Theflowersellingboy

Jumaat, 31 Mei 2013

Fitnah Dalam Sebuah Doa

Alhamdulillah dengan izin Allah kami dapat terus hadir dalam pengajian tafsir al-Quran di sebuah masjid. Pengajian ini dilakukan pada setiap petang khamis (malam Jumaat) sebaik saja selesai solat maghrib dan membaca surah Yaasin yang dipimpin oleh seorang ustaz.

Ustaz memulakan majlis dengan menyeru para hadirin supaya membanyakkan amalan dalam bulan Rejab kerana balasan pahala dari Allah SWT terlalu banyak. Antara amalannya ialah melakukan puasa sunat dan solat malam (Tasbih dan Tahjud). Pada bulan Rejab berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
Beliau juga menyentuh tentang mempercayai sesuatu berita yang diterima. Jangan terus percaya, mesti disiasat terlebih dahulu bagi menentukan kebenarannya.

Seterusnya ustaz menyatakan perasaan kurang senangnya tentang kedudukan ekonomi orang Melayu (Islam) dan penguasaan orang Cina dalam bidang ini. Oleh itu beliau mengajak para hadirin sekalian mendoakan agar orang Melayu diberikan kejayaan dalam bidang ini.  Jika ekonomi orang Melayu meningkat maka kutipan zakat pun meningkat. Dan ini memberi faedah kepada orang Melayu.

Dua hal pertama yang dinyatakan ustaz itu sesungguhnya memberi pengajaran yang baik kepada para hadirin. Dan perkara yang ketiga itu amat mendukacitakan sekali.

Maka bacaan surah Yaasin dimulakan dengan harapan antara lain membawa bersama doa yang diserukan oleh ustaz itu iaitu untuk kejayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. 

Tapi adakah semua hadirin bersetuju dengan cara ajakan ustaz itu? Allah saja yang tahu.

Mengapa saya bertanya soalan seperti itu?

Sebenarnya apa yang saya tulis tentang perasaan kurang senang ustaz terhadap kedudukan ekonomi orang Melayu diatas adalah dalam bahasa yang lembut. Apa yang dituturkan adalah sebaliknya yang mungkin menyalahi undang-undang negara. Namun maksudnya adalah seperti yang saya tulis diatas.

Nampaknya cara kita memperbaikki diri meningkatkan ekonomi bangsa sendiri masih lagi menggunakan kaedah menuding jari. Pihak lain atau bangsa lainlah yang menyebabkan kita jadi begini. Lantas kita meniupkan perasaan sakit hati dan benci serta memusuhi pihak lain yang berjaya itu. Kita tidak mahu melihat dalam diri kita sendiri, apakah kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaikki.

Sesungguhnya kita mencari jalan mudah untuk mengatasi kegagalan sendiri, dengan menuding jari. Kemudian kita menadah tangan memohon doa kepada Allah supaya kita diberi pertolongan, dimurahkan rezeki, ditambah baik ekonomi.

Adakah menuding jari merupakan satu usaha yang diperkenan oleh Allah? Dan sampai bila kita terus mengamalkan cara ini?

Selesai saja membaca surah Yaasin , diikuti dengan tahlil memohon doa untuk mereka yang telah meninggal dunia, memohon kesejahteraan kepada yang masih hidup dan keamanan negara.
Doa pun dibaca. Dimulakan dalam bahasa Arab. 

Kemudian terkeluarlah kata-kata yang amat menyedihkan sekali. Saya hanya mampu menulisnya dengan menggunakan bahasa yang lembut dan sopan.

Ustaz secara spesifik menyebut nama seorang pemimpin yang pada pendapatnya menjadi perosak bangsa dan agama dan yang menimbulkan huru hara di negara ini. 'Astaghfirrullah'. Kenapa sampai begitu rasa kebenciannya terhadap orang itu. Dan kenapa disebutkan dalam sebuah doa untuk diperkenan oleh Allah? Dan mengapa diajak orang lain bersama dalam doa itu? 

Ya, Allah saja yang maha mengetahui. 

Sedih, sesungguhnya amat sedih sekali dalam sebuah majlis yang murni telah dicemari dengan cetusan perasaan mengajak orang untuk membenci dan memusuhi pemimpin itu. 

Inilah kesan sebuah fitnah yang telah disebarluas berulangkali dalam media perdana. Saya percaya itulah sumber maklumat yang digunapakai oleh ustaz itu. Dan beliau kerap menyatakan sumber rujukan itu apabila menceritakan sesuatu berita.

Amat malang sekali. Bukankah ustaz itu telah menyatakan bahawa jangan mudah percaya kepada sesuatu berita yang diterima tanpa terlebih dulu melakukan siasatan?

Mungkin ustaz telah membuat semakan. Tapi sumber mana beliau gunakan? Jika sumber itu juga adalah dari sumber yang sama atau dari pihak yang memang mahu menyebarkan berita seperti itu, sudah tentu jawapannya adalah juga sama sehingga menguatkan kepercayaan ustaz itu tentang berita yang diterima. Inilah kesannya permainan jahat menyebarkan fitnah sehingga seorang ustaz yang diharapkan untuk menyebarkan perkara-perkara yang baik terjebak dalam permainan fitnah. Malang sekali.

Dan apabila seorang ustaz yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat yang kata-katanya susah untuk tidak dipercayai oleh masyarakat, menyambung kata-kata dan berita yang tidak benar maka bertambahlah orang yang terjebak dengan angkara fitnah ini. Maka rasa benci dan permusuhan telah berjaya disebarluaskan.

Dengan demikian percayalah bahawa jika kaedah ini berterusan, sampai bila pun ekonomi orang Melayu tidak akan dapat ditingkatkan kerana asas yang digunakan untuk berjaya ialah dengan menyalahkan orang lain, satu jari terlalu cepat menuding kepada orang lain yang mana jari-jari yang lain yang tidak bersetuju mengarah kepada diri sendiri.

Dan orang Melayu tidak akan dapat membina kekuatan dalam apa saja bidang kerana orang-orang yang mempunyai kuasa seperti mereka yang mengawal alat sebaran am dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh dalam masyarakat seperti ustaz ini, menggunakan kaedah fitnah bagi mengaibkan seseorang dengan berselindung disebalik jenama bangsa Melayu dan agama Islam. 

Mungkin ustaz itu tiada maklumat bahawa orang Melayu yang berkuasa inilah juga yang mempunyai kawan kongsi niaga orang Cina atau kawan Cinanya itu adalah proksi orang Melayu itu dalam perniagaan. Atau ustaz itu tiada maklumat bahawa parti orang Melayu itu tidak sebenar-benarnya mempunyai hasrat untuk melaksanakan hukum Islam. Atau tidak mendengar akan kata-kata pemimpin melayu itu yang menolak perlaksanaan hukum hudud.

Mungkin ustaz ini tiada maklumat tentang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa yang menjadi sanjungannya.

Mungkin ustaz itu ada maklumat. Tapi apakan daya, hidup ini perlu makan. Mungkin begitu agaknya.

Bagi saya tutur kata seperti yang dihamburkan itu tidak patut datangnya dari seorang ustaz yang mempunyai pengaruh besar dikalangan masyarakat Melayu.
 
  

Khamis, 30 Mei 2013

ILUSI SEBUAH KENANGAN

Hari itu pak menteri akan tiba di Kota Kinabalau (KK). Hari itu juga dia akan memberi taklimat kepada bos barunya tentang organisasi dan tugas-tugas jabatannya.

Pak menteri itu juga adalah bos kepada bosnya. 

Kedatangan pak menteri ke KK hanya baru diberitahu sehari lepas oleh ibupejabat KL. Kedatangannya tidak dimaklumkan terus ke pejabatnya. Dia cuma diberitahu oleh pejabat Setia Usaha Kerajaan Sabah , Jabatan ketua Menteri Sabah. Sebaliknya kehadiran bosnya yang baru ini adalah atas undangannya sebulan yang lepas semasa bertemu bosnya di KL. Ertinya satu pertemuan rasmi yang diaturkan.

Dia serba salah. Yang mana satu perlu didahulukan. Maksudnya siapa yang dia perlu beri tumpuan.

KL tidak memberikan apa-apa arahan.

Maka dia buat keputusan sendiri. Dia akan meneruskan majlisnya sendiri. Sebagai tuan rumah yang telah mengundang bosnya datang dia wajar memberi tumpuan kepada majlisnya. Dia mahu menjadikan majlis perjumpaan dengan bosnya itu satu majlis yang terbaik. Dia dan anak-anak buahnya telah bertungkus lumus membuat berbagai persiapan bagi menjayakan majlis jabatannya itu. 

Maklumlah bosnya itu akan menilai kerjanya dan dimasukkan dalam laporan tahunannya.

Pak menteri datang mungkin atas urusan dengan kerajaan negeri. Tapi mengapa dia tidak diberitahu? Mengapa dia tidak dilibatkan sama dalam perjumpaan itu?  Adakah bosnya juga sebagai seorang dari ahli rombongan bersama pak menteri itu? Kalau ya kenapa dia tidak diberi tahu?

Dia mendapat panggilan dari pejabat SUK meminta supaya seorang pegawai menjadi pengiring dan menyambut pak menteri itu. 

Siapa yang patut pergi menyambut pak menteri itu diairport? Dan siapa yang terus menjadi pengiringnya? 

"Aku"? "Tak boleh". 

Sebab dia terpaksa menunggu bosnya itu yang datang dengan penerbangan yang lain. Dan dia juga akan mengaturkan segala keperluan bosnya semasa di KK.

Maka dia mengarahkan seorang pegawainya untuk menyambut dan menjadi pengiring pak menteri itu selama pak menteri itu berada di KK.

Jam lapan pagi dia dan warga kerja jabatannya telah bersedia berbaris dihadapan pintu masuk banguna Wisma persekutuan. Bosnya sampai tepat waktunya. Dia dan warga kerja yang lain bersalaman dengan bos yang sentiasa senyum itu. 

Taklimat berjalan dalam bilik mesyuarat. Bosnya tidak bertanya apa-apa soalan. Bosnya amat faham tugas dan kerja yang dijalankan oleh pejabatnya. Cuma bosnya meminta suapaya setiap orang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik. Yang paling utama, kata bosnya jangan salah guna kuasa dan rasuah. jabatan ini mempunyai terlalu besar kuasa, banyak membabitkan perbelanjaan kerajaan, terutamanya berkaitan tender, tambah bosnya.

Dia paling seronok sekali apabila bosnya memberi pujian keatas prestasi jabatannya . Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Bosnya pula tidak ada sekali menyebut tentang kehadiran pak menteri itu. Bosnya juga tidak hadir bersama pak menteridalam perjumpaan dengan kerajaan negeri. Mengapa? Tapi dai tidak mahu bertanya.

Selepas jamuan makan tengah hari, dia menghantar bosnya ke airport untuk balik ke KL.

Pada keesokan harinya pegawainya yang mengiring pak menteri itu memberitahunya, "Tuan haji, semalam pak menteri tanya mana bos you. Saya beritahu bos kita datang. Dia marah sangat dan beritahu saya dalam begnya ada banyak komplen tentang tuan haji. Katanya tuan haji ambil rasuah".

Dia terlalu marah. "Ini satu tuduhan. Kenapa pak menteri tidak panggil dia untuk menjawab sebarang tuduhan. Kenapa di beritahu kepada pegawai bawahan. Kenapa tidak dilaporkan saja kepada BPR". Dia amat marah.

Hari itu hari Sabtu. Isterinya sedang sakit untuk melahirkan anak. Dia menjemput bidan datang ke rumah. Alhamdulillah isterinya selamat melahirkan seorang anak lelaki. Hilang sebentar kemarahannya itu.

Selang beberapa bulan seorang kawannya, ketua sebuah jabatan memberi tahu bahawa dia dan ketua jabatan itu adalah dalam pemerhatian pihak tertentu sebab ada berbagai dakwaan yang telah dibuat melalui surat layang. Dia sudah baca surat layang itu.

Surat layang itu dia perolehi dari ibupejabat KL yang meminta dia menjawab tuduhan dalam surat layang itu.

Dia terlalu amat marah. Orang KL percaya dengan surat layang? Kenapa surat itu tidak diberikan saja kepada BPR untuk disiasat? Kenapa tidak disiasat tanpa memberitahunya?

Dai menulis empat muka surat menyatakan rasa dukacita atas sikapa orang KL. Tidak cukup dengan itu dia talipon pegawai yang menulis surat itu. "Mengapa tak siasat?"

"Surat layang. Apa perlu disiasat", kata pegawai KL itu.

Dia tambah berang. "Kalau begitu kenapa minta penjelasan dari saya?"

"SYMP", kata suara dari KL.

"Ya lah kalau turut perintah pun, turutlah perintah yang betul". Dia meletakkan talipon.

Di hujung tahun dia mendapat maklumat dari kawannya yang dikatakan terlibat sama itu bahawa  , semua dakwaan itu adalah tidak benar. Ianya disahkan oleh sumber yang boleh percayai. 

Dia terima berita dengan penuh kesyukuran. Tapi dia tidak pernah menunggu berita seperti itu kerana dia tidak melakukannya. Antara kata-kata dalam suratnya kepada orang KL ialah, "Emak saya tidak pernah mengajar saya mengambil hak orang walau satu sen pun". Dan kata-kata ini membuatkan orang KL marah dengan mengatakan bahawa dia 'over react'.

Dan sekarang ini siapa yang kaya? Siapa yang mengumpul harta? Aku ke atau siapa? Mungkin pak menteri ada jawapan. Tapi tidak akan memberi jawapan yang betul.

Begitulah ilusi sebuah kenangan.

 
 

 
 

Rabu, 29 Mei 2013

Klinik dan Hospital Kerajaan Yang sentiasa Sibuk Memanjang

Pagi lagi telah berada di sebuah klinik kerajaan. Darah emak perlu diambil sebagai satu dari rutin rawatan. Terlalu ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan. Saya menganggarkan tidak kurang dari 200 orang pada jam 9.30 pagi itu.

Sementara emak menunggu giliran untuk dipanggil, saya membaca apa-apa saja notis dan tulisan yang dipamirkan dibahagian dalam klinik itu termasuk aku janji pihak klinik memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Saya mahu tahu berapa bilangan doktor yang ada. Tapi saya tidak bertanya dengan pekerja klinik. Saya hanya pergi ke garaj kereta. Ada sebanyak 5 garaj kereta dikhaskan untuk pegawai perubatan. Saya tafsirkan pegawai perubatan itu sebagai doktor. Ertinya ada 5 doktor yang berkhidmat.

Maknanya pada waktu 9 pagi itu nisbah doktor dan pesakit ialah 1 doktor 40 pesakit. Kalau satu pesakit memerlukan rawatan 10 minit, jumlah 200 pesakit, masa yang diambil 2000 minit (33 jam). Seorang doktor akan menggunakan masa sebanyak 6 jam lebih. Ini bilangan pesakit pada pukul 9 pagi. Selepas itu bilangannya mungkin bertambah.

Masa bekerja hanya dari 8 pagi sampai 5 petang (8 jam). Tak cukup masa nampaknya doktor-doktor itu untuk merawat pesakit. Mungkin tempoh merawat dikurangkan kepada 5 minit. Itupun  saya rasa tak cukup masa untuk satu rawatan yang berkualiti. 

Jadi macam mana? Mungkin ada pesakit yang tidak dapat diberi rawatan pada hari ini. Atau mungkin doktor-doktor dan pekerja klinik itu akan meneruskan kerja melewati tempoh kerja biasa.

Mungkin hanya pada hari ini saja yang sibuk.

Bagaimanapun keadaan seperti ini bukan perkara yang asing lagi di klinik atau di hospital kerajaan. Dimana-mana pun sama.

Kesedaran rakyat untuk mendapat perkhidmatan kesihatan telah bertambah. Kerajaan juga telah menambahbaik perkhidmatan ini. Tapi penambahbaikkan itu nampaknya tidak sepadan dengan keperluan rawatan yang semakin bertambah. Doktor dan kakitangan yang berkaitan masih lagi berkurangan.

Orang tak minat jadi doktor ke?
Tak minat jadi pembantu perubatan?
Tak minat jadi jururawat?

Mungkin juga perlu dilihat skim perkhidmatan mereka ini. Gaji, elaun, dah kemudahan-kemudahan yang mereka perolehi. Mungkin kurang menarik?

Apa pun, suasana di klinik tadi adalah satu perkara yang biasa dimana-mana dikilinik dan hospital kerajaan. Sibuk memanjang. 

Bagaimana dengan kualiti perkhidmatan?

BOSAN

 
 
 
 
 
Kena tangkap lagi?
 
Bosan dengar cerita tangkap menangkap fasal dikatakan menghasut. Apa yang menghasutnya? Entahlah cerita ini menimbulkan rasa meluat. Banyak lagi kerja lain yang lebih berfaedah, yang patut diberi keutamaan. Jenayah rompak, curi dan bunuh semakin meningkat. Ragut-meragut pun sudah macam jual kacang goreng. Terang-benderang dihadapan khalayak ramai dilakukan. Inilah yang patut diberi tumpuan.
 
Saya ada pengalaman tentang kena ragut ini. Tapi bukan saya, isteri. Kami keluar dari sebuah bank di PJ dan menuju mencari masjid untuk solat Jumaat. Akhirnya kami sampai disebuah masjid dan parking kereta di bahagian kiri jalan seperti yang dilakukan oleh banyak orang. 
 
Saya dan isteri menuju ke arah masjid. Isteri membawa bersamanya ditangan kiri beg plastik yang didalamnya terdapat sejumlah wang tunai lapan ribu ringgit yang baru dikeluarkan dari bank tadi dan peralatan solat. Dibahu kanannya tersandang beg tangan. Saya tiada bawa apa-apa. Kami jalan bersaing, isteri sebelah kanan dan saya disebelah kiri.

Tiba-tiba isteri menjerit apabila beg tangannya cuba diragut oleh 2 pemuda Melayu yang menaikki motorsikal. Mereka tidak pakai helmet. Saya sempat menerkam pembonceng motorsikal itu tapi tidak berjaya mengenai tubuh badannya. Para jemaah yang lain pun menerkam peragut itu tapi tidak dapat mereka terus memecut.

Nasib baik ramai para jemaah. Nasib baik juga isteri saya dapat memegang dengan kuat beg tangannya. Nasib baik duit lapan ribu itu kami masukkan dalam beg plastik, jadi peragut itu tidak menyangka ada wang didalamnya.

Hal-hal ragut meragut dan perlakuan-perlakuan jenayah seperti inilah yang sepatutnya diberi tumpuan. Bukan hal protes aman yang dilakukan oleh pihak-pihak yang mendakwa PRU 13 ini berjalan dengan cara yang meragukan. 
 
Hasutan? Jika mereka menghasut yang boleh mengancam keselamtan negara adalah tanggungjawab polis untuk bertindak. Tidak jadi masalah. Tapi bertindaklah keatas semua mereka yang melakukan hasutan. Terlalu banyak yang mengucapkan kata-kata hasutan. Terlalu kerap media-media cetak tertentu menyiarkan kata-kata yang berbentuk hasutan. Ada yang lebih teruk hasutannya. Tapi tidak pula diambil tindakan.
 
Jadi saya bosan dan meluat melihat apa yang berlaku ini. Benarlah kata Tamrin bahawa semasa dalam UMNO , sewaktu mana beliau mengaku ada buat jahat tapi polis tak tangkap. Tapi bila bukan UMNO  dan sekarang ini menyertai PAS beliau ditangkap dan didakwa kerana menghasut.
 
Bosan.
 
 
 
  
 
 

Selasa, 28 Mei 2013

Bersandar disofa yang lusuh dan menulis





Awan memutih melindungi kebiruan langit. Pukul 3..44 petang. Cuaca panas diluar. Bacaan suhu dalam rumah dengan bantuan alat hawa dingin dan putaran kipas pada tahap maksima hanya mampu menghasilkan suhu ke paras 30 darjah celcius. Masih panas lagi. 

Duduk diatas sofa yang telah lusuh. Tv dihadapan dibuka dan ditutup selang beberapa saat. Saluran tv sentiasa bertukar ganti. Tidak ada satu yang menarik. Bosan.

Pagi tadi , selepas Subuh buat senaman semula. Ini adalah kali pertama semenjak diberi cuti sempena kempen pilihanraya. Penat berkempen? Jauh sekali mahu berkempen, buang tenaga saja. Lagi pun kempen untuk siapa, parti mana. Tak ada siapa pun yang mahu terima. Kacau daun saja. Banyak rosak dari yang membina.

Cuaca yang panas ini membuatkan rasa bosan semakin memanjang. Tv pun tidak ada rancangan yang menarik. Banyak siar ulang. Sebulan bayar hampir sembilan puluh ringgit. Tak berbaloi. Dulu, masa tidak ada khidmat tv swasta, hanya perlu bayar lesen, dua puluh empat ringgit saja setahun. Tengok bezanya antara swasta dengan awam. Otak swasta hanya nak dapat untung saja. 

Buat untung tak mengapa. Tapi jangan pada paras menyiksakan pengguna. Mentang-mentang hanya astro saja yang diberi lesen siaran maka bebas mengenakan bayaran sesuka hati. Kenakan syarat dan terma yang menyiksakan pengguna. Lambat sedikit bayar cepat putuskan perkhidmatan. Nak sambung semula dikenakan caj sebagai denda. 

Monopoli haprak astro ni. Siapa tuan punya syarikat ini. Katanya orang India. Katanya orang India ini ada kawan kongsi niaga orang Melayu. Tapi yang siMelayu ini menyorok. Jadi tidak dapat dikenal. Cuma ada orang yang pakar dengan bau-bauan , dapat juga mengenalpasti bau Melayu yang melekat pada astro itu.

Apa salahnya berniaga secara berkongsi. Tiada mana-mana peraturan yang melarang kongsi niaga diantara berlainan bangsa dan agama. Bahkan digalakkan dinegara Malaysia ini sebagai satu cara perpaduan bangsa. Jadi jangan cuba cari hal mempersoalkan kaedah kongsi niaga ini.

Walaupun si Melayu itu menyorok, kata yang empunya cerita, si Melayu ini buat untung juga. Dia untung walaupun tak buat kerja. Bagus juga berniaga seperti itu. Tapi mesti ingat kalau tak ada pengaruh dan kuasa jangan harap dapat bersama dengan si India itu, sambung yang empunya cerita menyusun kata. Wang ada, kuasa pun mesti ada, begitulah yang disimpulkannya.

Tapi benarkah cerita itu. Itu cerita orang yang mudah sakit hati dan kecewa kerana tidak dapat bersama dalam syarikat astro itu. Itu dasar orang yang tidak suka lihat orang lain senang, ada saja yang dia dengki. Kalau astro beri sedikit ekuiti percuma, bukan main dipujinya astro itu. Rancangan haprak pun dikatakan bermutu tinggi. Monopoli yang haprak pun dipujinya, satu bentuk niaga yang terbaik. Mengapa perlu persaingan? 

Betul. Dalam berniaga persaingan tidak baik. Ianya tidak menjamin mutu sebab siapa saja boleh berniaga walaupun tidak ada kepakaran. Misalnya berniaga dalam bidang siaran seperti astro ini. Kalau ramai yang berniaga dalam bidang ini maka mutu akan terjejas kerana ada yang berniaga semata-mata hendak berniaga walaupun tidak pakar dan tiada modal yang cukup. Sudah tentu kita tidak mahu benda yang tidak ada kualiti.

Betul ke? Ada orang yang gatal-gatal bertanya, tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Orang ini menyambung hujah, katanya lebih ramai yang berniaga kita mempunyai banyak pilihan. Jadi tidaklah kita hanya dikongkong oleh syarat dan terma dari satu syarikat saja, termasuk harga yang boleh sesuka hati dikenakan kepada pengguna. Material siaran pun kita ada banyak pilihan. Tidaklah sesuatu yang diulang bayak kali siaran. Maka, hujahnya lagi, syarikat-syarikat itu tidak boleh berniaga main-main, asalkan ada siaran caj pengguna. Pengguna tak boleh buat apa-apa  kerana syarikat itu saja yang ada.

Tapi kalau ramai yang berniaga dalam bidang yang sama ia mengecilkan keuntungan. Misalnya kalau A jual nasi lemak dan B, C, D ,E sehingga Z juga jual nasi lemak, ianya merugikan peniaga itu. Untung kecil, dan besar kemungkinan kedai itu cepat ditutup kerana untung tidak sepadan dengan  modal yang dikeluarkan. Bahkan peniaga-peniaga itu wajib bersatu  untuk mewujudkan urusniaga yang cekap dan modal yang besar. Economy of scale kata orang ekonomi.

Entah lah saya pun tidak tahu. Saya bukan ahli elonomi. Jauh sekali ahli perniagaan. Cuma duduk atas sofa yang telah lusuh menghadapi tv yang dibuka dan ditutup selang beberapa saat. Semua rancangan astro tidak menarik.

Sudah pukul 5 petang. Ada siaran langsong Tenis Terbuka Perancis yang lebih dikenali sebagai Roland Gaross. 

Berhenti menekan huruf-huruf di laptop.
 
 

Isnin, 27 Mei 2013

"Orang Kampong Pun Tak Undi BN", jawab adik saya pada PRU 14.

Cerita PRU 13 ini masih berterusan.
 
Beberapa hari yang lepas saya telah balik ke kampong berjumpa emak yang tinggal bersama adik perempuan. Saya secara bergurau bertanya emak, "Emak undi apa? Emak yang telah masuk usia ingat-ingat lupa agak terpinga-pinga dengan soalan saya itu. Tapi dia bersuara juga, "Emak undi apa, ye. Entahlah mak tak tau".
 
"Undi BN", jawab adik perempuan saya yang menjaga emak.
 
"Pasal apa undi BN?" Tanya saya secara bergurau.
 
"Orang tu suruh", jawab adik saya selamba, tidak serious sambil ketawa.
 
Bagi emak dan adik saya, mengundi bukan perkara yang penting. Mereka tidak kaitkan mengundi itu dengan masa depan. Mereka tidak kaitkan dengan kehidupan.  Mereka pun tidak ambil peduli parti mana yang akan membentuk kerajaan. 
 
Rasuah dan salahguna kuasa bukan hal yang penting bagi mereka.  Berbuihpun mulut orang menceritakan fasal rasuah dan salah gunakuasa, ianya tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.
 
Jadi untuk dapat undi mereka senang saja. Jemput saja mereka dari rumah dan dalam perjalanan minta mereka undi kita (BN atau PR) mereka akan melakukannya. BN yang datang menjemput dan minta memberi undi maka BNlah yang diundi. Mudah saja bagi orang kampong seperti emak dan adik saya itu.
 
Kalau tidak datang menjemput pun mereka tidak kisah, mereka tidak marah.  Mengundi tidak ada apa-apa makna kepada dua beranak itu.

Bagaimana pula agaknya dengan orang-orang lain dikampong saya itu. 
 
Saya kira ianya tidak ada bezanya melainkan anak-anak muda yang menggunakan internet sebagai sumber maklumat. Tapi bilangan yang ada internet belum lagi meluas. Jadi sebelum peti undi dikira, ada orang berani bertaruh bahawa BN akan tetap menang.
 
Untuk mengetahui siapa dan parti mana yang diberi undi oleh orang-orang kampong saya ini, mudah saja semudah adik saya memberi jawapan kepada pertanyaan saya diatas tadi.
 
Mereka akan menjawab, paling kurang yang 'lamalah' atau yang 'biasalah'. Kedua-duanya merujuk kepada BN.  Dan sebahagian besar menjawab seperti itu. Ada juga yang menjawab secara terus terang dan bangga bahawa mereka mengundi BN.

Tapi ada juga yang menjawab 'undi itu rahsia'.  Orang yang menjawab seperti ini tidak banyak.
 
Dalam konteks kampong saya jika jawapan seperti itu ia boleh dikira sebagai orang yang tidak mengundi BN. Mereka berlindung disebalik kerahsiaan mengundi  untuk menjaga hubung baik dengan orang-orang kampong yang sebahagian besarnya dianggap sebagai orang UMNO walaupun bukan ahli UMNO. Mereka takut dipulaukan atau dipandang serong oleh masyarakat. 
 
Tapi tidak kepada anak-anak muda terutama yang mempunyai pendidikan yang lebih baik yang mempunyai capaian internet. Mereka menyatakan pendirian mereka dengan jelas bahawa mereka mengundi PAS atau PKR walaupun ibubapa mereka penyokong totok UMNO. Cuma di kampong saya golongan ini tidak dominan.
 
Dari cerita diatas saya dapat simpulkan, di kampong saya bahawa:
 
i) mengundi bukan satu perkara yang perlu diberi perhatian berat
ii) memilih apa yang ada dari melakukan perubahan
iii) generasi tua dan yang tidak mempunyai capaian internet dan yang banyak bergantung kepada sumber kerajaan akan memilih BN. 
iv) anak-anak muda yang ada capaian internet memilih PR.
 
Saya percaya pada pilihanraya akan datang ianya akan berbeza. 
 
Golongan berusia akan berkurangan.  Golongan ini yang hauskan kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, klinik, sekolah, masjid surau dan apa saja projek pembangunan ini sesungguhnya begitu taat dan setia kepada UMNO walaupun bukan ahli UMNO. 
 
'Ada ubi ada batas, ada budi kita balas', itulah pegangan mereka. 
 
Pada mereka projek-projek kerajaan itu adalah budi bukannya satu tanggungjawab mana-mana kerajaan. Mereka juga tidak tahu dan tidak ambil kisah dari mana  datangnya sumber pembiayaan projek itu. Malah ada yang menganggap dibiayai oleh UMNO. Paling teruk dari poket wakil rakyat UMNO jika mereka menerima bayaran tunai seperti BR1M.
 
Perlakuan kerajaan yang rasuah, salah guna kuasa dan urustadbir yang menyeleweng tidak langsung boleh mempengaruhi mereka untuk berubah kerajaan. 
 
Mereka juga tidak tahu dan tidak ambil kisah cara mana sesuatu projek itu dilaksanakan- alibaba kah, projek 10 peratus kah, projek kroni kah, projek kos yang tidak munasabah atau apa saja warna hitam yang mencemari projek itu tidak penting. 
 
Yang penting ada projek. Kualiti projek bukan satu masalah. Sebab itu banyak projek yang tidak bermutu seperti yang berlaku di Terengganu. Tapi orang kampong saya tidak bertanya soal semacam itu.
 
Tapi golongan berusia dan rendah pendidikan ini akan semakin berkurangan.
 
Golongan muda yang berpendidikan lebih baik  dan mempunyai berbagai capaian sumber maklumat akan bertambah. Mereka ini tidak percaya bahawa projek kerajaan itu adalah satu budi. Itu adalah satu tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh kerajaan yang dipilih. Ianya satu amanah. Oleh itu mereka mempersoalkan cara mana projek itu dilaksanakan. Antara lain mereka mahu tahu : tender terbuka? siapa dapat? kosnya bagaimana? ikut speks? berapa lama?
 
Mereka mencari dari berbagai sumber untuk mengetahui sama ada berlakunya penyelewangan, rasuah, kos projek yang tidak munasabah dan berbagai amalan lain yang boleh merugikan wang rakyat. 
 
Mereka tahu wang itu bukan parti BN atau UMNO yang punya. Bukan wakil rakyat yang punya. 
 
Wang itu adalah wang negara dari berbagai sumber pendapatan termasuk bayaran berbagai cukai dan bayaran-bayaran lain yang mereka bayar kepada kerajaan. 
 
Mereka tahu wang itu hanya boleh dikeluarkan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk dibelanjakan dengan kelulusan parlimen. 
 
Mereka juga tahu ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi bagi menguruskan wang itu.
 
Jadi kalau wang itu disalah urus, sudah tentu mereka akan bertanya mengapa? Dan jika terbukti memang berlaku penyelewengan sudah tentu parti yang diberi amanah itu iaitu BN akan ditolak. 
 
Pada masa akan datang BN tidak lagi boleh menghebuh-hebuhkan bahawa betapa banyaknya pembangunan yang menyenangkan rakyat telah dilakukan. Tidak cukup.
 
Dan jangan pula nak mengada-ngada meminta rakyat berterima kasih.
 
Apa yang BN perlu lakukan ialah melaksanakan urus tadbir yang bersih. Tidak rasuah dan tidak menyeleweng.
 
Memang benar pembangunan fizikal dan rohani untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat dibandar dan didesa adalah penting. Sama juga penting dengan melakukan urustadbir yang bersih.
 
Boleh BN lakukan? Saya kurang yakin jika pemimpin BN yang ada ini masih lagi terus memimpin kerajaan. Mereka sudah terlalu tercemar. 
 
Dan jika begitu halnya, dan jika emak saya dipanjangkan umur, dan jika adik perempuan saya dipanjang umur sehingga dapat mengundi pada pilihanraya akan datang, dan saya pula masih ada waktu  itu maka saya mahu ulang dialog saya seperti diatas: 

"Emak undi apa?" Emak saya tidak akan menjawab. Dia pun tidak tahu kemana orang membawanya. Hanya adik perempuan saya menjawab. "Tak mengundi BN".

"Pasal apa tak undi BN?" Tanya saya.
 
"Orang kampong pun tak undi BN". Jawab adik saya selamba. Dia pun ketawa.

 

Biarlah mereka berhimpun secara aman

 
 
 
1. Menangkap dan mendakwa penganjur dan peserta perhimpunan yang memprotes BN menang pada PRU 13 bukanlah cara terbaik dan bijak untuk sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Tidak juga baik bagi kematangan rakyat dalam berpolitik. Dan tidak juga baik bagi menjamin keamanan di Malaysia.
 
2. Memprotes secara merusuh dan merosakkan harta awam dan mengganggu hak kebebasan orang lain juga tidak wajar dilakukan.
 
3. Oleh itu sebanyak mana dan sekerap mana rakyat mahu berhimpun secara aman, benarkan mereka lakukan tanpa di sekat dengan tangkapan dan dakwaan.
 
Kita mendoakan agar semua pihak dapat berfikiran secara waras.

Jumaat, 24 Mei 2013

Jangan Dihairankan: Bersyukur sajalah.

Tamrin membuat kenyataan seperti yang dilaporkan dalam beberapa blog yang membawa maksud bahawa beliau ditangkap adalah kerana beliau bukan orang UMNO. Dulu masa UMNO walaupun beliau ada buat jahat, polis tak tangkap. Keluar UMNO dan bertaubat (buat baik) kena tangkap pula.
 
Hairan tak?
 
Mungkin bagi Tamrin ini satu finomina baru. Finomina yang baru beliau sedar atau tahu setelah keluar dari UMNO.
 
Saya tidak hairan. Dan ramai lagi orang lain tidak hairan. Perkara ini telah lama berlaku semenjak dulu dan kini. 
 
Selama-lamanya? Soalan bagi melengkapan kata-kata keramat UMNO- Dulu Kini dan Selama-lamanya.
 
Nampak gaya tanda-tanda itu lebih berat ke arah itu kecuali....
 
Kecuali kerajaan sekarang berani melakukan perubahan. Bukan cakap saja atau cakap lain buat lain. Najib kata nak hapuskan Akta Hasutan yang menjadi asas tangkapan keatas Tamrin ,Tian Chua, Haris Ibrahim dan aktivis pelajar Adam Adli. Tapi tidak juga dimansuhkan. Masih berkuatkuasa.
 
Akta masih berkuatkuasa. Polis menjalankan tugas. Jika ada mana-mana pihak yang ditafsirkan melakukan kesalahan menurut Akta tersebut sudah tentu menjadi tanggungjawab polis untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut. Kalau tidak polis tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang sepatutnya.
 
Tapi kenyataan Tamrin yang meluahkan rasa kehairanannya itu perlu juga dijawab oleh Polis jika polis memegang prinsip menjalankan tugas  menurut yang diperuntukkan oleh undang-undang.
 
Sebahagian besar rakyat memang sudah tahu atau sudah biasa dengan apa yang dihairankan oleh Tamrin. Tapi sebagai orang yang telah ditangkap dan telahpun menzahirkan rasa hairannya itu akan cara polis menjalankan penguatkuasaan, mempunyai hak untuk diberi tahu mengapa begitu caranya polis menjalankan tugas.
 
Jika kerajaan yang ada sekarang masih lagi meneruskan cara lamanya dan terus menggigit dengan ketapan gigi yang lebih kuat saya rasa kehairanan Tamrin itu akan berterusan. Dan selepas itu jika ditakdirkan Tamrin atau sesiapa saja ( tidak termasuk pemimpin kerajaan yang berkuasa) ditangkap atas dakwaan yang serupa, Tamrin akan tidak merasa hairan lagi, sudah menjadi perkara biasa.
 
Kecuali.....
 
Jika kerajaan yang ada mempunyai kepimpinan yang baru yang mempunyai keberanian politik untuk berubah.
 
Kecuali...
 
Jika kerajaan yang ada diganti dengan kerajaan baru melalui proses demokrasi yang aman tanpa penipuan.
 
Selain dari kehairanan, kenyataan Tamrin itu nampaknya mengesahkan apa yang dipercayai  ramai, kecuali orang UMNO, bahawa unsur-unsur jahat ini adalah sesuatu yang biasa dalam tindak laku dan perangai UMNO.  Seolah-olah mengatakan bahawa 'kalau nak bebas buat jahat, jadilah ahli UMNO. Dan lebih baik lagi jadi pemimpin UMNO'.

'Bebas buat jahat' itu bermaksud bahawa pihak yang berkuasa tidak akan mengambil tindakan keatas perbuatan jahat mereka itu. Itulah yang disahkan oleh Tamrin seorang bekas ahli UMNO yang juga bekas ahli parlimen Batu Berendam Melaka, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri.

Lihat siapa Tamrin ketika itu. Dia kata dia buat jahat, tapi polis tak tangkap ketika itu. Sekarang, sebagai ahli PAS, dah bertaubat pula, kena tangkap atas alasan menghasut.

Saya harap Tamrin tidak berubah hati pula untuk masuk UMNO semula bagi menikmati kebebasan buat jahat tanpa diambil tindakan.
 
Tapi benarkah dakwaan Tamrin itu? Bukankah kenyataan itu semata-mata untuk memburuk-burukkan UMNO kerana beliau kecewa untuk mendapat sesuatu.
 
Pertanyaan saya itu bukanlah atas dasar sangka buruk. Tapi perlukan kepastian supaya orang tidak keliru. Tamrin wajar tunjuk bukti. 
 
Ada bukti ke?
 
Kata-kata Ibrahim Ali yang didakwa setengah pihak sebagai menghasut perasaan benci antara kaum tidak boleh dijadikan alasan kerana Ibrahim Ali bukan ahli UMNO.
 
Kata-kata Zulkifli Nordin yang juga didakwa membawa unsur hasutan, tidak juga boleh disandarkan kerana beliau bukan ahli UMNO. Mungkin sudah jadi kot sekarang ni.
 
Jadi kata-kata dari siapa atau pihak mana yang ada kaitan dengan UMNO yang Tamrin boleh sandarkan sebagai berunsur hasutan?
 
Kata-kata Dr. Mahathir?
Kenyataan-kenyataan dalam Utusan Malaysia?
 
Kalau Tamrin kata kata-kata dan kenyataan Dr. Mahathir dan kenyataan Utusan Malaysia sebagai ada unsur hasutan, boleh ke orang percaya?
 
Yang jelas Dr. Mahathir masih bebas dari dakwaan itu.
 
Yang jelas Utusan pun serupa seperti Dr. Mahathir, masih lepas dari dakwaan.
 
Sudah tentu Tamrin hairan. Saya tidak hairan. Ramai orang juga tidak hairan.
 
Apa pun syukur alhamdulillah kerana semua mereka telah dibebaskan.

"Lima Puluh Ringgit, Boleh Juga Membantu", semacam terkilan juga.

Pukul 10 pagi pergi ke mesin ATM. Isteri mahu keluarkan wang. 
 
Di bahagian luar pintu masuk ke mesin ATM telah sedia ada seorang hamba Allah yang berketayap putih duduk diatas satu bangku plastik bawaan sendiri. Di depannya ialah sebuah bekas yang telus (boleh nampak isi didalamnya) seperti bekas tempat memasukkan undi semasa PRU 13 yang lepas.
 
Bekas itu ialah untuk memasukkan wang derma atau sumbangan bagi tujuan membantu perbelanjaan sekolah tahfiz dan pelajar-pelajar sekolah itu. 
 
Dua orang warga tua, suami isteri gamaknya, mendekati orang berketayap itu sambil bertanya maksud kutipan dermanya itu walaupun telah tertulis disebahagian bekas itu akan maksud kutipan yang dibuat itu. 
 
Setelah diberitahu maka siisteri telah mengeluarkan wang kertas RM50.00 yang agak tebal juga, mungkin membawa jumlah tidak kurang RM2,000.00. Diberikan wang itu kepada orang berketayap putih itu yang nampaknya berbesar hati akan derma dari orang itu. Mungkin beliau tidak sangka menerima jumlah sebanyak itu ditepi pintu sebuah bank. 
 
"Rezeki murah pada pagi Jumaat ini", mungkin itu yang berbisik didalam hatinya yang terjelma dari air muka cerianya.
 
Saya mendekati orang itu (yang berketayap putih). Saya bertanya datang dari mana. Beliau kata dari Bacuk Kelantan. Beliau mengutip derma untuk pembinaan tambahan asrama anak-anak yatim yang belajar hafiz serta membantu perbelanjaan anak-anak itu.
 
Oleh kerana isteri fasih dan lancar dengan loghat Kelantan maka perbualan semakin mesra. Banyak hal tentang sekolah itu yang diberitahu. Saya nampak orang ini sungguh gigih dalam tugasnya untuk menegak, menyubur dan menyibarkan syiar Islam. Tidak nampak wajah yang rasa malu mahupun kecewa jika tiada orang yang sudi mendekatinya untuk menghulur derma.
 
Habis berbicara kami ke kereta. Dalam perjalanan menuju ke destinasi seterusnya, terdetik dihati saya, bilakah pula saya dapat melakukan seperti yang dilakukan oleh pasangan suami isteri warga tua tadi. Kami pun tua juga tapi tak serupa macam situa tadi.

"Jangan tunggu banyak sangat. Lima puluh ringgit boleh juga membantu", semacam terkilan juga. Lain kali saya akan buat begitu. Harap-harap begitulah.
 
 

Khamis, 23 Mei 2013

BOIKOT: BERSELINDUNG DI SEBALIK JENAMA MELAYU

Boikot air asia kerana menghina orang Melayu? 
Boikot perniagaan orang Cina kerana tidak undi Melayu?

Bersemangat Melayu nampak gayanya asas seruan diatas. 

Saya mesti sokong sebab asasnya adalah kepentingan Melayu. Kalau tidak apa guna saya jadi orang Melayu yang telah mendapat berbagai faedah dengan menggunakan lesen Melayu. 

Contoh faedah yang saya telah perolehi:

i) bantuan dari kebajikan masyarakat semasa sekolah rendah dulu walaupun sekali saja.
ii) jalan kampong yang berdebu merah diganti dengan jalan tar
iii) sekolah, surau , masjid, balairaya, padang bola dan macam-macam lagi
iv) belajar disekolah asrama penuh dan dapat biasiswa serta duit poket bulanan. Tambang bas pergi balik diberi oleh kerajaan dari rumah ke sekolah/sekolah ke rumah. 
v) masuk universiti dan dibiayai oleh kerajaan.
vi) ditawarkan kerja dengan kerajaan
vii) diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana diluar negeri dengan kelulusan dan pembiayaan kerajaan
viii) dibayar pencen semasa bersara
 ix) macam-macam lagi misalnya semasa bersara dan jika saya berniaga atau menjadi kontraktor, saya akan diberi berbagai kemudahan dan bantuan untuk berniaga atau mendapat kontrak atau konsessi sesuatu projek dengan mudah dan atas syarat dan terma pulangan keuntungan yang  besar sekali.

Apa yang saya perolehi itu adalah disebabkan saya Melayu. Kalau saya bukan Melayu jangan bermimpi saya akan dapat dari i) hingga ix) diatas

Jelas dan terang itulah asas kepada seruan untuk memboikot air asia itu, "Demi Melayu". Ertinya untuk menjaga maruah dan martabat Melayu. Dan jika ada sesiapa yang tidak bersetuju dengan seruan boikot itu mereka akan menerima ayat amaran/ungkitan, mungkin berbunyi, " Kamu ialah orang melayu yang tidak tahu mengenang budi".

Jika diperhalusi lagi akan seruan itu maka terserlahlah bahawa maksud Melayu itu adalah ekslusif sekali sifatnya yang menjaga dan mempertahankan kepentingan kelompok Melayu tertentu. Kelompok yang menagih diatas budi yang kononnya telah diberi.

"Siapa kamu kalau tidak kerana UMNO"?

"Bila kamu susah, surat khabar mana yang bersimpati dengan penderitaan kamu, kalau tidak Utusan yang membantu"?

Itulah sebenarnya yang dimaksudkan Melayu. Selain dari jenama UMNO , tidak diakui  sebagai mempunyai semangat Melayu, yang mahu memperjuangkan Melayu dan yang sayangkan Melayu. 

UMNO saja mempunyai monopoli keatas Melayu. Itu yang orang UMNO percaya. Itu yang orang UMNO heboh-hebohkan. Itu yang orang UMNO istiharkan.

Dan UMNO sesungguhnya telah berjaya. Ramai yang percaya. 

Bagi saya tidak menjadi masalah jika UMNO benar-benar memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Teruskan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dan saya percaya juga orang-orang Melayu yang lain yang tidak termasuk dalam kelompok UMNO ini juga tidak ada masalah.

Jadi mengapa ada orang melayu tidak menyokong seruan diatas? 

Soalan ini UMNO dan mereka yang menyokong UMNO kena fikir baik-baik, bertenang dan jangan mudah menuding jari memarahi dan menghina pihak lain.

Dan kepada ahli dan penyokong UMNO , lihatlah pemimpin-pemimpin kamu, pemimpin yang ada kuasa termasuk yang telah melepaskan kuasa. Lihat mereka baik-baik , antaranya:

i) cara hidup mereka
ii) kehidupan berkeluarga
iii) hubungan dan kaitan mereka dengan orang bukan Melayu misalnya dari segi perniagaan
iv) aset-aset yang terkumpul dan cara aset itu diperolehi
v) dimanakah anak-anak mereka memperolehi pendidikan misalnya dalam negeri atau luar negeri

Banyak lagi yang anda perlu lihat sebelum anda menghina dan memarahi orang Melayu lain dan kaum lain.

Pemimpin anda juga adalah pemimpin saya. Saya juga ada hak untuk sama-sama melihat.

Tidaklah benar malah ianya satu pembohongan jika anda mengatakan atau anda hanya percaya bahawa UMNO saja sayangkan orang Melayu. Umno saja  mahu menegakkan Islam. UMNO saja yang layak menerajui negara. 

Dan anda masih berterusan mengatakan DAP itu parti Cina (ada setengah dari anda mengatakan sebagai kominis) yang anti Melayu dan Islam, lalu orang Melayu tidak boleh bekerjasama dengan parti 'kafir' itu, demi masa depan orang Melayu dan Islam.

Tapi siapa itu MCA. Siapa itu MIC. Siapa itu yang menganggotai berbagai parti di Sabah dan Sarawak. Bukankah semua mereka itu kawan baik UMNO? Adakah mereka itu orang Melayu? Adakah mereka itu orang Islam?

Dan anda sepatutnya lihat dalam parti anda. Adakah semua ahli UMNO orang Melayu? Adakah mereka itu beragama Islam?

Saya ada jawapan. Tidak semuanya berbangsa Melayu. Tidak semuanya beragama Islam. 

Anda tidak marah?Tidak rasa terhina?

Mengapa pula anda berburuk sangka terhadap orang Melayu bukan UMNO dan orang Cina khususnya ahli DAP?

Sesungguhnya perjuangan anda bukan demi Melayu dan tidak juga demi Islam. 

Ada kepentingan lain yang anda mahu mempertahankannya dengan berselindung di sebalik jenama UMNO berlesenkan Melayu.

Jadi seruan memboikot anda itu tiada langsung kaitannya dengan kepentingan orang Melayu.      
 
Jika perkhidmatan air asia itu 'lauyah', dan menyusahkan pengguna, saya bersama anda untuk mengkritiknya, malah jika air asia masih berdegil tidak mahu memperbaikkinya mari kita ramai-ramai memboikotnya.

Tapi kalau hanya seorang pegawai air asia menegur sifat perkauman Utusan dijadikan asas untuk memboikot air asia, sesungguhnya anda telah merendahkan kewarasan pemikiran orang Melayu.

Apa salah dan tidak berbudinya orang tidak mengundi UMNO/BN. Apa salah dan tidak mengenang budinya orang Cina yang tidak mengundi UMNO/BN. Bukankah itu amalan demokrasi. Dan apa guna adanya pilihanraya yang melibatkan belanja besar. Bukankah wang itu lebih baik dijadikan BR1M.

Jika perbuatan tidak mengundi UMNO/BN itu dihukum sebagai salah dan tidak berbudi, saya ingin tanya tidak salah dan tidak berbudikah orang UMNO/BN kerana tidak mengundi PAS, PKR dan DAP?

Janganlah nak boikot perniagaan orang Cina, nanti ianya juga akan menjejaskan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemimpin-pemimpin kamu. Dan apabila pemimpin kamu mendapat pembahagian keuntungan yang mengecil, bahagian kamu juga akan terjejas.

Ingat nasihat diatas.