Theflowersellingboy

Isnin, 30 November 2015

Tunggakan Kerja



Perkara yang tidak disukai oleh banyak orang ialah tunggakan kerja terutama jika tunggakan kerja itu memberi kesan kepada mereka yang mahukan sesuatu keputusan diberitahu pada masa yang diharapkan, misalnya keputusan dalam sesuatu tender atau kelulusan projek.

Saya berani mengatakan bahawa tunggakan kerja adalah satu hal yang tidak dapat dielakkan walaupun dengan penggunaan peralatan dan teknologi canggih , dan diuruskan oleh mereka yang mahir dan berkepakaran dalam apa bidang sekalipun. 

Kita tidak mampu untuk menghasilkan tunggakan sifar khususnya bagi jabatan-jabatan kerajaan dan organisasi yang lain. Kita terpaksa melalui dan menghadapi berbagai celahan (saya suka menggunakan perkataan celahan berbanding dengan gangguan kerana perkataan gangguan itu bersifat negatif sebaliknya celahan ada negatif dan positifnya).

Matlamat sesuatu jabatan dan organisasi tidak boleh dicapai tanpa dikaitkan dengan dinamik organisasi atau elemen-elemen luar organisasi itu. Bahkan elemen-elemen dalaman juga boleh menjadi celahan sehingga ada masanya boleh memberi kesan kepada pencapaian matlamat organisasi dari segi tempoh dan mutu hasilannya.

Jadi tunggakan kerja itu wajar diambil kira dalam merancang dan menjadualkan kerja, termasuk dalam mengadakan bilangan tenaga kerja yang diperlukan. Walaupun nampaknya seolah-olah kita mengizinkan penangguhan kerja, sebenarnya itulah cara yang praktikal dalam menghadapi dan melaksanakan sesuatu tugas. 

Jika kita berterusan tidak mengambil kira faktor tunggakan, selamanya kita akan memberi ruang kepada longgokan tunggakan kerja dari masa ke semasa.

Jabatan-jabatan kerajaan secara am akan menggunakan kaedah kerja lebih masa bagi melakukan kerja yang tertunggak itu, yang mana ianya tergelincir dari segi matlamat kerja lebih masa. 

Kerja lebih masa adalah diperlukan untuk melakukan kerja semasa yang tidak dapat disempurnakan pada tempoh biasa, yang tempohnya terpaksa dipanjangkan.
 
Kerja tertunggak pula adalah kerja yang tidak dapat disempurnakan disebabkan celahan-celahan kerja misalnya kerja yang ada kaitan dengan jabatan-jabatan lain atau kegagalan mana-mana pihak yang bersangkutan dalam memberikan input-input tertentu bagi membolehkan kerja itu dapat disempurnakan. Atau ada perubahan dari segi prosedur, cara kerja, undang-undang dan berbagai dianmik sesebuah organisasi.

Ertinya kerja tertunggak tidak dapat dielakkan. Elemen kerja tertunggak ini wajar diambil kira dalam perancangan bagi tenaga kerja. 

Tunggakan kerja adalah satu realiti dan mesti berani dihadapi. Tidak ada gunanya kita menghebuhkan tunggakan kerja yang berlaku sekarang ini jika elemen itu tidak diambil kira dalam merancang dan mendapatkan tenaga kerja.

Tapi ianya tidak bemakna kita mengalakkan kerja bertunggak.

 

 

 
 

 

Ahad, 29 November 2015

Tabik Hormat Saya Pada Seorang Pekerja Di Woksyop Kereta.




"Banyak penat o. Siang malam kerja".

Itu adalah kata-kata yang keluar dari seorang pekerja di sebuah woksyop membaikki tayar dan jual bateri kereta.

Hampir dua bulan kereta tua itu saya tidak gunakan kerana asyik dengan kereta yang lebih muda usianya. Bukan kerana tua usianya maka kereta itu tidak digunakan tapi ada sebab yang lain. Sebab utama ialah kereta tua saya itu kuat makan minyak. Manakan tidak, kuasa kuda kereta itu 2,300. Sekali tekan pedal minyak, segayung minyak ditelannya.

Dengan demikian dalam keadaan harga minyak yang tinggi adalah lebih menjimatkan memakai kereta kecil berkuasa kuda yang rendah, 1500 terutama bagi perjalanan yang jauh. 

Maka kereta tua itu tersadai di garaj tanpa enjinnya dihidupkan. 

Oleh sebab itu, bateri kereta itu menjadi lemah dan tidak mampu menghidupkan enjinnya. Lalu saya beli alat yang boleh membantu untuk menghidupkan injin kereta itu yang selalu dipanggil sebagai jumper. Harga jumper RM70.00.

Tapi sayang sekali, jumper tidak berjaya menghidupkan enjin kereta itu. Sah bateri kereta lemah, tidak boleh pakai, kena beli yang baru.

Di woksyop yang menjual bateri itulah saya berbual dengan pekerja Cina yang usianya dalam lengkongan awal tiga puluhan.

Apabila saya diberitahu harga satu bateri itu RM 340.00, saya sedikit mengeluh dan menyatakan fasal apa sangat mahal. Jawapan mudah begitu cepat keluar dari mulut  pekerja Cina itu. 

"Abang, sekarang semua mahal. Itu sebab saya kena kerja siang malam".

"Ini woksyop , buka siang malam kah?", Tanya saya.

Pekerja itu  menggelengkan kepala. Dia beritahu bahawa pada waktu siang iaitu dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dia bekerja di woksyop, dan selepas itu dia bersama-sama kawan menjual dipasar malam.

"Penat o. Sekarang susu anak 60 ringgit satu bulan. Pampers 300 ringgit. Mahu bayar sewa rumah. Minyak motor. Makan mahu jugak. Tak cukup o kalau kerja woksyop saja".

Saya sedikit malu kerana mengeluh tentang harga bateri yang mahal sedangkan pekerja ini disamping menghadapi sara hidup yang tinggi sanggup bekerja dengan lebih kuat untuk mendapat tambahan pendapatan.

Namun dalam masa yang sama, dia juga merungut fasal apa harga barang semua naik. Fasal apa kena GST. Fasal apa tol naik .

"Ini kerajaan tidak baik o, bikin orang susah saja".

Saya tersenyum bila mendengar rungutan pekerja itu. Saya tersenyum bukan kerana saya menyokong kenaikan kos sara hidup tapi bagi saya, sekarang ini terlalu jelas bahawa rakyat dibawah, yang miskin dan susah telah menyatakan rasa tidak puas hati yang amat sangat kepada pimpinan kerajaan sekarang ini. 

Malah suara-suara tidak puas hati sudah menjadi biasa dikalangan mereka yang berpendapatan pertengahan setiap kali saya menghadiri majlis-majlis perjumpaan seperti majlis kenduri kendara dan ulumni sekolah.

Dan yang paling banyak menyatakan kemarahan adalah dari kalangan anak-anak muda. Mereka ini nampaknya sudah bertekad untuk menggantikan kerajaan yang ada pada PRU 14 nanti.

Saya tidak pasti sama ada kerajaan yang ada sekarang ini mempunyai cukup masa untuk memperbaikki kelemahan yang ada bagi menarik semula sokongan terutama sekali dari anak-anak muda. 

Tapi saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa kerosakan yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan, tidak mudah diperbaikki dan boleh diperbaikki. Sebab, kepimpinan kerajaan yang ada sekarang ini  tidak berani mengambil sikap bertanggungjawab keatas kerosakan yang telah dan sedang dilakukan hanya kerana mahu terus kekal berkuasa.

Sesungguhnya, ianya amat malang sekali.

Oleh itu, sehingga kita mendapat kerajaan baru, dan kita mesti bersama-sama bekerja ke arah itu, saya perlu bersedia untuk menghadapi realiti kos sara hidup yang sentiasa meningkat. Seperti pekerja woksyop itu, saya mesti mencari peluang bagi mendapatkan pendapatan tambahan. Tidak boleh bergantung kepada pencen saja.

BR1M? Saya diberitahu oleh pihak yang menerima BR!M, bantuan itu tidak menolong sangat. 

Jadi yang dapat menolong, ialah kita semua mesti jadi seperti pekerja Cina tadi yang bekerja kuat siang malam hanya bagi membolehkannya menyara hidup diri dan keluarganya dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi. Banyak berusaha dan bersabar.

Pekerja woksyop itu juga  tidak menerima BR1M walaupun saya rasa beliau dari kalangan yang layak. Kata beliau bahawa beliau tidak mahu BR1M. Beliau mahu agar kos sara hidup tidak naik.

Oh ya, beliau sempat bertanya saya tentang derma 2.6 billion. 

"Itu wang, kalau semuanya satu ringgit, satu Malaysia kita boleh kasi tutup", kata pekerja itu setelah saya beritahu padanya bahawa saya tidak mahu bercakap fasal itu kerana hati banyak sakit.


   


Selasa, 24 November 2015

Nasihat Yang Amat Meluat, Meloyakan Lagi Menyakitkan Hati.




Nasihat menteri dan pemimpin kerajaan yang menyakitkan hati? Adakah nasihat seperti itu?
 
Jawapannya, ADA, terlalu banyak.
 
Nasihat itu bukan saja menjadi meluat dan meloyakan serta menyakitkan hati rakyat bahkan nasihat seperti itu jelas menampakkan keperibadian seseorang menteri/pimpinan kerajaan yang tidak langsung peduli kepada apa yang sedang dihadapi oleh rakyat.
 
Menteri itu tahu tak apa yang sedang dihadapi oleh rakyat? Tapi tahu saja tidak mencukupi. Yang penting bantu selesaikan masalah mereka. Sebab, berkedudukan sebagai menteri/pemimpin kerajaan yang ada kuasa menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh rakyat. 
 
Jangan pula ada menteri/pemimpin kerajaan tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini. Kalau ada menteri yang macam itu, lebih baik menteri/pemimpin itu letak jawatan kerana ada orang lain yang boleh mengambilalih dan melaksanakan tugas dengan baik.
 
Tapi saya percaya semua menteri/pemimpin kerajaan tahu masalah yang sedang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat sekarang ini iaitu kos sara hidup yang tinggi. Jika ada menteri yang tidak percaya bahawa kos sara hidup ketika ini amat menyeksa kepada sebahagian besar rakyat atas alasan kerajaan beri BR1M, menteri ini wajib dicabar.

Saya mencabar menteri seperti itu. Berikan menteri itu wang RM1000 sebulan, dan dengan wang itu gunakanlah untuk menyara diri dan keluarga (katakan 5 orang tanggungan). Boleh hidup?

Sudah tentu boleh hidup. Tapi amat menyeksakan.

Jadi mengapa  ada  beberapa orang menteri/pemimpin kerajaan yang memberi nasihat yang tidak bertanggungjawab lagi amat memalukan kepada rakyat yang ketika ini terbeban dengan kos sara hidup yang membebankan. Nasihat itu kononnya bagi membantu rakyat dalam mengatasi kos kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Antara nasihat yang amat meluat, meloyakan lagi menyakitkan hati rakyat ialah:
 
i) Harga ayam naik, makan selain dari ayam
ii) Harga sayur naik, tanam sayur atau makan sayur berharga murah seperti kangkong
iii) Tol naik, gunakan jalan tanpa tol.
iv) Sara hidup di bandar tinggi, balik kampong tanam jagong.
v) Berbelanja secara berkhemah dan berjimat agar ada wang lebihan untuk simpanan.
 
Rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi itu ada kata-kata untuk menteri/pemimpin kerajaan itu, iaitu,
 
"Anak saya yang setahun jagung pun boleh memberi nasihat seperti itu".
 
Menteri malu tak dengan kata-kata seperti itu? Kalau ada menteri yang tak terasa dan tidak merasa malu, maka layaklah menteri itu letak jawatan. Sebab menteri itu tidak ada sedikitpun sentuhan rasa kasih sayang dan mahu menolong orang yang perlu diberi pertolongan. Saya panggil menteri ini sebagai menteri bingal.
 
Berkedudukan sebagai menteri dengan kuasa eksekutif dalam menjalankan fungsi masing-masing, takkan mampu memberi nasihat seperti itu dalam menangani kesusahan rakyat. Nasihat yang diberi itu tidak perlu punya kuasa dan berkedudukan sebagai menteri. Budak kecil pun tahu berkata seperti nasihat menteri itu.

Apakah setakat itu yang menteri boleh berfikir? Dimanakah ilmu pengetahuan dan kepakaran sebagai menteri dalam melaksanakan tugas?

Memadai meminta rakyat menanam sayur untuk mengatasi kenaikan harga sayur atau tananam? Apakah menteri tidak ada nasihat yang lebih sesuai dengan kedudukan, kuasa dan ilmu pengetahuan yang dimilikki?

Tidak terfikirkah untuk menteri berfikir dan mencari jalan agar harga sayur tidak meningkat. Mungkin disebabkan sistem pemasaran sayur itu. Kenapa tidak  ditinjau dari segi pengeluaran sayur dan saingan di pasaran. Atau membuka lebih luas sayuran dari luar. Dan macam-macam lagi. Kena perah otak dan cari jalan sesuai dengan kedudukan dan kuasa sebagai menteri.
 
Selain dari itu tidak semua rakyat ada tanah. Tanam dalam pasu? Ya, boleh berbuat demikian. Tapi sedar tak menteri bahawa cadangan itu ada kesan lain yang juga melibatkan kenaikan kos barang dan perkhidmatan yang lain selain ianya tidak praktikal bagi setengah pihak.
 
Kos pasu akan naik. Kos baja akan naik. Kos benih akan naik. Kos bil air akan naik. Sebab apa? Sebab menteri hanya mampu berfikir seperti anak setahun jagung. 

Jangan pula nasihat mereka yang duduk bandar balik kampong tanam jagung. Sia-sia saja rakyat mengundi untuk membolehkan anda jadi menteri.
 
Juga jangan nasihat rakyat untuk berjimat dalam belanja. Rakyat telah lebih awal melakukannya bahkan sentiasa kehabisan wang sehingga ada yang terpaksa berhutang untuk menyara hidup.   

Rakyat berhutang kerana  untuk meneruskan kehidupan. Dan mereka terpaksa melakukannya sehingga menggadai masa depan anak-anak - ada yang terpaksa duberhentikan sekolah. Dan anda sebagai menteri jangan cakap banyak dan sombong bahawa BR1M anda boleh membantu mereka.

Jika anda tidak mampu memberi nasihat yang baik, suka rakyat memberi nasihat kepada menteri dan pemimpin kerajaan, iaitu,

i) berkhemah dalam menggunakan wang negara kerana wang itu tidak boleh disalah belanja, boros dan dibazirkan. Rakyat yang susah amat memerlukan.
ii) jangan kenakan rakyat dengan berbagai cukai seperti GST dan kenaikan berbagai harga seperti tol. Ia sesungguhnya menyeksakan.
iii) uruskan wang negara tanpa penyelewengan kerana penyelrwengan itu tidak menguntungkan negara sekali gus rakyat malah penyelewengan itu membuatkan kantung negara menjadi kering. Akibat kantung yang kering maka kerajaan membuat pinjaman sehingga diberitakan hutang kerajaan yang ditanggung rakyat meningkat lebih 700 billion ringgit. Untuk membayar hutang pula maka kerajaan bebankan rakyat dengan GST dan kenaikan harga tol, antara lainnya.

Sekian.


 

Khamis, 12 November 2015

Sarapan Pagi: Nostalgia Masa Muda.




Pagi ini badan ada sedikit rasa sakit-sakit kesan dari buat kerja mopping dan membersihkan ruangan dalam rumah, pada hal kerja itu dilakukan semalam. Ah usia enam puluhan yang mendekati tujuh puluhan ini, rupanya tidak boleh lasak sangat. Ingatkan masih dalam lingkungan dua puluhan, paling tua pada usia menghampiri tiga puluhan. Rupanya sudah melampaui setengah abad.
 
Bersarapan pagi bersama isteri. Makan nasi goreng berulamkan kacang panjang dan daun tenggek burung. Berselera sekali, dua-dua makan seperti masa usia muda, bernafsu sekali . 
 
Waktu muda itu kami makan apa saja yang halal tanpa berpantang, tidak mengambil kira masin dan manis, lemak dan minyak, semuanya kami sentap. Dan selepas makan tiada ubat yang perlu diambil. Seronok sungguh.

Pagi ini seperti pagi-pagi yang lain, setiap seorang sudah bersedia dengan bekalan ubat untuk ditelan selepas sarapan. Penyakit yang hendak dikawal, bukan yang hendak diubati adalah penyakit yang sebahagian besar dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung.

Isteri menelan ubat untuk mengawal kencing manis,  darah tinggi dan cair darah. Katanya bacaan gulanya pada hari ini agak tinggi, mencapai ke angka 8. Tekanan darah agak baik terkawal pada bacaan 120/70.

Saya pula mengambil ubat cair darah, mengawal kolesterol dan tekanan darah tinggi. Saya bernasib baik tidak ada kencing manis. Menurut pemeriksaan dokter terakhir, saya berada dalam keadaan terkawal. Semuanya ok kata dokter IJN semasa perjumpaan sebulan yang lepas.

Sewaktu mahu menelan ubat-ubat itu, saya ketawa kecil apabila melihat isteri yang duduk bertentangan. Ini menimbulkan pertanyaan darinya mengapa saya ketawa. Sebelum sempat saya menyatakan sesuatu, isteri menjawab sendiri pertanyaannya dengan mengatakan saya ketawa disebabkan melihat isteri terlalu lama memegang ubat.

Isteri memang tidak suka makan ubat. Ubat yang mahu ditelannya itu akan berada ditangannya , kadang-kadang lebih dari 10 minit. Saya selalu menggesa agar beliau segera makan ubat ditangannya, barulah ubat ubat itu dimasukkan ke dalam mulut. Tapi mesti masukkan air dalam mulut terlebih dahulu. Keadaan seperti itulah yang membuatkan saya selalu ketawakannya.
 
Tapi hari ini bukan sebab takut makan ubat yang membuatkan saya ketawa. Saya terkenangkan perjalanan masa yang begitu cepat. Masa yang telah berlalu lebih 30 tahun dahulu rasanya baru saja berlaku.
 
Saya tanya isteri sudah berapa lama kami berkahwin. Beliau buat kiraan cepat. Tahun 1975 sehingga sekarang , bermakna sudah 40 tahun katanya. Saya menganggok kepala tanda setuju. Ketepatan kiraan bukan satu yang penting. Lagipun kami tidak pernah mengadakan ulang tahun hari perkahwinan. Ertinya usia perkahwianan tidak penting bagi kami.
 
Yang penting tempoh yang dinyatakan oleh isteri itu sudah cukup untuk menerima hakikat bahawa ianya satu tempoh yang agak lama, yang membawa erti usia kami sudah jauh bertambah.
 
Hakikat itu diterima. Tapi perasaan lebih cenderung untuk mengatakan bahawa kami baru saja berkahwin. Ketika itu wajah muka masih licin, tegang dan tidak ada garis-garis didahi dan dibawah mata. Rambut masih hitam lebat. Kulit yang menyelaputi seluruh anggota badan masih licin dan tegang, membuatkan kelihatan lebih cerah.
 
Saya mencadangkan isteri mengambil supplemen awet muda yang mudah didapati dimana-mana. Cuma harganya menyakitkan hati, diluar dari kemampuan. 
 
Isteri tahu bahawa saya hanya bergurau saja kerana saya dan dia memang langsung tidak percaya ada ubat atau supplemen yang boleh mengembalikan usia jadi muda, walaupun ada banyak pihak yang terpedaya. 
 
Memang betul ada juga wajah mereka yang ambil supplemen itu kelihatan awet muda. Tapi tidak tahan lama, usia yang bertambah tetap juga melunturkan keawetan muda itu.
 
Terima saja bang, kata isteri sambil mengurut-urut tangannya. Kami ketawa sambil tangan saya meraba-raba kepala. Banyak bahagian yang licin dari yang berambut yang dapat dirasa.
 
"Dulu rambut abang lebat, tak macam ini", kata isteri.
 
"Sama lah kita. Nak bangun dari kerusipun terhegeh-hegeh", kata saya. Kami terus ketawa.
 
"Makanlah ubat", saya mengingatkan isteri yang masih menggenggam ubat ditangannya.   

 







Selasa, 10 November 2015

Mengapa Mendesak PM Letak Jawatan? Ianya tidak perlu sekarang ini.




Mengapa mendesak Najib letak jawatan?

Sebab Najib menyebabkan kehidupan sebahagian besar rakyat tebeban dan membebankan. 
 
Ini bermakna ada juga sebahagian rakyat yang tidak mahu Najib letak jawatan.
 
Siapakah yang sebenarnya mahu Najib letak jawatan dan mengapa?
 
Bekas PM Tun Mahathir dan pengikut-pengikutnya yang sama kepentingan dengan bekas PM itu yang sebenarnya bersungguh-sungguh mahu letak jawatan.
 
Bagaimana dengan pihak pembangkang?
 
Perkembangan terbaru menunjukkan pembangkang terbahagi kepada dua. Pakatan Harapan Rakyat mahu Najib meletakkan jawatan dan PAS tidak bersetuju Najib meletak jawatan sebaliknya mahu menjadi penasihat kepada kerajaan Najib.
 
Jadi Pakatan Harapan dan Mahathir mempunyai tujuan yang sama iaitu mahu Najib letak jawatan?
 
Benar ianya sama tapi tak semuanya sama. 
 
Mahathir mahu Najib letak jawatan agar UMNO dan BN tidak menjadi lemah dikalangan rakyat yang memungkinkan UMNO itu kalah dalam PRU 14. Jika UMNO kalah dalam PRU 14 dan digantikan oleh lawan maka Mahathir dan mereka yang sama berkepentingan dengannya percaya mereka akan diheret untuk didakwa atas salah laku semasa mentadbir negara. 
 
Mereka mahu UMNO terus jadi kerajaan tetapi tidak yakin dengan kepimpinan Najib untuk boleh berbuat demikian. Ertinya UMNO perlu dikekalkan dengan menyingkirkan Najib.
 
Sebaliknya Pakatan Harapan mahu bukan saja Najib letak jawatan bahkan mengambilalih kerajaan melalui cara yang sah yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 
 
Adakah usaha menyingkirkan Najib ini akan berjaya dalam masa terdekat sebelum PRY 14?
 
Keberangkalian untuk berjaya terlalu kecil. Sebab: 
 
(i) Najib berkuasa penuh mengawal segala-galanya -sumber kewangan yang boleh melembut, mengawal dan memagar sesiapa saja yang melawan arus dalam kepimpinan/ahli parti dan anggota pentadbiran; 
 
(ii) Najib berkuasa mempengaruhi, menyekat dan mengawal agensi-agensi/institusi kerajaan melalui media, undang-undang serta cara pentadbiran; 
 
(iii) Pembangkang yang tidak bersatu iaitu diantara PAS dan Pakatan Harapan;
 
(iv) Mahathir dan pembangkang mempunyai matlamat yang berbeza dalam usaha untuk menyingkirkan Najib. 
 
(v) Terdapat juga dikalangan pembangkang percaya bahawa Najib dan UMNO/BN lebih mudah disingkirkan melalui PRU 14. Pada mereka tidak hanya memadai menyingkir Najib tapi UMNO/BN masih kekal berkuasa yang akan terus mengamalkan budaya pemerintahan yang sama. 
 
Jadi apa pilihan terbaik dalam menghadapi keadaan hidup yang terbeban dan membebankan ini kesan dari Najib dan UMNO/BN yang masih terus berkuasa?
 
Sebenarnya selagi Najib dan UMNO/BN kekal berkuasa, rakyat akan terus terbeban dan menyusahkan. Tapi menyingkirkan Najib sebelum PRU 14 tidak mungkin akan berjaya dan jika pun berjaya dan Najib digantikan pemimpin dari kalangan pimpinan UMNO/BN yang ada ianya tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika ini. 
 
Oleh itu rakyat perlu menghadapi realiti dan menanggung beban-beban kepahitan hidup kerana rakyat yang telah memilih mereka. Jadikan kepahitan hidup dibawah UMNO/BN ini sebagai perangsang untuk menukar kerajaan pada PRU 14. 

Ertinya terimalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kesan dari GST, kenaikan tol dan kos pengangkutan yang lain, dan biarkan 1MDB dan derma 2.6 billion itu terus membusuk. 
 
PRU 14 tukarkan kerajaan yang ada. Itu adalah pilihan terbaik. Tidak perlu banyak kali berdemonstrasi. Simpan dalam hati, dan terjemahkan kehendak kita pada PRU 14 bagi mendapatkan sebuah kerajaan yang tidak seperti UMNO/BN yang menyusahkan rakyat.
 
Jadi tidak perlu desak Najib letak jawatan sekarang ini.


 




 
 
 

Isnin, 9 November 2015

Jangan Harap Rezeki Datang Menggolek




Rezeki datang menggolek. Begitulah perumpamaan yang bermaksud rezeki datang dengan mudah tanpa usaha atau kerja kuat.

Itu kata-kata yang dipegang oleh orang yang malas. Tak mahu berusaha dan kerja kuat. Orang macam ini mudah kena tipu. 

Apabila ada saja orang menawarkan sesuatu skim bagi mendapat upah atau pendapatan apatah lagi dengan upah yang lumayan tanpa melakukan kerja atau terlibat dengan aktif dalam sesuatu skim itu maka dengan mudah dia masuk dalam skim  itu tanpa membuat semak siasat. Kerana yang diambilkira ialah pendapatan yang besar tanpa banyak usaha.

Orang macam ini akan buat saja apa arahan yang diarah oleh penggerak skim itu. Misalnya untuk masuk skim itu dia kena buka akaun dan masuk wang itu ke dalam akaun skim itu bagi tujuan mendapatkan pendapatan yang mudah dan lumayan. Itu saja. Tidak perlu buat-apa-apa.

Dan banyak yang percaya. Lalu dilakukan apa yang diarah. Bulan pertama dimasukkanlah pendapatan tapi tidak lah banyak , tidak melebehi dari wang yang telah dikeluarkan. Bulan seterusnya tiada lagi kemasukan. Kena tipu.

Oleh itu jangan percaya kepada mudahnya dapat rezeki tanpa usaha yang kuat. Nanti kena tipu.  

Bekerja dan berusahalah dengan kuat agar mendapat pendapatan yang barakah. Ketepikan sedikit pendapatan itu untuk berikan kepada ibubapa dan saudara mara yang memerlukan. Sedikit untuk sedekah atau derma. Jangan lupa bayar zakat jika telah cukup kiraan dan tempoh. 

Itu yang patut dibuat. Jangan harap rezeki datang menggolek. 

Khamis, 5 November 2015

Wah Sungguh Terkesan dan Mengesan Lirik dan Lagu Ini. Apa kah PM dan BN Tidak Memberi Telinga dan Hati Kepada Ciptaan Ini.


       


Sesungguhnya saya amat terkesan dan merasakan ianya amat mengesankan pada hati nurani saya, menggetarkan tubuh kecil ini apabila mendengar dan mengamati lirik dan melody MANA HILANG 2.6 BINTANG.

Dan saya segera bertanya: Bagaimana dengan perasaan dan tubuh badan PM kita DS Najib dan kerajaan BN apabila lirik dan melody ini memasuki dan melalui gegendang telinga mereka, terus menyelinap ke hati sanubari. Adakah nurani mereka rasa tercuit dan tubuh badan mereka menggetar? 

Saya percaya bahawa mereka semua khususnya PM DS Najib yang sentiasa mahu faham denyut nadi rakyat akan menundukkan kepalanya sambil melekapkan kedua-dua tapak tangan saling bertindan ke dada sebelah kanan.

"Aduh pilunya rasa hatiku", mungkin itu yang beliau dan mereka lafazkan.

Mungkin juga tidak. Lirik dan melody itu berlalu saja dikedinginan ruang hati dan dikebujuran anggota badan. Buat tak tahu. 

Kalau PM buat tak tahu, kalau BN pun begitu maka keraslah hati kalian. Oleh itu saya merasakan ada keperluan untuk mengulang semula isi hati rakyat yang telah disampaikan melalui lagu ini.

Seperti saya, PM dan menteri-menteri BN serta sebahagian besar rakyat, Kuala Lumpur adalah tempat idaman. Disana adalah sumber segala-galanya yang boleh direngkaskan kepada kemewahan dan kekuasaan. Sebab itu bukan saja tauke-tauke, politikus dan rakyat biasa bertumpu di KL bahkan KL menjadi harapan kepada orang miskin, papa kedana, gengster, perempit dan rakyat jalanan yang bergelandangan mendapat dan mencium rezeki disana.

Tak mungkin ke Kuala Lumpur....keluhan hati seorang anak muda. Kerana dalam perjalanan ke KL nanti dia akan  menggelupur, sudahlah dengan harga minyak yang tinggi, dia didera dengan sekatan beberapa bilangan lebuhraya bertol, yang harganya naik  seperti menyambut ulang tahun harijadi.

Bila selok poket, anak muda ini tidak ada apa-apa kerana wangnya telah dicuri oleh kos sara hidup yang tinggi. Namun belaiu diingatkan oleh pemimpin agar jangan risau sebab ada BR1M dan lain-lain bantuan.

Anak muda itu rela dan bersetuju tapi ingin tahu ke manakah hilangnya cahaya bintang bintang. Bukan satu bintang tapi 2.6 bintang. Takkan 2.6 bintang itu tidak sudi memberi cahaya kepadanya. Pertanyaan anak muda kepada Pak Mentari itu tiada jawapan, senyap sunyi sehingga kini.

Kemudian Pak Mentari cuba meyakinkan kepada anak muda itu bahawa TPPA 9tapi PA) yang ditentang oleh setengah pihak yang bakal ditandatangani nanti adalah baik untuk negara kerana harga akan turun, dan GST pula untungkan rakyat.

Namun begitu anak muda itu tidak percaya kata janji kerajaan itu kerana dilihatnya ramai rakyat yang murung (susah hati). Lalu sekali lagi beliau bertanya dimana hilangnya 2.6 bintang. Langsung tiada jawapan.

Sesungguhnya saya mengucapkan tahniah kepada pencipta lirik dan lagu ini.  

Rabu, 4 November 2015

Anak sembilang, sembilaang juga-----kalau dah hilang takkan jumpa.




Anak sembilang se mbilang lah juga 
Bilis berenang ke laut masin
Kalau dah hilang takkan jumpa
Habis dikaut bukannya se sen 

Pantun di atas khas saya cipta bagi menceritakan kisah yang terlalu panjang di perkatakan ketika ini. Kisah sejumlah wang yang amat besar yang 'hilang'. Kisah jumlah wang yang terlalu besar yang telah dikaut.

Anda yang peka dengan hal ehwal negara, yang amat sensitif dan sayang kepada negara sudah tentu dengan mudah dapat menghubungkan pantun itu dengan sebuah entiti milikan kerajaan...ya sebuah entiti yang gah pada nama tapi tak semenggah pada tingkah laku.

Satu malaysia hebuh menceritakan hal entiti itu. Dalam parlimen dan dikalangan rakyat ramai, cerita sama tidak pernah sunyi, baik yang menyokong entiti mahupun yang mempersoalkan apa yang dilakukan oleh entiti. Sebabnya entiti itu adalah entiti yang bersangkut dengan kepentingan rakyat. 

Ini bukan cerita dongeng. Kalau cerita dongeng ianya tidak perlu kepada siasatan. Ini adalah satu realiti, cerita benar, cerita yang wujud. Sebab itu telah ditubuhkan pasukan penyiasat. Satu tindakan yang wajar tapi pelik.

Mana tak peliknya, saya yang terlibat dalam pertuduhan dan saya sendiri tubuhkan satu pasukan untuk menyiasat pertuduhan itu. Sudah tentu saya akan mencari jalan yang selamat untuk saya. Macam-macam saya boleh buat. 

Terbukti, sehingga sekarang siasatan masih berterusan, dan masih lagi terhegeh-hegeh dik berbagai rintangan dan kacau ganggu.

Sebab itu saya semacam sudah naik meluat untuk menyebut entiti itu. Oleh itu saya tidak mengharapkan sangat hasil siasatan itu, dan ada sedikit terdetik dihati saya, bahawa tidak ada hasil yang akan diberitahu kepada kita nanti. Meloponglah kita nanti.

Jadi dalam keadaan mood saya seperti itu maka saya ciptalah pantun diatas.

Wang yang hilang terus hilang. Wang yang dikaut bukan sedikit. Kita juga yang jadi mangsa untuk mengisi kantung negara yang bocor itu melalui:

i) GST
ii) Kenaikan lebuhraya bertol
iii) Penghapusan subsidi
iv) Kenaikan tambang pengangkutan
v) Pengurangan/penghapusan biasiswa
vi) Pengurangan bajet IPT awam yang boleh menyebabkan bayaran ke IPT meningkat.

Ertinya kos sara hidup semakin meningkat. Sebab kantung kita bocor dik kelaku mereka yang kita amanahkan mengurus tadbir kantung itu. Bukan saja hilang , bahkan dikaut sama.