Theflowersellingboy

Jumaat, 30 November 2012

RENUNGAN HARI JUMAAT: Tanya Ustaz?

Seorang kawan bertanya saya tentang maksud derhaka. Lebih tepat derhaka terhadap bapanya. 

Saya memberi jawapan paling mudah tetapi tidak menyelesaikan persoalan yang ditanya. Saya kata tanyalah pada ustaz. Ustaz lebih tahu hal hukum hakam. Saya, kertas agama Islam SPM pun tak dapat distinction.

Kawan saya itu mengadu bahawa bapanya terlalu garang dan bengis. Garang dan bengis yang bukan-bukan. Lebih tepat bapanya itu seorang 'saddist', seronok melihat anak-anaknya terketar-ketar menggigil seluruh anggota badan apabila kena tengking. Silap sikit, kenalah ketumbuk ketampi, tak kurang 100 kali turun naik dengan tangan bersilang menarik telinga. Sungguh menyiksakan, dan sakit hati kata kawan saya itu.

Tambah kawan saya itu lagi, lempang melempang adalah mainan harian bapanya. Silapnya kecil saja. Makanan dimeja tiada siapa boleh sentuh mendahuluinya. Dia mesti orang yang pertama duduk  diatas kerusi. Dia yang pertama menjamah makanan. Dia yang pertama minum air selepas habis makan. Dia kata dia tak mahu yang basi-basi atau bekas sentuhan orang lain. Dia nak yang belum tersentuh, original.

Jika ada yang mendahului  kena pelempanglah jawabnya. Lepas tu ketumbuk ketampi.  

Kawan saya dan adik-adiknya termasuk emaknya hanya berdiri tegak disamping kerusi makan. Tak boleh duduk. Tak boleh bercakap. Hanya memerhati jika ada makanan yang perlu ditambah. Tapi kalau silap baca, mangkok makanan tambahan akan melayang dibaling oleh bapa. Sebab makanan tambahan itu bukan makanan yang dia berkenan. 

'Bodoh tak tahu baca selera orang'.

Pendek kata bapa kawan saya itu  mesti jadi nombol 1. Mesti dapat nombol 1. Rumah nombol 1. Plet kereta, nombol 1, tak kisahlah, ada satu , dua, tiga atau empat nombol 1.

Isteri? Kawan saya tidak menjawab soalan saya itu. Takut derhaka, agaknya.

Saya tidak percaya cerita kawan saya itu. Tak masuk akal seorang bapa berperangai seperti itu terhadap isteri dan anak-anak.

Kawan saya itu dah tak tahan sabar lagi. Dia sudah tekad untuk bersemuka dengan bapanya. Dia mahu menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa  perbuatan bapanya selama ini kepada anak-anak dan isteri adalah salah. 

Tapi dia mesti berhujjah atas asas agama kerana selain dari Tuhan, bapanya tidak hairan. 

'Tidak boleh derhaka kepada bapa, berdosa besar. Bapa adalah ketua keluarga yang mesti di taati. Ada ayat al-quran kata begitu.' Itu pegangan kukuh bapanya.

Sebab itu dia mahu pasti sepasti mungkin akan makna derhaka kepada bapa sebelum bersemuka dengan bapanya. Bagi kawan saya itu bahawa dari segi kemanusiaan, perbuatan bapa itu adalah satu perbuatan yang terlalu zalim. Menganiaya anak-anak dan isteri.

"Tapi bagaimana mahu berhujah berasaskan agama". Tanya kawan saya.

"Sebab itu, tanyalah ustaz", jawab saya.

"Jumpa ustaz?" Nada suara kawan saya itu agak tinggi. Dia bingkas bangun minta diri.  Ada semacam kurang yakin akan saranan saya itu yang minta dia jumpa ustaz.

Saya pun hairan mengapa kawan saya itu  meninggikan suara.     

Saya juga terlalu hairan mengapa ada bapa yang mengaku jadi ketua rumah tangga berperangai 'saddist' dan zalim terhadap orang yang perlu dilindungi yang menagih belas ikhsan dan kasih sayangnya.

Dan mengapa pula kawan saya itu ragu-ragu untuk mendapat nasihat dari ustaz.

Mungkinkah ustaz ini bersubahat dengan bapanya?

Sekarang ini serba mungkin demi keseronokan hidup di dunia.
    
   

Khamis, 29 November 2012

UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO DI PERSIDANGAN AGUNG PARTI KE 66: Begitu Semangat Sekali

Hari ini, Khamis 15 Muharram 1434 bersamaan 29 November 2012 saya telah mencipta sejarah. Sejarah untuk diri sendiri, bukan sejarah besar-besar yang layak untuk dijadikan bahan kajian dan bahan untuk didokumentasikan.

Saya cipta sejarah yang mudah-mudah saja. Pada hari ini saya telah melanggar pantang larang. Dua pantang larang,  saya telah langgar pada hari ini. 

Pertama , pantang larang sisi kesihatan. Saya makan roti canai bertelur.

Kedua, pantang larang sisi pendengaran dan penglihatan. Saya tonton tv 3 dan mendengar dengan teliti ucapan Presiden UMNO.
  
Semenjak menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2006, saya cukup tertib menjaga kesihatan khususnya berkaitan dengan makanan yang saya ambil. Itupun atas nasihat doktor dan pakar pemakanan.

Seboleh-bolehnya saya elakkan atau kurangkan makanan yang berminyak dan yang berkolesterol tinggi seperti roti canai sama ada yang bertelur atau tidak ada telur. 

Itu pematuhan pantang larang makanan jasmani.

Makanan rohaniah pula, semenjak tahun 1998 saya telah berpantang untuk tidak menonoton tv 3 dan yang bersekutu dengannya. Bermakna juga telinga saya tidak berpeluang mendengar kata-kata yang dihasilkan oleh tv-tv itu.

Tapi hari ini pantang larang itu telah saya langgar. 

Sedih? Tidak.

Setelah menghantar cucu ke taman asuhan kanak-kanak di Cyber Jaya, saya dan isteri balik ke rumah. Sampai saja di rumah saya terus ke dalam bilik untuk memulakan rutin harian, 'berblogging'. Pintu bilik terbuka luas. Isteri menuju ke ruang tv. 

'Apakah  benda yang hendak saya tulis hari ni?' Begitulah pertanyaan dalam otak kepala semasa menghidupkan laptop kecil berwarna hitam.

Di luar bilik, di ruang tv terdengar suara orang sedang berucap. Bersemangat. Tekanan nada suara tinggi dan keras semacam panglima perang meniupkan semangat juang kepada bala tentera di medan pertempuran.

Suara itu telah menarik saya untuk ambil tahu. Siapa kah gerangan yang bersuara lantang itu. Tapi saya masih berpantang larang. Serba tak kena.

Macam mana, yek?       

"Tak apalah. Kali ini saja", nafsu telinga dan mata membantu mengizinkan pantang larang dilanggar.

Saya menyertai isteri menonton dan mendengar ucapan Dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan parti itu yang ke 66.

Saya meminta isteri supaya tidak banyak mengomel apabila ada perkara yang isteri tidak sejalan dengan presiden UMNO itu. Saya mahu dengar betul-betul biji butir yang diperkatakan. Saya  mahu lihat bahasa badannya.

Sesungguhnya,  setelah sekian lama saya berpantang, baru saya sedar dan jelas lah kepada saya sekarang,  pada hari ini, bahawa Presiden UMNO yang juga PM Malaysia kita ini adalah seorang yang berbakat dalam bidang perdebatan. Hebat!  

Dan sungguh mengkagumkan dimata saya akan cara dan gaya beliau berucap dengan melontarkan kata-kata serta idea, berhujah dengan berpaksikan kepada keilmuan dan pengalaman. Beliau seorang yang holistik. 
  
Cakap fasal agama Islam, sarat dengan contoh perang Uhud dan Badar yang perlu dijadikan iktibar dalam perjuangan. Konsep wasatiyah, untuk hidup bercirikan kesederhanaan diajak sama dipraktikkan; ayat-ayat dari al-Quran menjadi petikan ucapan memperkukuhkan hujah dan saranan.

Cakap fasal ekonomi, pertumbuhan demi kesejahteraan rakyat diutamakan, pengurusan kewangan yang berkhemah mengurangkan difisit belanjawan dan mengurangkan hutang agar generasi akan datang tidak mewarisi beban hutang tidak seperti pembangkang yang mencadangkan polisi dan program ke arah menambah hutang negara. Matlamat untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 nyata bukan satu angan-angan.

Presiden UMNO juga cakap fasal perpaduan rakyat. Asas berwasatiyah, hidup berkesederhanaan dan tidak melampau serta menghormati antara satu dengan lain dengan menolak fahaman perkauman. 

Cakap fasal politik. Ini kemahiran dan kepakaran Presiden. Menempelak pembangkang yang mahu membawa politik pecah belah dan politik berretorik.  
    
Pendek kata ucapan presiden UMNO meliputi dan merangkumi keseluruhan kehidupan. Menjanjikan satu masa depan yang cerah bercahaya. 

Sesungguhnya ucapan hari ini boleh diibaratkan sebagai satu persiapan perang yang begitu lengkap, tertib dan berdisiplin untuk mempertahankan tanah di daratan, pulau di lautan dan ruang di udara. 

Lengkap dengan semangat juang yang membara, lengkap dengan soldadu-soldadu yang setia memikul senjata dan peralatan perang serba guna, dan  sedia berkorban ke titisan darah terakhir, mati di medan perang. Apatah lagi tiupan semangat itu datangnya dari Presiden, Panglima Perang UMNO.       

Jadi sebelum ini saya keliru akan watak yang ada pada Presiden UMNO. Sebelum ini saya hanya melihat beliau sebagai panglima yang tiada soldadu; sebagai panglima ketandusan idea dan strategi perang; sebagai ketua parti yang gemar mencari helah mengelak diri untuk bersemuka; dan seorang yang tiada kemahiran untuk berdebat mematah kata-kata lawan secara berdepan.

Dulu saya keliru. Tidak sekarang selepas mendengar dan menonton sendiri, Presiden UMNO menyampaikan ucapan Dasar itu. Kata orang putih 'seeing is believing'.

Jadi saya percaya seluruh anggota parti UMNO yang semangat juang semarak membara, akan tidak berasa gentar apatah lagi malu dan silu untuk bersama dengan Presiden bersemuka dengan Ketua Pembangkang di mana saja untuk berdebat dengan didengari dan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia dan rakyat dunia. 

Tajuk debat mudah saja: DEMI RAKYAT dan NEGARA.

"Ayuh para pejuang UMNO, mari mara bersama-sama saya sebagai Presiden menjaga maruah parti, bangsa, negara dan agama, kita masuk gelanggang tempur. Kita tidak perlu C4, tidak perlu Scorpene dan tidak perlu Hawks untuk menjaga  tanah di daratan, pulau di lautan dan ruang di udara.

Kita sudah ada senjata perang kita. Kita sudah bersedia dengan hujah".

Begitu agaknya suara hati yang membara dalam jiwa raga Presiden UMNO sebagai menyahut cabaran dari Ketua Pembangkang dalam satu sidang DEBAT NEGARA.

Kata-kata itu masih tersimpan di hati. Luahkan segera sementara semangat juang masih panas membara.

Jika masih juga senyap dan sunyi sepi seperti dulu, cuma yang dapat didengar hanya pekikan dan laungan sendiri-sendiri, ianya amat mengecewakan rakyat Malaysia. 

Saya juga akan kecewa. Cuma saya tidak akan keliru lagi akan persangkaan yang terdahulu, bahawa benarlah apa yang disangka. 

"Ada roti telur?" , Minta saya pada isteri sebaik saja keluar dari bilik setelah selesai berblogging. 

"Mana boleh makan roti bertelur. Dah buang tabiat ke. Roti tak ada telur adalah", Isteri mengingatkan pantang larang saya itu.

"Sesekali tak apalah". Saya terus ke meja makan untuk memamah roti canai yang bertelur itu yang telah lama saya lupakan. Enak sekali, jauh bezanya dengan roti tak ada telur.  

   

Rabu, 28 November 2012

Anwar Dengki, PAS jadi Lebai Malang

Diberitakan yang empunya berita bahawa TPM Mahyuddin dalam ucapan Dasar pada pembukaan dan perasmian tiga SAYAP (bukan sayap burung) parti UMNO: Wanita, Pemuda dan Puteri (gagah-gagah bersuara ) telah menyatakan bahawa Anwar ini berniat jahat. 
 
Apa niat Anwar? Anwar ni niatnya nak jadi PM. Nak jadi PM  menggunakan kaedah hasad dengki. Panggil orang Australia masuk campur pilihanraya ke 13 yang belum kunjung-kunjung tiba.
 
Anwar lupa agaknya jawatan PM Malaysia itu hak monopoli UMNO. Hasad dengki itu juga monopoli UMNO. Sudah tentu Timbalan Presiden UMNO tu marah-marah. Itu hak mutlak UMNO. Sampai habis darah menitik dan menitis, UMNO akan pertahankan monopoli itu.
 
Anwar ! Anwar! masih lagi tak serik-serik. Dah lapan tahun duduk dalam penjara pun mahu lagi jadi PM. Guna pakai kaedah UMNO yang dengki sepanjang masa. UMNO tikam dengan keris, baru tahu. Padan muka Anwar. Tak boleh nak dengki lagi. Dengki UMNO punyalah.
 
Parti PAS pun satu hal. Mahyuddin kata parti PAS macam Lebai Malang. Kalau parti lebai-lebai tak apa lah. Memang orang Pas baik-baik macam pak lebai. Alim pula. Tak macam UMNO, adalah lebai seorang dua. Cuma pandai baca doa kenduri arwah saja.

 
Ada orang PAS yang tak faham watak lebai yang malang ini. Mahyuddin pun tak terangkan. Tak apa.     

Biar kita terangkan sikit-sikit. Yang inti-intinya saja. Tak mahu cerita panjang-panjang.

Pak Lebai ni jadi malang sebab tak dapat makan kenduri di hulu dan di hilir. 
 
Mudik ke hulu air pasang, perahunya tak terdaya ke hulu melawan arus yang deras. Melepaslah dia nak makan nasi beriyani. 
 
Pergi ke hilir air surut, perahu tak laju. Bila sampai orang dah balik. Tutup kedai. Melepas lagi pak lebai ini. Kali ini masak asam pedas.

Kesian pak lebai ini. Malang sungguh. 
 
Oleh kerana lebai-lebai banyak dalam PAS, Mahyuddin yang tidak dapat bezakan lebai PAS dengan lebai  UMNO,  anggap tugas lebai hanya baca doa kenduri arwah saja, macam yang dibuat oleh lebai UMNO. Maka secepat kilat Mahyuddin kata lebai PAS sebagai Lebai Malang. Maknanya parti PAS adalah parti Lebai Malang. Punya nya  cerdik Mahyuddin ini.
 
Itu ucapan Dasar Timbalan Presiden UMNO yang akan dikupas dan diulang bicara dan perlu disokong oleh para perwakilan ketiga-tiga sayap. Maka apa lagi sudah tentu Anwar kena rembat. PAS kena sebat.
 
"Eden tak dapat nak tolong. Sebab eden bukan perwakilan sayap-sayap itu. Eden bukan ahli UMNO".
 
Nasib kau lah Nuar. Lain kali jangan ambil hak UMNO itu. PM itu monopoli UMNO. Dengki mendengki pun UMNO yang punya. Sebab itu dia  dengki Anwar ajak orang Australia tengok-tengok pilihanraya kita. Tengok pun tak boleh.

PAS jangan pula buat doa yang baru, nanti UMNO mengamuk sakan.  
 
Doa tok lebai PAS kan! Tak macam doa kenduri arwah.

Tapi Anwar dan PAS jangan susah hati sangat. Undi tetap mari punya.
 
    

Dihari Pertama Melapor Diri: Cerita Benar

Mereka tinggal di sebuah flet empat tingkat, di sebuah kawasan yang pesat membangun di Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berempat menyewa bilik , seorang setiap satu. Masing-masing  bekerja di tempat dan majikan yang berlainan. Tiga orang di jabatan-jabatan kerajaan dan seorang di badan berkanun. Mereka semuanya masih bujang berusia tidak lebih 25 tahun.
 
Mereka tidak selalu berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan tugas dan minat sendiri-sendiri kecuali pada hari cuti hujung minggu. 
 
Pada hari Ahad selepas masing-masing balik  dari sarapan di luar, lebih kurang pada pukul 10 pagi, mereka berkumpul di ruang tamu membaca surat khabar dan menonton tv. Suasana menjadi riuh dan ada masanya hangat apabila mereka bercakap dan berbincang dalam sesuatu isu. Tidak semuanya mempunyai pandangan dan pendapat yang sama. 
 
Isu yang boleh menghangatkan suasana adalah isu politik. 
 
Dari empat orang hanya seorang saja sudah menjadi ahli parti sebuah parti politik. Tiga yang lain tidak berminat menjadi ahli mana-mana parti politik. 
 
Ada yang kata politik itu banyak yang bohong dari yang benar. Mesti pandai putar belit. Mesti ada sifat pura-pura. Mesti pandai kelentong. Mesti pandai senyum dan buat-buat senyum apabila bertegur sapa. Jangan berat untuk angkat tangan bersalaman. Selepas bersalam mesti tepuk bahu kawan itu tanda kemesraan. Tidak boleh lurus bendul kalau tak mahu disondol. Rebah nanti.

Orang politik juga mesti tebal muka, jangan mudah naik darah dan marah-marah. Dengan mengukir senyum kambing, simpan marah dalam hati. Jangan mudah merajuk kerana tidak ada yang ikhlas memujuk. Mesti banyak kawan untuk bena pengaruh dan kekuatan. Dan jangan kedekut keluar belanja. Jangan pula percaya kawan itu sentiasa setia selamanya. Kawan itu sebenarnya lawan. Kawan itu sebenarnya musuh yang perlu diawasi seterperinci mungkin. Hari ini kawan, esok lusa dia boleh jadi lawan.
 
Untuk jadi orang politik mesti ada seni. Tidak boleh keras menegak. Mesti boleh bengkok ke kiri, bengkok ke kanan, bengkok ke depan dan bengkok ke belakang. Ikut yang mana lebih selesa. Jika bengkok ke belakang lebih selesa walaupun perbuatan itu luar dari biasa dan ada yang kata perbuatan orang gila, itu tidak jadi hal. Tak jadi kudis. 
 
Seni politik serba boleh. Yang penting ramai pengikut dan penyokong. Soal moral, dosa pahala dan penampilan penting juga. Cuma mesti pandai pilih masa, dan sudah tentu tidak sepenuh masa.
      
Begitulah tanggapan  tiga orang bujang yang tidak berminat jadi ahli mana-mana parti politik terhadap politik. Politik terlalu menjijikkan.
 
Tanggapan ini mendapat tentangan yang hebat dari yang seorang lagi, yang menjadi ahli politik sebuah parti. Yang paling dia tidak bersetuju apabila politik itu dikatakan sangat kotor dan menjijikkan. Dia kata dia akan membuktikan bahawa tanggapan tiga orang kawan itu salah. 
 
Walaupun bertengkar dan berbeza pendapat mereka tetap mesra juga.
 
Maka sebermula berpisahlah mereka apabila masing-masing berumah tangga.
 
Lama juga mereka tidak berjumpa. Sekonyong-konyong seorang kawan dari yang tiga orang yang anti politik itu mendapat perintah tukar tempat kerja. Balik ke negeri sendiri.
 
Dia sungguh seronok dan gembira. Pertama, berkhidmat di negeri sendiri. Bolehlah buat jasa pada orang kampong. Kedua, dia juga dapat tahu bos di tempat kerja barunya ialah kawan lamanya yang berparti politik itu. Kawannya itu sudah jadi ketua negeri. 
 
Dia membayangkan betapa terperanjat sukanya kawan itu pada hari dia melaporkan diri nanti. Mana kan tidak, sama-sama berlenggeng tak pakai baju duduk diatas kerusi menonton tv dan membaca surat khabar. Berhujah dan bertengkar kerana berbeza pendapat. Ketawa besar pada hari cuti hujung minggu. Kawan tetap kawan.
 
Dia ketuk pintu sebagai isyarat minta izin masuk. Dia membuka pintu perlahan-lahan seolah-olah tidak mahu bos nya itu dapat mengesan pintu di buka. Dia tidak mahu bosnya menegur dia dulu. Dia mahu beri salam terlebih dulu. Dia mahu buat 'surprise' dihari pertama melapor diri kerana dah lama tak bersua muka.
 
Dengan penuh kegembiraan dan besar hati dia beri salam dan bergerak pantas ke meja bosnya itu. Dia mahu bersalam dan peluk kawan lamanya. 
 
Tiba-tiba langkah kakinya tidak secepat seperti yang diharapkan. Kawannya sedang asyik membaca sesuatu. Tidak sedikitpun menoleh ke arahnya. Tidak menjawab salam.
 
Dia telah dapat baca suasana dengan cepat seperti kilat. Ini bukan suasana di bilik tamu semasa menonton tv dulu. Ini adalah suasana seorang orang bawah berhadapan dengan bos. Suasana melapor diri untuk bekerja.
  
Dia berdiri tegak. Dia tidak mahu duduk walaupun ada dua kerusi disampingnya.
 
'Duduk', arahan ringkas dari bos. Bos angkat muka dan bertanya, 'What's your name? What's your background?'
 
Dia tidak menjawab. Dia tunjukkan arahan pertukaran. Disitu ada nama dan dari jabatan mana dia di datangkan.
 
Perjumpaan tidak sampai lima minit. Dia bangun dan bingkas keluar tanpa minta izin.
 
Dia berjalan menuju ke pejabatnya. Sudah termetrai dalam hatinya, otaknya dan jiwa raganya bahawa orang politik sememangnya begitu seperti yang dia kata dulu. 
 
Hari ini kawannya itu membuat bengkokan badan ke belakang sehingga matanya tidak dapat melihat wajah yang berdiri di hadapannya. 
 
'Apa ada hal. Tidak jadi kudis'.
 
Sebermula masa berjalan. Perangai politik keji bosnya semakin hebat tanpa segan silu. Moral, dosa, pahala dilanggarnya. Bukan pilih-pilih masa saja, bahkan sepenuh masa.      
 
Sekonyong-konyong masa pun tiba. Masuk gaung juga kawan politiknya itu. Tamatlah riwayatnya walaupun pun cuba-cuba bangkit semula.
 
Dia sudah bersara. Hidup aman bahagia. Tidak pening kepala.