Theflowersellingboy

Isnin, 30 September 2013

HARGA MAHAL: Apakah Yang Boleh Kita Lakukan Untuk Membantu Orang Yang Berpendapatan Rendah? Apakah Pula Yang Perlu Dilakukan Oleh Kerajaan.

 
 
Sesekali teringin makan di luar. Masuk di medan selera (food court) di sebuah kompleks perniagaan. Tengok-tengok gambar makanan yang dipamirkan. Semuanya tidak jadi masalah, boleh dimakan. Bersama gambar makanan itu tertulis tanda harga. Ini ada masalah. Mahal.
 
Buat juga pesanan. Pesan makanan yang paling murah diantara yang mahal. Pesan nasi goreng belacan yang bertanda harga RM5.00. Isteri  pula memilih wantan hor, harganya RM6.50. Untuk minuman kami pesan epal jus , RM3.00 segelas plastik. Jumlah harga yang kena bayar untuk makan luar itu ialah RM17.50 atau RM8.75 seorang.
 
Semasa buat pesanan , saya sempat bertanya kepada pekerja gerai makanan itu. Kenapa mahal sangat? Sebab harga minyak yang naik 20 sen ke?  Pekerja itu memberitahu harga adalah sama, tidak naik.
 
Mungkin saya jarang makan di luar. Atau sebelum dari ini saya tidak ambil berat langsung tentang harga. Hanya beberapa minggu yang lepas, saya ambil kira fasal harga dan fasal keluar wang belanja. Ianya bermula sewaktu mengisi minyak kereta. Bayar RM 60.00, tapi jarum penanda isian minyak, hanya duduk di tengah saja. Dulu lebih menyendeng sebelah kanan, melebihi kawasan tengah.    

Maknanya wang 60 ringgit yang saya ada sekarang ini telah tidak mampu lagi untuk membuatkan jarum itu duduk ditempatnya dulu kerana isipadu minyak dalam tangki telah berkurangan. Sekaligus ianya memendekkan jarak jauh yang saya boleh pandu.

Minyak mahal, nasi goreng belacan pun mahal.

Mungkin ada orang mengatakan harga itu berpatutan. Ianya tidak mahal kerana orang itu mampu membayarnya. Tapi jangan salah sangka atau salah teka tentang kemampuan saya. Sebenarnya saya mampu dengan harga yang dikenakan walaupun saya kata harga itu mahal.

Tapi kalau dah mampu fasal apa nak buat bising? Betul juga pertanyaan itu jika ada orang yang bertanya seperti itu, dan jika hanya saya saja yang ada didunia ini.

Saya cakap bukan fasal saya mampu atau tidak. Saya cakap harga makanan yang mahal. Makanan yang dimakan oleh semua orang. Buruh kasar pun nak makan, pemungut sampah dan penjaga serta pembersih tandas pun nak makan, pemandu pun nak makan. Begitu juga menteri dan perdana menteri pun nak makan.

Saya boleh bayar kerana pendapatan saya masih lagi boleh menyerap kenaikan harga setakat ini. Tidak ada masalah, dan saya sewajarnya tidak perlu susah hati dan keluh kesah.

Tapi saya terlalu susah hati, keluh kesah apabila mengenangkan adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan yang lain yang saya kenal dan tidak kenal, yang jauh dan dekat , yang dalam golongan berpendapatan rendah seperti pembersih  tandas itu untuk dapat menikmati makanan seperti apa yang saya dan isteri saya pesan yang bernilai RM17.50. 

Saya percaya banyak dari kita akan tidak tergamak untuk menelan makanan itu jika kita kenangkan nasib orang-orang itu. Apatah lagi orang itu adalah adik, abang atau kakak kita. Jika mereka sudah berumahtangga, ada anak, banyak pula, dan tinggal di KL atau Putra Jaya. Bayangkan apakah yang dapat mereka makan. Berapa kali mereka akan dapat makan. Berhutang dengan Along?

Katakan gaji mereka sebulan RM 800.00. Anak 5 orang dan seorang isteri yang tidak bekerja. Kalau dikira secara harian, gaji orang itu ialah sebanyak RM26.66 sen saja. Bandingkan pula harga makanan yang saya pesan suami isteri RM17.50 sekali makan. 

Kita buat kiraan mudah.  

Dapat sehari                               RM26.66
Sekali makan bagi dau orang     RM17.50
Baki sehari                                 RM   9.16

Orang itu juga nak bayar tambang ke tempat kerja. Bayar tambang bas pergi balik. Bayar minum pagi. Bayar tambang anak sekolah. Bayar makanan anak diekolah. Dan macam-macam lagi. Cukup dengan baki 9 ringgit lebih tu?

Sudah tentu tidak cukup.

Jadi kita tahu keadaan seperti ini. Saya pun tahu. Dihadapan saya dan isteri terhidang makanan yang tidak akan mampu pemandu atau pembersih tandas itu membelinya. Katakan yang tidak mampu itu adik anda. Bagaimana?

Saya, ada adik beradik seperti itu. Saya juga ada kawan seperti itu. Dan saya juga ada maklumat orang-orang yang berkeadaan begitu, jauh dan dekat. Maka tergamakkah  saya untuk makan makanan itu?

Terus terang saya katakan saya tidak tergamak untuk makan.

Tapi , saya tidak mampu menahan lapar. Saya dan isteri tetap makan makanan itu. Sama seperti menteri atau perdana menteri.

Begitulah sedihnya dihati. Saya tidak mampu membantu orang-orang yang susah itu. Setakat sesekali beri pertolongan sedikit wang dan pakaian , boleh lah . Tapi bukan setiap hari dan setiap masa. Tidak juga dalam bilangan yang banyak. Tidak juga diluar dari adik beradik saya. 

Maka untuk mereka dapat menikmati kehidupan seperti saya, ianya tidak mungkin, jauh sekali. Apatah lagi kehidupan sebagai perdana menteri.

Namun saya percaya kita boleh juga membantu , jika kita mahu. Amalkanlah gaya hidup berhemah tanpa membazir. Kita berbelanja hanya atas dasar perlu, bukan kerana kita mampu.  

Dengan cara berhemah tanpa membazir, bekalan barang-barang dan perkhidmatan tidaklah terlonggok pada kita yang mampu saja. Apabila keadaan seperti itu, iaitu apabila barang-barang dan perkhidmatan itu mudah diperolehi  di pasaran maka harganya tidak akan mudah naik. Hanya apabila berkurangan dan ramai pula yang mahu memperolehinya maka harga barang dan perkhidmatan akan naik. Dan apabila harga naik, hanya orang yang mampu saja boleh memilikinya, khususnya yang berpendapatan tinggi.

Ertinya orang yang suka berbelanja secara tidak berhemah adalah orang yang mengamalkan pembaziran. Orang ini adalah orang yang tamak. Orang ini juga yang membuatkan barang-barang dan perkhidmatan menjadi kurang di pasaran. Orang inilah yang menyebakan harga naik.

Ingat, bahawa pembaziran itu kawan syaitan.

Maka cuba kita jawab soalan-soalan ini.

i) Mengapa kita perlu jadi tamak. 
ii) Mengapa suka membazir sedangkan ada orang lain yang juga memerlukannya. 
iii) Mengapa perlu berkawan dengan syaitan.
iv) Mengapa kita mahu menyusahkan orang lain.

Saya percaya kita tidak suka semua sifat-sifat buruk itu. Sewajarnya itulah  jawapan kita bagi soalan-soalan diatas, jika kita mahu membantu orang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya kita mesti ubah cara menguruskan kewangan kita. Walaupun kita mempunyai sumber kewangan yang berlebihan, atau sumber kewangan kita kukuh, kita mesti juga mengamalkan perbelanjaan yang berhemah tanpa membazir. Kalau semua kita berbuat begitu maka barang-barang dan perkhidmatan akan mencukupi untuk ramai orang pada harga yang berpatutan dan mampu belanja.

Begitu juga diperingkat pengurusan wang negara. Jika kerajaan mengamalkan belanja berhemah tanpa membazir, harga barang tidak mudah naik.

Ahad, 29 September 2013

Kerana Wang Adalah Segala-galanya.

 
 
 
Wang adalah segala-galanya. 
 
Tapi bagi setengah orang kenyataan diatas adalah tidak betul dan menyesatkan. Saya bersetuju. Tapi realitinya, apa yang berlaku, tidak mudah untuk kita menidakkan kepercayaan bahawa wang adalah segala-galanya.
 
Wang adalah segala-galanya. Kerana wang kita melakukan sesuatu. Kerana wang kita berkedudukan tertentu dalam masyarakat. Kerana wang kita disukai dan dibenci. Kerana wang kita jadi baik dan jahat. Kerana wang kita dihormati dan dihina. Kerana wang kita dapat buat pahala dan melakukan dosa. Kerana wang kita boleh berada disana dan disini. Kerana wang kita boleh jadi kaya dan miskin papakedana. Kerana wang kita boleh jadi pemimpin , presiden , raja dan perdana menteri. Kerana wang kita boleh jadi pembunuh. Kerana wang kita dapat pergi haji. Kerana wang semua boleh jadi dan terjadi.
 
Banyak lagi. Ertinya wang adalah segala-galanya.
 
Saya tidak pula dapat memberi contoh mengatakan bahawa wang bukan segala-galanya walaupun saya percaya hal sedemikian.

Macam mana dengan persahabatan? Adakah wang tidak memainkan peranan dalam menjalainkan persahabatan? Bagi saya wang adalah perlu dalam sebuah persahabatan. Kalau kita ada wang dan sahabat kita perlukan bantuan, sudah tentu kita mampu menolong. Kita telah merengankan tekanan hidup kawan itu. Sebaliknya, jika kita tiada wang, sahabat kita itu akan terus menerima tekanan dalam kehidupannya. Dia terpaksa cari dari sumber lain. Dan ada kemungkinan, jika dia tidak sabar dan mudah kecewa, dia akan mendapatkan wang secara yang tidak betul iaitu merompak, mencuri dan meragut. Kerana wanglah dia melakukannya.

Macam mana dengan kasih sayang? Kasih sayang diantara anak dan emak atau sebaliknya. Bukankah kasih sayang itu adalah kerana wang?

Saya percaya ada yang dengan cepat menjawab , tidak. Kasih sayang tidak boleh dijual beli, hujah mereka. Kasih sayang itu satu fitrah. Wang boleh diketepikan.

Benarkah wang boleh diketepikan apabila melibatkan kasih sayang?

Saya seorang bapa dan ada 6 orang anak. Harapan saya dan apa yang saya mahu ialah agar anak-anak saya berjaya dalam kehidupannya. Dapat pelajaran yang baik dan tinggi. Dapat kerjaya yang memberi pendapatan yang tinggi. Dapat membina keluarga yang bahagia. Dan mendoakan saya, sama ada semasa hidup atau sesudah mati agar dirahmati Allah dan diampunkan dosa.

Untuk melakukannya saya mesti bekerja kuat dan mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai keperluannya seperti makanan, tempat tinggal pakaian dan persekolahan termasuk memasukkannya dalam kelas tambahan.

Saya buat begitu kerana atas dasar kasih sayang. Dan saya mampu melakukan itu kerana saya ada pendapatan yang mencukupi. Apabila harapan saya itu menjadi kenyataanm saya percaya saya akan menerima kasih sayang dari anak saya dalam bentuk doa tadi. Puncanya ialah  dari kemampuan saya memberi kehidupan yang baik kepada anak saya. Bukahkah wang yang membolehkan saya menzahir dan mengeratkan kekuatan kasih sayang diantara anak dan bapa.

Mungkin ada orang berhujah mengatakan anak-anak akan sentiasa mendoakan  kesejahteraan keatas bapanya walaupun kehidupannya miskin atau susah. Kata-kata ini adalah betul.

Tapi, peluang untuk anak itu melakukan sesuatu yang baik untuk bapanya hanya boleh berlaku, dan dilakukan dengan betul,  jika anaknya itu mempunyai ilmu, termasuk agama dan moral. Tanpa ilmu, kesedaran untuk melakukan yang baik, mungkin ada, tapi tidak dapat dilakukan dengan betul, baik dan sempurna.

Untuk mendapat ilmu, wang juga yang kita perlukan.

Seterusnya ada yang berhujah mengatakan bahawa tidak semestinya anak yang berpendidikan tinggi dan berkehidupan baik akan melakukan yang terbaik untuk bapanya. Malah ada yang lupa daratan dan sombong terhadap bapanya. Ada kebenaran hujah ini.

Tapi saya katakan keadaan seperti itu berlaku kerana orang itu walaupun ada ilmu tapi tidak mengamalkan ilmunya. Bila ada ilmu tiada amalan ertinya tidak ada ilmulah. Sama juga dengan jika ada wang tapi tidak digunakan. Orang itu tiada wanglah. Ertinya wang baginya tidak ada makna.  Sedangkan kita bercakap wang adalah segala-galanya.

Apa lagi hujah untuk mengatakan wang bukan segala-galanya.

Mereka yang menjalinkan percintaan kerap menyatakan bahawa mereka tidak memandang wang ringgit termasuklah kedua-dua ibubapa. Bila bertunang maka bercakaplah fasal berapa nilai hantaran, berapa barang yang mengiringi wang hantaran, majlis nikah kawin buat dirumah atau dihotel dan banyak lagi yang ditanya, difikir dan dirisaukan. Bukankah semua itu berkaitan dengan wang.

Untuk membolehkan kita melakukan amal ibadat misalnya bersolat, bayar zakat dan pergi haji, kita perlukan wang. Untuk bersolat kita mesti ada pakaian yang bersih, menutup aurat dan tempat yang bersih. Semuanya perlukan wang.

Saya rasa iman dan kepercayaan kita tidak memerlukan wang. Apabila kita telah percaya dan beriman wang bukanlah segala-galanya. Maksudnya jika ada pihak yang mahu mengajak kita keluar dari iman itu dengan melakukan bayaran besar atau kecil , wang itu tidak bermakna pada kita. Ertinya wang bukan segala-galanya.

Tapi mesti ingat untuk beriman dan mengukuhkan keimanan kita , wang juga yang kita perlukan. Kita perlu menuntut ilmu, dapatkan ilmu dan amalkan ilmu. Semuanya mesti ada wang. Hanya apabila iman kita sudah kuat dan kukuh, wang tidak lagi menjadi segala-galanya.

Adakah kita boleh mencapai ketahap itu dimana kita akan berkata wang bukan segala-galanya? Saya tidak berani mengatakan bahawa saya mampu berkata sedemikian walaupun saya percaya wang bukan segala-galanya.

Cuba kita buat ujian diri. Saya uji diri saya bagi mengatakan wang bukan segala-galanya kerana itu yang saya percaya dan itu yang ramai orang kata, walaupun ada setengahnya tidak percaya.

Katakanlah saya jadi PM. Maksud saya apa saja jawatan dan kedudukan yang ada kuasa. Saya juga beriman dan tahu yang salah dan yang benar. 

Saya ditawarkan dengan hadiah bernilai 100,000 ringgit bagi membolehkan orang yang tidak layak mendapat kontrak kerja. 

Reaksi saya ialah dengan segera menolak tawaran itu kerana salah dan berdosa. Ertinya wang bukanlah segala-galanya. Dosa pahala menjadi pertimbangan saya.

Kalau ditawar 1 juta ringgit . Saya tolak juga. 100 juta, saya tolak juga sebab saya beriman.

Ditawar pula 1 trillion ringgit (1% saja) kerana saya bersetuju dengan projek 100 trillion? Ketika ini saya ingat, pertimbangan saya  ada masalah. Wang sudah bermakna kepada saya walaupun saya sudah ada wang. Wang sudah mengancam pertimbangan saya walaupun saya orang yang ada iman.

Anda bagaimana? Saya ucapkan tahniah dan syabas jika anda tidak semacam saya yang telah mula memberi makna bahawa wang adalah segala-galanya, mengatasi iman saya, bercanggah dengan apa yang saya pegang dan percaya.

Tidak beri menyesal, beripun lagi menyesal. Lebih baik tidak beri.

 
 
 
Kurang lebih pukul 11.15 pagi hari ini, Ahad 29 September 2013, saya dalam bilik air. Pintu bilik air diketuk dan dibuka oleh isteri. Wajahnya agak sedikit pucat, suaranya perlahan sedikit terketar-tekar memberitahu, 
 
"Bang ada seorang perempuan,  ibu tunggal dengan seorang anak minta duit 30 ringgit. Dia nak pindah rumah di Padang Jambu yang diberi oleh MAIM (Majlis Agama Islam Melaka). Tapi tak cukup wang nak bayar sewa lori. Dia ada di luar dekat pintu pagar".
 
Tidak jadi saya nak melepaskan hajat semula jadi. Terbantut apabila mendengar cerita isteri itu. Saya beritahu isteri agar jangan layan. Ini satu penipuan.  Sebab:
 
i) Kalau MAIM boleh sediakan rumah, takkan mungkin MAIM  tidak mampu membayar sewa lori untuk berpindah.

ii) Jika dia kekurangan 30 ringgit sudah tentu tempat pertama dia mengadu untuk mendapat bantuan ialah MAIM yang telah sanggup memberikan rumah kepadanya atau pun pada saudara mara atau orang sekampongnya. (isteri saya tidak pula bertanya berpindah dari mana ke Padang Jambu).

iii) Padang Jambu adalah jauh dari tempat tinggal kami, jika berjalan kaki. Tidak mungkin dia berjalan kaki bersama anaknya ke rumah kami. Ada kemungkinan di  hantar oleh seseorang. Tidak mungkin juga dia menaikki teksi kerana tambang teksi adalah tidak kurang 10 ringgit , mungkin lebih. Mungkin juga dia naik bas yang tambangnya murah. 

Tapi kenapa ke rumah kami. Rumah kami tidak akan kelihatan dari tepi jalan. Kenapa perlu menaikki bukit yang memenatkan sedangkan dia boleh saja pergi ke rumah di taman perumahan itu tempat dia berhenti bas.  Adakah beliau juga telah mencuba meminta bantuan dari orang di taman itu? Tak berjaya lalu ke rumah saya. Atau berjaya, tapi minta lagi? Allah saja yang tahu.


iv) Setahu saya MAIM tidak ada projek perumahan untuk ibu tunggal. Namun saya kena semak dengan MAIM.

v) Finomina meminta bantuan ini bukan kali pertama yang telah saya hadapi. Pada tahun 1997 saya telah didatangi di rumah oleh seorang lelaki berusia dalam 30an meminta bantuan tambang bas untuk balik ke Alor Star Kedah. Saya tidak percaya. Tambah-tambah lagi dia seperti memaksa saya untuk memberikan wang. Lalu saya berikan wang, tidak banyak hanya 10 ringgit saja dengan tujuan saya mahu dia segera pergi dari rumah saya.

Disebelah petang, saya terserempak dengan orang itu yang sedang menunggang motorsikal. Saya tidak marah kerana dari awalnya saya sudah tahu dia ini penipu. Tapi saya telah menggalakkan  perlakuan menipu seperti ini berterusan.

Dengan itu saya tidak mahu mengulangi kesilapan seperti itu. Saya beritahu isteri jangan layan. Maka lamalah perempuan yang mengaku ibu tunggal bersama dengan anaknya itu berdiri ditepi pagar rumah saya. Kesian? Entahlah. 

Kalau benar dia perlu bantuan, menyesal juga kerana saya tidak bantu. Rasanya 30 ringgit, terdaya juga untuk membantu. Tapi kalau saya membantu sipenipu, saya lagi menyesal kerana saya menggalakkan perlakuan menipu. Jadi saya memilih untuk tidak melayan permintaan orang itu.

Satu hal yang nyata ialah bahawa perbuatan seperti ini nampaknya berterusan, dan  bertambah. Adakah disebabkan tekanan hidup, sara hidup yang meningkat? 

Orang ini meminta bantuan dengan cara baik. Saya pula ada sejarah tentang kena tipu atas nama perlukan bantuan. Saya yakin orang ini juga melakukan tektik yang sama, menipu.
 
Tapi adakah tindakan saya tidak membantu orang tadi akan melahirkan perbuatan mencuri, meragut dan merompak? Harap-harap tidaklah begitu.

Serba salah. Tapi saya cukup yakin bahawa orang itu tidak bercakap benar.

Keluar saja dari bilik air, isteri memberitahu orang itu bersama dengan anaknya telah pergi. Pergi dengan tangan kosong?

Saya bertanya, "Muda ke tua?"

"Agak-agaknya dalam usia 40 tahun", jawab isteri, membandingkan dirinya dengan perempuan tadi. Isteri lebih tua dari orang itu, menurut raut wajah.

 

 

Sabtu, 28 September 2013

Orang Bodoh dan Pindaan undang-undang; Orang bodoh dan pelan pendidikan negara




Menurut sebuah berita, melaporkan Tun Dr Mahathir antara lain memberi komen bahawa i) Pindaan keatas Akta  Pencegahan Jenayah, seperti yang sedang dibincangkan dalam sessi parlimen sekarang bagi membolehkan tahanan tanpa bicara adalah perlu kerana rakyat Malaysia masih lagi tidak berpendidikan dan membangun. Beliau berharap pihak berkuasa tidak menyalahgunakan undang-undang itu untuk kepentingan diri.

Perkara ii) ialah berkaitan dengan perbelanjanjaan dan penggunaan khidmat perunding luar dalam menyediakan Pelan Pendidikan Malaysia (Malaysia Education Blueprint). Katanya beliau sendiri boleh melakukannya tapi tidak diberikan tugas untuk membolehkannya mendapat RM 20 juta (hanya 20 juta- TPM) seperti yang dibayar kepada perunding luar itu.

Kelihatan, PM yang telah diberi amanah mengurus dan mentadbir Malaysia lebih dari 22 tahun itu yang bersamaan 39 % dari keseluruhan usia kemerdekaan ( 56 tahun ), mempunyai istilah dan tafsiran sendiri bagi sesuatu hal dan keadaan yang sama iaitu berbeza dari orang lain atau pimpinan lain, jika ianya bukan yang beliau kehendaki atau tidak memihak kepadanya. Ertinya beliau tidak memakai kamus universal dan satandard yang diterima pakai oleh majoriti manusia.

Pindaan undang-undang bertujuan bagi membolehkan pihak berkuasa menahan tanpa bicara adalah perlu, katanya. Maknanya kepada Dr. Mahathir ianya satu langkah yang bijak walaupun yang membentangkan rang undang-undang itu terdiri dari pimpinan kerajaan dan ahli parti yang dikatakan bodoh itu.

Orang bodoh boleh jadi bijak, jika Dr. mahathir mahu katakan begitu.

Cuba kita semak siapakah orang, pimpinan dan ahli parti yang dikatakan Dr. Mahathir itu sebagai bodoh. Sudah jelas bahawa orang itu, pimpinan itu dan ahli parti itu adalah dalam kumpulan yang sama dengan Dr. Mahathir juga. Orang itu  dan sebahagian besar pemimpin kerajaan yang ada, adalah orang atau pemimpin yang menjadi ahli jemaah menteri yang dilantik oleh Mahathir ketika beliau menjadi PM dulu.

Soalannya adakah semasa dulu orang-orang itu semuanya bijak pandai? Kalau ikut logik pemikiran Mahathir, orang-orang itu adalah yang bijak dan yang pandai. Sebab, mustahil, PM yang terlalu berkuasa pada masa itu memilih ahli jemaah menterinya dari orang-orang bodoh. Hanya 'mutu mengenal manikam', kata orang tua-tua. Hanya orang yang pandai saja kenal dan bijak menilai yang mana pandai dan yang mana tidak pandai; yang mana ada nilai tinggi dan yang mana tiada nilai.

Jika logik ini dipakai maka Dr. Mahathir yang pandai itu telah memilih orang yang pandai juga. 

Tiba-tiba sekarang ini, beliau kata orang itu, pemimpin-pemimpin itu dan ahli parti itu terdiri dari orang bodoh. Alasan nyata yang diberikan ialah kerana orang muda  dan berkelayakan tidak diberi peluang atau disekat untuk mengambilalih barisan kepimpinan. Ertinya orang tua menghalang orang muda.

Kalau itulah alasannya maka bererti pada pandangan Dr. Mahathir, 'bodoh'nya orang itu adalah disebabkan orang itu telah tua. Bodohnya orang itu adalah kerana orang itu menyekat atau tidak memberi peluang kepada orang muda.

Memanglah benar bahawa sebahagian besar orang yang dilantik Mahathir menjadi menteri atau yang dipilih dalam barisan kepimpinan parti dulu, sekarang ini telah bertambah usia. Pada tafsiran beliau sudah tua. 

Tapi bukankah semakin berusia, semakin tua, seseorang itu semakin matang dan semakin banyak mengumpul pengalaman khususnya pengalaman dalam pentadbiran negara. Mereka itu adalah aset yang berguna kepada negara. Mereka itu berguna kepada negara.

Apabila mereka itu menjadi aset kepada negara, berguna kepada negara maka mereka itu tidaklah boleh dikatakan bodoh. Tidak mungkin orang bodoh boleh mencapai ketahap menjadi aset yang berguna kepada negara. Ertinya mereka itu pandai. Bermakna kata-kata Dr. mahathir itu salah.

Tapi jika beliau masih juga mempertahankan pandangannya itu iaitu orang itu bodoh, maka kita boleh juga tanya adakah pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah itu tidak cacat kerana yang membentangkannya adalah dari orang dan kepimpinan parti yang bodoh. Tidak mungkin orang bodoh boleh membentangkan satu pindaan undang-undang.

Dan kita tanya lagi kenapa pula beliau menyokong pindaan yang dicadangkan oleh orang dan kepimpinan yang bodoh sedangkan beliau seorang yang pandai.

Adakah kerana pindaan yang membolehkan tahan tanpa bicara itu sesuai dengan selera beliau, maka sebab itu beliau menyokong tanpa mengambilkira tahap kemampuan berfikir sipembentang dan kepimpinan yang ada yang dikatakan sebagai bodoh.

Beliau juga mengingatkan agar pihak berkuasa jangan pula menyalahgunakan kuasa jika pindaan ini diluluskan nanti. Menyalahgunakan kuasa? Macam mana ops lalang?

Perkara kedua ialah tentang pelan pendidikan malaysia dan perbelanjaan 20 juta ringgit bagi membayar perunding luar. Dr. Mahathir mengatakan beliau sendiri boleh menyediakan pelan itu dan bersetuju menerima bayaran 20 juta ringgit. Tapi tawaran tidak diberikan kepadanya.

Saya rasa apa yang tersurat dan tersirat yang mahu diketengahkan ialah mengapa kerajaan perlu guna perunding luar. Mengapa perlu bayar 20 juta ringgit. Jumlah ini bukan sedikit. Membebankan kewangan negara.

Bukanlah beliau hendakkan sangat ditawarkan kepadanya.

Tapi bukankah hal-hal yang berkaitan dengan 'out sourcing' atau penswastaan atau penggunaan khidmat perunding ini, menjadi satu daripada polisi penting semasa beliau menjadi PM dulu. Habis ditibainya pegawai kerajaan kerana katanya kurang kemampuan dan kurang cekap mengurus, lalu jalan penyelesaian ialah gunakan khidmat perunding; jalan penyelesaiannya ialah penswastaan.

Berderet panjang perunding-perunding yang digunakan. Ada perunding dalam negeri dan ada perunding luar negeri. Bayaran 20 juta ke?  

Cuba semak berapa banyak projek-projek dan konsessi seperti lebuhraya tol dan IPP yang nilainya berbillion yang tumbuh bercambah seperti cendawan selepas hujan semasa beliau menjadi PM. Contoh yang saya ingat ialah projek jambatan bengkok ke Singapura yang perancangannya bermula pada zamannya tetapi tidak sempat dilaksanakan semasa beliau berkuasa. Berapa billion? Ada guna perunding?

Cuma jambatan itu tidak menjadi kenyataan apabila PM yang mengambilalih darinya membatalkannya kerana ianya satu daripada projek yang memberi tekanan kepada kewangan negara. Tapi ganti rugi kepada pihak yang telah terlibat dengan kerja-kerja awal projek itu kena juga dibayar. Berapa juta, saya tidak ingat.

Jadi sama ada orang itu bodoh dan membazir dari segi penggunaan sumber negara dan orang itu menyalahgunakan kuasa atau sebaliknya, Dr. Mahathir mempunyai istilah dan tafsirannya sendiri. Dia ada kamusnya sendiri yang tidak sama dengan kamus yang universal dan standard yang diguna pakai oleh majoriti. Oleh itu jangan diambil pusing sangat dengan apa yang diperkatakan oleh beliau, kalau kita tidak mahu pusing kepala atau kepala pusing.


 
 



Jumaat, 27 September 2013

Anak-anak adalah saksi yang bercakap benar.



 Ada satu cerita pendek. Cerita tentang siapakah yang bercakap benar. Cakap siapa yang boleh dipercayai. Siapakah saksi yang boleh dipercayai, yang bercakap benar.

Ceritanya begini.

Aqib berusia 2 tahun sedang bermain-main dengan kawan-kawannya disebuah pusat jagaan kanak-kanak. Mereka bermain berbagai alat permainan termasuk bola. Mereka suka berebut-rebut alat permainan. Biasalah, sekejap nak main yang itu ,sekejap yang lain pula.
 
Pada suatu hari aqib  memegang sebiji bola kecil. Kawannya bernama Asif, dengan tiba-tiba merampas bola itu dari tangannya. Aqib terlalu marah apabila bola itu terlepas dari tangannya. Maka dia mengejar asif yang merampas bola itu untuk mendapatkannya semula. Maka berlakulah perebutan. Asif memegang bola itu dengan kuat dengan memeluknya melekat didada. Jadi aqib tidak berjaya mendapatkan bola itu. Dia menangis dan terlalu amat marah lalu menggigit  pergelangan tangan asif.

Maka menjeritlah asif kesakitan. Bola terlepas dari tangannya. Aqib dapat semula bola itu. Dia berhenti menangis.

Penjaga anak-anak itu sedang asyik bermain  'game' di taliponnya. Jadi dia tidak sedar perebutan diantara aqib dan asif itu. Dia tidak dapat menghalang gigitan aqib itu.

Mendengarkan jeritan kesakitan asif maka bersegeralah penjaga itu pergi melihat anak-anak itu. Guru besar juga bergegas ke arah anak-anak itu dan bertanyakan apa sudah terjadi.

Guru besar: Pasal apa ni
Asif: Aqib gigit tangan saya
Guru besar: Betul aqib gigit tangan asif.
Aqib: Ya. Saya yang gigit
Guru besar: Pasal apa aqib gigit
Aqib: Asif ambil bola dari tangan saya.
Guru besar: Betul ke asif
Asif: Betul. Saya pun nak main bola juga.

Guru besar meminta penjaga kanak-kanak itu masuk dalam bilik untuk bertanya sesuatu.

Guru besar: Pasal apa biarkan dia orang berebut bola
Penjaga: Dia orang tu memang suka bergaduh. Banyak kali saya larang.
Guru besar: Awak nampak asif rebut bola dari aqib.
Penjaga: Nampak. Tapi tak sempat saya nak halang, dia dah rebut dari aqib.
Guru besar: Pasal apa tidak halang aqib gigit asif
Penjaga: Saya tengah ambil bola yang jatuh dari tangan asif, tiba-tiba aqib gigit asif.

Siapa yang bercakap benar? Sudah tentu anak-anak kecil itu. Mereka tidak cari alasan. Kalau dia yang rebut , dia mengaku dia yang rebut. Kalau dia yang gigit, dia mengaku dia yang gigit. Sebaliknya penjaga yang asyik main 'game' , cuba beri berbagai alasan untuk melindungi kegagalannya menjalankan tugas.

Guru besar tidak tahu dan tidak nampak apa sebenarnya yang berlaku. Dia hanya boleh bertanya dan mengharapkan jawapan yang benar.

Kanak-kanak itu memberi jawapan mengikut apa yang sebenarnya yang mereka lakukan. Mereka tidak ambil kira sama ada guru besar nampak atau tidak nampak perbuatan yang mereka telah lakukan. Sebaliknya, penjaga tadi, bercakap tidak benar kerana guru besar tidak nampak apa yang berlaku. Ini dilakukan bagi mengelak dari dimarahi atau dihukum oleh guru besar.

Ertinya fikiran anak-anak itu bersih, tidak tercemar. Fikiran penjaga yang tercemar itu hanya semata-mata mahu menjaga kepentingan diri. Walaupun bersalah tetap mencari alasan supaya nampak tidak bersalah.

Kita yang dewasa dan tua ini adalah agen utama yang akan mencemarkan fikiran anak-anak itu melalui perbuatan, percakapan dan tindakan kita. Selalunya kita tidak sedar atau menganggapnya sebagai perkara kecil saja yang tidak mempengaruhi pemikiran anak-anak itu. Misalnya semasa memandu kereta. Anak kita ada bersama. Waktu lampu isyarat merah, kita tidak berhenti. Kita ditahan oleh polis atas kesalahan itu. Tapi kita beritahu polis itu, kita tidak melanggar lampu merah. Waktu kita melepasi lampu isyarat itu ianya berwarna kuning. Kita beri alasan bagi mengelakkan disaman. Anak kita dengar apa yang kita cakap. Dia juga tahu , sebenarnya kita melanggar lampu merah.

Dan kita akan melakukan dalam banyak hal dan keadaan lagi yang bertentangan dengan yang sebenar. Perbuatan dan tindakan itu dilihat dan didengar oleh anak kita. Fikiran anak kita sudah mula tahu membuat penyesuaian. Lama kelamaan sudah menjadi kebiasaan, dan diamalkan pula.

Jadi untuk mencari saksi yang bercakap benar carilah dikalangan anak-anak. Jangan cari orang dewasa, banyak alasan dan tipu helahnya. Cari orang yang terlalu tuapun tidak akan dapat cerita yang benar  kerana mereka ini selalunya ingat-ingat lupa dan ada yang nyanyuk.

Allah saja yang maha mengetahui.
 
   

Khamis, 26 September 2013

Jawapan kepada mereka yang gundah gulana , keluh kesah dan susah serta sakit hati tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian---, Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Tidakkan lari gunung di kejar, hilang kabus nampaklah dia.

Apabila harga barang-barang dan perkhidmatan  naik, seperti harga minyak yang naik 20 sen saja itu, harga ayam yang pasti naik setiap menyambut sesuatu perayaan, harga rumah yang tidak mampu dicapai oleh banyak orang, harga gula yang telah pun naik dan yang bakal naik lagi bagi mengelakkan sakit kencing manis, harga pengangkutan naik berikutan kenaikan harga minyak, harga barang-barang lain yang naik seperti roti canai kesan dari kenaikan harga minyak, ramai orang yang menjadi keluh kesah, dalam hati menjadi gundah gulana, marah, sakit hati, geram, benci, kecewa, menyesal kerana memilih kerajaan yang ada. 
 
Itu adalah respon dalam hati yang setengahnya pendam saja. Ada yang buat bising dan hebuh-hebuh di warung-warung kecil di tepi longkang dan jalan raya yang berdebu. Ada juga yang bercerita dalam restoran dan cafe berhawa dingin.
 
Ada juga yang ajak berdemonstrasi, satu respon berbentuk fisikal. Walaupun diberi amaran oleh pihak berkuasa, mereka ini, bilangannya tidaklah besar kerana ramai yang takut kena cekup dan dipukul sebelum kena cekup.
 
Melainkan yang pendam dalam hati, respon diatas adalah untuk memberitahu kerajaan bahawa mereka terlalu terbeban dengan kenaikan harga. 'Tolonglah, kami tidak tahan lagi', itulah maksud respon mereka itu. Dan ada pula yang menagih janji pilihanraya, "Janji nak beri kami senang. Sekarang harga naik. Susah yang dapat."

Bagi saya respon seperti itu kurang menarik, kerana tidak ada sentuhan rasa. Tidak mengusik sedikitpun hati orang yang ada kuasa untuk menurunkan harga kerana tidak ada sentuhan peribadi, 'no personal touch', kata bahasa orang putih. Tidak ada luahan hati yang terus langsung kepada yang empunya diri. Kalau umpama menonton tv, kita hanya menonton siaran yang dirakamkan, bukan siaran secara langsung.

Sebab itu , saya merasa terkesan apabila membaca surat dari seorang anak muda perempuan yang berkerjaya, berpendapatan sedikit lebih dari 2,000 ringgit sebulan, yang ditujukan kepada PM, menyatakan perasaannya yang gundah gulana dan susah hati dengan kenaikan harga barang dan harga rumah yang mahal. Anak itu sesungguhnya menaruh harapan kepada PM untuk membantu bukan saja untuk dirinya bahkan untuk rakyat Malaysia.
 
Dia tahu dan dia sedar bahawa PM sajalah yang mampu berbuat demikian. 
 
Saya terkesan kerana ada banyak lagi dikalangan kita yang berpendapatan kurang dari 2,000 sebulan. Ada yang seribu, lapan ratus, lima ratus sebulan. Sudah tentu ada yang tiada berpendapatan tetap dan ada yang tidak berpendapatan kerana tiada pekerjaan. 
 
Jadi sedangkan orang yang berpendapatan lebih sedikit dari 2,000 menyatakan keluh kesahnya , bayangkan pula perasaan dan keadaan orang yang berpendapatan lebih kecil dan yang tiada pendapatan. Saya dapat bayangkan bahawa mereka tidak akan mampu untuk keluh kesah. Mereka akan kata, "Gila punya kerajaan. Baik akau mati".
 
Saya amat faham reaksi mereka itu sebab ada dikalangan adik beradik saya pun macam itu. Bekerja sebagai pemungut sampah sebuah syarikat pemungut sampah. Ada enam orang anak. Maknanya bersama diri dan isteri, bilangan yang perlu makan, pakai dan tempat tinggal ialah  8 orang. Saya tidak bertanya pula berapa gaji bulanan yang dia dapat.  Tapi apalah yang diharapkan gaji seorang pengutip sampah, di Malaysia! Gaji minima melebihi seribu pun , kerajaan tidak berani menetapkan. Maka kedudukan dia lebih teruk dari anak muda yang menulis surat kepada PM itu.

Saya ada kata-kata yang agak panjang susunannya kepada anak muda ini sebagai tambahan kepada kata-kata yang mungkin akan disampaikan oleh PM sebagai  membalas suratnya itu. Saya mengambil pendekatan: Berakit-rakit dahulu, berenang-renang kemudian. Bersakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian. Pemilihan pendekatan ini adalah sejalan dengan pemikiran dan pendekatan PM yang baru-baru ini telah mengusulkan 5 strategi utama yang akan dilaksanakan dalam MEMPERKASAKAN EKONOMI ORANG MELAYU dan BUMIPUTERA. 
 
Dalam tempoh 7 tahun perjalanan ke tahun 2020, kita mesti sanggup bersusah-susah dahulu. Tahun 2020 kita bersenang-senanganlah walaupun kemudian. Mengapa hati jadi gundah gulana dan susah dengan kenaikan harga?
 
Kata PM, saya percaya dengan penuh keyakinan, dengan membawa maksud bahawa apabila menyinsingnya fajar 2020, pendapatan isirumah orang Melayu akan meningkat ke tahap isirumah berpendapatan tinggi dalam sebuah negara Malaysia yang maju. 

Itu adalah janji PM.

Selain kita mengambil sikap bersusah dahulu dan bersenang kemudian, kita mesti ingat akan maksud yang dipesankan dalam pepatah Melayu ini: Tidakkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia. Bukankah ianya ada persamaan dengan apa yang dihasratkan oleh PM. "Tunggulah, akan tiba masanya untuk kita bersenang-senangan", mengapa hati jadi gundah gulana.

Inilah kata-kata yang mampu saya susun untuk anak muda perempuan yang gundah gulana itu:

Anakanda yang gundah gulana,
 
Bersabarlah nak. Apabila menyinsing fajar tahun keramat 2020 nanti, anak dan semua orang melayu, InsyaAllah, akan menikmati pendapatan yang tinggi, dalam sebuah negara Malaysia yang maju. Hanya 7 tahun saja lagi. Tidak lama. 
 
Itu janji PM bukan janji ayahanda. Selain dari cakap PM, cakap siapa yang kita boleh percaya? Siapa yang kita boleh percaya menepati janji? Sudah tentu PM.

Ayahanda tahu bahawa punca dari rasa hilang percaya ini, bermula dari ayahanda sendiri kerana gagal menunai janji membeli sepersalinan baju untuk anakanda pada hari raya yang baru lepas. Berguling-guling anakanda diatas lantai buluh rumah kita sehingga ada bahagian badan yang luka. Tapi ayahanda masih prihatin lagi. Luka anakanda itu telah disapu dengan buah dan daun senduduk yang berkeliaran di belakang rumah kita. 
 
Jangan risau, seminggu dua lagi akan sembuhlah luka-luka itu kerana itulah ubat yang ayanhanda gunakan sejak dari kecil dulu untuk menyembuh luka. Mujarrab nak. Tak percaya, lihatlah tubuh ayahanda yang suka berlenggeng ni, menikmati angin berlepas lalu. Ok, kan. Cuma adalah parut-parut. Kata orang kudisnya baik, parutnya kekal.
 
Ayahanda juga faham akan kekecewaan anakanda kerana tidak membawa anakanda ke klinik atau hospital. Tapi ananda juga kena faham bahawa klinikitu terlalu jauh dari rumah kita. Kena berakit dulu. Kemudian menepi ke pengkalan sebelum meneruskan perjalanan ke hospital. Sudah tentu waktu kita sampai klinik atau hospital telah memberhentikan perkhidmatan. Jadi pilihan ayahanda itu  tepat sekali.
 
Takkan tidak dapat pakaian baru dan tidak dirawat di klinik anakanda jadikan sebab untuk tidak boleh percaya akan kata-kata PM. Itu tidak adil. Yang salah ayahanda. Yang mungkir janji ayahanda. Yang tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ayahanda juga. Mengapa PM pula hendak dipersalahkan. Mengapa ada keraguan akan kata-kata PM itu.

Anakanda yang gundah gulana,
 
Bersangka baiklah kita. Masa 7 tahun tidak lama. Ingat akan pesan orang tua-tua, maksud ayahanda, orang tua melayulah. Kita cakap fasal ekonomi melayu. Jadi rujukan kita mestilah dalam kerangka melayu. Kata mereka: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Apa macam setuju tak?
 
Memanglah benar harga minyak naik walaupun 20 sen ianya menyusahkan hidup kita. Tambah-tambah lagi barang yang lain pun naik juga. Tapi ambillah falsafah dari perumpamaan diatas. Kita susah dulu, untuk senang kemudian. Kita susah hari ini untuk hidup senang bila fajar 2020 menyinsing. Bukankah bersabar itu separuh dari iman. Percayalah kepada takdir wahai anakanda. Kenaikan harga ini adalah takdir. Usah dilawan takdir.

Kalau pesanan pepatah diatas masih tidak mampu meyakinkan hati anakanada yang gundah gulana itu, tidak dapat mengubati hati sakit itu, dengarkan pula kata-kata hikmat ini: Tidakkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia.
 
Ertinya wahai anakanda, kita mesti sentiasa percaya bahawa kehidupan susah yang menyiksa kita pada hari ini sehingga tahun 2020, pada akhirnya atau orang putih kata 'at the end of the day', kita akan dihidangkan dengan kesenangan sebaik saja terbit matahari tahun 2020. Kabus akan hilang dan gunung yang cantik dan indah itu akan berada di pandangan mata kita, suatu hari nanti. Bersabarlah.
 
Kecuali, kecualilah anakanda berhujah mengatakan bahawa gunung itu diliputi oleh jerebu dan bukan kabus. Yang ini ayahanda angkat kedua-dua belah tangan menyerah kalah.
 
Kalau jerebu itu berpanjangan tanpa tempoh masa untuk hilang, kecewalah kita untuk menikmati keindahan gunung itu.  Sesaklah kita untuk bernafas kerana udara menjadi tercemar. Ruang pernafasan kita menjadi sempit disebabkan partikel-partikel dari jerebu itu melekat dan berkumpul pada lapisan ruang laluan pernafsan kita. Satu lagi bentuk dan jenis kolesterol yang bakal menyerang kita. Serangan bukan saja dilaluan saluran darah untuk membolehkan darah lancar keluar masuk kejantung tapi bersama dengan itu ialah serangan di ruang laluan keluar masuk udara yang menyiksakan pernafasan kita.
 
Tapi anakanda yang gundah gulana,
 
Bukankah baru-baru ini kita telah dihidangkan dengan juadah dan segala bentuk dan jenis makanan pada hari berpesta pada raya yang baru lepas.? Anakanda jangan buat lupa. Anakanda jangan tidak pandai bersyukur. Kufur nikmat namanya, kata setengah bijak pandai. 

Jangan pula marahkan ayahanda yang mungkir janji dan tidak mampu bawa anakanda ke klinik menjadi sebab untuk anakanda memarahipihaklain. Itu tidak adil.
 
Renungkanlah wahai anakanda bahawa hidangan yang anakanda santap bersama dengan ribuan anak-anak malaysia di hari pesta itu, menurut sumber yang boleh dipercayai, mencecah 2.88 juta ringgit. Bukan 20 sen seperti kenaikan harga minyak yang anakanda hebuh-hebuhkan itu. Bandingkan, tidak perlu khidmat perunding luar atau dalam untuk membuat kiraan. Ayahanda yang sekolah atap ini pun boleh buat kira-kira. Tapi ayahanda tidaklah dapat menunjukkan kira-kira itu dalam bentuk angka. Sebab angka itu sudah terlalu fobia untuk ayahanda. Ayahanda cuma dapat berbisik pada anakanda: " Mak datuk, banyaknya. Patutlah......."
 
Ayahanda harap selain dari amakanda, jangan ada orang lain yang dengar. Risikonya terlalu amat tinggi terutama jika ada pihak yang cuba menyambung perkataan 'patutlah .....'. Macam-macam benda mereka boleh cakap.

Panjang sungguh warkah ayahanda ini. tapi sesekali memberi nasihat apa salahnya. Nasihat ini pun nasihat yang baik, meminta anakanda bersabar dan terimalah takdir kenaikan harga.

Wassallam.

Ayahanda yang tiada gundah dan tiada gulana. Tiada juga wang di poket.
 
 

Rabu, 25 September 2013

Perkataan Bajet dan PPSMI

Pelan kewangan sesuatu negara adalah satu perancangan kewangan untuk menggunakan  sumber itu bagi sesuatu maksud atau matlamat yang hendak dicapai. Di Malaysia Pelan ini dikenali sebagai bajet atau belanjawan bergantung parti mana yang berkuasa di Malaysia. Sekarang ini pelan kewangan ini dipanggil bajet (diciplak dari kata asal budget)  kerana UMNO/BN yang berkuasa sesuai dengan sifat dan kejadian UMNO itu sendiri- United Malays National Organisation. Namun pada suatu masa dulu sebelum Mahathir , pelan kewangan itu dipanggil Belanjawan.

Belanjawan ke Bajet satu pembaharuan? Satu anjakan paradikma? Berfikir diluar kotak? Janganlah berperasaan mahupun berharapan begitu kerana  UMNO tetap UMNO juga baik yang lama mahupun yang hidup  selepas diharamkan. Semenjak dari dulu, kini dan mungkin selama-lamanya, parti yang kononnya mewakili Melayu itu tetap menggunakan terjemahan Inggeris bagi Melayunya. Itulah yang saya maksudkan 'sesuai dengan sifat dan kejadian UMNO itu sendiri'

PR pula atas sebab untuk berbeza mungkin, atau percaya bahawa perkataan Belanjawan itu tidak ada cacat celanya untuk membawa makna ianya satu perancangan kewangan negara, menggunakan perkataan Melayu itu yang bersamaan dengan Budget jika diterjemahkan dalam bahasa Inggeris. Mungkin juga sesuai dengan sifat dan kejadian PR--Pakatan Rakyat.

Perkataan Bajet atau Belanjawan nampaknya sesuatu yang kecil saja, dan remeh untuk menjadi bahan perbahasan. Tapi dalam keadaan dan sifatnya yang remeh dan kecil itu, terselit satu sikap, pegangan dan kepercayaan yang mendasari kepada penggunaan perkataan itu. Pihak yang menggunakan perkataan bajet percaya bahawa ianya satu perkataan yang boleh membawa makna yang lengkap dan tepat tentang perancangan kewangan. Selain dari perkataan itu, apatah lagi perkataan Melayu yang disebut sebagai Belanjawan, dihukum cacat, wajar disingkirkan,.

Sudah tentu pihak yang memilih perkataan Belanjawan mempercayai sebaliknya. Tiada cacat dan cela untuk perkataan itu membawa makna yang lengkap dan tepat tentang perancangan kewangan.

Dari sudut membawa makna sebagai perancangan kewangan, kedua-dua perkataan itu boleh saja digunakan. Bahkan jika menggunakan perkataan Parsi, Arab, Tamil, China , Jepun atau dari apa bahasa pun tidak juga menjadi cacat asalkan ianya membawa makna perancangan kewangan. Dianya menjadi cacat apabila misalnya orang Jepun atau negara Jepun, orang China atau negara China dan orang Mesir atau negara Mesir yang masing-masingnya mempunyai bahasa kebangsaan sendiri menggunakan perkataan dari bahasa asing sedangkan telah ada perkataan dari bahasa kebangsaan sendiri yang membawa maksud yang sama jika diterjemahkan diantara satu bahasa dengan yang lain.
Ertinya perkataan belanjawan apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ianya akan disebut budget, dan sebutan tertentu dalam bahasa China, Jepun, Arab dan bahasa-bahasa yang lain akan membawa makna yang sama iaitu perancangan kewangan.

Jadi apakah sebab musababnya perkataan belanjawan itu perlu diganti dengan bajet, ciplakan dari bahasa Inggeris? 

Tiada mana-mana tamaddun bangsa yang menolak kemasukan perkataan  dari bangsa asing. Bahasa Melayu adalah bahasa yang terlalu banyak menerima dan menyerap perkataan asing yang telah dijadikan sebahagian dari perkataan dalam menyampaikan sesuatu maksud dengan mengekalkan struktur keMelayuannya. Kita patut merasa bangga diatas sifat kemampuan bahasa Melayu itu. Satu bahasa yang hidup.

Jadi bagi saya bahawa perubahan dari Belanjawan kepada Bajet itu adalah satu percubaan yang halus untuk menguji rakyat khususnya orang Melayu tentang keyakinan mereka keatas kemampuan dan kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam semua bidang, dan dalam hal ini bidang kewangan dan ekonomi.

Kelihatan, pihak yang menguji telah dapat menyimpulkan bahawa rakyat termasuk orang Melayu telah boleh menerima perubahan ini. Tiada siapapun yang menentang atau yang tidak bersetuju dengan perkataan bajet ini. Ujian kecil ini telah berjaya. Ini meransangkan bagi pihak tertentu untuk meneruskan ujian yang lebih besar. 

Apa dia ujian yang lebih besar itu?

Untuk menguji, pihak berkenaan bersikap lebih bersedia lagi berbanding dengan penggunaan perkataan bajet itu. Perkataan bajet itu hanya dilontarkan saja untuk diterima, dan seterusnya dicetak pada dokumen kerajaan yang asalnya bernama belanjawan, dan untuk diucap serta disebut dalam apa saja keadaan apabila bercakap fasal perancangan kewangan. Tidak perlu apa-apa alasan bagi menyokong penggunaan perkataan itu.

Pihak berkenaan bersedia dengan sebab musabab dan alasan yang kukuh dalam ujiannya yang kedua ini.

Dihebuhkan serta diperbesarkan  dalam semua bentuk dan jenis media bahawa banyak graduan Melayu yang tidak dapat kerja baik di sektor awam apatah lagi sektor swasta. Ertinya banyak yang jadi penganggur  . Ini adalah fakta yang benar. Maka sudah tentu ada sebabnya.

Sebabnya tidak perlu dicari. Ada banyak pihak yang sedia menghebuhkan sebab musabab itu untuk dikeahui dan khususnya ditujukan kepada orang Melayu. Ada hebuhan nampaknya bernada simpati. Dan ada hebuhan mencari kesempatan untuk melaksanakan hajat dihati sebagai satu lagi rancangan dalam pelan rancangan yang lebih besar? Allah saja yang mengetahui.

Bernada simpati dan menunjukkan kegusaran yang amat sangat maka disebutkanlah bahawa graduan Melayu itu tidak berupaya menguasai bahasa Inggeris sebab itulah mereka ditolak oleh majikan. 

Memang benar kenyataan itu tetapi tidaklah mutlak benar. Tetapi kenyataan ini rata-rata diterima oleh banyak pihak. 

Maka berbagai pihak mula menyatakan simpati dan kegusaran mereka akan fenomina tiada kerja dikalangan graduan ini.  Penguasaan bahasa Inggeris mesti dilaksanakan.

Macam mana caranya? 

Jawapannya ialah memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. 

Dari mula lagi saya tidak percaya cara yang dicadangkan dan seterusnya yang telah dilaksanakan boleh menghasilkan pelajar yang berupaya menguasai bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris bukan melalui cara itu.  Ianya SALAH. Dan akhirnya ia terbukti benar apa yang saya percaya.
Bahasa Inggeris adalah terlalu penting dan perlu dikuasai. Mewajibkan lulus bahasa itu dalam peperiksaan adalah satu dari langkah kearah itu. TAPI infrastruktur pendidikan termasuk guru-guru mestilah disediakan disemua sekolah.

Jadi saya nampak penggunaan perkataan bajet menggantikan perkataan Melayu belanjawan adalah satu ujian yang telah lulus untuk satu ujian yang lebih besar iaitu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik. 

Hanya Allah saja yang tahu.  
   

  



  





Selasa, 24 September 2013

Cerita Orang Tua: Boleh didengar tapi jangan mudah buat kesimpulan




Sambil duduk bersama isteri di ruang menunggu di sebuah poliklinik, sebelum angka giliran isteri terpapar di skrin untuk masuk berjumpa doktor, saya ternampak seorang perempuan tua keluar dari satu daripada bilik rawatan, berjalan dengan bantuan tongkat berkaki empat. Dia melangkah terlalu perlahan sambil merungut. 
 
"Orang tadi kata bilik ini. Orang ini kata bilik lain. Aku dah tua tak larat jalan", beliau merungut seolah-olah mengadukan nasibnya kepada seseorang. Tapi dia tetap melangkah juga walaupun perlahan menuju ke bilik yang diarahkan.

Kesian, bisik hati kecil saya. 

Saya percaya keadaan seperti ini tidak akan berlaku jika orang tua itu dibawa terus ketempat yang sepatutnya dia pergi. Ianya satu perkhidmatan yang perlu bagi seorang tua seperti itu.

Saya masih di tempat menunggu bersama isteri. Orang tua tadi masih lagi belum keluar dari bilik yang dimasukki sebentar tadi. Alat hawa dingin di ruang menunggu rasanya tidak berfungsi dengan baik, panas.

Setelah menunggu agak lama, angka giliran isteri terpapar d skrin di pintu masuk bilik rawatan. Isteri menuju ke bilik itu. Orang tua tadi keluar dari bilik yang dimasukkinya tadi dan terus melangkah perlahan. Saya jangka , dia ke farmasi mengambil ubat.

Setelah isteri masuk berjumpa doktor, saya bangun untukmencari ruang yang lebih dingin kerana di tempat menunggu agak panas. Saya menuju ke ruang menunggu di farmasi dengan membawa dua harapan. Harapan pertama, hawa yang dingin. Harapan kedua, untuk  berjumpa dengan perempuan tua itu untuk berborak-borak.

Harapan saya diperkenankan Allah. Ruang tempat menunggu di farmasi, nyaman sekali. Perempuan tua itu ada disitu sedang bercakap-cakap dengan pembekal ubat. Perbualan mereka mesra sekali. Saya dapat dengar perbualan tetapi tidaklah begitu jelas. Mungkin fasal siapa yang menghantar orang tua itu ke klinik atau mengenai bilangan anak-anak orang tua itu.

Sesungguhnya saya ingin tahu tentang orang tua itu. Mahu berborak dengannya. 

Isteripun sampai dan menyerahkan slip preskripsi doktor kepada pembekal ubat dan duduk disamping saya. Jadi tidak sempat untuk saya berborakdengan perempuan tua itu kerana dia terus melangkah keluar.

Setelah ubat dibekalkan, kami menuju ke kantin untuk memberi lauk makan tengah hari. Kami nampak perempuan tua itu berjalan ditengah panas terik. Seorang pekerja klinik memberitahu kami orang tua itu memberitahunya bahawa anaknya memarahinya kerana selalu sakit dan melarang emaknya ke klinik. Pagi tadi dia dihantar ke klinik oleh orang lain. Sekarang kena balik sendiri berjalan kaki. Rumahnya di seberang jalan klinik.

Mendengarkan cerita itu dan melihatkan orang tua itu berjalan ditengah panas terik, saya meminta isteri untuk mengajak orang tua itu balik bersama kami. Kamipun dalam arah jalan yang sama. Dia bersetuju dan mendahulukan ucapan terima kasih sebelum kami dapat menyempurnakan perkhidmatan hantar balik ke rumahnya.

"Terima kasih Ji", begitulah ucapannya kepada saya semasa ia masuk dalam kereta. Saya di panggil haji. Nasib baik dah pergi haji, kalau tidak malu saya dibuatnya dengan panggilan haji itu. 

Dia bercerita tanpa ditanya. Dia membahasakan dirinya sebagai makcik. Dia sudah berumur 82 tahun. Ada 8 anak. Masih hidup 6 orang. Ada yang dah bersara dan ada yang masih kerja. Dia tinggal bersama dengan anak perempuannya. Dia ke klinik kerana asma dan darah tinggi. Tapi anaknya tidak membenarkannya. Sebab itu anaknya tidak tahu dia ke klinik/

Saya begitu minat mendengar cerita orang tua ini. Macam ada sedikit persamaan dengan keluarga saya. Emak saya berusia 84 tahun, dua tahun lebih tua darinya. Tinggal bersama adik perempuan saya. Emak melahirkan 14 orang anak. Yang masih hidup 11 orang. Emak pun ada darah tinggi dan asma.  
 
Tapi emak tidak boleh melihat dengan jelas. Jalan tidak semampu orang tua itu. Ingatan emak merosot sekali. Saya dan anak-anaknya yang lain pun ada masa dia tidak kenal.

Tapi perasaan kasih dan sayang kepada orang tua ini semakin bercambah.

Orang tua itu memanduarah saya menuju ke rumahnya. 'Masuk ke simpang kiri, sebelum sekolah Cina tu'. Dia seterusnya mengarah masuk sebelah kanan. Tapi sebelah kanan tiada jalan. Jika saya ikut kami semua akan masuk lurah. 

Dari titik mula arahan yang salah itu, saya mula merasakan bahawa orangb tua ini tidak tahu jalan balik. Kami berpusing banyak kali di tempat yang sama tapi tidak juga dia dapat menemui rumahnya yang katanya terletak di tepi jalan dan ada pokok rambutan. Katanya lagi rumah itu dibina oleh ketua menteri. Ketua menteri ada bagi dia wang lima ringgit untuk membolehkannya mengupah orang mengurut kakinya.

Mendengar cerita itu, saya sudah tahu bahawa rumah orang tua itu adalah rumah dibawah rancangan Program Perumahan Rakyat Miskin (PPRT) yang pernah menjadi satu dari tanggungjawab saya untuk melaksanakannya, Rumah kayu atau sekerat batu dan bukan rumah batu. Rumahnya kecil.

Tapi sepanjang pencarian, yang kelihatan adalah rumah batu banglow dan rumah teres sederhana. Semua rumah orang China.  Tiada rumah Melayu. Orang tua itupun tidak tahu nama kampongnya.

Namun kami ternampak seorang perempuan Melayu. Peluang kami untuk bertanya. 

Lega. Perempuan itu kenal perempuan tua ini. Katanya anak kepada  perempuan tua itu sedang mencari emaknya. Dia berterima kasih kepada kami kerana menghantar balik orang tua itu dan meminta orang tua itu duduk di rumahnya. Dia akan menalipon anak oran tua itu.

Kami berasa terlalu amat lega.  Tapi timbul pula dalam fikiran saya pertanyaan: Benarkah anak perempuan kepada orang tua itu tidak mahu hantar anaknya ke klinik? Saya rasa tidak begitu. Saya lebih yakin bahawa orang tua ini sudah masuk ke peringkat ingat-ingat lupa seperti emak saya. Cuma emak saya lebik merosot lagi.

Jika saya tanya emak saya soalan: Adakah ada sesiapa diantara kami yang balik menjenguknya.

Jawapan standard dari emak ialah: Tak ada seorang pun balik.

Mendengar jawapan emak saya itu kami semua ketawa. Sebab dihadapannya ada beberapa orang dari kami bersama anak-anak. Dia tetap mengatakan tiada siapa yang balik.

Ertinya, cerita atau kata-kata yang disampaikan oleh orang tua yang dalam usia seperti itu hendaklah jangan diambil sebagai semuanya tepat. Sebab, jika kita percaya semuanya benar, ada kemungkinan kita akan mengatakan bahawa anak-anak orang tua itu tidak bertanggungjawab.
  

SENYUM MALU: Malu Pada Diri Sendiri




Hari ini, bersama isteri, bersarapan pagi di kantin pejabat tempat kerja lama sebelum ke poliklinik berdekatan bagi isteri berjumpa doktor kerana idapan selesema dan batuk.
 
Waktu itu menghampiri pukul 11 pagi. Beberapa meja telah sedia ada penghuni. Setelah membuat pesanan kami menuju ke sebuah meja yang masih belum berpenghuni. 
 
Mata saya mencari-cari kalau-kalau ada orang yang saya kenal. Puas mencari , tiada juga ketemu. Mungkin ramai yang telah bertukar tempat kerja atau yang telah bersara. Agak kecewa juga dihati.
 
Harapan saya jika ketemu yang dikenali, bolelah kami bertegur sapa, bertanya khabar dan minum bersama. Berborak-borak menanyakan perkembangan di tempat kerja.
 
Tapi bukankah dulu saya memantangkan warga kerja menghabiskan masa di kantin bahkan tidak membenarkan mereka makan minum di kantin pada jam 10 pagi keatas sebelum memasuki waktu makan tengah hari?  Bukankah saya dulu yang memberitahu bahawa tidak ada istilah minum waktu rihat, sama ada pagi atau petang dalam syarat-syarat perkhidmatan?
 
"Minum saja dalam pejabat, disudut yang telah disediakan. Jangan buang masa di kantin". Arahan yang saya keluarkan dalam satu dari perjumpaan dengan warga kerja yang mendapat cemekan dibelakang. Dihadapan saya, semua diam dan ada yang bangun menyokong.
 
"Kaunter perkhidmatan mesti sentiasa ada orang", satu lagi arahan yang tidak digemari sehingga ada seorang warga kerja bangun bertanya, "Kalau kita cuti, macam mana?"
 
"Penyelia mesti tentukan sebelum menyokong cuti, aturkan seseorang supaya mengambil tugas kaunter itu". 
 
Sekarang saya mengharapkan untuk ketemu dengan pekerja-pekerja pejabat lama itu di kantin. Nak ajak berborak pula. Bukankah itu membuang masa. 

Saya tersenyum malu. Malu pada diri sendiri. Isteri nampak kehairanan. Pesanan telah sampai. Kami mula makan.

Isnin, 23 September 2013

Harga Barang Naik Adalah Ketentuan Pasaran

Seorang menteri kata bahawa harga minyak naik adalah ketentuan pasaran. Ertinya harga gula yang telah naik dan yang bakal akan naik, harga ayam naik dan harga barang dan perkhidmatan yang lain naik adalah ketentuan pasaran.
 
Cakap menteri itu betul. Jangan ada pula yang pandai-pandai hendak menyanggah atau buat demonstrasi untuk meminta kerajaan menurunkan harga sebab kerajaan tiada kuasa. Yang berkuasa ialah pasaran. Pasaran yang menentukan harga.
 
Ahli-ahli ekonomi memang sudah faham dengan kuasa pasaran ini yang dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'market forces'. Tempat berlakunya market forces ini dipanggil 'market place'. 
 
Market place orang kampong antaranya ialah di pasar. Setengah tempat memanggil market juga dengan sedikit ubahsuaian dari segi sebutan yang berbunyi 'merket' atau yang bunyinya semacam itu. 
 
Orang kampong juga faham apa itu harga di pasar sebab disitulah mereka saling tengkar menengkar dengan penjual tentang harga. Dalam semua keadaan orang kampong itu menyerah kalah. Sebab yang berkuasa adalah harga di pasar.  Harga di pasar itulah yang menentukan berapa banyak dan berat barang yang boleh dimasukkan dalam troli untuk dibawa balik. 
 
Kalau 4 atau 5 tahun dulu harga ikan kembong 5 ringgit satu kilo, dan pagi tadi naik 20 ringgit sekilo maka bilangan ekor ikan kembong yang mampu untuk dibawa balik untuk digoreng berkurangan sebanyak 4 kali ganda yang bersamaan dengan 4 kali menjadi rengan dari segi timbangan kilo. 
 
Bagi orang kampong itu, hari ini, bilangan peratah ikan telah bertambah dan selera makan pun semakin meningkat. Bilangan tanggongan sudah bertambah dan anak yang dulunya kecil telah tumbuh membesar yang mempunyai selera makan yang hebat. 'Tolak batu dan kayu', yang lain semuanya dikebas, begitulah jolokan yang diberi.
 
Sesungguhnya orang kampong itu tidak dapat melawan kuasa di pasar. Dia juga tidak dapat menahan tambahan bilangan keluarga. Dia juga tidak dapat menahan kehebatan selera anak-anaknya. 
 
Tapi orang kampong itu tidaklah bodoh sangat dalam menghadapi keadaan harga di pasar yang naik itu. Dia tidak pernah berputus asa dan harapan. Sebagai ketua keluarga dia mesti mencari jalan untuk membesarkan anak-anaknya. Dia tidak boleh kata pada isterinya, 
 
"Yang, kita patut merancang mengurangkan anak sebab harga barang semakin naik. Selera kita dan selera anak-anak kita perlu sekat. Makan ekor ikan saja. Itupun yang ada. Kita tidak mampu melawan kuasa pasaran".
 
Orang kampong itu tidak tergamak mengatakan sebegitu walaupun dia hanya orang kampong bersekolah atap. Dia berazam dan berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah kekurangan ikan kembong disebabkan kenaikan harga itu.
 
Isterinya walaupun seorang suri rumah, pandai membantu dengan memberi idea yang bernas demi anak-anaknya. Isteri itu mencadangkan,
 
"Apa kata kita makan ekor atau tulang ikan saja atau kerak-kerak gorengan ikan itu. Kan ke kita dah lama makan isi ikan. Cukuplah".
 
Begitulah cara berfikir orang kampong itu dalam menghadapi kuasa pasaran yang berlaku di pasar. Dia mengambil langkah berjimat cermat, mengorbankan seleranya kerana dia tidak mampu melawan penjual di pasar yang meminta harga seperti yang ditetapkan oleh kuasa pasaran. 
  
Jelas bahawa orang kampong itu tidak hilang semua kuasa walaupun dia tidak mampu menyekat kuasa pasaran. Dia masih lagi ada kuasa dalam menentukan apa yang perlu dibuat jika harga ikan meningkat naik. Dia tidak hilang akal.

Cuba kita kembali kepada kenyataan menteri itu bahawa 'harga minyak naik adalah ketentuan pasaran'. Ingatkan juga kata-kata menteri yang lain yang mencadangkan bahawa jika harga ayam naik, jangan makan ayam. Harga rumah naik jangan beli rumah. Harga sayur naik, tanamlah sayur.

Jangan juga lupa akan kata-kata seseorang yang dikatakan berilmu agama, dalam hal kenaikan harga minyak. Katanya kenaikan harga ini adalah ketentuan Allah.

Bandingkan dengan cara orang kampong berfikir apabila menghadapi kenaikan harga. Siapa atau pihak manakah yang mudah hilang akal.

Menteri-menteri diatas mencari 'scapegoat' atau mangsa untuk dipersalahkan atau justifikasi berlakunya kenaikan harga. Atau berlindung disebalik sesuatu yang memang ada kebenarannya seperti market forces itu. Atau berlindung atas nama takdir dari Allah. Siapa yang tidak percaya kepada takdir?  

Soalnya ialah mencari jalan penyelesaian. 

Orang kampong yang menteri sentiasa mengendeng, memujuk, dan merayu  untuk diberi undi semasa kempen pilihanraya dulu dan yang sebahagian besarnya termakan dengan pujuk rayu menteri-menteri itu, perlukan pertolongan bukannya mahu tahu sebab kenaikan harga minyak. Mereka mahu menteri-menteri itu berfikir , berusaha dan mengambil tindakan kearah tidak membebankan kehidupan mereka kesan dari kenaikan harga barang. 

Mereka, orang kampong itu tidaklah boleh dianggap bodoh. Mereka tahu apa itu 'market forces' sebab mereka berdepan dengan realiti kenaikan harga. Ertinya bila harga naik, dia kena bayar lebih dan dapat barang yang sama yang lebih rengan dari dulu untuk keperluan bilangan tanggungan yang bertambah, termasuk selera.

Bagi menteri pula, bila harga naik dia akan beritahu kenaikan itu adalah ketetapan pasaran. Dalam realiti hidupnya dia tidak tertekan walaupun dia tahu nilai wangnya berkurangan dari dahulu bagi mendapatkan barang dan perkhidmatan yang sama. Tapi dia tidak pernah risau sebab keadaan itu tidak sesekali akan mengurangkan jumlah dan berat barangan serta kekerapan mendapatkan perkhidmatan. Semuanya bisa diatur dan diaturkan. Sebab ada yang mengaturkan. Sebab itu dia dengan mudah saja mengatakan bahawa kenaikan harga itu adalah ketetapan pasaran. 

Cuma, dia berani berkata begitu selepas memenangi pilihanraya.

Apa guna menjadi kerajaan kalau tidak ada kuasa? Bukan saya yang kata, menteri yang kata. Apabila menteri kata kenaikan harga adalah ketentuan pasaran dan menerimanya saja tanpa usaha atau tindakan bagi mengatasi kesan kenaikan harga maka jelas menteri itu tiada kuasa atau tidak tahu menggunakan kuasa secara yang betul dan dibenarkan.

Lihat orang kampong. Sanggup berkorban nafsu selera semata-mata tidak mahu menjejaskan keperluan selera anak-anaknya.  Dia tahu bahawa dia masih ada kuasa.
 
Menteri tidak boleh berfikir secara demikian ke? Mengambil tindakan kearah membantu beban kenaikan harga. Orang kampong sudah tunjuk contoh dengan melakukan korban selera. Menteri tidak mampu berjimat belanja ke?

Tidak perlu tunjukkan kepandaian dengan konsep kuasa pasaran. Atau supply dan demand. Atau konsep 'scarcity'. Kita tidak berada dalam kelas mata pelajaran ekonomi. Sekarang ini adalah realiti kedudukan ekonomi orang berpendapatan rendah yang tertekan oleh kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan. Cari jalan dan ambil tindakan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga itu kalau pun tidak boleh menahan kenaikan harga.

Adalah satu lawak jenaka kalau ada menteri mengatakan kerajaan tiada kuasa dalam mencampuri ketentuan pasaran. Apa guna jadi kerajaan. Bukankah antara fungsi kerajaan ialah 'to regulate' termasuk dalam soal mengenai harga. Sebab itu adanya kawalan harga. Tapi bukan bermaksud kita perlu kawal saja. Tindakan yang lain wajar juga diambil misalnya melihat struktur dan jumlah subsidi atau insentif yang telah diberi dan disediakan kepada sektor dan industri tertentu, termasuk konsessi  seperti tol dan IPP.

Kaji dari segi keutamaan berbanding dengan keutamaan mengatasi bebanan orang berpendapatan rendah. Dan jangan buat lawak seperti badut mengatakan pengurangan subsidi minyak yang menyebabkan kenaikan harga petrol Ron 95 adalah merupakan satu cara untuk membantu orang berpendapatan rendah. Hilang dan tiada akal namanya. 

Jangan bodohkan lagi orang kampong walaupun mereka telah dibodohkan semasa kempen pilihanraya. Jangan membebankan orang berpendapatan rendah sebab mereka sudah cukup terseksa. Bukankah bertanding dalam pilihanraya dulu bertujuan untuk merebut kuasa. Sekarang kuasa telah diperolehi mengapa pula mudah saja berkata kerajaan tiada kuasa keatas ketentuan pasaran.

Kalau tidak tahu guna kuasa, berikan orang lain berkuasa. Letak jawatan. Ada ramai lagi yang mampu jadi menteri dan mampu juga menguruskan kenaikan harga agar orang berpendapatan rendah tidak terbeban sangat dengan kenaikan harga.