Theflowersellingboy

Rabu, 30 Julai 2014

Menggantikan MB Selangor: Kesepakatan PR Di uji.




Lebih seminggu saya tidak berblogging. Malas? Ya, mungkin ada unsur-unsur seperti itu, tapi bukan yang dominan. Entah mengapa saya lebih suka membaca berita dan cerita dari orang lain sehinggakan menulis ucapan Selamat Hari Raya tidak saya lakukan diblog kecil ini.

Namun begitu rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan:

 SELAMAT HARI RAYA DARI SAYA DAN KELUARGA, MAAF ZAHIR BATIN.

Baiklah. Ok, saya akhiri bulan Julai ini dengan sedikit coretan, menurut pandangan saya tentang isu penggantian Menteri Besar Selangor, dan reaksi dari parti/ahli parti dalam PR dan parti luar PR khususnya UMNO.

Ini bukanlah pandangan untuk mencari pihak yang bersalah kerana ianya tidak mungkin dilakukan dengan sebuah coretan tanpa mempunyai maklumat dan fakta yang tepat dan betul. Saya tidak berbekalkan hal-hal tersebut, dan tidak juga berada diakarumbi mana-mana parti politik. Saya hanya pembaca dan pemerhati yang duduk jauh dari persekitaran politik tetapi mempunyai rasa 'sayang' terhadap perkembangan politik tanah air. Apatah lagi perkembangan politik yang menguntung atau merugikan kehidupan rakyat .

Menteri Besar Selangor Tan Seri Khalid Ibrahim (TSKI) mahu digantikan dengan Dr. Wan Azizah, ADUN kajang yang juga Presiden PKR.

Saya tidak layak untuk menentukan patut atau tidak berlaku pertukaran MB selangor itu. Begitu juga saya tidak berhak untuk mengatakan ADUN Kajang itu seorang yang layak atau tidak layak untuk menggantikan TSKI.

Saya suka melihat dari segi prinsip dan kaedah berstruktur dan berorganisasi. Ertinya mengutamakan matlamat organisasi dari matlamat peribadi. Ertinya juga segala urusan adalah dilakukan berpandukan struktur organisasi yang telah dibentuk dan dipersetujui misalnya dari segi garisan tanggongjawab dan kepimpinan; saluran bagi pencetusan, pembentangan, penerimaan dan penyampaian/sebaran serta perlaksanaan sesuatu keputusan yang telah dimuafakati.

Tidak kira apa yang telah dipersetujui oleh organisasi melalui struktur organisasi yang telah dibentuk itu tidak sama atau tidak selari dengan pemikiran peribadi. Semua perlu akur melainkan peribadi itu tidak mahu lagi bersama dengan organisasi.

Soal peribadi itu mendakwa berada dipihak yang benar tidak timbul jika organisasi telah membuat sesuatu keputusan. Ianya perlu  diterima. Lagipun soal benar dan sebaliknya dalam sesebuah organisasi politik, ada ketikanya, dan ada setengah pihak mengatakan sebahagian besarnya , berasaskan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kerana yang penting ialah survival organisasi politik itu.

Dalam kes  menggantikan TKSI sebagai MB Selangor ini, PKR parti yang TKSI sebagai ahlinya, telah membuat keputusan untuk menggantikannya dengan ADUN Kajang yang juga presiden PKR.

Sebab, alasan dan motif serta logik atau tidak  logik banyak telah diperkatakan oleh berbagai pihak. Tapi bagi saya apapun yang mendasari keputusan itu, parti telah membuat keputusan untuk menggantikan MB itu. Setiap ahli PKR wajar akur termasuklah TKSI.

Namun begitu persetujuan PKR itu masih tertakluk kepada persetujuan dari PAS dan DAP.

Majlis Pimpinan PR diberitakan telah berbincang tentang penggantian MB Selangor itu. Secara dasar telah bersetuju dengan cadangan PKR untuk menggantikan TSKI dengan Wan Azizah. Bagaimanapun perkara tersebut perlu dibawa ke mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS dan DAP untuk sesuatu keputusan.

Amat malang sekali sebelum mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS dibuat, presiden PAS telah menyatakan beliau menyokong pengekalan TKSI sebagai MB Selangor. Kemudian dituruti dengan Timbalan presiden yang mengatakan kenyataan presiden itu bersifat peribadi kerana parti belum membuat keputusan.

Saya tidak bersetuju kenyataan presiden PAS dan timbalannya itu sebagai bersifat peribadi.

Apabila presiden mana-mana parti bercakap fasal parti, ianya tidak sama nilainya dengan seorang ahli biasa. Kesan dan pengaruhnya terlalu luas.

Apabila presiden mengatakan tidak bersetuju diluar dari saluran dan masa yang sepatutnya, maka kesan dan pengaruhnya tetap meresap kedalam perasaan dan minda ahli-ahli yang lain. Ada ahli yang bersetuju, dan ada ahli yang tidak bersetuju serta ada ahli yang mengatakan tidak sesuai dilakukan sebelum diputuskan dalam mesyuarat seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PR.
  
Ditambah sulitkan lagi, apabila terbongkarnya gerakan kumpulan ahli-ahli PAS yang juga berpengaruh, berbincang antara lain menyokong TKSI dan bekerjasama dengan UMNO parti lawan PR.

Perbincangan kumpulan yang berpengaruh itu juga bukanlah bersifat peribadi. Ianya satu kumpulan pendesak.

PR nampaknya menuju kepada kemungkinan berpecah. Itulah kemungkinan yang tidak menjadi masalah kepada kumpulan pendesak itu. Mereka lebih selesa untuk bekerjasama dengan UMNO.

Mursyidul Am PAS TG Nik Aziz juga menambahkan lagi seriousnya kemungkinan berlaku perpecahan PR kerana beliau juga menyokong kenyataan presiden.

Persoalan yang penting untuk survival PKR, DAP dan PAS  (PR) bukan pengganti MB; bukan juga soal TKSI tiada melakukan rasuah dan telah berkhidmat dengan baik; tidak juga manipulasi dan sikap optunis parti lawan dan pihak-pihak yang tidak suka kepada kekuatan gabungan PKR, DAP dan DAP bagi mengantikan BN.

Survival parti adalah lebih penting. Ertinya TKSI dan Wan Azizah tidak boleh mengatasi kepentingan parti.

Memahami dan mengetahui manipulasi dan sikap oprtunis parti lawan dan pihak-pihak yang tidak sukakan kekuatan PR, bukan satu syarat yang cukup walaupun perlu, bagi survival sebuah parti atau pakatan beberapa buah parti.

Apa yang perlu ialah kesetiaan dan menepati janji yang telah disepakati, ketika senang, susah dan waktu yang mencabar.

Ada pihak yang berhujah bahawa masing-masing parti iaitu PAS, PKR dan DAP boleh hidup bersendirian. Itu adalah kenyatan yang benar.

Tapi ada satu kenyatan yang lebih benar ialah bahawa pengaruh PAS tidak akan berkembang; pengaruh PKR juga sama dan pengaruh DAP pun begitu juga. Jangan beragan-angan untuk mentadbir Malaysia. Jangan sibuk-sibuk bercakap fasal hendak menghapus rasuah dan segala penyelewengan kerajaan yang di hebuh-hebuhkan.

Dan jangan salahkan rakyat memilih BN yang PAS, PKR dan DAP mengatakan sebagai parti yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan saksama.

Itulah sebenarnya erti survival sebuah parti politik di Malaysia ini iaitu tidak mengkhianati kesepakatan dan perjanjian yang telah dibuat.

Sudah tentu PAS lebih faham tentang makna kesetiaan. Bukan saja Islam mengajar begitu bahkan PAS juga telah dikhianati dahulu.

 


Selasa, 22 Julai 2014

INSAN adalah SALING PERLU MEMERLUKAN -MEMINTA dan MEMBERI PERTOLONGAN , dan ALLAH SAJA TIDAK MEMERLUKAN PERTOLONGAN Tapi MEMINTA MANUSIA MEMOHON PERTOLONGAN DARINYA



Kepada siapakah sebenarnya kita perlu minta pertolongan?

Ya, kita sesama manusia saling perlu memerlukan. Sama ada kita miskin atau kaya atau apa saja kedudukan kita, tidak akan terkecuali dari menjadi peminta dan pemberi pertolongan. Ertinya dalam satu ketika dan keadaan, kita adalah peminta pertolongan dan dalam ketika dan keadaan yang lain kita juga adalah pemberi pertolongan.

Kita meminta pertolongan dan kita juga memberi pertolongan sebab kita manusia yang lemah , tidak sempurna dan serba kekurangan dan diberikan juga kelebihan mengatasi yang lain.

Siapa yang memerlukan pertolongan?

Kita manusia perlukan pertolongan, dan kita juga boleh memberi pertolongan.

Siapa pula yang tidak perlu pertolongan?

Hanya Allah saja yang tidak perlukan pertolongan. Dan Allah juga pemberi pertolongan.

Dalam hal pertolongan dari Allah ini, Allah telah berfirman yang membawa maksud, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat".(ayat 45 Surah al Baqarah)

Untuk memohon pertolongan Allah kita mesti mempunyai sifat sabar.  Ertinya sanggup menunggu,yakin akan datangnya pertolongan, tidak boleh gopoh dan tergesa-gesa mahukan pertolongan dimakbulkan, tidak merengus dan marah, kecewa dan putus harap, apatah lagi mempersoalkan tentang sifat Allah yang adil, pengasih dan penyayang apabila pertolongan itu seperti tidak kunjung tiba didunia ini.

Satu lagi syarat kita memohon pertolongan Allah ialah mengerjakan solat. Tanpa solat bukanlah memohon pertolongan namanya.

Tapi Allah telah memperingatkan kepada kita bahawa solat itu adalah sesuatu pekerjaan yang amat berat. Solat itu tidak menjadi berat dan membebankan jika kita khusu' melakukannya seperti maksud firman Allah,

" Dan sesungguh solat itu amatlah berat, kecuali bagi orang-orang yang khusu' " (sambungan ayat 45 Surah al Baqarah).

Siapa itu orang yang khusu' mengerjakan solat?

Orang yang khusu' itu adalah orang yang yakin akan bertemu dengan Allah, dan kepada Allah mereka dikembalikan , seperti maksud firman Allah dibawah ini,,

"Ia itu mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Allah dan mereka akan dikembalikan kepada NYA" (ayat 46 Surah al-Baqarah).

Dengan itu apapun perbuatan dan amalan baik yang kita lakukan, jika kita meninggalkan solat dan tidak sabar maka ianya tidak termasuk dalam memohon pertolongan dari Allah.

Misalnya kita mengerja dengan begitu tekun dan rajin dalam berpuasa (lengkap dengan bacaan al quran, amal sedekah dan sebagainya) sama ada puasa fardhu (bulan Ramadhan) atau puasa sunat, jika kita tidak bersifat sabar dan mendirikan solat dengan khusu' ,  permohonan pertolongan kita kepada Allah itu menjadi sia-sia saja kerana tidak menepati syarat yang telah ditentukan oleh Allah.

Wallahualam. Selamat meneruskan berpuasa. Jangan lupa solat!
.






Isnin, 21 Julai 2014

ISRAIL SIFATNYA MEMANG SOMBONG, INGKAR, MUNGKIR dan KEJAM: Tapi Tetap MenjadiKawan Yang Kita Sokong.



Orang Yahudi Israil ini memangnya bangsa yang sombong, takabur, degil, jahat dan zalim. Lihat apa yang mereka telah dan sedang lakukan di Palestin. Mereka terlalu kejam, membunuh dan mencederakan orang-orang Palestin (anak-anak kecil, tua muda , lelaki dan perempuan) di negara Palestin itu sendiri. Melakukan berbagai kerosakan keatas harta benda dan berbagai bencana lagi yang berterusan.

Sebenarnya kesombongan Bani Israil ini telah diberitahu oleh Allah SWT dalam AL-QURAN seperti dalam ayat 40 hingga 51 Surah Al-Baqarah.

Mereka telah dikurniakan berbagai nikmat kehidupan melebihi dari orang lain pada zaman itu. Mereka diingatkan dengan berbagai pertolongan untuk menyelamatkan mereka. Misalnya menyelamatkan dari kekejaman Firaun yang menyembelih anak-anak lelaki mereka; dan menjadikan laut (membelah laut) sebagai laluan melarikan diri dari Firaun.

Apabila mereka diminta beriman dengan ajaran nabi Musa (kitab Taurat) mereka menyembah  patung anak lembu setelah ketiadaan nabi Musa.

Mereka tidak tahu dan tidak mahu bersyukur diatas segala nikmat dan pertolongan. Mereka juga ingkar untuk beriman.

Bagi saya orang Israil ini tidak boleh dipercayai kerana sedangkan perintah Allah mereka ingkar dan diperlekehkan,  inikan pula hubungan sesama manusia. 

Itu yang difirmankan dalam Al-Quran.

Apa yang telah dan sedang berlaku keatas Palestin dari sifat sombong Israil ini?

Kekejaman yang berterusan yang tiada had masa untuk mampu diberhentikan.

Dengan demikian perundingan dan perjanjian serta gencatan senjata dengan Israil bagi kedamaian Palestin tidak memberi makna langsung kerana ianya akan sentiasa dimungkiri dan dicabuli oleh Israil. Buktinya kita boleh saksikan. Tambahan pula Israil mendapat sokongan penuh dari Amerika dan sekutu dalam bentuk membekalkan senjata , bantuan kewangan dan sokongan moral.
.
Yang paling malang sekali ialah negara-negara Arab adalah juga penyokong Amerika, dan sekali gus menjadi penyokong Israil.

Kita juga sebagai individu Islam, dan sebagai negara yang Islamnya adalah agama negara, beserta dengan negara majoriti Islam adalah pihak-pihak yang secara langsung dan tidak langsung memperkukuhkan kedudukan Israil, khususnya kekuatan ekonomi Israil.

Setiap dari kita sebagai individu mengguna, mengambil, makan dan minum paling minima satu produk Israil. Sebagai contoh ialah makanan restoran segera Mac Donald. Bagaimana dengan coca cola, berbagai jenis perfume dan..... senarainya panjang. Semuanya pernah, dan sedang menguasai kehidupan kita.

Di peringkat negara pula, lagi mendukacitakan walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israil. Tapi perniagaan dalam berbagai bentuk sudah lama berjalan dan terus berkembang. Misalnya perkhidmatan sistem maklumat , perundingan dalam berbagai perkhidmatan, impot ekspot barangan termasuk makanan adalah sebahagian dari urusniaga negara kita dengan Israil yang melibatkan imbangan bayaran (balance of payment) dan balance of trade antara negara Malaysia dan Israil.

Ya, apabila saja Israil menceroboh dan melakukan berbagai kekejaman keatas Palestin, kita sebagai individu dan sebagai ummah terlalu amat marah, dan ada diantara kita sanggup menyertai orang Palestin menentang Israil Satu tindakan yang terpuji.

Kita berdemonstrasi di hadapan kedutaan Amerika (proksi diplomatik Israil) Kita juga menghantar berbagai bentuk bantuan.

Tapi setakat ini dan  dalam banyak tahun akan datang, saya khuatir, Israil tidak akan berhenti dari melakukan kekejaman selagi ekonominya kukuh, selagi amerika dan sekutunya diEropah memberi sokongan tanpa belah bagi kepada Israil, selagi umat dan negara Islam hanya menjadi pengguna tanpa menguasai kemahiran pengeluaran dan kedayaupayaan mencipta. Dan selagi negara-negara ARAB dan negara majoriti umat Islam berjiwa hamba kepada Amerika dan sekutu.

Ertinya negara dan umat Islam berpecah belah yang membuatkan tidak mampu untuk boleh dijadikan satu 'force' yang digeruni dan dihormati.

Sekali lagi saya katakan, saya khuatir kekejaman Israil ini akan berterusan dalam jangka masa yang terlalu panjang kerana tiada tanda-tanda positif kita semua mampu memenuhi syarat-syarat yang saya nyatakan diatas.

Anda perlu lihat dalam negara kita dan negara-negara Islam serta Arab, jika anda mahu cari bukti atas kekhuatiran saya ini.

Saya pesimis.




Jumaat, 18 Julai 2014

MH 17: Sekali Lagi Peristiwa Malang Menimpa Negara.




Sahur jam lima pagi, isteri menalipon anak di Putra Jaya untuk bertanyakan sudah sahur atau belum. Waktu itu saya sedang membuka peti ais untuk mengambil sesuatu.

Tiba-tiba terdengar suara perbualan isteri semacam orang terperanjat, mukanya nampak berubah. Saya menjadi sedikit panik. Dalam otak telah memikirkan yang bukan-bukan, ada berita keluarga yang kurang baik. Tapi isteri masih dapat mengawal diri, tidak menangis dan masih meneruskan perbualan dengan anak kami di Putra Jaya itu.

"Tidak ada kena mengena dengan keluarga", itu yang mahu saya percaya,,kalau tidak mesti isteri tidak dapat meneruskan perbualan. Saya tidak mahu mengganggu perbualan mereka.

"MAS kena tembak bang, ada dalam berita. Kita tak tengok berita malam tadi",  isteri memberitahu sebaik saja meletakkan gagang talipon. Dia lantas membuka tv. Kelihatan PM sedang bercakap dalam satu sidang akhbar, siaran ulangan saya kira.

Maka sahlah pesawat MH17 terhempas yang dipercayai akibat dari tembakan peluru berpandu dari darat ke udara (SAM), dan jatuh berhampiran daerah bergolak puak pemisah Ukraine, disempadan Russia.

Pihak-pihak yang bertelagah iaitu pemerintah Ukraine dan puak pemisah serta Russia, masing-masing menuduh satu sama lain yang melakukan tembakan itu.

PM Malaysia telah meminta perkara ini disiasat segera dan membawa ke muka pengadilan pihak yang melakukan kekejaman itu.

Saya memanjangkan rasa simpati keatas syarikat penerbangan Malaysia yang ditimpa satu lagi peristiwa malang selepas kehilangan MH 370, yang masih lagi belum diketahui kemana hilangnya. Peristiwa ini menambahkan lagi beban dan tekanan kepada syarikat, yang sudah sedia ada dengan masalah perniagaan yang sentiasa rugi.

Takziah kepada mereka yang kehilangan orang yang disayangi. Semoga roh mereka dimasukkan dikalangan orang yang diberkati dan dirahmati, amin.

Itulah saja yang dapat saya lakukan.

Marilah kita semuannya mendoakan dunia aman, tiada perperangan. Pohon doa agar jika ada pergeseran dan perbalahan atas sesuatu isu atau tuntutan, agar pihak yang berbalah memilih jalan perundingan. Banyak nyawa dapat diselamatkan.

Saya memang tidak suka tengok cerita perang, atau filem-filem yang berkaitan dengannya walaupun ianya satu imiginasi pengarahnya. Bagi saya perang dilakukan oleh orang yang tamak. Tamak kuasa dan tamak segala-galanya.

Dan mereka yang mempunyai kekuatan senjata, yang  canggih manggih seperti Amerika, Russia dan Israel, perlu dipersalahkan. Merekalah yang menyediakan asas atau tapak yang kukuh bagi meransang dan melakukan perang. Sebab mereka adalah pembuat, pengeluar dan pembekal senjata. Mereka menjual senjata, dan pihak lain menggunakannya.

Peperangan tidak berlaku di Russia atau di Amerika. Negara mereka tidak musnah. Negara lain yang musnah, apa perlu mereka kisah!

Sebab itulah atas nama apa sekalipun , peperangan, pertelingkahan dan pergaduhan tidak ada faedah langsung.  Tapi malangnya, dari dulu sehingga kini, dunia,  tidak habis-habis dengan pergaduhan dan pertelingkahan, penuh dengan konflik yang sebahagian besarnya melibatkan pertempuran senjata dan bunuh membunuh.

Paling malang sekali, kita yang tidak ada kena mengena dengan pertelingkahan dan perebutan diantara mereka,  tidak semena-mana ditembak seperti menembak sasaran latihan atau burung yang terbang  yang mahu pulang kesarang.

Maka hancur berkecailah MH17 kita itu. Kejam sekali mereka yang melakukannya.

Jadi, apa pun yang dirumuskan dalam siasatan oleh pihak-pihak tertentu, peristiwa malang seperti ini akan berterusan jika dunia mempunyai negara-negara yang terlalu angkuh dalam pembuatan dan pengeluaran senjata, dan senjata itu pula diperdagangkan berselindung disebalik kata-kata yang penuh penipuan, untuk mempertahankan diri.

Semua itu adalah kata-kata angkuh dari orang yang tamak , yang tidak berperikemanusiaan. Israel dan Amerika serta Russia penganut kepada sifat tamak dan angkuh itu.

Sekali lagi takziah kepada keluarga yang malang, dan simpati saya kepada MAS dan Kerajaan Malaysia.

Ya Allah jauhilah negara kami dan rakyatnya dari peristiwa malang dan kejam seperti ini pada masa hadapan.

Saya bersahur dalam kesedihan, dan marah.

Rabu, 16 Julai 2014

Melanggar Kereta Dari Belakang: Yang kena Langgar Marah Melampau, Yang Melanggar Kata Ianya Tidak Sengaja.




Sekarang ni heboh cerita fasal seorang wanita marah-marah dan berkelakuan yang dikatakan setengah orang sebagai tidak wajar kepada seorang warga emas lelaki berikutan kereta barunya dilanggar dari belakang oleh warga emas itu.

Banyak komen yang tidak bersetuju dengan kelakuan yang ditunjukkan oleh wanita itu.

Be, rdasarkan video yang saya lihat, dan suara yang kurang jelas yang saya dengar, saya juga tidak bersetuju cara yang dilakukan oleh wanita itu.

Tapi saya ingin menyatakan seperti berikut:

Memang mudah bagi seseorang yang tidak terlibat keretanya dilanggar, untuk mengatakan bahawa perempuan itu tidak patut bertindak seperti yang dipaparkan dalam video itu. Sepatutnya beliau bersabar dan bertenang tanpa  mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ada  unsur perkauman (kalau sebutan Cina itu dikatakan perkauman) sesuai sebagai seorang wanita, apatah lagi dalam bulan Ramadhan yang menghendaki kita orang Islam lebih bersabar.

Tapi ianya tidak semudah itu bagi sesiapa yang keretanya, apatah lagi kereta barunya, dilanggar dari belakang untuk bersikap dan berperasaan tidak marah. Sebanyak sedikit orang itu merasa sedih dan kecewa kerana kereta kesayangannya telah dilanggar, dan sudah tentu akan sekurang-kurangnya tercalar, tidak kelihatan seperti asalnya.

Dari perasaan sedih, kecewa itulah ianya boleh merangsangkan rasa tidak puas hati terhadap orang yang melanggar dari belakang itu. Yang bersalah, mengikut undang-undang yang ada ialah melanggar dari belakang.

Dengan perasaan tidak puas hati dan dibantu oleh kedudukannya dipihak yang benar (tidak bersalah) sudah tentu  orang yang keretanya dilanggar itu akan menunjukkan sikap dan pendirian yang keras, menuntut agar pihak yang bersalah itu membuat sesuatu bayaran bagi membolehkan kerosakan keretanya dipebaikki.

Tahap kekerasan itu, berbeza antara kita semua.

Wanita itu nampaknya terlalu keras. Tapi perlu ingat. tindakannya itu adalah tindakan spontan.

Sesiapapun, melainkan orang yang terlalu penyabar, menerima musibah sebagai satu ketentuan, akan bertindak, secara spontan, paling kurang menyalahkan orang yang melanggar keretanya dari belakang dan meminta bayaran untuk memperbaikki keretanya.

Saya kira tindakan meminta bayaran itu tidak salah. Wanita itu telah menilai kerosakan keretanya sebanyak RM2,000.00.

Bagi saya pernyataan maaf warga emas itu patut dipuji. Saya percaya ianya bukan disengajakan.

Tetapi dalam masa yang sama warga emas itu perlu mengambil tanggungjawab untuk bersetuju mengeluarkan belanja untuk memperbaikki kerosakan kereta yang dilanggarnya, kerana sengaja atau tidak, melanggar dari belakang adalah satu kesalahan.

Jika itulah respons dari warga tua itu, disamping permohonan maafnya, saya rasa suasana ditempat kejadian itu akan menjadi kendur. Dan tidaklah wanita itu berterusan mengeluarkan kata-akata yang tidak sesuai.

Cuma penentuan kos itu patut dibuat oleh sebuah woksyop yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Namun jika warga tua itu bersetuju, ianya lebih memudahkan lagi penyelesaian.

Oleh itu dalam sikap kita menilai perlakuan wanita itu sebagai kurang wajar, dan ada setengah pihak mengutuk dengan keras kerana memalukan bangsa dan agama, kita juga wajar meletakkan diri kita sebagai berada dalam keadaan yang dihadapi oleh wanita itu, iaitu kereta dilanggar dari belakang dan kereta baru pula.

Melenting tak kita?

Saya percaya, ada yang mungkin lebih keras dari yang ditunjukkan oleh  wanita itu.

Dan mungkin ada, saya jangkakan tidak ramai, yang bersabar dan memaafkan perbuatan tidak sengaja warga emas itu.  Ini adalah sifat terpuji. Ianya tidak ada pada wanita itu dan juga sebahagian besar dari kita, termasuk saya.

Lebih lagi terpuji, jika kedua-dua belah pihak, setelah memohon dan menerima maaf, masing-masing bersetuju menanggong dan menerima kos yang dinilai oleh woksyop atau apa saja jumlah yang dipersetujui bersama.

Berdasarkan gambar dalam video, tidak jelas adanya kerosakan yang melampau. Tapi wanita itu ada hak untuk menyatakan perasaannya. Cuma beliau nampaknya telah melampaui dari sepatutnya. Dan saya memahami sikapnya itu tapi tidak bersetuju.

Warga emas juga telah melakukan sesuatu yang betul. Cuma beliau wajar bertanggongjawab diatas apa yang telah berlaku sama ada sengaja atau tidak disengajakan.

Oleh itu janganlah kita terus mengutuk wanita itu walaupun perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan. Berilah masa beliau bertenang. Mungkin ada hikmah dari kejadian ini untuk mendidik perangai dan sikap kita, bukan saja wanita dan warga emas itu saja.  


 

Isnin, 14 Julai 2014

Atak murunnasa bilbirri, watansauna anfusakum: Cakap Tak Serupa Bikin.




Saya selalu mengajak dan memberitahu kepada anak-anak saya agar melakukan yang terbaik  atas prinsip amal makruf nahi mungkar. Dan saya juga berada dalam situasi yang sama apabila berurusan dengan orang-orang dibawah penyeliaan saya, misal ketika dalam mesyuarat, perjumpaan kumpulan dan perjumpaan peribadi.

Saya merasa puas dan bangga melakukannya.

Antara yang saya beritahu dan ajak ialah melakukan banyak membaca. Membaca buku yang boleh memperkembangkan minda untuk berfikiran membangun dan positif. Saya juga menasihatkan agar rajin dan tekun belajar, tidak ponteng sekolah, jauhi dari merokok dan elakkan dari mengambil harta dan hak orang lain walaupun harta itu tidak diketahui tuan yang empunya, misalnya wang yang dijumpai.

Begitu juga yang saya minta dan beritahu kepada mereka dibawah penyeliaan saya agar bekerja dengan penuh amanah tanpa melakukan pecah amanah seperti ponteng kerja, ambil rasuah dan menggunakan harta dan aset organisasi untuk faedah diri.

Apa yang saya harapkan ialah kejayaan iaitu berjaya membentuk anak-anak yang sentiasa melakukan yang terbaik dalam rangka amal makruf nahi mungkar. Saya mengharapkan perkara yang sama dari warga kerja organisasi saya.

Saya percaya ramai orang melakukan seperti yang saya lakukan kalaupun tidak semuanya kerana semua orang mahukan yang baik , sesuatu yang di suruh oleh Allah SWT.

Sekali lagi saya katakan bahawa saya begitu puas dan bangga melakukannya, ketika itu.

Semasa saya lakukan itu, saya tidak pun ingat dan mengambil kira bahawa saya adalah juga sebahagian dari mereka iaitu  saya adalah sebahagian dari anak-anak saya. Saya adalah sebahagian dari orang-orang dibawah penyeliaan saya.

Saya mengecualikan diri saya. Saya bukan sebahagian dari mereka. Ajakan kearah menjayakan amal makruf dan nahi mungkar itu tidak ada kaitan langsung dengan saya, bukan untuk saya. Saya adalah terkecuali, boleh saja melakukan yang bertentangan dengan ajakan saya itu.

Tapi satu hal yang saya sentiasa idamkan malah sentiasa mendakwa sebagai sebahagian dari mereka  ialah ketika mereka itu berjaya, ketika mana anak-anak saya berhasil menjadi orang baik-baik,dan ketika mana organisasi saya menghasilkan warga kerja yang beramanah.

Saya lupa akan sikap dan pendirian saya yang sentiasa mengecualikan diri dari melakukan yang terbaik atas dasar amal makruf nahi mungkar. Yang penting saya adalah tukang beritahu, dan ada pihak lain yang melakukannya.

Setelah masa berlalu, dan dalam kesempatan yang masih berbaki, dan setelah dikenang, difikir dan direnungkan apa yang telah berlaku, saya menyatakan tanpa ragu-ragu bahawa cara saya itu adalah tidak betul. Ianya satu cara yang salah dan zalim walaupun ada kejayaan yang dicapai. Kejayaan itu sebenarnya tidak layak untuk saya kongsi bersama kerana saya bukan sebahagian dari mereka yang menjayakannya.

Hari ini saya diingatkan oleh ayat Allah yang membawa maksud: "Patutkah kamu menyuruh manusia  supaya membuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri  (Sura Baqarah , ayat 44).

Dalam bahasa yang mudah, apa yang telah saya lakukan dan apa yang juga dilakukan oleh kebanyakan orang adalah sama dengan kata-kata : Buat tak serupa bikin.

Oleh itu berhenti dari menjadi tukang beritahu, tukang nasihat dan tukang ajak bagi melakukan amal makruf nahi mungkar jika kita sendiri mengecualikan diri  dari melakukannya kerana Allah mengingatkan kepada manusia semua bahawa perkara itu TIDAK PATUT. Maksudnya dilarang.

Ini hanya nukilan imiginasi saya saja. Bukan yang sebenarnya berlaku.Wallaualam.




Ada Orang Bergembira Diatas Kekecewaan Orang Lain, dan Ada Orang Kecewa Diatas Kejayaan Orang Lain: Ini Adalah Fitrah Dalam Sebuah Kehidupan.





Pagi tadi ada orang yang gembira, menangis gembira dan ketawa atas kekecewaan orang lain. Ada orang yang berputih mata, menangis sedih dan berwajah muram diatas kejayaan orang lain. 

Begitulah fitrahnya yang telah diaturkan bahawa hidup ini ada pelengkapnya, ada pasangannya. Suka lawannya duka. Adanya pemimpin kerana adanya pengikut. Orang kaya menzahirkan orang miskin.

Lelaki pula, pasangannya perempuan. Lelaki dan perempuan berbeza seks. Tapi tidak lengkap dan tidak menjadi sebuah keluarga jika tiada satu daripadanya. Marah dan sabar adalah dua sifat yang bertentangan, tapi saling memerlukan. Ada orang yang suka marah maka mesti ada yang sabar. Jika tidak huru haralah sebuah kehidupan.

Sifat, keadaan, suasana dan finomina yang bertentangan adalah satu hal semula jadi. Tidak boleh dikawal atau disekat. Yang perlu dilakukannya ialah menguruskannya secara yang terbaik agar tidak menjadi melampau atau keterlaluan. 

Terlalu ramai lelaki berbanding perempuan, tidak juga baik. Begitu juga sebaliknya. Terlalu sangat gembira sehingga lupa kepada yang kecewa pun tidak baik. Begitu juga terlalu sangat kecewa akan melahirkan putus harapan.

Sebab itu sifat, keadaan, suasana dan finomina itu mesti pandai dan bijak diurus.

Pagi tadi Argentina telah menangis sedih kerana kecewa pasukan bolanya tewas kapada Jerman. Pemain-pemainnya berwajah muram, ada yang menangis dan ada yang merebahkan badan terbaring diatas padang sebaik saja misel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan. 

Penonton warga Argentina yang berada di stadium jelas kelihatan menzahirkan perasaan sedih dan kecewa. Ada yang semacam tidak percaya Argentina boleh ditewaskan. Ada yang putus harap pada minit-minit tarakhir perlawanan setelah pemain Jerman, Goetz namanya, menjaringkan gol begitu cantik sekali tanpa dapat ditahan atau dikuis keluar dari memasuki gawang.

Seluruh warga Argentina kecewa, yang di dalam stadium atau dimana-mana saja.

Seluruh peminat dan penyokong Argentina bukan warga yang menonton peristiwa jaringan gol itu
merakamkan wajah pucat, putus harap, kecewa dan tidak percaya. Dan ada yang marah-marah , ditujukan kepada barisan pertahanan Argentina yang gagal mengawal Goetz dari melakukan jaringan disaat akhir perlawanan. 

Mereka mengharapkan Argentina yang menjaringkan gol bukan Jerman atau keputusan perlawanan ditentukan melalui tendangan pinalti.

Dalam Argentina bersedih kerana kecewa kalah, Jerman bersorak gembira. Kegembiraan itu hanya bermula apabila Goetz berjaya menjaringkan gol. Maka hingar bingarlah stadium akan sorakan dan jeritan kegembiraan meraikan jaringan gol itu.

Tetapi pemain-pemain dan warga Jerman seluruhnya, termasuk peminat dan penyokong bukan warga, yang berada di stadium dan dimana-mana saja yang begitu gembira meraikan jaringan gol itu, masih lagi tertekan dan berdoa agar itulah saja jaringan gol kalau pun tidak ada jaringan tambahan selagi pengadil tidak membunyikan wisel penamat.

Sebaik saja wisel ke udara menandakan waktu perlawanan telah berakhir, pemain-pemain mula berpelukan, gembira dan menangis, ada yang membaringkan diri menelentang dan menangkup bertindihan badan, dan dalam saat yang sama diturut serta dengan riuh rendah jeritan suara kegembiraan warga Jerman dan penyokong bukan warga di dalam stadium dan dimana-mana saja yang dapat menonton perlawanan bola sepak itu. 

Ya, pagi tadi terzahirlah sesuatu yang fitrah dalam kehidupan kita. Menang, sainganya kalah. Kecewa menzahirkan gembira. Hidup berakhir dengan kematian.

Selagi tiada pasukan yang menang maka tiada yang kalah. Tidak boleh kedua-duanya menang. Tidak juga boleh kedua-duanya kalah. Jadi mesti ada yang menang dan mesti ada yang kalah dalam tempoh dan cara yang ditetapkan. Jika dalam tempoh masa biasa tidak mencukupi maka adakan masa tambahan. Jika itu jug tidak dapat mencari pasukan yang menang dan yang kalah, dalam peraturan FIFA, diadakan tendangan penalti. Tendangan penalti ini dilakukan sehingga ada pasukan yang menjaringkan gol melebihi dari lawan. Pasukan itulah yang diistiharkan menang, dan yang kuran jaringan diistiharkan kalah.

Bagaimana dengan seri, tiada yang menang dan tiada yang kalah?

FIFA tiada peraturan ini dalam saingan untuk menjadi juara bolasepak. FIFA mengamalkan sesuatu yang fitrah. FIFA tidak mengamalkan konsep menang - menang seperti dalam perundingan perniagaan, politik dan sebagainya.  

Peraturan FIFA ini membuatkan ada orang yang begembira diatas kekecewaan orang lain, dan ada orang kecewa diatas kejayaan orang lain. Ini adalah satu fitrah. 

Namun begitu, fitrah itu juga menghendaki  satu pengendalian dan pengurusan yang terbaik supaya tidak timbul keadaan yang melampau diluar kawalan. Ianya tidak baik dan tidak sihat dalam sebuah kehidupan.

Misalnya, yang menang jangan lupa diri dan yang kalah jangan putus asa. Orang kaya jangan berlagak sombong terhadap fakir miskin, dan yang fakir miskin jangan terlalu begantong kepada orang kaya, sebaliknya mesti juga berusaha. Pemimpin mesti ingat bahawa dengan adanya pengikut maka adalah pemimpin . Oleh itu jangan berlagak sombong. 

Pengikut pula mesti patuh pada pemimpin kalau tidak huruhara jadinya, selagi pemimpin itu dilandasan yang benar, iaitu memimpin pengikutnya demi kesejahteraan dan kebaikan.

Oleh itu Jerman jangan lupa daratan dan terus bergembira dengan kemenangan ini. Argentina juga jangan kecewa dan putus harap. Tahun 2018, jika dunia masih ada lagi, sekali lagi piala itu dipertandingkan, di Russia. Tunjukkanlah kehebatan masing-masing, untuk membolehkan masing-masing gembira diatas kekecewaan orang lain, dan kecewa diatas kejayaan orang lain.

Jika saya masih ada lagi, dan masih sihat tubuh badan dan akal fikiran, insyaAllah akan melakukan coretan tentang perlawanan itu nanti.

Sudah tentu harapan saya ialah untuk mencoretkan perlawanan akhir diantara Malaysia dengan mana-mana pasukan terbaik di dunia. Saya terlalu mengidam untuk bergembira diatas kekecewaan pasukan lain.

Bagaimana kepimpinan FAM dan pemain-pemain Malaysia. Boleh? 

Sudah tentu kita suka menjawab Malaysia Boleh walaupun kita belum pernah memberi makna kepada kata-kata itu.













































.
 

Sabtu, 12 Julai 2014

ARGENTINA vs JERMAN: Perang Dua Benua



Pasukan negara mana yang akan menang -antara Argentina sebuah negara di Amerika Selatan melawan Jerman sebuah negara di Eropah dalam pertarungan bolasepak piala dunia 2014.

Pertembungan ini bukan saja bagi merebut kejuaraan sukan paling popular di dunia ini, ianya seolah-olah satu pertembungan angkatan tentera  di medan perang. Biar putih tulang, jangan putih mata.Berkorban untuk negara.

Pemain-pemain tidak langsung gentar tentang kecelakaan diri- cedera tubuh badan, lumpuh tubuh badan, cacat fikiran waemah mati sekalipun.  Yang penting dapat bertempur.

Para jurulatih (coach) akan menggunakan segala strategi, tetik, teknik dan kepakaran serta muslihat bagi mencapai  kemenangan.  Kesan dan risiko dimaki hamun dan dibuang , jika kalah, tidak menguasai fikiran. Yang difikirkan ialah pasukan mesti menang.

Pertembungan 2014 ini akan menjadi paling getir. Ianya terlalu emosional. Ianya pertembungan dua benua diantara Argentina dari Amerika Selatan, dan Jerman dari Eropah. Kedua-duanya telah tertanam dan terlalu ego dengan kehebatan dalam bola sepak dunia. Ada rekod yang menyuburkan ego kedua-dua negara itu. Pernah menyandang juara bola sepak dunia. Mempunyai pemain-pemain yang terbaik beraksi diarena antarabangsa.

Ianya menzahirkan emosi yang amat tinggi sekali.

Pertama, kerana berlainan benua. Masing-masing mahu tunjuk benua manakah yang paling hebat dalam bola sepak. Argentina mahu membuktikan bahawa Amerika Selatan adalah 'the power house in world football'. Kesannya, bila cakap fasal bola sepak orang akan bercakap fasal South American football -sudah tentu merujuk kepada Argentina. Begitu juga sebaliknya.

Tapi syaratnya mesti menang. Demi kehebatan benua masing-masing , Argentina mahu menang, dan Jerman juga mahu menang.

Kedua, Jerman sudah menang perang saikologi sebelum menemui Argentina. Jerman telah mengalahkan Brazil, sebuah pasukan terhandal yang telah menjadi lima kali juara dunia, dilaman gelanggang lawan, di Brazil sendiri.

Menang bukan sebarang menang. Bukan menang tendangan pinalti. Atau menang kerana  masukan gol sendiri oleh pihak lawan. Atau menang 1 kosong, atau 2 kosong atau tiga kosong, atau empat kosong. Jerman menang besar 7 lawan 1.

7 lawan 1 bukan kemenangan nasib. Itu adalah kemenangan mutlak. Kemenangan hasil dari kehebatan Jerman dalam bola sepak.

Jerman menang bukan keatas pasukan Jepun, USA atau England misalnya. Jerman menang bukan diperingkat pusingan awal. Jerman menang diperingkat separuh akhir. Jerman menang dengan pasukan lima kali jadi juara.

Jerman boleh saya berkata, jika Brazil , sebuah pasukan dunia yang handal, boleh dengan mudah ditewaskan, dengan perbezaan jaringan gol yang besar, di Brazil pula, Argentina tidak menjadi hal, boleh juga dikalahkan , tambahan Argentina tidak bermain di tempat sendiri.

Sudah tentu Argentina tidak akan jatuh semangat jika kata-kata itu dihamburkan oleh Jerman. Malah kekalahan Brazil itu menyuntik semangat baginya untuk menebus maruah benua Amerika selatan dalam penguasaan bola sepak.

Maka Argentina akan memainkan sentimen kebenuaan dalam perlawanan akhir juara bola sepak 2014 ini. Bahawa Argentina adalah wakil benua Amerika selatan. Kekalahan Brazil adalah juga kekalahan Argentina, dan mesti dituntut bela.

Sudah tentu warga Brazil yang telah disakitkan hati itu kerana ego penguasaan bola sepaknya telah diperlekehkan, dimalu dan dihina  oleh Jerman mahu membalas dendam dengan memberi jiwa dan raga mereka sepenuhnya menyokong Argentina. Pasti suara sorakan sokongan untuk Jerman langsung tidak boleh didengar. Yang jelas terdengar nanti ialah Brazil, Argentina dan South America.

Sebab itu saya katakan perlawanan akhir bola sepak piala dunia 2014 ini adalah paling getir sekali. Bukan saja untuk memiliki piala dan nama kejuaraan itu bahkan ianya pertembungan dua benua untuk dinobatkan sebagai benua yang menguasai permainan sukan paling popular didunia.

Kimia yang menggetirkan emosi ialah sokongan dari warga Brazil keatas Argentina sebagai membalas dendam atas malu yang ditimpakan oleh Jerman keatas Brazil diperingkat separuh akhir yang telah mematikan 'pesta samba' yang telag lama dirancang dan menjadi acara utama sambutan kemenangan Brazil.

Siapa yang tak sakit hati? Begitulah yang ada dan membara dalam perasaan setiap warga Brazil. Dan baraan marah itu akan diletuskan pada perlawanan akhir nanti. Yang kena panas ialah Jerman. Yang dapat kenyamanan ialah Argentina.

Jadi pasukan mana yang menang?

Saya hanya dapat katakan dengan pasti bahawa pasukan yang menang ialah Argentina. Menang sokongan.

Jaringan?

Mana-mana pasukan yang tidak dapat mengawal perasaan marah, besar kemungkinan akan kalah. Kekuatan mental faktor utama menentukan menang atau kalah. Kerana dari segi kemahiran bermain, binaan fizikal, dan kehebatan jurulatih, kedua-dua pasukan menguasainya. Cuma Jerman kurang dari segi sorakan sokongan.

Biar putih tulang, jangan putih mata.

Tapi kita sentiasa putih mata walaupun mata kita berwarna coklat.

Khamis, 10 Julai 2014

Dia Yang Hidup Bergelandangan




Dia masih ingat reaksi bapanya semasa ia menghulurkan kertas keputusan SPMnya. Masa itu ia berdiri tegak dan kedua-dua jari-jari tangannya erat ikat mengikat antara satu sama lain, dilunjurkan ke bawah pusat menghampiri ari-ari kencing, sambil matanya kadang-kadang berkelip-kelipan. Dia menunggu dengan penuh kesediaan akan bentuk dan jenis reaksi bapanya.

Dia menjadi tidak percaya apabila bapanya menghulurkan semula kertas kecil putih itu sambil beredar dan meninggalkan satu perintah yang jelas, tanpa ragu-ragu kewajipan baginya untuk patuh.

"Amek lagi sekali". Tiada bahang panas cetusan gunung berapi.

Sekarang dia berada disini. Selalunya disini. Tetapi ianya bukan satu ruang kekal untuknya.  Untuk disini, memiliki ruang ini, dia mesti mendahului dari pesaing-pesaing lain. Siapa cepat dia dapat. Ruang itu tiada status sebagai hakmilik terpelihara. Siapa saja boleh mendakwa hak kepunyaan. Syaratnya mesti dan wajib mendahului orang lain selagi ianya masih belum berisi.

Dia patuh arahan bapanya dulu. Dan kerana SPM itulah dia berada disini.

Dia tidak sanggup lagi untuk berdiri didepan bapanya. Bukan kerana takut. Tapi rasa bersalah yang amat sangat.

Sebelum keputusan diumumkan dia cepat-cepat berhijrah kesini. Dia sudah tahu keputusan itu kerana dia yang berhadapan dengan  semua kertas SPM itu. Ada soalan yang dia jawab dan banyak yang hanya ditulis no gilirannya. Kertas-kertas itu dikembalikan kepada penyelia peperiksaan apabila tamat saja tempoh masa menjawab yang dibenarkan.

SPM membawa dia ke sini.

Dia masih dapat membayangkan suasana keluarganya di kampong semasa menjalani dan melalui hari dan malam pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.  Bulan Ramadhan yang melimpah ruah rezeki di bazar-bazar Ramadhan yang boleh dihidangkan untuk berbuka dan bersyahur. Bermacam-macam ada.

Waktu berbuka dan waktu bersyahur adalah serupa saja. Tiada rebut merebut makanan. Air yang diceduk dari tempayan sudah lebih dari cukup untuk digugup. Tidak ada cerita dan cakap-cakap tentang kurang masin atau terlebih garam dalam makanan. Tidak ada yang manis terlebih gula yang boleh menjadi penyebab kepada kencing manis.

Adik-adiknya yang lima orang jumlahnya dan ibunya duduk bersila dan bersimpuh membuat satu bulatan. Sebelah ibu ialah bapanya yang duduk bersila.

Mereka santap makanan dengan tekun sekali. Tiada yang berbaki didalam pinggan. Bapanya lebih awal meninggalkan majlis santapan berbuka itu. Berdiri di muka pintu untuk mendapat kedinginan angin meniup badannya yang berlenggeng adalah satu kepuasan mengatasi keenakan berbuka puasa.

Maghrib berlalu tanpa ucapan kata-kata pujian dan kesyukuran dari keluarganya. Waktu maghrib hanya diingat dan dinanti hanya setakat pemberitahu waktu berbuka puasa. Tiada juga Isya, terawih. Mungkin terlalu letih dengan santapan berbuka.

Dia juga masih ingat betapa berangnya bapanya apabila dia mencadangkan agar zakat fitrah tidak perlu dibayar. Keluarganya termasuk dalam salah dari lapan golongan yang layak menerima zakat. Itulah yang dia diberi tahu oleh ustaz dalam kelas mata pelajaran agama dulu.

Bagi bapanya yang tidak pernah ponteng puasa, zakat fitrah mesti dibayar untuk diri dan tanggungan.

"Itu tanggungjawab aku. Kau jangan nak memandai-mandai".

Terbayang akan tangisan emaknya semasa bertengkar dengan bapanya tentang membeli pakaian baru untuk dia dan adik-adik. Bagi emaknya sehelai persalinan sudah mencukupi bagi merai dan menyambut hari raya.

"Pakai saja apa yang ada". Noktah, ibunya tunduk patuh dengan air mata berlinangan.

Sekarang dia berada disini, dalam sebuah kota raya yang terlalu sibuk. Sibuk dengan berbagai kenderaan dan jenis pengangkutan awam. Manusia pun terlalu sibuk. Hingar bingar bunyi hentakan tiang-tiang 'pailing' bangunan. Segalanya sibuk.

Manusia yang sibuk itu tidak pula menyibuk mengambil tahu tentang orang lain. Masing-masing sibuk dengan diri sendiri.  Masing-masing berperangai macam enau yang melepaskan pucuk masing-masing.

Dia pun begitu juga. Dia sibuk dengan dirinya sendiri.  Disini dia mesti melakukan dengan cepat. Sentiasa mendahului orang lain. Ruang mesti segera dikuasai. Kotor bersih bukan satu pertimbangan penting. Yang penting boleh lepak dan melingkar untuk merihat diri dan tidur. Dia tidak ambil  peduli tentang bau badan yang bacin hancing kerana jirannya juga terlalu sibuk dengan diri masing-masing.

Siang menghampiri gelap. Ini adalah waktu yang amat ditunggu-tunggu dalam bulan Ramadhan yang melimpah ruah rezeki ini. Dia menunggu suara azan dengan penuh patuh. Kawan-kawan sebelahnya pun begitu juga.

Bergema saja azan, digugupnya air dalam gelas yang dipegangnya. Dia mula mengunyah makanan yang diperolehi hasil usahanya beratur panjang petang tadi. Ikhsan dari sebuah kumpulan.

Dia terlalu bersyukur kerana dalam kesibukan insan bandaraya untuk diri masing-masing ada juga yang bermurah hati, mengambil kisah tentang hal insan yang lain. Insan yang bergelandangan seperti dia. Seperti adik-beradiknya dikampong , dia juga tidak berebut makanan. Cuma bezanya dia mendapat makanan hasil dari belas ikhsan sebahagian warga kota raya. Tidak ada makanan yang hendak direbut oleh adik beradiknya.

Maghrib berlalu. Dia sedar dan tahu. Dia juga tahu maghrib juga berlalu begitu saja tanpa diraikan oleh keluarganya dikampong.

Dan dia juga tahu ini mungkin kali terakhir dia berada disini kerana menteri sudah keluar arahan untuk menangkap orang sepertinya, jika masih disini.  Dia juga tahu hari ini mungkin hari terakhir dia mendapat makanan secara beratur panjang kerana menteri telah beri arahan untuk mengambil tindakan mengeluarkan saman kepada pemberi makan  kepada para gelandangan.

Dia mesti balik kampong?



  


Mengatasi Gelandangan



Gelandangan: Orang-orang yang tidak ada tempat tinggal yang  melakukan rayauan mencari apa saja ruang yang ada untuk berihat, makan dan tidur tanpa mengambil pertimbangan keadaan bersih atau kotor -biasanya kotor, dan saiz ruang-biasanya sekadar mencukupi untuk melunjurkan kaki ketika berbaring. Mereka ini adalah orang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan menerima pendapatan tidak sepadan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Mereka tidak mampu untuk memiliki rumah, berpakaian yang sempurna dan sentiasa mengharapkan bantuan dari pihak lain untuk makan dan minum.

Cara kehidupan mereka yang bergelandangan itu (dimana dan apa saja ruang boleh dijadikan tempat tinggal dan lepak) menyebabkan keadaan sekitar tidak sihat dan kotor, bau yang kurang menyenangkan, dan sudah tentu tidak sedap untuk mata memandang.

Dibandaraya kuala lumpur keadaannya adalah serious sehingga menteri yang berkaitan memberi amaran untuk menangkap para gelandangan ini yang dikatakan boleh  mencemarkan imej negara terutama dikalangan warga/pealancong asing. Menteri juga memberi amaran kepada mana-mana pihak/NGO yang terus membantu memberi makan minum kepada para gelandanagn ini kerana bantuan yang berterusan itu akan membuatkan fenomina gelandangan itu tidak akan dapat diatasi.

Oleh itu, menurut menteri , cara mengatasi para gelandangan ini ialah dengan menangkap mereka dan juga pihak yang memberi bantuan makanan.Cara penyelesaian menteri ini mendapat tentangan dari para gelandangan, NGO dan sebahagian masyarakat awam.

Pihak/NGO yang memberi bantuan itu berpendirian bahawa orang bergelandangan itu perlu dan wajib ditolong  Mereka tidak bersetuju dengan menteri dan berani mengambil risiko ditangkap atau disaman oleh kerajaan.

Bagi saya gelandangan tidak patut wujud dalam sebuah negara yang kaya seperti Malaysia ini. Amat memalukan.

Di Kuala Lumpur, kita ada bangunan berkembar KLCC yang pernah satu masa dulu menjadi bangunan yang tertinggi di dunia. Kos pembinanan dan penyelenggaraannya sudah tentu tinggi. Bangunan ini menempatkan ruang pejabat dan ruang niaga yang mahal-mahal. Persekitaran dalam dan luar canti, bersih dan wangi.
  
Di Kuala Lumpur juga kita ada para gelandangan yang hidup berkeliaran mencari dimana dan apa saja ruang untuk meneruskan kehidupan dengan menerima belas ihsan orang lain disebabkan mereka tidak kecukupan/tiada kemampuan wang untuk menyara diri.

Bangunan kos yang mahal mampu dibina, mengapa ekonomi sebahagian rakyat tidak mampu dipertingkatkan?

Mengapa pinjaman mudah seperti dalam hal membela lembu NFC mampu disedia dan diberikan kepada yang berada, mengapa tidak wang disediakan bagi membantu meningkatkan keupayaan ekonomi para gelandangan.

Mengapa terdapat jurang yang besar pendapatan seorang menteri misalnya dengan seorang pencuci pejabat sedangkan sama-sama tinggal di Kuala Lumpur.

Apa yang dapat dimiliki oleh sipencuci penjabat itu dengan gaji tidak sampai 800 ringgit sebulan? Rumah/kabin buruk?

Sudah tentu mereka hanya mampu untuk bergelandangan. Mengapa mereka perlu diusir begitu saja.

Sepatutnya bukan usiran atau menangkap atau menyaman dibuat keatas para gelandangan. Yang perlu dibuat ialah dengan menteri itu bergelandangan sama.

Ertinya menteri itu berhenti dulu menerima segala gaji dan kemudahan. Kerana ketiadaan kemampuan wanglah yang menjadi sebab seseorang itu menjadi para gelandangan.

Saya percaya jika menteri itu menjadi seorang dari gelandangan selama satu hari saja, neliau tidak akan sampai hati untuk menangkap para gelandangan walaupun dia tahu para gelandangan ini tidak baik dari segi imej negara. Sebaliknya menteri itu akan mencari jalan yang sesuai bagi meningkatkan kemampuan kewangan para gelandangan itu agar mereka dapat tempat tinggal, pakaian dan makan minum yang sewajarnya.

Dan sudah tentu dengan kemampuan kewangan yang meningkat, bekas para gelandangan itu akan dapat melakukan beli belah di KLCC.  Bukankah ini satu dari cara menjana ekonomi negara. Kenapa menteri tidak boleh berfikir semudah ini.

Saya juga tidak bersetuju pemberi makan kepada para gelandangan itu ditangkap. Dan dalam masa yang sama jika meneruskan memberi makan tanpa usaha lain ianya akan mengekalkan fenomina gelandangan di Kuala Lumpur, dan ada pihak lain yang berkemampuan dari segi kewangan mengambil kesempatan untuk bergelandangan.

Ertinya memberi makan cara berterusan juga tidak akan dapat menyelesaikan finomina gelandangan ini.

Gelandangan ini adalah berpunca dari kemiskinan. Ertinya gelandangan dan miskin ini adalah sama. Cuma finomina bergelandangan ini berlaku dibandar-bandar seperti Kuala Lumpur yang kos sara hidup terlalu tinggi berbanding dengan kemampuan kewangan.

Oleh itu uasaha dan tindakan mesti diambil oleh kerajaan untuk menghapuskan finomina gelandangan, dan bukan mengusir dan menyaman orang yang bergelandangan.
 

 


Selasa, 8 Julai 2014

Suara Siapakah Ini


"Saya lakukan cara saya. Cara yang saya suka. Saya tidak peduli bagaimana kamu lakukan kerana yang penting ialah kamu melakukannya untuk saya, untuk mencapai mat;amat saya"

Suara siapakah itu?

Itulah suara seorang diktator.


"Caj bayaran perkhidmatan kami tiada tawar menawar, dan kami boleh ubah bila-bial masa tanpa memberi notis. Jika kamu gagal membayar, perkhidmatan akan ditamat serta merta tanpa memberi notis. Dan jika kamu mahu menyambung semula perkhidmatan, bayaran sambungan semula akan dikenakan mengikut kadar yang kami tetapkan. Itu adalah syarat dan terma perkhidmatan kami. Jika kamu bersetuju, sila tandatangan kontrak. Jika tidak bersetuju, itu adalah hak kamu".

Suara siapakah itu?

Itulah suara syarikat perniagaan monopoli seperti perkhidmatan tv berbayar, telekomunikasi, penjana tenaga letrik, pemegang konsessi tol, pemegang permit import beras, gula dan banyak lagi.

"Saya akan datang ke tempat tuan untuk menerangkan produk saya. Bila-bila saja saya boleh datang, tiada masalah. Tuan tidak perlu susah datang ke tempat saya. Tuan beritahu saja bila, waktu dan tempat, saya akan datang. Lebih baik kalau kita bincang dan lunch atau dinner di restaurant atau hotel. You just name it, I will be there".

Itulah suara syarikat yang berhadapan dengan persaingan hebat. Kata -katanya dikatakan sebagai lembut gigi dari lidah. Semuanya boleh diurus, tiada masalah.

Juru jual kenderaan, produk makanan tambahan, agen insurans menguasai suara seperti ini.

"Saya lakukan apa saja, demi kita. Kelautan api pun saya sanggup lakukan".

Suara siapakah itu?

Sudah tentu anda boleh teka.

Isnin, 7 Julai 2014

Polisi Penyingkiran




Penyingkiran adalah satu proses untuk mengasingkan, mengenepikan, menafikan, menyisihkan, menggugurkan, melenyapkan, membuang, menyahsenarai dan apa saja usaha dan tindakan yang bertujuan untuk mewujud dan menjaga kepentingan sesuatu standard yang diakui sebagai lebih baik dan berkualiti, yang lebih bersifat merit.

Ada berbagai cara penyingkiran. Satu daripadanya adalah melalui peperiksaan. Peperiksaan adalah satu cara penyingkiran ke atas mana-mana orang yang tidak mencapai satu standard merit yang ditetapkan. Maka orang itu dikatakan gagal dan digugurkan dari peluang yang lebih baik misalny melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, jika ianya seorang pelajar, atau tidak berpeluang untuk dipertimbangkan untuk satu kedudukan yang lebih baik, jika ianya seorang pekerja.

Satu lagi bentuk penyingkiran ialah mewujudkan kumpulan-kumpulan eksklusif. Hanya mereka yang memenuhi syarat dan kedudukan tertentu boleh bersama atau dikumpul dan dimasukkan ke dalam kumpulan itu. Yang lain disingkirkan.

Sekolah berasrama penuh adalah satu daripada kumpulan eksklusif itu. Hanya mereka yang memenuhi syarat tertentu iaitu kecemerlangan dalam pelajaran akan diambil untuk berada disekolah itu.

Contoh lain kumpulan ekslusif  adalah program permata negara yang diterajui isteri PM. Hanya anak-anak yang mempunyai kecerdikan yang tinggi akan dimasukkan kedalam program permata negara.

Baru-baru ini menteri wilayah persekutuan melaksanakan proses penyingkiran terhadap warga miskin dan mereka yang begelandangan di Kuala Lumpur. Tujuannya untuk memperlihat satu kedudukan kuala lumpur yang lebih baik, bersih tanpa dikotori imej orang miskin dan bergelandangan yang biasanya tidak mempamirkan satu standard yang dimiliki oleh sebuah negara yang kaya dan mewah. Maka orang-orang ini juga perlu disingkirkan. Mereka ini tiada merit dari kaca mata mewujudkan kuala lumpur yang cantik dan bersih khususnya untuk tatapan para pelancong.

Banyak lagi proses penyingkiran yang berlaku dalam negara dan masyarakat kita. Ianya dilakukan bagi tujuan memenuhi satu standard atau keperluan yang telah ditetapkan. Ini termasuklah proses kurantin. Kurantin adalah proses pengasingan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak baik menjadi merebak.

Memenjarakan penjenayah juga adalah satu proses penyingkiran.

Temuduga bagi sesuatu kerjaya juga adalah satu dari proses penyingkiran.

Proses penyingkiran ini ada baik dan tidak baiknya.

Tetapi ianya menjadi tidak baik jika mereka yang tersingkir itu dibiarkan begitu saja dan menganggap mereka sebagai sesuatu yang perlu dilupus yang tidak mempunyai nilai atau tidak ada menfaatnya lagi. Kalau mereka itu dianggap sebagai kereta atau jentera ianya sudah masuk dalam kategori 'yang tidak ekonomik diperbaikki' atau beyond economic repair'  

Namun, ingatan kepada orang politik bahawa jangan terlalu taksub dengan kerja-kerja penyingkiran disebabkan bagi mencapai satu standard dan merit yang dikehendaki seperti bandaraya yang boleh dilihat bersih tanpa kehadiran imej orang gelandangan dan miskin. Dari segi politik mereka itu tidak boleh disingkirkan begitu saja. Kerana orang politik perlukan kuantiti.

Oleh itu berhati-hati dalam melaksanakan polisi penyingkiran.

Ahad, 6 Julai 2014

Menyediakan senarai jemputan kahwin.




Menyediakan senarai jemputan majlis kahwin bukan satu perkara yang mudah. Ada  dua perkara penting yang perlu diambil kira iaitu i) berapa ramai jemputan ,ii) siapa yang hendak dijemput.

Berapa ramai jemputan pula ada kaitan dengan kemampuan membiayai majlis.

Berapa had yang dikatakan mampu? Faktor apa yang menentukan kemampuan?

Dua soalan diatas saling berkaitan.

Dalam keadaan  kos hidup yang tinggi ketika ini, sudah tentu faktor berjimat cermat diambil pertimbangan. Sudah tentu kita melihat poket kita terlebih dahulu, misalnya berapa gaji atau pencen bulanan, simpanan yang ada, dan pendapatan tambahan dari sumber-sumber lain jika ada.

Setelah mengambil kira sumber itu , katakan bajet paling maksima kita ialah RM 10,000.

Kita pun berbincang dengan penyedia makanan (caterer) yang menetapkan harga satu kepala RM15.00. Harga itu dicapai setelah berkali-kali berlaku tawar-menawar antara kita dengan caterer itu, yang antara lain melibatkan jenis-jenis makanan dan minuman serta perkhidmatan yang disediakan.

Caterer tidak mahu kurang daripada itu kecuali kita menambahkan bilangan jemputan menjadi 1,000 atau mengurangkan bilangan jenis makanan. Alasan yang diberikan adalah sama dengan alasan yang kita berikan iaitu harga barang sekarang ini mahal.

Makanan dan perkhidmatan yang disediakan adalah biasa saja , sama dengan kebanyakan majlis yang diadakan ditempat kita. Tidak mewah.  Dan harga itupun sama saja dengan lain-lain caterer yang pernah kita bincang. Maknanya harga itu harga pasaran semasa.

Selain dari kos sedia makanan, kos lain yang terlibat ialah sewa kemah (buat majlis dirumah kerana sewa dewan juga mahal), pelamin, sewa pakaian pengantin, kompang dan berbagai perbelanjaan runcit lain. Katakan jumlah kos lain itu ialah tiga ribu.

Ini bermakna bajet sepuluh ribu kita itu hanya tinggal tujuh ribu saja untuk tujuan kos membayar penyediaan makanan. Ia juga bermakna bilangan jemputan kita hanya seramai 466 saja.

Jika kita tidak punya sahabat handai dan kawan kenalan yang ramai, rasanya kurang pening kepala. Tapi jika sebaliknya, sudah tentu akan memeningkan kepala. Siapakah diantara saudara mara dan sahabat kenalan yang perlu keluar dari senarai.

Misalnya setelah diperincikan berdasarkan kategori saudara mara, jiran , kenalan sekolah/universiti/tempat kerja jumlah jemputan melebihi 466 orang. Saudara mara dan jiran terdekat pun sudah mencapai angka melebihi 466 orang.

Siapakah yang wajaar digugurkan?

Bukan mudah untuk menggugurkan jemputan itu. Ianya boleh menimbulkan rasa kecil hati dan merajuk, yang seterusnya merosakkan hubungan kita. Tapi kalau dijemput lebih dari itu sudah tentu kita akan menjadi tertekan jika semua yang dijemput sudi datang kerana makanan yang disediakan kurang dari itu. Berpeluhlah tapak tangan dibuatnya sambil menyimpan rasa malu dan kecewa kerana ada tetamu yang tidak dapat makan dimajlis kita.

Jadi macam mana?

Tambah bajet lagi.

Bagi saya bajet tambahan adalah satu perkara yang mudah. Saya telah melakukan banyak kali. Kalau lebih belanja, tambah lagi bajet. Saya lakukannya pada tiap-tiap tahun. Mudah saja tambah bajet ini.

Sudah tentu anda mengatakan saya orang kaya , banyak wang. Bila-bila saja wang boleh ditambah.

Sabar dulu. Cerita saya belum habis.

Apa yang saya lakukan itu sudah lama berlalu. Dan ianya juga bukan bajet sendiri. Bajet kerajaan. Menyediakan peruntukan tambahan adalah kerja saya dulu. Tambahan bukannya seribu dua, malah berjuta. Bukan wang saya. Wang negara/negeri -wang rakyat.

Tapi apabila melibatkan wang sendiri, saya tidak mampu mengeluarkan wang lebih dari sumber yang ada. Saya percaya andapun sama.

Jadi untuk menambah bajet majlis kahwin adalah diluar kemampuan kita. Ertinya mahu tidak mahu kita kurangkan bilangan jemputan.

Ada yang nanti berkecil hati apabila mendapat berita kita telah mengadakan majlis tanpa menjemputnya. Maka kalau jadi begitu kita minta maaflah.

Jika perkara sama berlaku pada kita, jangan pula kita berkecil hati. 

Namun begitu pernah juga diberitahu bahawa ada orang yang lebih suka tidak dijemput. Tidak tahu mengapa? Mungkin orang itu tidak mahu menyusahkan tuan rumah.

Dan ada orang secara bergurau (tidak pasti gurauan itu merupakan perasaan sebenarnya atau gurauan semata-mata) mengatakan kad jemputan itu sebagai surat saman. Maknanya kena bayar samanlah -kena hulur wang kepada tuan rumah. 

Orang seperti ini tidak memeningkan kepala kita jika namanya digugurkan dari senarai jemputan. Tapi macam mana kita dapat mengenali orang seperti itu?

Sama ada bergurau atau tidak, saya rasa janganlah kita kata begitu kepada orang yang menjemput kita. Sebaliknya merasa bangga kerana kita masih diingati dan tidak keluar dari senarai jemputan kawan kita itu. Kita tidak digugurkan.

Dan menghulur sedikit wang pada tuan rumah adalah terlalu kecil nilainya berbanding dengan ingatan kawan kita itu.

Sebenarnya saya sedang menyediakan senarai jemputan majlis perkahwinan anak saya. Pening kepala sekarang ini.

Tempat tinggal, no. talipon dan maklumat lain yang memudahkan perhubungan untuk  menyampaikan jemputan,sebahagian besar tidak ada pada saya, dan kalau pun ada misalnya no.talipon, no itu orang lain yang punya.

Dan saya telah dimarahi oleh seseorang kerana menghubungi sesuatu no. yang dulunya dimiliki oleh kawan saya. Saya minta maaf. Tapi kata orang itu, "takkan minta maaf saja".
 
Bertambah pening kepala saya dibuatnya.

Jumaat, 4 Julai 2014

Pemgemis, Penderma dan Perasuah: Sinario di Malaysia.




Meminta salah dan memberi salah. Itu adalah perbuatan rasuah..

Meminta salah dan memberi salah. Itu adalah pengemis/peminta sedekah dan penderma.

Yang pasti perbuatan itu adalah sama iaitu ada yang meminta dan ada yang sudi memberi.

Yang pasti juga ialah perbuatan itu adalah salah.

Tapi sebab menjadi salah ada bezanya.

Rasuah menjadi salah kerana ada undang-undang yang mentafsirkan perbuatan meminta dan memberi itu adalah salah.

Peminta sedekah yang meminta dan orang yang sudi memberi/menderma itu menjadi salah kerana ada menteri di malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah. Tidak ada dikanunkan oleh mana-mana undang-undang negara atau perintah dari mana-mana ajaran agama yang perbuatan seperti itu adalah salah.

Melakukan rasuah boleh ditangkap. Ada diperuntukkan dalam undang-undang.

Mengemis dan menderma kepada pengemis pun boleh ditangkap. Ini ditentukan oleh seorang menteri Malaysia.

Perasuah ditangkap kerana ianya satu perbuatan yang boleh merosakkan negara.

Pengemis dan orang yang membantu/penderma ditangkap kerana perbuatan itu mencacatkan nama baik , kecantikan dan kebersihan kuala lumpur.

Jadi perasuahan dan pengemisan/pendermaan adalah merosakkan negara.

Dengan demikian tangkaplah mereka itu.

Tapi apabila mahu tangkap perasuah, jangan pilih-pilih.

Begitu juga apabila tangkap pengemis dan penderma , jangan pilih-pilih.

Dakwa mereka dan beri mereka peluang membela diri:

Tanya perasuah (yang meminta dan yang memberi) mengapa melakukan perbuatan yang merosakkan negara itu.

Tanya pengemis dan penderma , mengapa melakukan perbuatan yang merosakakan imej negara itu.

Jika perasuah (orang yang meminta) menjawab mereka perlu wang tambahan bagi membantu menjalani kehidupan kerana mempunyai tanggungan yang banyak sedangkan gaji tidak sebanyak mana, tambah-tambah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi dan menekan, maka lepas dan maafkan saja mereka itu. Mereka tidak merosakkan negara.

Tapi mesti sentiasa ingat, peminta diatas itu adalah dalam keadaan ketiadaberadaan (memerlukan), hidup yang terdesak oleh cara pembahagian kekayaan negara yang tidak adil.

Tapi ada juga yang meminta itu hidupnya adalah dalam keberadaan (mencukupi, tidak susah) malah ada yang hidup mewah , dan ada yang mempunyai kekebalan dari dakwaan. Jenis ini adalah merosakkan negara.

Jika yang memberi menjawab kerana ada yang meminta maka tanya soalan tambahan. Tanya sipemberi , jika orang miskin dan pengemis yang meminta, relakah dia memberikan kepada orang miskin itu.

Sudah tentu dia akan berkata, dia tidak sanggup berbuat begitu kerana memberi/menderma kepada orang miskin/pengemis adalah salah di malaysia.

Maka penjarakan orang yang memberi itu. Sebab, dia itu memang orang yang tidak ikhlas dan jujur. Dia tahu rasuah itu salah tapi dia berikan juga.

Dia juga tahu di malaysia, memberi/menderma kepada simiskin/pengemis adalah salah.

Kedua-duanya salah. Mengapa pilih melakukan rasuah saja? Sudah tentu ada faedah dan kepentingan diri.

Kepada orang miskin/pengemis  tanya mengapa dia mengemis, tak malu kah?

Sudah tentu pengemis itu menjawab bahawa dirinya tidak penting. Dia mahu menjaga nama baik negara. Dia tidak mahu mati kebuluran dalam sebuah negara yang kaya. Malulah negara kita.

Kalau itu jawapannya maka dakwalah orang/pihak yang membuatkan dia itu jadi peminta sedekah, hidup susah dan miskin kerana orang/pihak itu telah gagal mengagihkan pendapatan negara dengan saksama dan adil. Orang/pihak itu telah gagal menjaga nama baik negara ada pengemis dalam negara yang kaya..

Namun begitu, sentiasa mesti ingat bahawa ada orang yang diupah untuk jadi pengemis. Maka dakwalah orang yang ambil upah jadi pengemis itu. Jangan pula sekali-kali lupa mendakwa dan memenjara majikannya juga kerana majikannya itulah perosak kepada nama baik negara.

Kepada sipenderma, jangan dakwa mereka kerana mereka mahu menjaga nama baik negara. Kalau pun yang diberi derma itu adalah pengemis yang diupah, tapi pemberian mereka adalah ikhlas ingin membantu, cuma dia tidak ada perasaan sangka buruk sipeminta sedekah itu. Hadiahkan kepada mereka ini doa agar murah rezeki, rezeki yang halal lagi barakah.

Namun perlu juga ingat, tidak semua penderma/pemberi itu mahu menjaga nama baik negara. Mereka ini menderma/membantu dengan balasan mahu diri dikenang, diberi ucapan kesyukuran dan terima kasih dengan cara menaik dan menempatkan mereka ke satu kedudukan yang berkuasa.

Pemberi seperti diatas itu tidak sewajarnya dihargai kerana mereka akan melakukannya bukan sebenarnya untuk membantu tapi hanya bagi mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa. Akhirnya mereka akan menyalahgunakan kuasa. Mereka juga perosak negara.  


Rabu, 2 Julai 2014

LIVING IN THE SKY: Berapa Harga?




Berapa harga?

Dua ratus sembilan puluh lapan ribu. Ada dua bilik.

Dua bilik, jual harga hampir tiga ratus ribu?

Saya duduk disebuah kerusi panjang berdekatan dengan meja promoter menjual rumah bangunan tinggi yang diberi tag sebagai  'living in the sky'. Hanya ada seorang promoter saja. Ada sebuah skrin menayang dan memperihalkan 'tinggal diatas langit' itu'. Ditunjukkan peta lokasi bangunan, kawasan kejiranan , rangkaian jalan raya dan berbagai kemudahan dalam kawasan kediaman,  yang kesemuanya dikatakan amat strategik lagi menarik untuk dijadikan tempat kediaman sama ada untuk tinggal sendiri ataupun disewa.

Antara yang dikatakan strategik dan menarik ialah rangkaian jalan raya yang baik yang mempunyai hubungan dan dekat dengan lebuh raya utara selatan , berdekatan dengan sebuah universiti swasta, tidak jauh dari pusat bandar dan berdekatan dengan kontinjen polis negeri. Dan dalam kawasan kediaman disediakan taman permainan dan kolam renang dan perkhidmatan spa, sesuai dengan cara dan gaya hidup terkini.

Promoter itu kelihatan tidak sibuk dan sedang melayan dengan begitu asyik sekali taliponnya, mungkin sedang bermain 'game', ketika mana saya sedang melihat skrin dan mendengar apa yang diperihalkan tentang bangunan itu.

Kemudian, tiba-tiba saya disapa oleh promoter. Beliau mencadangkan agar saya mendaftar untuk menempah (booking) bangunan 'tinggal atas langit' itu.

Secara spontan saya bertanyakan harga. Jawapan dua ratus sembilan lapan ribu dari promoter itu, sesungguhnya amat mengejutkan saya. Tidak mungkin harga boleh setinggi itu kerana sedikit sebanyak saya ada maklumat mengenai harga dipersekitaran bangunan itu. Harga ini terlalu mahal.

Apabila bangunan itu hanya ada dua bilik, ia meyakinkan saya bahawa harga itu 'tidak sepadan dan terlalu tinggi. Mana ada bangunan tinggi yang dibina ketika ini menyediakan dua bilik saja? Paling kurang tiga bilik. Rumah pangsapun ada tiga bilik.

Dua bilik dan harga hampir tiga ratus ribu. Saya segera menyatakan bahawa ianya terlalu mahal. Maka promoter mencadangkan kepada saya untuk mengambil pinjaman bank.

Saya sudah tualah, tidak ada bank yang mahu memberi pinjaman.

Kata-kata saya itu membuatkan promoter tidak lagi berminat untuk meneruskan perbualan.

Saya berpendapat: 
i) bangunan itu terlalu mahal tidak sepadan dengan lokasi dan luas ruang binaan. Malah jika bangunan dua bilk dibina diKL atau Putra Jaya, saya rasa harga tidak setinggi itu, dan tidak mungkin ada bangunan dua bilik dibina di KL atau Putra Jaya. 
ii) Bangunan 2 bilik tidak sesuai bagi sebuah keluarga. Paling kurang tiga bilik iaitu satu bilik itu ibu bapa dan dua bilik lagi bagi anak-anak terutamanya jika ada anak lelaki dan perempuan, 
iii) bangunan itu adalah sesuai untuk disewa oleh para pelajar universiti yang boleh tinggal beramai-ramai, misalnya satu bilik 5 orang untuk mengecilkan kos bayaran sewa, 
iv) tidak ramai orang/ atau masih belum ada orang yang mendaftar untuk membeli rumah itu kerana tidak ada orang lain yang datang ke meja itu selain dari saya yang duduk agak begitu lama di kerusi panjang berdekatan dengan meja promoter itu.

Ada pertanayan kepada pihak berkuasa yang meluluskan pelan bangunan:
i) Mengapa pelan bangunan yang hanya menyediakan dua bilik perlu diluluskan. Ada kah faktor sosial tidak diambil pertimbangan?
ii) Harga ditentukan oleh pasaran -demand and supply. Tapi adakah pihak berkuasa boleh menerima harga seperti itu? 

Saya mengharapkan pemaju tidak hanya memikirkan keuntungan yang terlalu tinggi. Fikirkan juga kemampuan pembeli sesuai dengan luas ruang yang disediakan. Fikirkan juga keperluan sosial masyarakat kita. Dua bilik adalah tidak sesuai. Hargapun terlalu tinggi.

Adakah harga itu ditetapkan sebegitu tinggi kerana ;kediaman itu bertaraf kediaman atas langit? dekat dengan syurga ke?

Saya rasa ianya dekat dengan neraka kerana harganya harga yang memanaskan seluruh anggota badan.

 Berapa Harga?
  



Selasa, 1 Julai 2014

Kasih dan Sayang Orang Melayu Terhadap Yang Seagama.




Kitalah bangsa (Melayu) yang paling pengasih dan penyayang terhadap sesama agama. Maksud saya sesama agama Islam.

Kasih sayang kita sesama Islam tidak boleh ditandingi oleh bangsa lain yang beragama Islam. Ini bukan satu kenyataan kosong atau suka buat-buat saja. Kita ada bukti yang boleh dilihat, ditunjuk dan diketengahkan.

Rasa sayang dan cemburu kita semakin bertambah jika orang yang seagama itu mendapat perhatian atau sudah bersama dengan orang beragama lain. Kita berang dan sentiasa mempersoalkan kenapa orang seagama kita itu sanggup mengadu hal dan meminta pertolongan dari orang atau pihak bukan Islam. Apatah lagi orang itu sudah tidak bersama dengan agama kita, yang kita panggil murtad.

 Maka naik berang dan marahlah kita sebagai tanda kecewa kita diatas keadaan itu. Sebab kita sayang saudara kita itu. Kita mahu ke syurga bersama.

Orang atau pihak yang kita marah sangat ialah orang/pihak bukan Islam yang telah dapat memikat hati dan nurani saudara Islam kita itu. Maka kita akan melakukan berbagai reaksi dan tindakan. Kita keluarkan kenyataan menyerang bukan Islam itu. Kita mengeluarkan kata-kata ancaman akan mengambil tindakan terhadap pihak itu kerana telah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan agama lain disebarkan dikalangan orang Melayu.

Ancaman itu tidak terhad kepada tindakan undang-undang saja. Kita bersedia untuk melakukan kekerasan dengan merosak harta benda dan mencederakan pihak tersebut.

Jika kita mendapat berita ada orang Islam yang berkahwin dengan bukan Islam, dengan segera kita bertindak untuk menghalangi perkahwinan itu, walaupun status Islamnya orang itu masih lagi kita belum tahu dengan jelas. 

Sebab apa kita berbuat begitu?

Sebab kita adalah bangsa yang paling pengasih dan penyayang. Kita seolah-olah tidak mahu berpisah dan dipisahkan, hidup mahupun mati. Dari dunia hingga akhirat.

Itulah caranya kita menumpahkan kasih sayang.

Menakjubkan?

Tidak pasti perkataan 'menakjubkan' itu menepati cara kita menumpahkan kasih sayang. Atau itukah cara yang terbaik yang perlu kita teruskan.

Namun satu hal yang pasti ialah kita sayang dan kasih apabila orang itu telah tiada. Maksudnya i)orang itu tidak bersama kita lagi, dan ii) orang itu telah mati.

Sebelum berlaku salah satu dari dua keadaan itu, kita tidak ambil peduli. Susah ke, ada makan minum ke, sakit ke, perlu bantuan wang ke, perlu bantuan ilmu agama ke dan berbagai-bagai lagi termasuk nama orang itu kita tidak ambil kisah.

Yang paling malang sekali pihak yang mempunyai kekuatan kewangan seperti Jabatan agama (Pusat Zakat) tidak juga memberi perhatian baik tentang perkara ini. Hanya berbangga tentang jumlah kutipan zakat yang bertambah dari tahun ke setahun sedangkan keperluan orang yang susah ini tidak mendapat perhatian yang baik.

Jadi salahkah orang itu menerima bantuan dari pihak lain yang tidak seagama misalnya dari orang/gereja keristian?

Mengapa orang itu dikatakan murtad hanya semata-mata menerima bantuan dari gereja? Jika sebenarnya orang itu murtad kerana telah begitu tertarik diatas kebaikan gereja, tidakkah kita orang Islam juga mengambil tanggungjawab? Kenapa mesti menyalahkan pihak lain?

Apabila berlaku kematian saudara-saudara baru, kita berebutan mayat dengan kaum keluarga saudara baru yang masih bukan Islam. Kita sanggup gali kubur untuk mendapat mayat itu untuk dikuburkan diperkuburan Islam. Tidakkah tindakan itu sudah terlambat?

Mengapa sebelum orang itu mati kita tidak tunjukkan bahawa orang itu sebenarnya saudara se Islam yang perlu kita dekati, dan jika susah kita beri bantuan, dan jika masih kurang ilmunya, kita bantu tambahkan.