Theflowersellingboy

Jumaat, 30 September 2011

Salam Jumaat 28:Menahan Nafsu Selera

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Semoga sihat sentiasa.

Selamat tinggal bulan Syawal. Kita telah puas beraya dengan berbagai acara dan program meraikan tetamu dan sesama kita sanak saudara, jauh dan dekat. 

Malah sehingga penghujung bulan Syawal masih lagi diadakan majlis rumah terbuka sebagai penutup merayakan Raya Idilfitri..

Kepercayaan sebahagian dari kita ialah bahawa merayakan Raya Idilfitri itu tempohnya sebulan  kerana kita berpuasa dalam bulan Ramadhan selama sebulan. Jadi sebulan berpuasa maka sebulanlah kita berpesta raya, gamaknya alasan disebalik jangka masa merayakan idilfitri itu.

Ada juga  pihak yang mengatakan bahawa merayakan idilfitri itu cuma pada 1 Syawal saja kerana pada 2 Syawal kita boleh memulakan puasa Sunat 6. Cuma pada 1 Syawal  saja kita diharamkan berpuasa dan bolehlah beraya.  Itulah gamaknya alasan yang diberikan.

Saya belum lagi ada kesempatan untuk bertanya pihak-pihak yang pakar dan berilmu tentang isu ini. Tapi buat ketika ini berpendapat bahawa tidak ada salahnya kita merayakan Idilfitri pada dan selepas  2 Syawal dan hari-hari seterusnya. Kalau kita mahu melakukan puasa Sunat selepas 1 Syawal kita boleh teruskan dan jika tidak berbuat demikian rasanya tidaklah salah kita menerima atau mengunjungi saudara mara dan sahabat handai untuk merayakan Idilfitri itu.  

Nampaknya perkara ini remeh dan tidak perlu menjadi isu. Cuma kadang-kadang yang remeh ini boleh mengeliru dan merosakkan keharmonian masyarakat. Saya tetap mencuba untuk mendapatkan kepastian.

Disebelah pagi tadi saya bersama isteri bersarapan di sebuah restoran. Kami memesan roti canai. Untuk minuman saya memesan milo dan isteri memilih nescafe. Kedua-dua kami saling berdiam diri, masing-masing tidak tegur menegur dan ingat mengingati akan makanan dan minuman yang dipesan. Makanan dan minuman itu sebenarnya adalah termasuk dalam senarai yang perlu dielakkan.

Roti canai telah lama saya tidak sentuh kerana doktor dan pakar makanan menasihatkan supaya mengelakkan makanan yang berminyak. Tidak baik dari segi kesihatan. Banyak kolesterol.

Manakala isteri pula tidak boleh mengambil nescafe kerana akan diserang sakit kepala yang tidak terhingga.

Tapi mengapa pula kami memesan makanan dan minuman yang boleh menjejaskan kesihatan?

Jawabnya mudah saja. Nafsu selera yang menggoda. Kami berdua kalah dengan godaan nafsu itu. Saya memang suka sangat makan roti canai. Sekeping tidak main. Mesti lebih dari itu. Baru rasa puas dan panjang sendawa. Isteri pula, nescafe adalah minuman kegemaran nombor satu. Cuma bila minum dan kemudian diserang sakit kepala, mula berikrar dan taubat tidak akan sentuh nescafe lagi.

Dalam bulan puasa yang lepas kami berdua nampaknya berjaya melawan nafsu termasuk nafsu selera. Hidangan berbuka dan bersahur sederhana saja. Bukan itu saja bahkan kami telah juga berjaya memperkuatkan semangat untuk melakukan amalan-amalan ibadat yang lain, melebihi dari bulan-bulan yang lain . Alhamdulillah.

Tapi sebaik saja meninggalkan Ramadhan, memasuki Syawal nampaknya kami berdua telah balik semula menjadi hamba kepada nafsu selera. Makanan dan minuman yang boleh menjejaskan kesihatan dengan secara sedar telah mula mendapat perhatian mata dan selera. 

Alasan saya untuk menjustifikasikan tabiat buruk itu ialah 'apa salahnya sekali-sekali saja, bukan selalu'. Betul juga kerana doktor hanya mengatakan jangan selalu mengambil makanan berminyak, bukan tidak boleh. Cuma nafsu ini sungguh jahat sekali. Sekali rasa tidak cukup, nak kali kedua. Kemudian berkata, "baru kali kedua" bagi alasan untuk makan kali ketiga. Lama kelamaan buat-buat lupa, makan saja. Bila sakit dan merana, mula menyesal. Tidak ada guna.

Saya kira isteri saya pun mempunyai alasan yang sama walaupun saya tidak mahu tanya. Perasaan dia pun begitu agaknya terhadap sikap saya. Sebab itu kedua-dua kami saling mendiamkan diri. Tidak tegur menegur  dan ingat mengingati. Kami makan begitu berselera sekali. TST (Tahu Sama Tahu bukan Tegur Sila Tegur).

Kesan yang baik hasil dari latihan dalam bulan Ramadhan nampaknya belum menerapi jiwa kami. Kami gagal dan kami kecewa. Tapi rasa kecewa tidak akan menyelesaikan masalah.

Oleh itu kami berikrar selepas ini akan lebih berdisiplin dalam hal menjaga pemakanan kami demi menjaga kesihatan. Anggota badan yang sihat memudahkan kami untuk melakukan amal ibadat. Bukan ke begitu.


Kami juga berharap bilangan orang yang tidak tahan mengawal nafsu selera makan ini tidak ramai. Tahniah jika begitu kerana latihan dalam bulan Ramadhan telah menjiwai anda semua.


Direstoran itu juga kedengaran seorang nenek semacam merungut mengatakan harga ayam yang mahal. Katanya $8.60 sekilo. Dia ada 6 orang cucu. Kesemunya menggemari makan ayam terutama jika digoring. Tiap-tiap hari nak makan ayam sedangkan harga ayam mahal. 


Saya sempat menyampuk dengan menasihatkan agar nenek itu membela ayam untuk mengatasi harga yang mahal itu. Jawabnya "Mana boleh. Duduk di taman perumahan tidak di benarkan bela ayam. Kena denda". 


Betul juga kata nenek itu. Tapi macam mana hendak membantu nenek itu. Cucu suka makan ayam terutama ayam goring yang menggunakan minyak itu. Yang kata doktor tidak baik dari segi kesihatan jika diamalkan selalu. Banyak kolesterol. Tidak baik untuk jantung.


Apa penyelesaian yang anda boleh berikan kepada nenek itu. Penyelesaian mengenai harga ayam yang mahal dan mengelakkan selalu memakan makanan yang berminyak.


Saya cadangkan mari kita semua mengamalkan puasa sunat. sekurang-kurangnya puasa sunat hari Isnin dan Khamis. Syaratnya jangan makan untuk menjamu nafsu selera serupa dengan hari tidak berpuasa.

Jumpa lagi.

Khamis, 29 September 2011

Anak-anak Dulu

Dulu dan sekarang adalah satu ukuran masa atau tempoh yang tidak jelas batas pemisahannya. Tempoh atau masa  yang mana  termasuk dalam tafsiran dulu dan sekarang mungkin berbeza diantara seorang dengan yang lain. Ianya tidak semestinya membawa pengertian dan tafsiran yang sama antara individu.


Oleh itu garis pemisahan diantara tempoh atau masa dulu dan sekarang adalah bergantung kepada individu itu sendiri dengan menghubungkan usianya pada masa kini dengan yang lepas. 

Yang hendak diperkatakan ialah tentang anak-anak dulu. Tentang kedudukan , peranan dan hak mereka sebagai anak-anak.  

Pertama,  anak-anak yang mempunyai keupayaan tenaga akan bersama-sama membantu dan melakukan apa saja kerja atau tugas yang diminta oleh emak dan bapanya.

Kedua , anak-anak hanya mendengar dan menuruti apa saja kata dan suruhan kedua ibubapanya. Mulut mesti tidak boleh berkata apa-apa walaupun sekadar memberi pandangan sebagai pilihan dalam menguruskan sesuatu tugas. Yang dikata oleh ibu bapa terutamanya bapa adalah mutlak benar dan mesti di patuhi.


Ketiga, dalam banyak hal anak-anak adalah juga 'kepunyaan' mereka yang lebih tua termasuk bapa/emak saudara dan masyarakat. Mereka ada hak untuk menasihati, menegur, memarahi mahu pun merotan anak-anak yang pada pendapat mereka melakukan sesuatu yang salah atau tidak disukai.

Keempat, anak-anak mesti mengasing dan memisahkan diri dari mencampuri urusan orang tua-tua. Tidak boleh hadir dan turut serta mendengar perbincangan dikalangan orang dewasa/tua. Anak perempuan tempatnya didapur saja.

Kelima, hukuman atau denda dalam berbagai bentuk boleh saja dilakukan tanpa memberi tahu sebab mengapa hukuman itu dibuat. Tidak ada hak untuk didengari. Hanya layak mendengar apa yang diperkatakan oleh ibubapa.

Keenam, anak-anak yang dihantar mengaji agama dan ke sekolah akan diserahkan dengan pesanan dari ibubapa kepada ustaz atau guru berbunyi 'saya serahkan sepenuhnya anak saya dibawah jagaan ustaz/cikgu. Kalau dia buat salah, ustaz/cikgu boleh memukulnya tapi jangan sampai luka parah cukuplah'.

Ketujuh, anak-anak perempuan segera dikahwinkan walaupun mempunyai keupayaan untuk meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi. 

Dan banyak lagi yang perlu dilalui oleh anak-anak dulu dalam proses membesar menjadi dewasa. Yang pasti kedudukan, peranan dan hak mereka adalah ditentukan oleh yang lebih tua terutamanya ibubapa. Mereka tiada pilihan, mesti taat dan mendiamkan diri bersetuju.

Cuba bandingkan dengan apa yang dilalui oleh anak-anak sekarang. Sesungguhnya ianya terlalu berbeza sekali. Kedudukan, peranan dan hak mereka lebih terbela dan dibela. Dan kadang-kadang mereka menjadi terlalu manja, berat tulang dan tiada rasa belas kasih untuk membantu atau menolong kedua ibu bapa, malas semalasnya dan tidak kurang yang derhaka melawan kedua ibubapa.


Anak-anak dulu nampaknya seperti terseksa dan didera. Tetapi mereka tidak pula menaruh perasaan benci dan dendam terhadap kedua ibubapa yang membentuk peribadi dan perwatakan mereka dengan cara yang boleh ditafsirkan sebagai menyeksa mengikut piawai dan undang-undang yang melindungi mereka ketika ini.


Nampaknya ada baik juga cara dulu, cara autokratik ibubapa berbanding cara yang demokratik pada ketika ini. 


Kalau prinsip yang sama, maksudnya secara autokratik dipakai untuk mengurus negara bagaimana.? Bagus juga ke? 


Cuma saja nakal bertanya.



Rabu, 28 September 2011

Kita Mesti 'Cool', Sentiasa Cool.

Sekarang ini satu kecenderungan baru telah timbul . Kecenderungan untuk menjadikan diri atau supaya diri itu dianggap atau cuba mendapatkan pengiktirafan tentang satu keterampilan diri yang dipanggil sebagai 'cool'. Ramai yang mahu melihat diri mereka dikatakan sebagai bersifat cool. 

Memiliki cool adalah sesuatu yang dicari-cari. Ia merupakan satu modal yang amat penting dalam memajukan diri supaya lebih diminati, lebih disenangi dan sebagai lonjakan untuk menjadi lebih popular. Ringkasnya cool ini  boleh digunakan untuk meraih sokongan agar lebih ramai orang atau golongan/kumpulan berpihak kepada kita. 


Kelihatan untuk menjadi cool kita mesti pandai menyesuaikan diri dengan kehendak atau kecenderungan sesuatu situasi dan suasana, orang  atau kumpulan orang. Maknanya kita mesti pandai melakukan berbagai watak yang sejalan dan serasi dengan kehendak itu. Misalnya jika kita berada dikalangan anak muda maka perlakuan kita adalah perlakuan yang memang menjadi basahan anak-anak muda itu. Mereka suka berkonsert maka kita perlu sama menghadiri konsert itu untuk mendapat pengiktirafan dari mereka bahawa kita adalah bersama mereka, denyut nadi mereka adalah juga denyut nadi kita.  Barulah kita dikatakan cool.

Dulu orang selalu mengatakan bahawa perlakuan kita itu sebagai 'boleh ketengah dan ketepi'. Ertinya apa saja posisi tidak menjadi masalah bagi kita untuk menyesuaikan diri. 

Maka bersifat cool ini adalah satu alat yang amat baik jika digunakan oleh orang-orang politik. Sebenarnya orang-orang politik telah lama menggunakan sifat cool ini. Cuma mereka menggunakan secara bermusim. Musim yang mudah kelihatan ramai orang politik menjadi cool ialah musim pilihanraya. Semuanya cool saja.     


Maka ketika musim pilihanraya, orang-orang politik ini akan buat apa saja. Sekiranya anda berpenyakit kudis gatal misalnya, anda jangan khuatir kerana orang-orang ini tidak akan takut dan merasa jijik untuk mendekati anda, malah sanggup memeluk tubuh anda dan memegang tangan anda begitu lama semasa bersalam sebagai tanda keperihatinan mereka terhadap diri dan penyakit anda. Masa bersalaman sudah tentu salam yang berisi.


Jika anda mempunyai anak-anak , dan ramai pula , kesemua mereka akan mendapat sentuhan kasih sayang dari orang politik ini. Malah jika ada yang kecil maka anak itu akan dikendong, didukung dan dibelai dengan penuh 'manja dan kasih sayang' yang ada diantaranya tidak pernah mereka lakukan kepada anak-anak mereka sendiri. Sesungguhnya mereka itu cool.


Jangan risau kalau anda seorang pengidap kencing manis yang terpaksa dipotong sebahagian dari kaki anda untuk dapat berdiri bersalaman dengan mereka. Jika anda seorang lelaki atau makcik/nenek tua, dan orang politik itu seorang lelaki, anda akan didukung dari bilik anda ke serambi misalnya untuk berbual mesra bertanyakan hal kehidupan anda dengan penuh perihatin dan simpati. Sudah tentu anda akan dijanjikan dengan kaki palsu untuk membolehkan anda berjalan seperti biasa.

Cuma anda tidaklah dapat melihat mereka datang dengan kereta mewah besar cantik berkilat. Bukan mereka takut anda akan meminta untuk menaikki kereta cantik besar itu tapi mereka mahu sama-sama merasai denyut nadi anda. Cukuplah mereka pakai kereta kecil lagi buruk. Dan kadang-kadang berbasikal.


Banyak lagi perlakuan-perlakuan cool dimusim pilihanraya.

Perdana Menteri kita juga nampaknya cenderung untuk bersikap cool. Sebaik saja menjawat jawatan itu, beliau telah memulakan acara coolnya dengan berjalan bersama rakyat misalnya di Brickfields dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Baru-baru ini beliau bercanda dengan seorang DJ dari sebuah stesyen radio. Beliau menghadiri konsert Suara Kami yang mendapat sambutan hangat dari anak muda. Beliau berbasikal di Pulau Pinag dalam progaram mengutip derma pendidikan. Dan beliau menaikki bas ke satu majlis perkahwinan. Beliau cool nampak gayanya.


Bagus kalau kita jadi orang yang menerapkan nilai-nilai atau perlakuan cool. Ramai yang menyukai kita, ramai yang menyebelahi kita. Cuma cool seperti diatas adalah cool berbentuk sandiwara. Apabila berbentuk sandiwara ianya tidak sejati. Apabila tidak sejati tanpa kita sedari sebenarnya kita tidak cool. Misalnya kita diminta untuk menanam pokok dalam program menghijaukan persekitaran dalam sebuah perkampongan orang miskin. Maka untuk tangan kita tidak menjadi kotor maka kita pakai sarung tangan untuk memegang dan memasukkan anak pokok itu kedalam lubang yang disediakan. 

Anda tidak cool dimata orang miskin jika anda berbuat begitu. Anda melakukannya kerana itulah yang sebenarnya yang menguasai kehidupan anda. Tangan mesti bersih dan dilindungan dari kekotoran.


Cool anda adalah cool sendiwara.

Sekiranya contoh diatas dianggap remeh dan masih kurang jelas tentang cool bersifat sendiwara ini cuba fikirkan keadaan berikut. 

Anda mahu menunjukkan anda cool dalam hal menaikki pengangkutan awam untuk menuju sesuatu destinasi seperti yang dilakukan oleh sebahagian besar orang. Mahu merasai ketidakselesaan perjalanan seperti orang lain.


Tapi anda telah biasa dengan yang selesa. Oleh itu kenderaan atau pengangkutan yang anda naik itu anda ubahsuai untuk memberi keselesaan pada anda dan rombongan. 


Ya, anda menaikki pengangkutan awam, sama seperti orang lain. Baguslah, anda cool . Cuma anda masih lagi selesa ke destinasi anda. Orang lain masih tidak selesa. Maka anda tidak cool sebenarnya. 


Misalan diatas nampaknya mempunyai persamaan apa yang telah kita diberitakan tentang perjalanan Perdana Menteri kita itu ke destinasi majlis kahwin. Cool ke?


Maknanya kita mesti cool dan sentiasa cool. Bukan cool yang bermusim.

Selasa, 27 September 2011

HUDUD : Ramai Yang Gerun

Sebut saja fasal Hudud atau lebih tepat lagi pelaksanaan Hukum Hudud berbagai reaksi yang timbul : ramai juga yang takut, panik mengelabah tidak tentu arah , 'seperti budak kecil takut hantu yang tidak pernah mereka lihat', dan ada juga yang cuba cari jalan melepas diri dari disanggah dengan alasan 'belum tiba masanya' dan 'tidak sesuai dalam masyarakat berbilang agama'.

Mari kita lihat orang-orang ini yang memang terkenal dan penting-penting belaka. 

Sebagai penghormatan kita dahulukan dengan negarawan negara, bekas Perdana Menteri, tidak lain Tun Mahathir.


Tun Mahathir lah yang memulakan bangkitan Hukum Hudud ini setelah agak lama perkara ini tidak menjadi hal penting untuk sebuah berita. Kelihatan beliau bijak ( bekas Perdana Menteri sewajarlah demikian) memilih waktu dan ketika untuk menjadikan hukum hudud ini  sebagai satu isu yang mempunyai nilai berita yang paling tinggi harganya , ditinjau dari segi sensasinya , kontroversi, komersil dan sensitiviti politik dan agama. 

Buktinya , semenjak dibangkitkan beberapa minggu yang lepas, isu hukum hudud ini masih lagi mendapat sentuhan dari berbagai pihak. Pakatan Rakyat pula telah diberitakan akan membicangkan isu hukum hudud ini dikalangan pimpinan pada 28 September 2011 iaitu pada  masa dan hari yang telah dijadualkan membincangkan Belanjawan 2012 nanti. 

Dan yang paling penting ialah mewujudkan suasana saling tidak mempercayai, pertelagahan dan perselisihan serta percakaran diantara anggota-anggota politik dalam Pakatan Rakyat dengan  matlamat untuk meraih keuntungan politik Barisan Nasional khususnya UMNO dalam menghadapi pilihanraya yang banyak pihak menjangkakan akan diadakan tidak berapa lama lagi. 

Tindakan Tun Mahathir itu kita boleh ringkaskan dalam  bahasa yang mudah sebagai   'KAKI LAGA'. Siapa kah gerangan yang akan luka cedera? Sehingga kini tidak ada pihak yang boleh tersenyum suka termasuk Tun Mahathir sendiri kerana belum pasti benar siapa yang cedera luka.  

Bangkitan Tun Mahathir adalah dalam bentuk 'mencabar' Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Aziz agar laksanakan Hukum Hudud seperti yang dihajatkan Menteri Besar itu semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu, kerana katanya sekarang beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri yang telah dikatakan menghalang pelaksanaan hukum itu. Oleh itu Tuan Guru Dato' Nik Aziz bolehlah berjumpa Perdana Menteri Dato Seri Najib memohon untuk melaksanakan hukum hudud ini.


Menteri Besar Kelantan itu yang masih lagi ada surat rasmi Perdana Menteri dulu (Dr. Mahathir) yang memberi amaran supaya hukum hudud itu tidak dilaksanakan, menganggap cabaran Tun Mahathir itu sesuatu yang 'lucu'. Mengapa tidak, katanya surat yang dikeluarkan Perdana Menteri itu masih lagi dan tidak pernah ditarik balik. Jadi macam mana hendak disempurnakan 'hajat ambo'.

"Betul juga kata Tuan Guru ni. Lucu sungguh cabaran itu".


Ketua Pembangkang pula Dato' Seri Anwar Ibrahim atas sifat peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud ini kerana ianya tidak melibatkan mereka yang bukan Islam.

Maka seperti biasa pemimpin-pemimpin dalam DAP , En. Lim Kit Siang, En. Lim Guan Eng dan En. Karpal Singh sahabat DS Anwar dalam Pakatan Rakyat secara konsisten dengan cepat memberi reaksi menentang pelaksanaan hukum hudud ini.


UMNO juga sudah bersedia menunggu peluang keemasan ini mahu mengambil faedah politik dengan meletakkan posisi ditengah-tengah agar dapat 'makan yang dikiri dan makan yang ada dikanan' melalui Timbalan Presidennya Tan Seri Muhyiddin Yassin dengan mengatakan kurang lebih "UMNO menyokong Hukum Hudud cuma masanya belum sampai lagi untuk melaksanakannya". 

Maka apabila beliau menyatakan sokongan itu , UMNO cuba meyakinkan orang Islam yang duduk dikanan bahawa UMNO tidak pernah menentang hukum Islam; dan alasan pelaksanaan ditangguhkan tanpa jangka masa yang ditentukan diharap akan dapat menyakinkan orang bukan Islam yang menentang hukum itu 'bahawa jangan khuatir hudud tidak akan dilaksanakan'. Matlamatnya hanya satu iaitu untuk meraih undi dari yang dikiri dan yang dikanan. Pilihanraya nak dekat kan?


Tapi saya cuma cuba meneka apa yang ada dihati kecil Tan Seri itu berdasarkan 'latarbelakang' nya bahawa sebenarnya beliau juga 'bersetuju' dengan pelaksanaan hudud . Cuma beliau alah dengan kemahuan politik.  Ini cuma tekaan kerana saya bukanlah ada apa-apa kepakaran membaca suara hati orang.


Seorang lagi orang penting UMNO berjawatan Naib Presiden Dato' Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dengan maksud yang hampir sama seperti TPM iaitu 'hudud tidak sesuai dalam masyarakat yang berbilang agama'. Cuma seperti TPM beliau alah dengan kemahuan politik. Ini juga tekaan seperti diatas tanpa ada kepakaran.


Saya masih menunggu kalau-kalau ada ulasan atau pernyataan dari Menteri yang bertanggongjawab dalam bidang agama Islam tentang hudud ini Dato' seri Jamil Khir yang dulunya saya amat minati dalam Program Perdana Hal Ehwal Islam . Ini 'core subject' beliau. Kalau tidak jawab atau beri kenyataan, gagal jadi menteri jaga agama Islam kerana orang lain termasuk yang bukan Islam pun berani muncul menunjulkan peribadi menyatakan tentang hudud.


Dan personaliti terpenting sekali ialah kenyataan dari Perdana Menteri semasa iaitu Dato' Seri Najib. Beliau amat jelas sekali tanpa ada lapik berlapik menyatakan bahawa Hukum Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia. Sikap dan pendirian beliau sama seperti bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir.


Makanya apalah ruang yang ada atau dimanakah ruang yang mahu di buka bagi Menteri Besar Kelantan untuk melaksanakan Hudud.
Perdana Menteri dulu kata 'jangan buat'; Perdana Menteri yang berkuasa pada ketika ini pun berkata dengan maksud yang sama 'tidak boleh'. 

Yang paling teruk sekali jika ada pihak yang mengatakan lebih kurang begini "PAS berani cakap saja nak laksana hudud tapi sebenarnya tidak mampu berbuat demikian. Ini semua mainan politik".  

Sebenarnya ada pihak mengatakan sejalan dengan maksud itu. Bila? Duluuuuu. Siapa? Sendiri mesti ingatlah.


Oleh kerana Perdana Menteri sekarang yang juga Presiden UMNO dengan jelas menolak pelaksanaan hukum hudud maka pernyataan-pernyataan dan ulasan serta alasan dari yang lain-lainya menjadi terkulai layu menunggu saat menjadi kecut dan kering jatuh ketanah di baham oleh cacing-cacing yang berkeliaran. Itupun jika cacing itu ada selera. 


Jadi Menteri Agama bagaimana? Berani  beri ulasan atau pernyataan atau pandangan yang lain arah dari Perdana Menteri, Presiden UMNO, bos besar?


Berdasarkan apa yang pernah saya dengar dalam Program Perdana Ehwal Islam bahawa Islam meraikan perbezaan pandangan. Ianya satu rahmat. Cuma saya kurang pasti sama ada Ustaz Jamil Khir yang mengeluarkan pandangan itu atau penceramah yang lain. Yang saya pasati semua penceramah yang bergelar ustaz menyatakan seperti itu. Oleh itu mengapa tidak diambil pendirian ini. Berilah pandangan walaupun berbeza dengan pandangan bos. Apatah lagi kita memegang amanah menjaga kepentingan agama Islam. Bukan kah kita semua bersetuju bahawa kita hanya mesti takut kepada Allah. Selain dari Allah sama saja macam kita.


Akhirnya saya paparkan salah satu dari enam Rukun Iman yang orang Islam mesti percaya iaitu selain percaya kepada Allah, Malaikat, Rasul dan Nabi-nabi ialah percaya kepada Kitab-kitab yang diturunkan Allah. Satu darinya ialah al-Quran.


Sessi Soal dan jawab (Q&A)

Dalam al-Quran ada menyatakan Hukum Hudud. Percaya tak ? Tentu percaya. Percaya kepada Allah? Mesti, orang Islam. Tapi mengapa tidak percaya kepada hukum hudud? Bukan tidak percaya, tunggu dulu, tunggu masa yang sesuai. Bila? Saya kata tunggu , tunggulah.


Yang tidak mahu hudud ni tak percaya ke? Percaya tapi tak boleh. Pasal apa? 

Dia pun garu kepala. Sayang rambut banyak yang tiada.


Orang bukan Islam yang tidak setuju dan buat bising tentang hukum yang tidak membabitkan mereka pasal apa? Tak kan semua nak masuk Islam.Hormat lah agama orang seperti tuan/puan minta orang lain hormat agama tuan/puan.


Tutup mata dan pekakkan telinga. Muncungkan mulut.

Nampaknya sebahagian orang, Islam dan Bukan Islam terlalu gerun akan Hukum Hudud. Ada gerun kerana undi politik dan ada gerun yang dibuat-buat gerun supaya orang membenci Islam. 

Orang yang gerun kerana hukumnya ialah orang yang mahu Hukum Hudud dilaksanakan kerana ia boleh mencegah orang melakukan perlakuan yang dilarang oleh hukum itu.

Isnin, 26 September 2011

Kelantan Yang Manis

23 September 2011 Jumaat , 1030 malam , Air Asia mendarat di Lapangan Terbang Pengkalan Cepa Kelantan (LTPC). Kami sekeluarga, isteri, anak-anak, dua menantu dan dua  cucu menyewa sebuah exora di LTPC menuju ke sebuah 'homestay' di Kubang Krian. 

Esoknya 24 September 2011 menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara perempuan dengan pasangannya anak teruna dari Kelantan.

Sudah hampir 20 tahun kami tidak menjejak bumi Kelantan. Maka dalam perjalanan dari kediaman ke rumah pengantin lelaki itu yang jaraknya tidak sampai 4 kilo itu saya melihat pembinaan-pembinaan bangunan perniagaan dan rumah kediaman sedang berjalan. Nampaknya Kelantan khususnya kawasan yang kami lalui tidak ketinggalan membangun seperti kawasan-kawasan di negeri-negeri lain di Malaysia.

Tiba dirumah pengantin lelaki yang terletak dalam sebuah kawasan perumahan menghampiri pukul 1 petang. Rombongan kami disambut oleh tuan rumah En.Ridhuan bersama isteri , mengiringi anaknya pengantin lelaki untuk berjalan sama dengan pengantin perempuan menuju kesatu khemah khas yang disediakan. Tiada iringan kompang atau rebana . Dan tiada juga persembahan dari silat pulut atau silat pengantin. Tiada juga taburan beras kunyit. Terdengar lagu hari raya yang dimainkan. Mungkin kita masih beraya lagi.

Sampai di khemah khas kami dipersilakan mengambil tempat mengiringi kedua mempelai. Oleh kerana jumlah yang menyertai rombongan agak ramai juga maka ada sebahagian dari kami duduk bersama dikhemah tetamu yang lain. 

Suasana majlis perkahwinan di sini agak berbeza dari tempat kami. Ianya agak sederhana. Jam satu petang tetamu mulai datang. Jumlah yang berbaris untuk mengambil makanan tidaklah bersesakan. Tidak  seperti yang biasa kita lihat dimajlis-majlis perkahwinan di negeri-negeri di pantai barat semenanjung terutama di waktu ini yang dianggap sebagai waktu puncak, ramai yang berdiri menunggu kerusi dikosongkan.

Kami dipersilakan menjamu hidangan yang berbagai jenis termasuk kuih muih. Saya merujuk kepada pengantin lelaki yang duduk   berdekatan menanyakan sesuatu tentang makanan yang dihidangkan. Ada yang dapat diterangkan dan ada yang dia sendiri tidak pasti malah tidak tahu nama makanan yang dihidangkan. Ada satu jenis makanan pada hemat saya adalah sejenis kuih. Tapi anak mengatakan ianya salah satu lauk pauk, mungkin ikan. Setelah dirujuk kepada pengantin lelaki beliau sendiri tidak tahu. Wah ada sedikit rasa kecewa. 

Akhirnya saya cuba rasa. Memang benar ianya sejenis kuih. Rasanya amat manis sekali. Saya rasa ianya dari buah labu yang telah disira dengan gula. Cuma saya tidak mengesahkan dengan tuan rumah. 

Kami semua menjamu selera. Saling pandang memandang wajah tuan rumah yang sungguh gembira dan manis sekali , semanis kuih labu yang saya rasa, semanis hidangan yang kami sama-sama jamu selera.

Saya dimaklumkan majlis ini berpanjangan sehingga malam, mungkin sampai pukul 8 tetamu masih datang. Tetamu datang runcit-runcit. Berbeza ditempat saya. Paling lama sampai jam 4 petang. Kadang-kadang pukul 3 kerusi meja telah dikemaskan. Tetamu yang terlambat datang terpaksa pulang begitu saja.

Kami sekeluarga mengambil peluang melawat beberapa tempat yang pernah kami kunjungi dulu. Pertama ke Pantai Cahaya Bulan. Ianya telah berubah. Pantainya tidak seperti dulu dimana dari resort tempat kami tinggal dulu kita boleh terus ke pantai. Ketika ini ada timbunan batu-batu besar. Tidak ramai orang digigi air. Terdapat banyak gerai-gerai menjual makanan dan sebuah tandas awam. Yang menariknya tandas awam itu bersih sekali tidak seperti setengah tempat yang menjijikkan. Tahniah PCB.

Sebelah malam makan di sebuah restoran yang bernama Chim Chum, restoran Thai. Makan ala stimbot. Rasanya sungguh enak sekali. Harganya amat munasabah RM18.00 satu kepala. Boleh makan sepuas-puas hati. Disini manisnya tidak menyengat seperti disiang hari tadi.


Keesokan hari ke Rantau Panjang. Sepanjang perjalanan banyak perubahan telah berlaku. Banyak bangunan yang baru dan cantik yang dapat kami lihat. Singgah di Pasir Mas untuk sarapan pagi. Kami semua memang berhajat untuk makan nasi dagang. Alhamdulillah disebuah gerai makanan, nasi dagang sedia menunggu. Kami memesan nasi dagang dan dua keping roti canai dan air milo. Kami makan begitu menyelerakan tambahan lagi tuan punya gerai begitu mesra sekali. Tutur kata dan budi bahasanya sungguh manis sekali, semanis hidangan nasi dagang dan roti canai.

Di Rantau Panjang membeli beberapa helai pakaian. Tidak banyak perubahan cuma tempat menjual telah bertambah besar.


Balik ke Kota Baru. Singgah makan tengah hari di restoran yang menyediakan hidangan nasi kukus. Sah, rasa manis tidak boleh dipisahkan dalam masakan orang Kelantan. Kami terus nikmati yang manis itu. Lagi pun itu lah yang  sepatutnya yang perlu kami lalui merasai cita rasa dan keistimewaan hidangan orang tempatan.Kalau nak makan yang pedas-pedas saja ia tidak bermakna. Baik duduk dirumah saja.


Dalam kunjungan kali ini kami dapat saksikan sendiri bahawa sesungguhnya Kota Baru telah banyak berubah. Pembangunannya rancak sekali. Banyak bangunan-bangunan perniagaan dan hotel besar tersergam tidak seperti dulu. Dulu hotel yang terkenal hanya Hotel Temenggong dan Perdana. Sekarang telah ada hotel rangkaian antara bangsa seperti Hotel Reverview.


Maknanya Kota Baru juga berkembang sama seperti bandar-bandar lain tidak seperti gambaran yang dipaparkan dalam media arus perdana sama ada media cetak mahu pun elektronik. Mereka mewarwarkan bahawa dibawah pemerintah PAS, Kelantan termasuklah Kota Baru tidak berkembang. Mata yang melihat menafikan berita itu, 'seeing is beleiving', benarlah apa yang saya lihat bahawa Kota Baru juga berkembang pesat.


Hanya cuma ada juga kekurangannya. Bukan dari segi orangnya kerana orangnya baik-baik berbudi bahasa semanis makanan yang dihidangkan tapi Kota Baru kurang menekankan keindahan sekitar. Pokok dan bunga-bungaan yang menghijau dan mewarnai Bandar itu tidak kelihatan. Sepanjang jalan di dalam bandar, ke Rantau Panjang dan ke LTPC lankskapnya masih ketinggalan berbanding dengan bandar-bandar lain di pantai barat. Begitu juga dari segi kebersihan, masih perlu dipertingkatkan. Dirumah tempat kami tinggal, sebuah rumah banglo yang baru dan cantik binaannya tidak dihiasai dengan landskap yang cantik. Penuh dengan rumput yang panjang dan tidak terdapat sebarang tanaman bunga hiasan menyeri rumah.


Bandar Kota Baru sesak dengan kenderaan walaupun kesesakan tidak sehebat Kuala Lumpur tapi kesesakan kenderaan itu telah melengahkan kami untuk sampai ke LTPC. Kami diberi tahu perjalanan dari tempat tinggal di Kubang Krian mengambil masa antara 10-15 minit saja. Tapi dengan kesesakan lalu lintas kami telah mengambil masa 30 minit. Nasib baik kami dibenarkan untuk menaikki pesawat dengan syarat kami sendiri membawa beg-beg kami kerana kaunter bagasi telah ditutup.


Ini sebagai petanda bahawa Kora Baru juga sedang membangun.


Kesan kunjungan kami ke Kelantan khususnya Kota Baru adalah yang manis-manis belaka. Orangnya yang cantik manis, bertutur lembut dan berbudi bahasa. Adakah makanan yang manis-manis menjadikan mereka begitu? Tapi kalau banyak makan yang manis ada risiko pula, diabetes. Macam mana pun  itulah kesan lawatan kami ke Kelantan Yang Manis.

Jumaat, 23 September 2011

Salam Jumaat.......27 Doakan Yang Terbaik Saja

Assalamualaikum wbth dan Salam  Jumaat kepada anda budiman. Semoga sentiasa sihat selalu.

Pengumuman Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA telah mendapat reaksi yang berbeza dari berbagai pihak. 
 
Ada pihak yang mengambil sikap berhati-hati  -tunggu dan lihat dulu, tidak kurang juga mereka yang sinis dan meragui keikhlasan cadangan itu, ada pula yang kurang dan tidak bersetuju sehingga sanggup mengeluarkan semacam ugutan dan ada yang memuji dengan menyatakan ini satu keberanian politik sehingga ada pihak yang memohon maaf kepada Perdana Menteri diatas ketelanjuran mengungkap kata 'dulunya kurang percaya', dan sebagai semacam satu  cara  'menghukum diri' diatas keterlanjuran itu merancang berkempen menyokong pengumuman Perdana Menteri itu.

Ada juga reaksi yang datangnya dari luar negara.

Begitulah biasanya yang berlaku jika ada pembesar negara misalnya Perdana Menteri membuat sesuatu pengumuman. Apatah lagi perkara yang diumumkan itu adalah sesuatu yang telah menjadi isu yang terlalu lama diperkatakan sama ada mempertahankan kewujudannya atas kepentingan 'keamanan dan keselamatan' negara  ataupun menamatkannya riwayat hidupnya atas kepercayaan bahawa ianya telah mengongkong dan menyekat hak asasi manusia malah telah juga dikatakan disalahguna untuk menzalimi dan menyiksa sama ada atas sebab politik mahupun atas persangkaan melakukan keganasan. Kerana yang ditahan tidak dihadpkan ke muka pengadilan.

Berbagai reaksi itu tidaklah menghairankan kerana masing-masing pihak ada asasnya. Misalnya kepada yang berhati-hati bersikap tunggu dan lihat, yang sinis dan kurang percaya membentuk sikap mereka berdasarkan kepada petunjuk dan pengalaman yang jelas tidak memihak kepada kemungkinan pemansuhan Akta ISA itu membawa kesan yang diharapkan. Mereka berpendapat berlakunya pengumuman itu adalah berdasarkan tekanan dalaman dan luaran. Sebenarnya bukan merupakan sesuatu yang dirancangkan . Dengan sebab itu ianya kurang teratur dari segi langkah-langkah yang perlu diambil yang boleh meyakinkan keikhlasan cadangan itu. Misalnya membebaskan tahanan ISA itu sendiri.

Bagi yang memuji menyatakan ianya sebagai satu yang telah dirancang oleh PM semasa mengambil tugas pada 2009 dulu.

Namun apa saja alasan kita mestilah bersangka baik dan mendoakan yang terbaik saja.

Salam Jumaat. Jumpa lagi.

Khamis, 22 September 2011

JUARA LELUCUAN NEGARA (Yang Sangat Lucu Lagi Melucukan)

Kita ada berbagai siri lawak atau komedi. Antaranya ialah lawak sinario. Dan kita juga ada rancangan raja lawak sehingga ada rebutan untuk jadi raja lawak. 

Cerita komedi atau lawak ini adalah cerita yang membuatkan penuntun dan pendengar tersenyum dan ketawa riang terhibur dengan lagak pelaku-pelakunya yang berjaya membawa cerita yang melucukan yang menggeletek hati dan perasaan mereka. 

Biasanya yang membawa watak-watak lucu ini adalah orang-orang kerdil tanpa memegang atau pernah memegang jawatan-jawatan besar atau yang mempunyai kuasa. Mereka ini menjadikan bidang lawak itui sebagai sumber cari rezeki.


Namun terakhir ini bidang LELUCUAN ini telah ditembusi oleh orang-orang yang ada kuasa dan yang pernah/sedang menjadi pemimpin. Cuma tidak pasti bidang itu akan dijadikan sumber rezeki mereka. 

Sebelum terjadi demiklian, marilah kita sama-sama berdoa agar bidang orang kerdil ini tidak terus menerus di 'cerobohi' oleh 'orang-orang besar/orang besar-besar' itu. Habislah sumber rezeki orang kerdil ini. Kesian mereka ini.

Antara lelucuan yang terkini adalah:

1. Tun Mahathir kata sekarang dia bukan Perdana Menteri yang jadi penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dulu. Oleh itu beliau meminta Menteri Besar Kelantan dapatkan persetujuan Najib untuk laksanakan hukum hudud itu kerana penghalangnya sudah tiada. Jawab Menteri Besar Kelantan pula bahawa gesaan Tun Mahathir itu sesuatu yang lucu sebab katanya mana boleh laksana kalau surat menghalang yang Perdana Menteri  dulu (Tun Mahathirlah) keluarkan tidak ditarik balik. Dato Nik Aziz minta agar Perdana Menteri sekarang tarik balik surat RASMI itu.

LUCU tak?

2. Cerita yang sama juga mengenai hukum hudud. Dato Seri Anwar secara peribadi mengatakan beliau sokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kerana ianya tidak akan menzalimi orang bukan Islam.  Tapi sahabatnya dalam Pakatan Rakyat Lim Kit Siang Dan Karpal Singh tidak bersetuju .

LUCU tak?


3. Timbalan Perdana Menteri pula tidak mahu ketinggalan kapal dalam hal pendirian hukum hudud ini. Katanya UMNO memang sokong hukum hudud ini tapi belum tiba masanya. 


Dah 54 tahun merdeka masih lagi belum tiba masanya? Bila agaknya masa itu tiba. Yang pasti bukan semasa TPM sekarang ini jadi Perdana Menteri, jika ditakdirkan jadi PM lah. 


LUCU tak?


4. Lelucuan yang ada kait mengait dengan Mat Sabu apabila beliau di dakwa dimahkamah pasal Mat Indera. Lebih kurang kata Mat Sabu "Ini satu kes yang menyeronokkan. Hal perbezaan pandangan mengenai peristiwa sejarah dibawa penyelesaian ke mahkamah". 

Jadi murid/pelajar/mahasiswa tidak boleh berbeza pandangan dengan guru/pensyarah/professor berkaitan dengan penilaian sesuatu peristiwa sejarah walaupun murid/pelajar/mahasiswa itu mempunyai fakta dan maklumat yang terbaru mengenai peristiwa itu. Kalau berdegil juga, jawabnya tidak lulus kertas sejarah itu. Itupun tidak mengapa, tahun depan boleh cuba. Tapi berdegil juga lagi akan diheret ke mahkamah.

LUCU tak?


Oleh kerana kecenderungan kita sekarang ini ialah untuk mencari juara bagi sesuatu acara/program maka mari kita bersama-sama membuat undian diantara 4 cerita diatas , cerita number berapa dan siapa yang layak kita mahkotakan sebagai : JUARA LELUCUAN NEGARA (Yang Sangat Lucu Lagi Melucukan).


Saya sudah ada calunnya iaitu cerita number....  dan gerangan pelakunya  yang patut dimahkotakan. Tapi tidak adil saya seorang saja yang mengundi. Berat sebelah dan pilih kasih namanya. 


Oleh yang demikian kepada semua yang berminat bolehlah hantar SMS dengan menulis : Lelucundi <jarak> (number cerita dan nama pelakun) 1234567890.


Saya sedia menunggu. Hanya lelucundi yang sampai pada hari esok Jumaat 23 September 2011 akan diterima. Waktu terakhir mesti sampai jam 10 malam.

Rabu, 21 September 2011

Musim Sejuk Akan Tiba Namun Dia Tidak Akan Kunjung Tiba

Setiap kali tiba musim sejuk pada bulan Disember kami sekeluarga akan menerima seorang tetamu istimewa dari England Mr. Dennis Higgins yang kami panggil Uncle Den. Kami sentiasa menunggu ketibaannya.

Uncle Den sudah berusia 75 tahun. Tidak pernah berumah tangga. Seorang bekas pelayar kapal yang telah singgah dibanyak pelabuhan dan negara di dunia ini. Beliau juga seorang anggota gereja Katholik. Beliau mempunyai adik beradik yang lain. Cuma yang beliau sempat memperkenalkan kepada kami seorang saja. Seorang adik  perempuan  yang kami panggil sebagai Unty Kit. Unty Kit berusia dalam lingkungan 70an. Tinggal  menyewa di sebuah pangsapuri di Bandaraya Birmingham. Juga tidak pernah berumahtangga. 

Uncle Den akan terbang ke Kuala Lumpur untuk berihat di Malaysia selama 6 bulan sehinggalah kemusim panas di England pada bulan Jun. Beliau amat tidak suka dengan musim sejuk . Badannya yang telah berusia 75 tahun itu tidak lagi mempunyai simpanan lemak yang banyak bagi mengeluarkan kepanasan yang cukup bagi mengimbangi hawa sejuk yang mencengkam Bandaraya London pada musim sejuk itu. Pilihannya tidak lain ialah untuk berkunjung ke negara berhawa panas . Malaysia menjadi pilihan kerana di sini dia mempunyai anak angkat, Hj. Manap yang dulunya tinggal bersama beliau semasa belajar di England. Kami pula  mempunyai kaitan kekeluargaan dengan keluarga Haji Manap. Oleh itu setiap kali Uncle Den berkunjung ke Malaysia, rumah kami juga akan sentiasa dikunjungi.


Hairan juga dengan Uncle Den ini yang tidak tahan dengan cuaca sejuk. Katanya dia benci dengan cuaca musim sejuk itu. "Terlalu sejuk meresap sehingga ke tulang" , pernah beliau merungut. 


Sebaliknya kami  sekeluarga berangan-angan untuk merasai cuaca empat musim di negara Eropah itu. Macam mana rasa cuaca dan pemandangan  pada musim bunga, musim panas dan musim gugur. Sudah tentu kami hendak merasa kesejukan pada musim sejuk. Kami juga teringin untuk bermain salji, memegang air beku berwarna putih itu dan melontarnya sesama kami terutama anak-anak. Sudah tentu anak-anak kami rasa seronok dan gembira.

'Bolehkah kami bertahan dengan kesejukan di musim sejuk itu atau kami rindukan cahaya matahari di Malaysia' , adalah antara persoalan yang sentiasa dibibir apabila kami teringatkan kata-kata uncle Den yang tidak suka dengan musim sejuk itu.


Akhirnya kami mendapat berita Uncle Den telah tiada lagi. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya dirumahnya seorang diri. Seminggu selepas itu baru disedari apabila adiknya di Birmingham yang membuat panggilan talipon tidak mendapat jawapan. Lantas ke London. Uncle Den telah mati. Kami telah dihubungi.

Wajah uncle Den sentiasa dimata kami. Seorang yang baik, berbudibahasa, taat pada ajaran agamanya dan tidak pula memandang rendah budaya dan agama orang lain. Itulah yang mengikatkan hati kami menerimanya setiap munculnya bulan Disember . "Terlalu sejuk, saya tidak sanggup dengan kesejukan dimusim sejuk", antara kata-kata yang selalu keluar dari mulutnya sebaik saja menjejak kaki di bumi Malaysia. 

Rupa-rupanya Malaysia yang kami selalu merungut terlalu panas, ada pihak yang mencintainya. Tapi sayang sekali orang itu tiada lagi. 


Musim sejuk bulan Disember akan tiba , namun dia tidak akan kunjung tiba.






Selasa, 20 September 2011

Adoiiii Sakitnya Mana Nak Cari Wang

1. Barang dan perkhidmatan sentiasa naik termasuk yang menjadi asas untuk keperluan hidup.
2. Bayaran prepaid naik juga walaupun ditangguhkan.
3. Kutip sampah pun kena bayar RM8/ sebulan. Satu perbelanjaan baru.
4. Cukai barang dan perkhidmatan  (GST) akan dikenakan . Satu lagi  perbelanjaan baru.

Apa lagi? Tunggu lepas pilihanraya 13. Kalau menang banyak benda yang akan naik sebagai hadiah istimewa kepada rakyat yang memberi undi kemenangan.

Apa lagi? Ada satu lagi. Tapi ini bukan naik, ia turun atau dikurangkan berperingkat. Ada kemungkinan dihapuskan. 

Apa bendanya yang turun dan tak naik itu? Sebab kita boleh mendahului ucapan terima kasih sebelum mengundi.

Nak tau? Takut nanti terpaksa urut dada. Kena serangan jantung atau angin ahmar. Kena lagi keluar belanja. Ada wang lagi ke? Tapi kalau nak tahu juga, benda ni  selepas dia turun, yang lain naik pula.

Biar betul, ada yang turun ada pula yang naik selepas ada yang  turun. Apa benda ni?

Baiklah. Subsidi akan dikurangkan. Sudah tentu yang disubsidikan itu harganya akan naik. Apa bendanya tu tunggulah selepas menang pilihanraya.

Jadi kalau menang kita akan banyak keluar belanja ke? Adoiiiiiiiiii Sakitnya, Mana Nak Cari Wang.

Kalau kalah? 

Fikir sendirilah. Fikir baik-baik. Lihat pihak mana yang ghairah menaikkan harga dan mengenakan macam-macam bayaran.

Dah lah khidmat Astro terpaksa diberhentikan kerana menaikkan bayaran. Ditambah pula macam-macam bayaran.  Matilah macam ni.

Adoiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii Sakitnya Mana Nak Cari Wang.

Isnin, 19 September 2011

Menjadi Sebuah Negara Maju?

Wawasan 2020  ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju mengikut acuan kita sendiri. 

Namun maksud acuan kita sendiri itu masih boleh membuka ruang perdebatan. Apakah standard, apakah ukuran dan apakah yang berbeza dengan negara maju yang lain?



Tetapi saya tidak bertujuan untuk membuka ruang perdebatan akan maksud acuan sendiri itu. Yang hendak di perkatakan ialah persiapan kita rakyat Malaysia menuju kearah dan menjadi sebuah negara yang maju.


Sebelum itu mari kita lihat sembilan cabaran yang perlu kita hadapi untuk menjadi sebuah negara yang maju seperti yang telah dirangkakan iaitu:


1.Malaysia sebuah negara yang bersatu.
2. Rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka
3. Rakyat dan negara Malaysia yang demokratik.
4. Rakyat Malaysia yang bermoral dan beretika.
5. Masyarakat Malaysia yang liberal
6. Masyarakat Malaysia yang saintifik dan progressif
7. Masyarakat penyayang
8. Agihan kekayaan yang adil dikalangan rakyat
9. Masyarakat yang menikmati kemakmuran dan berdaya saing.


Berdasarkan 9 cabaran itu, berdasarkan tempoh masa yang masih berbaki hanya 8 tahun lebih saja, berdasarkan perkembangan dan kemajuan yang ada, matlamat yang kita cita-citakan itu untuk menjadi sebuah Negara Maju pada 2020 nampaknya tidak menunjukkan peluang yang cerah untuk berjaya. Saya mengatakan tidak akan tercapai. 


Biarkanlah kata-kata saya itu tidak akan menjadi kenyataan. Dan pada tahun 2020 nanti jika usia masih ada, dan jika Malaysia akhirnya menjadi sebuah Negara Maju maka saya sendiri akan berkata, "Padan Muka Saya".
  
Tunggu dulu, sebelum ada pihak yang mahu berkata seperti itu, saya ingin membangkitkan beberapa persoalan untuk sama-sama kita renung.

Pertama soal kebersihan. 

Ada kah kita sudah bersedia dengan sifat ,sikap dan perangai menjadi rakyat yang mengutamakan kebersihan?  

Lihat restoran, warung dan kedai makan kita. Kotor dan menjijikkan. Ramai pula yang menjadi pelanggan dikedai atau warung yang berhampiran dengan longkang yang kotor, berbau busuk, hanyir yang dipenuhi sampah buangan. Air longkang yang bertakung tidak dapat mengalir disebabkan dipenuhi sampah sarap. Lalat yang berterbangan menghinggapi makanan. Malah penyedia makanan tanpa rasa bersalah menyediakan makanan sambil merokok.

Lihat persekitaran kita. Sungai yang dulu airnya jernih telah berubah warna menjadi keroh, coklat dan ada yang bertukar menjadi hitam. Baunya busuk sekali. Lihat juga jalan raya kita yang mulanya cantik tapi ada diantara kita tanpa rasa bersalah membuang sampah dan buangan-buangan yang lain diatas jalan raya itu. Kita lakukan juga walaupun kita sedang memandu kenderaan. 


Bagaimana perangai kita membuang sampah sesuka hati sedangkan tempat membuang sampah telah disediakan tapi tidak digunakan. Kalau pun digunakan cara sampah dibuang itu tidak sebenarnya untuk tujuan menjaga kebersihan. Tidak dibungkus dan dimasukkan dalam bekas/tong sampah secara sempurna. Tong sampah yang telah penuh juga tidak pula segera dikutip oleh pihak yang bertanggongjawab.


Kita suka menjemput penyakit dan menyebabkan keracunan makanan.


Kedua, kita bukan masyarakat yang penyayang dan perihatin


Pembunuhan , penganiayaan, dan berbagai kekejaman semakin bertambah. Anak-anak baru lahir yang dibuang dengan kejam, dibunuh, dan dicederakan. Ramai yang tidak memberi keutamaan kepada warga tua yang memerlukan tempat duduk  semasa menunggu mendapatkan sesuatu perkhidmatan seperti diklinik atau didalam bas atau pengangkutan awam yang lain.

Ada juga orang yang sihat tubuh badan, segar bugar muda belia yang sempurna fizikalnya dengan tidak rasa bersalah dan malu menggunakan ruang tempat letak kenderaan khas untuk OKU. 


Cukup contoh-contoh itu. Banyak lagi.


Maka apalah yang dapat kita harapkan dari segi pencapaian sebuah negara yang bersatu padu; berjiwa bebas dan merdeka; yang demokratik; yang bermoral dan beratika; yang liberal; saintifik dan progressif dan cabaran yang lainnya.


Cuba fikirkan pula dari segi salah guna kuasa; rasuah; integriti; ketelusan dan keterbukaan. Pada tahap mana kedudukan kita dan negara kita.

Boleh kah kita menjadi sebuah negara maju pada 2020?

Ahad, 18 September 2011

Suasana Di Majlis Pernikahan.

Menghadiri  Majlis Pernikahan anak saudara pada 17 September 2011. Juga menjadi Saksi bagi pihak perempuan. Saya dapati acara dan suasana pernikahan pada masa ini agak berbeza dengan yang saya pernah lalui. 

Ianya lebih memberi kesan, teratur dan memenuhi tujuan bagi satu pembinaan sebuah rumah tangga. Masing-masing pihak , pengantin lelaki  dan perempuan, ibubapa kedua belah pihak terlibat sama dalam majlis nikah itu secara aktif. Dan yang menyaksikan diberi kefahaman yang jelas akan  tujuan majlis yang dadakan itu.

Pada masa dulu sekurang-kurangnya semasa zaman saya dulu, suasana pernikahan lebih kearah menguji ilmu agama pengantin lelaki. Soalan-soalan yang ditanya lebih bertujuan untuk mendera dan menyulitkan pihak pengantin lelaki. 

Jika berjaya menjawab soalan-soalan yang ditanya soalan yang lain akan ditanya lagi. Jurunikah mengharapkan agar pengantin akan akhirnya kecundang menjawab soalannya. Dan jika ini berlaku maka terukirlah senyuman sebagai tanda kehebatan mengemukakan soalan. 

Tetapi tidak semuanya begitu.

Dalam melafazkan akad nikah, perkataan-perkataan yang mesti disebut dalam lafaz nikah itu diatur dalam satu ayat yang berbelit-belit. Sekiranya satu perkataan gagal untuk disebut maka diminta diulang lagi. 

Sebab itulah lafaz nikah pada biasanya tidak pernah berjaya diucapkan pada kali pertama. Ada saja yang tidak kena dan minta diulang lagi. Kadang-kadang ada pengantin lelaki yang berpeluh tidak dapat mengeluarkan kata-kata, dan terpaksa diulang banyak kali dan dipimpin dengan menyebutkan lafaz itu, perkataan demi perkataan. Maka keadaan semacam itu disambut dengan gelak ketawa dari hadirin yang hadir terutama bukan disebelah lelaki, sebagai satu kejayaan yang menunjukkan kehebatan jurunikah mengatur atau mengemukakan soalan. 

Sesungguhnya ia lebih menyulitkan dari memudahkan. Kalau terjadi suasana seperti itu maka ada   suara-suara yang menyatakan bahawa ada pihak sedang menganiayakan pengantin lelaki itu kerana ada kemungkinan ada lelaki lain yang berminat terhadap perempuan itu. Katanya lagi seekor katak telah dikurung dibawah tempurung. Dan selagi tidak dilepaskan dari kurungan tempurung itu maka pengantin lelaki itu tidak akan berjaya melafazkan akad nikah. 

Berbalik kepada majlis yang saya hadiri baru-baru ini, sebelum memulakan akad nikah, seorang Imam (jurunikah) dan pembantunya terlebih dulu membereskan perkara-perkara perlu yang lain. 

Antaranya mendapatkan dua orang saksi dari kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan  , dan mendapat pengesahan persetujuan dari pengantin perempuan akan pernikahannya itu. 

Kemudian , Pembantu jurunikah membacakan khutbah nikah untuk didengari dan difahami oleh semua yang hadir khususnya kepada kedua-dua mempelai yang bakal memulakan kehidupan sebagai suami isteri yang sah.

Selepas itu Jurunikah menanyakan beberapa soalan kepada pengantin lelaki dengan suara lembut dan meransangkan. Soalan-soalan yang ditanya ialah mengenai Rukun Islam, Rukun Imam dan Rukun Nikah. Pengantin lelaki nampaknya dengan lancar menjawab soalan-soalan yang ditanya. Semua jawapannya mendapat anggokan dari Jurunikah, semuanya betul.

Pengantin lelaki itu juga berjaya membaca ayat al-Fatihah dengan lancar.

Semasa Jurunikah menanyakan soalan Rukun Nikah, beliau telah menambah dengan mengatakan mungkin dengan niat bergurau bahawa 'perkara ini amat penting kerana jika tidak dapat dijawab, pernikahan tidak boleh diteruskan'. Maka sebahagian yang hadir yang mendengar kata-kata Jurunikah itu ketawa kecil sebagai mengingatkan pengantin lelaki supaya tidak lupa akan Rukun Nikah itu. Pengantin lelaki itu nampakya tenang saja dan mengukir senyuman.

Seorang yang duduk disebelah dan juga salah seorang saksi kepada pengantin lelaki dengan suara perlahan mengatakan "Rukun Nikah ada enam, bukan..... bukan, ada tujuh". Saya memandang wajahnya yang kelihatan bibirnya mengukir senyum dan dia meneruskan kata-katanya, "menghadiri kursus perkahwinan dan ujian darah HIV aid". Saya pun turut tersenyum sambil menganggok kepala tanda setuju. Sebab jika tidak berbuat demilian maka pernikahan juga tidak dapat diteruskan.


Pengantin lelaki itu dengan yakin menjawab bahawa Rukun Nikah itu ada 5 dan terus menyebutkan satu persatu. 

Semasa soalan ini ditanyakan, saya teringat bagaimana saya menggunakan perkataan 'siswa' bagi mengingatkan Rukun Nikah itu semasa membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM dulu. Siswa adalah singkatan untuk Suami (lelaki), Isteri (perempuan), Saksi, Wali dan Akad bagi melengkapkan syarat-syarat nikah.

Pengantin lelaki juga dengan lancar dan terang melafazkan akad nikah yang boleh difahami dan didengar oleh semua yang hadir khususnya kepada Jurunikah dan Saksi-saksi. Maka lafaz itu telah diterima sebagai sah. Maka kedua pasangan mempelai itu sahlah sebagai suami isteri.

Doa kesyukuran dibacakan. 

Pengantin lelaki seterusnya berikrar dengan membaca peranan dan tanggongjawabnya sebagai suami dihadapan hadirin termasuk isterinya.

Kemudian bapa pengantin perempuan melafazkan penyerahan tanggongjawab anak perempuannya kepada menantu yang baru saja disahkan menjadi suami kepada anaknya dengan memohon agar anak perempuannya itu diberi perlindungan, diberi kasih sayang dan ditunjuk ajar jika ada yang kurang. 

Semasa membacakan penyerahan anaknya kepada  menantunya itu, ada semacam kesedihan dihati bapa pengantin perempuan itu melepaskan anaknya itu walaupun beliau cuba berselindung disebalik suara yang cuba dilantangkan. Cuma tidak kelihatan air jernih yang keluar dari kelopak mata.

Tetapi apabila tiba giliran siibu, suasana berubah. Ibu yang cuba menyatakan hasrat dihati itu nampaknya dapat melakukannya dengan suara yang serak sebak dan sedih yang diiringi air mata menitis membasahi pipi. Malah yang hadir juga, iaitu yang perempuan ada yang turut sama mengeluarkan air mata . Mungkin mereka merasa sebak dengan kata-kata yang dikeluarkan bahawa "mulai saat ini kasih sayang anakku perlulah diberikan kepada suami, sayangilah suamimu, taatlah suamimu dan jangan lah lupa kepada kedua ibu bapamu. Ibu mengampunkan segala kesalahanmu semasa kita bersama dulu dan menghalalkan makan minum termasuk susu ibu".

Sesungguhnya majlis pernikahan pada masa ini yang saya sendiri hadiri dan bertindak juga sebagai saksi kepada pengantin perempuan adalah satu majlis yang amat baik dan teratur sekali. Pengantin lelaki, pengantin perempuan kedua-dua ibapa mempelai adalah jelas mengenai peranan dan tanggongjawab masing-masing. Maka tidak ada sebab dan alasan untuk perkahwinan itu menemui jalan buntu. Cuma kalau telah ditakdirkan buntu juga maka selesaikan dengan baik seperti semasa kita bernikah.

Kepada kedua mempelai diucapkan selamat menjalani satu kehidupan baru, kehidupan berumahtangga yang ada manis dan ada yang pahit. Manis dan pahit itu akan mematangkan kehidupan rumah tangga kita. Itulah rencah perencah asam garam yang menjadi resepi sebuah rumah tangga.

Jagalah isterimu, taatlah suamimu dan jangan lupa kepada kedua ibubapamu.

Yang paling utama jangan lupa Allah. Sentiasa mengharap dan berserah kepadanya.

Sabtu, 17 September 2011

Yang Ingat dan Yang Lupa.Adalah Manusia.

Rentetan isu bangkitan Mat Sabu ini sungguh dinamik sekali, berkembang dari satu isu yang kontroversi yang mengajak masyarakat menilai  semula sumbangan setengah pihak/individu dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaya ( Tanah Melayu) yang dikatakan 'tersingkir' dari pengiktirafan rasmi ke status Malaya semasa kehadiran British dahulu sama ada sebagai penjajah atau pelindung. 

Yang menariknya isu itu telah mengheret berbagai pihak untuk terlibat memberi berbagai reaksi . Ada reaksi yang sopan dan beradab yang mencadangkan supaya diberi peluang kepada Mat Sabu memberi penjelasan yang lebih lanjut; dan reaksi yang penuh emosi yang tidak mahu menerima sudut pandangan dari orang lain; dan yang menyedihkan sekali reaksi berbentuk ugutan dan hilang akal:  membuat laporan polis dan melucutkan kerakyatan Mat Sabu. 

Yang bertambah menarik lagi ialah reaksi itu datangnya dari bukan sembarangan orang dan golongan. Tun Mahathir dan Majlis Professor Negara khususnya Prof Zainal Kling telah menjadikan isu bangkitan Mat Sabu ini menjadi bertambah dinamik, panas macam goreng pisang.

Syabasyh dan tahniah kepada Mat Sabu, anda telah mengukir nama untuk dibilang. Dalam pilihanraya akan datang anda termasuk dalam bilangan pengundi-pengundi. Cerah masa depan.

Sebenarnya paparan hari ini adalah mengenai isu 'Mudah Lupa' yang ada juga sedikit kaitan dengan bangkitan Mat Sabu ini.

Saya memang tidak mudah lupa akan satu sajak yang telah dicipta dan dideklemasi oleh Tun Mahathir pada saat-saat senja menjadi Perdana Menteri. Saya tidak lupa untuk membaca semula sajak itu walau pun dulunya ianya tidak menarik langsung untuk dibaca dan untuk santapan halwa telinga. 

Rupa-rupanya sajak itu bercerita pasal sejarah orang Melayu yang secara keseluruhannya penulis menyatakan kedudukan orang Melayu 'dulunya' amat daif sekali iaitu 'orang Melayu dipijak, retak, teriak, haprak, kelas 2, hina, sengketa, derita, kerdil, terpencil, tiada daulat, tiada maruah, tiada bebas, lena, dan tanah lahirnya yang merekah berdarah'.  

Penulis tidak pula menyatakan taraf kedudukan semasa orang Melayu. Namun saya menganggapkan ianya telah pulih dan lebih baik berbanding pada masa 'dulu'. Lantas Perdana Menteri ketika itu meneruskan dengan ingatan: 

Janganlah mudah lupa lagi
Kerana perjuangan belum selesai.

Bait-bait 'Melayu Mudah Lupa' diulang banyak kali dalam puisi ini. Ertinya ingatan 'jangan mudah lupa' itu ialah ditujukan kepada orang Melayu, iaitu saya dan anda yang lain yang mengaku Melayu. 

Tun Mahathir sebagai orang yang mengingatkan saja. Orang yang mengingatkan ialah orang yang tidak lupa. Maknanya ada juga orang Melayu yang tidak mudah lupa. 

Bercakap pasal ingat dan lupa ini, saya mula teringat akan nama-nama A.Rahman Yaakub, Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Ahmad Boestamam, Tok Janggut , Mat Kilau , Dol Said, Dato Bahaman yang telah saya temui semasa belajar sejarah dulu. Cuma nama-nama itu tenggelam timbul saja dan tidak diserlahkan sebagai orang-orang yang juga mempunyai kasih sayang kepada negara (Tanah Melayu) menentang penjajah.

Malang sungguh nasib mereka kerana orang lupa terhadap mereka. Dan yang lupa pula orang Melayu. Maka benarlah kata-kata puisi itu bahawa 'Melayu Mudah Lupa'. Atau mereka ini sengaja dilupakan!  

Bercakap pasal penjajahan yang menjadi asas kepada penentangan personaliti-personaliti diatas terhadap British dulu misalnya serangan keatas Balai Polis Bukit Kepong seperti yang dibangkitkan oleh Mat Sabu, setengah pihak termasuk Tun Mahathir mengatakan Tanah Melayu tidak dijajah secara teknikalnya. Maknanya British bukanlah penjajah. Tapi kita istiharkan 31 Ogos 1957 sebagai hari kebebasan dari penjajah dan menjadi sebuah negara merdeka. Siapakah penjajah itu. Tidak mungkin Mat Indera. Tidak mungkin bangsa Cina atau India. 

Siapa kah gerangan yang telah menjajah dan mengaut harta kita 'dulu' itu sehingga 'dulu'nya itu kita menjadi terlalu daif, hina berteriak, tiada daulat dan macam-macam kedaifan yang lain'. 

Saya mengatakan British sebab itulah yang telah diajar kepada saya semasa sekolah dulu. Saya pasti tidak lupa dengan perkara itu. Itulah jawapan yang saya beri. Jawapan itu mendapat markah penuh. Jika ada pihak mengatakan jawapan itu salah maka markah penuh yang saya dapati itu, saya khuatiri ada pihak-pihak akan membuat laporan polis untuk menyiasat supaya menarik semula markah penuh yang saya terima.

Kita sudah lupa gamaknya. Benarlah bait-bait puisi itu mengatakan Melayu Mudah Lupa. Termasuklah saya.

Saya juga teringat semasa di tahun pertama di Universiti Malaya dulu, tahun peristiwa berdarah 13 Mei, akan gerakan mahasiswa berdemonstrasi meminta Perdana Menteri, Tengku Ab Rahman  yang pertama meletak jawatan. Saya juga ingat antara orang sangat membenci Tengku ialah Dr. Mahathir, dan sebahagian mahasiswa terikut-ikut membenci Tengku lantas mendesak beliau supaya meletak jawatan. Saya tidak akan boleh lupa cerita ini kerana kami di hujani dengan bom pemedih mata.  

Sekarang kita jangan pula marah sangat kepada Mat Sabu yang dikatakan tidak menghormati Tengku. Ingat, kita jangan lupa kerana perjuangan belum selesai.

Banyak lagi hal ingat dan lupa ini kita boleh bicarakan. Secara rengkas antaranya perpecahan dikalangan orang Melayu dalam zaman merdeka ,' siapa' puncanya dan kenapa; peristiwa menjatuhkan maruah seseorang dengan fitnah yang tidak mengenal erti belas kasihan sehingga ada yang masuk penjara semata-mata untuk kekal ditahta, siapakah pelaku/pelaku-pelakunya; dan banyak lagi kisah duka derita . Mungkin kita lupa atau sengaja buat lupa atau terlupa kerana setiap dari kita akan sampai masanya untuk menjadi lupa. 

Kita perlukan orang/pihak lain untuk mengingatkan kita. Tapi setelah dingatkan jangan pula kita naik marah. Bukankah kita ini hidup ingat mengingat antara satu sama lain.

Sebab itu apa yang saya ingat saya paparkan disini. Kalau ada yang saya terlupa tolong ingatkan saya.  Yang saya ingat dan yang saya lupa saya tidak tahu dari segi nisbah antara keduanya.

Hanya saya percaya, ingat dan lupa ialah milik manusia dan bukan milik orang Melayu saja.

Ianya dikatakan milik orang Melayu apabila kita ada agenda tertentu yang kita saja yang tahu. 

Sesungguhnya banyak perkara yang belum selesai termasuklah isu pengiktirafan orang-orang yang pernah menentang British. Jangan lupa, ya!

Jumaat, 16 September 2011

Salam Jumaat .....26: Jemputan Rumah Terbuka.

Assalamualaikum wbt dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Semoga semuanya sihat-sihat belaka.

Sudah dua minggu lebih kita beraya. Majlis Rumah Terbuka (RT) masih lagi nampaknya  rancak diadakan sama ada dirumah mahupun dipejabat-pejabat. Menghadiri RT ini adalah atas jemputan walaupun nama saja RT tapi tetamu yang datang adalah atas jemputan melainkan RT Rasmi yang dianjurkan oleh Ketua-ketua Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Semua orang, yang terima jemputan dan yang 'walk-in' boleh saja hadir.

Maknanya untuk menghadiri RT biasanya kita akan hanya hadir apabila dijemput melainkan kita buat muka tebal, redah saja asalkan ianya RT. Tapi berapa ramai yang sanggup berbuat demikian.


Pada tahun ini saya juga menghadiri RT atas jemputan. Terdapat dua jemputan kesemuanya. Satu jemputan dari seorang kawan yang menganjurkan dipejabatnya. Satu lagi jemputan dari seorang sahabat yang pernah bekerja sepejabat dulu yang membantu saya dalam hal-hal pengurusan.

Tahun ini dua saja jemputan. Tahun lepas empat jemputan. 

Setelah bersara nampaknya jemputan dari setahun kesetahun semakin mengecil berbanding dengan setahun dua bersara. Berbanding dengan semasa berjawatan dulu bilangan jemputan pada tahun ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa sebenarnya saya berada di waktu senja. 

Waktu senja yang tidak ada cahaya. Jadi susah untuk mereka nak pastikan saya masih ada atau entah kemana. Maka susah bagi mereka untuk memanjangkan jemputan sebab tidak dapat mencari jalan kerumah, tiada cahaya diwaktu senja.

Mengimbau kembali semasa bekerjaya dulu, jemputan ke majlis tidak pernah putus-putus tiba. Bukan satu, tidak juga dua, malah tiga empat dan lima itu masih lagi kecil bilangannya. Bukan saja majlis RT, majlis kahwin, pertunangan, berkhatan dan macam-macam kenduri kendara seperti berangkat ke Mekah dan majlis-majlis  lain anjuran masyarakat dan sahabat kenalan sentiasa memenuhi ruang buku ingatan. Apatah lagi majlis-majlis rasmi anjuran Kerajaan purata lebih dari 3 mailis seminggu.


Pada ketika itu, berbagai cara cuba difikirkan untuk tidak hadir sebahagian dari jemputan itu. Tapi masalahnya belum sempat saya mencari helah, ingatan dari tuan rumah atau pihak penganjur telah lebih awal diterima agar tidak mengecewakan mereka : "Harap sudi datang". Ingatan melalui talipon , surat menyurat dan pesan memesan dengan pihak ketiga supaya saya tidak gagal untuk menghadiri jemputan itu. Kadang-kadang terniat juga dihati untuk menutup saja talian talipon supaya tidak dapat dihubungi. 


Waktu itu cahaya sentiasa menerangi alam baik malam mahu pun siang. Terang dan cerah saja menunjuk jalan kerumah.

Ketika ini sudah senja, gelap tidak bercahaya. Jalan kerumah susah nak jumpa. 


Maka dua jemputan pada tahun ini amat menggembirakan saya sekeluarga. Saya tidak lagi cuba berfikir mencari helah untuk tidak hadir. Sebaliknya sebelum menerima jemputan sentiasa mengharapkan ada kawan yang sudi menjemput saya. Terbalik bukan? Dulu kawan-kawan mengharapkan supaya saya tidak dapat menguzurkan diri dari majlis mereka. Sekarang saya pula mengharapkan supaya mereka tidak lupa menjemput saya.


Begitulah halnya dengan kehidupan yang berwarna-warni. Masa mewah jemputan, buat macam-macam helah tidak mahu hadir. Bila tiada jemputan, sedih pula. Padan muka saya dan muka-muka orang yang mendekati senja. Siapakah yang mahu duduk atau duduk berdekatan dengan tempat yang gelap. Nanti mereka pun akan bersama-sama gelap, gelap masa depan. Lebih baik bernaung atau duduk dibawah cahaya yang terang benderang. Semua boleh kelihatan, boleh melihat dan dilihat.  Cerah masa depan.

Harap-harap tahun depan ada juga yang sudi jemput ke RT lagi. Sekian jumpa lagi.


 

Rabu, 14 September 2011

CERITA/BERITA YANG MENJEMUKAN

Cerita atau berita yang memasyhurkan perasaan kebencian dan permusuhan antara kaum, sesama kaum, antara agama , sesama agama, antara parti politik, sesama ahli parti politik , antara NGO, sesama ahli NGO, antara dua negara, antara kumpulan negara, dan  antara manusia sesama manusia sudah menjadi satu amalan dan basahan, dan bukan kekecualian, di Malaysia dan diseluruh pelusuk dunia. 

Bilangan yang cenderung untuk membangkitkan perasaan kebencian dan permusuhan itu adalah kecil berbanding yang mahu hidup aman damai dan harmoni. Tapi bilangan yang kecil itu mempunyai pengaruh yang besar. Maknanya kesan yang boleh ditimbulkan adalah amat menakutkan sekali. 

Yang menjadi perawi, pembawa, penyampai dan pengembang cerita atau berita itu seolah-olah tidak mempunyai kisah lain untuk dicerita dan di beritakan. 

Otak mereka hanya berminat untuk memikirkan tentang bagaimana cara dan apakah cerita/berita yang boleh menimbul dan meransangkan rasa kebencian dengan menggunakan fakta dan maklumat yang tidak mudah di nafikan kebenarannya. Cuma hasratnya bukan untuk mencari penyelesaian tapi lebih kepada menimbulkan rasa kebencian.

Ambil saja contoh di Malaysia. Berita dan cerita yang tidak pernah gagal dibaca , didengar, di pertontonkan dan disebarkan pada setiap hari dalam apa saja media penyiaran  adalah perasaan benci membenci , iri hati, dan permusuhan. 

Sentiasa dimasyhurkan bahawa kaum ini mendapat layanan istimewa, kaum  ini anak emas bertaraf warga negara kelas satu dan kaum ini dapat berbagai-bagai perlindungan. Itu cerita dari satu pihak.

Cerita dari pihak yang lain pula menyatakan kaum itu terlalu tamak, sudah kaya masih lagi tidak berpuas hati mahu bolot segala-galanya.

Maka disemarakkanlah rasa kebencian dengan merujuk kepada  berbagai contoh tahap kehidupan , pegangan dan pemilikan dan penguasaan-ekonomi, politik, pelajaran. Statistik menjadi alat yang ampuh membantu menyemarakkan perasaan itu. Paling malang sekali agama diheret bersama.

Setiap hari diulang berita, diulang cerita, diulang tayang dan diulang papar, dan sudah pasti ada berbagai tambahan untuk mempertebalkan lagi rasa kebencian.


Hal sedemikian dibuat oleh semua kaum dan pihak tidak ada kecuali. Mahu pun dianya kaum Melayu, Cina atau India. Mahu pun dianya dari pihak Kerajaan atau yang menjadi Pembangkang. Sama saja minatnya. Begitu juga Badan Bukan Kerajaan yang lebih dikenali sebagai NGO. Apapun falsafah dan matlamat yang tersurat, Badan ini juga terbabit dalam menyemarakkan kebencian. 


Pihak yang terlibat dalam penyiaran telah menyebabkan perasaan benci dan permusuhan ini berkembang luas. Penyiaran dalam bentuk cetakan, elektronik, tulisan dan lisan. Alam siber semakin membuka dan meluaskan ruang penyiaran maka semakin bertambah ramai yang dapat merasai dan mengikuti cerita-cerita kebencian itu. Jumlahnya bertambah hari ke hari.


Soalannya : 

Apakah kita tidak jemu-jemu dengan berita dan cerita itu. Tidak jemu menyiarkan, menyebarkan, mengarang, mereka cipta, menulis, membaca, menonton dan membisikkan ditelinga cerita dan berita itu?


Sampai bila kita mahu buat begitu?


Apabila pihak yang bertentangan menuding jari pada kita, kita tidak suka dan marah. Kemudian kita menuding jari kepada mereka, kita marah jika pihak yang kena tuding itu marah kepada kita.  Apakah ada bezanya kita dan dia?

Adakah untuk survival kita perlu buat begitu. Survival bangsa kita, puak kita, kaum kita, agama kita, parti politik kita dan orang kita?

Siapa kah itu kita?

Siapa kah pula dia? 






Selasa, 13 September 2011

Malaya Tidak Pernah Dijajah British? Satu Penilaian Baru Sejarah Tanah Air.

Tahniah kepada Saudara Mat Sabu. 

Untuk  apa? 

Mat Sabu seorang ahli politik. Pada saya Mat Sabu telah menang dari dua segi. 

Pertama dari segi bidang yang diceburi iaitu politik. 

Walaupun ada setengah pihak, khususnya musuh politiknya melalui berbagai saluran media, yang perdana dan yang siber, cetak dan elektronik telah dan sedang cuba bermati-matian mengasak dengan berbagai cara dan propaganda bagi mengkominiskan beliau; mengheret anggota/bekas pasukan keselamatan terutama ahli keluarga yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong yang masih hidup untuk menyerang dan memusuhi Mat Sabu;  dan membuat  laporan polis; membuat berbagai ugutan dan yang paling gila dan tidak masuk akal mendesak agar kerakyatan Mat Sabu di lucutkan, namun beliau masih lagi dengan gagah berdiri dan berani serta yakin mempertahankan apa yang telah diucapkan.

Dan Mat Sabu tidak keseorangan.  Dan tidak juga orang percaya beliau seorang kominis termasuk yang mengkominiskan beliau. Melihat wajah Mat Sabu, sifat dan kelakuannya beliau hanya  ada ketokohan sebagai pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan tidak ada langsung tokoh kominis. 

Gagallah propaganda pihak yang memusuhi beliau.

Yang menyokong Mat Sabu telah bertambah bukan saja dari ahli-ahli partinya bahkan dari orang-orang Melayu yang mahukan kepada kebenaran. Sokongan dari orang bukan Melayu juga bertambah. 

Saya tiada statistik yang dapat menyokong kenyataan ini. Cuma saya terlalu yakin dan percaya khususnya kepada orang Melayu bahawa mereka tidak akan percaya Mat Sabu seorang kominis atau menyokong kominis. Mereka tidak mahu terlibat dalam pembohongan. Tidak mahu buat dosa kering. Sekurang-kurangnya diri saya yang dulunya tidak ada langsung terbayangkan wajah Mat Sabu.


Media Arus Perdana perlu juga ingat bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO pun tidak boleh disuapkan begitu saja. Mereka akan mendengar dan yang paling penting berfikir. Mat Sabu kominis? Mengarut , jawab mereka. 

Yang buat laporan polis, yang menentang Mat Sabu adalah atas kepentingan politik dan peribadi , dan bukan menilai ucapan Mat Sabu itu dari sudut mencari kebenaran.


Kalau apa yang diucapkan itu tidak benar apakah kita perlu buat penyelesaian secara ugutan: buat begitu banyak laporan polis dan mendesak kerakyatan dilucutkan. Apa kah kerakyatan negara kita ini terlalu murah, mudah diberi dan mudah dilucut? 

Beri pandangan yang tidak sealiran dengan pandangan pihak berkuasa maka kita sudah buat satu kesalahan yang terlalu amat besar yang layak dilucutkan kerakyatan? Gila sungguh.


Mat Sabu mengatakan Mat Indera pejuang kemerdekaan. Pandangan ini tidak sama dengan pandangan yang telah dirakamkan oleh ahli sejarah. Maka timbul perbezaan. 


Saya nampak apa yang Mat Sabu hendak sampaikan ialah bahawa Mat Indera itu menentang penjajah iaitu British. Serangan keatas Balai Polis itu sebenarnya sebagai serangan keatas penjajah British kerana yang menjadi tuan ketika itu ialah British walaupun anggota polis sebahagian besarnya orang Melayu. 

Maka berlaku pembunuhan keatas anggota polis Melayu itu. Ini tidak bermakna Mat Indera hendak bunuh anggota polis Melayu itu. Yang disasarkan tuannya, orang putih. Malangnya yang bertuankan orang putih, yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dibawah takluk British itu ialah oarang Melayu. Maka terjadilah pertembungan dengan mereka.

Tapi mengapa Mat Indera sanggup bersekongkol dengan Kominis? Tanya pihak yang mempersoalkan  Mat Sabu.

Saya juga amat tidak bersetuju cara Mat Indera yang bersekongkol dengan kominis ini sekiranya benarlah begitu. 

Tapi saya ingin juga bertanya kenapa pula kita sanggup bersekongkol dengan British yang menjajah negara kita? British yang telah mengaut khazanah negara kita.

Sehingga sekarang cerita Mat Sabu ini sentiasa menjadi tajuk/bahan berita. Yang memusuhi beliau sudah tentu menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak baik. Penyokong beliau khususnya ahli-ahli PAS akan tetap mempertahankannya. Yang paling penting ialah mereka yang mahu berfikir yang mahu melihat kebenaran.

Melihat kebenaran bukan bermaksud menyebelahi Mat Sabu kerana belum tentu apa yang dikatakannya benar atau salah. Tidak juga bermaksud mengatakan kerajaan dipihak yang salah atau benar.  Mereka yang mahu berfikir suka melihat supaya apa yang dikatakan Mat Sabu itu dibuat hujahan misalnya seperti orang berhujah dalam mempertahankan thesis mereka atau satu perdebatan atau perbincangan.

Saya mempunyai anggapan bahawa mereka yang mahu berfikir ini tidak mudah dipengaruhi oleh mana-man pihak. Rasa-rasanya bilangan mereka ramai juga.


Dengan demikian perdebatan (walaupun saya tidak cenderung kaedah ini, saya lebih memihak kepada perbincangan dikalangan yang terlibat dan pakar-pakar sejarah) , wajar diteruskan. Kedua-dua pihak jangan buat macam-macam alasan dan syarat, hanya mahu berdebat dengan yang setaraf saja atau dengan orang itu saja. Cara begitu namanya cara mengelak diri.

Apa kata saya cadangkan perdebatan itu melibatkan Timbalan Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO dan Ketua Pemuda UMNO dengan Timbalan Presiden PAS, Ketua Muslimat PAS dan Ketua Pemuda PAS.  Apa macam setuju? 
 
Oh tunggu dulu , kata prof. Zainal Kling dan disokong oleh Tun Mahathir bahawa Malaya tidak pernah dijajah, hanya diberi perlindungan saja oleh British. 

Dengan sebab itu tidak timbul soal berunding untuk merdeka.  Lantas perbincangan bukan cara yang wajar jadi pilihan. Macam British dulu yang ada kuasa, kita pun ada kuasa, jadi kita ugut mereka, buat banyak laporan polis, nyahkan mereka bila kerakyatan terlucut!

Oleh kerana tidak ada perundingan untuk kemerdekaan maka jalan penyelesaian dengan Mat Sabu pun dibuat secara ugutan. Begitu ke? Cantik dan molek sungguh orang-orang yang mempunyai pemikiran seperti ini!

Saya percaya bilangannya tidak ramai. Tapi kalau bilangannya dikatakan ramai maka saya anggap orang itu terdiri dari golongan seperti yang digambarkan dalam cerita Nujum Pak Belalang. 

Walaupun tidak nampak pencuri , tapi kerana takut dikatakan jadi anak luar nikah maka semuanya mengaku bahawa memang benar mereka nampak pencuri dalam bekas air telekan ahli nujum. 

Sebab itu sekarang ini kalau yang berkuasa kata bahawa yang putih itu hitam dan yang hitam itu  putih maka pengikut/kuncu-kuncunya akan mengangguk mengatakan benar begitu. 

Tapi dalam konteks hari ini mereka tidak kisah tentang jadi anak  luar nikah. Yang mereka penting ialah  'masyuk', projek ada 'masyuk' kah? 


Kejayaan kedua Mat Sabu ialah mengajak masyarakat untuk sentiasa berfikir akan sejarah kemerdekaan negara khususnya mereka yang terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan. Bukan hanya dimonopoli oleh satu pihak saja. Ertinya satu penilaian yang jujur perlu dibuat.

Oleh kerana Prof. Zainal kata kita tidak dijajah saya ingin bertanya:


i) Apa makna merdeka.
ii) Mengapa ada peristiwa bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Malaya dinaikkan mengganti bendera Union Jack


Ada banyak lagi. Tapi cukup dua saja.

Mat Sabu tentang British sebab British adalah penjajah. Takkan UMNO tidak tentang British melainkan UMNO yakin dengan kata-kata Prof. Zainal bahawa British tidak menjajah kita.UMNO boleh sekongkol dengan mereka. Mustahil bukan?

Isnin, 12 September 2011

Lain Nama Yang Diberikan, Lain Pula Nama Yang Dipanggil: Satu Fenomina Biasa

"Orang kampong kau ni tak kenal kau ke? Aku beri tahu nama kau, tapi tak seorang pun yang kenal". Seorang kawan memberitahu semasa mengunjungi rumah pada hari raya baru-baru ini. Beliau ingin mendapat kepastian dari orang kampong saya yang ditemui ditepi jalan  tentang lokasi rumah saya.

Maka saya pun ketawa kecil. "Kat kampong aku ni , orang panggil aku Ai. Dia orang tu tak tahu nama aku  yang sebenar".


Begitulah sedikit cerita ringkas mengenai dengan nama dan panggilan diri seseorang. Lain nama yang diberi, lain pula yang dipanggil sehingga boleh menimbulkan sedikit kerumitan. 

Fenomina seperti ini memang biasa dan telah ujud dalam masyarakat Melayu semenjak  lama lagi sehingga sekarang. Apakah sebab jadi begini? 

Tidak pula diketahui sama ada telah ada satu kajian dibuat mengapa berlakunya fenomina seperti ini.

Kita ambil beberapa contoh untuk memudahkan kita memberi pandangan atau pendapat mengapa ujudnya fenomina lain nama yang diberi, lain pula nama yang dipanggil.

Misalnya mereka yang diberi nama-nama  yang cantik-cantik dan indah-indah seperti Muhammad atau Ahmad. Mereka ini amat malang sekali. Mereka tidak  dipanggil sebagai Muhammad atau Ahmad. Paling baik mereka akan dipanggil dengan kependekan Mat saja. 

Yang dikatakan malang ialah mereka yang bernama Muhammad atau Ahmad ini  akan lebih dikenali dengan gelaran pada hujung namanya.  Contoh Mat Kerbau, Mat Panau, Mat Lembik dan banyak lagi. Panggilan seperti itu menjadi rujukan apabila hendak memperkenal atau mengenali atau membuat pertanyaan  seseorang yang bernama Muhammad. Tanpa merujuk nama panggilan seperti itu ia boleh menimbulkan masalah dan kerumitan untuk mempastikan siapakah sebenar orang yang dimaksudkan.


Apabila misalnya kita bertanya si Muhammad ini, orang akan bertanya :Mat yang mana satu? Mat Lembik ke Mat Kerbau?


Mengapa jadi begini? 

Pada pendapat saya adalah disebabkan nama Muhammad atau Ahmad ini adalah nama yang banyak dipilih oleh ibubapa apabila memberi nama kepada anak-anak mereka kerana nama-nama ini adalah  yang baik-baik , mengambil nama Nabi Muhammad SAW.
Oleh kerana terlalu banyak yang bernama Muhammad atau Ahmad maka gelaran-gelaran lain telah ditambah untuk memudahkan seseorang itu dirujuk. 


Cuma yang malangnya tambahan pada nama itu tidak sepadan dengan nama Muhammad itu kerana sebahagian besar gelaran yang diberikan adalah bersifat merendah/mengurangkan darjat atau peribadi seseorang. 

Mengapa dipanggil Mat Kerbau? Mat Panau? Mat Bisul? Dan  macam-macam Mat lagi.


Adakah sifat orang-orang Melayu yang suka merendah-rendahkan peribadi seseorang? Atau orang Melayu ini mempunyai jiwa rendah diri (inferiority complex)? 


Ada juga dikalangan ibubapa suka mengubah panggilan nama anak lain dari yang diberikan pada asalnya. Misalnya nama Fauzi akan dipanggil Ridhuan; nama Ishak dipanggilnya Hassan. 


Ada setengah pihak menyatakan bahawa berlakunya perubahan dari segi panggilan itu adalah disebabkan nama yang diberikan pada mulanya tidak sesuai apabila anak itu selalu saja diserang sakit atau meragam diwaktu kecil. 

Ada juga setengah mengatakan nama itu terlalu berat untuk dibawa oleh anak itu menyebabkan anak itu meragam dan sentiasa diserang sakit. Jika ini alasannya maka anak itu akan dipanggil dengan nama yang 'mudah-mudah' (yang tidak berat seperti nama-nama nabi-nabi atau orang-orang yang terkenal) seperti Selamat, Bujang, Dara , Awang dan sebagainya.

Dua contoh diatas boleh dikatakan berlaku pada masyarakat Melayu yang kurang berpendidikan atau masih lagi tidak banyak terdedah dan terbuka kepada dunia luar. 

Namun dalam masyarakat Melayu yang dikatakan moden juga fenomina seperti itu juga berlaku.

Misalnya anak yang bernama Najwa akan dipanggil Wawa. Anak lelaki yang diberi nama Sulaiman akan dipanggil boboi' atau dipanggil along jika dia yang tua, atau adik jika mempunyai abang dan kakak. Ada juga keadaan dimana anak yang dipanggil adik itu akan kekal dipanggil adik apabila mendapat seorang lagi adik. Maka apabila kedua-duanya sudah besar dan telah pandai berkata-kata maka yang adik itu memanggil abang/kakak yang dipanggil adik sebagai adik. Sudah jadi terbalik nampaknya.


Perkara yang dibincangkan ini nampaknya seperti sesuatu yang remeh. 


Tapi apakah tujuan kita memberi nama kepada anak kita kalau tidak bermaksud untuk dijadikan sebagai nama yang akan dipanggil? Kalau kita merasakan nama itu terlalu panjang untuk di panggil kenapa kita tidak beri nama yang pendek misalnya nama yang dipanggil keatas diri saya, 'Ai'.


Ertinya nama yang diberi, adalah juga nama yang akan dipanggil.


Jika tidak berbuat begitu saya cenderung untuk membuat tanggapan bahawa fenomina seperti ini berlaku mungkin satu manifestasi yang kita tidak sedar tentang kata-kata: "Cakap tidak seperti bikin". 


Saya juga tidak terkecuali kerana memanggil nama anak-anak tidak sama dengan nama yang diberi. Hanya saya dapat beri alasan bahawa nama panggilan itu adalah sebutan yang menjelmakan sifat memberikan kemanjaan dan kasih sayang saja. Saya percaya orang lain pun begitu juga.