Theflowersellingboy

Khamis, 24 Mac 2016

Abahpun Merokok Juga.




"Keluar dari rumah ini!"

Bapa Aku bukan main marah sekali. Aku disuruh keluar dari rumah dan tidak dibenarkan balik. Aku bukan anaknya lagi. Segala-galanya putus. Tiada kasih sayang dan belas kesian lagi.

Tapi Aku masih sayang padanya. Dia adalah bapaku. Tambah-tambah lagi Aku mendapat maklumat bapaku itu mengidap sakit kanser kerana kuat sangat merokok. Berantai, kata orang. Lepas sebatang , disambung sebatang lagi. Satu hari, tidak kurang dari dua kotak isian 20 batang setiap satu.
 
Aku tahu bapaku itu mahukan Aku berjaya. Berjaya melalui ilmu. 
 
Tiada apa permintaan Aku yang dia kata'no' atau beri alasan tiada wang jika ianya berkaitan dengan pelajaran. Nak beli buku, tiada masalah. Guru tusyen dia usaha dan carikan. Bukan tusyen beramai-ramai, tapi tusyen satu sama satu di rumah. Soal mahal tiada dalam otaknya.
 
Apa lagi?
 
Aku beritahu Aku perlukan motosikal bagi mudah dan cepat sampai ke sekolah dan balik rumah berbanding dengan menaikki bas sekolah. Aku mahu jimat masa. Aku mahu gunakan masa itu untuk menelaah dan membuat kerja-kerja rumah, kataku. Bapaku senyum bangga.
 
Esok sebuah motosikal Yamaha 125cc menunggu kepulangan ku dari sekolah. Bukan main seronok Aku, lalu memelok dan mencium bapaku itu.
 
Wang poketku ditambah dari 10 ringgit sehari kepada lima puluh ringgit. Wang tambahan itu untuk Aku beli minyak motor. Aku tahu wang itu lebih dari cukup. Dan Aku tahu bapaku pun tahu wang itu lebih dari cukup. Tapi demi pelajaranku dia tidak ambil kisah hal itu. Yang penting Aku dapat belajar dengan selesa tanpa sebarang tekanan.
 
Wah wang yang berlebihan itu memberi peluang kepadaku untuk berlagak sudah dewasa, sudah ada kerja. Apatah dengan adanya motor, nafsu melaramku sudah mula menggatal tambah-tambah lagi ada murid-murid perempuan yang menggatal-gatal mahu membunceng bersamaku.
 
Mula-mula Aku menolak, malu pada cikgu dan kawan-kawan lain, konon. Tapi ada juga murid perempuan yang bukan saja gatal bahkan mencabar Aku. 
 
"Takut perempuan ker?"
 
Woii Aku pantang dicabar. Kalau mahu, naik sekarang, cabarku pada murid perempuan itu.
 
Tapi ada satu masalah. Topi keledar hanya satu saja.
 
Dalam perjalanan balik ke rumah Aku singgah sebuah kedai motor untuk membeli satu topi keledar. Untuk sidia. Hahahahaha.
 
Hari-hari berikutnya, Aku sedia dengan pembuncengku. Aku sudah gian melaram.
 
Motosikal bersama pebunceng belum cukup dalam istilah melaramku itu. Aku mesti ikut trend anak muda. Tapi Aku mesti ikut trend yang susah atau tidak mudah di lihat oleh bapaku secara fizikal. Ertinya Aku tidak boleh ikut gaya pakaian yang tidak senonoh, bocor dilutut atau koyak disana sini. Atau menipiskan rambut disisi kanan dan kiri dan membiarkan rambut diatas lebih lebat dari yang dikiri kanan.
 
Jadi apa pilihanku untuk melaram yang lebeh hebat,agar nampak macho dan matang? 
 
Sudah tentu rokok. Lagipun bapaku juga kaki rokok. Kalau dia tahu, Aku rasa dia ada perasaan timbang rasa dan memahami akan pilihanku itu. Aku tersenyum lebar.

Maka merokoklah Aku. Tapi bukan dihadapan bapaku.

Entah macam mana bapaku tahu. Entah siapa yang beritahu. Mungkin dua sepupuku yang satu kelas denganku , si Budin dan Wahid. Tak mungkin si Fendi atau si Ripin kawan pasukan bola yang junior dariku, dan tidak pula kenal bapaku.
 
Aku dihadapan bapaku. Dia tidak menyoal tapi membuat kenyataan: Kau mengecewakan aku. Kau hisap rokok rupanya.

Bapaku tidak pernah menggunakan 'kau' apabila bercakap denganku. Dia panggilku dengan namaku, bahkan nama timang-timanganku. Namaku Shamsuddin, bapaku panggil 'addin'. Dia tidak pernah menggunakan nama ganti 'aku' bagi dirinya apabila  bercakap dengan Aku. Dia bahasakan dirinya 'abah'.

Dia terlalu marah.

Aku senyap. Tidak menafikan kerana perkara itu benar. Aku ingin mohon maaf. Aku yakin bapaku akan memafkan Aku kerana Aku percaya dia memahaminya kerana dia juga perokok tegar yang menghisap rokok saling sambung menyambung.

Aku salah. Bapaku semakin marah, minta Aku segera keluar dan tinggalkan rumah.

"Tapi abah juga hisap rokok". Tujuanku bukan untuk menyerang tapi meminta dia memahami perbuatanku itu.

"Kau nak kanser, macam aku hidap sekarang. Kau nak mati cepat?"

Lalu dia bangun dan menunjuk jarinya mengarah Aku keluar.

"Keluar kau. Jangan ambil motor. Kanser akan menyerang kau".

Aku melangkah meninggalkan rumahku dan bapa yang Aku masih sayang.
 
Tiadalah motorsikal, tiada lagi wang poket. Hidupku pokai. 
  

.............................................................................

Satu peristiwa yang diceritakan secara rengkas. 
 
Moral cerita ini ialah walaupun seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang tidak sehat misalnya merokok sehingga ketagihan yang menyebabkan kanser, dia tidak pula mahu orang lain apatah lagi orang yang disayangi terlibat dalam perbuatan yang tidak sehat itu. Bahkan marah jika dilakukan oleh orang lain.
 
Sama juga dengan ketua yang rasuah akan marah serta menghukum orang lain terlibat dalam rasuah seolah-oleh dia amat benci dengan rasuah.


 
 

Selasa, 22 Mac 2016

Rasuah: Mengapa Salahkan Sistem dan Prosedur Perolehan?




Heboh....

Tajuk berita terpampang di mana-mana. Cerita di kedai kopi dan media sosial, sama saja. Ianya menjadi agenda penting dan wajib. Banyak tukang komen....dan semua yang terlibat amat marah.

Pegawai kanan di KKBS terlibat dengan rasuah RM100juta.

Menteri KKBS mesti letak jawatan.

WADUHhhhhh......!

Hebat rakyat Malaysia dalam sikap mereka memusuhi rasuah. Sangat marah kepada mereka yang melakukannya. Mereka benci rasuah. Dari atas sampai kebawah, benci rasuah. Dari yang menganggur, buruh kecil kepada yang ada gedung besar dan pemimpin dipuncak. Semua  benci rasuah!

Tahniah negara Malaysia. Tahniah rakyat Malaysia yang mempunyai penduduk benci rasuah.  

Sesungguhnya sifat terpuji ini, sifat membenci yang mungkar ini adalah sifat yang diseru oleh Allah SWT kepada hambanya agar jauhkannya, jangan sekali-kali melakukannya. Hasil amalan rasuah tidak barakah kepada pelakunya, mereka yang  bersubahah dan yang melindunginya.

Maka barakahlah hidup rakyat dan makmurlah negara ketika ini!

Hahahahahahahaha...

Saya ketawa terbahak-bahak. Saya ketawakan mereka yang amat marah amalan rasuah itu. Saya ketawakan mereka yang mendesak menteri KKBS letak jawatan. Saya ketawakan KSN yang meminta Audit buat penyiasatan. Dan saya ketawakan diri saya kerana saya juga macam mereka, benci rasuah.

Saya tahu rasuah bukan perkara baru. Saya benci dari dulu dan selama-lamanya. 

Tapi apa yang saya telah buat?   

Saya tidak mahu jawab. Di Malaysia, saya mesti berhati-hati. 

Jangan tunjuk berani, akibatnya boleh jadi mati.

Sekarang, ada orang cakap fasal sistem. Fasal prosedur yang longgar yang menyebabkan rasuah. Maka kata mereka perlu dikaji dan diperkemaskan!

Saya mahu tanya...bukan tidak bersetuju dengan siasatan dan kajian keatas sistem dan prosedur yang ada, dan jika ada kelonggaran dan kelemahan wajar diperkemaskan. 

Saya amat bersetuju atas setiap tindakan dan langkah yang bertujuan untuk menutup atau paling kurang mengurangkan peluang untuk  rasuah dilakukan.

Soalnya, mengapa kes rasuah RM100 juta ini saja yang menjadi hebuh untuk melihat sistem dan prosedur perolehan kerajaan? Adakah ini kes yang pertama? Adakah ini melibatkan nilai wang yang paling besar? Adakah ini melibatkan pelaku berjawatan tinggi?

Ya, better late than never, hujah orang yang bersetuju dengan saranan memperkemaskan sistem dan prosedur perolehan serta siasatan rapi dari audit.  

Sekali lagi saya kata, saya amat bersetuju. Dan saya mahu cadangkan lebih dari itu kerana ianya tidak akan berjaya, jika kita berhenti setakat itu saja. 

Sedikit pengalaman yang saya ada, meyakinkan saya bahawa kita mempunyai undang-undang dan peraturan yang mencukupi bagi menghalang perbuatan rasuah ini. Undang dan peraturan ini telah dijadikan asas dalam menyusun dan menentukan tatacara perolehan kerajaan. 

Kita ada Akta Acara Kewangan 1972. Kita ada Arahan Perbendaharaan. Kita ada berbagai garispanduan perolehan termasuk prosedur yang dikeluarkan berasaskan kepada Akta Kewangan 1972 dan Arahan Perbendaharaan. Kita ada pihak berkuasa yang meluluskan dan membenarkan had-had kuasa dan kewangan. Ada kuasa dan perwakilan kuasa.

Ertinya kita ada sistem semak dan imbang.

Tidak semudah itu rasuah mudah dilakukan tanpa cepat diketahui. Bahkan jika ada prosedur yang dilanggari, ia dapat dikesan dengan cepat.

Ya, sudah tentu ada tempat-tempat yang perlu diperkemaskan, sesuai dengan perkembangan semasa.

Jadi apa masalahnya, sehingga rasuah boleh mudah dilakukan dan hanya dapat dikesan selepas beberapa tahun?

Masalahnya ialah ada tangan besi. Sudah tentu kuku jarinyapun dari besi. Ditonyohnya sampai mati jika ada yang tidak selari.

Cuba kita lihat dalam tatacara memperakukan sesuatu tender.  Dimana tangan besi itu.

Memperakukan sesuatu tender,  berbagai sudut/pandangan perlu diambilkira.  

Dilihat dari segi teknikalnya oleh Jawatankuasa Teknikal, dengan mengambilkira spesifikasi yang telah ditentukan; Analisa kewangan; Kekuatan penender dilihat dari pasukan pengurusan , pengalaman dan sebagainya yang berkaitan dengan kemampuan dan keterdayaan memikul tanggongjawab melaksanasiap/menyerah sempurna perolehan yang diperlukan.

Itulah perkara-perkara utama yang diambilkira dalam kertas perakuan kepada pihak berkuasa yang memutuskan, disamping syarat-syarat tambahan bagi memenuhi sesuatu dasar misalnya keutamaan kepada Bumiputera.

Tanpa tangan besi yang berkuku besi, proses menyediakan kertas perakuan itu, agak terjamin murni sifat dan bentuknya. Tapi bagaimana ditengah-tengah menyediakan kertas perakuan itu, muncul tangan besi?

Diketepikan saja? Buat tak tahu?

Ingat, tangan besi itu boleh tonyoh sampai mati!

Tapi itu bukan satu saja penyebabnya. Banyak penyebabnya. 

Yang pasti, penyebab akar umbinya ialah nafsu tamak haloba. 

Nafsu tamak haloba adalah satu  persekitaran yang telah kita bina bersama dan kuat mengukuh ketika ini. Kita cepat serasi dan berbangga tanpa rasa malu meneladani perkara yang patut jadi sempadan. Kita bangga mempertahankannya pula. Tapi secara terpilih.

Bagi saya, sistem yang dikatakan telah rosak yang menyebabkan perlakuan rasuah,  bukanlah sistem dan prosedur perolehan kerajaan. 

Yang telah menjadi rosak adalah sistem yang menzahir dan mengekalkan nafsu tamak haloba dalam persekitaran kita sendiri.

Sistem itu patut diperbetulkan. Dirobohkan. Selagi ianya masih kekal, jangan mimpi rasuah dan perbuatan-perbuatan mungkar yang lain dapat kita hapus atau kurangkan.

Hebohlah sekuat mana....seluas mana....sejauh mana- dari tepi ke hujung dunia, ianya tinggal sebagai satu hebohan saja, selagi sistem itu tidak ditukar.





  

Isnin, 21 Mac 2016

Aku Penulis Ucapan




"Ucapan yang kamu sediakan itu amat baik sekali. Meyakinkan, siap dengan petikan ayat al-Quran dan hadith. Bagus, amat bagus sekali.
 
Islam menyeru kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Amanah mesti di jaga dengan baik. Tidak boleh pecah amanah, bedosa besar. Apatah lagi memakan harta anak yatim, mengkhianati orang miskin dan fakir, orang yang susah yang perlukan pertolongan.
 
Begitu juga rasuah. Sangat dibenci dan dilarang oleh Islam. Agama lain juga , saya rasa melarang perbuatan rasuah.

Kamu juga masukkan point persaudaraan dalam Islam. Bagus kerana kita tidak boleh berpecah belah. Mesti bersatu. Begitu juga dengan bukan Islam. Kita mesti hidup dalam suasana yang harmoni. Tidak boleh jadi ekstrimis. Hidup mengamalkan konsep wasatiyah, bersederhana.

Point-point kamu amat bagus sekali. 

Saya bersetuju dengan ucapan yang kamu sediakan ini. 

Sampaikan salam saya kepada para hadirin. Saya tidak dapat hadir majlis pada hari itu. Saya ada ketentuan lain di tempat lain. Saya perlu hadir. Kamu wakili saya. Sampaikan salam saya dan nyatakan permohonan maaf saya kerana terpaksa .....
Maaf .

Ya, saya akan hadir. Jangan khuatir. Saya minta seseorang mewakili saya. Waalaikum salam".

Dia orang di sana ingatkan saya".
 
Kembang punggung aku bila mendengar pujian bosku itu. Nasib baik tidak keluar angin. Wajahku sudah tentu berseri-seri dengan pujian tersebut.
 
Tapi ini bukan kali pertama dia memuji draf ucapan yang aku sediakan setiap kali adanya majlis rasmi yang bos diminta berucap. Dia bos yang baik. Lembut tutur kata. Pandai ambil hati. Dan tidak pernah sekalipun dia meminda walaupun tanda koma dan noktah dalam draf ucapan yang aku sediakan.

Bos hanya membaca saja apa yang aku tulis. 
 
Dia paling seronok jika aku sumbatkan banyak petikan ayat al-quran dan hadith. Bukan ayatnya yang asli, cuma marhumnya saja. Aku tahu bos tidak tahu membaca jawi, apatah lagi ayat al-quran dan hadith dalam bahasa Arab. Aku tersenyum mengingatkan satu peristiwa yang lucu lagi memalukan.
 
"Mengapa kamu tersenyum"?
 
Pertanyaan bos itu memaksa aku mencari jawapan yang meyakinkan, mengapa aku tersenyum.
 
"Saya mewakili Datuk Seri? Habislah, semua orang ketawakan saya. Saya hanya penulis ucapan Datuk seri saja", 

"Saya suruh kamu wakili saya?" Bos tanya,  seolah-olah bos aku itu tidak berkata begitu.
 
Aku faham. Susah bagi bos untuk mengaku kesilapan. Cukup saja dengan mendiamkan diri. Dia akan faham sendiri.
 
"Nanti saya beritahu Timbalan untuk mewakili saya. Kamu jumpa dia dan katakan ucapan ini saya telah luluskan". Bos bangun dari kerusi dan menghulurkan draf ucapan itu. 
 
Aku minta izin untuk keluar dari biliknya walaupun aku tahu dia telah memberi isyarat yang jelas agar aku beredar.
 
Dalam perjalanan ke tempat kerjaku, peristiwa yang lucu dan memalukan segera datang diotak kepalaku.
 
Sudah menjadi satu kebiasaan, sesuatu ucapan itu dimulakan dengan puji-pujian ke hadrat Allah dan salam keatas junjungan nabi Muhammad. Dan selepas nama Allah akan ditulis SWT dan selepas nama nabi Muhammad ditulis SAW.
 
Bos aku menyebut SAW itu sebagai 'so' dan SWT itu 'swat'. 
 
Aku naik pucat dan malu. Tapi aku tidak nampak para hadirin yang ketawa. Mungkin mereka mahu menjaga air muka bosku itu.
 
Aku pucat kerana kegagalanku untuk memberi tahu dia tentang SWT dan SAW itu dan bagaimana hendak menyebutnya. Aku beranggapan dia tahu.

Tapi mengapa bos tidak mahu hadir dan baca satu ucapan yang dia sendiri amat menyukainya? Dia boleh saja minta Timbalan mewakilinya di majlis yang lagi satu itu.

Ahhh.....mungkin ucapan itu terlalu berat baginya. Mengajak dan menyeru kepada kebaikan dan meninggalkan kebatilan dan kemungkaran memang mudah dituturkan. Mungkin terlalu berat untuk melaksanakannya. Berat bagi bos untuk mengucapkannya.
 


 

Ahad, 20 Mac 2016

Malaysia Tanah Airku




Malaysia Tanah Airku

 

Malaysia oh tanah airku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat ku cinta
Yang ku puja sepanjang masa 
...................

Ya, akan ku puja Malaysia sepanjang masa, selagi hayat dikandung badan. 

Disinilah tempat aku dilahirkan, dibesarkan, dan menjadi harapanku bahawa disinilah tempat jasadku disemadikan. Kepada Allah kupanjat rasa kesyukuran.

Namun, Aku sedar dan tahu bahawa sekarang ini terlalu banyak yang sudah tercemar.  Nama baik manusianya tercemar. Alam sekitar tercemar. Kesetiaan kepada negara juga tercemar.

Ketika ini sebut saja nama Malaysia, rasa bangga yang menebal dalam sanubariku segera bertukar kepada kecewa kerana negara tercintaku ini menjadi bahan sendaan dan cercaan masyarakat dunia- 'the laughing stock of the world' kata orang putih.

Apakah yang mereka ketawakan? Terlalu banyak. Memadai aku rangkumkan dalam satu perkataan saja , "wibawa'. Maksud aku kewibawaan Malaysia telah tercemar pada tahap paling rendah sekali.  

Tiada siapa yang mahu percaya apabila kita menafikan kebenaran secara putar belit dan penipuan. Semalam kita menafikan, hari ini kita mengiyakan pula dengan menyertakan alasan bagi melepaskan diri dari dikata sebagai penipu atau bercakap bohong.

Tapi alasan itu adalah perangkap yang mengesahkan penipuan. Maka  dicari atau dicipta alasan lain. 

Lepas satu alasan kepada satu alasan  diketengahkan, hanya semata-mata mahu tutup kebatilan. 

Apa bacaan orang lain  ? Sudah tentu alasan itu sendiri adalah alat penipuan iaitu bagi menutup pembobongan dengan pembohongan yang lain.

Kalau Aku berbohong, kesan buruknya tidak meluas dan merata. Siapalah Aku!

Tapi kalau yang bertaraf bukan 'siapalah aku' berbohong, ianya terlalu amat bahaya kerana kesannya meluas dan merata, silap-silap jika dibiarkan saja tanpa dibendung dan dinyahkan boleh merosakkan negara. Tambah-tambah dianya ada peminat setia yang berasaskan kepada kepentingan diri, yang sanggup berkorban sehidup semati, apa pun yang akan terjadi.   

Begitulah yang menjadi kerisauanku ketika ini. Risau fasal wibawa yang tercemar. Berdoa saja tidak cukup tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan kewibawaan itu.

Tapi bagaimana caranya? 

Aku tahu caranya. 

Tapi jangan tunggu Aku beritahu caraku itu kerana Aku mahu menikmati keindahan negaraku Malaysia yang indah serta kaya raya ini. Ya, sebelum semuanya lenyap sama sekali.

Biarkan mataku menikmati sawah ladang luas terbentang seperti yang dibayangkan dalam lirik Malaysia Tanah Airku. Aku mahu menikmati keindahan bukit bukau, gunung ganang yang menjurang dan memunjak luas menghijau.

Ah malang sekali. 

Rata dan gondol, itu yang diberitahu oleh mataku. Menitis air mataku.

Sawah ladang, bukit bukau, hutan belantara serta gunung ganang adalah sumber kekayaan negaraku. Dimana semuanya, mataku cuba mencari.

Ohhh ....sekarang sudah jadi rata rupanya. Sudah terang dan gondol. 

Aku mahu tanya. Sebab itu kekayaan negaraku. Aku  juga ada hak terhadap semuanya itu. Aku sayang negara yang tercinta ini. Aku mahu tahu siapakah yang menyangak.

Siapa yang meratakan sawah ladang itu? Siapa pula yang menebang tebas hutan belantara itu? Siapa yang membuat laluan jentolak dan lori,  menuruni bukau, melerengi bukit dan mendaki ke puncak gunang ganang itu?

Siapa?

Sudah tentu bukan aku!

Siapalah aku kerana aku tiada kekuatan kudrat, tiada banyak wang dalam tangan mahupun dalam simpanan dimana-mana bank dan institusi kewangan, tiada pengaruh dan kuasa untuk mengupah dan mengerah suruh.

Siapa mereka yang sedang gila menyangak itu? Siapa?

Aku tahu. Dianya bukan aku. Siapalah aku!

Namun begitu , sayang dan cinta serta semangat patriotikku  tidak sedikitpun meluncur, malah semakin meningkat sehingga melonjak mahu tahu siapa yang menjadi pengkhianat negara tercinta ini. Aku mahu bersemuka dengan siapa orang itu dan beritahu: Kamu tidak tahu malu. Dimana kesetiaanmu pada negara ini.

Apa pun Malaysia tetap Tanah Airku.   





 
 

Sabtu, 19 Mac 2016

Wang Ini Bukan B Yang Curi




Di sini tiada wang , tulis A.

Wang ini bukan B yang curi, tulis B.

Hahahahahahaha....itu cerita yang telah dibacakan oleh cikgu semasa saya di sekolah rendah dulu.

Tujuan A ialah untuk selamatkan wangnya dari dicuri. Dan untuk meyakinkan orang lain,  dia kata wang tidak disimpan disitu.

B, yang menjumpai nota  A itu percaya bahawa  wang ada tersimpan dalam lubang itu, lalu dia menggali lubang tersebut dan mendapati ada wang yang tersimpan. Lalu dia mengambil kesemuanya.

Namun B juga mahu meyakinkan kepada tuanpunya wang iaitu A bahawa dia (B) bukan orang yang menambil atau menccuri wang itu.

Ceritanya mudah saja. Duit atau wang mesti di selamatkan walaupun caranya agak melucukan.

Untuk wang itu selamat dari dicuri, apa perlu menyatakan di tempat itu tiada wang? Lucukan.

Begitu juga dengan diri orang yang mencuri. Dia mesti mencari jalan untuk melepaskan diri dari dituduh atau dikatakan sebagai pencuri walaupun jalan keluarnya itu melucukan.

Apa perlu tulis bahawa wang itu bukan dia yang ambil atau curi? Lucukan.

Memang lucu. 

Tapi itu tahap pemikiran orang dulu-dulu. Kita boleh masukkan mereka itu dalam kategori kurang cerdik atau bodoh.

Sebaliknya orang sekarang, dalam zaman melinium ini tidak sebodoh itu.

Boleh terima kah kenyataan seperti diatas?

Terpulang kepada pertimbangan masing-masing. 

Saya ingin bertanya jika anda yang mencuri, adakah anda akan mengaku anda adalah seorang pencuri?

Sudah tentu tidak walaupun pihak polis yang melakukan penyiasatan mempunyai bukti bahawa anda telah melakukan perbuatan mencuri itu.

Jadi apa beza dengan B yang mencuri tetapi tidak mengaku jadi pencuri seperti cerita diatas?
 
Sudah tentu tidak ada bezakan. 

Jadi tidak betullah kita kata orang dulu-dulu sebagai tidak cerdik.

Orang dulu dan orang zaman melinium ini sama saja. Kedua-duanya amat melucukan. 

Jumaat, 18 Mac 2016

KUDA TUNGGANGAN: Siapa Yang Kena Tunggang.




Kuda Tunggangan, satu kiasan yang popular dikalangan orang politik/parti politik dalam memperkecilkan kewibawaan lawan masing-masing.

Mengapa kuda? Mengapa tidak dikatakan unta, gajah, kaldai, kerbau atau pun lembu? Pada hal semua binatang-binatang tersebut adalah binatang tunggangan.

Jangan pening kepala untuk mencari jawapan. Tapi yang pasti kuda selain dari unta digunakan pada zaman dulu sebagai binatang tunggangan dalam medan peperangan. Kuda yang tangkas dan hebat banyak membantu kemenangan. 
Ingat, kuda yang kuat dan hebat saja yang mampu membantu kemenangan.

Politik di Malaysia ketika ini adalah politik memperlekehkan lawan. Dan amat malang sekali, perlekehan itu bukan atas dasar idea, program dan perancangan yang di ketengahkan demi faedah negara dan rakyat. Ianya fokus kepada ego dan sentimen kaum dan agama.

Dulu semasa PAS dalam PR, parti itu dikatakan menjadi kuda tunggangan kepada DAP. 

Semasa itu PAS adalah berpengaruh bukan saja dikalangan orang Melayu dan Islam bahkan telah menarik sokongan dari sebahagian orang bukan Melayu dan Islam. PAS seumpama kuda yang hebat dan kuat dalam medang perang. Bersama rakan kongsi PKR dan DAP, PAS telah menang banyak kawasan Parlimen dan dewan undangan negeri. PR mendapat majoriti pengundi mengatasi BN.

Ertinya ketika itu kuda PAS itu kuat dan hebat. Kuda DAP pun kuat dan hebat. Begitu juga kuda PKR sehingga PR menguasai majoriti pengundi.

Kekuatan PR, khususnya DAP dan PAS adalah juga kelemahan mereka. Masing-masing terlalu ego dan emosional sekali dalam isu Hudud.

DAP, tidak mahu Hudud. Langkah mayat mereka jika Hudud mahu dilaksanakan PAS. PAS mahukan hukum Hudud yang dikatakan sebagai nyawa bagi survival PAS.

UMNO memerhati dengan penuh minat akan pergeseran kecil DAP-PAS ini dan segera memasang perangkap.

Perangkap UMNO mudah saja iaitu memperlekehkan kekuatan PAS itu sendiri bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP. Ertinya PAS sebenarnya tiada kekuatan. PAS telah digunakan oleh DAP sebab itu PAS tidak berjaya melaksanakan hukum Hudud kerana ditentang oleh DAP.

Kata-kata seperti itu telah mencabar ego PAS khususnya pimpinan PAS sehingga pergeseran kecil dengan DAP  itu menjadi tambah membengkak. Tambahan pula UMNO menawarkan kerjasama kepada PAS untuk menjayakan perlaksanaan Hudud. Maka akhirnya PAS masuk perangkap UMNO dan bercerai dengan DAP dan seterusnya menyebabkan PR terkubur.

Kuda siapa yang kena tunggang? Siapa yang jadi kuda tunggangan?

Sudah tentu kuda yang kuat dan hebat. Tidak ada guna menunggang kuda yang tempang untuk menyerang.

Sudah tentu bukan kuda DAP. DAP bukan pesaing UMNO. Melayu dan Islam, bukan pengundi DAP walaupun ada yang mengundi tapi tidak memberi kesan kepada pengaruh dan kekuatan UMNO. Melayu dan Islam adalah pengundi PAS. Pesaing UMNO ialah PAS. 

Oleh itu ego PAS mesti disemarakkan  dengan membangkitkan hal yang memang menjadi asas perjuangan PAS iaitu Hudud disamping menggunakan sentimen kaum, iaitu demi perpaduan Melayu, kata UMNO.

Lalu, pergeseran PAS dan DAP berkaitan Hudud itu perlu dimenfaatkan sebaiknya dengan menyatakan PAS adalah kuda tunggangan DAP jika berterusan bersama dengan DAP dan PR. Dan demi perpaduan Melayu, PAS dan UMNO mesti bekerjasama.

Kuda PAS yang kuat dan hebat itu sebenarnya kena tunggang. PAS menjadi kuda tunggangan UMNO. UMNO tidak akan tunggang kuda PAS jika kuda itu kuda yang tempang.

Sebenarnya bukan dasar UMNO, tidak pun niat parti itu untuk melaksanakan Hudud. Kenyataan pimpinan UMNO menolak hudud adalah terlalu jelas dan terang dari dulu sehingga ke masa ini dan besar kemungkinan selama-lamanya.

Akibatnya PAS dan DAP bercerai dan memulihkan perseteruan yang lama.  PR lebur. Tertubuhnya Amanah, yang dibentuk oleh ahli PAS yang tidak sealiran dengan kepimpinan PAS yang baru.  Tertubuhnya Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.

Kejayaan UMNO bukan saja memecahbelah dan menguburkan PR bahkan menjadikan parti pembangkang bercelaru. Walaupun PR lebur tetapi PAS, dan PKR masih lagi bekerjasama. Mereka saling memerlukan walaupun PKR adalah parti dalam PH kawan kepada Amanah dan DAP yang menjadi musuh utama kepada PAS.

Walaupun masih bekerjasama dengan PKR, PAS menganggap bahawa parti itu sudah bersendirian. Bagi PAS ianya masih kuat walaupun bersendirian. Ego PAS tetap sama.

Namun dalam masa yang sama, terdapat kecenderungan beberapa pemimpin PAS untuk bekerjasama dengan UMNO. PAS masih belum serek. 

UMNO tersenyum lebar kerana PAS yang menjadi pesaing undi Melayu telah menjadi lemah. Tidak ada untung bagi UMNO berkongsi pengundi dengan PAS. PAS adalah kuda yang tempang.

PAS masih kuat berjuang secara bersendirian, jerit beberapa pimpinan PAS. Itu hanya jeritan orang yang dalam kerisauan, orang yang sudah menurun keyakinannya. Sebab itu terdapat kecenderungan untuk berkawan dan bekerjasama dengan parti lain, dan yang paling ketara ialah dengan UMNO.

Tapi UMNO adalah sebuah parti yang penuh dengan pengalaman dan sepak terajang politik. UMNO hanya mahu berkawan dengan pihak atau parti yang kuat tanpa merugikan kedudukan politiknya. 

UMNO tidak mahu berkongsi pengundi. Pengundi UMNO ialah orang Melayu terutama dari luar bandar. Pengundi PAS adalah juga orang Melayu di luar bandar, juga.

Kedua-dua UMNO dan PAS tidak lagi boleh mengharap pengundi Melayu dalam bandar dan di pinggir bandar. Pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, bandar dan luar bandar, jauh panggang dari api. Zero! 

Ertinya UMNO tidak serious mahu berkawan dengan PAS. Buktinya, rang undang-undang yang dibawa oleh PAS yang dikatakan berkaitan hudud, dan yang disokong oleh UMNO sehingga kini tidak dibentangkan di Parlimen. Tapi UMNO senyap saja, tidak pernah mahu menyatakan sikap mengapa terjadinya demikian.

Maka dengan sebab itu, PAS mencari kawan lain. Untuk merojok pada kawan lama atau PH, ego PAS masih melonjak.

Kawan baru PAS ialah Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang dipimpin oleh bekas ahli UMNO yang telah dilicut keahlian parti seumur hidup dan juga pernah menjadi menteri UMNO. Sebuah parti baru yang tidak dikenali ramai. Sebuah parti yang dipimpin oleh individu yang juga tidak dikenali ramai atau tidak popular.

Politik ialah tentang populariti, pengaruh, dikenali ramai dan mempunyai pengikut/penyokong  yang ramai. IKATAN tiada ciri itu atau sekurang-kurangnya pada ketika ini masih belum ada. Mungkin baru mahu membina. 

Berbanding dengan PAS, IKATAN adalah kuda tempang untuk digunakan dalam medan peperangan politik. Ianya tidak langsung mampu membantu kemenangan, baik bagi parti itu mahupun PAS.

Kerjasama dua parti ini yang dipanggil sebagai Kuasa Ketiga (third force) boleh memberi kesan kepada pembangkang. Merugikan pembangkang dan menguntungkan UMNO/BN. Sudah tentu UMNO senyum lebar dalam bentuk kenyataan yang diluahkan oleh pemangku Timbalan Presiden UMNO yang menyokong kerjasama dua parti ini.

Saya percaya BN akan terus kekal selepas PRU 14 nanti. Sekali lagi pembangkang yang terdiri sari PH dan Kuasa Ketiga akan terus melopong, sambil mengeluh macam mana ni? Ini sudah tentu ada pengundi hantu! Berdemonstrasilah pembangkang.

Saya berpendapat bahawa kekalahan yang bakal dihadapi oleh pembangkang adalah disebabkan tidak menggunakan secara positif kiasan kuda tunggangan. 

Apabila saja mereka dikatakan menjadi kuda tunggangan, misalnya dalam hal berkaitan hubungan diantara PAS dan DAP semasa dalam PR, kedua-dua parti begitu emosional sekali sehingga termakan dengan kata-kata itu. Maka mereka segera menafikannya tetapi bertindak mencurigai diantara satu sama lain mengatasi/melebihi penafian mereka.

Kenapa kata-kata kuda tunggangan itu tidak dianggap sebagai pengakuan dari pihak lawan (BN) bahawa mereka (DAP dan PAS) adalah parti yang kuat dan hebat kerana hanya kuda yang kuat dan hebat saja yang mampu masuk dan menang dalam medan perang termasuk perang politik. Tiada siapa yang mahu menunggang kuda yang tempang.

Dalam nada yang sama iaitu tiada siapa yang mahu menunggang kuda yang tempang, kerjasama antara PAS dan IKATAN , membawa kepercayaan yang sebaliknya kepada PAS. PAS memilih kuda tempang!

IKATAN bukan kuda tunggangan yang tangkas, hebat dan kuat untuk bersama PAS dalam pertarungan merebut kuasa politik dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan bagi menjayakan hasrat parti itu.

IKATAN adalah kuda tempang! Sebenarnya IKATAN mahu tumpang tunggang kuda PAS. 

Jadilah PAS kuda tunggangan yang sebenarnya kerana IKATAN walaupun sebuah parti baru, kecil dan masih belum kuat telah dapat mengajak PAS untuk bersetuju bahawa HUKUM HUDUD tidak sesuai di Malaysia dengan mengalahkan DAP yang telah berpuluh tahun gagal meyakinkan PAS bahawa HUDUD tidak sesuai di Malaysia. 

UMNO telah lama kata begitu!




 

Jumaat, 11 Mac 2016

Deklarasi Rakyat #Selamatkan Malaysia akhirnya akan menyelamatkan Najib.




Apa Hasilnya Deklarasi Rakyat #Selamatkan Malaysia
 
Saya menjangkakan :
 
1. Najib tidak akan berjaya diundurkan. Najib masih dan terus selamat sehingga PRU 14. Najib terus mendapat sokongan sebahagian besar ahli UMNO dan pimpinan serta sebahagian besar ahli komponen  BN. Soal Najib melakukan kesalahan tidak penting kepada mereka. Yang penting mempertahankan kedudukan Najib. Kedudukan Najib adalah kedudukan mereka juga dari segi politik, ekonomi dan kerajaan.Jatuh Najib, jatuh juga mereka.

2. Mahathir dan geng terus kecewa kerana gagal mengundurkan Najib dan menyelamatkan UMNO. Bagi Mahathir , Najib turun UMNO selamat dan mempunyai kekuatan untuk menghadapi pembangkang dalam PRU 14. Mahathir yakin UMNO menang tanpa Najib. UMNO menang, Mahathir dan geng selamat dari diheret dimahkamah jika pembangkang yang menang dalam PRU 14. Bagi Mahathir #selamatkan malaysia itu hanya bermakna selamatkan UMNO dan diri serta geng-gengnya saja.

3. Sebahagian rakyat yang menentang UMNO/BN  merasa kecewa atas kerjasama pimpinan PH dengan Mahathir bagi menjatuhkan Najib kerana bagi mereka Mahathir juga melakukan kerosakan yang sama seperti apa yang dilakukan Najib. Namun begitu mereka masih lagi mahu menjatuhkan UMNO/BN walau siapapun yang menerajui kepimpinan parti itu.

4. PAS cuba menjadi oportunis dengan presidennya tidak menyokong desakan menyingkirkan Najib dalam gerakan #selamatkan malaysia dengan tujuan mendapat simpati dari penyokong Najib. Dalam masa yang sama beberapa ahli PAS yang ada kedudukan dalam parti, menyokong gerakan menyingkirkan Najib  dengan harapan mendapat simpati dari rakyat yang bersetuju Najib disingkirkan.

5. PH sebagai pembangkang akan menghadapi PRU 14 dengan kekuatan yang tidak sekukuh/sepadu seperti dalam PRU 13. Pertama kerana tidak mendapat sokongan ahli PAS atau berlaku persaingan banyak penjuru misalnya antara PH dengan PAS dan UMNO/BN. Kedua, Anwar masih lagi dalam penjara dan tokoh seperti Nik Aziz telah tiada.

6. Peluang untuk menang/Kedudukan UMNO/BN dan PH pada PRU 14 dijangka 50:50 . 
 
7. PAS akan berkurangan kawasan yang dimenangi berbanding PRU 13 termasuk di Kelantan. Kemungkinan besar PAS akan menyertai UMNO/BN untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU 14.

8. Pembangkang khususnya PH akan sekali lagi gagal untuk mengambilalih pimpinan di Putrajaya. Melopong dengan mulut ternganga besar tanpa mampu ditutup, kerana tidak percaya!

Wallahualam, masa depan Allah saja yang tahu.
 
 
 

Selasa, 8 Mac 2016

Kamipun takut Allah.....




Kamipun takut Allah. Takut buat dosa.

Begitulah yang selalu kita dengar , disuarakan oleh setengah pihak apabila mereka atau kelompok mereka dilihat sebagai mempertahankan sesuatu kemungkaran yang ramai diperkatakan orang ketika ini.  

Dalam kata lain mereka mahu menyatakan bahawa mereka adalah dipihak yang benar, menangkis kemungkaran.
Ertinya mana mungkin mereka yang takut Allah  dan takut buat dosa sanggup mempertahankan kemungkaran!

Dan sanggup bersumpah atas nama Allah, bukan satu yang luar biasa, hanya sanya untuk menyatakan bahawa mereka takut Allah dan takut melakukan dosa. Dan bagi membuktikan bahawa mereka tidak mempertahankan kemungkaran.

Bagi saya, mereka yang mudah ajak bersumpah, dan mengingatkan orang lain bahawa mereka takut Allah dan tahu dosa pahala,  belum tentu tidak terlibat dalam hal melakukan kemungkaran. Dan tidak juga mereka itu suka melakukan kemungkaran.

Tiada siapa, saya yakin, yang tidak terlibat dalam hal-hal yang boleh mendatangkan dosa. Kita adalah manusia, makhluk Allah yang lemah!

Tetapi menjadikan slogan 'kita adalah manusia' sebagai jalan keluar atau alasan untuk kita mempertahankan kemungkaran atau melakukan perbuatan yang dilarang Allah adalah satu anutan yang merbahaya dan merosakkan. Merosakkan diri, masyarakat dan negara. 

Contoh, dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.

Tiada seorang manusia yang takutkan Allah dan takutkan dosa sanggup melakukan atau mempertahankan perbuatan-perbuatan itu!

Nanti dulu. Realitinya tidak semuanya begitu. Bahkan terlalu asing jika kita berjumpa manusia seperti itu.

Dengan demikian, bagi saya tidak perlu atau tidak ada kewajaran bagi seseorang atau kelompok orang untuk menggunakan hujah bahawa disebabkan mereka juga takut Allah dan takut melakukan dosa maka mereka tidak termasuk dalam kalangan yang melakukan perbuatan mungkar atau terlibat dalam mempertahankan kemungkaran.

Buat renungan dan pikir bersama: Apa yang dapat disimpulkan tentang kes derma 2.6 billion? Ada salah laku atau kes yang bersih.

Isnin, 7 Mac 2016

Aset Melayu Terlalu Banyak Tapi Masih Miskin.

Pada suatu hari dalam tahun 1985:

SubhanChandra, seorang kawan,  bekerja satu kementerian, seorang yang amat kritikal dan berterus terang tentang sesuatu hal sama ada dalam hal yang dikatakan sensitif atau hal-hal umum. Kami selalu 'bertengkar' dalam menyatakan pendapat masing-masing. 

Bertengkar dan bertengkar, kami tetap menghormati pendapat masing-masing. Sebab itu persahabatan kami tidak berakhir dengan permusuhan.

Tapi sekarang kami tidak pernah berhubung. Dia tidak tahu dimana saya, dan saya pun tidak tahu dimana beliau berada.

Apabila saya menyatakan bahawa orang Melayu miskin, dia dengan tangkas memangkah pendapat saya itu dengan menyatakan sebenarnya orang Melayu mempunyai aset yang terlalu banyak, dan tidak wajar boleh jadi miskin.

Maka bermulalah sessi pertengkaran kami. Panjang sekali kami bertengkar.

Kawan saya itu tidak menafikan sebahagian besar orang Melayu terutama di kampong yang susah dan miskin. Dalam masa yang sama dia juga menekankan bahawa bukan melayupun ada yang susah, miskin dan merempat. Cuma yang berbezanya, susah bukan melayu disebabkan tidak ada aset sebesar aset yang dimiliki oleh orang Melayu.

"Ertinya orang melayu ada banyak aset tapi hidup susah, dan bukan melayu pula susah dan tidak ada aset sebanyak orang melayu?" Tanya saya.

"Betul. Aset orang Melayu merata dan berbagai."Tegas kawan saya itu.

Seterusnya  kawan saya bertanya pada saya: 

1. Lihat di kementerian kita ini. Siapa , yang jadi menteri. Siapa KSU. Siapa yang menjadi Pengarah dan Ketua Jabatan/Bahagian. Siapa pekerja majoriti majoriti. Adakah bukan Melayu?

2. Lihat juga di kementerian dan jabatan lain. Siapa mereka itu?

3. Lihat juga di peringkat negeri dan daerah. Siapa mereka?

Kemudian dia senaraikan:

4. Kamu ada Tabung Haji. Pendepositnya orang Melayu. Simpanan yang terkumpul berbillion.

5. Kamu ada ASB. 

6. Kamu diberikan keistimewaan mendapat pink form setiap kali adanya tawaran menyeneraikan saham.

7. Kamu ada tanah wakaf dibawah Majlis Agama. 

8. Ada Pusat Zakat.

9. Kamu ada tanah yang dikhaskan atau tanah simpanan melayu atau tanah adat.

10. Kedudukan istimewa kamu dalam mendapatkan biasiswa, quota memasuki universiti dan banyak lagi

11. Hakikatnya di Malaysia ini hanya orang Melayu saja yang akan jadi PM. Dan aku tidak mahu sentuh institusi di raja.

Beliau bertanya lagi: Berbanding dengan kami, apa yang kurang pada orang melayu.

"Tapi orang melayu tidak menguasai ekonomi. Perniagaan dan perdagangan dikuasai oleh bukan melayu", saya berhujah.

"Aset yang begitu banyak tetapi kamu kata melayu tidak menguasai ekonomi dan perdagangan. Adakah aset-aset itu sudah tercemar atau dicemarkan sehingga ianya tidak memberi nilai bagi menambahkan kekuatan ekonomi melayu?"  

Kata-kata kawan ini menusuk hati saya tapi saya tidak mampu menghujah balas.

Pada hari ini tahun 2016. Melayu masih lagi ramai yang miskin. 

Jika ditakdirkan saya berjumpa dengan si SubhanChandra itu, saya tidak akan buat kenyataan bahawa sebahagian besar orang melayu masih miskin. Sebab bukan kerana orang melayu sudah menjadi kaya tetapi orang melayu yang mempunyai banyak aset itu masih lagi jadi miskin. 

Malu saya jika saya ulang kenyataan yang sama.