Theflowersellingboy

Jumaat, 29 Jun 2012

PINTU KETAATAN

Khutbah Jumaat hari ini bertajuk PINTU KETAATAN. Mengingat dan menasihatkan setiap para jemaah yang hadir agar sentiasa taat kepada perintah Allah SWT; taat kepada ajaran yang telah dibawa dan disampaikan oleh Pesuruh Allah , nabi besar kita Muhammad SAW; dan taat kepada kedua Ibu dan Bapa.

Taat kepada Allah bermakna menyerah diri hanya kepada Allah semata-mata , tidak lain selain Allah. Jika ada yang lain bermakna kita telah berlaku syirik, menyamakan kedudukan Allah dengan yang lain.  Semoga perlakuan kita sama ada yang terzahir atau yang tersembunyi lepas bebas dari melakukan syirik dan sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT.

Kita juga wajib taat kepada ajaran yang dibawa dan disampaikan oleh  Rasullullah SAW semoga kita sentiasa terpelihara dari melakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah dan mengamalkan perbuatan-perbuatan yang disuruh. InsyaAllah kehidupan kita di dunia dan di akhirat akan mendapat keberkatan dan keredhaan.

Taat kepada kedua Ibu dan Bapa adalah wajib selagi ketaatan itu tidak menyalahi apa yang diperintah olwh Allah. Namun apa pun yang berlaku kita tidak boleh menunjukkan sikap dan perbuatan yang kasar kepada keduanya. Tidak boleh meninggikan suara walaupun terdapat perbezaan diantara anak dan kedua ibubapanya. Sentiasa memberikan perhatian utama dan mendahulukan ibubapa dari yang lain. Didunia ini ibubapa adalah segala-galanya. Kedua-duanya  sanggup berkorban tanpa syarat demi kebahagiaan anak-anak . Maknanya betapa banyak sekali pun harta dan wang atau kekayaan yang mampu kita berikan kepada keduanya, ianya tidak mampu menyamai kasih sayang seorang Ibu dan Bapa. Mereka berikan segalanya dengan tulus dan ikhlas tanpa syarat misalnya tidak pernah mengharapkan balasan dari anak-anak.

Namun sebagai anak kita wajib menjaga hati mereka, menjaga mereka dengan baik sepanjang masa termasuklah dihari tua dimana mereka telah tidak lagi mempunyai tenaga sekuat semasa muda dulu. Berlembutlah semasa berbicara  walaupun ilmu pengetahuan atau kepakaran kita melebihi dari mereka. Jangan bertegang urat dengan mereka walaupun kita dipihak yang benar kerana mereka adalah Ibu dan Bapa kita. Tanpa mereka adakah kita boleh melihat dunia. Tanpa mereka berkorban, berpenat lelah mencari rezeki untuk memberi pendidikan mampukah kita menjadi orang yang berilmu serta berkepakaran.  Maknanya jangan bersikap sombong terhadap mereka. 

Sentiasa mendoakan keampunan untuk mereka semasa mereka ada dan semasa mereka telah meninggalkan kita. Itupun belum cukup berbanding dengan pengorbanan mereka.

Itulah sedikit sebanyak intipati khutbah hari ini. Petikan dari Surah Lukman telah juga dibacakan berkaitan dengan ketaatan kepada kedua Ibu dabn Bapa ini.

Walaupun perkara-perkara yang diperkatakan itu telah selalu kita dengar namun khutbah pada hari ini bagi saya amat terkesan sekali dihati. Sudah hampir sebulan saya tidak menjenguk emak di kampong. Cuma dapat berita melalui panggilan talipon saja. Maka terasa juga bersalah dihati. Mungkin emak terasa anak-anaknya telah melupakannya terutama yang tidak tinggal dikampong dan telah berkeluarga dan menetap diluar kawasan kampong. Oleh itu saya mesti balik kampong untuk menjenguk dan bertanya khabar. Bulan lepas semasa menjenguk emak dan kami berpelukan, emak mengeluarkan air mata. Air mata gembira kerana anak sudi menjenguk sebentar. Dia tidak minta wang. Dia minta pelukan. 
 

Khamis, 28 Jun 2012

SWALK

Pada suatu hari dalam tahun 1972 , disebuah panggung wayang, di Petaling Street, Kuala Lumpur, di panggung Rex, satu tayangan filem dengan tajuk SWALK  mendapat sambutan dari anak-anak muda . Saya juga tidak terkecuali kerana ceritanya adalah cerita khayalan anak muda remaja. 

Swalk adalah akronim/sengkatan dari kata-kata Sealed With A Loving Kiss. Filem ini dibintangi oleh anak muda remaja. Maka tidak hairanlah ianya mendapat sambutan yang hangat dari muda remaja.

Akronim seperti Swalk ini memang sudah menjadi satu kecenderungan bagi para remaja ketika itu dalam meyatakan perasaan mereka terutamanya dalam perutusan surat diantara muda mudi. Teknologi perhubungan dikala itu tidak secanggih pada masa ini. Tiada internet. 

Perhubungan  dengan yang jauh biasanya dilakukan dengan mengirim surat saja . Justeru mesej atau perasaan yang diluahkan dalam surat itu memakan masa sehari  dua untuk diketahui oleh penerima surat, bergantung kepada jarak jauh tempat yang hendak dituju dan juga kecekapan perkhidmatan Jabatan Pos. Kadang-kadang seminggu dua baru surat itu diterima. Tidak juga terkecuali surat itu tidak akan diterima. Atau surat itu dibaca oleh orang lain terlebih dahulu. Maka pecahlah cerita yang tertulis dalam surat itu. 

Penggunaan talipon juga adalah termasuk dalam perbelanjaan yang dianggap mewah, hanya orang-orang yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik saja akan mampu mempunyai talipon di rumah. Jadi surat menyuratlah yang selalu digunakan untuk sampai menyampai mesej masing-masing.

Berbalik kepada penggunaan akronim tadi, maka berbagai akronim telah dicipta untuk menyatakan perasaan diantara muda mudi ketika itu. Diantara yang saya masih ingat ialah akronim HACKS dan HUDSON.

Hacks ini adalah sejenis gula-gula.  Pada ketika itu hacks berwarna kehitaman. Gula-gula itu dipercayai boleh menghilangkan batuk. Dan ianya menjadi kegemaran muda mudi ketika itu sewaktu menonton wayang. Saya juga amat menyukainya.

Mungkin disebabkan gula-gula itu amat digemari pada masa itu dan popular pula maka telah terhasillah satu akronim dari nama gula-gula itu yang membawa maksud 'Hanya Adinda Cinta Ku Sayang' (Hacks). Maka surat menyurat diantara muda mudi tidak akan gagal untuk menulis di penghujung suratnya perkataan Hacks. 

Tidak diketahui siapa yang mencipta akronim itu . Tapi tahniah kepada orang yang mencipta akronim itu kerana ianya telah di gunakan begitu meluas sekali. Ciptaannya tidak di lindungan dibawah undang-undang hak cipta. Ertinya hak ciptanya tidak terpelihara. Satu warisan tradisi lisan.

Satu lagi ialah perkataan HUDSON. Hudson ini juga sejenis gula-gula yang sama popular dengan gula-gula hacks tadi. Saya menganggap ianya pesaing kepada gula-gula hacks.
Dalam akronim  ianya juga sebagai pesaing kepada akronim hacks kerana ia membawa maksud pernyataan rasa hati yang sama. Apa itu HUDSON? Hudson membawa maksud 'Hanya Untuk Dinda Seorang, Oh Nyawaku'. 

Jadi ketika itu penggunaan akronim sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu dalam hal menyatakan perasaan diantara muda mudi adalah merupakan satu fesyen atau trend. Maka terciptalah berbagai akronim yang membawa maksud yang sama. 

Namun SWALK satu akronim yang telah dilayarperakkan. Sudah tercipta satu kesah percintaan anak-anak muda.




Rabu, 27 Jun 2012

Perangai Buruk Harian Yang Dapat Kita Lihat.

Berbicara tentang perangai buruk harian yang kita dapat lihat, senarainya terlalu panjang. Selain perangai-perangai itu kita dapat lihat, kadang-kadang kita (saya tidak terkecuali) tidak sedar bahawa kita juga salah seorang dari pelakunya. Dan sudah tentu apabila kita sedar akan kesilapan kita itu maka kita akan mencari alasan-alasan yang dapat 'meneutralisekan' perangai buruk kita itu. Begitulah sifat manusia yang tidak mudah mengaku melakukan perkara yang tidak baik.


Pagi tadi pukul lapan setengah pagi , saya dan isteri ke pasar basah di Presint 8, Putra Jaya dengan memandu kereta. Sesampai saja dipasar tersebut, saya dapati tempat letak kereta di hadapan pasar tersebut telah penuh kecuali satu petak. Maka dengan segera saya menunju ke petak tersebut. Sebelum sempat masuk kedalam petak itu saya ternampak tanda ingatan bahawa tapak letak kereta itu dikhaskan untuk OKU. 

Bagaimana perasaan saya memberi jawapan untuk membuat keputusan dalam keadaan yang seperti itu?

Ada dua perasaan mula mempengaruhi saya untuk membuat keputusan. Perasaan pertama ialah meneruskan meletakkan kereta ditempat OKU itu. Alasan: Kerana selama berurusan di pasar tersebut , saya belum pernah melihat ada OKU yang memandu kenderaaan di pasar itu. Saya juga melihat tempat itu sentiasa digunakan oleh orang yang bukan OKU. Lagipun dibelakang saya telah ada beberapa kereta yang berderetan. Jadi sekiranya saya masuk terus ke dalam petak itu ianya boleh membantu mengurangkan kesesakan.

Tapi, entah macam mana satu lagi perasaan timbul yang berbisik, 'jika saya masuk juga    maka saya telah melakukan satu perangai yang tidak baik. Saya akan menyusahkan OKU yang memang telah sedia susah'. Di sebelah pula ada isteri.  Jika saya melakukan perbuatan seperti ini, sudah tentu beliau akan membayangkan banyak lagi perlakuan yang tidak baik yang saya mungkin lakukan.

Jadi akhirnya dengan izin Allah, perasaan jahat yang pertama itu dapat dikalahkan. Berundurlah saya mencari petak yang lain jika ada yang kosong. Tapi semuanya penuh. Maka terpaksa juga meletakkan kereta dibahu jalan dalam kawasan pasar itu sambil menentukan ianya tidak mengganggu lalulintas.

Selepas saya berundur, sebuah kereta di belakang saya terus menuju ke petak OKU itu.  Saya tidak pasti sama ada orang itu ternampak akan papan tanda OKU itu. Tapi papan tanda itu tegak berdiri dihadapan petak letak kereta itu  dan amat susah bagi mata kita untuk tidak melihatnya kerana   ianya tertegak di laluan untuk masuk ke dalam pasar. Mungkin mata orang itu  nampak tapi hatinya  tidak nampak akan kesusahan yang bakal dihadapi oleh OKU. Atau dia berkata 'OKU tidak akan memandu kereta untuk ke pasar. Jadi daripada kosong lebih baik petak kosong itu di menfaatkan'.


Bagaimana pula dengan perbuatan saya meletakkan kereta dibahu jalan dalam kawasan pasar itu? Ya, memang benar ianya tidak mengganggu lalulintas. Tapi bolehkah dilakukan kerana tempat itu tidak di peruntukkan untuk meletak kereta. 


Dalam masa yang sama kelihatan beberapa buah kereta berderetan di letakkan dikiri kanan jalan besar berhadapan dengan pasar itu. Yang ini mengganggu kelancaran lalulintas. 

Jadi saya bertambah yakin bahawa perbuatan saya meletak kereta di jalan dalam kawasan pasar itu tidak salah kerana ianya tidak mengganggu lalulintas tidak seperti mereka yang meletakkan kereta kiri kanan diatas jalan raya utama.  Itulah alasan saya bagi membenarkan perbuatan saya itu.


Benarkah fikiran saya itu? 




 

  

Isnin, 25 Jun 2012

Perlukah Kita Menolak Nasihat Dari Orang Yang Cakap Tak Serupa Bikin.

'Sudah lah. Cakap memang senang' atau 'Cakap tak serupa bikin'. 

Saya percaya kita semua telah pernah dengar kata-kata seperti diatas. Saya juga percaya kita telah pernah atau biasa menuturkannya.

Saya panggil kata-kata atau ayat-ayat itu sebagai kata-kata atau ayat tempelak. Kita memberi respons yang bersifat negatif kepada nasihat, bicara, cadangan atau apa sahaja bentuk seruan dari seseorang yang kita percaya atau kita tahu tidak mampu melakukan atau tidak pernah melakukan atau yang melakukan sebalik dari apa yang diperkatakan. Maka apabila saja kita mendengar kata-kata dari orang tesebut dengan pantas kita menolaknya walaupun apa yang diperkatakan itu, apa yang diseru itu adalah sesuatu yang baik yang bersifat positif yang boleh memberi menfaat. 

Kita menolaknya bukan kerana hal yang diserunya tetapi kita menolak kerana penuturnya itu tidak menunjukkan contoh atau teladan.   

Soalnya mengapa kita bersikap seperti itu? Mengapa semudah itu kita menempelak  seseorang yang mengajak kita kearah melakukan yang baik? Bukankah orang itu telah menjalankan tanggungjawab seperti yang dikehendaki iaitu menyeru kepada kebaikan dan menjauhkan yang mungkar?

Kita wajar menolak untuk mencontohi perangai orang itu jika sebenarnya kita tahu dengan sahih ianya seorang yang tidak melakukan kebaikan seperti yang diserukan kepada orang lain. Namun wajarkah kita menolak seruan-seruan kebaikan yang dibuat. Contoh, seorang pemimpin yang berkuasa dan kaya yang suka melakukan pembaziran menasihatkan kita supaya tidak melakukan pembaziran dalam mengadakan majlis kenduri kahwin sedangkan kita tahu pemimpin itu mengadakan majlis yang sama secara yang membazir. Reaksi spontan kita sudah tentu 'sudahlah, cakap tak serupa bikin', kerana kita tahu dia sendiri kaki membazir. 

Saya berpendapat bahawa sikap yang sepatutnya yang lebih memberi menfaat kepada kita ialah menerima nasihatnya. Tapi jangan ikut perangainya yang suka membazir. Sebab jika kita menempelaknya atas alasan 'cakap tak serupa bikin', maka besar kemungkinan kita juga benci dengan perkara baik yang diseru itu. Sepatutnya kita boleh mengasingkan diantara sifat peribadi orang itu dengan nasihat yang baik yang telah diserukan kepada kita.

Saya pergi sedikit lebih jauh. Contoh diatas ialah dalam hubungan kita sesama kita atau diantara sesama Islam/Melayu. Bagaimana nasihat atau seruan dari yang bukan Islam.

Secara amnya orang-orang bukan Islam lebih banyak terlibat dalam minuman arak. Dan kita pun tahu akan kedudukan seperti itu. Orang bukan Islam itu pun tahu bahawa minuman arak itu adalah tidak baik dari segi kesihatan. Namun mereka juga mengeluarkan nasihat supaya arak dijauhi. Apa respons kita? 

Saya percaya kita akan bersetuju dengan nasihatnya itu walaupun kita tahu mereka sendiri kaki botol. Jadi mengapa kita bersikap begitu? Mengapa kita tidak mengatakan 'sudahlah, cakap tak serupa bikin'? Adakah kerana yang beri nasihat itu bukan orang Islam atau orang Melayu? 

Begitu juga dengan ceramah agama. Semua ceramah agama bertujuan untuk menyeru kepada kebaikan. Tapi disebabkan kita tahu bahawa yang menyampaikan ceramah itu pernah terlibat misalnya dalam perbuatan pecah amanah maka apabila penceramah itu menyeru supaya kita menjadi seorang yang amanah , dengan segera kita menempelak penceramah itu. Setakat itu rasanya tidak mengapa. Cuma oleh kerana perasaan benci kepada penceramah itu semakin meningkat lalu kita meninggalkan majlis ceramah itu. 

Adakah cara begitu menguntungkan kepada kita? Rasanya ianya merugikan. 

Dengan demikian apabila ada sesuatu yang baik yang diserukan kepada kita walaupun dari orang yang kita tahu tidak mempunyai sifat yang sepatutnya , kita janganlah dengan segera menempelak seruan orang itu. Apa yang baik yang diserukan itu kita terima. Dan kita perlu bersyukur kerana telah diperingatkan melakukan yang baik. Disamping itu wajar juga kita mendoakan supaya Allah SWT memperbaikki sifat dan perangai orang itu supaya tidak meneruskan kelakuan 'cakap tidak serupa bikin' itu.

Allah saja yang maha mengetahui. Wallahualam. 




 

Ahad, 24 Jun 2012

Di Sekitar Tarikh Pilihanraya Ke 13

Saya pernah menyatakan dalam satu dari paparan yang lepas bahawa tidak  perlu difikirkan sangat tentang bila tarikh pilihanraya negara yang ke 13 kerana ianya menjadi sebagai satu teka teki saja. Apabila ianya menjadi teka teki ia membawa sama unsur yang bersifat tidak ada satu ketentuan jawapan . Jawapannya hanya menjurus kearah 'boleh jadi' atau 'mungkin' . Jawapannya adalah berbagai-bagai bergantung kepada kepercayaan seseorang peneka akan faktor atau faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pilihanraya itu diadakan. 

Maka ada yang meneka pada bulan Disember tahun lepas, kemudian beralih kepada Januari, Mac, April , Jun, September dan penghujung tahun ini. Dan akhirnya mereka merujuk kepada peruntukan undang-undang tentang bila sepatutnya pilihanraya diadakan.

Semua orang sedar bahawa penentuan tarikh pilihanraya negara adalah prerogatif  PM, dan ketika ini ialah DS Najib. Selain dari yang ditentukan oleh undang-undang, PM boleh saja  pada bila-bila masa mengikut kehendaknya membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihanraya diadakan. Ertinya tarikh pilihanraya adalah rahsia dalam hati sanubari PM yang tidak ada siapa yang boleh mengetahuinya melainkan rahsia itu dirahsiakan pula kepada orang lain, misalnya dengan pesanan bahawa ' hanya kau seorang saja yang aku beritahu, pegang rahsia ini. Jangan beritahu orang lain'.

Kalau begitu tidaklah perlu kita ambil pusing sangat untuk mencari jawapan tentang bila tarikh pilihanraya ini.  Yang perlu kita beratkan dan ambil peduli ialah menentukan kita yang telah layak jadi pengundi/pemilih ini sudah mendaftar jadi pemilih . Minta juga kawan-kawan kita yang telah layak itu tapi masih belum menjadi pemilih yang berdaftar supaya berbuat demikian. Kita yang dulunya telah berdaftar juga perlu membuat semakan sama ada nama kita masih ada, kawasan pengundian dan butir-butir lain yang penting supaya dihari mengundi nanti kita dapat menjalankan tanggungjawab membuat pilihan calun yang kita yakin boleh diserahkan amanah untuk mengurustadbir negara.

Selain dari itu jika kita ada maklumat yang sahih bahawa ada pihak yang tidak layak menjadi pemilih misalnya warga asing telah berjaya mendaftar sebagai pemilih dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu sebagai menyokong pendaftarannya. Atau jika kita ada maklumat tentang  seseorang yang telah meninggal dunia tetapi namanya masih ada dalam daftar pemilih maklumkanlah kepada pihak yang berkuasa untuk tindakan mengeluarkan nama orang itu.

Apa yang kita hendak? Yang kita hendak ialah semua warga negara yang telah layak mengundi supaya mendaftar diri sebagai pemilih untuk membolehkan mereka mengundi pada pilihanraya nanti. Yang kita hendak ialah hanya warga negara saja yang terlibat dalam menentukan nasib masa depan negara, bukan warga asing yang melakukan secara penipuan. Yang kita hendak ialah pilihanraya yang adil dan bersih. Jadi berikan tumpuan kearah matlamat itu. Jangan buang masa memikirkan bilakah tarikh pilihanraya kerana ianya bersifat teka teki yang jawapannya hanya boleh berubah-ubah mengikut kehendak PM.

Baru-baru ini menurut berita yang dilaporkan bahawa PM menyatakan tidak ada salah pilihanraya diadakan pada musim haji kerana telah ada contoh (precedent) yang lepas iaitu pada tahun 1986. Katanya lagi 'tidak silap semasa Tun Hussien Onn sebagai PM'.

Mendengarkan kata-kata PM itu ada pihak yang menyatakan tidak bersetuju jika pilihanraya diadakan pada musim haji kerana ianya akan menafikan hak mereka yang menunaikan fardhu haji itu (kira-kira 30,000 orang ) untuk mengundi. 

Pandangan dan keperhatinan serta ambil peduli pihak diatas itu ada asas yang kukuh, dan tidak wajar diambil sikap sambil lewa saja oleh PM. Asasnya ialah tarikh pilihanraya adalah  prerogatif  PM. Dan seorang PM sudah sewajarnya mahukan semua pengundi turun mengundi. Maka jika PM dengan secara sahih dan jelas mengetahui bahawa bilangan pengundi akan berkurangan pada musim haji, tarikh pilihanraya tidak wajar diadakan pada musim haji. 

Gunakan prerogatif yang ada pada beliau untuk tidak memilih tarikh berkenaan. Kita percaya, PM sudah tentu mahukan semua yang layak mengundi memberikan undi mereka. Itulah maknanya pilihanraya yang adil dan bersih. Tidak mungkin PM sukakan yang sebaliknya kerana jika menang, kemenagan itu sebenarnya kemenangan yang tempang . Tempang dek kegagalan beliau memberi peluang kepada sebahagian rakyat untuk terlibat sama dalam proses menentukan pembentukan sebuah kerajaan, sedangkan beliau boleh mengelakkan ketempangan itu. Prerogatif ada pada beliau. 

Terlanjur berbicara tentang pilihanraya dalam musim haji ini, suka juga saya menyentuh kata-kata PM 'kalau tidak silap semasa Tun Husien Onn jadi PM' pada 1986. Ramai pihak mengatakan PM Najib tidak tahu sejarah atau terlupa siapa sebenarnya PM ketika itu. 

Saya mempunyai tafsiran yang berbeza. Tidak mungkin PM kita terlupa. Tidak mungkin PM lupa sejarah. 

Bagi saya belum sampai masanya PM masuk zon orang yang mudah lupa atau pelupa atau lemah ingatan. Beliau masih muda lagi. Dan beliau orang yang bijak dan boleh berfikir. Beliau masih lagi ingat tahun pilihanraya diadakan yang jatuh pada musim haji iaitu pada tahun 1986. Maka mana mungkin beliau lupa siapa PM ketika itu. Cuma saya meneka saja bahawa PM kita ni 'buat-buat lupa' atas sesuatu sebab yang saya cuba juga teka. Harap-harap jawapan yang saya cuba teka ini menepati apa yang ada dalam hati sanubari PM.

PM menggunakan perkataan 'kalau tidak silap'. Alasan yang berlapik. Beliau pula ingat peristiwa itu berlaku pada tahun 1986. Baik. 

Sememangnya sengaja beliau silapkan untuk sesuatu kepentingan/tujuan. Beliau tidak mahu mengusik hati seseorang. Seseorang yang terlalu berpengaruh dalam banyak hal sehingga dalam banyak keadaan menimbulkan rasa serba salah. Kata orang 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'. Beliau lebih memilih untuk tidak banyak berbeza dengan seseorang itu. Tetapi dalam hal ini, beliau sendiri yakin bahawa adalah tidak wajar menafikan hak bilangan pengundi yang ramai . Maknanya PM yang terdahulu yang telah menafikan hak pengundi itu telah melakukan sesuatu yang tidak wajar. Tapi PM ketika ini  tidak sampai hati untuk mengusik hati PM yang terdahulu itu.

Dalam masa yang sama PM Najib nampak bahawa peluang untuk menang ada lah lebih jika pilihanraya diadakan dalam musim haji atas keyakinan bahawa mereka yang menunaikan haji itu sebahagian besarnya adalah mereka yang menyokong parti lawan.

Jadi sikap PM adalah berhati-hati agar tidak mengusik hati PM yang berpengaruh itu dan dalam masa yang sama percaya bahawa musim haji adalah masa yang sesuai untuk meraih kemenangan jika pilihanraya diadakan, walaupun hati kecilnya berbisik mengatakan ianya tidak wajar. 

Itu hanya tekaan saya saja. Teka teki memang tidak memberi jawapan yang betul kerana mungkin betul , mungkin salah, dan boleh jadi betul , boleh jadi salah. 

Harap-harap teka teki tarikh pilihanraya ini tidak berterusan.
   

Sabtu, 23 Jun 2012

SIHAT JASMANI dan SIHAT ROHANI: Melalui Syaaban menuju Ramadhan.

Hampir 7 minit lagi pukul lapan setengah pagi. Hari ini dapat kerehatan sedikit dari menjaga cucu kerana hari ini hari cuti mingguan. Cucu dijaga oleh mamanya. 

Maka selepas selesai menjalani senaman pagi dengan melakukan  langkahan cepat sebanyak 4893 mengelilingi kolam renang sebanyak 21 pusingan yang mengambil masa kira-kira 40 minit, dan selepas anggota badan menjadi kering dari basahan peluh, saya mengambil sarapan pagi dengan menyantap dua keping roti yang disapu dengan marjerin. Secawan milo kosong menemani roti-roti itu untuk sama-sama masuk ke usus melalui mulut dan tekak. Alhamdulillah , saya masih lagi diberi selera oleh Allah SWT untuk menikmati kurniaannya.

Itulah harga kesihatan yang tidak ada nilai bandingannya. Apakah maknanya kekayaan harta benda dan wang ringgit yang timbun menimbun jika sekiranya saya tidak mampu untuk mengunyah keping-keping roti dan menghirup secawan milo kosong yang telah tersedia dihadapan mata semata-mata kerana tidak punya selera untuk melakukannya. Tidak ada selera ertinya ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang telah mengganggu sistem ransangan yang boleh mengeliurkan rasa. Ertinya waktu itu kita sudah tidak jadi normal seperti biasa yang mana  pantang mata melihat makanan, selera rasa telah menguja untuk kita menyantap makanan itu. Erti yang paling mudah ialah selera kita tidak sihat. Ertinya juga, bahawa kita tidak sihat.

Bersyukur kepada Allah. saya masih sihat. Hari Rabu lepas, dalam pertemuan dengan doktor di IJN, doktor memberi tahu bahawa keputusan makmal keatas darah saya, adalah baik sekali. Bacaan gula dan kolesterol masing-masingnya pada 5.6 dan 4. Kata doktor tahap yang ditunjukkan itu adalah baik, tidak ada masalah.

Doktor sempat bertanya: Jaga pemakanan ke? Saya cuma mengangguk saja, tanda bersetuju. Tapi saya tidak pula menyatakan saya melakukan senaman pagi secara konsisten.

Saya percaya menjaga makanan dan melakukan senaman selain dari makan ubat seperti yang dinasihatkan doktor adalah faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kesihatan saya itu seperti yang ditunjukkan oleh bacaan gula dan kolesterol.

Menjaga makanan bukanlah bermakna tidak mengambil langsung makanan yang berminyak dan berlemak. Ianya tidak mungkin mampu dilakukan kerana bahan-bahan masakan orang Melayu amat susah sekali untuk mengecualikan bahan-bahan itu. Jika dilakukan juga, makanan itu tidak akan menyelerakan. Kalau tidak merangsangkan selera sudah tentu kita tidak mahu memakannya. Ertinya sama seperti orang yang tidak sihat.

Jadi menjaga makanan itu bermaksud menjaga selera yang teransang itu. Kita tetap makan tetapi dengan secara yang terkawal. Maknanya kita masih lagi dapat menikmati makanan itu tetapi sekadar tidak melebihi dari tahap kenyang yang melampau. Ertinya makan secara sederhana, kata orang bijak pandai 'berhenti makan sebelum kenyang', . Biar banyak kali makan tetapi sederhana saja. Jangan sekali makan dalam kauntiti yang banyak sehingga termengah-mengah dek kekenyangan. 

Ingat, tidak berapa lama lagi kita akan berpuasa. Amalkan makan secara sederhana. InshaAllah kita akan sihat dan tidak akan melakukan pembaziran. 

Adakah makan banyak itu satu pembaziran? Ya, ianya satu pembaziran kerana melebihi dari kadar yang diperlukan oleh sistem pemerosesan dalam anggota badan kita. Maka makanan yang berlebihan itu tidak menjadi menfaat sebaliknya menjadi bahan lebihan yang boleh mengganggu kelancaran perjalanan sistem itu. Maka ada yang tidak mampu diproses dan berkumpul menjadi bahan lebihan seperti gula dan kolesterol. Itulah yang dikatakan membazir kerana dia tidak memberi menfaat. Sesuatu yang membazir adalah hasil dari perlakuan atau tabiat yang disukai oleh syaitan. Syaitan bersama dengan orang yang suka membazir.

Maka makanlah secara sederhana. 

Dalam bulan puasa nanti, selera kita akan menghadapi ujian yang amat hebat. Ada banyak pasar Ramadhan. Ada berbagai makanan yang disediakan di pasar itu. Semua makanan pada pandangan mata dan nafsu tekak amat menyelerakan. Pandang saja, selera menjadi teransang.Tambah-tambah lagi berbagai jenis makanan boleh membeliakkan mata kita, terbuka besar, sambil mempengaruhi selera untuk segera jadi teransang untuk dijadikan makanan semasa berbuka. 

Masa berbuka apa yang telah terjadi pada puasa yang lepas? Makan sebutir kuih saja, yang lain bergelempangan tidak diusik. Yang banyak masuk dalam perut ialah air dari berbagai jenis kerana kehausan. Tahun-tahun yang sebelumnya sama juga. Setiap tahun kita ulangi tabiat yang sama. Membazir saja.

Tahun ini sama saja? Kita mahu ulangi cara yang sama? Jangan lakukan lagi. Ianya tidak baik dari segi kesihatan. Tidak juga menguntungkan dari segi amalan kerana ia menambahkan dosa. Sebab kita melakukan pembaziran. 

Lagipun berpuasa bukanlah bertujuan untuk menjamu dan memuaskan selera waktu kita berbuka dek sebabkan kelaparan. Kita berlapar itu ialah untuk mendidik akal dan budi supaya mengasihi orang yang tidak berkecukupan, orang susah dan miskin. Bagaimana kita merasa lapar dalam waktu berpuasa samalah dengan mereka yang tidak berkecukupan yang miskin itu dalam menghadapi kehidupan harian yang tidak mampu menyediakan makanan seperti kita. Mereka, tiap-tiap hari menghadapi kelaparan. Kita hanya dalam beberapa jam saja sehari. Jadi malulah kita sekiranya tidak dapat mengawal nafsu selera kita dalam waktu berpuasa ini. 

Jadi bena dan suburkanlah  perasaan belas dan kasihan kepada mereka. Banyakkan bersedekah dan menderma. Zakat jangan lupa. Semoga apa yang kita rasa mereka juga akan dapat rasa. Sama-sama berkongsi. Bukankah hidup ini satu perkongsian? Mana kita boleh hidup bersendirian? Boleh? Jangan angkuh kita kata boleh. 

Apa yang saya bicarakan diatas adalah tentang kesihatan. Kesihatan tiada nilai bandingan. Kita sihat dengan melakukan amalan kesederhanaan . Kalau melakukan senaman, lakukan setakat kemampuan kita sesuai misalnya dengan usia kita. Selera makan perlu dikawal. Bersederhana dalam menikmati makanan. Jangan layan sangat nafsu nanti kita akan binasa, Binasa dari segi mudah mendapat penyakit dan binasa dari segi menyuburkan perasaan tamak haloba dan mementingkan diri saja. Tidak pandai berkongsi kesenangan dan kemewahan. Bersifat angkuh. Dan akhirnya tidak ada perasaan belas dan kasihan terhadap orang miskin yang sentiasa tidak berkecukupan. Maka derma, sedekah dan membayar zakat dianggap sesuatu yang membebankan.

Derma, sedekah dan zakat sesuatu yang membebankan? Bagaimana untuk menyahjauhkan perasaan dan tabiat ini? 

Kita cuba lakukan dalam bulan puasa ini. Kawal nafsu selera kita dan nikmati makanan secara sederhana. Jangan membazir. Bayakkan amalan baik yang diperintah Allah dan banyakkan doa agar amalan-amalan yang baik itu berterusan sehingga ke akhir hayat.

Laluilah bulan Syaaban dengan amalan-amalan yang diperintah Allah sebaik mungkin dan bersedia untuk menghadapi Ramadhan tidak berapa lama lagi. Ingat, jika kita sihat, maksud saya sihat tubuh badan iaitu jasmani dan akal fikiran dan perasaan iaitu rohani maka ianya memudahkan kita menjalani ibadah berpuasa. Puasa kita penuh dengan barakah. InsyaAllah.


 

Khamis, 21 Jun 2012

JANJI DITEPATI?

Program Janji DiTepati Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menjelajah beberapa buah negeri. Yang baru lepas diadakan di Negeri Kedah. Selepas ini di Negeri Melaka pula.

Janji Di Tepati sudah tentu merupakan satu usaha Kerajaan BN untuk memberitahu kepada rakyat bahawa apa yang telah dijanjikan oleh parti itu semasa pilihanraya yang lepas iaitu pada tahun 2008 dan juga janji-janji selepas itu telah ditunaikan. Bermakna, kerajaan BN tidak mungkir janji. Apa yang dikata telah dikotakan. Apa yang dijanji tertunai sudah. Itulah maksud janji ditepati.

Adakah sebenarnya begitu? 

Untuk menjawab persoalan itu kita perlu ada senarai semak apa yang telah dijanjikan parti BN semasa menghadapi pilihanraya tahun 2008 sehingga rakyat memberikan kepercayaan kepada parti BN untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri. Dan juga janji-janji selepas bertukar Perdana Menteri dari Tun Abdullah kepada DS Najib pada tahun 2010.

Manifesto Pilihanraya BN 2008 adalah bertujuan untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih SELAMAT, AMAN dan MAKMUR untuk generasi yang akan datang. BN berikrar kepada pengundi untuk meningkatkan pencapaian setiap sektor sedia ada dan menawarkan visi dan misi bagi mengemudi negara ke tahap yang lebih baik.


Sektor-sektor yang dimaksudkan ialah ekonomi, pendidikan, pembangunan seimbang, undang-undang keselamatan awam, membanteras rasuah, meningkatkan urus tadbir, agama, perpaduan dan dasar luar.


Manakala selepas beralih pucuk pimpinan kepada DS Najib maka telah diperkenalkan satu wadah baru iaitu Transformasi. Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (PTK) dengan masing-masing program itu mempunyai pengukur-pengukur tentang kejayaan pelaksanaannya.


Baik. Jelajahan Janji Yang Di Tepati ini adalah usaha untuk memberitahu rakyat bahawa apa yang telah dijanjikan itu telah ditunaikan.


Maknanya segala yang telah dilakukan telah menghasilkan sebuah negara Malaysia yang SELAMAT, AMAN dan MAKMUR dalam erti kata yang sebenaranya. 

Sekali lagi kita bertanya benarkah demikian? Kali ini kita mudah mencari jawapan kerana kita boleh semak apa yang dijanjikan dengan apa yang telah berlaku sebenarnya. Kita juga dengan mudah mendapat jawapan dengan melihat sendiri apa yang di paparkan dalam program jelajah Janji Yang Di Tepati itu.

Kita semak janji-janji itu yang merangkumi tahun-tahun terajuan oleh kedua-dua pimpinan PM. Tidak wajar diasing-asingkan kerana ianya janji BN . Lagi pun Manifesto BN 2008 seperti yang dijanjikan tidak pernah dimansuhkan. Cuma PM yang terbaru menambah beberapa kaedah pendekatan bagi melangsungkan pengurusan negara.

Apa yang telah berlaku atau dilakukan atau dilaksanakan . Sudah kah janji itu tertunai?

Adakah kita SELAMAT? AMAN? MAKMUR?

Perbicaraan menjadi terlalu panjang jika kita ambil kesemua sektor seperti yang dinyatakan diatas tadi yang telah diikrarkan oleh BN. Kita ambil saja janji tentang undang-undang  keselamatan awam, pencapaian ekonomi, tadbir urus, dan membanteras rasuah. Tapi ini tidak bermakna sektor-sektor yang lain telah berjaya dilaksanakan seperti yang dijanjikan.

Ya, nampaknya begitulah. Rakyat Malaysia tinggal dalam sebuah negara yang selamat dan aman. Sehingga sekarang kita adalah SELAMAT dan AMAN. Namun nampak semacam selamat dan aman itu tidak bermakna keberadaan SELAMAT dan AMAN itu tanpa gangguan kerisauan   dikalangan rakyat akan keselamatan mereka dari segi keharmurnian hidup sebagai satu bangsa yang bersatu dan berpadu. 

Sebenarnya rasa curiga mencurigai diantara kaum, agama dan kelas semakin menonjol ketika ini. Malah penonjolan itu tidak pula mendapat perhatian yang berat oleh kerajaan. Bibit-bibit kebencian sesama warga sudah menjadi satu laungan yang jelas yang banyak berselindung diatas perjuangan mempertahankan kelangsungan sesuatu puak/kepercayaan. Maka berlaku cabar mencabar dan tuding menuding jari dikalangan rakyat . Benih-benih kebencian dan permusuhan ini semakin bercambah. Ianya amat merisau dan menakutkan sekali.

Jadi tenangkah kita untuk hidup dalam sebuah negara yang rakyatnya saling curiga mencurigai? Perasaan kita berasa aman kah?

Ya, undang-undang lapok ISA warisan penjajah telah diketepikan. Tapi undang-undang itu hanya hilang pada namanya saja kerana ianya diganti dengan undang-undang baru yang membawa semangat yang sama walaupun namanya agak menyegarkan, Undang-undang Perhimpunan Aman. Cuba ingat semula peristiwa dalam Perhimpunan Bersih 3.0 dengan tenang tanpa prasangka. Berapa ramai yang telah menjadi mangsa dalam satu perhimpunan yang aman bertujuan menuntut pilihanraya yang adil. Ertinya adakah kita merasa selamat untuk menyatakan perasaan secara aman? Bersih 3.0 membuktikan bahawa risiko kena dakwa dan belasah amat tinggi sekali. Jadi adakah itu dinamakan SELAMAT dan AMAN?


Kita juga tidak bebas untuk menyuarakan sesuatu dalam bentuk ingatan, teguran dan pandangan kepada golongan tertentu.  Kita akan segera disiasat kerana melakukan hasutan. Dalam keadaan semacam ini, sudah tentu kita tidak akan ada perasaan yang tenang dan merasa selamat walaupun yang kita perkatakan itu sesuatu yang benar.

Dalam hal kebebasan ini, kita tidak percaya kepada kebebasan mutlak seperti selalu dijadikan alasan dalam menangkis pandangan tentang kebebasan pengucapan dan bersuara. Orang gila saja perlukan kebebasan mutlak. Maksudnya rakyat yang mahu kebebasan bersuara itu adalah rakyat yang berfikiran rasional yang tahu mengasingkan diantara yang baik dengan yang jahat. Sudah tentu rakyat seperti itu tidak mahu rumahnya dikacau ganggu/diceroboh oleh orang-orang jahat atas alasan menggunakan hak kebebasan. Atau tidak mahu perhimpunan atau majlis penerangan atau kempennya dikacau ganggu dengan perbuatan tidak senonoh seperti melempar batu atau telur busuk atau objek yang boleh mencederakan para hadirin.


Perbuatan-perbuatan tidak senonoh itu telah berlaku. Dan nampak gayanya tiada titik berhenti. Malang sekali perbuatan seperti itu tidak mendapat celaan dan perhatian berat dari pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan menghalang dari berulang walaupun pihak yang menjadi mangsa telah membuat laporan.


Adakah perasaan kita boleh menjadi tenang? Adakah anggota tubuh badan kita dijamin selamat dari perbuatan-perbuatan yang dinyatakan itu semasa menghadiri sesuatu perhimpunan? Bukti yang ada menunjukkan bahawa perasaan kita sentiasa dalam keadaan risau dan cemas kalau-kalau diperhimpunan yang kita hadir itu sebiji/sesuatu objek akan dilempar dan mengenai anggota badan kita.


Jadi, kita sebenarnya tidak selamat dan aman dalam sebuah negara yang nampaknya selamat dan aman. 

Kita hidup MAKMUR? 

Ya, kehidupan kita tidaklah seteruk seperti di beberapa negara jiran atau negara dunia ketiga. Tapi adakah itu ukuran kemakmuran bagi kita? 

Ukuran kemakmuran sepatutnya mesti merujuk kepada penggembelingan berbagai sumber negara kearah memberikan menfaat kepada kehidupan rakyat. 

Dan adakah ini berlaku seperti yang dijanjikan?

Untuk melihat menfaat kepada rakyat hasil dari penggunaan sumber negara oleh kerajaan tidak perlulah kita bersusah payah  memeriksa kadar pertumbuhan negara, kadar inflasi, belanjawan surplus atau defisit, kadar pengangguran, pendapatan isi rumah, pendapatan per kapita, nilai pelaburan asing (FDI)  atau ukuran-ukuran seperti NKRA dan yang lain yang memerlukan pengetahuan dalam bidang ekonomi dan kewangan. 

Memadai dengan melihat saja kepada kedudukan rakyat dalam keperluan asas misalnya tempat tinggal atau kediaman rakyat. Kerana ini mudah difahami. Apakah mutu kehidupan rakyat itu sendiri, dan yang akan diwariskan ke generasi berikutnya.

Kita tanya soalan-soalan antara lain: Adakah rakyat mampu memiliki rumah pada kos yang menasabah menurut kemampuan gaji/pendapatan. Berapa kah bilangan rakyat yang mampu memiliki rumah yang sepatutnya (decent). Adakah kita telah berada pada kedudukan kosong setinggan. Adakah golongan  gelandangan/berpeleseran, yang tiada tempat tinggal dan tidur bergelempangan misalnya di kaki-kaki lima atau lorong-lorong sempit lagi kotor telah hilang dari pandangan mata. Atau telah terhapuskah peminta-peminta sedekah tidur di atas jejantas, misalnya. 

Dan banyak lagi pegukur-pengukur yang boleh mewakili tahap dan kedudukan mutu kehidupan rakyat. 

Secara  amnya rakyat masih lagi perit untuk mendapat kediaman yang sesuai terutama dibandar-bandar. Mutu kehidupan  yang berkaitan dengan pemilikan rumah/kediaman yang 'decent' tidak meningkat seperti yang di janjikan.  

Kita tinjau pula kos belanja hidup. Ada kebenaran bahawa upah dan gaji telah meningkat berbanding dengan yang lepas. Cuma persoalannya adakah jumlah pendapatan itu mempunyai kuasa beli yang lebih baik berbanding dengan yang lepas. Dengan kata mudah adakah wang RM100 untuk belanja pasar itu akan membawa jumlah barang yang sama dari segi kuantiti dan kualiti berbanding masa lepas?

Jawapannya pasti sekali, amat mengecewakan. Hanya kita dapat mengeluh saja bagi menampung jumlah wang yang tidak cukup itu. Apa yang kita dapat dari mengeluh itu? Macam-macam, bergantung kepada ketahanan seseorang dalam menghadapi hempitan hidup. Benci dan marah adalah diantara yang menyelinap dalam perasaan.
   
Semakin bertambah marah apabila ternyata jurang kehidupan diantara golongan elite yang berkuasa dengan rakyat biasa semakin membesar. Jurang yang melebar ini adalah kerana peluang hanya terbuka dan dibuka luas kepada golongan elite yang berkuasa dan mereka yang dalam lingkaran mereka. Banyak contoh tetapi lihatlah satu contoh saja rasanya sudah cukup kita boleh faham mengapa jurang pendapatan semakin melebar. Projek NFC. Sebenarnya projek ini untuk menfaat siapa? Kenapa pinjaman mudah sebesar NFC itu tidak dibuka kepada orang atau pihak yang betul-betul memerlukannya bagi meningkatkan kualiti hidup? Apakah cara yang dilakukan itu termasuk dalam konsep agihan kekayaan yang adil (distribution with equity)?

Jawapannya sudah tentu tidak. Jadi apa makna negara MAKMUR. Sebenarkah MAKMUR yang dikatakan itu memberi menfaat kepada rakyat?

Kita belum lagi menyentuh berbagai kebocoran, ketirisan dan rasuah dalam berbagai bentuk yang dilaporkan berbillion ringgit yang sepatutnya boleh digunakan bagi meningkatkan mutu hidup rakyat. Cerita dalam hal ini sungguh panjang dan amat mengerikan jika kita sebenarnya insaf bahawa sumber itu telah disalahgunakan. Memang ada yang mendapat untung. Tetapi untung yang diperolehi dengan cara yang salah dan haram.

Cukuplah dengan cerita MAKMUR itu. Cukup juga dengan cerita SELAMAT dan AMAN itu. Ianya hanya sebuah cerita penglipur lara, menghiburkan rakyat untuk memenangi hati dan fikiran mereka diwaktu musim pilihanraya. Sama juga kaedah yang sedang berlaku sekarang dengan berbagai pemberian dan kaedah yang dikatakan sebagai cara bagi merengan beban kos sara hidup dan meraih keuntungan dalam bentuk durian yang akan runtuh.

Sudah tentu semua orang telah terbiasa dengan BR1M. Dengar khabar akan dimesrakan lagi dengan BR1M peringkat kedua pula. Semua orang sudah tahu tentang perencanaan bagi penyenaraian FGVH yang ada sangkut paut secara langsong dengan kepentingan warga Felda . Ianya juga membabitkan kepentingan rakyat Malaysia secara amnya. 


Jika tiada apa-apa halangan penyenaraian itu nanti akan memberi durian runtuh kepada warga Felda. Ramai pihak yang tidak bersetuju faedah yang bakal diperolehi oleh warga Felda itu diumpamakan sebagai durian runtuh. Alasan mereka bahawa menfaat yang diterima tidak berpanjangan. Saya pula bersetuju dengan ungkapan itu kerana sebenarnya menafaat dan faedah kepada warga Felda tidak akan berpanjangan. Ini adalah pasaran modal. Hanya mereka yang mempunyai kekuatan modal saja yang boleh bertahan dalam pasaran. Warga Felda boleh tahan nafsu ke apabila melihat harga dihari pertama IPO itu naik? Boleh bayar pinjaman bank ke jika harganya turun macam nak gila?


Maka durian yang runtuh itu sebenar-benarnya runtuh. Tiada dahan lain yang tinggal untuk menghasilkan buah pada masa depan.


Apakah yang dapat diperkatakan atau ditunjukkan dalam jelajah Janji di tepati itu? Negara yang SELAMAT , AMAN dan MAKMUR? Yang sudah dipertontonkan sebagai bukti hanyalah sama seperti yang dipertontonkan dalam Program Jom Hebuh. Apa yang ada dalam program Jom Hebuh boleh dicari dalam Program Janji ditepati. Mungkin ini yang dikatakan Program Tranformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Atau Model Baru Ekonomi. Atau NKRA.

Mungkin juga saya kurang/tidak faham akan jargon-jargon itu. Terlalu rumit. Saya juga tidak menafikan ada kejayaan yang telah dicapai. Cuma saya masih mengatakan bahawa kualiti kehidupan sebahagian rakyat semakin merosot bukan kerana kemiskinan sumber tetapi miskin dari segi keinsafan dalam diri pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menguruskan sumber itu secara yang terbaik. 

Kesimpulannya, program jelajah Janji Di Tepati itu tidak perlu diadakan kerana banyak membazir dari menfaat yang akan diperolehi oleh rakyat.  Keuntungan politik? Saya kurang pasti. Hanya senya perlu dingat bahawa rakyat sudah lebih celik. Mereka sudah tahu bahawa mereka ada pilihan. Ditangan mereka ada kuasa untuk membuat pilihan bagi satu masa depan yang lebih baik.

Sikap dan Adab Menghadiri Majlis Kenduri Kahwin

Jangan ambil sikap sambil lewa saja apabila menerima jemputan bagi menghadiri majlis kenduri kahwin. Terimalah jemputan itu sebagai satu tanda penghormatan dan ingatan dari yang menjemput. Kalau tiada aral melintang, kita patut hadir, jangan mengecewakan hajat tuan rumah.

Tapi yang saya hendak bicara disini bukanlah sikap tidak mahu hadir majlis kenduri itu. Sebahagian besar dari kita, saya percaya, tidak pernah mengecewakan hajat tuan rumah. Walaupun ada aral melintang untuk menghadirkan diri, 'wakil diri' sentiasa disampaikan melalui kawan-kawan yang hadir. Maksudnya mengirim hadiah atau sumbangan melalui kawan yang hadir. Atau kadang-kadang dengan kiriman pos. Atau kadang-kadang membahagi-bahagi tugas jika terdapat lebih dari satu majlis dalam masa yang sama atau majlis ditempat yang berlainan. Si suami akan pergi ke majlis A dan si isteri ke majlis B. Maknanya sikap sambil lewa itu tidak timbul.

Jadi sikap sambil lewa yang macam mana yang saya maksudkan? Yang saya maksudkan ialah :

i) Tidak membawa bersama kad jemputan. Bukanlah itu yang disyaratkan dalam kad jemputan itu. Tapi jika kad jemputan dibawa bersama, ianya boleh membantu kita. Misalnya peta ke tempat majlis itu boleh kita rujuk jika kita tidak pasti arah dan kedudukannya. Kita juga boleh merujuk nama tuan rumah dan pengantin. 

Peta ke majlis adalah amat mustahak kerana ia boleh mempercepatkan dan memudahkan ketibaan kita ke majlis itu. Namun dalam satu kawasan/tempat misalnya taman perumahan , ada masanya lebih dari satu rumah mengadakan majlis perkahwinan. Maka jika kad tidak dibawa , tidaklah dapat kita merujuk alamat rumah , jalan dan lokasi sebenarnya yang sepatutnya kita tuju. 

Ada masanya kita tidak ingat nama pengantin. Jadi tanpa kad ianya menyusahkan kita. Kita jangan bersandarkan kepada kepercayaan bahawa kita akan dapat berjumpa dengan tuan rumah kerana kadang-kadang tuan rumah yang kita kenali itu  susah untuk  dapat berjumpa . Maklumlah terlalu sibuk. Atau jangan terlalu yakin para jemputan yang lain akan dapat mengesahkan rumah yang kita singgah itu adalah rumah yang sebenarnya yang hendak kita tuju kerana ada diantara mereka pun seperti kita juga yang meraba-raba. 

Jadi, kad jemputan itu terlalu berguna untuk dibawa bersama. Lagipun bukannya berat. Tanpa kad itu berkemungkinan kita pergi rumah yang salah.

ii) Duduk mengikut suka hati. Jangan buat begitu kerana secara amnya ada bahagian -bahagian tertentu dikhaskan kepada tetamu tertentu. Biasanya tempat yang dikhaskan ini kerusi mejanya adalah lebih sedikit kemasnya berbanding yang lain disamping makanannya tersedia dihidang. Dan ada tulisan seperti 'Jemputan Khas'.

Sekiranya kita pakai duduk saja, ianya boleh memalukan apabila kita diberitahu walaupun secara berbisik bahawa tempat itu bukan untuk kita. Jadi jangan pakai hentam saja. Jangan sambil lewa. Kena beri perhatian dan sentiasa ingat bahawa majlis ini bukan majlis kita, maka kita tertakluk kepada adab dan aturan yang dibuat oleh tuan rumah.

iii) Salam kosong. Apabila kita menyampaikan ucapan tahniah kepada tuan rumah dengan secara bersalaman tangan, mestilah sentiasa ingat salam kita bukan salam yang kosong. Ini bukan perkara gurauan tetapi serious. Jangan ambil sikap sambil lewa saja. Kalau tidak percaya, anda adakan majlis sendiri.

Dengan demikian apabila saja kita terima kad jemputan untuk menghadiri majlis kahwin kita mestilah mengambil sikap yang betul iaitu;

i) Jemputan itu sebagai tanda penghormatan. Berhasrat untuk hadir jika tiada halangan. Jika tidak dapat hadir maklumkan kepada tuan rumah.

ii) Simpan kad itu pada satu tempat yang khas dan mudah untuk dirujuk. Cara ini juga akan memudahkan kita berhubung dengan tuan rumah untuk memaklumkan sesuatu atau untuk kita gunakan pada masa hadapan apabila giliran kita mengadakan majlis yang sama. Jangan gunakan kad jemputan itu untuk digantung sebagai hiasan seperti kad hari raya.

iii) Kalau banyak kad diterima , susunkan menurut tarikh jemputan. Yang awal terletak diatas sekali.

iv) Sediakan belanjawan tertentu selaras dengan kemampuan kita sebagai kos membeli hadiah/sumbangan.  

v) Jangan mengumpat makanan yang dihidang. Cacat cela buakan yang dihajtakan oleh tuan rumah. Tuan rumah hendakkan yang terbaik. Ingat kita juga akan mengadakan majlis yang sama.

vi) Jangan ambil makanan melebihi dari sepatutnya sehingga makanan yang diambil itu tidak semuanya dimakan. Membazir. Ingat, bukan kita saja yang dijemput.

Selasa, 19 Jun 2012

MEMOHON DERMA MEMBINA KOMPLEKS MASJID: Satu Pengalaman.

Awal tahun 1990an. Atas jawatan yang dipegang, satu dari tanggungjawab saya ialah mengumpul wang untuk membina sebuah kompleks masjid. Maka sebuah Tabung Amanah telah ditubuhkan selaras dengan kehendak peraturan kewangan.

Kompleks Masjid itu terdiri dari bangunan Masjid dan bangunan-bangunan lain pelbagai guna seperti perpustakaan, pejabat, dewan dan sebagainya. Masjid telah pun siap dibina. Tapi bangunan-bangunan yang lain masih belum dimulakan oleh kerana kekurangan wang. Sasaran kutipan 20 juta ringgit.

Maka usaha bagi mendapatkan derma diperhebatkan. Sasaran utama ialah syarikat perniagaan dan ahli korporat yang berjaya. Kami terlalu amat yakin bahawa sumber dari syarikat dan ahli korporat yang berjaya ini merupakan sumber derma yang terbesar. Derma atau sumbangan ini dikecualikan dari cukai pendapatan/korporat.

Apa yang sebenarnya terjadi?


Pada hujung tahun pertama jumlah derma dalam akaun tabung tidak banyak dikumpulkan. Terlalu jauh dari sasaran. Tahun kedua pun begitu juga. Tahun ketiga tidak ada beza, sama saja. 


Satu perkara yang ketara ialah bahawa kutipan derma itu bertambah setiap tahun. Cuma tambahan yang kecil saja. Tambahan itu pula datang dari derma yang dikutip melalui tabung-tabung yang diletakkan dimasjid-masjid. Maknanya derma dari jemaah yang datang ke masjid terutama pada hari Jumaat. Ertinya mereka ini  adalah orang biasa-biasa saja yang berkedudukan sederhana termasuk yang susah juga. Mereka kaya hati tapi miskin wang dan harta.

Jadi jangan pandang kepada kaya harta atau wang seseorang dalam hal kutipan derma masjid ini. Ianya tidak akan menjadi. Derma bagi tujuan lain saya tidak pasti. Cuma yang saya pasti jika penaung atau penganjur derma itu orang besar-besar yang ada kuasa maka berderetlah barisan dermawan menyerah  cek masing-masing sambil membuat posing untuk gambar diambil bagi siaran akhbar keesokan harinya.


Pengalaman ini tidaklah pahit. Ianya masam-masam manis saja.




  

Isnin, 18 Jun 2012

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE 25

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE 25 UNTUK ANAK KAMI LUKMAN HAKIM. DOA PAPA DAN MAMA SEMOGA LUKMAN SENTIASA SIHAT SELALU DAN DIBERI PETUNJUK OLEH ALLAH SWT UNTUK MELAKUKAN YANG MAKRUF DAN MENINGGALKAN YANG MUNGKAR. SEMOGA MENJADI ANAK YANG SOLEH.

DIMURAHKAN REZEKI YANG HALAL DAN BARAKAH. INGAT ADA BAHAGIAN DARI REZEKI KITA ITU HAK INSAN YANG LAIN YANG JUGA MEMERLUKANNYA UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN. JUSTERU SENTIASA INGAT AKAN TANGGUNGJAWAB MEMBAYAR ZAKAT DAN BANYAKLAH BERSEDEKAH. ALLAH MEMBERKATI SESUATU YANG BAIK YANG KITA LAKUKAN.

SOLAT JANGAN ABAIKAN. SELAMAT MENERUSKAN KEHIDUPAN DAN MENJADI WARGA DAN INSAN YANG TERBAIK.

Ahad, 17 Jun 2012

"Wah Wah Wan Dapat Nombol Satu"

Apakah diantara perkara yang boleh memberikan keriangan kepada diri kita. Sudah tentu banyak kan. Misalnya mendapat berita kita lulus peperiksaan dengan cemerlang, dapat  A+ dalam semua mata pelajaran. 

Kemudian ibubapa kita beri hadiah sebagai menghargai dan mensyukuri kejayaan kita dengan membawa kita bersama menunaikan umrah. Kawan-kawan kita memberikan ucapan tahniah diatas kejayaan kita itu. Sekolah kita mengadakan hari menyambut kecemerlangan pelajar, dan nama kita adalah diantara nama yang berkumandang didalam dewan dijemput naik keatas pentas untuk menerima hadiah dan ucapan tahniah dari guru besar, guru-guru  disertai pula dengan tepukan gemuruh dari hadirin dan yang paling istimewa apabila kedua ibubapa kita memeluk kita sebaik saja kita turun dari pentas. 

Seronok bukan? Rasa riang dan gembira itu sudah tentu tidak dapat dicoretkan dengan kata-kata. Tidak juga dengan lakaran lukisan diatas kertas.

Itu baru satu sahaja. Banyak lagi hal-hal atau peristiwa-peristiwa yang boleh menggembirakan kita. Itu hanya gembira disebabkan usaha kita.

Ada juga perasaan menjadi terlalu gembira atas usaha orang lain terutama orang yang kita sayang. Misalnya kejayaan anak atau cucu kita. 

Seorang bapa atau datuk sentiasa mengharapkan kejayaan anak/cucunya misalnya dalam pelajaran. Yang sentiasa menjadi impian dan harapan bapa/datuk itu ialah anak/cucu itu berjaya mengatasi anak/cucu orang lain dalam setiap kali peperiksaan sekolah diadakan. 

Seorang datuk yang saya kenali menyatakan bahawa dia mempunyai cara dalam menyambut dan menyatakan kegembiraan apabila menerima berita cucu kesayangannya dapat kedudukan terbaik dalam peperiksaan disekolahnya. Dia tidak mahu menyampaikan ucapan tahniah yang streotype misalnya dengan kata-kata 'tahniah diatas kejayaan Wan'. 

Dia hendak menyampaikan rasa kegembiraan dan tahniah itu dengan cara pilihannya, yang setahunya belum pernah dilakukan oleh orang lain. Dia mesti mendahului orang lain dengan cara yang unik itu kerana dia suka menjadi pemimpin. Mesti mendahului menonjolkan perbezaan dari yang biasa dibuat oleh orang.

Cucunya itu dapat nombor wahid, nombor satulah, mengatasi ratusan kawan-kawan disekolah. Maka dia pergi ke sebuah kedai yang menjalankan perniagaan dalam bidang tulisan 'khat' . Datuk itu meminta supaya dituliskan kata-kata ucapan tahniah untuk cucunya diatas kain putih yang akan dipakai sebagai selepang semasa menghadiri hari kecemerlangan di sekolah cucunya nanti. Dia tempah 3 helai kesemuanya.

Dia sendiri akan memakai kain selepang itu. Sehelai lagi untuk dipakai oleh cucunya yang bernama Ridhuan yang dia panggil Wan saja. Dan sehelai lagi akan disarungkan melintangi bahu kanan ke rusuk kiri guru besar sebagai tanda terima kasih dan penghargaan diatas khidmat bimbingan yang telah dicurahkan. Dia hendak menjadikan guru besar itu sebagai wira pada hari itu.

Maka penulis khat itu bertanya apakah kata-kata yang perlu ditulis diatas kain selepang  itu. Kawan saya itu yang terlalu seronok menyambut kejayaan cucunya itu pun memberitahu kata-kata yang perlu di khatkan wajiblah ditulis dan dibaca :

                   WAH WAH WAN DAPAT NOMBOL SATU
 
Penulis khat itu tercengang sejenak. Dia tidak menyangka ucapan tahniah seperti itu. Dia sangkakan ucapan seperti : Tahniah diatas kejayaan cucu tersayang atau Tahniah kerana dapat nombor satu. Lain pula ucapan tahniahnya.   Tapi sebagai ahli perniagaan dia kena terima apa kehendak pelanggan. Maka akan disediakan ucapan tahniah itu. 

Namun untuk lebih pasti lagi, agar dapat membuat kerja menurut spesifikasi yang betul penulis khat itu meminta datuk tadi menunjuk contoh tulisan. Datuk itu mohon maaf kerana beliau tidak pandai tulis jawi apatah lagi dalam bentuk khat. Dia cuma boleh tulis secara rumi saja. Lalu ditulisnya perkataan-perkataan  yang dikehendaki dalam satu baris. Datuk itu beritahu kepada penulis khat itu bahawa mesti tulis dalam satu baris saja dan boleh jelas kelihatan dan boleh dibaca dari hadapan.

"Tapi mengapa ditulis nombol bukan nombor atau nomor atau number?" Tanya si penulis khat itu.

"Aku punya sukalah. Aku kan pelanggan. Ikutlah kehendak pelanggan", kata datuk itu dengan suara sedikit tinggi.

"Ya ,ya, maafkan saya". Akur penulis itu.

"Berapa harganya", datuk itu mahu kepastian.

"Lima ratus lebih saja". Penulis khat beritahu.

"Lima ratus lebih? Saya ingat satu ribu. Berapa yang lebih itu?"

"Bila siap nanti saya beritahu", kata penulis khat itu lagi. 

Penulis khat itu terasa sedikit pening bila membayangkan kata-kata ucapan tahniah itu.

               WAH WAH WAN DAPAT NOMBOL SATU

Sabtu, 16 Jun 2012

AlKesah Sebuah NGO

Sekarang saya mula membaca hikayat-hikayat lama . Sudah terlalu lama cerita-cerita dalam hikayat lama itu telah tidak saya baca waemah menyentuh hikayat itu pun jauh sekali. Semenjak habisnya pepriksaan STP (HSC) pada tahun 1968 dulu perkara itu telah saya tinggalkan. Dulupun saya baca kerana nak lulus periksa. Menyampah sungguh nak baca hikayat lama itu. Yang paling tidak menarik ialah bahasanya. 

Tapi entah kenapa beberapa hari yang lepas timbul minat untuk membaca cerita-cerita dari hikayat lama . Nasib baik beberapa buah buku hikayat lama masih lagi ada tersimpan dalam perpustakaan kecil dirumah. Saya mula membaca. Makin dibaca semakin seronok. Tidak macam masa sekolah dulu. Bosan. Pegang saja hikayat lama itu mulut mula menguap. Mata cepat layu, kuyu macam dijahit-jahit tak boleh buka. Tambah-tambah lagi baca sama berbaring, alamat terbongkanglah sampai pagi.

Sekarang saya sudah jatuh hati pada hikayat lama. Bukan saja pada ceritanya bahkan pada olahan cerita, gaya bahasa dan perkataan-perkataan lama yang pada ketika ini sudah jarang digunakan. Maka timbullah hasrat untuk mengarang atau berbicara dalam paparan dengan gaya hikayat lama. Saya cuba aplikasikan dalam sebuah kesah imiginasi tahun 1980an dengan tajuk : Al Kesah Sebuah NGO.

Sebermula pada zaman yang baru berlalu, zaman sebelum melinium, pada sekitar tahun  sembilan belas lapan puluhan ada sebuah badan yang lebih dikenali sebagai badan bukan kerajaan, yang semua orang lebih mesra menyebut sebagai NGO. Shahdan telah lupa akan hamba akan nama NGO itu. Almaklum saja lah  Pengkalan Data zaman sebelum melinium disimpan dalam satu sistem yang mudah digodam oleh berbagai virus sehingga menjadi korup . Hilang lenyaplah segala data yang tersimpan termasuklah nama NGO tadi. Habis padam semuanya.


Akan tetapi ianya tidak mengapa. Pokok pangkalnya yang penting apa kah kerja gerangan NGO itu. Atau apa khidmat yang hendak disampaikan. Siapakah sasaran yang hendak dituju? Pendek kata apakah jasa-jasa yang hendak dibuat oleh NGO itu.

Maka ketika itu ada sebuah kerajaan dibawah payung lindungan bayangan segala datuk-datuk menteri. Ada sebelas orang semuanya datuk-datuk menteri, masing-masing ada gedungnya sendiri. Salah satu dari gedung yang memang menjadi idaman dihati dikalangan datuk menteri itu adalah gedung Khazanah. Kata orang zaman itu, dapat jaga khazanah, dunia ana punya.

Gedung Khazanah ini diketuai oleh datuk menteri dari keturunan bangsawan. Maka juak-juak yang bekerja dalam gedung itu sentiasa berhamba berpatiklah apabila datang berbicara dengan datuk menteri itu. Menjunjung perintahlah sekalian juak-juak itu apabila saja ada titah disampaikan. Semua titah itu terjunjung diatas batu jemala, ubun-ubun juak-juak itu. Tiada satu pun yang berat melainkan rengan semata. Semuanya sedia dijunjung dengan penuh sembah kasih. Pantang sembah derhaka.

Pada suatu hari, waktu siang yang terang benderang, maka mencemar duli sebuah warkah titah dari yang mulia datuk menteri. Maka dengan penuh sembah takzim seorang juak  membongkokkan badan menadah kedua belah tangan menyambut warkah titah yang sudi mencemar diri itu. 

Dalam sebuah kamar, sijuak itu memulakan bacaan akan warkah itu untuk memahami apakah kehendak dan titah datuk menteri sehingga sudi mencemarkan warkah bersalut emas kuning itu.


Setelah membaca maka terkeluarlah akan kata-kata dari sijuak,"Ampun Tuanku Datuk Menteri beribu-ribu ampun. Patik pacal yang hina ini merasa lega dihati, hilanglah segala gundah gulana apabila menerima titah perintah Tuanku ini. Sungguh besar dihati patik akan kesudian Tuanku meletakkan beban diatas batu jemala patik yang hina ini. Sembah kasih dari patik, pacal yang hina ini", si juak itu dengan penuh dakapan meletakkan warkah itu ke dadanya setelah dua bibirnya mengucup kasih akan warkah itu.


Ada pun warkah dari datuk menteri itu, sarat dengan perintah supaya dimasyhurkan kepada semua rakyat jelata bahawa anakanda baginda siputeri tujuh gelaran telah pun disebut-sebut diangin lalu akan kesah keberahian seorang putera raja dari negeri tujuh petala awan akan siputeri tujuh gelaran itu. Maka segala rakyat sekalian hendaklah berdatang sembah menjunjung diatas kepala sekalian rakyat itu akan persembahan sebagai tanda sembah kasih menjunjung sayang kepada ke bawah duli tuanku.

Maka mencari akal lah akan sijuak itu memikirkan bagaimana caranya untuk menumpahkan jiwa dan raga akan taat sentiasa kepada ke bawah duli yang mulia datuk menteri itu. Setelah penat berfikir maka sekonyong-konyong datanglah buah fikiran akan  caranya yang patut dilakukan bagi menyenangkan hati kebawah duli datuk menteri. Sijuak pun tersenyum lebar akan kepandaiannya memikirkan cara untuk mendapat persembahan dari rakyat jelata untuk dijunjung sembah pada hari keberahian puteri tujuh gelaran itu.


Bertempik lah sekuat hati akan sijuak itu sambil berkata "Patik akan tubuh sebuah NGO. Semua hamba sahaya wajib jadi ahli NGO ini. Akan patik kerahkan semua hamba sahaya dari hujung hilir ke hujung hulu, dari bawah yang dibaruh ke atas yang di darat, yang di lurah, di gunung di bukit , dihutan ,di rimba semuanya wajib berkumpul merapak sembah".


Shahdan semua rakyat jelata bersetuju menjadi ahli NGO itu. Semuanya telah mendapat berita akan cerita hari keberahian puteri datuk menteri ini. Masing-masing yang empunya diri memerah keringat mengumpul dan mengutip apa saja yang terjumpa untuk dibuat persembahan kebawah duli datuk menteri. Akan tetapi ada seorang hamba sahaya buat 'dek' saja tidak mahu ambil pusing berita yang dimasyhurkan oleh sijuak itu.


Apabila tiba masa di hari keberahian itu, semua rakyat jelata menjunjung persembahan diatas batu jemala masing-masing menuju ke gedung datuk menteri. Yang celik laju jalannya, yang buta meraba-raba, yang pekak terpinga-pinga, dan yang bisu , tangan bersilat sentiasa. Maka sampailah hamba sahaya rakyat jelata itu mengadap kebawah duli datuk menteri sambil duduk mencangkung , menjunjung persembahan yang terlekat tegak diatas kepala.

Si juak pun mula mengira. Penat sudah diulang kira namun masih lagi kurang seorang. Maka menyiraplah darah si juak ini. "Aku tibai sibahalul ini. Degil tak dengar kata".


Datuk menteri memulakan titah bertanya "Sudah sempurna kah semua wahai sijuak?" Sijuak fahamlah akan maksud disanubari datuk menteri itu. Sijuak mula bermuka sedih . Akan tetapi tetap juga melangkah perlahan-lahan menunduk kepala dan merapat kedua tapak tangan datang mengangkat sembah, "Ampun Tuanku datuk menteri. Ada pun apa yang dititahkan itu telah patik pacal yang hina ini usahakan. Patik-patik semua telah tubuhkan sebuah NGO untuk menjayakan hari keberahian puteri kebawah duli datuk menteri. Semua pacal-pacal ada bawa bersama persembahan untuk puteri tujuh gelaran. Melainkan ada seorang pacal yang buat 'dek', degil. Akan tetapi tuanku datuk menteri , usahlah gundah gulana. Patik akan tibai pacal yang degil itu selepas hari keberahian puteri tujuh gelaran".


Datuk menteri pun tersangat murka akan berita yang disampaikan itu. Maka titahnya, "Beta akan tibai semua orang biar  kamu semua mampus. Beta tidak perlukan kamu semua. Beta banyak harta. Beta kaya". 


Mendengar titah datuk menteri itu, sijuak pun berdiri tegak, tidak membongkok lagi. Sepantas kilat sijuak menuding jarinya kepada datuk menteri seraya berkata, "Ok, kalau you nak tibai kami sampai mampus, dipersilakan. Bila kami semua mampus, siapa nak datang jumpa you. Siapa nak panggil you ke bawah duli datuk menteri. Siapa nak bawa hadiah banyak-banyak . You tahu tak, macam nak mampus kami cari hadiah. You senang main order saja. Yang you tau nak tibai saja". Semua yang hadir menepuk tangan menyatakan sokongan kepada sijuak itu.


Datuk Menteri pun tercengang-cengang. Dalam hatinya berkata "Berani sungguh ahli-ahli NGO ini. Aku nak tibai pun mereka berani lawan".


Itulah cubaan pertama saya menggunakan gaya penyampain mengikut hikayat lama. Macam mana ? Dapat markah penuh agaknya.

Jumaat, 15 Jun 2012

Malu-malu Kucing dan Senyum Buaya.

Paparan saya semalam yang bertajuk Cepatkan Pilihanraya ke 13, saya ada menyebut sifat manusia yang malu-malu kucing dan yang senyum buaya. Walaupun dua sifat ini kelihatan berbeza tetapi matlamatnya sama juga iaitu untuk memilik dan mendapat sesuatu dengan pendekatan yang berbeza.

Saya tidak pula merujuk buku perumpaan atau peribahasa dalam memaknakan perlakuan atau sifat malu-malu kucing itu. Justeru apa yang saya mahu jelaskan tentang sifat malu-malu kucing ini mungkin tidak mempunyai persamaan dengan yang dinyatakan dalam buku tersebut atau seperti yang difahami oleh masyarakat terbanyak.

Malu-malu kucing saya ini lebeh menunjukkan sifat atau perlakuan yang mahukan sesuatu tetapi tidak mahu menyerlahkannya secara terang-terang. Dalam hati memang telah terpasang hajat untuk memperolehi atau memiliki,  dan keberahian kepada benda atau sesuatu itu memuncak sekali dalam hati sanubari. Cuma orang itu ada sedikit simpanan perasaan rasa malu yang dapat membantunya dari menzahirkan secara jelas hajat dihati. Dia tidak gelojoh dan tidak mahu jadi orang pertama menyatakan hasrat dihati secara terang-terang.

Namun begitu orang yang malu-malu kucing ini kalah juga dengan keberahian yang ada dalam hatinya. Ini jelas melalui perbuatan yang suka mengendeng. Saya percaya, ramai yang  faham apa itu mengendeng. Makna mengendeng bagi saya adalah perbuatan cuba merapatkan diri dengan seseorang yang ada kelebihan, kedudukan, keistimewaan, kuasa   dengan tujuan untuk mendapat menfaat atau faedah atau pun keuntungan. 

Kelebihan itu ada dalam berbagai bentuk misalnya seseorang yang cantik pun dianggap sebagai mempunyai kelebihan. Orang yang cantik ini menjadi endengan ramai orang. Misalnya remaja perempuan yang cantik sudah tentu menjadi endengan ramai remaja lelaki. Tetapi remaja lelaki itu tidak berani berterus terang mengatakan 'saya minat dengan awak'.  Kena mengendeng dulu. Kata orang 'slow slow dulu'. Dimulakan dengan memberi salam, memperkenalkan diri, senyum , membuat berbagai pujian, belanja makan dan berbagai lagi untuk dapat rapat dan berhubung dengan sicantik itu. Maksudnya dia tidak boleh gelojoh, mesti ambil masa. Tetapi perlakuannya dilakukan  berulang-ulang.

Perlakuan mesti dibuat berulang-ulang. Tidak boleh jemu.  Dengan perlakuan yang berulang-ulang itu, dia mengharapkan pihak yang diendeng itu dapat membaca maksud yang tersimpan dalam hatinya, yang malu untuk dizahirkan. 


Orang yang mengendeng ini sedar bahawa risiko perbuatannya itu memang ada. Misalnya dalam contoh remaja lelaki yang mengendeng remaja perempuan yang cantik diatas. Ada kemungkinan sicantik itu boleh membaca isi hati remaja itu, dan disebabkan perlakuan yang ditunjukkan oleh remaja lelaki itu menampakkan kesungguhan maka sicantik itu tiada halangan untuk menunaikan hajat remaja lelaki yang mengendeng itu. Ini adalah risiko yang berbentuk pulangan yang berbalaoi yang ditunggu-tunggu. Kata orang kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.

Tapi ada juga kemungkinan risiko yang tidak berbaloi, yang tidak dihajati. Misalnya sebelum sempat dia cuba lebih rapat dengan sicantik itu, sicantik sudah dapat baca hasrat yang tersimpan dihatinya, lalu segera menjauhkan diri. Atau  sicantik itu dengan terang mengatakan 'saya tidak berminat dengan awak'. Maka malulah remaja lelaki itu lalu berjalan longlai meninggalkan sicantik itu.


OK. Itu cerita sicantik diendeng oleh remaja. Bagaimana pula dengan cerita pada pilihanraya ke 13 nanti?


Telah dibayangkan bahawa pilihanraya ke 13 nanti adalah sebuah pilihanraya yang mewah. Melimpah ruah rezeki bakal mendekati pengundi. Banyak projek segera, wang tunai segera dan macam-macam faedah boleh tersedia dengan segera. Minta apa saja pasti anda akan mudah tersenyum gembira. Maka dengan itu pengundi mesti mengambil peluang secara terbaik untuk meraih rezeki ini. Cuma apakah bentuk sikap dan sifat yang perlu ada lakunkan. Tak kisahlah sama ada anda mahu berdrama, bersendiwara atau main wayang kulit atau apa saja dengan menggunakan satu pentas saja atau pelbagai pentas. Yang penting gunakan peluang ini secara yang terbaik.  Rezeki seperti ini tidak selalu datang. 


Anda jangan banyak fikir. Jangan ambil peduli harga diri, integriti, rasuah, kena beli dan macam-macam kata yang boleh membantutkan hasrat dihati untuk meraih rezeki. Lagi pun perkataan-perkataan itu langsung tidak membawa anda kepada satu kehidupan yang lebih baik. Dari dulu, kini dan mungkin sampai bila-bila anda tidak senang juga. Anda serupa saja. Dulu menjadi pemotong rumput, kini sama juga. Tahun depan sama juga. Tahun depan punya tahun depan, entah-entah anda tak ada kerja, sebab mesin rumput dah rosak. Nak beli wang tak ada. Apa salah ambil rezeki yang diberi itu. Saya katakan tidak salah. Ambil jangan tak ambil.


 Hanya sanya saya hendak mengingatkan anda, bukan nasihat, tapi ingat mengingat sesama kita. Apa dia?


Anda mesti mengambil sikap yang betul dan tepat. Tepat setepatnya. Betul sebetulnya. Kata orang 'zero defect', 'sempurna gila', kata anak remaja sekarang. Lupakan nilai-nilai yang saya katakan tadi iaitu integriti , harga diri, bersih dan suci dari rasuah dan kena beli. Sebab yang tukang beri itu lebih teruk dari anda. 'Pulun habis'. Maaf, bukan pulun habis. Kalau pulun habis, anda tak merasa pula. Lebih molek kita panggil, "Dia dapat isi, anda dapat tulang. Tulang kering saja".

Jadi apakah sikap dan sifat yang perlu anda ambil? Malu-malu kucing?

No, no, no. Jangan sesekali anda bermimpi untuk menerap, menyerap,menurap, menghisap sifat itu. Risikonya terlalu besar walaupun ada kemungkinan anda akan dapat juga sedikit rezeki. Baca semula cerita remaja lelaki dengan sicantik diatas. Jadikan iktibar.


Sebelum saya cadangkan skap dan sifat yang perlu diambil dalam hal meraih rezeki pilihanraya ke 13 ini , saya hendak cerita sedikit fasal kucing. Cerita ini relevan dengan sikap yang hendak kita putuskan.


Anda sudah tentu pernah ke restoran atau kedai makan. Anda juga pernah didatangi oleh kucing.


Baik. Semasa anda sedang seronok makan, datanglah seekor kucing mendekati kaki anda sambil menggesel-geselkan badannya ke kaki anda yang sedang enak menikmati makanan. Apa reaksi anda?


Saya menjangkan reaksi anda seperti berikut:
i) Oleh kerana makanan itu terlalu enak, anda tidak sedar ada kucing yang datang menggesel-gesel kaki anda.
ii) Walaupun anda sedang enak menikmati makanan, geselan kucing yang berulang dan penuh manja itu telah menarik perhatian anda sehingga memberi kefahaman kepada anda bahawa kucing itu hendakkan sesuatu. Anda akan bertindak dengan dua cara iaitu, a) terajang saja kucing itu, menghalau jauh dari anda supaya anda dapat meneruskan kelazatan makanan direstoran itu, atau b) anda ambil makanan anda sedikit seperti tulang ikan (isinya anda makanlah) dan campakkan kepada kucing itu. Maka kucing sambutlah tulang ikan itu dan dikunyah-kunyah terus ditelan.


Faham gesel-gesel? Gesel-gesel itu sama dengan perbuatan mengendeng.


Jadi kalau anda mengambil sikap gesel-gesel seperti kucing itu anda sebenarnya mengendeng. Anda adalah seorang pengundi yang malu-malu kucing. Satu sikap dan sifat yang tidak dapat meraih rezeki secara maksima. Anda sepatutnya 'maximise your profit', seperti falsafah sebuah entiti korporat.


Jadi sifat yang dapat menjana keuntungan yang maksima dalam masa PRU ke 13 nanti ialah sifat dan sikap ' Senyum Buaya'. Ertinya senyum, senyum juga, mulut ternganga luas dan taring tajam sentiasa bersedia memamah lumat apa yang ada dihadapan.


Jangan malu-malu kucing. Jadilah buaya yang tersenyum sebab yang dihadapan anda pun buaya juga. Sama-sama senyum.

Khamis, 14 Jun 2012

Cepatkan Pilihanraya Ke 13.

1. Berita yang saya dengar bahawa pilihanraya ke 13 yang akan datang ini adalah satu pilihanraya yang mewah, kata orang pilihanraya mesra rakyat. Maknanya sayang rakyatlah. Rakyat yang bakal mengundi akan meraih kemewahan itu. Pengundi akan berpeluang untuk mendapat bayaran tunai: paling rendah RM1,000.00 dan ada peluang juga untuk dapat  RM5,000.00. Harap-harap berita ini benar dan menjadi kenyataan.

2. Ketika ini saya sedang berangan-angan akan wang yang bakal diterima itu. Menurut kiraan dari angan-angan itu, saya bakal meraih paling kurang RM2,000.00. Satu ribu ringgit dari calun Parlimen dan satu ribu ringgit lagi dari calun Dewan Undangan Negeri (DUN). Tapi kalau saya pandai 'chong', jumlah itu mungkin boleh meningkat sepuluh ribu ringgit- RM5,000.00 dari calun Parlimen dan RM5,000.00 dari calun DUN. Kalau malu-malu kucing, mungkin boleh dapat kurang dari itu. Kurang-kurang pun saya rasa boleh dapat RM6,000.00. Itu kalau saya malu-malu kucing. Kalau saya buat senyum buaya, RM 10,000.00 dalam tangan.

3. Bayangkan dapat dua ribu, atau lima ribu atau enam ribu atau sepuluh ribu dalam tempoh tak sampai sehari. Kerjanya bukan berat pun. Cuma berbaris, ambil kertas undi, buat satu pangkahan keatas kertas undi dan masuk kertas undi dalam peti undi yang disediakan. Itu saja. Memang tidak boleh saya bayangkan bagaimana 'happy'nya saya. Maklumlah duit datang menggolek terus masuk saku.

4. Kalau ambil upah potong rumput pun, perit nak dapat seribu sebulan. Penat kerja potong rumput ini. Kulit kita akan jadi hitam legam. Sebab kerja dalam panas terik. Tapi bila dapat wang 'free' seribu ke, dua ribu ke atau yang seronoknya sepuluh ribu, saya akan berhenti kerja potong rumput ni. Tidaklah berhenti terus. Bergantung berapa banyak wang 'free' yang akan saya dapat nanti.

5. Maaf, saya dah meraban fasal potong rumput pulak. Itulah gayanya kalau orang suka berangan-angan nak dapat duit 'free'.

6. Tidak mengapa. Angan-angan bukannya kena bayar. Tak akan luak duit yang bakal masuk poket nanti. Agaknya bila wang itu akan diberi. Sebelum memangkah atau selepas memangkah. Minta-minta sebelum memangkah, dapatlah beli seluar dan baju cantik untuk ditayang pada hari mengundi nanti. Tapi selepas memangkah pun ok juga. Asalkan bagi. Jangan mungkir janji pula. Kalau mungkir, pada masa depan saya tak mengundi. Tapi kalau beri lebih besar dari PRU 13 ini, saya tetap mengundi. Syaratnya beri dulu sebelum saya mengundi. Tentang mungkir janji dulu, saya tak kisah. Janji dapat wang tunai.

7.  Betul ke berita yang saya dengar ni? Harap-harap betul, itulah doa saya. Saya juga kuat berdoa supaya pilihanraya diadakan sebelum puasa. Dapatlah belanja beli pakaian anak-anak. Dah lama anak-anak saya pakai baju yang dah lusuh. Anak saya kata "Balik-balik baju ni saja". Raya tahun ni saya nak dengar anak-anak kata " Terima kasih. Dapat baju baru". Sudah tentu senyum saya melebar terlalu gembira. Tentang sumber wang, tak kisahlah. Lagipun anak-anak itu bukannya tahu. Kalau tahupun , apa nak dimalukan, sedangkan orang merompakpun tak malu dan tak tahu malu. He..he...he...he..he

8. Saya pula nak beli kancil 'second hand'. Rasanya ada yang harga lima ribu kebawah. Jadi kalau dapat sepuluh ribu, ada baki lima ribu lagi. Tahun ni saya raya sakanlah. Boleh bawa keluarga jalan-jalan makan angin ke Genting. Kata orang Genting tu macam-macam mainan ada. Bolehlah kami enjoy sikit. Sesekali apa salahnya.

CEPATLAH PILIHANRAYA SEBAB  SAYA NAK ENJOY KE GENTING, PLEASE!