Theflowersellingboy

Rabu, 31 Disember 2014

Tahun 2015 : Kehidupan Perlu Diteruskan.




Beberapa jam dari sekarang (10.30 malam) akan masuk tahun baru 2015  meninggalkan tahun 2014 sebagai sejarah.

Berbagai peristiwa cerita suka duka yang telah kita hadapi . Ada cerita suka untuk kita, tapi duka untuk orang lain. Begitulah sebaliknya. 

Kita suka kerana kita berjaya mendapat kerja, misalnya. Dalam masa yang sama orang lain berduka kerana tidak dapat kerja disebabkan bilangan jawatan tidak cukup melainkan kita menarik diri dari bersaing mendapatkan jawatan itu.

Ertinya buruk untuk kita tidak semesti nya buruk untuk orang lain. Kereta kita menjadi rosak disebabkan kemalangan, ianya rezeki kepada tuan punya bengkel membaikki kereta.

Oleh itu apa yang berlaku tidak hanya boleh dilihat dari satu sisi saja.

Samalah seperti kejadian-kejadian malang yang menimpa kepada negara kita. MH 370 yang hilang, MH 17 yang terhempas (ada yang mengatakan ditembak jatuh) dan peristiwa banjir yang sedang melanda di beberapa buah negeri di Malaysia  adalah peristiwa malang yang berlaku pada tahun 2014.

Dari satu sisi ianya peristiwa yang malang. Dari sisi yang lain peristiwa-peristiwa itu boleh memberi berbagai pengajaran agar peristiwa yang malang itu dapat dielakkan atau dikurangkan kesan buruknya.

Oleh itu tinggalkan tahun 2014 itu dan masukki tahun 2015 dengan penuh harapan dan yakinlah bahawa walau apa pun yang akan kita hadapi pada tahun 2015, kehidupan ini perlu diteruskan.  Jangan putus asa.

Selasa, 30 Disember 2014

Cakap-cakap Banjir




Cakap-cakap banjir. Ada macam-macam jenis cakap. Tapi banyak cakap datangnya dari orang yang tidak menjadi mangsa banjir. Antaranya:
 
1. Banjir adalah satu musibah, ujian dari Allah. Maka banyaklah bersabar.
 
Cakap ini antara lain bertujuan untuk mengingatkan semua insan terutama mangsa banjir bahawa mereka jangan mudah putus asa, sebaliknya menerima apa yang berlaku itu dengan penuh redha.
 
Tapi jika orang yang bercakap itu hanya berhenti setakat itu tanpa membuat sesuatu bagi membantu mangsa banjir itu, misalnya turut bersama menyelamatkan mangsa banjir dan/atau menghulurkan wang mahupun barang-barang keperluan seperti pakaian dan sebagainya, cakap seperti itu tidak ada nilainya.
 
2. Banjir ini mengesahkan bahawa hukum hudud perlu dilaksanakan.
 
Cakap ini juga mengingatkan akan perlunya perlaksanaan hukum Allah dalam menguruskan kehidupan kita.
 
Dalam keadaan orang ditimpa banjir, utamakan tindakan membantu dari cakap seperti ini. Sesungguhnya perlaksanaan hukum Allah tidak perlukan pengesahan berlakunya sesuatu musibah.
 
3. Dalam keadaan banjir menimpa rakyat, pemimpin pula pergi bercuti.
 
Cakap ini adalah cakap orang yang kecewa dan marah diatas ketiadaan pemimpin kerana pergi bercuti yang selalu ditafsirkan sebagai berseronok, ketika rakyat ditimpa musibah. Orang yang bercakap ini sangat berharap agar pemimpin itu ada bersama, semasa senang dan semasa susah kerana pemimpin adalah orang yang mereka sanjung, dan tempat mereka mengadu hal untuk mendapat pertolongan. Ada juga yang bercakap ini mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan pemimpin bermotifkan politik.
 
Sesiapapun yang ditimpa musibah, misalnya banjir, perlukan pertolongan. Dan pemimpin adalah tempat bergantung harap untuk memberi pertolongan. Bukankah itu tanggungjawab pemimpin? 
 
Jika pemimpin tiada sewaktu rakyat ditimpa banjir, cakap seperti ini tidak mudah dikawal, secara otomatik ianya terhambur. Jika yang bercakap ini sebenarnya atas kesedaran semata-mata bagi mendapat pertolongan atau bercakap bagi tujuan membantu mangsa banjir, cakap seperti ini wajar diterima sebagai cakap mengadu nasib kepada pemimpin yang diharap dapat membantu. Ianya patut difahami seperti itu.
 
Jika cakap itu bermotif politik, maka janganlah celupar bercakap, sebaliknya kita yang ada, yang tidak bercuti, dengan segera turun ataupun keluarkan apa saja bentuk bantuan bagi membantu mangsa banjir itu. Tidak perlu kita salahkan pemimpin yang bercuti itu sedangkan kita hanya celupar bercakap, tapi tidak langsung beri bantuan. 
 
Kalaupun kita bersama membantu, pada ketika banjir ini, tahanlah mulut dari bercakap seperti itu. Apabila sudah reda, apabila mangsa telah selamat dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa, nak bangkitkan perangai pemimpin yang suka bercuti semasa rakyat ditimpa banjir, dipersilakan.

4. Banjir ini adalah disebabkan kerja-kerja pembalakan dan pembangunan yang tidak terurus dengan baik.
 
Cakap ini adalah cakap mencari salah pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negara/negeri. Cakap menuding jari.
 
Ketika mangsa perlukan bantuan , dan bantuan perlu diberikan dengan segera maka segala tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha, ikhtiar dan tindakan kearah menyedia dan menyampaikan keperluan itu.  Jangan buang masa mencari sebab-sebab berlakunya banjir terutamanya dengan tujuan mencari pihak yang bersalah. Buat kerja untuk menyelamatkan mangsa banjir ini.
 
Itulah empat jenis cakap yang terdengar, yang sebanyak sedikit mengganggu usaha dalam penumpuan untuk membantu mangsa banjir. Walaupun cakap-cakap itu ada asasnya tapi tidak sesuai pada ketika mangsa banjir perlukan bantuan segera.

Isnin, 29 Disember 2014

Jika Dia Menangis Kita Menangis Sama: Bantulah Mereka




Langit masih mendung dan kita masih lagi dalam keadaan murung.  
 
Banjir melanda lagi. Kita mengeluh.
 
Waktu musim panas terik dan kering sehingga membuatkan tanah menjadi keras dan merekah, air dan sumber air mula berkurangan dan mengecil, tumbuhan banyak yang mati, dan kebakaran mudah terjadi, dan kita pula tidak tahan dengan cuaca yang panas yang menyebabkan bil letrik meningkat akibat penggunaan arus letrik yang bertambah untuk mendinginkan anggota badan dari alat penghawa dingin dan kipas yang berkerja lebih dari masa biasa.
 
Musim panas, kita juga mengeluh.
 
Tapi tidak semua orang mengeluh. Ada yang menerima seadanya sebagai ujian dari Allah dan sentiasa memohon pertolongan dari Allah melalui doa dan solat hajat bagi mempercepatkan keluar dari musibah itu: Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNyalah kita dikembalikan.
 
Mengeluh adalah kelemahan kita sebagai manusia yang sebahagian besarnya tidak tahan dengan keadaan yang tidak selesa dan menyusahkan. Sebab, kadang-kadang kita terlupa bahawa realiti sebuah kehidupan adalah berbagai-bagai: ada masa kita mampu untuk senyum ketawa dan ada ketikanya kita perlu menangis hiba dan berdukacita.
 
Rasa saya yang terbaik adalah kita sama-sama senyum ketawa apabila saudara mara, sahabat dan insan yang lain yang kita kenal dan tidak kenal di limpahi dan dikurniai dengan sesuatu nikmat; dan jangan lupa untuk bersama-sama menangis, hiba dan susah hati apabila mereka ditimpa musibah. 
 
Ucapkan tahniah dan syabas kepada mereka waktu mereka senyum ketawa kerana nikmat, dan hulurkan bantuan dan pertolongan waktu mereka susah ditimpa musibah.
 
Ertinya siapapun kita dan apapun perasaan kita, sama ada mudah mengeluh resah gelisah atau insan yang sentiasa insaf akan ujian Allah, kita jangan lupa bahawa ada tanggungjawab kita dalam menghadapi sesuatu musibah seperti banjir misalnya.
 
Sekecil-kecil tanggungjawab yang kita boleh laksanakan ialah dengan mengeluarkan sedikit wang untuk membantu mereka yang ditimpa musibah banjir ini selain mendoakan agar banjir cepat surut dan Allah melindungi dan menyelamatkan nyawa dan harta benda mereka yang ditimpa musibah itu.
 
Mungkin banyak orang telah mempunyai maklumat tentang akaun yang boleh disalurkan bantuan seperti yang dimaklumkan dalam siaran di tv. Namun begitu saya turunkan juga no. akaun tersebut seperti berikut:
 
Maybank 514105320757.
 
Bantulah orang dalam kesusahan ini.
 
Saya telah melakukannya, hanya sedikit saja. Bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, kerana saya tahu itu sifat tidak baik atau riak tapi sebagai mahu menyatakan bahawa saya perlu menangis bersama orang yang sedang ditimpa banjir. Menangis dari jauh kerana saya tidak mampu untuk kesana.
 
  

Sabtu, 27 Disember 2014

Selamat Pulang PM.




Bilangan mangsa banjir ketika saya menulis  paparan ini telah meningkat melebihi 130,000, dan kawasan yang terlibat juga bertambah, terbaru di Keluang Johor. 

Kedudukan seperti ini pada pendapat saya, lebih dari mencukupi untuk diistiharkan darurat di kawasan-kawasan yang terlibat. 

Apakah suasana dibawah ini tidak cukup untuk mengistiharkan darurat?

i) Bilangan mangsa yang terlibat terlalu ramai, melebihi 130,000 orang. 
ii) Kawasan yang terlibat melebihi satu negeri. 
iii) Banjir yang melanda amat besar dan berpanjangan tanpa menunjuk tanda reda dan berdasarkan tambahan kawasan dan bilangan mangsa. 
iv) Terdapat kejadian kehilangan nyawa (manusia dan binatang termasuk binatang ternakan) dan kemusnahan harta benda. 
v) Keadaan cemas dan getir di hospital dalam memberi rawatan dan menyelamatkan nyawa akibat dari ketiadaan bekalan perubatan yang mencukupi dan terputusnya bekalan letrik dan air bersih.
vi) Terputusnya hubungan atau rumitnya bagi pasukan bantuan untuk sampai ke kawasan-kawasan yang terlibat dalam misi menyelamat dan menghantar bantuan.

Apakah Arahan Majlis Keselamatan Negara N0. 20 yang menggariskan Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana tidak mengambil kira perkara-perkara diatas bagi menetapkan tahap bencana yang sedang menimpa rakyat ketika ini?

Saya yakin banjir yang melanda banyak negeri ketika ini, dan kerosakan serta kemusnahan akibat darinya bukan lagi pada Tahap 1, mahupun 2. Ianya telah memasuki tahap 3 yang memerlukan campur tangan Kerajaan Persekutuan. Bukan itu saja ianya perlu diistiharkan sebagai darurat.

Mengapa TPM yang mengatakan beliau memangku jawatan PM semasa ketiadaan PM tidak segera mengistiharkan darurat?

Malah beliau berhujah bahawa yang penting ialah melakukan kerja dan langkah-langkah bantuan dan menyelamat bukan soal pengistiharan darurat.

Jika begitu mengapa perlu ada peruntukan pengistiharan darurat dalam Arahan MKN No.20 itu?

Adakah beliau tidak ada kuasa untuk melakukannya kerana pengistiharan darurat sesuatu bencana hanya boleh dilakukan oleh PM secara pentadbiran dan eksekutif atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh PM?

Maknanya TPM bukanlah memangku jawatan PM semasa PM berada di luar negara. Sebab itu agaknya PM kena balik dari bercuti untuk mendengar taklimat dan melihat sendiri seterusnya menilai keadaan yang ada, dan jika JPBP mengesyorkan darurat perlu diistiharkan dalam mendepani banjir ketika ini, maka taraf darurat akan berkuatkuasa. 

Jika itu berlaku maka segala sumber yang ada (kewangan dan peralatan/kelengkapan/tenaga manusia) boleh digerak dan digunakan bagi menghadapi banjir yang masih terus melanda kawasan-kawasan tersebut. Bermakna pengistiharan darurat itu akan meliputi arahan kepada semua agensi kerajaan (persekutuan dan negeri), badan-badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela.

Hanya PM saja yang boleh melakukannya. Sebab itu rakyat amat menunggu dengan penuh harapan akan kepulangan PM, bukan atas nama peribadi tapi atas jawatan yang dipikulnya.

Selamat pulang PM.

Jumaat, 26 Disember 2014

Aku Hanya Mahu Bercuti Bersama Keluarga: Takkan Itupun Bos Tak Faham

 
 
 
Sudah dua minggu langit mendung. Musim tengkujuh menyapa lagi.

 
Mataku tidak lagi berminat untuk menatap surat itu. Aku biarkan surat itu terbaring diatas meja. Menyusahkan. Isi kandungannya menusuk hatiku.
 
" .....sebagai langkah bersiap sedia menghadapi banjir semua cuti adalah dibekukan kecuali dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.....".
 
Macam mana janjiku dengan anak-anak untuk bercuti ke luar negeri. Macam mana aku nak beritahu pada Rini yang tidak sabar lagi untuk terbang ke Paris mahu panjat Eiffel Tower sebagai hadiah kejayaan cemerlangnya dalam UPSR. 
 
Tidak kah itu dikatakan mungkir janji? 
 
Apakan terjadi dengan tempahan tiket kapalterbang bagi 7 orang. Hangus? 
 
Matilah aku macam ni.

Surat arahan seperti itu bukan satu perkara yang baru. Setiap tahun pada akhir bulan Oktober, surat seperti itu pasti aku terima memberi tahu cuti bagi bulan November dan Disember dibeku sehinggalah keadaan banjir pulih semula. Bermakna cuti dibekukan melampaui bulan Disember selagi banjir masih belum pulih.

Aku telah berjanji kepada anak-anakku yang seramai 5 orang itu  bahawa pada tahun ini aku akan membawa mereka bercuti ke luar negeri, ke Paris. Sudah lama kami tidak bercuti ke luar negeri. 
 
"Papa ni asyik-asyik cuti dalam negeri", komen anaku Rini.
 
"Ok. Tahun ini, cuti sekolah bulan dua belas nanti, kita bercuti ke Paris", Aku buat janji, "Tapi dengan syarat, UPSR mesti dapat A semua subjek", Aku menambah meletakkan syarat pada anakku Rini.
 
"No problem ", dengan pantas dijawab oleh anakku Rini sambil memeluk dan menciumku.

Aku tahu Rini boleh melakukannya kerana itulah rekod yang dicapai dalam setiap kali ujian di sekolahnya.

Sebenarnya syarat itu hanya ambil ada saja. Sememangpun telah ada dalam perancangan untuk kami bercuti sekeluarga ke luar negeri. Agak lama juga kami tidak bercuti ke luar negeri bersama keluarga semenjak kembali dari tamat pengajian sarjana di kota London lima tahun sudah.
 
Semua anak-anak merasa teruja untuk ke Paris. Apatah lagi Rini yang mahu membuktikan bahawa percutian ke luar negeri ini adalah disebabkan kejayaannya nanti dalam UPSR. Straight A UPSR, ke Parislah semua orang. Jika satu saja B yang lain A, pasti gagal ke Paris, dan semua orang akan menuding jari padanya.
 
"Bila papa nak tempah tiket. Tempahlah online", suatu hari di meja makan Rini membuka cerita fasal hendak ke Paris. Semua anak-anak yang lain bersetuju agar tempahan segera secara online dibuat.
 
Aku serahkan tugas menempah tiket secara online pada kakak sulung Rini. Aku mana ada masa, seminggu lapan hari kerja.
 
Beberapa minggu kemudian Rini memberitahu, tiket telah ditempah. Dia sungguh seronok sekali. Tapi dia mengingatkan aku  agar cuti hendaklah digunakan sepenuhnya sebagai cuti bersama keluarga. Jangan ada agenda lain.

"Masa di Paris nanti, papa janganlah main golf pulak".
 
Aku faham mengapa Rini khuatir tentang agenda bermain golf itu. Sebab setiap kali bercuti keluarga dalam negeri, padang golf tetap menjadi satu tempat wajib aku lawati bersama dengan kawan-kawan. 
 
" Di Paris mana papa ada kawan", aku meyakinkan anakku itu.
 
Anakku Rini yakin dengan kata-kataku itu dan dia tahu bahawa aku tidak pernah mungkir janji. Bila berjanji aku sentiasa tepati.
 
Ya, janji mesti aku tepati. 
 
Tapi bagaimana dengan arahan dalam surat yang terbaring diatas mejaku ini. Cuti dibekukan. 

Bolehkah aku gunakan percutian keluarga ke Paris ini sebagai satu keadaan yang tidak dapat dielakkan? Sebab, tiket sudah dibeli, hanguslah kalau percutian ini dibatalkan. Yang paling beratnya aku sudah berjanji dengan semua anak-anak. Aku telah berjanji dengan Rini, kalau dapat straight A hadiahnya ke Paris. Dia telah memenuhi syarat.
 
Reputasiku ialah tidak pernah mungkir janji dengan anak-anak. Nama baik ini perlu dijaga. 
 
Lagipun, timbalanku si Zainudin tu kan ada. Aku yakin dia dapat menguruskan keadaan semasa ketiadaanku. Aku bukan 'indispensable', orang lainpun boleh buat kerja.
 
Aku mesti jumpa bos minta pengecualian agar aku dapat bercuti bersama keluarga di Paris. 
 
Main golf di Paris? Sudah tentu anak-anakku kata aku mungkir janji.
 
Tidak, aku tidak akan main golf. Aku hanya mahu bercuti bersama keluarga di Paris. Itu saja. Takkan bos tak boleh faham.
 
Ahhh  langit masih mendung.
 
 
 
 
 
 

Khamis, 25 Disember 2014

Sungguh Mudah Menghadapi dan Menyelesai Masalah :Berserah Saja Kepada Allah kerana Semuanya Atas Kehendak Allah

 



Bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak dan izin Allah. Itu adalah yang kita imani sebagai umat Islam.
 
Tapi adakah ianya menjadi sebab dan alasan maka setiap yang berlaku itu hanya dibiarkan berlaku walaupun ianya memudaratkan kita?  Merugikan atau membinasakan? 
 
Kita tidak perlu lagi menggunakan akal fikiran, tubuh badan dan segala kudrat serta kuasa yang ada bagi menghadapi dan menyelesaikan sesuatu keadaan yang membahayakan nyawa kita?
 
Dan kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan bahawa ini adalah hukum dari Allah kerana ada yang ingkar terhadap perintah Nya atau kita gagal atau belum melaksanakan hukum Allah. Seterusnya kita mengatakan musibah ini sebagai suatu ujian dari Allah, lantas kita perlu bersabar.

Tiada siapa yang beriman akan menolak kenyataan seperti itu. Dan tiada siapa boleh menafikan bahawa Allah sentiasa mengingatkan kita supaya gunakan otak dengan pertanyaan: Tidakkah kamu mahu berfikir?
 
Tidakkah kita mahu berfikir agar tindakan segera dan berkesan perlu kita lakukan apabila dihadapan mata kita ada seseorang dihanyutkan air deras akibat banjir? 
 
Kita hanya berkata, atas pengetahuan kita tentang latarbelakang seseorang itu yang tidak pernah bersolat atau yang menentang hudud, bahawa inilah balasan dari Allah kerana tidak bersolat atau menolak hudud!
 
Memadaikah cara itu? Dan betulkah itu yang disuruh oleh Allah?
 
Mengapa semudah itu kita menghadapi dan menyelesaikan masalah.
 
Bagaimana jika kita dihanyuti oleh air deras itu, dan ditebing sungai berdiri beberapa orang melihat keadaan kita, apakah kita tidak mengharapkan bantuan mereka, dan hanya kita berserah kepada Allah kerana ini satu ketentuan dariNya?
 
Tidakkah kita mahu berfikir?
 
Apatah lagi kita seorang pemimpin, pemimpin politik yang dipilih yang diberikan amanah untuk memimpin, adakah setakat itu caranya kita menghadapi dan menyelesai masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir.
 
Kita berkata "Hadapilah ujian Allah dengan penuh kesabaran".  
 
Kita cepat berkata, "Banjir ini sebagai tanda hukum hudud perlu segera dilaksanakan".
 
Kita enak berkata, "Hujan yang turun yang menyebabkan banjir itu adalah satu rahmah".
 
Bagaimana tindakan segera kita terutamanya kita pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka yang kita pimpin?
 
Cukup dengan kata-kata itu maka kita percaya dan yakin kita telah melaksanakan tanggungjawab selaras dengan perintah Allah?
 
Apakah kita tidak perlu menggerakkan segala jentera dan kekuatan dibawah kuasa dan pengaruh politik yang kita ada bagi membantu dan menyelamatkan mereka yang hanyut, rumah ditenggelami air dan berbagai penderitaan lagi. Kerana kita percaya ini adalah satu ujian dari Allah.
 
Amat malang sekali jika kita dipimpin oleh pemimpin seperti itu.
 
 
 
 

Rabu, 24 Disember 2014

Banjir :Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul




1. Banjir, bencana alam yang berulang setiap tahun. Kali ini lebih teruk dari tahun lepas. Kelantan, Terengganu dan Pahang paling teruk. Kedah , Perlis,Johor dan Perak juga tidak terkecuali. 

2. Bilangan yang telah dipindahkan ke tempat selamat telah mencapai hampir 60,000 orang.

3. Harta benda banyak yang musnah . Ini termasuklah rumah dan isi didalamnya, kenderaan, tanaman, ternakan, tempat berniaga dan berbagai lagi.

4.  Melihat paparan di tv, keadaannya amat menyedihkan sekali. Air naik setinggi paras bumbung rumah. Sudah ada nyawa yang hilang.

5. Walaupun keadaan begitu teruk sekali, tapi kerajaan persekutuan tidak mengistiharkan darurat bagi membolehkan bantuan dan jentera yang terlibat diperhebatkan. Sesungguhnya amat menyedihkan sekali.

6. Marilah kita sama mendoakan keselamatan mereka yang terlibat dengan banjir itu, dan memohon kepada Allah agar keadaan cepat pulih.

8. Saya hanya melihat dari paparan tv, tidak merasakan betapa susahnya mereka yang menjadi mangsa banjir, dan mereka yang turun bersama menolong menyelamat dan memberikan segala bantuan kepada mangsa banjir. 

9. Kepada mangsa banjir saya doakan akan keselamatan anda semua. Kepada yang bersusah payah membantu, syabas diatas keprihatinan dan kesabaran anda itu, semoga Allah membalas dengan balasan yang sewajarnya.

10. Walaupun saya tidak pernah menjadi mangsa banjir (sesekali banjir kilat, ada lah) saya dapat merasakan bagaimana 'tersiksanya' mangsa yang dipindah ke tempat yang selamat. Kalau setakat berhimpitan dengan berbagai bau, ianya tidak berat sangat. Yang berat sangat ialah bilik air untuk mandi, berwuduk, buang air kecil dan besar tidak dapat menampong bilangan mangsa yang ramai.

11. Banjir: Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul. Saya lah yang memandang melalui skrin tv. Dan ramai lagi yang memandang seperti saya. Sudah tentu kita semua simpati. Simpati dan disertakan sedikit dengan bantuan (pakaian dan wang derma) boleh meringankan sedikit saudara-saudara kita yang ditimpa banjir itu.
 

Selasa, 23 Disember 2014

Memasuki Tahun 2015: Apa Yang Saya Sedang Fikirkan




Saya seorang pesara. Ada pencen bulanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan suami isteri. 

Walaupun saya menjangkakan kuasa beli wang saraan pencen saya itu akan berkurangan kesan daripada kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, pengecilan nilai ringgit, dan tanggongan cukai baru GST, saya percaya kehidupan saya lebih baik berbanding dengan sebahagian besar orang lain yang berpendapatan rendah dan tanpa pekerjaan. 

Alhamdulillah, saya masih mampu membuat penyesuaian perbelanjaan tanpa menjejaskan sangat kualiti hidup,  kerana saya tidak lagi menangong perbelanjaan anak-anak. Tiga dari empat orang sudah bekerja, dan seorang lagi akan tamat pengajian pada bulan  Februari 2015.

Bagaimana dengan orang-orang lain? 

Sebelum bertanya fasal orang lain saya mesti ambil peduli tentang anak-anak, adik beradik dan anak-anak saudara terlebih dahulu.

Tiga dari empat orang anak saya telah bekerja dan berumahtangga. Masing-masing telah ada dua orang anak tiap-tiap seorang dalam lingkungan usia 2 bulan ke empat tahun. Seorang lagi baru saja berumah tangga dan dijangka akan menimang anak pada Jun 2015.

Bagi yang telah ada anak , belanja penjagaan anak nursery adalah butir perbelanjaan tetap. Butiran perbelanjaan tetap yang lain ialah bayaran balik pinjaman kenderaan dan perumahan.  

Bayaran nursery seorang anak purata 700 seorang, bayaran balik rumah dan kenderaan RM2500. Ertinya bagi satu keluarga wang yang telah terikat bagi butiran-butiran perbelanjaan itu berjumlah RM 3200.

Perbelanjaan lain? Makan minum, minyak kenderaan, pakaian, tol dan sebagainya terpaksa dibuat penyesuaian. Setakat mana dapat dilakukan penyesuaian adalah bergantong kepada jumlah gaji yang diterima. Tapi RM3200 telah diketepikan lebih awal

Bagi anak yang sedang menunggu kedatangan orang baru, rasanya sedang sibuk membuat kira-kira berapa wang yang diperlukan untuk menyambut orang baru itu, termasuk belanja menghantar ke nursery sebagai tambahan kepada bayaran balik pinjaman kenderaan dan sewa rumah.

Berapa jumlahnya? Yang pasti ialah anak itu kena membayar sewa rumah sebanyak RM1200 sebulan.

Bagaimana pula anak yang akan tamat pengajian pada Februari 2015 nanti? 

Adakah akan dapat kerja pada Mac atau dalam masa yang terdekat? Atau .......saya tidak mahu menyambung tentang kemungkinan ini. Ia amat menakutkan.

Sesungguhnya ia amat menakutkan kerana realiti yang ada masih ramai graduan yang menganggur ketika ini, melebihi 120,000 orang.

Hari ini seorang anak saudara yang telah tamat pengajian pada 2012 memberitahu dia dipanggil temuga bagi jawatan penguatkuasa gred 41 disebuah kerajaan tempatan. 

Sebenarnya dia telah melalui banyak temuduga sama ada jawatan yang sepadan dengan kelayakannya atau yang lebih rendah. Tapi semuanya gagal. Sudah dua tahun menganggur. PTPTN asyik menuntut bayaran balik pinjaman.

Pemimpin kita ada alasan yang standard dengan mengatakan kegagalan itu disebabkan kelemahan dalam bahasa Inggeris. Tapi saya tidak boleh terima alasan itu. Itu hanya alasan bagi mengelak dari memikul tanggungjawab untuk mengadakan peluang pekerjaan yang mencukupi.

Saya bimbang akan anak saya yang bakal jadi graduan itu. Harap-harap beliau mendapat pekerjaan.

Bagaimana pula dengan adik beradik yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai? 

Ya, saya ada adik beradik dalam kategori itu. Pendapatan tidak melebihi satu ribu. Anak ada enam orang dan semua masih bersekolah.

Macam mana agaknya adik beradik saya itu membuat kira-kira perbelanjaan. Apa butiran perbelanjaan utama mereka. Macam mana mereka melakukan penyesuaian perbelanjaan dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

Saya tidak mampu menjawab atau membuat apa-apa cadangan kerana kadang-kadang saya sendiri pening kepala juga walaupun tanggungan saya 2 orang dengan wang pencen saya jauh melebihi pendapatan adik beradik itu. 

Bayangkan mereka yang berpendapatan satu ribu dengan tanggongan 8 orang.

Saya pening kepala boleh beli panadol. Sebab ada wang labih. Adik saya itu pening kepala, nak beli panadol pun tiada wang yang mencukupi. 

Maka jawapan kerajaan pergilah ke klinik 1 Malaysia.

Sesungguhnya kerajaan tidak faham bahasa kiasan? Atau sengaja tidak mahu faham dan lebih suka lepas tangan dan mencari alasan atau mencadangkan jalan penyelesaian yang menyakitkan hati. Contoh: Ayam mahal belilah daging.

Oleh itu saya mahu beritahu secara terang dan jelas bahawa pendapatan RM1000 terlalu rendah. Mesti paling kurang 2000 sebulan. Itupun terkial-kial untuk menjalani kehidupan.

Bagaimana kawan-kawan saya penjawat awam yang berpendapatan kecil misalnya pemandu kenderaan, pembantu pejabat dan tukang kebun.

Begitu juga kawan-kawan dalam kategori bukan pengurusan. Bagaimana pula yang dalam kumpulan pengurusan diperingkat rendah.

Bagaimana pekerja sektor swasta diperingkat rendah?

Saya rasa saya mampu memberi gambaran yang tepat. Mereka akan melalui tekanan perbelanjaan yang berat sekali.

Dan saya juga dapat memberi gambaran yang tepat jika ditanya tentang kehidupan para menteri.

Mereka tidak ada apa-apa yang boleh memeningkan kepala dari segi keluar belanja. Sebab, gaji dan elaun banyak sekali. Untuk naik gaji dan elaun mudah sekali. Hanya angkat tangan di parlimen. Sudah tentu semua angkat tangan. 

Dan banyak butiran perbelanjaan mereka dibayar oleh rakyat. Contoh: makan minum mesyuarat dan tugas rasmi -rakyat bayar; utiliti iaitu air dan letrik -rakyat bayar; tol -rakyat bayar; penyenggaraan dan minyak kereta -rakyat bayar.

Dan macam-macam lagi rakyat bayar. Sebab itu mereka kata GST tidak membebankan. Mereka selalu kata kos tidak naik tinggi sangat. Sebab  wang tidak datang dari poket mereka.

Itulah yang sedang saya fikirkan dalam menghadapi tahun 2015. Alhamdulillah saya hanya perlu membeli sekeping dua panadol.

 

Ahad, 21 Disember 2014

Cerita Semalam Belum Habis




Cerita semalam belum habis. 
 
Pasukan bola sepak Malaysia berjaya mengalahkan Thailand dalam perlawanan akhir pusingan kedua piala suzuki dengan kedudukan jaringan 3-2. 
 
Namun, Malaysia sebagai tuan rumah yang budiman telah menghadiahkan kemenangan kepada pasukan Thailand, kata seorang kawan secara sinis. Dan ada nada kecewa dalam kesinisannya itu.
 
Setelah Malaysia tewas pada pusingan pertama di Thailand dengan kedudukan 0-2, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak yakin Malaysia akan dapat mengatasi Thailand dan seterusnya memenangi piala suzuki pada tahun ini.  
 
Kena jaraingan 2 gol itu bukan satu perkara yang mudah untuk Malaysia menang pada pusingan kedua, mengikut pandangan banyak pihak.
 
Sesungguhnya  mereka itu silap. Mereka mudah putus harap. Selagi pusingan kedua belum berakhir, harapan untuk Malaysia menang masih ada, kata setengah pihak pula.

Saya pula tidak yakin Malaysia boleh mengalahkan Thailand di pusingan kedua, dan tidak juga putus harapan untuk menang dan seterusnya memenangi piala suzuki ini.
 
Dalam kata lain saya yakin Malaysia akan kalah. Dan dalam masa yang sama saya mendoakan Malaysia boleh menang.
 
Saya dapati dari segi kemahiran bermain diantara Thailand dan Malaysia tidak banyak beza. 
 
Cuma Thailand melebihi sedikit dari segi kawalan bola dan kepantasan membuat 'folow up'  dan memberi bantuan kepada kawan dalam sesuatu serangan. Inilah aset utama pasukan Thailand selain semangat juang yang kental. Mungkin sebahagian besar pemainnya lebih muda dari pemain Malaysia.

Kemahiran pemain Malaysia tidak kurang hebat terutama yang ditunjukkan oleh pemain 'senior' yang berpengalaman. Cuma stamina mereka mudah luntur.

Atas dua sebab diataslah saya yakin Malaysia akan tewas sebelum bermulanya sepak mula pusingan kedua. Tapi saya mengharapkan Malaysia boleh menang.

Rupa-rupnya sangkaan saya meleset. Pasukan Malaysia menempelak 'jiwa kecil' saya itu dengan  menyumbatkan 3 gol tanpa balas dari pasukan Thailand. 
 
Namun begitu saya merasa bangga walaupun kena tempelak. Maka saya ketawa besar sambil melompat kegembiraan apabila kita masih lagi berkedudukan 3-0 sedangkan permainan hanya berbaki lebih kurang 20 minit. Tidak mungkin Thailand boleh menjaringkan gol dalam baki tempoh 20 minit itu, kata hati kecil saya.

Saya mengistiharkan piala suzuki itu kita punya.

Dalam keyakinan itu, saya menjadi tersentak dan terkedu apabila Thailand berjaya menjaringkan 1 gol. Dengan serta merta saya menyerah diri dan mengaku kalah walaupun masih mengharapkan 2 jaringan gol boleh dilakukan oleh pemain kita.
 
Saya yakin pemain kita tidak mampu melakukannya. Ini berdasarkan dari pengalaman. Apabila saja gol kita ditembusi, biasanya ia mudah lagi ditembusi oleh pihak lawan. Sama seperti saya yang mudah mengaku kalah, pemain kita pun mempunyai ciri yang sama. 
 
Lagipun pemain-pemain senior yang memainkan peranan utama dalam menyumbang gol Malaysia itu tidak mempunyai stemina yang cukup untuk bersaing dengan pemain pasukan Thailand yang muda. Sebab itulah dalam tempoh akhir permainan, gol kita  mudah di bolosi pihak lawan.

Imbau kembali permainan kita pada peringkat kumpulan dulu. Bukankah kita telah mengalahkan Thailand diperingkat awal permainan? Apa jadi selepas itu iaitu dalam tempoh baki permainan yang sedikit? Tahiland berjaya mengalahkan kita dengan jaringan 3-2.

Bagi saya , kita telah gagal belajar dari perkara semalam, perkara yang telah berlaku. Kita telah gagal mengambil iktibar  perlawanan pada peringkat awal dulu yang mana kita mulanya menang tetapi berakhir kepada kekalahan. 
 
Sebenarnya cerita semalam belum habis lagi.
 
 

Jumaat, 19 Disember 2014

Hilangnya Kredibiliti


 

Hilangnya kredibiliti kerana 
 
i) Tidak bercakap atau menyatakan yang benar (Menipu)
 
ii) Fikiran dan pegangan prinsip yang tidak tetap, melompat-lompat  macam katak -flip flop (Melompat Macam Katak.)
 
iii) Berhujah semata-mata mahu mencari alasan dan helah asalkan dapat mengeluarkan hujah walaupun tidak rasional atau tidak masuk akal kerana ada unsur  kepandiran (Pak Pandir).
 
iv) Suka berjanji tapi tidak tepati (Mungkir Janji)
 
v) Menggunakan alasan sebagai senjata bila alasan itu boleh membantu atau menjustifikasikan sesuatu keputusan, sebaliknya berdiam jika alasan itu memakan tuan (Senjata Makan Tuan)
 
Diatas adalah lima sebab yang ingin saya senaraikan yang boleh  membuatkan  hilangnya kredibiliti seseorang, kumpulan orang termasuklah apa saja organisasi,  parti politik dan kerajaan.
 
Banyak lagi sebab yang boleh membuatkan hilang kredibiliti misalnya suka melakukan perbuatan jenayah termasuk rasuah dan mengadu-domba untuk menyemarakkan rasa kebencian.
 
Walaupun sebab-sebab itu ditunjukkan secara berasingan dari i) hingga v), sebenarnya ianya saling kait mengait dan mempunyai satu unsur yang sama iatu Tidak Amanah (Pecah Amanah).

Untuk lebih jelas, diberikan contoh-contoh Pecah Amanah itu. Dalam hubungan ini, adalah lebih mudah untuk difahami dengan memberikan contoh hubungan diantara rakyat dan kerajaan. 
 
Rakyat telah memilih parti tertentu bagi membentuk kerajaan. BN telah menubuhkan kerajaan di  peringkat Persekutuan dan negeri-negeri melainkan  Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan di bawah PR. PR membentuk kerajaan di tiga negeri tersebut.

Maknanya rakyat telah memberikan amanah kepada kerajaan BN dan PR untuk mengurustadbir segala sumber dibawah penguasaan kerajaan masing-masing untuk digunakan/dimenfaatkan demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai balasan kepada amanah rakyat itu, kerajaan bertanggongjawab (responsible) untuk mengurustadbir dengan secara penuh amanah dengan mengambil kebertanggongjawaban (accountable) diatas perlaksanaan/ atau kegagalan perlaksanaan akan tanggongjawab itu.

Untuk lebih jelas tentang hilang kredibiliti (pecah amanah), diberikan beberapa tindakan, pernyataan dan keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan kerajaan persekutuan (kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasa yang besar).
 
i) Menipu -beberapa hari yang lepas, bekas pengerusi SPR ada membuat kenyataan agar kerajaan jangan menipu rakyat lagi. Tetapi tidak dinyatakan secara spesifik mahupun terperinci bagi menyokong kenyataannya itu. 
 
Namun begitu, jika kerajaan masih mengatakan ekonomi Malaysia dalam keadaan yang tidak membimbangkan, ianya satu tindakan yang cuba mengelak dari kenyataan sebenar. Kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan mata wang asing adalah satu hal yang perlu dibimbangkan oleh kerajaan kerana rakyat terlalu bimbang bahawa kuasa beli mereka telah berkurangan. 
 
Jangan berhujah bahawa kejatuhan nilai ringgit boleh menguntungkan negara kerana barang kita menjadi murah dan dengan itu meningkatkan impot. Banyak isu-isu lain juga perlu diambik kira misalnya kedudukan pasaran kita didunia dan kedudukan ekonomi negara pembeli.
 
ii) Melompat Macam Katak -Perangai kotak lompat ini memang dipandang hina oleh masyarakat. Hari ini kata begini, esok lusa dan tulat kata begitu pula. Masa meraih undi PRU 13, kata harga minyak tidak naik, lepas pilihanraya naik pula.
 
iii) Pak Pandir -Watak pak pandir adalah watak bodoh tapi pak pandir masih merasakan dirinya pandai. Contoh ada pimpinan mengatakan bahawa jika harga ayam naik maka makanlah daging. Kurangkan makan gula kerana gula itu menyebabkan kencing manis, dan yang kata beracun.
 
Kenapa berhujah seperti itu. Bukankah lebih baik mencari sebab kenapa harga ayam naik dan mencari jalan bagi mengatasinya dari segi jangka panjang. Kerana kalau beralih kepada alternatif daging ianya tidak akan menyelesaikan masalah. Pertama, harga daging belum tentu lebih murah dari ayam, kedua apabila permintaan daging bertamabh secara otomatik ianya akan menaikkan harga daging, iii) sudah dibuat kajiankah sama ada bekalan daging mencukupi bagi menghadapi permintaan yang bertambah?
 
iv) Mungkir Janji -buat banyak janji dan mungkir pula. Contoh harga minyak adalah satu daripadanya. Tidak memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan adalah yang terbaru.  
 
v) Senjata Makan Tuan - Semasa harga pasaran dunia meningkat dahulu maka kerajaan menjadikan alasan untuk menaikkan harga minyak. Tapi bila harga pasaran minyak dunia merudum berturutan, harga minyak di Malaysia tidak pula diturunkan.

Oleh itu jika sudah tidak ada kredibiliti atau pecah amanah bolehkah kita terus memberi kepercayaan kepada seseorang, kumpulan orang, parti mahupun kerajaan?

Rabu, 17 Disember 2014

Berhati-hati Ketika Menyalin Pakaian Anak Kecil




Kali kedua berlaku pada saya. Kali pertama pada tahun 1977. Saya lupa bulan berapa dan hari apa. Tapi saya ingat peristiwa itu sehingga kini. 

Kali kedua peristiwa yang sama berlaku sehari yang lepas. Peristiwa kali kedua inilah yang membuatkan saya mengingat semula peristiwa tahun 1977. Ia menyegarkan cerita yang telah lama berlaku.

Saya tidak tahu sama ada cerita saya ini melucukan, memalukan atau menyeronokkan dari sudut pandang orang lain.

Ianya menjadi lucu, jika ada yang ketawa, seolah-olah mengatakan saya orang yang tidak berhati-hati atau ada unsur kepandiran.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           
Ianya memalukan, jika ada yang ketawa kerana peristiwa itu tidak sepatutnya diceritakan atau dikongsi bersama.
Dan ianya menyeronokkan, jika ada yang ketawa kerana ianya satu kejutan dan tidak selalu berlaku, tapi diterima sebagai bukan satu yang luar biasa.

Apa pun sikap dan reaksi terhadap cerita saya ini, satu perkara yang pasti ialah bahawa ianya mengingatkan kepada saya agar jangan sekali-kali mengambil sikap mudah (take thing for granted) kerana sesuatu  akan berlaku dalam bentuk kejutan. 

Apa kejutan itu?

Kejutan tahun 1977 dan tahun 2014 adalah sama saja. Pada tahun 1977 saya dikejutkan oleh anak sendiri yang baru berusia 1 tahun. Kejutan tahun 2014 pula adalah dari cucu yang keempat yang baru berusia dua bulan.

Oleh kerana kejutannya sama saja maka memadai saya kongsikan cerita yang terbaru.

Saya dan isteri mahu menukar pakaian cucu kami itu.Ketika itu dia sedang menangis. Saya pula menghagahnya dalam usaha untuk memberhentikan tangisannya itu. Tapi dia terus menangis. Dan saya terus menghagah sementara isteri mengambil pakaian cucu itu.

Semasa menghagah, muka saya semakin dekat dengan muka cucu itu. Dia terus menangis. Tiba-tiba terpancutlah air kencingnya mengenai baju dan kain isteri saya. 

Saya yang sedang menghagah itu tidak sempat mengelak dari kena pancutan kencing cucu itu. Tahu ke mana kencing cucu saya itu tuju? Pancutannya masuk dalam mulut saya, sebab mulut saya terbuka semasa menghagah cucu saya itu.

Apa rasanya? Saya tidak tahu. Tapi saya dengan cepat masuk bilik air untuk berludah mengeluarkan air pancutan itu. Kemudian berkomor-komor beberapa kali untuk membersihkan mulut saya itu.

Kami semuanya ketawa (saya, isteri dan emak kepada cucu saya). Cucu saya berhenti menangis, dan mukanya macam biasa saja.

Oleh itu jika mahu salin pakaian anak kecil, sebelum bersedia dengan pakaian baru, pakaian lama jangan dibuka terlebih dahulu. Dan jika dibuka, tentukan anak itu dibaluti dengan kain terutama jika anak kecil itu sedang menangis. Jangan buat macam saya menghagah anak yang sedang menangis.

Anak yang sedang menangis mudah memancutkan kencing apatah lagi jika anak itu anak lelaki. Mulut yang ternganga itu adalah sasaran paling baik pancutan air kencing anak kecil itu.

Dulu tahun 1977 sama juga, cuma pelakunya yang berbeza. Ertinya, saya adalah datuk yang mudah lupa. Namun begitu, ianya menambahkan lagi ikatan kasih sayang diantara seorang datuk dengan cucunya.

Macam mana cerita yang saya kongsi ini. Anda ketawa? Apakah jenis ketawa anda?

  
 



Selasa, 16 Disember 2014

Satu Malaysia Dah Berhutang: Faham Tak?




Satu Malaysia Dah Berhutang. Hebuh orang cakap. Sana sini kata satu malaysia dah berhutang. Apa bendanya tu?

Belum sempat aku nak hebuh-hebuh tanya seorang kawan , dia kata dia dah tahu lama dah yang satu malaysia dah berhutang. Mati kita, kata kawan aku itu lagi.

Ah kawan aku ni mengarut saja. Satu malaysia yang berhutang kita pulak yang mati. Maknanya termasuk akulah. Tak  masuk akal. 

Apa  kaitan aku dengan satu malaysia yang berhutang tu. Aku tak kisah pasal orang lain. Yang penting periuk nasi aku. 

Hutang PTPTN anak aku pun aku selalu ponteng. Banyakkk, 40,000 ribu. Macam mana anak aku nak bayar, dia belum dapat kerja. Dah empat tahun menganggur. Interview dah banyak kali. Jawabnya elek. 

Banyak kali dapat surat warning, minta segera selesaikan tunggakan dan bayar balik mengikut jadual. Kalau tidak....

Kalau tidak nama anak aku kena senarai hitam. Senarai hitam dalam CCRIS. Makhluk aper ke bender tu.

Aku juga yang kena cari duit nak bayar PTPTN. 

Datang pula hutang satu malaysia. Takkan aku nak kena bayar. Dia yang berhutang, aku pula yang terseksa. Mana adil. Matilah aku macam ni.

Tapi aku mesti bersedia juga. Mesti dapat fakta dan maklumat, takut-takut ada pihak tuntut aku bayar hutang satu malaysia tu. Dengan fakta dan maklumat bolehlah aku lawan dalam mahkamah. Buat apa aku bayar hutang sebab bukan aku yang buat pinjaman. PTPTN, oklah, sebab anak aku pakai duit tu. Aku mesti ambil tanggongjawab.

Lawan tetap lawan! 

Aku mahu tahu berapa banyak satu malaysia dah berhutang. Bukan aku nak bayar hutang tapi nak berhujah  dalam mahkamah nanti. 

Berapa satu malaysia dah berhutang? Aku mahu tanya kawan aku itu. Dia macam tahu luar dan dalam cerita satu malaysia dah berhutang ni.
 
Kawan aku tak mahu menjawab tapi tanya balik pada aku sama ada aku ada baca paper ke atau tengok tv. 

Memanglah aku baca paper dan tengok tv. Mana aku ada maklumat dari sumber lain. Kalau ada pun dari cerita kedai kopi. Macam-macam cerita ada. Mengelirukan. Sebab tukang karut pun standard macam aku juga, darjah enam sekolah melayu. Banyak mengarutnya.

Aku mahu tahu : Berapa banyak satu malaysia berhutang? Hutang dengan siapa? Siapa ni satu malaysia? Apa kena mengena dengan aku?

Tanya satu persatulah, kawan aku meredakan nafsu nak tahu aku itu.

Ok, satu malaysia dah berhutang berbillion ringgit, bukan sepuluh ringgit, faham tak? Kawan aku ni macam nak memperbodohkan aku pula. Tapi tak apa sebab aku memang tak tahu. Aku nak tahu apa yang aku tidak tahu.
 
Lantaklah, dia nak berhutang banyak mana sekalipun. Apa ada kena mengena dengan kita, dengan aku? Aku mahu dia sambung cerita.

Lebih 40 billion oiii, bukan 40 ribu. Kau tau ada berapa kosong dalam 40 billion?

40 billion tak jadi masalah pada aku kerana bukan aku yang berhutang. Aku hutang 40 ribu saja.

Masalahnya, satu malaysia ni rugi. Operasi tak untung. 

Macam mana nak bayar hutang? Aku ingin tahu juga.

Kawan aku tidak segera menjawab soalan aku itu. Sebaliknya dia tanya aku macam mana aku dengan PTPTN, macam mana aku bayar.

Aku beritahu, kadang-kadang bayar dan banyak kali tak bayar. Sebab aku tak ada duit. Harga getahpun dah turun.

Pasal apa kau yang bayar. Yang berhutang anak kau? Tanya kawan aku.

Anak  aku mana ada duit, tak kerja lagi. Aku yang menjamin pinjaman dia, aku mestilah ambil tanggongjawab.

Itulah yang masalahnya. 

Aku tidak faham maksud masalah yang dikatakan kawan aku ini.

Satu malaysia dah tahu yang satu malaysia dah berhutang itu tiada wang untuk bayar pinjaman. Berniaga tak untung macam mana nak bayar. Jadi penjaminlah yang kena bayar. Macam kau bayar hutang PTPTN anak kau.

Siapa penjamin? Aku mahu tahu.

Kita satu malaysialah penjamin.

Ekk macam mana boleh jadi macam tu. Aku tak pernah sain.

Betullah tu. Tapi kita pernah pangkah dia.

Aku faham maksud pangkah itu. Tapi aku tidak faham macam mana aku boleh jadi penjamin kepada satu malaysia dah berhutang itu. Satu malaysia jadi penjamin?

Kawan aku terus bercerita tanpa celahan dari aku. Malas aku nak mencelah lagi.

Kawan itu amat bimbang sekali. Dia bimbang tak dapat pencen. Katanya satu malaysia dah berhutang 4 billion dari wang pencen. Kalau pinjaman itu tak mampu dibayar, 'habislah aku' , katanya.

Kawan aku kata bukan dia saja yang bimbang, bekas PM Tun Mahathir pun bimbang. Bekas PM tu kata perniagaan satu malaysia dah berhutang itu macam main judi. Mana boleh kerajaan main judi.

Banyak pihak lagi yang bimbang. Bekas Menteri Kewangan Tun Daim pun bimbang.

Rafizi dari PKR dan Tony Phua dari DAP pun bimbang dan buat bising..

Pembangkang mestilah perangainya begitu. Semua yang kerajaan buat mereka tak setuju. Aku cepat mencelah walaupun telah berjanji tidak mahu mencelah.

Hey kawan, kabinet pun bimbang. Kawan itu sergah aku.

Hey kawan, orang UMNO pun dah buat laporan polis keatas satu malaysia dah berhutang ini.

Aku semakin tidak faham. 

Aku faham mengapa PKR dan DAP buat bising. 

Tapi aku tak faham mengapa bekas PM, bekas menteri kewangan, dan kabinet bimbang tentang satu malaysia dah berhutang.

Aku juga tidak faham mengapa orang UMNO buat laporan polis tentang satu malaysia dah berhutang. Apa tujuan?

Siapa boleh beri aku faham. Siapa yang wajib ambil tanggongjawab, macam aku ambil tanggongjawab membayar hutang PTPTN anak aku.

Isnin, 15 Disember 2014

Memberi dan Meminta




Memang mudah kita mengatakan bahawa tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang suka meminta-minta. Dalam kata lain lebih baik kita menjadi penderma atau memberi pertolongan dari menjadi peminta sedekah atau mengharapkan pertolongan orang lain.
 
Dan ramai pula yang mengingatkan, terutama dikalangan orang yang dipanggil ustaz bahawa tangan kiri tidak perlu tahu tangan kanan yang memberi. Maksudnya pemberian itu mesti ikhlas.
 
Secara ringkas masyarakat bersetuju bahawa memberi pertolongan atau menderma adalah satu amalan yang baik. Dan mesti dilakukan dengan ikhlas-tiada maksud yang lain, hanya bertujuan semata-mata untuk menolong atau membantu mereka atau pihak yang memerlukan. 
 
Ada dua persoalan tentang memberi dan menerima ini.
 
Pertama, jika masyarakat bersetuju bahawa memberi pertolongan atau menderma itu satu amalan yang baik, ramaikah orang yang suka melakukannya?
 
Kedua, jika meminta itu tidak baik atau tidak digalakkan, bagaimana pula orang yang suka menderma atau memberi bantuan itu   mahu melakukan amalan baik menderma atau menolong? Dan apa akan terjadi kepada orang yang sangat-sangat perlu bantuan kalau amalan meminta itu dipandang tidak atau kurang baik?
 
Kita bicara dulu persoalan yang pertama. Ramaikah orang yang suka menderma atau memberi bantuan?
 
Saya jawab begini: Bahawa yang ramai hanya orang yang suka bercakap atau suka menyeru agar melakukan derma sedangkan orang yang bercakap itu tidak semestinya bersedia atau bermurah hati untuk menderma.
 
Macam-macam alasan untuk tidak melakukannya. Antaranya mengesyakki yang meminta itu adalah terdiri dari satu-satu sendiket. Perasaan syak seperti ini ada juga kebenarannya kerana ada bukti telah berlaku sendiket seperti ini. Maka orang yang tidak mahu menderma itu sebenar-benarnya berhati-hati agar pertolongannya hanya diberikan kepada orang/pihak yang memerlukan.
 
Satu lagi alasan ialah bahawa pihak yang menyeru agar orang menderma itu merasakan hanya cukup saja buat seruan tanpa diri sendiri menderma.  Misalnya kalau dianya seorang penceramah agama dan menyeru agar orang menderma, seruan itu hanya untuk orang lain. Tapi tidak semuanya begitu. Cuma banyak kes seperti ini, jika kita ambil peduli untuk mengesannya.
 
Persoalan kedua ialah tentang orang yang meminta. Memang benar ada orang yang suka meminta-minta, bukan sebab ianya dalam keadaan sangat memerlukan. Maksud saya orang yang tidak cacat tapi malas bekerja atau meminta secara penipuan seperti dalam hal sendiket itu.
 
Orang kurang upaya seperti orang buta,  jika meminta mereka wajar diberi pertolongan atau dihulurkan derma. 
 
Jadi dalam soal memberi dan meminta, rasanya tidak perlu kita bersandarkan kepada pegangan bahawa memberi lebih baik dari meminta. 
 
Memang memberi itu baik. Tapi apabila kita mengatakan ianya lebih baik dari pihak yang meminta, dikhuatiri nanti pihak yang meminta berasa hati, apatah lagi jika kita kata secara berdepan, misalnya dalam ceramah agama dimana orang yang memerlukan derma atau bantuan itu turut hadir sama.   
 
Jika kita ada kemampuan dan lebihan sewajarnya kita menolong orang yang meminta itu iaitu orang yang kita sendiri merasakan ianya layak ditolong.
 
Dari segi besar kecil derma yang diberikan juga, rasanya tidak ada salah jika tidak diketahui atau diumumkan kepada pihak lain. Tapi tidak juga salah jika diketahui atau diumumkan. Sebab kita mahu elakkan perasaan besar diri (riyak) jika dimaklumkan.  
 
Dalam segi yang lain pula jika dimaklumkan ianya boleh menjadi teladan dan menggalakkan orang lain untuk melakukannya.
 
Cuma jangan pula kita menyatakan bahawa derma kita ini adalah ikhlas. Tidak perlu cakap perkataan ikhlas itu. Adakah derma yang tidak ikhlas? Lagipun yang tahu ikhlas dan tidak ikhlas itu adalah Allah.
 
Mengakhiri paparan ini, saya ada sedikit cerita tentang memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. 
 
Dua hari yang lepas, dalam barisan kereta yang terlalu banyak di persimpangan sebuah lampu isyarat, seorang perempuan dewasa (mungkin dalam usia 50an) membimbing beberapa bungkusan (saya jangka keropok) berjalan dari tiang lampu isyarat menuju satu demi satu kereta yang berhenti kerana lampu merah. 
 
Saya dibarisan hujung.
 
Kasihan. Tidak ada seorangpun yang mahu membeli dagangan si perempuan itu. Mungkin barang yang di jual itu tidak diperlukan atau dirasakan harganya tidak berpadanan. 
 
Tapi, tidakkah rasa kasihan melihat perempuan itu yang sanggup berpanas terik berpeluh untuk mendapatkan rezeki yang halal?
 
Atau tidak adakah dalam fikiran bahawa jika perempuan itu tidak memerlukan, dianya tidak akan menjual muka menjinjing barang dagangannya di persimpangan lampu isyarat dalam keadaan panas terik?

Sebelum perempuan itu sampai ke kereta saya iaitu dalam tiga jarak kereta, lampu  isyarat merah bertukar menjadi hijau. 
 
Duit isteri yang ada ditangan tidak dapat disampaikan kepada perempuan itu kerana kami khuatir jika kami tidak bergerak, kereta yang dibelakang akan membunyi hon, satu sifat yang ada pada pemandu kenderaan di Malaysia.
  
Hasrat perempuan itu untuk menjual barangnya kepada kami tidak tercapai. Dan jika dia berjaya mendekati kereta kami (lampu isyarat masih lagi merah) kami akan membeli barangan itu, tidak kira sama ada  barang itu yang kami berkenan atau tidak berkenan.  
 
Yang penting perempuan itu dapat sedikit wang yang kami telah sediakan atas dasar bahawa sememangnya perempuan itu amat memerlukan.

Sebab itu diawal paparan diatas saya menyatakan memang mudah untuk mengatakan lebih baik kita memberi. Tapi adakah sebenarnya kita suka memberi khususnya kepada orang yang amat memerlukan.

 
 

Ahad, 14 Disember 2014

Saya Membayangkan Malaysia Akan Berwajah Indonesia Tidak Berapa Lama Lagi




Saya membayangkan Malaysia akan berwajah Indonesia tidak berapa lama lagi.
 
Apa maksud kenyataan saya diatas? 

Maksud saya bahawa warga Indonesia sudah terlalu ramai. Kalau kita bejalan keluar atau masuk  dalam satu-satu keramaian misalnya perlawanan bola sepak, dan jika terpijak kaki seseorang, kemungkinan besar kaki yang kena pijak itu adalah kaki warga Indonesia. Jadi tidak hairan, orang itu akan menjerit, "Ngapa dipijakiin kaki gua".
 
Maksud saya bahawa sebahagian besar tenaga kerja diperingkat rendah yang menggerakkan ekonomi Malaysia adalah warga Indon juga. Sektor binaan adalah monopoli pekerja Indonesia. Semakin ramai mereka terlibat dalam sektor restoran, warung dan kedai makan.
 
Maksud saya juga bahawa cara hidup  mereka telah meresap dan diikuti dalam kehidupan rakyat tempatan  terutama orang Melayu. 
 
Inilah wajah Indonesia yang akan mewarnai Malaysia tidak berapa lama lagi. Dan Kuala Lumpur sudah sedia di'make up' dengan wajah seperti itu untuk dipanjangkan ke bandar-bandar lain di negara kita tidak berapa lama lagi.. 
 
Apakah cara hidup yang telah mempengaruhi dalam kehidupan kita?
 
Cara hidup bergelandangan dan mencari rezeki melalui petikan guitar jalanan.

Hidup bergelandangan adalah hidup yang tidak ambil kisah tentang tempat atau ruang untuk tinggal. Dimana saja boleh tinggal atau duduk asal saja boleh menampong saiz badan untuk duduk , melepak, tidur , makan dan minum tanpa mengambil kira hakmilikan (tuan punya) dan bersih kotor ruang tersebut. 
 
Mereka boleh didapati di bawah dan atas jambatan , jejambat, dilorong dan kolong, dan dimana saja. Mereka tidak punya tempat atau ruang yang kekal. Banyak kali mereka dikejar dan dihambat oleh tuan punya ruang atau pengusa yang berkuasa terhadap ruang tersebut.
 
Mereka mencari makan dimana saja makanan ada secara percuma. Dalam tong-tong sampah dan apa saja lebihan makanan yang dibuang. Semuanya adalah rezeki mereka. Paling baik sekali ialah mereka mendapat belas ikhsan dari masyarakat melalui projek dapur jalanan yang terkenal di Kuala Lumpur.
 
Satu lagi cara mencari rezeki ialah melalui petikan guitar jalanan. Mereka akan menghampiri teksi atau kenderaan yang  terhencut-hencut bergerak perlahan dalam kesesakan lalulintas sambil memetik guitar, memandang ke arah kita pohon ikhsan, tapi tanpa paksaan. 
 
Kalau diberi, ceria muka mereka dengan menunduk kepala mengucapkan terima kasih.  Tidak diberipun tidak mengapa mereka berlalu ke kenderaan yang lain pula.
 
Pergilah ke Jakarta, kita akan melihat cara  hidup seperti ini.
 
Malaysia akan berwajah Indonesia tidak berapa lama lagi. Warga Indonesia semakin ramai, tenaga kerja memonopoli pasaran buruh dan cara hidup menjadi ikutan.
 
Pemangkin yang mempercepatkan wajah Malaysia menjadi wajah Indonesia ialah kemerosotan ekonomi kita. Mata wang kita semakin turun nilai berbanding dengan  mata wang asing, rakyat yang semakin ramai menganggur, bertambah ramai anak-anak muda yang berhijrah ke bandar yang dianggap boleh menyediakan pekerjaan tapi akhirnya jadi pegelandangan, dan bilangan orang susah dan miskin semakin bertambah, jurang kaya miskin semakin membesar, kos sara hidup semakin meningkat.
 
Dan pemangkin paling utama dan memberi kesan paling besar menukarkan wajah Malaysia menjadi wajah Indonesia ialah pimpinan kerajaan yang tidak ambil kisah.
 
Mahukah kita mengambil wajah seperti itu sedangkan Indonesia telah mengambil langkah menukar wajah baru yang lebih ceria dan menggembirakan kehidupan?
 
Jangan kita cuba memperkecilkan rupiah lagi selepas itu. Berapa ringgit  bagi satu Rupiah? Jangan pula berani banding dengan dollar Singapura. 
 
Saya tanya lagi, mahukah kita?