Theflowersellingboy

Ahad, 31 Mac 2013

Modal cerita orang yang keletihan buat kerja, tak ada idea.

 Sepanjang minggu ini iaitu dari Hari Isnin sehingga hari Ahad pada hari ini, saya terlalu keletihan. Keletihan membuat kerja-keja pembersihan ruang dalam rumah. Maklumlah setahun lebih rumah di tinggalkan kosong, terlalu banyak habuk dan tahi-tahi cicak.

Selepas melakukan senaman pagi, diikuti dengan sarapan pagi yang mudah, saya dan isteri memulakan operasi membersih rumah. Isteri memberi tumpuan dibahagian dapur. Saya dikawasan selain dari dapur iaitu-bilik sendiri dan bilik anak-anak, ruang tamu, ruang rihat/tv, perpustakaan mini dan  ruang makan. Pendek kata semua ruang atas dan bawah melainkan ruang dapur. Operasi tamat pada pukul satu lebih sebelum memasuki fardhu Zohor. 

Selepas Zohor dan makan tengah hari, kami berihat kerana terlalu amat letih. Sesungguhnya kami merasa puas apabila melihat hasil penat lelah itu-bersih ,cantik dan tersusun seperti sebelum kami mengosongkannya dahulu.

Ruang kerja saya nampaknya 99 peratus siap.Baki kerja masih ada sedikit lagi iaitu untuk menyambung menyusun atur barang-barang dan kelengkapan. Di bahagian dapur, isteri masih lagi termengah-mengah. Dia perlukan bantuan. Esok saya akan bersama dengannya diruang dapur dan stor menyimpan barang.

Operasi kami ada sedikit terjejas. Kebetulan pada hari Sabtu anak dari Putra Jaya ada bersama. Sudah tentu cucu kami AhmadNaqib ada bersama. Anak bujang dari Pasir Gudang juga ada  bersama. Jadi sudah tentu kami memberikan masa untuk mereka. Tidaklah boleh menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja membersih rumah. 

Kami makan malam, sarapan, makan tengah hari dan membeli belah bersama. Seronok. Tapi dua orang lagi anak tidak ada bersama. Hari raya nanti insyaAllah semua akan dapat bersama.

Satu lagi yang menyeronokkan saya ialah mendapat hadiah sebuah tv baru 40 inci. Anak bujang yang belikan. Dia kesian tengok saya menonton tv yang ada gambar tapi tak ada suara. Dia tanya macam mana tengok tv tak ada suara, tak tahu butir apa yang dicakapkan. Saya beri tahu dia, bahawa suara tidaklah berapa perlu sangat sebab saya hanya tonton sukan saja. Tengok eksyen pun dah mencukupi. 

Kadang-kadang mendengar komentar dari pengulas sukan juga boleh menimbulkan rasa kurang menyenangkan terutama pengulas tempatan. Begitupun kalau ada suara lagi bagus.

Tv yang ada gambar dan suara telah dibeli. Timbul satu hal pula. Dimana tv itu hendak diletakkan? Saya minta diletakkan dalambilik sayalah kerana boleh tonton sambil berbaring diatas katil terutama kalau ada siaran langsung sukan pada larut malam. Isteri dan anak hendakkan tv itu diletakkan di ruang tamu sebelah atas, tempat mereka berkumpul meonton rancangan masak memasak, filem dan drama terutama cerita Filipina dan rancangan-rancangan yang tidak berkait dengan sukan. Maknanya apa yang kaum hawa minat.

Dirumah saya hanya dua kaum Adam. Empat lagi kaum hawa. Kalau buat undian kami kan kalah. Tapi tv yang baru itu bertujuan menggantikan tv yang saya tonton dalam bilik. Maka mereka tidak ada alasan untuk menuntut supaya tv itu diletakkan di ruang tamu. Tv mereka masih ok, ada gambar dan ada suara. Hanya sedikit kecil saja.

Jangan marah.

Sekarang kedua-dua anak telah balik ke tempat masing-masing. Tinggallah kami berdua. Sewaktu mengucapkan selamat jalan kepada anak yang balik ke Putra Jaya, isteri menangis kerana berpisah dengan cucu. Tambahan pula bila cucu melambai-lambaikan tangan. Saya pun rasa sebak, tapi tidak menangis seperti  isteri. Sedih juga.

Tapi semasa mengucapkan selamat jalan kepada anak bujang yang ke Pasir Gudang , isteri sempat berbisik yang saya boleh dengar, "Tahun depan beli untuk mama pula". Anak bujang saya itu ketawa tanpa buat janji. Saya pun, apa lagi ketawa sama.

Kami mendoakan mereka selamat dalam perjalanan. 
   

   

Sabtu, 30 Mac 2013

Dengarlah Rayuan Dari Hati Nurani Kami: Tolonglah Kali Ini Saja

Saya ingin mencadangkan agar BN membuat rayuan kepada rakyat agar rakyat memberikan undi kepada BN dalam pilihanraya ke 13 akan datang ini. Kata-kata rayuan adalah seperti dibawah

Sesungguhnya kami merayu....merayu dengan sepenuh hati suci kami, hati nurani kami agar kami diberi peluang sekali lagi, hanya untuk kali ini saja untuk diberi amanah yang begitu suci bagi kami memikul beban dan tanggungjawab, memperhambakan diri demi kesejahteraan rakyat. 

Berilah peluang sekali lagi untuk kami menjadi hamba rakyat

Rasanya banyak lagi yang perlu kami lakukan. Walaupun terlalu banyak yang telah kami lakukan, dan lakukan dengan penuh setia dan amanah, sepanjang lebih 55 tahun, menjalankan tanggungjawab mencurah khidmat bakti demi rakyat, kami masih merasakan ianya belum mencukupi, dan perlu diteruskan. Kami akan merasa amat kempunan jika kami tidak lagi dapat memperhambakan diri berkhidmat kepada rakyat. 

Jadi dengan penuh rasa kasih sayang dan rendah diri, kami merayu apalah kiranya rakyat yang budiman dapat membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya , dengan mengundi kami pada pilihanraya yang ke 13 nanti. Jangan risau, kami akan umumkan pembuburan parlimen tidak berapa lama lagi. 

Apa yang penting ialah memberi undi kepada kami, melebihi apa yang telah dilakukan pada tahun 2008 agar kami dapat berkhidmat dengan lebih kuat tanpa kacau ganggu dari pihak yang lagi satu, pihak pembangkang.

Ya, kami sedar bahawa sebagai manusia biasa kami ada juga sedikit kelemahan. Namun apa yang telah kami lakukan selama ini tiada mana-mana pihak boleh menafikan bahawa faedah yang diterima rakyat adalah lebih besar jika dibandingkan dengan sedikit kelemahan yang telah kami lakukan. Buktinya terlalu banyak untuk kami senarai dan sebutkan.

Ya, sebagai manusia biasa yang telah menunjukkan kekurangan, kami dengan rendah diri memohon maaf. Kata orang  bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Ianya tidak disengajakan.Tiada pun terniat dihati untuk mengecewakan sesiapa, apatah lagi kepada rakyat yang telah begitu lama dan setia menyokong kami. Kami bukan malaikat. Tapi jangan pula memanggil kami sebagai syaitan yang dikenali walaupun ada dikalangan pemimpin kami menggelarkan kami seperti itu.

Berdasarkan kerja-kerja yang telah kami lakukan, 'Layakkah kami dipanggil sebagai syaitan yang dikenali?'

Jika ramai yang bersetuju mengatakan begitu maka sekali lagi kami mohon maaf kerana bersifat sedemikian. Ianya satu sikap yang tidak disengajakan. Maklumlah oleh kerana terlalu lama diberi kuasa, setengah dari kami telah lupa dan alpa akan tanggungjawab yang perlu dilakukan sehingga sanggup mengambil sifat-sifat syaitan menguasai diri mereka. Sekali lagi kami mohon maaf.

Namun  kami bukan malaikat dan bukan juga syaitan. Kami adalah manusia biasa seperti juga dengan lawan kami parti pembangkang, yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Mungkin kesilapan kami tidak sebesar kesilapan pihak lawan.

Apapun dikata orang, sepanjang tempoh lebih 55 tahun menerajui negara kami telah melakukan dengan sebaik mungkin. Faedah kepada rakyat mengatasi kekurangan kami. Renungkan baik-baik apa yang telah kami lakukan. Berlapang dadalah dalam menilai jasabakti kami kepada rakyat.
 
Lihat sekeliling anda. Pembangunan yang begitu pesat. Bangunan mencakar langit. Gedung-gedung perniagaan yang bercambah. Lingkaran jalan raya yang bermutu menghubungi diantara satu tempat ke tempat yang lain yang memberi kemudahan kepada perjalanan rakyat. Dan macam-macam lagi projek ekonomi dan sosial yang menguntungkan rakyat, misalnya klinik 1 Malaysia dan pr1ma.

Jangan lupa BR1M 500 ringgit. KR1M dan 1Malaysia yang lain. Semuanya itu untuk rakyat.  Macam dalam pemberian BR1M kerajaan telah mengeluarkan berbilion wang hanya semata-mata untuk menolong rakyat yang susah bagi merengankan kos sara hidup mereka.

Kami juga mengambil kira keamanan dan keselamatan negara. Kelengkapan, peralatan dan pekerja bagi tujuan tersebut sentiasa diberi keutamaan. Sudah tentu rakyat telah biasa dengan kapal selam scorphene, kapalterbang skyhawk, berbagai jenis kapal dan bot peronda serta kelengkapan senjata bagi mempertahankan keselamatan negara dari ancaman musuh. Dan kami bercadang untuk menambahkan lagi aset ini. Ingat, kita baru saja diceroboh oleh kesultanan Sulu, di Lahad Datu.

Jadi apakah alasan yang ada untuk tidak meneruskan khidmat kami. Sudah tentu tiada sebab untuk berbuat demikian.

Kami sedar bahawa pembangkang telah juga mendekati rakyat untuk mempengaruhi rakyat mengundi mereka. Tapi apa jasa pembangkang yang baru setahun jagung. Yang baru saja ada sedikit pengalaman berkerajaan. Itupun diperingkat negeri, hanya 4 buah negeri berbanding kami yang menguasai banyak negeri dan peringkat persekutuan. Lagipun kamilah yang telah membangunkan negeri-negeri itu. Pembangkang hanya mengambil dari kami, dan menimbulkan berbagi masalah.

Mahukah tuan-tuan meletakkan kepercayaan kepada pembangkang yang tidak ada pengalaman? Kami percaya tuan-tuan akan mengatakan tidak  kerana risikonya terlalu besar. Mengapa perlu ubah kepada yang belum teruji sedangkan yang telah teruji sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh jiwa dan raga.

Yang kami tahu dan tuan-tuan pun tahu, rekod yang ada pada pembangkang ialah membuat berbagai janji yang bukan-bukan. Tak masuk akal. Bahkan boleh bengkerapkan negara. 

Mereka nak turunkan harga minyak, hapus PTPTN dan hutang PTPTN, hapus AES, turun harga kereta, beri pelajaran percuma, turun kadar harga letrik, hapuskan tol, menetapkan gaji minima RM1,100.00 sebulan, dan macam-macam lagi nak dihapuskan.

Mana boleh tuan-tuan. Negara akan bengkerap jika semua nak dihapuskan. 

Kami percaya BR1M telah banyak membantu merengankan kehidupan tuan-tuan. Tuan-tuan juga berterima kasih menerima bantuan itu. Namun kami percaya tuan-tuan tidak akan rela untuk menerima dasar pelajaran percuma, penghapusan hutang PTPTN, hapus AES, menurunkan harga minyak, menghapuskan tol, mengurangkan kadar letrik dan apa-apa saja janji yang mahu mengurangkan kos sara hidup kerana ianya melibatkan maruah tuan-tuan dan nasib masa depan negara. Tuan-tuan rela menjadi orang susah untuk mengelakkan negara menjadi bengkerap. Syabas kami ucapkan diatas sikap tuan-tuan yang patriotik itu, demi negara.

Sebenarnya mereka tidak tahu mengurus ekonomi negara, sebab tidak ada pengalaman. Bagi kami, menguruskan negara sudah menjadi darah daging, kami tahu dan mahir melakukannya.

Jika mereka diberi kepercayaan , sekali lagi saya ingatkan,   negara akan jadi bengkerap. Akan berlaku skandal kewangan. 

Mereka tidak berhenti-henti memperkatakan kami melakukan skandal kewangan dengan membangkitkan kononnya kami melakukan rasuah dalam berbagai bentuk, pengaliran keluar wang haram, salah guna kuasa dan memberi keutamaan kepada beberapa orang dalam sesuatu projek sama ada kontrak atau konsessi. Konon katanya negara kehilangan wang berbilion-bilion ringgit.

Mereka ada bukti ke tentang dakwaan mereka itu? 

Yang kami tahu mereka menggunakan laporan dari pihak asing. Apa maknanya itu? Maknanya mereka telah digunakan oleh pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan. Dimanakah sifat patriotik mereka?

Sekiranya ada, bukti kita  ada pihak berkuasa yang boleh menjalankan penyiasatan dan dakwaan. Dan kita ada mahkamah untuk membicarakan sebarang dakwaan. Tapi , setakat sekarang kami masih lagi bebas dari dakwaan itu. Bermakna tidak ada bukti. Ianya hanya rekacipta mereka saja untuk mengelirukan rakyat agar rakyat menentang kerajaan. 

Yang selalu juga mereka sebut ialah projek lembu dan kapal selam scorphene. Mereka dah tak ada modal dan isu lagi. Sebab, jika projek ini ada masalah sudah tentu pihak yang berkuasa akan melakukan siasatan dan dakwaan.      

Kalaupun benar dakwaan mereka, jumlah wang yang hilang yang dikatakan berbilion itu tidak akan dapat mengatasi jasa dan bakti yang telah kami curahkan.

Mereka juga mendakwa kerajaan mencampuri dalam hal-hal pilihanraya, penyiasatan dan dakwaan bahkan sehingga perbicaraan dimahkamah. Sekali lagi kami bertanya, 'boleh ke kita percaya dengan dakwaan mereka?'

Tuan-tuan usah percaya. Semua itu tidak betul. Yang betulnya ialah mereka gila kuasa berbanding dengan kami yang telah lebih 55 tahun berkuasa.

Dengan itu kami dengan rendah diri sekali lagi memohon maaf diatas sedikit kelemahan kami dan berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik, jika dipilih sekali lagi. Ketika ini kami sedang melihat dan mendengar dengan begitu rapi dan teliti serta membaca setiap isyarat yang diberikan oleh rakyat sebelum kami membubarkan parlimen. Kami percaya dengan rayuan ini, rakyat akan memberi isyarat yang positif. Berilah semangat dankekuatan kepada kami, dan jangan terpengaruh dengan cerita pembangkang sebab mereka masih mentah tapi gila kuasa.

Undilah kami, BN. Maksudnya Barisan Nasional, bukan Barang Naik.  

Dengarlah rayuan dari hati nurani kami, tolonglah kali ini saja. 

 

 
 
 

Khamis, 28 Mac 2013

AKHIRI ZAMAN MISKIN

Masuk Percuma.

(Seminar 1 Azam: Akhiri Zaman Miskin.  Superb platform, Strategy and projection, Big opportunity and profit'. Tahun baru, azam baru, buku baru, income pun baru.  

Dalam seminar pengurusan kewangan ini, kami akan kongsikan pengalaman dan ilmu kebebasan kewangan yang telah ramai dilahirkan daripada 'nobody to somebody'

Ramai yang telah berubah!! Kini giliran anda!!!

Siapa yang perlu hadir?
pekerja yang bosan dengan gaji ciput dan nak tambah income
penganggur terhormat
businessman yang hutang bersepah
eksekutif professional
kaki MLM yang bosan dan kecewa
terjebak dengan skim cepat kaya tapi tak kaya-kaya
yang ingin berniaga tapi tak ada modal
suri rumah dan sesiapa saja
semua golongan yang dah lama hidup susah.

Ketahui rahsia cara terpantas buat duit. Tak putus-putus masuk ke akaun bank anda RM700 ke RM2500 sehari! Rasa mustahil? Pelik? Anda tentukan!!!

Terkumpul untuk 7 hari saja RM7,760.00.

Semua diatas tertakluk kepada terma dan syarat.

Elakkan skim cepat kaya, skim piramid, pelaburan internet dan ah long.

Testimoni

i) Berbelas tahun aku kerja memasak di hotel 5 bintang tapi gaji tak berapa nak 5 bintang. Makin lama hutang banyak, dapat gaji tak pernah nak cukup. Lepas tu aku jumpa denga orang dalam komuniti ini. Dia ajar aku cara multiply duit. Baru 5 bulan hutang aku dah settle dan aku dah jadi owner toyota alphard.

ii) tercapai impian aku nak pakai BMW. Aku ni penganggur. Tapi dalam tempoh 4 bulan aku dah milik BMW.

Mulakan langkah pertama anda. SMS sekarang.

Ikut hukum karma nak kenyang kena makan, kalau nak pandai kena belajar, kalau nak tahu kena ambik tahu.

Borang penyertaan adalah terhad.

sila bawa tiket ini untuk kemasukan percuma).       

(Petikan dari satu kertas yang diberikan kepada saya hari ini)
 
Semasa keluar dari sebuah kompleks perniagaan, seorang anak muda memberikan saya sehelai kertas. Seperti biasa saya akan mengambil pemberian seperti itu semata-mata untuk mengetahui isi kandungannya. Saya tidak pula bertanya kepada anak muda itu mengenai isi kandungan kertas itu. Dia hanya beri kertas itu dan dengan segera beredar ke tempat lain.

Saya pun baca. Rupa-rupanya tentang seminar untuk jadi orang kaya. Saya teruja sangat untuk membaca apa yang dinyatakan dalam kertas itu. Maklumlah dari miskin kita boleh jadi orang kaya dengan cara yang paling cepat. Dalam seminggu katanya kita boleh dapat wang terkumpul sebanyak RM7,760.00  (lebih RM 30,000.00 sebulan). Hebat seminar macam ini. 
 
Ada pula dua orang beri testimoni. Seorang tukang masak di hotel  yang banyak hutang. Dalam tempoh 5 bulan beliau diajar multiply duit, hutangnya dapat dibereskan.

Seorang lagi ialah penganggur.  Dengan mengikuti seminar ini, dalam tempoh 4 bulan sudah boleh beli kereta BMW, kereta idaman.

Seronok sungguh saya membaca apa yang tertulis. Menyenangkan hati. Sebab hadir seminar seperti itu saya akan jadi orang kaya. Siapa tak mahu kaya segera? Orang gila pun nak jadi kaya. Sebab,  ada orang gila wang. Maknanya orang gila pun nakjadi kaya. Inikan pula orang siuman macam saya.

Saya telah berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun. Tapi tak kaya-kaya. Kalau hadir seminar ini , saya akan menjadi kaya dalam tempoh yang cepat seperti dua orang diatas, 4 atau 5 bulan. Mungkin lebih cepat lagi sebab latar belakang saya ialah kewangan, menjadi pegawai kewangan dua buah negeri. Takkan pengalaman itu tidak boleh membantu saya untuk lebih cepat kaya? Mustahil.

Tapi kenapa semasa jadi pegawai kewangan begitu lama saya tak jadi orang kaya? Mungkin saya tak tahu multiply kot?

Oleh itu saya mesti ambilpeluang untuk belajar multiply duit, untuk jadi kaya.

Saya pun berjalan menuju ke tempat letak kereta. Kelihatan kertas yang sama diletakkan di cermin hadapan kereta-kereta yang ada di tempat letak kereta.  Kalau semua atau banyak yang hadir seminar itu nanti maka sudah tentu kita akan mempunyai ramai orang yang kaya. Kaya dalam tempoh yang cepat. Tak ada orang miskin lagi.

Tapi, heran juga, kenapa anak muda itu bekerja sebagai pengedar kertas ? Dia tak masuk belajar multiply duit ke? Atau dia tak mahu jadi orang kaya? Atau dia sudah jadi kaya sehingga sanggup menjadi pengedar kertas?

Macam-macam cara orang nak menipu. Adakan seminar kewangan  1 Azamlah  untuk jadi kaya cepat. Tapi tak mustahil ada yang terpengaruh. Cepat-cepat sms untuk memberitahu dia sebagai peserta seminar. Sebab nak jadi kaya.

Sebenarnya bukan nak jadi kaya. Orang seperti itu ada nafsyu tamak haloba sehingga benda yang tidak masuk akal pun dia percaya.

Tanyalah sedikit soalan pada diri sendiri. Kalau cuma belajar multiply duit boleh jadi kaya,lebih baik semua orang berhenti kerja. Kalau dia orang tu kaya, dia tidak akan buat kerja seperti itu.

Harap sesiapa yang dapat kertas yang sama tidak akan jatuh gila. Gila kaya.