Theflowersellingboy

Khamis, 30 Julai 2015

SEJERNIH AIR MATA.




Selepas menunaikan solat Subuh, aku berbaring diatas katil. 

Sehelai kertas aku pegang erat. Aku baca dan teliti apa yang aku tulis malam tadi, selepas menunai solat terawih.

Ini adalah senarai nama-nama orang yang pernah aku bertegur sapa, yang aku gauli dan kenali yang ada hubungan emosi dan fizikal, sepanjang kehidupan ku. Bukan itu saja, ada sebab yang besar mengapa nama mereka perlu masuk dalam senarai.

Ada maksud yang hendak dicapai.

Hatiku mengiyakan bahawa apa yang aku tulis itu tidak lengkap bagi maksud yang hendak dicapai.

Banyak nama-nama lain yang aku masih ingat tapi tidak sempat aku tulis. Ada juga nama yang aku ingat tapi aku tidak ingat sebab besar yang membolehkan nama itu disenaraikan. 

Aku juga yakin bahawa terlalu banyak nama yang aku tidak ingat. CPU ku tidak mampu berfungsi seperti sepatutnya.

Aku kecewa dengan keadaan ini. Namun aku menyedari  bahawa jika pun aku ingat, nama dan sebab mengapa nama itu perlu disenaraikan, aku tidak ada kemampuan untuk menulis kesemua nama-nama itu. 

Ini adalah satu hakikat. Ini bukan alam fantasi, yang membenarkan khayalan menguasai diri untuk mencapai peringkat sempurna, satu ideal. 

Kecewa ku sedikit menurun. Kertas itu aku kesampingkan disebelah kanan baringanku.

Aku teringat semasa kecil , tapi sudah akil baligh, setiap pagi hari raya , selepas Subuh, ada saja tamu mengunjungi rumah ku berjumpa kedua ibubapa ku. Mereka itu ialah saudara mara bapa dan emakku, yang ada ikatan kekeluargaan, yang lebih muda dari ibu bapa ku dari segi usia, dan mereka yang pangkat lebih rendah dari segi hubungan kekeluargaan walaupun usia sebaya atau lebih tua dari ibu bapa ku.

Mereka datang hanya dengan satu tujuan. Mohon ampun dan maaf 'dihari baik dan bulan baik  ini' atas segala kesalahan -terkasar bahasa dan tutur kata, mohon halalkan makan dan minum.

Maka bercucuranlah  air mata, sedu sedan bunyi tangisan, berpeluk-pelukan bagai tidak mahu berpisah, yang dizahirkan oleh kedua-dua tetamu dan yang dikunjungi.

Kemudian, setelah emosi dapat dikawal, setelah perasaan menjadi tenang,  terpancarlah rasa ceria dan gembira diwajah mereka, di pagi hari raya, seolah-olah tiada lagi dosa diantara mereka'

Generasi sekarang panggil 'KOSONG KOSONG'.

Tahun sebelumnya, aku lihat peristiwa yang sama. Tahun yang mendahului tahun sebelumnya juga  aku lihat peristiwa yang sama.

Dosa di antara mereka terkumpul cukup satu tahun Hijriah. Dan akan dihapuskan pada hari   raya untuk menjadi kosong. Kemudian dikumpul lagi untuk dikosongkan pada pagi hari raya.

Mereka mohon ampun dan maaf bermaafan bagi perkara yang sama: Apa yang terkasar bahasa dan tutur kata. Halalkan makan dan minum.

Aku belum pernah terdengar lagi keampunan dibuat kerana telah mencuri telur ayam direban, atau mencuri buah durian misalnya. Atau kerana mengumpat dan membuat fitnah memburukkan keperibadian.

Aku mula mengukir sedikit senyuman. 

Dulu dan sekarang tiada apa bezanya. Bahkan permohonan maaf waktu ini lebih ringkas lagi, cukup sekadar pernyataan 'maaf zahir dan batin'. Ia dilakukan waktu bersalaman, sambil setengahnya berpelukan.

Disitu ada sentuhan perasaan dan fizikal.

Ada juga yang menggunakan proksi melalui hantaran sms, paparan blog, fb, tweeter, instangram dan whatsup. Panggilan talipon dan bersiaran melalui radio dan tv juga digunakan bagi memohon kemaafan.

Namun begitu, walaupun ada ayat-ayat panjang yang digunakan, tapi ianya umum, tidak spesifik.

Aku merasakan bahawa permohonan maaf secara proksi ini adalah satu lagi bentuk hiburan kerana  banyak yang memaparkan lagak gaya serta meluahkan kata-kata gurauan dan lucuan, dihiasi dengan gambar-gambar, lukisan, simbul  dan grafik tertentu. Tapi mereka tidak lupa dengan 'maaf zahir dan batin'.

Aku mengambil semula kertas tadi. Aku renung semula dengan penuh khusuk.

Aku menyedari bahawa hubungan aku dengan Allah tidak serumit hubungan aku sesama manusia. Dengan Allah aku boleh saja berhubung denganNya tanpa sekatan ruang , tempat dan masa untuk menyatakan dan mengharap atau mengadu sesuatu hal kerana aku tidak perlu tahu alamat Allah. Kerana aku juga tahu dan beriman bahawa Allah tetap ada.

Dan aku juga tahu bahawa apa pun yang aku buat atau yang telah aku lakukan atau akan lakukan, ianya sedikitpun tidak mengurang atau menambah sifat Allah.

Nothing, I am just His servant and forever submit to HIM, the Almighty.

Jika aku berdosa, dan sememangnya akau banyak dosa terhadap Allah kerana meninggalkan apa yang disuruh dan melakukan apa yang dilarang, tidak ada apa-apa halangan bagiku untuk berhubung dengan Allah memohon keampunan.

Sebaliknya, aku perlu tahu dimana duduknya manusia yg bernama sianu misalnya, dimana beliau berada kini,  alamat terakhirnya dengan jelas. Keadaannya, masih hidup atau telah mati. Atau masih sihat dan tidak nyanyuk atau siuman untuk membolehkannya faham apa yang hendak aku beritahu.

Seandainya pun jika aku dapat mengesan keberadaan sianu itu kerana dia masih hidup, sihat dan siuman, dan aku juga mampu dan berjaya untuk berjumpa dengannya, hatiku bertanya sanggupkah aku mengeluarkan dan munyusun kata-kata mohon ampun dan maaf.

Permohonan ampun dan maaf itu bukan sekadar maaf zahir dan batin saja.

Diatas kertas itu dibawah tajuk Nama tertulis: Ali. Dibawah tajuk Perkara: mencatatkan mencuri wang Ali sebanyak 10 ringgit. 

Sanggupkah aku merendahkan egoku membuat kenyataan berterus terang seperti itu? 

Ya, aku sanggup, kerana perkara itu terlalu kecil. Apa yang hendak dimalukan kerana jumlah yang dicuri terlalu kecil. Lagipun aku mencuri kerana perlu membayar hutang.

Sanggupkah aku memohon maaf dari Abu yang telah aku khianati sehingga beliau dibuang dari sekolah, menggelapkan masa depan siAbu itu. 

Sebagai ketua murid (head prefect) aku mengambil kesempatan atas kedudukan ku yang amat dipercayai mengemukakan bukti palsu memburukkan perangai siAbu, semata-mata Abu itu adalah pesaing kuat ku untuk memegang jawatan head prefect.

Aku menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Senak rasanya dadaku bagai dihimpit bebanan yang berat.

Sanggupkah aku?

Air mataku bergenang di kelopak. Sebutir, sebutir menitis. 

Sanggupkah aku? Sanggupkah aku? Sanggupkah aku?

"Abu, aku datang berjumpa dengan kau ini, pada hari baik bulan baik ini , memohon ampun dan maaf atas perbuatan ku mengemukakan bukti palsu memburukkan kelakuan kau semasa kita bersekolah dulu sehingga kau dibuang sekolah, yang menggelapkan masa depan kau".

Ya, aku sanggup dan bersedia melakukannya, bisikan kecil dari hatiku. 

Kesanggupan ku sejernih air mata yang mengalir dari kelopak mata.

Bagimana dengan Abu?

Itu adalah haknya. Jika mahu memaafkan ku, alhamdulillah. Jika sebaliknya, aku perlu terima balasan diatas kesaksianku yang palsu itu.

Aku hanya mahu mohon maaf. Biarlah permohonan maafku jelas dan terang sejernih air mata yang mengalir menitis sebutir-sebutir dari kelopak mata.

Bagaimana pula mereka yang aku tidak berpeluang untuk memohon ampun dan maaf kerana ada yang tidak dapat dikesan, yang tidak sihat yang boleh faham apa yang aku cakapkan dan mereka yang telah tiada didunia?

Bagaimana dengan kesalahan-kesalahan lain yang lebih besar dari itu?

Mataku menuruni lepas satu kesalahan ke satu kesalahan yang tercatit dalam senarai itu. 

Aduhhhhh.....!!!!!! 

Aku menutup mataku dengan kertas tadi. Aku menangis.

Selasa, 28 Julai 2015

BERKHAYAL UNTUK MENDEPANI ISU dan MASALAH NEGARA: Mengurus dan Mecari Jalan Penyelesaian Yang Terbaik




Terlalu banyak isu dan masalah yang perlu dihadapi dan dicari jalan penyelesaian.

Bayangkan jika anda berada dalam kedudukan seperti itu. 
 
Ligatkah anda melakukannya. Maksud saya memerah otak dan segala tenaga dan kekuatan yang ada digerakkan dalam mengurus dan mencari jalan penyelesaian -jalan penyelesaian yang terbaik.
 
Atau anda tidak berbuat sesuatu, membiarkan ianya berterusan dengan harapan sebahagiannya  kalau tidak semua akan menjadi senyap sunyi ditelan masa. 

Atau anda berlaku selektif dengan memberi fokus dan keutamaan kepada isu dan masalah yang anda fikir perlu diurus dan diselesaikan, kerana anda sedar bahawa anda mempunyai kemampuan yang ada hadnya.

Jika anda memilih cara pertama, anda bukan seorang manusia biasa. Anda manusia luar biasa. 'Superman', menurut  istilah yang diterima ramai, sifat manusia seperti anda itu. Dan anda sebenarnya mahu meletakkan diri dalam dunia khayalan seperti dalam filem, mengambil watak kartun.
 
Cara kedua pula, meletakkan anda sebagai manusia yang tidak berguna. Sia-sia saja Allah mengurniakan otak, tenaga dan kekuatan. Tempat anda sepatutnya berada dalam gua melakukan pertapaan.  
 
Cara ketiga adalah cara seorang manusia yang menyedari bahawa kewujudan diri ini  mesti ada gunanya dan berguna. Anda tidak mensia-siakan anugerah Allah. Anda ada kelebihan dan kekuatan, fizikal dan mental untuk berhadapan dengan isu dan masalah itu. Anda juga sedar bahawa jangkauan anda, mental dan fizikal ada hadnya kerana anda tidak bersendirian dalam hidup ini. Isu dan masalah yang anda hadapi adalah semuanya bersumber dan berkaitan dengan  persekitaran anda sendiri.
 
Sebab itu anda perlu bersifat selektif kerana anda seorang manusia, khalifah dibumi, dan mahu menjadi manusia yang berguna.
 
Jika itu pilihan anda, cuba applikasikan pilihan anda itu dalam mendepani berbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh Malaysia ketika ini. Dalam kata lain anda mengambil tempat DS Najib.
 
Mesti sentiasa sedar dan ingat, anda hanya diberi peluang untuk berkhayal saja walaupun berkhayal itu layak bagi manusia di kategori dua diatas. Anda berkhayal hanya seandainya anda ketika ini seorang perdana menteri Malaysia, dan bukan bertujuan untuk menjatuhkan DS Najib sebagai PM. 
 
Selepas berkhayal, dan anda begitu yakin mempunyai kemampuan untuk  berdepan dengan isu dan masalah negara ketika ini, maka tidak ada sesiapa pun boleh menghalang anda untuk meneruskan niat anda untuk menjadi PM, menggantikan PM yang sedia ada.
 
Hadapilah isu dan masalah dibawah ini, dan urus serta cari jalan penyelesaian yang terbaik yang boleh diterima oleh sebahagian besar rakyat dan juga tidak menyusahkan minoriti rakyat yang tidak bersetuju.
 
Isu dan Masalah.
 
i) Ekonomi dan kewangan
-sara hidup yang meningkat
-hutang negara yang tinggi 
-bajet negara yang defisit
-pasaran modal yang menguncup
-nilai ringgit yang terus menyusut

ii) Politik dan Hubungan Kaum
-Penentangan tehadap cara urus tadbir negara
  +demonstrasi besar-besaran dan kerap
  +laporan negatif tentang negara dari dalam dan luar
-Ketegangan kaum yang meningkat
  +Penglibatan berbagai pihak menaikkan rasa benci dan buruk sangka antara kaum
    +Pergaduhan antara kaum dan antara fahaman politik yang berbeza.

iii) Perbedaan Cara Mengahadapi Isu Dan Langkah Penyelesaian Sesama Pasukan dan Luar Pasukan
-Pendedahan salah gunakuasa dan penyelewangan 
  + Pendedahan ahli pasukan (parti/bekas pm)
  +Pendedahan dari pembangkang , rakyat dan pihak luar
-Menghadapi isu dan penyelesaian cara Timbalan Perdana Menteri dan penyokong.

Banyak lagi isu dan masalah. Tiga aspek isu dan masalah diatas pun bagi saya terlalu berat untuk saya hadapi, apatah lagi terdapat perbezaan saya dengan timbalan akan cara untuk mendepani dan mencari jalan penyelesaian.

Menyedari hakikat itu, saya merengankan beban anda. Anda diminta berkhayal hanya untuk menyelesaikan isu dan masalah dibawah tajuk kecil : menghadapi isu dan penyelesaian cara TPM dan penyokongnya, dibawah  aspek Perbedaan cara menghadapi isu dan langkah penyelesaian sesama pasukan dan luar pasukan.
 
Isu dan masalah yang lain memerlukan fakta dan statistik untuk mahu diselesaikan secara yang berkesan. Anda juga mesti ada ilmu ekonomi, kewangan, statistik dan sebagainya. Begitu juga anda tidak disediakan dengan pembantu dalam berbagai bidang dan kepakaran untuk berhadapan dengan isu dan masalah itu. Saya tidak berlaku adil meminta anda untuk berkhayal bagi mendepani isu dan masalah negara itu.
 
Ada satu berita penting. 
 
Saya difahamkan atau saya mentasirkan berdasarkan perkembangan dan maklumat terakhir, PM DS Najib telah ada jalan dan cara (baru terjumpa , gamaknya) dalam menghadapi isu dan masalah negara kita ketika ini.
 
ROMBAKAN KABINET!
 
Lihat dan tunggu, jangan buat komen tentang keberhasilan jalan dan cara yang telah djumpai oleh PM ini.
 
Tugas anda dan saya adalah untuk berkhayal saja. Tapi jangan cari gua untuk bertapa.

Isnin, 27 Julai 2015

Intrik 1MDB('s) Intrique




Intrik 1MDB('s) Intrique.

Apa itu intrik (intrique)?

i) Yang membangkitkan rasa meluap ingin tahu. Ada daya tarikan dan menimbulkan minat untuk ambil tahu.
ii) Yang melibatkan perancangan rahsia untuk melakukan sesuatu yang tidak sah atau yang boleh mendatangkan mudharat ke atas pihak lain.

Bagaimana 1MDB....adakah mempunyai dua perkara diatas?

Ikuti kesahnya dibawah ini, kemudian buat pendirian.

Mesti kenal dulu gerangan apa dan siapakah 1MDB ini. 

1MDB adalah sebuah syarikat milikan kerajaan 100% dibawah seliaan Kementerian Kewangan. Ianya adalah sebuah syarikat pembangunan strategik.

1MDB bertanggungjawab kepada Menteri Kewangan.  Ada sebuah Lembaga Penasihat yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan dan Lembaga Pengarah. Pengerusi Lembaga Pengarah dan ahli-ahlinya adalah atas lantikan Menteri Kewangan.

Ada staf pengurusan dan sokongan untuk memoperasikan segala urusan syarikat.

Apakah matlamat 1MDB?

Sebagai sebuah syarikat matlamat utama 1MDB ialah untuk membuat untung. Untung rugi adalah ukuran prestasi bagi sebuah syarikat.

Maksudnya kerajaan mendapat faedah jika syarikat itu buat untung. Jika syarikat itu rugi atau deselubungi masalah, kerajaan juga yang menanggunnya.
Adakah 1MDB ini istimewa berbanding dengan syarikat kerajaan yang lain?(istimewa membawa pengertian ianya tidak ditaklukkan atau patuh kepada peraturan dan prosedur seperti yang sepatutnya sebagai sebuah entiti perniagaan, apatah lagi milikan kerajaan).

Untuk berada pada satu kedudukan istimewa ianya ada kaitan  dengan siapakah yang berada dalam struktur 1MDB. 

Oleh kerana Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sudah tentu 1MDB ini menjadi istimewa/mendapat layanan atau perlu dilayan secara istimewa.

Siapakah yang berkuasa dari segi sumber pembiayaan dan kuasa utama di Malaysia?

Maka dengan itu untuk mendapatkan sumber pembiayaan, bukan satu perkara yang rumit kepada 1MDB (termasuklah anak-anak syarikatnya). 

Boleh pinjam dari dana kerajaan seperti Tabung Persaraan dan KWSP.  Boleh pinjam dari bank dan institusi kewangan, dan jika perlu jaminan atau sokongan kerajaan, ianya tidak menjadi masalah. 

Boleh mendapat pembiayaan secara surat hutang atau penerbitan bon. Jaminan atau sokongan kerajaan juga beres.
 
Memperolehi aset kerajaan seperti tanah pada harga premium yang rendah. 

Melupuskan aset kerajaan (tanah) yang dibayar pada premium yang murah kepada GLC yang lain seperti Tabung Haji pada harga berlipat ganda.

Bagaimana dengan kuasa?

Kuasa Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri ada bersama dengan 1MDB.

Sebab itu operasi 1MDB tidak mengambil kira mekanisma semak dan imbang (check and balance) yang mana ianya sesuatu yang amat perlu bagi sebuah syarikat yang membawa kepentingan kerajaan. Kerana kepentingan negara dan rakyat menjadi pertaruhan.
 
Banyak kerahsiaan dalam opersai dan modus operandi 1MDB.

Tiada siapa boleh menafikan ada banyak kerahsiaan dalam 1MDB. Mengapa perlu menjalankan urusniaga di Pulau Cayman? Mengapa memberi jawapan kepada soalan ahli Parlimen yang berbeza bagi perkara yang sama? Mengapa wang yang dikatakan hasil keuntungan operasi disimpan di Singapura? Mengapa simpanan itu dikatakan aset, kemudian dinamakan sebagai unit?
Bukankah itu berahsia namanya, tidak transparen?

Secara ringkasnya bahawa Kuasa dan Sumber yang yang sedemikian rupa, serta layanan istimewa, memberikan banyak ruang kepada 1MDB untuk menjalankan urusniaga secara tidak teratur, berahsia dan tidak transparen yang mana bercanggah dengan  keperluan dan kepentingan sebagai sebuah syarikat milikan penuh kerajaan.

Walaupun 1MDB diuruskan oleh mereka yang berkepakaran dalam tugasan masing-masing, kedudukannya seperti diatas membuatkan pengurusan sebuah syarikat kepentingan kerajaan itu mengabaikan keperluan mekanisma semak dan imbang (check and balance). Ini amat berbahaya sekali kerana kepentingan negara dan rakyat sebenarnya dijadikan sandaran. 

Tanpa melalui mekanisma ini, salah guna kuasa tidak dapat dielakkan. Maka tidak hairanlah 1MDB digunakan bagi kepentingan politik.

Sesungguhnya 1MDB ini beroperasi dengan penuh kerahsiaan. Kenyataan TPM orang no.2 selepas PM yang tidak faham dan tidak tahu dengan 1MDB adalah bukti jelas 1MDB beroperasi secara rahsia.

Sekarang apa yang terjadi dan telah berlaku? 

1MDB sarat dengan hutang. Ada yang melaporakan 42 billion ringgit. Dan ada yang melaporkan lebih dari itu -46 billion ringgit. 

Ingat, ada diantara hutang itu yang dijamin/disokong oleh kerajaan. 

Sihatkah 1MDB?

Tidak, 1MDB terlalu tenat. Sudah beberapa kali kerajaan meluluskan sejumlah wang bagi membantu 1MDB membayar faedah hutangnya. 

Oleh itu hujah 1MDB yang menyatakan syarikat itu boleh menghadapi masalah yang dihadapinya atas alasan asetnya (tanah yang dinilai 51 billion ringgit) melebihi dari hutang tidak mempunyai kekuatan. 

Sebab aset tanah itu tidak mudah untuk dicairkan dan nilai hasil jualannya juga tidak semesti sama atau melebihi dari nilai yang dinyatakan itu.

Jika itu juga alasannya, kita mahu tanya mengapa 1MDB perlu mendapat pembiayaan kerajaan bagi membayar faedah pinjaman?
 
Siapa yang susah? Siapa yang tanggung risiko? 

Soalan-soalan diatas sepatutnya dijawab oleb 1MDB sebab mereka yang menguruskan syarikat itu. Mereka yang melakukan segala transaksi sehingga melibatkan keberhutangan yang besar, jaminan kerajaan dan pelupusan harta.

Tapi malang sekali tidak ada jawapan yang meyakinkan. Kadang-kadang lain yang ditanya , lain pula yang dijawab.

Biar kita beritahu bahawa rakyatlah yang menanggung susah dan memikul risiko kerana rakyatlah yang memikul beban hutang dan masalah 1MDB itu. 

Sekarang sebahagian besar rakyat sudah tahu bahawa 1MDB tidak sihat. Pengurusannya tergelincir jauh dari keperluan semak dan imbang.

Intrikkah 1MDB? Sudah tentu!



 

  

Sabtu, 25 Julai 2015

Membawa Bingkisan Menuju Satu Destinasi: Siapakah Gerangan Yang Empunya Bingkisan Itu




Saya ada beberapa persoalan yang mencabar minda anda untuk menjawab berpandukan kepada cerita dalam paparan dibawah ini.


Ada tiga pengembara A, B dan C, masing-masing diberi tugas untuk membawa satu bingkisan. Bingkisan yang amat berharga, menuju kesatu destinasi yang sama. 

Setiap bingkisan ada kod rahsianya agar tidak mudah untuk dikesan, digodam ataupun dicuri, untuk selamat sampai ke destinasi yang telah ditentukan.

A menggunakan jalan yang berbelit-belit melibatkan beberapa persinggahan (transits) dengan harapan dan kepercayaan bahawa jalan yang berbeli-belit ini tidak mudah dikesan. 

Pilihan cara begini dalam membawa satu bingkisan yang amat berharga telah dirancang begitu teliti, dan menjadi asas utama yang menyebabkan A dipilih memikul tugas dan tanggungjawab membawa bingkisan itu.

Tapi B dan C memilih jalan mudah, jalan dari titik ke titik (point to point) tanpa berhenti kerana berhujah apa perlu singgah menyinggah sedangkan destinasi sudah pasti, tidak perlu buang masa kerana masa itu amat berharga, dan bingkisan yang dibawa pun amat tinggi nilai gunanya, tidak wajar dilewat-lewatkan ketibaannya.

Hujah B dan C ini juga telah memenangkan mereka untuk diberi tugas melakukan perkara yang sama.

Walaupun kaedah untuk sampai ke destinasi itu berbeza dan sama (A secara transit , B dan C secara terus titik ke titik) tetapi kenderaan yang digunakan bagi mengangkut bingkisan itu adalah tetap sama jenisnya cuma ianya tidak bermula dari tempat yang sama.

Mereka menggunakan pesawat terbang kerana melibatkan rentasan antara bangsa.

Cuba berikan jawapan i) Apakah bendanya bingkisan yang berharga itu. ii) Berapa nilainya menurut ukuran nilai wang (gunakan nilai ringgit. Anda mesti mempunyai ilmu dalam pertukaran matawang dan kadar pertukaran). Dan iii) Siapakah yang akan menerima dan memiliki bingkisan itu.

Perjalanan A bermula dari tempat yang menggunakan kod SR211xxx. (xxx yang tiga ini adalah terdiri dari huruf dan angka  yang rahsia untuk tidak mudah dikesan dan digodam).

Bermula dari destinasi itulah, A terbang bersama dengan bingkisan yang diletak di tempat duduk A, dicelah diantara peha kiri dan kanan, dikepit rapat-rapat dengan kedua-dua belah tangan diletakkan diatas bingkisan itu. Kedua-dua mata A sentiasa berwaspada, lagak seperti closed-circuit tv.

Apabila sampai saja ke satu transit yang rahsia berkod GM888xxx , A  membawa turun bingkisan itu dengan penuh waspada dan cermat untuk mengambil pesawat penerbangan yang lain pula.

Fakta cerita dari agensi penyiasat antara bangsa  mengesahkan bahawa bingkisan yang dibawa itu adalah terdiri dari sebuah kotak yang didalamnya terisi tiga bungkusan yang berharga. Bungkusan-bungkusan itu dimasukkan pada tarikh yang tidak sama dan satu daripadanya pada tahun yang berbeza. Nilai harganya juga tidak sama. Fakta cerita, jika wang dijadikan sebagai ukuran nilainya mencecah 50 juta ringgit.

Woi banyaknya tuuu...jika anda hanya biasa dengan sebutan sesen dan singgit.

Ucapan terima kasih perlu diucapkan kepada penyiasat antara bangsa yang dapat memberi fakta cerita bagi satu operasi yang rahsia.

Sungguh hebat kerja agensi penyiasat antara bangsa ini kerana dapat mengesan dan menggodam cara modus operandi A yang telah dirancang begitu lama dan rapi. 

Mungkin A bukan orang Melayu atau tidak tahu budaya orang Melayu. Kalau dianya Melayu mesti A sudah tahu bahawa tupai yang pandai melompat itu, tidak pernah lupakan tanah -tempat jatuh ( tanah) lagi dikenang. 

Baik, lupakan dulu agensi penyiasat yang bijak bistari itu.

A sebenarnya tidak sedar bahawa modus operandinya sudah dikesan, dan fakta telah sempurna dikumpulkan oleh agensi penyiasat antara bangsa itu. 

Dengan demikian A meneruskan perjalanan ke satu lagi destinasi berkod rahsia IP106xxx membawa bingkisan yang ditugaskan kepadanya, dengan selamat.

Di destinasi berkod IP106xxx ini, disatu ruang awam dan berprivasi, dalam sebuah tandas, A membuka bingkisan ini walaupun dia tahu bilangan bungkusan yang ada masih tetap tiga dan nilainya juga tidak berkurangan. Sikap A ialah berawas lebih baik dari berleka dan sambil lewa dengan ambil mudah saja -don't take thing for granted.

Setelah pasti bilangan bungkusan tetap tiga dan nilainya tidak berkurangan ianya memberikan keyakinan yang kuat kepada A untuk menambahkan lagi bilangan bungkusan. Tetapi dia ambil langkah berhati-hati tidak memasukkan  sekali gus bungkusan-bungkusan itu pada waktu yang sama. 

Dia teringat masa belajar dulu akan tiori portfolio dalam melabur dipasaran saham walaupun tidak sepenuhnya sesuai untuk diapplikasikan. 

Yang penting semangat tiori itu - pelbagaikan porfolio. Dia teringat akan kata-kata professornya,  "jangan meletakkan telur dalam satu bekas,  dikhuatiri semuanya akan pecah jika bekas itu jatuh ke tanah'. 

Dalam hal memasukkan bungkusan itu, jangan masukkan bungkusan yang berharga itu pada hari yang sama dikhuatiri jika ada yang dapat mengesan dan terus merompak/merampas berputih matilah A nanti. Gagallah missinya.

Mengambil semangat tiori itu sebagai panduan maka A memasukkan bungkusan itu pada tarikh yang berbeza. Terdapat tiga bungkusan juga. Dua dimasukkan pada tarikh yang yang berbeza tapi tahun yang sama dan satu pada tahun yang berbeza.

Nilai bungkusan menurut fakta yang telah dicuri  oleh penyiasat antara bangsa, adalah sebanyak 42 juta.

Macam mana? Tidak ada woiii....bermakna anda sudah biasa dengan sebutan ini. Lagi pun kali ini nilainya kurang 10 juta.

Kalau diteliti betul-betul modus operandi A ini, kita dapati dia perlu berada disatu tempat/destinasi melibatkan dua tahun masehi. Saya percaya tindakan ini adalah satu tindakan yang berhati-hati berancang dan terancang, demi keselamatan bingkisan itu untuk sampai ke destinasi.

Kemudian setelah dipasti semuanya ok, selamat, A ke destinasi terakhir yang berkod rahsia AB211xxx membawa satu bingkisan dengan muatan 6 bungkusan didalamnya bernilai 92 juta ringgit.

Woiiii banyaknya tuuuu...anda mula bersuara dan tercengang hairan. 

Anda sebenarnya bukan orang yang penyabar, terlalu cepat buat kesimpulan kerana fakta cerita belum habis lagi. Cara anda ini amat emosional sekali, ianya boleh mempengaruhi fikiran anda dalam memberikan jawapan. Jawapan orang yang emosional, biasanya tidak tepat.

Anda perlu ikuti fakta cerita B dan C dalam membawa bingkisan menuju destinasi untuk membantu anda memberi jawapan yang tepat.

Tapi jangan risau, usah juga putus asa, kerana agensi penyiasat antara bangsa akan menyuapkan fakta cerita itu.

Perjalanan B dan C ini terlalu cepat, terus tidak ada singgah menyinggah.

B memulakan operasi pernerbangannya pada lokasi rahsia berkod FBSBxxx dengan membawa satu bingkisan juga. Tetapi agensi penyiasat antara bangsa tidak dapat menyatakan bilangan bungkusan dalam bingkisan itu. 

Ia hanya dapat mengesahkan nilai yang terdapat dalam bingkisan itu. Itupun secara tidak terperinci, dengan merangkumkannya kepada satu nilai yang mudah diingat. 

Ertinya tiada billion, juta, ribu, ratus dan sen. Agensi itu hanya menyuapkan fakta bahawa nilai bingkisan yang dibawa itu sebanyak lebih dari USD 600 juta  saja. 

Dengan izin Allah perjalanan B sampai dengan selamat ke destinasi yang dituju. Bingkisan itu dapat diserahkan.

C pula dengan kaedah yang sama tetapi mengambil pesawat dari lokasi rahsia berkod TF505xxx dengan membawa bingkisan yang dinilai oleh agensi penyiasat sebanyak lebih dari USD 60 juta.

Tidak pasti mengapa agensi menyuapkan fakta nilai bingkisan yang di bawa oleh B dan C itu berdasarkan nilai wang USD. Saya hanya boleh meneka, mungkin disebabkan nilai tukaran matawang kita selalu berubah ke arah menyusut.

Namun begitu jumlah nilai 2 bingkisan ini adalah sebanyak lebih dari USD 660 juta.
  
Saya tanya: banyak tak? 

Kalau campur dengan bingkisan A macam mana? Banyak bukan?

Tiada woiii lagi?

Mengapa kelu lidah untuk berkata-kata. Ia cuma bingkisan saja. Jangan ambil peduli tentang nilainya kerana walaupun anda kata banyak ianya tidak juga diberikan kepada anda. Bingkisan itu  sudah ada yang punya.

Ya, jangan ambil peduli berapa nilai kandungan bingkisan-bingkisan itu. Usah juga difikirkan apa benda yang terkandung dalam bingkisan itu. Anda hanya perlu menjawab bingkisan-bingkisan itu untuk siapa untuk memilikkinya.

Anda dikecualikan untuk menjawab 2 dari tiga soalan seperti yang dinyatakan pada awal paparan.

Jika anda dapat menjawab dengan tepat, anda layak untuk jadi pengundi pada pilihanraya yang akan datang. 

Jika gagal menjawab dengan betul, anda jangan kecewa, anda juga layak menjadi pengundi tetapi anda mesti sentiasa berawas ketika itu kerana bingkisan yang mermatlamat serupa juga, besar kemungkinan akan tiba. Ketika itu ambil peluang untuk memilikinya.

Bai'ah Calun Pilihanraya PAS




Maklumat yang diperolehi setakat ini melalui berbagai laporan tentang bai'ah yang perlu dibuat oleh calun pilihanraya PAS adalah seperti berikut:

i) Bai'ah di lakukan oleh mereka yang dipilih menjadi calun pilihanraya. Setakat ini mereka itu terdiri dari calun lelaki. Tidak ada maklumat tentang calun perempuan. Mungkin ada bai'ah juga.

ii) Isi kandungan bai'ah tidak standard antara negeri. Kelantan mensyaratkan jatuh cerai talak tiga jika calun itu keluar parti. Tidak pula diketahui sama ada calun yang menang atau yang kalah.

iii) Pendapat berbeza di kalangan anggota masyarakat tentang jatuh cerai talak tiga itu, termasuk dikalangan yang berautoriti agama, misalnya hakim dan mufti.

Bai'ah secara amnya mengikut kefahaman saya adalah  sebagai janji taat setia dari satu pihak dengan pihak yang lain. 

Janji itu dilakukan bagi mendapatkan sesuatu yang memang dihajati atau yang berharga pada penilaian orang itu dengan menawarkan atau perlu menawarkan sebagai balasan sesuatu pemilikannya yang juga berharga sebagai tanda bahawa taat setia itu bukanlah satu taat setia yang dibuat secara main-main, ianya serious dan ada risiko yang perlu ditanggong. 

Ada hal atau sesuatu yang disayangi dan amat berharga akan menjadi korban jika bai'ah itu tidak dipatuhi.

Bai'ah itu adalah janji. 

Dalam politik PAS, janji itu dipanggil bai'ah. 

Seperti dengan janji-janji lain yang kita fahami dan lakukan, sifatnya tidak berbeza. Ada perkara atau benda yang kita hajati dan ada perkara atau benda yang kita miliki atau punyai yang perlu atau terpaksa kita beri, sedia atau tawarkan sebagai balasan untuk mendapatkan apa yang kita hajati. 

Dan jika berlaku perlanggaran janji itu misalnya gagal membayar ansuran hutang, dalam kes janji mendapat pinjaman dari bank atau institusi kewangan, balasan yang kita telah tawarkan atau cagarkan itu boleh dirampas atau dimiliki oleh bank/institusi kewangan itu. Itulah hukuman yang perlu dihadapi. Sama dengan apa yang akan dihadapi oleh calun pilihanraya PAS jika keluar parti iaitu melepaskan haknya -isteri jatuh talak tiga. 
  
Dalam janji biasa balasan yang itu dipanggil sebagai cagaran atau koloteral.

Ertinya balasan dalam bai'ah PAS itu tidak ada bezanya dengan, ianya juga sebagai cagaran/koloteral.

Menjadikan isteri sebagai cagaran/koloteral?

"Biar betul? Ini kerja gila!"

Mungkin itu yang terhambur dari mulut sebahagian dari kita. 

Saya fikir sebahagian besar dari bukan ahli PAS akan berkata seperti itu. Mungkin ada juga ahli PAS menyatakan perkara yang sama.

Gila atau siuman , betul atau batil, ianya satu realiti yang telah berlaku dan diamalkan oleh PAS Kelantan. Difahamkan telah lama dipraktikkan.

Dalam politik termasuk politik PAS mana ada definasi yang kekal dalam sesuatu hal dan perkara. Ianya boleh berubah, paling tidak ianya boleh diubahsuaikan, kalaupun tidak sepenuhnya diubah.

Contoh, jika anda masih ingat pada suatu ketika dulu termasyhur akan satu AMANAT -AMANAT HAJI HADI. Orang UMNO adalah kafir, secara ringkas itulah maksud amanat itu. 

Sekarang, terutama setelah bercerai dengan PR atau PR telah masuk kubur, UMNO bukanlah lagi dimaksudkan seperti dalam amanat itu. Bahkan kepimpinan UMNO yang melakukan rasuah dan salah gunakuasa, ada kalangan PAS segera mempertahankan.

Dulu, pada suatu ketika duluuuu, DAP adalah parti yang tidak wajar didekati dan dijadikan sahabat oleh PAS.

Dulu, dulu yang baru dari duluuuu, DAP adalah sahabat seperjuangan, duduk semeja boleh berunding, bermesyuarah atas dasar tahaluf siyasi bagi menumbangkan UMNO/BN yang diiktiraf sebagai musuh ketat.

Sekarang dan beberapa purnama yang berlalu, DAP sudah jadi musuh ketat, tidak boleh lagi bersama sedangkan matlamat PAS seperti yang selalu diulang sebut adalah untuk menumbangkan UMNO/BN.

Musuh PAS sekarang, kononya UMNO/BN, dan DAP serta yang bersama dengan DAP sebagai musuh tegar, yang sebenar.

Itulah pegangan sebuah parti politik termasuk PAS dalam mendifinasikan sesuatu hal, perkara dan keadaan sebagai kaedah operasi untuk mendapatkan kuasa walaupun ada dikalangan pimpinan PAS mengatakan kuasa bukan matlamat tapi redha Allah adalah matlamat parti itu. 

Anda jangan pula ketawa terbahak-bahak apabila mengetahui dan mendengar kenyataan seperti ini. 

Jangan gatal mulut untuk bertanya, "Mengapa masuk bertanding, dan bagaimana untuk melaksanakan sesuatu yang parti itu hajati jika tiada kuasa dalam sebuah sistem demokrasi yang penentuan memiliki kuasa dan membentuk kerajaan adalah berdasarkan kepada menang majoriti?"

Sebab, PAS sudah ada jawapan, "Kami cari keredahaan Allah". Terkedu anda dibuatnya.

Dengan demikian apa saja perkara, hal dan kepunyaan boleh dijadikan syarat bai'ah oleh PAS walaupun syarat itu ada yang mengatakan syarat orang tidak siuman. 

Bagi saya, kedua-dua pihak iaitu yang membuat janji dan yang menerima janji adalah tidak siuman. 

Seorang suami sanggup mencagarkan isteri demi satu kedudukan politik? 

Sebuah parti politik yang kononnya asas perjuangan antara lain termasuk untuk  mempereratkan ukhwah dan ikatan persaudaraan sanggup mengenakan syarat cerai talak tiga bagi membolehkan ahlinya bertanding!

Ertinya lafaz nikah ahli PAS yang mahu bertanding sepatutnya memasukkan syarat ini. Beres, tidak perlu tunggu sehingga pilihanraya.

Ertinya juga, tempoh hayat sebuah rumah tangga ahli PAS yang bertanding telah ditentukan. Keluar PAS, bercerai talak tigalah kamu.

Tentang sah atau tidak sah syarat itu, terdapat hukum yang berbeza. Ada pihak yang kata sah dan ada yang sebaliknya. (Saya gunakan perkataan hukum kerana  yang membuat kenyataan adalah dari ketua hakim syarie dan mufti -mereka yang ilmunya tinggi dari segi agama Islam, dan ada otoriti).

Jika demikian, ianya menjadi celaru dikalangan orang awam, yang mana satu pegangan yang perlu diikuti.

Namun begitu, saya berpendirian bahawa sesuatu syarat yang hendak ditawarkan dan diletakkan itu mestilah berdasarkan kemampuan sipembuat janji dan keikhsanan penerima janji. Ianya tidak memudaratkan dan merosakkan keutuhan sebuah struktur hidup bermasyarakat dan beragama.

Apakah cerai talak tiga itu lebih penting bagi sang suami demi satu kedudukan politik? Soalan itu sepatutnya ditanya oleh sang suami.

Jika sang suami telah bertanya soalan seperti itu dan berpuas hati untuk risiko sebuah rumah tangga maka jelas lelaki itu sebenarnya bukan mahu menjadi seorang suami. 

Adakah mensyaratkan cerai talak tiga, satu bentuk ikhsan dari sebuah parti politik demi mengikat ahli yang bertanding kekal dalam parti? Sepatutnya soalan ini didahulukan sebelum mengenakan syarat seperti itu.

Jika parti itu menjawab soalan tersebut dan bersetuju ianya satu ikhsan maka parti itu bukanlah sebuah parti yang benar benar mahu memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan tapi lebih cenderung ke arah pecah belah dan merosakkan.

Saya juga tertanya-tanya adakah syarat yang sama dikenakan kepada wanita PAS yang mahu bertanding -cerai suami talak tiga jika keluar parti. 

Jika PAS mengamalkan konsep konsisten dan adil sepatutnya syarat yang sama dikenakan. Dan jika syarat yang sama dilakukan, ada soalan yang akan ditanya.

Perempuan menceraikan suami dengan talak tiga? Biar betul, suara kehairanan dan perasaan pelik saya pula terhambur.

Saya juga ingin bertanya: 

i) Adakah perceraian yang halal dan dibenci Allah itu merupakan syarat terbaik sebagai jalan atau cara yang dipilih untuk menghalang ahli keluar parti? 

ii) Adakah setakat itu kemampuan daya fikir ahli PAS, yang selalu diwarwarkan sebagai parti pimpinan ulama', dalam memilih jalan keluar bagi mengatasi keluar parti bagi calun yang bertanding?

iii) Adakah syarat cerai talak tiga itu terpakai untuk semua calun yang bertanding tanpa kira calun itu kalah atau menang.

Tapi kalau ikut logik syarat sesuatu perjanjian misalnya pinjaman bank, hanya mereka yang berjaya saja yang terkena syarat itu. Oleh itu saya andaikan, mereka yang kalah tidak akan tertakluk pada syarat itu.

iv) Adakah PAS mempunyai manual standard operasi yang berbeza diantara negeri. Yang diketahui setakat ini hanya Kelantan saja yang meletakkan syarat itu.

Akhirnya bagi saya bukan soal sah atau tidak syarat cerai talak tiga itu yang perlu diselesaikan atau difikirkan oleh semua orang khususnya orang Islam tapi adakah syarat itu diberi atau ditawar dengan rela hati dan ada sifat ikhsan dari pihak yang mengenakan syarat.

Soal rela hati ini juga perlu ditanya lagi. 

Adakah sang suami itu rela hati menceraikan isterinya demi satu kedudukan politik. Jika jawabnya, 'ya', bagi saya dia tidak layak dipanggil sebagai suami, dia hanya seorang lelaki yang rakus yang mana kewujudannya semata-mata hanya untuk memuaskan nafsu serakah secara bertempoh.

Wallahulam. Allah saja yang maha mengetahui.

Jumaat, 24 Julai 2015

Kutbah Hari Jumaat: Perpaduan dan Wasatiyah




Hari ini khatib membaca khutbah Jumaat yang menyentuh soal perpaduan dan sifat wasatiyah. 

Seperti biasa suara khatib itu adalah lantang dan jelas. Butir-butir perkataan dan ayat yang dikeluarkan dari mulutnya adalah jelas, lancar tanpa tersekat-sekat. Ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam menyampaikan khutbah itu. 

Saya percaya dan mengharapkan beliau faham isi dan maksud khutbah   yang dibacakan itu.

Hal berkaitan perpaduan dan wasatiyah ini, bagi kebanyakan kita adalah perkara yang sudah selalu didengar dan mungkin sudah jemu untuk didengar. Tapi apabila dikhutbahkan maka saya percaya ianya sudah dipertimbangkan sebagai perkara penting untuk diberitahu, khususnya kepada para jemaah.

Saya ikuti dengan penuh perhatian. Namun begitu, ada juga kepala yang terlentuk.

Secara rengkasnya , khutbah itu menyeru semua rakyat Malaysia tanpa kira latarbelakang, bangsa dan agama perlulah bersatu padu dan hidup secara bersederhana.

Sekiranya khutbah itu diperhalusi secara mendalam ianya bermaksud tiada manusia yang lebih baik selain mereka yang bertakwa kepada Allah.

Walaupun maksud bertakwa itu semacam ditujukan kepada orang Islam, saya ingin membuka ruang untuk memasukkan orang bukan Islam atas kepercayaan bahawa mereka juga perlu berlaku dan bersikap menjadi manusia yang baik, yang berguna kepada diri dan negaranya.

Bukankah kita hidup perlu berkenal-kenalan diantara satu dengan lain tanpa kira latarbelakang mereka? Berbuat baik sesama manusia. Tidak ada dan tidak juga menyimpan buruk sangka hanya kerana dianya bukan orang kita, bukan seagama dengan kita.

Maknanya jika mereka yang berbeza latarbelakang itu melakukan kebaikan maka wajib kita sokong begitu juga sebaliknya.

Dan jika ada diantara kita yang melakukan kemungkaran maka menjadi tanggongjawab kita dan dia untuk menegur, menghalang dan mengambil tindakan keatas orang yang melakukan kemungkaran itu. Begitu juga sebaliknya.

Kita, mahu pun dia tidak wajar untuk membela dan mempertahankan kemungkaran itu semata-mata kerana yang melakukannya mempunyai latarbelakang yang sama -sama bangsa dan agama.

Itulah sepatutnya yang perlu difahami dari khutbah yang dibacakan oleh khatib itu. Kalau tidak saya percaya khutbah itu menjadi sia-sia saja -masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Malah ada yang tak sedar ianya masuk ke dalam gegendang telinga yang mana satu kerana lena tertidur.

Realitinya tidak seperti yang sepatut dan yang diharapkan. Masing-masing kita, termasuk khatib yang membaca khutbah tadi dan mereka yang suka bercakap fasal perlunya perpaduan dan hidup berwasatiyah, secara amnya atau sebahagian besarnya tidak melakukan ke arah memperteguhkan ikatan perpaduan dan hidup berwasatiyah. 

Dari peringkat pemimpin dan ke bawah kita gagal melakukannya.

Paling malang sekali kita terlalu cenderung melihat dan menilai sesuatu perbuatan bukan atas sifat perbuatan itu tetapi siapa pelakunya. 

Contoh -seorang Melayu melakukan kemungkaran misalnya jenayah bunuh atau rasuah, tetapi kerana pelakunya Melayu maka ada sebahagian dari kita sanggup mempertahankan perbuatan itu, dengan berhujah bahawa 'dianya orang Melayu, dan mengapa kita dengki orang Melayu jadi kaya'.

Begitu juga saya percaya perkara yang sama dilakukan oleh bukan Melayu.

Kecenderungan seperti ini saya lihat berterusan dan semakin membimbangkan. 

Cuba kita renungkan kes kecurian di Low Yat. Perkaranya adalah kecurian. Ertinya pencuri itu mesti dilihat dari segi perlakuan mencuri itu dan bukan bangsanya. Begitu juga tuan punya barang yang dicuri, perlu dilihat dari segi barang jualannya dan bukan bangsanya.

Apabila kita melihat dari segi bangsa dan bukan perlakuan mencuri itu maka ianya mudah di manupulasi untuk dijadikan bahan bagi menimbulkan kebencian antara kaum sedangkan perlakuan mencuri itu adalah salah, di tinjau dan diukur dari mana-mana budaya sesuatu bangsa dan agama.

Dan penjual barang itu pula adalah dari bangsa yang tidak sama dengan si pencuri. Maka ada pihak mengambil kesempatan dengan mengatakan penjual barang itu melakukan penipuan atau menjual barang tiruan.

Maka disemarakkan perasaan benci antara kaum. Ianya amat merbahaya kepada perpaduan kaum. Maka seruan perpaduan kaum yang selalu dilakukan termasuk apa yang dibacakan oleh khatib tadi menjadi sia-sia saja.

Begitu juga tentang wasatiyah. Ianya sedap disebut tapi tidak banyak orang yang mempunyai sifat berwasatiyah dalam kehidupan masing-masing -sama ada dari segi sikap, pandangan, perhubungan antara kaum mahupun cara hidup. Dari barisan pemimpin sehinggalah ke bawah wasatiyah ini hanya keluar dari bibir saja, dan ada yang tidak faham maksud wasatiyah yang diperkatakan dalam al-quran.

Wasatiyah dalam al-quran jika diamalkan melayakkan diri orang itu kesaksiannya boleh dipercayai.

Dengan itu apabila khutbah yang saya dengar hari ini, membuatkan saya tersenyum sendiri. Tersenyum bukan kerana suka tetapi tersenyum   merasa malu pada diri sendiri. Sebab sebenarnya kita telah menipu pada diri sendiri, kapada bangsa dan mempermainkan agama suci kita. Kita lakukan lain dari apa yang kita cakap. 

Dan kita pula tidak malu-malu mempertahankan kerana yang melakukan perbuatan mungkar itu adalah orang kita, bangsa kita dan seagama dengan kita. Bahkan kita mempertahankan perbuatan mungkar itu kerana yang melakukannya itu orang satu parti politik dengan kita.

Jadi bagaimana saya boleh tidak tersenyum mendengar khutbah Jumaat hari ini!

Khamis, 23 Julai 2015

Penyangak, Perompak, Pencuri dan Penyamun




Penyangak, Perompak, Pencuri dan Penyamun? Siapakah gerangan mereka ini? 
 
Bagi saya mereka ini ada juga ciri-ciri tersendiri dan berbeza walaupun mereka ini adalah orang JAHAT.
 
Saya tidak akan berbicara tentang ciri-ciri yang berbeza yang mengasingkan mereka kerana pada akhirnya mereka adalah orang yang terkumpul dalam kategori orang JAHAT.
 
Dengan demikian saya hanya mahu berbicara tentang PENCURI.
 
Saya perlu ingatkan bahawa jangan mudah merasakan diri kita terlepas dari kategori sebagai pencuri.
 
Bagi saya, semua kita adalah pencuri atau sudah biasa melakukan pencurian. Ertinya tiada seorang dari kita yang terkecuali dari tergolong sebagai orang JAHAT. 
 
Secara mudah saya bahagikan dimanakah kedudukan kita di kalangan pencuri itu.
 
Pertama,  golongan sedikit jahat iaitu mereka yang  banyak buat baik dan sentiasa memperjuang dan mempertahankan yang baik tapi jarang-jarang buat jahat. 
 
Kedua, mereka yang melakukan perkara baik dan sentiasa menyebelah perkara-perkara yang baik tapi kadang-kadang melakukan perkara jahat. 
 
Ketiga, mereka yang buat jahat kerana ianya adalah perkara biasa, dianggap sebagai satu keperluan walaupun sedar bahawa ada dosa disebalik perbuatan jahat itu.
 
Di manakah kedudukan saya? Saya pasti saya bukan di kedudukan no.3. Dan berharap tidak juga di kedudukan no. 2. Saya harap berada di kedudukan no.1 kerana mustahil saya akan berada di kedudukan no.0 iaitu orang yang baik tidak pernah melakukan pencurian.
 
Bagimana dengan anda para pembaca sekalian? Sudah tentu anda dapat tahu kedudukan anda sendiri kerana selain dari Allah, anda sendiri tahu mengenai apa yang anda pernah dan mahu lakukan.
 
Mencuri? 
 
Ya, semasa kecil dulu, bersekolah rendah, dalam perjalanan balik dari sekolah ke rumah, saya telah memanjat pokok jambu batu kepunyaan orang lain, tanpa izin tuan punya telah memetik dan memakan buah jambu itu. Sudah tentu ini kerja pencuri.
 
Anda faham maksud curi tulang? Saya juga telah melakukannya. Emak suruh angkat air dan penuhkan satu tempayan besar tapi saya cuma isi tiga suku saja. Itu namanya curi tulang. Pencuri juga kategorinya.
 
Satu lagi, berkaitan dengan tiket letak kereta. Jam ditangan menunjukkan 10.25 pagi, dan jika saya mahu meletak kereta, saya perlu menggores pada  ruang yang menunjukkan waktu 10.25 pagi, untuk berakhir sahlaku pada 11.25 pagi bagi tiket bertempoh satu jam.
 
Tapi apa yang jarang-jarang saya lakukan? Anda sudah dapat menekanya. Ya, saya menggores yang menunjukkan waktu 10.30 pagi untuk berakhir pada 11.30 pagi. Saya telah mencuri tempoh masa 5 minit.
 
Tempoh masa lima minit ini mungkin nampaknya terlalu pendek. Tapi implikasi tidak baik pencurian 5 minit ini tidak boleh diketepikan. 
 
Pertama , saya telah menutup peluang bagi orang lain yang perlukan ruang letak kereta pada waktu selepas 11.25 pagi misalnya pada pukul 11.30 pagi. Ini sudah tentu menyusahkan orang itu dan berkemungkinan menaikkan tekanan darah dan mempercepatkan denyutan jantungnya. Boleh kena strok.
 
Kedua, perbuatan saya itu telah merugikan tuan punya tempat letak kereta dari segi kutipan hasil.
 
Menurut pengalaman dan apa yang saya tahu setakat ini, mereka yang tergolong dalam kategori mencuri no.1 dan no. 2 biasanya mudah saja menerima hukuman. 
 
Cara pencuriannya tidak canggih, mudah saja dapat dikesan dan diperangkap. Kerja mencuri adalah kerja yang jarang-jarang atau kadang-kadang dilakukan. Banyak masa ditumpukan kepada kerja yang baik-baik. Ertinya mencuri itu adalah kerja yang luar dari biasa.
 
Pencuri kategori no.3, adalah pencuri tegar. Kerja mencuri dianggap perkara biasa dan sudah menjadi satu keperluan dan dibudayakan. Namun begitu mereka juga sentiasa memperkatakan bahawa kerja mencuri itu adalah kerja yang tidak baik dan perlu dihindar, bahkan bersetuju jika yang mencuri itu dikenakan hukuman.

Pendirian orang kategori ini nampaknya bercanggah iaitu melakukan pencurian tapi tidak bersetuju kerja itu dilakukan. 
 
Secara sepintas pandang begitulah nampaknya. Namun pendirian itu boleh diubahsuai atau boleh diketepikan apabila kepentingan diri/institusi/kelompok diutamakan mengatasi soal dosa dan pahala.
 
Pencuri kategori ini tidak mudah dikesan dan diperangkap. Ilmu mencurinya tinggi dan kaedah melakukan pencurian itu pelbagai dan tempat menjalankan operasi juga diistihar dan diakui bebas dari siasatan dan tertakluk kepada perundangan yang diterima pakai.
 
Mereka juga mempunyai jaringan hubungan yang luas serta rahsia, disokong pula dengan daya kreativiti perakaunan (creative accounting) bagi tidak menampakkan kerja jahat itu sebagai kerja mencuri melalui  penggunaan berbagai akaun sebagai akaun transit sebelum hasil pencurian itu terkumpul ke dalam satu akaun utama.
 
Ada sebahagian dari mereka yang telah dikesan dan telah ada bukti yang jelas melakukan kesalahan, juga tertakluk kepada undang-undang dan boleh didakwa dan dihukum jika sabit kesalahan.
 
Tapi ada juga dikalangan mereka ini yang kebal dari peraturan dan undang-undang.
 
Walaupun mereka ini boleh atau sudah dikesan -telah ada bukti yang jelas melakukan pencurian, jangan diharapkan mereka mudah untuk dikenakan hukuman berbeza dengan kategori no.1 dan no.2. 
 
Apa pun, kita perlu mengakui bahawa kita semua adalah juga  pencuri -pernah menjadi pencuri. 
 
Apakah kita juga seorang penyangak, perompak atau pun penyamun atau kesemuanya. Kita sendiri yang mampu menjawab. 
 
Saya bukan penyangak, bukan juga perompak tidak juga penyamun.

Khamis, 16 Julai 2015

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin




Banyak hari saya telah tidak menulis dalam blog ini. Keletihan dan tiada mood yang meransangkan?
 
Bukan sebab keletihan disebabkan berpuasa. Tidak juga kerana tiada mood untuk menulis. Dua perkara itu bukan sebab utama yang membuatkan saya berihat dari menulis. Namun diakui juga salah satu dari sebabnya.
 
Menulis dalam bulan puasa, ada pantang larang dan disiplin yang perlu dipatuhi, sekurang-kurangnya bagi saya. Pilihan perkataan, ayat-ayat dan perkara yang mahu diketengahkan perlu dijaga dengan rapi agar tidak mencemarkan amalan ibadat berpuasa, dikhuatiri amalan berpuasa itu menjadi sia-sia saja.
 
Ini tidak bermakna pada bulan selain dari Ramadhan , saya bebas untuk menulis secara semborono saja, mengikut apa yang saya suka. Cuma saya merasakan agak mudah untuk memilih kata-kata dalam menyusun ayat dalam sebuah kiash atau cerita. Mood menulis mudah diransangkan.

InsyaAllah selepas sehari dua berhari raya saya akan mula aktif menulis semula.

Mengambil kesempatan menyambut hari raya tahun ini, saya mengucapkan selamat hari raya kepada pengunjung blog kecil ini, maaf zahir batin.

Jumpa lagi.
 
 
 

Khamis, 9 Julai 2015

Cakap Berdentam dentum kalahkan petir tapi banyak yang bohong

 
 
 
Kau ni cakap berdentam dentum, kalahkan petir tapi banyak yang bohong.

Bohong...bohong...bohong...banyak kali kau cakap bohong. Betullah kau ni siakap senohong..suka cakap bohong. 
 
Gelama ikan duri...dah lama jadi begini. Bohong sokmo...Seumur  hidup kau mahu buat bohong?
 
Jawablah apa orang tanya dan bukan apa yang kau nak cakap.  
 
Irrelevant , kata mendiang hakim Augustin Paul dalam kes perbicaraan sodomy 1 Anwar dulu, jika kau masih ingat atau mahu ingat.
 
Aku tidak lupa dan tidak mahu lupa selagi hayat dikandung badan tentang perkataan irrelevant yang selau diucapkan oleh hakim itu. Pada aku perkara yang dibangkitkan adalah relevant. 
 
Ke sana pulak aku merayau. Ini semua kau punya fasal.
 
Orang tanya kau nak ke mana. Kau jangan jawab kau ada jet. Jawablah, kau nak pergi ke Australia ke,  atau Amerika ke, atau ke Cayman Island ke.
 
Ini, tentang kes orang dakwa betul tak kau terima wang dari A dan masukkan ke dalam akaun simpanan kau. 
 
Kau hanya perlu jawab untuk mengesah dan menidakkan saja....benar atau palsu.  Yes or no. 
 
Kemudian jika kau kata tidak , dan orang itu masih tak percaya, kau bukak saja akaun kau depan mata dia, biar dia tengok sendiri. Padan muka dia...kalau benarlah tiada wang dari A yang masuk. Kalau benar ada yang masuk, padan muka kau.
 
Tapi beranikah kau buat macam tu? 
 
Pasal apa kau jawab kau hanya gunakan wang dalam akaun simpanan itu hasil dari gaji kau saja. 
 
Lain yang didakwa, lain pula yang dipertahankan. Apa punya manusia kau ni.
 
Jawapan kau tu buat orang percaya dengan dakwaan itu. Sebab kau tak nafikan.
 
Akibatnya, mungkin dulu ada orang yang tidak percaya dengan dakwaan itu , tapi bila kau jawab macam itu, orang itu bukan saja pening kepala tapi dah mula was was apa yang kau cakap. Dia orang pun ada otak boleh fikir.   

Apa nak jadi kau ni.
 
Sekarang aku nak tanya kau. 
 
Kau bersiap-siap pagi buta ni nak pergi mana?
 
Apa? Kau nak pergi pasar? Nak beli apa? Tak takut GST ke?

"Aku nak beli ikanlah"

Ikan apa?

"Biasalah, ikan siakap, senohong, ikan gelama dan ikan duri"

"Kau suka makan ikan-ikan tu?"

"Makanan harianku"

Ooooh, patutlah.
 
Pertama kali aku dengar kau tak cakap bohong. Kau jawab apa yang aku tanya.
 
GST macam mana?
 
"Aku tak tahu".
 
Dah mula nak cakap bohong....apalah kau ni.