Theflowersellingboy

Ahad, 18 Januari 2015

ALASAN SEORANG HAMBA




Saya gagal dalam peperiksaan, sebab,
cikgu tidak mengajar dengan baik
tiada buku rujukan
peperiksaan diadakan dalam bulan puasa
dewan peperiksaan terlalu panas tanpa kipas 
waktu pagi tiada sarapan
saya duduk dikerusi paling belakang dengan itu lambat terima kertas soalan
masa terlalu pendek
sebab .............dia tu
jadual peperiksaan terlalu rapat diantara satu subjek dengan subjek yang lain; dan sebab 
Allah yang mengizinkan saya gagal, ianya satu hikmah dan iktibar kepada saya untuk masa depan.
 
Saya gagal bukan salah saya

Saya peluk cium k-pop bukan salah saya 
sebab tanpa izin Allah mana saya boleh peluk dan cium mereka
Mana saya ada kudrat kalau tidak Allah yang memberikannya
Niat saya ke konsert k-pop juga Allah yang mengilhamkannya
Saya tidak boleh buat apa-apa
 
Jadi jangan salahkan saya

Sebab itu ramai yang sokong saya
Tapi ada juga yang mahu tangkap saya
Ada yang mahu beri khidmat runding cara
Ada juga yang tanya kenapa saya saja 
Mengapa tidak tangkap orang besar-besar yang juga akhlaknya perlu dijaga kerana perbuatan mereka haram juga
 
Jadi mengapa perlu hebuh-hebuh
Saya gagal periksa, saya punya pasallah
Saya peluk cium hak saya
Semuanya Allah tentukan
 
 
 

Khamis, 15 Januari 2015

Malaysia Yang Kelakau




Kelakau? Ada yang tak faham apa itu kelakau. Itu hanya sebutan orang Melaka bagi perkataan standard kelakar.

Tapi sebutan kelakau ini membawa makna yang lebih dari kelakar, sekurang-kurangnya kepada orang Melaka. 
 
Ia ada unsur-unsur menggelikan hati, rasa terhibur, kebodohan, menghairankan, menakjubkan, dan hal yang bukan-bukan yang tidak masuk akal atau logik atau munasabah. 
 
Saya tidak tahu persamaan dalam bahasa Inggeris, mungkin 'funny dan clown', mendekati dengan kelakau ini.

Malaysia yang kelakau. 
 
Ertinya Malaysia yang sungguh menggelikan hati dan menghiburkan kerana ada berbagai hal dan cerita yang bukan saja menyentuh bahkan mengeletekkan hati sesiapa saja yang mendengar atau mengikuti cerita itu. 

Sebab ada unsur menghibur, bodoh, menghairankan, ajaib, tidak munasabah, diluar dari fikiran logik. Tapi ianya berlaku di Malaysia , ianya satu realiti.

Saya turunkan beberapa peristiwa dan cerita yang mengangkatkan Malaysia sebuah negara yang kelakau, selain Malaysia diidamkan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti.

1. Raja Bomoh menawarkan perkhidmatan percuma untuk mengesan dimana beradanya MH370. Menurut raja bomoh, MH 370 itu masih berada di awang-awangan. 

Tapi sampai sekarang masih lagi belum jumpa. Masih diawang-awangan lah tu. Terhibur?
 
 2. Sirul, seorang dari dua yang didakwa membunuh Altantuya, tidak hadir di mahkamah semasa perbicaraan dijalankan.

Heran tak?  Sudah tentu menghairankan. Lebih hairan lagi beliau bebas untuk ke luar negara, dikhabarkan sekarang berada di Australia semenjak Oktober 2014. Sirul ni banyak wang ke? Atau sudah ada pekerjaan di Australia? Atau ada penaja? Sungguh menghairankan.

Ada berita menyatakan bahawa kerajaan Australia tidak akan menghantar balik Sirul ke Malaysia kerana Australia menentang hukuman bunuh, melainkan kerajaan berjanji tidak melaksanakan hukuman bunuh kepada Sirul.

Selamatlah Sirul nampak gayanya. Altantuya dan anak yang dikandungnya telahpun hancur berkecai.

 3. Anak muda perempuan malaysia berpeluk cium dengan penghibur k-pop dalam satu konsert baru-baru ini. Berdasarkan video , kelihatan ada anak muda itu yang malu-malu, dan ada yang semacam seronok melakukan perbuatan itu. 
 
Dan kedengaran riuh rendah penonton lain seolah-olah menyukai perbuatan itu, dan mungkin ini memberi ransangan kepada anak-anak muda bertudung itu melakukan aksi itu (saya tidak ambil sangat faktor bertudung ini. Jika yang tidak bertudung pun melakukannya, ianya amat mendukacitakan).

Sudah tentu ada remaja-remaja melayu yang turut bersama dalam konsert itu, atau remaja bukan melayu. Mereka begitu seronok sekali dengan perbuatan peluk cium itu. Tak ada perasaan ke? Bukankah perempuan itu adalah adik atau kakak atau saudara sebangsa, seagamayang perlu kita lindung/pertahankan maruah mereka. Adakah remaja melayu, remaja malaysia sudah jadi dayus?

Sekarang pihak berkuasa agama mahu ambil tindakan. Saya bersetuju, tapi tindakan itu biarlah yang boleh mengajak anak-anak perempuan kita itu merenung kembali serta menyesal akan perbuatan mereka itu.
 
Ada pihak mempersoalkan pihak berkuasa agama itu sebagai menjalankan kuatkuasa undang secara memilih. Orang besar-besar tidak pula diambil tindakan, mengapa?
 
Sebenarnya tentang double standard ini adalah satu standard yang diamalkan di Malaysia.
 
Cukup hanya tiga cerita diatas. Sebenarnya banyak. Apa macam Kelakau tak Malaysia?
 
Bagi saya ianya amat KELAKAU SEKALI.  MALAYSIA YANG KELAKAU

Rabu, 14 Januari 2015

Sedikit Cacatan Ringkas




1. Pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Sharibu adalah satu berita yang amat mengejutkan warga Malaysia dan warga dunia.

2. Pembunuhan berlaku di Malaysia di sebuah kawasan hutan yang dikenal sebagai Puncak Alam, Shah Alam.
 
3. Menurut butir perbicaraan Altantuya dibunuh dengan begitu kejam sekali, ditembak dan di bom dengan bom C4.

4. Altantuya juga dikatakan sedang mengandung waktu dibunuh.

5. Altantuya datang ke Malaysia bagi menemui seseorang yang dikenalpasti sebagai Ab. Razak Baginda.

6. Ab. Razak Baginda, Sirul dan Azilah adalah orang yang dituduh terlibat dalam pembunuhan kejam ini. Tapi mahkamah telah melepaskan Ab. Razak Baginda tanpa dipanggil membela diri.

7. Hanya  Azilah dan Sirul terus dibicarakan dan mendapati kedua-duanya bersalah membunuh Altantuya.

8. Tapi setelah dirayu mahkamah rayuan membebaskan kedua-duanya.

9. Akhirnya setelah pihak pendakwa membawa kes ke mahkamah persekutuan, Azila dan Sirul disahkan sebagai pembunuh Altantuya dan atas sabitan itu mahkamah menjatuh hukuman gantung sampai mati.

10. Waktu perbicaraan  hanya Azila berada di kandang orang salah. Sairul tidak hadir. Mahkamah telah meneluarkan waran tangkap keatas Sairul kerana tidak hadir.

11. Diberitakan Sirul ketika ini berada di luar negeri (Australia) semenjak bulan Oktober 2014. 

12. Kes ini memakan masa 9 tahun untuk memutus dan menghukum pihak yang membunuh Altantuya.

Pembunuh telah dijatuhkan hukuman mati. Adakah kes ini sudah menemui jalan penamat?

Bagi saya cerita peristiwa pembunuhan kejam ini masih bersambung kerana sekurang-kurangnya orang mahu tahu dengan soalan-soalan berikut:

i) Mengapa Altantuya datang ke Malaysia dan mahu jumpa dengan Ab. Razak Baginda.
ii) Sirul dan Azila tidak kenal Altantuya, dan tidak ada hubungan dari segi perasaan, sama ada perasaan sayang atu benci. Mengapa mereka melakukan pembunuhan secara kejam?
iii) Adakah mereka ini suka membunuh tanpa sebab? 
iv) Mengapa Sirul tidak hadir dalam perbicaraan? Dan diberitakan berada di Australia sejak Oktober 2014. Untuk tujuan apa ke Australia, dan adakah beliau mampu membiayai perbelanjaan untuk berada disana?

Dan banyak lagi boleh ditanya .




Selasa, 13 Januari 2015

K-POP dan Babak Memalukan Dari "Wanita Bertudung"




K-Pop sekali lagi menjadi cerita hangat. Dulu hangat fasal ada pihak mahu tumpang popular bagi tujuan politik. Kali ini fasal lagak mahu jadi popular oleh beberapa orang wanita 'bertudung' yang sempurna akal, tapi rendah maruah.

Maka ramai yang marah-marah, lalu bermulalah sessi mencari salah.

Pihak penganjur telah mohon maaf .

Apa pun bangsa dan agama wanita itu, perbuatan itu adalah perbuatan menjual diri (saya tidak mahu menggunakan harga diri kerana wanita itu sebenarnya tidak tahu tentang nilai harga pada diri masing-masing). 

Mereka (perempuan bertudung itu) merelakan perbuatan itu, dan ahli kumpulan K-Pop yang terlibat tidak perlu membayar apa-apa kepada perempuan-perempuan bertudung itu. Pelacur pun minta upah. 

Ertinya perempuan itu tidak ada harga, lebih rendah dari pelacur yang menyorok dan bersembunyi diri untuk mendapat wang menjadi pelacur.

Apabila berlakunya perkara seperti ini, soalan yang popular yang ditanya ialah siapa kah yang bersalah?

Sebenarnya saya tidak suka dengan soalan seperti itu ditanya setelah berlaku peristiwa yang memalukan itu.  Soalan seperti itu tidak akan berbangkit jika semua pihak terutama yang mempunyai kemampuan dan kedayaan, pengaruh dan kuasa serta mengambil peranan dan tanggungjawab masing-masing menjaga nama baik bangsa dan kesucian agama Islam.

Bagi saya perbuatan itu adalah satu sejarah hitam yang yang mencemarkan nama baik orang Melayu Islam (jika yang bertudung itu orang Melayu dan Islam). 

Oleh itu saya juga mahu bertanya siapakah yang bersalah? Saya menuding jari?

Ya, kali ini saya mahu menuding jari.

Pertama, saya juga bersalah. Saya tidak terlibat dengan bersunguh-sungguh dalam usaha memerangi perkara mungkar.

Kedua, perempuan itu sendiri. Melihat dari susuk badan, mereka sudah 'akil baligh, yang mampu untuk berfikir yang mana satu baik dan yang mana satu buruk, yang mana satu perlakuan rendah moral yang mana satu perlakuan menjaga maruah dan harga diri.

Ertinya, tidak ada alasan untuk mereka mempertahankan diri.

Jangan pula salahkan K-Pop. Itu kerja mereka, dalam bidang dan industri hiburan, yang mementingkan populariti. Perbuatan itu adalah perkara biasa dan boleh diterima dalam industri hiburan, khususnya dikalangan bukan Islam bagi memeriahkan suasana dan menghiburkan hati penonton dan juga penghibur. Ianya menjadi satu daya tarikan bagi meramaikan lagi penonton untuk bersama.

Mengapa perlu dihairankan. Bukankah ini strategi yang menguntungkan- kepada kumpulan itu dan penganjur. Ramai yang datang, maka banyaklah wang yang masuk, bertambah popularlah kumpulan tersebut dan makin teransang pihak penganjur untuk mengadakan penganjuran pada masa depan.
Satu lagi strategi ialah slotkan hal-hal yang  kontroversi dalam pertunjukkan itu iaitu perbuatan wanita bertudung berpeluk cium dengan penghibur diatas pentas. 

Sudah tentu orang Melayu Islam akan marah melenting. Bukankah itu satu dari caranya untuk jadi popular.

Namun jangan salahkan penganjur dan kumpulan itu. Dari segi undang-undang mereka sudah patuh. Sebab itu permit dikeluarkan dan kumpulan itu boleh beraksi menghiburkan penonton. 

Kalau begitu siapa yang ketiga ?

Mereka yang megisi slot number tiga tapi yang utama dan pertama patut disalahkan ialah yang ada kuasa dan pengaruh yang mampu dan bertanggungjawab mencorakkan perlakuan rakyat Malaysia, dan dalam hal ini perlakuan orang Melayu Islam.

Mengatasi senarai ini adalah Kerajaan, termasuk berbagai agensi.

Agensi yang memberi permit yang membenarkan pertunjukan seperti itu. 

Bagi saya pertunjukan hiburan gila seperti ini tidak perlu kerana ianya tidak langsung boleh digunakan bagi membangunkan watak manusia Malaysia yang berdaya tahan. Ianya lebih banyak merosakkan. 

Saya menolak hiburan? Tidak, saya juga mahu terhibur dan menghibur. Tapi dalam batas-batas yang tidak membawa kepada kerosakan akhlak.

Maknanya menyekat kebebasan? 

Bebas? Apakah anda bebas untuk menyakit dan membinasakan orang lain? 

Tiada satu apapun hal dalam dunia ini bersifat bebas atau percuma. Semuanya  perlu dibayar. Semuanya ada kesan dan akibat jika semua orang bebas melakukan mengikut selera masing-masing?

Mahu bebas?

Jika mahu bebas kenapa mahu jadi manusia yang hidup atas nama bangsa yang menjalankan kehidupan berbudaya dan beragama, serta dipandu sama dengan berbagai sistem dan peraturan? 

Buangkan itu semua, anda akan tahu apa yang akan terjadi kepada makhluk yang bernama manusia. Musnah!

Tidak belajar dengan peristiwa perang dan serangan membunuh sesama insan?

Oiii jangan salah kepada Islam saja. Jangan salah kepada orang Melayu saja. Jangan salahkan orang bukan Melayu. Jangan salahkan orang keristian dan agama-agama lain.

Salahkan kepada mereka yang mahu buat sesuka hati tanpa batas semata-mata atas nama hak kebebasan bersuara dan bertindak.

Apa menghina sesuatu bangsa dan agama itu tidak menyakitkan hati?

Apa membunuh atas alasan ada pihak yang membuat provokasi, sesuatu yang wajar?

Dengan demikian pihak berkuasa iaitu kerajaan wajar mengambil tindakan untuk menyekat perkara-perkara yang mencemarkan tamaddun manusia, tidak kira orang Melayu dan Islam atau siapa saja.

Jika perbuatan peluk cium diatas pentas hiburan itu tidak menyalahi budaya dan agama orang bukan Islam, itu hak mereka. Kita jangan ganggu.

Namun ia tidak bermakna perlakuan itu wajar dilakukan dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Apatah lagi yang melakukannya adalah wanita Islam.

Paling malang sekali, tanggapan umum adalah bahawa yang bertudung itu adalah mereka yang berwatak baik, menurut ajaran Islam.

Memang, Islam menyuruh berbuat begitu. Dan jika orang yang bertudung itu melakukan peluk cium seperti itu, sesungguhnya ia amat hina sekali, bukan saja keatas pelakunya bahkan kepada ajaran Islam itu sendiri.

Soalnya adakah tudung yang dipakai itu digunakan sebagai alat bagi sengaja memberi tahu keseluruh dunia bahawa Islam itu agama yang tidak bermoral?

Tidak munasabah orang yang bertudung atas kesedaran sebagai satu kepatuhan kepada Allah sanggup melakukan perbuatan yang cemar dan hina itu.

Atau adakah bertudung itu sebagai lesen bagi perempuan itu untuk kelihatan mempunyai akhlak yang baik?

Apapun soalan yang dikedepankan, perkara yang paling penting ialah kerajaan mesti melihat semula segala rancangan hiburan yang dibenarkan ketika ini.

Apa yang dapat disumbangkan oleh rancangan melodi, meletop, gossip, gegar vaganza, dan drama-drama yang memaparkan aktiviti peluk cium dan pegang-pegang tangan, dan segala rancangan hiburan yang mempunyai ciri yang sama terhadap pembinaan watak seorang Malaysia, apatah lagi watak seorang Melayu dan Islam?

Rata-rata saya katakan semua rancangan itu merosakkan moral orang Melayu dan Islam.

Tidak terlepas juga rancangan agama yang terikut-ikut dengan cara lebih mengutamakan hiburan dari tujuan menyampaikan ilmu. Kaji semula rancangan seperti itu.

Saya percaya berlakunya perbuatan peluk dan cium itu adalah sebahagian besarnya adalah kerana kita sendiri membenar serta menggalakkan perbutatan seperti itu dalam semua rancangan hiburan kita.

Salahkan perempuan yang bertudung itu atas perbuatan yang mencemarkan itu kerana mereka sudah 'akil baligh yang tahu memilih yang mana satu baik dan yang mana satu tidak baik.

Salahkan kepada semua rancangan hiburan yang kita sajikan kepada penonton kerana bukti buruknya telah jelas seperti yang dipertontonkan oleh wanita yang bertudung itu.

Wallahualam.

 


Isnin, 12 Januari 2015

Yang Pergi Tetap Kami Ingati dan Kami Redha.




Sudah 39 tahun rupanya usia anak sulung saya, jika anak saya itu masih ada di dunia fana ini. Jika berkahwin dan dikurniakan anak, sudah ramai cucu saya jadinya.
 
Sesungguhnya dari Allah kita datang kepada Allah kita dikembalikan. Anak sulung saya itu telah menemui Allah mendahului kedua ibubapanya.
 
Ketentuan Allah tetap kami redha. Sedih, sudah tentu sedih sehingga kini. Tapi bukan kami meratap pemergiannya.

Mengingat kembali arwah anak saya itu, seorang  putera yang dilahirkan pada tahun 1976 ,12 Januari di hospital besar Kuala Lumpur secara pembedahan. Waktu lahir kelihatan ianya adalah anak yang sihat.

Tetapi dia kerapa menangis, siang dan malam sehingga kadang-kadang kami berdua suami isteri merasa bersalah dengan jiran sebelah kerana mengganggu tidur mereka. Tambahan pula jiran sebelah serong pilot MAS yang bekerja 'shift' yang sudah tentu memerlukan tidur yang cukup.

Boleh dikatakan setiap malam anak saya itu menangis. Dan kami diserang rasa bersalah.

Sewaktu anak itu menangis, kami bergeler-geler mendukungnya, sambil membaca ayat-ayat al-quran yang kami hafaz termasuklah ayat qursi dengan harapan anak itu berhenti menangis. Saya pula akan menyanyikan berbagai lagu ciptaan sendiri, bagi menghibur anak itu agar segera tidur.

Ada masanya kami berjaya membuatkan ank itu lelap, terlentuk diatas bahu kami.
 
Namun banyak kali juga kami, terutamanya saya akan berjaga sehingga pagi mendukung anak itu keran jika diletak diatas katil dia akan menangis semula. Pernah sambil mendukung anak itu, saya menyandarkan badan pada dinding kerana teramat mengantuk, terlelap dalam beberapa saat. Mujur tidak rebah.
 
Kami tidak tahu apakah sebabnya anak itu menangis. Doktor ketika itu juga tidak mengesan dan mengesyakki sesuatu yang tidak kena.
 
Masa usianya dua bulan lebih, kebetulan saya terpaksa bertugas di luar negara atas urusan rasmi selama hampir sebulan. Sekembalinya dari tugas, saya mendapat berita yang amat menakutkan, tapi perlu diterima, bahawa anak saya itu disyakki seorang anak jantung berlubang. Begitulah yang diberitahu oleh isteri, menurut seorang doktor klinik swasta.
 
Sedih? Sudah tentu kami sedih dan susah hati. Tapi kami tidak boleh bersedih tanpa melakukan sesuatu. Maka kami sepakat merujuk ke hospital universiti malaya untuk mendapat rawatan.
 
Pihak Hospital Universiti Malaya (sekarang namanya sudah berubah) mengesahkan anak saya itu jantung berlubang. Maka berulang aliklah kami setiap bulan ke hospital untuk mendapat rawatan.
 
Tahulah kami bahawa anak itu menangis adalah disebabkan sakit jantung berlubang. Tetapi walau macam mana lama dia menangis tidak pula nampak kebiruan dimana-mana anggota badannya.
 
Doktor memberitahu kami bahawa anak itu hanya boleh menjalani pembedahan bagi mengubati (menampal) jantungnya itu apabila berusia 2 tahun. 
 
Kami tunggu dengan penuh debaran. Maka sampai waktunya.
 
Waktu ini paling kritikal bagi kami untuk membuat satu keputusan yang amat besar  melibatkan nyawa anak yang dikasihi.

Dalam fikiran kami, sentiasa saja didatangi fikiran risiko kematian. Bedah, maknanya anak kami akan mati. Begitu serangan hasutan syaitan. Kami amat takut untuk membuat keputusan. Tambah-tambah lagi nenek kepada isteri yang tinggal bersama kami, menentang habis-habisan  pembedahan ini. Fikiran beliau sama juga iatu mati.

Saya beri tahu kepada isteri bahawa anak ini anak kita. Kita mesti berani buat keputusan demi kebaikkannya. Kenapa kita mahu jaga perasaan takut kita dalam menghadapi pembedahan ini dengan mengorbankan masa depan anak?
 
Isteri saya bersetuju, pembedahan mesti dilakukan.
 
Kami keluar dari rumah membawa anak ke hospital bagi tujuan pembedahan. Nenek menagis dan marah mengatakan kami degil sangat. Tapi kami buat tak dengar.
 
Di hospital, walaupun kami suami isteri telah tetap dengan keputusan untuk pembedahan, tetapi perasaan takut masih lagi tersimpan dalam hati bagi menghadapinya, lagi-lagi apabila mengingatkan kata-kata dari nenek yang menghalang.
 
Mujur, doktor memberi tahu bahawa senarai menunggu terlalu ramai. Ini satu peluang yang tidak wajar dilepaskan. Dan katanya lagi, seorang visiting doctor dari luar negeri terlibat sama dalam pembedahan.
 
Kami bersetuju dan saya menandatangani surat persetujuan.
 
Alhamdulillah ,  pembedahan itu berjaya. 

Waktu kami membawa balik anak, belum sempat masuk ke rumah, nenek sudah menangis teresak-esak dengan sangkaan kami membawa balik mayat. Sebenarnya kami bawa balik anak yang jantungnya telah dipulihkan (ditampal).

Sedikit demi sedikit perubahan yang mengalakkan berlaku. Selera anak semakin baik. Tidak menangis seperti dulu. Badan tumbuh membesar.

Setelah memasuki enam tahun berlakulah peristiwa yang menyedihkan, yang saya, dan isteri tidak akan lupa. Anak yang bukan saja petah bercakap, malah yang sudah boleh baca surat khabar dan buku, Melayu dan Inggeris, yang sudah boleh mengeja jawi apatah lagi rumi, ditakdirkan Allah untuk menemuiNya mendahului kedua ibubapanya.

Cara pemergiannya amat menusuk hati kami, terutama saya kerana kami terlibat dalam kemalangan jalan raya. 
 
Dalam perjalanan balik pada hari raya ketiga dari Pekan Pahang melalui jalan Segamat-Kuantan, saya yang memandu kereta melanggar belakang sebuah 'lori hantu' (tiada lampu isyarat, tiada nombor pendaftaran, sudah tentu tiada cuaki jalan) yang tiba-tiba membelok ke kanan tanpa memberi lampu isyarat, ketika mana saya mahu memotong. 

Nasib baik kereta tidak masuk bawah lori. kalau tidak...entahlah.

Kami masih sedar walaupun cedera. Anak saya itu mengadu kesakitan. Kereta tidak boleh digunakan lagi. Kami menunggu kereta lain untuk membawa anak ke hospital. 

Tidak ingat berapa lama kami menunggu, saya rasa lebih setengah jam sebuah kereta berhenti dan membawa kami ke hospital Bahau , Negeri Sembilan.

Dalam perjalanan, anak saya dipangkuan saya. Dia mengadu sakit. Beginilah kata-katanya, "Pa Yin sakit, tak tahan ni. Bila nak sampai hospital".

Kata-kata itu diulang-ulang. Saya amat sedih sekali, air mata membasahi pipi.

Sampai saja di hospital, doktor mengesahkan anak kesayangan kami itu telah tiada lagi.  "Ya Allah".

Begitulah sedikit sebanyak ingatan saya, yang tiba-tiba datang pada hari ini. 
 
Sesungguhnya kami boleh berusaha dan berikhtiar. Apabila ikhtiar kami sudah menunjukkan kejayaan, anak itu pula meninggalkan kami untuk menemui Allah.
 
Waktu kami sedang seronok dan gembira bersama anak yang telah berjaya kami berikan satu 'kehidupan baru', rupa-rupanya dia pergi mendahului kami.
 
Sesungguhnya dari Allah dia datang kepada Allah dia dikembalikan.
 

Sabtu, 10 Januari 2015

Kehidupan Mesti DiTeruskan

Mengenang kembali dalam sebuah peperiksaan.


"Semalam mendung. Hari ini terang benderang dengan sinaran matahari. 
 
Langit tidak sentiasa mendung. Panas, tidak sampai ke petang kerana hujan menyampuk ditengah hari.
 
Kata lirik sebuah lagu: Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari.

Ramai orang suka mentafsir lirik diatas sebagai  menyatakan kekecewaan kerana putus harapan ditengah jalan, tidak sampai ke penghujung. Banyak mengaitkan dengan putus cinta khususnya dikalangan para remaja yang bercinta.
 
Saya suka melihat dari segi perjalanan sebuah kehidupan. Saya melihat bahawa sama ada hujan atau panas kedua-duanya amat kita perlukan. Ertinya ada masa kita boleh ketawa, ada masa kita juga perlu menangis. 
 
Jadi usahlah mengeluh hujan ditengah hari. Dan jangan pula bersedih panas tidak sampai ke petang.
 
Yang penting teruskanlah kehidupan sementara Allah mengizinkan kita bernyawa di alam maya ini".
 
(Arahan: Sila sambung cerita diatas. Anda boleh menyambung dengan memperkenalkan perenggan baru ataupun menggunakan perenggan yang sama. Sambungan tidak lebih dari 250 patah perkataan).
 
Apa yang hendak ditulis bagi menyambung cerita diatas? 
 
Kata seorang kawan untuk melakukannya, kita mesti ada daya imiginasi yang kuat untuk menjadi kreatif. Mesti kuat angan-angan. Mesti seronok berkhayal.
 
Tapi, kawan itu mengingatkan, kita berkhayal dalam sebuah kerangka yang setengahnya sudah berisi, cuma kita nak penuh kerangka itu melalui khayalan kita , menyambung cerita untuk membentuk satu keseluruhan yang bermakna, saling berhubungan. Jangan juga lupa sempadan kita hanya dalam penggunaan perkataan tidak lebih dari 250 perkataan.
 
Keputusan peperiksaan: Gagal. Sebab?
 
Hanyut dalam kahayalan? Ada kemungkinan begitu. Khayalan ikut syok sendiri sehingga tergelincir dari maksud yang hendak dibawa oleh cerita itu. Maksud sebuah cerita yang bermakna, sebuah cerita yang hidup. Atau sehingga terlupa arahan yang menghadkan penggunaan tidak lebih dari 250 patah perkataan. Atau kedua-duanya sekali.
 
Mengapa saya teringat kisah peperiksaan ini?
 
Ini semua fasal cerita banjir. Banyak kedengaran rasa kecewa dan susah hati oleh banyak pihak tentang bencana banjir yang melanda ketika ini. 
 
Ramai yang kecewa dan putus harap apabila bantuan lambat sampai, pembahagian bantuan yang dikatakan pilih bulu, pekerja sukarela tidak mendapat kerjasama dari mangsa banjir, untuk bersama-sama bekerja, kerana katanya banyak yang berpeluk tubuh. Dan macam-macam lagi.
 
Sebab apa jadi begitu? Sebabnya semua orang mahu jadi kreatif, mempunyai imiginasi masing-masing dalam mengatur dan menguruskan tanggungjawab/tugas, memberi dan menerima bantuan, berkhayal semata-mata untuk diri sendiri/syok sendiri tanpa ingat hal orang lain.
 
Keadaan menjadi bertambah tidak tentu apabila semua pihak, yang membantu dan yang kena bantu tidak patuh pada arahan pihak berkuasa.
 
Dan kesemua perangai itu adalah berpunca dari sikap yang tidak mahu menerima realiti sebuah kehidupan: ada  masa kita ketawa, dan ada masa kita menangis. Lantas masing-masing menuding jari menurut khayalan.

Bukankah hidup ini sebuah ujian?

Apapun ujian yang dihadapi, selagi masih bernyawa, kehidupan mesti diteruskan, jangan disia-siakan.

Harap-harap tidak gagal dalam menghadapi ujian tidak seperti mana gagalnya menjawab soalan diatas. Patuhlah pada arahan atau perintah.
 
Wallahualam.
 


 

Jumaat, 9 Januari 2015

Sedikit Coretan Sebelum Ke Masjid Untuk Solat Jumaat.




Sejuk. Duduk-duduk tonton tv -tennis di Brisbane Australia. Mandi pagi tangguhkan dulu.

Di Australia musim panas ketika ini. 
 
Malaysia tidak ada musim tertentu- tidak ada musim panas, musim bunga, musim luruh dan musim sejuk seperti di Eropah. Hari ini panas, esok belum tentu cuaca yang sama -mungkin hujan turun dengan lebat beserta dengan ribut, kilat dan petir. 

Tapi ketika ini rata-rata negeri di Malaysia di turuni hujan. Ada tempat berpanjangan dan lebat sehingga menjadi musibah banjir. Ada tempat hujan tidak berpanjangan- kadang-kadang lebat tapi berlaku banjir juga, banjir kilat. Ada tempat hujan renyai-renyai saja sekadar membasahi muka bumi, tapi tidak banjir.

Tennis sudah habis. Tapi rasa seronok melihat sukan itu masih dirasa. Tidak macam orang yang ditimpa banjir,  nak main airpun sudah takut sekarang, tidak macam dulu, tak boleh enjoy.
 
Masih terasa sejuk lagi. Bacaan ayat al-quran mula berkumandang datangnya dari masjid yang berdekatan. Kena bangkit segera untuk ke bilik air, mandi. 
 
Heater bukan kah ada? Mengapa takut sejuk? Macam mana orang yang ditimpa banjir, tanpa rumah, hilang pakaian, tiada selimut?

Tunggu dulu. Tukar channel.
 
Wah, ada cerita tentang 'akikah anak, ikut sunnah. Cantiknya pakaian anak, emak dan bapa. Mewah sungguh nampak gaya majlis itu. Mungkin ada yang jadi penaja- taja pakaian sekurang-kurangnya. Makanan? Entahlah.
 
Yang penting, penaja boleh dapat lebih dari modal tajaan yang dikeluarkan.  Produk akan jadi terkenal, bertambah laris di pasaran. Bertambah ramai pelanggan yang datang berkunjung buat tempahan di butik, paling kurang datang buat window shopping.
 
Tengok dulu siapa pulak yang menggaya tayang pakaian itu. Bukan mangsa banjir yang selekeh dan suka berlenggeng. 

Oh begitu. 
 
Bosan. 
 
Tukar channel lain. Chef sedang sibuk tunjuk masak memasak dalam rancangan masakan berbagai rasa- rasa Perak, rasa Johor, rasa Kelantan , rasa Pahang , rasa Terengganu. Menu dan bahan terpampang untuk disalin. Wah sedap nampak gayanya chef itu merasa makanan yang dimasaknya -katanya rasa Kelantan. Ada budu, gamaknya. Mengeliurkan.

Kalau orang Kelantan yang dalam kebanjiran dan kelaparan tonton rancangan ini, menjejerlah air liur mereka. Tapi mana mungkin, tv pun dah dihanyut air. Letrikpun tak ada. Jadi rancangan chef ini tiada guna satu sen pun kepada orang Kelantan. 
 
Tapi kalau satu sen diberi kedalam tabung bantuan banjir, mesti mereka bersyukur dan mendoakan kebahagian dan murah rezeki kepada yang masuk wang itu ke dalam tabung bantuan.
 
Tak kan satu sen? Soalan yang selalu disuarakan oleh penceramah termasuk penceramah agama. Nak bantu orang biarlah munasabah. Duit raya untuk anak kecil pun paling kurang sepuluh ringgit. Kurang dari itu, alamat kena jeritlah, "Singgit jer"!

Apa kata wang yang dikumpul untuk bayar kepada penceramah itu dimasukkan ke dalam tabung bantuan. Kadang-kadang wang upah ceramah itu mencapai ribuan ringgit- lagi hebat penceramah, lagi tinggi upah yang dikutipnya.
 
Sayang pada upah yang diterima? Kalau sayang lebih baik didermakan saja kerana kalau mahu menderma, dermalah benda yang kita sayang. Itu kata banyak orang. Tapi berapa ramai yang buat begitu tidak dapat dipastikan. 
 
Masih sejuk lagi. Tapi kena mandi kerana waktu Jumaat tidak berapa lama lagi akan masuk. Lagipun, ada water heater, tak macam si mangsa banjir itu.
 
Tutup tv terus ke bilik mandi.
 
Menggigil tubuh badan sebaik saja sudah mandi. Cepat-cepat pakai sarung dan baju Melayu.
 
Oh jangan lupa bawa sedikit wang, kalau-kalau ada disediakan tabung mengumpul wang untuk membantu mangsa banjir. Berapa banyak nak derma?
 
Lima ringgit? Biar betul. Tak munasabah. Nasi campur di Kelantan pun dah RM25.00.
 
Kalau begitu kena cari penaja. Majlis kahwin dan akikah pun boleh taja. Takkan untuk membantu mangsa banjir tak ingin nak taja?
 
Tapi macam mana nak jawab jika penaja tanya: Ada untung kah?
 
(Coretan diatas hanya imiginasi saya saja. Sesiapa yang mahu derma wang tapi mempunyai kemampuan wang yang terhad boleh juga menderma kedalam tabung yang diinisiatifkan oleh korporat/ahli perniagaan terkenal Mydin. Saya berkesempatan menyalin no. akaun tabung yang dipanggil Ringgit for Ringgit dari sebuah blog. No akaun 503015242344, Maybank.
 
Setiap ringgit dari penderma akan ditambah seringgit oleh Mydin. Ertinya lagi ramai bilangan penderma walaupun nilainya tidak tinggi misalnya satu ringgit, maka lebih banyak akan dapat dikumpulkan kerana Mydin akan menambah setiap nilai yang didermakan  oleh penderma. InsyaAllah saya juga akan bersama melakukannya). 
 


 
  
 

Khamis, 8 Januari 2015

Peristiwa Charlie Hebdo Yang Mesti DiKutuk




Serangan Charlie Hebdo di Paris, 12 terbunuh. Tiga penyerang, seorang darinya bernama Cherif Kouachi. Mereka orang Islam.

Banyak pihak mengutuk serangan itu, Islam dan bukan Islam secara individu, kumpulan dan negara. Malaysia sudah tentu mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu. 

Kutukan itu tepat dan wajar bahawa perbuatan membunuh seperti itu bukan perbuatan yang diajar oleh Islam malah mencemarkan nama baik Islam.

Mengapa jadi begitu? Mengapa perbuatan membunuh seperti itu digunakan atas nama agama? Adakah 'orang Islam' saja yang bertindak seperti itu?

Soalan diatas mudah ditanya tapi jawapannya ada berbagai dan kompleks sekali bergantung kepada sisi mana yang dipandang dan siapa serta pihak mana yang mahu memberikan jawapan. Antara jawapannya, mungkin majoriti, sudah tertentu tidak  dapat mengelakkan dari tuding menuding jari dalam mempertahankan pendirian masing.

Melainkan jika mahu mencari penyelesaian demi keamanan dunia, menjaga kehidupan manusia yang bertemaddun yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain, kejadian seperti itu, dan pembunuhan-pembunuhan yang berlaku di banyak tempat di dunia ini, atas apa saja nama dan kepentingan, tidak akan berhenti setakat peristiwa Charlie Hebdo. 

Dalam kata lain lupakan bangsa, warna kulit, agama dan ideologi, antaranya, sebagai asas dalam menilai serta menghukum perbuatan suka membunuh seperti itu.

Orang Arab bukan pembunuh. Islam melarang perbuatan seperti itu. Orang Perancis bukan pengganas. Orang Amerika juga bukan pengganas. Keristian menentang keganasan.  Begitu juga agama-agama yang lain. 

Tetapi ada orang Arab melakukan pembunuhan dan kekejaman. Orang yang mengaku Islam dan atas nama Islam melakukan pembunuhan. Orang Perancis dan Amerika yang melakukan pembunuhan. Orang Keristian, Yahudi, Hindu dan Buddha yang membunuh atas nama agama.

Oleh itu peristiwa Charlie Hebdo ini tidak wajar dikaitkan dengan Islam hanya kerana yang melakukan itu beragama Islam. Sama juga dengan serangan Amerika ke atas beberapa negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan dulu sehingga memusnahhancurkan negara-negara tersebut, bukanlah kerja-kerja pembunuhan yang dilakukan oleh orang Keristian, hanya kerana tentera dan pemerintah Amerika itu beragama Keristian.
  
Dalam banyak hal dan keadaan, propaganda memburukkan agama Islam bersandarkan kepada pelaku perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti persitiwa Charlie Hebdo ini orang Islam, lebih banyak diterima sebagai satu kebenaran sehingga Islam dilabel sebagai pengganas.   

Kesan buruk dari propaganda itu telah menambahkan lagi bilangan orang bukan Islam yang membenci dan memandang serong terhadap Islam dan penganutnya, termasuk  sebahagian besar mereka yang tidak pernah berfikir dan terfikir untuk melakukan keganasan seperti yang berlaku ini.

Maka menzahirkan rasa benci mereka terhadap orang Islam dan agama Islam, berbagai cara dilakukan dalam tindak balas mereka, mungkin terlalu kecil dan tidak menjadi kudis pada pendapat mereka , tetapi terlalu sensitif kepada umat Islam ialah penghinaan keatas agama Islam seperti karikatur yang dijodolkan  sebagai nabi Muhammad SAW dan membakar kitab suci al-Quran.

Perbuatan-perbuatan seperti ini dan perbuatan-perbuatan serta tindakan lain berciri penghinaan terhadap Islam ini, berterusan dan kerap dilakukan atas nama hak kebebasan bersuara.

Malang sekali, perbuatan penghinaan seperti itu disebar luaskan seolah-olah mahu menyakinkan kepada masyarakt dunia bahawa itulah wajah Islam. Dan ramai yang terpengaruh dan percaya, dikalangan bukan Islam. Maka ianya menjadi satu 'stock pile' yang akan digunakan apabila berlaku lagi peristiwa seperti Charlie Hedbo. 

"Sahlah Islam ini pengganas". Totok dan pekatlah kebencian mereka terhadap Islam. Cherif Kouachi dan beberapa orang yang lain melakukan serangan ke atas Charlie Hebdo , Islam yang diserang.

Amat malang sekali apabila ada juga orang Islam yang terperangkap dalam memberi respons keatas penghinaan dan kemusnahan yang dilakukan keatas Islam dan negara Islam, apabila secara songsang bertindak melakukan cara keganasan yang sama, yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Orang Islam terlibat dalam keganasan. Orang Keristian, Hindu, Buddha, Komunis, Sosialis dan Atheist juga melakukan keganasan.

Namun, Islam dicap mohor sebagai pengganas.
 
Peristiwa Charlie Hebdo, 12 orang terkorban. Pelaku orang beragama Islam.

Serangan keatas Iraq dan Afghanistan, berapa yang terkorban? dan bagaimana kesan selepas perang? Pelakunya orang Amerika.

Ertinya, jangan lihat dari kaca mata agama mahupun bangsa. Lihat pelakunya. Bertindaklah keatas pelakunya.

Pelaku serangan Charlie Hebdo, katanya telah dikenal pasti dan seorang diberitakan telah menyerah diri. Siasat, bicara dan hukum jika sabit kesalahan.

Jangan pula lupa mereka yang membunuh rakyat Palestin, Iraq dan Afghanistan. Siasat, bicara dan hukum mereka jika sabit kesalahan. 

Takziah kepada keluarga 12 orang yang terbunuh dalam peristiwa Charlie Hebdo dengan harapan tiada dendam dan benci terhadap penganut Islam yang lain. 

Rabu, 7 Januari 2015

Kambing Impot Pak Nik Kena Bunuh: Apa Motifnya




Siapa bunuh kambing itu?
 
Semua orang tanya soalan yang sama: Siapa bunuh kambing itu?
 
Kambing itu baru saja diimpot dari luar negara. Saiznya besar sepadan saiz kambing gurun. Seekor kambing betina yang bila-bila masa saja mampu menendang kambing jantan tempatan yang mengada-ada cuba mahu menggatal.
 
Tapi tidak mungkin kambing jantan tempatan mempunyai peluang untuk menggatal. Bukan kerana saiznya kecil. Ruang untuk menggatal tidak ada. 
 
Kambing betina itu di masukkan ke dalam kandang binaan khas sesuai dengan saiznya. Terasing dari kambing tempatan.
 
Waktu sampainya kambing itu, satu kampong datang menjenguk, termasuk datuk penghulu. Cantiknya kambing yang berbulu putih itu, puji orang kampong yang melihatnya.
 
Hanya empat hari saja kambing impot itu sempat menginap di kediaman binaan khas itu. Hari kelima kambing itu didapati telah mati. Mati didalam hutan di sebuah bukit berpuaka yang berhampiran dengan kandangnya.
 
Siapa pembunuh kambing itu? Bagaimana kambing itu boleh mati didalam hutan dibukit berhampiran?
 
Dua persoalan segera ditanya oleh Pak Nik, tuan punya kambing. 
 
Pak Nik sangat marah. 

Seekor kambing jantan dari baka yang sama akan sampai pada minggu depan. Terkulailah cita-cita Pak Nik untuk membiak baka kambing impot ini. Harapannya musnah sama sekali.

Dia terbayang dua wajah anak muda kampong, Jin dan Katan sisetan yang telah mendapat gelaran sebagai kutu rayau. Dari hulu ke hilir, darat dan baruh kedua-dua kutu rayau ini tidak ada masalah untuk sampai dengan berjalan tutup kedua belah mata.
 
Tidak mungkin ada orang lain. Mesti dua ekor ini yang melakukannya.

Pak Nik sudah dapat jawapan yang pertama. Jin dan Katan lah yang membunuh kambing itu.

Jin, nama sebenar Md. Zin. Katan, nama kad pengenalan Katan juga tapi mendapat gelaran Setan yang selalu disebut Sisetan oleh orang kampong. Kedua-dua penganggur tegar selepas gagal SPM. Sudah lima tahun berkelana dikampong.
 
Hanya mereka berdua yang berani melakukannya. Siapa lagi, kalau tidak kutu rayau? Jin dan Sisetan mana takut puaka? Bukit yang berpuaka itu tiada siapa yang berani meneroka kecuali dua penganggur tegar ini.
 
Tapi fasal apa dia orang bunuh kambing itu? Kenapa tak dijual, boleh dapat wang? 
 
Dapat upah ke? Siapa yang upah?
 
Apa motif mereka? 
 
Walaupun kedua-duanya kutu rayau, Pak Nik tidak pernah menyakitkan hati mereka. Mereka juga tidak pernah menyakitkan hati Pak Nik.  Tidak ada sebab yang kukuh boleh mengesyakki mereka melakukannya selain dari  reputasi nama yang dibawa oleh gelaran yang diberikan oleh orang kampong keatas mereka:kutu rayau, jin dan sisetan.
 
Mereka ini penganggur. Mana ada wang. Dan perlukan wang untuk makan minum dan bergaya sedikit sebanyak mengikut standard kampong.
 
Sudah tentu mereka ambil upah. Ada orang yang beri upah.
 
Terjawab sudah akan motif kambing itu dibunah iaitu mahu dapatkan wang. Penganggur perlukan wang.
 
Kemarahan Pak Nik mula sedikit reda kerana sudah ada jawapan siapa pembunuh kambing itu.
 
Tapi.....Pak Nik garu kepala.
 
Siapa yang memberi upah? Mengapa kambing itu?
 
Kemarahan Pak Nik meningkat semula.

Setiap orang kampong Pak Nik kenal. Status sosial dan ekonomi mereka dalam kepala Pak Nik. Rata-rata macam Pak Nik juga, bekerja kampong sebagai pesawah dan penoreh getah. Membela kambing dan lembu serta menternak ayam untuk menambah pendapatan. Ada juga yang menanam sayuran di sisi-sisi rumah kediaman.

Tiada watak-watak yang jahat menjelma. Tiada seorang pun yang pernah berkecil hati dan dikecilkan hati.
 
Siapa yang mengupah? Fasal apa? Jeritan hati yang tidak keluar yang menaikkan lagi suhu kemarahan Pak Nik.
 
Pak Nik mahu tahu apakah tujuan kambing itu di bunuh? Persaingan perniagaan?

Kecuali datuk penghulu, orang-orang kampong membela kambing bukanlah sangat untuk tujuan perniagaan. Seekor dua yang dibela adalah untuk mendapatkan wang tambahan dalam masa sesak hendak dapat wang bagi keperluan perbelanjaan sekolah anak atau dalam menghadapi hari raya. Sekadar itu saja, tidak untuk di pasarkan.
 
Lagipun kambing Pak Nik itu belum lagi membiak. Minggu depan baru kambing jantan datang, untuk dipasangkan.
 
Pak Nik masih mahu mencari jawapan apa motif kambingnya dibunuh. Dia mesti mencari motif. Siapa yang membunuh tidak lagi penting kerana dia sudah 'zero in' kepada dua kutu rayau yang berkelana di kampongnya. Mereka perlukan wang.
 
Motif pembunuh adalah jelas kepada Pak Nik iaitu untuk mendapat upah. Mendapat wang secara membunuh. Ertinya mesti ada orang yang mengupah. Ada motif yang mengatasi motif pembunuh itu.
 
Tapi siapa yang mengupah dan mengapa?
 
Kemarahan Pak Nik bertukar menjadi tangisan. Dia terlalu sayang kambing impot yang mahu dibiakkan itu agar menjadi baka yang berkembang.

Dia tersenyum sedikit apabila mengingatkan kata-kata datuk penghulu yang memuji bentuk badan dan rupa paras kambingnya itu, semasa kunjungan penghulu itu ke kandang kambingnya.
 
"Cantik sungguh kambing ini. Besar pulak. Fasal apa tak berteman", teringat dia kata-kata penghulu.
 
"Minggu depan adalah kawannya. Nak harap kambing tempatan, kena tendang pulak", jawab Pak Nik selamba yang membuatkan penghulu ketawa besar.
 
"Macam mana dengan datuk. Tak nak beli kambing impot ke?''
  
"Niat tu ada juga. Tapi tunggulah. Kambing yang ada pun susah nak jual. Ramai orang bela kambing sekarang. Persaingan kuat".
 
Persaingan kuat? Mungkin kah......mungkinkah.
 
Tidak mungkin, dia adalah penghulu, seorang pemimpin kampong yang dikenali. Mana mungkin seorang ketua tergamak untuk menganianya anak buahnya.
 
Pak Nik terlalu pasti bahawa datuk penghulu bukan pembunuh. Dia berat mempercayai Jin dan Sisetan itu yang membunuh kambingnya untuk dapat wang. Dia hanya mahu cari orang yang mengupah 'dua ekor' itu, dan apa motif pengupah itu berbuat demikian.  

Selagi dia tidak dapat merumuskan motif pembunuhan, Pak Nik tidak akan melaporkan kepada polis. Baginya motif adalah kritikal.

Selasa, 6 Januari 2015

LOGIK: Banyak Orang, Tauke, dan Kerajaan bandingkan dengan LOGIK Bangau ohh Bangau.




'Harga minyak dunia turun tapi harga barang tidak turun'. Fasal apa, rungut 'banyak orang' (rakyat).

'Harga minyak tempatan naik sebab harga minyak di pasaran dunia naik'. Kata kerajaan beri alasan.

Logik. Kedua-duanya gunakan logik. 'Banyak orang' guna logik dan kerajaan pun guna logik. Boleh terima kedua-duanya.

Sebahagian besar 'banyak orang' percaya dan mengakui bahawa harga minyak boleh dan banyak mempengaruhi harga barang-barang dan perkhidmatan. Bila harga minyak naik, harga sayur, yang diangkut oleh lori untuk sampai ke pengguna, misalnya akan naik juga. Sebab, tauke lori tidak akan meresapkan kenaikan harga minyak itu, sebaliknya dipindahkan kepada pengguna. 

'Wa tak mahu lugi ooo', kata tauke lori itu. 'Meniaga mesti lapat untungggg  maa', tambah tauke itu.

Logik. Memang logik cakap tauke itu.

Tapi tunggu dulu. 'Banyak orang' mahu pengesahan: Kalau begitu bila harga minyak turun, harga barang mesti ikut turun, logik tak tauke?

'Oooo itu wa ta tak tau. Wa tau meniaga mesti lapat untung, lagi busat untung lagi baik maa', kata tauke yang muka selamba.

Tauke itu ikut logik orang berniaga. Siapa mahu rugi dalam berniaga? 

Tauke ini sebenarnya mempraktikkan hukum yang dianjurkan dalam tiori ekonomi kapitalis : Buat untung yang maksima (Maximise your profit).

Logik bukan? 

Sudah tentu logik. Sebab waktu harga minyak naik, tauke naikkan harga barang. Dia tidak rugi. Kemudian bila harga minyak turun, tauke tidak pula turun harga barang. Dia mahu kekal untung. 

Jika permintaan itu melebihi barang yang ada (demand exceeds supply), dia akan naikkan harga barang itu walaupun harga minyak sudah turun.

Tindakan tauke itu bersandarkan logik orang berniaga dan menurut tiori ekonomi juga :permintaan dan tawaran atau bekalan (demand and supply). Permintaan dan tawaran ini yang mengaturkan harga.

Logik? Sudah tentu logik dan benar. Contohnya dihadapan mata. Berapa harga nasi campur ketika banjir melanda sekarang ini? 

Ada berita mengatakan RM25.00, ada kata RM 23.00. Tidak mungkin palsu berita ini. Sebab SKMM dan polis tidak pergi menyiasat tidak seperti beberapa cerita palsu yang lain.

Harga yang terlampau tinggi (biasanya harga nasi campur dalam lingkungan 5 -10 ringgit bergantung kepada bahan-bahan yang dicampurnya, setengah tempat kurang dari itu) adalah kerana permintaan mengatasi bilangan nasi campur yang boleh dibekalkan/disediakan.

Logik, bukan? Sebab, siapa saja yang mampu menawarkan harga paling tinggi, dialah yang dapat. Ada masuk pembelian secara lelong? Kalau ada, sudah tentu boleh menerima logik ini.

Baik, terimalah logik tauke atau orang yang berniaga itu: bahawa orang berniaga mesti dapat untung. Yang paling baik dan dikatakan 'genius' dalam berniaga ialah maksimakan keuntungan.

Bagaimana pula logik kerajaan kita : Bahawa harga minyak tempatan bergantung kepada harga di pasaran dunia. Bila harga minyak pasaran dunia naik, harga minyak tempatan kenalah naik.

Ada logiknya dasar kerajaan itu.

Tapi kerajaan kata lagi: Malaysia tidak buat begitu kerana kerajaan amat prihatin akan kehidupan rakyat. Kerajaan tidak mahu membebankan rakyat. Sebab itu kerajaan beri subsidi minyak bagi merengankan beban rakyat, tapi kalau adapun kenaikan, ianya sedikit saja, tidak membebankan.

Tambah kerajaan itu lagi:  Namun begitu, subsidi minyak ini membebankan negara jika berterusan. Subsidi minyak mesti di rasionalisasikan (ada rakyat yang susah untuk menyebutnya, juga tak faham ) untuk menggambarkan kedudukan sebenar harga itu. Jadi subsidi minyak mesti dikurangkan secara berperingkat, dan seterusnya dihapuskan.

Maka kerajaan kurangkan subsidi minyak  dibawah skima rasionalisai subsidi. Harga minyak  RON 95 naik 30 sen saja seliter menjadikan 2.20 sen saja (sekarang rakyat baru faham apa itu rasionalisasi subsidi - harga naik rupernyer).

Sekarang harga minyak dunia sudah banyak kali turun. Maka 'banyak orang' mula bertanya: Harga minyak dunia turun, fasal apa kerajaan tak turun harga minyak tempatan? 

Kerajaan dengan selamba menjawab: Kerajaan telah setuju turun harga minyak. Kalau tak percaya pergi beli minyak.

Benar, kerajaan telah turun harga minyak. Kerajaan tidak cakap bohong.

Tapiii, 'banyak orang' itu garu kepala dan teringat sesuatu lalu bertanya lagi: Kenapa lambat turun sedangkan harga minyak dunia lama dah turun, banyak kali pula.

Kerajaan memang smart kerana di anggotai oleh orang-orang yang genius, high flyers dengan CGPA yang cemerlang dengan selamba menjawab: Kerajaan tidak mudah terburu-buru. Kita mesti melihat berbagai teknik dan mekanisma sebelum menurunkan harga supaya tidak ada mana-mana pihak akan keliru dan rugi. Yang penting, kerajaan telah bersetuju harga minyak diturunkan.

Dikalangan 'banyak orang' itu ada juga yang smart dan genius, segera bertanya: Maknanya kerajaan  buat untunglah kerana lambat menurunkan harga minyak. Apa jadi dengan keuntungan itu ('banyak orang' itu telah buat kira-kira rupanya, katanya kerajaan untung kurang lebih 600 juta).

'Banyak orang' itu bertanya lagi: Adakah kerajaan juga hendak berniaga? (soalan itu membawa maksud kerajaan nak buat untung atas kesusahan rakyat ke).

Kerajaan merasakan lebih baik soalan itu tidak diberi jawapan. Pengalaman 1MDB telah mematangkan kerajaan untuk bermuka selamba, biarkan saja. 

Bukankah Melayu (termasuklah bukan Melayu) mudah lupa? Kerajaan terlalu taksub dengan ungkapan ini. Percaya totok.

Tapi yang pasti saya tidak pernah lupa logik yang digunakan oleh setiap makhluk waktu mahu  melepaskan tanggungjawab masing-masing kepada makhluk yang lain.

Nak tahu dengarlah lagu: Bangau ohh Bangau. Masing-masing gunakan logik bagi melepaskan diri.