Theflowersellingboy

Sabtu, 29 Jun 2013

MENDERHAKA? Membahas Ucapan YDPA........biarlah jadi orang siuman, jadilah orang cerdik.

Selepas pilihanraya ke 13 ini ada beberapa perkataan dan rangkai kata atau ayat yang sering digunakan sebagai perisai. Perisai bagi melindungi ketidakaturan dalam sesuatu urusan yang telah memberi keuntungan kepada pihak yang mempertahankan ketidakaturan itu. 

Pendek kata perbuatan mereka itu boleh diumpamakan sebagai menyorok diri disebalik sehelai daun yang kecil, lagi sudah kering dari dilihat oleh anggota polis. Hasilnya, bukan saja polis yang bersifat investigatif itu, apa jenis nyamuk pun akan mudah mencari orang yang menyorok itu, lalu ditangkap atau digigitnya.

Perkataan-perkataan perisai itu ialah takdir, redha dan menderhaka. 

Apabila mempertahankan keputusan pilihanraya ke 13 maka dibinalah rangkai kata dan ayat  yang antara lain, 'kita perlu redha' dan 'kekalahan atau kemenangan itu telah ditakdirkan, terima saja'. 'Yang penting kita mahu maju ke depan', sambung setengah pihak yang lain.

Baru-baru ini, apabila memperkatakan tentang ucapan YDPA dalam sidang parlimen, maka ada pihak memperingatkan agar keputusan  pilihanraya itu hendaklah diterima kerana perkara itu terdapat dalam ucapan YDPA. Maka jika ada yang mempunyai pandangan yang berbeza dari yang diucapkan oleh YDA, misalnya tidak mempunyai pendirian yang sama tentang keputusan pilihanraya itu, ia dianggap sebagai tidak akur dengan apa yang diucapkan. Dan dengan demikian ianya bersifat menderhaka dan menghina.

Bagi saya jika seruan itu diterima tanpa diusul periksa, tanpa disemak asas-asas yang memberi kemenangan kepada BN (khususnya UMNO) ianya amat malang sekali bagi masa depan negara.  Begitulah kecewanya perasaan saya.

Semalam, saya nyatakan bahawa saya sedia terima sebagai takdir jika monyet dan kawan-kawannya datang mengokah buah mangga, pokok tanaman saya. Saya tidak kecewa. Hati saya tidak terusik langsung  kerana beruk itu hanya binatang yang mempunyai akal fikiran yang lebih rendah dari kita manusia. Saya hanya berkata sudah takdir jadi begitu. Dan saya redha menerimanya.

Tetapi bukan pilihanraya yang penuh dengan tanda tanya?

Berbalik kepada isu menderhaka tadi, saya bertanya pada diri sendiri bahawa jika demikianlah hukumnya, mengapa perlu dibentangkan ucapan itu bagi tujuan perbahasan? Bukankah lebih baik serta tidak membuang masa ucapan itu tidak dibentang untuk perbahasan?

Ada pula pihak yang bermain dengan kata-kata bahawa perbahasan keatas ucapan itu bukanlah hal yang dipertikaikan. Ucapan itu boleh diperbahaskan. 

Tapi pada masa yang sama, pihak berkenaan dengan menyusun kata-kata dalam soalan yang bertujuan untuk memerangkap pihak yang berbeza pandangan, telah menimbulkan soalan antara lain:

i) Adakah pihak yang tidak bersetuju dengan ucapan itu mahu memberi gambaran bahawa YDA membaca perkara yang YDA tidak faham.
ii) YDA terpaksa membaca.
iii) YDA tidak boleh tidak bersetuju dengan teks ucapan itu.
iv) Menggambarkan kata-kata yang memperbodohkan si penyampai ucapan.

Bahawa tidak ada mana pihak menuturkan seperti itu atau mahu memberi gambaran seperti itu.  Perbahasan adalah atas dasar Raja Berpelembagaan iaitu satu perbahasan keatas ucapan yang disediakan oleh Kerajaan yang memerintah yang disampaikan oleh YDA.

Saya tidak tahu niat yang tersirat dalam hati pihak yang bertanya itu sama ada ada niat jahat yang mahu menimbulkan kekeliruan dengan harapan akan berlaku pergeseran antara pihak pembangkang dengan YDA khususnya dan institusi raja-raja Melayu amnya atau apa saja yang tersirat dalam hatinya. Allah saja yang maha mengetahui.

Tapi yang saya tahu ialah soalan seperti itu tidak wajar datang dari seseorang yang berkedudukan sebagai ahli parlimen yang dipilih rakyat. Rakyat memilihnya ialah kerana mengharapkan antara lain beliau berhujah dan berbahas dengan mengemukakan berbagai idea dan pandangan demi kebaikan rakyat dan negara. Maknanya apabila beliau membahaskan ucapan YDA itu nanti sudah tentu beliau tidak akan berkata " Saya bersetuju dengan apa yang dititahkan oleh YDA. Sekian saya menjunjung kasih".

Tapi kalau itu yang mahu diucapkan atau maksud yang hendak disampaikan dan percaya itulah yang sebaik-baik cara dalam kaedah perbahasan keatas ucapan YDA, tiada apa-apa yang perlu saya risaukan kerana beliau telah mengelak diri dari 'menderhaka'.

Yang saya sangat-sangat risau ialah kata-kata dibawah ini yang menjadi pegangan dan kepercayaan setengah pihak yang dijadikan sebagai perisai bagi mengesah dan melangsungkan kecurangan :

"Maka terimalah takdir kekalahan dalam pilihanraya dengan penuh redha kerana yang penting kita maju ke hadapan".

"Soal ketidakaturan pengurusan dan perlaksanaan pilihanraya dalam berbagai bentuk dan cara seperti penipuan, daftar pemilih yang cacat, rasuah dan lain-lain kecurangan tidak wajar mengatasi takdir yang ditetapkan".

"Ingat, kita sentiasa redha dan jangan sekali-kali menderhaka".

Kenapa saya sangat-sangat risau? 

Saya tidak mahu saya dan orang Melayu khususnya pada suatu hari nanti menjadi tidak siuman dan tidak cerdik . Apabila itu berlaku maka saya akan mengutip sehelai daun kering yang kecil untuk melindungi wajah saya dari dikenali oleh polis yang memburu saya diatas kecurangan yang saya lakukan. 



       

Jumaat, 28 Jun 2013

Menerima Keputusan Pilihanraya ke 13: Kekalahan adalah Takdir? Beruk mengganggah buah mangga juga adalah takdir.

Agak lama juga saya tidak muncul dalam bentuk paparan kata-kata. Berihat seketika.

Tidak berapa lama lagi kita umat Islam akan memasuki bulan Ramadhan. Kita akan berpuasa sebulan. Sudah tentu tenaga yang ada berkurangan berbanding dengan hari/bulan yang lain. Oleh itu dengan mengambil kira hal seperti itu , ianya merangsang saya untuk menulis sesuatu sementara belum memasuki bulan Ramadhan. Saya percaya paparan pada bulan Ramadhan akan berkurangan. Tapi jika berpuasa itu memberi kekuatan saya untuk menulis, saya akan lakukan.

Begitu juga saya mula mengemas dan membersih kawasan persekitaran rumah. Hari ini saya memotong/memesin rumput dikiri kanan dan di belakang rumah. Saya lakukan tidak lama kerana cuaca panas dan keadaan jerebu yang baru saja pulih sedikit.

Saya berihat dibawah pokok mangga yang rimbun dan berbuah lebat. Sambil bersandar di batang pokok mangga itu saya melihat beberapa kawan ekor beruk dan yang sejenis dengannya seperti monyet dan ungka diatas pokok-pokok yang tumbuh liar berhampiran dengan kawasan rumah saya. Ada yang sedang bergayutan, ada yang hanya duduk-duduk sambil mengunyah buah-buahan tumbuhan hutan itu dan ada yang sedang mematah dahan-dahan kecil lalu jatuh ke bawah yang sebahagiannya jatuh di atas jalan raya berhadapan rumah saya.

Saya bertanya pada diri sendiri mengapa agaknya beruk dan yang sejenis dengannya suka mematah-matahkan dahan-dahan kecil itu sedangkan apabila dahan-dahan itu membesar ianya adalah menjadi tempat titian, gayutan dan tempat duduk untuk berihat sambil mengunyah makanan? Kenapa perlu dimusnahkan? Saya tiada jawapan cuma dengan mudah saya menyatakan bahawa itu yang Tuhan takdirkan kepada si beruk dan kawan-kawannya itu. Habis cerita, tidak payah hendak memberatkan otak untuk mencari jawapan.

Sebenarnya beruk-beruk dan kawan-kawan beruk itu sedang mengendeng buah mangga yang lebat di atas pokok tempat saya bersandar. Tapi kehadiran saya berteduh dibawah pokok itu membuatkan beruk-beruk itu seperti tidak berhajat untuk mengganggah buah mangga itu. Beruk-beruk itu sebenarnya sedang memerhati saya dengan tekun. Apabila tiadanya saya dibawah pokok mangga itu , sudah tentu dengan cepat datang secara meniti dan bergayutan pada dahan-dahan pokok untuk terus melompat ke atas pokok mangga saya itu.

Begitu agaknya yang ditakdirkan kepada beruk dan kawan-kawannya itu yang terpaksa menunggu sehingga saya meninggalkan pokok mangga yang lebat dengan buah itu untuk di kokah buahnya.

Ya, takdir. Kita mesti percaya dan menerima takdir. Satu dari Rukun Iman. Kalau tidak rosaklah iman kita.

Takdir inilah juga yang paling laris digunakan dalam pilihanraya yang ke 13 ini.

"Kita mesti redha dan menerima keputusan pilihanraya. Bahawa telah ditakdirkan yang menang ialah BN dan yang kalah ialah PR", begitulah yang kerap berkumandang dimana saja ruang, kata-kata pemimpin , pengikut dan penyokong BN (khususnya UMNO) meminta PR dan penyokongnya untuk menerima keputusan pilihanraraya ke 13. Malah ada diantara pihak-pihak tertentu dalam PR dan penyokong yang merelakan diri untuk bersependapat dengan seruan seperti itu. "....yang penting kita bergerak ke depan", antara rangkai kata yang laris digunakan untuk memujuk hati yang luka.

Pada mulanya seruan seperti itu, saya menjangkakan hanya sebagai kata-kata yang keluar dari mulut dan bukan dari bisikan hati kecil. Saya merasakan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang mengeluarkan kata-kata itu mempunyai 'conscience' juga dan sedia tahu bahawa ada yang tidak teratur dan tidak kena pada pilihanraya ini. Cuma mereka berkata begitu semata-mata untuk kekal berkuasa. Rupanya saya tersilap. Apa yang ditutur, itulah bisikan hatinya, itulah 'conscience'nya.

Mengapa saya kata begitu?

Untuk kesekian kalinya, perkara yang sama juga dimasukkan dalam ucapan YDPA yang disediakan oleh Kerajaan BN, yang menyeru supaya keputusan pilihanraya ke 13 itu diterima. Kerajaan secara konsisten mengatakan bahawa BN menang tanpa kecacatan dalam pengurusan pilihanraya. Sebab itu mengapa perlu di tolak.

Maknanya jika kita berbalik kepada Takdir tadi, maka PR dan rakyat semua kena redha dan menerima keputusan pilihanraya ini. Begitu kah?

Sesungguhnya ada pihak begitu mudah dan cepat merujuk kepada Rukun Iman sebagai cara untuk meyakinkan sesuatu hal. Kalah pilihanraya adalah satu takdir yang di telah ditentukan Allah. Kalau tidak menerima ketentuan Allah (keputusan pilihanraya) maka orang itu tidak beriman. Rosak iman jadinya!

Tetapi mereka selalu terlupa bahawa Allah juga tidak membenarkan perlakuan atau perbuatan atau apa saja tindakan yang menyalahi hukum Allah. Contoh, penipuan tidak dibenarkan. Rasuah juga tidak dibenarkan. Berlaku zalim juga dilarang. Berat sebelah adalah juga dibenci oleh Allah. Menghina, mengaibkan seseorang dan melakukan fitnah ada lah perlakuan yang dilarang.

Jadi bagaimana jika pilihanraya ini dijalankan dengan membawa sama unsur-unsur itu bagi mendapat kemenangan? Sudah tentu salah. Mana-mana pihak yang menang melalui cara yang terlarang itu sudah tentu tidak wajar kemenangannya diterima. Dan ianya bukan yang disukai oleh Allah, dan bukanlah takdir.

Soal bukti kecacatan pengurusan pilihanraya kali ini cukup jelas. Malah sebelum pilihanraya banyak hal telah dibangkitkan untuk diperbetulkan agar pilihanraya dapat dilaksanakan dengan bersih dan adil. Satu daripadanya ialah Daftar Nama pengundi. Ada yang tidak kena dan telah pun diperakui oleh pihak SPR. Tapi berlaku tunjuk menunjuk jari diantara agensi kerajaan  sedangkan perkara yang diminta diperbetulkan tidak dibetulkan.

Paling mudah ialah dakwat kekal. Macam nak rak SPR dan kerajaan mengatakan dakwat itu kekal. Akhirnya sah bahawa dakwat itu tidak kekal. Kemudian timbul jawapan yang mengelirukan tentang isi kandungan dakwat kekal itu dari pihak kerajaan semasa persidangan Parlimen ini.

Bagaimana pula dengan orang yang menguruskan pilihanraya itu? Boleh kah ianya mengurus dengan adil jika ada kepentingan dengan pihak yang bersaing dalam pilihanraya?  Menurut maklumat melaporkan bahawa Pengerusi dan Timbalan pengerusi SPR adalah ahli UMNO.  Bolehkah mereka menjadi pengadil?

Maka yang demikian seruan untuk menerima keputusan pilihanraya ke 13 ini adalah satu seruan yang amat mendukacitakan. Sepatutnya dari awal lagi iaitu sebelum pilihanraya mengambil tempat, perkara-perkara yang telah dibangkitkan itu diurus dan diselesaikan dengan baik. Kalau itu yang dilakukan maka tidak perlu menyeru pihak yang kalah menerima kekalahan. Mereka sedia menerima kekalahan. Kekalahan yang ditakdirkan keatas mereka.

Saya percaya apabila saya meninggalkan pokok mangga saya yang lebat dengan buah itu, beruk akan segera datang. Mungkin itu yang ditakdirkan. Saya wajar menerima keadaan itu. Tapi menerima kekalahan piliharaya dengan jalan penipuan bukanlah takdir namanya. 


 

Jumaat, 21 Jun 2013

Deringan Talipon Yang Membosankan, dan Yang Ditunggu-tunggu

Seorang kawan menulis surat antara lain menyatakan keadaannya semasa bekerja dahulu.

............"Talipon, talipon, talipon. Tak henti-henti. Sambong menyambong. Tiap-tiap hari. Pada hari kerja selain dari panggilan rasmi, panggilan tak rasmi dari kawan-kawan pun banyak yang masuk. Pada hari-hari cuti, yang paling banyak panggilan tak rasmi dari kawan-kawan ajak main golf, ajak keluar makan dan berjalan-jalan. Panggilan rasmi ada juga tapi tak banyak.

Tak larat nak layan. Apa taknya waktu tengah mandi dalam bilik air pun ada orang kacau, talipon. Bila dijawab, panggilan bukan mustahak pun, cuma nak tanya khabar atau nak ajak sarapan pagi.

Pada suatu ketika dulu, itulah yang berlaku. Ramai kawan-kawan yang datang berkunjung ke rumah, berborak kosong sambil bersama-sama mengunyah goreng pisang. Ada diantara kawan-kawan itu bersedia menjadi tukang urut apabila secara bergurau mengatakan seluruh badan sakit-sakit selepas bermain golf. Seronok rasanya selepas diurut. Urut percuma yang dibuat atas semangat kesetiakawanan.

Pada suatu ketika dulu, itulah yang berlaku. Ramai kawan-kawan yang ajak keluar makan tengah hari. Makan di hotel. Berebut-rebut hendak membuat bayaran. Waktu cuti hujung minggu berkonvoi lah ke padang golf  yang jauh dari kawasan. Tak perlu memandu, ramai kawan-kawan yang bersedia untuk menjadi supir.Yang penting setuju saja untuk bersama. Bayaran-bayaran lain tak perlu diambil berat. Semua beres.

Pada suatu ketika dulu, itulah yang berlaku. Oleh kerana telah muak dengan bermain di dalam negeri maka diajaklah bermain diluar negeri. Maka terbanglah ke Vietnam, ke Jakarta dan ke Bangkok semata-mata nak main golf. Seronok main golf sebab kawan-kawan yang belanja.

Bosan nak jawab talipon selalu. Bosan nak pergi main golf. Nak berehat dengan keluarga pun tak boleh. Ada saja ajakan. Keluar makanlah, jalan-jalanlah dan macam-macam alasan. Nak tolak, tak sampai hati. Kecil hati pula. Hilang kawan. Kalau tak ditolak, susahkan diri sendiri. Tapi hati kawan mesti kena jaga sebab bila dah tua, bila waktu bersara nanti sudah tentu ada banyak kawan untuk diajak berborak dan bersembang......................."

Kawan saya itu menceritakan kebosanannya melayan talipon dari kawan-kawanya yang sambong menyambong. 

Hairan juga kenapa beliau rasa bosan sedangkan panggilan itu bertujuan mengajaknya bersenang lenang, untuk main golf, untuk makan-makan dan jalan-jalan. Percuma pulak tu. Kalau saya dilayan seperti itu alangkah seronoknya. Tapi jangan harap, tak ada seorang kawan saya yang baik dan bermurah hati seperti kawan-kawan kepada kawan saya itu. Jadi kalau nak main golf bayar sendirilah. Nak makan-makan tanggung sendiri. Nak ke Jakarta, kumpul duit dulu.

Kawan saya bosan, sebab selalu terima talipon. Kawan-kawannya selalu ajak main golf, makan di luar dan jalan-jalan menyebabkan dia susah hati, serba salah. Kalau tolak ajakan takut kecil hati. Takut masa bersara tak ada kawan.

Sambung kawan saya lagi,

"..........aku sekarang di wad sakit jantung. Kesunyian. Tunggu nak kena buat operation minggu depan. Doakanlah aku selamat. Terima kasih".

'Kesunyian', macam sedihnya perasaan kawan saya itu. Mungkin dia nak saya datang menjenguknya. Menghilangkan kesunyiaan. Saya percaya dia bosan berada di wad jantung itu. Dia memerlukan kawan untuk menjenguknya. Kalau selalu talipon pun, saya rasa dia tidak jadi hal, sedia menjawab tanpa rasa bosan.

Mungkin kawan-kawannya dulu kerap kali datang menjenguknya seperti semasa dia bekerja dulu. Talipon mungkin masuk bertalu-talu. Dan saya percaya kawan saya itu sangat-sangat mengharapkannya, sentiasa menunggu. Deringan talipon tidak akan membuatkannya bosan. 

Entah-entah kawan-kawannya itu membantu membayar kos rawatannya itu. Kalau tidak bayar semua, mungkin sedikit sebanyak akan dibantu. Kalau dulu dia banyak menerima belanja percuma, takkan semasa dalam susah kawan-kawanya tidak ada hati nak bantu. Apatah lagi bayaran kos operation dan rawatan jantung sangat mahal.
 
Saya harap dia tidak kesunyian. Dan talipon sentiasa berdering untuk dia segera menyambut untuk memberi khabar kepada kawan-kawannya. Dalam bilik air pun saya rasa, tidak ada hal. Dia sentiasa sudi menyambutnya. Tidak akan bosan.
 

 

Sabtu, 15 Jun 2013

Mengapa kita perlu bersih, cantik dan wangi.

Anda suka bersih? Cantik? Bau yang wangi? 
 
Saya percaya itulah yang anda sukakan. Saya suka bersih, cantik dan wangi.

Bagi saya ketiga-tiga ini saling berkaitan. Apabila dikatakan bersih ianya membawa sama ciri-ciri cantik dan wangi.
 
Jadi anda mestilah bersih. Mesti cantik. Mesti wangi.  Saya pun hendak/suka bersih, wangi dan cantik.
 
Wah yang cantik dan wangi itu boleh menimbulkan persoalan. Soalan pada diri saya. Apakah saya ini cantik? Kalau ada yang mengatakan saya tidak cantik, tidak mengapa asalkan saya suka yang cantik. Adakah saya ini wangi? Ini pun orang lain yang  boleh memberi jawapan. Tapi saya suka bau yang wangi.
 
Kenapa kita perlu ada sikap dan menyukai bersih, cantik dan wangi? 
 
Bagi saya ianya terlalu perlu dan perlu diamalkan. Ianya boleh membentuk peribadi yang baik.
 
Mari kita bicara hal-hal tersebut dalam keperluan mengerjakan solat kerana kita diajar bahawa solat boleh membentuk peribadi yang baik.
 
Semasa melakukan solat kita mesti berada dalam keadaan bersih. Allah juga suka kita berpakaian  kemas dan cantik serta  memakai bau-bauan wangi yang dibenarkan.
 
Malangnya kita tidak selalu melakukannya atau tidak mengamalkannya terutama dalam hal pakaian yang kemas dan cantik serta bauan yang wangi. 
 
Mengapa? Saya tidak pasti. 
 
Hanya saya boleh mengaitkan keadaan itu berlaku ialah kerana mungkin pemahaman dan sikap  kita tentang bersih, cantik dan wangi itu tidak berapa jelas atau tiada kaitan.

Pakaian itu belum dikatakan bersih jika ianya berbau, misalnya berbau tengit, busuk, hapak dan hancing. Maka tidak patut dijadikan pakaian solat.
 
Sebab itu jika kita mahu tunaikan solat kita mesti berpakaian bersih. Kita ambil contoh bersolat di kompleks membeli belah. Dalam banyak pemerhatian saya , kita ambil rengan tentang bersih , cantik dan wangi itu. 
 
Kita solat dengan pakaian (seluar) yang kita pakai itu yang belum tentu bersih kerana mungkin tercemar dengan berbagai kotoran dan najis. Apatah lagi jika kita  memasuki tandas untuk buang air kecil/besar. Ada kemungkinan seluar kita itu tercemar dengan najis kencing, misalnya.
 
Ada juga sejadah yang disediakan berbau busuk. Ruang solat pun tidak bersih dan berbau.
 
Tapi kita bersolat juga dalam kita berkeadaan begitu kerana solat itu fardhu yang wajib kita lakukan. 
 
Bukankah lebih baik kita membawa sama pakaian khusus untuk solat, yang bersih kemas dan cantik. Saya rasa ianya tidak membebankan, tidak berat pun. 
 
Dan setiap dari kita mesti bertanggungjawab menentukan ruang solat yang disediakan di kompleks perniagaan itu dalam keadaan bersih, kemas, teratur dan tidak berbau busuk. Saya percaya pihak yang menguruskan surau/ruang solat itu menghargai sikap kita itu disamping pihaknya juga bersama melakukannya. 

Mengapa apabila mengadap Allah misalnya sewaktu bersolat, kita pakai selekeh saja? Tidak bersih. Tidak kemas dan cantik. Tidak juga wangi. Ada masanya pakaian atau sejadah atau ruang solat kita berbau busuk dan hapak.
 
Saya percaya kita akan melakukannya jika kita benar-benar faham makna bersih, cantik dan wangi sehingga melahirkan perasaan suka dihati kita untuk mempunyai dan berkeadaan begitu, terutama untuk bersolat.
 
Saya percaya kita boleh melakukannya. Tiada alasan untuk kita tidak mampu melakukannya. Sebab , di majlis-majlis pertemuan antara manusia, bukan main bersih diri kita. Kita berpakaian kemas, baru, cantik dan mahal pula. Ditambah lagi dengan colekkan wangian dibadan dan pakaian kita.
 
Sebenarnya kita telah melakukannya. Tetapi hanya pada hari raya saja sewaktu menunaikan solat sunat raya. Pakaian kita cantik dan kemas. Pakai bau-bauan pula.
 
Saya tidak tahu sama ada kita berkeadaan demikian kerana untuk mengadap Allah atau hanya untuk selera mata manusia yang hadir solat raya itu. Tapi kalau untuk manusia itu saya rasa tidak salah jika pemahaman akan makna bersih, cantik dan wangi itu serta diikuti dengan amalan kearah mempunyai dan berkeadaan seperti itu diteruskan juga kepada Allah SWT. Yang lebih baiknya ialah kita sentiasa berkeadaan bersih, cantik dan wangi apabila saja kita bersolat.  
 
Jika itu kita lakukan maka kehidupan kita akan sentiasa diingatkan supaya sentiasa melakukan yang bersih, cantik dan wangi walaupun kadang-kadang kita terlepas juga. Jangan susah hati kerana kita manusia, dan Allah sentiasa memberi keampuanan jika kita berserah kepadanya.
 
  
   

Khamis, 13 Jun 2013

PERPADUAN RAKYAT dan PEMBINAAN NEGARA BANGSA: Seperti Buah Jambu Batu Masak Ranum, dan Baju Batik





1. Perpaduan rakyat. Pembinaan negara bangsa. Hebuh perkara ini di timbul, dibincang dan diketengahkan. Dari dulu iaitu semasa negara mula merdeka kita tidak pernah lupa isu perpaduan rakyat. Hasrat kita ialah  rakyat dari  berbagai kaum dan latarbelakang bersatu bagi sebuah negara Malaysia. Dan sehingga kini selepas melebihi setengah abad, kita masih belum lagi berjaya. Belum berjaya untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu. Kita gagal dalam pembinaan negara bangsa. Mengapa?

2. Memang ada pihak yang menyatakan kita telah berjaya mewujudkan sebuah negara yang stabil hasil dari perpaduan dikalangan rakyat berbagai latarbelakang. Tanpa rakyat yang bersatu mana mungkin kita boleh menggerakkan kemajuan, sedangkan kita nampak jelas akan hasil-hasil pembangunan dan kemajuan negara.

3. Dakwaan atau pandangan seperti itu secara konsistennya datang dari pemerintah. Ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan kerana jika usaha kearah perpaduan rakyat itu dikatakan gagal maka sebenarnya yang bertanggungjawab diatas kegagalan itu adalah pemerintah. 

4. Memang benar perpaduan rakyat adalah input utama dan mesti ada sebagai pra-syarat bagi memaju dan membangunkan negara. Tetapi jangan disamakan kemajuan dan pembangunan negara itu dengan perpaduan rakyat. Ianya berkaitan tapi tidak sama khususnya bagi negara yang mempunyai berbagai latarbelakang keturunan dan taraf sosio-politik-ekonomi seperti negara kita Malaysia. Apatah lagi jika jurangnya besar dan melebar.

5. Perpaduan rakyat di Malaysia, jika kita masih lagi mahu gunakan perkataan perpaduan sebagai menyamai bersatu, bolehlah diibaratkan seperti buah jambu batu yang masak ranum. Jambu batu yang ranum , memberikan keseronokan mata kita memandang--kulitnya licin dan cantik dan baunya menarik hidung kita untuk menciumnya. Sayang sekali ransangan luarannya itu yang membuatkan kita segera untuk memetik dan memakannya, menjadikan kita  tersentak sehingga membantutkan selera sebaik saja kita melihat isi didalamnya. Berkuit-kuitan ulat yang menjijikkan kita.

6. Ertinya bahawa nampak di luar kita kelihatan bersatu dan berpadu. Berbeza pula apa yang ada dalam hati dan fikiran masing-masing. Semua tahu bahawa diantara kita, dalam hati kita, kita berprasangka. Dan otak kita, fikiran kita, tidak sebenarnya terarah dan mengarah ke satu matlamat besar iaitu perpaduan. 

7. Masing-masing menyimpan rasa ragu, khuatir dan tidak berpuashati. Ada pihak meragui kesetiaan pihak yang lain, lalu merasakan sebagai satu ancaman. Pihak yang lain pula merasakan taraf warga negaranya tidak mempunyai nilai yang sama dengan pihak yang satu lagi, sedangkan berjaya dalam kehidupan, lalu menghasilkan perasaan kecewa.

8. Bagi saya perpaduan yang nampaknya seperti ada itu adalah perpaduan yang pura-pura. Perpaduan kita bukan perpaduan kain atau pakaian basahan yang digunakan setiap masa, sesuatu yang wujud dan berlaku secara semula jadi pada setiap masa dan ketika. 

9. Perpaduan kita adalah perpaduan baju batik, yang digunakan pada waktu-waktu majlis/acara rasmi dan dalam peristiwa-peristiwa negara dan hari yang diistiharkan sebagai wajar memakai baju batik. Selepas itu baju batik itu tersangkut pada alat sangkutan didalam almari. Disimpan begitu lama sehingga menjadi tengit, sama seperti buah jambu masak ranum yang disebutkan pada awal tadi.

10. Belum lagi wujud, semenjak negara merdeka sehingga kini perpaduan rakyat yang sebenarnya. Malang sekali kedudukan ketika ini, pada masa ini , hasil dari perbuatan, tindakan , suara dan kata-kata dalam berbagai ucapan, penulisan, tayangan yang boleh didengar dan dilihat melalui berbagai  media siaran, oleh semua pihak tanpa kecuali semakin mengarah kepada perpecahan, hanya semata-mata untuk kepentingan sempit semua pihak. 

11. Mereka semuanya itu mahu rakyat bersatu padu. Mereka mahukan perpaduan. Pemerintah yang ada juga pentingkan perpaduan. Berbagai parti politik yang ada juga mahukan perpaduan. Badan-badan gerakan rakyat pun mahukan perpaduan. Apatah lagi rakyat, perpaduan akan mewujudkan suasana yang aman untuk kesejahteraan hidup dalam sebuah negara. Lebih cantik dan indah serta unik kerana perpaduan boleh terbina diatas kepelbagaian.

12. Kalau semua pihak mahukan perpaduan, dan jika kita merasa teruja untuk sebuah perpaduan rakyat yang berasaskan kepelbagaian mengapa kita tidak menjadikannya satu realiti? Mengapa? Kalau kita telah berusaha melakukannya, mengapa kita gagal? Apakah sebenarnya yang menjadi batu penghalang?

13. Bagi saya batu penghalangnya kita sendiri. Cuma berbeza dari segi saiz besar kecilnya serta keras lembutnya batu itu. Namun pemerintah yang berkuasa mempunyai tanggungjawab yang utama dan pertama dalam menjayakan matlamat perpaduan rakyat dan pembinaan negara bangsa. Setakat sekarang kerajaan BN telah gagal melakukannya semenjak menguasai tampuk pemerintah negara lebih setengah abad.

14. Kalau BN mahu juga dikatakan berjaya dalam memupuk perpaduan dikalangan rakyat ini, BN sebenarnya telah berjaya melahirkan perpaduan seperti memetik buah jambu batu yang masak ranum untuk dimakan. Atau jika mahu buat pilihan yang lain, BN hanya layak diistiharkan sebagai berjaya mewujudkan perpadauan baju batik. Pendek kata perpaduan rakyat yang pura-pura.
      

Rabu, 12 Jun 2013

Pertemuan Penawar Sakit

Seorang sudah berusia lapan puluhan. Seorang tujuh puluhan. Kedua-dua perempuan. Perempuan lapan puluhan sudah ketiadaan suami. Yang tujuh puluhan masih ada suami. Mereka ada kaitan. Yang tua adalah kakak ipar. 
 
Walaupun tinggal sekampong dan jarak diantara rumah mereka hanya 500 meter saja, sudah hampir 2 tahun mereka tidak bertemu muka. Maka masing-masing tidak tahu sihat atau sakit diantara mereka.
 
Hari ini mereka bertemu. Situa yang ke rumah adik iparnya. Dia tidak ada tenaga dan kekuatan untuk menapak ke rumah adik iparnya seperti mana yang selalu dilakukannya semasa muda dulu. Oleh itu diminta anaknya menghantar dengan kereta.
 
Adik iparnya sedang duduk diatas sofa yang sudah lusuh dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, di ruang lorong rumah bahagian dapur. Dihadapannya, sebuah tongkat berkaki tiga untuk digunakan apabila bergerak.
 
Kakak ipar yang ingat-ingat lupa segera menyapa adik iparnya dengan pertanyaan tentang kesihatan adiknya itu. Mereka berpelukan. Masing-masing menyatakan keredhaan akan kedudukan mereka sekarang. "Kita dah tua, macam ni lah jadinya. Orang muda pun sakit", kata kakak ipar memujuk adik iparnya yang menyatakan sakit yang dihidapi, sakit usus perut. Telah empat bulan sebahagian ususnya di potong.
 
"Sapa yang potong?".
 
 "Hospital ", kata adik iparnya, yang bermaksud doktor. Sebulan lebih tinggal di wad hospital. Tiada orang yang datang menjenguk dia , melainkan anak-anaknya.
 
Kakak ipar pula mengadu nasibnya yang tidak mempunyai penglihatan yang baik. Semua yang dilihat , kelabu saja, tidak terang. 
 
Mereka berbual mesra. Ada masa berlawak jenaka. 
 
Situa paling banyak bertanya. Yang ditanya adalah perkara yang sama. Tidak sampai seminit soalan yang sama ditanya. Ini membuatkan adik iparnya menjawab sambil ketawa. Adik iparnya tidak marah atau meninggikan suara apabila soalan yang sama ditanya. Dia jawab dan ketawa. Dan kakak iparnya pun ketawa sama.
 
Adik iparnya meminta maaf kerana tidak ada apa yang dapat dihidangnya. Katanya yang ada hanya biskut tawar dalam tin diatas para. 
 
"Tak payah susah-susah. Dah makan nasi lemak sebelum datang tadi", kata kakak ipar. Alasan yang selalu digunakan oleh tetamu yang tidak mahu menyusahkan tuan rumah. Tapi jika dihidang, dipersudikan juga.
 
Saya hanya sebagai pemerhati dan pendengar saja. Tidak masuk campur. Namun ianya memberi kesan yang mendalam kepada saya. Bahawa diwaktu kita kurang sihat, diwaktu kita sudah lanjut usia, kita perlukan seseorang untuk bersama, sekejap pun amat dihargai. Kita perlu menceritakan hal kita, kesihatan kita. Dan kita mahu dengar hal orang lain, kesihatan orang lain. Kita mahu kawan kita, saudara kita sesekali menjenguk dan melihat kita. Dan kita juga mahu menjenguk kawan kita, kalau terdaya.
 
Sudah tentu kita menghargai pertolongan orang lain. Pertolongan membawa kita melawati saudara atau kawan kita yang sakit dihospital atau yang ada di rumah yang tidak mampu bergerak jauh. Dan jika ada wang yang diberikan walaupun tidak seberapa, ianya boleh menyukakan hati situa, dan amat dihargainya.  

Kedua-dua kakak dan adik ipar itu terus bercerita. Lupalah sebentar akan kesihatan mereka yang menurun itu. Perjumpaan ini rupanya sebagai satu penawar sakit bagi kedua-duanya. Walaupun sementara, tapi saya merasa seronok mereka gembira. Berbaloi saya menemukan mereka.

Selasa, 11 Jun 2013

Masih Dalam Perjalanan: Belum sampai ke perhentian(sebuah cacatan dalam diari lama- bukan cerita benar)

 
 
 
"Masih dalam perjalanan. Sudah menghampiri 65 kilometer. Belum sampai ke  perhentian. Berapa jarak jauh perhentian , tidak dapat di pastikan. Tapi sampai tetap sampai juga. Destinasi sememangnya sudah diketahui . Cuma jarak jauh belum pasti. Hanya ada tanda-tanda biasa bahawa perjalanan itu tidak mungkin mencecah 100 kilometer. Dan diharapkan juga perhentian  tidak sejauh itu. 
 
Biarlah perjalanan ke perhentian itu  diiringi dengan doa yang penuh dengan kasih sayang anak-anak dan cucu. Biarlah perjalanan itu menimbulkan rasa kesyukuran serta kesabaran atas segala nikmat dan ujian".
 
Begitulah catatan dari sebuah diari lama tahun 1980.
 
Waktu itu umur sipencatat dairi belum memasuki 65 tahun. Kurang dua bulan baru cukup 65 tahun. Waktu itu 18 hb Jun. Bermakna pada 18 hb Ogos, 1980 genaplah umur si pencatat diari itu 65 tahun.
 
Tertarik juga akan kata-kata yang dicatatkan walaupun mesej dan maksudnya mudah difahami.
 
Bahawa perjalanan 65 kilometer itu adalah usia pencatat yang menghampiri 65 tahun. Destinasi yang pasti itu adalah kematian. Cuma dia tidak tahu bila masa ajalnya sampai. Kitapun tidak tahu bila ajal kita.
 
Dia tidak mengharapkan untuk hidup lama sehingga 100 tahun misalnya. Dan dia percaya tidak mungkin sampai sejauh itu berdasarkan 'tanda-tanda biasa'.

Ada dua harapan yang jelas sipecatat itu nyatakan. Pertama mengharapkan kasih sayang dari anak-anak dan cucu agar sentiasa mendoa kepada Allah memohon kesejahteraan dan keampunan untuknya. Kedua, dia mengharapkan baki-baki kehidupannya itu diteruskan dengan rasa syukur atas nikmat yang diberi dan sentiasa dapat bersabar akan segala rintangan, masalah dan kesusahan yang dihadapi.
 
Saya tertarik dengan catatan itu atas dua hal iaitu i) tanda-tanda biasa, dan i) harapan yang dicatatkan oleh penulis diari itu.
 
Berbanding dengan usia si pencatat semasa membuat catatan dengan usia saya ketika ini ianya menambahkan lagi rasa kepunyaan terhadap catatan ini, seolah-olah saya yang mencatatkannya. Begitu juga harapan yang dinyatakan adalah harapan dari semua ibubapa terhadap anak-anak dan cucu,jika sudah ada cucu.
 
Apa kah yang dimaksudkan dengan tanda-tanda biasa dalam baki perjalannya itu? 
 
Usia tua, sudah tentu satu daripadanya. Apa lagi?
 
Kesihatan tubuh badan dan akal fikiran yang menurun.
 
Semakin kita berusia, ketahanan fizikal kita akan menurun. Umpama kita sebuah kereta, waemah kereta mercedez sekali pun semakin tua/lama semakin tidak mampu bergerak laju. Naik bukit yang tidak tinggi pun seperti perjalanan kereta lembu- 'sejam sebatu batu ', meminjam lirik sebuah lagu enam puluhan berjodol 'Kereta Lembu'  yang dinyanyikan oleh Helen Vellu.
 
Kereta lama selalu rosak. Orang lama/berusia selalu atau mudah dapat sakit. Kereta masuk woksyop, orang tua masuk hospital. Dua-dua kena keluar belanja.
 
Kecergasan mental pun menurun. Bacalah/tontonlah/dengarlah berulang kali sebuah cerita atau berita atau apa saja, ianya tidak lama melekat dalam otak untuk diceritakan kembali. Mudah hilang dan lesap dari entah ke mana. CPU sudah kurang berkesan atau tidak dapat berfungsi dengan baik.
 
Yang paling teruknya ialah cerita atau berita yang telah diberitahu dalam tempoh tidak sampai satu minit akan ditanya lagi. Diulang tanya sehingga bukan saja kadang-kadang tetapi selalunya membuatkan orang yang memberi tahu cerita atau berita itu jadi hilang sabar. Maka ada yang menaikkan suara, marah, disebabkan banyak kali perkara yang sama ditanya.
 
Itulah nyanyuk namanya.
 
Apabila fizikal sudah lemah dan apabila sudah sampai ke peringkat nyanyuk, apakan diharap kepada diri sendiri. Mahu bangun, mesti dibantu, makan disuap, kencing dan berak ikut suka sendiri dan dimana sempat, dan segala-galanya kembali seperti anak kecil.
 
Seorang bayi tidak boleh melakukan sendiri. Semua diuruskan oleh yang lebih tua misalnya ibu bapanya. Seorang yang telah berusia, yang telah nyanyuk memerlukan orang lain menguruskannya misalnya anak atau cucunya.
 
Sudah tentu orang tua itu perlu diuruskan  seperti dianya dulu menguruskan anak-anaknya. 
 
Anak menangis waktu malam, dia (orang tua) lah yang memujuknya walaupun mata mengantuk. Tidak kira waktu, tidak kira apa yang terjadi, semuanya diuruskan demi kasih sayang pada anaknya.
 
Maka setelah dia berusia tidak berdaya, ditambah pula nyanyuk tidak tahu satu apa, seperti anak yang baru dilahirkan , anak-anak dan cuculah yang wajib melakukan untuk situa itu.
 
Sekarang fahamlah kita mengapa pencatat diari  tidak mahu sampai usia 100 tahun. Bahkan dia tidak yakin untuk mencapai usia itu. 
 
Usia yang semakin tua apatah lagi mencecah 100 tahun  adalah usia nyanyuk. Usia itu adalah usia dimana kemampuan fizikal sudah terlalu berkurangan. Semuanya mengharapkan orang lain.    
 
Persoalannya adakah yang menguruskannya nanti mempunyai tahap kesabaran dan kasih sayang seperti yang dilakukan oleh seorang ibubapa terhadap anak-anak dan cucu?
 
Si pencatat diari itu tidak mengharapkan begitu. Dia tahu dan sedar bahawa dia juga tidak dapat melakukannya seperti yang dilakukan oleh kedua ibubapanya terhadap dirinya. Sebab itu, sementara dia masih lagi belum nyanyuk, masih lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk menguruskan diri sendiri, dia menulis sebuah catatan menyatakan harapannya.

Apa yang tersirat dalam harapannya itu ialah bahawa dia tidak mahu menyusahkan anak-anak dan cucu. Tidak mungkin anak-anaknya boleh melakukan seperti yang telah dilakukan terhadap anak-anaknya. Dan dia juga tidak dapat melakukan seperti apa yang telah dilakukan oleh ibubapanya terhadap dirinya. 
 
Oleh itu dia mengharapkan untuk sampai ke perhentian pada jangka waktu tidak sampai ke peringkat dia diuruskan oleh orang lain dalam perjalanannya ke perhentian itu. Dalam lain perkataan dia tidak mahu anak-anaknya menanggung dosa disebabkan hilang sabar dari segi perbuatan dan kata-kata terhadapnya semasa menguruskannya nanti , dalam perjalanan yang berbaki itu.
 
Dia tidak mengharapkan usia yang panjang. Dia hanya mengharapkan doa dan kasih sayang anak-anak serta cucunya saja.

Begitulah pemahaman saya keatas catatan dari sebuah diari tahun 1980.

Ahad, 9 Jun 2013

Dua Minggu Dengan Roland Gaross: Nadal Menang....

Dua minggu kebelakangan ini saya paling sibuk disebelah malam. Banyak masa tertumpu kepada siaran langsung perlawanan tennis Roland Gaross. Jika Rafael Nadal yang bermain, saya sanggup berjaga melampaui waktu tidak boleh tidur. Maksud saya, melampaui pukul  12 malam. Ini adalah satu penyakit. Sebab itu saya mesti masuk tidur sebelum waktu itu. Kalau tidak, sampai pagi pun saya tidak boleh tidur. Sakit kepala.

Tapi minat punya fasal, tambah-tambah lagi jika Rafa yang main, sakit kepala pun saya ambil ringan saja. Nasib baik Rafa belum tewas dan akan bermain dalam final pada malam ini. Berjaga lagi pada malamini. Harap-harap final diantara Rafael Nadal dan David Ferrrer (kawan satu negara- Spain) pada malam ini tidak berlanjutan sehingga 4 jam lebih seperti perlawanan separuh akhir Nadal vs Jokovic, yang akhirnya dimenangi oleh Nadal.

Nadal menang dan saya pula sentiasa tertekan semasa menonton perlawanan yang mendebarkan itu. Sebab saya sentiasa mengharapkan Nadal menang, tetapi Jokovic seorang pemain yang handal, tidak mudah mengaku kalah walaupun pada set ke empat Nadal mempunyai peluang untuk menewaskan pemain dari Serbia itu. Nadal kalah set ke 4 yang memaksa mereka bermain set ke 5. 

Saya semakin tertekan. Kepala mula berdenyut, rasa sakit. Maka dengan segera saya mengambil OMRON (alat pembaca tekanan darah) yang sentiasa ada di atas meja kecil di hadapan saya. Bacaan tekanan darah normal, tidak tinggi dan tidak rendah sama ada systolic atau diastolic, ok seperti hari biasa.

Saya meraba-raba dada walaupun tidak ada rasa sakit. Sebab sebagai orang yang telah melakukan pintasan jantung, ianya secara otomatik mengaitkan sesuatu kesakitan itu, dalam hal ini sakit kepala, dengan jantung.

Saya tidak ambil panadol untuk menghilangkan sakit kepala yang menekan itu. Itu sikap saya. Tapi kalau tidak boleh tahan juga , terpaksa ambil panadol juga.

Walaupun sakit kepala itu menekan sangat, dan dalam keadaan seperti ini saya terpaksa ambil panadol, tapi kali ini saya bertahan juga, tidak mahu ambil panadol. Seboleh-bolehnya perhatian mesti diberikan hanya kepada perlawanan tennis diantara Nadal vs Jokovic yang berlangsung hebat itu. 

Begitulah hebatnya tarikan pemain Sepanyol ini kepada saya. Saya sentiasa memerhatikan setiap pergerakan Nadal, dari mula beliau berjalan keluar menuju ke gelanggang sehingga beliau meninggalkan gelanggang, jika siaran langsung itu menunjukkan pergerakan itu.

Cara beliau menyediakan diri sebelum masuk gelanggang menemui pengadil dan lawan amat menarik kepada saya. Bukan perbuatannya itu yang menarik tapi rutin yang konsisten itu yang menarik kepada saya. Beliau terus dengan rutinnya dengan mengaturkan tuala (towel) diatas kerusi, meminta air minuman atau mengambil air minuman dan meletakkan botol air minuman secara perlahan-lahan, dan setelah selesai dengan beberapa pergerakan lain, barulah beliau masuk gelanggang bertemu pengadil dan lawan, yang ada ketikanya menunggu agak lama juga.

Saya menilai perbuatan Nadal itu sebagai pemain yang tidak gopoh, tidak mudah tertekan dengan keadaan. Bayangkan pengadil sudah bersedia, lawan telah menunggu, tapi dia seolah-olah tidak memberi perhatian kepada hal itu. Yang penting beliau mesti menyediakan diri untuk mengadap lawan. Persediaan diri 100 peratus, mental dan fizikal, agaknya.

Kalau saya, sudah tentu mengambil  kira hal-hal itu dan akan mengurbankan rutin saya yang memakan masa semata-mata untuk menjaga perasaan pihak lawan. Apatah lagi pihak pengadil.

Saya perhatikan pemain-pemain lain tidak ada yang berbuat begitu. Semua mahu segera masuk ke gelanggang apabila pengadil sudah masuk gelanggang bagi menentukan permulaan permainan. 

Begitu juga apabila mahu memulakan service. Beliau memulakan dengan membongkok sedikit, jari tangan kanannya akan menyentuh atau menguit telinga kiri dan kanan, menyentuh sedikit rambut di bahagian tengkuk, menarik  atau menyentuh hidung, menarik atau mengusik sedikit belakang seluar, melantun-lantunkan bola tennis beberapa kali (saya pernah kira -10 kali lantunan), kemudian barulah melambung bola tennis itu ke udara untuk dipukul. Ini dilakukan setiap kali beliau memulakan service.

Pada perlawanan separuh akhir melawan Jokovic, beliau telah diberi amaran oleh pengadil keranarutinnya itu memakan masa melebihi masa yang ditetapkan oleh peraturan. Maka Nadal telah didenda dengan pengadil memberikan mata percuma kepada lawan.

Saya sebagai peminat sudah tentu tidak bersetuju walaupun pengadil itu melaksanakan peraturan permainan yang betul.Tapi saya tidaklah marah. 

Nadal pula menunjukkan reaksi muka yang agak kecewa dengan keputusan pengadil itu. Tapi beliau tidak mengeluarkan kata-kata marah. Inilah yang saya katakan, dari segi mental, Nadal telah bersedia sehingga kehilangan mata permaianan pun, belum lagi boleh menaikkan kemarahannya.

Apabila seseorang itu telah mula marah, ianya boleh merosakkan tumpuan permainan. Nadal sungguh bijak dalam hal ini.

Dalam set ke 5, kedudukan berakhir dengan 6:6. Tapi dalam Roland Gaross ini selepas set ke 5, penentuan menang kalah tidak ditentukan oleh 'tie breaker'. Ianya ditentukan dengan permainan set biasa. Mana-mana pemain yang berjaya dengan perbezaan 2 set, pemainlah itu yang menerima kemenangan. Akhirnya Nadal yang berjaya.

Saya? Waktu set ke 5 ini, kerisauan semakin bertambah. Dalam hati berkata, Nadal tidak akan boleh menang. Sebab Nadal tidak akan boleh bertahan dari segi stamina berbanding dengan Jokovic yang kelihatan lebih cergas. Lagipun Nadal baru saja pulih dari kecederaan.

Pertarungan sungguh hebat. Isteri sudah tidak sanggup tengok lagi. Sakit dada katanya. Beliau juga penyokong Nadal. Tapi bukan pada tahap saya. Saya terus beri tumpuan dalam keadaan kepala yang sakit berdenyut.

Akhirnya, Nadal menang. Saya pun suka hati. Waktu telah melampaui 12 malam. Saya tidak boleh tidur. Lalu saya teruskan menonton perlawanan separuh akhir kedua diantara Tsonga dan Ferrerr. Bukan sangat saya hendak tonton, tapi sebab tidak boleh tidur. Maka sampai pagilah saya tidak dapat tidur.

Nadal menang dan akan menjanjikan perlawanan akhir. Saya bersedia untuk menontonnya pada malam ini. Jika Nadal menang beliau akan dapat hadiah wang dan nama makin terkenal. Nilai wang hadiah kemenagannya sudah melebihi 50 juta US. Bertamabh lagi wang yang dikumpulnya.

Saya akan terus menonton selagi ada siaran langsung, selagi nyawa di kandung badan, selagi masih sihat dan mata masih dapat melihat. Dan saya tahu kesannya pada diri sendiri iaitu saya seronok dan suka menontonnya. Saya tahu saya akan mengalami tekanan, sakit kepala dan tekanan perasaan, bersedih jika  Nadal kalah.

Pelik tak perangai saya ini? Orang lain yang dapat wang berjuta-juta , saya pula sanggup mengambil risiko kesihatan. Tapi seronok dan suka itu bukankah satu penawar kesihatan?  

Apa yang nak peliknya, sebahagian besar orang lain pun begitu juga. Tidak kira apa bidang, sukan ke, berniaga ke atau politik ke, pengorbanan mesti dibuat jika perkara itu sudah menjadi kesukaan kita. Sebab itu ada yang sanggup berbunuhan misalnya dalam politik kerana terlalu totok dengan politik. 

Saya totok dengan Nadal dan sukan tennis, jadi untuk memuaskan hati saya itu atau untuk mendapat keseronokan saya kenalah berkorban. 

Mana ada dalam dunia ini kita boleh dapat sesuatu yang kita suka tanpa bekerja keras dan berkorban. Kalau ada orang yang percaya begitu orang ini adalah bakal menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya. 

Apa-apa pun malam ini saya ada dihadapan tv melihat sekali lagi Nadal beraksi. Harapan saya Nadal menang. Harapan saya sakit kepala tidak menyerang. Harapan saya, saya akan 'enjoy' gila.


Jumaat, 7 Jun 2013

Memilih Calun Menantu

Ada empat orang semuanya. Dua perempuan sudah berkahwin dan masing-masing telah mempunyai anak seorang satu. Masih ada dua orang, seorang anak teruna dan seorang si dara. Si teruna telah bekerjaya. Si dara masih lagi belajar,  dua tahun lagi baru tamat.
 
Kali terakhir majlis kahwin diadakan ialah empat tahun yang lepas. 
 
Hari itu semua anak-anak , menantu dan cucu berkumpul di rumah melainkan anak perempuan yang  masih belajar di Mansoura Mesir. Kesempatan mesti diambil untuk membincangkan sesuatu yang amat penting kerana bukan senang untuk dapat semua orang berkumpul. Tidak juga pada hari raya kerana ada yang balik beraya bersama dengan keluarga mertua.
 
Sebenarnya perkara penting itu telah beberapa kali dibangkitkan dengan anak lelaki  kami itu. Tapi sekadar mahu tahu kedudukan anak itu sama ada sudah ada calun dihati atau masih mencari. Kalau sudah ada calun, kami nak tahu siapa gerangannya bakal menantu kami itu. Jika masih mencari, hendak juga kami beri panduan orang yang macam mana yang perlu dicari. Yang  kami amat bimbang ialah jika anak itu suka berkelana saja, tidak berminat untuk mendirikan rumah tangga.
 
Selepas makan malam, di ruang rihat keluarga , kami sekeluarga mengadap tv. Isteri semacam tidak memberi tumpuan kepada rancangan yang dipancarkan tv itu. Saya, sudah lama tidak menonton rancangan tv melainkan siaran sukan secara langsung. Menyampah. Tapi kerana isteri mendesak untuk ada bersama kerana ada perkara mustahak hendak dibincangkan, saya terpaksa akur.
 
Melainkan kami berdua dan dua orang cucu yang asyik dengan toys mainannya, yang lain memberi perhatian pada paparan di kaca tv.
 
Saya menguit bahu isteri supaya memulakan cerita, membangkitkan perkara yang mustahak yang hendak dibawa dalam perbincangan. Isteri sedia faham maksud kuitan keatas bahunya itu.
 
"Cantik perempuan tu", tiba-tiba terkeluar suara isteri mengganggu sedikit tumpuan perhatian anak menantu yang sedang menonton. Tapi mereka terus juga menonton tanpa seorang pun memberi reaksi. 
 
"Kalau dapat menantu macam tu kan bagus, ada rupa", isteri memuji lagi. 
 
"Ada rupa tak mestinya perangai baik", terdengar suara memberi reaksi. Suara anak perempuan yang pertama.
 
"Betul kata kakak tu. Ada rupa tapi perangai syaitan buat apa", anak perempuan kedua menyokong pendapat kakaknya. Isteri tersenyum. Anak-anak telah terperangkap. Terperangkap untuk bersama dalam satu perbincangan yang terlalu penting baginya. 
 
Tapi anak lelaki, si Lukman terus memberi perhatian kepada rancangan di tv, seolah-olah kata-kata mamanya itu adalah kata-kata dalam perbualan kosong. Bukan bermaksud ditujukan kepadanya. 
 
"Betul tak man", tanya kakak yang pertama, mengganggu Lukman yang sedang menonton. Lukman mengangguk saja tanpa bersuara.
 
Isteri nampaknya gelisah kerana Lukman tidak mahu masuk campur sedangkan dia adalah sasaran isteri. Isteri memandang ke arah saya seperti mahu minta bantuan. Saya rasa tercabar. Saya perlu membantu isteri bagi menyampaikan maksud dihatinya dan dihati saya juga. Saya mahu lakukan secara terus terang, tidak mahu kenen mengenen. Itu cara orang perempuan.
 
Saya meminta Lukman menutup tv. Pada mulanya Lukman menyangka permintaan saya itu disebabkan terdapat rancangan tohmahan dan fitnah yang selalu diulang siar oleh tv itu. Lalu dia menyatakan bahawa tiada hal seperti itu, ianya cuma drama hiburan.
 
"Papa dan mama nak bincang pasal man", saya beri tahu Lukman. Mendengar kata-kata saya itu Lukman segera menutup tv.
 
Maka semua yang ada hadap menghadap muka, duduk, membentuk bulatan di ruang rihat keluarga itu.  Sekali lagi saya menguit bahu isteri untuk meluahkan apa yang ada dihati. Isteri faham dan dia bersedia melakukannya.
 
Seperti pertemuan-pertemuan yang lepas, Lukman menyatakan dia masih tidak ada sesiapa sama ada yang dia berkenan atau ada orang berkenan padanya. Maknanya masih kosong lagi. Tambahnya lagi tidak semudah itu untuk mendapat orang yang berkenan dihati. Yang paling susah sekali ialah untuk mencari orang yang memenuhi spesifikasi yang selalu dinyatakan oleh isteri.
 
"Kalau man nak cari pasangan, carilah orang dekat. Elakkan orang jauh, seorang selatan, seorang nun di utara atau di timur. Susah nanti", satu diantara perkara yang selalu dipesan oleh isteri. 
 
Lukman berhujah balik bahawa kalau sudah jodoh, orang Bosnia pun boleh menjadi menantu mama. 

'Ada rupa, berharta, baik keturunan keluarganya, baik budi pekerti dan bahasanya. Dan yang paling penting baik amalan agamanya'. Isteri saya mengulangi kesekian kali ciri-ciri calun menantu yang Lukman perlu jadikan asas pencarian.
 
Lukman ketawa terbahak-bahak apabila sekali lagi ciri-ciri itu diperdengarkan kepadanya. 
 
'Cari orang yang ada rupa, maknanya perempuan cantiklah macam heroin dalam drama tv tu. Rupa aku macam mana?' Mungkin itu yang difikirkan si Lukman. 
 
Saya belum lagi mahu masuk campur. Cukup sekadar berjaya meminta Lukman berbincang hal yang menjadi keutamaan isteri.
 
Tapi otak saya bekerja kuat berhujah tentang ciri-ciri yang dinyatakan isteri saya itu. Harta, keturunan keluarga yang baik, budi bahasa dan pekerti yang dilihat baik belum tentu menjamin sebuah rumah tangga yang bahagia. Bahkan yang baik amalan agamanya belum tentu dapat menjamin keharmonian sebuah rumah tangga. Tapi ianya lebih baik daripada tidak ada asas tertentu yang digunakan dalam memilih pasangan. Apatah lagi  ciri-ciri yang dipilih itu adalah sejajar seperti yang disarankan oleh Islam.
 
 "Selesai", tanya saya.

"Apa yang selesainya?", isteri bertanya balik.

Saya bertanya Lukman adakah beliau telah bersedia untuk berumah tangga. Lukman tidak terus menjawab tentang kesediaannya itu sebaliknya ingin tahu pada usia berapa saya mendirikan rumah tangga.

"Lebih kurang macam umur man sekarang 26, nak masuk 27", jawab saya.

"Man baru nak masuk 26. Masih muda lagi", jawab Lukman.

Isteri pantas menyampuk dengan menyatakan bahawa anak-anak muda dulu berkahwin pada usia  17 tahun. Pada usia 26 tahun sudah lebih dari layak untuk berumah tangga.
 
"Kosnya mama. Hantarannya berpuluh ribu. Sepuluh ribu tak kurang. Mana belanja pergi merisik, meminang, bertunang dan majlis kenduri kahwin. Kalau tak ada 50 ribu jangan angan-anganlah nak kahwin", Lukman memberi alasan. Maknanya masalah Lukman bukan fasal ciri-ciri itu. Masalah Lukman ialah wang belanja.
 
"Sebab tu lah mama kata cari orang dekat. Boleh kurang belanja", isteri mengambil kesempatan atas jawapan Lukman tentang kos perkahwinan yang tinggi untuk memperkuatkan agar Lukman mencari calun orang yang dekat.
 
Saya tidak juga mahu masuk campur. Saya lebih suka mendengar. Bagi saya dekat atau jauh tidak jadi masalah jika itu yang Lukman berkenan. Dia yang nak kahwin, dialah yang buat pilihan. Belum tentu orang dekat lebih baik dari orang jauh. Dan belum tentu orang jauh akan boleh menimbulkan kesulitan dari segi hubungan kekeluargaan.
 
"Suka hati Man lah. Papa tak kisah. Asalkan Man dapat pilihan yang terbaik dan berkenan di hati man, papa setuju saja. Cuma ciri-ciri yang mama cakap itu baik di buat panduan. Semua emak bapak sayangkan anak-anak. Nak lihat anak dan menantu serta cucu-cucu berjaya dunia akhirat'. Saya bangun meninggalkan mereka semua. 


    

Khamis, 6 Jun 2013

Apa Makna Pada Lupa.





Kita tidak tahu bagaimanakah perangai kita semasa kecil khususnya semasa bayi. Pada usia itu kita tidak dapat ingat apa yang kita telah lakukan. Mungkin pada usia sebelum masuk sekolah rendah, enam tahun ke bawah, banyak perbuatan kita yang kita tidak ingat. 

Yang tahu perangai kita ialah kedua ibubapa atau penjaga kita atau orang yang lebih tua yang dekat dengan kita. Suka menangis ke kita, selalu kembong dan sakit perut ke kita, baik ke kita, lembut ke orangnya, nakal atau degil tak turut kata, kita tidak tahu atau tidak ingat. 

Jadi macam mana nak tahu perangai kita semasa kecil tanpa mendapat cerita dari kedua ibu bapa atau penjaga kita. Mudah saja. Lihat perangai anak-anak. Sebahagian dan mungkin seluruh perangai yang ditunjukkan itu adalah juga perangai kita.

Saya tidak mahu bicara tentang perangai kita semasa kecil yang kita tidak ingat itu. Hal itu semata-mata membuka bicara, cakap-cakap kosong saja untuk kelancaran dalam pembicaraan, sebagai 'appetiser', sebelum 'main course'.

Sekarang ini kita telah memasuki setengah tahun bagi tahun masihi. Kita ada berbaki setengah tahun lagi untuk menutup cerita tahun 2013. Pantas sungguh masa berjalan. Banyak peristiwa yang telah kita lalui dengan berbagai ragam dan warna. Ada yang kita rancang atau telah fikirkan dan ada juga yang tidak pernah terlintas difikiran. Namun sama ada rancang atau tidak kita telah pun hadapi. Dan kedudukan kita adalah seperti yang kita berada sekarang ini.

Bagi saya usia telah makin bertambah. Sama juga seperti orang lain. Tenaga fizikal semakin menurun. Buat kerja sedikit, banyak berihat. Banyak lupa dari ingat.

Ya sekarang ini banyak lupa dari ingat. 

Biasanya semasa sebelum sampai ke usia ketika ini , sewaktu untuk keluar rumah, misalnya untuk pergi kerja di pejabat, rutin harian mengambil tempat- berdiri dihadapan cermin mengenakan pakaian baju dan seluar, menyikat rambut, dan mengikat tali leher. Kemudian mengambil kunci kereta, dan kunci rumah beserta dengan alat kawalan pintu pagar rumah. Dan memasukkan handphone dalam poket seluar. Maka berbunyilah enjin kereta vrooooommmm, meluncurlah kereta membawa saya ke pejabat.

Rutin itu dilakukan secara otomatik dan sempurna tanpa ada sesiapa yang mengingatkannya. Tidak juga disediakan senarai semak bagi mengelakkan ada yang terlupa untuk melakukannya.

Kedudukan sekarang telah berubah. Jauh berubahnya. Ada saja yang tidak lengkap. Ada saja yang terlupa. Ada saja yang tertinggal. 

Apabila teringat barang yang tertinggal itu, dan jika ianya terlalu penting misalnya handphone terpaksalah berpatah balik. Kalau lalulintas tidak sibuk, tidak menjadi masalah, tiada tekanan perasaan dalam perjalanan patah balik itu. Jika sebaliknya, memberi kesan kepada bacaan tekanan darah, sakit perasaan dan sakit dada dibuatnya.

Semuanya adalah gara-gara terlupa.

Teringat saya akan satu cerita, perjalanan ke Singapura bersama keluarga dan emak. Masa itu usia belum memasuki 30an tapi sedang menghampiri ke usia itu, mempunyai dua orang anak. 

Dari rumah di Sungai Besi, kami menaikki teksi ke stesyen kereta api Kuala Lumpur. Sebaik saja sampai  di stesyen dan sebelum turun dari teksi, emak beritahu bahawa beg tangannya tertinggal. Kami semua ketawa sebagai reaksi awal. Kemudian saya mula susah hati kerana mengesyakki paspot emak ada didalam beg tangannya yang tertinggal itu. Setelah bertanya, emak mengesahkannya. Kami semua pucat lesi.

Saya dengan pantas meminta teksi berpatah balik ke Sungai Besi. Masa yang berbaki untuk menaikki kereta api ialah 40 minit. Maka bukan main laju teksi itu meluncur ke Sungai Besi. Pemandu teksi itu tiada masalah melakukannya kerana Kuala Lumpur ketika itu tidak seperti sekarang. Tidak ada kesesakan lalulintas, tak ada 'traffic jam'.

Akhirnya kami sampai semula ke stesyen, lima minit sebelum kereta api bertolak. Semua kami mengurut dada melepaskan sesak di dada gara-gara emak yang pelupa. Dan kami pun ketawa bersama.

Cerita emak yang pelupa ini, sekarang ini menjangkit pula kepada saya. Nasib baik dulu saya tidak memarahi emak kerana terlupa membuatkan kami semua sakit dada. Jika dulu saya marah emak, apalah alasan saya untuk tidak menerima kemarahan dari anak-anak jika saya terlupa.

Ya, saya selalu terlupa dan kerapkali mendapat teguran dari anak-anak. Misalnya terlupa membawa handphone, terlupa tarikh temu janji hospital dan banyak lagi. Banyak kali saya diingatkan jangan terlupa membawa handphone waktu keluar rumah agar dapat dihubungi. 

Tapi kalau dah lupa tetap lupa juga. Maka anak-anak yang menalipon untuk bertanya khabar, merasa tertekan dan sakit dada apabila saya tidak menjawab panggilan mereka. Mereka susah hati, apalah yang telah terjadi kepada saya kerana tidak menjawab panggilan mereka.

Maka apabila mereka balik ke rumah saya, berbagai cadangan dibuat bagi mengatasi masalah lupa saya ini. Satu dari cadangan itu ialah menyediakan senarai semak. Misalnya apabila hendak meninggalkan rumah, katakan ke pasar, hendaklah disediakan senarai yang memasukkan perkara-perkara: wang, barang yang hendak dibeli, troli mengisi belian, dan talipon tangan.

Saya bersetuju dengan cadangan itu walaupun ianya boleh membebankan. Maksud saya ialah bahawa saya perlu menyediakan terlalu banyak senarai semak. Kalau nak ke hospital, saya mesti ada senarai semak. Nak makan ubat , mesti ada senarai semak. Pendek kata semua yang hendak saya lakukan mesti ada senarai semak. Tiada senarai semak , ada perkara yang saya terlupa lakukan.

Soal membebankan itu tidak menjadi masalah besar jika akhirnya senarai semak itu boleh membantu supaya saya tidak akan lupa. Maka saya bertanya pada anak-anak bagaimana pula jika saya terlupa untuk menyemak senarai semak?

"Sebelum melakukan sesuatu, ingatlah senarai semak", antara cadangan dari anak-anak.

Ingatkan senarai semak sebelum melakukan sesuatu? Macam mana nak ingat senarai semak kalau memang senarai itu sendiri tidak ada dalam ingatan semasa kita hendak melakukan sesuatu?

"Gantungkan saja senarai semak itu di cermin atau di pintu atau tempat yang mudah nampak", satu lagi cadangan diberi.

Maknanya di cermin dan di pintu akan ada deretan senarai semak bergantungan? 

Entahlah, saya rasa itu pun tidak dapat menyelesaikan masalah lupa. Kerana saya terlupa pula untuk meletakkan senarai semak di tempat-tempat itu. Saya pun terlupa untuk membaca senarai semak itu.

Seperti cerita tentang perbuatan masa kecil kita yang kita tidak ingat, hal yang sama juga mula berlaku apabila kita semakin berusia, seperti saya ini. Terlupa atau tidak ingat ini sebenarnya adalah diantara satu dari finomina dalam sebuah kehidupan yang berulang. 

Maknanya apabila kita mula memasuki finomina terlupa, ianya satu petanda kita akan mengulangi zaman kanak-kanak kita dahulu. Dan ianya akan lebih menyulitkan lagi jika semasa tua ini kita akan mengulangi perangai kita semasa bayi.  

Perangai semasa bayi? 

Kita menangis emak susukan. Kita sakit perut ibubapa ubatkan. Kita berak dan kencing, ibubapa cuci dan salinkan. Kita sepahkan barang-barang ibubapa kemaskan. Kita tidak mampu berjalan, ibubapa dukungkan.

Tapi ingatkah kita perangai kita semasa bayi? Sudah tentu kita tidak ingat kalau ibubapa kita tidak menceritakannya. Namun kita boleh tahu perangai kita itu dengan mengasuh dan membesarkan anak-anak kita.

Apakah moral cerita ini? Fikirkanlah bersama. Yang penting sayanglah kedua ibubapa kita seperti kita sayangkan anak kita. Jangan LUPA yang ini.

   




    



Selasa, 4 Jun 2013

Hidup Ini Hutang Memajang

Hidup ini hutang memanjang. Macam-macam hutang yang kita tanggung. 

Apa itu hutang?

Kita berhutang untuk memperbaikki kehidupan dan masa depan kita. Kita berhutang kerana kita hendak merasai gaya hidup seperti yang kita lihat yang dinikmati oleh orang lain yang pada pendapat kita , kita juga patut menikmatinya. Kita berhutang adalah disebabkan kita mahukan sesuatu dengan lebih cepat dan mudah.

Kita berhutang dengan pihak atau orang yang mampu/bersetuju memberi hutang. Kita menggunakan nama baik kita untuk meyakinkan pemberi hutang. Kita menggunakan aset kita sebagai sandaran kepada hutang kita itu. Kita berhutang dengan mengurangkan sebahagian daripada perolehan masa depan.

Begitulah secara rengkas yang dapat kita kaitkan dengan hutang. Ada yang memerlukan dan ada yang sanggup/bersetuju memberi.

Sebahagian besar kita berhutang seolah-olah hutang itu tidak boleh dielakkan. Orang kayapun berhutang juga. Mungkin bilangan orang kaya yang berhutang itu mengatasi orang miskin. Sebab mereka mempunyai kedudukan yang diyakini boleh membayar balik hutang. Mereka jadi kaya, salah satu caranya ialah dengan berhutang. 

Bagaimana pula dengan orang miskin? Orang miskin juga adalah manusia biasa yang mempunyai nafsu dan kehendak seperti orang lain juga yang mahu hidup selesa dan senang, yang juga berhasrat untuk jadi orang kaya. Jadi mereka perlu berhutang. Cuma keyakinan sipemberi hutang kepada orang miskin ini tidak berapa tinggi. Sebab itu bilangan orang miskin yang berhutang tidak ramai. Jumlah hutang pun tidak besar.

Satu dari contoh hutang orang miskin ini ialah hutang PTPTN. Pelajaran itu penting dan perlu untuk membina satu masa depan yang baik. Kalau keputusan peperiksaan anak orang miskin ini cemerlang, peluang untuk dapat biasiswa adalah baik sekali. Tapi jika hanya sekadar layak memasuki universiti, peluang mendapat biasiswa sudah tentu tiada. Maka kenalah berhutang dengan PTPTN.

Jadi PTPTN adalah pemberi hutang kepada orang yang tidak mampu membiayai pelajaran di peringkat tinggi. Dan sebahagian besar yang memerlukan pembiayaan itu adalah dari orang miskin. Orang kaya ambil juga. Tapi asasnya berbeza. 

Asas orang miskin perlukan PTPTN ialah ketidakmampuan kewangan mereka. Asas orang kaya mengambil pinjaman PTPTN ialah kerana kos bayar balik adalah lebih murah/rendah berbanding dengan faedah/keuntungan yang tinggi yang diperolehi hasil pelaburan wang mereka sendiri dalam berbagai sektor ekonomi. 

Kesan berhutang PTPTN diantara orang miskin dan orang kaya adalah sama tapi tidak serupa. Kedua-dua simiskin dan sikaya wajib membayar hutang. Yang tidak serupanya ialah simiskin itu merasakan terlalu perit membayar balik pinjaman itu. Sikaya pula tidak merasa apa-apa, biasa dan selamba saja bayar hutang itu.

Selepas tamat pengajaian maka bermulalah anak orang miskin itu menjalani hidup dengan berhutang, mewarisi ibubapa mereka itu. 

Kemudian dia perlukan sebuah kereta. Dia perlukan  sebuah rumah/bilik untuk disewa  dengan memasang angan-angan untuk memilikinya. Dia mahu mendirikan rumah tangga. Sudah tentu mahukan zuriat untuk di hantar ke taska, tadika, sekolah dan masuk universiti. Untuk anak itu lebih berjaya dia perlukan pusat tuisyen.

Semua angan-angan, hajat dan keperluan itu tidak akan mampu menjadi kenyataan tanpa berhutang. Kita mesti berhutang. Jadi hidup ini mesti berhutang. Hutang memanjang. Yang berbezanya ialah berapa banyak yang kita berhutang.

Kalaulah kita mempunyai dasar pendidikan percuma sudah tentu ianya boleh mengurangkan hutang kita. Tapi kita telah buat keputusan untuk memberatkan diri dalam hal berhutang ini. Tanggunglah sendiri.

Isnin, 3 Jun 2013

Sabar makcik, sabar....: Mydin sila ambil perhatian

"Woi, tak boleh masuk ikut situ", seorang pengawal keselamatan melarang seorang makcik yang juga pelanggan tetap kepada sebuah pasar raya dari masuk ke dalam pasar raya itu melalui satu ruang yang terbuka. Makcik itu sebenarnya tidak bertujuan untuk masuk ke dalam pasar raya melalui ruang yang terbuka itu. Dia hanya menggunakan ruang yang kosong itu menjengah suaminya yang duduk diatas sebuah bangku panjang untuk diajak pulang. Dia tahu ruang itu bukan laluan masuk ke pasar raya.

Makcik itu sangat marah kerana pengawal keselamtan itu menggunakan perkataan 'woi' semasa melarangnya tadi.
"Apa? Saya bukan nak masuk. Saya nak panggil abang saya yang duduk diatas bangku tu, tak boleh ke". Marah sungguh makcik itu, merengus. 

Sebaik saja suaminya mendekatinya, makcik itu mengadu akan perbuatan pengawal keselamatan yang dikatakan tidak tahu menghormati sesama insan, apatah lagi dianya seorang pelanggan yang perlu dilayan dengan baik.

"Dia panggil kita woi. Apa kita ni macam peminta sedekah ke? Orang mintak sedekahpun kita tak buat macam ni. Panggillah cik atau puan, apa salah. Ada bahasa sikit", makcik itu merungut . Suaminya nampaknya seperti mahu menuju ke arah pengawal keselamatan itu. Tapi makcik itu melarang.

Mereka berdua menuju berjumpa seseorang. Mungkin pihak pengurusan.

"Tak patut dia panggil saya woi". Kamikan ke pelanggan. Tak ada pelanggan macam mana nak bayar gaji pengawal tu", antara kata-kata yang dapat didengari. Pihak pengurusan itu hanya mendengar saja seolah-olah perkara ini akan disiasat.

"Encik boleh panggil dia sekarang. Biar bersemuka. Betul atau tidak yang isteri saya kata". Sisuami masuk campur menggesa supaya pihak pengurusan memanggil pengawal keselamatan itu.

"Ok saya berjanji, saya akan memberi amaran kapada pengawal itu, Saya janji" kata pihak pengurusan yang cuba meredakan kemarahan suami isteri itu.

Setelah mendengar janji pengurusan itu kedua-dua suami isteri itu berjalan keluar menolak troli yang bersisi barang menuju ke kereta. 

Nampaknya rasa marah masih lagi belum padam.

Peristiwa ini berlaku di Mydin Air Keroh Melaka.

Oleh itu siapapun kita yang melaksanakan kuasa, tutur kata adalah amat penting supaya tidak menyakiti hati orang lain. Apatah lagi hati pelanggan.     

Ahad, 2 Jun 2013

Ibu Anjing Dengan Tiga Ekor Anak dan Seorang Ibu dengan seorang Lelaki/Suami





Berbaring di luar pintu pagar rumah saya ialah seekor ibu anjing dengan tiga ekor anaknya. Anjing ini saya percaya tiada tuannya. Umpama anjing yang merempat, berkeliaran menurut kemampuan tenaganya berjalan kemana saja yang terdaya, mencari makan. Tapi yang pasti anjing empat beranak itu sentiasa boleh dilihat berbaring dihadapan pintu pagar rumah saya waktu menjelang petang dan malam. Tempat mereka menumpang teduh.

Ibu anjing ini baru saja melahirkan tiga ekor anaknya. Dua dari anaknya mempunyai bulu warna putih dan seekor putih berbelang hitam. Sungguh cantik. Anak-anak itu berebut-rebut menghisap susu ibunya yang sekejap berbaring ke kiri dan sekejap ke kanan.

Rasanya teringin juga untuk membelanya. Tapi jika dibela susah juga untuk bergerak ke mana-mana dan juga untuk menguruskan masalah najisnya. Jadi lupakanlah saja niat itu. Cukuplah sekadar mempunyai rasa sayang terhadap anjing yang merempat itu.

Saya mengeluarkan bunyi suara seperti salakan anjing. Ibu anjing itu membalas lantas bangun mengajak tiga ekor anaknya berdiri seolah-olah menyatakan kepada anak-anaknya mereka dalam keadaan bahaya. Mereka perlu bergegas meninggalkan kawasan itu.

Begitulah caranya sekor ibu anjing yang mempunyai kasih sayang terhadap anak-anaknya, yang mementingkan keselamatan anak-anaknya, mengajak anak-anaknya keluar dari kawasan bahaya.  Walaupun salakan saya itu tidak bertujuan untuk menghalau dan menakut-nakutkan anjing empat beranak itu, tapi ibu anjing itu yakin bahawa salakan saya itu mesti ditafsirkan sebagai bahaya. Dia tidak perlu tafsir salakan saya itu sekadar menyapa mereka yang sedang berbaring dihadapan pintu pagar itu. Dia tidak juga menganggap salakan itu sekadar cetusan rasa  kasihan  saya melihat mereka duduk merempat.

Kemana agaknya bapa kepada anak-anak anjing itu. Atau jika anjing itu sebagai manusia, dimana perginya suami anjing itu. Atau dimana perginya lelaki jahat yang telah menjalangi seorang betina sehingga melahirkan anak itu. 

Tidak pernah sekalipun saya melihat seekor anjing yang sedewasa ibu anjing itu berada dan berbaring sama dengan empat beranak anjing itu di hadapan pagar rumah saya.   

Mudah sungguh sibapa anjing itu menjalani kehidupan harian. Tahunya mengawan saja, melepaskan nafsu. Lepas itu hilang lesap entah kemana. Tinggallah si betina (ibu anjing) itu membawa kandungan yang ada dalam badannya kemana saja sehingga melahirkan tiga ekor anak. Saya tidak pasti di mana tempat anak-anak itu dilahirkan, dan bagaiamana susah dan sakitnya semasa anak-anak itu dilahirkan.

Tapi saya terlalu pasti ibu anjing itu tidak melahirkan anaknya dengan dibantu oleh bidan, bukan di klinik atau di hospital.  Tidak juga disaksikan oleh teman yang dapat merengankan kesakitan dengan kata-kata ransangan. Jauh sekali untuk si anjing jantan itu hadir.  Maka berhempas pulaslah dia melahirkan tiga ekor anak, mungkin dicelah-celah semak atau dimana saya yang dia tidak dikacau ganggu.

Maka manakan patut kasih sayang ke atas tiga anaknya hilang begitu saja. Biarlah si anjing jantan itu hilang lesap, namun untuk membiarkan anak-anaknya dalam bahaya tidak sama sekali walau apa pun yang akan terjadi kepadanya. Dia sedia menyerang siapa saja yang cuba untuk mengusik dirinya dan anak-anaknya.

Itulah sebenarnya reaksi yang diberikan oleh siibu anjing itu sebaik saja mendengar suara salakan dari saya. Dia menyalak balas seolah-olah memberi ingatan kepada saya agar jangan cuba dekat apatah lagi untuk mengambil atau mengusik anak-anaknya.

Begitulah juga kasih sayang yang ditunjukkan seorang perempuan yang bernama ibu atau apa saja panggilan kasih sayang seperti emak atau mama dan lain-lain lagi. Sayang ibu melampaui apa saja pengorbanan termasuk nyawanya. Dan begitu juga seorang bapa kepada anak-anaknya, kasih dan sayang mengatasi kepentingan diri. 

Seorang bapa dan ibu tidak akan mengatakan 'tidak ada' jika anak-anaknya menyampaikan sesuatu kehendak dan kemahuan bagi masa depan anak-anaknya yang lebih baik, walaupun selalunya kehendak anak-anak itu diluar kemampuan atau keberadaan ibubapa itu sendiri. Paling teruk ibubapa itu akan mendiamkan diri saja apabila mendengar hasrat hati anak-anaknya. Untuk mengatakan 'tidak' , ianya satu pantang yang jika dilanggar boleh merendahkan harga diri sebagai ibu apa tah lagi sebagai seorang bapa. Panggilan ibu dan bapa itu membawa sama martabat, harga diri dan tanggungjawab.

Namun seperti bapa kepada tiga ekor anak anjing yang diperkatakan diatas, yang hilang lesap meninggalkan anak-anaknya merempat di hadapan pintu pagar rumah saya, ada bapa atau pun suami yang melakukan perkara yang sama bahkan teruk dan hina sekali. Anak yang dilahirkan oleh isterinya yang selalunya menyabung nyawa itu, sedikitpun tidak memujuk perasaannya untuk  bersama-sama  meraikannya dengan penuh kasih sayang. Katanya, anak itu adalah tanggungjawab isterinya saja.

Maka jika anak menangis diwaktu malam, sang suami ini terus memejamkan mata, walaupun tidak lena. Dia tidak mahu kesah atau merasa risau adakah anak itu sakit perut, punggung anaknya gatal disebabkan kencing atau berak atau anak itu diganggu syaitan. Semuanya itu isteri yang perlu uruskan, sedang isteri masih belum sihat dan masih sakit kesan dari melahirkan anaknya, yang juga anak suaminya.

Mencuci berak dan kencing anak, jauh sekali. Bukan kerjanya kerana dia seorang lelaki, dia suami ketua sebuah rumah tangga. Nasib baik ketika ini pakai lampin jenis pakai buang. Kalau masa dulu-dulu yang menggunakan lampin kain yang perlu dibasuh dan cuci, terpaksalah isteri yang masih belum sihat melakukan kerja cucian. Bapa atau suami jenis apa manusia ini? Layak disamakan seperti anjing jantan tadi.

Paling malang sekali apabila ada manusia lelaki setelah menjalangi kaum wanita yang lemah, walaupun dengan kerelaan wanita itu, hilang lesap entah ke mana tidak mahu mengambil tanggungjawab diatas perbuatan durjananya. Paling tidak sebagai manusia, tersembur sedikit rasa belas dan kasih sayang terhadap wanita yang teranianya itu, wanita yang membawa warisnya sendiri.

Lelaki jahat itu menghilangkan diri.

Bertambah-tambah malang lagi apabila wanita yang tidak dapat menahan tekanan dari penghinaan masyarakat terpaksa membuat keputusan menggugurkan kandungan. Dan jika diteruskan juga maka tempat berakhirnya anak yang akan dilahirkan nanti ialah di dalam tong-tong sampah atau ditinggalkan dimana-mana saja  yang boleh menarik perhatian orang untuk menyambungkan kasih sayang sesama insan.

Begitulah malangnya nasib anak seorang manusia. Lebih malang dari nasib tiga ekor anak anjing tadi. Walaupun ketiadaan bapa, anak-anak anjing itu masih mempunyai ibu yang menjaganya dengan penuh kasih sayang, pantang ada sesiapa saja yang difikirkan cuba mendatang bahaya kepada mereka , ibunya sedia berhadapan melindungi mereka dari bahaya. Jika tidak mampu melawan, diajaknya anak-anaknya meninggalkan tempat yang dianggapnya sebagai tidak selamat.

Begitulah cerita ibu anjing dengan tiga ekor anaknya yang pada masa ini telah datang semula berbaring dihadapan pintu pagar rumah saya. Anjing itu lebih mulia dari setengah manusia. 

Saya tidak mahu mengeluarkan suara salakan lagi. Biarlah mereka berihat.