Theflowersellingboy

Jumaat, 22 April 2016

Kerbau Membawa Lumpur




Kenal kerbau?

Saya rasa ada yang kata pertanyaan saya diatas tidak cerdik. 

Tidak mengapa kerana jika saya mahu bertanya sudah tentu saya juga wajar menerima kesan dari pertanyaan itu. 

Antara kesannya, ialah respons yang bukan sahaja mahu mencari jawapan tetapi menilai soalan yang ditanya -ada yang menilai sebagai tidak penting lantas tidak perlu; dan ada pihak yang kata mengapa soalan semudah itu ditanya lantas mereka ketawakan saya. 

Biarkan mereka ketawa. Saya telah menghiburkan hati mereka.

Namun saya mahu mengenalkan apa itu kerbau. Lihat video di bawah ini. Lihat kerbau-kerbau sedang berkubang.

 
Kerbau Berkubang.

Itulah kerbau. Kerbau seronok berkubang. Maksudnya suka mandi air lumpur.

Kerbau mesti berkubang. Kalau tidak ianya bukan kerbau. Apabila sudah berkubang (mandi) dan keluar dari kubang seluruh badan kerbau itu diselaputi lumpur. 

Selepas mandi,  kerbau yang berlumpur itu akan diarah oleh tuannya untuk masuk ke kandang untuk berihat dan tidur. Maklum sajalah esok mahu ke sawah lagi untuk membajak menyediakan tapak semaian.

Walaupun badan diselaputi dengan lumpur yang kotor, tidur kerbau terlalu lena, dan mungkin dibuai dengan mimpi yang menyeronokkan. 

Hahahaha, secara rengkas itulah kerbau.

Kita, mahu jadi macam kerbau suka berkubang dan bergelumang dengan lumpur?

Saya percaya tiada siapapun mahu mandi seperti kerbau. Itu fitrah manusia, kerana kita suka yang bersih dan cantik yang bukan saja senang dan suka dilihat bahkan disayang oleh semua orang.

Sebab itu orang tua-tua dulu telah menggubalkan satu peribahasa yang menolak atau memandang hina  seseorang yang terlibat dalam perkara jahat atau yang memalukan masyarakat dengan menjadikan budaya kerbau itu sebagai latar peribahasa tersebut.

"Seekor kerbau membawa lumpur , habis semuanya terpalit". Demikianlah bunyi peribahasa itu.

Tadi saya menyatakan, setelah siap mandi dan keluar dari kubang, kerbau itu akan diarah oleh tuannya ke kandang. Dalam perjalanan, kerbau itu akan menggesel apa saja objek misalnya batang-batang pokok serta daun-daun sehingga lumpur yang ada pada badannya melekat pada objek-objek itu.

Jika kita pula memilih laluan itu, kita juga akan terpalit dengan lumpur itu walaupun kita tidak berkubang seperti kerbau itu.

Sekali lagi saya mahu tanya adakah kita mahu jadi macam kerbau?

Diatas tadi saya kata bahawa saya percaya tiada siapapun mahu jadi macam kerbau. Kita tidak mahu benda yang kotor dan memalukan. Kita tidak mahu terlibat sama dalam hal-hal yang menjijikkan.

Betulkah begitu?

Memang betul kita tidak suka yang kotor, dan tidak mahu terpalit atau dipalitkan.

Tunggu sebentar sebelum kenyatan diatas dikatakan sebagai benar untuk semua. 

Kotor dan bersih ini, boleh saja bertukar sifat jika kita memilikki kuasa, khususnya kuasa politik, dan kita juga menguasai sesuatu organisasi atau sebuah kerajaan.   

Maka dengan hal yang demikian, bukan satu yang luar biasa apa yang sedang berlaku dalam 1MDB. 

Ada yang suka berkubang seperti kerbau dan ada yang terpalit, dan ada yang suka terpalit bahkan mempertahankan kerbau yang melakukan palitan sehingga meninggalkan lumpur pada objek palitan itu.
 
Kerbau tidur lena dengan lumpur di badan.

Mampukah kita tidur lena dengan lumpur dibadan?

Saya tiada jawapan. Yang saya boleh jawab  hanyalah cerita kerbau yang suka berkubang. Itu saja.

Siapakah gerangan yang suka berkubang?
 





 
 

Khamis, 21 April 2016

Saya Mahu Jadi Kaya dan Hidup Mewah




Saya pernah berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Ketika itu saya ialah penjawat awam. 

Saya tahu dan sedar Penjawat awam tidak akan boleh jadi kaya atau hidup mewah dengan gaji, kemudahan dan elaun yang diterima. Mereka boleh hidup selesa dan sederhana saja. Tidak susah.

Tidak juga Perdana Menteri dan menteri-menteri. Mereka tidak boleh jadi kaya jika hanya mengharapkan dari sumber gaji, elaun dan kemudahan yang telah ditetapkan. Tidak mungkin.

Jika ada yang jadi kaya dan hidup mewah, ada yang tidak kena  dari segi kemasukan sumber dalam kantung mereka. Ada sumber lain yang masuk dalam kantung mereka.

Dengan demikian, sampai matipun saya tidak mungkin jadi orang kaya dan hidup mewah. Tapi nafsu untuk jadi orang kaya melonjak sekali. 

Bagaimana caranya. Dan bagaimana dengan cara mudah saya boleh jadi kaya?

Saya fikir hanya ada satu jalan. Saya mesti pasang angan-angan. Angan-angan tidak salah dari segi moral mahupun undang-undang. Ianya tidak menyakiti hati orang. Tidak ada musuh. Dan tiada kos. 

Faedahnya? Saya seronok sendiri dan menghiburkan. Baik untuk kesihatan.

Di Malaysia cara mudah untuk jadi kaya ialah menjadi pemimpin nombor satu kerajaan. Kuasa ditangan kita. Segala-galanya kita boleh tentukan.
Pemimpin nombor satu ertinya saya berangan-angan jadi PM. 

Saya mula berkhayal....

Saya tentukan sianu-sianu jadi menteri, timbalan  menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah dan ketua-ketua berbagai agensi. Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan saya akan tentukan juga.

Saya nasihatkan YDA untuk lantikan hakim diberbagai peringkat, ketua audit, peguam negara, ketua polis, ketua SPRM, pengerusi SPR dan apa saja lantikan yang perlukan nasihat saya.

Nasihat saya mesti diterima. Tiada pilihan selain dari itu.
 
Saya lantik diri saya sebagai Menteri Kewangan.

Jangan ketawa. Jangan marah. Jangan kata saya gila kuasa. 

Saya tahu guna kuasa. Saya gunakan kuasa saya pada tahap yang optima dan menguntungkan untuk mencapai matlamat untuk jadi kaya.

Tidak timbul percanggahan kepentingan walaupun saya pegang 2 jawatan. Saya jalankan mengikut kuasa jawatan itu seperti yang ditentukan oleh undang-undang.

Sebagai pemimpin yang prihatin, saya juga mahukan orang lain jadi kaya walaupun tidak sekaya saya. Untuk itu saya ikut tertib dari segi keutamaan.

Saya utamakan keluarga, sahabat handai dan yang dekat dengan saya. Tertib ini telah dimaklumkan oleh seorang yang ilmu agamanya tinggi. Pesannya jika kita mahu buat kebaikan misalnya mahu membantu, bantulah keluarga dahulu.

Hahahahahaha patuh syariah bukan? Sudah tentu.

Saya mahu bantu kawan baik saya. 

Dalam dunia nyata yang tidak khayal, sebelum saya jadi PM dan MK, hanya penjawat awam, kawan ini selalu saja minta saya tawarkan kerja kepadanya. Berpuluh kali dia mendesak, merayu, marah dan ada masanya cuba membeli saya untuk menawarkan kerja atau projek kepadanya.

Dia kecewa. Kerana saya beritahu dia bersainglah secara tender. Mereka yang dinilai tebaik dari berbagai aspek akan ditawarkan kerja. Bukan atas dasar kawan baik.   

Sekarang saya  PM dan MK. Saya mesti tolong kawan itu.  

Saya jemput kawan itu ke pejabat PM dengan memberikan syarat mesti datang dengan bergaya seperti seorang korporat yang berjaya. Datang dihantar chauffeur. Kereta mescedez terkini.  'Dan bawa proposal'. Apa saja, tidak terhad dalam bidang-bidang tertentu.

Saya jumpa kawan itu dalam bilik perbincangan. Hanya saya dan dia saja. Saya minta proposal.

Saya tidak perlu teliti dan baca. Itu tidak penting. Saya hanya tanya berapa kos yang terlibat jika proposal itu mahu dilaksanakan. 

Kemudian saya panggil ketua jabatan yang berkaitan. Dia tidak perlu beritahu saja bahawa proposal itu perlu dikaji dan dianalisa dari segi kos faedahnya. Tidak perlu memberitahu saya projek itu diluar dari apa yang telah terancang dan dirancang.

Saya hanya beritahu ketua jabatan jtu agar menyediakan surat menyatakan persetujuan keatas proposal kawan saya itu. Dan lakukan dengan segera. Dia mesti tanda tangan surat kelulusan itu.

Bagaimana dengan wang? Ada wang kah untuk melaksanakan proposal itu? 

Saya tersenyum jika itu yang disoalkan oleh kawan saya atau sesiapa saja. Saya tidak perlu bersuara, cukup dengan senyum jika itu yang ditanya dan menjadi kerisauan mereka. 

Sudah tentu kawan saya turut tersenyum walaupun tidak tahu mengapa saya tersenyum. Bos senyum mesti disambut dengan senyuman. Hebat saya.

Saya hanya pesan kepada kawan itu agar datang ke pejabat MK pada esok harinya.

Esok harinya saya sibuk. Maklum sebagai PM, saya banyak kerja. Saya tidak dapat pergi ke pejabat MK untuk berjumpa dengan kawan saya itu. Saya dibilik PM.

Adakah saya mungkir janji?

Tidak. Sekali berjanji, saya pantang untuk memungkirinya. Janji mesti di tepati. Itulah saya.

Kawan saya itu datang jumpa MK di bilik PM. 

Sebelum kawan saya itu sempat duduk di kerusi empuk, saya beritahu, wang RM 5 billion MK bersetuju meluluskan. Lebih RM 4 billion dari kos yang dinyatakan dalam proposal. 

Wah kawan saya itu cukup gembira. Minta 1 dapat 5. Dia segera membongkok diri menghulurkan dua belah tangannya mencari tangan saya. Dia cium tangan saya sampai keluar air liur.

Hoi, air liur kau ni busuklah.

Saya berhenti berkhayal. 

Saya masih lagi duduk diatas sofa yang lusuh. Sudah 30 tahun usia sofa itu. 

Tak jadi kaya rupanya kalau berangan-angan.

Isnin, 18 April 2016

Bilakah Malaysia Akan Ada Seorang Seperti Dr. Zakir Naik Dalam Kerja-Kerja Dakwah




Diberitakan beberapa orang telah kembali ke Islam (revert, perkataan yang selalu digunakan oleh pendakwah itu berbanding dengan convert) hasil kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Dr. Zakir Naik dalam siri syarahannya di Malaysia. Alhamdulillah.
 
Beliau seorang pendakwah yang dikenali di seluruh dunia. Asal Mumbai India. 
 
Sebelum ini kita ada pendakwah Ahmad Dedat (yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga allahyarham dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai Allah)  warga Afrika Selatan, yang asalnya dari India juga.

Sewajarnya kita bersyukur dengan kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh orang seperti Dr Zakir dan Ahmad Dedat ini. 
 
Mereka berdakwah secara terbuka dengan menjadikan kerja dakwah itu sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh orang Islam ke atas orang yang masih lagi belum kembali kepada Islam. 
 
Dan dalam masa yang sama mereka memberi kefahaman yang lebih baik kepada orang yang telah sedia Islam tentang agama Islam itu sendiri dengan membandingkan Islam dengan agama-agama yang lain menurut apa yang terkandung dalam kitab-kitab yang menjadi pegangan penganut yang bukan Islam.
 
Mereka berdua, Ahmad Dedat dan Zakir Naik melakukannya secara terbuka berhadapan dengan semua pihak, Islam dan bukan Islam sama ada dalam bentuk dailog mahupun debat agama dengan kehadiran ribuan para peserta dari berbagai anutan agama.

Sama ada yang hadir itu bersetuju atau sebaliknya, mereka diberi peluang untuk menanyakan soalan. Dr Zakir , setahu saya tidak pernah gagal menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan. Dan jawapannya amat meyakinkan kerana rujukan beliau adalah kepada apa yang terkandung dalam kitab-kitab setiap agama yang dibangkitkan.

Jadi tidak timbul soal beliau tidak faham ajaran agama selain dari Islam.

Sudah tentu penganut agama lain tidak bersetuju dengan beliau. Dan kita sebagai orang Islam patut faham mengenai perkara ini. Kerana ini soal memilih akidah. Tidak perlu kita berhujah keras sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang bukan Islam. Mungkin hidayah belum sampai kepada mereka.
 
Namun yang penting ialah kita menyampaikan kepada yang bukan Islam tentang ajaran agama Islam. Itu tugas kita. Dan kita lakukan dengan ilmu dan bukan dengan semata-mata atas rasa cinta kita kepada Islam.
 
Apa yang dilakukan oleh Dr Zakir ini adalah meyakinkan kepada yang belum Islam bahawa Islam adalah agama yang diredhai Allah, yang sepatutnya semua umat manusia adalah beragama Islam. Jika ada yang belum Islam, wajib atas orang yang sedia Islam memberitahu dan menyampaikan kepada yang bukan Islam tentang Islam.
 
Apabila itu telah kita lakukan, sudah tentu kita lakukan dengan berkhemah yang disokong oleh ilmu, terpulanglah kepada mereka sama ada mahu kembali kepada Islam atau kekal dalam agama yang mereka anuti. 
 
Tiada Paksaan Dalam Agama. Ada tanggungjawab kita untuk menyampaikan Islam kepada yang belum Islam

Satu soalan yang bermain dalam fikiran saya: Adakah kita orang Islam di Malaysia terutama mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi mempunyai kemampuan berdakwah seperti yang dilakukan oleh Dr Zakir?

Saya masih merasakan kita terlalu jauh tinggal ke belakang terutamanya untuk menyampaikan dakwah kepada manusia berbilang bangsa dan bahasa. 
 
Kalau pun kita ada orang yang tinggi ilmu agamanya termasuklah ilmu perbandingan agama kita tidak atau belum ada pendakwah yang boleh menyampaikan dakwah dalam bahasa Inggeris dengan lancar dan petah.

Itu kekurangan kita yang paling jelas.

Sebab itu kerja dakwah kita agak terbatas dikalangan mereka yang boleh berbahasa Melayu. Dan kebanyakan mereka ini adalah dikalangan orang yang tidak mempunyai kedudukan yang baik sama ada dari segi ekonomi mahupun kuasa.

Mereka yang berkedudukan baik dari segi ekonomi dan kuasa, sebahagian besarnya tidak fasih berbahasa Melayu. Jika mereka ini dapat kita sampaikan Islam, dan sudah tentu penyampaian itu lebih berkesan dalam bahasa Inggeris, saya percaya bilangan orang yang akan kembali kepada Islam akan bertambah lebih banyak lagi. Sebab, mereka ada pengaruh.

Maka kita mesti ada orang seperti Dr.Zakir naik.


 

 
 
 
 


Rabu, 13 April 2016

Zakir Naik dan 1MDB: Tanda tangan Ada Harga.




Dua isu hangat di Malaysia ketika ini. Satu ialah fasal 1MDB yang masih belum ada kesudahan dan satu lagi kontroversi berikutan kehadiran Dr. Zakir Naik, seorang pendakwah Islam yang tersohor khususnya dalam bidang perbandingan agama.
 
Hebuh orang memperkatakannya.
 
Dan ada sedikit senyum dikalangan mereka yang selama ini mempertahankan 1MDB dari dakwaan penyelewengan, apabila isu Zakir Naik mencelah. Senyum buat seketika saja.
 
Zakir akan balik ke India atau ke mana saja mengikut program yang telah diatur. Dia tidak kekal lama disini. Isunya akan sejuk, sepi dan hilang.
 
1MDB tidak mampu ke mana-mana melainkan kekal di Malaysia. Disini  akar umbimya. Maka hilanglah juga senyum pembela 1MDB apabila Zakir tiada disini.

Perlukan satu isu lain pula?  Isu yang hangat yang emosional sifatnya bagi setengah pihak, khususnya pembela 1MDB untuk membuat celahan? 
 
Logiknya begitulah. Tapi lebih baik tunggu dan lihat. Cuma kita sama-sama berdoa yang terbaik saja.
 
Tentang kontroversi Zakir, berbagai pihak telah beri ulasan termasuk pihak berkuasa keselamatan, mufti dan menteri. Saya tidak mahu mengulas secara terperinci. Hanya cukup dengan menyatakan bahawa pendakwah itu menjalankan kerja dakwahnya berdasarkan ilmu perbandingan agama yang beliau kuasai.  Sebagai seorang Islam, saya bersetuju.
 
Apa yang saya tidak bersetuju ialah mereka yang bermati-matian masih mempertahankan 1MDB sedangkan Laporan PAC keatas 1MDB itu dengan jelas mengatakan berlakunya salah urus dan salahguna kuasa dalam 1MDB, dan mencadangkan tindakan diambil terhadap mereka.

Apa yang peliknya ialah mereka menggunakan dapatan Laporan itu sebagai bukti bagi melepaskan seseorang yang diberi kuasa dari mengambil tanggungjawab. 

Saya mahu tanya: Apakah bahan rujukan yang sah dari segi undang-undang yang boleh digunakan bagi menentukan seseorang itu bertanggung keatas sesuatu hal/perkara? 
 
Sudah tentu satu daripadanya ialah tandatangan orang itu. Kedudukannya dalam struktur sesuatu entiti. Kuasa yang diperuntukkan dalam sesuatu dokumen yang mengesahkan pemerbadanan entiti itu.
 
Sudah cukup dengan merujuk tiga perkara itu bagi menentukan kebertanggunjawapan seseorang. 
 
Takkan suka-suka nak turunkan tandatangan tanpa menyedari kesan dari tandatangan yang diturunkan itu? 
 
Saya nak keluar wang sendiri walaupun RM10.00 dari akaun ASB pun diminta turunkan tandatangan. Kalau tandatangan itu tidak sama dengan apa yang ada dalam data bank berkenaan, bank tidak akan bersetuju mengeluarkan wang itu untuk diberikan kepada saya.
 
Ada kemungkinan bank mengesyakki saya mahu menipu. Tapi saya akan tunjuk kad pengenalan sebagai bukti saya tidak ada niat untuk menipu. 
 
Jadi kalau mahu juga ASB dikeluarkan , saya kena turunkan tanda tangan yang baru untuk dimasukkan ke dalam data bank. Hanya tanda tangan yang baru inilah yang laku.

Itu hanya mahu keluar duit sendiri sebanyak RM10.00. Bagaimana pula untuk mengeluarkan wang yang besar dari akaun yang kita sebagai pemegang amanah?

Jawabnya, sama juga iaitu turunkan tandatangan kerana kita sudah diamanahkan dan dengan itu ada kuasa. Yang wajib tandatangan itu mestilah sama. Yang wajib  kita mestilah mengambil tanggungjawab atas apa yang kita putuskan melalui pengesahan tanda tangan itu.
 
Apabila anda turunkan tanda tangan, anda mesti ambil tanggungjawab.
 
Sebenarnya tanda tangan anda itu ada nilai harganya.  Nilainya bukan 'kosong'. Ada wang yang dibayar kepada anda kerana sanggup mengambil tanggungjawab. Dan anda juga mesti ingat, ada hukuman atau risiko jika anda salah gunakan tanda tangan itu. Tanda tangan ada harga, bukan kosong.
 





 
 

Isnin, 11 April 2016

AKU AMAT MARAH: Aku Sentiasa Bersedia Disiasat Semenjak Semalam Lagi. Tidak Perlu Tunggu Hari Esok.




Aku amat marah. Apa lagi bukti yang dia mahu. Segala-gala amat jelas sekali. Dia yang mesti ambil tanggungjawab. Dia yang tanda tangan bukan aku. Aku hanya  turut perintah, ikut saja perintah kerana dia punya kuasa mutlak yang sah. 

Apa yang mampu aku soalkan. Aku hanya pekerja yang makan gaji sedangkan dia adalah boss, ketua yang telah dinyatakan secara bertulis bahawa dia saja yang ada kuasa untuk membuat keputusan dan menurunkan tandatangan dalam setiap keputusan. Keputusan dan tandatangan orang lain tidak laku, tidak ada nilai dari segi undang-undang.

Sekarang aku pula yang dipersalahkan. Aku dikatakan yang merosakkan perniagaan itu sehingga syarikat menanggung kerugian terlalu besar, diluar jangkaan otak yang rasional.

Aku sedar siapalah aku. Tapi aku juga tahu bahawa aku ini manusia yang ada nafsu marah. Benda yang tidak betul, aku marah. Aku marah atas dasar yang betul. Bukan suka-suka marah kerana aku tidak mampu buat begitu.

Ya, siapalah aku. Aku tiada juak-juak. Aku tidak ada macai-macai. Mereka ini tanpa segan silu menuding jari padaku bahawa akulah yang merosakkan syarikat itu. Juak dan macai ini taat setia pada tuako.

Tuako yang mereka kata pemimpin mesti kena taat. Ada nas dalam al-quran yang mewajibkan macai taat pada tuako, hujah mereka.

Memang benar. Aku tidak boleh nafikan. 

Tapi malang sekali, macai berhenti setakat itu saja.  

Oleh kerana dedak yang sentiasa mereka makan, mereka lebih selesa memilih untuk membisu tanpa bersuara satu kata, tidak juga memberi isyarat melalui bahasa badan untuk bertanya dan menyampaikan isyarat bahawa tuako yang perlu ditaati itu  hanya tuako yang tidak melakukan kerja mungkar.

Mereka ada otak tapi malas berfikir, dibiarkannya berkarat.
Adakah mereka ini bodoh?

Bodoh? Ya, memang mereka bodoh. Sebab mereka kaki tipu. 

Mereka tahu menipu itu berdosa. Mereka kata menipu adalah perbuatan mungkar. Allah amat murka orang yang menipu, ratib mereka tanpa rasa malu dan bersalah.

Diatas pentas ucapan, setiap kali, bukan sekali, apatah lagi dalam perhimpunan agung tahunan mereka menjerit dengan menegakkan jari telunjuk keatas sebagai saksi bahawa mereka amat benci kerja menipu. Demi bangsa, agama dan negara, mereka mendabik dada.

Tapi mengapa mereka sanggup melakukan perkara yang mereka tahu berdosa dan dimurkai Allah yang boleh membawa mereka ke neraka jahanam?

Sebab mereka itu bodoh!

Mereka ada mata dan ramai yang tidak buta. Apabila mereka ditunjukkan sesuatu objek, mereka tahu arang itu warnanya hitam. Tunjuk saja kain kafan, mereka cepat beritahu warna kain kafan itu putih.

Benarkah begitu? Tidak selalunya benar. Ianya cuma benar ketika mereka nazak, menghadapi saat-saat mati.

Sewaktu bertaraf juak dan macai mereka boleh kata apa yang mereka suka. Maaf, apa yang Tuako suka.

Tuako kata warna kain kafan itu hitam, macaipun angguk kepala. Tak perlu bersuara, cukup dengan angguk kepala saja, dedak sedia menunggu. Mereka suka makan dedak kerana dedak itu adalah hampas makanan, khas untuk orang bodoh.

Aku terlalu amat marah. Hebuh dalam alat siaran mereka mengesahkan akulah yang menjahanamkan syarikat itu. Aku, tidak ada orang selain dari aku, seolah-seolah aku ini manusia yang paling hebat menguruskan sebuah syarikat bertaraf negara, secara bersendirian. 

Mereka tahu syarikat itu bukan syarikat milikan tunggal. Bukan milik aku. Syarikat itu ada pemegang sahamnya. Tapi mereka kata aku saja seorang yang bersalah.

Demi ketaatan kepada tuako, mata mereka yang celik jadi buta. Itupun tidak mengapa kerana masih lagi boleh meraba-raba. Kalau yang diraba atau teraba itu gajah, ada kemungkinan mereka akan mengatakan itu adalah gajah.

Tapi amat malang sekali hati mereka telah buta, menjadi beku. Tidak lagi dapat mengeluarkan rasa. Sentuhlah banyak kali ataupun setiap kali, hati itu tidak sensitif lagi pada sentuhan kerana telah dilaputi dan diliputi dedak hidangan tuako yang sangat-sangat ditaati.

Tunjukkanlah apa saja bukti, secara nyata yang tersurat mereka tidak mahu percaya bahawa tuako mereka melakukan kemungkaran.

Mereka bukan saja tidak percaya dengan bukti itu, bahkan mereka marah dengan segera menyatakan ianya fitnah.

Mereka ini memang bodoh. Sebab jika fitnah, segera dakwa yang membuat fitnah. Bersihkan nama. Ajar si pemfitnah itu. Sumbatkan mereka dalam penjara. Hanya itu saja jalan untuk mengajar mereka.
  
Aku amat marah. Aku disahkan sebagai penjahanam syarikat. Aku perlu disiasat.

Perlu disiasat? 

Aku nak beritahu mereka bahawa bukan saja hari ini atau esok lusa tulat dan langkat, semalam lagi aku sedia disiasat. Bahkan semasa aku meninggalkan syarikat itu, aku sedia disiasat. 

Aku tidak takut! Buktinya terlalu terang dan jelas macam seekor gajah dihadapan mata. Mereka tidak perlu mencari nyamuk diseberang lautan kerana silap-silap mereka akan bertemu dengan nyamuk aedes yang amat bahaya sakali.

Tak takutkah mereka dengan demam denggi berdarah? Tak takutkah mereka dengan zika?    

Aku tidak takut. Aku hanya marah! Teramat marah! 

Ahhh saya bermimpi rupanya. Nyamuk telah menyedarkan tidur saya. Harap-harap bukan nyamuk aedes.

Ahad, 10 April 2016

LAPORAN PAC TENTANG 1MDB: Bukalah Pintu Hati




1. Laporan PAC tentang kes 1MDB mengesahkan  entiti itu bermasalah dan merugikan negara. 
 
2. Rakyatlah yang menangung kerugian itu.
 
3. Semua pihak dalam struktur 1MDB yang diberikan kuasa membuat keputusan diberbagai peringkat seperti yang diperuntukkan dalam artikel syarikat wajib mengambil tanggungjawab.
 
4. Adalah tidak adil dan zalim jika hanya Ketua Pegawai Eksekutif sahaja yang dipersalahkan. 1MDB bukan syarikat entiti tunggal milik Ketua Pegawai Eksekutif itu. 
 
5.  Siasatan lanjut yang dicadangkan dalam Laporan itu bukan sahaja terhad keatas Ketua Pegawai Eksekutif itu bahkan keatas semua yang terlibat dalam membuat keputusan sama ada mereka atau jawatan mereka dikaitkan atau sebaliknya dalam Laporan itu. Bermakna semua ahli lembaga pengarah, semasa dan yang bersara dan Menteri Kewangan/Perdana Menteri tidak terkecuali.
 
6. Ini bukan kali pertama kerugian syarikat kerajaan disebabkan salah urus dan pecah amanah. Berulang kali berlakunya kes seperti ini adalah disebabkan mereka yang diberi tanggungjawab terlepas dari  tindakan dan hukuman.
 
7.  Pada asasnya kerajaan tidak sepatut terlibat secara langsung dalam perniagaan kerana risikonya akan ditanggung oleh rakyat jika berlaku salah urus dan pecah amanah. 
 
8. Namun ada juga kewajaran untuk kerajaan terlibat dalam perniagaan khususnya dalam bidang-bidang yang strategik Jika demikian, syarikat kerajaan itu mestilah bertanggungjawab kepada Parlimen untuk mewujudkan mekanisma semak dan imbang (check and balance).
 
9. 1MDB adalah syarikat Kerajaan, bermakna syarikat kepentingan rakyat.  Ianya bukan monopoli parti yang menjadi kerajaan. 
 
10. Ertinya pandangan dan teguran dari pihak lain terutama dari parti pembangkang yang mengambilkira kepentingan negara dan rakyat (misalnya teguran tentang jumlah hutang yang besar atau struktur modal yang tidak wajar dimana pinjaman lebih besar dari ekuiti) wajar diberi pertimbangan walaupun teguran itu tidak selari dengan kerajaan.
 
11. Selagi tidak diamalkan prinsip terbuka dan akauntabiliti seperti dalam banyak hal , dan termasuklah dalam proses menyediakan Laporan PAC ini, kes salah urus dan pecah amanah oleh pihak-pihak yang diberikan tanggungjawab akan tetap berlaku. Kerana terlalu banyak perkara dan maklumat yang dirahsiakan termasuklah yang mempunyai unsur-unsur salah laku dan perbuatan jenayah dengan berlindung atas nama demi keselamatan negara dibawah OSA, sedangkan OSA tidak bertujuan demikian.
 
12. Laporan PAC tentang 1MDB ini , disamping mengakui berbagai kelemahan dan mencadangkan tindakan-tindakan tertentu diambil, ianya jelas satu Laporan yang tidak sempurna dan lengkap untuk mengambil satu keputusan yang adil dan saksama. Paling ketara ialah bahan rujukan yang digunakan seperti Laporan Ketua Audit tidak dilampirkan bersama untuk diteliti oleh semua pihak, dan beberapa personaliti penting yang jelas dikaitkan dengan 1MDB tidak dipanggil untuk membantu siasatan oleh ahli-ahli PAC. 
 
13. Kegagalan untuk menyertakan sama Laporan Ketua Audit dan juga memanggil personaliti itu untuk menjawab atau memberi keterangan dihadapan PAC membuatkan Laporan PAC tentang 1MDB menjadi cacat.
 
14. Ini tidak adil kepada personaliti itu sendiri kerana nama mereka sentiasa dikaitkan dalam bentuk yang negatif dengan masalah 1MDB. Tidak adil juga kepada mereka yang mahu tahu hal yang sebenar termasuk mereka yang sentiasa membuat dakwaan atas keterlibatan personaliti itu yang menyebabkan 1MDB bermasalah besar.


 
 
 

Sabtu, 9 April 2016

Menunggu Sebuah Laporan? Adakah Kamu Tidak Berfikir?



Akhirnya Laporan yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak telah dibentangkan di Parlimen iaitu Laporan Khas Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) mengenai 1MDB. 
 
Ianya hanya dibentangkan tanpa diadakan sessi perbahasan kerana pembentangannya dibuat pada hari terakhir Parlimen bersidang pada sessi kali ini. Difahamkan Laporan itu akan dibahaskan pada sessi Parlimen Mei yang akan datang ini.
 
Mungkin ramai yang amat teruja untuk mendengar perbahasan itu nanti.
 
Tidak saya. Seperti juga dengan mesyuarat PAC bagi menyediakan Laporan tentang 1MDB itu , saya langsung tidak meletakkan hati keatas mesyuarat dan Laporan yang bakal disedia dan dibentangkan di Parlimen.

Sebab , bagi saya mesyuarat itu membuang masa saja, membazirkan wang rakyat.  Banyak perkara lain yang lebih mendesak dan utama demi rakyat dan negara yang perlu diurus dan diselesaikan oleh ahli-ahli Parlimen yang menganggotai PAC itu.
 
Bagi saya mesyuarat itu langsung tidak perlu kerana hal yang mahu ditentukan hitam putihnya , adalah terlalu jelas sekali. Saya umpamakan kes 1MDB ini ibarat mencari gajah di zoo semasa matahari memancar tanpa dilindungi awan -terang benderang, tiada apa yang tidak boleh nampak.
 
Hitam putih kes 1MDB ini adalah 'crystal clear'. Macam pencarian gajah dalam zoo tadi -saiz , binaan fizikal dan warna anggota gajah itu, kita boleh ceritakan, tanpa sebarang keraguan.
 
Oleh itu saya tidak nampak ada keperluan untuk membaca Laporan itu. Tidak ada keperluan langsung untuk memberikan masa saya untuk membuat walau sekecil komentar atau analisis.
 
Kes 1MDB ini sudah lama diberikan jawapan oleh pihak-pihak yang berkaitan termasuk mereka yang duduk dipinggiran. Bagi saya setiap jawapan yang diberi telah mengesahkan warna sebenar 1MDB. Jelas warnanya HITAM PEKAT.
 
Jadi apa perlu sebuah Laporan?
 
Yang ianya (Laporan) menjadi satu keperluan ialah bagi memutihkan warna hitam pekat itu. 
 
Ianya kerja bodoh! 
 
Tapi kerja memutihkan yang hitam itu semakin rancak dilakukan dengan adanya Laporan PAC ini keatas 1MDB.
 
Saya teringat antara pertanyaan yang kerap ditanya Allah ialah: Adakah kamu tidak berfikir?
 
Oleh itu saya juga mahu bertanya kepada pekerja memutih yang hitam  itu dengan soalan yang sama: Adakah kamu tidak berfikir?

Khamis, 7 April 2016

PIMPINAN SIAKAP SENOHONG




Sedikit tentang pimpinan siakap senohong.

Malaysia mempunyai bilangan ramai pimpinan siakap senohong. Bila bercakap wajib berbohong kerana mereka percaya hanya dengan bercakap bohong mereka boleh hidup. Tanpa berbohong mereka akan mati. Sebab itu berbohong sudah dihukum wajib.

Mereka ini bermuka selamba, bersahaja dan bermuka sadin. Kulit muka mereka amat tebal.

Mereka selamba sahaja bersalaman dan bertegur sapa dengan orang yang dibohonginya, sambil mengukir senyum buaya, tanpa ada sedikitpun rasa malu apatah lagi kesal diatas tabiat bohong itu.

Mereka dengan gah diatas pentas memberi nasihat agar orang lain jangan sekali-kali berbohong kerana bohong itu hukumnya berdosa. Nas Quran dan Hadith Nabi dimafhumkannya.

Aduh geli hati saya. Bukan geli kerana rasa seronok dan menyenangkan tapi geli geleman dengan perangai mereka itu.

Mereka tidak pernah mengaku mungkir janji apabila janjinya dituntut. Mereka dengan cepat menafikan ada buat janji seperti yang dibangkitkan.  Selamba saja di buat penafian.

Kalau ada pihak yang dapat menunjukkan bukti janji yang dibuatnya itu, misalnya melalui sesuatu dokumen atau laporan berita, dalam keadaan tersepit itu juga, mereka  masih lagi mampu berbohong dengan menyatakan mereka telah disalahlapor . Mudah saja mereka berbohong.

Semua orang tahu mereka adalah pimpinan siakap senohong. Mereka kekal memimpin adalah atas tiket siakap senohong. Namun sebilangan rakyat amat mengasihi pimpinan siakap senohong ini walaupun mereka benci. Benci dituturkan, sayang lekat dihati.

Oh Rakyat Malaysia mengapakah hanya memilih siakap senohong sedangkan banyak lagi ikan lain yang  ada di pasaran yang cantik, bersih dan tinggi kualiti nutrisinya.

Ah amat malang sekali!

Tak muak dan jemu kah kamu dengan siakap senohong ini?  
 


Rabu, 6 April 2016

Kita Nak Ke Mana?




Kita nak ke mana?
 
Soalan ini, soalan biasa saja, amat mudah sekali. Dan soalan ini juga ditanya oleh semua orang tanpa kecuali semasa menjalani kehidupannya, paling kurang sekali.
 
Kehidupan adalah satu perjalanan -perjalanan menuju ke arah tertentu. Sebab itu tiada siapa yang mampu untuk menghindarkan diri dari bertanya soalan seperti ini -hendak ke mana.
 
Abah, kita nak ke mana? Tanya seorang anak kecil yang sudah mampu bercakap apabila bapanya memegang tangannya semasa menuruni tangga. Bapanya boleh jawab atau diam sahaja. Tapi yang pasti, bersama bapanya , anak itu melangkah ke hadapan.
 
Ya, kita nak ke mana?
 
Paling sedikit , ada yang menjawab kita mahu ke neraka. Majoriti berebut-rebut menjawab, mereka mahu ke syurga. 
 
Hanya ada dua tempat arah tuju kita, neraka dan syurga. Kita kena buat pilihan satu dari dua tempat itu. Tidak boleh pilih kedua-keduanya dalam satu masa kerana arahnya berbeza.
 
Untuk ke neraka ada cara dan jalannya untuk ke tempat itu. Begitu juga untuk ke syurga, cara dan jalannya tidak sama untuk ke neraka.
 
Ke mana anak kecil itu hendak dibawa oleh bapanya. Ke neraka? Ke syurga? 
 
Bapa itu perlu buat keputusan. Dan keputusan itu mesti dibuat menurut terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk tempat-tempat itu. Tidak ada kompromi dari segi syarat dan terma. Tiada diskaun sekecil mana pun.
 
Seperti bapa tadi, kita sebagai rakyat mahu bertanya kepada pimpinan negara: Kita hendak ke mana?
 
Kita hendak dibawa ke neraka? Atau kita hendak dibawa ke syurga. 
 
Pimpinan hanya boleh membawa kita ke  satu arah saja dari dua arah yang tersedia. Mahu bawa kita ke neraka? Atau bawa kita ke syurga?
 
Apa jawapan pimpinan kepada rakyat yang bertanya? 
 
Sudah tentu, pimpinan mahu bawa rakyat ke syurga. Majoriti rakyat pun mahukan begitu.
 
Tapi benarkah begitu?
 
Sekali lagi kita bertanya: Kita hendak ke mana? Ke mana pimpinan hendak membawa kita?
 
Kita bertanya sebab pimpinan ada telinga. Ada mata. Ada hati dan ada akal fikiran. Rakyatpun sama juga. Gunakanlah anugerah Allah itu sebaik-baiknya.
 
Namun begitu, saya  amat khuatir sekali kerana bukan saja pimpinan mempunyai kecenderungan untuk ke neraka bahkan sebahagian besar rakyat  terus menyokong dan menggalakkan kecenderungan pimpinqan itu menjadi kenyataan.

Kalau begitu, tidak betullah kenyataan diatas yang mengatakan majoriti dari kita berebut-rebut mahu ke syurga!
 
 Ahhhhh malang sekali jalan yang dipilih!
 

Ahad, 3 April 2016

SIAPA DIA MAKAN DEDAK




Siapa dia makan dedak.......?
 
Dia makan bukan sedikit tapi melantak
 
Entah tekak apa dia ni, semua yang ada dia gasak
 
Dia tidak pernah rasa muak, berterusan melantak
 
Apa saja yang dia nampak, semua orang dia kuak
 
Kerana hahahaha dia suka melantak dedak sampai tersedak

Sabtu, 2 April 2016

Meraikan: Ulang Tahun Peristiwa: Hari Lahir dan Meembantah GST





Hari ini 2 April 2016, Sabtu, saya 'meraikan' 2 peristiwa penting. 

Peristiwa pertama -Pada hari ini, berdasarkan apa yang telah terdaftar dalam surat beranak , adalah hari ulang tahun isteri yang ke 63. Sebelum itu pada 23 Mac adalah hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke 41. Ini bermakna, sewaktu kami diijabkabulkan, umur isteri pada ketika itu mencecah 22 tahun. Terlalu muda agaknya berbanding dengan anak-anak remaja sekarang.
  
Alhamdulillah, perkongsian hidup kami dikurniakan dengan enam cahaya mata - 3 putera dan 3 puteri. Namun dua putera, yang sulung dan yang kedua telah lebih awal menemui Allah pada usia kanak-kanak dan remaja.

Empat orang yang ada ketika ini, 3 darinya telah mempunyai keluarga masing-masing. Seorang lagi, yang perempuan, bongsu sedang menjalani housemanship.

Alhamdulillah, kami dikurniakan dengan 5 orang cucu, setakat ini - 4 putera dan 1 puteri.

Jadi pada hari ini saya meraikan ulang tahun kelahiran isteri saya itu dengan mengingatkan kembali hari pernikahan kami dan pengurbanan yang telah dilakukan oleh isteri saya yang telah melahirkan enam orang anak, seterusnya bersama-sama mengasuh dan membimbing mereka sehingga kesemuanya , alhamdulillah menjadi anak-anak yang berjaya. Ke hadrat Allah kami memanjatkan kesyukuran.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada seorang isteri, ibu dan nenek atas kasih sayang yang telah diberikan. Semoga diberikan kesihatan dan sihat tubuh badan.

Peristiwa kedua -Hari Membantah Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) khususnya yang diadakan di ibukota Kuala Lumpur. Saya meraikan juga hari bantahan GST ini. 

Bagi saya GST ini, jika terus dilaksanakan ianya memberi kesan yang terlalu menyiksakan terutama kepada generasi yang akan datang, anak cucu kita, anak cucu saya. Sebab itu saya meraikan hari membantah GST.

GST, kesan perlaksanaannya banyak yang negatif dari positif. 

Ianya cukai yang amat membebankan rakyat terutama mereka yang bergantung kepada pendapatan dari sumber yang terhad yang hasil terimaannya diluar kawalan mereka seperti para nelayan, petani termasuk penoreh getah; mereka yang menerima upah bayaran yang sederhana dan rendah; mereka yang tidak mempunyai pekerjaan; OKU dan mereka yang tinggal dibandar dan pinggir bandar yang kos sara hidup  sedia tinggi.

Tiada siapa yang terkecuali dari GST. Yang dikecualikan hanya barang-barang dan perkhidmatan tertentu, bukan orang atau entiti tertentu. Semua kena bayar.

Tapi tunggu dulu. Menurut yang dilaporkan, 1MDB dikecualikan dari GST. Mengapa? Saya tidak mampu memberi jawapan walaupun bayang-bayang jawapan itu ada di kepala saya.

Saya yakin dan percaya, sebilangan besar rakyat tidak sukakan GST termasuklah mereka yang bertegang leher menyokong GST. Macam pelik saja kenyataan saya ini. Mana ada rasional orang yang bertegang leher menyokong GST tidak sukakan GST?

Jawapan saya senang saja. Di Malaysia ini tiada apa yang peliknya. Contoh: Mereka yang benci dan marah perbuatan rasuah, mereka jugalah kaki rasuah. Bukan seringgit dua bahkan berbillion-billion. 

Satu lagi contoh- Mereka yang sepatutnya menunjukkan teladan baik, hidup bersederhana, mereka itulah orang yang paling boros. Boros wang sendiri, dia punya fasallah,  walaupun tidak sepatutnya tetapi boros menggunakan sumber negara, tidak boleh dibiarkan.

Dan perlakuan rasuah, salah guna kuasa, boros dan penyelewengan , ada juga yang mempertahankannya. 

Jadi apa peliknya?

Bantahan GST ini adalah wajar dan perlu disuarakan walaupun saya tidak percaya ianya akan membuatkan pihak berkuasa berundur dari melaksanakan. Tidak sekarang atau dalam dua tiga tahun ini. 

Tidak mungkin kerajaan berundur kerana ada sebahagian rakyat Malaysia yang terus dalam kongkongan perlakuan dan kepercayaan melakukan yang pelik kerana tiada apa yang pelik di Malaysia ini. 

Mereka tidak suka GST kerana hakikatnya GST membebankan hidup rakyat disebabkan kenaikan kos sara hidup. Orang  ini juga terkesan dan amat marah dengan GST. Tetapi mereka tidak melihat dari segi isu yang membenbankan kehidupan. Mereka melihat dari sudut kepentingan kelompok atau parti. Emosi dan sentimen kelompok mempengaruhi pertimbangan yang rasional.

Sebab itu apabila ada pihak mencadangkan hutang PTPTN dihapuskan, orang-orang ini segera membantah tidak bersetuju. 

Mereka inilah yang berbaris panjang untuk menuntut BR1M. Ertinya orang susah berpendapatan rendah. Mengapa mereka tidak sokong hutang PTPTN dihapuskan? Mengapa tidak setuju dasar pelajaran percuma?

Penerima BR1M yang susah dan miskin adalah diantara kelompok yang membantah dasar pelajaran percuma dan penghapusan hutang PTPTN. Pelik tak?

Tidak pelik. Di Malaysia saja.

Cukai (GST) adalah satu langkah fiskal untuk mendapat sumber bagi menambahkan hasil negara bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negara demi kebajikan rakyat.

Tapi GST walaupun kerajaan berhujah begitu, sebenarnya mempunyai matlamat yang lain. GST adalah cukai bagi membolehkan kerajaan membayar hutang yang terlalu besar. Ada laporan mengatakan hutang negara telah mencecah lebih dari RM 700 billion.  

Mengapa hutang negara begitu besar?

Sebab kurang cekap mengurus sumber negara, salah guna sumber dalam bentuk boros, bocor, rasuah dan penyelewengan.

Tanpa GST kerajaan tidak akan mampu untuk bayar gaji penjawat awam. Begitulah yang saya dapat faham dari satu dari ucapan PM. Memalukan!

Jadi bersama-sama kita membantah GST demi masa depan generasi akan datang. Satu masa depan yang lebih baik dari yang kita hadapi sekarang yang serba bercelaru.