Theflowersellingboy

Isnin, 30 April 2012

BERSIH 3.0 Siapa Kaki Pukul

BERSIH 3.0 telah berlalu. Ia meninggalkan kesan kepada kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan dibawah terajuan parti BN dan rakyat yang menyertai dan menyokong perhimpunan itu. Kesan positif atau negatif bergantung kepada penilaian dan tafsiran masing-masing pihak. 

Pihak kerajaan menyalahkan penganjur perhimpunan yang menyebabkan berlakunya kecederaan sama ada di pihak polis mahupun peserta. Sebaliknya pihak penganjur memulangkan kesalahan itu kepada pihak kerajaan. Masing-masing menyatakan ada bukti dalam bentuk rakaman video dan saksi bagi menyokong kedudukan mereka.

Kalau begitu baguslah. Kami rakyat hendak tahu yang benar dan sahih saja. Kami tidak mahu diputarbelitkan oleh mana-mana pihak bagi kepentingan jahat mereka. Kami akan menyokong yang benar saja. Maka berkata benarlah kamu wahai kerajaan dan peserta perhimpunan. Kami hendak tahu siapakah sebenarnya kaki pukul.

Bagaimana untuk berkata benar? Kami tidak perlukan satu sessi sumpah laknat diadakan dimana-mana masjid dengan menjunjung al-Quran kerana kami percaya Allah sudah tahu. Yang belum tahu ialah kami manusia biasa ini. 

Caranya semua pihak sudah maklum iaitu kita perlukan pihak ketiga yang tidak ada kepentingan, yang ada wibawa dan yang kalis upah dan rasuah. Saya percaya di Malaysia ini masih ada ramai lagi manusia seperti itu. Tubuhkanlah atas apa nama saja satu kumpulan orang seperti itu bagi menentukan hal yang sebenarnya. 

Masing-masing pihak keluarkan bukti dan saksi.  

Cuma saya hendak menyatakan bahawa kecederaan dan patah riuk itu tidak akan berlaku jika kerajaan mempunyai kebijaksanaan menguruskan keadaan. 

Mereka hendak 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka' untuk menyatakan ketidakpercayaan terhadap sistem pilihanraya dan mahu diperbetulkan, biarkanlah. 

Jika kerajaan mempunyai pendirian yang berbeza iaitu masih mengatakan sistem pilihanraya kita adil dan bersih maka bersemukalah dengan baik. Masing-masing pihak kemukakan bukti berdasarkan fakta dan maklumat.  

Mengapa perlu menguruskan perbezaan secara berkonfrantasi? Cara orang yang suka bergaduh. Mengapa perlu di kepung dengan kawat berduri sebagai penghalang memasuki Dataran Merdeka itu? 

Dengan demikian, selagi tidak ditubuhkan kumpulan pihak ketiga seperti yang dinyatakan diatas bagi menentukan siapakah dipihak yang benar/yang bersalah, saya masih mengatakan bahawa peserta perhimpunan itu adalah mangsa kepada pihak berkuasa. Sebabnya mudah saja-mereka tidak ada kuasa dan tiada senjata. Mereka bukan kaki pukul kerana tidak mempunyai ciri-ciri berkonfrantasi.

Ahad, 29 April 2012

Sehari Selepas Perhimpunan BERSIH 3.0

Saya tidak hadir di perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka dan di kawasan-kawasan titik pergerakan ke Dataran tersebut pada Sabtu 6 Jamadilakhir 1433 bersamaan 28 April 2012. Sebaliknya saya menghadiri satu jemputan majlis perkahwinan di TTDI. Oleh itu saya tidak melihat dengan mata sendiri apatah lagi mengalami sendiri suasana diperhimpunan itu.

Namun saya tidak pernah gagal mengikuti perkembangan BERSIH melalui berita-berita dari internet sama ada dari saluran pro kerajaan mahu pun pro rakyat. Yang pasti saya tidak pernah mengikuti berita dari tv 1 sehingga tv 3 termasuklah saluran dibawah jenama Astro. Bagi saya berita-berita dari saluran tersebut adalah berita yang tidak ada kredibiliti. Maksudnya berita yang sarat dengan pembohongan, fitnah dan merosak serta mencemarkan kesucian minda dan hati nurani insan.

Tapi mengapa pula saya melayari saluran internet yang pro kerajaan? Apa beza dengan saluran tv yang saya benci sesangat itu? Memang tidak banyak berbeza. Sebahagian besarnya sama saja. Tapi ada kelainan dari tv-tv itu dari segi peluang untuk pihak lain memberikan pandangan/ulasan. Tidak mengapa banyak yang menyokong pendapat yang pro kerajaan. Namun ada juga dicelah-celah ulasan itu suara-suara yang tidak semuanya bersetuju dengan apa yang dilakukan kerajaan. Ertinya saluran itu memberi peluang bagi pendapat yang berbeza. Di tv? Lebih dari 100 peratus membenarkan apa saja perbuatan kerajaan. Maksum sungguh pemimpin-pemimpin kerajaan itu!

Baiklah. Itu sedikit hal tentang sumber maklumat saya berkaitan peristiwa BERSIH 3.0 yang saya tidak hadir secara fizikal. Berdasarkan kaedah itu saya juga ingin mahu menyatakan pandangan tentang kejadian pada hari yang amat bersejarah itu. Hari perjuangan rakyat Malaysia menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya agar bukan saja adil bahkan bersih.

Saya mulakan dengan meninjau semula apa yang saya telah paparkan semalam dibawah tajuk BERSIH 3.0 Hadir?

Saya telah menjawab bahawa saya tidak hadir.

Melihat beberapa video Youtube dan berita disaluran internet, sesungguhnya benarlah akan kebimbangan isteri dan anak-anak jika saya hadir. Saya tidak akan mampu berlari cepat apabila dikejar. Saya tidak mampu untuk bertahan dengan semburan bahan kimia. Saya tidak mampu mengelak rempuhan kereta polis yang katanya terbabas.

Jadi apa akan terjadi? Isteri saya kata 'jangan tak balik nanti'. Maksudnya saya mudah ditangkap oleh polis kerana tidak mempunyai stamina untuk lepas dari cengkaman tangan-tangan polis; tidak mempunyai daya dan kekuatan untuk mengelak dan menepis dari pukulan tangan polis, dari belantan polis, dari kaki polis yang sepantas kilat membuat sepak terajang,  dari terjahan ganas polis seumpama anjing liar yang kelaparan mangsa, seumpama serigala menggunakan taring menyiat, mengunyah dan memamah mangsa , seumpama harimau belang dan harimau yang tidak ada belang mematahkan tengkok mangsa, seumpama singa dihutan safari Afrika yang membaham mangsa; dan tidak mampu menahan buku lima polis yang menghayunkan  penumbuk sekuat rasa imarah sebenci hitam dihati.  

Kenapa? Kerana saya semput. Lelah. Jadi mangsa yang terlalu mudah untuk disergah, diseranah, disesah dan dimusnah.

Maknanya paling kurang saya mudah ditangkap, dipukul dan dimasukkan ke dalam lokap . Itulah maksud yang hendak disampaikan isteri saya dengan kata-kata yang penuh bimbang 'jangan tak balik nanti'. Itulah juga ramalan dihati dan nurani isteri saya yang tidak bersetuju dengan niat saya untuk bersama di gelanggang.

Rupanya satu ramalan yang tepat. Terbukti berlaku di  perhimpunan BERSIH 3.0  pada Sabtu 28 April 2012.

Mungkin juga ramalan itu menjangkau kepada kehilangan nyawa akibat dari rempuhan kereta polis?  Maka meninggallah saya. Tidak dapat berblogging lagi. Hanya bersoal jawab dengan malaikat yang diarah untuk menanyakan apakah yang saya telah lakukan sepanjang hayat dikandung badan. 

Adakah kemungkinan soalan yang ditanya : Malaikat: Adakah kamu semasa hidup melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar? Beri contoh.

Sudah tentu saya ingin menjawab dengan memberi contoh hadir di Dataran Merdeka: Ya.  Saya hadir di Dataran Merdeka memperjuangkan satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

Tetapi mulut saya tidak boleh terbuka dan lidah tidak mampu melafazkan kata-kata. Sebaliknya kaki saya menjawab : Tidak. Saya tidak melangkah kesana menuju ke Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 6 Jamadilakhir 1433 bersamaan 28 April 2012. Saya ke majlis kenduri kahwin.
Malaikat: Itupun satu yang wajib.

Lega rasanya kalau itulah yang dikatakan oleh malaikat.

Tapi saya masih hidup lagi. Ada masa untuk melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ya, sesuai dan menurut cara dan kemampuan saya.

Sesungguhnya apa yang dirakamkan memperlihatkan satu kejadian yang tidak wajar berlaku. Satu tindakan ganas diluar sifat seorang insan sama ada yang ada kepercayaan mahu pun yang tidak ada kepercayaan. Seorang anak muda yang tidak ada senjata,  dengan hanya sebatang tubuh yang mahu memperjuangkan keadilan pilihanraya, di kerumuni oleh lebih dari 5 orang polis, ditumbuk, disepak terajang tanpa belas ikhsan, dipukul dengan belantan bertalu ulang, diterjah dengan terjahan yang ganas dan garang. Namun anak muda itu tidak melawan. Diterajang lagi. Zalim!

Ya, sesungguhnya perbuatan itu terlalu zalim. Tidak mampukah mereka bertenang. Tidak mampukah mereka menangkap dan menggari saja anak muda itu jika menurut undang-undang negara ianya telah melakukan kesalahan. Kenapa perlu dibuat sebegitu rupa.

Saya percaya semua polis yang terlibat dalam adegan zalim itu adalah mereka yang mempunyai agama. Islam ke, Kristian ke, Hindu ke, Buddah ke, Bahai ke waemah yang tidak ada agama pun tidak akan melakukan perbuatan seperti itu. Sebab?

i) Hanya makhluk yang bacul saja memukul orang yang tidak melawan.
ii) Hanya  makhluk yang tidak diberi akal fikiran saja yang beramai-ramai memukul orang yang tidak ada senjata.
iii) Hanya mereka yang tidak ada anak , atau ibu atau  bapa, atau suami, atau isteri, atau datuk ,atau nenek, atau abang, atau kakak, atau adik, atau cucu, atau bapa saudara, atau emak saudara, atau menantu, atau besan, atau biras, atau ipar duai atau waris kerabat, atau jiran jauh dan dekat atau ketua atau penyokong atau pengikut atau atau atau....yang mempunyai daya sanggup untuk melakukan perbuatan itu.

Maknanya apa? Adakah mereka ini termasuk dalam kategori insan atau paling kurang makhluk ciptaan Allah?

Mereka sendiri yang tahu. Hanya sanya saya berdoa dan mengharapkan bahawa jika mereka orang Islam, semasa  mengambil wuduk untuk solat dengan membasuhi anggota yang disyaratkan maka air yang membasahi anggota tersebut diharapkan akan dapat mencuci bersih kekotoran dihati dan ditangan dan segala anggota yang telah digunakan menyiksa dan menzalimi anak muda tadi. Dan semasa berdoa ke hadrat Ilahi bayangkan juga jika anak atau waris-waris seperti yang saya senaraikan diatas dipukul dan diseksa sedemikian rupa. Kalau anda menangis ianya satu tanda yang baik. Ubahlah cara anda melayan sesama makhluk walaupun semasa itu anda berkuasa. Ingat kuasa anda hanya pinjaman saja dari Allah. Anda masih belum telambat untuk berubah selagi nyawa dikandung badan.

Saya percaya mereka yang bukan Islam juga diajar supaya berlaku baik. Tidak zalim.

Pada hemat saya peristiwa yang jijik, hina dan memalukan itu tidak akan berlaku jika diuruskan oleh mereka yang berhati mulia. Boleh dielakkan jika mereka yang diamanahkan dengan kuasa  mempunyai rasa tangungjawab, perasaan belas ikhsan dan berfikiran matang dan rasional. 

BERSIH 3.0 menuntut sesuatu yang pada pendapat mereka adalah yang hak dan benar. Mereka memilih cara berhimpun di Dataran Merdeka dengan secara 'Duduk dan Bantah'. 

Kerajaan yang berkuasa mengatakan perhimpunan itu adalah sesuatu yang tidak akan menjejaskan keselamatan, sambil masih mengatakan sistem pilihanraya yang ada adalah satu sistem yang adil kepada semua pihak.

Maka ianya merupakan suatu permulaan yang positif bagi dua pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza.

Tetapi apabila kerajaan yang berkuasa, khususnya perdana menteri dan menteri dalam negeri melepaskan tanggungjawab untuk berhadapan dengan perhimpunan BERSIH 3.0 ini kepada DBKL dan Polis maka ianya  sesuatu yang tidak wajar dan amat dikesalkan. 

Cara atau pendekatan kerajaan ini boleh dibaca oleh rakyat terbanyak. Ini adalah satu cara untuk memberitahu kepada rakyat dan dunia bahawa kerajaan dari parti politik BN yang berkuasa tidak menyekat perhimpunan seperti ini, kerajaan BN lebih demokratik. 

Serahkan urusan berhadapan dengan perhimpunan ini kepada penjawat awam yang sifatnya begitu taat dan setia sekali dibawah ikrar "Saya Yang Menurut Perintah".

Namun serahan itu bukan serahan bulat-bulat. Masih dibawah 'remote control' dari yang berkuasa dengan matlamat akhir agar yang berkuasa itu akan dapat menerus dan mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun. By hook or by crook. 'Kamu penjawat awam yang taat lakukannya. Bukankah kamu telah berikrar untuk turut perintah'.

Maka berlakulah apa yang isteri saya bimbangkan jika saya hadir digelanggang. Satu kezaliman.


'Membantah secara duduk pun kena pukul dan rempuh'. Begitulah cerita seharai selepas BERSIH 3.0

Sabtu, 28 April 2012

BERSIH 3.0 HADIR?

Hari ini, Sabtu 6 Jamadilakhir 1433 Hijrah. Tarikh yang ada kepentingan dari segi penciptaan satu peristiwa dalam sejarah negara, yang berkaitan dengan makna keadilan dan saksama dalam satu kaedah pemilihan bagi mengamanahkan urustadbir negara, dimana berbagai kemungkinan akan tercipta kesan dari pertembungan dua pihak yang mempunyai kepercayaan yang berbeza dalam tafsiran dan memberi makna apa itu adil dan saksama.

Hari ini Sabtu, bulan ini Jamadilakhir dalam bilangan hari dan bulan tahun Hijriah 1433 bakal mencipta sejarah. Tapi apakah sejarah yang akan dicipta itu?    

Hari ini Sabtu 28 April 2012 tarikh yang sebahagian orang sedia maklum bahawa satu perhimpunan akan berlangsung di Dataran Merdeka yang digerakkan oleh 84 Badan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organisation) atas nama yang telah disepakatkan sebagai BERSIH 3.0 bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Perhimpunan yang bersimbulkan baju 't' berwarna kuning.

Maka tarikh 6 Jamadilakhir 1433 itu adalah bersamaan 28 April 2012 yang selalunya di tulis, disebut, dibaca dan diatur dengan mendahulukan 28 April 2012 bersamaan 6 Jamadilakhir 1433; atau tarikh bersamaan itu tidak pernah disebut.

Tapi saya tidak bermaksud untuk menceritakan tentang kepentingan penggunaan dua pengukur masa itu. Hanya secara sepintas lalu ingin merakamkan tarikh tahun Hijriah itu sebagai tanda bahawa Perhimpunan Bersih 3.0 itu adalah satu perhimpunan yang mempunyai kepentingan yang terlalu tinggi dalam perjalanan sejarah negara, dan ianya wajar dicatatkan dalam berbagai kalender masyarakat dunia. Saya tahu hanya dua saja kalender maka dualah yang mampu saya catatkan.

Pagi ini setelah menikmati sarapan, saya menyatakan hasrat untuk menghadiri perhimpunan yang bersejarah itu kepada isteri. Jawapannya positif sekali dengan sebutan 'pergilah' beserta dengan anggukan. Cuma ada kata-kata dihujung yang menjadi tandatanya sama ada 'pergilah' itu sebenarnya bermaksud begitu atau 'jangan cari fasal' apabila disambung dengan 'jangan tak balik pulak'. 

Saya faham maksud akan 'jangan tak balik pulak' itu. Ertinya saya mesti sanggup menerima risiko ditahan, ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak yang ada kuasa ketika ini. Atau paling kurang saya akan dihambat, disembur air pewarna, dan jika yang berkuasa berjaya menangkap saya, saya mesti 'redha' dipukul dengan belantan atau apa saja senjata yang mereka guna.

"Papa tu semput", terkeluar dari mulut anak pula, mengingatkan kemampuan saya untuk berlari dan melepaskan diri dari tangkapan yang berkuasa.

Saya bertanya menantu jalan yang paling mudah untuk ke Dataran Merdeka. Beliau menyatakan dengan menaikki LRT menuju Bandar Tasik Selatan ke KL Sentral dan ke Sogo. 

"Betul ke abang nak pergi ni. Abang selalu cakap main-main. Tak serious", isteri mula tunjuk rasa kebimbangan. Saya menyatakan 'ya' . Wajah isteri tidak ceria sambil melontarkan kata-kata 'pergilah', macam ada satu kekesalan.

Mereka semua pergi ke pasar dan saya keseorangan di rumah.

Bersih 3.0 adalah peluang keemasan bagi saya untuk turut bersama secara fizikal melibatkan diri dalam satu tuntutan yang pada pendapat saya akan mewujudkan suatu  suasana persaingan politik yang sihat dalam cita-cita parti politik itu  untuk mendapatkan amanah bagi mengurustadbir negara dalam satu sistem pilihanraya yang adil dan besih demi kesejahteraan rakyat dan negara. Maka mengapa perjuangan yang murni ini disia-siakan. Dulu semasa menjadi mahasiswa , saya juga turut serta dalam demonstrasi menyatakan kebencian terhadap penyelewengan kerajaan. Perjuangan BERSIH 3.0 juga perjuangan menentang penyelewangan.

Saya dapati kerajaan yang berkuasa sekarang ini masih lagi bersikap keras terhadap rakyat. Sama seperti dulu walaupun ada sedikit kemajuan. 

Sikap untuk berkeras dengan pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza adalah satu sikap yang telah jauh ketinggalan zaman. Apatah lagi jika sikap itu terbentuk atas dasar untuk mempertahankan kuasa dengan  apa cara sekali pun kerana kuasa yang ada terlalu penting bagi menjamin 'kesenangan dan keselamatan diri dan anggota kumpulan yang berkuasa. Kerana kuasa itu adalah pemberi kemakmuran dan pelindung keselamatan diri. Penyelewangan dan salah guna kuasa memerlukan kesinambungan kuasa.

Inilah yang melahirkan bibit-bibit kebencian rakyat kepada yang berkuasa sehingga bibit-bibit itu bercambah menjadi satu tenaga yang menyatupadukan rakyat bagi menggantikan kerajaan dalam satu pilihanraya.  

Dalam satu sistem pilihanraya yang boleh dipermainkan? Dalam satu kaedah pilihan yang boleh menjanjikan kemenangan? Daftar pemilih mesra penguasa? Jentera penggerak pilihanraya yang hanya tahu memihak  kepada yang berkuasa? Saluran hebahan rakyat yang hanya memberi peluang kepada penguasa? Rasuah politik dengan berbagai peruntukan segera dan serta merta diluar dari amalan hari-hari biasa?  

Itu adalah diantara banyak persoalan-persoalan yang telah melahirkan 8 tuntutan Perhimpunan Bersih 3.0 bagi satu pilihanraya yang adil dan bersih.

Pada pendapat saya, respons kerajaan sepatutnya tidak keras dan negatif. Sepatutnya kerajaan meminta pihak BERSIH menunjukkan bukti yang mengatakan pilihanraya tidak adil dan tidak bersih. 

Jika dapat dibuktikan bukankah ianya memberi kebaikan kepada semua pihak kerana kita bakal mempunyai satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih dalam memilih peneraju negara. Bukankah itu yang kita mahu? Adakah kita mahu mereka yang menang itu adalah diperolehi  melalui jalan yang tidak adil tidak bersih. Pendek kata menipu. Jika membentuk kerajaan, jadi kerajaan yang menipu lah. Tidak boleh begitu. Rosak harta negara.

Tapi jika BERSIH tidak dapat membuktikan akan tuduhan bahawa sistem pilihanraya kita tidak adil dan penuh penyelewangan, dan segala atau sebahagian yang dikatakan itu adalah ciptaan untuk menipu, mengeliru dan merosakkan fikiran rakyat maka BERSIH wajar didakwa. Sumbatkan mereka ke dalam penjara jika didapati bersalah.

Jadi kerajaan tidaklah perlu mengeluarkan amaran demi amaran supaya orang tidak berhimpun. Tidak perlu membina pagar berduri disekeliling Dataran Merdeka bagi menghalang perhimpunan 'Duduk Bantah'. Terlalu tidak wajar meminta pengistiharan dari mahkamah melarang orang memijak tanah di Dataran sejarah.

Sesiapa pun yang berfikiran siuman akan membaca tindakan kerajaan itu bersifat melindung diri. Melindung sesuatu yang disorok-sorok. Jadi kalau berlindung dan menyorok maka ianya membawa satu makna dan tafsiran bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Macam orang menyorok barang jualan seperti CD cetak rompak atau dadah yang diseludupkan dengan cara memasukkan didubur. Baunya sudah tentu busuk. Yang pasti ianya tidak bersih, najis. Sudah tentu kerajaan tidak menginginkan taraf dan sifat seperti itu.

Sepatutnya kerajaan dan agensi kerajaan seperti Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur mengambil pendekatan yang lebih positif lagi demi kebaikan agensi/DBKL dan juga semua pihak. DBKL dan polis mesti bertindak sebagai pemudah cara bukan menyusahkan. Bukankah sikap dan sifat seperti itu yang menjadi kata-kata/selogan pegangan yang selalu dilaung-laungkan oleh kerajaan? Aplikasikanlah selogan itu dalam bentuk amalan.

Apa yang wajar dibuat? Jadikan perhimpunan BERSIH 3.0 itu sebagai satu acara rakyat. Galakkan orang datang berhimpun dan mengunjungi Kuala Lumpur. DBKL keluarkan lesen berniaga kepada yang berminat misalnya menjual air minuman berbagai jenis, pakaian, makanan dan berbagai lagi dengan dikenakan bayaran yang munasabah, termasuk meminta deposit. Labur deposit itu dalam REPO. Bukankah boleh menambah  hasil. 

Secara bergurau saya suka menyatakan bahawa perhimpunan 'Duduk Bantah' ini adalah seiring sejalan dengan singkatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu DBKL. Apa yang seiring? 'DBKL boleh juga bermaksud 'Duduk Bantah Kuala Lumpur'. Macam mana Datuk Babdar? Jom ke Dataran Merdeka. Kalau Datuk Bnadar kesana , dawai berduri sudah tentu boleh dilalui.

Polis pula membantu memudahkan laluan dan menjaga keselamatan. Pihak polis boleh meminta sejumlah deposit dari penganjur atas kadar yang munasabah misalnya berdasarkan bilangan peserta yang datang berhimpun. Jika dianggarkan ramai maka tinggilah deposit itu. Syaratkan deposit itu boleh dituntut dan dibayar balik jika tiada pelanggaran syarat-syarat yang telah ditetapkan, dan ianya hanya akan  dikembalikan dalam tempoh sebulan dari tarikh acara. Dengan demikian deposit itu boleh dilaburkan dalam pasaran kewangan jangka pendek  (REPO) untuk mendapatkan hasil kerajaan.

Jika itulah pendekatan yang diambil kita tidak menimbulkan masalah dan tidak perlu bersusah dan berbalah. Kita mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Ramai pelabur dan pelancung akan datang. Negara kita menjadi mewah. Rakyat senang.

Jadi perlukah saya hadir? Sudah 12.44 tengah hari. Berhimpun 2 petang. Eeeeh ada jemputan kahwin pula. Yang ini wajib hadir.


 

      

Rabu, 25 April 2012

AKAN KU PETIK BINTANG DI LANGIT (Satu Harapan Mendahului PRU 13)

Akan Ku petik bintang-bintang di langit 
Itu janji dan hasrat dihati

Sebermula dulu aku dan ayah serta ibu
abang adik yang sudah matang dewasa
bersama keluarga dan sahabat handai, ipar duai 
berduyun-duyun menaikki bahtera belayar di laut biru
kerana itulah yang kami diberitahu
jalan dan kenderaan yang paling  selamat dan cepat
menuju matlamat.

Namun
terkedu juga suatu ketika
bahtera dipukul ombak tersadai di persisiran

Maka aku dan ayah serta ibu
dan semua yang bersekutu
diajak bersama 
mengenali neraca pula
kerana katanya 
itulah saja perhitungan yang ada
untuk matlamat yang sama

Pada perhitungan ini juga
aku dan ayah serta ibu
dan semua yang setia
terkedu dan tersendu 
teresak-esak 
menangis tidak berlagu
kami tersadai jua
tidak sampai kemana

Dan sekarang
ketika ini 
Aku sudah tahu 
dan semakin tahu
ada jalan lain rupanya
ada kenderaan lain
untuk ke sana
ke satu matlamat yang lebih mulia.

ke mana destinassi yang mahu dituju?

Aku dan waris-warisku 
mahu ke bintang-bintang yang memagari bulan purnama
kerana disana ada cahaya
menerangi pangkal hingga ke hujung

Kami yakin tidak akan tersadai lagi
kerana 
kami ada roket
kami ada mata  yang mengarah pandu
kami tekad mahu ke sana
memetik bintang yang memagari bulan
cahayanya sungguh indah, sungguh cantik
menerangi perjalanan kami
ke satu destinasi yang lebih mulia.

Akan ku petik bintang-bintang di langit itu
pada musim yang ketiga belas nanti. 
  
   
 

Isnin, 23 April 2012

Polis Yang Ditakuti

Perasaan takut ini ada pada setiap insan. Biasanya perasaan takut itu timbul apabila kita merasakan tidak selamat; apabila kita merasakan suatu pihak itu mempunyai kuasa atau kelebihan dari kita; apabila kita tidak nampak akan sesuatu itu tetapi digambarkan melalui penceritaan kepada kita akan bentuk fizikal yang besar , hodoh, rambut panjang, gigi bertaring, mata merah menyala dan berbagai rupa yang serba hodoh disertai dengan  sifat ganas, garang, jahat, menghisap darah dan berbagai lagi; apabila kita menjadikan pihak itu sebagai alat untuk menakut-nakut bagi memudahkan urusan kita.

Contoh takut disebabkan rasa tidak selamat ialah perjalanan ke sesuatu destinasi dengan menggunakan pesawat udara. Ramai orang amat takut atau tidak berani menaikki kapalterbang untuk ke sesuatu destinasi. Katanya kemalangan yang berlaku tidak akan dapat diselamatkan. Sebab itu jika ada pilihan kapalterbang tidak akan digunakan. Kalau terpaksa juga maka bermula dari menjejak kaki ke dalam pesawat, semasa berada dalam pesawat dan sehingga kapal terbang mendarat perasaan takut itu menguasai diri orang itu. Berbagai doa dan bacaan terkumat kamit keluar dari mulutnya memohon perjalanan itu selamat.

Sekiranya penerbangan dalam cuaca yang buruk yang terpaksa menghadapi 'air pocket', akan menambahkan lagi kepercayaan orang semacam ini bahawa naik kapal terbang tidak selamat. Sudah tentu mukanya pucat lesi dalam keadaan 'air pocket'. Muntah sudah pasti.

Takut yang kedua ialah terhadap orang yang berkuasa misalnya antara murid dengan guru disiplin atau guru besar atau antara orang bawah dengan bosnya. Tambahan pula yang berkuasa itu terlalu cengeh, tak boleh silap sikit, akan dikenakan hukuman diatas kesilapan itu.

Ketiga, takut atas sesuatu yang dia sendiri tidak pasti akan wujudnya pihak yang ditakuti. Cuma yang dia tahu adalah melalui penceritaan yang menggambarkan sesuatu perwatakan yang menggerun serta menakutkan. Satu watak yang digambarkan sebagai hodoh dan jahat, tetapi tidak pernah dia melihat wajah watak itu. Dalam kata lain ialah takut kepada 'hantu'. Tempat-tempat gelap, rumah kosong yang telah lama ditinggalkan dan pokok-pokok yang mempunyai batang yang besar dari segi lilitan serta rendang adalah diantara tempat yang dikatakan hantu suka tinggal.

Selain dari itu ada juga tempat seperti yang dinyatakan telah sedia ada penunggu. Maka sesiapa yang melalui atau berada dikawasan itu hendaklah memohon maaf dan meminta izin dengan berkata "maaf datuk anak cucu nak tumpang lalu". Begitulah takutnya orang kepada hantu/penunggu itu.

Akhir sekali, tetapi bukan hanya setakat ini saja sebab mengapa orang merasa takut, banyak lagi, adalah menimbulkan rasa takut untuk memudahkan sesuatu urusan. Contoh yang paling mudah ialah untuk menghalang anak-anak dari melakukan kenakalan atau supaya anak/orang itu turut arahan atau perintah. 

Bagaimana cara dan siapa/pihak mana yang menjadi alat? Banyak pihak  sebenarnya yang menjadi alat tapi yang biasa digunakan ialah polis. Anggota polis ini semenjak dulu sehingga kini adalah pihak yang sentiasa ditakut-takutkan terutama oleh ibubapa sebagai cara untuk menghalang anak-anak dari melakukan sesuatu yang tidak digemari oleh ibubapa. Maka ibubapa akan mengatakan "jangan pergi kesitu, nanti polis tangkap". Anak-anak itu yang memang sudah kenal dan tahu apa itu polis, apabila saja nampak polis akan berkelakuan seperti yang dikehendaki oleh ibubapa. Bukan itu saja, pada waktu yang lain ketika tiada bayangan polispun, apabila saja ibubapa mengatakan "jangan buat nanti polis akan tangkap" , anak-anak itu akan turut perintah.

Maka telah diwujudkan satu kepercayaan bahawa polis itu mesti ditakuti. Polis bukan tempat untuk mendapat perlindungan. Tambah-tambah lagi ada personaliti polis memberi gambaran seperti itu.

Cara menakutkan seperti itu hanya bagi anak-anak kecil saja. Apabila mereka sudah membesar, mereka tidak makan saman lagi dan tidak takut kepada polis.
 
Namun begitu, perlakuan-perlakuan takut kepada polis ini masih kedapatan dikalangan selain dari kanak-kanak tadi. Misalnya yang berkaitan dengan peraturan/undang-undang yang melibatkan hukuman. Misalnya dari segi melebihi had laju panduan, melanggar lampu isyarat dan memakai tali keledar ketika memandu. Dalam hal-hal tersebut jika dirasakan ada pihak polis mengawasi maka peraturan-peraturan jalan raya itu akan dipatuhi kerana takut kena tangkap dan disaman. Sebaliknya jika dirasakan tiada polis yang mengawasi maka pemanduan kereta akan melebihi had yang ditetapkan, lampu isyarat berhenti dilanggar dan tali keledar tidak dipakai. Maka polis saja yang ditakuti bukan soal kecederaan atau kemalangan.

Pada masa ini pula perasaan takut kepada polis ini bagi setengah pihak sudah bertukar menjadi benci, meluat, tidak dipercayai dan tidak langsung disegani. Ada banyak sebab jadi begitu.

Polis ditakuti adalah satu fenomina yang masih kekal tapi tidak sewajarnya begitu.

Polis sudah menjadi pihak yang dibenci juga patut ditangani.

Cuma saya hanya ingin berkata "Jangan takut kepada polis. Jangan juga benci kepada mereka". Dan ingin menambah "Takutlah kepada Allah kerana Allah lah yang maha berkuasa".

Dan polis sebenarnya menjalankan kuasa yang diamanahkan maka kita tidak perlu takut dan benci. Hanya sanya polis jangan salahguna kuasa nanti semua orang benci.
 
 

Ahad, 22 April 2012

PTPTN dan Pendidikan Percuma

Bagi saya perjuangan mahasiswa itu tidak salah, bukan satu tindakan yang hina, jauh sekali menderhaka kepada negara. 

Tapi mengapa mereka dihina dan dicerca, ditekan dengan ugutan, dicedera, ditangkap oleh penguasa dan dirosak musnah dan dirampas khemah mereka? Saya ada jawapan yang rengkas : kerana yang melakukan itu mempunyai kuasa dan tidak ada sifat kasih sayang dan timbangrasa.

Pelajar-pelajar itu dihina dengan kata-kata jika PTPTN dihapuskan kita akan menghasilkan pelajar bertaraf rendah kerana tidak ada motivasi untuk belajar. Sebab pelajaran diperolehi dengan percuma. Ada yang mengatakan mereka tidak mengenang budi. Yang paling teruk sekali adalah apabila mahasiswa itu dicedera oleh samseng-samseng, mereka tidak langsung dapat perlindungan dari pihak keselamatan seolah-olah nyawa anak-anak muda itu boleh dikorban begitu saja, jadi sembelihan memuaskan nafsu  samseng dan orang jahat itu. Paling kecewa sekali apabila menteri pendidikan tinggi begitu seronok membuat perlian yang membawa maksud 'siapa  suruh mereka berdemonstrasi dan berkhemah. Padan muka'.

Ya, padan muka mereka! Itu kata-kata dari orang yang ada kuasa. Itu kata-kata dari orang yang tiada perasaan kasih dan timbang rasa. Itu kata-kata dari orang yang hidup mewah. 

Anak-anak mereka tidak pernah tahu betapa seksanya beban membayar hutang. Dan jika pun bapanya dapat pinjaman, bukan pinjaman untuk perkara asas seperti pelajaran, tapi pinjaman bagi menambahkan kemewahan seperti pinjaman projek lembu, pinjaman yang diperolehi adalah bersyarat dan berterma mudah, boleh dipergunakan apa saja yang dimahui oleh nafsu mereka. Tapi mereka masih lagi selamat, dibela dan dipertahankan, sudah tentu dari yang berkuasa walaupun ianya salah dari berbagai sudut : moral dan undang-undang negara.

Apabila para pelajar berkeinginan sangat untuk menyampaikan memorandum kepada yang berkuasa , memohon pertimbangan apalah kiranya pelajaran mereka dibiayai langsung oleh negara, hasrat itu langsung tidak dapat layanan yang diharapkan, ditolak. Malah untuk berjumpa dengan pelajar tidak menjadi niat dihati.

Maka sudah tentu pelajar itu merasa terhina dan kecewa. Sakit hati?  Ya, hati pelajar itu terlalu sakit gamaknya sehingga sanggup memberi satu kalongan bunga setiap satu kepada pemimpin yang berkuasa itu. Kata pelajar tindakan itu adalah simbolik.

Saya tidak bersetuju tindakan yang diambil oleh pelajar itu. Walau dalam apa keadaan sekalipun, mereka adalah pemimpin, kita wajar hormat; mereka adalah insan seperti kita, ada perasaan , kita wajar menjaga tingkah laku kita agar tidak melakukan perbuatan yang melampau yang boleh menimbulkan rasa marah. Perbuatan pelajar itu adalah melampau. Namun saya memahaminya.

Jadi para pelajar dan ibubapa yang memperjuangkan supaya PTPTN ini dihapuskan, teruskan perjuangan mulia itu. Bukan untuk kepentingan anda saja bahkan untuk kepentingan waris kita yang akan datang. Kita tidak mahu mereka juga akan terbeban dengan hutang pendidikan. 

Dalam masa yang sama  anda sedia maklum atau telah maklum bahawa kerajaan yang berkuasa sekarang tidak mempunyai niat untuk memberi pendidikan percuma. Dengan demikian, anda, disebabkan tidak mempunyai keupayaan kewangan, terpaksa perlu terus menggunakan pinjaman PTPTN . Sebagai pinjaman anda wajib membayarnya. 

Perjuangan anda wajar diteruskan hingga berjaya. Ketika ini ada pula pihak yang mahu berkuasa mempunyai fikiran yang sama seperti anda iaitu akan menawarkan pendidikan percuma jika dipilih mengambil kuasa dalam pilihanraya ke 13 akan datang ini. Undilah mereka, bekerjasama dan kempenlah untuk mereka. Dan jika mereka mungkir janji , humbankan mereka seperti niat anda untuk menghumban kerajaan yang berkuasa ketika ini. Anda boleh melakukan jika anda sudah menjadi pengundi yang berdaftar. Berdaftarlah segera, jika belum berbuat demikian. Kalau tidak perjuangan anda tidak sampai kemana.

Kerajaan yang berkuasa sekarang sewajarnya memberi pendengaran kepada perkara yang dicadangkan oleh para pelajar itu. Memberi pendengaran, saya rasa sedikit sebanyak boleh memberi fahaman kepada pelajar akan implikasi kewangan yang terlibat jika pelajaran percuma diberikan. Tidak memadai menyatakan itu di media massa saja kerana tidak ada hubungan yang bersemuka. 

Bercakap fasal implikasi kewangan yang dinyatakan kerajaan sebanyak RM43 billion  yang perlu ditanggung, jumlah ini wajar diperincikan dalam persemukaan dengan para pelajar. Biar mereka tahu dan sedar. Biar mereka teliti, analisis dan kaji. Saya percaya jika pelajaran percuma itu terlalu membebankan negara sehingga merencat pembangunan dan perkhidmatan yang lain, pelajar-pelajar itu adalah manusia yang rasional sudah tentu dapat menerimanya.

Hanya sanya kerajaan wajar juga menerangkan kepada pelajar akan rasional menghapuskan hutang bekas pengerusi MAS sebanyak RM589 juta; pinjaman national feedlot RM250 juta; dakwaan rasuah yang melibatkan pembelian kapal selam selam scorpene banyak lagi salah guna kuasa yang menyebabkan kerugian wang negara misalnya pemberian dan pembelian balik konsessi lebuhraya dan langkah menyelamatkan perniagaan anak pemimpin negara yang pernah berkuasa dulu yang melibatkan RM1.8 bilion; dan lain-lain lagi.

Mahasiswa juga adalah manusia yang berakal dan rasional yang dapat membandingkan diantara perbuatan yang jelek dengan yang murni, dan sudah tentu mampu membuat pilihan.

Jika itu dilakukan dan kerajaan berjaya membuktikan apa yang dilakukan tidak merugi dan membebankan negara khususnya tidak membebankan kewangan pelajar apabila tiba masanya untuk membayar pinjaman maka  asas kerajaan dalam mempertahankan PTPTN saya percaya akan mendapat sokongan.

Bagaimanapun saya berpendapat, PTPTN dan yang sefungsi dengannya sepatutnya menjadi sumber pembiayaan bagi mereka yang belajar diinstitusi pendidikan swasta tempatan. Mereka yang belajar di institusi pendidikan awam wajarlah diberi pendidikan percuma. Gunakanlah PTPTN bagi tujuan itu.



  


Sabtu, 21 April 2012

PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan Pendiikan Tinggi Percuma

PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar-pelajar untuk mendapatkan pendidikan tinggi sama ada di universiti/kolej awam mahupun swasta. PTPTN diuruskan oleh kerajaan. Maknanya kerajaan menyediakan pinjaman untuk mendapatkan pendidikan. Maknanya juga dari segi kerajaan pendidikan tinggi perlu dibayar, ianya bukan percuma walaupun pendidikan itu diberikan oleh institusi pendidikan awam. Jangan ditanya institusi pendidikan swasta, otomatik kena bayar. Malah PTPTN adalah baja yang tersangat mujarrab dalam menyubur dan membiakkan institusi pendidikan swasta ini.

Sengaja saya memulakan paparan seperti itu supaya semua pihak jelas akan duduk perkara yang bersangkutan dengan PTPTN. 

Dengan demikian kita kena terima hakikat bahawa PTPTN memberi pinjaman dan tiada pendididikan tinggi percuma. Itu adalah pegangan kerajaan sekarang.

Jadi apabila meminjam maka wajib dibayar. Membayar balik sesuatu pinjaman ada asas moral dan agama.


Agama Islam, dan saya percaya agama dan kepercayaan yang lain juga meletakkan tanggongjawab membayar pinjaman.  Jika tidak membayar maka dihukum berdosa dan dituntut diakhirat melainkan jika si pemberi hutang bersetuju untuk menghalalkannya. Orang yang tidak ada maruah saja yang tidak mahu bayar hutang.

Dan semua pihak mesti menerima prinsip bahawa bayar atas pinjaman ini mesti berlaku atas semua
hutang/pinjaman. Bukan  PTPTN saja.

Jadi perbincangan paparan saya adalah dalam rangka yang diperkatakan iaitu PTPTN adalah pemberi pinjaman pendidikan tinggi; setiap hutang wajib dibayar; dan tiada pendidikan tinggi percuma adalah pegangan kerajaan yang berkuasa ketika ini. Perbincangan ini juga bergerak atas landasan reaksi-reaksi dari berbagai pihak terhadap tuntutan dari para pelajar itu. 

Hal pertama iaitu PTPTN adalah pemberi pinjam pendidikan tinggi yang diurus oleh kerajaan sudah sedia dimaklumi oleh semua pihak. Saya tidak mahu menyusurgalur ceritanya.

Semua hutang mesti dibayar, hal kedua. Saya percaya semua orang yang beragama dan mempunyai moral  yang baik berpegang kepada prinsip ini termasuk mahasiswa  yang berdemonstrasi meminta PTPTN dihapuskan.

Hal pertama dan kedua akan digaulkan bersama dengan hal ketiga iaitu bukan menjadi satu kepercayaan kerajaan sekarang ini untuk memberi pendidikan percuma.

Berbagai pihak memberi reaksi terhadap desakan mahasiswa ini. Secara amnya ada dua bentuk reaksi iaitu i) reaksi yang menyokong yang terdiri dari kalangan pelajar walaupun ada juga pelajar yang menyatakan tidak bersetuju dan ii) reaksi mahu mengekal dan meneruskan PTPTN dari pihak kerajaan termasuk sebahagian besar penyokong BN terutamanya UMNO.

Saya katakan bahawa pelajar termasuk ibubapa yang mendesak untuk menghapuskan PTPTN itu adalah mereka yang beragama dan mempunyai moral yang baik. Mereka warga yang bertanggungjawab. Mereka tahu setiap hutang mesti dibayar. Tetapi malangnya ada pihak atas kepentingan yang mereka sendiri tahu  telah membuat satu gambaran yang amat jelek dan mengelirukan mengatakan pelajar dan ibubapa itu tidak mahu membayar hutang PTPTN.

Maka seperti biasa, hal-hal yang menyebelahi kerajaan akan disebarluas oleh media dibawah takluk kerajaan dengan memberi tokok tambah yang tidak bernilai  (non value added) bertujuan mempengaruhi minda rakyat supaya  percaya bahawa pelajar-pelajar itu mahu mengelak dari membayar pinjaman. Bagi saya itulah pembohongan yang nyata. Tapi sungguh menghairankan ada yang percaya. Dahsyat sungguh!

Mereka tidak tahu membezakan diantara berjuang untuk menghapuskan PTPTN dengan  keengganan membayar pinjaman dari perbadanan itu. Ianya dua perkara yang berbeza.

Mahasiswa mahu PTPTN dihapuskan. Itu jelas. Perjuangan itu berasaskan kepada falsafah bahawa negara bertanggungjawab memberi pendidikan percuma. Soal membuat pinjaman sepatutnya tidak timbul dalam hal mendapat pendidikan di institusi pendidikan awam. Maknanya PTPTN atau yang sefungsi dengannya tidak relevan dalam hal pendidikan di institusi pendidikan awam.

Pendidikan adalah asas yang terlalu penting dan utama dalam pembinaan dan pembentukan warga yang berguna. Tidak ada maknanya kata-kata yang mewarwarkan kepentingan modal insan jika apa yang dilakukan kerajaan sekarang ini tidak langsung menunjukkan kedudukan seperti itu. Kerajaan tidak berpegang kepada pendidikan percuma.

Ada pula mulut yang celupar yang terdiri dari bekas pemimpin besar dan pemimpin yang berkuasa ketika ini menyatakan bahawa kalau tidak bersetuju dengan PTPTN maka kembalikan semula wang yang telah diterima. Ada perasan ke orang semacam ini?

Mereka yang mulut celupar dan tiada perasaan kasih sayang ini sudah banyak tergelincir dari persoalan asas yang diperjuangkan oleh mahasiswa iaitu pendidikan percuma.

Anak-anak muda ini  dahagakan ilmu dan mahu membina diri untuk menjadi warga negara yang berguna namun tidak mempunyai keupayaan kewangan. Mereka orang miskin dan susah. Sebab itu mereka terpaksa meminjam kerana diatas kegagalan kerajaan menyediakan pendidikan percuma.

Oleh kerana pengalaman menzahirkan bahawa pinjaman itu membebankan maka menjadi tanggungjawab mereka memperjuangkan agar pemberi pinjaman ini (PTPTN) dihapuskan. Apatah lagi mereka percaya bahawa pendidikan percuma adalah tanggungjawab kerajaan yang telah diberi amanah mentadbirurus negara. Perjuangan mereka bukan atas kepentingan diri tapi untuk semua pelajar dan bakal-bakal pelajar diinstitusi pengajian awam.

Bagi orang miskin terutama dari kampong hutang adalah membebankan. Apabila tamat saja pendidikan, harapan diri dan keluarga terlalu tinggi. Pertama dapat kerja untuk menyara diri. Kedua membantu ibubapa dan adik beradik yang begitu ramai dalam berbagai keperluan.

Adakah tidak menjadi beban untuk membayar pinjaman pendidikan itu? Sudah tentu ianya satu beban kerana mereka mahu membayar. Sebab itu mereka desak supaya pendidikan diberi percuma.

Bagaimana pula mereka yang tidak dapat kerja?  Sesungguhnya PTPTN membebankan.

Tidak ada soal tidak mahu membayar pinjaman.

Salahkah perjuangan mereka? Hinakah perjuangan mereka? Menderhakakah mereka kepada negara? Kenapa mereka dibuat sebegitu rupa, diserang dan dicedera dan dihina? Apakah penguasa yang menyalahgunakan harta negara itu lebih mulia dan tidak menjejaskan keupayaan kewangan negara? Hanya memberi pendidikan percuma boleh membebankan kewangan negara?

Persoalan-persoalan diatas adalah tercetus sebagai respons kepada berbagai tindakan berbentuk fizikal dan kata-kata serta ulasan dari para penguasa serta penyokong terhadap desakan mahasiswa ini.

Bersambung untuk jawapan/perbincangan keatas persoalan-persoalan itu.

Rabu, 18 April 2012

Kamera Mengeluarkan Saman Kesalahan Jalanraya

 Diberitakan bahawa dua buah syarikat telah ditawarkan untuk membekal dan memasang kamera di lebih dari 680 kawasan jalan raya bertujuan untuk merakam kesalahan jalanraya yang dilakukan oleh pemandu kenderaan dan seterusnya untuk dikeluarkan saman atas kesalahan yang dibuat oleh pemandu berdasarkan kepada rakaman kamera itu. Syarikat-syarikat tersebut akan diberikan bayaran sebanyak 17 peratus dari hasil saman nanti.

Perincian mengenai modes operandi pengeluaran saman ini tidak  pula saya maklumi. Dengan itu pandangan saya tentang saman berdasarkan rakaman kamera ini mungkin tidak tepat . 

Tapi apa yang hendak saya tumpukan ialah tentang tanggongjawab keselamatan jalanraya telah di jual kepada pihak swasta. Maknanya matlamat untuk menentukan keselamatan di jalanraya telah menjadi satu sumber pendapatan. Dengan kata lain, saman yang akan dikeluarkan nanti bukalah bermatalamat untuk menghukum pesalah semata-mata tapi untuk meraih pendapatan. 

Bagi pihak swasta, pendapatan itu hanya memberi makna kepada perniagaan mereka jika ianya membawa keuntungan. Hukuman hasil dari saman yang di keluarkan nanti, akan menjana satu pendapatan yang menguntungkan kepada syarikat-syarikat berkenaan. Jika tiada keuntungan tidak mungkin syarikat-syarikat itu berani melabur dalam menyediakan kamera itu. Ertinya syarikat telah mempunyai unjuran statistik kesalahan jalanraya yang akan dilakukan oleh pengguna jalan raya berdasarkan statistik yang lepas. Ianya sungguh lumayan, barangkali. Apakan tidaknya kerana kita sentiasa mendengar berita pesalah-pesalah jalanraya yang beratur panjang untuk membayar saman disaat-saat akhir tamatnya tempoh pembayaran. Berjuta-juta ringgit telah dapat dikutip.

Saya berpendapat bahawa mengeluarkan saman kesalahan jalanraya adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan bukan untuk membuat hasil dan keuntungan. Bayaran keatas hukuman itu hanya semata-mata untuk mengingatkan kepada pesalah jalanraya supaya jangan melakukannya pada masa depan. Nampaknya dengan perubahan yang akan berlaku tidak lama lagi Kerajaan telah mewujudkan satu lagi perniagaan atas nama keselamatan jalanraya. 

Swasta lagi! 

Sesungguhnya Kerajaan sekarang ini berfikir lebih condong kepada dunia korporat, dunia perniagaan. Serahkan saja tanggungjawab kepada swasta terutama yang boleh menjana keuntungan.

Tapi tidak mengapa. Rakyat janganlah marah sangat kepada kerajaan kerana prinsip penswastaan itu sudah menjadi darah daging. Biarkanlah. Suatu hari nanti , kerajaan sendiri akan menswastakan dirinya.  Macam mana? Saya pun tidak tahu.

Hanya sanya rakyat sendiri perlu memberi reaksi yang positif. Bagaimana? Senang saja. Jangan lakukan kesalahan jalan raya. Maka tiada saman yang akan di keluarkan. Tiada saman bermakna tiada bayaran. Tiada bayaran bermakna tiada pulangan kepada syarikat. Maka tidak berbaloi atau rugilah pelaburan syarikat itu yang bertujuan mahu menggunakan kesalahan jalan raya sebagai sumber perniagaan untuk membuat untung. 

Kalau berlakulah seperti itu, iaitu syarikat rugi, adakah kerajaan terpaksa mengambil balik tugas merakam kesalahan jalanraya bagi tujuan mengeluarkan saman itu? Dan adakah syarikat yang rugi itu akan diselamatkan dengan apa cara diatas pelaburan yang merugikan misalnya kerajaan membayar harga kamera yang telah dipasang serta kos-kos yang berkaitan? Cuba cari beberapa contoh yang telah dan sedang berlaku. Hanya masa akan dapat memberi jawapan.

Tapi sekali fikir takkan syarikat yang pandai berniaga itu tidak memikirkan risiko kemungkinan tiada orang yang akan melakukan kesalahan jalanraya. Mungkinkah syarikat menjangkakan keberangkalian seperti itu dari segi peratusannya terlalu kecil. Maknanya yang akan membuat kesalahan di unjurkan melebihi dari yang menurut peraturan jalan raya. Kalau begitu, sewajarnya mereka itu di hukum. Cuma bukan dihukum dalam bentuk penswastaan. Kerajaan bertanggungjawab melakukannya. Tidak wajar diswastakan.

Bagaimana pula dengan tugasan anggota polis trafik dan petugas JPJ yang bersangkutan dengan penguatkuasaan kesalhan jalanraya? Adakah mereka ini di gunakan untuk tugasan lain?

Bagi saya sama ada dua syarikat itu memperolehi hak membekal dan memasang kamera bagi merakam kesalahan jalanraya untuk tujuan pengeluaran saman secara tender terbuka atau runding terus atau apa saja cara bukan satu persoalan asas. Soalnya mengapa kerajaan perlu menyerahkan tugasan itu kepada syarikat? Adakah disebabkan pertimbangan kos? Mengapa pula ada syarikat yang sanggup menerima tugasan itu? Adakah atas dasar membantu kerajaan untuk mengatasi beban kos? Atau mahu buat untung!  Dengan ini maka konsep atau sasaran kerjasama atas dasar 'menang menang (win win) boleh terjalin'. Semua pihak untung. Benarkah begitu?

Jadi sekali lagi saya harapkan rakyat jangan marah. Bertindak secara positif seperti yang telah disarankan diatas. Cuma kerajaan jangan pula jadi penyelamat pada akhirnya keatas syarikat itu.







Isnin, 16 April 2012

Pelajaran Yang Berguna Dari Negara Mat Salleh dan Uncle Den

Uncle Den adalah seorang sahabat. Seorang sahabat yang sudah menjadi mendiang tanpa meninggalkan warisan kerana beliau tidak pernah berumahtangga. Difahamkan beliau asalnya seorang paderi Roman Katholik. Tetapi saya mengenali beliau semasa beliau telah melepaskan tugasan sebagai paderi. Namun saya dapati beliau adalah seorang yang taat kepada ajaran agamanya. Dalam masa yang sama juga beliau tidak pula berminat untuk berbincang fasal agama. Nampaknya beliau mengambil pendirian bahawa agama itu adalah pilihan masing-masing orang.

Saya mengenali uncle Den melalui biras saya yang menjadikan uncle Den itu sebagai bapa angkatnya semasa beliau belajar di United Kingdom (UK) suatu tempoh dulu. Perhubungan mereka berterusan dan terlalu rapat sehingga uncle Den meninggal dunia. Setiap musim sejuk (winter) di England, uncle Den akan muncul di Kuala Lumpur tinggal bersama dengan biras saya dan keluarganya. Katanya dalam usia yang telah lanjut , tujuh puluh lebih, beliau tidak sukakan winter, terlalu sejuk baginya terlalu bisa sehingga meresap ke tulang. Jadi seperti burung dari khutub utara di musim sejuk akan terbang ke kawasan dunia selatan yang lebih panas. Begitulah yang dilakukan oleh uncle Den. Biasanya beliau akan tinggal di Malaysia dalam tempoh tiga bulan, dan ada masanya tempoh itu dilanjutkan.

Begitulah setiap tahun rutin yang beliau lakukan. Di Kuala Lumpur beliau mendapat layanan seperti ahli keluarga oleh biras saya itu. Jadi tidak hairanlah hati uncle Den terikat dengan pekerti yang ditunjukkan oleh keluarga biras saya itu. Beliau sentiasa ceria bila berada disini, dan tidak pernah lupa akan tanggungjawab agamanya untuk ke gereja pada setiap hari Ahad.


Sebelum saya berpeluang belajar di UK, hati saya selalu bertanya mengapa pula uncle Den lari dari musim sejuk sedangkan itulah yang ramai diantara kita berangan-angan untuk menikmati suasana musim sejuk, misalnya untuk bermain atau sekurang-kurangnya melihat salji. Malaysia adalah terlalu panas. Panas sepanjang masa yang membuatkan kita terlalu rimas sekiranya tidak ada arus letrik untuk memusingkan kipas atau menghidupkan penghawa dingin mendinginkan tubuh badan. 


Aneh sekali kita ini, maksud saya, manusia ini, kerana jarang sekali kita menghargai apa yang kita ada. 


Ditakdirkan Allah saya berpeluang melanjutkan pelajaran di England. Bersama keluarga, kami begitu teruja sekali untuk merasai kehidupan disana. Apatah lagi untuk dapat bertemu dengan uncle Den. 

Perkara pertama yang saya belajar ialah betapa bercintanya untuk mengambil wuduk terutama dimusim winter. Sejuk alang kepalang walaupun menggunakan air panas suam. Semasa dan ketika itulah saya teringatkan Malaysia dan mula memahami mengapa uncle Den tidak suka musim sejuk.  

England bagi saya adalah sebuah negara kebajikan. Berbagai bantuan dan pertolongan diberikan kepada warganya. Satu daripadanya adalah faedah bagi mereka yang tidak bekerja yang dikenali sebagai employment benefit. Bantuan-bantuan lain adalah seperti bantuan untuk anak-anak (child benefit), bantuan susu percuma dan lain-lainya. Bantuan-bantuan ini juga di nikmati oleh bukan warga negara termasuk pelajar-pelajar kita, tidak kecuali saya yang ketika itu mempunyai tiga orang anak. Maka dapatlah saya menikmati child benefit dan bantuan susu untuk anak-anak. Bayaran perubatanpun percuma.


Dalam satu kesempatan semasa saya mengunjungi uncle Den di rumahnya, saya bertanya kepada beliau sama ada beliau mendapat employment benefit dan bantuan-bantuan lain. Jawapan yang beliau berikan , membuatkan saya berasa malu. "Those benefits are meant for the poor people".


Maknanya saya termasuk dalam kalangan orang miskinlah.  Malukan? Itu hal kedua.

Musim panas (summer) adalah musim yang menyeronokkan. Pertama cuti panjang. Maka berpakatlah dengan beberapa orang kawan untuk pergi berkemping. Bukan saja di England malah memasuki negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis, German Belanda dan lainnya. Kawasan perkhemahannya cantik dan bersih. Yang penting selamat. Di Malaysia? Mungkin berlaku ganngguan dari penjahat.

Tapi yang paling menyeronokkan ialah berkunjung ke dusun buah-buahan untuk memetik buah-buahan yang dikenali sebagai 'fruit picking' seperti epal, strawberry dan pear. Maka berduyun-duyunlah pelajar-pelajar Malaysia, yang muda dan yang tua memasuki kebun-kebun buah-buahan itu. Buah-buahan itu boleh diambil dan dimakan di kebun itu tanpa perlu membuat bayaran. Bayaran hanya dikenakan jika buah-buahan itu  dibawa balik. Maka apa yang terjadi? Buah yang dimakan dikebun itu lebih banyak dari buah yang dibawa balik. Ertinya datang ke kebun itu hanya untuk makan percuma.


Saya berpendapat bukan itu tujuan diadakan fruit picking. Tujuannya ialah untuk mengurangkan kos buruh kerana kos buruh adalah tinggi. Dengan sebab itu dibenarkan sesiapa saja untuk memetik buah tersebut disamping diberi peluang untuk merasa buah itu. Konsepnya sama saja dengan cara kita menjual buah-buahan di kampong dimana kita mempersilakan pembeli untuk merasa buah yang kita jual bagi meyakinkan pembeli. Tapi apa yang saya lihat dalam hal fruit picking ini, banyak pihak mengambil kesempatan mengenyangkan perut di kebun itu saja tanpa ada niat untuk membeli buah-buah itu.

Saya percaya kita wajar merasa malu perbuatan seperti itu walaupun Mat Salleh, tuan punya kebun itu tidak membuat teguran. Kalau fruit picking itu masih ada, adalah diharapkan ianya tidak berlaku seperti yang pernah saya lihat.

Yang diatas tadi hal ketiga.

Seorang sahabat satu kelas memberi tahu bahawa kawannya dari sebuah negara Afrika dengan bangganya memberi tahu kepadanya dia telah berjaya memperdayakan sebuah kedai pakaian. Ceritanya, beliau telah membeli pakaian ( saya tidak pasti baju atau seluar) dari sebuah kedai bagi menghadiri majlis tari menari universiti. Tuan kedai itu memberi jaminan jika pakaian itu tidak selesa setelah dipakai untuk tujuan majlis itu, pakaian itu boleh dikembalikan dan wangnya akan dikembalikan. 


Apa yang terjadi? Esoknya  pakaian itu dikembalikan dengan alasan tidak selesa dan menerima semula wang yang telah dibayar. Saya tidak pasti sama ada cerita kawan ini benar atau sebaliknya kerana saya tidak pula bertanya dengan kawan dari benua Afrika itu. Tetapi secara amnya melihat dari perangai-perangai sebahagian besar orang Asia terutama orang dari benua Afrika, saya ada kecenderungan untuk mempercayainya.


Malukan? Hal keempat.


Hal kelima, keenam dan seterusnya? Banyak lagi sifat dan perangai kita (orang Asia dan Afrika) yang perlu di perbaikki termasuk dari segi kebersihan. Kawasan kediaman yang kotor adalah kawasan kediaman yang majoritinya orang Asia/Afrika. Yang cantik dan bersih ialah kawasan mat salleh.


Cuma secara rengkasnya dapat saya katakan di negara mat salleh ini, bangsanya mempunyai sifat, budi dan cara hidup yang lebih baik berbanding dengan apa yang kita amalkan. Banyak hal yang kita wajar teladani dari mereka termasuklah dari mendiang uncle Den.












 

Ahad, 15 April 2012

RASUAH ORANG POLITIK

1. Saya telah mendengar dan menonton sebuah video yang membincangkan tajuk: Rasuah Politik - Persepsi atau Realiti. Terdapat 4 ahli panel dari berbagai latarbelakang dan oreientasi iaitu seorang dari SPRM, dua orang dari organisasi  politik yang berbeza dan seorang berorientasikan akademik. Perbincangan itu diikuti hadirin yang  juga diberi peluang untuk menanyakan soalan kepada ahli panel.

2. Bagi saya terdapat tiga kesan dari perbincangan itu. Pertama, semua yang terlibat yang terdiri ahli panel, hadirin dan moderator menunjukkan emosi yang amat benci akan rasuah. Kedua, setiap ahli panel walaupun menunjukkan sikap membenci rasuah , saling 'serang menyerang' dengan nada sinis dan kenyataan langsung (direct) bagi memperkuatkan hujah dan pendapat masing-masing, dan menampilkan contoh personaliti dan kes tertentu dalam hujahan itu. Ketiga, ada juga para hadirin yang emosional dengan mengeluarkan suara sokongan dan tepukan yang kuat jika sesuatu hal itu sejalan dengan pemikirannya. Tapi memberi reaksi yang bertentangan jika tidak sejalan dengan pemikirannya.

3. Namun bagi saya kesan seperti itu adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam sebuah perbincangan kerana perbincangan membawa kita kepada penampilan fakta dan idea yang berbeza. Dan perbezaan inilah yang boleh mencorakkan suasana dan emosi. Namun pada perbincangan itu moderator telah berjaya melakukan yang terbaik dari mula sehingga penamat. Tahniah.

4. Perbincangan dimulakan dengan setiap ahli panel diberi peluang untuk memberikan pengertian (definasi) apakah itu rasuah politik. Ada yang mengatakan rasuah politik tidak wujud. Ada yang bersetuju dengan kenyatan ini tapi berlapang dada untuk menerima kenyataan adanya rasuah politik, dan ada yang mengatakan rasuah politik memang wujud. 

5. Definasi bagi sesuatu hal atau fenomina adalah penting tetapi ianya janganlah sampai boleh membataskan cakupan ruang lingkupnya. Oleh itu disamping memberikan pengertian bagi fenomina rasuah ini saya suka melihat rasuah dari segi tujuan perlakuan rasuah itu dan kesannya kepada diri, masyarakat dan negara. 

6. Bagi saya  sesiapa saja adalah berpotensi untuk terlibat dalam rasuah. Dalam kata lain  terdapat berbagai jenis perlakuan rasuah dari berbagai golongan individu, kumpulan atau pun organisasi termasuklah yang bersangkutan dengan politik.

7. Apa itu perlakuan rasuah? Secara amnya saya berpendapat perlakuan rasuah itu  adalah perlakuan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan kegelinciran mematuhi peraturan, undang-undang, tatacara, sistem prosedur dan etika tadbir urus yang telah ditetapkan termasuk memanipulasi kelemahan/kekurangannya bagi maksud mendapat faedah diri/kumpulan/organisasi. Perlakuan rasuah ini melibatkan pemberi dan penerima. Kedua-duanya adalah perasuah.

8. Tujuan perlakuan rasuah ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu  bagi tujuan i) mendapat kuasa politik dan ii) tujuan selain dari itu. Ertinya ada rasuah politik dan ada rasuah bukan politik.  

9. Rasuah Politik adalah perlakuan rasuah yang dilakukan/melibatkan orang politik secara individu/kumpulan atau pun organisasi bagi mendapat dan mengekalkan kuasa. Rasuah politik adalah rasuah membeli  undi dengan apa cara sekali bagi mendapat kuasa/mengekalkan kuasa.

10. Rasuah bukan politik adalah perlakuan rasuah yang dilakukan oleh individu, kumpulan individu,   atau organisasi bukan bertujuan untuk mendapat kuasa politik  misalnya untuk melepas diri dari hukuman atas kesalahan yang dilakukan,  mempercepatkan urusan/urusniaga, untuk hidup mewah dan bergaya diluar kemampuan dan sebagainya. Rasuah ini juga tidak mengecualikan orang politik.

11. Rasuah orang politik adalah rasuah berfokuskan kuasa. Dan dari kuasa yang diperolehi akan digunakan  untuk memewahkan kehidupan, untuk hidup lebih senang dan bergaya diluar kemampuan. Bukan saja mereka ini membeli undi untuk mendapat dan mengekalkan kuasa bahkan mereka juga boleh dibeli dengan balasan hidup mewah. Jika demikian kuasa mereka juga terjual sama. Lebih parah jika mereka diberi kuasa untuk mentadbirurus negara.

11. Kesan yang terlalu buruk dan membarah adalah rasuah yang melibatkan/dilakukan oleh  individu, kumpulan atau organisasi  yang mempunyai pengaruh, kedudukan dan kuasa politik kerana mereka inilah yang menentukan hala tuju negara sama ada sebagai kerajaan yang memerintah mahu pun pihak pembangkang. Rosak mereka rosaklah negara.

12. Dengan demikian perlakuan rasuah hendaklah dielakkan oleh semua pihak. Dan tanda-tanda kesedaran rakyat Malaysia akan keburukan perlakuan ini seperti reaksi yang telah ditunjukkan dalam suasana perbincangan rasuah seperti dalam tontonan video yang diperkatakan diatas adalah amat menyenangkan sekali. Harapan dan doa kita agar sikap dan sifat membenci perlakuan rasuah menjadi satu budaya rakyat Malaysia tidak kira mereka orang politik dan bukan politik. 







Isnin, 9 April 2012

Mencari Pusat Jagaan Anak

Beberapa hari yang lepas , bersama isteri , anak dan menantu, saya membawa cucu (Naqib) ke sebuah pusat jagaan anak-anak bagi melihat sendiri keadaan pusat itu kerana kami bercadang untuk menyerahkan Naqib dibawah jagaan pusat itu semasa kedua ibubapa Naqib bekerja..Kami merasakan sudah sampai masanya untuk menyerahkan Naqib yang baru memasuki usia satu tahun ke pusat jagaan anak-anak. Naqib berada dalam jagaan kami suami isteri semenjak ia dilahirkan, sembilan bulan dirumah kami di Melaka dan tiga bulan dirumah ibubapa Naqib di Precint 11 Putra Jaya.

Jika semuanya beres, maksud saya jika pusat itu dapat menerima Naqib maka saya dan isteri akan menghantar Naqib ke pusat itu, dan dalam tempoh sebulan atau dau bulan jika tiada masalah yang berat maka kami akan balik ke rumah kami semula di Melaka yang telah lama tiada penghuni. Namun dalam hati, rasa berat juga untuk meninggalkan Naqib di bawah jagaan orang lain atau mana-mana pusat jagaan. Sebab kami dan ibubapa Naqib saja yang faham akan 'kerenah' Naqib, misalnya cara memujuknya untuk makan dan minum, untuk menidurkan dan untuk memberhentikannya dari menangis. 

Saya panggil Naqib sebagai cucu yang 'syada-syada' atau dalam perkataan biasa 'cucu yang mengada-ngada'. Syada-syada bukanlah membawa konotasi yang negatif  . Syada-syada adalah sebutan pelat dari perkataan mengada-ngada yang membawa bersama perasaan kasih sayang dan kemanjaan dengan penuh belaian. Tidak mungkin ini dapat dilakukan oleh pengasuh atau penjaga pusat berkenaan. 

Namun anak kecil ini perlu dilatih dari kecil lagi untuk berdikari dan untuk pandai bergaul dengan anak-anak kecil yang lain tanpa sentiasa kehadiran kami. Dia yang akan membesar dan menghadapi masa depan yang panjang. Maka Naqib mestilah disediakan dengan satu persekitaran yang dapat membina personalitinya supaya mempunyai daya tahan fizikal dan minda yang wajar dan kuat. Perasaan kami tidak penting kerana ia tidak akan membantu Naqib untuk menghadapi kehidupan seterusnya. 

Maka Naqib mesti diserahkan ke pusat jagaan anak-anak kecil kerana kedua ibubapanya bekerja, kerana kami suami isteri perlu menghabiskan masa tua selayak orang tua walaupun dalam hati terlalu berat untuk melepaskan Naqib, kerana demi kepentingan anak kecil itu, kerana itulah pilihan yang ada bagi ibubapa yang bekerja. Hanya sanya kami mengharapkan dan berdoa supaya segala-galanya akan berjalan dengan baik. Ertinya Naqib dan anak-anak dipusat jagaan itu akan mendapat perlindungan dan jagaan yang terbaik dengan penuh kasih sayang. Dan pusat jagaan itu juga akan bertambah maju dan makmur serta dilindungi dan diberkati Allah SWT.


Harapan dan doa ibubapa agar anak yang diserahkan jagaan itu berada seperti dibawah jagaannya walaupun ianya tidak mungkin dapat dilakukan sepenuhnya. Tapi itulah sepatutnya yang menjadi ideal bagi sebuah pusat jagaan anak-anak, disamping untuk mejalankan perniagaan untuk rezeki yang halal. Dengan hal yang demikian bagi sebuah pusat jagaan anak-anak itu untuk beroperasi, kelulusan dari pihak yang berkuasa adalah terlalu amat penting. Dengan adanya kelulusan ini maka sudah tentu aspek-aspek yang melayakkan pusat itu beroperasi telah disiasat, diperiksa uji dan disahkan sebagai layak (fit) untuk sebuah pusat jagaan anak-anak. Misalnya dari segi bangunan, kemudahan-kemudahan yang disediakan,  alat permainan , kebersihan, tenaga pengasuh/penjaga dari segi kemahiran dan latihan serta bilangan iaitu nisbah diantara penjaga dan anak, pengurusan dan pentadbiran dan waktu serta tempoh jagaan.

Hal yang dinyatakan diatas iaitu mendapat kelulusan dari pihak berkuasa adalah terlalu asas dan penting. Cuma saya tidak pasti sama ada syarat-syarat kelulusan yang diaplikasi ketika ini tidak mengambil kira  apa yang dinyatakan diatas, iaitu terlalu longgar tanpa melihat aspek keselamatan, kebersihan, kemahiran jagaan, kecekapan menguruskan keperluan-keperluan/keadaan kecemasan dan sebagainya. Sesungguhnya anak-anak kecil itu bergantung sepenuhnya kepada pengasuh-pengasuh dan mereka yang menguruskan pusat itu. 


Mereka tidak mampu untuk menguruskan diri mereka bersendirian. Misalnya mereka akan menghisap susu dari botol/atau makan sehingga tercekik jika dibiarkan bersendirian. Berita mengenainya telah biasa kita dengar. Apatah lagi kalau berlaku kebakaran. Semoga Allah melindungi musibah ini.


Selain dari itu soal bayaran yang dikenakan juga wajarlah dilihat supaya ia tidak membebankan ibubapa dan tidak juga menyulitkan pusat jagaan itu memberi penjagaan yang terbaik. Tetapi rata-rata yang diketahui dibandar-bandar besar , bayarannya terlalu mahal, membebankan. 

Maka sudah sewajarnya Kerajaan mengambil perhatian yang serious tentang keperluan pusat jagaan anak-anak ini seperti mana kerajaan memberi perhatian kepada anak-anak di pusat-pusat pengajian rendah , menengah dan tinggi. Salah satu aspeknya ialah merengankan kos bayaran.  Mereka ini adalah asas kepada pembentukan dan pembinaan modal insan yang boleh memberi sumbangan kepada kesejahteraan negara pada masa hadapan. Jika mereka ini terbiar, jika pembentukan sahsiah semasa kecil sudah pincang dan tergelincir maka mana mungkin negara mampu mewujudkan modal insan yang berguna. Melaburlah diperingkat awal ini untuk meraih dividen pada masa hadapan. Negara tidak akan rugi.

Berbalik kepada pusat jagaan yang kami buat tinjauan, bayaran yang dikenakan bagi seorang anak ialah RM370 seorang. Bayaran itu tidaklah mahal. Seorang pengasuh bertanggungjawab menjaga 5 orang anak. Pusat ini nampaknya mendapat sambutan dari ibubapa sehinggakan ianya tidak mampu menerima tambahan seorang lagi anak jagaan iaitu Naqib. Maka terlepaslah peluang untuk Naqib bersama dengan kanak-kanak lain dipusat ini.

Namun satu hal yang diperhatikan, kebersihan di pusat ini perlu di perbaikki kerana bau busuk di tandas menyerbak keluar sehingga ditempat kami berbincang iaitu di hadapan bilik untuk anak-anak- yang berumur setahun. Kelihatan juga anak-anak yang berumur lebih dari setahun yang telah mampu ke tandas, pergi ke tandas bersendirian dan membuka dan meletakkan seluar dijalanan masuk ke tandas yang berbau itu . Yang nyata tidak wajar, ialah anak-anak itu tidak memakai selipar memasuki tandas yang berbau itu. Saya fikir tandas itu tidak dibersihkan dengan sempurna.

Jadi saya berasa lega juga kerana pusat itu sudah penuh kerana Naqib tidak perlu berada dipusat jagaan yang tidak mementingkan kebersihan. Cuma pada hari itu tuan punya pusat tidak ada, jadi kerisauan saya ini tidak dapat saya panjangkan kepada beliau demi kesihatan anak-anak kecil di pusat itu. Ada kemungkina bayaran sebanyak RM370 itu tidak memberi kemampuan kepada pusat jagaan itu untuk melakukan kerja pembersihan. Jika begitu saya rasa ianya satu sikap yang tidak wajar. Kebersihan adalah penting kerana itulah diantara perkara-perkara yang perlu kita terapkan kepada anak-anak.

Naqib masih lagi dibawah jagaan saya dan isteri. Ibubapa Naqib masih bergiat mencari. Semoga dapat bertemu yang dicari dan yang boleh dipercayai. 



    

Jumaat, 6 April 2012

Dari Precint 11, melintasi precint 10 untuk ke Alamanda.

Pada satu hari di minggu terakhir bulan Mac, dari rumah di Precint 11 Putra Jaya, saya memandu kereta untuk ke Alamanda. Bersama dalam kereta duduk di belakang adalah isteri yang memeganag cucu yang baru berusia  setahun. Semenjak bersara ini, saya sudah menjadi pemandu kepada isteri dan anak-anak serta cucu. Dulu semasa bekarja ada peluang duduk belakang, ada pemandu, bukan main eksyen lagi ketika itu. Sekarang padan muka, jadi pemandu keluarga pula tanpa bayaran.

Saya bukan hendak cerita nasib orang yang bersara kerana ianya terlalu panjang, dan mungkin membosankan. Yang hendak diceritakan ialah tentang perbualan bersama isteri dalam perjalanan ke Alamanda. 

Saya memilih untuk melintasi precint 10, bermain mata dikawasan itu kerana anak telah memaklumkan disitu terletaknya bangunan rumah-rumah bunglo yang besar-besar kediaman pegawai-pegawai tinggi kerajaan misalnya Ketua-ketua Setiausaha Kementerian. Bangunan yang terbesar yang boleh dipanggil istana, juga berdiri tegak dikawasan itu iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia yang dikenali sebagai Seri Perdana.

Apabila ternampaknya Seri Perdana yang dibina dikawasan yang lebih tinggi dari bangunan yang lain, saya maklumkan kepada isteri itulah rumah perdana menteri. Seperti biasa isteri menyatakan "Besarnya" sambil menegakkan badan dan matanya memberi fokus kepada bangunan itu.

"Naik atas, nak?" Saya bertanya isteri secara bergurau tanpa ada niat untuk naik keatas. Saya pun tahu tidak mungkin kami dibenarkan untuk mendekati bangunan yang besar itu. Ianya terlalu eksklusif walaupun kos membinanya dari wang rakyat. Isteri pun tidak mahu naik ke atas untuk melihat dari jarak yang lebih dekat lagi. Dia pun mempunyai tanggapan yang sama, tidak mungkin boleh menghampiri jarak.

"Aqib , kalau nak duduk rumah besar macam tu, kenalah belajar kuat-kuat, jadi orang pandai", saya memandang cucu yang bernama Naqib melalui cermin, dan menunggu respon dari isteri.

"Tak mestinya orang pandai boleh jadi PM. Kalau tak masuk politik walaupun pandai tak ada can juga nak jadi PM", isteri memberi respon. Saya tersenyum kerana boleh merancakkan lagi perbualan.

"Memang betul. Mesti masuk politik dan menang bertanding. Takkan senang-senang nak jadi PM. Tapi kalau kita pandai, ada ilmu, lebih baik, banding dengan tiada ilmu untuk jadi PM. Naqib aktif politiklah ". 

Isteri saya cepat menyanggah dan tidak bersetuju cucunya masuk dan bergiat dalam politik. Katanya buatlah kerja lain yang lebih menfaat. Jangan kotorkan diri cakap bohong, tipu sana tipu sini. Naya (menganiaya) orang. Dia semakin berkeras dan serious apabila saya menyatakan bahawa politik itu satu kerja yang baik terutama kalau jadi pemimpin. Membantu dan berkhidmat demi kesejahteraan ramai orang. 

"Tengok apa yang terjadi sekarang?" Isteri saya mempertahankan pendiriannya dengan soalan yang memberi bayangan bahawa ada yang tidak kena . 

Saya tidak bertanya apakah yang dimaksudkan oleh isteri itu. Tapi apa yang saya sedia maklum bahawa secara amnya orang mengatakan politik ini sesuatu yang kotor walaupun seseorang itu pada asalnya orang yang baik. 

Benarkah politik itu kotor? Benarkah apabila masuk politik seseorang itu mahu tidak mahu terpaksa berbohong? Terpaksa menipu? Terpaksa menggunakan banyak wang untuk membeli pengaruh, undi dan sokongan?  

Saya tidak mempunyai jawapan yang pasti akan soalan diatas walaupun realiti yang dapat dilihat membuktikan bahawa ada kebenaran akan kerisauan isteri saya jika cucunya masuk politik. Dia tidak bersetuju. Dan saya percaya semua ibubapa dan datuk nenek tidak bersetuju anak/cucunya jadi orang yang suka menipu , bercakap bohong, menganianya orang dan semua jenis perbuatan jahat.

Yang saya pasti bahawa matlamat orang politik ialah untuk mendapat sebanyak sokongan dari orang ramai. Orang ramai ini ada bermacam-macam keperluan dan kerenah. Keperluan dan kerenah yang tidak patut malah yang salah dari segi tatacara, peraturan dan undang-undang pun diminta diberi layanan oleh orang politik. Tambah-tambah lagi yang buat kerenah itu kaum kerabat sendiri termasuklah anak dan isteri.

Jadi bagaimana mereka tidak berbuat sesuatu yang tidak wajar? Kalau tidak ikut kerenah, tiada sokongan dan tiada undi. Kalau tidak beri upah dan wang, tidak beri projek dan kontrak, alamat peluang nak naik dan jadi PM, kata orang Cina 'boliau', 'habislah', kata orang Melayu.

Jadi isteri saya mempunyai pemikiran yang benar dan betullah? Kalau begitu bagaimana cara nak pilih seseorang itu jadi PM kerana semua orang politik itu tidak bersih?  

Saya juga tiada jawapan akan soalan yang semudah itu. Dengan itu saya teruskan pemanduan menuju ke Alamanda. Satu perjalanan yang mudah tidak seperti perjalanan orang politik. Orang politik memang hidup mewah dan rumah tersergam indah diatas bukit tetapi tanggapan am masyarakat mereka ini tidak bersih, kotor. 

Dalam perjalanan itu kami berkesempatan juga melihat rumah-rumah banglo yang dikatakan kediaman rasmi pegawai-pegawai tinggi kerajaan itu. Sungguh besar dan cantik.  Persoalan saya pula ialah bagaimana dengan golongan penjawat awam ini terutama yang berjawatan tinggi? Adakah mereka juga kotor? 

Saya juga tiada jawapan akan soalan yang mudah itu. Tetapi saya  tidak berani mengatakan kotor , nanti terkena pada diri sendiri. Saya juga bekas penjawat awam. 

Akhirnya saya berkata "Terpulang kepada diri sendirilah".