Theflowersellingboy

Jumaat, 30 Mac 2012

Pendekatan Kepada Penyelesaian Pembantu Rumah

Enam bahagian paparan yang lepas, saya banyak menceritakan fasal hubungan diantara pembantu rumah dan majikan. Pertama, sikap dan saikologi majikan terhadap pembantu rumah. Kedua, berbagai cerita tentang pembantu rumah yang kesemuanya menjurus kepada ketidakjujuran dalam menjalankan tugas. Sebenarnya antara pertama dan kedua itu ada kesan-mengesannya.

Secara amnya majikan menganggap pembantu rumah adalah pekerja bertaraf rendah, mempunyai tahap pendidikan rendah, dari kalangan orang miskin yang memerlukan sangat pekerjaan dan tidak mempunyai peluang untuk kerja selain jadi pembantu rumah. Dengan demikian pembantu rumah ini tidak sama dengan pekerja lain dalam pasaran buruh. Tarafnya terlalu rendah.

Mereka diambil bekerja tanpa adanya  syarat dan terma perkhidmatan yang menjadi rujukan dalam menentukan hubungan dan tanggongjawab diantara majikan dan pekerja. Yang penting bagi majikan ialah pekerja itu sanggup melakukan kerja yang diarah. Yang penting  kepada pekerja pula ialah majikan menyatakan kesanggupan untuk membayar upah seperti yang dirundingkan, menyediakan tempat tinggal dan makanan percuma. Hal-hal kebajikan yang lain seperti cuti rihat, bayaran rawatan klinik/hospital dan yang lain-lainnya tidak dibincang dan hanya bergantung kepada budibaik dan budi bicara majikan. Apatah lagi sumbangan ke dalam KWSP-tidak pernah difikirkan.

Maka dalam bentuk hubungan yang sedemikian, ianya boleh menimbulkan berbagai perlakuan atau arahan kerja yang melampaui atau tidak sepadan dengan upah yang dibayar; paling malang sekali adalah penderaan terhadap pembantu rumah itu. Sekirannya pembantu rumah itu terdiri dari warga asing yang diperolehi  secara kemasukan yang tidak sah, kedudukannya lebih rumit lagi. 

Di pihak pekerja pula timbul perasaan marah, benci dan sakit hati terhadap majikan. Kesannya ialah meninggalkan anak jagaan bersendirian, mencederakan anak, melarikan anak dan berbagai perbuatan yang tidak baik termasuklah memasukkan kotoran dalam makanan dan minuman untuk dihidang kepada majikan. Dahsyat!

Terang dan jelas bahawa khidmat pembantu rumah ini lebih merumitkan  dari memudahkan.  

Lebih baik tiada pembantu rumah? Bagaimana pasangan suami isteri yang bekerja? Kepada siapa dapat diharapkan untuk menjaga anak/anak-anak semasa mereka keluar bekerja?


Saya amat bersetuju supaya khidmat pembantu rumah ini tidak diteruskan. Maksud saya dalam bentuk dan tatacara yang ada sekarang ini kerana ianya tidak adil kepada kedua-dua pihak -majikan dan pembantu rumah. 

Yang saya maksudkan dengan bentuk dan tatacara sekarang ini meliputi perkara berikut:
i) pembantu rumah diperolehi dari sumber luar negara,
ii) peranan agen dalam membekalkan pembantu rumah
iii) tiada syarat dan terma perkhidmatan pembantu rumah
iv) pembantu rumah tinggal serumah dengan majikan

 Ertinya saya tidak bersetuju dengan perjanjian yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia dan Indonesia tentang pengambilan dan pembekalan pembantu rumah, termasuk upah RM700 sebulan dan buat satu kerja. 


Khidmat pembantu rumah sebenarnya tidak perlu. Dan perjanjian dengan negara lain untuk khidmat pembantu rumah juga tidak perlu.


Kenapa saya tidak bersetuju? 


Saya tidak bersetuju kerana saya tidak nampak ada kesungguhan dipihak Kerajaan untuk sebenar-benarnya menangani hal-hal berkaitan dengan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini. Pendekatan yang diambil tidak berasaskan kepada satu kepercayaan bahawa anak-anak kecil itu adalah satu aset yang terlalu tinggi nilainya kepada masa depan negara. Pada kerajaan memadai saja dengan menyediakan satu peraturan/perjanjian bagi membenarkan secara sah kemasukan pekerja asing dengan bayaran tertentu. Itu saja. 


Memang benar kerajaan menyatakan akan kepentingan modal insan. Tetapi pendekatan Kerajaan dalam hal ini tidak sepadan dengan pentingnya modal insan itu sendiri. Sebab itu saya katakan pendekatan kerajaan tidak berasaskan kepada satu kepercayaan bahawa anak-anak kecil itu adalah satu aset yang terlalu tinggi nilainya kepada pembinaan masa depan negara. 

Buktinya? Hal berkaitan dengan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini tidak dijadikan sebagai satu tanggongjawab kerajaan sepenuhnya. Jadi pembinaan sahsiah dan penyuburan fizikal, mental dan spiritual anak-anak kecil ini tidak menjadi satu agenda penting dan utama kepada kerajaan. Biarlah ibubapa anak-anak itu sendiri yang menyelesaikannya. Kalau ada pun campur urusan, hanya setakat mengaturkan pembekalan pengasuhnya saja.
  
Bersambung.


     

Rabu, 28 Mac 2012

Rintihan Seorang Pemandu Teksi

Sudah agak lama juga saya tidak menggunakan khidmat teksi, sama ada perjalanan jauh atau perjalanan dekat. Saya lebih selesa memandu kereta sendiri bagi perjalanan dekat dan menggunakan bas ekspress bagi perjalanan jauh. Tapi pada hari itu 26 Mac 2012 mahu tidak mahu saya terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi untuk bergerak dari sebuah bank ke lokasi yang jaraknya lebih kurang 3 kilometer. Kereta tersadai dalam workshop, masih belum siap diperbaikki.

Isteri dan saya menunggu di sebuah tempat menunggu bas setelah urusan dengan pihak bank selesai. Tujuan kami ialah untuk menaikki bas. Kemudian kami mengubah fikiran kerana tidak tahu bas nombor berapa yang patut di ambil untuk menuju ke lokasi yang hendak di tuju , kami bercadang untuk menaikki teksi.

Kebetulan ada sebuah teksi yang diletakkan berhampiran tempat menunggu bas itu. Kami di maklumkan oleh seorang lelaki dewasa yang berada di tempat menunggu bas itu,  bahawa  pemandu teksi itu sedang berurus di bank yang berdekatan. Jadi kami menunggu.

Pemandu teksi, berbangsa India menuju ke keretanya. Kami bertanya berapa bayaran untuk ke lokasi yang hendak dituju. Dia meminta RM10 seorang. Oleh kerana kami merasakan harga itu tidak berpatutan maka kami tidak bersetuju. Tidak pula terlintas difikiran tentang penggunaan meter. Kalau gunakan meter, tidaklah perlu tawar menawar.

'Berapa encik mahu bayar?' Tanya pemandu teksi itu. Kami mencadangkan lima ringgit bagi dua orang. Dia bersetuju. Saya percaya pemandu teksi itu dalam perjalanan balik ke rumah  melalui kawasan yang hendak kami tuju. Atas sebab itu saya fikir dia bersetuju dengan harga yang kami cadangkan itu.

Dalam perjalanan, kami berbual. Dia beritahu bahawa tidak berapa lama lagi harga minyak akan naik. Katanya lagi bila harga minyak naik, harga yang lain pun naik juga. Matilah. Saya pun menumpang duka akan keluhan pemandu teksi itu. Tapi saya cuba meringankan sedikit keluhannya itu dengan menyatakan tidak mungkin harga akan naik sekarang ini. Beliau menganggok bersetuju.

"Memang betul encik, tapi lepas election lah. Bulan Jun". Saya tidak menanyakan dari sumber mana beliau tahu tentang kenaikan harga minyak dan bila pilihanraya akan diadakan itu. Dalam hati saya mengatakan hebat juga pemandu teksi ini, ada maklumat-maklumat penting. Soal betul, tepat atau salah bagi saya tidaklah penting sangat ketika ini. Yang penting adalah maklumat yang diberi perhatian oleh pemandu teksi ini adalah maklumat yang berkaitan langsong dengan kehidupan hariannya, memberi kesan kepada kesejahteraan hidup dirinya dan keluarga dibawah tanggongannya.

Saya cuba mengubah tajuk perbincangan dengan menanyakan bilangan anaknya. Beliau menyatakan tiga orang dan semuanya sudah lepas. Maksudnya bukan dibawah tanggongannya lagi. Tapi katanya anak-anak sekarang 'tak ada guna'. Tak mahu tolong emak bapa walau pun hidup lebih senang. 

"Sikit wang pun tak bagi. Kita bukan mau banyak. Tapi dia kena ingat, kita bagi dia sekolah dulu, bagi makan. Kita bukan senang punya orang", keluh pemandu teksi itu.   Saya sudah salah strategi dalam menukar tajuk perbincangan. Rupanya cerita mengenai anak itu lagi menambahkan beban kepada pemandu.

"Itu hari masa depavali, dia bagi RM500. Saya suka hati. Tapi wang itu bukan untuk saya. Untuk beli barang dan makanan untuk kawan-kawan dia datang rumah. Mahu bagi makan kawan. Tak ada guna punya anak".

Saya merasa sedih akan keluhan dari pemandu teksi itu. Saya tumpang rasa bersalah kerana menanyakan bilangan anaknya tadi membuatkan keluhan hati kecewa terhadap anaknya di curahkan kepada saya, orang yang baru kali pertama dikenali. Biasanya jarang sekali seseorang itu mahu menceritakan kisah yang negatif tentang anak sendiri kepada orang lain terutama kepada orang yang tidak/baru dikenali. 

Saya berpendapat cerita pemandu teksi ini adalah sesuatu yang benar. Beliau terlalu kecewa dengan sikap anak-anaknya itu. Kesian.

"Teksi ni encik punya ke atau syarikat punya?" Saya cuba beralih ke tajuk lain. Dia menyatakan bahawa teksi itu dia yang punya. Katanya lagi buat permohonan tidak susah tapi mahu dapat permit dia menunggu 7 tahun. Jadi sementara menunggu itu dia sewa permit orang lain. 

"Mesti ada sokongan wakil rakyat ke?" Saya bertanya. "Mestilah , kurang-kurang dari JKKK"  Jawabnya. Saya tersenyum saja apabila mendengar jawapannya itu kerana itulah yang selalu diberitahu oleh banyak pihak, jika kita hendak membuat sesuatu permohonan, sokongan dari pihak politik adalah  satu kemestian. Kalau 'ngam' dengan orang politik  yang berkuasa itu, permohonan itu dapatlah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang meluluskan.

Sampai saja di destinasi yang dituju, kami mengucapkan terima kasih. Dihati saya masih terkesan akan rintihan pemandu teksi yang pandai berbahasa Melayu itu. Merintih kenaikan harga minyak dan barang-barang dan merintih kerana anak-anak tidak sudi membantu bagi merengankan beban sara hidup yang meningkat. Kesian.



 

Selasa, 27 Mac 2012

CERITA PEMBANTU RUMAH ....Bah. 6.

Cerita Pembantu Rumah bahagian 6 tergendala tarikh paparan akibat dari kerosakan bateri komputer. Bateri semakin lemah dan perlu di ganti. Dengan sebab itu  selama empat hari saya tidak dapat membuat sebarang paparan.

Sehingga ke hari ini 27 Mac 2012 bateri masih belum ditukar baru. Tapi entah macam mana komputer boleh pula dihidupkan. Maka saya terus menulis cerita pembantu rumah bahagian ke 6.

Empat hari yang lepas kami menerima kunjungan dari keluarga terdekat di sebelah malam. Banyak perkara yang dibualkan termasuklah kisah pembantu rumah. Tetamu bertanya siapakah yang menjaga cucu kami semasa kedua ibubapa pergi bekerja walaupun tetamu sedia maklum yang menjaganya ialah kami , datuk dan neneknya. Ambil bahasa agaknya, cara memulakan sesuatu cerita bagi orang Melayu.

Tetamu ini tidak langsung menaruh sebarang harapan bagi pembantu rumah ini untuk dapat memberi jagaan yang baik dan sempurna kepada anak kecil. Berbagai kisah sedih duka yang telah diberitahu bersangkutan dengan penjagaan pembantu rumah ini. Tiada yang menyenangkan hati. Anak terbiar, anak diberi ubat tidur, anak dibiarkan hisap jari kaki pembantu rumah sebagai cara untuk mendiamkannya sehingga anak itu ketagih jika tidak dapat menghisap jari kaki, anak dicedera dan di bawa lari dan banyak lagi.

Cerita-cerita seperti itu telah saya maklum dan tahu sebelum itu lagi. Jadi kamipun berkongsi cerita apa-apa yang kami sudah alami dan dengar. Hanya tentang menghisap jari kaki khususnya ibu jari kaki pembantu rumah merupakan satu cerita baru kepada saya. Maka bila mendengar cerita seperti itu, reaksi spontan saya ialah mulut ternganga luas tidak percaya. Tapi selepas beberapa saat, saya dapat merasionalkan diri menerima hakikat bahawa kalau dera dan cedera anak sanggup di lakukan apa perlu dihairankan dengan menyusukan ibujari kaki. 

'Beres buuuk, janji bisa ngomong talipon dengan bapak diluar!'

Cerita itu bukanlah yang puncak, bukan yang climax. Ada satu cerita tentang bagaimana tuan rumah sentiasa tunduk dengan kehendak pembantu rumah khususnya yang sisuami. Apa saja yang diminta oleh pembantu rumah tetap dilayan dan di tunai. Mahu handphone, beres saja. Mahu cuti balik kampong, beres saja. Mahu berhenti kerana untuk menjaga anak di kampong , itupun tidak ada masaalah. Dan, tiba-tiba dapat panggilan dari pembantu rumah yang telah berhenti itu mahu bekerja semula, dengan segera tuan rumah bersetuju mengambilnya dan memberhentikan pembantu yang ada. Hebat sungguh 'remote control' pembantu rumah ini. Pembantu rumah itu sentiasa memuji tuan lelakinya yang dikatakan terlalu baik berbanding dengan puan nya. 

Cerita pembantu rumah yang berjaya mengawal tuannya ini bukanlah satu fenomina yang baru. Sebelum ini kita juga selalu menyebut 'queen control', merujuk kepada seorang isteri yang berjaya mengawal suami. Disuruh duduk, suami duduk. Disuruh basuh pinggan, tanpa soal jawab pinggan beres dicucikan. Pendek kata semuanya dibawah telunjuk isteri. Kepercayaan  dikalangan kebanyakan masyarakat Melayu mengatakan bahawa suami itu telah diberi makan kotor yang dipanggil 'nasi kangkang'. Dijauhi Allah perbuatan yang amat hina itu.

Mungkin kah ini yang telah dilakukan oleh pembantu rumah? Kemungkinan itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Dan tidak pula boleh kita percaya 100 peratus. Adakah kaedah yang kotor itu memberi kesan seperti itu? Boleh menundukkan seseorang untuk turut perintah. Saya tidak tahu.

Saya tidak pasti sama ada cerita itu benar atau sengaja direka cipta untuk menambahkan lagi hilang percaya kita kepada khidmat pembantu rumah. Cuma yang dapat saya pastikan ialah bahawa tanpa kasih sayang, anak kecil itu tidak akan dapat pengasuhan yang sempurna walaupun dari keluarga terdekat, apatah lagi dari pembantu rumah yang tidak ada kaitan kekeluargaan yang khidmatnya dibayar, katanya rendah pula upahnya. Dalam perkataan lain lebih baik kita sendiri uruskan anak kita. Terpaksalah salah seorang berhenti kerja, kalau kesempurnaan jagaan dengan penuh kasih sayang yang ditagihkan. Jika tidak, terimalah risiko seperti yang diceritakan itu. Tapi bagaimana pula dengan kos saraan hidup yang sentiasa meningkat yang mahu tidak mahu suami dan isteri terpaksa bekerja? Serba salah.

Tapi kadang-kadang ada yang bernasib baik mendapat penjaga yang benar-benar mahu menjaga anak. Menjaga anak dengan penuh kasih sayang. Jadi tidak semua pembantu rumah yang berkelakuan tidak senonoh itu. Cuma tidak ramai yang bersifat mulia itu.

Jadi dalam keadaan seperti ini kita wajar memikirkan jalan keluar yang terbaik supaya anak-anak kecil kita, satu aset negara yang amat penting untuk satu kehidupan yang sejahtera pada masa depan. Tidak ada apa-apa makna jika negara mewarwarkan tentang kepentingan modal insan tanpa melihat masalah penjagaan anak-anak kecil ini.  Ini adalah satu keutamaan bagi negara. Jangan kaitkan dengan kemampuan kewangan apabila saja ada cadangan bagi kerajaan membiayai dari sumber negara bagi mengadakan secukupnya kemudahan penjagaan anak-anak kecil ini. 

Saya percaya sumber negara lebih dari cukup jika diuruskan dengan tertib , sempurna dan beramanah. Tiada pembaziran, tiada kehilangan dan kecurian dan tiada rasuah.

Saya akan menyentuh tentang hal ini iaitu pendekatan yang perlu diambil dalam hal menguruskan penjagaan anak-anak kecil pada paparan akan datang.

Buat sementara kami suami isteri akan meneruskan jagaan cucu kami kerana kami memang tidak mengharapkan atau menaruh harapan kepada pembantu rumah memberikan jagaan dengan penuh kasih sayang walaupun bukan anaknya sendiri tetapi sebagai insan kecil yang perlu dibelai dengan penuh kasih sayang.



Khamis, 22 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah.......bah.5

Cerita pembantu rumah kali ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri.

Saya dan isteri adalah pasangan rumah tangga yang bekerjaya. Itulah kesepakatan yang kami persetujui, tiada seorang pun yang perlu berhenti kerja apabila kami mendirikan rumah tangga.

Tidak ada keperluan untuk khidmat pembantu rumah semasa kami berdua saja. Semua urusan rumah tangga seperti masak memasak, mengemas, membersih dan mencuci rumah dalam dan luar termasuk longkang adalah tanggongjawab dan diuruskan sendiri. Beres.

Apabila kami dikurniakan cahaya mata pertama maka bermulalah dalam kehidupan kami keperluan bagi mendapat khidmat pembantu rumah yang dulunya kami panggil sebagai orang gaji. Kadang-kadang dalam perbualan dengan kawan-kawan, pembantu rumah ini kami kami panggil sebagai servant. Dan ibubapa kami pula lebih mesra dengan sebutan amah. 

Kami sebenarnya adalah diantara sebilangan kecil pasangan yang bernasib baik . Dari hari pertama kami dikurniakan cahaya mata sulong sehingga anak bongsu yang kesemuanya berjumlah enam orang, kami dibantu oleh keluarga iaitu ibubapa dan adik beradik serta saudara mara dari kedua belah pihak. Ada yang memberi bantuan dalam tempoh masa yang pendek misalnya sebulan dua dan ada yang secara kekal, tinggal bersama kami. Dengan demikian kami mengucapkan jutaan terima kasih dan mendoakan semoga segala budi dan jasa baik itu akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. 

Sesungguhnya  kami juga tidak akan lupa belaian kasih sayang yang telah diberikan oleh aruah nenek (nenek isteri yang dipanggil emak) yang tinggal bersama kami menjaga dan mengasuh kesemua enam orang anak-anak kami. Semoga Allah memasukkan roh aruah dikalangan orang-orang solehah yang diredhai.ALFATIHAH dari kami. Begitu juga emak saudara (sebelah isteri) yang bersama-sama nenek tinggal bersama kami. Segala kasih sayang yang diberikan kepada kami dan anak-anak tetap dikenang dan kami mendoakan agar makcik sentiasa sihat wal afiat dan diberi ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.   

Jadi adakah kami tidak mengambil pembantu rumah? Ambil, kami tetap perlukan bantuan dari pembantu rumah atau orang gaji.

Maka bermualah cerita pembantu rumah sebagai sebahagian dari pengalan hidup kami.

Sehingga anak kami yang bongsu iaitu anak keenam, kami mempunyai seorang pembantu rumah pada sesuatu masa. Cuma yang berbeza ianya bukan orang yang sama. Dalam kata lain sepanjang kami mempunyai pembantu rumah bilangan yang telah kami ambil adalah seramai 5 orang dalam tempoh kurang lebih 15 tahun. Purata seorang bagi tempoh 3 tahun. Tetapi tidak semestinya begitu. Ada yang tidak sampai beberapa bulan atau tidak mencukupi setahun. Ada yang lama melebihi 2 atau 3 tahun. Maknanya yang berhenti cepat itu ada sebab yang tertentu.

Saya tidak 'mesra' dengan mereka. Hanya sekali sekala menyatakan sesuatu atau meminta membuat sesuatu. Isteri, nenek dan makciklah yang sentiasa berkomunikasi menentukan kerja yang perlu dibuat. Tetapi kerja itu tidak termasuk menjaga dan mengurus dan mengasuh anak. Kerja-kerja ini menjadi monopoli makcik dan nenek terutama nenek yang tidak yakin untuk menyerahkan kepada orang lain. Maklumlah cicit nenek.

Secara amnya saya dapati kerja-kerja yang dilakukan tidaklah berat cuma masa rihat agak terhad. Untuk berhubung dengan orang diluar adalah sulit sekali kerana kehadiran nenek dan makcik. Waktu itu tiada talipon tangan. Maka saya percaya kehidupan mereka di rumah kami sebagai pembantu rumah amat menjemukan sekali. Tetapi mereka adalah pembantu rumah, itulah kedudukan mereka yang mempengaruhi kami bersikap demikian. Namun jika mereka perlu bercuti untuk balik kampong kami tidak pernah menghalang.
   
Dari segi upah ketika itu, kami bayar sebanyak RM400.00 sebulan. Kami merasakan upah sebanyak itu adalah wajar bagi kerja yang dilakukan. 

Ada masalah?

Sudah tentu ada masalah. Pertama rasa tidak puas hati isteri ,nenek dan makcik terhadap kerja-kerja yang dilakukan. Tidak sampai ke tahap yang diharapkan. Tetapi yang baiknya mereka semua tidak pernah memarahi pembantu rumah itu. Yang agak merunsingkan ialah segala rungutan itu atau rasa tidak puas hati itu diberi tahu kepada saya. Bukan bermaksud untuk meminta saya memarahi pembantu rumah itu tetapi sekadar melepaskan 'geram' saja. Saya pun tidak berminat untuk memarahi pembantu rumah itu.

Sebenarnya kami tidak mahu mewujudkan satu keadaan dimana pembantu rumah itu minta segera diberhentikan. Masalah itu yang kami cuba elakkan, seboleh-bolehnya. Bermakna segala rasa tidak puas hati itu hanya disampaikan dalam bentuk melakukan bersama kerja-kerja itu supaya dapat dilihat dan dituruti selepas itu atau telan dan simpan saja dihati, dan paling mudah curahkan kepada saya. Selesai masaalah. Saya pula kerana alah bisa tegal biasa bersikap masuk telinga kiri , keluar telinga kanan. Selesai juga masalah.

Kedua pembantu rumah yang tidak sihat. Pembantu rumah ini kami ambil dari rumahnya. Bersaksikan kedua ibubapanya kami menyatakan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Ada anggokan dari yang hendak bekerja dan ibubapa sebagai tanda sanggiup dan bersetuju dengan kerja yang dilakukan. 

Tidak sampai beberapa bulan, mungkin 2 bulan, pembantu rumah ini mohon berhenti kerja. Beliau tidak mampu melakukan kerja kerana beliau adalah selalu diserang kelelahan. Saya juga seorang yang mengidap penyakiy yang sama tapi tidak seteruk pembantu ini. Dengan demikian saya terlalu faham tentang kemampuan pembantu itu untuk melakukan kerja dalam keadaan selalu diserang lelah. Maka kami bersetuju untuk menghantar balik. Kasihan juga kerana beliau adalah dari keluarga miskin.

Ketiga, pembantu rumah yang panjang tangan. Pembantu ini kami perolehi melalui seorang kawan. Ketika itu tidak ada agensi pengambilan pembantu rumah. Pembantu rumah pula terdiri dari orang tempatan.

Pembantu itu cergas orangnya. Dimaklumkan tamat tingkatan lima tetapi tidak pasti gred berapa yang diperolehi dalam peperiksaan SPM. Saya cuma boleh agak saja, mungkin setakat sijil am saja. 

Tiada siapa diantara kami yang menaruh rasa curiga dan syak wasangka terhadap pembantu ini. Ertinya beliau boleh masuk bebas kedalam mana-mana ruang dalam rumah kecuali bilik kami. Namun saya tidak pasti sama ada beliau pernah memasuki ke bilik kami semasa kami bekerja. Bilik itu sentiasa tutup tapi tidak berkunci.
Suatu hari nenek meberi tahu wang yang disimpannya  telah hilang. Saya tidak tahu dimana wang itu disimpan tetapi saya diberitahu jumlahnya mencecah ribu, empat ribu kalau tidak silap saya. Wang itu adalah hasil simpanan dari pemberian anak cucu termasuklah isteri saya. Tidak pula dibuka akaun simpanan di bank. Orang tua, maklumlah.

Semenjak nenek bersama kami, itulah kali pertama wangnya hilang. Rumah kami tidak dimasukki pencuri atau perompak. Jadi siapa yang ambil? Siapa yang curi?

Kami semuanya berpendapat ianya dilakukan oleh pembantu rumah. Tapi beliau tidak mengaku walaupun saya menyatakan untuk membuat laporan polis. Saya tidak pula membuat laporan polis kerana pada saya ianya tidak perlu dan boleh diselesaikan tanpa siasatan polis. Bagaimana?

Caranya ialah berhentikan saja pekerja itu. Wang yang hilang itu anggapkan bukan rezeki kita lagi. Selesai cerita tanpa melibatkan pihak lain. Lagipun kepercayaan kami kepada pekerja itu telah menjadi negatif, kosong. Langsong tidak percaya.

Selepas peristiwa itu, kepercayaan kami kepada pembantu rumah sudah longgar walaupun kami tahu tidak semuanya begitu. Ini adalah sangka buruk yang tidak baik. Ya, kami sedar tetapi lebih baik mempunyai sedikit kecurigaan dan rasa cemburu daripada mempercayai sepenuhnya. 

Saat yang paling menyenangkan sekali ialah apabila isteri membuat keputusan untuk berhenti kerja. Berhenti kerja bukan fasal kecurian itu. Tapi kedudukan ekonomi telah agak stabil. Sesungguhnya terlalu jauh bezanya diantara khidmat yang diberikan oleh pembantu rumah dengan khidmat isteri yang menguruskan rumah sepenuh masa. Isteripun terlalu suka dan saya terlalu gembira. 

Ertinya sebaik-baik khidmat menguruskan rumah tangga adalah dari isteri sendiri. Isteri gembira, suami ceria dan anak berpesta ria.

Rabu, 21 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah .....bah.4

Begitulah asas mula hubungan yang wujud diantara majikan dan pembantu rumah iaitu diantara tuan yang mempunyai segala kuasa keatas  pekerja yang hanya menerima saja perintah seadanya yang perlu ditaati. Maka soal liputan kerja, masa untuk berihat  melepaskan lelah, masa untuk menghibur dan berhibur menghilangkan duka dan rindu, untuk mencumbu rasa seperti manusia biasa, dan ketika bila boleh melelapkan mata adalah kesemuanya hak mutlak tuan yang berkuasa menentukannya.

Ertinya pembantu rumah  ini, hanya ikut saja perintah tuan walaupun mereka juga adalah manusia seperti tuannya juga  yang mempunyai maruah, harga diri, kehendak dan keinginan mental, fizikal, sosial dan biologikal. Lupakan semua itu jika seseorang itu telah ditakdir menjadi pembantu rumah. 

Apakah nilai yang ada kepada pembantu rumah yang 'bodoh' dan 'hodoh' itu selain dari sesuai untuk diberikan upah yang setimpal dengan keterampilannya, cukup dinilai setakat sifatnya itu saja dan bukan kerana beban kerja yang dilakukan. Apatah lagi makan minum, bilik tidur, air dan letrik semuanya dinikmati sama oleh pembantu rumah.

Namun, itu cerita lama ketika mana bilangan yang mahu menjadi pembantu rumah mengatasi bilangan yang memerlukan. Tidak lagi sekarang. 

Disamping itu peluang kerja diluar kongkongan rumah semakin bertambah, misalnya kerja dikilang-kilang pembuatan, pengeluaran dan organisasi pemberi khidmat, memberi kesan yang besar kepada corak dan bentuk hubungan diantara pekerja dan majikan. 

Begitu juga bilangan yang memerlukan khidmat pembantu rumah semakin bertambah kesan dari pasangan suami isteri yang bekerjaya.  

Yang paling ketara ialah terlalu sukar ketika ini untuk mendapatkan pekerja rumah tempatan.

Maka dengan permintaan pembantu rumah yang semakin bertambah dan tiadanya minat orang tempatan, bidang kerja pembantu rumah ini memasuki pasaran buruh dalam dimensi yang baru iaitu bekalannya diperolehi dari luar negara terutamanya dari Indonesia dan Filipina. Dan kemasukan itu bukan saja melalui saluran yang sah bahkan secara yang tidak sah, diseludupkan.

Kemasukan pembantu rumah dari luar negara inilah sama ada secara sah dan sebaliknya, telah dan sedang mencorakkan bentuk hubungan diantara majikan dan pembantu rumah. 

Apakah corak dan bentuk hubungan itu?

Saya hanya dapat ringkaskan kepada hal-hal berikut:
i) Perlakuan-perlakuan diluar batasan undang-undang dan kemanusiaan oleh majikan,
ii) Tertubuhnya agensi-agensi yang menguruskan pengambilan,
iii) Implikasi kos yang bertambah kepada majikan
iv) Perlakuan-perlakuan jenayah seperti melarikan anak, mencederakan dan penipuan serta mencuri
v) Perlakuan-perlakuan tidak beradab seperti memasukkan kotoran dalam makanan dan minuman seperti air ludah, dan kotoran yang lain
vi) Menggunakan ilmu hitam atau cara yang boleh menundukkan majikan
 
Dan banyak lagi perlakuan yang mencorakkan bentuk dan cara hubungan yang jauh berbeza dari asal mulanya seseorang pembantu rumah itu dengan tuan/majikannya. Tidak lagi sepenuhnya menurut arah dan perintah majikan walaupun dihadapan tuan nampaknya seperti pekerja yang taat. Ada semacam balas dendam dan sakit hati akan 'kesombongan' dan 'kejahatan' majikan.

Maka dengan itu kita boleh dengar berbagai cerita tentang pembantu rumah dan juga tentang sikap serta layanan majikan kepada pembantu rumah. Cerita-cerita inilah yang akan saya paparkan nanti. 

Cerita-cerita inilah saya percaya yang membuatkan Kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk berunding dan seterusnya mematrai perjanjian bertujuan bagi mewujudkan satu pasaran buruh pembantu rumah yang sistematik , adil dan terkawal. Tapi malangnya belum lagi perjanjian itu beroperasi, timbul pula isu bidang kerja pembantu rumah itu. Pembantu rumah hanya melakukan satu kerja saja.




 

Selasa, 20 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah .......bah.3

Servant. Amah. Orang Gaji. Begitulah permulaan sikap dan saikologi kita/majikan dalam meletakkan diri dalam hubungan dengan orang yang diharapkan untuk menguruskan segala bentuk kerja rumah. Kemudian ketika ini dilembutkan dengan panggilan Pembantu Rumah-membantu kerja dirumah. 

Apa itu kerja rumah? Segala-galanya yang bersangkutan dengan rumah dari segi menyediakan keperluan makan minum, kebersihan dalaman dan kadang-kadang termasuk luar seperti membersihkan longkang, kerja-kerja cucian pakaian dan perkakasan makanan, mengurus anak/orang tua, ke pasar dan semua hal yang diminta oleh majikan untuk merengankan kerja tuan rumah. Maknanya kerja pembantu rumah ini tiada hadnya, mengikut saja arahan majikan. 

Sama saja dengan seorang penjawat awam yang telah ditentukan tugas dalam senarai tugas terakhirnya iaitu 'melakukan tugas seperti yang diarahkan' dibawah akujanji 'Saya Yang Menurut Perintah' (SYMP) yang terus berkekalan sehingga hari ini yang tidak ada tanda-tanda akan lenyap pada masa akan datang. 

Penjawat awam dan Pembantu Rumah adalah dalam kategori 'servant to serve the masters'. Siapa masters ini? Bagi penjawat awam, orang politiklah. Bagi pembantu rumah pula 'masters'nya adalah majikan dari berbagai latar belakang termasuk penjawat awam yang menjadi 'servant' kepada orang politik itu. Sama saja kedudukan mereka dari segi tanggapan sikap dan saikologi. Sekali lagi, 'Saya Yang Menurut Perintah'.

Namun terlalu banyak  bezanya diantara dua jenis kerja ini walaupun kedua-duanya adalah 'servant' kepada tuan masing-masing. Penjawat awam adalah satu kerjaya. Pembantu rumah pula bekerja sampai ketitisan peluh terakhir/sehingga usia tua ,tiada  peningkatan kedudukan atau upah (tapi ada juga tuan yang baik hati beri sedikit tambah upah). Dari mula/muda sampai ke akhir/usia tua, pembantu rumah tetap juga pembantu rumah.   

Diatas saya telah pun ceritakan  apakah sikap dan saikologi kita terhadap pembantu rumah, atau orang gaji, atau amah atau servant dalam menentukan kedudukan mereka dalam hubungan dengan majikan. Diceritakan juga liputan kerja mereka yang termasuk dan tidak terhad kepada satu kerja rumah saja; persamaan diantara penjawat awam dan pembantu rumah dari segi ketaatan yang diperlukan oleh majikan iaitu sentiasa menjadi 'servant' , turut perintah dibawah akujanji 'Saya Yang Menurut Perintah'. Bezanya, servant atau amah atau orang gaji atau pembantu rumah ini sentiasa kekal sifat dan kedudukannya sebagai pembantu rumah. Pembantu rumah bukan satu kerjaya. Hamba? Saya tidak pasti.

Dengan demikian, pembantu rumah tidak memerlukan sijil kelayakan. Siapa saja yang sudi dan sanggup menerima kerja/kerja-kerja rumah yang meliputi dan tidak terhad atas dasar turut perintah majikan adalah layak dan dialu-alukan menjadi pembantu rumah. Oleh itu mereka ini tidak ada kualiti dari segi ilmu sama ada yang bersangkutan bidang kerja, secara amnya tidak juga mempunyai rupa paras yang menarik, dan ini yang menjadi keutamaan pilihan, latarbelakang orang yang susah, ada yang tidak pernah ke sekolah dan kalau ke sekolah pun setakat hadir tidak lebih pada tahap sekolah rendah, janda atau ibu tunggal yang kesempitan menyara hidup dan mereka yang memerlukan sangat untuk menyara kehidupan dengan pendapatan yang halal walaupun sedikit.

Mereka ini akan bekerja dengan orang yang mempunyai kedudukan, yang mempunyai kemampuan kewangan tetapi tidak mampu untuk menguruskan 'kerumahan' secara sendiri, perlu dibantu. 

Maka dalam keadaan seperti yang dinyatakan itulah, secara sedar atau tidak sedar telah memandu dan membentuk sikap dan saikologi dalam hubungan diantara servant atau amah atau orang gaji atau pembantu rumah dengan majikan sebagai tuan. 

Dengan itu apakah yang dapat diharapkan, hasil dari hubungan tersebut?

Hasilnya ialah berbagai cerita yang akan saya paparkan seterusnya nanti.  

Isnin, 19 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah......bah.2

Paparan semalam menceritakan fasal gaji tujuh ratus sebulan untuk melakukan satu kerja saja. Banyak orang yang terbeliak mata dan mulut ternganga-nganga . Kemudian segera membebel marahkan kenapa jadi begitu sambil mengesyakki wakil Malaysia dalam perundingan dengan wakil Indonesia itu tidak tahu buat kerja. Tidak tahu apakah syarat dan terma yang telah dipersetujui diantara Malaysia dan Indonesia dalam hal pembantu rumah ini. Nasib baik PM kata dia dan Presiden Indonesia tidak ada membuat persetujuan tentang buat satu kerja saja. Tenang sedikit kerisauan bakal-bakal majikan yang berhasrat untuk mengambil pembantu rumah ini. Tapi kalau ada yang masih tidak tenang, uruskan kerja-kerja yang hendak diberikan kepada pembantu rumah secara sendiri. Baru puas hati. Jangan marah dan usah gelabah.

Seorang kawan berlawak jenaka katanya dengan pengkhususan satu kerja bagi pembantu rumah ini , kita perlu ambil ramai pembantu rumah untuk misalnya menguruskan anak saja. Kita  perlu ada pembantu rumah untuk kerja lipat pakaian anak; pekerja yang basuh pakaian; masak bubur anak; suap makanan; mandi dan mencuci berak anak; mendodoi dan menidur anak dan macam-macam kerja lagi. Bilangan pekerja dalam rumah kita akan melebihi dari bilangan keluarga kita. Terpaksa menyediakan banyak bilik. Belanja makan minum, air dan letrik, sabun dan shampoo, bedak dan gincu untuk pekerja melebihi dari tuan rumah. Nak mampus!

Seorang kawan pula mengatakan tidak lah sampai begitu maksudnya buat satu kerja itu. Katanya lagi buat satu kerja, misalnya menguruskan anak, adalah meliputi dan termasuk membasuh pakaian anak, menyuci dan memandikan anak, menyediakan makanan dan menyuapkannya, menjaga dan bermain bersama anak supaya tidak mendatangkan kecederaan, menidurkan anak dan segala kerja yang bersangkutan dengan anak  itu supaya anak itu sentiasa bersih, tidak kelaparan, tidak cedera , selamat, terhibur dan lena tidur.

Tambah kawan itu lagi, kita mestilah sediakan Senarai Tugas tentang penjagaan/menguruskan anak itu. Barulah pembantu rumah itu dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan teratur kerana ada panduan yang perlu dipatuhi.

Apabila kawan itu menyebut Senarai Tugas, fikiran saya dengan pantas teringat kembali semasa bekerja dahulu. Dokumen utama yang mesti ada dan yang wajib diketahui dan dipatuhi ialah Senarai Tugas. Apakah tugas kita bagi sesuatu jawatan yang kita pegang. Misalnya kita diberi tugas sebagai kerani kewangan. Maka ditunjukkan dengan jelas satu persatu tugas kita yang ada sangkut paut dengan kewangan, misalnya menyediakan baucer bayaran, mengeluarkan pesanan tempatan , mendaftar bil dan sebagainya. Jadi kerja kita terpandu seperti dalam senarai tugas.

Maknanya kerja diatas dilakukan secara pengkhususan iaitu kerja menguruskan kewangan. Sama juga dengan  maksud melakukan 'satu kerja' bagi pembantu rumah itu iaitu kerja menguruskan anak. Ada pengkhususan kerja, tidak carca merba. Meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Bukan kah itu yang kita mahu?

Cuma dalam setiap senarai tugas penjawat awam itu terdapat satu tugas yang meliputi dan merangkumi segala tugas. Apakah tugas itu? Melakukan tugas 'seperti yang diarahkan'. Ertinya apa saja yang disuruh oleh bos, seorang penjawat awam itu tidak mempunyai alasan untuk enggan melakukannya.

Jadi dalam hubungan pembantu rumah yang buat satu kerja yang khusus ini, kita sediakan senarai tugas kerja tersebut, misalnya menjaga anak, dan masukkan di akhir senarai tugasnya , menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Bukankah seorang pekerja itu perlu mematuhi arahan majikan?

Dengan cara demikian dapatlah kita atasi fasal buat satu kerja saja.

Lagipun pembantu rumah yang dulunya termasyhur dengan panggilan servant. Sama juga dengan penjawat awam yang dulunya, dan mungkin sekarang dipanggil government servant. Sebab itu apabila mereka hendak menanda tangani surat, mereka terlebih dahulu memastikan telah sedia ada perkataan 'Saya Yang Menurut Perintah' sebelum surat itu ditandatangani. Jadi pembantu rumah yang juga sebagai servant tiada alasan untuk tidak menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh majikannya. 

Kalaulah begitu keadaannya, maksud saya kita sediakan senarai tugas seperti yang diperkatakan, soal buat satu kerja itu nampaknya tidak jadi masaalah kerana majikan boleh mengarahkan apa saja tugas seperti yang terdapat dalam senarai tugas bagi kerja yang khusus itu.

Macam mana tentang cerita senarai tugas itu? Majikan boleh terima? Pembantu rumah boleh terima?

Saya percaya majikan boleh terima. Pembantu rumah mungkin banyak yang tidak boleh terima. Pada saya itu hak pembantu rumah. Jika tidak mahu terima mereka itu tidaklah jadi pembantu rumah. Tidak jadi servant. Tidak perlu ikut perintah. Tidak perlu datang ke Malaysia.

Tapi sebahagian besar rakyat Malaysia masih memerlukan khidmat pembantu rumah. 

Baiklah, saya akan mencadangkan pendekatan yang wajar diambil bersangkutan dengan khidmat pembantu rumah ini dalam paparan seterusnya. 

Bagaimanapun, saya merasakan lebih molek untuk saya memaparkan kisah suka, duka, pahit, manis, masam, pedas, masin, tawar, dan berbagai lagi rasa terlebih dahulu dalam hubungan diantara majikan dan pembantu rumah. Saya percaya dengan cerita-cerita yang akan dipaparkan ini terlebih dahulu, masing-masing pihak (majikan dan pembantu rumah)  dapat menghargai dan saling hormat menghormati diantara satu dengan yang lain. 

Ikuti terusnya cerita pembantu rumah ini.
  

Ahad, 18 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah.......bahagian 1

Cerita Pembantu Rumah masih lagi berterusan. Semalam ceritanya adalah mengenai berita mengatakan gaji pembantu rumah telah ditetapkan sebanyak RM700.00 sebulan. Ianya tidak membuatkan banyak orang terbeliak mata, macam boleh diterima saja. Pembantu Rumah ini hanya melakukan satu kerja saja sebagai balasan upah tujuh ratus sebulan itu. Berita inilah yang membuatkan cerita Pembantu Rumah berterusan, berkesinambungan, tidak tahu sampai bila waktu penamatnya. Banyak mata yang terbeliak, mulut ternganga luas dan cepat-cepat mulut itu ditutup dan dibuka bagi membenarkan lidah menzahirkan kata melalui kotak suara. 

"Apa buat satu kerja, tujuh ratus ringgit. Gila ke. Bilik percuma, makan percuma, tengok tv dan video percuma, air dan letrik percuma, sabun , bedak , obat gigi, dan shampoo percuma. Kalau ikut makan angin duduk bilik hotel percuma. Perangai belum tau baik. Lari tinggalkan anak, lari bawa anak, cedera dan dera anak, mencuri, bawa boyfriend di rumah , tak patut, dah melampau".

Reaksi secara am dari bakal majikan yang tertunggu-tunggu akan keputusan  perjanjian yang termetrai antara Indonesia dan Malaysia bersangkutan Pembantu Rumah ini. Majoriti terlalu marah dan ada yang menyampah. Tidak kurang yang meluat."Baik salah seorang kita berhenti kerja. Urus anak sendiri. Menyakitkan hati", ada juga reaksi yang sampai keperingkat emosi yang tidak dapat ditahan.

Hari ini cerita lain pula dari PM. Kata PM dia tidak pernah bersetuju sewaktu berbincang dengan Presiden Indonesia dulu. PM pun tidak bersetuju. Jadi siapa yang setuju? Indonesia buat keputusan sendiri ke? Kalau begitu apa makna rundingan? Apa makna perjanjian? Mesti dua-dua pihak telah mencapai kesepakatan, baru perjanjian di tandatangani.

Dalam berita hari ini juga ada diceritakan bahawa 'satu kerja' ini adalah datangnya dari pihak Indonesia dalam satu pengumuman yang dihadiri wakil Malaysia. Diceritakan juga wakil Malaysia tidak pula buat celahan menyatakan perkara itu tidak termasuklah dalam perjanjian yang telah dipersetujui. Maknanya, kalau tiada celahan untuk mempersoalkan apa yang diumumkan, Indonesia atau saya sendiri beranggapan bahawa wakil Malaysia yang hadir dalam sessi pengumuman itu bersetuju. 

Atau wakil kita itu tidak tahu tentang syarat dan terma perjanjian yang telah dipersetujui? Atau tidak mahu merosakkan majlis pengumuman itu dan berpendapat ianya akan diselesaikan selepas itu? Atau tidak faham apa yang dituturkan oleh wakil Indonesia itu?

Macam-macam cerita pembantu rumah ini. Tak habis-habis.

Saya sengaja memangilnya sebagai cerita, bukan berita dan tidak juga isu. Sebab, cerita ini ada bermacam-macam. Ada yang benar, ada yang bohong, ada yang baik , ada yang tidak baik, ada yang menyakitkan dan ada yang menyenangkan hati dan macam-macam perspektif lagi.

Saya akan bercerita tentang pembantu rumah ini dari berbagai cerita. Dari cerita pengalaman sendiri, pengalaman dan cerita sahabat-sahabat, dari cerita yang dibuatkan dalam bentuk drama tv, dari youtube dan dari berbagai sumber.

Anda sendiri ada cerita. Dengan itu nilaikan sendiri cerita yang bakal saya ceritakan pada paparan esok hari. 

Buat ketika ini, penjelasan PM itu sudah menenangkan sedikit kerisauan bakal-bakal majikan. Usah gelabah. Kalau masih lagi marah, uruslah sendiri apa yang perlu kita buat. Bagaimana? Fikirlah sendiri. 

Sabtu, 17 Mac 2012

Nadal Menang, Saya mesti Buat Senaman

Sudah agak lama tidak buat senaman pagi. Kolestrerol makin banyak terkumpul. Tapi temu janji dengan doktor masih jauh lagi iaitu pada bulan Jun. Masih ada banyak masa untuk melakukan senaman dan menyingkir/mengurangkan kolesterol dalam saluran darah.

Selepas Subuh , menuju keruang tv, mengintai kalau-kalau ada siaran langsung perlawanan tenis Indian Wells dari tengah padang pasir di California Amerika Syarikat. Yes, tekeluar rasa gembira. Perlawanan diantara Rafael Nadal, rangking no. 2 dari Sepanyol yang saya minati dengan David Nalbandian dari Argentina baru saja di peringkat memanaskan badan. 

Maka saya duduk tercangok dalam jarak dua kaki dihadapan tv. Dalam hati dan fikiran sudah ada keputusan siapakah yang akan menang. Sudah tentu Nadal 'dengan straight set'. Nalbandian bukan lawan sepadan Nadal. Mudah saja Nadal spin, tercungap-cungap dia membalas tapi tidak mampu menghantar bola mengatasi net, terkandas. Saya tersenyum sendirian kerana terlalu yakin Nadal akan meratah lawan yang lebih usia darinya dengan terlalu mudah.

Oooop jantung saya berdegup semakin cepat apabila Nadal serve pada kedudukan 4/5. Habislah Nadal kali ini, tapi masih berharap Nadal berjaya untuk dapat menyamakan ke kedudukan 5/5. Hancur, Nadal kecundang di set pertama 4/6.

Diwaktu pemain berehat sebelum memulakan set kedua, saya membebel sendiri menyalahkan Nadal kerana turut sama dalam permainan bergu dipertandingan Indian Wells ini. "Mana boleh macam tu. Habis staminalah. Ini main tenis yang makan berjam-jam. Jangan terlampau tamak. Nak jadi juara dalam dua kategori".

Set kedua bermula dan saya masih mengharapkan Nadal menang walaupun rasa sedikit marah dihati kerana Nadal bermain dalam acara bergu. Perjalanan set kedua tidak menyenangkan hati saya. Nalbandian tidak menunjukkan sebarang tanda sama ada keletihan atau tidak dapat membalas spin Nadal dengan baik, semuanya dapat disempurnakan. Semakin merisaukan pada kedudukan sama 5/5. Nalbandian serve. 

Yes, Nadal berjaya 'break' serve di kedudukan ini menjadikan 6/5. Keyakinan Nadal menang mula meningkat melebihi sedikit 50%. tapi tidak sampai 52%. Akhirnya Nadal menang set kedua  yang membuatkan mereka terpaksa membuat penentuan di set ketiga bagi meneruskan persaingan di peringkat separuh akhir berjumpa dengan Roger Ferderer yang terlebih awal telah berjaya mengalahkan del Petro straight set.

Persaingan di set ketiga pada peringkat awal menyenangkan hati. Nadal pada kedudukan 5/2, jauh meninggalkan Nalbandian. "Tentu menang punya", saya cakap sendirian kerana saya saja duduk mencangok di depan tv. Yang lain masih dalam bilik.

Sekali lagi denyutan jantung saya bertambah cepat apabila Nalbandian berjaya 'break' service Nadal. Sudah pada kedudukan 5/4. Nalbandian serve untuk menyamakan kedudukan 5/5 dan membuka peluang untuk menang sama ada pada mata 7/5 atau melalui 'tie breaker'. Keyakinan saya mula menurun bawah 50% tetapi tidak rendah dari 48% dengan menaruhkan harapan agar Nadal berjaya pada kedudukan ini.

Yeeeehhhhhh Nadal menang 6/4. Tangan kanan saya meraba dada disebelah kiri. Saya terlalu gembira. Jantung yang telah dibuat pintasan 7 tahun yang lepas tidak membenarkan saya terlalu 'exited'. Tambah-tambah telah lama senaman tidak dilakukan . Kolesterol sudah membiak. Ada sedikit rasa kesakitan. Esok saya akan mula senaman. Masih sempat mengurangkan kolesterol sebelum bertemu doktor pada bulan Jun nanti.


Khamis, 15 Mac 2012

Jangan rasa terhutang budi nanti tergadai undi

1. Masa zaman remaja dulu khususnya semasa dalam pengajian, ramai kawan-kawan memberi ingatan kepada kawan-kawan perempuan secara bergurau, "Jangan suka makan budi nanti tergadai body". Dalam bahasa biasa, jangan selalu/suka terima bantuan, hadiah, pertolongan, pemberian, pujian dan segala yang bersifat memujuk kerana kesannya akan meresap ke dalam hati dan jiwa sehingga boleh lupa harga diri. Maka tergadailah 'body'. Oleh itu jalan yang selamat ialah elakkan diri dari penyakit suka menerima budi kerana biasanya yang suka memberi itu tidak banyak yang tidak mahu dibalas seperti yang digambarkan dalam pantun dua kerat ini:

Ada ubi , ada batas
Orang berbudi kita membalas.

2. Berbudi dan membalas budi adalah sifat  yang baik, tidak salah. Memang juga benar ada pihak ikhlas dalam berbudi. Orang ini berhati mulia. 

3. Cuma dalam banyak hal, orang yang berbudi ini menaruh sesuatu harapan dari yang menerima budi.  Maka jika budinya tidak dibalas, timbullah sebutan di hati atau terkeluar kata-kata bahawa orang yang terima budi itu tidak tahu mengenang budi. Atau yang selalu menerima budi itu, rasa serba salah jika tidak memperkenankan sesuatu hajat yang diperlukan/diminta oleh orang yang telah selalu berbudi kepadanya. 

4. Dalam keadaan seperti diatas ini, kalau diambil kes seorang perempuan yang telah terlalu banyak menerima budi dari seorang lelaki, dan jika lelaki ini pandai pujuk dan rayu, kebarangkalian bagi perempuan ini terjebak dalam 'perangkap budi yang perlu dibalas ini', adalah besar sekali. Yang paling malang sekali budi itu dibalas/terpaksa dibalas dalam bentuk apa yang dikatakan sebagai 'tergadai body'.

5. Oleh itu bersederhanalah dalam berbudi dan menerima budi. Yang terbaik sekali jangan menaruh harapan untuk budi dibalas. Kalau tidak mampu berbuat demikian lebih baik jangan berbudi kerana ia boleh menyusahkan orang yang menerima budi.

6. Selain dari budi yang boleh menyebabkan tergadai 'body', ada juga budi yang selalu diungkit-ungkit yang perlu dibalas. Budi ini adalah budi orang politik. Budi ini secara terang lagi jelas diminta untuk dibalas. Balasannya adalah dalam bentuk undi dalam sesuatu pemilihan/pilihanraya. Mereka yang telah dibantu, ditolong bahkan yang telah dipermudahkan dalam sesuatu urusan diseru dan diminta untuk mengundi/memilih mereka sebagai cara mengenang budi. 

7. Contoh. Pada akhir-akhir ini Kerajaan Persekutuan (BN) telah banyak mengeluarkan berbagai bantuan dan pertolongan . Satu daripadanya ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada rakyat berpendapatan kurang dari RM 3,000 sebulan bagi merengan beban saraan yang ditanggong. Secara asasnya ini adalah merupakan satu langkah yang baik dalam keadaan hidup yang berhadapan dengan kos barangan dan perkhidmatan yang sentiasa meningkat. 

8. Ada juga bantuan dalam bentuk memberi baucer bayaran kepada pelajar-pelajar untuk membeli buku. Alhamdulillah, ini juga satu langkah yang baik.

9. Satu lagi bentuk skim bagi merengankan beban rakyat khususnya penjawat awam yang berjumlah 1.3 juta orang ialah  melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang memberi kenaikan gaji kepada anggota perkhidmatan awam. Namun SBPA terpaksa dibatalkan pelaksanaannya disaat akhir apabila pihak Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan rasa tidak puas hati dengan SBPA itu sendiri yang antara lain boleh melebarkan lagi jurang pendapatan diantara golongan pekerja rendah dengan golongan yang berkedudukan tinggi.


10. Mendengar dan memahami 'denyut nadi' golongan penjawat awam bawahan itu maka Kerajaan telah membatalkan SBPA  dan diganti dengan kaedah penyelarasan  berasaskan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan memberi kenaikan dari 7 hingga 13 peratus, disamping janji Kerajaan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya untuk mengkaji saraan penjawat awam itu. Ini pun satu langkah yang baik.


11. Segala macam bentuk bantuan  yang dilaksanakan termasuk kenaikan saraan penjawat awam adalah  merupakan langkah-langkah  yang baik kerana dapat merengankan beban rakyat, demi kebahagian dan kesejahteraan rakyat.


12. Maknanya apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat itu adalah satu budi. Budi harus dibalas. Rakyat harus membalas budi kerajaan itu.

13. Balasan rakyat kepada Kerajaan adalah dalam bentuk  terus memberikan kepercayaan/amanah agar kuasa yang ada dikekalkan dengan memberikan undi dalam pilihanraya yang dijangka menghampiri ini. Jika sebahagian besar rakyat berbuat demikian maka kerajaan boleh terus menabur budi pada masa hadapan.


14. Tapi adakah sebenarnya kerajaan itu berbudi? Dalam hubungan orang perseorangan, budi yang terbaik adalah yang tidak mengharapkan balasan, yang tidak diungkit-ungkit. Memberikan bantuan/pertolongan secara ikhlas. Kalau tidak ikhlas jangan berbudi. Manakala dalam hubungan Kerajaan dengan rakyat pula sebenarnya soal budi tidak timbul sama sekali kerana kerajaan bertanggongjawab untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat untuk mengurus negara dalam sebuah sistem demokrasi. 

15. Maknanya ungkit-mengungkit akan segala projek/skim bantuan, pertolongan dan segala bentuk usaha bertujuan  merengankan beban rakyat adalah satu perbuatan yang tidak menepati tanggongjawab kerajaan yang menerima amanah rakyat itu. Atau kata-kata yang menghasilkan ayat 'lu tolong gua, gua tolong lu', adalah menyimpang dari semangat dan tanggongjawab sebenar kerajaan dipilih. Amat malang sekali kata-kata itu dimasyhurkan dan dijadikan asas untuk mendapat/mengekalkan kuasa. Itu bukan kerajaan yang beramanah.


16. Jadi adakah ini bermaksud kerajaan yang telah memberi berbagai bantuan dan pertolongan demi kesejahteraan rakyat itu adalah sebuah kerajaan yang tidak baik? Dan jika sedang berkuasa, dan ingin mahu mengekalkan kuasa melalui pilihanraya yang akan datang nanti, adakah wajar rakyat menolaknya?


17. Secara amnya kerajaan seperti itu adalah sebuah kerajaan yang baik. Dan jika mahu mengekalkan kuasa, rakyat wajar menyokongnya.


18. Tetapi, cara, kaedah, gaya, pendekatan, kesungguhan dan keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan bantuan, pertolongan dan berbagai usaha untuk rakyat itu perlu juga dilihat dan diteliti dengan adil dan saksama. Adakah semua itu atas dasar menjalankan amanah atau ada kepentingan/tujuan selain dari itu.


19. Soalan yang di kemukakan itu terlalu mudah iaitu adakah kerajaan itu menjalankan amanah? Mencari jawapan tidak semudah bertanya kerana jawapan itu mesti berasaskan bukti yang nyata, fakta dan angka serta kenyataan yang jelas. Mestilah adil dan saksama. Namun jika pihak kerajaan tidak mempunyai kesungguhan untuk menjelas dan membersihkan diri dari berbagai dakwaan salah laku dan pecah amanah maka rakyat mempunyai hak untuk meragui kejujuran kerajaan dalam melaksanakan berbagai pertolongan, bantuan, kemudahan dalam berbagai program/skim dan projek. Apatah lagi jika kecenderungan kerajaan untuk melindungi salah laku dalam urustadbir negara terserlah sekali.


20. Ambil saja kes-kes berkaitan dengan pengurusan wang/hasil negara seperti berikut:


20.1 Dakwaan kerugian wang negara sebanyak RM1.8 bilion.
20.2 Pengaliran wang haram ke luar negara. Menurut Global Financial Integrity (GFI) pada tahun 2009 aliran wang haram Malaysia ke luar negara adalah sebanyak USD 903 bilion menjadikan Malaysia negara 20 paling atas  dari jumlah 157 buah negara.
20.3 Kerugian yang di tanggong oleh syarikat penerbangan MAS melalui salah urus dan penyelesaian diluar mahkamah.
20.4 Komisyen/rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpeon yang melibatkan RM500 juta.
20.5 Kes pinjaman mudah kerajaan RM250 juta untuk projek NFC yang disalahgunakan.
20.6 Berbagai projek yang melibatkan kenaikan kos berlipatganda dari kos asal yang tidak masuk akal.
20.7 Pemberian projek yang didakwa tidak telus misalnya projek pembinaan lebuhraya Kidex RM2.2 bilion.

21. Sehingga sekarang dakwaan-dakwaan diatas tidak mendapat jawapan/penyelesaian yang sewajarnya dari kerajaan. Malah bekas PM yang begitu lama berkuasa memberi alasan yang membawa maksud bahawa bukan beliau saja membawa kerugian kepada negara, pemimpin  lain pun melakukan perkara yang sama bahkan lebih teruk lagi.

22. Jawapan seperti diatas dengan jelas mengesahkan  bahawa pimpinan negara telah menyebabkan kerugian wang negara. Lebih sahih lagi apabila PM sekarang ini memohon maaf dari rakyat diatas kesalahan yang telah dilakukan.

23. Itulah jawapan atau cara penyelesaian yang diberikan kepada rakyat atas dakwaan-dakwaan salah laku dan tidak beramanah itu. 

24. Perbuatan tidak beramanah bukan saja setakat wang/hasil negara saja. Ia juga meliputi hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman. Terdapat campur tangan untuk menjaga kepentingan yang berkuasa.


25. Selagi kerajaan tidak dapat memberi jawapan dan menyelesaikan dakwaan salah laku dan pecah amanah itu, maka pertolongan, bantuan, dan berbagai usaha yang telah, sedang dan akan diberikan kepada rakyat adalah tidak sebenarnya  menunjukkan kesungguhan kerajaan bagi membela rakyat. Sebab jika wang itu diurus tadbir dengan penuh amanah, maknanya negara tidak kehilangan dan kerugian wang disebabkan perbuatan rasuah misalnya, sudah tentu wang itu boleh digunakan bagi faedah rakyat untuk mengecapi kehidupan yang makmur dan sejahtera.

26. Jadi adakah wajar rakyat membalas budi kepada kerajaan dengan memberi undi pada pilihanraya yang akan datang ini atas dasar bantuan yang telah diterima? Bagaimana dengan kerugian wang negara itu? Bagaimana dengan campur tangan kerajaan dalam berbagai institusi yang menyebabkan berlaku tidak adil kepada setengah pihak?

27. Maknanya bantuan dan pertolongan kerajaan itu tidak ikhlas. Sedikit diberikan kepada rakyat, banyak pula yang diambil. Itupun tidak mengapa. Tapi diambil dengan cara yang tidak sah, cara yang salah. 


28. Kalau begitu gayanya maka tidak wajar rakyat terasa terhutang budi kepada kerajaan. Rakyat tidak perlu memberi undi kepada mereka yang tidak pegang amanah secara sempurna.


29. Oleh itu rakyat jangan terasa terhutang budi, nanti tergadai undi. Setakat tergadai 'body' seperti cerita awal diatas, masih lagi boleh bertahan, tidaklah rugi dan bahaya sangat. Tapi kalau tergadai undi ianya amat rugi dan paling bahaya sekali. Sebab kita menyerahkan kuasa kepada mereka yang tidak beramanah. Rosak negara, rosak juga kita.  

30. Berfikirlah dengan tenang semasa memberi undi nanti demi kehidupan yang makmur dan sejahtera. Lupakan soal membalas budi.



    

Selasa, 13 Mac 2012

kENAPA SUAMI DI MASUKKAN DALAM PENJARA, DIA TIDAK MELETAK JAWATAN? SOALAN DARI SEORANG MANUSIA KE?

Kenapa semasa suami beliau di masukkan dalam penjara, dia tidak meletakkan jawatan?

Saya tidak pernah tefikir seseorang yang mempunyai kedudukan yang memegang amanah, yang menjadi pemimpin, yang berkedudukan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat tergamak untuk bertanya soalan seperti itu. Dahsyat sungguh sifat dan kelaku manusia? ini. 

Dulu pernah juga beliau mengeluarkan kata-kata atau kenyataan yang tidak setimpal dengan taraf dan kedudukan manusia yang diberi Allah otak untuk berfikir. Tidak mengapalah kerana kadang-kadang di ketika seseorang itu di pengaruhi oleh nafsu hendak mengekalkan kuasa, sesaat memikirkan kejatuhan mungkin akan menimpa yang membuatkan kehilangan peluang memakmurkan diri dan keluarga sendiri, lidah terlepas kata yang tidak enak di dengar oleh manusia. 

Tapi yang ini , kali ini sudah tenat.  Adakah soalan itu datang dari seorang manusia? Siapa gerangan agaknya yang berkelaku dan bertabiat begitu. Buang tabiat ke sebelum menghadapi pilihanraya? Biasanya yang buang tabiat ini, nyawa sudah menghampiri penghujung.

Badminton All England....yang dapat saya pelajari

Pada dua malam yang lepas, saya telah menonton pertandingan akhir badminton All England yang tekemuka itu yang ditayang secara langsong melalui sebuah saluran tv. Malaysia hanya mempunyai wakil dalam perseorangan lelaki kerana yang lain telah tewas diberbagai peringkat dalam perjalanan ke peringkat akhir. Tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang telah berjaya ke peringkat akhir. Kepada yang lain berusaha keras dengan semangat yang kental. 

Saya tidak mengikuti semua perlawanan sebab di saluran lain ada siaran secara langsong bola sepak antara MU dengan WBA. Apabila waktu rehat bola sepak, saya bertukar saluran menonton badminton. Kebetulan perlawanan diantara bergu lelaki Cina dan Korea. Saya amat hormat dan kagum sekali dengan bergu pasukan Korea. Bukan saja pada perlawanan ini bahkan dalam mana-mana perlawanan yang di sertai pasukan Korea. Semangat mereka terlalu kuat dan kental. Tidak pernah mahu mengaku dan menyerah begitu mudah kepada pihak lawan walaupun pada kedudukan yang amat genting, pada mata akhir pihak lawan. Lawan tetap lawan. Tidak lembik tidak seperti seorang pemain perseorangan kita yang nampaknya mudah jatuh semangat dan lembik.

Bergu Korea itu telah kalah pada set pertama kepada juara bergu dunia dari Cina itu. Tapi seperti dalam pertandingan kejohanan yang lain bergu Korea itu tidak mudah menyerah. Set kedua, dengan semangat yang kental dan penuh keyakinan, bergu Korea itu telah berjaya membawa perlawanan ke set ketiga, set penentu. Akhirnya, meraih kemenangan yang sungguh manis bagi mereka dan yang penting kepada negara Korea.

Saya juga mengikuti persaingan bergu campuran diantara pasukan Denmark dan Indonesia. Sebenarnya saya telah tersalah sangka. Saya sangkakan bergu kita menang dalam persaingan dengan Indonesia diperingkat separuh akhir, tetapi sebaliknya. Tapi saya teruskan juga  menonton. Yang menarik disini ialah arahan-arahan yang di berikan kepada pemain-pemain oleh koc diwaktu rehat. Suara arahan koc dapat didengar. Cuma saya faham apa yang di perkatakan koc dari Indonesia sebab mereka gunakan bahasa negaranya Indonesia yang tidak jauh bezanya dengan bahasa Melayu.

Bergu campuran Indonesia itu berjaya menewaskan bergu Denmark. Seperti biasa mereka akan di beri peluang untuk menyatakan sesuatu bagi meraikan kejayaan. Maka terdengar pertanyaan dari Liyana Natsir ( minta maaf saya kurang pasti nama sebenar pemain itu) pasangan wanita, bergu campuran Indonesia itu kepada penemuramah, "Speaking Indonesia?"  Maksudnya adakah dia dikehendaki menyampaikan dalam bahasa Indonesia.  Mungkin tiada jurubahasa maka pemain Indonesia itu telah menyatakan kesanggupan bercakap dalam bahasa Inggeris, 'little English'. Begitu yakin sekali pemain Indonesia ini walaupun bahasa Inggerisnya hanya 'little English' saja. Yakin tetap yakin, itulah semangat pemain ini.

Secara tiba-tiba saya teringat akan perlawanan diperingkat sebelumnya yang melibatkan pasukan bergu campuran Cina dan bergu negara kita. Diwaktu rehat pada mata 11, koc masing-masing negara iaitu Cina dan Malaysia seperti biasa memberi arahan kepada pemain masing-masing. Saya tidak faham apa yang dikatakan oleh koc dari Cina itu kerana bahasa yang digunakan saya yakin bahasa Mandarin walaupun saya tidak faham. Yang pasti bukan bahasa Melayu. Itu memang sewajarnyalah, guna bahasa negara.  Saya tidak boleh dipersalahkan kerana tidak faham, bukan bahasa rasmi negara Malaysia.

Saya juga tidak faham arahan dari koc Malaysia kepada pemain negara kita itu kerana saya terlalu pasti mengikut pendengaran saya ianya bukan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu. Besar kemungkinan dalam bahasa Mandarin atau dailek Cina yang lain. Mengapa jadi begitu? Adakah pemain-pemain  itu tidak mewakili Malaysia? Adakah kerana mereka itu warga berbangsa Cina Malaysia dan koc juga dari warga dan keturunan yang sama tidak perlu menggunakan bahasa rasmi Malaysia, bimbang mereka tidak dapat berhubung dan menyampai serta menyerap maksud yang diperkatakan secara yang lebih berkesan? 

Saya tidak mahu jawab soalan-soalan diatas kerana tidak perlu. Hanya saya hendak nyatakan bahawa kalau sebenarnya kita warga Malaysia dan mewakili Malaysia tunjukkan identiti kita sebagai warga Malaysia, tidak kira apa saja latarbelakang dan keturunan kita. Bahasa adalah salah satu identiti kita. 

Kalaupun tidak mahu menggunakan bahasa negara, bahasa Melayu dalam tuturan harian dirumah, kerana kita lebih selesa bahasa dirumah kita, tapi dalam acara yang rasmi, tunjukkanlah yang kita ini punya negara yang punya bahasa.

Walaupun Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri disebabkan kecederaan tapi saya sungguh kagum semangat beliau yang mahu berlawan. Hanya apabila kesakitan tidak lagi dapat ditahan beliau terpaksa menarik diri. Saya percaya dengan penuh kekesalan. Yang menarik sekali ialah air muka yang ditunjukkan oleh lawannya dari Cina, Lin Dan setelah Chong Wei memberi isyarat untuk tidak dapat meneruskan permainan dan secara otomatik memberi kemenangan kepada Lin Dan. Air muka Lin Dan tidak menyambut dengan ceria. Beliau nampaknya kecewa menang percuma. Begitulah rupanya seorang yang benar-benar mahu jadi juara. Jadi juara yang berlawan, bukan juara percuma.

All England, ada juga yang saya pelajari walaupun menonton sehingga larut malam. Berbaloi.   

Ahad, 11 Mac 2012

Amal Makruf Nahi Mungkar: Seruan Yang Amat Digemari Ahli Politik

Tidak pernah saya mendengar mana-mana orang dari berbagai latarbelakang menyeru supaya kita melakukan kejahatan. Maksud saya apa saja bentuk kejahatan misalnya perlakuan jenayah, penipuan, salahgunakuasa dan apa saja yang tidak disukai oleh fitrah manusia. Maknanya semua orang sukakan yang baik-baik. Amal makruf nahi mungkar.

Jika merasakan kurang yakin akan kebenaran pernyataan diatas cuba tanya dengan perompak, pencuri, pembunuh, penyangak dan macam-macam lagi jenis orang yang melakukan atau pernah melakukan perbuatan  yang tidak baik itu. Pencuri akan menjadi naik berang jika barangnya dicuri, waemah barang yang dia curi itu jika dicuri oleh orang lain, dia pun marah. Ertinya walaupun suka mencuri namun untuk menyeru perbuatan mencuri itu untuk dicontohi atau diikuti tidak sama sekali dapat dituturkan. Kelu lidah untuk berkata. Takut dosa? Saya tidak pasti.

Cerita Robin Hood sebuah penglipur lara Inggeris yang menyeru supaya dilakukan rampasan keatas harta orang kaya-kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin mungkin satu kekecualian. Rampasan adalah satu perbuatan hina dan jahat. Ya, matlamatnya memang baik iaitu untuk membantu kehidupan orang-orang susah tetapi cara rampasan adalah cara yang tidak betul dan hina sekali. 

Sebab itulah selalu orang memperkatakan 'cara tidak wajar menghalalkan matlamat'. Matlamat murni tapi cara hina dan jahat bukan menjadi seruan untuk dilakukan.

Maka dengan itu apa yang selalu kita dengar ialah seruan berbuat baik dan menjauhkan atau meninggalkan yang tidak baik. Amal makruf nahi mungkar selalu digunakan bukan saja oleh ustaz-ustaz bahkan semua lapisan masyarakat dari yang berkedudukan sosio-ekonomi-politik terendah hingga keperingkat atasan menjangkau barisan pimpinan negara.  Benci yang jahat-jahat.

Kelihatan, petanda-petanda yang ada dan ditunjukkan amat memberangsang sekali untuk satu kehidupan yang baik dan bermaruah di negara Malaysia yang tercinta ini. 

Cuma petanda yang diperlihatkan adalah dalam bentuk kata-kata yang lunak saja, yang dapat menghiburkan menurut keadaan, masa dan keperluan serta kepentingan bagi sesuatu matlamat saja. Sesungguhnya malang sekali petanda itu tidak dapat bertahan lama, terlalu pendek hayatnya untuk bertahan, tidak mapan, tidak boleh 'sustain'.

Untuk menguji benar atau tidak kebimbangan rasa malang itu, kita mulakan dari peringkat sendiri. Saya dan semua peribadi yang bernyawa. 

Sudah tentu ada yang tidak kena. Kita akan dapat mengesan bau  hanyir, hancing , bacin, busuk , hangit, tengit, masam dan hapak yang kita keluarkan dari pernafasan, hasil denyutan jantung yang  mengepam darah ke seluruh anggota yang menggerak mental dan fizikal kita dalam hubungan sesama kita. Denyutan jantung menghidupkan kita. Malang sekali kita mempunyai perasaan buruk sangka dan jahat. Kita jarang gagal dan biasanya itulah yang selalu kita lakukan, hal-hal yang tidak baik. Sekurang-kurangnya kita mempunyai sifat buruk sangka. Persepsi negatif terhadap orang lain.

Peringkat yang melibatkan kekeluargaan pun sama saja. Rasa belas ikhsan dan kasih sayang semakin pudar. Lindung melindungi demi keselamatan tidak ada jaminan dari seorang bapa terhadap anak-anak sama ada yang masih dalam kandungan, yang kecil mahu membesar, dan yang muda belia baik siteruna mahu pun sidara. Bapa boleh menjadi seorang perakus merosakkan masa depan anak-anak. Apakan tidaknya, kandungan yang belum sempat keluar dengan kejam digugurkan atas alasan tidak mahu malu, jaga nama diri dan keluarga. 

Yang ini adalah bapa binatang yang tidak pernah kenal malu ketika melakukannya dan malu apabila ada hasilnya. Bangsat!

Yang malang sekali 'bapa' seperti ini terlepas dari hukuman. Menghilangkan diri yang tidak pernah mahu dikesan oleh pihak berkuasa. Yang selalu dikejar oleh pihak berkuasa ialah ibu yang mengandung anak itu. Setuju, ibu itu juga bersalah. Tapi mengapa ibu saja terkonteng-konteng menghadapi penghinaan masyarakat dan hukuman dari pihak berkuasa?

Ada lagi yang lebih malang. Bapa bertindak seperti ikan haruan, memakan anaknya. Bukankah bapa itu pelindung yang sanggup berkorban nyawa jika anak-anaknya diperapa-apakan? Tidak sekali ketika ini. Musuh dalam selimut? Tidak. Lebih dari itu kerana perkataan musuh itu masih lagi tidak setimpal dengan perlakuan seorang bapa terhadap anak yang sesungguhnya mempunyai kepercayaan yang tidak ternilai keatas bapa yang sangat disayangi, dikasihi untuk membena masa hadapan yang cerah secerah bulan purnama.

Begitu juga ikhsan dan kasih sayang anak-anak kepada kedua orang tua yang semakin menunjukkan aliran yang membimbangkan. Ibubapa seolah-olah orang yang tidak lagi penting dalam kehidupan anak-anak. Boleh bercakap kasar, meninggikan suara, diherdik dan diperlekehkan semasa berbicara. Ibu dan bapa, dan apa saja panggilan yang digunakan bagi kedua orang tua itu, hanya orang-orang yang telah menjangkau umur tua saja, yang telah ketinggalan dan lapuk dari segi ilmu dan pengetahuan semasa dan terkini. Maka tidak betah untuk dibawa bicara. Tidak akan faham walaupun ditinggikan suara. Yang wajar herdik saja barulah situa mendiamkan diri. 

Fenomina ini menjalar ke dalam kehidupan bermasyarakat. Bukankah individu dan keluarga membentuk masyarakat? 

Begitu juga gejala-gejala mungkar ini berkembang diperingkat rakyat sebuah negara.

Maka seperti yang dinyatakan diatas semua rakyat termasuk yang berkedudukan bawah, tengah dan atas, yang di pimpin dan yang memimpin dengan lantang menyatakan kebencian terhadap gejala-gejala yang jahat ini. Maknanya sebulat suara kita semua membencinya. 

Mereka yang berkuasa  sentiasa mengulangi kebencian mereka terhadap perbuatan jijik ini dengan menyediakan berbagai mekanisma dan jentera untuk mengatasinya. Mereka yang mahu inginkan kuasa juga membuat ikrar yang sama bahkan semacam lebih bersungguh dari yang berkuasa untuk menghapus dan menghindarkan perbuatan yang jahat-jahat ini.
 
Apa yang kita dapati sekarang? Kita cuba lihat beberapa hal saja.

Pertama disiplin peribadi. Ambil contoh kecil saja iaitu bilangan anak-anak sekolah yang merokok. Tanpa statistik, saya yakin ianya bertambah.

Kedua , keharmornian keluarga. Lihat saja perlakuan sumbang dan buangan anak baru lahir dimerata-rata tempat termasuk ditangki najis. Bewrcambah.

Ketiga, kehormornian rakyat berbilang kaum dan agama. Kita sentiasa boleh dengar ucapan-ucapan serta gesaan dari berbagai pihak termasuk pemimpin di berbagai peringkat terarah kepada mewujudkan kebencian sesama rakyat.

Keempat, ketaatsetian rakyat. Maksud rakyat ini ialah semua orang/warga Malaysia yang hidup. Tiada yang terkecuali barang seorang pun. Erti taat setia pula, bukan hanya mengaku kita rakyat Malaysia dan menyanyi lagu negara ku. Melakukan penyeludupan barang atau orang, melarikan dari membayar cukai pendapatan, melarikan wang ke luar negara seperti pengaliran wang haram adalah juga melibatkan persoalan taat setia. Perbuatan-perbuatan itu merosakkan negara. Merosakkan negara bermakna tidak setia kepada negara.

Kelima, khusus kepada yang telah dan sedang diberi amanah untuk mengurus tadbir negara. Yang nyata adalah bahawa negara telah kehilangan dan kerugian berbilion juta ringgit. Namun kita dengar berbagai reaksi. Ada  yang menafikannya. Ada pula yang mengatakan dianya tidak keseorangan, yang lain buat sama. Ada yang tidak segan dan tidak juga silu konon merendah diri mohon kemaafan atas kesalahan yang telah dilakukan. Ada juga menyatakan bahawa kita lupakan saja apa yang telah lepas, maksudnya perbuatan jahat itu, dan berilah peluang seterusnya untuk mengurustadbir negara lagi bagi tujuan memperbaikki kesalahan itu.

Kelihatan, terdapat berbagai reaksi tapi motifnya sama saja. Apa motifnya? Motifnya adalah mengelak diri dari dibebankan dengan kesalahan walaupun dalam bentuk pengakuan permohonan maaf. Itu motif di peringkat proses. Di peringkat terakhirnya atau matlamatnya ialah merayu kuasa diperpanjangkan. Dengan itu berbagai aplikasi sama ada yang bersifat senonoh dan tidak senonoh akan digunakan.  Itu saja.


Apa-apa pun motif itu adalah satu hal yang terlalu amat penting.  Motif akan menjiwai fikiran, merangsang tindakan untuk melakukan sesuatu. Tanpa motif yang jelas, tiada aplikasi ke arah pencapaian motif itu.

Berbalik kepada reaksi terhadap berbagai kejahatan yang telah dilakukan itu. Seperti yang ditunjukkan, reaksi adalah berbeza dan berbagai dari yang empunya diri. Yang tidak berbagai, yang tidak berbeza, yang sama ialah kesemua mereka adalah penyuara-penyuara anti perbuatan mungkar. Dimana saja, atas apa saja pentas, secara seragam itulah yang mereka laung-laungkan. Ketika ini, waktu dan musim ini mereka tidak pernah gagal untuk menunjukkan sifat dan kecenderungan berbuat baik.  

Gaya dan kaedah yang berkuasa itu sama saja dilakukan oleh yang inginkan kuasa. Menentang kemungkaran. Untuk itu kita sebagai rakyat tinjau-tinjau dan kaji-kaji apa yang telah dan sedang mereka lakukan di Pulau Pinang, Kedah, (Perak? Sudah dirampas pula), Selangor dan Kelantan. Saya percaya ada cacat dan celanya. Sudah tentu ada yang baik juga.

Tentukan pendirian kita berdasarkan fakta dan pernyataan yang sahih dan benar. 

Tidak cukup dengan hanya mendengar permohonan maaf dan suara-suara lunak nyaring yang bising-bising berikrar bahawa "kami perjuangkan amal makruf dan nahi mungkar" dari kedua pihak yang berebutan kuasa ini. 

Mengapa? Baca semula para yang pertama.