Theflowersellingboy

Khamis, 31 Disember 2015

SELAMAT TINGGAL TAHUN 2015 dan SELAMAT TAHUN BARU 2016




Nyawa tahun Masehi 2015 akan berakhir pada pukul 12 malam ini, 31 Disember 2015.
 
Seperti tahun-tahun sebelumnya, datangnya kita sambut, kadang-kadang sambutan macam nak gila, tapi perginya dibiarkan begitu saja. Pada hal kita tahu 12 malam ini, 2015 nazak.  Sepatutnya kita bersedih kerana perginya tidak akan kembali. Pergi buat selama-lamanya.
 
Begitulah adat dan adab kita. Zalim sekali.
 
Namun, bukan begitu adat dan adab kita dalam hal tahun Hijiriah. Datangnya kita sambut dengan doa dan perginya pun kita lepaskan dengan doa. Cantik !
 
Cuma satu saja yang menyedihkan iaitu seluruh kehidupan kita adalah berpandukan kepada tahun Masehi.  Ramai diantara kita yang tidak ingatpun atau tahu nama-nama bulan bagi tahun Hijiriah kecuali mungkin bulan Ramadhan dan Syawal.
 
Sedih sekali!
 
Itu cerita nasib tahun Masehi dan tahun Hijiriah.
 
Baik. Saya hendak berbicara sedikit tentang tahun 2015 sebagai mengenang bahawa saya pernah bernafas dalam tahun yang akan meninggalkan kita pada 12.01 pagi nanti. Semoga nafas saya terus bernafas.

Saya mahu beri tema bagi tahun 2015 ini. Cara saya memang ganjil, iaitu undur dari hujung ke pangkal. Benda dah siap, baru muncul tema. Sepatutnya berikan tema dulu, kemudian bergerak bagi merealisasikan tema.
 
Pelik? Apa yang pelik sekarang ini. Warna putih pun kita boleh kata hitam. Dan ada pula yang mengangguk-angguk  bersetuju dengan kita. Bukan saja setuju, bahkan boleh marah orang lain yang mengatakan warna putih itu putih. 
 
Kitapun tersenyum ( sebenarnya nak ketawa terbahak-bahak) sebab ada orang bodoh percayakan pembohongan kita. Kita ada kuasa kot. Dan dia tu nakkan sesuatu dari kita kot? Wallah hu alam. 
 
Berbalik fasal tema tahun 2015. 
 
Latarbelakang saya memberi tema ini adalah dari sifat kepelikan yang mewarnai tahun 2015. Banyak yang pelik-pelik tapi ianya sudah menjadi biasa saja, diterima sebagai satu budaya, satu cara hidup.
 
Oleh itu, dengan penuh yakin dan percaya saya umumkan tema tahun 2015 ialah SERIOUS dan JENAKA KITA RAIKAN BERSAMA.
 
Tahun 2015 adalah tahun yang amat serious. Rakyat Malaysia berwajah serious: mempamirkan watak garang, cepat marah, dahi berkerut, sensitif, agresif, punitif, dan apa saja watak yang ada kaitan dengan perasaan tidak puas hati dan kecewa. 
 
Tapi kita bernasib baik. Kita ada watak-watak badut yang menghiburkan kita, sekurang-kurangnya buat seketika, menceriakan kita walaupun kita tidak suka, tetapi kebadutan mereka  itu membuatkan atau memberi ruang dan peluang kepada kita untuk senyum ketawa, sepontan bantai kebadutan mereka.
 
Kita mampu menzahirkan berbagai jenis ketawa termasuk ketawa yang tidak bersuara (ketawa dalam hati) dan senyum berbagai cara (senyum macam kambing diantaranya) untuk mencerah dan menceriakan sedikit majah kita walaupun seminit dua.
 
Watak-watak badut ini bukan calang-calang orangnya. Mereka itu adalah Menteri dan Timbalan Menteri sebuah negara, iaitu negara Malaysia tercinta. 
 
Pada gerak pertama hati kita, kita tidak percaya dan mahu percaya mereka mampu melakukan kebadutan itu. Tetapi telinga kita dan mata kita adalah saksi yang tidak tahu bercakap bohong. Apa yang didengar, itulah yang dirakam. Apa yang dilihat, itulah yang digambarkan.
 tetapa keb
 
Kalau tidak percaya, cuba replay, ulang main. Saya akan lakukan.

Wajah rakyat menjadi serious sehingga melahirkan perasan marah disebabkan tekanan dalam sebuah kehidupan dalam sebuah negara yang kaya. 

Pelik bukan. Negara kaya rakyat tertekan. Ertinya hidup susah dalam sebuah negara yang kaya. Mana ghaibnya kekayaan itu? Pelik!

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan tiada penghujung. Nilai wang merudum berterusan. Bantuan bagi mengurangkan tekanan yang disebut sebagai subsidi pula dihapuskan. 
 
Wajah sudah mencuka, dikenakan cukai yang tiada siapa yang dapat elak : miskin , papa kedana, kaya mewah, sempurna, cacat , lelaki, perempuan, tua, muda, dewasa , iaitu selagi ianya manusia bernyawa dan menjadi pengguna tetap kena bayar cukai 'Ganas Seksa Teranianya' (GST).
 
Dalam kecukaan wajah rakyat itu, muncullah badut-badut buat lawak dengan harapan cuka itu sekurang-kurangnya jadi kicap penaik selera.
 
Maka disusun ayat-ayat berikut oleh sang-sang badut itu:
 
"Ayam dan ikan atau daging itu sama. Kalau tiada ayam, ganti dengan ikan", seorang badut memulakan lawak jenaka apabila rakyat yang mencuka menyergah marah kerana harga ayam meningkat tinggi, dan memohon diusahakan menurut kuasa yang ada agar harga ayam itu tetap sama.

"Makan lah ikan atau daging", dengan bangga si badut mencadangkan kerana percaya itulah cadangan yang terbaik. Maka rakyat yang muka sudah serious itu naik marah kerana perkara yang begitu serious itu, si badut boleh saja ambil rengan, tidak mahu berfikir panjang.

"Tokak kau ni macam mano. Ayam raso lain, ikan raso lain. Apo punya bighal kau ni".

Habis saja melepaskan geram, rakyat yang serious itu ketawa terbahak-bahak kerana bukan senang untuk menggelarkan sibadut itu bighal. Silap-silap didakwa dibawah Akta Hasutan kerana menghasut.

Ok. Cukuplah satu contoh kebadutan diantara banyak lagi kebadutan yang mewarnai tahun 2015 yang wajar kita kenang sebagai menyatakan selamat tinggal tahun 2015.  Jangan dibiarkan tahun 2015 berlalu tanpa kenangan -pahit atau manis. 

YANG PAHITNYA (kos sara hidup yang tinggi dan membebankan) membuatkan wajah kita jadi SERIOUS. Tapi kita bernasib kerana mampu senyum dan ketawa kerana kita mempunyai BADUT-BADUT yang menghiburkan kita semua dengan mempamirkan kelakuan dan menzahirkan ayat-ayat bersifat kebadutan.
 
Kita rasa pelik, kemudian kita suka kerana dapat juga peluang untuk bantai badut-badut itu. 
 
Selamat Tinggal Tahun 2015 dan selamat datang tahun 2016. Harapan kita tiada lagi watak-watak badut pada tahun 2016. Tapi, jika badut-badut itu masih lagi diatas pentas yang sama, kita jangan putus harap atau putus asa, teruskan bantaian kita ke atas badut-badut itu sebab kita berada dalam sebuah negara kaya, mengapa pulak kita hidup tertekan dan ditekan.
 
Kita berhak mendapat keadilan.
 
Dengar dan ikutlah Pesan Anwar Ibrahim dalam menyambut tahun 2016:
 
SELAMAT TAHUN BARU 2016
"JANGAN PUTUS ASA"
TERUSKAN SEMANGAT PERJUANGAN
MENEGAK KEADILAN.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

Rabu, 30 Disember 2015

Waduh, mana bisa begitu.




Saya lihat semacam berlaku perubahan nilai dalam masyarakat kita malaysia yang lebih cenderung kepada perlakuan ( perkataan dan perbuatan sama ada secara langsung atau melalui berbagai media siaran) yang bersifat negatif, kurang utama dan yang remeh-temeh. 
 
Dan , peliknya dalam masa yang sama, beriya-iya mahu memperjuang dan mempertahankan perlakuan bersifat positif. 

Adakah masyarakat kita hipokrit?

Saya tidak mahu gunakan label itu.

Mengapa jadi begini? Saya bertanya untuk mencari jawapan.

Jawapan yang mudah dan segera yang boleh saya fikirkan ialah kerana kita semua adalah manusia. Manusia adalah lemah dan tidak sunyi dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tapi saya tidak setuju jawapan seperti itu. 
 
Itu jawapan bertujuan untuk melarikan diri dari pertanggungjawaban sebagai manusia yang diberi akal oleh Allah. Jika jawapan itu diterima oleh masyarakat, masyarakat akan hancur. Negara akan hancur. Peradaban akan hancur.

Kiamat sudah hampir?

Saya tidak mahu bicara dari sudut itu, kerana ilmu dalam bidang itu tiada langsung.

Jadi apa jawapan yang boleh diyakini?

Sebelum menjawab, adalah lebih baik diberikan contoh apakah perbuatan yang bersifat negatif yang sudah semacam diterima atau sekurang-kurangya dibiarkan begitu saja.

Terlalu banyak contoh. Tapi dalam bicara yang pendek ini saya hanya beri dua contoh:

i) mereka yang bercakap benar yang melakukan perintah Allah agar menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran/kebatilan akan mendapat tentangan dari sebilangan besar masyarakat.

ii) membesar-besarkan kesalahan yang kecil berbanding kesalahan yang besar.
 
Contoh (i) diatas, saya kira sekarang ini mudah saja diketengahkan. Ia sudah ramai yang maklum. Saya tidak perlu ulangsebut kerana saya juga telah banyak kali berbicara tentang hal itu.
 
Saya mahu berbicara sedikit lebih tentang (ii).
 
Jangan silap, saya tidak mempertahankan mereka yang buat salah, sama ada salah kecil mahupun salah besar. Tindakan mesti diambil. 
 
Tetapi saya agak terkilan apabila salah kecil itu sudah menjadi fokus dan keutamaan bagi mana-mana agensi penguatkuasa untuk mengambil tindakan. Maka dihebuh-hebuhkan di media massa akan kesalahan kecil itu, dan tindakan yang akan diambil serta menyatakan hukuman yang akan ditanggung jika pelaku yang didakwa itu sabit kesalahannya, misalnya hukuman penjara 20 tahun.
 
Bagi saya, tindakan mesti diambil, sama ada kesalahan kecil mahu pun besar. Dan dalam memilih untuk memaklumkan kepada orang ramai , sudah tentu kesalahan yang besar itu didahulukan dan disebar luas berbanding dengan kesalahan kecil. Dan seterusnya tindakan segera diambil dengan hukuman yang berat berbanding kesalahan kecil.
 
Dalam mengkategorikan kesalahan, besar atau kecil, saya tidak berpandu kepada mana-mana tafsiran undang-undang. Saya hanya melihat dari sudut kesan dan akibat kemudaratannya kepada pelaku, masyarakat, negara dan peradaban manusia.
 
Saya beri contoh. Seorang anggota penguatkuasa berpangkat rendah mengambil suapan (rasuah) sebanyak RM 5; dan seorang menteri mengambil suapan (rasuah) sebanyak RM 26 juta.
 
Kedua-dua yang terlibat perlu diambil tindakan, tidak kira kecil atau besarnya nilai suapan.  Dan jika mahu dimaklumkan kepada orang ramai untuk dijadikan iktibar, fokus hebahan sewajarnya diberikan kepada kes menteri yang didakwa mengambil rasuah 26 juta itu berbanding dengan kes suapan RM5 penguatkuasa berpangkat rendah.

Fokus hebahan itu termasuk kekerapan memberitahu/memaklumkan dan liputan oleh berbagai media siaran. Dan dalam menilai prestasi jabatan/pegawai, kes yang bernilai tinggi itu perlu diberikan kewajaran yang tinggi (weightage) jika ianya dapat segera diselesaikan. 
 
Begitu juga dalam penggunaan data/statistik kes. Kemudaratan kes bukan dinilai dari segi kuantitinya.  Sudah tentu bilangan kes kesalahan yang kecil mempunyai pelakunya melebihi kes kesalahan yang besar.
 
Logiknya, orang susah dan berpendapatan rendah lebih ramai berbanding dengan orang kaya. Apatah lagi dalam himpitan kos sara hidup yang tinggi. 
 
Apa yang berlaku di negara kita?
 
Semua orang boleh lihat dan maklum apa yang berlaku di negara kita.
 
Kes kesalahan kecil dan statistik kes sentiasa dihebuh-hebuhkan sebagai satu petanda aras bahawa agensi berkaitan telah memberi fokus yang serious dalam membenteras perbuatan keji itu, seolah-olah satu kejayaan dalam menjalankan tanggungjawab. 
 
Maka dibentangkanlah jumlah penjawat awam, yang sebahagian besarnya berpangkat rendah, yang telah diambil tindakan. Kes yang besar, jarang sekali diberikan perhatian. Amat kecewa sekali.

Satu lagi contoh ialah berkaitan dengan sijil cuti sakit yang di berikan dan diperolehi bukan kerana sakit. Ertinya perbuatan menipu dipihak penerima dan yang mengeluarkan sijil.
 
Perbuatan ini salah. Tindakan wajar diambil.
 
Namun begitu, kesan mudarat kes ini tidaklah seteruk penipuan dan penyalahgunaan wang berjuta-juta ringgit oleh pihak yang ada kuasa tetapi menyalahgunakan kuasa.
 
Tetapi dalam kes sijil sakit tadi, ada juga keadaan yang menyebabkan sijil itu diperlukan bagi mereka yang dalam kesempitan dan terdesak.
 
Contoh. Seseorang yang telah habis cuti tahunannya. Kemudian orang itu menghadapi masalah apabila nursery tempat dia menghantar anaknya tiba-tiba tutup. Tutup, kerana Selangor menang bola.

Siapa yang akan menjaga anak kecilnya? Dia ada pilihan iaitu dia sendiri jaga di rumah atau bawa anak kecil itu ke tempat bertugas. Sudah tentu dia memilih untuk menjaga anak di rumah. Dia hanya boleh berbuat demikian hanya dengan sokongan sijil cuti sakit untuk diberikan kepada majikan, sedangkan dia tidak sakit.
 
Salahkah dia buat begitu sedangkan dia dalam keadaan terpaksa? 
 
Jawab saya , salah. Dia ada satu cara lagi iaitu dengan meminta cuti tanpa gaji.
 
Tapi, tidakkah itu membebankan dia? Sudah tentu menyiksakan hidup orang itu.
 
Besar kah kesalahan kes seperti ini berbanding penipuan berjuta dan ada yang berbilion ringgit?
 
Oleh itu kes sijil cuti sakit ini tidak perlu di hebuh dan disiarkan seolah-olah ianya terlalu memudaratkan berbanding dengan kes penipuan dan rasuah berjuta, bilion ringgit.
 
Sebahagian besar dari kita bersetuju bahawa kes penipuan yang besar itu adalah lebih memudarat dan merosakkan diri, masyarakat dan negara.
 
Tapi, peliknya ada pihak dan orang yang mempertahankan kes penipuan dan salah gunakuasa yang melibatkan juta bilion ringgit. 
 
Mengapa? 
 
Ada yang menjawab:
 
Saya manusia biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesalahan. Berilah peluang kedua kepada saya.
 
Ada juga yang menjawab:
 
Maafkanlah dia kerana dia orang kita, sebangsa dan seagama, dan banyak jasa dan tolong kita. Lagipun apa buktinya jika kita tidak berjaya membawa 4 orang saksi.
 
"Waduh, mana bisa begitu", kata budak Indon.

Jadi jawapan kepada persoalan perubahan nilai masyarakat Malaysia yang cenderung kepada perlakuan bersifat negatif adalah disebabkan 'demi perut' dan 'kemewahan'. Kuasa adalah penting dan mempertahankan orang yang berkuasa juga adalah penting.

 
 

Selasa, 29 Disember 2015

KOS SARA HIDUP YANG MEMBEBANKAN: Jangan Marah Kepada Mereka, Sebab Kita Juga Bersubahat Dengan Mereka.




Sudah hampir seminggu tidak berkomunikasi melalui blog ini. Laptop buat hal. Semalam ke kedai komputer , hendak tahu apa problem laptop tua ni.

"Abang , dia punya adapter rosaklah", beritahu peniaga Cina kedai komputer itu.

Jadi terpaksa beli adapter yang baru. Kena RM120.00. 

Sebelum buat keputusan beli adapter baru, ada juga angan-angan nak beli laptop yang baru. Setelah diberitahu oleh peniaga tadi bahawa harga paling murah kurang lebih RM1,200.00, matilah angan-angan itu secara otomatik. Lalu bersetuju beli adapter. Laptop tua masih lagi terpaksa menyambung khidmatnya.

"Nak mampus. Nak makan batu dan pasir",jerit hati yang tidak bersuara yang memberhentikan angan-angan nak beli laptop baru.

Begitulah keluhan saya. Begitulah juga keluhan ramai orang. Tapi keluhan kita berbeza. 

Keluhan saya dan keluhan mereka yang tiada kerja, atau yang telah diberhentikan kerja, atau yang pendapatan hanya mampu makan seadanya, yang miskin dan papa kedana adalah amat berbeza sekali.

Saya mengeluh kerana tidak mampu membeli laptop baru tapi mampu membeli adapter. Bagaimana orang-orang yang disebutkan tadi?

Mereka diatas tu, nak makan pun susah. Nak beli adapter atau komputer? 

Mereka tidak pernah bermimpi atau berangan-angan bagi item mewah tapi perlu dalam zaman serba mencabar ini. Mereka perlu isu perut terlebih dahulu termasuk perut dibawah tanggungan mereka, ala kadar saja.

Namun begitu antara saya dan mereka ada satu persamaan. Mereka mengeluh dan saya mengeluh atas bebanan kos sara hidup yang tinggi. Harga barang dan perkhidmatan yang meningkat semacam tidak tahu untuk berhenti.

Sebab itu saya mengeluh. Sebab itu mereka mengeluh. Cuma saya mempunyai pilihan lebih baik dari mereka. 

Saya buat penyesuaian dengan mengubah cara hidup iaitu dari membeli laptop baru kepada hanya tukar adapter dan gunakan laptop yang terlalu tua usianya. Tak mengapa.

Mereka tiada pilihan. Tiada langsung ruang pilihan untuk menghadapi beban kos sara hidup yang tinggi.

Jadi keluhan mereka amat mengharukan hati. Keluhan saya pula adalah terbit dari pertanyaan 'mengapa dalam sebuah negara yang kaya, kita terpaksa menghadapi kehidupan yang amat menyempitkan'?

Saya faham tidak semua orang yang mengeluh dengan kos sara hidup yang tinggi ini. Tidak ada keluh kesah bagi mereka. 

Dan dengan sebab itu ada diantara mereka yang memberi nasihat dan saranan kepada yang keluh kesah ini agar berusaha lebih bagi menambah pendapatan dan menjimatkan kos belanja hidup dengan cara: 

i) tanam sayur/bela ternakan sendiri

ii) tukar selera makan dari ayam ke ikan/daging jika harga ayam mahal atau sebaliknya. 

iii) bangun awal bagi mengelak kesesakan lalulintas ke tempat bekerja dan ikut jalan tidak bertol.

iv) tinggalkan bandar yang kos hidupnya tinggi dan balik kampong tanam jagung.

Dan dua tiga hari yang lepas ini telah dimasyurkan dan menjadi viral saranan agar orang yang keliuh kesah kenaikan kos sara hidup itu bekerja lebih dari satu kerja, dan jangka masa kerja ditambah dari sebelumnya.

Siapa mereka yang buat saranan-saranan diatas?

Sebelum menjawab siapa mereka itu, biarlah kita mengambil sikap bahawa saranan mereka atas niat yang baik. Mencadangkan menambah pendapatan dan menjimatkan perbelanjaan tidak wajar dimasukkan ke dalam kategori berniat jahat. Apatah lagi yang buat cadangan itu bukan calang-calang orang dan kedudukan mereka. Mereka adalah pemegang amanah untuk memberi perkhidmatan bagi kemakmuran negara dan kesenangan hidup rakyat.

Mereka itu adalah menteri. Paling rendah kedudukan mereka adalah sebagai timbalan menteri.

Sebab itu perlu apa mereka mengeluh dengan kenaikan kos sara hidup. 

Subsidi minyak hapus, tidak memberi kesan kepada mereka. Harga kereta naik, tak ada hal. Khidmat penyelenggaraan kereta naik dan harga alat ganti naik, tambah-tambah dengan GST, mereka tidak ambil 'pot'. Harga makanan dan pakaian naik, tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.

Sebab, sebahagian besar kehidupan mereka termasuk berhibur dan bercuti adalah ditanggung oleh kekayaan negara. 

Jangan tanya mengapa? Sebab itu upah mereka sebagai menteri dan timbalan menteri.

Yang kita mesti dan wajib tanya, 'mengapa hidup sebahagian besar rakyat terlalu terbeban dan jurang agihan sumber negara kita yang kaya ini terlalu amat besar diantara kita dan mereka'?

Ertinya kita telah meragui keikhlasan mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang telah kita amanahkan kepada mereka.

Sebab itulah jalan mudah yang mereka ambil sebagai tanda kononnya mereka ikhlas memberi khidmat ialah dengan membuat cadangan-cadangan seperti diatas yang semua orang mudah faham, tapi tidak menyelesaikan masalah. Dan bukan juga saranan yang kita mahu sesuai dengan tanggungjawab sebagai menteri/timbalan menteri.

Cadangan-cadangan yang mereka buat itu, ada kemungkinan berasaskan kepercayaan mereka bahawa itulah yang kita mampu faham sebab kita tidak punya kemampuan untuk berfikir selain dari itu. Mereka anggap kita 'bodoh'.

Jangan marah jika itu yang ada dalam otak kepala menteri/timbalan menteri itu terhadap kemampuan berfikir kita. Sebab, mereka ada terlalu banyak bukti tentang kebodohan kita dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya.

Semenjak merdeka, iaitu dari dulu sehingga sekarang, kita menjadikan mereka sebagai kerajaan memerintah negara ini. Pada hal berbagai kerosakan yang telah dan sedang dilakukan terpampang dimata kita, dan kita sendiri telah merasakan perit derita yang menimpa kita.

Akan datang saya khuatir pada PRU 14, kita akan melakukan perkara yang sama. Kemudian kita maki hamun, marah tak tentu arah. Jika itu berlaku, sahlah bahawa kita ini BODOH. 
Jangan marah kerosakan yang mereka lakukan kerana kita juga bersubahat dengan mereka.




Isnin, 21 Disember 2015

Siapa Suka Kenen Untuk Menang PRU 14.





Najib kawan Hadi , UMNO kawan PAS
Najib berbudi, Hadi mesti balas.

Hahahaha pantun politik, bergurau jer, sempena salam persahabatan yang dihulurkan oleh Najib pada Hadi. Satu perkembangan yang sudah terang lagi bersuluh walaupun ada juga dikalangan pimpinan PAS yang cuba memberi gambaran yang sebaliknya.

Hahahaha........ saya ketawa juga dengan gelagat Najib dan Hadi ini. Ada drama yang dipentaskan? Atau saja mereka ini suka bergurau senda apabila bertemu muka?

Itu dia orang punya fasal. Nak berdrama  atau bergurau senda adalah hak mereka. Mengapa pula saya perlu ambil sibuk. 

Betul , apa perlu saya jadi busy body. Lantak mereka lah. 

Najib Pengerusi BN
Hadi presiden PAS
Najib cuba kenen
Hadi sudah kena kipas

Hahahahahahaha.......saya menyibuk lagi fasal Najib , BN dan Hadi dengan PASnya.

Ya lah, Najib bukan kah Pengerusi BN......barisan nasional. Sudah tentu sebagai satu barisan ianya terdiri lebih   dari satu tiang...UMNO, MCA. MIC, Gerakan.....banyak lagi di Sabah dan Sarawak...dengar khabar ada empat belas tiang. Oleh itu bila sebut Najib yang lain tidak boleh dipinggirkan. 

Najib suka kenen. 

Oh lupa saya nak terang sedikit tentang perkataan dan perbuatan kenen ini. Mungkin ada yang belum dengar perkataan ini, dan mungkin ada yang telah dengar tapi mempunyai fahaman yang berbeza dari apa yang saya mahu maksudkan.

Kenen ini adalah satu perbuatan mengurat oleh lelaki, biasanya anak kecil terhadap kawan perempuan yang sepermainan.

Satu lagi makna kenen ialah maknanya mengurat atau mahu mengenakan seseorang, tetapi tidak dilakukan secara langsung terhadap orang itu, hanya 'dikenenkan' saja, yang kadang-kadang boleh menimbul salah faham atau orang yang cuba di urat itu atau dikenakan itu tidak faham.

Itu maksud perkataan kenen yang saya gunakan. Mungkin berbeza dengan orang lain.

Baik. Berbalik cerita Najib yang suka kenen itu. Dia kenen Hadi. 

Adakah Najib mengurat Hadi? Mengurat secara langsung, terang terang, bersemuka, mata bertentang mata dan badan berpeluk dapat dirasa. 

Apa yang banyak orang lihat, yang banyak orang dengar, Najib sebagai  seorang yang sifatnya 'gentleman' (pengakuan Najib sendiri) mengurat Hadi secara berdepan, tidak ada selindung-selindung.

Najib menggunakan pendekatan kenen yang pertama.

Oleh itu Hadi tidak boleh mengelak kerana Najib terang-terang cakap dia sukakan Hadi.

Adakah Hadi tersipu-sipu macam anak dara sunti? Nampaknya, Hadi berbesar hati kerana ada juga pihak lain yang sudi menguratnya walaupun sudah berpisah dengan satu pihak yang lain. Ertinya Hadi masih laku lagi.

Semasa Najib kenen itu maka terzahirlah berbagai kata-kata penyatuan dan perpaduan atas nama bangsa dan agama diluahkan oleh Najib, siap dengan ayat al-Quran yang memang menjadi basahan kepada si Hadi dalam kehidupan hariannya.

Pandai sungguh Najib kenen. Dia tahu itulah yang Hadi suka, perpaduan beralaskan nas al-quran. Ini bukan kali pertama Najib melembutkan hati (mungkin mencairkan lebih tepat) Hadi.

Takkan kita lupa fasal Hudud. 

Hadi adalah pejuang Hudud. "Hukum Allah mesti dilaksanakan", begitulah kurang lebih Hadi akan beritahu kepada sesiapa saja termasuk Najib.

"Kita sokong, tidak jadi masalah. Kita tubuh Jawatankuasa Teknikal untuk membincangkan Hudud. PAS boleh bentang rang undang-undang Hudud di DUN lepas itu bawa dan bentang di Parlimen. Kita akan sokong", begitulah maksud yang telah diberitahu kepada Hadi.

Hadipun amat teruja, lalu memasukkan Rang-rang Undang yang dimaksudkan untuk dibentang di Parlimen. 

Apa telah jadi? Semua sudah tahu.

Najib juga lakukan kenen kategori no dua iaitu mengenakan orang/pihak lain. Dan hasilnya lumayan.

Hudud dan tawaran Najib menyokong Hudud yang diperjuangkan oleh PAS, sebenarnya untuk Najib kenen PR (mengenakan Pakatan Rakyat).

Najib tahu, DAP (kawan PAS dan PKR dalam PR dulu) amat sangat tidak setuju dengan Hudud. Jadi laga-lagakan DAP dan PAS dengan menggunakan Hudud sebab Najib tahu kedua-dua PAS dan DAP tidak akan berganjak dari pendirian masing-masing tentang Hudud.

Maka bercerai berailah DAP dan PAS. Najib senyum lebar.

Najib juga tahu, Rang Undang-Undang itu tidak akan dapat dibentangkan di Parlimen dengan meletakkan rang tersebut di kedudukan terakhir dalam senarai urusan parlimen, menggunakan alasan bahawa urusan kerajaan adalah menjadi keutamaan.

Bukan itu saja, Najib tahu bahawa ahli-ahli dalam BN iaitu MCA, MIC , Gerakan dan parti-parti dari Sabah dab Sarawak tidak akan menyokong rang itu. Jadi jika dibentangkan juga, ianya tidak akan boleh diluluskan kerana tidak cukup suara yang menyokong walaupun UMNO menyokong.

Lihat pandainya Najib kenen. 

Kenen persahabtan ini juga, bukan saja bertujuan untuk mengurat PAS bahkan untuk mengenakan pihak lain.

Ketika ini PAS masih lagi berkawan dengan PKR. Kerajaan Selangor adalah bukti yang jelas tentang kerjasama itu.

Mungkinkah PKR dan PAS akan berpisah jika salam persahabatan Najib kepada Hadi ini disambut dengan baik oleh Hadi?

Lihat sikap dan pegangan PKR. PKR berkawan dengan semua untuk menjatuhkan UMNO/BN. Sebab itu walaupun PAS telah bermusuh dengan DAP yang juga kawan PKR, PAS masih diterima sebagai kawan.

Bagaimana pula jika PAS berkawan dengan UMNO/BN musuh yang hendak ditumbangkan oleh PKR?

Nampak gaya, melihat pendirian PAS yang selalu berubah-ubah, dan sikap serta perbuatan yang dipamirkan oleh HADI, rasanya salam persahabatan Najib itu akan disambut baik oleh Hadi.

Hadi adalah presiden PAS. Apa yang dilakukan atau yang dimahukan oleh Hadi akan mendapat akuran PAS, atas dasar walaq. Ertinya Hadi dan PAS akan menerima pelawaan Najib/UMNO menjalinkan persahabatan demi bangsa dan agama.

PKR bagaimana reaksi kamu? Jika masih tegar dengan hasrat nak tumbang UMNO/BN, nampak gaya PKR kena berpisah dengan PAS.

Najib bertambah lebar senyumnya. PRU 14 harapan menang sungguh cerah.

Khamis, 17 Disember 2015

Terlalu Banyak Masalah Negara Yang Saya Fikirkan Melainkan Bagaimana Nak Jadi PM.




Badan saya cukup letih selepas melakukan rutin harian. Tapi keletihan itu bukan ubat yang mujarrab untuk memudahkan saya tidur walaupun berbaring diatas katil bertilam empok dalam bilik berhawa dingin. Banyak perkara yang difikirkan.

Woii fikir masalah negara ker? Saya tanya. 
 
Sudah tentu, macam-macam masalah yang melanda negara! Saya jawab.
 
Kemudian saya tersenyum kerana dapat menjawab soalan  yang berat. Saya bangga kerana saya mampu menjawab soalan yang ditanya walaupun sendiri tanya sendiri jawab.
 
Tidak seperti seorang kawan saya.
 
Saya teringat, seorang kawan baik , ada kedudukan, yang apabila ditanya berapa usianya lalu dengan cepat dia menjawab dia masih muda lagi, belum tua.
 
Teruk betul kawan saya itu, lain yang ditanya , lain pula yang dia jawab.
 
Saya bukan begitu.
 
Apa masalah negara yang saya fikirkan?
 
Macam-macam. Saya percaya semua orang fikir masalah yang dihadapi negara ketika ini. 
 
Cuma mungkin berbeza dari segi bilangan, kesan pada diri secara emosional, mental dan fizikal.
 
Kesan yang dihadapi itu menzahirkan berbagai reaksi. Ada yang memberitahu kepada kerajaan atau penguasa untuk segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah. 
 
Ada yang memilih untuk berdiam diri, ada pula yang merajuk rasa kesal dan kecewa kerana budi dibalas duri. Mereka ini golongan yang pasif, lebih banyak menyimpan dalam hati. Mungkin dalam hati berkata, 'nantilah, bila sampai masanya....'.

Kelompok berdiam diri ini memberi risiko kepada kesinambungan kerajaan yang ada.  Fikir saya.
 
Ada juga golongan yang redha, senang susah berserah saja kepada Allah. Mereka tidak memberi risiko yang besar kepada kesimbungan kerajaan. Fikir saya lagi.

Dua kelompok paling jelas duduk berdiri mereka. Bersifat agresif, taksub dan kadang-kadang membabi buta, emosi mengatasi rasional, kebencian mengatasi kasih sayang, saling menuding jari buat fitnah mencari kesalahan. Mereka ini totok dan pekat.
 
Dua golongan yang bertentangan ini menganut falsafah membujur lalu, melintang patah.
 
Mereka ini penyokong tegar kerajaan disatu pihak, dan penentang kerajaan yang sebahagian besarnya menyebelahi pembangkang. 

Kedua-dua kelompok ini bersifat dan bertindak agresisf dalam mempertahankan pihak yang disokong. Itu kata saya, setelah berfikir agak lama.
 
Jadi apa masalah negara yang saya fikirkan? 
 
i) Adakah kos sara hidup yang tinggi
ii) GST yang membebankan
iii) Penghapusan berbagai subsidi
iv) Hutang negara yang terlalu tinggi yang mencapai RM 700 billion
v) Salah urus 1MDB seperti yang didakwa banyak pihak dan derma kepada akaun peribadi PM 2.6 billion
vi) Kenaikan bayaran lebuhraya bertol 
vii) Kenaikan tambang pengangkutan

Ya , semua itu saya fikirkan kerana saya juga terkesan secara negatif dan terbeban.

Namun saya juga fikirkan mengapa ada pihak yang juga terkesan dan tahu kedudukan sebenar  yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran tidak mahu bersama-sama mengatasi masalah yang dihadapi. Bahkan mereka mengatakan masalah-masalah itu sengaja diada-adakan sebagai satu pembohongan dan fitnah.
 
Ohh mereka ini adalah pimpinan kerajaan dan penyokong kerajaan. Mereka ada kepentingan iaitu kepentingan untuk kelangsungan. Itu kata hati saya yang disokong oleh fikiran yang rasional.
 
Cara macam itu untuk kelangsungan? Tanya saya. Kelangsungan peribadi atau kerajaan? Saya tanya selepas berfikir.
 
Bukankah dikalangan penyokong ada juga yang mengeluh dan marah?
 
Betul, tapi pimpinan kerajaan melihatnya sebagai golongan yang kecil, kes terpencil.  Fikir saya menelah fikiran kerajaan.
 
Adakah yang menyokong lebih ramai? Tanya saya, setelah berfikir sejenak.
 
Dari apa yang dipertontonkan, kelihatan yang menyokong lebih ramai. Mata saya tidak silap melihatnya. Cuma ada juga sampai ke telinga bahawa tidak kurang juga yang takut untuk bergambar, tunjuk diri.

Lantaklah! 
 
Saya menyerah kalah buat seketika, malas hendak berfikir mengapa jadi sedemikian rupa. Sebab dikalangan pimpinan kerajaan itu bukan calang-calang orang dari segi ilmu, kepakaran dan agamanya. Takkan mereka tidak boleh berfikir, salah benar dan dosa pahala. Untung rugi kepada rakyat dan negara, termasuk diri sendiri. Takkan untung rugi itu diukur dari segi mengumpul harta dan wang tanpa ambil kira bagaimana dan cara mana wang dan harta itu dikumpulkan.
 
Lantaklah!
 
Fikiran saya menjenguk pembangkang pula. Pembangkang dan mereka yang sealiran , bertindak secara agresif termasuk cabar mencabar dalam mahkamah. Ada yang mencabar  untuk berdebat. Berdemonstrasi dan mengadakan berbagai perhimpunan lain dalam bentuk ceramah dan majlis penerangan adalah juga pilihan pembangkang.
 
Saya fikir apa yang dilakukan dan yang diusahakan oleh pembangkang tidak mampu untuk mengambil kerajaan yang ada pada PRU 14. Sebab mereka juga bercakaran dan tidak tahu pendekatan terbaik cara mana untuk memilih satu pakatan yang bersatu. Nampak gaya ada 2 pakatan pembangkang. Atau boleh saya panggil  2 dalam 1 atau 1 dalam 2. Pelik , pening kepala saya fikirkan.  
 
Jadi masalah-masalah yang dihadapi negara ketika ini akan berterusan kerana kerajaan yang sama tidak mudah disingkirkan bahkan akan kekal berterusan. PRU 14 akan datang, kerajaan yang ada tetap menang kerana:
 
i) Pembangkang berangan-angan mahu menang tapi tidak bersatu
 
ii) Kerajaan yang ada tidak menjawab soalan atas isu yang berbangkit. Ertinya kerajaan tidak fokus dan beri keutamaan dalam hal yang dibangkitkan. Lain yang ditanya , lain yang dijawab.
 
Banyak contoh seperti, 
 
a) Mengapa tol lebuh raya naik? 
Kerajaan jawab: Anda semua mesti bangun awal , ikut jalan tiada tol. 
 
b) Mengapa harga ayam naik? 
Jangan makan ayam , makan ikan, dan 
 
c)  Saya tidak guna wang itu untuk kepentingan diri - jawapan kepada soalan benarkah wang itu masuk dalam akaun peribadi anda.
 
Sakit kepala saya dibuatnya. Tidak berbaloi fikirkan jawapan-jawapan seperti itu.
 
Akhirnya setelah berfikir sakan, saya dapat jawapan bagaimana cara untuk berdepan dengan masalah yang dihadapi negara sekarang ini.
 
Bagaimana?
 
Caranya ialah dengan saya jadi Perdana Menteri. Sebab saya akan menjawab apa yang ditanya, tidak seperti kerajaan sekarang. Juga sebab saya tidak buat musuh dengan kerajaan dan juga pembangkang.
 
Hahahaha saya sudah ada jawapan cara untuk menyelesaikan masalah negara, setelah jenuh berfikir.
 
Tapi macam mana boleh jadi PM? Saya tanya.
 
Oh tidak, saya tidak mahu berfikir untuk mencari jawapan.
 
 
 
 
   
 

Rabu, 16 Disember 2015

Salahkah Mencuri Bagi Maksud Yang Baik?




Jika tujuan kita baik, suci murni, salahkan kita mencuri atau mengambil hak orang lain misalnya?

Saya menjangkakan jawapan dari mereka yang mengatakan 'ya' mengatasi yang mengatakan 'tidak'. Atau mungkin semua orang dengan tegas mengatakan 'ya' dan kosong mengatakan 'tidak'.

Ertinya mencuri atau mengambil hak  orang lain adalah salah walaupun bagi sesuatu tujuan yang baik, suci lagi murni. Setakat yang saya tahu, dalam mana-mana budaya dan agama , mencuri adalah dilarang. Islam meghukumnya sebagai berdosa.

Dan saya percaya sebahagian besar atau kesemua orang tidak bersetuju dengan Robin Hood yang diceritakan mengambil harta orang kaya untuk diagih-agihkan kepada orang miskin, kerana perbuatan itu adalah salah walaupun niatnya kelihatan baik.  

Begitulah reaksi kita dalam menjawab soalan diatas. Bahawa kita hendakkan yang baik, bahawa kita menentang mereka yang mencuri atau mengambil hak orang lain.

Tapi bagaimana keadaan memaksa kita untuk melakukan pencurian demi satu tujuan yang baik setelah tidak ada langsung ruang dan peluang bagi mencapai maksud/tujuan yang baik itu.

Salahkah kita mencuri? Jika anda terus mengatakan salah, cuba anda jadi seperti cerita dibawah ini.

Katakan anda seorang pelajar yang bercita-cita untuk maju dan meningkat tahap pelajaran anda. Anda dari keluarga yang miskin. Tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak. Dan saudara mara anda juga miskin dan ada yang lebih teruk dari anda.

Anda perlu menduduki satu peperiksaan bagi membolehkan anda meneruskan pelajaran diperingkat lebih tinggi. Dan anda perlu membayar wang bagi menduduki peperiksaan itu. Tapi anda tiada wang.

Macam mana? Perlukah anda meminta sedekah? Ya, anda boleh lakukannya tapi persekitaran anda terdiri dari sebahagian besar orang miskin juga. Jangan cakap bantuan biasiswa atau pertolongan dari pihak tertentu seperti kerajaan atau orang kaya. Tiada siapa yang mahu tolong anda. Tiada siapa dan mana-mana pihak yang prihatin terhadap keperluan anda.

Yang ada ialah ladang getah tauke-tauke besar , yang mana anda fikir boleh memberi sumber bagi mendapatkan wang. 

Bukan bermakna anda pekerja ladang getah itu. Tapi anda tahu bagaimana cara untuk mendapat wang dari ladang getah itu.

Anda boleh mencuri sekerap dan menorih curi pokok getah itu untuk mengumpul susu getah dan dibekukan. Kerja ini anda lakukan sehingga anda mendapat wang yang cukup hasil dari jualan hasil getah yang dicuri itu.

Dengan wang itu anda bayar wang masuk peperiksaan itu. Ditakdirkan anda berjaya dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik.

Anda berjaya dengan bantuan kerja mencuri walaupun tujuan anda adalah baik. Salahkah anda mencuri?

Saya mengatakan bahawa kerja mencuri adalah salah. 

Saya juga mengatakan bahawa mereka yang kaya raya, yang berkemampuan dan yang telah diberikan amanah untuk melahirkan satu kehidupan sosial yang adil lebih bersalah dan wajar dihukum dengan hukuman yang berat.

Antara mereka yang patut dihukum ialah:

i) Orang kaya yang lari dari bayaran cukai pendapatan
ii) Orang Islam yang tidak membayar zakat sedangkan pendapatan/harta mereka telah mewajibkan mereka untuk membayar zakat.
iii) Kerajaan/pihak berkuasa yang tidak memberikan bantuan atau tidak melaksanakan apa-apa skim bantuan atau tidak mengadakan dasar pelajaran percuma dan dalam masa yang sama melakukan pembaziran dan menyalahgunakan wang dan rasuah.
iv) Mereka yang terus menyokong kerajaan atau pihak berkuasa yang mengabaikan/tidak memberikan keutamaan kepada keadilan sosial. 

Jadi, jangan saja menghukum sipencuri, apatah lagi dia mencuri bagi tujuan yang baik seperti cerita diatas.
 

Ahad, 13 Disember 2015

Jangan Biarkan Budaya Yang Tercemar Menghancurkan Kelansungan Sebuah Negara Bangsa




Kos sara hidup yang meningkat dan macam-macam isu yang menjadi beban kepada rakyat dan negara seperti GST, penghapusan berbagai subsidi, kenaikan tol lebuhraya, 1MDB hutang negara yang terlalu besar (melebihi RM 700 billion) dan derma 2.6 billion yang masuk dalam akaun peribadi DS Najib, tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya DS Najib meletak jawatan secara sukarela mahupun atas tekanan yang sah dari segi undang-undang dari berbagai pihak. 
 
Kemelut yang menyelubungi rakyat dan negara ini , tidak semudah itu dapat durus dan diselesaikan. Air sudah berada pada paras hidung, begitulah perumpamaan yang sesuai dalam melihat kedudukan negara sekarang ini. Sedikit lagi paras air meningkat, ianya masuk ke lubang hidung yang akhirnya membuatkan kita susah bernafas, menjadi lemas dan mati.
 
Kalau penyingkiran Najib bukan cara terbaik untuk mengatasi masalah rakyat dan negara yang dihadapi sekarang ini, apa jalan keluar yang terbaik? Pendeknya,  apa masalah kita sebenarnya?
 
Masalah kita bukan sumber kekayaan sama ada sumber insannya mahupun sumber hasil mahsulnya. Mala petaka alam pun jarang menimpa. 
 
Alhamdulillah , bertuahnya negara kita.
 
Masalah kita adalah masalah budaya yang telah tercemar (corrupted and polluted culture). Budaya yang tercemar itu telah dan terus berkekalan menguasai setiap kehidupan diri mereka yang diberi tanggungjawab untuk mengurustadbir segala sumber kekayaan negara, dari segi orangnya dan hasil mahsulnya.  

Apa itu budaya yang tercemar?
 
Budaya adalah cara hidup, cara dalam menjalani kehidupan yang berasaskan kepada norma-norma dan peraturan yang diterima ramai bagi kelangsungan sebuah kehidupan bermasyarakat/suatu bangsa/negara.
 
Rosak budaya, rosaklah pengamalnya. Tercemar budaya tercemarlah pengamalnya. Pincanglah dan bantutlah kelansungan pengamalnya sehingga boleh jadi pupus pada masa jangka panjang.
 
Ertinya budaya adalah untuk kelangsungan bukan kepupusan. Mana-mana elemen yang boleh membawa kepupusan, elemen itulah yang mencemarkan sesuatu budaya. Dan jika elemen seperti itu kekal berakar umbi dan bercambah, ianya amat rumit untuk disekat. Keadaan menjadi kritikal apabila budaya yang tercemar itu dipertahankan oleh yang berkepentingan dengan apa saja cara.
 
Jadi masalah yang menyelubungi negara adalah berpunca dari amalan/perlakuan budaya yang tercemar ini dikalangan pihak penguasa, mereka yang diberi tanggungjawab mengurustadbir segala sumber negara yang ada.
 
Sumber kekayaan kita itu melimpah ruah. Kita negara kaya, rakyat miskin. Miskin dalam kemakmuran kerana telah disalahurus..
 
Bertambah malang lagi apabila budaya yang tercemar ini telah diterima oleh sebahagian rakyat, sama ada secara terpaksa disebabkan faktor kemiskinan, kurang maklumat dan pendidikan/pengetahuan, mahupun dipaksakan bagi tujuan atau atas kepentingan tertentu. 
 
Ya, terlalu banyak yang telah tercemar dalam budaya kita. Yang bercakap benar, boleh dihukum. Yang melakukan kerosakan, mencuri dan menyalahgunakan kekayaan negara, dipertahan dan diangkat. Pendek kata yang hak menjadi lemah dan yang batil berleluasa, bermaharaja lela, diamalkan dan dipertahankan.
 
Ianya sudah jadi budaya. Budaya tercemar ini amat subur dalam kepimpinan parti yang menerajui kerajaan yang ada sekarang ini dengan mendapat sokongan sebahagian besar ahli.
 
Jadi mendesak DS Najib meletak jawatan, tidak akan dapat menyelesaikan kemelut negara yang kita hadapi. Ibarat kanser, kanser yang ada dalam budaya kerajaan sekarang adalah kanser malignant, serangan tahap empat. 
 
Hanya dengan menghapuskan budaya tercemar ini, negara boleh diselamatkan.
 
Biarlah entity yang mengamalkan budaya tercemar itu pupus dari membiarkan kesinambungan sebuah negara bangsa hancur binasa.

 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 

Sabtu, 12 Disember 2015

Apa Yang Saya Mahu Dalam Sebuah Kehidupan




Apakah yang saya hendak dalam sebuah kehidupan?
 
Soalan seperti itu selalu juga saya tanya pada diri sendiri. 
 
Sudah tentu saya mahu hidup senang dan selesa. Antara jawapan yang pernah saya fikirkan.
 
Kemudian saya bertanya, apa itu hidup senang dan selesa? Tahap kehidupan yang macam mana dikatakan hidup senang dan selesa? Adakah diukur dari segi pendapatan, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan atau bagaimana? Diukur atau dibandingkan dengan siapa?
 
Tiada jawapan. Ada saja pertanyaan setiap kali saya memberi jawapan. Sampai matipun saya tidak akan berjumpa dengan jawapan kepada persoalan itu: Apa yang saya mahu dalam sebuah kehidupan.
 
Kerana apa yang saya mahu, tiada perhentian. Sudah dapat yang ini, saya hendak pula yang itu. Sudah dapat yang itu, saya lihat pula berapa banyak orang lain yang dapat lebih dari saya  misalnya saya ada kereta, orang lainpun ada kereta, kereta jenama mewah seperti porche sedangkan saya memiliki kancil.
 
Lalu saya teringat akan doa kepada Allah yang kerap dipohon dan diharapkan: Ya Allah kurniakan kepada aku kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.
 
Oh, inilah sepatutnya yang saya mahukan dalam sebuah kehidupan. Mendapat kebaikan semasa hidup di dunia dan semasa dihidupkan di akhirat. Sekecil mana atau sebesar mana kebaikan, tidak perlu dipersoalkan.
 
Lalu bagaimana pula untuk mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat? 
 
Adakah saya perlu dan sentiasa mengharap dan memohon keampunan dari Allah, semasa hidup di dunia?
 
Dan menghajatkan/mengharapkan  kehidupan di syurga, di akhirat nanti?
 
Tapi bagaimana untuk mendapat belas ikhsan dan keampunan dari Allah di dunia ini? Bagaimana pula untuk  dapat syurga Allah di akhirat?
 
Bertalian soalan yang datang yang mahukan jawapan.
 
Saya yakin jawapan itu ada dinyatakan dalam al-Quran. 

Maka saya merujuk ayat-ayat al-Quran, khususnya ayat-ayat yang ada terjemahan dan tafsiran. Alhamdulillah, saya yakin saya telah menjumpai ayat-ayat yang demikian. Mohon keampunan Allah jika ada kesilapan dipihak saya.
 
Dalam Surah Ali Imran, ayat 133, 134, 135 dan 136 menjelaskan apakah sifat-sifat orang-orang yang mendapat keampuanan dari Allah dan disediakan syurga di akhirat. Orang-orang yang mendapat keampunan dari Allah adalah terdiri dari mereka yang:
 
i) membelanjakan dengan menderma harta diwaktu senang dan susah.
ii) menahan kemarahan
iii) memaafkan orang lain
iv) segera ingat kepada Allah setelah melakukan kesalahan/perbuatan keji dan mohon ampun
v) tidak meneruskan perbuatan keji/yang dilarang.
 
Maka balasan orang yang bersifat demikian ialah keampunan dari Allah dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa buah sungai.
 
Alangkah bahagianya kehidupan di dunia dan di akhirat. Itulah yang saya mahu, yang kita semua mahu.
 
Sudah tentu kita melakukan perkara dari i) hingga v) diatas dengan sebab kita taat kepada Allah dan Rasulnya seperti yang diperintahkan dalam ayat 132 surah yang sama.`

Ok , saya telah ketemu apa yang saya mahu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat iaitu keampunan dan syurga Allah.

Wallahualam.

Jumaat, 11 Disember 2015

Bohong Bistari atau Bohong Bodoh.




Siakap senohong 
gelama ikan duri 
bercakap bohong
biarlah bohong bistari 
 
Seingatan saya, termasuk paparan kali ini sudah dua kali saya ulangpapar pantun dua kerat Melayu lama itu.  Tetapi kali ini ada sedikit kelainan. Kata orang, pantun lama dengan nafas baru.
 
Namun, cerita yang hendak disampaikan juga sama iaitu tentang orang yang suka bercakap bohong. Orang yang suka bercakap bohong ini, lambat laun akan tetap diketahui pembohongannya, tidak kira apa kedudukan atau status orang itu. 
 
Orang kecil, misikin papa kena, orang kaya, hartawan bertimbun harta, hamba sahaya, pengawal keselamatan, pegawai tinggi kerajaan, orang awam dan para pembesar negeri dan negara, hulubalang dan para menteri, kalau tabiatnya suka berbohong maka berbohonglah dia.
 
Dulu berbohong, sekarang berbohong , esok lusa dan akan datang berbohong lagi. Bukan saja buat bohong perkara yang baru, perkara yang sama dia tetap berbohong juga.
 
Bagi masyarakat Melayu lama, perbuatan suka berbohong ini sangat dibenci dan dimusuhi sehingga menjatuhkan hukuman bahawa orang suka berbohong itu akan menjadi pencuri.

Bercakap bohong
Lama-lama jadi pencuri.
 
Begitu marahnya masyarakat Melayu dulu keatas orang yang suka berbohong. Melayu sekarang  sudah berubah, sudah ada transformasi.. 
 
Walaupun Melayu sekarang sentiasa berbangga dengan Islamnya, tapi menurut perkembangan muktahir ini, sebahagian orang Melayu sudah tidak lagi ambil kisah tentang perbuatan bercakap bohong ini. Maksudnya,  mereka tahu seseorang itu bercakap bohong, tapi dibiarkannya saja orang itu bergelumang dengan pembohongan . 
 
Bahkan amat malang sekali, ada yang sanggup mempertahankan perbuatan orang yang bercakap bohong dengan dianya juga bercakap bohong.

Mereka tidak sedar bahawa pembohongan ini memerlukan pembohongan yang lain bagi menjustifikasikan pembohongan yang lepas. Ertinya sekali berbohong, tetap berbohong.
 
Lama-lama jadi pencuri.
 
Ertinya untuk menjadi pencuri dan perbuatan yang sejenis dengannya iaitu menjadi perompak, lanun, penyamun, penyangak, pemeras ugut, dan berbagai perlakuan tidak senonoh termasuk jenayah, seseorang itu bermula dengan bercakap bohong.
 
Dijadikan cakap bohong itu sebagai cara hidup sehingga jadilah dia seorang pencuri dan yang sejenis dengannya. 
 
Misalnya dia didapati memiliki wang terlalu banyak yang jika dikira dari segi pendapatan dan harta yang ada, tidak mungkin dia akan mempunyai sejumlah wang yang besar itu. 
 
Apabila  diketahui kedudukan seperti itu, lalu apabila ditanya dia akan menjawab perkara itu adalah fitnah sebagai jalan untuk mendiamkan orang yang bertanya. Apabila dikatakan sebagai fitnah, maka telah terkait dengan hukum dosa pahala kerana fitnah amat terlarang dalam Islam.

Namun begitu apabila telah dapat dibuktikan bahawa ianya perkara yang benar dan bukan fitnah maka segera orang itu mempertahankan bahawa dia mempunyai harta warisan yang banyak.

Alasan ini juga memerangkap  diri orang itu kerana ianya tidak benar.
 
Kerana terdesak dan mahu segera menafikan wang itu dari sumber yang tidak sah maka dikatakan ada seorang sahabat baik telah memberikan kepadanya. 
 
Tapi dia lupa jumlah wang yang dimilikkinya itu adalah terlalu besar, diluar dari kemampuan sahabatnya itu, diukur dari segi keakraban dan kasih sayang dalam sebuah persahabatan mahupun keikhlasan seseorang untuk memberikan wang sebanyak itu. 
 
Orang yang berfikiran rasional sudah tentu tidak mempercayainya.
 
Dia terperangkap lagi dengan bohong yang dibuatnya itu. 
 
Maka dikatakannya pula yang memberikan wang itu bukan calang-calang orang, pemimpin sebuah negara, misalnya. Kemudian, jika ada kesangsian maka dikatakan pula bahawa yang memberi wang itu bukan seorang, ramai, secara jemaah.
 
Renungkan. Anda boleh berbuat demikian? Saya yakin anda tidak mampu kerana anda takut melakukan dosa. Anda menyimpan rasa malu pada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan rasa bersalah pada agama. Dan muka anda tidak selamba. 
 
Orang yang suka berbohong itu, selamba saja mukanya.  Ada orang kata macam muka sadin. Ada yang kata muka orang itu terlalu tebal, tidak ada sedikitpun rasa malu walaupun sudah jelas lagi nyata, yang telah dilihat dan didengari oleh banyak orang bahawa dia telah banyak kali berbohong bagi perkara yang sama.

Gamaknya, orang yang suka berbohong ini, yang sudah tentu ada otak, tidak mahu berfikir atau tidak sedikitpun boleh berfikir bahawa orang lain juga ada otak. Dia mahu samakan otak suka berbohongnya dengan otak orang lain yang dianggap juga suka berbohong, pada hal mereka itu benci kepada perbuatan berbohong itu.
 
Adakah orang yang suka berbohong ini orang bodoh? Jika demikian untuk lain kali, pada masa depan, disarankan agar mereka yang suka berbohong itu melakukan pembohongan secara bistari seperti kata pantun diatas yang sekali lagi diturunkan dibawah ini:
 
Siakap senohong
Gelama ikan duri
bercakap bohong
biarlah bohong  bistari.
 
Apa itu bohong bistari?  Adakah bohong yang dilakukan oleh dewa dewi. Entahlah anda carilah sendiri maknanya atau reka definasi sendiri.

Apa pun jangan sekali-kali mulakan berbohong sama ada bohong bodoh mahupun bohong bistari kerana akhirnya yang berbohong itu sendiri akan memberitahu yang dia adalah seorang pembohong. 
 
Selamba saja muka dia. Maksudnya muka orang yang suka cakap bohong.

Anda tidak percaya? Tidak mengapa. Tapi jangan buat bohong.