Theflowersellingboy

Khamis, 29 Ogos 2013

Ada Yang Berminat Memajak Dusun Buah-buahan?

 
 
1.Ada dusun buah-buahan 6 ekar. Ada pokok durian, pokok nangka, cempedak, mangga dan beberapa batang pokok rambutan. Musim buah durian atau cempedak dan nangka , semua buah-buah itu tidak diambil, gugurlah ke tanah sehingga kering. Sayang sungguh. 
 
2. Ada sesiapa yang minat untuk memajak dusun saya ni?
 
 

Rabu, 28 Ogos 2013

Catatan Diari Suami: Apa Ada Pada Professor, "the backroom office boy'.




Sesampai saja dirumah setelah selesai bertemu muka dengan guru kelas anaknya, si Azmi , Datin Suria segera mengajak Azmi duduk di ruang rehat keluarga. Dia melihat semula kertas keputusan peperiksaan anaknya itu yang telah dibincang bersama dengan cikgu kelas si Azmi tadi.

Matanya merenung tepat. Dia membaca dan berkata dalam hati. Biologi 25, Fizik 11, Kimia 23, Matematik Tambahan 11, Matematik biasa pun fel. Apa nak jadi anak aku ni. Bapak professor matematik. Anak fel semua subjek sains dan matematik.  

Bahasa Inggeris, cemerlang. Bahasa Melayu cemerlang.  Agama Islam cemerlang. Sejarah cemerlang. Ini subjek sastera, anak orang kampong pun boleh pas.

"Azmi , apa nak jadi dengan kau ni aah. Semua subjek sains dan matematik kau fel. Bapa professor matematik. Anak fel subjek matematik. Pasal apa jadi macam ni. Tak malu ke?" Datin Suria bersuara tinggi dan marah.

Azmi tidak segera menjawab. Dia selamba sahaja  mendengar kemarahan emaknya itu. Sikap Azmi yang selamba dan bersahaja itu menambahkan geram si datin itu.

"Beri tahu mama pasal apa jadi macam ni?" Semacam menjerit suara itu keluar  dengan nada sedih dan kecewa.

"Apa yang mama nak risaukan. Gagal matematik dan sains tak mesti gagal dalam penghidupan. Tak mesti tak boleh jadi kaya dan berharta. Tak boleh jadi pemimpin. Tak boleh jadi presiden, menteri atau perdana menteri. Tak dapat datuk, tan seri dan tun. Bukankah kita semua ada rezeki dan bahagian masing-masing di dunia. Kalau ditakdirkan kita kaya, jadi pemimpin, kita akan jadi. Mama tengoklah realiti yang ada", Azmi dengan tenang bersuara.

"Realiti? Setahu mama orang yang gagal dalam pelajaran hidupnya susah. Susah nak dapat kerja. Merempet, hisap dadah, menganggur, kacau sana kacau sini, meragut, mencuri, merompak, membunuh. Semua orang benci dan tak suka", Sanggah si datin.

Azmi ketawa kecil mendengar akan kerisauan mamanya akan masa depannya.  Mamanya takut dia akan jadi anak yang tidak berguna, jahat dan yang dibenci oleh masyarakat hanya kerana dia gagal dalam pelajaran. Tapi dia tidak gagal semua subjek. Hanya matematik dan sains saja.

Azmi tidak mahu berhujah tentang subjek yang dia dapat cemerlang. Mamanya terlalu taksub dengan subjek sains dan matematik yang sentiasa diberi penekanan oleh banyak orang terutama pihak pemimpin. Dia mendiamkan diri dan mendengar saja mamanya meneruskan leteran. Panjang leteran si datin itu.

"Kenapa kau tak ikut macam otak bapak kau?" Soalan ini membuatkan Azmi memandang tepat ke muka mamanya.

"Mama nak saya jadi professor. Professor matematik? Oh no, no, no. Papa tak setuju", Azmi bingkas bangkit meninggalkan mamanya.

"Apa? Papa kau tak setuju?", jerit si datin yang juga bingkas bangun menuruti anaknya Azmi. Bahu Azmi di pegangnya. Azmi berhenti melangkah.

"Papa kata tiada gunanya belajar subjek yang susah-susah macam fizik tu. First class dalam matematik atau fizik pun belum tentu hidup kita senang. Belum tentu boleh jadi kaya dan banyak harta. Belum tentu boleh jadi pemimpin. Dapatlah jadi professor macam papa. Tapi ada apa pada professor. Nasib baik dapat gelaran datuk". Azmi menoleh kebelakang memandang wajah mamanya yang macam tidak percaya perkara yang dinyatakan oleh anaknya itu datang dari suaminya seorang professor.

"Papa kau cakap macam itu. Dan kau yakin ?"

Azmi mengangguk dan terus melangkah memijak anak tangga untuk naik keatas menuju ke biliknya.

Si datin membiarkan saja anaknya naik keatas. Dia tidak mahu tanya lagi mengapa anaknya Azmi gagal dalam semua mata pelajaran sains dan matematik. Dia sudah ada jawapan. Suaminya seorang professor matematik adalah penyebabnya. 

Mengapa suaminya bersikap begitu. Jika sikap itu hanya untuk diri suaminya saja, dia tidak jadi hal. Tapi kenapa sikap itu ditanam kepada anaknya Azmi sehingga anaknya itu yakin dan percaya. Tidak mungkin suaminya mahu kehidupan masa depan anaknya gelap.  Sama seperti dia, suaminya amat menyayangi anaknya. Bahkan mereka berdua lebih rapat, selalu bersama apabila keluar rumah terutama semasa bermain golf. Azmi adalah teman flight suaminya dalam setiap pertandingan golf.

Si datin menuju ke bilik baca suaminya. Ini bukan kali pertama dia memasuki bilik itu. Dialah yang menyusun dan mengemas bilik itu supaya suaminya dapat merasakan ketenangan membaca dan melakukan kerja-kerja penyediaan kertas kerja dan menulis artikel. Tapi dia tidak pernah melihat dan membaca apa catatan dalam diari suaminya. Baginya catatan itu adalah hak peribadi suaminya yang tidak boleh dicerobohi. Dia perlu minta izin untuk melihat dan membaca catatan itu.

Tapi kali ini keinginan untuk melihat dan membaca isi kandungan catatan suami itu sungguh kuat mengatasi ketaatannya untuk tidak melakukan pencerobohan ke atas diari suaminya. Entah mengapa, perasaannya jadi begitu dia tidak tahu. 

Dia menyelak helaian diari itu. Matanya terbuka luas dan mula membaca secara senyap.

Apa Ada Pada Professor

1. Isteri dan anak-anak ku suka menonton drama, suka program hiburan- Akademi Fantasia, Gossip, Malaysia idol, raja lawak, suara emas dan maca-macam lagi. Nak jadi artis kot sebab pendapatan lumayan, hidup senang. Nak glamour agaknya. Boleh dapat datuk. Belanja kawin ada sponsor, seronoknya! Tak payah belajar tinggi dan susah-susah macam aku dulu. Ada muka, ada suara boleh jadi artis. Satu kerjaya yang menjanjikan masa depan.

2. Semalam jumpa Amat gondol. Tapi sekarang tak gondol. Rambut lebat dan bergaya. Dia pakai Mercedez berapa siri? Lupa. Bertuahlah kau Mat. Sekarang kau jadi YB. Menteri pulak tu. Siapa sangka kau yang bodoh matematik dulu boleh jadi menteri. Macam mana pun aku dah banyak makan duit kau dulu semasa kau meniru matematik aku dulu. Tapi kau sekarang hebat boleh arah aku pula. Dunia dah terbalik? Sebenarnya aku yang dah kena lenyek. Professor kan - 'the backroom office boy'.

3. Aku terlalu kenal dia. Kaki pukul, kaki pau , kaki ampu, penipu, pembohong besar, kaki  fitnah, kaki laga macam batu ronson. Belajar bodoh, SPM pun tak lulus, jadi pengerusi GLC man. Hebat. Datuk pulak tu. Tak lama tan serilah. Lepas tu tun. Aku? Professor matematiklah! Apa macam siapa hebat. Aku yang kena rembat dan sebat, ha ha ha, padan muka aku professor .

Astagfirrullah bang. Mengucap bang. Bersyukur bang. Rezeki kita halal bang.

"Mama baca apa tu?" Muka si datin pucat lesi apabila mendengar sapaan dari anaknya yang tiba-tiba muncul. Kakinya sudah lemah, tidak mampu lagi menahan anggota badannya. Dia rebah.

Selasa, 27 Ogos 2013

Put It In Writing





Selepas selesai menunaikan fardhu Maghrib berjemaah bersama isterinya, Aku menuju ke sofa untuk berihat. Tiba-tiba Aku mendapat satu panggilan talipon yang memaklumkan satu mesyuarat segera terpaksa diadakan. Semua ahli jawatankuasa kerja pelaburan dipanggil untuk hadir. 'Mesti hadir', begitulah isyarat yang disampaikan melalui talipon.

Tempat mesyuarat, dirumah pengerusi, dan waktu 9.00 malam selepas solat Isya'.

Agenda mesyuarat tidak diberitahu. 

"Apa benda yang nak di bincangkan pada malam Ahad ni. Tunggulah hari Isnin. Macamlah dunia ni nak kiamat. Nak tengok bola pun tak boleh", Aku merengus dan merungut sebaik saja meletakkan ganggang talipon. 

Bekerja diluar waktu rasmi pejabat atau pada masa-masa cuti bukan satu yang luar biasa. Aku dan kawan-kawannya yang lain telah biasa dengannya. Tiada menjadi masalah. Tapi panggilan mesyuarat malam ini sungguh menyakitkan hatinya. Bukan sebab tiada agenda, bukan sebab tidak tahu apa yang hendak dibincangkan. Sebabnya, dia tidak dapat menonton perlawanan akhir piala FA England diantara Arsenal dan pasukan yang sentiasa disokongnya Manchester United.

"Celaka, apa benda yang hendak segera diputuskan", Aku terus merengus lagi sambil membuka pintu keretanya. Aku memandu ke rumah pengerusi yang jaraknya tidak melebihi 200 meter dari rumahnya.

Aku terus masuk kedalam ruang rumah yang memang dijadikan sebagai bilik mesyuarat oleh pengerusi syarikatnya. Pengerusi dan ahli-ahli yang lain telah sedia ada. Aku minta maaf kerana terlambat.

"Ok, semua orang dah ada, kita mulakan mesyuarat". Pengerusi meminta semua ahli merujuk kepada dokumen kecil yang nipis yang ada di hadapan ahli. Semua mula meneliti isi kandungan dokumen itu. Terkumat kamit membaca. Aku juga melakukan perkara yang sama.

'Cadangan Membeli Saham Syarikat XXX Sebuah Syarikat Tersenarai di Bursa Kuala Lumpur', begitulah tajuk kertas dokumen itu.

Pengerusi meminta Pengurus Besar (PB) syarikat menjelaskan cadangan yang dibawanya itu. Semua ahli-ahli mendengar. Aku tidak tahu sama ada mereka faham atau sebaliknya. 

Habis sahaja penjelasan dari pengurus besar, Pengerusi memberikan pandangannya dengan mengatakan cadangan ini amat baik. Ianya menambahkan lagi  aset syarikat dan peluang membuat untung yang lebih. Syarikat yang hendak dibeli adalah syarikat yang tersenarai dipasaran saham. Lagipun, 'kitalah yang pertama dirujuk oleh pengurusan syarikat , menawarkan penjualan saham kepada kita. Hargapun munasabah'.

Aku memandang kiri dan kanan. Semua ahli mengangguk kepala, tanda setuju. Satu cadangan yang tidak wajar ditolak.

Aku memandang lurus ke pengurus besar yang duduk disebelah kiri pengerusi. Pandangan Aku adalah satu pandangan yang mahukan penjelasan yang lebih dari pengurus besar: adakah sebenarnya cadangan ini satu cadangan yang baik dan menguntungkan. Kenapa perlu tergesa-gesa sangat. Apa alasan yang boleh diterima bahawa pembelian ini menguntungkan. Mengapa dalam cadangan itu tidak memperincikan tentang prestasi syarikat, tidak ada penyata untung rugi, imbangan kira-kira, market share, market capitalisation dan macam-macam lagi termasuk pasukan pengurusannya.

Pengurus Besar mungkin tidak dapat membaca apa yang ada dalam otak kepala Aku dengan hanya bertentang mata denganku. Oleh itu Aku mesti bertanya.

"Ok, kita semua bersetuju. Hari Isnin ni kita boleh bentang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah untuk kelulusan", kata Pengerusi, sebelum Aku sempat untuk memberi pandangan dan pertanyaan kepada pengurus besar.

"PB, sempat tak bentang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah, Isnin ni?" Tanya pengerusi. PB mengangguk.

Aku semakin susah hati. Bagi Aku cadangan ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya. Banyak perkara yang perlu dilihat dan dikaji. Tapi pengerusi telah buat keputusan bersetuju dengan cadangan pembelian itu. Ahli-ahli yang lain juga turut bersetuju. Aku saja mempunyai pandangan yang berbeza.

Dalam cadangan itu tidak pula dinyatakan sumber pembiayaan bagi membeli saham syarikat itu. Aku merasakan ini peluang yang terbuka baginya untuk mendapat tempoh bagi mengkaji cadangan itu dengan lebih teliti lagi. Aku perlu berbuat begitu kerana dia adalah orang yang bertanggungjawab tentang kewangan syarikat. Kalau salah labur, dia juga yang kena.

"Tuan pengerusi", ada ketaran dalam suara Aku. Sebab sudah termaktub satu kepercayaan yang perlu diterima dan diakui sebagai sebagai benar ialah  bahawa 'Bos sentiasa betul. Jangan melawan arus'. Jika ada yang cuba berbeza dari kepercayaan itu, dengan mengemukakan sesuatu pilihan untuk diberi pertimbangan orang itu dianggap melawan arus dan wajar mendapat sekurang-kurangnya amaran dari bos atau diketepikan.

Dalam keadaan suara yang tidak berapa jelas biji butirnya, Aku bertanya PB dari mana di perolehi sumber pembiayaan, sebab tidak dinyatakan dalam  kertas cadangan.     

"Apa lagi yang kamu nak tahu ni?" Tanya pengerusi.

"Dari mana kita dapat wang nak beli saham syarikat tu", Aku segera menjawab. Kali ini suaranya lebih jelas. Aku telah mula membina keyakinan diri. Pengerusi memandang PB.

"Kita buat pinjaman bank. Saya dah pun berbincang dengan pihak bank . Pihak bank nampaknya tiada masalah".

'Pinjam bank nak biaya beli saham?' Otak Aku segera bertanya tapi tersimpan saja dalam hati yang mula curiga dan bimbang.

Tapi , pengerusi telah bersetuju. Aku dalam keadaan tidak kena. Cara pembelian itu mempunyai risiko yang tinggi. Boleh bankrapkan syarikat.

 "Berapa yang hendak dipinjam?" Aku terus bertanya.

"60 juta. Baki 30 juta kita ambil dari keuntungan operasi", jelas PB.

"Bukankan pinjaman ini satu risiko yang tinggi dan.." Aku tidak dapat meneruskan hujah apabila Pengerusi menyatakan bahawa hal-hal yang detail itu dibincangkan dengan PB kemudian. Mesyuarat hanya perlu buat keputusan bersetuju atau sebaliknya. Dan kata pengerusi lagi bahawa mesyuarat telah bersetuju dengan cadangan pembelian itu.

'Macam mana?', Hati Aku berbisik untuk mencari jalan agar cadangan ini diteliti lebih lanjut. Otak Aku ligat berfikir. 

'Ya, mesti beritahu secara diplomasi, secara berlapek. Jangan secara kering mengatakan tidak bersetuju. Jangan jatuh air muka bos dikhalayak ramai', Aku telah mendapat jalan keluar.

"Maaf tuan pengerusi....", belum sempat Aku dapat meneruskan perkataan seterusnya, Pengerusi dengan nada tinggi bersuara.

"Apa lagi. Kan ke kita dah buat keputusan". 

"Secara dasar mungkin kita boleh bersetuju dengan cadangan ini tertakluk kepada kajian yang lebih mendalam", Aku begitu jelas menyatakan pendapatku.

Pengerusi memandang PB. PB tunduk saja tidak berkata apa-apa.

"Ok, kita bersetuju dengan cadangan kamu tu. Hari Isnin, sebelum mesyuarat Lembaga, saya hendak ulasan hasil dari kajian kamu. Boleh?" Pengerusi terus bangun menamatkan mesyuarat.

'Gila. Dokumen pun tak ada, macam mana nak kaji', Aku memasuki kereta untuk balik ke rumah.

Di rumah, tanpa dokumen yang perlu Aku membuat ulasan. Aku membuat ulasan secara am saja. 

'Bahawa pembelian saham secara pembiayaan pinjaman akan meletakkan syarikat pada kadar risiko yang tinggi. Harga saham dalam pasaran terbuka tertakluk kepada berbagai faktor yang antaranya tidak dapat dikawal terutama dalam keadaan pasaran saham dunia yang tidak menentu ketika ini , yang sebahagian besar menunjukkan arah aliran menurun. 

Ketiadaan dokumen-dokumen penting syarikat yang dicadang untuk dibeli itu, menyulitkan kita untuk menilai sama ada cadangan untuk memilikki kepentingan dalam syarikat itu adalah satu cadangan yang menguntungkan. Dengan itu saya berpendapat cadangan pembelian ini wajar tidak diterima'.

Pagi-pagi lagi ulasan yang Aku taip sendiri itu , aku sampaikan kepada setia usaha pengerusi dan satu salinan kepada setiausaha timbalan pengerusi.

Dalam beberapa jam Aku dipanggil oleh Timbalan pengerusi. Aku ke pejabatnya. Belum sempat duduk Aku telah dijerkah. 

"Pasal apa you ulas mengatakan tidak bersetuju?"

"Itu pandangan saya. Jika bos  (pengerusi) nak over rule, saya tak ada masalah. Put it in writing" , kata Aku tegas.

"You tak setuju, bos pun takutlah nak setuju", kata Timbalan Pengerusi dengan nada kesal.

"Kalau dia sebagai bos takut, saya lebih lagi takut". 

Timbalan Pengerusi memandang ke tempat lain. Aku faham isyaratnya itu, suruh keluar berambus. 

"I will put it writing ". Ayat terakhir untuk Aku.

Aku dengan segera keluar dari bilik Timbalan Pengerusi. Dalam perjalanan ke pejabat , Aku tertanya-tanya mengapa mereka semua mahu membeli saham itu tanpa maklumat dan fakta yang lengkap. Dan apa maksud 'I will put it in writing' yang dihamburkan oleh Timbalan Pengerusi itu. Adakah berkaitan dengan laporan prestasi Aku atau apa? Lantak dialah. 

Beberapa bulan berlalu, harga di pasaran saham merudum termasuk harga saham syarikat yang dicadangkan untuk dibeli itu. Masa cadangan dulu harga jualnya 6 ringgit se saham. Sekarang sudah jatuh kepada 2 ringgit.  Kalau dibeli, atas kertas rugi 4 ringgit satu saham. Beli pula secara berhutang bank. 

Macam mana? Apa yang akan terjadi? Dapat untung atau bangkrap? Tanya Aku pada diri sendiri. 

Nak tanya pengerusi dan Timbalan pemgerusi tak boleh. 'Nak kena bambu, tanyalah'.

Begitulah halnya. Sesuatu yang dikatakan betul dan perlu diikuti tak semestinya betul kepada orang lain terutamanya bos. 

Tapi apabila terbukti ianya betul dan telah menyelamatkan bos dan syarikat, tidak ada seseorang berkata, "Nasib baik you nasihat jangan beli".  Semuanya buat 'deggg' saja.

Bila sudah besara, semakin jelaslah akan maksud ayat 'I will put it in writing'.
 
 





Isnin, 26 Ogos 2013

Jenayah dan Keadilan Sosial

 
 
 
Jenayah, jenayah, jenayah. Perlakuan  yang nampaknya semakin mewarnai dalam kehidupan kita di negara ini. Ianya bukan satu warna warni yang cantik yang menjadi idaman kita semua. Warnanya semakin cenderung mengarah kepada kelam, gelap dan menghitam, jika ianya tidak diurus secara baik, tegas dan berani.
 
Sudah tentu kita tidak mahu  suatu hari nanti perlakuan jenayah ini akan menjadi suatu kebiasaan dan diterima seadanya. Kita tidak mahu ramai orang tidak ambil peduli. Kita juga tidak mahu akan sikap dan tutur kata, 'Lantaklah ,apa nak jadi, jadilah'.
 
Maknanya kita semua mesti ambil peduli. Bukan saja bersikap dan menuturkannya bahkan bertindak untuk menzahirkan kepedulian kita itu.
 
Jenayah. Saya berbicara tentang berbagai jenis jenayah. Terlalu panjang untuk disenaraikan.
 
Jenayah salah guna kuasa, penyelewangan dari amanah, rasuah, pemerdagangan manusia, penipuan dan pembohongan, putar belit isu dan fakta, putar belit tafsiran al-quran dan hadis untuk kepentingan diri dan kelompok, fitnah, penyaksian palsu atau lidah bercabang, pangaliran wang haram, membunuh dengan berbagai cara dan peralatan senjata, peras ugut, mendera dan menyiksa, merompak, meragut, dan berbagai lagi bentuk perlakuan jenayah. 
 
Semua bentuk JENAYAH PERLU DIHAPUSKAN!
 
Bagaimana? Jawapannya ada pada setiap dari kita: Semua kita jangan lakukan jenayah.
 
Tapi itu jawapan dari malaikat, bukan dari manusia. Manusia mempunyai sifat , sikap, perangai, nafsu , kemahuan, cita-cita dan apa saja, selama ianya bernyawa, yang berbentuk rencam , pelbagai dan tidak mudah dibaca dan difahami, yang ditunjangi oleh kepentingan diri.
 
Maknanya menghapuskan perlakuan jenayah tidak semudah seperti apa yang dituturkan, jika ianya melibatkan manusia. Kalau harimau atau binatang yang mengganas, kita tangkap atau tembak saja, habis perkara. Tapi jika manusia yang mengganas dan membunuh orang, kita perlu tangkap, siasat, dakwa dan seterusnya dibicara dibawah sesuatu peruntukan undang-undang untuk menentukan salah benarnya orang itu.
 
Tapi menyiasat, mendakwa dan membicara serta menjatuh hukum orang yang dituduh itu  juga tidak kesemuanya dilakukan atau dapat dilakukan dengan bebas tanpa berbagai gangguan, halangan dan campur tangan. Malah ianya boleh melahirkan perlakuan jenayah yang lain pula, dalam bentuk campur tangan dan penyalahgunaan kuasa bagi melindungi perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pihak berpengaruh, berkuasa dan berkepentingan. 
 
Jadi jenayah tetap akan berlaku, dilakukan oleh manusia tidak kira kelas, kedudukan, agama, bangsa , taraf sosial atau latarbelakang manusia itu, yang  bertujuan bagi melindungi kepentingan pelaku jenayah itu. 

Soalnya mana satu manusia yang tidak mementingkan diri sendiri untuk hidup. Saya belum terjumpa. Dan saya juga termasuk dalam golongan yang mementingkan diri sendiri. 
 
Nampaknya kenyataan diatas sebagai satu kenyataan yang mengalah. Mengalah kepada pelaku jenayah. Inilah yang dikatakan sikap: lantaklah, apa nak jadi, jadilah.
 
Tidak, saya sekali-kali tidak bersetuju dengan sikap itu. Seperti yang saya  katakan diatas, kita mesti ambil peduli. Kita mesti bersama-sama menentang jenayah  dan menghapuskan jenayah. Bagaimana? Sebab itu saya katakan jawapan ada pada setiap dari kita: Jangan lakukan jenayah.

Benar, itu jawapan dan pengakuan serta perlakuan yang mampu diberi dan dilakukan oleh malaikat, dan  bukan oleh manusia. Tapi bertolak dari keinginan untuk tidak melakukan jenayah itulah kita mampu melahirkan perasaan rasa bersalah untuk terlibat dalam jenayah. Kita ingat akan dosa dan pahala. Kita ingat akan syurga dan neraka. Maknanya ada ruang masa kita sediakan untuk berfikir  baik buruknya perbuatan kita.

Benar, ianya tidak semudah apa yang diperkatakan. Tapi ianya paling kurang melewat atau menangguhkan kita untuk melakukan jenayah. Mungkin dalam masa tertangguh itu, rumah kita dirompak dan harta kita, termasuk wang dicuri dan dilarikan, serta kita dan keluarga diseksa. Maka sudah tentu terdetik dihati kita akan kebencian dan marah kita terhadap pelaku jenayah itu.
 
Maka hasrat untuk melakukan jenayah sudah tentu bertukar menjadi keazaman untuk menentang jenayah. Sebab kita mulakan dengan memasang niat untuk tidak melakukan jenayah. Niat baik yang selalu menjadi godaan nafsu dan syaitan.

Mengapa niat yang baik itu selalunya tewas. Saya tidak pasti sebabnya yang sebenar. Tapi saya percaya tewasnya niat baik kita itu adalah disebabkan antara lainnya kesan daripada perasaan kecewa dan tidak puas hati akan kegagalan pihak berkuasa dalam menguruskan keadilan sosial (the administration of social justice) dikalangan rakyat.
 
Cuba kita renungkan atau lebih baik dapatkan statistik tentang satu hal saja seperti dibawah ini:
 
Pendapatan isi rumah orang miskin berbanding dengan orang kaya.
 
Lihat cara dan bagaimana orang berpendaptan rendah, katakan bergaji RM 1000.00 menjalani kehidupan di Kuala Lumpur . Lihat kediamannya, lihat keperluan mendapat rawatan kesihatan, lihat dimana tempat asuhan anak-anak, lihat penghantaran anak-anak kesekolah, lihat belanja anak-anak itu, lihat pakaian anak-anak itu, lihat peluang anak-anak itu untuk menghadiri kelas tambahan, lihat pembaziran makanan yang dilakukannya? dan banyak lagi perkara yang anda mesti lihat.
 
Kalau anda adalah orangnya, anda perlu bersabar. Jangan anda bandingkan dengan kehidupan orang yang berpendapatan tinggi. Kalau tidak anda  akan cenderung melakukan perbuatan jenayah, mencuri wang bagi menampong ketidakcukupan pendapatan anda itu kerana anda cuba mahu merasa sama apa yang anda fikir dan lihat orang kaya merasanya. Cuma anda tidak mampu membazir makanan seperti yang dilakukan oleh orang kaya.

Saya faham anda terlalu marah dan kecewa. Tapi jangan melakukan jenayah.
 
Bagiamana dengan penyelewengan pihak berkuasa, rasuah , salah guna kuasa dan yang sejenis dengannya. Sudah tentu anda kecewa. Tapi jangan pula anda bertindak sebagai penjenayah berganding bahu sama melakukannya. Ingat perlakuan jenayah itu bukan saja membunuh.
 
Sekali lagi saya faham perasaan anda itu. Anda sebenarnya perlu mendapat layanan tidak jauh bezanya seperti orang kaya, seperti orang yang berpengaruh dan seperti orang yang ada kuasa. Tapi sehingga kini ianya masih lagi dalam igauan anda. Itulah sebabnya anda kecewa dan marah- tiada keadilan sosial.  
 
 
 
    
 
 
 
  
 
 

 

Ahad, 25 Ogos 2013

Dailog Penjulan MAS Yang Berlaku Dalam Igauan

Saya berdailog dengan seseorang dalam mimpi tentang MAS. Orang itu beria-ia sangat mahu MAS dijualkan. Katanya inilah satu cara saja untuk MAS membuat untung, dan tidak akan rugi. Saya catatkan apa yang dapat saya ingat.

Saya (S): Kena apa MAS perlu dijual?

Orang Itu (OI): MAS rugi, sebab itu kena jual. Pihak swasta pandai  berniaga. Contoh kawan saya tu.

(S): Kena apa MAS rugi?

(OI): Pengurusan MAS tak pandai berniaga.

(S): Kena apa tidak diganti dengan pengurusan yang lain.

(OI): Dah banyak kali ditukar ganti, sama saja, rugi memanjang.

(S): Siapa yang memilih dan melantik kepimpinan MAS itu.

(OI): Dulu sayalah yang memilih dan melantik. Saya fikir dia boleh buat untung.

(S): Maknanya apa yang awak fikir itu tidak betullah, kerana yang awak pilih itu tak boleh buat untung.

(OI): Mana saya tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

(S): Macam mana pula awak boleh tahu MAS akan untung jika dijual.

(OI):Saya ambil contoh kawan saya tu. Tengok kapal terbang yang dia urus, untung setiap tahun. 

(S): Kena apa tidak diambil saja orang itu untuk menguruskan MAS.

(OI): Boleh. Tapi atas dasar syarikat milik sendiri bukan syarikat kerajaan.

(S): Maknanya awak nak MAS dijual kepada kawan awak itulah.

(OI): Tidak juga. Tapi mesti diberi kelebihan kerana dia telah membuktikan yang dia boleh buat untung. Itu fikiran saya.

(S): Dulu awak juga telah melakukan kesilapan dengan melantik dan memilih kepimpinan MAS yang awak fikir boleh buat untung, tapi akhirnya MAS rugi. Bagaimana pula kali ini awak boleh yakin dengan fikiran awak yang percaya kawan awak ini boleh buat untung.

OI itu tersangat marah lalu dicekiknya leher saya. Saya menjerit minta tolong. Tapi jeritan saya itu terlalu sangat susah untuk keluar dari mulut. Kemudian saya terasa badan saya ditepuk-tepuk oleh seseorang. 

"Abang mengigau", kata isteri saya. Saya beristighfar. Rupanya kalau kita terlalu memikirkan sesuatu dengan serious ianya boleh membawa kedalam mimpi atau igauan yang menakutkan.

Ya, sebenarnya saya terlalu khuatir jika cadangan pihak yang masih berpengaruh untuk menjual MAS menjadi kenyataan. Entah macam mana saya mempunyai keraguan yang tinggi diatas asas penjualan MAS itu: Adakah kerana MAS itu rugi atau atas sebab kerugian itu diambil kesempatan bagi melonggokkan pemilikan harta dan kekayaan kepada golongan kecil yang berpengaruh. 



Sabtu, 24 Ogos 2013

Satu Perbincangan Yang Menarik Di TV1: Tahniah

 
 
 
 
Malam tadi sebaik saja menekan butang alat kawalan jauh tv, saluran yang terpapar ialah saluran TV1. Biasanya tindakan spontan saya ialah menekan butang untuk menukar ke saluran selain dari tv 3 dan saluran yang seciri dengannya. Saya akan memilih saluran sukan siri astro 800.
 
Tapi tidak pada malam tadi. Saya terus melihat dan mendengar perbincangan yang disiarkan secara langsung itu walaupun saya telah tertinggal sebahagian daripadanya. Saya tidak pasti tajuk perbincangan. Tapi terdapat dua orang tetamu dan dua orang  pengacara yang terlibat. Perbincangan terbuka kepada penyertaan orang ramai secara panggilan talipon dan hantaran pesanan melalui media sosial.
 
Bagi saya perbincangan amat menarik dan terbuka. Sebab itu saya terus menonton dan mengikuti perbincangan dengan penuh minat. Ini adalah kali pertama semenjak lebih dari berbelas tahun saya menjauhkan diri dari mengikuti siaran tv 1, tv 2, tv3 dan yang seciri dengannya kerana terlalu berat sebelah dan banyak faktor dan cerita yang diputar belit.
 
Kali ini nampaknya lain sekali. Baik sekali. Mesti tonton dan dengar. Tahniah kepada mereka yang membuat pendekatan yang baru ini. Mungkin Menteri Penerangan yang baru terlibat dalam perubahan ini. Tahniah. Dan jika berterusan cara begini, saya akan berubah. Berubah mula menonton tv1. Harap-harap begitu.

Perbincangan itu berkaitan dengan perkembangan di Mesir ketika ini. Dua tetamu yang berbincang itu nampaknya mewakili dua parti yang berbeza. Satu dari UMNO dan yang seorang dari PAS. Maka tidak hairan masing-masing membawa pemikiran parti masing-masing. 
 
Nampaknya mereka berbincang secara adab yang baik, hormat menghormati perbezaan pandangan. 

Bagi saya pula ada beberapa hal saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan wakil UMNO itu.

Pertama soal taat kepada pemerintah yang zalim. Menurut fahaman saya , wakil UMNO itu yang sekali gus memihak kepada pendekatan kerajaan, menggesa supaya rakyat Mesir yang menyokong Presiden Morsi yang telah digulingkan tentera itu, tidak wajar meneruskan demonstrasi menentang pihak tentera kerana ianya meletakkan diri kepada bahaya. Dan beliau memetik ayat al-Quran yang menegah kita meletakkan diri dalam bahaya.
 
Beliau lebih suka rakyat yang telah dizalimi itu balik ke rumah. Lebih selamat. Ikut saja apa yang diminta oleh pihak tentera. Tak perlu demonstrasi. Kata pembicara itu bahawa rakyat yang menentang kezaliman tentera itu tidak ada kekuatan. Lantas katanya lebih baik balik ke rumah, bina kekuatan. 
 
Batal demonstrasi, balik ke rumah, bina kekuatan? Itu kah caranya yang terbaik untuk menentang pemerintah yang zalim yang telah membunuh dan menyiksa rakyat yang tidak bersalah? Saya tidak memilih jalan pemikiran pembicara itu.
 
Dalam masa yang sama beliau mahu membawa dan mengaitkan peristiwa Mesir itu dengan keadaan di Malaysia. Beliau mahu rakyat  taat kepada pemimpin kerajaan yang ada. Tidak perlu menentang kerajaan yang ada. Tidak perlu adakan demonstrasi jalanan, istilah yang beliau gunakan merujuk kepada tunjuk rasa sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap kepincangan kerajaan dan kepincangan perjalanan pilihanraya 2013. Katanya lagi bahawa demonstrasi itu adalah dimulakan oleh puak Khuwarij dan Yahudi. Demonstrasi banyak menimbulkan kerosakan.
 
Itu adalah pandangan pembicara itu. Tapi mengapa pula dikaitkan dengan khuwarij sebagai alasan untuk menentang demonstrasi. Adakah hanya sesuatu yang dimulakan oleh puak khuwarij itu perlu ditentang? Bagaimana sesuatu yang dimulakan dan berasal dari bukan dari khuwarij? Kita boleh terima?
 
Sebenarnya banyak hal yang telah kita laku dan amalkan tidak berasal dan berteraskan Islam. Demokrasi, misalnya bukan berasal dari Islam. Mahkamah dan undang-undang sivil yang kita amalkan di Malaysia, tidak juga berasal dari Islam. Tapi kenapa kita terima dan pertahankan pula.
 
Jadi bukan soal khuwarij dan bukan khuwarij. Yang perlu dilihat ialah sama ada apa yang kita ikuti dan amalkan itu menyalahi prinsip keadilan Islam dan kemanusiaan sejagat. Jika orang menzalimi kita atau lebih tepat jika sesuatu kerajaan itu melakukan kezaliman, adakah kita perlu duduk dirumah saja tanpa menyatakan perasaan dan penentangan kita terhadap perbuatan yang zalim itu? 
 
Kerana kita dipihak yang lemah, hanya mencukupi bagi kita taat saja kepada kerajaan yang melakukan penyelewengan? Biarkan kezaliman dan segala salah laku dalam bentuk rasuah, pembaziran wang rakyat dan pembiakan fitnah? Sekali lagi saya menyatakan saja tidak satu jalan dengan pembicara itu.

Pembicara itu melihat demonstrasi sebagai sesuatu yang lebih merosakkan dari memberi peringatan kepada kerajaan yang zalim supaya membetulkan keadaan. Nampaknya beliau melihat bahawa yang jahat ialah pendemonstran. Yang buat kacau bilau dan merosakkan harta awam ialah pendemonstran. Yang ganas ialah pendemonstran yang tidak bersenjata. 
 
Yang baik dan tidak ganas ialah kerajaan dan wakil kerajaan yang bersenjata. Oleh itu kerajaan perlu ditaati dan dikekalkan. Sebaliknya pendemonstran dihukum dan diperlakukan  sebegitu rupa kerana tidak taat kepada kerajaan. Pendemonstran itu adalah puak khuwarij!

Saya memang tidak bersetuju pandangan dan pendekatan beliau itu. Namun begitu saya amat gembira sekali perbincangan dijalankan secara terbuka. Dan pengacara pun bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Tahniah kepada tv1 dan pengacara.
 
 
 
 


 
 

Jumaat, 23 Ogos 2013

Cermin Mata Saya Hilang: Nasib Baik Wang 10,000 Tak Hilang.

 
 
 
 
Sudah hampir seminggu saya tiada bercermin mata. Entah macam mana cermin mata saya hilang. Tidak tahu hilang dimana. Saya sangat susah hati kerana untuk membuat yang baru sudah tentu kena keluar belanja. Saya percaya tidak kurang dari RM 2000.00, kalau harga cermin mata yang hilang itu dijadikan sandaran. Mana nak cari duit. Wang pencen banyak itu juga. Berbelanja dihari raya, bukan main lagi, kurang sedikit dari orang kaya. Saya jadi pening dibuatnya.
 
Memang saya pening tanpa cermin mata. Berpinar-pinar mata saya bila saya cuba memberikan fokus ketika memandang sesuatu, cuba mengecam apakah benda yang saya pandang itu. Kedua-dua belah mata terpaksa dikecilkan untuk menghasilkan imej yang jelas keatas sesuatu objek itu. Oleh kerana selalu diulang-ulang maka mata menjadi berpinar, kepala jadi pening.
 
Yang paling terjejas sekali ialah kemampuan membaca. Saya tidak mampu membaca dengan baik. Tanpa cermin mata saya telah meletakkan diri saya dalam risiko kewangan yang paling serious.

Begini ceritanya: Sewaktu menandatangani sebuah dokumen penting tentang jual beli saya hanya mampu menandatangani dokumen itu tanpa membaca isi kandungan dokumen itu. Tambahan lagi sipenjual mengatakan bahawa apa yang terkandung dalam dokumen itu adalah sesuatu yang 'standard' bagi semua orang. Saya tidak perlu risau katanya.

Apabila dokumen telah ditandatangani, saya diminta membayar wang tempahan sebanyak RM10,000.00 sebagai tanda saya bersetuju membeli harta itu. Penjual menggesa saya membayar secara tunai atau gunakan kad kredit bagi tujuan bayaran itu. Saya tidak bersetuju membayar secara tunai. Lagipun mana ada orang bawa wang tunai sebanyak itu. Saya juga tidak mahu gunakan kad kredit sebab had belanja kad kredit saya tidak sampai ke tahap RM10,000.00.

Maka sipenjual bersetuju menerima cek persendirian. Sipenjual meminta saya menulis cek atas nama syarikat yang lain dan bukan atas nama syarikat yang memiliki harta itu. Saya mengesyakki sesuatu yang tidak kena dan bertanya mengapa atas nama syarikat lain. Sipenjual menjelaskan ianya telah dipersetujui begitu. 

Oleh kerana harta itu amat menarik dari segi pandangan saya dan isteri maka saya bersetuju untuk mengeluarkan sekeping cek persendirian dengan nilai sepuluh ribu atas nama syarikat yang diberitahu.  Sebenarnya harta itu bukan untuk saya tapi saya mendahului wang buat sementara untuk anak saya yang telah meminta saya mencari harta yang sesuai untuk dibeli. Anak saya akan membuat pinjaman bank bagi membeli harta itu.

Saya masih lagi meragui kenyataan sipenjual tadi. Tiba saja dirumah dengan meminjam cermin mata isteri, saya membaca dokumen yang ditandatangani tadi (nasib baik saya boleh membaca walaupun terasa sakit sedikit). Saya dapati bahawa bayaran hendaklah dibuat atas nama syarikat pemaju  bukan atas nama syarikat yang diberitahu oleh sipenjual itu. Saya amat susah hati.

Seperkara lagi, menurut dokumen itu juga, jika saya batalkan pembelian, wang tempahan yang telah dibuat akan hangus (boleh dirampas) menjadi milik penjual. 

Ya, saya semakin amat susah hati. Tak fasal-fasal hilang wang sepuluh ribu. 

Dalam masa yang sama saya menalipon anak, memberitahu saya telah mendahulukan wang bagi membeli harta itu. Anak saya tidak bersetuju dengan pembelian itu kerana beliau ada rancangan yang lain. "Aduuuuhhhhh, macam mana ni", terkeluar keluhan hati yang amat tertekan.

"Sudah, habislah aku. Macam mana nak cari wang seterusnya untuk membiayai pembelian harta yang berniali lima ratus ribu lebih itu". Begitulah kata-kata dalam hati saya yang tidak dikeluarkan.

Saya tidak layak untuk mendapat pinjaman disebabkan tiada kerja dan faktor usia. Jadi, bagaimana?

Mahu tidak mahu saya mesti batalkan pembelian itu. Bagaimana dengan cek yang telah dikeluarkan itu? 

Saya menalipon penjual itu menyatakan hasrat membatalkan pembelian. Penjual memujuk saya untuk meneruskan pembelian dan meminta saya datang berbincang pada keesokan harinya. Saya tetap dengan keputusan untuk membatalkan pembelian.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya bersama isteri telah sedia tercegat dipintu masuk bank. Ketika itu baru pulul 8 pagi. Waktu urusan bank ialah 9.30 pagi. Saya semakin tertekan. Saya mesti mendahului penjual itu dari segi urusan dengan bank. Saya khuatir cek saya telah di'bank-in' dimana-mana mesin ATM mendahului urusan pembatalan yang akan saya buat.

Seorang pegawai bank yang mengenali saya mengucapkan selamat raya sebaik saja melihat saya. Saya mengambil peluang untuk meminta pegawai itu mengambil tindakan untuk tidak melepaskan cek tersebut walaupun waktu bekerja bank akan bermula satu setengah jam lagi.

Pegawai bank itu menyatakan bahawa ianya boleh dilakukan dengan mengisi borang tertentu. Dan meminta saya berbuat demikian apabila bank memulakan urusniaga pada pukul 9.30 pagi. Beliau meredakan kerisauan saya dengan menyatakan bahawa paling cepat cek akan boleh ditunaikan (clear) dalam tempoh 2 hari.

Apabila bank memulakan urusniaga, saya dengan segera melakukan seperti yang dinasihati pegawai bank itu. Pegawai bank menasihati saya untuk memberitahu penjual tentang tindakan saya membatalkan  cek saya itu dan meminta agar cek itu tidak di'bank-in'. Kalau cek itu di'bank-in' juga saya akan didenda sebanyak sepuluh ringgit.

"Kena denda, kena dendalah, asalkan wang sepuluh ribu itu selamat", begitulah kata-kata saya kepada pegawai bank itu.  

Banyak hari saya cuba mengingatkan dimana agaknya saya tertinggal cermin mata itu. Kali terakhir saya menanggalkan cermin mata ialah semasa bersolat Asar di R&R Seremban arah selatan. Mungkin tertinggal disana semasa mengambil wudu'. 

Tapi saya masih merasakan, cermin mata itu saya pakai setelah selesai solat. Maknanya cermin mata itu tidak tertinggal di R&R. Tapi dimana ye? Puas merata cari di rumah tak jumpa juga. 'Give up'. Baik buat cermin mata baru. Kalau tidak tertipu lagi.
 
Semasa bersiap-siap ke kedai untuk tujuan membuat cermin mata, isteri memberi tahu ada cerita baik. Dia akan beritahu jika saya memberi upah. Maksudnya bagi hadiah wanglah. Saya kata tak ada masalah. "Cermin mata abang dah jumpa dibawah sofa". Rupanya disitu hilang cermin mata saya itu, dibawah sofa yang menjadi tempat duduk sama ada untuk berihat atau menulis.    

Alhamdulillah, cermin mata dah jumpa, wang sepuluh ribu tak hilang. Bolehlah terus berblogging.

Cuma satu persoalan yang sedikit mengganggu. Mengikut dokumen yang telah ditandatangani, wang tempahan akan hangus/dirampas jika pembelian tidak diteruskan. Tapi apa yang penjual boleh rampas. Saya bayar dengan cek. Cek pun telah ditarik balik.

Mungkin penjual akan mengambil tindakan undang-undang kerana saya telah melanggar satu daripada syarat dalam dokumen jual beli yang saya telah tandatangani. Ini semua fasal cermin mata yang hilang.

Jika penjual bertindak begitu saya juga ada alasan: i) penjual tidak menerangkan kepada saya akan akibat bayaran tempahan akan dirampas jika saya tidak meneruskan pembelian, ii) menurut dokumen , cek mesti dikeluarkan atas nama pemaju, bukan atas nama syarikat lain.

Maknanya saya juga akan terpaksa guna khidmat peguam.

Pengajarannya ialah jangan mudah-mudah percaya cakap orang terutama kata-kata serta janji dari penjual; baca dan faham betul-betul apa isi kandungan sesuatu dokumen; buat bayar gunakan cek; jangan buat komitmen kewangan pihak lain tanpa mendapat persetujuan pihak berkenaan walaupun pihak lain itu adalah anak sendiri.

Ini bukan kali pertama saya percaya akan kata-kata seseorang yang menyusahkan diri saya. Tak jeran-jeran.
 

Khamis, 22 Ogos 2013

MAS YANG SENTIASA RUGI: Jangan Jual.

Cerita MAS lagi. Tidak pernah selesai MAS yang rugi. Rugi yang memanjang sedang kembarnya SIA yang telah lama berpisah merekodkan keuntungan-untung memanjang. 

Apa yang tidak kena dengan MAS ini? Soalan mudah yang keluar dari banyak mulut. Ada yang marah-marah dan kehairanan. Ada yang gatal-gatal mulut mahu terlibat sama bertanya sedang untuk mencadangkan penyelesaian jauh sekali. Ada yang bertanya bermotifkan politik. Dan ada yang sebenarnya bertanya untuk mencari jawapan dan mencari jalan penyelesaian. 

Solannya mudah: Apa yang tidak kena dengan MAS?
Ini bukan soalan baru. Cuma penyelesaian keatas kerugian yang dialami MAS itu belum lagi dapat dicari walaupun pengurusan MAS bertukar ganti. Rugi , rugi dan terus rugi.

Khabarnya pada awal operasi MAS, syarikat itu meraih keuntungan.  Maknanya MAS boleh meraih keuntungan. Tapi macam mana? Apa yang perlu dilakukan?

Bagi orang yang berfikiran singkat jawapannya mudah saja. Tutup kedai. Buat apa teruskan kalau rugi. Habiskan wang rakyat saja. 

Orang seperti diatas tidak mengambil kira kesan dari pemberhentian operasi MAS itu. Banyak yang negatif dari positif. Tapi itu adalah diantara pilihan yang boleh diambil. Cuma pilihan itu dikatakan kurang rasional oleh setengah pihak terutama di pihak kerajaan.

Ada satu lagi pilihan yang boleh diambil untuk mengubat sakit MAS ini. Pilihan ini sentiasa dianggap mujarrab dalam menyelesaikan beban kewangan. Swastakan saja MAS itu. Biar MAS diurus oleh pihak swasta sepenuhnya. Kerajaan tidak perlu ada dalam MAS. Ertinya jualkan saja MAS itu kepada pihak swasta yang berminat. 

"Kerajaan tidak perlu berniaga kerana itu bukan tugas kerajaan", kata mereka yang bersetuju bagi MAS dijual dan diuruskan oleh pihak swasta. 

Betul juga hujah itu. Mengapa kerajaan mesti terlibat dalam perniagaan?

Tapi ada pihak yang mempertahankan agar MAS tidak dijual dan diswastakan. Antara alasan ialah untuk menjaga imej negara. MAS membawa nama negara. Jual MAS bererti menjual negara. Ini tanggungjawab kerajaan. Ini perniagaan yang strategik. Antara hujah yang dikedepankan.

Maka setakat sekarang keputusan kerajaan, MAS tidak dijual. Maknanya tidak diswastakan sepenuhnya untuk menjadi milik persendirian.

Sama ada MAS masih lagi mahu dikekalkan sebagai milik kerajaan atau diswastakan, soal kerugian MAS itu perlu diselesaikan, perlu diatasi segera.

Untung rugi sebuah syarikat perniagaan, saya percaya berkait langsung dengan pengurusan syarikat itu. Maknanya ada yang tidak kena dengan pengurusan MAS. 

Tapi telah beberapa kali berlaku perubahan kepimpinan dipihak pengurusan. Hasilnya tetap sama. Rugi. Adakah mereka yang telah diamanahkan itu tidak beramanah dan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab. Adakah mereka itu terdiri dari orang yang tidak tahu berniaga dalam sektor penerbangan? Atau adakah campur tangan dari pihak luar yang berkuasa dalam pengurusan MAS?

Cuba kita ingat kembali tentang perubahan pengurusan MAS ini. Apabila masuk pengurusan baru mengambil alih, berbagai plan perniagaan mahu dilaksanakan termasuk menyusun semula MAS dari segi pengurusannya dan operasinya. Ada yang telah menjual aset MAS (bangunan), dan menukar kaedah operasi MAS dari memilikki kapalterbang kepada menjadi penyewa kapal terbang. Tujuannya ialah  bagi mengurangkan kerugian kearah membirukan akaun MAS yang sentiasa merah itu. Tindakan itu telah mendapat kritikan setengah pihak. Ada juga yang menyokong.

Tapi sehingga kini MAS masih lagi rugi dan dicadang untuk dijual.

Cuba ingat lagi akan cerita tentang persetujuan kerajaan membenarkan MAS diambilalih oleh Air Asia bagi mengatasi masalah kerugian yang memanjang ini. Kerana ada pihak-pihak yang terlalu taksub dan percaya bahawa pengurusan Air Asia dibawah kepimpinan seseorang mampu melakukannya. Ertinya kalau MAS mahu untung berikanlah kepada pihak ini untuk menguruskannya. Hebat! Sebab Tikus (Air Asia) boleh menelan Gajah (MAS).

Saya tidak percaya dan tidak bersetuju dengan langkah itu. Syukur, setelah mendapat tentangan dari banyak pihak, tidak berlaku pengambilan syer MAS oleh Air Asia. Ada juga yang kecewa dengan keputusan kerajaan ini. 

Dan saya percaya ada orang lain atau pihak lain juga mampu untuk mengurus MAS untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan yang boleh bersaing dipasaran dunia. Tapi siapa dia dan bagaimana caranya.

Saya tidak mempunyai jawapan kerana saya bukan ahli perniagaan. Berniaga kedai runcit pun tidak mampu inikan pula dalam sektor penerbangan. 

Sebagai rakyat saya mahu menyatakan perasaan bahawa saya tidak bersetuju MAS itu dijual atau diswastakan. Kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah. Rugi pasti berlaku walaupun diswastakan sekiranya kita tidak dapat memberi jawapan kepada persoalan mengapa MAS rugi seperti yang berlaku dalam kes MAS dan kes-kes penswastaan yang lain. 

Kita ada banyak contoh tentang pengswastaan yang gagal yang akhirnya membebankan wang kerajaan, wang rakyat kerana kerajaan terpaksa mengambil tindakan menyelamatkannya demi kepentingan negara? atau pihak tertentu yang mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkuasa? Yang terbaru ialah pengswastaan AES (Sistem Penguatkuasaan Saman Secara Automatik) yang diberitakan akan diambilalih semula oleh kerajaan. Besar kemungkinan kerajaan akan membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat yang terlibat. Sekian kali rakyat menangung kerugian dik dasar pengswastaan.
 

Dengan itu MAS mesti dikekalkan pegangannya. Tidak boleh dijual. Tidak wajar MAS dimiliki oleh pihak persendirian apatah lagi oleh orang asing. 

Tapi jawapan kepada persoalan mudah: Apa yang tidak kena kepada MAS perlu dirungkai segera. Oleh itu MAS dalam bentuk pengurusan dan operasi bercirikan komersial perlu juga melaporkan prestasi perniagaannya kepada parlimen, kepada rakyat. 

Rakyat perlu diberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Kedudukan Akaun MAS mesti di bentangkan dalam parlimen untuk rakyat tahu sama ada merah atau biru. Dari situ kemungkinan besar rakyat akan tahu apa yang tidak kena kepada MAS. Ini tidak bermakna pengurusan dan operasi MAS akan tertakluk kepada bentuk pengurusan dan opersasi sebuah agensi atau jabatan kerajaan.



   


 




MAKAN DACING




'Makan Dacing' , satu istilah yang telah lama saya dengar dalam hal timbang menimbang. Saya mendengarnya semasa mengikut sama emak saudara menghantar susu getah  torehannya ke kedai seorang tauke China. Waktu itu saya berusia 8 tahun.

"Tauke jangan makan dacing eee", diantara kata-kata yang yang saya boleh ingat yang keluar dari emaksaudar saya itu. Tauke itu tersenyum, sambil meyakinkan kepada emak saudara saya bahawa dia bukan orangnya untuk berbuat begitu.

"Lu sudah kenal saya belapa lama. Jangan takut", mudah saja tauke itu menyakinkan emak saudara saya itu. Emak saudara saya memberikan senyuman semacam berpuas hati dengan kata-kata tauke itu. 

Saya ingin tahu apa itu makan dacing. Saya tahu ianya bukan seperti kita makan nasi atau mengunyah makanan. Dia bukan masuk dalam mulut. Tapi apa itu makan dacing.

Emak saudara saya memberitahu bahawa makan dacing itu adalah menipu berat timbangan. Kurang berat maknanya tauke akan bayar kurang wang. Yang untung tauke. Yang rugi penjual seperti emak saudara saya itu.

Tapi mengapa boleh tertipu timbangan sedangkan tauke membuat timbangan didepan penjual?

"Oooo macam-macam dia boleh buat. Dia gunakan jari untuk mengawal dacing. Macam-macam. Orang Cina ni pandai. Depan mata kita pun dia boleh tipu", emak saudara saya menjelaskan.

Saya pula ketika itu tidak pasti sama ada emak saudara saya tahu membaca skil timbangan di dacing itu. Mungkin dia tahu, sebab itu dia boleh meminta supaya tauke itu tidak makan dacing. Mungkin juga dia tidak tahu membaca timbangan. Dia hanya mendengar orang lain mengatakan makan dacing , dia pun turut mengingatkan tauke itu agar tidak melakukannya, agar dia tidak menjadi mangsa, sekurang-kurangnya dia berpuas hati mendapat pengakuan dari tauke itu yang tidak akan berbuat begitu.

Sama ada emak saudara saya faham dalam soal timbang menimbang atau sebaliknya, perkara makan dacing ini saya percaya memang berlaku. Penafian tauke itu bahawa dia tidak melakukan makan dacing itu mengesahkan perbuatan makan dacing itu memang berlaku.  

Emak saudara saya memberitahu bahawa dikalangan masyarakat tauke itu, mereka yang makan dacing adalah dianggap seseorang yang pandai dalam berniaga. Ianya satu kebijaksanaan dalam perniagaan, bukan sesuatu yang salah.

Itu cerita lama.

Cerita yang terbaru tentang makan dacing ini ditimbulkan oleh seorang kawan semasa saya mengunjung ke rumahnya pada hari raya ini. 

Kami bersembang tentang kerja kami selepas bersara dari perkhidmatan. Masing-masing nampaknya bersara penuh tanpa membuat kerja yang memberikan pendapatan tambahan. Cuma kawan saya itu menyatakan bahawa dia mempunyai hasrat untuk memohon lesen timbang dari Risda untuk membeli hasil getah dari pengusaha dan pekebun getah. 

Tapi hasratnya tidak menjadi kenyataan apabila beliau dinasihatkan oleh pegawai Risda supaya tidak usah menceburkan diri dalam bidang ini kerana tidak akan mampu bersaing dengan orang Cina. Kemungkinan besar lesen yang diperolehi akan di berikan kepada tauke Cina. 

"Haji takkan nak makan dacing?" Begitulah nasihat dalam bentuk pertanyaan yang keluar dari pegawai Risda itu. Maka matilah hasrat kawan saya itu untuk memohon lesen timbang dari Risda itu.

Maknanya pegawai Risda itu sendiri mengakui bahawa makan dacing itu memang wujud, memang dilakukan oleh pemegang lesen yang dikeluarkan oleh Risda itu.

"Mengapa tidak diambil tindakan?" Tanya saya kepada kawan saya itu.

"Susah bang nak buktikan. Tauke ni pandai", jelas kawan saya itu.

Kami terus bersimbang hal makan dacing ini. Masing-masing rasa kesal kerana gejala penipuan dalam timbangan ini walaupun diketahui tapi masih lagi berterusan. Pihak berkuasa pun tidak mampu untuk menghalang perbuatan penipuan ini. 

Yang paling malang sekali ialah apabila pegawai Risada itu menyatakan orang Melayu tidak akan mampu bersaing dengan orang Cina. Sebab  bagi orang Melayu makan dacing adalah berdosa. Makan dacing bukan sesuatu yang dianggap pandai dalam berniaga. Jadi penyelesaian dari pegawai Risda itu ialah jangan terlibat dalam perniagaan timbang menimbang. Pencen sajalah, kalau dah pencen. Jangan buat dosa untuk menipu berat timbangan. Jangan Makan dacing.

Satu hal yang menarik dihujung perbualan kami ialah apabila kawan saya itu menyatakan bahawa pada saat untuk menyambut hari raya dan pada hari rumah terbuka maka banyak hamper-hamper dari tauke-tauke yang makan dacing itu mengisi ruang rumah pegawai yang berkenaan.

"Sebab itulah kita tidak boleh makan dacing", kata kawan saya itu.
Rupa-rupanya makan dacing ini berlaku dari dulu , kini dan nampak gayanya selama-lamanya.
   

Ahad, 18 Ogos 2013

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana sudah memilikki angka 65.

Sekarang dah dapat number  65. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah memilikki number itu. 
 
Kalau diibaratkan dalam sebuah kelas yang ada 65 murid, angka 65 itu angka yang penghabisan mengikut kiraan dari 0. Maknanya number yang dimilikki itu adalah number corot. Dapat number corotlah. Satu kedudukan yang memang tidak disukai dalam mana-mana keputusan peperiksaan. Ianya amat memalukan dan menjadi ejekan. Bahkan akan mendapat kemarahan dan rotan dari abah. Sebab, dapat markah yang paling rendah, banyak subjek yang gagal sedangkan anak orang lain dapat number yang rendah. Maka terkeluarlah kata-kata anak yang tidak boleh diharapkan.
 
Hal diatas itu adalah  penilaian yang biasa dibuat bagi seseorang yang mendapat number tercorot dalam kelas. Kedudukan dalam sebuah kelas yang amat memalukan.
 
Tapi angka 65 yang dianugerah Allah ini adalah sesuatu yang amat dihargai yang menimbulkan rasa kesyukuran diatas peluang yang diberikan. Setakat mana peluang itu dimenfaatkan sepanjang tempoh yang dianugerahkan itu sudah tentu menjadi bahan renungan. Sudah tentu ada yang tidak kena, banyak langkah-langkah menjadi tempang dan pincang. Banyak berlaku kegelinciran dan jatuh dari landasan. Banyak yang sumbang dari yang menyumbang kearah kebaikan.
 
Ya sebenarnya banyak yang diangan-angankan telah gagal untuk dicapai. Harapan sebuah kehidupan yang ideal, kehidupan yang mengabdikan diri kepada Yang Mencipta semata-mata keranaNya, masih lagi tersasar jauh walaupun telah memilikki angka 65.
 
Bermula dari zaman kanak-kanak, pada ketika diberi kemampuan untuk membezakan yang baik dan yang buruk, yang disuruh dan yang ditegah , kecenderungan kepada perasaan dan perbuatan yang buruk dan yang ditegah lebih kuat dari yang sebaliknya. Pada usia 7 tahun, memasuki alam pendidikan formal bagi memantapkan keyakinan kepada amal makruf nahi mungkar, ianya tidak semudah seperti mengeluarkan kata-kata itu. Terlalu banyak simpang siur yang menjadi pilihan menuju destinasi. Maka sesat dan tersesat jalan dik pilihan simpang yang salah bukan lagi satu pengecualian, malah sudah menjadi kebiasaan dan kesukaan.
 
Begitu juga pada tempoh-tempoh tumbuh besar menjadi muda remaja dan alam keremajaan. Paling hebat sekali. Hebat dari segi ideal.   
 
Mahu menjadi orang yang berjaya. Mahu jadi anak soleh. Mahu jadi orang yang baik-baik. Mahu berjaya dalam pelajaran. Mahu dapat number satu dalam kelas. Mahu dapat kerjaya terbaik. Mahu jadi akauntan terkenal. Mahu menjadi itu, mahu menjadi ini. Begitulah kemahuan ketika itu. Semuanya yang baik-baik, yang indah-indah, yang molek-molek.
 
Hasilnya, tidaklah kosong. Tapi jika diibaratkan sebagai bekas mengisi barang, bekas itu masih banyak yang belum terisi, banyak ruang yang kosong. Sehingga memilikki angka 65, bekas itu masih belum mampu diisi penuh. Malah ada yang gagal dan tidak mungkin diperolehi untuk dimasukkan ke dalam bekas.
 
Memasuki alam kepabaan, masih lagi punya ideal. Ideal dalam sebuah pembinaan keluarga. Menjadi ketua keluarga terbaik, contoh yang menjadi ikutan insan-insan dibawah naungan. Mahu menghidupkan suasana kehidupan yang bersifat kasih sayang, menghormati dan dihormati dalam hubungan diantara suami dan isteri dan diantara bapa dan anak-anak. Impikan anak yang soleh dan soleha. Mahukan anak-anak memperolehi apa yang gagal diperolehi. Ya, segala-galanya mahu yang terbaik. 

Sekarang saya sudah dapat. Saya sudah dapat angka 65. Namun bekas yang ada pada saya bagi memuatkan ideal dan impian dalam sebuah kehidupan, masih ada ruang yang banyak kosong. Perjalanan masih berterusan dengan izin Allah. Mampukah bekas yang masih banyak ruang itu diisi? Satu pertanyaan untuk saya jawab sendiri kerana selain dari Allah sayalah yang tahu cara dan bagaimana dan barang apa yang perlu diisi. Harap-harap Allah memperkenankan cara, bagaimana dan bahan apa yang bakal saya isi.

Cuma ada satu saja persoalan yang masih melingkari fikiran saya, berpusing-pusing. Dan saya tidak mampu memberi jawapan lantas tidak akan dapat menjadikan bahan isian dalam bekas yang masih kosong itu. Yang mampu hanya isteri dan anak-anak saya saja. Jika bahan isian baik yang dipilih, saya bersyukur, kerana pilihan itu ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka semasa bernaung dengan saya. Harap-harap begitulah.
 
Alhamdulillah sekali lagi bersyukur ke hadrat Allah yang mengizinkan saya memilikki angka 65 dan seterusnya melangkah menuju angka yang hanya Allah saja mengetahui. Dan saya pasti saya tidak ingin angka kedudukan dalam kelas yang di panggil angka corot. Dan saya juga sedar saya tidak layak untuk memilikki angka 1 untuk kesyurga. Namun doa dan harapan tetap ada untuk saya, ibubapa saya, isteri dan anak-anak dan sekalian muslimin dan muslimat untuk ke syurga. InsyaAllah, semoga Allah memperkenankan.

 
 
 

Jumaat, 16 Ogos 2013

Sedap dan Enaknya Makanan bergantung kepada selera Masing-masing.

Semalam makan tengah hari di kompleks perniagaan Ampang Park. Makan di restoren Ayam Penyet. Ramai orang tapi dapat juga meja bagi kami 3 orang. Saya dan isteri pesan ayam penyet dan anak pesan ikan sembilang.
Ini bukan kali pertama saya makan ayam penyet tapi di tempat lain. Nampaknya yang ini masakannya asli Jawa. Pekerjanya pun memakai pakaian Jawa tidak seperti pekerja di restoran  yang telah saya pergi dulu memakai pakaian biasa saja.

Saya suka makanan yang berkuah. Tapi ayampenyet tidak berkuah. Ini menyebabkan saya minta kuahnya. Saya diberitahu mesti buat pesanan berasingan. Maka saya pesan kuah asam pedas yang dikenakan sebanyak tujuh ringgit semangkok.
 
Saya mula makan apabila kuah asam pedas sampai. Tapi rasanya tida seperti yang saya harapkan. Tidak seperti asam pedas Melaka. Ianya tidak menyelerakan. Terpaksalah makan ayam penyet yang tidak berkuah itu. Sambal yang disediakan terlalu pedas. Saya tidak berselera tapi makanan habis juga sebab terlalu lapar. Jadi saya makan bukan kerana enaknya masakan tapi kerana lapar.

Saya lihat orang dimeja lain makan bukan main berselera lagi.

Maknanya sedap dan enaknya sesuatu makanan bergantung kepada cita rasa individu. Bagi saya makanan ayam penyet di restoran Ampang Park itu tidak dapat menandingi masakan di gerai makan berhampiran padang TPCA (dekat hospital besar). Masakan ala-ala kampong itu amat sesuai dengan selera saya. Walaupun harganya murah tapi sedapnya mengatasi msakan ayam penyet yang mahal itu. Ertinya yang berharga murah itu tidak sebenarnya membawa nilai yang rendah berbanding yang berharga mahal.

Sebab itulah saya selalu mengatakan bahawa tidak ada seorang pun yang pakar dalam menilai sedap dan enaknya sesuatu makanan termasuklah chef yang terkenal. Ertinya jika chef itu mengatakan masakan A lebih sedapdari makanan B, ianya hanya  dari segi selera chef itu. Ianya tidak mewakili selera orang lain. Dan makanan yang dikatakan sedap oleh chef itu tidak wajar dikatakan sebagai yang terbaik dan diistihar sebagai pemenang.

Khamis, 15 Ogos 2013

SIAPA SEBENARNYA YANG MEMBENCI DAN MENGHINA ISLAM?

 
 
 
Takut Islam? Islamophobia? Siapakah agaknya yang takut dengan Islam sama ada terhadap orang Islam atau agama Islam itu sendiri. Siapa?
 
Mungkin ada yang menjawab yang takut dengan Islam ialah orang bukan Islam atau negara bukan Islam.  
 
Jawapan seperti ini mudah difahami kerana logiknya begitulah bahawa seseorang itu mestilah lebih sayang dan sukakan agama yang mereka anuti dan memandang sepi atau serong dengan berbagai perasaan negatif seperti curiga , benci dan marah keatas orang Islam dan negara Islam. Bukan saja perasaan bahkan tindakan yang mereka lakukan juga bersandarkan perasaan tidak senang keatas Islam itu sendiri. 
 
Lantas apa saja yang ada label Islam menjadi musuhnya. Hukum dan undang-undang Islam misalnya menjadi bahan celaan mereka. Nabi Muhammad SAW sudah menjadi lumrah untuk dihina mengikut suka hati dan pada bila-bila masa dalam berbagai bentuk hinaan yang mereka boleh fikirkan. Al-quran, kitab suci orang Islam sudah kerapkali diperlekehkan.
 
Saya tidak hairan semuanya itu. Dan sekali lagi saya katakan bahawa perasaan tidak suka orang bukan Islam itu terhadap Islam mudah saja kita fahami.
 
Bagaimana pula dengan orang yang mengaku Islam. Atau mendakwa negara mereka sebagai sebuah negara Islam?  Adakah mereka ini juga sayangkan Islam? Atau tidak benci dengan Islam? Atau tidak marah dengan agama Islam? Atau tidak memandang remeh dan kecil undang-undang dan hukum Islam?
 
Orang Islam dan negara Islam ( yang majoriti rakyatnya beragama Islam) sudah tentu tidak takut pada Islam, mengikut kepercayaan ramai orang terutama orang Islam sendiri. Mereka sayangkan Islam. Bahkan orang Islam di negara majoriti Islam itu dengan bangga mendakwa mereka adalah sebuah negara Islam walaupun perlaksanaan undang-undang dan hukum Islam tidak pernah dilaksanakan atau dilaksanakan secebis-secebis saja menurut fahaman yang tidak berteraskan Islam. 
 
Maknanya walaupun perlaksanaan hukum Islam itu tidak sebenarnya berlaku atau kehidupan cara Islam itu tidak sebenarnya diamalkan , orang Islam terlalu amat sensitif dan marah jika Islam dipermainkan terutama yang melakukannya adalah orang bukan Islam. 
 
Tapi jika yang menghina Islam itu orang Islam sendiri kemarahan dan hukuman yang dikenakan keatas orang itu bergantung kepada kedudukan dan pengaruh orang yang melakukan penghinaan itu. Kalau dia tiada kedudukan dan pengaruh dan kalau dia bukan ketua dan dikalangan pimpinan agama Islam, dia dengan mudah dan segera dihukum. Sebaliknya pula akan berlaku jika Islam dengan secara jelas dihina dan diperlekehkan.
 
Pernahkah anda melihat atau mendengar orang biasa yang tidak berpuasa yang makan secara terbuka ditangkap dan dibawa kedalam kereta mayat? Saya pernah dengar dan lihat.
 
Pernahkah anda melihat dan mendengar orang Islam yang berkedudukan tinggi meminum arak secara terbuka dalam berbagai majlis? Saya tidak pernah melihat cuma pernah mendengar. Tapi saya tidak pernah mendengar orang itu ditangkap oleh penguatkuasa agama Islam.

Tahukah anda orang Islam yang berniaga dalam bidang perjudian (mempunyai ekuiti dalam syarikat perjudian) dan arak? Saya tidak tahu tapi pernah diberitahu bahawa memang ada orang Islam seperti itu. Ini hanya cakap-cakap saja (heresay). Tiada bukti yang pasti. Yang saya pasti, tiada tangkapan atau hukuman yang dikenakan. Maknanya heresay sajalah.

Sama ada mereka itu tidak berpuasa atau terlibat dalam perniagaan haram, jangan pula ada pihak terutama yang bukan Islam cuba-cuba menghina agama Islam misalnya memperlekehkan al-quran. Boleh berperang jadinya. Paling kurang, berdemonstrasi pada setiap hari membakar, patong buatan sendiri yang berwajahkan mereka yang menghina Islam itu. Begitulah caranya mereka menunjukkan sayang  terhadap Islam.

Jadi yang takutkan Islam dan orang Islam ialah orang bukan Islam. Ini amat jelas sekali. Dari segi negara kita mudah kenalpasti misalnya negara Israil dan orang Yahudi, Amerika Serikat, dan sebahagian besar negara Eropah. Sebab itulah negara-negara ini tidak pernah mahu menyelesaikan kebuntuan pewujudan negara Palestin. Bermacam-macam halangan diada dan dikenakan. 
 
Bagi saya sampai kiamatpun saya tidak akan pernah percaya Amerika mahukan keamanan di Timur Tengah khususnya untuk mewujudkan negara Palestin yang merdeka dari cengkaman Israil. Tukarlah parti politik dan presiden Amerika, dasar kebencian terhadap Islam akan sentiasa berkekalan.

Sekarang ini mereka mengganggu gugat kerajaan pilihan rakyat Mesir pimpinan Muhmmad Mursi. Mereka tidak mengecam rampas kuasa tentera yang menghancurkan demokrasi yang selama ini menjadi asas sokongan mereka bagi sesebuah kerajaan. Dan amat malang sekali ada negara Islam yang bersama-sama dengan Israil dan Amerika terlibat dalam menjatuhkan Mursi. Kerana apa? Bukan kah kerana pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam pimpinan Mursi? Saya yakin ada kena mengena dengan kebangkitan Islam.

Jadi siapa kah sebenarnya yang takut dan bencikan Islam? 
 
Bagi saya yang takut dan bencikan Islam ialah mereka yang ada kepentingan. 
 
Bagi yang Islam mereka tidak mahu Islam itu menjadi satu cara hidup yang boleh mengancam keseronokan dan kegilaan kehidupan harian mereka yang bersalahan dengan undang-undang dan hukum Islam. Cuma yang berbeza ialah orang Islam yang tiada pengaruh dan kuasa akan lebih mudah dan cepat dihukum jika melanggar undang-undang Islam berbanding dengan yang sebaliknya. Mereka yang sebaliknya bebas sebebasnya malah terlibat sama dalam menjatuhkan hukuman.
 
Bagi yang bukan Islam penentangan dan kebencian mereka adalah jelas sekali. Islam adalah musuh seumur hidup mereka. Dan kita jangan hairan dengan sikap dan sifat kebencian mereka terhadap Islam sehingga hari kiamat itu kerana ada orang Islam juga yang bersama mereka untuk membenci dan menggugat kekuatan Islam. Mereka dengan mesra menjadi tali barut bukan Islam. Contoh? Apa yang berlaku diPalestin dan Mesir. Contoh dalam negara? Fikirkanlah sendiri. 
 
Saya cuma dapat berkata bahawa mereka itu tidak wajar marah jika ada orang bukan Islam menghina Islam. Itu saja contoh saya. Fikir-fikirkanlah.