Theflowersellingboy

Rabu, 11 Mac 2015

Sebuah Model Perniagaan Untuk Jadi Kaya



Saya mahu menjadi orang kaya. Saya telah banyak kali fikirkan cara mana nak jadi orang kaya. Bukan saja jadi orang  kaya, tapi cepat jadi kaya. Maka tidak ada satu saat yang berlalu, otak saya tertinggal untuk fikirkan macam mana nak jadi kaya, cepat kaya.
 
Walaupun saya mahu jadi kaya, saya tidak mahu menipu untuk jadi kaya. Itu sumpah setia saya pada diri sendiri. Dalam sumpah setia itu saya berkata,"Lebih baik saya jadi miskin dari jadi kaya secara menipu".
 
Macam mana yek untuk jadi kaya? Nak berniaga, modal tiada.
 
"Fikir, fikir. Gunakan otak yang dikurniakan Allah tu untuk jadi kaya", begitulah selalunya jawapan kepada soalan sendiri itu.
 
Tapi saya tidak tertarik dengan skim menjana pendapatan besar dan mudah seperti yang banyak diiklankan dalam facebook. Biarlah berjuta testimoni mengatakan begitu. Saya kata skim itu skim menipu.

Jadi bagaimana caranya? Soalan yang sama juga muncul.

Maka pada suatu hari saya didatangai oleh seorang kawan lama. Kawan satu pejabat di kementerian kewangan. 
 
Saya hanya berkhidmat setahun dikementerian itu (kerajaan) kerana saya tidak fikir bekerja dengan kerajaan saya boleh jadi kaya. Tapi kawan saya itu meneruskan perkhidmatannya dengan kementerian tersebut sehingga sekarang.

Apa macam sekarang? tanya kawan saya.

Saya faham maksud soalan kawan saya itu. "Kau dah jadi kaya ke?"

Semasa saya buat keputusan berhenti kerja dulu, saya beritahu kawan itu bahawa sampai kucing bertandukpun pegawai kerajaan tidak boleh jadi kaya. Pegawai kerajaan adalah hamba bagi memperkayakan orang lain. Pegawai kerajaan hanya hamba yang menurut perintah tuannya.
 
Kawan saya itu amat marah dengan kata-kata saya itu. 
 
Jadi pada perjumpaan itu beliau memulangkan paku buah keras.
 
Saya tersengeh saja.

Namun begitu kawan saya ini memberitahu saya dia ada satu model perniagaan yang telah terbukti boleh menjadikan seseorang itu kaya.

Reaksi segera saya, tapi dalam hati, ini semua mahu tipu.

Tapi dia beriya-iya sangat mahu menerangkan modus operandi model perniagaannya itu. Mungkin dia tahu saya masih lagi mahu jadi kaya.

Akhirnya saya bersetuju.

Pertama, katanya saya kenalpasti adik beradik atau saudara mara yang ada banyak harta, misalnya tanah.

Kedua, atas dasar kasih sayang, sewa tanah itu pada bayaran sewa yang minima, dan sebagai balasan kasih sayang hadiahkan  syer syarikat pada nilai RM1   kepada saudara itu dengan menamakan syer itu sebagai syer emas (golden share). Tetapi saudara itu tidak aktif dalam perniagaan.

Ketiga, syarikat sewakan balik tanah itu kepada saudara itu dalam tempoh jangka masa 20 tahun dengan mengenakan bayaran 1 juta dan sewa dibayar setiap enam bulan pada setiap tahun.

Keempat, gunakan tanah itu sebagai jaminan untuk dapatkan pinjaman.

Kelima, buatlah cara yang sama jika ada tanah-tanah yang lain untuk mendapatkan modal niaga.

Saya mendengar dengan teliti. 
 
Habis saja penerangannya saya beritahu kawan itu bahawa model perniagaan itu model gila dan menipu. 

Adakah tuan tanah sanggup menerima sewa tanahnya yang rendah? Dan kemudian menyewa balik (sub lease) tanah itu dari syarikat, dengan  harga yang tinggi pula. Gila, model perniagaan yang gila, terang-terang menipu.

Kawan saya itu ketawa besar. Kemudian dia berkata bahawa model perniagaan ini memang telah dan sedang diamalkan oleh syarikat besar-besar, dan ada yang terbukti sudah jadi kaya.

Saya bertanya: Kalau syarikat rugi macam mana? Apa jadi kepada tanah yang jadi cagaran pinjaman itu?

Kawan saya itu menenangkan kerisauan saya itu dengan menyatakan bahawa berniaga mesti hadapi risiko. Lagi besar risiko, lagi besar untung yang dijangka diperolehi. Tapi katanya lagi, seseorang ahli perniagaan itu mestilah bekerja kuat, jika mahu jadi kaya.

Saya diam mendengar, bukan tidak faham tapi tidak percaya seorang kawan boleh memberi idea yang begitu bodoh sekali. Idea menipu.

Kawan saya terus meyakinkan saya bahawa jika syarikat gagal, ianya tidak merugikan saya kerana modal itu bukan datang dari saya. Mengapa perlu saya susah hati.

Mendengarkan kata-kata itu saya naik berang dengan bersuara kuat, "Tanah itu saudara saya yang punya. Apa kamu ingat aku mahu menipu saudara sendiri".

"Kan kau nak kaya.  Berniaga tidak boleh jadi emosional", kawan saya melangkah meninggalkan saya. Saya terdengar juga katanya bahawa ,"Dah ada bukti. Ada orang yang dah jadi kaya dengan model itu".

Saya jadi ternganga tapi tidak lama. Setelah agak tenang, hati saya bertanya jika itu model nak jadi kaya fasal apa kawan saya itu tidak mahu berhenti dari kementerian kewangan.

Kementerian kewangan? Saya mula tersenyum sendiri dan mengangguk-anggukkan kepala.
 
"Ya, ada model seperti itu".

 

 


 
 
 

Selasa, 10 Mac 2015

1MDB.....Tipah Tertipu Lagi.......Awak...awak kat maner......Malaysia Bolehhhhh




1MDB cerita paling hangat ketika ini. Ada orang kata bahawa si anu si ini terlibat. Terlibat untuk kepentingan rakyat, kata mereka tidak jadi hal , boleh sokong. Tapi kelibatannya merosakkan negara dan merugikan rakyat. Lantas kata mereka badan-badan penguatkuasa seperti Jabatan Ketua Audit Negara, SPRM dan Polis kena buat siasatan.

Kabinet pun dah bersetuju siasatan dibuat. Tunggulah hasilnya.


Ada juga orang lain kata, ini semuanya kerja pembangkang buat tuduhan tidak berasas sedangkan 1MDB buat untung, tak ada masalah. Mereka ini kata mengapa perlu marah pada 1MDB yang asetnya lebih dari liabiliti, dan telah buat untung. Juru audit yang dilantikpun tiada membuat pemerhatian yang negatif pada 1MDB, kata mereka.

Apa pun kita tunggu siasatan pihak yang bertanggungjawab.

Tapi saya mahu mengecualikan diri dari menunggu hasil siasatan itu. Saya lebih seronok mendengar lagu yang antara liriknya: Tipah tertipu lagi.

Saya juga seronok mendengar lagu" Awak ....awak kat maner".

Biasanya apabila saya dengar lagu itu saya akan membebel sendiri, "Saya kat Malaysia lah....maner lagi", kemudian saya ketawa terbahak-bahak lalu berkata dengan jeritan yang amat kuat, "Malaysia bolehhhhhhh".
                                     TIPAH TERTIPU


                                                          AWAK AWAK KAT MANA

Jumaat, 6 Mac 2015

Turki (negara dua benua) Yang Baru Ku Jejaki




Tarikh 20 Januari 2015 merakamkan buat kali pertama, saya termasuk isteri memijak bumi Turki (khususnya Istanbul dan Kapadokia) sebuah negara Eropah dan Asia (saya suka melihat Turki sebagai sebuah negara dalam dua benua walaupun orang Turki mengistihar diri sebagai orang Eropah).

Memang saya sudah mengenali Turki sebelum menjejak kaki pada tarikh tersebut. Cuma, Turki yang saya kenali itu hanya melalui pembelajaran subjek geografi dan sejarah serta pembacaan-pembacaan biasa.  Saya hanya mampu berimiginasi saja dan kadang-kadang berfantasi.

Berada di bumi Turki secara fizikal,  sesungguhnya satu realiti yang amat mengesan sekali. Kaki memijak serta berjalan diatas buminya, menghirup udaranya, merasa kedinginan musim sejuknya, bersama berhimpitan dalam kepusuan manusia  menuju berbagai destinasi dengan berbagai aroma yang terhidu, mata luas terbuka menatapi berbagai warna pandangan dan pemandangan -ada yang indah dan menghiburkan serta menakjubkan, tidak kurang juga sebaliknya.

Begitulah yang dapat saya simpulkan kesan dari memijaki bumi Turki khususnya di dua tempat yang dilawati -Kapadokia dan Istanbul.

Kurang lebih pukul enam petang waktu Istanbul, setelah ketibaan anak kami dari Doha (Jaja, suami dan dua orang anak), kami menaikki sebuah van yang telah ditempah untuk ke apartment yang juga ditempah secara online oleh Siti dan kakaknya Jaja. Jarak apartment dari airport diukur dari segi tempoh masa yang diambil adalah kurang lebih satu jam. Ianya tidak jauh, mungkin kesesakan lalulintas membuatkan perjalanan mengambil masa yang agak panjang.

Kami dibawa ke sebuah apartment 3 bilik di tingkat 7 oleh 2 orang (mungkin tuan punya). Berlaku sedikit kekecuhan dari segi bayaran. Menurut salah seorang dari mereka (yang boleh berbahasa Inggeris) menyatakan kami belum lagi membuat bayaran bagi  sewaan apartment tersebut. Kedua-dua anak kami (Jaja dan Siti) mengesahkan bahawa bayaran telah dibuat secara online dengan menunjukkan bukti bayaran melalui screen shot.

Walaupun orang itu mengakui screen shot itu sebagai satu bukti yang bayaran telah dibuat tapi masih menyatakan pihaknya belum menerima bayaran. 

Akhirnya setelah membuat beberapa panggilan talipon dengan agensi yang menerima tempahan online, dan setelah agensi itu berjanji akan membayar semula wang yang telah dibayar maka anak-anak saya bersetuju untuk membuat bayaran kepada tuan punya apartment itu. 

Kekecuhan kecil itu selesai, tapi satu permulaan yang bukan diharapkan dalam satu percutian, pada hari pertama pula.

Pagi esoknya pukul lapan pagi kami bersegera ke airport untuk ke Kapadokia, program pertama lawatan bagi percutian kami di Turki.



 Di airport Istanbul untuk ke Kapadokia. Ada seorang missing iaitu jurugambar

Selasa, 3 Mac 2015

Lawatan ke Turki, Mesir Dalam Perjalanan Menghadiri Konvokesyen di Universiti Mansoura Mesir





Sudah lama berehat. Semenjak percutian ke Turki dan Mesir dalam perjalanan menghadiri konvokesyen anak di Universiti Mansoura di Mesir, dan kembali ke Malaysia, saya lebih suka berehat dengan membaca cerita-cerita dari berbagai-bagai sumber dari berfikir untuk menulis sesuatu dalam blog ini.

Tiada mood atau ransangan untuk menulis. Hanya dua paparan pendek tentang mengambil maklum keputusan mahkamah persekutuan mensabitkan kesalahan Anwar Ibrahim dengan hukuman penjara 5 tahun, dan ucapan takziah atas kembalinya TGNA ke rahmullah, yang tergerak hati dan tangan untuk mengingati dan menulis dalam blog ini.

Ini bermakna semenjak 16 Januari 2015, sehingga hari ini 3 Mac 2015, melainkan dua tarikh bagi dua perkara yang dinyatakan diatas, blog ini menyepi.

Sebenarnya apabila saja kembali ke malaysia dari menghdiri konvokesyen anak itu iaitu pada 2 Februari 2015 dan mengambil masa beberapa hari berihat, saya bercadang untuk mencatat dan merakamkan sedikit cerita lawatan di Turki , Mesir dan hari konvokesyen di Universiti Mansoura Mesir untuk dikongsi sama dengan pembaca blog ini. 

Tapi dua peristiwa diatas yang amat memberi kesan kepada saya telah menjadikan saya hilang mood untuk menulis. 

Sebenarnya saya berkabung, kalau istilah itu boleh dipakai bagi memberi makna dukacita, sedih, kecewa , hilang percaya dan marah. Tentunya saya bersedih diatas pemergian TGNA dan mendoakan arwah dimasukkan dikalangan orang yang diredhai. Dan sudah tentu saya jadi marah dan terus tidak percaya kepada institusi yang sepatutnya kita meletakkan sepenuh keyakinan.

Perlahan-lahan perasaan saya diatas itu mula pulih. Kehidupan perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan. 

Saya perlu menerima hakikat bahawa saya tidak wajar mensia-siakan ruang dan peluang yang ada bagi menyubur dan menyemarakkan perkara yang hak dan menentang yang batil sekalipun gelombang dan taufan kebatilan itu sentiasa menguasai dalam kehidupan kita ketika ini. 

Usah dirisau fasal tewas kerana tewas itu adalah juga petanda kepada satu perjuangan, kalau kita sebenarnya berjuang. Dan saya berjuang menerusi penulisan.

Saya terus mahu menulis. 

Saya mulakan buat permulaan ini dengan catatan ringkas percutian di Turki, Mesir dan konvokesyen di Universiti Mansoura.  

Saya dan isteri mengambil penerbangan Ittihad dan berlepas dari KLIA pada pagi 20 Januari 2015 menuju ke Istanbul dengan persinggahan (transit) beberapa jam di Abu Dhabi. Sampai di Istanbul pukul 10 pagi waktu tempatan pada tarikh yang sama. 

Di lapangan terbang Istanbul telah menunggu anak perempuan saya Siti Nuradilla yang terbang dari Cairo. Kami bertiga menunggu ketibaan seorang lagi anak perempuan saya (Jaja) bersama keluarganya (suami dan dua orang anak) yang berlepas beberapa jam kemudian selepas penerbangan kami dan singgah di Doha sebelum ke Istanbul. Pukul 5 petang mereka pun sampai.

Berkumpullah satu keluarga yang besar di Turki. Sayang sekali dua lagi anak saya dan keluarganya tidak dapat bersama kerana ada urusan lain di malaysia. Jika semuanya dapat bersama, jumlah ahli keluarga menjadi 13 orang. Sudah tentu menyeronokkan. Namun kami yang bertujuh ini merasakan lawatan ke Istanbul dan beberapa tempat di Turki ini amat berbaloi sekali.

Saya akan menceritakan lebih terperinci tentang percutian di Turki nanti, beserta dengan gambar.

Selepas seminggu di Turki kami ke Cairo Mesir untuk tujuan menghadiri konvokesyen di Universiti Mansoura, tanpa di sertai oleh anak saya Jaja dan keluarganya. Mereka terbang balik ke malaysia, selepas dua hari kami ke Cairo.

Di Turki dan di Mesir, dua buah negara majoriti Islam. Ianya amat berbeza sekali dalam banyak aspek kehidupan. Saya hanya menyimpulkan bahawa jika mahu nyaman dan ceria lawatlah Turki. Dan jika mahu cabaran hidup, menguji ketahanan terutamanyanya dalam mendapatkan ilmu belajarlah di Mesir, disana tiada yang senang banyak yang menyulitkan.

Saya tabik hormat kepada pelajar-pelajar kita yang belajar disana khususnya pelajar perubatan yang berani dan cekal dalam menempuh susana dan persekitaran pembelajaran yang mudah mematahkan semangat jika tidak ada kepercayaan dan kekuatan untuk menghadapinya. Saya tabik hormat anak saya Siti Nuradilla dan kawan-kawan perempuannya yang lain kerana telah berjaya menempuhi kesukaran dalam tempuh lebih dari enam tahun.

Tahniah kepada semua yang telah menerima ijazah kedoktoran. Berkhidmatlah nanti dengan penuh cekal seperti kecekalan kalian dalam tempuh lebih enam tahun menghadapi suasana dan persekitaran yang tidak mudah, apatah lagi bagi yang perempuan.

Bersambung bagi cerita yang lebih terperinci.