Theflowersellingboy

Isnin, 29 Ogos 2011

Catatan Cerita-cerita Sekitaran: Menjelang Menyambut Hari Raya.

Hari terakhir berpuasa bagi tahun 2011/8/29 Isnin. 

Menyambung kerja membersih rumah dibahagian dalam. Mop dan menyapu lantai serta vcuum carpet. Membersih kipas. Mengelap perabut dan cermin meja. Rasa sakit pinggang sedikit maklumlah usia telah bertambah lanjut . Tidak boleh lama bertahan untuk berdiri. Kaki pun sakit jalan terdengkut-dengkut.

Apa maknanya semua ini? Sakit pinggang, tidak boleh berdiri lama dan kaki sakit jalan terdengkut-dengkut?

Maknanya mudah saja bahawa perjalanan saya sudah mendekati penghujung. Cuma tidak diketahui berapa kilometer lagi kalau mahu diukur dari segi jarak jauh. Berapa hari, minggu , bulan , tahun dan dekad jika mahu diukur dari segi tempoh yang ada. Boleh juga diterjemahkan kedalam ruang waktu kalau kita suka. Tapi soalnya bila. Yang  tahu hanya Allah swt. Tiada cepat walau sedetik mahupun lambat barang sesaat. Tepat. Apabila tiba masanya pergilah kita. Itulah penghujung kita didunia ini. Dan selepas itu bermula satu cerita yang baru.


Maka cerita yang baru itu adalah asasnya dari cerita-cerita kita semasa didunia ini. Bagaimana kita menggunakan lidah dan mulut, kaki dan tangan, mata dan telinga malah kesemua anggota badan dan otak fikiran kita. Semuanya diambil kira. Sekecil mana pun yang terhasil , sebesar mana pun yang telah kita lakukan tetap tidak terkeluar dari hitungan.


Hanya sanya yang baik-baik saja , yang telah menjadi perintah Allah jika banyak yang kita miliki dapat membantu kita. Tapi banyak kelemahan yang kita ada, banyak yang salah dan silap yang telah kita lakukan. Kita langgar banyak perintah Allah. Kita juga berharapkan agar amalan yang kita buat itu akan diterima Allah. Yang mana kurang kita mohon keampunan, kita bertaubat. Dan kita yakin Allah yang maha pengampun, yang maha mengasihani akan memperkenankan permohonan kita.


Hanya yang amat kita risaukan ialah kesalahan kita sesama manusia. Apatah lagi insan itu telah tiada lagi atau yang kita tidak dapat kesan dimana mereka berada sedangkan banyak perkara yang perlu kita selesaikan, banyak kesalahan yang belum kita dapat kemaafan dari mereka. Itulah yang senak didada.

Isteri dan anak-anak perempuan menolong mamanya didapur menyediakan makanan untuk meraikan hari raya.

Semalam buat kerja luar kawasan rumah. Rasanya selesai. Rupanya ada juga tertinggal. Ada bahagian/sudut rumah bersebelahan dengan bilik cermin yang dijadikan ruang tamu masih lagi belum ditanam dengan pokok bunga. Bogel saja. Maka dengan ihsan anak dan menantu dibelikan nya beberapa pokok bunga (tak tahu pula namanya) untuk ditanam dikawasan yang bogel ini. Barulah nampak serinya. Terima kasih dun keladi raya depan belikan lagi.

Jam 6 petang ke Hospital Besar Melaka melawat abang yang mengidap sakit gout (ini kesan dari makan semua, langgar pantang). 

Beliau sepatutnya keluar pada hari Jumaat depan tapi telah minta pihak hospital untuk keluar hari ini dengan menandatangani surat perakuan mengambil tanggongjawab sendiri. 

Waktu nak balik abang  terpaksa juga menggunakan kerusi roda hospital. Nasib baik ada kerusi roda kalau tidak kesian juga untuk berjalan ke tempat letak kereta. 

Entah macam mana mata tertumpu ke arah tempat memijak kaki kerusi roda itu. 'Dah tiada. Heran. Ganas sungguh orang yang menggunanya'. Jadi diikatnya dari hujung kehujung dibahagian letak kaki itu dengan sejenis kain berwarna putih , kain semacam dari jenis tuala mandi. 

Sungguh kesian Hospital Melaka ini kerusi roda pun tidak mampu di jaga dan disediakan yang elok sempurna. Mungkin tiada peruntukan untuk membelinya. Benar ke? Bagi malu Kerajaan saja. 

Benda-benda lain berbilion-bilion boleh buat dan beli , apa ada hal dengan kerusi roda. Apa ada hal? Memanglah ada hal sebab siapa anda duduk hospital kelas tiga.

Sekian catatan terakhir menjelang hari raya. 

Allahu Akbar  Allahu Akbar  Allahu Akbar.

Ahad, 28 Ogos 2011

Catatan Cerita-cerita Sekitaran: Menjelang Menyambut Hari Raya.

Hari ini Ahad 28 Ogos 22011 iaitu hari kedua sebelum kita menyambut hari raya. Macam-macam persiapan dibuat bagi menyambut hari kebesaran dan kejayaan itu. Antara yang tidak gagal dilakukan ialah menghiasi rumah -luar dan dalam agar nampak lebih indah, cantik dan bersih dipandang mata. 

Bukankah kebersihan itu separuh dari iman? Sekiranya pun  bukan iman menjadi asas kita membersih , menghiasi dan mencantikkan persekitaran rumah rasanya semua orang suka dan minat kepada yang cantik, bersih dan indah. Jadi tidaklah rugi sedikit tenaga dikeluarkan bagi membolehkan anggota badan kita dibasahi dengan peluh kita sendiri, mengeluarkan garam dan toksid dalam  badan. 

Badan akan jadi sihat. Penat dibayar dengan sihat, ok lah kerana harga yang paling mahal ialah kesihatan. Seperti juga dengan aspek-aspek kehidupan yang lain kesihatan anggota badan dan fikiran wajar diselenggara dengan baik. Seboleh-bolehnya kos penyelenggaraan itu dalam batas kemampuan kita.  Buat kerja sendiri. Kalau ada anak-anak dan menantu buatlah bersama-muafakat bawa berkat. Seronok bekerja sekeluarga.

Lihat,  dengan tenaga sendiri kosnya zero walaupun tidaklah sebenarnya begitu kerana kita kena beli peralatan membersih itu, seperti cangkul , penyapu dan yang lain. Peralatan itupun perlu diselenggara. Pakaian kerja kita akan menjadi lusuh, dan akhirnya perlu dibeli yang baru.

Tapi kalau tak mahu buat sendiri boleh juga. Upah saja kepada orang lain. Dapat juga membantu mereka mencari rezeki, dan jika mereka orang Islam sudah tentu kita memberi peluang untuk menceriakan mereka pada saat-saat menyambut aidilfitri tidak lama lagi.

Sampah-sampah yang terdiri dari daun-daun dari pokok-pokok besar yang berdekatan disekeliling rumah sungguh banyak terutama apabila hari hujan yang berangin. Daun-daun itu bersepah diatas halaman dan didataran kecil dihadapan rumah. Perlu dikumpul dan dibuang. Rumput-rumput yang tumbuh dalam pasu-pasu bunga juga perlu dicabut buang. Longkang perlu dibersihkan.

Hari semakin bertambah panas terasa penat dan letih. Yang paling mencabar ialah keperluan air, tekak menjadi terlalu dahaga. Namun kerja dapat juga disiapkan .Alhamdulillah.


Memandang persekitaran. Pokok-pokok besar dan semak samun dilot-lot yang masih belum didirikan rumah agak merunsingkan fikiran. Binatang-binatang seperti biawak, musang, dan ular selalu kelihatan. Telah dua kali ular memasuki rumah. Nyamuk-nyamuk hutan pun terlalu banyak, tempat terbaik untuk membiak. 

Sampah dan binatang-binatang itu sekali lagi saya katakan amat merunsingkan fikiran.

Sebenarnya kawasan yang diduduki ini sebuah kawasan yang telah dirancang untuk pesara awam khusus kepada orang Melayu untuk mendirikan rumah tempat berlindung dihari tua setelah bersara. Kalau tidak silap ada 25 semua. Tanah ini dijual pada harga kos pembangunan dengan syarat rumah mesti dibina dalam tempoh dua tahun dari tarikh pemilikan. Tarikh pemilikan ialah pada tahun 1996. Jika gagal maka sesuatu tindakan akan diambil bagi memulihkan kedudukan tanah itu. Ini adalah proses yang perlu dilalui sebelum tindakan drastik boleh diambil untuk merampas.

Sehingga kini dari 25 lot hanya 5 lot telah dibena rumah. Dari jumlah 5 hanya sebuah saja rumah orang Melayu. Maknanya tanah itu telah berubah tuan yang memilikkinya dari Melayu kepada orang Cina. Walaupun dari segi undang-undang pihak berkuasa berhak meluluskan pertukaran pemilikan dari Melayu ke bukan Melayu tapi apa maknanya sesuatu rancangan yang asalnya bertujuan untuk orang Melayu terlalu mudah kita gagalkan matlamat kita itu.

Sebab itu saya selalu mengatakan  Dasar Ekonomi Baru yang murni dan baik ini telah gagal. Yang menggagalkan  ialah orang Melayu sendiri termasuk yang ada kuasa. Janganlah marahkan orang bukan Melayu. Tidak ada guna terlalak terlolong dalam perhimpunan politik dan diperbesar-besarkan dalam akhbar akan cerita ketirisan dan rasuah. Sebenarnya yang melalak dan melolong itu adalah orang-orang yang bercakap untuk mendapat undi. Itu saja. Jadi pejuang Melayu, mempertahankan hak Melayu, KONON!


Itu satu hal. Pegawai yang telah dijual tanah dengan harga subsidi itu mengapa pula  tidak bena rumah seperti yang disyaratkan. Adakah anda semua telah sedia ada rumah/rumah-rumah. Kalau begitu mengapa tanpa segan silu menerima tawaran dulu. Bagilah peluang orang lain yang benar-benar tiada tanah untuk membina rumah. Nak jadi spekulator ke atau pelabur menunggu harga naik kemudian jual. Malulah sikit. Kedudukan anda pun diperingkat yang tinggi, sebab itu anda ditawarkan.

Hal seterusnya, mengapa pihak berkuasa menawarkan tanah kepada mereka sebab kalau kita rajin cari maklumat kita akan tahu mereka itu telah sedia ada rumah/mungkin rumah-rumah. Pada pandangan saya mereka dari awal lagi tidak ada niat untuk mmbina rumah diatas tanah tersebut. Apa ada glamour jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Petaling Jaya. 


Mengapa jadi begitu? Saya ada jawapannya, cuma simpan saja dalam hati.

Dalam masa yang sama saya angkat tangan tabik kepada seorang pegawai tinggi kerajaan beruniform dari Kuala Lumpur yang dengan bahasa lembut menolak tawaran itu antara kata-kata yang saya boleh ingat tapi mungkin kurang tepat ialah " Terima kasih diatas tawaran itu. Saya merasakan ada pihak lain yang benar-benar memerlukan".

Dengan demikian saya tersenyum gajah kalau ada orang-orang politik termasuk yang bukan politik terutamanya pegawai kerajaan, iaitu orang Melayu bercakap berdegar-degar untuk mempertahankan kedudukan Melayu dalam perbualan harian atau dalam perhimpunan politik. Marah sangat tentang rasuah dan ketirisan. Marah sangat kepada orang bukan Melayu terutama oarang Cina. Sebaliknya mereka sepatutnya malu akan diri sendiri.


Sekian. Esok dengan catatan tentang hal yang lain pula.

Saya sudah penat keletihan. Terus kebilik air  untuk mandi dan bersolat zohor.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Catatan Cerita-cerita Sekitaran: Menjelang Menyambut Hari Raya.

1. Kenderaan semakin meningkat diatas jalanraya terutama disemua lebuhraya menuju keluar dari Bandaraya Kuala Lumpur. Paling ketara disebelah petang jam 5 petang apabila sebahagian besar pejabat ditutup.

2. Bunyi siren ambulans bertambah kerap. Tanda ada usaha menyelamat mangsa kemalangan jalanraya.


3. Pagi-pagi lagi pasar besar telah dikunjungi ramai orang. Antara bahan/barang yang baru mula dijual ialah pucuk (daun) kelapa yang belum dianyam untuk dijadikan bekas/pengisi ketupat. Harganya 100 helai daun 4 ringgit. Kalau siap dianyam harganya sebekas 40 sen.

3. Terlalu banyak kuih-muih dari yang tradisional ke kuih moden diperagakan untuk dijual.

4. Dipasar raya pun terlalu  ramai orang sehingga susah untuk mendapatkan ruang kosong meletak kereta. Terdapat beberapa tempat letak kereta yang kosong tapi terdapat tanda untuk OKU. Nampak juga dua buah kereta dipetak OKU itu. Kelihatan pemandunya keluar segar bugar jalan selamba saja. Rasanya dia ini OKU baru juga 'Orang Kurang Umur', belum berakal atau tak ada akal. Boleh ke kita maafkan?

5. Patutlah semasa memandu kereta tadi ada ternampak sticker OKU di belakang kereta. Rupanya berbaloi juga kalau ada sticker OKU kalau nak pergi cari parking kereta. Kurang Upaya, kurang upayalah asalkan senang dapat tempat letak kereta. Lagi pun jarang sekali OKU sebenar kerana manalah OKU ada wang nak ada sebuah kenderaan. Dapat belas ikhsan orang pun dah banyak terima kasih. Yang OKU baru ni, kalau dipanggil sicacat marah pula. Tapi bila nak dapat hak OKU misalnya parking kereta tak malu pula jadi OKU.

6. Sekarang tidak semewah dulu untuk dapat envelop kecil untuk dimasukkan wang ampau. Terlalu kecil bilangan envelop yang boleh diberikan oleh bank. Itu pun kalau akaun kita sihat, banyak wang. Tapi kalau nak juga envelop, jangan susah sebab ada pihak bersedia menjual. Sungguh banyak terdapat dipasar.


7. Anak, menantu dan cucu selamat sampai dari Kuala Lumpur. Alhamdulillah. Kata mereka terdapat kemalangan di Nilai seorang pemandu perempuan melanggar pembahagi jalan. Mungkin mengantuk agaknya. Nasib baik tidak berlanggar dengan kenderaan yang lain. Perempuan itu selamat tapi dahinya telah sedia berbalut menahan darah disebabkan luka. Doakan supaya kecederaan wanita itu segera sembuh.

8. Berbuka puasa satu keluarga penuh. Maksudnya semua ahli keluarga telah ada sama. Yang teristimewa ada cucu buka bersama.

9. Di masjid selepas terawih ada majlis khatam al-quran dan penyampaian sumbangan kepada fakir miskin. Malang sekali para penerima sumbangan itu yang sebahagian besarnya wanita/perempuan sudah berumur tidak bersama-sama solat sama ada solat fardhu mahu pun solat sunat terawih. Mengapa ye? Belum berkesan lagi dakwah kita. Nampaknya mereka datang semata-mata untuk nak dapat sumbangan. 

Yang sepatutnya menyampaikan sumbangan belum lagi sampai walaupun sudah hampir 10.30 malam. Kesian juga orang-orang tua itu menunggu.    

Dulu khabarnya sumbangan diberikan disebelah petang sebelum berbuka. Selepas berbuka mereka tidak juga solat Maghrib. Ada yang terus balik selepas berbuka. Sekarang sumbangan dibuat selepas terawih. Mungklin bertujuan untuk orang-orang itu solat Maghrib  dan Isya dan seterusnya terawaih, tapi tidak juga. Malang sekali. Dakwah kita masih tidak berkesan.   

Kalau dulu mereka yang diberi sumbangan terdiri dari orang-orang yang telah dikenal pasti oleh Penghulu Kawasan dengan kerjasama wakil rakyat tempatan. Tapi sekarang kurang pasti bagaimana pemilihan dibuat. Harap-harap yang layak saja yang dapat dan bukan atas asas kepartian kerana kalau begitu dakwah kita adalah terbatas sekali, hanya orang itu saja yang dipanggil sebagai orang kita. Orang selain dari kita pun ada yang miskin.

Sekian saja catatan untuk hari ini menjelang menyambut hari raya.

Jumaat, 26 Ogos 2011

Salam Jumaat....24: Selamat Hari Raya, Pohon Maaf dan Bermaafan Sesama Kita

Assalamualaikum wbt dan Salam Jumaat. Kepada muslimin dan muslimat selamat meneruskan ibadah puasa sehingga ke penghujung semoga puasa anda diterima Allah swt.

Kita telah memasuki hari 10 terakhir ibadah berpuasa. Dan kita mengharapkan ibadah puasa kita pada hari-hari yang berlalu tidak ada sebarang kecacatan, diterima Allah.

Pada 10 hari terakhir ini kita telah diberitahu bahawa ada satu hari/malam yang teristimewa yang perlu dicari kerana habuan pahalanya melebehi 100 hari/malam. Malam yang dikenali sebagai 'Lailatul kadr'. Maka umat Islam di seru supaya melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan yang boleh mendekati kita dengan Allah seperti membaca al-quran, banyakkan sedekah, solat malam dan sebagainya. Kita percaya semua orang Islam mempunyai tekad yang tinggi untuk melakukannya.


Setelah melalui ibadah puasa hampir ke penghujung, seperti biasa sebahagian anak-anak perantau telah siap dengan rancangan untuk perjalanan balik ke kampong. Ada yang bujang dan ada yang dara dan ada yang telah berkeluarga masing-masing telah bersedia hari dan masa untuk bertolak ke kampong , menaikki kapalterbang, keretapi, bas,teksi, bot atau perahu  dan kenderaan pandu sendiri (kereta dan motorsikal).


Apa pun pilihan pengangkutan untuk sampai ke destinasi, perjalanan kita tetap akan ada risiko. Dengan demikian semua pihak mestilah bersama-sama memberikan kerjasama supaya risiko perjalanan tidak akan berlaku atau dapat dikurangkan. Kemalangan perjalanan sama ada diudara , air dan darat akan membawa kepada kehilangan nyawa, kecederaan dan cacat anggota badan dan fikiran. Kita beraya dengan tangisan duka, penuh kesal dan setengahnya mungkin putus harapan untuk meneruskan kehidupan. 


Tidak ada seorang atau mana-mana pihakpun yang inginkan kemalangan. Ini merupakan satu sikap yang baik dan terpuji. Tapi sikap saja tidak dapat menghalang dari kemalangan berlaku kalau tidak disertai dengan amalan bagi menterjemahkan sikap itu. 


Sebenarnya semua dari kita mahu sampai ke destinasi dengan selamat. Tiada siapa yang mahu kemalangan menimpa keatas dirinya. 

Tapi apabila berada dijalanraya, apabila tangan mula memutar stering, apabila kenderaan terlalu banyak, berlumba-lumba pula, apabila ada diantara kenderaan itu memotong kenderaan kita, dan tambah lagi jika kita pemandu lelaki dan yang buat potongan itu pemandu perempuan dan keretanya pun sudah tua, kecil pula, kancil memotong mercedez; dan ada pula kenderaan yang setara dengan kita tunjuk 'terror'  maka gelora didada mula naik dibawah pimpinan ego, hati dan nafsu mula berkata "kereta tua nyah kamu, aku nak lumba dengan yang setara, siapa lebih terror". Kita buat pecutan. Nasib baik tiada apa, tapi biasanya jadi celaka. Celaka untuk kita dan celaka kepada yang lain juga.


Sebab itulah setiap tahun kita semua tidak pernah gagal berduka menangis kerana kemalangan jalan raya. Itupun kalau kita masih bernyawa. Tapi kalau bernyawa pun apa ada guna kalau kita hidup menyusahkan orang lain walaupun mereka sayang pada kita.


Setakat hari ini 26 Ogos 2011 pihak berkuasa telah melaporkan sebanyak 54 kematiann yang ada kaitan dengan musim menyambut hari raya.

Oleh itu hindarlah dari perangai hendak berlumba-lumba kerana itu bukan tempatnya. Secepat mana pun kita , destinasi tetap sama, balik untuk sampai ke kampong kita dengan selamat. Kita keluar dari kenderaan bersama keluarga dengan disambut penuh riang dan ria oleh ibubapa dan sanak saudara. Takkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia, kampong kita, ibubapa kita , saudara mara kita untuk sama-sama beraya, gembira.

Sewajarnya kita orang Islam, orang Melayulah, perlu merasa malu kerana sebahagian besar kemalangan itu berlaku adalah disebabkan perangai kita yang buruk dan hodoh selepas kita keluar dari latihan memperbaikki kelakuan dan perangai kita semasa berpuasa. Bukankah antara yang dilatih ialah untuk bersabar, menahan nafsu. Nafsu lapar dan nafsu cepat marah. Kalau begitu maka  rasanya sia-sia kita berpuasa.

Akhir sekali dikesempatan paparan ruang SJ ini saya mohon maaf kepada para pembaca dan mereka yang melayari blog saya ini. Memang banyak kurang dari lebihnya, banyak cacat dari sempurnanya blog saya ini dari berbagai sudut dan segi terutamanya isu dan perkara-perkara yang dibicarakan. Apatah lagi cara persembahan dan penyampaian yang ada kemungkinan tidak digemari oleh pembaca. Yang paling saya khutiri ialah jika ada perkara atau cara yang dipaparkan boleh menyakiti dan merunsingkan fikiran pembaca.

Jadi cara yang saya mampu buat ialah memohon maaf diatas segala kelemahan itu. 

SELAMAT HARI RAYA DAN SELAMAT MENUJU KEDESTINASI. 

Khamis, 25 Ogos 2011

Lihatlah Dalam Diri Sendiri: Didalamnya Ada Jawapan

Apabila ada orang Islam menjadi murtad atau menukar ke agama yang lain kita sebagai umat Islam merasa dukacita dan kecewa dengan kejadian itu.  Sebab kita telah kehilangan sahabat seagama untuk kita kongsi kehidupan atas kepercayaan yang sama. 

Kita juga marah kepada pihak yang bertanggongjawab yang menyebabkan kejadian murtad atau tukar ke agama lain.

Benarkah kita berkongsi kehidupan sesama Islam? 

Mengapa pula kita marah kepada yang lain selain dari kita sendiri?

Kedua-dua soalan diatas hanya kita sendiri yang boleh jawab. Kita, diri sendiri dan setiap batang tubuh orang Islam tanpa terkecuali. Dari yang menjadi ketua, pemimpin, pengikut dan yang dipimpin. Kesemuanya.

Tudinglah jari pada diri kita sendiri. Tusukkan jari ke dada. 


Pernahkah kita berkongsi kehidupan sesama Islam? Waktu naik dan jatuh.

Apakah yang telah kita lakukan sebagai orang yang berkuasa, seorang ketua. Dan adakah kita sebenarnya contoh yang baik sebagai ketua untuk diteladani. 


Lihatlah pada diri sendiri, dalam diri sendiri kerana pada diri kita, dalam diri kita  telah tersedia jawapan.


Jangan marah-marah orang lain. Tidak perlu juga rasa kehilangan seorang sahabat. Kita bukan sahabatnya kerana kita tidak pernah berduka sama.



Rabu, 24 Ogos 2011

Terperangkap Dalam Politik Kotor :Permusuhan dan Kebencian Antara Kaum

Rasa tidak puas hati dan marah diantara orang Melayu dengan bukan Melayu khususnya diantara Cina dan Melayu semakin ditonjolkan melalui penulisan yang boleh kita baca dalam media arus perdana dan media baru. 

Malah apa saja kata-kata dan tindakan yang dikeluarkan/dilakukan yang bersifat memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum akan menjadi bahan utama pemberitaan, diperbesar-besarkan. 

Memperjuangkan kepentingan kaum ini bermaksud mengatakan bahawa kaumnya telah disisih dan di diskriminasikan berbanding kaum yang lain. Banyak unsur mengapi-apikan dari memperbaikki keadaan.

Saban hari nada-nada kebencian itu sama ada secara terang dan sindiran sentiasa mengganggu fikiran kita sebaik saja kita menatap dan membuka helaian akhbar dan melayari laman-laman siber. 

Terlalu banyak bahan dan cerita yang dipertonjolkan sama ada besasaskan fakta yang benar mahupun sangkaan-sangkaan buruk yang   boleh menyemaikan perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita rakyat Malaysia. Sehingga ada juga pihak-pihak yang tergamak mengkatogerikan kaum ini kelas istimewa dan kaum yang lain pula kelas yang lebih bawah. 

Banyak yang tidak puas hati seolah-olah tidak ada satu pun yang baik yang telah dan sedang dinikmati masing-masing pihak. Bahawa hidup di negara yang bernama Malaysia ini satu kehidupan yang sungguh sengsara sekali, lantas ada yang mahu bingkas pergi mencari negara lain yang katanya lebih baik.

Sesungguhnya perkembangan seperti ini adalah tidak sihat malah amat bahaya kepada kesejahteraan hidup kita rakyat Malaysia.


Sayang sekali pendekatan yang digunakan dalam menyatakan kekecewaan itu adalah semata-mata bersifat kepentingan kaum.

Memang tidak dapat dinafikan terdapat berbagai kepincangan yang ujud yang menjurangkan diantara kita, sesama kaum dan diantara kaum dari segi peluang dan ruang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. 

Kita perlu perbetulkan keadan ini. Kita perlu melihat penyelesaian dibuat bukan semata-mata berdasarkan batasan kaum bahkan juga mesti dilakukan  berdasarkan keperluan, tanggongjawab dan hak sebagai warga negara.
 
Banyak yang 'menyakitkan hati'. Pihak yang melihat kepentingan Melayu menyatakan bahawa kedudukan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagan Persekutuan sudah mula terancam dan sedang diancam dari berbagai sudut. Bahasanya dan agama anutannya, Islam, sedang berhadapan dengan usaha-usaha untuk mengurangkan kepentingannya dari pihak/ kaum dan agama lain. Pengaruh politik juga semakin lemah. Apatah lagi kedudukan ekonomi, terlalu ramai yang susah dan miskin.

Pihak yang melihat kepentingan kaum bukan Melayu misalnya kaum Cina mempersoalkan berbagai dasar dan perlaksanaan kerajaan yang berat sebelah yang katanya banyak memihak kepada orang Melayu. Sebagai contoh, pengambilan penjawat awam juga memihak kepada orang Melayu.

Seperti yang dinyatakan bahawa memang terdapat kepincangan yang mengakibatkan jurang, bukan saja antara kaum bahkan sesama kaum. Tetapi menyatakan satu kaum mendapat faedah yang lebih berbanding kaum yang satu lagi atau mengatakan orang Melayu saja mendapat yang lebih berbanding dengan orang Cina sebenarnya kita menutup mata kita. Bukan sebelah mata tapi kedua-dua belah mata, jadi orang buta.  

Cuba kita semak pengambilan penjawat awam. Benar satu kaum saja iaitu orang Melayu adalah paling ramai diambil dalam perkhidmatan awam. Dan finomina seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ianya tidak sihat. Ia lebih merugikan dari menguntungkan sama ada kepada orang Melayu atau orang Cina.

Ianya merugikan kepada orang Melayu kerana mereka hanya berpeluang untuk menguruskan hal-hal bersangkutan pentadbiran kerajaan saja. Mereka tidak terdedah kepada pengurusan sektor luar kerajaan yang lebih mencabar seperti sektor perdagangan dan perniagaan kerana sebahagian besar sumber manusia Melayu itu telah tersalur dalam sektor awam. 

Begitu juga  kepada orang Cina , sebahagian besar orang Cina telah  terlepas peluang untuk bersama-sama memberi khidmat bakti dalam sektor awam kerana mereka lebih ramai disektor swasta, yang dikatakan lebih dinamik , progressif, mencabar dan upah yang lumayan.

Dan yang paling ketara ialah sumber manusia Melayu itu yang paling dominan adalah diperingkat rendah , peringkat bukan pengurusan, walaupun diperingkat pengurusan bilangan Melayu masih melebihi bukan Melayu. Maksudnya bilangan bukan Melayu boleh kedapatan diperingkat pengurusan tetapi diperingkat rendah susah untuk dicari. 

Cuba kita lihat anggota pasukan beruniform seperti tentera dan polis. Keadaannya sungguh menyedihkan. Susah untuk kita mencari anggota bukan Melayu di kedua-dua perkhidmatan itu terutama diperingkat rendah.

Dengan demikian dasar dan pelaksanaan pengambilan pekerja sektor awam hendaklah mempertimbangkan penyertaan yang seimbang dan adil kepada semua kaum. Dalam masa yang sama semua rakyat Malaysia tanpa batasan kaum hendaklah mempunyai minat untuk memberi khidmat bakti kepada negara melalui sektor awam.

Sama juga kaedahnya dengan sektor swasta supaya kedudukan yang ada ketika ini diperbetulkan. 

Siapakah yang bertanggongjawab untuk memperbaikki keadaan ini? Jawabnya kita semua rakyat Malaysia. Caranya ialah pendekatan yang kita ambil mestilah mengambilkira kepentingan kaum kita dan kaum yang lain berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

Dengan pendekatan seperti yang dinyatakan itu maka orang Melayu tidak wajar berasa cemburu jika bilangan orang yang senang lenang dan kaya sebahagian besarnya tediri dari bukan dikalangan mereka kerana mereka boleh menaruh harapan keatas kaum yang lain itu untuk membantu mereka. Begitu juga yang bukan Melayu jangan merasa kaum mereka tidak diberi layanan yang sama dan adil jika ada usaha-usaha kerajaan menyediakan program dan projek yang dikhaskan untuk orang Melayu dengan tujuan memperbaikki kedudukan mereka. 

Adakah ini bermakna orang Melayu tidak perlu bekerja kuat kerana sentiasa menunggu bantuan dari pihak lain? Pendapat ini sungguh merendahkan maruah orang Melayu. Dan kalau ada orang Melayu yang bersikap demikian, saya rasa baik mati dari hidup bernyawa. Jangan jadi patung bernyawa.    

Pendapat seperti diatas selalu digunakan oleh orang politik Melayu yang tidak bertanggongjawab semata-mata untuk mengekalkan kedudukan.

Sama juga dengan orang politik bukan Melayu yang kononnya memperjuangkan kepentingan kaumnya. Sebenarnya mereka juga berbuat demikian untuk mengekalkan kedudukannya. 

Kalau sebenar-banarnya mereka orang-orang politik itu memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing maka tidaklah timbul jurang dalam kaum itu sendiri. Mereka menggunakan kaum untuk kepentingan politik dan bukan keseluruhan kaumnya.

Dan inilah yang ujud di Malaysia. 

Yang malang sekali kedudukan seperti ini telah diberita dan diwarwarkan dengan cara yang boleh menimbulkan rasa kebencian dan permusuhan diantara kaum. 

Sebenarnya kita telah terperangkap dengan mainan politik. Politik kotor.

Selasa, 23 Ogos 2011

Mengurus Sakit Gout

Saya percaya sebahagian besar dari kita telah sedia mengetahui apa itu penyakit gout. Ramai juga diantara kita yang telah dan sedang mengalami sakit gout, dan sudah tahu bagaimana rasa kesakitan yang disebabkan sakit gout itu. Sesungguhnya amat sakit sekali jika sudah sampai ke tahap yang 'acute'.

Menurut apa yang pernah diberitahu oleh doktor Gout itu adalah satu daripada sakit athritis disebabkan uric asid yang berlebihan. 

Saya adalah seorang daripada yang mempunyai penyakit gout itu. Sudah agak lama penyakit itu tidak menyerang saya. Hanya sekarang ini saya sedang mengidapinya, dibahagian lutut. Waktu ini belum terasa sakit sangat. Cuma tidak dapat berjalan dengan baik dan tidak boleh berdiri lama.

Pada pertama kali kena sakit gout dipergelangan tangan kanan dulu saya merujuk kepada tukang urut di kampong untuk mengurangkan bengkak. Pada keesokan harinya bengkak itu bertambah dan rasa sakit yang tidak tertahan lagi. Maka saya berjumpa doktor untuk mendapat suntikan dan diberi ubat. Seterusnya doktor menasihatkan saya memakan allopurinol untuk mencegah gout berulang lagi.

Saya tidak ambil ubat itu kerana kata doktor kena ambil selama-lamanya selagi nyawa dikandung badan.

Jadi apa pilihan yang ada untuk saya tidak akan diserang lagi pada masa depan? 

Ada kawan nasihatkan minum air herba misalnya daun misai kucing. Saya telah melakukannya. Ada juga kesannya sedikit. Tetapi saya kena juga beli peket herba misai kucing itu. Keluar juga belanja. Lebih baik saya makan ubat yang yang boleh didapati diklinik kerajaan, percuma.

Lagipun kesan meminum herba misai kucing  tidaklah seberapa.

Saya tidak teruskan misai kucing, tidak juga alluprinol.    

Jadi apa perlu saya buat untuk mengelakkan penyakit ini datang menyerang lagi?


Saya ingat pesan doktor supaya jaga pemakanan . Antaranya elakkan makanan organ dalaman seperti hati, mempedal, jantung, dan sebagainya. Elakkan makan kekacang dan sayur-sayur yang ada kekacang seperti bendi. Elakkan makan daging merah. Elakkan makan...... macam-macam lagi.


Saya am,bil nasihat doktor dan amalkan. Maka banyak yang saya tidak makan termasuklah makanan yang tidak masuk dalam senarai doktor. 


Maka selain yang dinyatakan diatas, makanan berikut saya elakkan:


Durian termasuk makanan yang ada bahan durian seperti tempoyak, ;limau dari segala jenis, asparagus, segala kekacang , kobis bulat, bunga kobis, kangkong, bayam, labu, daging merah, sup ekor, kacang panjang, ulam kacang botol, air kacang soya, telur, ikan bilis dan banyak lagi saya pun tidak berapa ingat. Tapi kadang-kadang terpaksa makan juga sayur dan masakan yang ada rencah ikan bilis. Tapi terlalu sedikit.


Alhamdulillah lama juga saya tidak lagi diserang oleh gout  sehinggalah semalam dan sekarang masih lagi belum sembuh sebab saya belum makan ubat.

Mengapa sekarang saya kena serang? 


Mengingat semula makanan yang saya ambil dalam bulan puasa ini.  Sebenarnya saya telah melanggar pantang. Makan durian-tapi seulas dua saja, makan kobis, sayur bendi, tempoyak, bunga kobis, telur- kerap sekali, daging- sedikit saja dan yang lain-lainnya. Maksudnya tiada yang pantang pagi saya semuasaya makan.


Jadi sebab itulah gout menyerang saya. Menyesal? Sedikit-dikit adalah tapi sebab salah sendiri, tanggong sendirilah.


Maknanya ubat yang paling baik untuk tidak diserang gout ialah dengan berpantang makan. Jangan makan senarai makanan yang saya nyatakan tadi. Cuma saya tidak dapat senaraikan kesemuanya.


Timbul pertanyaan: Kalau semua kena pantang apa yang nak dimakan? Betul juga soalan itu.


Namun saya jawab begini, ada lagi makanan yang kita boleh makan. Cuma pilihannya tidak banyak dan boleh menimbulkan jemu. Kalau mahu makan juga, rasalah sedikit saja, jangan ikut selera sangat.


Kita yang berisiko gout ini kenalah buat pilihan : nak kena serang sakit gout ke atau berpantang makan. Kalau pilihan pertama kita terimalah kesakitan gout itu. Kalau pilih yang kedua, kita korban kehendak selera kita.


Saya kena serang ini ialah kerana saya pilih yang pertama. Rasalah sendiri sakitnya. Dan sekarang saya sedang menahan kesakitan sambil membuat paparan. Sebab itu tidak teratur  apa yang saya persembahkan.


Dengan itu pohon maaf.

Isnin, 22 Ogos 2011

Pengurusan Perbezaan: Raikan Perbezaan dan Rapatkan Jurangnya.

Perkembangan diseluruh dunia ketika ini amat menyedihkan sekali dari segi perhubungan sesama insan. Banyak yang bermusuhan berbanding yang menghulurkan salam persahabatan.  Perang sana, perang sini, bom sana , bom sini. Kerjanya membunuh. Dilakukan manusia tanpa ada batas-batas bangsa dan agama walaupun ada kecenderungan jari-jari nakal menuding satu-satu kumpulan dan agama tertentu.

Di Malaysia keadaannya juga tidak sebaik yang kita harapkan. Hanya kita berharap keadaan itu tidak akan menjadi bertambah teruk. Janganlah hendaknya garis-garis pemisahan yang ada, perbezaan diantara kita  boleh membawa keretakan perhubungan sesama kita. Kita perlu hindar retak menjadi belah, kerana apabila menjadi belah dia akan hancur. Elakkan nasi menjadi bubur, jika kita hendak makan nasi.

Apakah sebenarnya yang membuatkan berlakunya permusuhan, pergeseran, pertelagahan, pertembungan, pergaduahn , peperangan dan pembunuhan sesama manusia? 

Sesungguhnya soalan ini mudah saya buat tapi tidak mudah untuk dikupas atau diberi jawapan kerana ianya melibatkan pandangan atau pendapat masing-masing individu.

Tidak ada satu pandangan pun yang akan  dapat memberi jawapan yang memuaskan kepada semua pihak. Mesti ada perbezaan dan yang tidak bersetuju.

Dan ada juga pandangan berbentuk menuding jari yang semakin menambahkan kecelaruan dan memburukkan keadaan.

Tetapi kalau perbezaan pandangan itu dapat dikumpul dan dijadikan sebagai khazanah pemikiran manusia maka ianya mungkin boleh mencantikkan suasana manusia menjalani kehidupan. 

Ya , seumpama bunga-bunga yang berbagai warna, reka bentuk, dan aroma  kalau pandai digubah,  ianya akan menjadi sungguh menarik untuk kita memilikinya.
 
Sayang sekali perbezaan pandangan diantara insan itu adalah penyebab utama finoma permusuhan itu. Apatah lagi jika pandangan itu datangnya dari latarbelakang yang berbeza dari segi bangsa dan agama. Ada saja yang tidak kena , yang tidak disukai yang perlu diketepi, disisih atau disingkirkan. Bukan saja pandangan malah si pemberi buah fikiran itu sendiri akan menjadi mangsa.

Mengapa jadi begini?

Kerana kita tidak meraikan perbezaan.

Meraikan perbezaan bermaksud kita menerima kewujudan setiap dari kita dengan rasa saling hormat menghormati, saling memerlukan dan lengkap melengkapi untuk mengwujudkan satu suasana kehidupan yang cantik dan indah, yang harmoni . Duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Seumpama bunga-bunga  tadi gubahan menjadi cantik, indah dan menarik disebabkan perbezaan dan kepelbagaian. 

Jadi mengapa tidak kita  jadikan perbezaan itu sebagai asas mengakui kehebatan Penciptanya. Memang benar kita selalu ucapkan   bahawa Pencipta itu maha hebat, maha Berkuasa , dan segalanya tidak kira apa pegangan agama kita. Tapi setakat itu saja. Nampaknya kita menang cakap , kalah dari segi amalan.

Sebaliknya dengan penuh emosi , sombong dan bongkak kita jadikan perbezaan itu sebagai asas untuk mengurangkan atau menidakkan kepentingan pihak yang lain yang bukan dari golongan atau kumpulan yang sama dengan kita.


Yang demikian asas kepada perselisihan, pergaduhan , permusuhan , peperangan adalah kegagalan manusia meraikan perbezaan. Manusia tidak pandai menggubah perbezaan itu menjadi seperti bunga-bunga yang pelbagai jenis warna, bentuk dan bau yang dapat digubah cantik oleh manusia itu sendiri sehingga semua manusia tertarik untuk memilikinya.


Kegagalan meraikan perbezaan itu adalah disebabkan pemikiran , sikap dan tindakan kita diterajui oleh sifat dan nafsu tamak haloba.

Sifat tamak haloba ini   yang menjiwai mana-mana manusia tidak kira apa jenis bangsa, warna kulit dan kepercayaan agama akan tidak pernah mahu melihat orang lain juga dapat berkongsi sama khazanah kurniaan Allah yang maha pemurah. 
 
Sesaat atau sedetik perjalanan masa akan digunakan segala kesempatan, cara dan kaedah untuk megaut apa yang ada, menguasai dan mengawal apa saja, apa lagi yang tersedia dihadapan mata. Tambah-tambah lagi ada kedudukan dan kuasa. 

Maka perbuatannya itu adalah bertuankan tamak haloba. Kalau yang berkuasa terlalu tamak akan kuasa sehingga tidak rasa malu untuk terus kekal berkuasa dengan apa cara sekali pun. Tidak segan silu untuk menyalahgunakan kuasa. 

Yang sudah kaya dan banyak harta terlalu cemburu jika ada usaha untuk membantu yang miskin yang masih lagi terkial-kial memperbaikki kedudukan ekonomi diri, seolah-olah harta dan kekayaan dunia ini hak kepunyaannya saja, tidak mahu berkongsi barang sedikit sekali pun. Harta dan kekayaan bertimbun tapi masih lagi tidak berpuas hati. Alasannya berasaskan meritokrasi. Bukan kah itu sifat orang yang tamak haloba?



Maka dengan itu perbezaan yang sepatutnya mengujudkan semangat penerimaan sesama insan untuk bersama-sama menjalani kehidupan, hormat menghormati dan tolong menolong telah menghasilkan   jurang sesama insan. Dan jurang ini semakin hari semakin membesar. Maka tersisihlah satu pihak atas dasar perbezaan itu. 

Oleh kerana yang tersingkir itu perlu bernafas untuk hidup, perlu makan dan lain-lain keperluan apakah kita merasa hairan jika berlaku permusuhan?pergaduhan? peperangan? dan pembunuhan?

Sesungguhnya pandangan ini terlalu simplistik tidak sepadan dengan masaalah yang menyerabuti dalam hubungan sesama insan. Cuma seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa  'penerimaan' adalah penting sesama kita masyarakat berbilang bangsa dan keturunan dan agama untuk sebuah Malaysia yang bersatu. Tapi sebelum berkata begitu kita sentiasa mesti ingat supaya kita tidak menang cakap tapi kalah dari segi amalan.


Uruskanlah perbezaan dengan baik, raikannya dan rapatkanlah jurang perbezaan sesama kita rakyat Malaysia.




SELAMAT HARI ULANG TAHUN KE 27 :HAZLIN AZZAMIZA

JAJA SEDANG MERIBA AHMAD NAQIB DIIRINGI SUAMI
 21 Ogos 1984-21 Ogos 2011

Papa dan Mama mengucapkan selamat hari ulangtahun kelahiran Jaja yang ke27 tiga hari selepas hari ulangtaun papa yang ke 63. Paparan ini lambat sehari kerana semalam kan kita sibuk dengan kehadiran kakak Ira, Yousef dan abang Yad  untuk berpuasa dan berbuka sama. Semua ahli keluarga ada bersama.

Papa dan mama mendoakan agar Jaja sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, sihat tubuh badan dan akal fikiran, dikurniakan Allah kebahagian dalam rumahtangga bersama suami dan anak yang baru berusia hampir memasuki 5 bulan, dimurahkan rezeki yang halal dan barakah dan sentiasa sabar dalam menjalankan tugas harian. Papa dan mama juga mendoakan supaya permohonan pertukaran Jaja akan diluluskan oleh pihak berkuasa agar dapat bersama suami dan mengaturkan kehidupan dengan lebih sempurna dan baik lagi.

Mama dan Papa juga mendoakan supaya Jaja menjadi anak yang solehah yang sentiasa taat kepada perintah Allah dengan melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang; dan sentiasa menyayangi dan taat kepada papa dan mama yang semakin lanjut usia termasuk juga kepada kedua-dua ibubapa mertua.  

Akhir sekali papa dan mama baru saja mandikan Naqib. Hari ini dia tidak 'enjoy' mandi , menangis. Nak tidur agaknya. Setelah siap berpakaian , papa suapkan susu dia pun terus tidur.

 

Sabtu, 20 Ogos 2011

Hari Raya : Dulu dan Sekarang

Semasa kecil dahulu pada tahun 1960an cara menyambut hari raya amat terkesan sekali, sekurang-kurangnya bagi diri sayalah.

Pada pagi-pagi lagi selepas Subuh mereka yang muda akan berjumpa yang tua bersalaman dan bermaaf-maafan sambil berpelukan dan   diiringi dengan tangisan menyesal akan apa yang telah berlaku atau yang dilakukan. Lepas seorang seorang datang untuk bermaaf-maafan. Tangisan teresak-esak tetap jadi iringan.

Begitulah cara mereka beraya. Sesungguhnya permohonan dan penerimaan maaf dihari raya tulus sekali. Sebab itu mereka menangis seperti orang yang bertaubat diatas kesalahan yang dilakukan.


Sekarang kita bersalaman juga, mohon maaf dan ada yang juga berpelukan tapi biasanya tidak ada kata-kata penyesalan yang diikuti dengan tangisan. Dan ada yang bersalaman itu secara selamba saja, tangan bersalaman tapi muka memandang kearah lain, dan tak kurang juga yang menunjukkan kegembiraan yang tidak membayangkan permohonan  dan penerimaan maaf.

Yang sama yang masih berterusan ialah menziarahi kubur untuk menghadiahkan bacaan ayat-ayat al-Quran kepada datuk nenek, ibu bapa dan sanak saudara yang telah meninggal pergi untuk selama-lamanya. 

Cuma cara yang dilakukan sekarang lebih teratur dan kemas dengan perkakasan yang dibawa termasuk air jirusan dan bunga-bungaan. Sebahagiannya membawa kerusi dan membaca dengan lebih tertib yang diketuai masing-masing keluarga. Tidak seperti dulu yang terpaksa mengguna khidmat imam atau bilal atau mereka yang pandai membaca doa.

Memeriahkan sambutan nampaknya jauh berbeza walaupun ada sedikit yang sama. Yang sama ialah menerangkan malam 27 likur dengan cahaya. Dulu pakai buluh atau bahan-bahan lain seperti tin susu untuk dibuat pelita. Tapi sekarang pakai arus letrik walaupun bentuk pelita masih dikekalkan.

Meriam buluh pada masa ini ada juga dimainkan, tapi jarang kedengaran. Begitu pun mereka yang bermain meriam buluh sekarang ini selalu sahaja mengalami kecederaan berbanding semasa dulu. Sebab itulah agaknya meriam buluh jarang digunakan bagi menghidupkan suasana menyambut raya. Atau mungkin pokok buluh telah tidak ditanam lagi, hampir pupus. 

Sekarang kunjung mengunjung rumah nampaknya amat terbatas sekali. Secara umumnya hanya saudara terdekat saja yang mengunjung dan dibalas kunjung. Mengunjung jiran sekampong atau setaman tidak menjadi satu perkara biasa. Maksudnya mereka tidaklah boleh datang tanpa memberi tahu kita terlebih dahulu. 

Tidak ada konsep bahawa pada hari raya rumah kita terbuka untuk semua dan bila-bila masa jika kita ada.

Dulu rumah kita sentiasa terbuka untuk dikunjungi. Malah orang Cina dan India sentiasa menunggu kedatangan hari raya untuk datang beraya makan ketupat, rendang, lemang dan hidangan yang lain. Mereka datang dengan buah tangan pula iaitu membawa buah limau. Seronok bukan. 


Sekarang ada juga tapi dalam bentuk yang lain, iaitu Rumah Terbuka. Tapi rumah Terbuka ini hanya mampu diadakan oleh orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti Perdana Menteri, Ketua Menteri dan yang lain-lainnya atas peruntukkan Kerajaan. Maka semua bangsa akan dapat meraikan hari raya. 

Bagi orang biasa, orang kampong sudah tentu tidak mampu mengadakan Rumah Terbuka. Dan oleh kerana itu, sekarang ini tidak ada lagi orang Cina atau orang India yang berani/sudi datang kerumah orang Melayu untuk berhari raya melainkan orang itu mengadakan Rumah Terbuka.  Itupun terhad kepada yang diberitahu saja, yang dijemput. Maklumlah belanja sekarang tinggi.

Yang malangnya ialah orang Melayu yang sekampong , yang berjiran, yang setaman tidak akan datang kerumah kalau kita tidak buat Rumah Terbuka. Sekarang soalan yang selalu ditanya sebelum menyambut raya ialah : Anda/saudara buat Rumah Terbuka ke tahun ini? Macam biasa jawab saya ialah tiada. Tapi jemputlah kerumah.

Dibandar-bandar seperti Kuala Lumpur, mereka yang menduduki rumah pangsa biasanya bersepakat mengadakan Rumah Terbuka secara berkelompok. Cara ini bagus juga bagi menjimatkan belanja dan  dalam masa yang sama dapat mengeratkan persahabatan sesama mereka.

Maknanya sekarang orang tidak datang beraya melainkan di jemput atau didakan persepakatan untuk mengeluarkan belanja untuk beraya sama. Beraya lebih merupakan 'reunion' keluarga . Banyak masa dihabiskan dengan menuntun rancangan tv bersama keluarga.

Bagaimana kanak-kanak beraya? Dulu anak-anak akan kunjung rumah ke rumah untuk menikmati hidangan yang disediakan. Dan ada juga menaruh harapan untuk dihulur wang 20 sen atau 50 sen. Sekarang pun nampaknya sama saja. Yang rasanya berbeza ialah harapan wang pemberian. Sekarang tak main sen. Kalau bagi seringgit duapun  maka diumpatnya tuan rumah itu dikatakan kedekut, dan mereka mengatakan berhadapan tidak main sorok-sorok, tidak seperti dulu terlalu suka dapat wang yang diberikan . 

Tapi kita tidaklah boleh salahkan mereka kerana belanja sekarang lebih mahal dari dulu.

Dan jangan terperanjat anak-anak yang sama akan datang lagi berkunjung. Jangan marah. Mereka anak-anak, anak-anak moden yang banyak keperluan. Cuma jika mereka itu anak kita, pujuk-pujuklah mereka supaya menerima saja ampau tanpa banyak cerita, terima kasih saja. Orang memberi, kita berbudi, berbudi bahasa.

Saya terkesan beraya pada masa dulu ialah kerana cara mereka bermaaf-maafan dengan deraian air mata. 

Sekarang saya terkesan juga malah merasa amat sedih dan berduka kerana sebahagian dari kita beraya, pada setiap tahun, tidak pernah gagal dengan lenangan air mata juga. Ya, kita menangis kerana kemalangan di jalan raya yang melibatkan keluarga kita dan orang Islam yang lain semasa mereka berlumba-lumba untuk tiba ke destinasi, ke kampong. Air mata menyambut mereka. Dan mereka pun berlenang air mata, kesal tidak berguna.


Itulah dua kesan yang berbeza dulu dan sekarang dalam merayakan aidilfitri. Air mata dulu adalah tanda kesal akan kesalahan yang dilakukan dan ketulusan bermaafan manakala  air mata sekarang adalah kekesalan yang terlambat atas perbuatan sendiri. Tidak guna kesal kemudian.

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN. 

Saya tidaklah dapat menyertakan air mata ketulusan.

Jumaat, 19 Ogos 2011

Salam Jumaat ....23 Jangan Cepat Berang, Lihat Diri Sendiri

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat untuk semua. Semoga anda semua sihat-sihat belaka.

Pagi tadi berkesempatan bertegur sapa dengan seorang pekerja yang membersihkan jalan dihadapan rumah. Sambil menyapu sampah pekerja itu menjinjing satu bungkusan plastik berisi sesuatu yang kelihatan berwarna ungu. Maka saya bertanya : Apa benda yang dijinjing itu. Maka saya diberitahu yang dijinjing itu ialah buah anggor yang telah diberikan oleh orang Cina yang rumahnya dihujung sekali, untuk berbuka puasa.

Serentak dengan jawapan itu saya merasa terlalu amat malu dan kecewa sekali kerana saya tidak pula pernah terniat untuk memberi sesuatu kepada pekerja buruh itu untuk tujuan berbuka puasa. Sebaliknya jiran saya dihujung itu, si Michael begitu mengambil berat tentang buruh yang berpuasa itu dengan menghadiahkan buah anggor untuk berbuka puasa. 

Ah, ianya satu pukulan didada yang hebat. Malu dan kecewa diatas sikap sendiri yang tidak mengambil berat sesama Islam. Apatah lagi pekerja itu sudah tentu amat memerlukan sesuatu untuk berbuka puasa. Merengankan beban belanja dalam keadaan harga yang mahal ini.


Saya memang mampu sekali sekala untuk menghadiahkan sedikit makanan atau buah-buahan. Mungkin setiap hari pun tidak membuatkan saya jatuh miskin. Saya amat kecewa , menyesal dan teramat malu.

Agaknya begitulah caranya orang bukan Islam berdakwah. Menunjukkan sifat dan kelakuan yang baik dan terpuji. Saya sebagai seorang Islam yang memang sedia mengetahui akan pahala yang berganda atas sesuatu kebaikan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan seperti membantu orang yang memerlukan, memberi makanan seperti yang dilakukan oleh si Michael tadi, tidak langsong mengambil peluang pahala berganda itu. Sudah tentu si Michael tadi tidak tahu akan pahala yang berganda itu. 


Si Michael telah berjaya menawan hati seorang Islam. Saya telah gagal memenangi hati seorang Islam, sesama Islam. Saya percaya pekerja tadi akan lebih memberikan telinganya kepada si Michael berbanding kepada saya. Maka banyaklah perkara yang boleh disampaikan oleh si Michael itu kepada buruh yang berpendapatan kecil itu. Saya mempunyai keyakinan, pekerja ini orang susah.


Sifat dan perangai saya ini sama agaknya dengan sifat dan perangai sebahagian besar orang Islam yang lain. Bermakna setelah begitu lama berpuasa saya masih lagi tidak dapat memahami makna keseronokan dan nikmat berpuasa itu. Apa yang seronok? Apa yang nikmat?


Yang seronoknya ialah semasa kita hendak berbuka. Kita melihat makanan yang terhidang dihadapan kita. Sungguh mengiurkan. Apabila azan berkumandang diudara maka dengan segera saya mencapai makanan itu seperti lagak orang tidak pernah dapat makanan. Terlalu lapar. Saya sungguh seronok melayan selera. 


Itulah seronoknya berbuka kerana dapat makanan setelah berlapar beberapa jam. Tapi saya tidak panjangkan seronok itu kepada orang yang susah, yang tidak ada makanan. Cuba bayangkan kita berlapar beberapa jam saja.Mereka yang susah berlapar sekian lama. Kalau mereka dapat makan seperti saya makan, saya percaya mereka terlalu seronok sekali, dan sudah tentu memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt.

Saya seronok sendiri-sendiri sehingga mungkin lupa bersyukur akan nikmat Allah itu.

Yang itu ialah perangai saya. Amat buruk sekali. Saya berjanji akan menyingkirkan perangai dan sifat buruk itu. InshaAllah.

Bagaimana perangai atau tindakan pihak yang bertanggongjawab yang diberi amanah untuk membantu atau membangunkan ummah. Saya ambil contoh penggunaan wang zakat. Secara amnya wang zakat itu telah tidak digunakan secara yang terbaik untuk membangunkan ummah. Tidak membantu orang yang memerlukan bagi menaikkan taraf  hidup dan keluar dari kehidupan susah dan miskin.

Ya, kenyataan saya itu boleh dipertikaikan kerana saya tidak menyertakan statistik . Tapi bukankan kita boleh melihat dengan mata sendiri betapa ramai orang-orang Islam yang meminta sedekah. 

Kita bertambah berang, kalau malu tidak mengapa, sekurang-kurangnya insaf dan sedar diri akan kesilapan seperti yang saya lakukan, tapi berang dan marah apabila ada pihak lain memberi bantuan kepada orang Islam. Ini cerita benar. Ingat tak cerita penguatkuasa agama Islam negeri Selangor yang menyerbu gerja kristian di Damansara Utama kerana disyakki ada usaha-usaha mengkristiankan orang Islam dengan cara memberi bantuan. 

Maka beranglah orang Islam marahkan pihak gereja itu.  

Mengapa perlu marah. Mengapa sangat cepat tuding jari kepada orang atau agama lain.

Fikir baik-baik dengan tenang. Bagi saya usaha untuk mengembangkan agama kepada penganut yang lain adalah menjadi matlamat mana-mana pihak agama  termasuklah kita agama Islam. Cuma siapa yang lebih prihatin yang lebih bertanggongjawab akan dapat melakukannya dengan baik. 

Dari segi sumber, saya selalu mengatakan orang Islam atau negara Islam telah dianugerahkan Allah sumber yang melempah ruah. Cuma pengurusan dan penggunaan sumber itulah yang menjadi halangan.
 
Maka lihat pada diri kita bagaimana wang zakat itu kita menfaatkan. Adakah kita yang menguruskan itu lebih bersifat dan bersikap membantu atau mencari berbagai justifikasi untuk menolak permohonan bantuan. Adakah kita bersikap seperti bank yang meminta koleteral apabila permohonan itu dibawa kepada kita. Jangan silap faham pula maksud koleteral itu. Ia tidak hanya bermaksud wang atau tanah/harta tanah. Ia juga bermaksud sokongan dari ahli politik. Kalau yang memohon itu bukan satu geng maka permohonan itu menjadi masaalah. 

Anda tidak percaya apa yang saya timbulkan ini? Tidak menapa, siasat sendiri.

Akhirnya janganlah jadi macam saya yang tidak langsung terniat dihati untuk memberikan bekalan makanan kepada buruh yang menyapu sampah jalan itu untuk menyeronokkan dia dan keluarga berbuka puasa tapi saya telah kesal dan insaf. 

Bagaimana dengan pihak yang menguruskan sumber untuk membantu orang Islam yang susah misalnya sumber zakat tadi.  Masih menuding jari kepada bukan Islam lagi ke jika ada orang Islam yang merujuk kepada yang bukan Islam. Kalau masih begitu maka saya telah melakukan yang terbaik kerana tidak marah-marah akan si Michael jiran saya itu.

Salam  Jumaat.  Jumpa lagi.

Khamis, 18 Ogos 2011

Satu Yang Tidak Sempurna Melainkan Allah Yang Satu Yang Maha Esa

Cuba kita fikirkan mengenai diri kita sendiri. Kita seorang insan. Taraf insan itupun sudah jelas bahawa kita diciptakan. Kita ada maha pencipta maka dengan itu kita sebenarnya tidak ada kuasa. Kita ditentukan oleh yang lain. Yang lain itu ialah yang mutlak yang tidak ada pencipta. Maka bagi orang Islam yang beriman bahawa yang mencipta itu ialah Allah.

Bermula dari situ iaitu kita dicipta maka kita adalah tidak sempurna. Kita tidak boleh menjadi satu kerana kita perlukan yang lain untuk meneruskan kehidupan.

Fikirkan juga pelengkap atau pasangan sama ada yang seiring atau sejalan dan yang bertentangan. Ada lelaki adanya perempuan. Yang kecil lawannya yang besar. Yang kuat timbul kerana ada yang lemah. Miskin adalah akibat dari adanya yang kaya. Cantik dan hodoh. Jahat dan baik. Dunia dan akhirat. Banyak lagi pelengkap yang jelas memberitahu kita bahawa kita dan yang lain tidak sempurna melainkan Allah yang mutlak sempurna. Satu yang sempurna.

Seterusnya jika kita ditimpa musibah maka agama mengajar kita untuk bersabar. Kalau kita mendapat nikmat atau sesuatu yang baik dan menyukakan hati kita mesti bersyukur. Musibah mesti diiringkan dengan bersabar dan nikmat disertai dengan syukur. Itulah ertinya kehidupan kerana kita akan mati. Hidup didunia yang diakhiri dengan kehidupan diakhirat selaepas kita mati.

Apa saja yang dicipta adalah tidak sempurna. Haiwan dan yang lainnya pun sama saja. Yang bersifat tidak bernyawa , yang menggambarkan sesuatu keadaan atau suasana pun tidak sempurna. Tidak boleh bersendirian. Misalnya malam berganti siang; terang ada gelapnya. Sejuk dan panasnya. Positif dan negatif. Kalah dan menang.

Bagimana pula dengan kedudukan seri dalam sesuatu perlawanan. Apa yang perlu disaingkan dengan seri. Sudah tentu seri tidak disebabkan ada yang menang atau kalah. Seri tetap seri. Adakah keadaan seri ini sempurna? Tidak juga. Sebab yang menyebabkan seri itu kerana ada persaingan ada lawan. Tidak boleh hanya satu saja mesti lebih satu. Maknanya kedudukan seri itu akan timbul jika  yang lagi satu itu berkedukan sama. 

Menang percuma? Menang percuma terhasil kerana ada yang tidak turut sama atau menarik diri.

Kita sebagai ketua dan jadi orang nombor satu. Adakah ketua dan nombor satu yang kita peroleh itu menunjukkan kita sempurna dan boleh bersendirian. Tidak juga. Kita jadi ketua sebab ada pengikut. Kita jadi nombor satu sebab kita perlukan orang lain mengambil nombor yang lain.   

Jadi walaupun diri kita 'satu' sebenarnya kita bukan satu seperti  'satu'nya Allah. Satu kita tidak sempurna sebab kita perlu pelengkap/pesaing untuk hidup. Kita tidak boleh bersendirian. Kita perlu kawan, masyarakat, suasana dan keadaan yang juga tidak sempurna. Untuk berkembang kita perlu kahwin, lelaki dengan perempuan ; jantan dan betian. Itu pelengkap dan pesaing kita. Malah kita perlu mati selepas hidup. 

Sebenarnya kita bukanlah satu yang mutlak kerana kita perlukan yang lain. Hanya Allah satu yang mutlak yang maha esa.

Hanya Allah saja yang maha mencipta dan maha mengetahui, yang sempurna. SATU SAJA. Yang lain sifatnya lebih dari satu.

Rabu, 17 Ogos 2011

Zikir: Mengingati Allah Dalam Hati

Ayat 205 Surah al-A'raf  Allah SWT berfirman bermaksud: 

"Dan sebutkan Tuhan engkau didalam hatimu dengan merendah diri dan takut; dan tidak dengan kata-kata yang keras, pada pagi hari dan petang; dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai".

Zikir atau mengingati Allah dalam hati atau menyebut dengan mulut dengan keyakinan dalam hati (apa yang ada dalam hati disebutkan dengan mulut) akan boleh menyubur iman seseorang kepada Allah SWT. 

Kita berzikir atau mengingatkan Allah dengan cara:

1.Hendaklah Allah itu diingat di dalam hati dengan penuh keyakinan dan keikhlasan sebagai hamba yang sentiasa menyerah kepadanya.
2.Hendaklah dengan merendah diri (Tadharru').Bahawa kita sebagai insan/hamba yang menyerah adalah terlalu lemah, hina dan papa dihadapan Allah.
3.Hendaklah dengan perasaan takut. Bahawa tiada siapa yang maha agung dan maha berkuasa yang dapat melakukan apa saja jika Dia kehendaki.
4.Tidak dengan suara yang kuat atau keras kerana Allah maha mendengar lagi sangat dekat. Dengan sebutan yang kuat atau keras dikhuatiri sifat berzikir yang sepatutnya khusuk menjadi hiruk pikuk atau menunjuk-nunjuk. 
5.Lidah yang menyebut adalah datangnya dari apa yang ada dalam hati. Ertinya hati dan lidah menyatakan yang sama.
6.Allah sentiasa diingat pada pagi dan petang supaya kita tidak lalai.


Zikir  yang telah diajar oleh Rasulullah SAW ialah Tasbih-Subhaanallah; Tahmid-Alhamdulillah; Tahlil-La Ilaha Illallah; Takbir-Allahu Akbar; Hauqalah-LaHaula Wala Qiwwata Illa Billahi; dan Istighfar-Astaghfirullah.

Semoga zikir yang kita lakukan itu akan memperkukuhkan iman kita keatas Allah SWT.

(Rujukan Tafsir al-Azhar , Juzu' 9: Prof.Dr.Hamka) 

Selasa, 16 Ogos 2011

Kenangan Dari Sebuah Album: Raya dan Puasa Berair Mata

Selepas menunaikan solat Asyar berjemaah bersama iateri dia terus mencapai sebuah al-quran berkulit warna hijau yang terletak disebuah rak yang menempatkan berbagai buku agama. Untuk puasa tahun ini ia berazam untuk dua kali khatam al-quran. Tahun lepas sekali saja. Isterinya seperti biasa, turun kebawah kedapur menyediakan makanan untuk berbuka. 


Benang penanda bacaan menunjukkan dia akan mula dengan Surah To Ha. Selepas solat Zohor tadi dia mampu sehingga penghujung Surah Mariam.


Dia memulakan bacaan dengan meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan dituruti dengan memuji nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. 


Baru saja 10 minit mulutnya mula terbuka luas, bersangap, mengantuk. Dia cuba melawan dengan membeliakkan lagi matanya untuk meneruskan bacaan. Tapi perkataan yang keluar dari mulutnya tidak sama dengan apa yang dilihatnya. Semakin diteruskan bacaan semakin banyak kesalahan yang dilakukannya. 

"Bila baca al-Quran saja  mengantuk. Tapi kalau nak tidur susah nak lena", dia mengomel sambil jari tapak kanannya menggosok-gosok matanya sedikit keras tanda marah. Dia berhenti membaca dan meletakkan semula kitab suci itu ketempat asalnya.

Memang benar selepas meletakkan kitab suci itu rasa mengantuk telah mula hilang. Dia bangun untuk mengambil al-Quran itu semula. Tapi angin dalam perut tidak boleh ditahan, mahu keluar. Wuduknya batal. Dia merasa malas untuk mengambil wuduk sekali lagi.

Dia berjalan menuju ke sudut perpustakaan kecil yang bertentangan dengan biliknya untuk mencari sesuatu untuk dilihat atau dibaca. Dia menarik keluar sebuah album lama, album yang memuatkan gambar-gambar ahli keluarga semasa dia baru mempunyai dua orang putera. Dibawanya album itu kedalam bilik untuk menghidupkan semula kenangan lama.

Gambar persandingan semasa perkahwinan dulu diawal muka. Isterinya berpakaian pengantin serba putih dan dia berkot hitam sedang duduk diatas pelamin. 'Segak juga aku rupanya' dia tersenyum berbisik seorang diri. Tangannya meraba-raba kepalanya yang hampir licin tiada berambut. 'Wah dah tua rupanya aku ni', dia mula sedar realiti yang ada.

Helaian demi helaian muka album diselaknya yang diiringi komen-komen syok sendiri. Tiba-tiba tangannya terhenti. Matanya terpukau pada dua wajah anak-anaknya. Anak yang sulong dan yang nombor dua. Yang tua berambut lurus seperti dia dan adiknya berambut kerinting mengikut contoh emak pula.

Air mata mula keluar dari kelopak matanya. Dia mula menangis perlahan dengan rintihan dihati mengenangkan hal yang sudah terjadi, penuh trajedi. Takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Kedua-dua anaknya telah lama pergi. Yang tua   pada hari raya ketiga dan adiknya pada hari 13 berpuasa. Pemergiannya dengan cara yang sama kemalangan jalan raya.

Jejeran air matanya makin bertambah membasahi pipinya.


Tahun 1983. Hari ketiga aidilfitri. 

Tahun ini dia beraya dikampong isteri. Itulah persetujuan yang tidak bertulis yang sama-sama dipegang tanpa banyak soal. Dia dan isteri telah bersetuju bahawa pada hari raya pertama mesti dibuat giliran. Hari kedua dan seterusnya boleh beraya dimana-mana. Tetapi biasanya mereka beraya  sehingga hari raya ketiga ditempat giliran.

Dia tidak pernah mungkir, mahu pun isteri. Setiap tahun giliran berjalan dengan lancar.

Hari ini hari raya yang ketiga. Tiba masanya untuk dia dan isteri serta anak-anak untuk balik ke kampongnya pula. Berjumpa ibubapa dan saudara mara disana.


Waktu ketika itu sudah menghampiri pukul 12 tengah hari. Dia dan isteri telah memasukkan beg pakaian dan barang-barang yang lain kedalam boot kereta Fiat 132 berwarna putih yang telah dihidupkan injin sedia untuk dipandu. Tapi dia masih lagi diluar kereta sedang berbual-bual dengan bapa mertua.

"Ayin nampaknya dah sihat. Tadi abah nampak dia dan Wani berkejar-kejar dibelakang rumah. Tak mencungap pun. Syukur, Alhamdulillah. Dah lima tahun ke dia operet?" 

Dia hanya menganggokkan kepala tanda setuju dangan pemerhatian dan pertanyaan bapa mertuanya itu. Matanya juga turut sama memandang anak-anaknya yang sedang bermain dalam kereta. Dia tersenyum kesyukuran.


Isterinya yang telah 5 bulan mengandong anak yang ketiga menghampiri untuk bersalaman dengan kedua ibubapanya.

Dua orang anak lelaki berusia 6 dan 5 tahun telah mengambil tempat ditempat duduk belakang.  Mereka sungguh gembira. Dia pun tumpang sama gembira terutama melihat anaknya yang sulung yang nampaknya aktif setelah menjalani pembedahn jantung berlubang semasa berusia dua tahun.


"Dah masuk pukul 12, makanlah dulu", terdengar suara emak mertua yang berdiri diruang serambi mengajak dia dan isteri serta anak-anak untuk makan terlebih dahulu. Bapa mertuanya yang berdiri disebelah juga menganggok-anggokkan kepala, bersetuju. 

Isterinya memandang kearahnya untuk minta keputusan. Dia tidak berkata apa-apa cuma melihat jam ditangan seolah-olah memberi jawapan bahawa mereka perlu begerak segera kerana perjalanan memakan masa tidak kurang 5 jam untuk sampai ke kampongnya. Entah kenapa, dia perlu segera.


"Kenyang lagi ummi. Lagipun dah lambat ni. Takut hujan pulak", isterinya pandai cari alasan setelah dapat membaca air muka suaminya tadi yang perlu segera bergerak. 


Setelah bersalaman dia terus memandu keluar kereta dari kawasan rumah dan terus meninggalkan emak dan bapa mertua yang melambai layu.


Panduan keretanya pada kelajuan 70 dan 80 batu sejam diatas lebuhraya yang belum sempurna siapnya, Lebuhraya Segamat-Kuantan. Anak-anaknya yang dua orang itu sungguh gembira menyanyi dan bermain-main. Dia pun tumpang sekaki menyanyi . Suasana menyeronokkan sekali.


Terdapat banyak lori-lori 'hantu' yang mengangkut tanah dan pasir. Lori-lori itu tidak ada nombor pendaftaran, tidak ada lampu isyarat untuk memasuki simpang dan tidak juga ada lampu belakang. Lama juga dia mengekori lori-lori itu.   Setelah mendapat peluang untuk memotong dia menukar ke gear yang rendah dan terus memecut. Tapi tiba-tiba lori yang hendak dipotong itu masuk kekanan jalan. Dia dengan segera menekan brek tetapi tidak mampu untuk mengelakkan keretanya dari melanggar belakang lori. Anaknya yang tua tercampak kedepan. Isteri dan anaknya yang seorang lagi tidak mengalami apa-apa kecederaan cuma muka mereka pucat lesi dan tubuh menggigil. Dia pula berdarah didagu terkena stering kereta. Keretanya  diberhentikan ditepi sebelah kiri jalan tetapi lori hantu itu meneruskan perjalanan.


Dia keluar sambil mendukung anaknya yang tua yang mengadu kesakitan. Dia menunggu kenderaan lain untuk membawa anaknya kehospital. Lama juga menunggu akhirnya selepas hampir 20 minit sebuah kenderaan pick-up muncul lalu berhenti. Dia, isteri  dan anak-anaknya menaikki pick-up untuk kehospital meninggalkan keretanya serta barang-barang yang ada dalam kereta fiat 132 nya itu.

Dia meriba anak tuanya yang mengadu kesakitan."Pa sakit pa. Yin sakit pa. Tolong pa. Pergi hospital pa", Air matanya meleleh keluar terlalu sedih akan rayuan anaknya itu. Isterinya menangis teresak esak.


"Encik, jauh ke lagi hospital?' Dia tidak sabar untuk sampai segera kehospital kerana anaknya itu mengadu kesakitan. "Jauh juga", jawab pemandu pick-up.


Dia cuba memberi pernafasan dari mulut kemulut apabila melihat anaknya itu susah untuk bernafas. Anaknya masih menyatakan kesakitan. Dia bertambah sedih. Air matanya terus jatuh berjurai.


'Dah sampai", pemandu pick-up memberitahu. Dia dengan segera mendukung anaknya masuk keruang kecemasan untuk mendapat rawatan segera. Anaknya dimasukkan dalam satu bilik tetapi dia tidak dibenarkan bersama. Dalam beberapa minit seorang doktor keluar. 


"Minta maaf kami tidak dapat selamatkan anak awak". Dia tidak percaya. Dia minta doktor pereksa semula. Beri suntikan supaya anaknya boleh diselamatkan. Dia merayu  "Doktor, tolonglah. Saya sayang anak saya doktor. Tolonglah". Doktor menggelengkan kepala. Isterinya melaung dan dia memeluk isterinya menangis teresak-esak.


Terngiang-ngiang ditelinganya akan suara emak mertuanya yang mengajak dia makan sebelum berlepas tadi tetapi dia perlu segera untuk teruskan perjalanannya balik ke kampong. 

Tiba-tiba dia merasakan bahawa peristiwa ini pernah dialaminya. Bila? Mungkin dalam mimpi. Ya, malam tadi ia bermimpi peristiwa seperti itu. Tetapi kenapa dia boleh lupa. Hanya setelah berlaku dimainkan semula dalam otak kepala. Takdir , siapa pun tidak boleh melawan. Jika itulah takdirnya dia rela dan redha. Allah lebih mengasihi anaknya. Dia memeluk erat isterinya yang masih menangis.


Tahun 1998 pada hari ke 13 berpuasa.


Pagi itu jam 9 dia menerima panggilan talipon dari Azmi , penolongnya seorang akauntan dipejabatnya memberitahu bahawa dia mendapat panggilan dari Dr. Baharudin pengetua sebuah institusi pengajian tinggi memaklumkan anaknya yang berada ditahun ke 3 telah terjatuh dari sebuah motor yang diboncengnya. 


"Tuan haji jangan terperanjat. Dr. Baha beritahu Wani jatuh motor masa hendak hantar assingment nya . Dalam kampus. Sekarang di hospital". Dia boleh baca suara Azmi ini. Berita sedih menimpanya lagi. Dia dengan segera memberitahu isteri yang berada dirumah untuk ke hospital.


Dalam perjalanan mengambil isterinya, dia teringat baru semalam anaknya itu balik kerumah untuk berbuka. "Assalamualaikum pa. Bukak pintu", terdengar suara anaknya minta dibuka pintu. Waktu itu sudah agak gelap. Dari verandah rumah disebelah atas dia melihat seseorang sedang berdiri dihadapan rumah. "Siapa tu?" Dia mahu tahu siapa gerangan orang itu. "Wanilah. Anak sendiri pun tak kenal".


Sekarang anaknya berada dihospital. Dia telah menjangka yang terburuk. Dia telah bersedia menghadapi. Namun dia tidak dapat menahan kesedihan. Dia menangis.


"Bang turun kejap. Tolong pergi kedai beli minyak masak". Terdengar panggilan dari isterinya yang sedang sibuk memasak untuk hidangan berbuka. Dia beristigfar, sambil mengesat air mata. Diambilnya kertas tisu untuk mengesat air mata yang jatuh mengenai gambar anak-anaknya yang telah pergi meninggalkannya terlebih dulu.


Dia turun kebawah melangkah longlai, sedih apa yang telah menimpa keatasnya dan keluarga.

Sekarang dia tidak perlu balik kampong lagi. Tidak juga ke kampong isterinya. Dia menunggu kepulangan anak-anak , menantu dan cucu untuk beraya bersama. Dia mendoakan supaya mereka dilindungi Allah dari segala mara bahaya.

Isnin, 15 Ogos 2011

Selepas Berbuka....

Seronok juga berbuka puasa bersama anak-anak dan menantu. Hidangan yang sederhana telah disediakan dan setiap ahli keluarga nampaknya begitu berselera sekali menikmati hidangan yang disediakan sendiri oelh isteri dan anak. Tidak ada yang dibeli. Tapi hari ini ada sedikit keistimewaannya atau kelainannya.

Hari ini pertama kali disediakan makanan Jepun. Bukan dibeli tapi buat sendiri iaitu syusyi. Disediakan oleh si CT.

Nampaknya makanan syusyi itu digemari oleh sebahagian besar ahli keluarga kecuali saya sendiri yang merasakan belum sesuai dengan makanan Jepun itu. Ada macam tidak kena. Rasa macam hanyir walaupun tidak pernah merasanya. Tengok saja yang lain makan. Habis semuanya.

Setelah habis teringin pula nak mencuba. Maka ahli keluarga yang lain ketawa besarlah mereka. "Terliur juga", kata mereka.

Oleh itu lain kali kalau ada makanan yang baru misalnya makanan Korea, Mongolia, Kazakstan dan dari mana-mana negeri yang disediakan sendiri oleh ahli keluarga sudah pasti saya akan menjadi orang pertama mencubanya. 

Ok. Tidak dapat syusyi pun tidak mengapa. Masih boleh pergi Terawih di masjid.

Ahad, 14 Ogos 2011

Negeri Hilang Hasil?

Tapak/lot  perniagaan yang diperuntukkan oleh pihak penguasa tempatan kepada peniaga-peniaga pasar ramadhan untuk berniaga berbagai jenis makanan dan minuman adalah tertakluk kepada bayaran tertentu (tiada pula maklumat berapa yang dikenakan).  Begitu juga dengan peniaga-peniaga pasar malam.


Peniaga pasar malam dan pasar ramadhan adalah peniaga-peniaga kecil yang mencari pendapatan tambahan bagi menyara hidup diri sendiri dan juga keluarga. Untung dapat juga tapi tidak sebesar keuntungan yang dikaut oleh syarikat korporat yang besar-besar termasuklah syarikat-syarikat kerajaan yang telah diswastakan yang pada masa ini lebih dimasyhurkan sebagai GLC, dan syarikat-syarikat yang mendapat konsessi membina dan mengurus lebuhraya. 

Antara GLC itu ialah  TNB, TM, Pos Malaysia dan yang lainnya. Dan syarikat konsessi pengurusan lebuhraya pula ialah Plus dan yang lainnya. Sewajarnya syarikat-syarikat seperti ini membuat keuntungan yang besar berbanding dengan peniaga pasar malam dan pasar ramadhan.

Kalau tidak tahu buat untung bolehlah adakan perbincangan dengan mereka, peniaga kecil itu.


Perkara yang hendak ditimbulkan ialah dari segi membayar cukai/sewa keatas tapak yang diduduki atau yang digunakan. 

Plus dan syarikat yang bersamaan dengannya telah diberi konsessi untuk pengurusan lebuhraya iaitu membina dan mengutip tol pada kadar tertentu sebagi balasan membina lebuhraya berkenaan. 

Tanah-tanah yang digunakan untuk membina jalan raya itu tidak diberi milik cuma dijadikan tanah simpanan jalan sebagai kegunaan awam. Maka tanah itu tidak tertakluk kepada bayaran cukai. Maka negeri-negeri telah kehilangan sumber hasil dari tanah-tanah tersebut. Semakin luas tanah yang digunakan semakin besar kehilangan sumber hasil.


Tapi untuk tujuan kegunaan awam kehilangan hasil itu dianggap sabagai berpadanan.


Cuma tidak pasti sama ada tanah yang digunakan bagi kawasan Rekreasi dan Rihat itu merupakan tanah yang diberi milik kepada Plus dan pemegang-pemegang konsessi yang lain. Tapi melihat dari binaan yang ada diatas tanah, dan  ruang perniagaan yang disediakan maka sudah tentu tanah itu telah diberi milik kepada pemegang konsessi. Jika demikian maka hasil cukai tanah berdasarkan jenis kegunaan tanah itu boleh dikutip. Termasuk juga binaan yang menempatkan perniagaan hotel dan stesyen minyak. 


Cuma dikhuatiri pihak-pihak yang berkenaan terlepas pandang tentang pemberimilikan tanah-tanah tersebut. Atau adakah pemegang konsessi diberi pengecualian menjalankan perniagaan keatas tanah simpanan jalan? Tidak mungkin begitu. Apa pun kesannya ialah kerugian hasil kepada kerajaan negeri.


Satu lagi ialah kawasan yang digunakan oleh TNB, Pos Malaysia dan Telekom Malaysia untuk membuat pepasangan seperti tiang letrik, tiang talipon, pondok talipon, dan peti surat (pos). Termasuk juga kawasan membina banguan pencawang masuk utama dan yang lain kepunyaan TNB.


Sekiranya tanah/kawasan yang digunakan itu tidak diberi milik kepada penggunanya itu maka cukai tidak dapat dikutip. Rugilah kerajaan negeri dari segi hasil. Cuba bayangkan berapa banyakkah tiang letrik dan pepasangan yang lain bagi setiap syarikat itu. Kalau liputan perkhidmatannya luas maka banyaklah pepasangan yang kena dibina. 

Maka jika tidak dikenakan cukai , rugilah kerajaan negeri. Syarikat-syarikat itu memberikan perkhidmatan untuk membuat untung. Samalah dengan peniaga pasar malam dan pasar ramadhan itu. Yang tidak sama ialah mereka ialah peniaga kecil dan kena bayar sewa, untung ada juga tapi kecil saja, manakala syarikat-syarikat itu  pula untungnya sewajarnyalah besar, tidak dikenakan bayaran keatas tapak yang digunakan. Tidak tahulah kalau terakhir ini tanah itu telah diberi milik.


Yang terlalu berbeza ialah peniaga pasar malam dan bazar ramadhan adalah orang kecil-kecil tiada pengaruh manakala syarikat-syarikat itu mempunyai modal berbayar terlalu besar yang tidak perlu diangan-angankan oleh peniaga kecil itu kerana tidak akan terdaya sampai habis usia. Mereka ada CEO dan Lembaga Pengarah. Pandai pula cari jalan buat untung.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Kerajaan Persekutuan dan Negeri: Parti Mana yang wajar diberi tanggungjawab untuk mentadbir?

Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan iaitu terdapat pentadbiran diperingkat Persekutuan dan Negeri. Walaupun terdapat juga pentadbiran diperingkat kerajaan tempatan ianya tidak banyak  membezakan dari segi penguasaan pengurusan kerana masih lagi dibawah pentadbiran Kerjaan Negeri. Pembentukan Kerajaan Tempatan tidak dibuat melalui pilihanraya tidak seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Oleh kerana itu penguasa-penguasa tempatan dalam sesebuah negeri adalah dibawah Kerajaan Negeri tersebut.

Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah dibentuk oleh parti-parti politik yang memenangi secara majoriti dalam sesuatu pilihanraya. Ini bermakna kerajaan Persekutuan dan Negeri boleh dibentuk oleh parti yang sama jika ianya memenangi pilihanraya diperingkat Parlimen (Persekutuan ) dan diperingkat Dewan Undangan Negeri (Negeri). Dua peringkat Kerajaan ini juga boleh dibentuk oleh parti yang berbeza yang memenangi secara majoriti setiap peringkat.

Parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa yang terlalu banyak dan besar berbanding dengan pengusaan keatas Kerajaan Negeri seperti yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bidangkuasa Persekutuan dan Negeri terdapat dalam Senarai 1 dan Senarai 2. Senarai 1 ialah Bidangkuasa Persekutuan dan Senarai2 Bidangkuasa Negeri. Satu lagi Senarai iaitu Senarai 3 ialah Senarai Bidangkuasa Bersama.

Satu bidangkuasa yang terlalu amat penting ialah dari segi kewangan. Kerajaan Persekutuan menguasai banyak bidangkuasa yang melibatkan sumber ekonomi dan kewangan kerana Kerjaan Negeri hanya menguasai bidang kuasa tanah dan Agama Islam dan adat istiadat orang Melayu saja. 

Maka menguasai Kerajaan Persekutuan adalah lebih penting dari menguasai Kerajaan Negeri . Dan yang lebih baik menguasai kedua-dua peringkat sekali. Sebab itulah parti yang menguasai negeri hanya bergantung kepada sumber kewangan berasaskan tanah (termasuk hutan) seperti cukai dan premium tanah. Sumber zakat juga dibawah penguasan Kerjaan Negeri. Selain dari itu seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan , Kerajaan negeri juga layak menerima bayaran per kapita berdasarkan bilangan penduduk dan peruntukkan kewangan yang ditentukan oleh undang-undang seperti bayaran balik (reimbursement) bagi projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan bayaran pertumbuhan ekonomi serta bayaran penyeleggaraan jalan raya.

Dengan hal yang demikian tiada banyak yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri terutama negeri-negeri yang tidak  mendapat kesan pembangunan yang besar dari projek-projek persekutuan. Negeri Selangor amat beruntung sekali kerana menerima kesan yang besar dalam projek-projek dan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan. Diantara kesannya ialah menaikkan nilai harta dan tanah yang boleh menaikkan hasil kerajaan negeri apabila berlakunya sesuatu urusniaga yang berkaitan dengannya. Tapi ini berbeza dengan negeri Kelantan dan Kedah.

Dengan demikian di Malaysia menguasai Kerjaan Negeri tanpa menguasai Kerajaan Persekutuan tidak memberi kekuatan kepada Kerajaan Negeri itu melakukan sesuatu untuk faedah rakyat negeri itu. Malah dengan dua buah Kerajaan yang berbeza , persekutuan dan negeri ianya tidak menguntungkan rakyat. Akan berlaku banyak politiking, masing-masing mahu sabotaj diantara satu sama lain. Misalnya kerajaan Negeri yang menguasai tanah akan cuba sebaik mungkin untuk menggagalkan usaha kerajaan persekutuan. sebaliknya juga Kerjaan Persekutuan yang mempunyai banyak kuasa akan bertindak cara yang sama. 

Yang menjadi mangsa ialah kita Rakyat. Oleh itu dalam pilihanraya umum akan datang Rakyat hendaklah berfikir sebaik-baiknya dengan memilih parti yang sama bagi membentuk kerajaan diperingkat persekutuan dan negeri. Tidak kiralah parti apa yang hendak dipilih. Namun kita masih perlukan pembangkang yang kuat kalau tidak parti yang menang itu akan terlalu berkhayal dengan menganggapkan amanah yang diberikan sebagai satu peluang untuk membuat kekayaan. Maka mereka tidak malu melakukan rasuah dan menyalahguna kuasa.

Tunggulah pilihanraya dan buat keputusan yang terbaik untuk Rakyat.     


Khamis, 11 Ogos 2011

10 Pegangan Hidup

Dalam ayat 151 sehingga ayat 153 Surah al-An'am , Allah telah berfirman yang membawa maksud supaya kita menjadikan 10 perkara yang disebutkan dibawah ini sebagai panduan atau pegangan dalam menjalani kehidupan sebagai insan, iaitu:

1. Jangan mempersekutukan Allah dengan selain darinya
2.Berlaku baik keatas kedua ibubapa
3.Jangan membunuh anak disebabkan kepapaan atau miskin
4.Jangan mendekati perkara-perkara yang keji
5. Jangan membunuh kecuali dengan hak
6.Dekatilah harta anak yatim dengan baik
7.Adil dalam sukatan dan timbangan
8. Berkatalah dengan adil
9.Tunaikan janji Allah

10.Turuti jalan Allah yang lurus.


InshaAllah jika kita turuti 10 Pegangan Hidup ini kita akan beroleh kejayaan di dunia dan diakhirat.


 

Tikus Menelan Gajah

Tikus menelan gajah? 

Mana mungkin tikus yang berkali ganda kecil itu boleh menelan gajah  yang terlalu besar dan gagah. Kalau berlaku juga ini adalah sesuatu yang ajaib dan boleh dicatatkan sebagai salah satu peristiwa keajaiban di dunia.


Tapi dalam dunia perniagaan ianya boleh terjadi walaupun jarang berlaku. MAS sebuah syarikat penerbangan milik negara adalah jauh lebih besar berbanding dengan Air Asia sebuah syarikat penerbangan tambang murah milik syarikat persendirian. Telah diberitakan bahawa pihak-pihak yang berkaitan telah bersetuju untuk melakukan pertukaran saham diantara dua buah syarikat ini dimana MAS bersetuju menukarkan  20.5% sahamnya kepada Air Asia dan menerima 10 % saham AirAsia. Saham MAS pada ketika itu lebih rendah dari nilai saham Air Asia. Berikutan persetujuan itu kedua-dua urusniaga saham telah digantung.


Cuma hendak juga kita tahu : i) Bagaimana perkara ini boleh berlaku? ii) Apakah rasional eksersais pertukaran saham ini? iii) Bukankah MAS telah dipulihkan dan telah menjana keuntungan semasa dibawah Idris Jala dulu? iv) Atau sebenarkah MAS dulu telah dipulihkan dan mendapat keuntungan dari operasinya ? v)Atau  keuntungan MAS itu hasil dari pelupusan hartanya? vi) Dan selepas itu operasi MAS tidak menjana keuntungan? 


Macam mana pun pertukaran saham telah dipersetujui. Maka sang gajahpun terpaksalah ikut kata sang tikus.

Selasa, 9 Ogos 2011

Malu Untuk Bertentang Mata : Ada apa-apa ke ni?

Bila kita berhadapan dengan seseorang ada masanya kita atau orang itu tidak berani memandang langsong diantara kita . Mata kita jarang bertentang dengan mata sidia secara tepat. 

Biasanya keadaan ini berlaku jika seorang lelaki bertemu dengan seorang perempuan yang baru dikenalinya melainkan salah seorang atau kedua-duanya itu 'gatal' sangat. Juga apabila seorang bawahan bertemu dengan ketuanya. Atau apabila kita berhadapan dengan orang yang berkuasa. Gerun rasanya untuk melihat mukanya apatah lagi untuk bertentangan mata. Kita tunduk  atau memandang siring saja.

Tapi apabila mata bertentang mata , darah gemuruh spontan tiba, lidah kelu untuk berkata, ada benda yang tersimpan didada.

Apakah benda itu?

Benda yang tersimpan didada kita, kita  saja yang tahu. Dan Allah sudah tentu, cuma belum tiba masanya. Semua kita kena tunggu dihari pengadilan nanti. Neraca Allah tidak berat sebelah, sebesar zarah mahupun yang baik atau tipu muslihat dan yang jahat-jahat akan termasuk dalam timbangan. 

Maka dengan itu sebelum kita diadili nanti, lebih baik kita dapat bekerjasama untuk menegakkan keadilan. Sementelah pula kita yang ada kuasa yang diberi amanah untuk menegakkan keadilan. Misalnya bekerjasama menjadi saksi dalam sesuatu perbicaraan apabila kita telah dikenalpasti antara saksi-saksi yang boleh membantu dalam perbicaraan.  

Ya, apabila kita selalu mengatakan keadilan perlu ditegakkan kita mestilah buktikan kata-kata itu dengan tindakan. Tidak wajarlah kita gunakan kedudukan kita, atau kelemahan dalam mana-mana peruntukan undang-undang  atau apa saja alasan untuk tidak mahu hadir dalam mana-mana perbicaraan yang memerlukan kita sebagai saksi. Tidak perlu dikeluarkan arahan untuk kita hadir. Lagipun kita hanya sebagai saksi dan bukan orang yang mendakwa atau kena dakwa.

Bukankah dengan kehadiran kita sebagai salah seorang saksi akan dapat membantu perbicaraan berjalan dengan baik demi memberi keadilan sama ada yang mendakwa atau yang kena dakwa. Bukankah itu yang kita perjuangkan selama ini.

Sekiranya kita perlu ditemuduga seperti yang dibenarkan dalam proses perbicaraan sebelum yang kena tuduh mengambil tempat untuk membela diri maka wajarlah kita hadir. Tidak perlulah diadakan syarat agar yang kena dakwa tidak boleh bersama dalam temuduga itu. Kita mesti ingat yang kena tuduh itu perlu diberi seluas-luas peluang untuk membela diri. Begitu juga yang menjadi mangsa, yang mendakwa perlu diberi peluang yang sama.

Mengapa kita tidak mahu yang kena tuduh itu hadir bersama? Adakah kita tidak sanggup bertentang mata kerana darah gemuruh spontan tiba dan lidah kelu untuk berkata. Sebab ada benda tersimpan didada? 

Tapi tiada orang tahu apa benda yang ada didalam dada kita. Kalau ditanya semasa ditemuduga atau semasa menjadi saksi kita jawablah saja. Tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan didalam dada kita. Kita cuma berikrar 'akan berkata benar , semuanya benar belaka'. Itu sudah memadai.

Jangan malu untuk bertentang mata, nanti dikhuatiri ada sangkaan buruk orang, mengatakan "Ada apa-apa ke ni?" Padahal mungkin kita tiada apa-apapun......" 

Lagipun pertemuan dengan yang kena dakwa bukanlah kali pertama, kita sudah biasa tengok muka dia. Dia pun bukan ada kuasa dan tidak juga menjadi ketua. Takkan gerun nak tengok mukanya. Kalau gerun , tengok siring-siringpun cukup asalkan kita dan dia ada bersama semasa ditemuduga.