Theflowersellingboy

Khamis, 18 Februari 2016

LUPAKAN SAJA SUARA-SUARA BISING ITU: PEKAKKAN TELINGA.




Itu semua suara-suara bising. Jangan pedulikan suara-suara itu. Ada telinga tutup. Kalau tak tutup telinga, buat pekak saja. Dengar dan percayalah suara  saya kerana suara saya tidak bising memekak. 

Mana mungkin negara saya menuju muflis atau sebuah negara gagal. 

Saya ke sini dengan jet khas , kerajaan yang beli. Saya ke sini beserta dengan pengiring, bukan seorang, kerajaan yang bayar. Tempat tidur , makan minum, meraikan tetamu dan beriadah, semuanya tanggung beres, kerajaan juga yang bayar.

Jadi macam mana orang yang bersuara bising itu kata negara saya sebuah negara gagal, negara yang penuh hutang dan buat rugi dalam urusniaga. 

Mereka buat bising, menuduh saya makan suap. Mereka itu bodoh. Manusia makan mestilah bersuap. Takkan nak makan macam itik secara menyudu. Atau menggonggong macam anjing. Atau mencakar mengais macam ayam.

Mestilah makan bersuap.

Memang mereka itu bodoh. Bangang. Kerjanya tahu buat bising, menyalak sana sini.

Sibising ni kata saya kuat berhutang, konon saya buat hutang terlalu banyak dalam tempoh yang singkat.

Beritahu saya, negara mana yang tidak berhutang? Saya buat hutang pada tahap kemampuan bayar balik. Ertinya pihak yang memberi hutang percaya kemampuan negara saya bayar balik hutang. Rating bayar balik hutang negara saya adalah tinggi dan meyakinkan kepada pemberi hutang.

Gagal berhujah tentang hutang negara, si suara bising ini berpaling pada syarikat strategik negara. Mereka kata syarikat itu tanggung hutang yang tinggi. 

Mereka itu bodoh. Mereka cakap fasal liabiliti saja. Mereka tidak sentuh fasal aset syarikat itu yang mengatasi liabiliti.

Punyalah mereka sakit hati atas kejayaan syarikat itu dengan membuat fitnah mengatakan wang syarikat itu masuk dalam akaun peribadi saya. Gila betul sibising itu. Mereka ingat saya ini bodoh macam pak pandir, nak buat macam itu.  Tidak, tidak. Saya ada otak.

Saya beritahu pada si suara bising bahawa ada billionan yang sudi menderma ke dalam akaun peribadi saya. Ada orang nak derma, apa salahnya saya terima. 

Saya tahu mereka ini cemburu kerana tiada seorang pun yang berkenan untuk memberi mereka derma. Sebab itu, asalnya saya tidak mahu beritahu derma ini, saya khuatir mereka cemburu dan buat berbagai fitnah.

Tengok, apa yang saya jangka , betul-betul berlaku. Mereka kata yang bukan-bukan tentang derma itu. Naik lelah saya terangkan bahawa wang itu wang derma. Apa salahnya terima wang derma.

Mereka telah kehabisan modal. Bangkitkan pula kes mahkamah yang telah selesai bertahun lamanya. Kes pembunuhan yang tiada kaitan dengan saya. Kenapa bangkit sekarang? Kenapa tidak dibangkitkan semasa kes sedang berjalan di mahkamah. Lagipun kes telah selesai. Pembunuh sudah dijatuhkan hukuman.

Jadi tuan-tuan sekalian jangan pedulikan suara-suara bising itu sama ada datangnya dari negara saya atau macai-macai mereka dari luar negara saya. 

Jemput datang ke negara saya. Lihat dengan mata sendiri akan kejayaan negara dibawah kerajaan saya, pimpinan saya. 

Lupakan saja suara-suara bising itu.


Rabu, 17 Februari 2016

Sangkar Negara Dunia Ketiga,




Malaysia akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 

Anda yakin? 

Saya tidak yakin. 

PM, DS Najib dan sebahagian kepimpinan kerajaan yakin hasrat itu akan tercapai.

Saya tidak yakin kerana kita masih lagi dalam sangkar pemikiran dunia ketiga , walaupun kita begitu teruja untuk berlepas diri dari perangkap sangkar itu.

Apa itu perangkap sangkar dunia ketiga?

Kita mahukan persekitaran yang bersih dan indah. Tapi dalam masa yang sama kita juga manusia yang tidak ambil peduli dan memberi nilai yang tinggi keatas mewujudkan persekitaran seperti itu.

Kita mahu kehijauan mewarnai lanskap bumi tercinta. Tapi kita juga begitu menggila menarah dan menggondol gunung dan bukit serta  hutan dan belantara.

Kita kata kita pengamal demokrasi terbaik di dunia sedangkan bilangan peraturan dan undang-undang yang kita ada dan sediakan semakin bertambah timbun untuk menutup mulut jika ada yang berbeza. Dan kita juga juara dunia paling terkenal dalam hal tangkapan tanpa bicara dan sumbat orang dalam penjara ikut suka.

Kita tidak rasa malu dan terhina mencemar dan mengotori konsep  pengasingan kuasa, iaitu asas yang kukuh bagi kemahkotaan regim diktator.

Kita biarkan segala salah laku, rasuah, penipuan dan kerja putar belit untuk mendapat dan mengekalkan kuasa bermaharaja lela, bahkan kita adalah penyokong tegar  selama-lamanya.

Maka apakah peluang yang ada untuk satu bentuk agihan kekayaan negara yang adil untuk mengambil tempat dalam sebuah negara yang kotor, gondol, rakyatnya menjadi pekak dan bisu dalam cengkeman diktator, dan segala salah laku kita biarkan berterusan selama-lamanya.

Sudah tentu peluangnya kosong.

Sudah tentu yang wujud adalah kumpulan kecil elitis yang memonopoli segala kuasa dan kekayaan negara.

Dan itulah dia negara dunia ketiga. Dan kita berada dan berterusan dalam sangkar negara dunia ketiga, menjelang tahun 2020. 

Hubaya-hubaya, jika kita berterusan dengan sikap dan pemikiran kita itu, kerana kita takut bertindak melakukan perubahan, maka kekallah kita dalam sangkar dunia ketiga.

Selasa, 16 Februari 2016

JANGAN AMBIL1.5 JUTA PEKERJA BANGLADESH




Jangan ambil pekerja asing. Tapi kerajaan mahu ambil juga seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh.

Alasan kerajaan, khususnya Menteri KDN ialah bahawa rakyat tempatan atau belia tempatan tidak berminat dalam kerja-kerja yang dikatakan sebagai kotor, susah dan berbahaya. 
 
Beliau menyatakan rakyat tempatan hanya boleh bertahan satu dua bulan saja untuk melakukan kerja-kerja bersifat demikian. Lalu beliau mencabar belia tempatan untuk mengambil alih kerja-kerja tersebut.

Cabaran beliau disambut dengan teriakan jelas dan nyata sekali dari belia tempatan yang menyatakan kesanggupan melakukan kerja-kerja yang dimaksudkan.

Jadi persoalannya adakah kerajaan akan dengan segera membatalkan hasrat untuk mengambil 1.5 juta pekerja Bangladesh setelah mendapat reaksi secara berdepan dari belia tempatan itu?

Saya tidak percaya pada tahap 100% menteri itu akan membatalkan hasrat untuk mengambil pekerja Bangladesh itu. Jika itu dilakukan,  ada pihak yang akan menanggung kerugian. Ada risiko politik. Ada risiko meraih faedah ekonomi. 

Saya juga tidak percaya belia tempatan itu akan sanggup melakukan kerja-kerja tersebut. Saya percaya menteri KDN itu sependapat dengan saya. 
 
Bagi saya ada mesej yang hendak disampaikan oleh belia tempatan kepada menteri KDN itu dalam teriakan 'bersetuju' mereka itu.
 
Oleh itu menteri KDN mesti ada kemampuan untuk mentafsirkan jawapan 'bersetuju' belia tersebut.
 
Bagi saya jawapan 'bersetuju' itu adalah satu persetujuan bersyarat. 

Syaratnya ialah bahawa kerajaan mesti melakukan sesuatu bagi menarik minat mereka untuk melakukan kerja-kerja itu. Risiko pekerjaan seperti itu adalah tinggi dan banyak sedangkan pulangannya tidak sepadan dengan risiko. 
 
Oleh itu kerajaan mesti mengambilkira pulangan kepada pekerja sejajar dengan risiko pekerjaan itu.
 
Gaji/upah mesti lebih dari apa yang dibayar ketika ini. Paling kurang RM2,000 sebulan. Pekerja mesti diliputi dengan insuran kemalangan tempat kerja/semasa melakukan kerja dengan liputan bayaran premium yang munasabah. Disediakan juga liputan insuran bagi melindungi/memperolehi rawatan kesihatan kerana mereka melakukan kerja dan terdedah dengan persekitaran yang kotor, berbahaya dan panas terik.
 
Kelulusan akademik bukan satu syarat penting. Tapi kemahiran dalam bidang kerja dan kesanggupan bekerja adalah syarat yang penting. Ertinya dasar bayaran gaji/upah serta kemudahan-kemudahan lain hendaklah berdasarkan 'hardship' yang ditanggung oleh pekerja itu.

Saya percaya, jika mereka berasa selamat dan selesa dari segi ekonomi (gaji) dan kesihatan serta keselamatan diri (liputan insuran), tiada masalah untuk mendapat khidmat kerja dari belia tempatan. Dan dengan itu tidak perlu mengambil pekerja asing seperti 1.5 juta pekerja Bangladesh.
 
Lagi sekali saya nyatakan bahawa Malaysia tidak perlu mengambil seramai 1.5 juta pekerja Bangladesh. Ada berbagai masalah akan kita hadapi, antaranya sosial, jenayah dan penyakit.
  
 
 
 
 

Isnin, 15 Februari 2016

Berjimat Belanja dan Elakkan Kebocoran Hasil


.

Kerajaan sekarang mengambil langkah jimat cermat dalam perbelanjaan kerana pendapatan kerajaan dijangka merosot akibat dari kejatuhan harga minyak iaitu sumber pendapatan utama kerajaan.
 
Antara langkah jimat cermat yang telah diumumkan ialah mengurangkan hidangan makanan mesyuarat, penerbangan kelas ekonomi bagi pegawai tinggi kerajaan, mengurangkan perbelanjaan dalam bentuk hias menghias dalam menyambut pemimpin atau majlis perasmian seperti hamparan permaidani merah,  pemberian cendera mata dan hiasan bunga-bungaan.
 
Mungkin ada banyak lagi langkah yang akan atau telah dilaksanakan seperti penjimatan penggunaan air dan letrik.
 
Langkah jimat perbelanjaan seperti diatas itu wajar diambil. Namun begitu ada lagi jenis perbelanjaan yang perlu di hapuskan segera. 
 
Perbelanjaan yang dimaksudkan ialah: 
 
i) Bayaran khidmat perunding kepada pakar asing. Kerajaan tidak sepatutnya mengambil pakar asing kerana kita mempunyai penjawat awam yang mampu malah lebih baik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
 
ii) Bayaran kepada lantikan politik sebagai penasihat kerajaan yang bertaraf menteri. Sekurang-kurang 8 orang yang terlibat yang dibayar gaji dan berbagai elaun dan kemudahan sama banyaknya dengan menteri. Mereka adalah 'redundant', dan tidak perlu kerana telah sedia ada menteri dan penjawat awam yang bertanggungjawab melaksanakan tugas yang kononnya menjadi tanggungjawab mereka.
 
iii) Mengurangkan bilangan jawatan menteri dan timbalan menteri. Berbanding dengan negara maju yang lain seperti Jepun dan England yang mempunyai penduduk melebihi Malaysia, Malaysia mempunyai bilangan menteri yang banyak berbanding dengan dua negara itu.
 
iv) Peruntukan dalam bentuk sumbangan misalnya kepada NGO perlu dikurangkan kerana sumbangan itu lebih bermotif politik.
 
Berjimat belanja juga perlulah meliputi segala usaha bagi melakukan perbelanjaan dengan cekap, berkesan dan teratur menurut proses, peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.
 
Ertinya tidak berlaku salah guna kuasa dalam melakukan perbelanjaan, melampaui atau melanggari garis panduan perbelanjaan yang telah ditetapkan, tidak terlibat dalam salah laku rasuah dan ketirisan. Contoh yang kerap berlakuialah dalam proses dan prosedur serta peraturan yang melibatkan perolehan kerajaan sama ada tawaran kontrak kerja, perkhidmatan mahupun perolehan barangan.
 
Selain dari berjimat belanja, kutipan hasil kerajaan mesti dilakukan dengan bersungguh dan berkesan supaya tidak berlaku tunggakan, kebocoran dan mereka yang mengelak dari membayar hasil kepada kerajaan seperti mengelak dari membayar cukai.
 
Tetapi tindakan keatas mereka yang mengelak atau lari dari membayar cukai hendaklah dilakukan dengan tegas dan adil. Adalah tidak adil jika mereka yang berkedudan seperti menteri dilepaskan dari membayar cukai kastam semasa balik membeli belah dari luar negeri sedangkan mereka yang tidak ada kuasa dan kedudukan dikenakan cukai. Semasa berkedudukan atau tidak, jika undang-undang mengatakan kena cukai, cukai mesti dikenakan.
   
Adalah diharapkan usaha berjimat belanja ini dilaksanakan dengan teratur. Usaha ini akan lebih berkesan jika semua pihak termasuk Perdana Menteri sendiri menunjukkan teladan dengan melakukan perbelanjaan secara berkhemah dan meyakinkan.

Kalau hanya cakap saja, tapi berbelanja ikut sedap dan selera sendiri tanpa memikirkan kepentingan negara dan rakyat maka janganlah cakap fasal jimat berbelanja. Ianya jadi bahan ketawa dan sia-sia saja.
 

Ahad, 14 Februari 2016

Tidak Wajar Kita Mengambil Pekerja Asing. Berikan Upah/Gaji Yang Lebih Baik Kepada Warga Sendiri




Pagi ini bersarapan di luar walaupun tinggal di hotel. Sebab sarapan pagi tidak termasuk dalam pakej bermalam di hotel. maka saya dan isteri dan seorang anak perempuan, berjalan kaki mencari restoran  atau kedai makan di luar.
 
Kami cuba mengelak dari makan di restoran atau kedai makan mamak kerana ia memuakkan. Cara masak dan masakannya tidak sesuai dengan selera kami.
 
Sepanjang berjalan itu, tidak terjumpa sebuahpun kedai atau restoran Melayu. Semua restoran mamak. Oleh kerana sudah agak jauh berjalan dan kakipun sudah penat , kami berhenti berehat sekejap. 
 
Kebetulan di tempat kami berhenti penat itu, ada seorang wanita yang menjual berbagai kuih muih Melayu. Saya rasa dia penjual jalanan (menjual dengan meletakkan kuih muih itu diatas satu meja kecil) iaitu penjual yang tidak berlesen/permit dari pihak berkuasa Bandaraya Kuala Lumpur.
 
Ini bermakna, dia akan meninggalkan tempat jualannya itu apabila melihat pihak berkuasa bandaraya. Ianya juga bermakna, dia seorang yang besar kemungkinan tidak menjalani suntikan kesihatan bagi menjamin makanan yang dijual itu bersih dan selamat untuk dimakan.
 
Saya tidak pasti ianya warga tempatan. Saya mengesyakki dia bukan warga tempatan, mungkin dari seberang.
 
Pemandangan persekitaran agak tercemar.
 
Saya amat simpati penjual jalanan ini. Tapi dalam masa yang sama kesihatan pengguna mestilah dilindungi. Kebersihan dan keindahan persekitaran perlu dijaga.
 
Tidak lebih 10 minit kami berihat, kami mahu meneruskan perjalanan untuk mencari kedai Melayu. Kami tidak membeli kuih muih Melayu dari penjual jalanan itu kerana merasakan tidak baik dari segi kesihatan.
 
Jauh juga kami berjalan tapi tidak juga jumpa restoran Melayu. Berhenti sekejap di sebuah tempat orang menunggu bas. Wah, saya merasakan saya berada di Dacca, Bangladesh. Hampir 100% yang menunggu bas adalah Bangla. 
 
Maka saya teringat tentang berita kerajaan akan menerima masuk 1.5 juta Bangladesh tidak berapa lama lagi untuk bekeja di Malaysia. Waduh,  bertambah sesaklah Malaysia ini dengan Bangla.
 
Saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan kerajaan tentang penggunaan pekerja warga asing di negara kita. Saya tidak bersetuju. Sebab:
 
i) Boleh menambahkan bilangan penganggur warga sendiri. 
 
Alasan kerajaan mengatakan warga sendiri tidak suka kepada kerja kotor dan berat adalah satu alasan yang terlalu murah dan tidak boleh diterima. Sebenarnya bukan sebab jenis kerja tetapi upah yang murah.
 
Warga asing sanggup menerima upah yang murah kerana upah di negaranya lebih murah dari upah yang dibayar oleh majikan Malaysia. Mereka tidak ada masalah untuk hidup 'bersesakan' dan dalam keadaan yang dhaif sekali berbanding dengan warga tempatan yang ada maruah dah harga diri.
 
Adakah kerajaan tidak merasa malu dan bersalah apabila rakyat hidup dalam keadaan dhaif? Mana dia tanggungjawab kerajaan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat dengan adil?
 
Oleh itu, berikan mereka gaji/upah sesuai dengan status warga negara dan cita-cta untuk menjadikan malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju. Jangan tuduh rakyat kita tidak sanggup melakukan kerja kotor dan berat. Bahkan kerja kotor dan berat itu merupakan satu faktor yang mewajarkan mereka diberi gaji yang tinggi.
 
Kepada menteri yang beriya-iya sangat untuk mengambil pekerja negara asing, saya ingin tanya dan minta jawab: Apakah kesannya dari segi kesihatan dan keindahan persekitaran, jika pekerja angkat sampah itu mogok kerana gaji yang rendah?
 
Saya tahu jawapan anda, iaitu bawa pekerja asing kerana mereka sanggup bekerja. 
 
Jika itu jawapan anda, anda tidak ada perasaan kasih sayang. Anda hanya ada perut saja tanpa hati.
 
Sepatutnya anda pertimbangkan untuk mengadakan satu polisi 
untuk meningkatkan gaji mereka. Kerja mereka satu kerja 'hardship' dan kerana itu mesti dibayar sesuai dengan risiko yang mereka ambil bukan semata-mata berdasarkan kelayakan akademik saja.
 
ii) Apabila banyak yang menganggur, jenayah akan meningkat.
 
iii) Pekerja asing membawa budaya yang tidak sesuai dengan negara kita termasuk yang membawa penyakit.
 
Kita kena akui budaya masyarakat tempatan, dari segi menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran adalah lebih baik dari budaya dari pekerja asing dari negara jiran termasuk Bangladesh.
 
Satu masa dulu, sebelum kebanjiran warga asing, bandaraya Kuala Lumpur amat indah dan bersih sekali. Sekarang? Saya lihat ditempat menunggu bas, terlalu kotor dengan sampah sarap, kertas dan plastik disana sini, putung rokok yang mudah terpijak.
 
Kebanjiran warga asing membawa sama berbagai penyakit.
 
Selepas berihat sekejap, selepas bosan melihat sampah yang bersepah, kami melangkah meneruskan pencarian sebuah kedai makan melayu. Hasilnya amat mengecewakan. 
 
Kami terpaksa makan restoran yang bernama Khalifah sebuah restoran mamak yang saja cuba elak.
 
Kebersihan pekerja? Waduh amat mendukacitakan.
 
Selepas sarapan, isteri membeli beberapa kuih melayu yang dijual seorang anak muda. Saya percaya dianya orang Melayu hasil dari perbualan saya dengannya. Dan dia juga peniaga jalanan.
 
Soal kebersihan nampaknya terpaksa dikorbankan kerana mahu makan kuih muih melayu/tempatan. Bukan saya yang mahu makan tapi anak dan isteri saya. Saya lapar pun tidak ada hal.
 

Berjumpa Kawan-kawan Lama Di Majlis Mkan Malam ASAS Ke 16




Menulis di dalam bilik 1243 Hotel Istana Kuala Lumpur.
 
Semalam hadir majlis perkahwinan anak saudara di Shah Alam.Selepas itu disebelah malam menghadiri Majlis Makan Malam Ke 16 ASAS di Hotel Shangrilla.
 
Setahun sekali berjumpa kawan-kawan lama. Ada kawan yang simpan gambar lama, gambar kawan-kawan satu kelas. Sebahagian besar muka masih boleh dicam dan diingat nama. Ada seorang dua tidak dapat dicam kerana gambar yang ditunjukkan itu tidak berapa jelas. Maklumlah gambar tahun 1968.
 
Beberapa orang kawan-kawan yang telah menemui Allah SWT. Semoga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang diredhai.
 
Sungguh jauh bezanya antara wajah dalam gambar dengan realiti wajah ketika ini. Saya simpulkan seperti ayat dibawah ini:
 
Dulu, muka masih ketat, rambut masih lebat. Nampak hebat.
 
Masa berlalu. Wajah semakin menua. Perjalanan menghampiri penghujungnya.
 
Apa pun saya bersyukur ke hadrat Allah kerana masih lagi di beri peluang untuk meneruskan baki-baki hidup, dan dipohon baki-baki usia ini dapat dimenfaatkan sebaik mungkin dengan diberi petunjuk Allah SWT.
 
Tahun hadapan, jika ada umur, sekali lagi kami dapat berkumpul dalam majlis makan malam yang sekolah kesayangan kami SAS.
 
 

Khamis, 11 Februari 2016

Abang Nak Diet




Nak makan apa hari ni bang
Apa-apa saja pun boleh
Nah roti sekeping
Mana cukup
Dietlah bang
Abang dah kurus, diet buat apa
Kita boleh kurang belanja
Berjimat cermat, maksud kau?
Tak lah macam tu
Abis, fasal apa nak kurang belanja?
Nak beli kereta lah bang
Ohh  no  no no 
Fasal apa abang cakap gitu
Kereta tak tahu diet, susah nanti
Samalah macam abang
Tak sama
Sama
Abang kata tak sama
Sama bang
Abang bukan keretalah
Yalah, tapi abang tak tahu diet, macam keretalah
Nah, ambil roti sekeping ni
Fasal apa bang
Abang nak diet
Fasal apa
Abang tak mahu beli kereta.

 
 

 

Rabu, 10 Februari 2016

Hari Ini Genap Setahun Anwar Dipenjarakan: Apa Pilihan Anwar Jika Anwar Bebas.




Hari ini 10 Februari 2016, genap setahun Anwar di penjarakan. Malam tadi ada perhimpunan Bebas Anwar di Penjara Sungai Buluh. Ada rakyat yang mahu Anwar dibebaskan kerana yakin dan percaya Anwar tidak bersalah atas dakwaan yang dikenakan keatasnya. Pihak luar juga tidak percaya.

Saya LANGSUNG TIDAK PERCAYA.

Ini adalah penjara kali kedua atas tuduhan yang sama. Dakwaan yang bersiri seperti sebuah drama. Setakat ini baru siap 2 siri. Akan datang Allah saja yang tahu. 

Tapi sebagai manusia yang tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, saya menjangkakan ada dua kemungkinan. Kemungkinan itu tertakluk kepada dua hal iaitu:

i) Jika Anwar masih lagi ada semangat melawan selepas dibebaskan nanti, dan masih lagi menjadi ancaman kepada pemerintah (BN), dan BN pula masih mencengkam kuasa, siri dakwaan ketiga atas dakwaan yang sama akan menimpa keatasnya.

ii) Jika sebaliknya, semangat melawan dan ancaman kepada BN sudah menjadi kendur sedangkan BN masih mencengkam kuasa, dakwaan siri tiga atas kes yang sama tidak akan timbul lagi.

Semuanya tertakluk kepada pilihan yang akan dibuat oleh Anwar, jika BN masih mencengkam kuasa.

Berani melawan Anwar masuk penjara
Duduk diam bebaslah Dia dari penjara

Dari apa yang semua orang tahu, Anwar tidak mudah menyerah. Semangat melawannya begitu tinggi. Risiko masuk penjara adalah pulangan yang sudah diambilkira. Dia tidak pernah gentar dan menyesal. Masuk penjara adalah pengorbanan yang terlalu kecil sebagai pejuang rakyat.

Tabik hormat kepada pejuang rakyat ini.

Anwar tidak akan duduk diam selepas dibebaskan nanti. Matlamat perjuangannya ialah untuk menggantikan BN. Baginya BN telah lama menzalimi rakyat dan perlu ditumbangkan. Selagi BN berkuasa rakyat terbanyak akan hidup menderita.

Tapi mampukah BN ditumbangkan?

Tidak semudah apa yang disangkakan oleh mereka yang suka berangan-angan dan berkhayal berasaskan pergolakan yang berlaku dalam parti-parti komponen BN, khususnya UMNO.

UMNO bergolak dalaman. Tapi tetap bersatu apabila menghadapi lawan. Ini telah banyak kali dibuktikan.

Ertinya PRU 14 nanti, BN masih dapat mencengkam kuasa tidak seperti apa yang diyakini oleh banyak kalangan khususnya parti-parti dalam Pakatan Harapan bahawa mereka akan dapat mengambilalih tampok pemerintahan Persekutuan selepas PRU 14. 

Dan ada juga orang yang mengatakan agak jenaka sekali apabila PAS yang mahu bersendirian dalam persaingan merebut kuasa pada PRU 14, meramalkan mereka akan menguasai lebih dari satu negeri seperti yang ada ketika ini. 

Mungkin ada jenaka ramalan PAS itu.

Tapi saya merasakan ada asas tertentu yang digunakan PAS untuk meramalkan sedemikian. Apa asas itu?

Saya cuba meneka bahawa PAS dan UMNO akan bekerjasama, bukannya bergabung dalam PRU 14 akan datang. Tanda-tanda ke arah itu sudah amat jelas walaupun ada dikalangan kepimpinan menunjukkan kurang minat ke arah itu.

Tapi mampukah PAS menambah penguasaannya? Saya mengatakan tidak bahkan PAS akan kalah teruk. Yang akan menang dan menjadi kukuh ialah UMNO.

Pakatan Harapan pula tidak akan menang untuk membentuk kerajaan Persekutuan akibat dari PAS tidak bersama mereka. 

Dengan sebab itu saya amat yakin BN khususnya UMNO akan terus mencengkam kuasa pada PRU 14 nanti.

Jika ramalan itu mengena, Anwar jika dibebaskan, tiada pilihan melainkan duduk diam saja jika tidak mahu siri 3 dakwaan liwat dimainkan, yang berakhir dengan Anwar masuk penjara.

Anwar sendiri tahu dan semua orang tahu, bagi menyiapkan sesuatu siri liwat yang mengaitkan beliau dan untuk menyumbat beliau dalam penjara, ianya mudah dan mesti dilakukan oleh BN. 

Pertama, ianya tidak berasaskan benar tipunya cerita itu kerana ia bukan nilai yang diambilikira dalam politik, khususnya politik BN/UMNO. 

Kedua, sabitan salah keatas yang didakwa, hanya mencukupi dengan hanya pengakuan orang yang dikatakan diliwat kerana orang itu diistiharkan sebagai  saksi yang boleh dipercayai. 

Ketiga, pencacai-pencacai termasuk pihak yang menjalankan dakwaan tidak akan berhenti selepas sabitan salah ke atas Anwar, mereka terus bekerja bagi menghalalkan keputusan bersalah yang dibuat.

Soalnya sekarang, jika Anwar dibebaskan, mampukah beliau untuk berdiam diri? Saya tidak yakin beliau akan bertindak begitu.

Oleh yang demikian, Anwar hanya akan selamat dari penjara, jika BN/UMNO kalah dalam PRU 14.

Saya tidak yakin BN/UMNO mampu dikalahkan pada PRU 14. Ini satu cabaran kepada Pakatan Harapan.

Selasa, 9 Februari 2016

Kebocoran Maklumat Rasmi Negara Adalah Bermaksud Kebocoran Yang Menjejaskan Kepentingan Negara.




1. Saranan Peguam Negara (PG) untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dengan tujuan mengenakan hukuman yang lebih berat iaitu penjara seumur hidup kepada mereka yang membocorkan rahsia rasmi itu, termasuk kepada penyebar atau mereka yang menyiarkannya/melaporkannya seperti para wartawan mendapat reaksi yang berbeza.
 
2. Dikalangan pimpinan kerajaan sudah tentu menyokong dengan saranan itu. Dikalangan pimpinan pembangkang, sebaliknya, tidak bersetuju.
 
3. Kita maklum dan faham akan reaksi dari dua pihak yang bersaing untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa.
 
4. Dikalangan orang awam, juga mempunyai pandangan yang menyokong dan menentang. Dan sudah tentu secara amnya mereka itu seolah-olah mewakili salah satu dari dua pihak , kerajaan atau pembangkang.
 
5. Tapi mengapa kita harus berbeza sedangkan perkara yang hendak dilindungi dari kebocoran adalah maklumat rasmi negara.
 
6. Rahsia kerajaan perlu dijaga dan tidak boleh dibocorkan. Sesiapapun yang melakukan perbuatan belot ini perlu menerima hukuman. 
 
7. Hukuman penjara seumur hidup seperti yang disaran oleh PG?
 
8. Nanti dulu.
 
9. Yang perlu dan wajib dilihat dan diambil kira ialah apa kah perkara, perbuatan dan maklumat rasmi kerajaan yang apabila di ketahui oleh pihak yang tidak sepatutnya, boleh menjejaskan kepentingan dan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat. 
 
10. Ertinya maklumat itu sama ada dibocorkan atau diperolehi dan dimilikki akan/boleh meletakkan negara dalam keadaan bahaya dan merosakkan negara.
 
11. Tetapi jika perbuatan, perkara ataupun maklumat yang dikatakan 'bocor' itu adalah berkaitan dengan kepentingan individu atau kelompok atau kumpulan seperti perlakuan salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan segala tindakan yang tidak teratur dan menyalahi peraturan dan undang-undang negara termasuk melampaui/menyalahi sistem dan prosedur yang telah ditetapkan demi kepentingan dan faedah peribadi, yang bertentangan dengan kepentingan dan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat maka maklumat yang berkaitan jika diketahui dengan apa cara sekalipun, adalah tidak termasuk perbuatan membocorkan maklumat rasmi kerajaan. 
 
12. Bahkan ianya menjadi satu kewajipan untuk diberi tahu dan disebar luaskan agar tindakan yang sesuai mesti/wajib diambil.
 
13. Dan jika ada mana-mana pihak yang menyembunyikan maklumat tersebut dengan apa cara sekalipun termasuk mengolah dan memutarbelit dan memalsukan, akan perkara dan perbuatan yang boleh menjejaskan kepentingan dan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat, orang yang melakukan sedemikian sama ada bersendirian atau berkumpulan tanpa mengambil kira taraf dan kedudukan, tindakan yang sewajarnya mesti/wajib diambil.
 
14. Oleh itu jika saranan PG dalam rangka yang dinyatakan diatas sebagai asas, saya menyokong 100% kerana perbuatan tersebut yang boleh menjahamkan negara adalah perbuatan pembelot dan penderhaka. Biarlah seumur hidup mereka yang belot ini dihukum penjara. Dan jika hukum sula mahu dikenakan, mungkin boleh difikirkan.
 
15. Tetapi jika selain dari asas diatas, misalnya mahu menjaga kepentingan dan kedudukan seseorang yang berkuasa yang bertentangan dengan kepentingan negara, saya tolak mentah-mentah. Namun saya percaya bukan itu yang PG mahu lakukan. 
 
  

Isnin, 8 Februari 2016

JERITAN HATI INSAN_INSAN CELARU (Buat Rakyat Malaysia Yang Merindui Keadilan)





Ahhhh.......
Pada ketika langit gelap awan mendung
Aku berjalan berpayung walau hujan belum turun
Namun aku melihat halilintar memancar
Dentam dentum guruh dan petir memecah sunyi 
Isyarat hujan dari langit pasti turun
Ahhhh........
Lupakan saja petanda itu
Isyarat itu, kerana aku ada payung untuk berlindung  

Ahad, 7 Februari 2016

2.6, Perkenalkan Diri Kamu.




1. Aku ingin bertanya wahai 2.6 billion ringgit:

i) Dari mana asalmu

ii) Siapakah tuanmu. Berikan nama sebenar

iii) Adakah kau banyak tuan atau ada seorang tuan saja. Berikan nama-nama mereka jika lebih dari satu.

iv) Mengapa kamu berada di rumah orang lain

v) Apa tujuanmu masuk rumah  orang lain

vi) Adakah kamu mendapat izin dari tuan rumah itu sebelum memasukinya.

vii) Berapa lama kamu berada di rumah itu.

viii) Adakah kamu telah dikerat-kerat dan sebahagian dari kamu telah dipindah ke rumah lain.

2. Bagi aku kedudukan kau sekarang seperti halimunan, bersifat ghaib. 

3. Ada orang kata, kau begini. Ada yang kata kau begitu. Ada yang kata kau disana. Ada yang kata, disana dan disini. Mereka sekarang sedang berkelahi hanya kerana kau 2.6 billion. Selagi kau tidak muncul memperkenalkan diri mereka terus berkelahi.

4. Oleh itu jawapan ikhlas dan jujur kamu adalah amat penting sekali bagi ketenteraman negara Malaysia ku yang tercinta ini, dan demi kesejahteraan rakyatnya. Kasihanilah kami, please! 

5. Sekarang ini ramai orang sudah keliru. Bukan saja keliru, ada yang sudah bermusuh-musuhan. Ada yang dahulunya sahabat tapi disebabkan sifat ghaib kau mereka berpatah arang berkerat rotan. Yang aku paling risau dan bimbang ialah permusuhan mereka itu akan mengorbankan nyawa.

6. Sekali lagi aku merayu agar kau segera memperkenalkan diri kamu dan jawap soalan-soalan diatas, tidak banyak hanya 8 saja.

7. Akhirnya aku memohon pertimbangan akal budi dan niat baik kamu agar tidak terpengaruh dengan arahan seseorang supaya hal berkaitan kamu disenyapkan saja atau tidak dibangkitkan kerana jika kau akur dengan arahan itu, kesannya amat buruk sekali kepada negara kami Malaysia dan rakyatnya.

SELAMAT TAHUN BARu CINA




SELAMAT TAHUN BARU CINA semoga ikatan perpaduan bertambah erat.

Sabtu, 6 Februari 2016

Bayaran Dividen TH Bagi Tahun Kewangan Berakhir 2015. Adakah Operasi Bagi Tahun Itu Menjana Keuntungan




Tabung Haji (TH) bayar 5% dividen dan 3% bonus haji. Maka pendepositpun rasa lega kerana sebelum ini ada khabar mengatakan TH mendapat teguran dari BNM tentang simpanan terkumpulnya yang merosot, yang dikaitkan juga dengan pembayaran dividen tahunan.

Syarikat membayar dividen apabila syarikat itu berjaya menjana keuntungan dari operasi. Adakah TH menjana keuntungan dari operasi yang berakhiur pada tahun 2015?

Ada berita mengatakan TH telah mendapat keuntungan sebanyaRM 3.53 juta hasil dari jualan asetnya di UK. Adakah hasil dari jualan aset itu yang membolehkan TH membayar dividen?

Jika benar, adakah penjualan aset merupakan satu cara untuk membolehkan TH bayar dividen.

Atau menggunakan simpanan terkumpul bagi tujuan tersebut?

Oleh itu pengurusan TH wajar telus dengan memberikan kedudukan sebenar kewangan entiti itu dalam satu-satu tahun kewangan. Adakah TH keputusan kewangan menunjukkan TH buat untung dalam operasi tahunannya.

 

 

Khamis, 4 Februari 2016

Jurutera Petroleum: Takkan Nak Jadi Pump Assistant.




Sudah tiga bulan Azman menganggur. Wang pampasan akibat diberhentikan masih lagi berbaki positif. Menurut kiraannya wang itu mampu bertahan selama tiga bulan lagi tanpa aliran wang masuk (cash inflow). 

Dia tidak menukar pola perbelanjaannya seolah-olah dia masih lagi bekerja.

Dia seorang jurutera petroleum yang menjadi buruan banyak syarikat oil and gas. Bahkan dia ada kuasa tawar menawar semasa hadir untuk ditemuga  dalam menentukan gaji , elaun dan berbagai kemudahan. Dan dia ditawarkan satu pakej yang dia sendiri tidak menduga. Waduhhhh , bersyukur aku.

Dia ketawa besar.

Musim mewah selama 10 tahun.

Tiga bulan lepas , dia dan kawan-kawan dalam industri oil gas terpaksa menghadapi realiti. Realiti bahawa mereka tidak sepenting seperti dulu. 

Dunia menghadapi lambakan minyak . Supply mengatasi demand, satu tiori ekonomi yang mengaturkan harga dalam pasaran ekonomi bebas.

Harga minyak menunjukkan graf menurun. Banyak pelantar mencari minyak terpaksa tutup kedai, dan paling baik mengurangkan operasinya.

Syarikat tiada jalan lain selain mengurangkan tenaga kerja. Azman seorang darinya.

Tiga bulan lepas bermula musim kering bagi Azman.

Dahinya berkerut , menampakkan tiga garis melintangi dahinya secara selari dari kiri ke kanan. Tiada ketawa seperti 10 tahun yang lepas.

Bukitpun jika hari-hari ditarah, akan gondol jua, akan menjadi rata. Dan jika berterusan akan menzahirkan lubang. Dan jika lubang semakin mendalam, dia akan terjerumus dalam lubang itu, lemas susah bernafas.

Begitulah Azman umpamakan dirinya sebagai seorang penarah bukit. Bukit itu adalah wang simpanan dalam akaunnya. Jika simpanan itu digunakan tanpa aliran wang masuk, akibatnya buruk. Dia terpaksa berhutang.

Tapi siapa yang sanggup berikannya hutang? Cina Along yang sentiasa mengenakan bunga yang tinggi juga tidak akan sanggup ambil risiko meminjamkan hutang kepada Azman. Sebab dia tidak ada kerja.

Azman tiada jalan lain. Dia mesti membuat kerja yang boleh menjana pendapatan. Dia mahu bekerja sendiri. Dia tidak percaya lagi bermajikan kerana bila-bila masa majikan boleh menendangnya keluar.

Dia tidak kisah dengan pendapatan yang diperolehi nanti lebih kecil dari pendapatannya dulu. Dan dia tahu tidak mungkin pendapatan yang bakal diperolehi nanti dapat menyaingi pendapatannya dahulu. Jauh panggang dari apai.  Yang penting baginya, ada wang masuk dalam akaunnya.

Azman percaya bahawa setiap insan yang dilahirkan ada rezekinya. Allah yang mengaturnya. Rezeki Allah ada dimana-mana. Syaratnya mesti berusaha. 

Dia telah memikirkan beberapa ofsyen kerja. Kerja yang tidak memerlukan modal yang besar, yang dia sendiri mampu melakukan. Antara ofsyen yang telah dibariskan dalam otaknya ialah membuka kelas tusyen, tadika, nursery penjagaan anak kecil dan membuka restoran.

Dia yakin simpanan yang masih ada, dan dengan mendapatkan sedikit sumber pinjaman dari institusi kewangan salah satu ofsyen itu mampu dilaksanakan.

Dia membuat kiraan kos setiap dari ofsyen itu. Besar juga wang yang diperlukan. Dia perlu buat pinjaman.

Pinjaman? Dia mula menggaru kepala. 

No. tiba-tiba otaknya mengarahkan mulutnya berkata no. Entah macam mana, fikirannya berubah tidak mahu meminjam. Dia hanya mahu menggunakan wang simpanannya sendiri.

Bodohnya aku. Buat susah diri sendiri.

Dia ketawa besar. Lebih baik jual nasi kukus di tepi jalan atau di mana-mana spot yang strategik, misalnya dekat kilang atau berhampiran kampus universiti atau berhampiran dengan asrama pelajar.

Itu keputusan muktamad Azman. Tiada lagi ofsyen yang lebih baik dan sesuai untuknya.

Dia perlukan sebuah kenderaan yang diubah suai, peralatan untuk menyediakan makanan seperti kukus,  kuali menggoreng ayam, meja kecil untuk meletakkan barang-barang, serta payung.

Dia tidak mahu beli van. Dia akan gunakan kereta kelisanya. Tempat duduk belakang akan direbahkan dan digunakan untuk menempatkan peralatan termasuk payung. Dia yakin kelisa tidak akan mengecewakannya.

Dia tahu bahawa permit berniaga perlu diperolehi dari majlis tempatan. Lalu Azman segera membuat permohonan.

Permohonannya diluluskan dengan dikenakan bayaran RM 30.00 setahun. Bagi Azman ianya amat murah sekali.

Dia tersenyum menerima kelulusan itu.

Azman ke spot berniaga yang telah diluluskan. Terdapat 6 peniaga payung, dan dia yang ke tujuh.Di hadapan tempat berniaga itu terdapat sebuah stesyen kedai minyak.

Azman tersenyum. Minyak dan Azman tidak mudah dipisahkan.

Jualan nasi kukus Azman laris sekali. Pukul tiga petang, dia mula berkemas untuk balik. Tiba-tiba dia didatangi oleh seseorang.

Awak kena bayar wang RM100 sebulan.

Azman memandang orang itu. Dengan rasa kehairanan dia bertanya siapa orang itu dan mengapa dia kena bayar RM 100 sebulan.

Sesiapa saja yang berniaga di sini kena bayar sebanyak itu, Azman diberitahu.

Azman amat marah. Dia tidak mahu melayan orang itu. Dia terus berkemas dan memasukkan barang dan peralatan ke dalam kelisanya. Dia terus memandu balik.

Esok Azman tidak ke spot itu lagi. Dia tidak mahu berniaga nasi kukus ayam. Dia bertekad untuk membuat sesuatu yang lebih 'thrill'.

Dia berjumpa dengan tuan punya stesyen kedai minyak. Dia berikan kad kerjanya dulu yang memaparkan kelulusan dan jawatannya.

Tuan punya stesyen kedai minyak itu segera memberitahu bahawa dia hanya mahukan pump assistant. Pump assistant tidak memerlukan ijazah kejuruteraan petroleum.

Azman ketawa terkekeh kekeh sambil menepuk pehanya mendengarkan kenyataan 'bodoh' tauke minyak itu. Memanglah, kelulusannya itu tidak sepadan dengan kerja pump assistant. 

Engineer beb, bidang petrolem pula, jerit hati Azman. 

Azman bertanya sama ada tauke itu tahu bahawa sebahagian dari pendapatannya itu ada hak orang lain. Tauke itu mengangguk dengan mengatakan dia juga telah membayar zakat pendapatan.

Azman mengucapkan tahniah kepada tauke itu kerana membayar zakat. 

Dia beritahu tauke itu bahawa dia  datang bukan hendak minta kerja pump assistant. Dia datang untuk menawarkan perkhidmatan melindungi keselamatan tauke itu. Dan tauke pula perlu bayar perkhidmatan yang diberi. Tidak banyak hanya RM3,000 sebulan.

No. Saya tidak perlukan perkhidmatan kamu, tengking tauke itu. Dia sangat marah.

Kita berunding kata Azman, mahu meredakan kemarahan tauke itu.

Tauke itu berkeras tidak mahu menerima perkhidmatan yang ditawarkan Azman. Tauke menuduh Azman mahu melakukan peras ugut, mahu pau. Tauke itu mahu laporkan kepada Polis.

Sabar bang kata Azman. Kita masih boleh berunding, Azman terus memujuk.

Tak mahu. Keluar dari sini, marah tauke itu.

Azman bersetuju untuk keluar. Dia berdiri dan beritahu bahawa pendapatan tauke itu adalah terlalu besar berbanding dengan penjual yang pakai payung berhadapan dengan kedainya. Tapi mereka juga kena pau. Tiap-tiap bulan kena bayar 100 ringgit kepada entah siapa. Yang pasti bukan tuan punya tanah kerana tanah tempat berniaga itu adalah rezab jalan.

Tauke itu tidak ambil pusing kata-kata Azman itu. Dia mahu Azman keluar.

Saya bukan buat kerja pau. Saya tidak peras ugut. Saya mahu tawarkan perkhidmatan keselamatan kepada tuan agar tuan boleh berniaga dengan selesa dan tenang . Tuan boleh dapat untung sambil membantu orang seperti saya yang tiada kerja.

Tuan tahu tak bahawa minyak yang tuan jual ini, dulunya saya diantara orang yang bertanggungjawab mengeluarkannya.

Tauke itu buat tak tahu.

Azman mahu melangkah keluar. Dan sebelum melangkah keluar, dia minta tauke itu bertanyakan penjual makanan yang berpayung itu sama ada benar mereka kena bayar kepada seseorang yang tiada hak menerima wang itu.

Saya hanya mahu menawarkan perkhidmatan. Tuan untung besar. Saya tidak pau. Terima kasih. Ayat-ayat terakhir Azman.
     

 

TIORI RAHMAN BERAKHIR DENGAN TRAJIDI




Selepas Najib, siapa jadi PM?
 
Sudah tentu Zahid yang pada masa ini sebagai Timbalan PM, menurut sebahagian orang terutama penyokong Zahid.
 
Ada yang menunjukkan ibu jari ke bawah tanda tidak setuju, 'no way', kata mereka walaupun tidak memberi sebab mengapa.
 
Mahyudin? Tidak juga.
 
Hisyamuddin? No way.
 
Kalau begitu siapa? Bukan dari UMNO.
 
Semua yang disebutkan diatas adalah ahli UMNO. 
 
Apa salah dengan ahli UMNO.
 
Dalam politik salah benar bukan ukuran. Tidak penting. Ramai orang yang menerima dan percaya begitu, lalu menjadi amalan. 
 
Bagi mereka menjadi PM adalah kerana telah ditakdirkan. Bukan kerana mereka percaya apa yang Allah takdirkan, tapi mempercayai kepada satu TIORI yang dikenali sebagai RAHMAN.
 
Saya rasa ramai orang percaya kepada tiori ini termasuk sebahagian besar dari ahli UMNO dan orang Melayu. Mereka percaya Tiori RAHMAN telah ditakdirkan kepada Malaysia dalam susunatur menjawat jawatan PM. Sebab itu peralihan dari seorang ke seorang untuk menjawat jawatan itu tidak banyak menimbulkan masalah, fikir mereka.

Bermula dengan Tengku Ab. Rahman (R),  diikuti dengan Ab. Razak (A) , kemudian Husein Onn (H) , Mahathir (M) , Abdullah (A) dan Najib (N).

Jika begitu, Najib adalah yang terakhir, sebab ditakdirkan begitu. Lengkap fasa UMNO yang ditakdirkan dibawah tiori RAHMAN.
 
Tapi yang totok tidak bersetuju kerana mereka berpegang kepada sumpah ikrar, dari dulu, kini dan selama-lamanya adalah UMNO.
Sebab itu walaupun ketika ini terdapat dua pihak yang bertentangan tapi masing-masing mengatakan pihak mereka mahu selamatkan UMNO.
 
Lupakan pertelagahan mereka itu. 
 
Mari kita lihat pengisian Tiori RAHMAN ini.
 
Tiori RAHMAN adalah berkaitan dengan orang yang telah ditentukan (takdir ) menjadi PM. Orang-orang inilah yang memandu perjalanan kita ke satu destinasi.

Saya suka melihat mereka sebagai juruterbang yang membawa penumpang ke satu destinasi. Misalnya dari Malaysia ke England.
 
Tengku Ab. Rahman (R) sebagai pilot pertama, memanaskan enjin kapal terbang. Kemudian bergerak perlahan-lahan menuju ke runaway untuk 'take-off'. 

Take-off yang dibuat Tengku itu pada mulanya berjalan dengan lancar dimana roda kapal terbang itu mampu dimasukkan ke dalam badan kapal terbang itu.

Cuaca kurang baik. Tapi Tengku releks saja tanpa memaklumkan keadaan cuaca yang kurang baik itu.
 
Tiba-tiba semua yang berada dalam kapaltrbang menjerit ketakuatan, dan ramai yang muntah kerana kapal terbang itu jatuh beberapa puluh kaki disebabkan melalui 'air pocket'.
 
Ab. Razak (A) sebagai co-pilot segera mengambil alih pengemudian. Maklumat-maklumat tentang cuaca dan apa yang perlu dilakukan oleh penumpang sentiasa diberitahu. Pendek kata semuanya terkini. 
 
Ab. Razak secara berhati-hati dan waspada meneruskan pengemudian dengan had laju yang sesuai dengan paras ketinggian. Akhirnya beliau berjaya mengemudi kapal terbang sehingga berada dalam keadaan stabil dan para pramugari mula bersiap sedia untuk menghidangkan makanan. 
 
Ab. Razak agak mengantuk dan menyerahkan kepada Mahathir kepada Husein (H)  sebelum beliau tidur lena.

Semasa pengemudian Husein, penumpang dihidangkan dengan makanan. Selesai sahaja tempoh hidangan itu , penumpang mula tidur dan Husien pun merasa mengantuk sama dan menyerahkan kepada Mahathir untuk meneruskan perjalanan.
 
Semasa Mahathir mengemudikan semua penumpang berdengkur tidur. Mahathir meningkatkan speed kelajuan kerana jark untu sampai ke destinasi masih lagi jauh. dia tidak sabar untuk cepat mendarat. 
 
Tapi ada diantara anak kapal itu khuatir Mahathir akan keletihan lalu mencadangkan dia menyerahkan ke Abdullah (A) untuk mengambilalih pengemudian. 
 
Mahathir pada mulanya rasa keberatan untuk menyerahkan kepada Abdullah kerana dia tahu Abdullah akan kurangkan kelajuan. Lambatlah sampai ke destinasi. Lagipun Mahathir tahu Abdullah selalu terlelap semasa pemanduan. Ini amat bahaya.
 
Atas nasihat anak-anak kapal yang banyak pengalaman, diserahkanlah juga kepada Abdullah. Tapi Mahathir tidak boleh tidur.
 
Abdullah mahu mengekalkan speed kelajuan Mahathir. Tapi dalam beberapa minit perjalanan dia mengurangkan kelajuan, tambahan lagi telah tiba masa paras tinggi kapal terbang itu di kurangkan.
 
Mahathir merasakan Abdullah memandu terlalu perlahan. Tapi dia telah berjanji tidak akan memandu. Lalu dia minta Abdullah digantikan dengan Najib. 
 
"You are very slow", kata Mahathir menghedrdik Abdullah.
 
Najib ambil alih. Sekarang diperingkat untuk turun bagi tujuan mendarat. Najib meningkatkan kelajuan sama seperti kelajuan Mahathir. Dia mahu cepat sampai.
 
Tapi Najib mengubah laluan yang telah dirancang awal. Dia merasakan laluan baru ini lebih cepat. Mahathir tidak setuju. Maka berebut-berebutlah diantara Mahathir dan Najib untuk mengemudikan kapal terbang itu. Najib yang berjaya dalam rebutan itu kerana sebahagian besar anak-anak kapal sukakan Najib mengendalikannya kerana Najib lebih 'fresh'.
 
Namun begitu ada juga seorang dua anak kapal yang bersetuju dengan laluan asal yang dimahukan Mahathir.
 
Dalam keadaan kelam kabut berebut itu Najib terus memandu dengan laju untuk mendarat. Dia telah mengenepikan arahan dari pihak kawalan udara bagi mengurangkan kelajuan untuk mendarat dengan selamat.
 
Boom bunyi letupan seperti letupan dari senjata C4. Kapal terbang itu terbakar dan berkecai. Tiada seorang yang selamat.
 
 
Maka  pengisian Tiori RAHMAN berakhir dengan trajidi yang menyedihkan.


 

 

 

 

 


Rabu, 3 Februari 2016

RASUAH ADALAH SATU CARA HIDUP.




1. Semua orang tanpa kecuali tidak suka amalan atau perbuatan rasuah.

2. Semua orang tanpa kecuali terlibat atau melakukan rasuah kerana rasuah adalah satu cara hidup manusia.

3. Manusia ada perasaan, nafsu dan kepentingan sebab itu melakukan rasuah.

Saya paparkan 3 kenyataan diatas tentang rasuah. Saya berpegang teguh dengan kenyataan itu. 

Ikutilah paparan dibawah ini:

A, seorang ketua jabatan agensi kerajaan. Ada kuasa dalam mengeluarkan berbagai lesen perniagaan. Dia seorang yang mempunyai keperibadian antara lain baik hati, budiman, sentiasa menghargai kebaikan orang, tidak suka menjatuh air muka seseorang dan sentiasa suka menolong dan membantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan dalam batas yang dibenarkan oleh undang-undang. 

Dia seorang yang takut kepada Allah.

Ciri-ciri yang ada  pada A itu, boleh meyakinkan kita bahawa A itu tidak akan terlibat dalam amalan rasuah. Ciri-ciri itu adalah ciri-ciri anti rasuah atau pendinding dari melakukan rasuah.

Saya kata tidak. Bahkan ciri-ciri yang ada pada A itu menjadi sebab berlakunya rasuah.

Sebagai ketua jabatan dan ada kuasa pula beliau bukan saja dikenali dan mahu didekati oleh ramai orang, bahkan keperibadian beliau itu ramai orang yang suka dan sayang kepadanya.

Dalam beberapa hari lagi, masyarakat Cina akan menyambut hari raya Cina. Limau mandarin antara item yang memeriahkan hari raya Cina.

Kalau kita berurusan dengan kedai Cina, misalnya kedai perkhidmatan tayar bagi menukar tayar, setiap orang yang mendapat perkhidmatan di kedai itu akan diberikan buah limau mandarin sebagai tanpa terima kasih dan penghargaan kerana berurusan dengan kedai mereka.

Pemberian seperti itu, bukan perbuatan rasuah, menurut pendapat awam. Saya juga bersetuju.

Tetapi perbuatan itu adalah satu cara untuk mengikat perasan pelanggan untuk terus berurusan dengan kedai tayar itu. Cara itupun tidak salah dan tidak boleh dikatakan rasuah.

Tapi, perbuatan itu adalah untuk menjaga kepentingan perniagaan kedai itu. Bermakna pemberian limau itu ada kepentingannya. Kepentingan perniagaan kedai Cina itu.

Tapi, ianya masih lagi belum boleh dikatakan rasuah kerana ianya tidak melibatkan kepentingan awam atau orang ramai, yang merugikan. Ianya satu persaingan perniagaan.  

Berbalik kepada A diatas, beliau menghadiri mesyuarat di luar ibupejabat.

Oleh kerana beliau seorang yang amat disayangi kerana keperibadian yang suka menolong orang maka mereka yang telah diluluskan lesen perniagaan merasa besar hati untuk memberikan buah limau mandarin bukan saja kepada A bahkan kepada jabatannya. 

Maka dihantarnya berkotak-kotak limau mandarin itu ke jabatan A untuk diberikan kepada A dan staf jabatannya sebagai tanda ingatan atas perkhidmatan baik penuh mesra dan tanpa kerenah yang telah diberikan.

Adakah itu perbuatan rasuah?

Bagi orang yang memberi, perbuatan itu adalah satu penghargaan.

Dan dari segi yang menerima, ianya bukan satu permintaan. Jika tidak diberipun mereka akan memberi perkhidmatan yang terbaik.

Ertinya kedua-dua pihak mengatakan perbuatan itu bukan rasuah.

Jika pun A, ada di pejabat dia tidak samapai hati untuk menjatuhkan air muka pemberi, lalu menerima pemberian itu. 

Bolehkah perbuatan menerima limau mandarin itu dikatakan rasuah?

Saya katakan perbuatan itu sebagai rasuah walaupun dikatakan sebagai satu penghargaan. Dan walaupun A tidak mahu menjatuh air muka si pemberi.

Sebab, dari segi pandangan awam ianya boleh memberikan imej yang tidak baik kepada jabatan dan warga jabatan termasuk A sebagai Ketua Jabatan.

Saya percaya tiada niat langsung jabatan itu atau A untuk melakukan rasuah. 

Dan saya juga percaya jika A tiada kuasa, pemberi buah limau itu tidak akan memberi buah limau itu walaupun sebaik mana A itu. Tunggu apabila A tiada kuasa atau A bersara, buktinya akan terserlah.

Kesimpulannya, rasuah adalah satu cara hidup.