Theflowersellingboy

Rabu, 28 Mei 2014

Mulut Jangan Celupar

 
 
 
Baru-baru ini timbul ketegangan apabila perkataan 'celaka' digunakan keatas UMNO oleh seorang ahli Dewan Undangan DAP di Pulau Pinang, semasa berucap di Dewan berkenaan. Ia menimbulkan kemarahan ahli UMNO dan penyokong parti tersebut.
 
Akibat dari itu ia menimbulkan kemarahan UMNO dan penyokongnya sehingga ada yang bertindak memasuki Dewan sebagai bantahan.
 
Kemarahan itu merebak ke Kuala Lumpur. Berlaku bantahan dan ugutan untuk membakar ibupejabat DAP.
 
Di Kuantan juga berlaku bantahan.
 
Mengapa perkataan celaka itu menjadi kemarahan sangat kepada UMNO?
 
Saya mahu menjawab dengan mengingat semula zaman kecil saya dulu dan memberi pandangan saya tentang penggunaan perkataan dan perkataan yang seciri dengannya.
 
 Apabila orang Melaka berjumpa:
 
"Oiii lahabau  . Maner kau pegi. Lamer tak nampak?"
 
"Woii celaker (celaka). Musibat. Aku idup lagi ler. Kau yang tak nampak muker. Aku ingat dah kojol".
 
"Lahanat kau. Aper kabau".
 
Merekapun bersalam-salaman dan berpelukan begitu erat sekali, sambil menepuk belakang masing-masing. Dan ketawa besar apabila badan mereka berpisah.
 
Mereka melangkah masuk sebuah kedai kopi.
 
"Dua nasik lemak. Dua teh tarik", seorang dari mereka buat pesanan sarapan pagi. Kedua-dua wajah mereka ceria.

Waktu itu, saya tidak terasa apa-apa dengan bahasa 'ucap selamat' yang dihamburkan oleh mereka. Sudah menjadi perkara biasa.  Telinga dan perasaan semua orang, sama ada yang menyebut, yang ditujukan dan yang mendengar, boleh terima. Tiada siapa pun marah malah ikut meraikan sama.
 
Itu adalah bahasa basahan mereka apabila berjumpa. Apatah lagi jika lama tidak bertemu muka.
 
Tapi, jangan silap faham. Ucapan seperti itu hanya kepada kawan-kawan dan sahabat yang telah mengenal hati budi masing-masing. Mereka adalah sahabat atau kenalan yang pernah bertengkar, bergaduh, berbaik semula, bergaul mesra, bergaduh, bertengkar dan berbaik semula.

Pertalian dan hubungan mereka boleh kita katakan sebagai, benci tapi sayang, meluat tapi suka, sayang tapi benci dan mesra tapi kecuh, yang akhirnya boleh menerima pujian dan cercaan/makian tanpa rasa besar diri atau sakit hati.
 
Sebenarnya ucapan dengan menggunakan perkataan-perkataan diatas hanya boleh berlaku dan diterima baik setelah melalui proses jalinan perkenalan atau persahabatan yang panjang. 
 
Mereka pernah menyakiti dan disakiti sewaktu hilang sabar, dan mereka saling bantu membantu sewaktu susah dan memerlukan.
 
Ertinya perkataan-perkataan itu, tidak boleh diucapkan dan ditujukan untuk semua orang. Perkataan-perkataan tersebut masih kekal sebagai perkataan yang tidak baik dan tidak wajar digunakan dalam perhubungan sesama manusia.
 
Sekarang ini ucapan menggunakan perkataan itu kurang kedengaran. Dan kebanyakan tempat hilang sama sekali. Kalau ada pun hanya dikalangan orang yang sudah tua, sezaman dengan saya yang masih mahu mengekalkan kemesraan persahabatan melalui cara itu.
 
Berbalik kepada perkataan 'celaka UMNO' di DUN Pulau Pinang. Pendapat saya adalah:
 
i) Ianya tidak wajar dituturkan oleh seorang ahli Dewan sama ada kepada mana-mana individu, masyarakat, parti atau bangsa. Sesungguhnya tindakan ahli tersebut merendahkan peribadai dan harga diri sebagai ahli yang dipilih oleh rakyat dan merosakkan nama partinya iaitu DAP.

ii) Ahli UMNO dan penyokong yang terlibat merempuh masuk DUN bertindak salah dalam respons mereka terhadap panggilan 'celaka UMNO'. Sepatutnya ahli Dewan BN khususnya UMNO meminta panggilan seperti itu ditarik balik, dan yang menuturkannya itu memohon maaf.
 
Tapi pujian mesti diberikan kepada Ketua Pembangkang BN (UMNO) yang segera meminta maaf diatas perbuatan yang salah itu.
 
iii) Kepimpinan UMNO/BN termasuk perdana menteri/ menteri mesti mengingatkan pihak yang merempuh masuk Dewan itu bahawa itu bukan satu tindakan yang betul sebagai tindak balas kepada penggunaan perkataan celaka kepada UMNO. Amaran bahawa tindakan keras akan diambil.
 
iv) Kepimpinan DAP sewajarnya menggesa dan mendesak agar ahli dewannya yang mengeluarkan perkataan itu meminta maaf dan menarik balik apa yang dikatakannya.

v) Perkataan itu hanya ditujukan kepada parti UMNO dan bukan kepada orang Melayu. Melayu adalah bangsa, UMNO adalah parti. Bangsa Melayu juga terdapat dalam parti PKR, PSM dan DAP. Semua ahli PAS adalah Melayu dan Islam.
 
Oleh itu jangan kelirukan rakyat kerana ada juga sebahagian orang Melayu tidak dapat membezakan antara UMNO dan Melayu dengan beranggapan bahawa UMNO itu Melayu. Tidak semua ahli UMNO itu Melayu dan Islam (ahli-ahli dari Sabah).

vi) Pihak penguatkuasa undang-undang mesti mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak/parti/individu yang melanggar undang-undang.

vii) Menggunakan perkataan celaka dan yang sejenis dengannya , dan tindak balas yang menyalahi undang-undang tidak boleh dibiar dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
 
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama perkataan yang tidak sesuai itu digunakan bagi memberi emej yang buruk dan tidak baik terhadap sesuatu parti. Misalnya PAS pernah dipanggil sebagai Parti Ajaran Sesat oleh ahli UMNO.  
 
Saya kira panggilan seperti itu adalah lebih teruk dari panggilan celaka itu kerana ianya melibatkan akidah.
 
Namun PAS tidak bertindak seperti yang ditunjukkan oleh ahli UMNO dan penyokongnya. Satu pujian kepada kematangan berfikir dan bertindak ahli dan kepimpinan PAS.

Hanya orang Melaka pada suata masa dulu yang boleh menerima panggilan celaka dan yang sejenis dengannya sebagai cara melahirkan perasaan gembira, suka, ceria, mesra dan keikraban serta keikhlasan dalam pergaulan. Malah masyarakat ketika itu meraikannya bersama.
 
Tapi ianya tidak sesuai lagi.  Jangan tiru orang Melaka itu.

DAP dan UMNO semakin jauh untuk menjadi seperti orang melaka itu.
 
Dengan demikian sekiranya kita tidak mahu orang berlaku celupar terhadap kita maka eloklah kita juga tidak melakukan sama. Oleh itu berhentilah menjadi mulut celupar.
 
 


MANTAN BIARAWATI MASUK ISLAM (Perayaan Natal 25 Desember) Hj. Irena Han...




1. NABI ISA ALAHISSALAM BUKAN TUHAN.
2. TARIKH 25 DISEMBER BUKAN TARIKH KELAHIRAN NABI ISA
3. KRISTIAN CUBA MENARIK ORANG ISLAM DENGAN BERBAGAI CARA TERMASUK CERITA MENGENAI SANTA CLAUS, HARI VALENTINE, APRIL FOOL DAN HALOWEEN.

DENGARLAH CERITA DARI BEKAS BIARAWATI KRISTIAN INI

Selasa, 27 Mei 2014

Pilihanraya Bukit Gelugur dan Teluk Intan : Sikap dan Bahan Kempen BN



Di Bukit Gelugur calun DAP telah menang besar. Di Teluk Intan Gerakan/BN dan DAP/PR sedang hebat berkempen meraih undi untuk menang.

Di Bukit Gelugur MCA/BN siang-siang lagi telah angkat tangan tidak mahu bertanding. Tepat apa yang dilakukanMCA/BN itu. Kalau bertanding sudah tentu malu besar.

Di Teluk Intan melalui calun parti Gerakan, BN bertanding melawan DAP/PR. Saya ramalkan calun Gerakan/BN juga akan tewas. Sekali lagi BN akan mendapat malu.

Cuma soalnya adakah majoriti kemenangan yang akan diperolehi oleh calun wanita muda Melayu yang rupawan itu bertambah berbanding dengan majoriti lebih 7,000 yang diperolehi mendiang calun DAP pada PRU 13. Jika bertambah ianya akan menggusarkan fikiran orang-orang BN. Ianya sudah menjadi satu ancaman kepada kelangsungan BN.

BN sedia tahu parti itu akan tewas. Majoriti pengundi Cina sentiasa bersedia menolak BN. Pengundi India juga tidak boleh diharapkan sangat.

Kalau sudah tahu tewas mengapa BN masuk bertanding? Kenapa tidak mengaku kalah seperti yang dilakukan di Bukit Gelugur? Bukankah Bukit Gelugur satu precedent yang tepat? Boleh jimat belanja.

Jimat belanja?

BN tidak bertanding di Bukit Gelugur bukan kerana hendak jimat belanja. Wang tiada masalah bagi BN. Lagipun, bukan sifat dan pembawaan BN untuk berjimat termasuk dalam hal penggunaan wang rakyat. Habis disapunya secara sah dan tidak sah.

BN tidak bertanding di Bukit Gelugur kerana takut malu besar. Sebab majoriti rakyat tidak akan memberi undi.

Itulah dia parti MCA/BN -parti pengecut. Nampaknya MCA/BN rela dipanggil sebagai parti pengecut asalkan tidak dimalukan dengan jumlah kecil pengundi yang masih mengundi BN.


Di Teluk Intan sikap BN berbeza. BN bertanding walaupun sedia tahu akan tewas. BN tidak mahu berterusan dipanggil sebagai parti pengecut. Orang Melayu kata tidak ada telur. Satu kiasan yang mencabar kejantanan MCA/BN.

Sekali dikatakan tidak ada telur, sikap BN  masih ok, tidak mengapa. Tapi dua kali tidak ada telur, sama juga dengan BN tidak ada dua telur. Ini sudah melampau, malu yang amat sangat. BN tidak mahu dua kali jadi parti pengecut.

Maka BN bersetuju Gerakan bertanding.

Gerakan juga sedia tahu, calunnya tidak akan menang. Majoriti pengundi akan mengundi DAP. Majoriti pengundi Cina akan menolak Gerakan. Pengundi India tidak boleh digantung harap.

Harapan diletakkan kepada pengundi Melayu walaupun calun Gerakan itu adalah calun berbangsa Cina melawan calun Melayu DAP.

Harapan bukan untuk menang. Hanya untuk mengurangkan majoriti DAP yang diperolehi pada PRU 13, terutama undi dari orang Melayu.  Jika itu berjaya dilakukan, BN khususnya UMNO akan buat bising dan hebuh mendakwa bahawa orang Melayu masih memberi sokongan kuat kepada UMNO/BN. UMNO akan menghebuhkan bahawa PAS tidak mendapat sokongan Melayu Islam; Melayu telah lari dari PKR; dan DAP parti perkauman yang ditolak sepenuhnya oleh orang Melayu walaupun meletakkan calun Melayu.

Itulah 'point' yang hendak UMNO skor. Itulah sebab sebenar mengapa BN bertanding di Teluk Intan.

Gerakan dijadikan alat, dan sedia menjadi alat..

 UMNO tahu pertandingan ini terlalu penting. Penting untuk menambah bilangan pengundi Melayu yang akan mengundi Gerakan. Tidak mengapa Gerakan/BN tewas asalkan undi Melayu bertambah berbanding PRU 13. Yang penting adalah survival UMNO, mendapat undi Melayu yang betambah bertopengkan demi Melayu, demi Islam dan demi negara, dari dulu,kini dan selama-lamanya. 

Sebab itu UMNO mengambil pentas utama dalam kempen di Teluk Intan ini. Tapi UMNO tahu tugasnya kali ini amat berat. Calun DAP ada banyak kualiti yang boleh menarik pengundi Melayu.

Beliau seorang Melayu. Wanita muda berusia 27 tahun. Berketerampilan pula. Berpendidikan tinggi, seorang peguam.

Manakala calun DAP seorang Cina. Sudah berusia jauh lebih tua berbanding calun DAP. Berketerampilan juga. Berpendidikan tinggi.

UMNO pening kepala dan terkedu apabila DAP meletakkan calun Melayu. UMNO menjadi terkejut beruk, kata orang sekarang.

Apa modal perkauman anti Melayu yang mahu dimainkan oleh UMNO?

Apa modal lain yang boleh digunakan untuk memperlekehkan calun DAP itu?

UMNO sudah tiada modal.

Awas, hubaya-hubaya dengan kenyatan diatas. Memang UMNO tiada modal. Tapi UMNO memang pakar dalam mengitar semula modal dengan teknik dan cara kitar semula yang dilakukan secara konsisten dari dulu, kini.  Dan mungkin selama-lamanya, jika UMNO masih hidup.

Bagi UMNO buatlah apa cara sekalipun asalkan mencapai matlamat. By hookor by crook, UMNO sedia melakukan.

Maka UMNO menyerang peribadi calun DAP. Hak dan kebenaran bukan pertimbangan UMNO. Adil dan zalim tidak masuk dalam otak kepala UMNO. Lupakan saja dosa pahala. Fitnah boleh saja dilakukan.

"Politik ,biasalah", setengah dari orang/penyokong UMNO memberi justifikasi atas cara dan tindakan yang digunakan bagi menyerang peribadi calun lawan.

Maka dihebuhkan dalam berbagai media, serta diulang dengar dan tayang terutamanya dalam media yang dikawal akan buruknya peribadi calaun lawan. Calun lawan dikatakan sebagai pengkhianat Melayu kerana menyertai parti kafir Cina.

Keterampilan calun lawan yang berwajah rupawan (pengakuan UMNO juga dimana Ketua Pemuda UMNO mengatakan bahawa 'ini bukan pertandingan ratu cantik') menjadi UMNO amat cemburu sekali. Tapi UMNO tidak mati akal. Kecantikan calun lawan itu dihodohkan dengan menyebar gambar telanjang (pakai coli dan seluar dalam ) seorang wanita muda yang UMNO kata gambar batang tubuh calun.

Gambar itu sebenarnya gambar orang lain. Tapi UMNO tetap menyebarkan gambar itu termasuk di masjid. Tujuannya untuk menyakinkan pengundi Melayu agar menolak calun Melayu DAP itu.

UMNO tahu orang Melayu walaupun diri sendiri mempunyai moral yang rendah, amat tidak suka perlakuan rendah moral itu (bertelanjang).Maka diserangnya cara itu.

Senjata ini telah berkesan dilakukan terhadap Anwar Ibrahim, sebab UMNO mengawal media dan segala institusi negara. Paling berkesan ialah dikalangan orang-orang miskin, berusia, luar bandar, yang kurang pendidikan dan terbatas dari segi capaian maklumat.

Tahap pendidikan calun lawan yang baik juga UMNO serang. Katanya lupa diri dan tidak bersyukur kerana menggigit tangan yang memberikan rezeki.

Sebagai parti yang diberi amanah untuk memrintah, adalah menjadi tanggungjawab UMNO/BN memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan melaksanakan berbagai projek pembangunan demi meningkatkan taraf hidup rakyat. Dan untuk melakukan itu wang dan aset negara yang terdiri dari berbagai sumber termasuk cukai yang dikenakan kepada rakyat wajib digunakan secara terbaik kerana ianya amanah rakyat. 

Tapi UMNO tidak berfikir begitu.  Wang dan aset negara yang digunakan bagi tujuan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat melalui berbagai perkhidmatan dan projek pembangunan dianggap hak UMNO/BN.

Sebab itu dalam kempen pilihanraya sama ada diTeluk Intan atau ditempat lain, UMNO/BN memberitahu pengundi bahawa jika beri menang kepada calun BN, projek pembangunan akan dilaksanakan seperti dewan orang ramai, jalan raya dan kelajuan internet.

Kalau BN kalah, berputih matalah orang Teluk Intan.

Zalim tak? Adil Tak?

Sudah tentu zalim. Sudah tentu tidak adil.

Ianya tidak zalim, ianya adil jika penduduk Teluk Intan tidak dikenakan sebarang cukai termasuk cukai GST yang bakal dikenakan pada April 2015.

Berani BN bersetuju?

Setakat itu bahan kempen BN dalam hal pembanguanan untuk rakyat. Bahan kempen utama ialah menyerang peribadi calun. Bukan saja calun, ibu calun juga dirematnya sama. Fitnah pula.

Sedangkan perkara yang sebenarpun Allah melarang melakukannya. Tidak boleh mengaibkan keburukan orang..

Soal calun lawan yang mudapun dijadikan modal serangan. Apa UMNO sudah nyanyuk ke? Lihatlah pada diri sendiri termasuk yang ketika ini menjadi perdana Menteri dan Menteri.

Begitulah cara UMNO/BN berkempen dari dulu sehingga kini, dilakukan secara konsisten menyerang peribadi calun. Fitnah sudah menjadi darah daging demi meyakinkan pengundi khususnya pengundi Melayu menolak calaun Melayu DAP.

Dengan demikian : Wajarkah pengundi menyebelahi UMNO/BN dan mengundi calun yang di ketengahkan?

Berfikirlah secara matang berdasarkan kepercayaan dan ajaran agama (kepada orang Melayu ajaran Islam), etika dan nilai budaya bangsa dan kemanusiaan sejagat sebagi asas pertimbangan bagi memberikan undikepada calun.

Saya mengharapkan dan mendoakan calun Melayu DAP itu menang. InsyaAllah Allah menyebelahi pihak yang benar.

.




Isnin, 19 Mei 2014

Tusukan Bisa Didada: Rasanya Bukan Serangan Jantung.




Hari ini , sewaktu hendak membuka pintu utama rumah, dan sebelum melangkah keluar rumah untuk bersarapan pagi diluar, tiba-tiba dada terasa sakit. Satu tusukan yang bisa, mencucuk pada bahagian dada sebelah kiri. Dengan cepat meminta isteri mengambilalih membuka pintu, dan tangan kanan segera mengurut-urut tempat yang dirasa tersusuk itu.

Dalam hati mengatakan ianya bukan serangan jantung, mungkin tusukan angin yang ada dalam badan. Tapi hati tetap risau juga kalau-kalau itu adalah serangan jantung. Tapi saya tidak berpeluh.

Harap-harap begitulah.

Ini bukan kali pertama serangan seperti itu yang saya alami. Pernah sebelum hari ini, berkali-kali serangan tusukan didada sebelah kiri yang saya alami. Tapi serangan itu dianggap biasa saja kerana tidaklah berapa sakit. 
 
Saya menganggapkan serangan itu ialah serangan angin dalam badan kerana biasanya jika saya makan buah-buah yang berangin seperti nangka dan cempedak atau sayuran-sayuran seperti kangkong dan bayam, saya akan mengalami serangan angin didada sebelah kiri. Ianya sakit juga, tapi tidak membuatkan saya memegang bahagian dada yang diserang itu.
 
Pada kali ini, ianya amat bisa dan sakit sekali, dan kepala merasa berbayang-bayang macam hendak tumbang, anggota kaki agak lemah sedikit. Tapi saya masih boleh berjalan.

Saya pernah bertanya doktor jantung (IJN) tentang perkara tusukan ini (rasa bisa didada). Doktor mengatakan, ianya bukan serangan jantung. Rasa bisa yang saya alami itu, mungkin kesan dari pemotongan beberapa saluran darah (arteri) semasa menjalani pembedahan pintasan jantung dulu.
 
Mengingatkan kata-kata doktor itu, saya berasa lega sedikit. Tapi saya mengharapkan ianya tidak akan berlaku lagi. 

Saya percaya, serangan seperti itu adalah disebabkan saya tidak menjaga kesihatan saya dengan baik. Maksud saya , saya tidak melakukan senaman pagi . Saya juga melanggar banyak pantang dari segi makanan. Roti canai, nasi lemak dan masakan berminyak yang lain, sudah menjadi makanan harian dan bukan lagi makanan sekali-sekali saja. Telur goreng, sudah beberapa kali menjadi makanan saya yang dulunya saya tidak sentuh.
 
Sudah 3 bulan saja tidak melakukan senaman pagi. Tahap kolesterol dan gula mungkin telah naik dari had yang sepatutnya. Malangnya saya tidak ada alat untuk melakukan bacaan kolesterol dan gula itu. Temujanji ,dengan doktor pula masih jauh lagi iaitu pada bulan Oktober.

Saya hanya bergantung kepada ubatan-ubatan saja tanpa melakukan senaman pagi untuk mengharapkan kesihatan badan yang baik. Saya sedar, ini bukan satu cara yang baik. Tapi semakin usia meningkat, kekuatan hati untuk melakukan senaman semakin menurun. Banyak malas dari rajin. Macam-macam alasan disandarkan bagi menyokong sifat malas itu. Alasan paling utama ialah sakit-sakit badan, rasa penat dan letih.
 
Tapi kalau terus jadi malas, saya percaya kesihatan saya akan menurun. Kalau terus tidak berpantang makan, ia bertambah serious lagi. Serangan yang bisa ini, dan mungkin lebih teruk lagi mungkin akan berlaku. 
 
Saya tidak mahu mengalaminya lagi.
 
Esok saya mesti buat senaman pagi. Saya juga mesti berpantang makan. Mesti ada kekuatan dalam hati. Saya percaya dan mengharapkan pada bulan oktober nanti, bacaan tahap kolesterol  saya akan menyukakan hati. 
 
Dan saya menjangkakan doktor akan berkata, "Tahap kolesterol you , ok. Teruskan senaman you dan jaga diet". 
 
Sayapun mengangguk senyum, mengucapkan terima kasih dan keluar. Saya dirawat dalam tempoh yang pendek tidak sampai 10 minit. Pesakit lain dipanggil masuk.
 
Begitulah hebatnya jika kita lakukan senaman pagi dan berpantang makan.
 
Esok saya akan mulakan. 
 
 
 
 
 

 
 


Jumaat, 16 Mei 2014

Kita dan Orang Itu




Kita mendedahkan keburukan orang sebab kita hendak menegakkan kebaikan. Orang mendedahkan kejahatan kita sebab orang itu mahu menegakkan kebaikan. 

Orang yang kita dedahkan kejahatan itu pula berkata, kita buat fitnah. Dan kita kata orang itu buat fitnah kerana mengatakan kita buat jahat.

Maka kita dan orang itu akan juga berkata bahawa buat fitnah itu salah, dosa besar. Makan suap itupun salah. Mungkir janji juga salah. Salah guna kuasa itu pun salah. Ertinya segala kejahatan yang dilarang oleh Allah itu adalah salah. 

Orang itu dan kita mempunyai pendapat yang sama. Sama-sama bersetuju dan membenci segala perbuatan yang jahat, perbuatan yang dikutuk dan dihukum oleh agama kita sebagai perbuatan yang salah.

Kita dan orang itu juga sentiasa mewar-warkan ciri-ciri kebaikan misalnya berbaik sangka, bersedekah, tolong menolong terutama kepada orang susah dan memerlukan dan berbagai lagi. Dan kita dan orang itu bukanlah juga orang yang melakukan kebaikan seperti yang kita war-warkan. Sudah tentu, kita dan orang itu tidak melakukan semua kejahatan. 

Yang pasti kita dan orang itu sentiasa mahu diketahui sebagai orang  yang berada dipihak yang benar walaupun kita dan orang itu sendiri gagal dalam ujian yang diadili oleh hati kecil masing-masing  (conscience) .

Jika sikap dan sifat itu kita dan orang itu teruskan sepanjang hayat, sehingga ke usia tua, maka pada tempoh-tempoh menghampiri hujung-hujung kehidupan, kita sendiri dan orang itu sendiri akan menceritakan siapa diri masing-masing yang sebenarnya. Cuma cara penceritaan kita dan orang itu ada berbagai termasuk secara sedar, tersasul mahupun nyanyuk. Itupun jika kita dan orang itu sempat bercerita mendahului ajal yang tetap akan tiba.

Begitulah kesah kita dan orang itu yang mendiami bumi yang sementara ini. Wallahu alam, Allah saja yang maha mengetahui.






Khamis, 15 Mei 2014

Prolotherapy




Hari ini adalah kali ketiga sepanjang tempoh 3 tahun saya mengunjungi klinik yang menjalankan rawatan secara prolotherapy (rawatan melalui suntikan).

Rawatan pertama pada tahun  2011. Ketika itu saya mengidapi sakit ditapak kaki dan tumit ketika hendak memijak untuk berjalan. Saya mengambil dua suntikan dibahagian (spot) yang saya rasa sakit dimana doktor telah menandakan dengan membuat titik menggunakan pena bulat. Suntikan itu tidaklah sakit sangat, tapi saya merasa gerun kerana sememangnya saya takut jarum suntikan.

Beberapa ketika, saya rasa lebih dari beberapa bulan , sakit ditumit dan tapak kaki saya itu masih lagi berterusan. Dan saya mula meragui akan keberkesanan  cara rawatan prolotherapy ini. Namun tanpa saya sedari, entah bila masanya, sakit ditumit dan tapak kaki saya mula tidak terasa. 

Alhamdulillah.

Lawatan saya kedua ialah bagi sakit yang sama ditapak kaki juga tapi dibahagian yang lain. Oleh kerana rawatan pertama menunjukkan kesan yang baik maka saya mengambil satu suntikan. Sama seperti suntikan pada rawatan yang pertama, ianya tidak pulih dengan serta merta atau dalam tempoh yang cepat. Oleh kerana pengalaman suntikan dalam rawatan pertama memberi kesan yang baik jadi saya tidak ambil kisah tentang untuk mendapatkan kesan yang baik dengan segera. Akhirnya tanpa disedari sakit tersebut sudah sembuh.

 Hari ini saya menemani isteri. Jari-jari tangan kanan isteri tidak dapat menggenggam secara rapat, disamping ada bahagian (spot) di beberapa jarinya sakit. Terdapat 3 spot yang telah dikenalpasti. Maka tiga spot itu telah diberi suntikan.

Kos satu suntikan RM100.00. Kos ini telah naik berbanding suntikan terdahulu sebanyak RM 50.00 satu suntikan. 



   


Rabu, 14 Mei 2014

Krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu: Semalam Acah-acah Saja , Hari Ini Telah Selesai




Semalam saya ada bicara tentang krisis DUN Terengganu. Antara lain saya telah menyentuh tentang cara penyelesaian krisis tersebut yang akan digunakan oleh UMNO/BN dan PAS. Bagi saya,  PAS mempunyai peluang untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negeri dengan syarat bersetuju untuk bekerjasama dengan PKR dan 3 ADUN UMNO yang mengistiharkan menjadi anggota bebas. Sudah tentu ada tawar menawar dalam hal untuk bekerjasama ini.

Tapi PAS Terengganu mahu main 'politik gentleman' yang mahu memberi masa kepada menteri besar yang baru dilantik (UMNO) untuk mendapat majoriti yang diperlukan bagi sesebuah kerajaan. Lalu dengan itu saya percaya PAS tidak berminat untuk berbincang dengan anggota bebas itu bagi tujuan mengambilalaih kuasa pemerintahan. Begitulahlah 'gentleman'nya PAS dalam politik.

Saya juga menyatakan bahawa UMNO mempunyai satu formula yang digunakan secara konsisten dalam menangani krisis, termasuk krisis seperti di Terengganu ini. Formula itu ialah 'gunakan apa saja cara, yang penting UMNO (kepimpinan UMNO) mendapat faedah'. Atau by hook or by crook . get it done.

Pilihan yang ada pada UMNO ialah membubarkan DUN. Tetapi pilihan ini ada risiko kalah dalam pilihanraya.Ini adalah pilihan 'last resort'.  

Jadi sebelum menggunakan pilihan untuk membubarkan DUN, UMNO menggunakan formula apa saja cara untuk mengatasi krisis seperti ini. Dan UMNO boleh melakukannya kerana UMNO ada banyak wang, banyak projek dan terlalu serasi dengan dakwa-mendakwa.

Dan kaedah atau cara itu didahului dengan perbincangan/perjumpaan dengan pihak-pihak yang terlalu garang dan berang lalu keluar dari parti menjadi ahli bebas.

Hari ini kita dengar berita, yang garang dan berang keluar parti itu untuk jadi bebas, sudah sejuk beku tidak bebas lagi, menyatakan kesal dihati kerana tindakan terburu-buru keluar parti. Masuk balik UMNO  atau tarik balik keluar dari UMNO ada pilihan yang terbaik bagi mereka.

Jadi semalam mereka garang dan berang. Hari ini, hati mereka sudah sejuk dan tenang. Maka selesailah masalah. Agaknya semalam mereka main acah-acah saja....tapi acah-acah mereka rasanya berbaloi.

Kempunanlah PAS/PR untuk berkuasa di Terengganu kerana PAS mengamalkan politik 'gentleman'.

Dalam politik pun ada cara 'gentleman'. Baguslah begitu.
 

Selasa, 13 Mei 2014

Kehilangan Majoriti Dewan Undangan Negeri Perak vs Terengganu -Apakah Cara Penyelesaiaannya.




Kata orang sejarah sentiasa berulang. Benar atau tidak benar, bergantung kepada pengertian dan tafsiran seseorang tentang apa yang dimaksudkan berulang. Adakah cerita atau peristiwa sama berulang bagi dua tempoh yang berlainan dianggap sebagai sejarah sentiasa berulang?

Yang pasti pada ketika ini ialah Dewan Undangan Negeri Terengganu yang dikuasai oleh UMNO/BN telah berubah dari segi bilangan keanggotaannya apabila seorang dari ahlinya iaitu menteri besar, telah bertindak keluar dari UMNO, dan mengistiharkan sebagai anggota bebas.. 

Dan yang pasti juga bahawa selepas PRU 12 dulu , DUN Perak yang dikuasai PR telah kehilangan majoriti apabila 3 dari ahli PR telah mengistiharkan diri sebagai anggota bebas.

Adakah ini boleh dikatakan sejarah berulang kembali?

Berbalik kepada DUN Terengganu ketika ini. 

Dengan berlakunya perletakan jawatan menteri besar dan mengistihar keluar dari  UMNO dan menjadi angggota Bebas, kedudukan  ahli DUN Terengganu telah berubah menjadi 16 UMNO, 14 PAS dan 1 PKR.

Bertambah parah lagi kepada UMNO apabila dua orang lagi ahlinya keluar dan mengistiharkan anggota Bebas ,yang menyebabkan kedudukannya berubah menjadi 14, PAS 14, PKR 1 dan 3 Bebas.

Kedudukan seperti diatas tidak memberikan kelayakan kepada UMNO  menerajui kerajaan negeri Terengganu. Begitu juga PAS yang mempunyai bilangan anggota yang sama.

Tapi PAS adalah dalam Pakatan Rakyat (PR). Jika PAS mengambil sikap dan kedudukan sebagai PR  maka PR layak membentuk kerajaan negeri. Tetapi kedudukan kerajaan negeri tidaklah kukuh melainkan dibuat atau diadakan persetujuan untuk bekerjasama dengan 3 anggota Bebas. Sudah tentu persetujuan untuk bekerjasama ini atas pertimbangan balasan timbalbalik.

Andainya berlaku kerjasama itu maka kerajaan negeri yang baru jika ditubuhkan, adalah lebih kukuh lagi. Sudah tentu PAS yang mempunyai majoriti yang besar akan memimpin kerajaan baru itu dimana Menteri Besar adalah dari anggota dewan undangan negeri dari parti PAS.

Jika tidak ada kesepakatan diantara PAS, PKR dan ahli Bebas, adalah lebih baik mandat dari rakyat sekali lagi di perolehi melalui satu pilihanraya. Tapi cara ini melibatkan kos yang tinggi.  Kesannya ialah sumber yang sepatutnyaq boleh dimenfaat untuk negara dan rakyat terpaksa disalurkan kepada satu pilihanraya bagi menentukan pihak mana yang layak untuk menjadi kerajaan negeri Terengganu.

Jadi bagi PAS pilihan yang terbaik ialah untuk bertindak sebagai PR dan bekerjasama dengan anggota Bebas. Tidak perlu dibubarkan dewan sebaliknya mengambilalih pemerintahan dari UMNO/BN. Dengan cara ini dapat menyelamatkan wang dan aset negara. Lagipun, jika diadakan pilihanraya, risiko kalah tetap ada, yang akhirnya tidak layak untuk menguasai DUN dan seterusnya menubuhkan kerajaan.

Bagaimana dengan UMNO/BN? Apakah pilihan parti itu?

Sudah tentu UMNO akan mengambil pilihan yang menyebelah ke pihaknya dengan apa cara sekali pun.

Ingat cerita DUN Perak pada pilihanraya 12 dulu?

Keadaan yang berlaku adalah sama dari segi kedudukan bilangan ahli DUN. Yang berbeza ialah kerajaan negeri yang berkuasa ketika itu ialah kerajaan PR. Apabila ahli DUN PR (2 PKR dan 1 DAP) meninggalkan PR, dan mengistiharkan sebagai ahli Bebas, majoriti kerajaan PR telah berkurangan. 

Dalam keadaan ini pilihan yang ada kepada Menteri Besar (PR) ialah  mengadap sultan untuk membubarkan DUN untuk membolehkan satu pilihanraya bagi mendapat mandat baru rakyat. Tapi malangnya, UMNO/BN telah mendapat persetujuan sultan untuk mengambilalih kerajaan atas dasar menguasai secara majoriti dalam DUN dan mendapat sokongan dari 3 ahli Bebas. Maka UMNO/BN mengambilalih kerajaan.

Persoalan sekarang adakah UMNO/BN akan bertindak secara konsisten bersetuju tampok peralihan diambil oleh PR kerana PR telah menguasai secara majoriti DUN Terengganu?

Apakah pilihan UMNO/BN?

UMNO/BN memang terkenal dengan cara bertindak seperti berikut: 

"Lakukan dengan apa cara sekalipun kerana yang penting ianya menyebelahi dan menguntungkan UMNO: 'by hook or by crook, do it".

Jika cara itu menjadi pilihan UMNO  maka cara penyelesaian seperti DUN Perak tidak akan dilakukan di Terengganu. Ertinya tidak akan berlaku peralihan kuasa kepada PAS/PR sebaliknya DUN Terengganu akan dibubarkan bagi membolehkan satu pilihanraya baru. UMNO/BN akan mengadap sultan bagi mendapat persetujuan membubarkan DUN. Berdasarkan rekod-rekod yang lepas, permohonan UMNO ini belum pernah gagal.

Begitu pun, bukan itu saja pilihan yang ada dalam bentuk dan formula bertindak UMNO, 'apa saja cara asalkan UMNO mendapat faedah'. UMNO/BN boleh melakukan berbagai cara dalam rangka apa saja cara.

UMNO/BN ada berbagai kekuatan. Satu darinya ialah wang. Satu lagi ialah projek. Satu lagi dakwaan. Dan banyak lagi.

Ertinya anggota DUN Terengganu yang ada mesti ada kekuatan dan daya tahan.

Ertinya juga cara penyelesaian apa yang telah berlaku di DUN Perak dulu tidak semestinya sama dengan penyelesaian yang akan dilakukan keatas DUN di Terengganu. Yang menentukan cara penyelesaian lebih memihak kepada UMNO/BN walaupun hal yang berlaku adalah serupa saja bagi kedua-dua DUN Perak dan Terengganu iaitu kehilangan majoriti..