebuah syarikat? 

Jawapannya, ianya terbaik untuk mereka yang tidak mempunyai hasrat untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat sebaliknya menggunakan kekayaan negara untuk kepentingan puak-puak yang tamak haloba merompak kekayaan negara.

Struktur modal syarikat mendedahkan risiko yang tinggi dimana pinjaman terlalu besar mengatasi ekuiti menjadikan 1MDB sebuah syarikat yang 'over geared'. 

Over Geared? Ertinya jika diibaratkan 1MDB itu sebagai sebuah kereta, ianya sebuah kereta bekuasa kuda rendah misalnya macam kereta 650 cc berbadankan kereta mercedez. Sudah tentu tak larat nak bawa badan itu, apakan lagi nak naik bukit.

Tapi 1MDB ini satu syarikat luar dari biasa, diberi segala pertolongan dalam bentuk monopoli dalam pemilikan/perolehan harta kerajaan pada harga yang rendah dari harga pasaran dan jika mahu meminjam akan disokong dan dijamin pinjaman itu oleh kerajaan.

Jadi tidak ada masalah tentang over geared.

Jika syarikat bermasalah bagaimanakah untuk membayar pinjaman?

Kenyatan diatas secara tidak langsung telah menjawab pertanyaan itu. Tapi tidak mengapa. Lagi diulangsebuat lagi baik dan terang.

Jawabnya, mudah saja. Boleh buat pinjaman dalam apa bentuk sekalipun kerana pinjaman itu disokong atau dijamin oleh kerajaan.

Mudah saja, sebab boleh dapatkan wang dari syarikat-syarikat kepentingan kerajaan/badan-badan kepentingan awam melalui pinjaman yang dijamin kerajaan atau melalui pengeluaran surat hutang/bon yang juga dijamin kerajaan.

Mudah saja, sebab boleh dapat aset kerajaan seperti tanah pada harga yang terlalu rendah dari harga pasaran, kemudia tanah itu dijual semula kepada pihak lainpada harga yang jauh lebih tinggi.

Apa kata jika tiada pihak yang mahu membeli tanah itu?

Mudah saja, tawarkan/arahkan syarikat-syarikat kepentingan kerajaan/badan-badan kepentingan awam untuk membelinya pada harga yang tinggi.
 
Mudah saja, jual aset-aset tersebut seperti Bandar Malaysia dan IPP kepada syarikat majoriti kepentingan warga asing seperti dari negara Cina.
 
Itukah jawapan yang tersedia ada dalam fikiran mereka yang menubuhkan 1MDB dulu? 

Entahlah, Allah saja yang tahu. Tapi struktur 1MDB itu sama ada dari segi kuasa dan modalnya bahawa ianya kelihatan tidak langsung mengambilkira kepentingan rakyat dan negara sebaliknya kekayaan negara digadaikan.

Sekarang 1MDB sudah tutup kedai. Tidak beroperasi lagi. Tiada lagi Lembaga Penasihat dan tiada lagi Lembaga Pengarah. Hanya Ketua Pegawai Eksekutif yang tinggal terkonteng-konteng bersendirian menjaga syarikat yang tidak lagi beroperasi!  Hahahahaha, pelikkan? 

Tidak pelik. Itu perkara biasa di negara Malaysia ini semenjak merdeka!

Aset 1MDB diserahkan kepada Kementerian Kewangan DiPerbadankan, begitulah menurut satu berita.

Mungkin ada yang silap dengan kenyataan seperti diatas dengan menganggap serahan aset itu tanpa liabiliti. 

Aset yang diserahkan itu sudah tentu bersama dengan liabiliti. Berapakah nilai aset 1MDB. Berapakah nilai liabilitinya pula. Ianya menghasilkan keputusan yang negatif jika kita ambil aset dan liabiliti.

Negara dan rakyatlah yang menanggungnya. 

Dari sumber mana? Sumber pendapatan negara dari hasil minyak sudah berkurangan. Jadi tidak boleh diharapkan dari hasil ini.

Hanya ada satu sumber saja iaitu melalui dasar fiskal iaitu pencukaian. Ada besar kemungkinan cukai baru atau cukai sedia ada akan dinaikkan seperti GST atau lain-lain cukai langsung dan tidak langsung.

Disamping itu, tidak boleh diketepikan kemungkinan untuk mengurangkan pelbagai perbelanjaan sama ada belanja mengurus atau pembangunan.  Maka mutu perkhidmatan dan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat seperti ubat-ubatan dan infrastruktur akan dikurang atau di tiadakan. 

Siapa yang tanggung? Rakyatlah yang tanggung.

Dan saya amat berat mempercayai bahawa mana mana barangan atau perkhidmatan atau pengeluaran  yang sekarang ini menerima subsidi/insentif  kerajaan akan dikaji bagi disusun semula ( kerajaan gunakan perkataan resionalisasi) bagi tujuan dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

Siapa yang menanggung beban? Jawab sendiri.

Saya minta kita jawab sendiri ialah kerana kita sebenarnya berkongsi bertanggungjawab dalam hal 1MDB ini. Tuding jari bukan saja kepada kelompok tertentu yang secara langsung terlibat dalam 1MDB, tuding jari juga kepada diri kita sendiri.

Kenapa, kita, bilangan yang majoriti berbanding dengan kelompok yang tamak haloba itu, yang minoriti, dalam sebuah negara demorasi tidak mampu untuk menyekat pihak minoriti itu dari merosakkan tadbir urus negara?

Bukankah dalam sebuah negara demokrasi, majoriti menentukan arah tuju negara. Bukankah majoriti yang menentukan kepimpinan negara?

Walaupun telah berulang kali diingat dan diberi teguran oleh beberapa pihak bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat yang bermasalah yang akan membebankan negara tapi sebahagian besar dari kita lebih suka mendengar dan mempercayai dari kepimpinan bahawa ingatan dan teguran itu adalah bersifat fitnah yang semata-mata atas sakit hati dan bagi menjatuhkan kepimpinan negara.

Paling malang sekali, kita, terutamnya sebahagian besar orang Melayu, apatah lagi dari kelompok parti yang dimashurkan sebagai memperjuangkan hak Melayu, bukan saja menelan bulat-bulat kenyataan pimpinan yang mengatakan teguran itu sebagai fitnah, bahkan mempertahankan 1MDB sehinggalah ke hayat terakhir 1MDB itu. 1MDB dah matipun, masih mempertahankannya!

Saya faham walaupun amat  menghairankan, sebab mengapa ramai diantara orang Melayu yang percaya bahawa teguran yang dibuat itu dikatakan sebagai fitnah. Sebabnya ialah kerana yang menegur itu adalah pihak pembangkang.

Tapi kalau teguran itu disokong dengan bukti mengapa tidak tergerak dihati orang Melayu itu untuk berfikir sejenak, sekurang-kurangnya membawa pihak yang dikatakan membuat fitnah itu yang mencemarkan nama baik kepimpinan ke muka pengadilan? 

OK, teguran pembangkang dikatakan sebagai fitnah. Saya faham tapi tidak bersetuju.

Bagaimana pula dengan teguran dari bekas PM dan beberapa ahli dan bekas ahli parti yang sama? Adakah ianya juga fitnah?

Adakah pihak lain saja suka buat fitnah, dan pimpinan kita suci dari melakukan kesalahan?

Sekarang 1MDB telah tutup kedai. Faham tak apa makna tutup kedai? 

Maknanya gagal. 

Fasal apa gagal? Sebab berlakunya kurang cekap dan salah urus. Mengapa boleh berlaku salah urus? Sebab kuasa membuat keputusan adalah mutlak diberikan kepada sorang saja.

Sekarang siapa yang nak tanggung hutang 1MDB itu? Sila jawab. 

Jangan tuding 10 jari anda hanya kepada kepimpinan. Nanti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Mengapa? Saya tidak tahu cuma boleh teka saja.

"Bodohnya dia orang tu. Kita merompak siang hari pun dia orang tak nampak. Ada yang nampak tapi buat-buat tak nampak".

1MDB tutup kedai rakyat dan negara yang sengsara.