Theflowersellingboy

Khamis, 29 Disember 2011

Lilinj Yang Terus Menyala dan Membakar

Tiba sahaja dirumah dia terus ke bilik tidur. Anaknya yang sedang didukung oleh emaknya  terkapai-kapai menghulurkan tangan sebaik saja pintu dibuka. Tapi dia terlalu letih dan mengantuk kerana dia baru saja habis menjalankan tugas 'on call'.
 
Pada jam 7 pagi Isnin dia telah ke hospital bertugas di O and G . Hari itu ialah hari pertama dia memulakan tugas 'on call' setelah seminggu berpindah dari sebuah klinik diluar bandar . Suaminya juga telah bertolak untuk ketempat kerja pada waktu yang sama. Anaknya yang baru berusia sembilan bulan tinggal bersama emak dan bapanya. Dia dan suami belum lagi mempunyai keyakinan untuk menyerah anaknya kepada pembantu rumah.Tambahan lagi emak dan bapanya juga menyokong tindakannya itu atas alasan yang sama.
 
Pada hari itu terdapat empat kes kelahiran. Bagi dia bilangan itu tidak berapa banyak berbanding dengan kes kelahiran disebuah hospital semasa dia menjasdi HO sebelum bertukar ke klinik luar bandar. Semuanya dapat diuruskan seperti sepatutnya.  Cuma ia terlalu penat dan mengantuk kerana tidak dapat tidur. Bekerja dalam tempoh yang begitu lama iaitu 22 jam walaupun ada masa rehat dan tidur tetapi dia tidak dapat tidur.
 
Pada jam 5 petang hari Selasa tugasnya tamat. Dengan segera dia bergegas untuk balik. Balik untuk tidur. Itulah yang ada dalam fikirannya sebaik saja memasuki jam 5 petang.  
 
Di dalam bilik dia nyenyak tidur. Di luar, di ruang tonton tv emaknya sedang memujuk anaknya yang sedang menangis. Maklum saja selama 22 jam dia tidak dapat susuan dari emaknya. Bukan saja haus tetapi terlalu rindu. Rindu pelukan emak dan rindu tidak dapat menyonyot puting emak sambil tangan meraba-raba muka dan mencubit-cubit telinga emaknya. Dan apabila tiba masa yang ditunggu emak terlalu letih dan mengantuk dan terus tidur. Nenek setia memujuk dan berjalan mundar mandir mendodoi dan memujuk. Tidak juga berjaya. Datuknya keluar dari bilik untuk mengambil giliran memujuk anak kecil itu. Itu adalah perjanjian yang telah dibuat sebelum mereka bersetuju untuk ikut sama menjaga cucu. Masing-masing tidak mampu buat seorang diri. Perlu saling bantu membantu.
 
Datuk ada sedikit keistimewaan. Datuk mengambil anak itu dari nenek dan terus berjalan mundar mandir depan belakang sambil menyanyi berulang-ulang dua rangkap pantun yang direka sendiri. Mula-mula nyanyian datuk itu tidak mampu meredakan tangisan anak kecil itu. Tapi lama kelamaan suara tangisan menurun menjadi perlahan. Kelopak matanya perlahan-lahan menutup matanya. Dan anak kecil itu terlentuk di atas riba datuk . Datuk meletakkan anak kecil itu diatas tilam yang telah sedia ada dihadapan tv.
 
Datuk berehat diatas kerusi makan. Fikirannya melayang menerobos tempoh yang telah berlalu. Waktu menghantar anaknya untuk mengikuti Kursus Asasi Sains di Universiti Malaya. Satu taklimat diadakan oleh pihak Program Asasi kepada para ibubapa/penjaga serta pelajar di Dewan Tunku Chancelor.  Di Dewan itu juga datuk menerima ijazah.
 
Dia masih ingat akan pesan dari pemberi taklimat kepada pelajar dan ibubapa bahawa jangan ghairah mengambil bidang perubatan jika tidak ada kesanggupan walaupun mendapat markah yang boleh melayakkan dalam subjek-subjek yang telah ditetapkan. Menjadi doktor bukan untuk suka-suka atau menganggap kerja seorang doktor itu glamour. Kedoktoran memerlukan kekuatan minda dan fizikal. Perlu ada ketahanan dan terlalu banyak perlu berkorban masa untuk diri sendiri dan keluarga. 'Doktor tidak ada kehidupan, 'no  life'. Oleh itu pelajar dan ibubapa dinasihatkan berfikir panjang-panjang dalam memilkih bidang sama ada sains fizikal yang akan menjurus kepada kejuruteraan atau sains hayat yang menjurus ke bidang perubatan.
 
Datuk sungguh tidak berkenan akan nasihat pemberi taklimat itu. Ianya seolah-olah tidak menggalakkan para pelajar untuk mengikuti bidang perubatan. Bertentangan apa yang selalu diperkatakan bahawa bidang ini masih lagi memerlukan ramai orang. Datuk bertambah marah apabila dimaklumkan bahawa ada pelajar perubatan sessi yang lepas menjadi gila kerana tidak dapat menguasai bidang itu disebabkan pelajar itu sendiri tidak minat. Ia hanya melakukan atas kehendak ibubapa saja. 'Mengapa hal seperti ini diperbesar-besarkan', rungut datuk.
 
Sebenarnya datuk tidak mencampuri dan tidak juga cuba mempengaruhi bidang apa yang perlu diambil oleh anaknya. Terpulang kepada anaknya untuk membuat keputusan. Ia hanya akan memberi pandangan jika diminta.  Dan anaknya telah memilih bidang fizikal. Tapi telah bertukar universiti dan sekarang ini menjadi seorang jurutera elektikal dan elektronik.
 
Adiknya pula hanya mahu bidang perubatan. Dan datuk terpaksa akur. Akhirnya berjaya menjadi seorang doktor. Dan sekarang ini sedang tidur kerana keletihan kesan dari tugasan 'on call'. Kerana esok dia akan bertugas seperti biasa. Tiada 'off' selepas menjalani tugas 'on call'. Doktor ini macam robot. Tidak perlu rehat. 
 
Anak kecil yang menangis tidak mampu memujuk matanya  supaya tunggu sebentar, jangan tidur lagi kerana anak sedang menunggu dengan penuh rindu.
 
Datuk sekarang sudah faham akan kata-kata yang didengarnya dalam taklimat dahulu. Itulah agaknya yang dimaksudkan  'no life' bagi seorang doktor. Datuk sungguh kesian. Kesian anak  yang keletihan dan kesian cucu yang dahaga susu dan rindu pelukan serta usapan seorang ibu.
 
Ya, kerja bagi seorang doktor ialah bagi menguruskan kesihatan orang lain, menyelamatkan nyawa orang lain dan merawat orang lain. Lupakan kesihatan diri sendiri. Lupakan juga kesihatan dan keselamatan anak. 
 
Lilin terus membakar dan menyala. Daerah lain nampaknya terang. Daerah sendiri gelap gelita.
 
 

Selasa, 27 Disember 2011

Sayang Cucu Jagalah Cucu

Semasa saya bekerja dulu sewaktu menghampiri saat bersara ketika itu belum seorang pun anak-anak yang telah mendirikan rumah tangga. Keempat-empatnya masih dalam alam persekolahan, dua diperingkat U dan dua di peringkat menengah.  Bermakna semasa sudah menjangkau hampir 55 tahun saya masih lagi belum boleh memikirkan untuk menimang cucu walaupun ada diantara kawan-kawan sebaya yang telah mula mendukung dan memimpin  tangan dua tiga orang cucu. Ada yang bermanja-manjaan diantara cucu dengan datuk dan neneknya. 

Maka sewaktu melihat keadaan yang indah itu ianya menimbulkan satu perasaan yang  begitu melonjak sekali untuk segera mendapat cucu. Tapi apakan dasa anak-anak  masih lagi belum tamat pengajian. Lupakan saja? Tidak, masih lagi menaruh harapan agar anak-anak berjaya dalam pengajian dan Allah mempercepatkan  jodoh mereka. Itulah diantara doa-doa kami suami isteri.
 
Dalam kami berharap dan berangan akan dikurniakan cucu suatu ketika nanti, kami juga mendengar cerita-cerita kawan-kawan yang telah dikurniakan cucu/cucu-cucu. Ada cerita suka dan menyeronokkan dan tidak kurang juga cerita yang merisaukan. Namun saya lebih fokus kepada cerita yang merisaukan.  Saya pasti akan menghadapi perkara yang merisaukan ini kerana anak-anak saya sudah tentu akan meneruskan kerjaya dan pasangannya juaga akan berbuat demikian apabila mereka mempunyai anak nanti.

Rata-rata datuk dan nenek-nenek itu menyatakan kerisauan berkaitan dengan penyerahan penjagaan kepada pembantu rumah. Pertama, tidak mudah untuk mendapat pembantu rumah yang berkenan dihati. Maksudnya yang boleh diberikan kepercayaan untuk menjaga cucu dengan baik dan selamat. Kedua kos mendapatkan yang terlalu mahal mencecah RM7,000.00 sedangkan penjagaan terhadap cucu belum tentu baik dan selamat. 

Satu lagi kerisauan ialah untuk meninggalkan rumah dan tinggal dirumah cucu.

Kerisauan pertama itu berasas sekali kerana kejadian-kejadian pembantu rumah mendera dan memberi ubat tidur kepada anak jagaan telah pun berlaku. Ada juga kes-kes dimana pembantu rumah lari dan meninggalkan anak keseorangan. Kes membawa lari anak-anak oleh pembantu rumah. Dan perangai pembantu rumah yang mencuri barang kemas, wang dan bercakap talipon berpanjangan semasa menjaga anak. Macam-macam lagi perkara yang tidak berkenan dihati, yang tidak baik dan tidak selamat kepada anak-anak dibawah penjagaan pembantu rumah.
 
Kerisauan kedua juga berasas. Memang kosnya terlalu mahal yang dikenakan agen penyedia pembantu rumah. Kadang-kadang baru sebulan dua bekerja, ada pembantu rumah mohon berhenti atas berbagai alasan misalnya rindukan anak di kampong, ibu sakit dan macam-macam lagi. Terpaksa pula mencari yang lain. Terpaksa pohon cuti kerja jika pengganti tidak dapat serta merta. Banyak masa yang dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan pembantu rumah.
 
Kerisauan tentang meninggalkan rumah sendiri untuk tinggal bersama cucu secara langsung mengena diri kami sendiri. Menjaga dan mengurus cucu adalah yang kami tunggu . Itulah yang mahu kami lakukan. Tetapi kata orang seburuk dan sekecil-kecil rumah sendiri lebih selesa berbanding dengan secantik mana istana orang. Banyak benda yang akan bermain dikepala. Antaranya pokok-pokok bunga yang akan kekeringan tanpa menerima siraman dan bajaan; sampah-sampah yang berlonggok-longgok, bersepah tiada siapa yang buang; rumput dan tanaman liar yang tumbuh memburukkan pandangan; tahi-tahi cicak yang berlonggong dan bertaburan kerana tiada siapa yang menyapu dan habuk-habuk yang melekat dan memasuki rumah tiada siapa yang membersihkan.
 
Tapi jika timbul keperluan untuk cucu itu dijaga apakah pilihan yang perlu dibuat?
 
Apa yang saya maksudkan dengan timbul keperluan itu ialah satu keadaan dimana kami tidak akan berasa tenang untuk tinggal dirumah sendiri. Mengapa pula tiada ketenangan. Bukankah rumah sendiri? Bukankah rumah dapat diurus dan dibersihkan? Pokok-pokok bunga dapat dibaja dan disiram? Rumput dan tumbuhan liar serta sampah-sampah dapat dimesin dan dibuang?
 
Jawapannya hanya satu iaitu tidak ada kepercayaan kepada orang yang bakal diserahkan jagaan cucu itu.
Sebenarnya kami mempunyai dua orang cucu lelaki yang beza umur lebih kurang lapan bulan. Cucu pertama adalah dibawah jagaan seorang suri rumah. Cucu kedua adalah yang ketika ini kami jaga.
 
Kami menjaga cucu yang pertama bermula dari kelahiran sehingga beberapa bulan sebelum diserahkan kepada seorang suri rumah yang rumahnya tidak jauh dari rumah anak kami. Semasa perjumpaan dengan penjaga dirumahnya kelihatan kepada kami air muka orang ini nampaknya seorang yang penyayang dan sukakan anak-anak. Maka anak kami telah memutuskan untuk menyerahkan kepada orang itu dan kami pula begitu yakin bahawa cucu kami akan dijaga dengan baik selamat dan penuh kasih sayang. Dalam beberapa bulan berjalan maka sahlah bahawa orang ini orang yang penyayang kerana semasa beliau bercuti bersama anak-anaknya di Cameroon Highland beliau telah membeli beberapa pasang pakaian untuk cucu saya. Cuma orang yang ada kasih sayang akan berbuat begitu. Maka sehingga sekarang cucu saya yang ketika ini berumur setahun lebih masih lagi dibawah jagaannya.
 
Cucu kedua ada sedikit berbeza ceritanya. Setakat ini kami merasakan cucu kami ini terlalu memerlukan kami untuk menjaganya. Pertama belum lagi terjumpa orang sebaik yang diperolehi oleh cucu pertama tadi. Kedua cucu yang ini tidak mahu menyusu botol walaupun dari perahan susu ibu. Susu formula? Asalkan selain dari breast feeding yang lain dia tolak. Maka ia akan lapar. Bila lapar dia akan menangis. Menangisnya terlalu lama sehingga bengkak-bengkak mata. Emaknya pula selalu on call. Jadi dalam 22 jam cucu saya itu tidak akan minum susu. Menangislah jawabnya.
 
Saya tidak yakin ada orang yang mempunyai daya tahan untuk menguruskan cucu saya ini. Saya membayangkan beliau akan dicubit atau diberi ubat tidur atau diherdik. Kami tidak sedikitpun berbuat begitu. Adakah kami orang yang penyabar? Tidak juga. Cuma dia adalah cucu kami. Kami ada ikatan kasih sayang. Marah,benci,herdik,tengking, cubit dan pukul tidak pernah menguasai diri kami. Yang ada ialah pujukan, pelukan ,ciuman dan manjaan. Tidak kiralah dia menangis lama, sakit perut atau tidak mahu minum susu. Kami tetap ikhtiar cara mana untuk mengeyangkannya. Mengenyangkan itu termasuklah menghiburkan beliau dengan berbagai gaya dan laku yang kami lakunkan. Kalau ada orang luar melihat mungkin menganggap kami sebagai orang sedikit kurang siuman. Tapi kami lakukan apa saja kerana tujuan kami ialah untuk meredakan tangisan, membuatkan cucu kami terhibur dan lena untuk tidur.
 
Jadi itulah maksud keperluan yang membuatkan kami memilih untuk bersama cucu ini. Kami berharap akan berjumpa dengan penjaga seperti yang diperolehi oleh cucu pertama kami  itu.  Kami juga sentiasa mendoakan supaya cucu kami ini akan mahu menyusu melalui botol selain dari susuan ibu secara langsong. Jika dua perkara ini dapat diketemu/diselesaikan maka tinggal dirumah sendiri menjadi idaman kami.
 
Oleh itu rumah sendiri yang ditinggalkan itu menjadi keutamaan kebelakang sedikit berbanding dengan menjaga cucu.

Mana-mana yang berangan-angan untuk menimang cucu mesti bersedia menghadapi keadaan seperti kami ini melainkan ada datuk dan nenek yang berkata " Aku dah penat jaga anak, sekarang dah bersara, sudah tua, aku perlu rehat untuk enjoy waktu tua". Kalau begitu katanya datuk dan nenek itu sebenarnya tidak 'enjoy' mendapat cucu. 

Nasib kami baik kerana datuk dan nenek kedua-dua enjoy jaga cucu. Nenek terlalu sangat rajin. Dia memberi kekuatan kepada datuk untuk sama-sama membantu.  

Isnin, 26 Disember 2011

Felda Settlers (FS) vs Never Forget Cash Cow and Condo (NFC) Projects

Sengaja saya  memilih untuk menggunaan bahasa Inggeris dalam menamakan tajuk di paparan kali ini: Felda Settlers (FS) vs Never Forget Cash Cow and Condo (NFC) Projects. 
 
Sebab, pada pendapat saya penggunaan bahasa itu tidak akan mengelirukan malah mudah difahami kerana telah menjadi kebiasaan kita rakyat Malaysia yang memang gemar untuk menggunakan satu dua perkataan Inggeris dalam perbicaraan sama ada yang berbentuk formal mahupun perbicaraan basahan yang sentiasa kita campur adukkan. 
 
Perkataan Felda atau huruf-huruf bagi menyebutnya adalah juga gantian kepada huruf-huruf  yang asalnya dari huruf-huruf LKTP yang membawa maksud dalam Bahasa Melayunya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan yang pada agakan saya telah hilang dari ingatan banyak orang/pihak.  Lagipun kita telah sebati dengan UMNO, RISDA, AGRO, SPAD dan banyak lagi yang kesemuanya itu adalah singkatan bagi maksud-maksud tertentu dalam pengucapan bahasa Inggeris.
 
Saya tidak pula bertujuan untuk berbincang fasal penggunaan bahasa. Yang mahu dibicarakan ialah tentang dua projek yang melibatkan sasaran yang sama tetapi membawa faedah atau keuntungan kepada golongan atau kategori kelas orang yang berbeza. Kedua-kedua projek itu sasaran sebenarnya ialah untuk  membantu rakyat  khususnya yang berpendapatan kecil sama ada di bandar atau diluar bandar termasuk yang duduk di pedalaman.
 
Begitulah caranya yang terjadi bagaimana agihan kekayaan (distribution of wealth) dilakukan di Malaysia yang selalu kita dengar dengan kata-kata molok  'development with equity' atau jika di Melayukan maksudnya lebihkurang menjadi 'pembangunan untuk kesaksamaan'. Kata-kata itu cuma tinggal sebagai kata-kata hiasan bagi menyedapkan sebahagian besar rakyat yang telah meletakkan kepercayaan dan amanah kepada mereka yang menguruskan khazanah negara.
 
FS atau pada asal mulanya adalah kategori/kelas rakyat bawahan yang susah-susah yang tiada tanah yang mencukupi untuk diusahakan bagi penghasilan sesuatu produk/perkhidmatan untuk dijadikan  sumber pendapatan dalam menyara kehidupan mereka. Menyedari keadaan ini maka Kerajaan merasakan bertanggongjawab untuk membaikki peluang ekonomi yang lebih baik kepada FS dengan mengadakan satu rancangan tanah berkelumpuk yang sistematik dibawah satu Akta yang dikenali sebagai Group Settlement Area (GSA) yang diuruskan oleh sebuah Lembaga yang dahulunya dikenal sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP). Mereka ini adalah peneroka.
 
Walaupun terdapat turun naik dari segi pendapatan peneroka tetapai secara amnya kedudukan ekonomi peneroka bertambah baik dari masa kesemasa. Semuanya ini adalah kesan dari kesungguhan Kerajaan, kerja keras peneroka dan pihak Pengurusan Felda yang telah mengurus dengan baik. Maka Felda telah berjaya mempunyai simpanan wang dan aset terkumpul.
 
Namun perkembangan mutahir ini telah menimbulkan berbagai reaksi apabila ada cadangan untuk menyenaraikan sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan Felda (hendak juga dibaca sebagai kepentingan FS ) di pasaran saham awam. Syarikat tersebut ialah Felda Global Venture (FGV). Pihak yang mencadangkan berhujah bahawa ianya akan memberi keuntungan kepada peneroka juga. Oleh itu tidak wajar mendapat tentangan. Ada pula yang berhujah bahawa penyenaraian di pasaran saham ini akan mendedahkan risiko kepada hak pemilikan kepentingan Felda bertukar tangan kepada sesiapa saja yang mempunyai kekuatan kewangan kerana ianya boleh di milikki bila-bila masa dipasaran saham terbuka.
 
Tanpa maklumat yang tepat dan mencukupi saya tidak mahu mendalami perbicaraan tentang penyenaraian FGV ini. Cuma jika penyenaraian itu akan menggunakan aset seperti tanah, wang dan lain-lain yang mempunyai kepentingan FS sebagai sandaran maka persetujuan dari FS sewajarnyalah diperolehi. 
 
Ertinya janganlah kita cuba mengambil kesempatan diatas kurang pengetahuan FS dalam hal-hal penyenaraian  dipasaran saham terbuka dari segi pendedahan kepada risiko dan pulangan dengan menggadaikan kepentingan mereka dalam bentuk tanah dan aset-aset yang lain. Kalau ini berlaku maka kerja baik Kerajaan selama ini akan menjadi sumpahan dan seranahan FS dan rakyat sehingga akhir zaman. 
 
Mungkin kepada mereka yang suka bersumpah dan suka juga mencabar orang lain bersumpah, sumpahan dan seranahan itu dianggap sebagai satu perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan kerana tidak akan memberi kesan terutamanya kesan fizikal, misalnya tidak jadi patung. Apa perlu ditakutkan.
 
Cadangan penyenaraian FGV itu yang dikatakan akan memberi faedah kepada FS ditambahkan dengan pengumuman pemberian bonus dan insentif produktiviti kepada seramai 95,949 FS seluruh negara. Jumlah implikasi kewangan bagi maksud itu adalah sebanyak RM102.58 juta. Bertambah cerialah FS.
 
Sekali imbas nampaknya pemberian kewangan itu sesuatu yang saksama sekali diukur dari segi pembahagian kekayaan yang saksama (distribution with equity).
 
Baik. Saya akan bicara sedikit tentang satu lagi projek yang diuruskan oleh sebuah syarikat bernama NFC. Secara ringkas NFC ini mendapat pinjaman mudah dari Kerajaan untuk projek pembekalan daging untuk kebaikan rakyat melalui skim feedlot. Pinjaman sebanyak RM250 juta telah diluluskan kepada orang/kategori orang yang senang-senang. Orang bandar yang mempunyai kaitan langsong dengan seorang menteri kabinet.
 
Malang sekali walaupun jumlah pinjaman yang diperolehi itu mudah didapatkan dengan syarat dan terma-terma pinjaman yang mudah juga, besar pula jumlahnya, tetapi pihak Ketua Audit Negara telah mendedahkan bahawa banyak yang tidak teratur mengenai perjalanan projek ini. Maknanya projek ini gagal mencapai matlamatnya.  
 
Yang sebenarnya mendapat faedah langsung dari projek ini ialah mereka yang mendapat pinjaman dan kaum kerabatnya saja dalam bentuk upah dan berbagai kemudahan termasuk lawatan-lawatan merehat diri. Wang itu juga digunakan untuk membeli condo yang katanya merupakan satu pelaburan yang baik berbanding dengan perbelanjaan menyediakan kandang untuk lembu-lembu. Sebab itu saya tidak mudah untuk melupakan projek NFC ini. Saya percaya orang lain begitu juga. Projek ini adalah projek 'cash cow'. Saya suka juga panggil projek ini sebagai Never Forget Cash Cow and Condo project atau saya rengkaskan sebagai NFC juga. 
 
Sekarang cuba kita buat perbandingan diantara faedah yang diperolehi oleh FS dari segi bayaran yang diterima sebanyak RM102.58 juta bagi 95,949 orang berbanding dengan faedah yang diterima oleh beberapa orang yang mempunyai pertalian darah yang mendapat pinjaman RM250 juta . Saya percaya tanpa belajar ilmu hisab yang tinggi kita mudah memberi jawapan iaitu ianya sesuatu yang amat zalim sekali. Zalim kepada FS, zalim kepada rakyat yang susah yang memerlukan sangat pertolongan, zalim kepada rakyat Malaysia dan zalim kepada beberapa orang yang mendapat faedah itu terhadap diri mereka sendiri. Yang zalim juga jatuh ke pangku mereka yang mencadang dan meluluskan pinjaman ini diberikan kepada orang atau pihak yang tidak wajar menerima pinjaman itu.
 
Kezaliman yang berlaku bukan setakat perkara yang dibincangkan ini saja. Banyak lagi. Dengan demikian saya mempunyai kekuatan untuk mempercayai bahawa penyenaraian FGV juga akan tidak terlepas dari melakukan kezaliman kepada FS dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Saya melihat juga bahawa pemberian wang kepada FS ini ada kaitan dengan cadangan untuk menyenaraikan FGV di pasaran saham terbuka. Maka ada setengah pihak menganggap pemberian wang kepada FS bagi sejumlah RM102.58 juta itu sebagai gula-gula pemanis bagi memudah mendapat persetujuan dari FS diatas cadangan penyenaraian tersebut. Saya tidak pula menganggap pemberian itu sebagai gula-gula kerana gula-gula itu manis, ada kenikmatan selera. Saya lebih setuju untuk mengatakan ianya sebagai racun kerana penyenaraian itu nanti boleh menggadaikan kepentingan mereka. Sesungguhnya saya berharap kekhuatiran saya itu tidak akan berlaku dan salah sama sekali. Jika demikian awal-awal lagi saya pohon maaf.

Ahad, 25 Disember 2011

USAHLAH KAMU MENJALA DI LAUT NESCAYA OMBAKNYA GANAS SEKALI

UNTUK APA KITA BERKUASA

MENGKHIANATI AMANAH, MEMERINTAH LAGAK MAHARAJA, MENGARAH, MENITAH, MENGERAH, MAIN-MAIN LATAH MELATAH BEGINI BEGITU ESOK DISANA LUSA DISITU BOLEH SAJA IKUT SUKA KITA KERANA MENYIASAT MENDAKWA DAN MENGHUKUM KITA PUNYA, 

MERAMPAS, MEROMPAK SIANG MALAM KERANA  TERANG BENDERANG  ATAU GELAP GELITA TIADA HAL BAGI KITA SEMUA BOLEH BELAKA, 

MAKAN SUAP-SUAPAN SAMBIL MENUMBUK RUSUK KIRI DAN KANAN, 

MEMBULI PALING MENYERONOKKAN SEBAB KITA INGIN SENTIASA KETAWA TERBAHAK-BAHAK SAMBIL BERKATA MAMPUSLAH DIA, 

MENGANIAYA, MEMFITNAH MENAYANG CERITA LUCAH DAN MENGULANG TAYANG CERITA YANG SAMA, 

MENODA, MEROGOL, MENYIKSA, MENDERA, MEMERAS UGUT LUDAH MELUDAH KERANA KITA PANGLIMA GAGAH PERKASA, 

MEMUJA, MENGAMPU, MENCIUM TANGAN SAMBIL MENUNDUK KEPALA, 

MENYUMBAT DIA DALAM PENJARA, 

MEMPERDAYA, MEMPERKOSA,  MENYEMARAK API KEBENCIAN, MENGHINA  NABI, HUKUM ATAU APA DAN SIAPA SAJA, 

MEREMBAT KHAZAHAH NEGARA, MENCEKIK, MENCUKAI KEHIDUPAN NAIKKAN HARGA, 

MENUTUP MULUT APA PUN BICARA, MENIPU, MENYONGSANG BERITA, MENYEMBUNYI MAKLUMAT DAN FAKTA ATAS NAMA RAHSIA KESELAMATAN NEGARA, 

MENYELEWENG, MEMBOHONGI, MENCIPTAREKA YANG TIADA SUPAYA ADANYA MENGUNTUNGKAN KITA, 

MEMPERDAYA MEREKA YANG CUBA BERKATA BENAR, 

MENYALAHGUNAKAN KUASA KERANA ITULAH SEBENARNYA KEHIDUPAN KITA, SEBAB ITU APALAH SALAHNYA MEMBUNUH JIKA KITA YANG BERKUASA.

NAMAKAN APA SAJA KERANA SELURUH RUANG DUNIA AKAN KITA ISI, 

DAN JANGAN LUPA NEVER  FORGET CASH COW AND CONDO KERANA IANYA JUGA BERSUMBERKAN KUASA KITA

OOOOOO BEGITU HEBAT KITA INI SEMENJAK DULUKALA APATAH LAGI MUTAHIR INI KERANA  
OOOOOO YA KERANA KITA ADA KUASA DAN PERLU ADA DAN KEKAL SELAMA-LAMANNYA

BERSYUKUR KITA , DEMI KUASA KITA ADA BANGSA, AGAMA DAN NEGARA

NAH, MANA MEREKA YANG TERKINJA-KINJA MAHU AMBIL KUASA KITA: SUMBAT DALAM PENJARA PADAN MUKA

USAHLAH KAMU MENJALA DILAUT NESCAYA OMBAKNYA GANAS SEKALI

Sabtu, 24 Disember 2011

SYABAS ADAM ADLI, ANDALAH PEMUDA HARAPAN

Sesungguhnya saya merasa amat kagum sekali akan tindakan yang dibuat oleh ADAM ADLI penuntut UPSI yang melakukan tindakan yang terlalu simbolik dan beradab dalam menyatakan perasaan beliau dan perasaan pelajar-pelajar seangkatan beliau dalam tentangan mereka tehadap AUKU yang mengongkong itu. Beliau dan kawan-kawan telah melakukan satu tindakan tanpa melibatkan kekasaran kepada mana-mana pihak.
Beliau lebih berani berbanding dengan saya semasa menjadi pelajar dihujung/diawal tahun 60an/70an dulu. Saya hanya berani bersama dengan pelajar lain melakukan jeritan keatas FRU yang menembak bom pemedih mata. Kemudian lari lintang pukang apabila dikejar. Masa itu AUKU belum ada. Itu saja keberanian saya.
Beliau telah diberitakan menghadapi tindakan dari pihak berkuasa UPSI. Saya mendoakan supaya beliau terlepas dari sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pembelajaran beliau seterusnya. Saya percaya ramai lagi orang akan berbuat begitu. InshaAllah perjuangan anda yang murni ini akan mendapat pertolongan dari Allah. 

Berjuang terus berjuang mengalahkan kezaliman. Saya hanya mampu melakukan di peti undi. Tapi jangan risau dan ragu. Matlamat kita sama saja walaupun kita berbeza usia kerana ideal sewaktu belajar dulu masih tetap ada pada saya seperti yang bersemarak dalam jiwa anda dan pelajar-pelajar sekalian. 

Selamat dan Berjaya.

Kerjaya Seorang Doktor Kerajaan: Pandangan Dari Seorang Bapa

Keputusan peperiksaan PMR baru saja diumumkan dengan satu rekod yang terbaik berbanding keputusan-keputusan yang lepas walaupun ada beberapa mata pelajaran menunjukkan sedikit penurunan. Tahniah kepada yang berjaya termasuk anak saudara saya Suhailah dari Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodiah dengan mendapat 9A. Balik nanti bolehlah belanja.

Selepas ini akan muncul keputusan SPM, STPM dan Matrikulasi. Semua keputusan-keputusan peperiksaan ini akan membawa sama arah tuju setiap pelajar. Yang berjaya, maksud saya yang mendapat keputusan baik, akan mempunyai peluang yang lebih untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dan yang kurang berjaya akan juga mempunyai peluang meneruskan pelajaran mereka tetapi agak sempit sedikit ruangnya. Yang 'gagal' pula janganlah meneruskan kekecewaan itu sehingga terlupa bahawa ada lagi pilihan lain yang terbuka, cuma kita perlu berusaha kerana tiada satu pun perkara yang boleh kita dapati dengan mudah melainkan dengan berusaha bersungguh-sungguh, peluang untuk berjaya tetap ada. 

Tapi satu hal yang pasti ialah setiap anak-anak pelajar itu masing-masing mempunyai impian tersendiri kearah menjadi manusia yang berguna kepada diri, ibubapa, keluarga, masyarakat dan negara.
Maka ada yang bermimpi untuk menjadi seorang professional, seorang usahawan dan berbagai lagi. Bidang professional yang menjadi pilihan ramai dikalangan pelajar-pelajar termasuklah yang mendapat galakan dari ibubapa ialah bidang perubatan dan kesihatan, kejuruteraan dalam berbagai disiplin, perundangan dan  akauntansi.  

Impian mereka itu atau ada yang suka menyebut sebagai cita-cita dapat dijadikan sebagai satu realiti melalui saluran mana yang dipilih diperingkat selepas berjaya dalam peperiksaan itu. Sudah tentu sebahagian besarnya akan disalurkan ke bidang atau memilih bidang berdasarkan keputusan tebaik dalam peperiksaan bagi subjek-subjek atau kumpulan subjek tertentu. Di Malaysia secara amnya salurannya ialah diantara sains dan bukan sains.

Satu dari bidang yang masih lagi popular dikalangan pelajar ialah bidang perubatan. Atas alasan atau sebab apa bidang itu menjadi popular di Malaysia saya hanya mampu meneka saja. Mungkin kerjaya seorang doktor pada pemikiran setengah pihak menjanjikan satu masa depan yang baik; satu kerjaya yang glamour; negara kekurangan doktor dan dengan sebab itu bidang ini perlu disertai lebih ramai lagi; desakan dari ibubapa; dan banyak lagi alasan yang lain.

Bagi saya yang amat pasti ialah kekurangan doktor dalam perkhidmatan kerajaan berbanding dengan pesakit yang memerlukan rawatan. Walaupun tanpa statistik bagi menyokong kepercayaan saya ini tapi pengalaman sendiri membuktikan bahawa memang bilangan doktor tidak mencukupi apabila tempoh untuk mendapat rawatan dari doktor terlalu lama.  Pernah kadang-kadang menimbulkan rasa marah, dan mempersoalkan kenapa doktor tidak ada pada masa yang kita perlukan. Itu perasaan dan sikap saya pada suatu masa dulu.
Tetapi sekarang saya tidak lagi dengan mudah merasa marah jika berlaku perkara seperti ini. Sekarang saya lebih memahami mengapa terjadinya keadaan seperti itu.

Seseorang yang baru diambil dalam perkhidmatan pegawai perubatan kerajaan akan menjalani perkhidmatan wajib dua tahun sebagai 'houseman'. Sewaktu menjalani tempoh houseman inilah seseorang itu akan merasai  kepedihan menjadi seorang doktor. Pernah terdengar rintihan seorang houseman menyatakan 'kekesalan' memilih bidang ini yang tidak langsung mengambil kira kebajikan dan kesihatan diri sendiri. Kerja 'macam nak mati' tanpa rihat yang mencukupi. Apa kan tidak kerja dari jam 7 pagi sehingga 5 petang dan kemudian jika ada 'on call' disambung sehingga ke sebelah petang keesokan harinya. Bayangkanlah bagaimana kualiti rawatan yang kita akan perolehi dari seorang doktor yang berkepenatan. Bukan salah doktor itu tapi sistem yang ada membuatkan mereka terpaksa memberi perkhidmatan seperti itu.

Bayangkan pula jika doktor itu mempunyai anak kecil yang menyusu badan. Bayangkan juga jika doktor itu mempunyai suami yang berjauhan tempat kerja. Adakah ianya dapat memberi tumpuan yang baik terhadap kerja? Akibatnya ialah kualiti rawatan yang diberikan kepada pesakit. Tambah pula pesakit yang mudah marah seperti saya dulu. Sungguh malang sekali.

Saya percaya keadaan ini tidak berhenti setakat houseman saja. Ia akan berterusan ke peringkat selepas itu dan yang lebih tinggi lagi. Cuma kadar kesiksaan berbeza, mengurang.

Satu hal yang saya lihat jika bekerja di klinik kesihatan ianya tidak seteruk kerja dihospital terutama kepada doktor-doktor perempuan khususnya yang mempunyai anak kecil yang menyusu.

Dari segi kemudahan seperti perumahan kerajaan ianya tidaklah selaras dengan kategori yang diberikan sebagai perkhidmatan yang kritikal. Rumah kerajaan terlalu terhad. Misalnya jika bekerja dikawasan-kawasan yang sewanya terlalu mahal seperti Kuala Lumpur dan Putra Jaya , seseorang houseman atau doktor yang baru saja melepasi houseman, akan terpaksa membayar sewa rumah yang mahal, ada yang mencapai melebihi satu ribu lima ratus ringgit kerana tidak diberikan rumah kerajaan. Cuba bayangkan bagaimanakah mereka menghadapi suasana seperti ini. Bagaimana pula mereka dapat memberi rawatan yang terbaik.

Mungkin ada yang berhujah bahawa semua perkhidmatan kerajaan menghadapi keadaan yang sama. Kalau begitu mengapa tidak diperbaikki supaya penjawat awam itu dapat memberikan perkhidmatan dengan tenang dan terbaik terutamanya perkhidmatan doktor yang di kategorikan sebagai kritikal. 
Tidak pula terdapat satu bentuk pembiayaan bagi menampung jumlah bayaran sewa yang mahal itu. Elaun bantuan perumahan hanya RM250.00 sebulan sedangkan sewa melebihi 1500 sebulan. Rumah kerajaan tidak ada. Kenapa tidak difikirkan satu kaedah bahawa bagi mereka yang berkhidmat dikawasan-kawasan dimana sewa rumah mahal maka kekurangan dari elaun bantuan rumah itu akan dibiayai oleh kerajaan dengan syarat  jika tidak ada perumahan kerajaan yang mencukupi.

Ditinjau pula dari segi gaji dan elaun-elaun, ianya tidaklah menarik sangat berbanding dengan perkhidmatan kerajaan yang lain. Jangan pula banding dengan perkhidmatan di sektor swasta. Misalnya seseorang yang bekerja disektor swasta dalam bidang ICT misalnya boleh meraih pendapatan RM4,500.00 sebulan. Houseman? Hanya 2 ribu lebih sedikit. Sewa rumah mahal pulak.
Sesungguhnya paparan ini bertujuan untuk menyatakan bahawa sesuatu perlu dilakukan kepada perkhidmatan ini bukan saja dari segi tempoh bekerja bahkan gaji dan kemudahan-kemudahan yang lain. 

Doktor memang kurang dan permintaan bagi perkhidmatannya terlalu tinggi. Cuma amat menghairankan kerana situasi doktor ini bertentangan dengan prinsip supply and demand. Semakin banyak permintaan harganya tidak naik.
Anak-anak pelajar sekalian jika anda berimpian dan bercita-cita untuk menjadi doktor , teruskan kerana ianyanya satu kerjaya yang murni. Tetapi di Malaysia ini anda mesti bersedia secara fizikal dan mental sebelum memilih kerjaya ini. Kita mengharapkan keadaannya akan berubah kepada yang lebih baik. Baik kepada doktor dan baik kepada pesakit yang perlukan rawatan yang berkualiti.





Apakah Nilai Sebuah Berita

Pagi-pagi lagi perasaan saya telah terusik apabila mendengar berita dari sebuah saluran tv tentang maklumat yang disampaikan oleh saluran tv berkenaan. Saya percaya berita itu adalah ulangan dari siaran berita yang telah dipancarkan lebih awal, mungkin pada sebelah malam.

Bagi saya bukan maklumat itu untuk dipertikaikan kerana saya pun tidak ada maklumat dan fakta yang sahih untuk berbeza dari yang disampaikan. Cuma saya telah terbiasa mendengar maklumat-maklumat seperti itu atau yang bersifat seperti itu setiap kali secara tidak sengaja saya terpetik saluran tv berkenaan. Maksud saya berita atau maklumat yang disampaikan itu lebih banyak berunsur propaganda bagi pihak berkenaan sehingga boleh menimbulkan rasa jemu, mual, muak dan meluat. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa ada maklumat-maklumat itu merupakan putarbelit dan pembohongan yang terlalu ketara sehingga penyiar saluran tv berkenaan tidak langsung memikirkan bahawa penonton juga mempunyai daya pemikiran yang mampu berfikir yang mana satu betul dan yang mana satu pembohongan disamping mempunyai maklumat-maklumat dari sumber-sumber lain yang boleh dibuat perbandingan, seterusnya dianalisis dan dibuat kajian. Yang paling hina sekali ialah pembohongan dan fitnah itu diulang tayang. Ulang tayang ini juga bukan setakat melalui pemberitaan bahkan diadakan dalam bentuk diskusi atau forum bagi melebarkan pembohongan dan fitnah itu.

Saya percaya strategi ini bagi menyakinkan lagi sebahagian rakyat yang tidak mempunyai atau yang tidak terdedah kepada pemberitaan dari sumber -sumber yang lain. Mungkin strategi ini telah berjaya meyakinkan setengah pihak. Cuma kejayaan strategi itu hanya boleh merosak dan menjerumuskan masyarakat ke  dalam perbuatan-perbuatan yang terkutuk dan keji. Maka apalah gunanya beribu-ribu pesanan dan seruan dibuat dalam rancangan-rancangan yang lain mengajak orang ramai supaya melakukan yang makruf dan cegah yang mungkar sedangkan penyiar tv itu juga melakukan sesuatu yang tidak betul amat hina sekali. Sesungguhnya saya berasa amat dukacita sekali.

Saya merasakan tidak perlu menjelaskan secara spesifik maklumat-maklumat yang tidak betul itu kerana saya percaya orang lain mempunyai kemampuan untuk menilainya sendiri. Apa yang menjadi kegusaran ialah kekerapan penyampaiannya yang tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada pihak tertentu untuk menyampaikan cerita pihaknya pula. Jika itu dapat dilakukan maka orang ramai mendapat keadilan dari segi berita dan maklumat yang diterima. Maksud saya adil dari segi mereka tidak akan terlibat dengan melakukan perbuatan yang mungkar akibat dari salah maklumat, lalu menyebarluaskan.  Bertambahlah dosa mereka.

Pemberitaan yang bersifat tidak adil itu memang sudah menjadi satu kebiasaan. Namun saya tetap tidak berhenti untuk menyatakan perasaan kecewa terhadap perbuatan seperti itu.

Satu hal yang hendak diperkatakan disini ialah tentang sumber maklumat pemberitaan itu. Dalam kes pagi ini telah ditunjukkan secara jelas bahawa sumber itu datangnya dari satu personaliti yang telah berubah arah. Berubah ke satu arah yang boleh membawa kepada keselesaan dan kemewahan berbanding jika mengekalkan arah yang sama seperti asalnya. Personaliti yang bercorak , berbentuk, bersifat dan berperangai seperti yang ditunjukkan oleh personaliti yang di tonton pagi ini juga menghinggapi beberapa personaliti yang lain. Cuma yang berbeza hanya wajah mereka. Yang lain serupa.

Mereka ini pada dahulu kala adalah panglima-panglima, pejuang-pejuang dan wira-wira yang sentiasa kedepan , menjadi barisan depan pertahanan yang memegang pendirian 'membujur lalu , melintang patah' dan 'langkah mayat aku dahulu' dan  'kami sentiasa berada di belakang mu'. Dan sekarang yang ada pada mereka ialah 'kami sentiasa ada di belakang mu', dan oleh kerana telah berubah arah ditambah pula dengan kata-kata ' supaya kami dapat menolak mu masuk longkang'.  Inilah yang telah sentiasa dilakukan oleh mereka yang berwajah sama tetapi berrperangai terlalu buruk.

Sama ada maklumat yang dikeluarkan dari peti rahsia hati mereka itu benar atau bohong tidaklah dapat saya pastikan. Hanya saya dapat mengingat kembali akan kata-kata yang pernah terkeluar dan yang telah dihamburkan yang ada juga sebahagiannya dengan cara yang kasar dan biadab keatas pihak yang sekarang ini menjadi pegangan arah hidup masa depannya. Satu pusingan yang melebihi darjah putaran satu objek bulat, melebihi 360 darjah. Inilah personaliti yang dijadikan bahan rujukan dan sumber maklumat pemberitaan yang saya dengar pagi tadi. Apakah nilai baik yang dapat kita raih dari maklumat bersumberkan personaliti seperti ini. Jika orang ini  menjadi saksi  dalam perbicaraan dalam sebuah mahkamah dihadapan hakim yang adil sudah tentu penyaksiannya ditolak ketepi malah beliau boleh dipenjarakan kerana menjadi saksi bohong.

Malang sekali pihak yang dahulunya yang telah  mendapat nistaan dari personaliti ini, bukan sekali bahkan terlalu kerap dan  membosankan, dengan senang hati menerima personaliti seperti ini. Saya tidak yakin bahawa pihak ini tidak menyedari akan apa yang telah dilakukan oleh personaliti ini dahulu. Yang saya nampak ialah selagi personaliti ini boleh digunakan bagi menyerang, melemah dan menghancurkan pihak yang menjadi seterunya melalui 'luahan rahsia ' dari orang yang dahulunya wira kepada musuhnya, maklumat itu mempunyai nilai politik yang tinggi. Dan lupakan nilai akhlak, moral dan agama. Sesungguhnya amat hina sekali pendekatan seperti ini. Bagi saya personaliti seperti ini juga tidak akan memberi faedah jangka panjang kepada mana-mana pihak, malah menyusahkan kerana menjadi beban saja , kredibilitinya menjunam dilembah yang terlalu hina.

Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa supaya negara kita tidak dibebankan dengan orang-orang yang berperangai seperti ini kerana jika orang ini diberi kuasa, anda boleh bayangkan bagaimana putarbelit yang melingkari jiwanya itu membelit kita semua.

Selasa, 20 Disember 2011

Kondo Saujana Aster, Precint 11 Putra Jaya

Hari Sabtu lepas 17.12.11 berpindah ke Putra Jaya mengikut anak. Terlalu letih mengemas rumah, menyapu habuk dan membersih lantai dan dinding serta tolong menyusun barang. Oleh kerana berhabuk dan tidak memakai mask maka ianya relah memberi kesan kepada pernafasan,  penyakit asthma mula menyerang tetapi tidaklah serious. Jadi hanya bermula hari ini Selasa 20.12.11 telah sedikit pulih dari keletihan dan sudah agak lega bernafas. Bolehlah tinjau-tinjau blog untuk dikemaskini.
 
Di kondo Saujana Aster di Precint 11 Jalan H7 , kami tinggal di tingkat 12. Hanya kami saja ditingkat tersebut. Unit yang lain nampaknya belum ada penghuni. Kami juga mendapat maklumat dari Putra Jaya Holding hanya enam keluarga saja telah memasuki kondo ini.
 
Kemudahan yang disediakan antara lain ialah pengawal keselamatan dan kolam renang serta taman permainan anak-anak. Tempat letak kereta tidak ada masalah kerana masih banyak yang kosong. Namun sebaran maklumat masih belum kelihatan. Mungkin belum ditubuhkan sebuah Badan Pengurusan untuk menguruskan kondo ini. Mungkin masih lagi di bawah Putra Jaya Holding.
Bangunan ini nampaknya masih dalam tempoh kecacatan kerana terdapat pekerja-pekerja kontrektor melakukan kerja-kerja pembaikan. Kami juga telah ditanya apakah kecacatan yang perlu diperbaikki. Yang bertanya itu ialah pekerja dari Bangla bersama dengan seorang pekerja Melayu yang bertindak sebagai pencatat. Pekerja Bangla itu kelihatan memberi arahan kepada pekerja Melayu itu untuk tidak menerima butiran kecacatan yang kami laporkan iaitu terdapat sedikit masalah kepada pemanas air (water heater) disebabkan tiada arus letrik dibahagian itu. Saya pun hairan kenapa perkara seperti ini tidak dianggap sebagai kecacatan. Maka mereka berdua meninggalkan rumah kami dan kami tidaklah dapat menggunakan air panas untuk mandi.
 
Keesokan harinya pula iaitu pada 18.12.11 sekali lagi pekerja Bangla yang sama datang bersama dengan seorang pekerja lain, Bangla juga, mahu memeriksa masalah yang kami telah beritahu semalam. Maka saya pun bertanya mengapa aduan semalam tidak diterima. Kedua-duanya hanya mampu bercakap dalam beberapa patah perkataan Melayu dan tidak juga boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris  maka tanpa mahu menambahkan kecelaruan saya membenarkan mereka masuk  untuk memeriksa arus letrik dikawasan pemanas air. Setelah diperiksa maka saya dimaklumkan masalahnya ialah berkaitan dengan pendawaiaan (wiring). Bukan tanggongjawab pihaknya.
 
Ada dua perkara yang timbul. Pertama, saya pun tidak berapa pasti akan apa yang diberitahu kerana beliau tunjuk wayar, maka saya kata wiringlah.
 
Kedua, mengapakah pekerja yang tidak tahu berbahasa Melayu diambil bekerja. Saya agak gaji mereka ini sudah tentu murah. Tapi keadaan seperti ini boleh menimbulkan bahaya kerana apa yang diberitahu mungkin pekerja itu tidak faham.
Selain dari masalah pekerja Bangla kami juga berhadapan dengan bunyi bising kerja-kerja tambahan dan ubahsuaia. Di tingkat 13 , betul-betul diatas rumah kami kerja-kerja 'drilling' dan 'grinding' sereta berbagai bunyi ketukan telah menghasilkan bunyi dan bising dan boleh mengganggu anak-anak kecil untuk tidur. Dalam hal kami ialah cucu saya yang baru 8 bulan. Beliau tidak dapat tidur dengan baik kerana sentiasa diganggu oleh bunyi bising.
 
Sewa rumah yang dikenakan terlalu tinggi. Walaupun ada pihak yang menghujah bahawa itulah harga pasaran di Putra Jaya tetapi jika dibenarkan sewa ini tanpa kawalan dan semata-mata membenarkan 'market forces' saya percaya ia boleh mendera kepada penjawat awam yang bergaji kecil. Mereka tidak akan dapat memberi kerja dengan terbaik. Kesannya akan dirasa oleh orang awam, rakyat. Yang menyewa rumah ini telah mempunyai harta/rumah yang banyak. Saya percaya mereka ini hidup mengaut keuntungan atas kesusahan orang lain. Jadi mengapa kejaan tidak berbuat sesuatu misalnya mengadakan satu undang-undang kawalan sewa.
  

Jumaat, 16 Disember 2011

Salam Jumaat 39: Album-album Lama Yang Bercerita

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat. Semoga semua sihat-sihat belaka. Amin.

Setengah bulan lagi kita akan meneruskan kehidupan , jika dizinkan Allah, dalam tempoh tahun 2011. Sesungguhnya masa begitu cepat berjalan sehingga kita hanya ada berbaki sabanyak 14 hari lagi bagi memasuki gerbang tahun baru 2012. Maka jika ada yang merancang untuk memuktamadkan sesuatu pada tahun 2011 tempoh 14 hari itu perlu digunakan sebaiknya.

Saya memilih untuk menghabiskan baki 14 hari ini antara lain melihat semula album-album lama yang boleh mengembalikan ingatan akan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dahulu sambil merenung wajah sendiri ketika itu . Dan tangan tidak gagal menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Antara album yang menjadi perhatian ialah album semasa bekerja dan semasa melanjutkan pelajaran di luar negara.

Album semasa bekerja ketika  berusia dihujung-hujung 30an, lebih tepat 37 tahun. Bekerja di sebuah jabatan Kerajaan di negeri bawah bayu, di Sabah. Sebenarnya semasa diarahkan kesana , saya merasakan bahawa semacam ada satu hukuman dikenakan kepada saya dengan pertanyaan "Mengapa saya di hantar ke Sabah sedangkan ada jawatan di Kuala Lumpur". Itu adalah satu pertanyaan berdasarkan syak wasangka yang dipengaruhi cerita-cerita yang bukan-bukan bahawa sesiapa yang dihantar ke sana adalah orang buangan.

Sebenarnya tidak. Malah ianya satu peluang untuk menambahkan pengalaman sama ada dari segi kerja mahu pun pergaulan. Banyak perkara yang telah saya dapat pelajari. Satu perkara yang  terkesan kepada saya ialah tentang pandangan dan sikap orang tempatan terhadap orang yang datang dari Semenanjung. Sebahagian besar menganggap orang Semenanjung ini adalah sombong-sombong belaka. Sama ada sebenarnya begitu atau ianya satu persepsi , itulah yang telah saya dapat simpulkan ketika itu.

Yang paling merisaukan apabila mereka memberikan panggilan orang luar ini sebagai orang Malaya. Apabila cap Malaya di gunakan ia membawa kepada satu konotasi bahawa mereka dijajah. Dan perasaan marah menguasai mereka.

Bagaimana saya menghadapi suasana seperti ini kerana hampir 98% staf jabatan saya adalah orang tempatan. 

Tidak ada sesuatu yang istimewa yang saya telah lakukan. Buat kerja seperti biasa seolah-olah saya bekerja di Kula Lumpur. Cuma kalau ada yang berbeza ialah jika ada masa terluang saya mengunjungi rumah mereka semata-mata hendak merasai sendiri cara mereka menjalani kehidupan harian. Pada mulanya saya agak kaku juga tambahan pula mereka juga kelihatan 'tidak selesa' dengan kedatangan saya. Tapi lama kelamaan mereka dengan senang hati menerima saya. Maka hubungan bertambah mesra. Cap Malaya sudah hilang. Alhamdulillah.

Sebenarnya orang Sabah ke , Sarawak ke, Kelantan ke atau negeri-negeri yang lain memang mempunyai perasaan kenegerian dan lebih suka memilih untuk bergaul sesama sendiri. Cuma di Sabah ini , ketika itulah, mereka kurang seronok dengan orang Malaya. Tapi kalau kita dapat menunjukkan sikap bahawa kita bukanlah orang yang sombong saya percaya mereka boleh menjadi sahabat yang baik. Saya merasainya begitu sehingga hari ini.

Waktu itu rambut saya masih lebat dan hitam. Sekarang bukan saja kepala hampir licin tiada berambut wajah pun telah semakin banyak kedutan terutama didahi. 

Oleh itu baki 14 hari ini nanti yang akan kita lalui, termasuk saya jika diizinkan Allah akan saya anggap sebagai mengurangkan lagi rambut di kepala dan menambah kedudutan dimuka. Begitulah pengajaran yang saya dapati dari melihat album yang lama.   

Sekian. Jumpa lagi.

Khamis, 15 Disember 2011

Melaka Bandar Raya Yang Bersih

1. Dalam perjalanan ke sebuah pasar raya kelihatan pekerja Majlis Bandaraya melakukan kerja-keja pencantasan pokok tanaman dan bunga disepanjang jalan utama. Kelihatan Bandaraya Melaka terutamanya di sepanjang jalan utamnya mempamirkan suatu lanskap yang cantik , menarik dan bersih. Tidak keterlaluan lebih bersih dari Bandar Raya Kuala Lumpur. Amat susah untuk melihat sampah dan buangan yang lain bersepah-sepah dan bertaburan diatas jalan atau ditepi-tepi bahu jalan. Saya percaya tahap kesedaran rakyat Melaka dari segi memelihara persekitaran yang cantik, menarik dan bersih telah semakin meningkat tinggi. Tahniah kepda rakyat Melaka.

2. Tetapi agak malang juga apabila terdapat juga manusia yang tidak bertanggongjawab yang membuang sampah diatas jalan raya seperti tin minuman , kotak rokok dan kupasan kulit  buah-buahan seperti limau dan rambutan. Melihat dari pendaftaran kereta, dan tanpa maklumat yang terperinci mereka itu orang luar Melaka yang datang melawat atau melancung di negeri ini. Kalau benar begitu orang itu telah membawa imej yang tidak baik bagi negerinya. Secara kebetulan pula saya memang telah ke negeri berkenaan dimana tahap kebersihan masih terlalu rendah. Banyak yang kotor dari yang bersih.
3. Saya juga mengharapkan pihak Bandaraya Melaka memberikan lagi pendedahan kepada pekerja-pekerja yang terlibat dengan kebersihan dan kecantikan persekitaran ini melalui lawatan ke negara-negara yang mempunyai penjagaan persekitaran yang cantik dan bersih misal di Singapura atau di Eropah misalnya di Austria. Ianya juga satu insentif kepada mereka. Mereka akan lebih faham dan menghargai akan makna kecantikan, keindahan dan kebersihan yang selalu diminta oleh orang atasan jika mereka juga diberi peluang untuk melawat sambil belajar di luar negara seperti yang sentiasa dinikmati oleh orang atasan.

4. Semoga seluruh Malaysia akan bertambah cantik, indah dan bersih. Kita semua bertanggongjawab bukan hanya pihak berkuasa saja. Buanglah tabiat menghisap rokok dan membuang puntung dan kotak rokok diatas jalan raya. Biar kita tahu malu pada diri sendiri, pada anak-anak sendiri, pada orang yang terdekat dengan kita bukan kepada orang lain atau pelancung dari negara lain. Kerana kita tahu apa yang kita buat walaupun pelancung tidak ada di depan mata.

Rabu, 14 Disember 2011

Putra Jaya: Kos sewa rumah yang membebankan.

1. Mulai minggu depan anak saya akan ditempatkan di Hospital Putra Jaya. Rumah kerajaan tiada yang kosong maka anak saya terpaksa menyewa sebuah kondo dengan bayaran RM1600.00 sebulan. Sewanya terlalu mahal bagi seorang penjawat awam yang baru 2/3 tahun bekerja. Ini bermakna satu kos tambahan yang terpaksa ditanggong berbanding semasa bekerja di Melaka. Elaun rumah yang diperolehi tidak dapat menampong jumlah sewa yang terpaksa dibayar. 

2. Soalnya mengapakah kerajaan tidak menyediakan rumah kerajaan yang mencukupi khususnya bagi menempatkan penjawat awam yang baru saja bekerja terutama bagi perkhidmatan kritikal seperti doktor yang terpaksa melakukan kerja-kerja 'on call'.

3. Sepatutnya kerajaan memberi keutamaan membina rumah kerajaan bagi penjawat awam yang diperingkat rendah yang bergaji kecil; penjawat awam dalam perkhidmatan kritikal seperti doktor dan polis dan yang lainnya di kawasan-kawasan yang sewa rumahnya terlalu tinggi seperti Kuala Lumpur dan Putra Jaya.

4. Sekiranya rumah kerajaan tiada yang kosong sewajarnyalah kerajaan menampong perbezaan diantara elaun rumah yang di terima dengan sewa yang dikenakan bagi kawasan-kawasan yang sewa rumahnya melebihi dari elaun rumah yang di terima.

5. Sekarang anak saya dalam senarai menunggu untuk rumah kerajaan. Masalahnya ialah tuan rumah hanya bersetuju untuk menyewa rumahnya pada tempoh tidak kurang dari enam bulan. Bermakna jika ada kekosongan rumah kerajaan dalam tempoh 2 bulan lagi, deposit yang telah dibayar sebanyak RM6,000.00 akan hangus jika anak saya itu memasuki rumah kerajaan. Bukankah ini menambah beban.

6. Kerajaan mahukan penjawat awam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tetapi dalam keadaan tekanan kewangan semacam ini bolehkah perkhidmatan terbaik diberikan.  Sebab itu tidak hairan lah jika ada doktor-doktor yang tidak dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kerana di ganggui oleh beban kewangan seperti ini.

7. Setengah pihak mungkin menganggapkan ini sesuatu yang remeh kerana ramai penjawat awam yang mengalami perkara yang sama. Tapi kalau sudah disedari begitu mengapa tidak mahu diperbaikki. 

8. Apakah perkara seperti ini tidak menjadi perjuangan Cuepacs. Perumahan adalah keperluan asas. Jangan sampai ada diantara penjawat awam menyewa rumah setinggan seperti yang pernah berlaku suatu masa dulu.


9. Adakah menteri-menteri, ahli parlimen dan pegawai atasan melihat perkara seperti ini. Adakah mereka prihatin sebab mereka pun tidak mahu susah dibebankan dengan tekanan kos hidup. Atau mereka sekarang ini terlalu mewah sehingga tidak merasa kepahitan hidup orang lain.



Selasa, 13 Disember 2011

Memahami Perlembagaan Persekutuan: Hak dan Tanggongjawab Kita

Di negara kita Malaysia, sebagai warga negara kita mempunyai hak tertentu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak itu juga membawa bersama dengan tanggongjawab kita kepada negara. 

Tanggongjawab kepada negara ini jangan pula difahami sebagai bertanggongjawab kepada Parti yang telah diberi mandat menubuhkan Kerajaan untuk menguruskan khazanah negara melalui sistem pilihanraya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Siapa atau parti mana saja yang telah berjaya membentuk Kerajaan yang sah melalui pilihanraya akan menguruskan negara dalam kerangka PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. 

Negara tidak boleh diuruskan diluar dari yang dibenarkan oleh Perlembagaan itu. Ini bermakna apa saja undang-undang dan peraturan-peraturan tambahan dan yang lain yang hendak diperkenalkan bagi memudah dan melicin perjalanan pentadbiran demi kesejahteraan rakyat tidak boleh tergelincir atau bercanggah dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan.

Satu dari hak kita ialah untuk memilih  Kerajaan bagi diberi amanah menguruskan negara kerana tidak mungkin setiap dari kita rakyat Malaysia diberi tanggongjawab untuk menguruskan negara. Ianya sesuatu yang tidak praktikal malah menimbulkan keadaan haru biru.

Oleh itu hak kita itu iaitu hak menguruskan negara perlu kita serahkan kepada pihak/orang lain  dengan harapan hak yang telah kita berikan itu dapat digunakan sebaiknya demi kesejahteraan kita bersama. Dan mereka yang melakukan peranan itu, sebagai balasan, diberikan keistimewaan-keistimewaan tertentu yang secara amnya melebihi dari apa yang diperolehi oleh sebahagian besar rakyat sesuai dengan tugas dan kedudukan mereka.

Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini cara penyerahan hak itu dilakukan dalam sebuah sistem yang di panggil sebagai pilihanraya. Namun tidak semua rakyat Malaysia diberikan peluang untuk menyerahkan hak mereka melalui pilihanraya. Hanya mereka yang layak yang telah ditentukan oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah layak untuk berbuat demikian. 

Mereka ini terdiri dari warga negara yang telah mencapai umur 21 tahun keatas kerana kemungkinan pada tahap usia ini mereka dikatakan telah 'matang' dan boleh membuat keputusan yang terbaik serta rasional demi kebaikan diri dan negara. Namun mencapai tahap umur seperti itu tidaklah secara otomatik seseorang warga negara itu boleh terlibat  dalam proses pemilihan dalam pilihanraya. Ada proses-proses tertentu yang perlu dipatuhi antaranya ialah mendaftar sebagai seorang pemilih dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang telah diamanahkan untuk mengurus dan mengaturkan sesuatu pemilihan menurut undang-undang yang telah ditetapkan. SPR juga akan membuat keputusan senarai-senarai pemilih yang telah berdaftar untuk digunakan dalam sesuatu pilihanraya. 

Bermakna walaupun seseorang itu telah mencapai umur 21 tahun dan baru saja mendaftar sebagai pemilih ada kemungkinan orang itu belum layak untuk terlibat menjadi pemilih jika nama beliau tidak termasuk dalam senarai yang digunapakai SPR yang berdasarkan suatu tempoh tertentu yang tidak merangkumi tempoh orang itu mendaftar sebagai pemilih. Selain dari itu undang-undang juga menentukan mereka yang hilang kelayakan menjadi pemilih walaupun telah berusia 21 tahun antaranya mereka yang tidak siuman dan terlibat dalam jenayah yang dipenjarakan.  

Dengan yang demikian mereka yang belum mencapai usia 21 tahun selain 4 kategori yang telah ditentukan undang-undang yang hilang kelayakan menjadi pemilih nampaknya tidak berpeluang untuk terlibat sama dalam pemilihan pihak/orang yang perlu diberi tanggongjawab untuk mengurus negara. Maka ianya kelihatan sebagai tidak memberi hak yang sama sebagai warga negara terutama kepada mereka yang telah memasuki umur yang dianggap matang juga pada usia 18 tahun keatas. Maka mereka yang berusia 21 tahun keatas yang layak untuk memilih adalah juga bertanggongjawab keatas mereka dari golongan seperti ini. Maka pilihan yang dibuat nanti kesannya juga mesti difikirkan kepada mereka dalam golongan ini.


Pemahaman akan hak dan tanggongjawab  sebagai warga negara khususnya dalam menjadi pemilih dalam proses pembentukan sebuah kerajaan adalah amat penting sekali supaya pelaksanaan hak dan penerimaan tanggongjawab itu dapat diuruskan sebaik mungkin demi kesejahteraan kita semua. Jika kita masih kabur atau jahil akan hak dan tanggongjawab kita sebagai warga negara maka kesannya sungguh buruk sekali kerana berkemungkinan besar kekaburan kita atau kejahilan kita itu akan disalahgunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan yang mahu berkuasa meneraju negara menggunakan berbagai cara dan kaedah untuk mempengaruhi kita memilih mereka. Dan salah guna kuasa itu diteruskan semasa berkuasa dan semasa bersiap sedia untuk terus mengekalkan kuasa.


Maka tidak hairanlah dari semenjak dulu sehingga kini cara dan kaedah yang menimbulkan rasa takut dan kebimbangan sentiasa dijadikan bahan bagi mempengaruhi rakyat menyebelahi dan menyokong mereka untuk membentuk kerajaan dan seterusnya menguruskan khazanah negara. Atas nama kesatuan, perpaduan dan keselamatan bangsa dan negara; atas nama taat setia kepada negara menjadi rakyat yang patriotik; atas nama menjaga kepentingan agama dan institusi raja dan atas nama demi kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan berbagai projek pembangunan maka modal-modal politik ini menjadi sesuatu yang amat meyakinkan rakyat dalam membuat pilihan. Kesemua modal-modal politik itu tidak salah digunakan. Cuma yang tidak wajar digunakan ialah mewujudkan rasa dan suasana kebimbangan dikalangan rakyat apatah lagi kita berbeza dari segi keturunan, agama dan budaya. 

Maka jika kita dipengaruhi atas dasar takut dan bimbang itu lalu memilih mereka yang bersenjatakan modal seperti itu, sudah tentu pilihan kita untuk menyerahkan hak menguruskan negara adalah keliru dan merugikan sekali. Kerana sebenarnya kita mengekalkan dan menebalkan rasa kecurigaan dan syak was sangka dikalangan sesama rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Kesannya amat buruk sekali dari segi pembangunan dan kesejahteraan sebuah negara, dalam jangka panjang.

Jika ada pihak yang bersaing dalam pilihanraya itu menggunakan modal membawa pembangunan dan kemajuan negara demi kesejahteraan rakyat, ianya sesuatu yang amat baik. Tetapi kita wajar faham bahawa itulah yang sewajarnya dilakukan oleh orang yang mahu diserahkan amanah untuk menguruskan negara. Ini bermakna sesiapa saja yang mahu diberi amanah untuk mengurus harta negara mempunyai tugas dan tanggongjawab untuk menyenangkan rakyat. Apa faedahnya mereka gunakan harta negara kalau bukan untuk tujuan menyenangkan rakyat. 

Maknanya kita tidak perlu berasa terhutang budi jika yang menggunakan modal pembangunan itu telah atau/dan sedang diberi amanah untuk berbuat demikian walaupun mereka telah juga menunjukkan rekod berbuat demikian, sebahagian darinya. Maksudnya kita tidak semestinya mengundi mereka berasaskan rasa terhutang budi akan pembangunan yang dibawa. 


Maknanya lagi bahawa membawa pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat bukan isunya. Itu adalah tugas dan tanggongjawab hakiki mereka. Siapa saja atau apa saja parti yang telah diberi kepercayaan untuk menguruskan negara adalah wajib melakukan tugas dan tanggongjawab itu.


Dengan demikian memahami perlembagaan negara iaitu Perlembagaan Persekutuan adalah perkara yang kritikal dan penting sebelum kita berperanan sebagai pemilih. Ini bererti kefahaman akan peruntukan dalam perlembagaan ini perlu disebarluaskan kepada semua warga negara khususnya mereka yang akan melakukan pemilihan.


Jika perlembagaan telah difahami maka ianya memudahkan kita untuk menilai dan menimbang akan isu-isu yang di ketengahkan oleh pihak-pihak yang berkempen untuk mempengaruhi kita supaya memilih mereka. Maka kita tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang menimbulkan kebimbangan antara kaum mahu pun agama.

Memahami perlembagaan dapat memberi kita peluang untuk menilai perkara-perkara berkaitan dengan salah guna kuasa dan penyelewangan dalam pengurusan khazanah negara dengan lebih adil dan saksama. Misalnya terdapat tiga elemen/komponen penting dalam pentadbiran negara Malaysia yang mempunyai bidang kuasa tertentu dan berasinagn iaitu Eksekutif (kerajaan), Parlimen (penggubal undang-undang) dan Kehakiman. Berdasarkan prinsip pengasingan kuasa tiada mana pihak boleh mempengaruhi dan menguasai pihak yang lain. 

Dengan memahami perkara sedemikian maka kita dapat menilai sama ada telah berlaku campur tangan kuasa diantara komponen-komponen itu khususnya campur tangan pihak Eksekutif ke atas pihak yang lain. Jika ada berlaku sedemikian maka adalah tidak wajar kita memilih kerajaan yang suka dan sentiasa melakukan campur tangan dalam bidang kuasa pihak lain.

Kerajaan yang suka berbuat seperti itu telah tergelincir dari peranan dan tanggongjawab sebenar untuk menguruskan negara. Kerajaan seperti itu adalah kerajaan yang salah guna kuasa. Apabila berlaku sedemikian maka dalam hal-hal yang berkaitan dengan menguruskan harta negara sudah tentu kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa menjadi satu kegemaran dan amalan. Kesannya ialah penyelewangan harta termasuk wang negara yang telah kita amanahkan kepada mereka. Hak mengundi kita dalam pilihanraya yang telah kita berikan yang membolehkan mereka membentuk kerajaan telah  mereka permain dan sia-siakan. Mereka tidak amanah demi kepentingan diri dan kumpulan mereka saja.

Benar mereka berjanji membawa pembangunan dan kemajuan. Benar juga mereka telah melakukan. Tetapi jika kita memahami perlembagaan hal seperti itu bukan satu isu. Isunya ialah bagaimana cara dan kaedah pembangunan dan kemajuan itu dibawa dan dilaksanakan. Kalau dengan cara kita dapat satu mereka dapat seribu, ianya adalah menipu. Semua orang benci kena tipu.

Maka jika kaedah itu menjadi amalan dan berterusan ianya tidak membawa faedah kepada rakyat terbanyak. Rasuah dan penyelewangan sudah menjadi rutin harian.

Oleh itu memahami Perlembagaan Persekutuan memberikan kita keyakinan dalam menilai dan menimbang orang/pihak mana yang perlu kita beri undi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Justeru kita mesti mendapat maklumat dari berbagai sumber untuk membantu kita dalam menilai kerajaan yang sedia ada dan pesaingnya dalam menentukan ke mana undi kita (hak kita) perlu kita berikan. Lihatlah apa yang telah berlaku , sedang berlaku dan buat jangkaan apa yang akan berlaku dengan penuh adil dan saksama.       

Ahad, 11 Disember 2011

NFC: Satu Babak Cerita Yang Sesungguhnya Terlalu Sedih

Buat ketika ini saya cuba bercakap dengan nada sedih. Perasaan sedih. Tidak dengan nada marah kerana telah selalu perasaan marah itu saya hamburkan. Tidak juga dengan perasaan benci kerana ia membuatkan saya bertambah sakit hati.

Saya mahu nyatakan kesedihan yang terlalu amat.  Terlalu sedih diatas apa yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan besar kemungkinan terus berlaku pada masa akan datang. Kesedihan tentang salah urus khazanah negara dengan berbagai cara oleh mereka yang telah diberi amanah untuk menjaga dan menguruskannya.

Baik, saya mulakan dengan perkara yang telah berlaku. Satu  kisah saja dari jumlah yang tidak dapat dipastikan berapa banyaknya dari segi statistik. Tetapi yang pasti bilangannya terlalu banyak dalam berbagai bentuk.

Terlalu sedih apabila wang sebanyak RM250 juta yang di peruntukkan bagi tujuan membekal daging lembu melalui projek 'ladang lembu kebangsaan' (istilah yang saya gunakan saja) atau lebih tersohor dengan ringkasan NFC (National Feedlot Center) telah digunakan bagi tujuan menyenanglenangkan beberapa kerat manusia sahaja, tidak mencakupi rakyat terbanyak seperti yang diharapkan.  

Sedih kerana yang beberapa kerat itu memang telah sedia senang lenang dan mewah . Projek ini tidak di maksudkan kepada mereka untuk menambah kemewahan. 

Terlalu sedih kerana wang negara sebanyak itu diberikan begitu saja seperti memberikan anak-anak membeli aiskrim saja.


Oleh kerana saya terlalu sedih maka saya akan menyampaikan kesedihan saya ini dalam bentuk soal jawab dalam parlimen. Tapi parlimen saya sendiri. Tidak ada Speaker  atau Yang Di Pertua sebagai orang tengah. Tujuannya ialah untuk cuba mengurangkan kesedihan, jika boleh. 

-----Soalan mula- mengapa projek ini boleh diberikan kepada orang yang senang lenang?


Jawabnya ialah- mereka itu orang yang mempunyai kepakaran dalam hal lembu melembu. Mengatasi penternak-penternak lembu di kampong dan di pedalaman. 

Ok jawapan itu boleh diterima kerana NFC ini bukanlah saja terhad kepada bela membela lembu.  Ia melibatkan berbagai kepakaran sebagai sebuah industri perlembuan. Tidak hanya menjaga lembu saja yang cuma memerlukan padang ragut dan kandang.Tidak ada exkspot-impot dan pembangunan lembu. 

Kalau di kampong-kampong, lembu-lembu itu dibiarkan saja berkeliaran mencari makan sendiri, meragut rumput di mana saja yang dapat di lihat oleh lembu itu. Kadang-kadang ada yang merosakkan tanaman orang lain. Oleh itu baik di sembelih dengan parang saja. Lembu NFC ini bukan cara itu untuk disembelih. Maka orang kampong tiada kepakaran.

Maka jawapan itu terlalu munasabah.


Soalan tambahan- siapa kah beberapa kerat orang yang senang lenang itu kerana di Malaysia untuk mendapatkan orang dalam tahap yang sama adalah dirasakan banyak juga. Banyak yang pakar dan senang lenang.

Lagi soalan tambahan-adakah pemilihan dibuat secara tender terbuka, tender tertutup, runding sendiri atau bagaimana?

Jawab soalan tambahan pertama- orang-orang yang  berkepakaran itu terdiri dari satu keturunan tetapi tidak ada kena mengena dengan 'saya'.


Soalan tambahan kedua dijawab begini-oleh kerana mereka itu satu keturunan maka mereka runding sendiri-sendiri.

Jawapan yang diberikan amat munasabah sekali. Boleh diterima kerana itulah cara yang betul dalam membuat sesuatu keputusan. Utamakan keturunan dahulu. Dan oleh kerana itu mereka tidak perlu orang luar untuk berunding apatah lagi untuk menjadi pesaing melalui tender menender. Upah mengupah jaga lembu pun boleh tentukan sendiri. 100k ke atau apa saja 'k' boleh dengan mudah ditentukan. 250 juta takkan tak boleh ambil sedikit untuk upah jaga lembu.

Minta maaf ada lagi soalan tambahan terakhir kerana hendak pastikan siapakah gerangan 'saya' itu.

Jawab- Sayalah, siapa lagi. Saya yang tidak ada kena mengena dengan suami dan anak saya kerana profession saya berbeza dengan profession mereka. Sebab itu mereka menyediakan kondo untuk lembu dan bukan kandang. Lembu mereka perlukan lif tidak seperti lembu kampong yang perlukan titi untuk menyeberang sungai.

Oooooooh begitu.  

Hilang sedikit kesedihan saya. Malangnya marah dan meluat mula pula mengambil tempat.  Marah dan berang saya menggelegak tidak boleh ditahan.

Maka saya pun berkata "Awas kamu, kamu, kamu, kamu dan kamuuuuuuuuuu yang sedang berkuasa itu apabila tempoh kamu berakhir, tak kisahlah bila, Aku akan beritahu Isteriku, Anak-anakku termasuk menantu-menantuku akan  kelakuan kamu-kamu itu. Kelakuan yang tidak senonoh, kelakuan yang tidak semenggah dari orang yang tidak tahu malu. Sekarang Aku simpan dulu, Aku peram sampai masak-masak".

Tapi kenapa saya perlu marah dan meluat? Bukankah mereka itu menjaga kepentingan orang Melayu seperti saya ini. Ini jelas dalam persidangan UMNO yang baru lepas ini. Ahli-ahli persidangan menjerit-jerit menjadi pembela bangsa, agama dan negara. Tiada yang lain melainkan UMNO saja yang boleh berbuat demikian. 

Benar juga!

Maka seperti biasa, seperti kes dulu-dulu yang serupa bentuk dan sifatnya, perasaan marah dan meluat saya mula bertukar  menjadi sedih. NFC ini adalah cuma satu dari babak cerita yang sesungguhnya terlalu sedih saja. Menangislah kita semua orang Melayu tanda kesedihan kita. Itupun caranya yang dulunya yang kita mampu buat semasa kita tahu kes-kes serupa itu. Teruskan lagi tangisan kita untuk masa depan semoga kesedihan kita berkekalan sebagai warisan masa dulu, kini dan selama-lamanya.------

Saya tidak akan berbuat begitu. Tidak akan mahu bersedih lagi. Marah dan benci pun tidak mahu. Saya mahu berfikir secara rasional. Saya dan keluarga tidak akan beri undi kepada yang tidak tahu malu. Cuba perhatikan, memberi jawapan bertulis pun dalam tulisan yang kecil semacam ada perkara yang hendak disorok-sorok. Tapi nampak juga.








Jumaat, 9 Disember 2011

Salam Jumaat 38: Menghadiri Majlis Perkahwinan: Yang kendur mendur dan yang mesra

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat. Semoga semua sihat-sihat belaka dengan izin Allah. Amin.


Musim cuti persekolahan yang panjang ini berbagai aktiviti sosial mengambil tempat, diadakan disana sini. Misalnya majlis khenduri kahwin, pertunagan dan risek merisek, majlis berkhatan yang sekarang ini banyak diadakan secara berkelompok/beramai-ramai penuh dengan kemeriahan. Kesempatan juga diambil untuk melawat sanak saudara yang berlainan tempat/negeri sambil melancong membawa keluarga terutamanya anak-anak sekolah yang sememangnya ternanti-nanti akan aktiviti kerehatan fizikal dan minda seperti itu setelah hampir setahun menghadapi pelajaran dan beberapa kali peperiksaan. Ada yang melancong ke luar negara untuk satu pendedahan dan pengalaman persekitaran yang berbeza dari negara sendiri. Dan macam-macam lagi aktiviti yang diadakan waktu cuti panjang ini.

Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga semua aktiviti itu berjalan dengan lancar dan selamat termasuklah perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Pada cuti yang panjang ini juga seperti orang lain saya juga ada menerima jemputan majlis perkahwinan dan pertunangan. Secara puratanya dua jemputan seminggu iaitu pada hujung minggu , hari Sabtu dan Ahad. Ada majlis yang diraikan dirumah dan ada juga didewan-dewan dan di hotel mengikut cita rasa tuan rumah yang mungkin dipengaruhi oleh kemudahan yang dapat disediakan, keselesaan, dan paling kritikal ialah perbelanjaan yang terlibat. 

Namun ada setengah orang yang mementingkan rakaman sebuah sejarah yang amat penting dalam sebuah kehidupan akan memilih tempat yang dirasakan terlalu istimewa dijadikan latarbelakang sebuah perkahwinan. Dalam hal ini wang bukanlah yang kritikal dalam memilih tempat bagi majlis itu. Dengan itu ada yang mahu menjadikan rumahnya atau rumah orang tuanya sebagai sebahagian dari sejarah penceritaan majlis perkahwinannya. Sama juga yang memilih dewan dan hotel tadi.

Seronoknya mendapat jemputan ke majlis-majlis ini bukanlah sangat makanan yang dihidangkan. Apatah lagi orang seperti saya yang terpaksa banyak berpantang. Banyak pantang larang orang yang telah bersara bagi menjalani baki-baki usia yang ada. Apatah lagi saya yang telah menjalani pembedahan jantung terbuka. Makanan berminyak dan berlemak perlu dielakkan. Tapi kadang-kadang kalah juga dengan selera, disebatnya juga.

Yang seronoknya ialah berjumpa kawan-kawan lama semasa bekerja dulu. Bertambah seronok lagi apabila masing-masing telah berwajah baru , tapi tidaklah bertambah cantik. Lihat kepala, rambut sudah nipis dan ada yang sudah gugur semuanya. Kalau ada rambutpun , warna bertukar putih. Muka, sudah banyak bintik-bintak hitam dikedua pipi dan telah banyak garis-garis dalam proses pengedutan. Leher kalau boleh dilihat, sudah banyak yang berkedut.
Maka masing-masing ketawa akan perubahan yang tidak disedari. Ada yang mengenang cerita semasa bekerja, semasa muda belia. Kalau dulunya satu kelas maka bercerita panjanglah kesah-kesah lama yang dirasakan baru saja berlalu.
Begitulah masa berlalu meninggalkan kita yang tidak dapat dikejar dan ditahan. Hanya yang ditinggalkan atau tanda-tanda yang boleh dikesan ialah wajah-wajah kita yang semakin kendur. Dan   semasa usia tua inilah kita semakin bertambah mesra berbanding semasa muda dulu. Misalnya jika kita bersekolah asrama dulu yang selalu berselisih faham dan bertengkar, berpuak-puak, yang Kelantan dengan semangat kenegeriannya yang pekat, yang Jawa tidak mengaku Jawa dan berbagai sikap perangai dan ego masing-masing tapi sekarang diusia tua apabila sesekali berjumpa kisah-kisah itu hanya menjadi bahan cerita untuk kita ketawa dan bermesra.

Dulu lelaki yang handsome dan perempuan jelita yang sentiasa menjadi sebutan dan ramai yang mahu bersaing untuk memilikinya, yang kadang-kadang menimbulkan rasa terlalu eksklusif dikalangan mereka sehingga ada yang agak 'sombong', sekarang ini tidak lagi. Tegur sapa begitu mesra sekali. Rupa-rupanya wajah tua mengajar kita untuk menghargai dan meghormati sesama insan.  

Sekian . Jumpa lagi dengan izin Allah.


 

Khamis, 8 Disember 2011

SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA): Satu Transformasi?

Tahniah kepada penjawat awam yang bakal menerima Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada awal tahun baru nanti. Sudah tentu perkara yang menggembirakan ialah dari segi struktur gaji dan kenaikan gaji mula dan peningkatan gaji maksima setiap gred jawatan serta  faedah-faedah lain yang mengiringinya. 

Sudah tentu juga penjawat awam itu  akan memberikan perkhidmatan melebihi atau sekurang-kurangnya setimpal dengan apa yang akan diterima. Sebagai bekas penjawat awam yang ketika ini sedang menikmati tempoh dalam persaraan, saya penuh yakin sebahagian besar penjawat awam boleh melakukannya, dengan usaha yang kuat penuh cekal dan izin Allah.

Cuma saya ada satu kekhuatiran.

Sebelum itu lebih molek kita melihat dulu asas/prinsip yang menegakkan SBPA ini.

Asas kepada SBPA ini ialah perubahan atau apa yang selalu disebutkan sebagai TRANSFORMASI. Ini adalah model yang mahu dibawa dan dilaksanakan oleh Pentadbiran Kerajaan yang ada sekarang ini. Transformasi dalam berbagai bidang dan sektor umpamanya Transformasi Ekonomi dan Politik kearah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Maka nadi utama yang menggerakkan transformasi ini ialah Kerajaan itu sendiri melalui jentera pelaksannya iaitu penjawat-penjawat awam. Sudah semestinya jentera ini mesti diberi satu 'kekuatan' yang dapat memenuhi hasrat tersebut. 'Kekuatan' yang dirangkumkan dalam kata-kata 'Mesti berubah atau Transform.

Apa yang perlu berubah atau apa kah bentuk transformasi itu. 

Menurut maklumat yang diketahui bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang dikatakan 'radikal', dan ciri-cirinya,

i) Radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya. 
ii) Mereka yang berprestasi akan dikekalkan dan yang tidak berprestasi akan di tunjukkan jalan keluar (ditamatkan perkhidmatan) melalui prinsip susur keluar (exit policy). 
iii) Mengutamakan merit.
iv) Menaikkan gaji maksima setiap gred.
v) Kenaikan gaji tahunan diantara RM80- 300.
vi) Mewujudkan banyak mata gaji. 

Sepintas bacaan dan dari pengalaman berbagai sistem dan skim gaji terdahulu termasuk SSM saya tidak nampak adanya satu perubahan yang radikal. Misalnya dari segi mata gaji dan kenaikan gaji. Dalam semua skim yang telah dilaksanakan tidak pernah gaji atau tangga gaji yang ditawarkan dalam skim baru bagi menggantikan skim terdahulu termasuklah faedah-faedah dan kemudahan yang mengiringinya lebih rendah dari yang terdahulu. 

Begitu juga dari segi prestasi kerja dan merit. Setiap penjawat awam itu dikehendaki memberikan perkhidmatan yang terbaik. Mereka yang 'terbaik' saja yang diberikan kenaikan pangkat. Bermakna asasnya juga ialah merit. 

Mungkin ada pihak mengatakan bahawa merit ini adalah satu ukuran yang objektif maka ia tidak sama dengan pengertian  yang 'terbaik' yang dipakai dulu, yang subjektif katanya.

Saya boleh juga bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangan seperti itu. 

Bagi saya semuanya bergantung kepada mereka yang akan melaksanakan tugasan memberikan penilaian kepada penjawat awam itu. Cuma saya berani katakan bahawa 'merit' dari kaca mata si A adalah mungkin tidak sama dengan 'merit' si B. Ukuran prestasi si A juga berkemungkinan tidak sama dengan si B. Bukankah mereka itu manusia? 

Manusia yang terhibur dan menghibur. Manusia yang rindukan pujian. Manusia yang apabila duduk diatas jarang boleh ditegur atau berbeza pandangan. Manusia yang memang tidak suka yang lain lebih pandai maka akan dikatakan memandai-mandai. Manusia yang segala-galnya mempunyai sifat manusia misalnya cemburu, sakit hati , kecewa dan banyak lagi. Maka 'merit' yang dikatakan objektif itu akan menjadi hiasan mulut saja untuk menjadi senjata mempertahankan sistem.

Jangan pula ada yang mengaku bahawa ini tidak dapat dielakkan kerana faktor manusia itu. Saya juga tidak bersetuju. Yang paling teruk lagi jika ada yang mengatakan bahawa 'perkara seperti itu jarang berlaku , iaitu sesuatu yang terasing'.

Yang paling kacau sekali ialah jika penentuan merit dan prestasi itu datangnya dari tangan-tangan ghaib yang maha berkuasa walaupun bukan tugasannya. Oleh kerana ianya berkuasa dan ghaib pula terlalu amat susah untuk membuktikannya walupun kita tahu siapa gerangan si tangan ghaib itu.

Saya tambah sedikit lagi berkaitan merit dan prestasi ini. Jika anda secara relatifnya kurang prestasi dari kawan anda, jangan risau . Anda ada jalan keluar untuk kekal dalam perkhidmatan. Tidak perlu gusar dengan 'exit policy' itu. Cuma anda perlu menjadi pemerhati yang baik dan tajam akan peribadi bos anda itu, apa yang dia suka. 

Contoh: Bos suka sangat main golf? Anda tidak perlu main bersama. Tapi mesti pandai mengatur 'flights' dan adakan goodies yang menyelerakan. Itupun tidak cukup. Anda mesti tentukan 'goodies' tertentu itu akan tetap menjadi genggaman bos itu. Kalau anda bermain bersama lagi bagus. Cuma anda mesti banyak kali hayun kayu/batang golf itu sebelum sampai ke lubang.  Dan tentukan juga bola yang anda pukul itu masuk hutan atau masuk kolam. Yang terbaiknya bola golf itu hilang. 

Anda telah melakukan sesuatu yang merit dari segi pandangan bos anda. Dan itu pun prestasi anda yang terbaik yang menjadi ukuran.

Maka apa yang radikalnya dalam perkara berkaitan dengan merit dan ukuran prestasi itu. Apakah perubahannya atau apa yang menjadi satu transformasi. Dalam bahasa yang mudah 'apa yang barunya'?

Maka mungkin ada yang berkata: "Itu sistem lama. Sebab itu kita nak ubah, nak transform. Kita nak merit dan prestasi". Saya menjawab:"Rasa-rasanya ayat-ayat yang membawa maksud yang sama pernah banyak kali saya dengar dulu. Kan ke dulu ada sistem belanjawan yang dipanggil Program dan Prestasi . Macam siaran ulangan saja merit dan prestasi ini".


Dari segi pengambilan ke dalam perkhidmatan dan pembangunan kerjaya penjawat awam ianya merupakan perkara peningkatan saja bukan sesuatu yang baru. Melainkan dari segi pengambilan jika dilakukan melalui mekanisma selain dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Ini suatu perubahan drastik jika dilakukan. Sama ada baik atau tidak belum dapat diukur lagi. Rasa-rasanya tidak perlu satu mekanisma pengambilan yang baru. Cuma dikaji semula keanggotaan ahli-ahli Suruhanjaya itu, mungkin lebih sesuai.


Berkaitan dengan pengisian jawatan pula, telah diwujudkan satu peluang bagi orang diluar sistem perkhidmatan yang dikatakan berprestasi tinggi? diambil mengisi jawatan perkhidmatan awam pada peringkat tertinggi dan utama. Ini memang sesuatu yang radikal. Tapi membawa kesan yang tidak baik kepada perkhidmatan awam.

Saya hanya berhujah secara rengkas begini,

Perkhidmatan awam tidak sama dengan bekerja di luar. Pencapaian matlamatnya bukan memadai dengan mengemukakan stastik. Pengukurannya hanya satu iaitu memberi kesejahteraan kepada rakyat mengikut cara yang dimahukan oleh Kerajaan yang bertonggakkan kepentingan politik.

Kalau masih tidak jelas juga, saya pohon pihak berkenaan melihat kerangka perkhidmatan awam itu. Kerangka dimana semua penjawat awam ada didalamnya atau mesti sentiasa duduk didalamnya. Maknanya penjawat awam tidak boleh keluar dari kerangka itu. 

Apa dia kerangka itu?

SYMP. 

Jika anda pernah menerima surat dari Jabatan/Kementerian Kerajaan anda akan disajikan dengan kerangka ini. Lihat di ruang akhir, diruang sebelum penjawat awam yang menghantar surat itu menandatangani surat berkenaan. 


Saya Yang Menurut Perintah. Itu budaya penjawat awam. Selagi budaya ini tidak ditukar atau di transform saya tidak yakin orang luar yang mengisi jawatan itu dapat melaksanakan tugas dengan penghasilan prestasi yang tinggi mengikut ukuran semasa orang itu diluar perkhidmatan.


Satu hujah lagi ialah salah guna ruang yang di buka. Sudah tentu orang luar yang bakal diambil itu adalah orang yang selari, sejalan dan seirama dengan kehendak orang yang berkuasa dalam Kerajaan. Itu tidak menjadi satu kesalahan. Cuma saya khuatir dan berdasarkan pengalaman dalam banyak hal, saya yakin akan berlaku pengisian jawatan perkhidmatan awam atas kepentingan politik. Ini amat memberi kesan negatif kepada penjawat awam dan perkhidmatan awam.


Dengan demikian pada pandangan saya SBPA ini nampaknya tidak banyak beza dengan matlamat skim yang terdahulu ditinjau dari faedah kepada penjawat awam. Sewajarnya penjawat awam menerima dan alu-alukan. Lakukan tugasan anda sebaik mungkin dan jangan jadikan soal merit dan prestasi itu sesuatu yang merisaukan kerana kita menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Dan jangan kecewa jika merit dan prestasi ini mempunyai tafsiran yang berbeza. Kita buat kerja dengan sebaiknya. Dapat rezeki yang halal.

Anda perlu juga risau atau kata tidak bersetuju jika orang luar diambil mengisi salah satu tempat anda. Budaya anda dan budaya dia lain sekali. 

Adakah mengambil orang luar itu satu transformasi? Apakah kurangnya anda? Apakah lebihnya mereka?