Theflowersellingboy

Sabtu, 30 Julai 2011

Seandainya Kau Masih Begitu , Bang Nasir.........

"Saya sedar Bang Nasir bahawa kita sudah lebih seabad bersama. Sudah melalui berbagai liku kehidupan. 

Ya, ada masanya kita berduka dan kadang-kadang kita ceria gembira.

Cuma entah mengapa saya sentiasa teringat akan kisah duka yang berlaku baru-baru ini yang benih-benihnya telah lama disemai.  Sesungguhnya ianya mengusik hati kecil saya, pergeseran dan perselisihan diantara kita, sesama jiran tetangga. 

Perkaranya kecil saja hanya sebutir buah durian yang gugur dari sebatang pokok durian yang ditanam oleh arwah bapa abang, bapa mertua saya, didepan rumah kita ditepi pagar yang memisahkan rumah kita dari rumah jiran kita  Pak Roy, bapa saya yang juga bapa mertua abang. 
 
Durian itu jatuh memasuki kawasan rumah jiran kita, rumah saya juga, tetapi dik disebabkan pintu pagar rumah saya itu terkunci kerana waktu itu masih diawal pagi, selepas Subuh,  maka Bang Nasir telah menggunting pagar yang memisahkan rumah kita semata-mata untuk mengambil buah durian yang Bang Nasir dakwa hak kita.

Ya, saya tidak menafikan buah durian itu hak kita, hak Bang Nasir. 

Dalam nafas yang sama saya juga tidak menafikan hak Pak Roy , bapa saya yang marah-marah apabila mengetahui perbuatan Bang Nasir itu. 

Yang saya tidak boleh terima mengapa Bang Nasir tidak memohon maaf pada bapa saya malah bertengkar membuatkan orang tua  itu hilang kesabaran lalu memukul Bang Nasir, sehingga tercedera jatuh tersungkur. Dan sekarang ini terpaksa berada dan berihat di hospital untuk mendapat rawatan. 

Bang Nasir jangan salah faham. Bapa saya marah bukan kerana sebutir buah durian itu. Dia tahu itu adalah hak Bang Nasir, hak kita. Bapa saya marah-marah ialah kerana Bang Nasir telah melanggar tatacara orang berjiran, hormati sesama jiran. Apatah lagi Pak Roy itu bapa mertua Bang Nasir. Itu saja. Ada rasa hormatlah sedikit. 

Apa salahnya jika Bang Nasir bersabar sedikit sehingga sang suria mula menunjukkan muka mencerahkan bumi. Bang Nasir,'Takkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia'. 

Bukankah besar pahala jika buah durian yang jatuh dikawasan rumah Pak Roy itu dihadiahkan saja kepadanya. Dan pahalanya pula Bang Nasir hadiahkan kepada bapa kita. Saya rasa itulah hasrat orang tua kita semasa menanam pokok durian itu dulu. Kita rasa bersama. Berkongsi bersama jiran. 

Mungkin juga bapa kita berdua sama-sama yang menanamnya. Apa pun bukankah sejuk kuburnya dik sedekah kita tu. Sejuk juga hati bapa saya, bapa kita.

Sepatutnya Bang Nasir, buah-buah durian yang dahannya merentasi memasuki kawasan jiran kita itu, yang gugur , kita berikan saja kepada jiran kita, bukan kita gunting pagar jiran untuk menceroboh masuk mengutip durian itu. Berdosa Bang Nasir.

Bukankah ada daun-daun durian itu yang gugur dan memasuki kawasan jiran kita itu. Dan kita tidak pernah mengutip daun itu . Pak Roy saja yang terbongkok-bongkok membersihkannya.   


Sekarang apa telah terjadi, saya tersepit ditengah-tengah diantara Bang Nasir dan bapa serta keluarga saya. Susah bagi saya hendak bernafas. 

Saya tidak tahu apakah kedudukan yang perlu saya ambil. Kalau pergi ke kanan kepangkuan Bang Nasir saya akan meninggalkan kiri keluarga saya. Dan saya tidak sampai hati untuk ke kiri meninggalkan Bang Nasir setelah sekian lama melebihi setengah abad kita bersama. Apakah pilihan yang ada pada saya.


Namun Bang Nasir, dalam kehidupan ini kita tidak boleh lari dari membuat pilihan sama seperti yang saya buat dulu memilih Bang Nasir walaupun ada tentangan hebat dari keluarga saya terutama Pak  Roy bapa saya. Inilah yang memeningkan kepala saya waktu akhir-akhir ini. Tapi pilihan tetap kena buat.


Sebelum saya menyatakan pilihan saya, mohon maaf saya pinta  terlebih dahulu kerana ianya mungkin tidak pernah terfikir oleh Bang Nasir malah tidak juga oleh diri saya sebelum ini. 

Ya, Bang Nasir setelah berfikir panjang saya membuat cara saya. Saya telah menyematkan satu ikrar dihati saya:

Seandainya Kau Masih Begitu Bang Nasir, masih tamak haloba, mengaut semuanya, masih angkuh dan sombong, masih tidak tahu menghormati jiran maka apa boleh buat aku isterimu terpaksa meninggalkan kau Bang Nasir suamiku kerana kau telah menyakitkan hatiku, hati bapaku, hati emakku, hati adik beradikku , hati kawan-kawan dan kenalanku walaupun aku sedar dan tahu keadaan kau yang cedera.

Sekian Bang Nasir dari isterimu anak Pak Roy".

-Dua helai kertas biru bertulisan tangan itu terlepas dari pegangan Bang Nasir, jatuh diatas lantai. Tangan Bang Nasir menjadi lemah dan perlahan-lahan dibawa kedada. Bang Nasir telah tiada lagi. "Innalililah.... " suara jururawat terdengar membisik  sambil menutupi muka Bang Nasir dengan kain putih-. 

Jumaat, 29 Julai 2011

Salam Jumaat: 21 :1 Ogos Mula Berpuasa. Sekali Lagi Peluang Terbaik Bagi Kita

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat untuk semua anda budiman yang sentiasa dirahmati Allah SWT. Selamat Menyambut Puasa.

Ogos pertama tahun ini, InsaAllah kita umat Islam akan memulakan hari pertama berpuasa. 

Tentang berlapar dan berdahaga itu saya rasa tidak menjadi masalah kepada kita semua kerana tempohnya tidak lah lama sangat iaitu dari waktu Subuh hingga waktu Maghrib. Lagipun nafsu selera kita seolah-olah telah memahami, telah di'conditioned' bahawa setiap bulan Ramadhan selera nafsu itu hanya boleh dilayan apabila masuk Maghrib sehingga masuk Subuh. 

Cuba tanya orang yang kaki rokok mengapa mereka boleh berhenti merokok pada tempoh yang membatalkan puasa itu. 

Biasanya mereka menjawab 'entahlah dalam puasa aku boleh tahan tak merokok diwaktu siang'. 

Jawapan itu seolah-olah menyatakan bahawa bulan Ramadhan memberi kekuatan kepada mereka. Cuma kalau dapat diteruskan perbuatan tidak merokok bagi seluruh tempoh Ramadhan termasuk selepas berbuka alangkah molek sekali.

Kalau berhenti terus kita ucapkan tahniah demi kesihatan mereka dan kesihatan kita semua.


Ya, bagi kita di Malaysia tempohnya tidaklah lama. Tapi bagi negara seperti di England, ketika ini musim panas (summer), tempoh berpuasa, menahan nafsu selera adalah lebih panjang kerana waktu siang atau terangnya lebih lama dari waktu malam atau gelap. Tetapi menurut pemerhatian kita mereka orang Islam disanapun tidak menghadapi masaalah untuk berpuasa, menahan selera nafsu pada tempoh yang panjang. Maknanya kalau mereka boleh begitu malulah kita kerana tempoh menahan nafsu bagi kita terlalu pendek.


Perbandingan itu sekali gus menolak alasan setengah pihak yang katanya tidak boleh tahan lapar dan dahaga. Walaupun berpuasa itu akan membuatkan kita berasa lapar dan dahaga serta kurang tenaga tetapi itu bukanlah sebenarnya matalamat kita menjalankan ibadat berpuasa. Puasa lebih daripada mencapai matlamat itu. 

Itu adalah isyarat-isyarat nyata yang boleh nampak dan boleh rasa apabila seseorang itu berpuasa. 

Yang tidak boleh nampak ialah satu proses untuk mempertingkatkan iman kita.  Sebab itu dalam bulan Ramadhan kita sentiasa diperingatkan supaya banyak melakukan yang baik-baik, melakukan perkara-perkara yang diperintah ALLAH  secara yang terbaik. Maksud terbaik ialah dari segi pematuhan cara melakukan ibadat, bilangan kali melakukan dan sudah tentu keikhlasan perbuatan kita semata-mata kerana ALLAH swt saja.


Jadi bulan Ramadhan ini sebenarnya ialah bulan yang telah disediakan Allah untuk kita membina dan meningkatkan iman kita. Berlapar dan berdahaga dalam tempoh yang ditentukan itu hanya akan mejadi sia-sia jika kita gagal membina dan meningkatkan imam kita. Peluang ini berulang kali diberikan kepada kita selagi kita masih bernyawa. Ingat bahawa perbuatan baik kita akan dianugerahkan pahala yang berganda. Mengapa perlu kita sia-sia. Kenapa perlu tunggu Ramadhan yang akan datang kerana belum tentu kita dapat menyambutnya.


Sekian . Selamat Berpuasa.Jumpa Lagi.



Khamis, 28 Julai 2011

Kita, Malaysia Layak Kalah

Jelas kita tidak bermain bola. Entah permainan apa saya pun tidak dapat memberikan nama yang sesuai. 

Barisan pertahanan melainkan penjaga gol tidak bermain untuk menyekat lawan dari menerobosi kawasan kita. Lawan dibiarkan bebas bergerak tanpa dicabar dengan sesungguh hati. Barisan penyerang pula tidak sokong menyokong , harap seorang dua saja. Ini menyebabkan lawan mudah menyekat dan menggagalkan serangan.

Saya terima kekalahan kerana Singapura adalah bermain lebih baik dari Malaysia.

Malaysia layak kalah dan Singapura menang bukan kerana mutu permainan yang tinggi tapi kerana Malaysia tidak bermain bola. Jangan pula buat alasan kerana Singapura membeli pemain luar. Mereka semua warga Singapura.

Bagaimanapun jantung saya masih lagi mampu mengepam darah keseluruh anggota badan. Esok saya kempunan untuk meraikan kejayaan pasukan kita.

Selamat Tinggal Piala Dunia. Jumpa lagi selepas tahun 2014, jika ada usia.

Debaran Jantung 90 minit: Kita Perlu menang 2-0 atau kelebihan perbezaan 3 gol.

1. Petang ini atau malam ini angka 280711  terlalu bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia. Angka yang mendebarkan yang menguji ketahanan jantung mengepam darah keseluruh tubuh badan. 

2. Angka ini hanya memberi peluang kepada kita dan lawan kita hanya 90 minit saja.  Selepas tempoh itu ianya akan menjadi manis kalau kita boleh naik ke satu lagi tahap. Oleh itu pandai-pandai menafaat tempoh yang telah diberikan itu.

4. Sebab itu kita rakyat Malaysia mesti penuh yakin tapi tidak sombong apabila kesebelasan kita termasuk jurulatih kita  turun dan masuk ke padang untuk bertarung dengan pasukan lawan. Kita yakin kita akan menang. Kemenangan yang melayakkan kita  meneruskan langkah ketahap seterusnya. Mari kita sokong.

5. Sebab itu kesebelasan kita dan jurulatih kita mesti yakin tapi tidak sombong bahawa demi maruah kita, maruah negara dengan sepenuh jiwa dan raga akan menggunakan segala tenaga, kekuatan, kemahiran, pengalaman dan keazaman untuk mempertahankan gawang kita dari dibolosi lawan. Katakan kita tidak rela terjadi demikian. 

6. Dan dalam nafas yang sama kita akan mengatur dan menyusun strategi dan teknik serta tektik yang boleh mengecewakan lawan. Lawan yang kecewa adalah mangsa yang paling mudah untuk kita tewaskan. Awas kita jangan pula hilang kesabaran apabila ada provokasi dari lawan. Kita yakin kesebelasan kita lebih berpengalaman. Tambah-tambah lagi dengan bimbingan jurulatih yang telah diuji banyak sekali.
 
7. Apabila kita berjaya mendapat jaringan pertama dan masih lagi tidak membenarkan gawang kita dibolosi, maka jangan sekali-kali kita mula puas hati, rasa complacent, sehingga membuatkan kita mula leka dan berada diawangan bermimpi indah kononnya kita berada dilandasan kemenangan. 

8. Dan jangan pula sangka  lawan kita terlalu lemah dan mudah dikalahkan. Sentiasa ingat mereka sudah ada simpanan tetap : 2 dalam tangan.Sebenarnya selagi kita tidak dapat gol kedua , ketiga , keempat dan gawang kita tidak dibolosi kita jangan leka. 


9. Leka membuatkan kita kurang tumpuan, tidak fokus. Maka kita akan sia-siakan tenaga kita kerana beraksi entah apa, serba tidak kena. Sistem dan strategi langsong kita lupa.

11. Saya telah bersedia untuk menanti kemenangan dan untuk melihat pasukan kita melangkah kehadapan. Dihadapan saya diatas sebuah meja ialah sebuah tv dibawah program Astro, berdekatan sangat dihadapan saya ialah bekas makanan yang berisi kekacang, dan disebelahnya ialah secawan milo o yang boleh ditambah. Kami sekeluarga sedang menunggu. Harap-harap jantung kami kuat menahan debar perlawanan ini. Sudah tentu kami awal-awal lagi telah berkata Malaysia menang dan boleh kehadapan. InsaAllah.

Esok angka 290711 kita rayakan sepenuhnya kemenangan kita. OK.













Rabu, 27 Julai 2011

Hati Seorang Seteru

Apakah hati seorang seteru, musuh kita penuh diselaputi dengan rasa dendam dan benci yang berkekalan terhadap kita? Atau ditinjau dari pihak seteru kita, adakah hati kita penuh dengan dendam dan benci terhadap dia berterusan? Atau adakah kita berdendam dan membenci seteru kita berpanjangan?


Soalan pertama dan kedua nampaknya sama saja cuma berbeza dari segi pihak yang cuba mendapat jawapan iaitu kita dan seteru kita. Soalan yang ketiga pula adalah juga bertanyakan perkara yang sama iaitu dendam dan benci yang perlu dijawab oleh kita sendiri, orang yang bertanya, orang yang punya hati.

Jawapan bagi soalan pertama dan kedua lebih bersifat prasangka atau buruk sangka, tanggapan yang dipengaruhi oleh emosi kita, emosi dia musuh kita, atas kepercayaan bahawa musuh atau seteru itu tidak akan mempunyai perasaan yang baik diantara mereka. Sebab itu kita panggil dia musuh, dan kita pula  seteru dia. Sama saja.

Seteru atau musuh tidak mungkin menyebelahi kita, atau kita menyebelahi dia, tidak ada simpati apatah lagi sekelumit kasih sayang terhadap kita musuhnya dan kita terhadapnya. Malah jika ada kesempatan dan ruang dari segi masa dan tempat, jika kita leka dan dia dalam keadaan yang sama, akan digunakan untuk merosakkan dengan apa cara sekalipun, kalau tidak mencederakan, dan kalau mati lebih baik, menjatuhkan imej dan maruah, paling kurang merasa gembira dan puas hati kerana usaha telah dilakukan untuk mengganggu kita atau dia.


Apakah ini bermakna kita dan musuh kita itu tidak nampak sedikitpun yang baik atau positif yang ada dalam tindakan, perbuatan, dan kata-kata diantara kita. Apakah dendam dan benci akan berkekalan? 

Sebagai insan yang secara fitrahnya punya rasa kasih sayang perkara ini tidak mungkin berlaku. Ada ketikanya nanti kita akan merasa simpati apabila musuh kita itu dirundung malang walaupun kita tidak menzahirkannya. Dendam dan benci tidak akan berkekalan.


Sekiranya itulah hati kita, hati musuh kita peluang untuk berbaik untuk menjadi  kawan akan sentiasa terbuka. Harap-harap begitulah hendaknya.


Kita perlukan lebih banyak kawan dari musuh. 

Tapi ini tidak bermakna kita perlukan pendekatan secara politik yang berpegang kepada kepercayaan bahawa bermusuh dan berkawan sentiasa boleh berubah ganti. Pendekatan politik itu sebenarnya satu pendekatan yang mengesahkan bahawa dendam dan benci itu sentiasa ada pada kita walaupun musuh itu telah menjadi kawan kerana kita percaya bahawa pada bila-bila masa saja kawan sama ada sejak semulanya sebagai kawan atau yang asalnya musuh  akan boleh menjadi musuh.

Inilah yang dikatakan dendam kesumat dan kebencian yang berkekalan, sentiasa tersimpan walaupun kepada kawan atau musuh yang telah jadi kawan.

Bagi jawapan kepada soalan ketiga ianya amat mudah sekali kerana kita yang bertanya sudah tentu kita tahu jawapan yang ada dalam hati kita. Harap-harap jawapannya ialah dendam dan benci itu akan hilang dan diganti dengan salam persahabatan walau pun menghilang secara perlahan asalkan ianya tidak berkekalan sebelum kita menghadapi hari pengadilan nanti. 

Lebih cepat hilang lebih baik kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan meninggalkan dunia ini. Hati kita jangan lama berseteru.
 







Selasa, 26 Julai 2011

Betapa Pentingnya Saksi dan Penyaksiaan

Mereka yang telah berumahtangga, maksud saya orang Islam khususnya yang lelaki, tentu tidak akan boleh lupa pengalaman dihari beliau diakadnikahkan oleh jurunikah sama ada oleh wali sendiri atau berwali hakim. 

Ada setengahnya menggeletar anggota badan dan tidak kurang juga yang merecek peluh didahi apabila lafaz terima nikah tidak diakui sah oleh saksi-saksi atau/dan apabila tidak dapat menjawab soalan yang ditanya oleh jurunikah.  Tapi ada juga yang releks selamba sahaja seperti sesuatu yang biasa, lancar mengeluarkan lafaz terima nikah dan menjawab soalan dari juru nikah.


Dikampong-kampong yang masih tebal dengan tradisi lama yang masih percaya dengan tangkal menangkal atau jampi menjampi, seseorang yang hendak menikah itu akan diberi makan sirih jampi/penawar untuk mengelakkan dari rasa mengelabah semasa mengucapkan lafaz terima nikah atau semasa menjawab soalan dari jurunikah. 

Sirih jampi ini terlalu amat penting jika lelaki itu mengahwini perempuan bukan sekampong apatah lagi dari negeri lain kerana dipercayai pihak sebelah perempuan mahu menguji ilmu  lelaki yang mahu bernikah itu. Ilmu ini tidak terhad kepada ilmu agama saja bahkan ilmu yang dikatakan boleh menjadi pendinding (ilmu batin) kepada lelaki itu.


Ada juga yang memberitahu bahawa jika pengantin lelaki itu tidak dapat melafazkan nikah yang boleh disahkan oleh saksi, pengantin itu telah 'dinakalkan' oleh seseorang dengan mengurung seekor katak dalam seseuatu bekas atau tempurung. Selagi katak itu tidak dilepaskan, pengantin lelaki itu tidak akan dapat melafazkan terima nikah dengan betul. Wallahualam, Allah saja yang tahu.

Keadaan yang digambarkan diatas jarang berlaku ketika ini kerana pendekatan sekarang lebih kepada untuk memudahkan urusan, lebih kepada mengajar dan menasihati dari 'mendera' dan 'menguji'. Tidak perlu berbuat demikian kerana itu bukan matlamatnya. Lagipun bakal pengantin pada masa ini telah diwajibkan untuk menghadiri kursus pra perkahwinan.

Saksi dan penyaksian dalam urusan nikah tadi amat penting sekali. Sebab itulah sebaik saya pengantin lelaki menghabiskan ucapan/lafaz terima nikahnya, jurunikah akan bertanya kepada saksi-saksi sama ada boleh diterima atau sebaliknya. Kalau jawapannya tidak boleh diterima maka diulang sekali lagi dan seterusnya sehingga saksi-saksi mengatakan sah boleh diterima. 


Maka amatlah mendukacitakan sekali jika ada mana-mana individu yang cuba mengelak untuk menjadi saksi dalam sesuatu perbicaraan mahkamah. Jika sebenarnya itu akan berlaku maka kedua-dua belah pihak sama ada orang yang menjadi mangsa mahu pun yang dituduh akan tidak dapat peluang yang terbaik untuk diadili. 


Namun kita percaya sebagai insan yang bertanggongjawab , yang mahu menegakkan keadilan dan kebenaran hal ini tidak akan berlaku. Ertinya sesiapa saja yang diminta jadi saksi akan dengan rela hati akan ke hadapan menjadi saksi. Sudah tentu mereka akan memberikan penyaksian yang sebenarnya.


Penyaksian yang sebenarnya akan memudahkan pihak mahkamah membuat keputusan yang terbaik. Seperti dalam kes saksi dan penyaksian dalam urusan pernikahan, kenyataan saksi dalam perbicaraan mahkamah juga akan digunakan sebagai asas keputusan.

Cuma dalam hal pernikahan pada masa dulu-dulu pernah diberitakan yang saksi-saksi sengaja tidak mahu mengesahkan lafaz nikah pengantin lelaki semata-mata untuk mendera pengantin tersebut. Tetapi perbicaraan mahkamah tidaklah begitu kerana saksi-saksi akan berikrar untuk menyatakan 'semuanya benar belaka'.

Semoga semua pihak yang dikehendaki untuk menjadi saksi akan rela kehadapan kerana saksi-saksi adalah terlalu penting dalam mana-mana perbicaraan. Tegakkanlah keadilan dan kebenaran. InshaAllah.

SELAMAT BERUSIA SETAHUN YOUSEF IMRAN


Hari ini 26 Julai 2011 maka genaplah umur Yousef Imran, cucu kami yang pertama. Semoga Yousef dikurniakan kesihatan tubuh badab dan akal fikiran , dan membesar menjadi anak yang soleh yang sentiasa patuh kepada Allah SWT, yang sentiasa kasih dan menyayangi Nabi Besar Muhammad SAW dan yang patuh dan taat kepada kedua ibibapa dan menghormati sesama insan.
Tokpa dan Nenek sentiasa mendoakan Yousef , Ummi dan Ayah dikurniakan Allah menjadi sebuah keluarga yang hidup aman bahagia didunia dan diakhirat. 

Yousef cepat-cepatlah berjalan supaya boleh kayuh basikal yang nenek hadiahkan itu. Nanti bila balik kampong bolehlah kayuh basikal didataran depan rumah yang baru siap.

Selamat Berusia Satu Tahun. Tahun depan hadiah lain pula.

Isnin, 25 Julai 2011

Kali Ini Kita Mesti Menang Minima 2-0

Kali ini kita mesti menang minima 2-0. 

Kita, pasukan bolasepak negara, negara kita Malaysia yang kita cinta mesti menang minima 2-0 dalam perlawanan timbalbalik kedua yang bakal diadakan pada Khamis 28 Julai 2011 dengan pasukan negara jiran kita disebelah selatan , Singapura. Lebih selesa kalau kita memperolehi kelebihan 3 gol. Jika kedudukan 2-0 tidak mampu diraih maka katakanlah 'selamat tinggal pertandingan kelayakan awal piala dunia. Menang 1-0 pun kita terpaksa kata 'bye'!

Itulah harapan setiap rakyat Malaysia yang masih mempunyai denyutan jantung, kita perlu menang minima 2-0. Kita tidak mahu denyutan jantung ada diantara kita akan terhenti selepas tamat perlawanan itu nanti kerana kita kalah dan gagal untuk meneruskan ketahap seterusnya.

Tapi saya yakin kita boleh menang minima 2-0 dan akan melangkah ketahap seterusnya. Malah pada perlawanan yang pertama di Singapura 23 Julai 2011 yang lepas , kemenangan sememangnya menyebelahi kita. Pasukan Singapura sebenarnya tidak sehebat mana. Tapi kita kalah akhirnya . Mengapa?

Saya bukan pakar dalam bola sepak. Itu tidak bermakna saya tidak layak memberi pandangan.

Kita kalah kerana kita terlalu yakin sombong . Sikap terlalu yakin atau yakin menang ini tidak mengapa kerana itu adalah sikap yang baik dan positif. Sikap itu boleh meransang semangat dan menjana tenaga untuk bekerja labih kuat , cekal dan berani demi negara untuk menang .

Kita kalah adalah disebabkan keyakinan pasukan kita itu telah dicemari oleh sedikit rasa 'sombong'  apabila pada minit-minit awal perlawanan kita telah berjaya membolosi gawang lawan. Bila ada kesombongan kita mula leka, 'complacent' sebab kita anggap lawan kita mudah saja kita tewaskan. Ini menyebabkan ransangan dari sikap yakin tadi telah mengendurkan semangat dan mengurangkan janaan tenaga untuk berhadapan dengan lawan. Kita telah leka dihanyutkan ego yang menyombong itu.

Selepas membolosi gawang lawan, kita hilang fokus, hilang tumpuan. Pasukan kita lebih mengambil pendekatan bertahan daripada menguasai lawan atau menyerang. Sebab itu penguasaan bole kita hanya pada tahap 36% saja. Maknanya kita tidak mempengaruhi permainan itu . Lawan yang menentukan rentak, kita ikut saja menari. Sudah tentu kita akan khayal dalam rentak yang dimainkan lawan sehingga tendangan percuma dari jarak yang agak jauhpun kita tidak mampu untuk menghalang bola memasuki gawang kita.

Yang nyata sangat lemah ialah dibahagian pertahanan. Kita harap pihak yang berkaitan akan dapat menyusun strategi yang terbaik untuk mengatasi bahagian ini.

Terdengar juga komen mengatakan Singapura menang kerana mempunyai pemain-pemain luar, dari negara yang mempunyai tahap permainan bola sepak yang tinggi, yang telah dijadikan warga negara Singapura. Kenyataan itu mungkin ada kebenaran. Namun saya mempunyai pandangan yang berbeza.

Soal pemain yang dibeli untuk menjadi warga Singapura dan mewakili negara itu sebenarnya tidak timbul. Itu bukan urusan kita. 

Kenapa perlu dihebuhkan kerana apabila kita bersaing, kita bersaing dengan siapa saja yang mewakili secara sah negara berkenaan, tidak kira dari mana asal mula pemain itu. Adakah untuk menang kita cuma sanggup bertemu dengan lawan yang kita anggap setaraf dengan kemampuan kita? Kalau begitu jangan masuk bertanding. Duduk diam-diam, jimat wang rakyat. 

Berbalik kepada pertandingan kedua ini saya yakin kita boleh menang. Hilangkan sikap yakin sombong yang melekakan itu, yang membuatkan kita hilang tumpuan. Ingat selagi wisel terakhir belum berbunyi kita mesti yakin yang kita boleh menang. Syaratnya jangan biarkan gol kita dibolosi. Macam mana caranya? Pemain sendiri perlu tahu; Jurulatih kena pandu; dan Penyokong, semua rakyat Malaysia berikan semangat bersorak kuat yakin menang sama ada di stadium, dirumah dan dimana-mana apabila menuntun perlawanan pada 28 haribulan ini, dua hari lagi.

Malaysia , kali ini akan menang minima 2-0. Amin. 

Ahad, 24 Julai 2011

Nasi Lemak Milo O: Kawin Mutiara

12 juta bang! Isteri memberitahu sebaik saja saya menarik kerusi untuk bersarapan pagi dimeja makan keluarga berhampiran ruang dapur. Hari itu sarapan yang disediakan ialah Nasi Lemak dan Milo O. 

Apa yang 12 juta tu? Kawin bang. 

Mata isteri mengajak saya untuk mengalihkan pandangan ke skrin tv yang tergantung diruang makan. 

Satu rancangan secara langsung tv 9 Nasi Lemak dan Kopi O sedang rancak berbicara dalam mood yang gembira dan ceria. Dua pengacara seorang lelaki dan seorang perempuan bersama dengan dua orang tetamu jemputan ,seorang lelaki dan serang perempuan juga, selebriti, sungguh seronok sekali berbicara tentang majlis perkahwinan selebriti jemputan itu yang bakal diadakan kurang lebih sebulan lagi, pada bulan September.

Perbualan mereka tidak dapat diikuti dengan sempurna kerana isteri saya asyik membebel saja macam orang marah-marah kerana ada yang beliau tidak berkenan disamping menyatakan simpati kepada seseorang yang lain, bekas isteri selebriti itu.

Rupa-rupanya selebriti lelaki itu telah berkahwin. Oleh kerana sesuatu hal yang ada kait mengait dengan selebriti perempuan itu maka selebriti lelaki itu bercerai dan memilih pula selebriti perempuan itu sebagai isteri yang baru. 

Itulah bebelan isteri saya sebagai makluman kepada saya yang memang zero dari segi perkembangan orang-orang dalam bidang ini, hiburan.

Dalam hati saya berkata 'sudah ditakdirkan begitu kenapa perlu marah-marah. Lagipun apa kena mengena isteri saya dengan bekas isteri selebriti itu, bukan saudara malah kenal melalui media saja, tidak pernah berjumpa secara semuka'. 

Saya tidak pula mengeluarkan kata hati, nanti melarat pula bebelan marahnya.

Namun saya faham hati seorang perempuan, seorang isteri apabila suami membuat sesuatu yang boleh menimbulkan keretakan rumah tangga disebabkan perempuan lain. 

Yang saya berikan perhatian ialah jumlah kos/belanja majlis itu 12 juta. Mak datuk, bukanmain besar dan hebatnya orang sekarang mengadakan majlis. Satu item mempercantikkan diri pun dikatakan berharga tiga ratus ringgit, iaitu kasut yang bakal dipakai oleh selebriti perempuan itu. Wah wah sungguh hebat sekali. 

Kos  sepasang kasut untuk disarong dikaki dan untuk memijak apa yang ada dibawah yang mungkin juga termasuk yang bersih dan yang kotor seperti najis semasa kaki melangkah dan menapak,  boleh membeli sebuah banglo dibandar-bandar kecil atau memberi sebuah kereta mewah seperti Mercedez. 


Untuk mereka bentuk kasut itu belanja yang dikeluarkan kalau tidak silap pendengaran (sebab isteri banyak bercerita) ialah 80 ribu atau 28 ribu. Boleh dapat beli sebuah kereta baru, yang kecillah.

Dulu semasa tahun pertengahan tahun 1970an, saya belikan cincin kahwin bakal isteri, sekarang sudah jadi nenek, semahal 500 ringgit. Itupun naik semput. Tapi yang seronoknya cincin itu walaupun 5 ratus ringgit saja, tempatnya tetap dijari manis. Manis mata memandang. Syukur kehadrat Allah kami masih lagi berdua-duan, dah jadi datuk dan nenek.

Selain dari kasut, mutiara juga menjadi hiasan yang bakal bersama ditubuh badan selebriti perempuan itu. Kalau tidak silap nilainya dua perpuluhan lapan juta ringgit. Mak datuk nenek, mahalnya. Hebat. 

Katanya mutiara itu ditaja oleh syarikat yang terkenal. Sungguh bermurah hati syarikat itu. Baguslah jadi syarikat yang pemurah semoga rezeki bertambah lagi. Lagipun inilah agaknya apa yang dikatakan CSR : Corporate Social Responsibility.


Juga sebanyak tujuh buah lori/kenderaan (tidak pasti lori ke kenderaan kerana isteri masih membebel) akan membawa bunga hiasan. Sungguh beruntunglah kedai menjual bunga. Walaupun kos tidak dimaklumkan saya percaya  jumlahnya besar juga.

Jadi campur ini campur itu, campur pula disana campur disitu, kemudian  campur yang didarat campur yang dibaruh, kesemuanya dua puluh empat juta! Menggigil saya dibuatnya.

24 juta. Katakan gaji kita RM10,000.00 sebulan. Tolak sana tolak sini tinggal 6 ribu. Katakan kita boleh simpan 3 ribu sebulan maka untuk dapatkan 24 juta kita perlu buat simpanan selama 8 ribu bulan atau 666 tahun lebih. Tapi majlis ini satu hari 24 juta. Mana ada ngam dengan simpanan kita itu. Tidak sepadan dan jangan pula hendak berangan-angan. 

Boleh ke usia kita ke tahap itu? Ye tak ye juga.

Kalau majlis  seperti ini menjadi contoh teladan dan ikutan oleh yang lain dan jika tiada yang bermurah hati untuk menaja maka dengan gaji sebulan 10 ribu  kita perlukan jangka masa 2,400 bulan atau 200 tahun. Syaratnya kita berpuasa tanpa makan dan minum, duduk bertapa. 

Sekali lagi usia kita setakat mana walaupun ada hajat nak bertapa? Lupakan saja.

Selepas segmen yang menghiburkan itu diikuti pula segmen yang meraih simpati , memohon belas ikhsan orang ramai atau sesiapa saja  untuk menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga yang telah ditakdirkan Allah mempunyai anak yang menghidapi sakit kanser.  

Siapakah atau syarikat mana kah yang akan bermurah hati untuk menaja bagi membolehkan anak yang malang itu diberi rawatan. Mungkin syarikat yang menaja majlis perkahwinan yang kita bincang sebentar tadi sebab rasa-rasanya kos perubatan tidak menjangkau jutaan ringgit. Kacang saja, celah gigi saja bagi syarikat ini. Itupun kalau mahu meneruskan CSR syarikat. Orang sakit barah pun mahu hidup dan mahu ceria seperti selebriti itu.

Kalau pihak yang banyak wang itu rasa keberatan, mari kita sama-sama hulurkan bantuan. Minta maaf saya tidak sempat ambil no talipon. Tapi rasanya boleh hubungi tv 9.

Saya pun tertanya-tanya apakah sebenarnya yang hendak dicari dalam sebuah perkahwinan?

"Sudah tentu kebahgiaan dan berkekalan. Bahagia didunia dan bahagia diakhirat". Jawapan yang rasanya diberi oleh setiap orang. Semua orang mengharapkan begitu. 

Untuk itu kita perlukan kos 24 juta atau yang senilai atau melebihi dari itu?  Ini jawablah sendiri.

Akhirnya saya dengan rendah hati mahu tanya kepada para penaja yang pemurah yang sedar akan tanggongjawab korporat sosialnya (CSR) : Adakah yang nampak di pandang dan yang boleh didengar hanya yang glamour seperti selebriti itu saja kerana mereka itu duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan anda, mewah yang perlu dimewahkan?

Saya hanya ada jawapan yang hampir sama dengan rancangan tv 9 itu iaitu Nasi Lemak Milo O. Tapi saya tidak akan dapat bersama penaja kerana rancangan tv 9 membawa tema Nasi Lemak Kopi O.

Sekian semoga anda berbahagia menjalani alam rumah tangga nanti. Kawin anda kawin mutiara. Amin.    

Sabtu, 23 Julai 2011

Menang dan Kalah: Calun Yang Boleh Menang

Kalah dan Menang selalu dilihat sebagai ukuran bagi menilai pencapaian sesuatu usaha atau pertandingan/persaingan atau penglibatan dalam mana-mana anjuran bagi meraih kedudukan, kuasa , nama mahu pun gelaran atau anugerah. Yang menang dikatakan berjaya dan yang kalah dikatakan gagal.

Maka yang menjadi fokus ialah untuk meraih kemenangan  kerana tiada siapa pun yang mengidam untuk kalah. Ya, melainkan ada maksud tertentu untuk faedah tertentu bagi kepentingan tertentu, ada juga kekalahan itu dicari-cari. Hal seperti ini saya panggil kalah yang ada habuan.

Persoalannya adakah untuk menang atau yang menang itu mesti mempunyai atau memberi gambaran atau membawa bersama nilai dan ciri-ciri serta kualiti yang lebih baik/terbaik, yang positif , yang boleh dicontohi dan diteladani  berbanding yang kalah. 

Ini adalah satu perkara yang boleh dihujah berpanjangan bergantung dari sudut dan perpekstif mana yang kita tinjau. 

Sudah tentu mereka yang menang atau kadang-kadang kita panggil berjaya adalah orang/orang-orang, pihak atau pasukan yang mempunyai kekuatan dan ketahanan, fizikal dan mental dalam memperlangsungkan azam dan kehendak mereka. Orang lembek-lembek dari segi semangat dan usaha, mudah kecewa dan putus asa, yang putus harap tidak akan berjaya atau menang. Kita perlukan 'keberanian' dan 'kedegilan' untuk menang.

Bermakna kalau kita tidak mempunyai ciri-ciri diatas, kalau tidak degil dan berani kita akan kalah? Jawapannya tidak juga.

Saya suka menghadkan bicara berkisar kepada menang dan kalah dalam persaingan politik saja kerana peminat dalam bidang ini memang ramai. Lagi pun bagi saya politik boleh menukar   dan menentukan warna, dan apa saja, pada bila-bila masa yang dia/mereka suka. Maksud saya yang berkuasalah. Tiada yang mustahil dalam politik. Semua beres diatur (maksud saya dibina) dan dihancur.

Saya amat tertarik apabila orang politik  memberi fokus kepada 'calun yang boleh menang' (winnable candidate) sebagai pencarian yang mesti dibuat bagi meletakkan seseorang calun dalam pertandingan mana-mana pilihanraya. 

Ciri-ciri yang perlu ada bagi calun untuk termasuk dalam kategori ini tidak pula dinyatakan secara sepesifik dan khusus. Dengan demikian kita tidak dapat memberi ulasan dari segi positif dan negatifnya seseorang calun yang dipilh itu.

Mungkin dibuat sedemikian rupa bagi memudah dan memberi ruang kepada kepimpinan parti dalam menentukan ciri yang termasuk atau ditambah masuk sebagai calun yang boleh menang.

Apabila tidak spesifik, tidak khusus maka budibicara dan fleksibiliti akan lebih dominan dalam pemilihan calun yang boleh menang itu.

Tapi bagi saya calun yang terbaik ialah calun yang sentiasa sedar dan perihatin akan persekitarannya (kawasan yang diwakili), dari segi manusia, dan persekitaran manusia itu sendiri. Sebagai nilai tambah, dia/mereka wajar berpengetahuan dan menguasai ilmu, lebih tinggi lebih baik, berperibadi mulia.   

Calun yang sedar dan perihatin akan persekitarannya sudah tentu dapat memberi dan menyampaikan khidmat dengan berkesan dan terbaik kerana segala-galanya telah dikuasainya, diketahuinya. Cuma orang yang sedar, tidak tidur, orang yang perihatin akan bekerja dan berkhidmat dengan sepenuh jiwa dan raganya. 

Calun seperti itulah yang terbaik, bagi saya, yang perlu dipilih. Tapi yang terbaik seperti yang dinyatakan itu  adakah termasuk 'yang boleh menang'  . Mungkin masuk, dan kemungkinan besar terkeluar.

Jadi calun yang boleh menang itu boleh saja terdiri dari orang yang memang popular kerana telah banyak mencurahkan wang, tidak semestinya wang titik peluh sendiri. Dia/mereka juga  tidak semestinya berperibadi mulia seperti yang selalu kita tonton gelagat mereka yang amat jelek dan memalukan. Yang pasti dia/mereka telah memenuhi ciri-ciri calun yang boleh menang menurut tafsiran kepimpinan politik mereka. Apakah ciri-ciri pilihan pemimpin?  Saya cuba teka: Ciri yang sama-sama selesa.

Jelas hujah diatas menyangkal pandangan bahawa dia/mereka yang menang itu memiliki sifat baik dan positif yang kita boleh ikut  contoh dan teladan. Dan yang kalah pula tidak ada sifat yang positif dan baik. Ingat dalam politik semua boleh jadi.

Apatah lagi yang boleh menang itu dibantu oleh pihak penganjur dengan berpandukan sistem dan pengurusan yang menyebelahi ke pihaknya. 

Tambah-tambah lagi pihak yang boleh menang itu bersifat degil dan berani, tidak kenal putus asa. Sama juga yang kalah, banyak degilnya dan berani juga tapi kalah juga.

Cuma mereka tidak berani menyatakan apakah ciri-ciri calun yang boleh menang. Satu lagi yang ditakuti ialah tidak berani bersemuka berdebat tentang hal-hal pengurusan negara.

Sebab itu saya katakan yang menang tidak mesti baik dan yang kalah tidak mesti jelek. Malah menang ada jeleknya, kalah pun sama juga. Orang politik kan!

Jumaat, 22 Julai 2011

Salam Jumaat...20: Kasih Sayang Orang Lama

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Sama-sama kita berdoa agar kita semua sentiasa sihat untuk meneruskan kehidupan harian dengan penuh produktif dan menfaat sekali. Amin.


Secara umumnya mereka yang berasal dari kampong, yang membesar dikampong sebelum negara kita hebat membangun, sudah biasa dengan kerja memanjat pokok. Maksud saya orang lelaki lah.

Kanak-kanak pada masa itu, pada usia 6 ke 15 tahun, memang telah biasa dengan kerja panjat memanjat ini. Dari sekecil pokok seperti pokok jambu batu atau pokok cermai  sehingga pokok yang tinggi seperti pokok sentul dan kelapa tidak menjadi masalah bagi kanak-kanak kampong untuk disuruh memanjat. 

Jika hendak minum air kelapa muda , panjat saja pokok kelapa dan pilih buah yang muda untuk digugurkan. Kalau emak hendak masak lemak , panjat saja pokok kelapa dan pipil buah yang tua, gugurkan saja. Ketika itu kita agaknya sama seperti beruk yang diperintah oleh tuannya. Cuma bezanya leher kita tidak diikat seperti yang dilakukan keatas beruk.
  
Memanjat pokok rambutan , manggis , rambai , sentul , pulasan , ciku dan lain-lainya tidak perlu kita swastakan . Kita sendiri bisa melakukan, beres. 

Namun kalau kita tidak berhati-hati semasa memanjat pokok, kita mungkin akan terpegang pada dahan yang mati. Akibatnya jatuh berdebublah kita, kadang-kadang boleh jadi pengsan dan cedera.

Tapi berita jatuh berdebub itu jangan pula cuba diadukan kepada kedua orang tua . Nahas sekali jika cuba-cuba buat begitu kerana orang tua kita dulu akan memberi reaksi ' panjat lagi tinggi-tinggi, lebih tinggi lebih baik, cepat mati'. Bukan nak tanya kita cedera ke atau luka atau dengan cepat pergi ke klinik atau hospital untuk dapatkan rawatan.

Soalnya adakah sebenarnya kedua orang tua kita dulu tidak sayang anak?

Sebenarnya tidak begitu. Mereka juga sayangkan anak tetapi cara menyatakan kesayangan itu agak tidak sama seperti yang kita nyatakan atau tunjukkan kepada anak kita. Mereka menunjukkan kasih sayang secara keras supaya lain kali kita lebih berhati-hati memanjat pokok terutama pokok yang tinggi kerana kalau jatuh besar kemungkinan kita akan meninggalkan dunia fana ini. 

Tentang luka dan cedera , bagi mereka itu perkara biasa saja yang mereka yakin kita sendiri boleh menanganinya. Misalnya menggosok dengan minyak angin. Kita juga tidak boleh mengharapkan mereka hantar kita ke klinik sebab kos yang terlibat dan kedua mereka lebih yakin kepada perubatan cara kampong. Lagi pun selagi kita dari pandangan luarnya sihat dan masih berupaya bergerak dan berjalan , ia tidak merisaukan mereka.


Bagaimana kita sebagai orang tua kepada anak-anak kita sekarang? Sudah tentu dengan segera kita akan memeriksa seluruh badan anak sama ada luka,lebam dan cedera berdarah. Bukan itu saja, kita akan ke klinik atau hospital untuk anak kita di x-ray untuk menentukan tahap kecederaan dalaman jika ada. Yang paling 'kecuh' atau risau sangat ialah isteri kita , emak anak kita. Melelehlah air mata, menangis tersedu sedan walaupun cedera anak tidak seberapa. 


Adakah kita terlalu sayang akan anak kita berbanding bapa kita dulu keatas kita?


Sebenarnya kasih sayang orang tua kepada anak-anak adalah sama saja sama ada orang tua dulu atau orang tua sekarang seperti kita. Yang berbezanya ialah tahap , cara kehidupan dan kemampuan kita berbanding dengan orang tua kita dulu. 

Dulu hidup agak susah. Dapat menyara hidup dan memberi sesuap nasi kepada ahli keluarga dirasakan terlalu besar nikmatnya. Sekarang sebahagian besar kita akan menurutkan keperluan anak-anak terutamanya dari segi pelajaran misalnya menyediakan pakaian sekolah yang bermutu, menghantar tuisyen dan sebagainya.


Sekarang kita mahu tanya sedikit. 


i) Adakah kita marah dengan sikap dan layanan yang telah diberikan oleh ibubapa kita dulu semasa kita jatuh kerana memanjat pokok? 


Kalau jawapannya ya, kita ini anak yang tidak pandai menilai kasih sayang. Sebab kalau orang tua kita tidak sayang kita maka kita tidaklah ada  sehingga hari ini.


ii) Apakah agaknya balasan yang diberikan oleh anak-anak kita yang kita telah berikan segala kasih sayang itu. 

Soalan ini jawaplah sendiri.


Yang hendak kita beri tahu ialah bahawa sama ada kita atau ibubapa kita, kasih sayang kita kepada anak-anak tiada nilai ukurannya. Tetapi kasih sayang anak termasuk kita , kepada kedua ibubapa tidaklah kemana sangat, sekelumit saja.


Fikir-fikirkan dan lihat sekitar kita. Salam Jumaat , jumpa lagi.

Khamis, 21 Julai 2011

Bersedia Menyambut Hari Raya

Pertama sekali saya mohon maaf kerana masih terlalu awal saya mahu membicara tajuk :Bersedia Menyambut Hari Raya, sedangkan berpuasapun kita belum tempuh. Nampak sangat saya ini terlalu ghairah tentang perkara-perkara yang menyeronokkan atau yang menggembirakan hati. 

Sepatutnya perkara utama yang perlu diberi tumpuan untuk dibicarakan ialah mengenai bagaimana cara yang terbaik kita menyediakan diri untuk berhadapan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak yang tidak beberapa hari lagi akan menjelang.

Kalau ada yang tidak bersetuju dan berasa tidak senang, kemaafan telah saya pohon.

Hari Raya memberikan makna yang berbeza diantara kita. Dengan sebab itu cara mendekatinya dan cara menghadapinya juga berbeza.
Dalam ertikata lain, lain orang lain caranya mereka menyambut hari raya, dan sudah tentu berbeza dari segi persediaan menyambut hari kebesaran itu.

Secara amnya persediaan kita untuk menyambut hari raya ialah dengan menampilkan sesuatu yang baru, cantik, indah dan bersih; dan menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu. 

Sebahagian besar dari kita, itulah caranya kita menyambut hari raya. Besar belanja.  

Misalnya pakaian anak-anak termasuk juga pakaian kita akan berbeza dari pakaian pada hari-hari biasa. Ianya cantik dan sedap dipandang mata. Ada pula yang memakai sedondon suami isteri apabila menyambut dan menerima tetamu serta semasa menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga. Pakaian serba indah dan baru.


Dari segi juadahpun memang menjadi harsat dihati untuk menjamu tetamu  dan kita merasa seronok jika juadah kita yang berbagai nika sudi dijamah. Malah kalau ada yang tidak sudi, hati kita akan berkata-kata  'mengapa agaknya mereka tak sudi rasa'.

Dan cara sambutan yang kita lakukan itu sungguh menyeronokkan. Gembira sekali terutama kepada anak-anak yang memang mengharapkan sesuatu, dalam envelope kecil berbagai warna. Satu lagi belanja yang perlu kita sedia.

Tetapi tidak semua orang boleh buat begitu.

Orang yang tidak berdaya ini kadang-kadang menyambut hari raya secara persengketaan/pergaduhan antara suami isteri tambah-tambah lagi sekiranya mempunyai anak-anak, ramai pula. Jika ada tanggongan yang lain seperti kedua ibubapa, lagi parah dibuatnya.

Orang-orang ini ialah orang-orang yang berpendapatan kecil. Tambah-tambah lagi duduk dibandar dan tempat-tempat dimana kos hidup terlalu tinggi.

Sebab mereka juga mahu yang baru, yang sedap mata memandang dan yang bersih. Pakaian baru dan cantik untuk disarung dibadan anak-anak juga menjadi idaman mereka. Mereka juga ada hati untuk menjamu anak-anak, saudara mara dan jiran tetangga dengan juadah yang sedap-sedap. Ada juga selera untuk mengunjungi jiran tetangga menjamah sekeping dua juadah yang disedia.

Tetapi apakan daya pendapatan suami terlalu kecil. Isteri pula tidak bekerja.

Apabila isteri menyatakan kepada suami akan hasrat untuk menyambut hari raya seperti orang lain sambut apakah reaksi suami? Sudah tentu rasa tertekan kerana dia juga mahu isteri dan anak-anak kelihatan cantik dan sedap mata memandang. Dia juga ada perasaan bangga jika dapat menghidang juadah untuk tetamu dihari raya. 

Apabila perasaan menjadi tertekan maka hasrat isteri yang ikhlas itu akan menjadi satu penghinaan kepada sisuami kerana telah gagal menyediakan yang sepatutnya. Maka bergaduhlah mereka. 

Jika keadaan ekonomi mereka sama saja atau semakin teruk, setiap tahun itulah bentuk persediaan mereka menyambut hari raya.  Bersedia bermasam muka, bergaduh dihari raya yang sepatutnya mereka bergembira seperti kita.

Golongan seperti ini memang ada dalam masyarakat kita. Mereka menyambut hari raya dengan penuh duka. Memang jauh beza dari kita . Malah kita terlalu sangat bermewah dan kadang-kadang membazir. Kita membelikan mercun dan bunga api untuk anak kita bermain bersuka ria. Kita seronok membakar wang.

Cuba kita lihat pakaian kita, pakaian isteri dan pakaian anak-anak. Memang cantik dan indah dipandang. Satu saja atau lebih dari satu? Sudah tentu kita selalu bertukar pakaian pada majlis dan hari yang berlainan. Sebahagian besar kita ada kereta, paling teruk ada sebuah motorsikal. 

Cuba kita renungkan lagi , selama kita menyambut hari raya pernahkah kita teringat akan mereka itu, mereka yang sentiasa bermasam muka suami isteri malah bergaduh setiap tahun apabila menyambut hari raya. Jika kita tidak sudi membantu atau tidak terdaya untuk membantu apakah salahnya jika kita tidak menunjukkan sikap mewah dan membazir. Kerana mereka ada mata, ada telinga, ada hidung dan ada rasa dan selera.

Dengan demikian untuk kali ini dan mungkin pada masa akan datang kita wajar bersedia untuk tidak membazir wang belanja kerana ada diantara kita yang masih berduka. Itulah persediaan terbaik untuk menyambut hari raya tahun ini. Lagipun bukankah harga barang-barang semakin mahal. 

Rabu, 20 Julai 2011

Warna-warna Ramadhan

Tidak berapa lama lagi umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi dalam pusingan tahun Hijriah menyambut bulan Ramadhan untuk memulakan ibadat puasa selama sebulan. Begitulah yang telah ditentukan Allah sebagai satu dari Rukun Islam yang lima.


Setiap tahun  pada bulan Ramadhan kita akan menyaksikan pertambahan bilangan umat Islam yang hadir berjemaah di masjid atau disurau untuk bersolat , baik solat Zohor, Asar apatah lagi solat Magrib dan Isya' yang akan diikuti dengan solat sunat Terawih. Solat Subuh pun menceritakan keadaan yang sama.


Sesungguhnya pada setiap bulan Ramadhan umat Islam Malaysia menunjukkan satu perubahan yang amat menakjubkan. Perubahan kearah yang lebih baik , menjadi umat yang mahu melakukan yang baik dan meninggalkan yang mungkar . Bukan saja dari segi mengerjakan ibadat puasa dan solat fardhu dan solat-solat sunat yang lain, bilangan yang membaca al-quran, bilangan yang bersedekah juga amat membanggakan. Alhamdulillah.

Dalam setiap Ramadhan juga kita akan sentiasa dapat menyaksikan pertambahan bilangan peniaga-peniaga Islam menjual berbagai jenis makanan dan minuman ditempat atau kawasan-kawasan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan bayaran sewa tertentu. Peniaga-peniaga ini telah dapat mempermudahkan orang ramai yang tidak ada masa untuk menyediakan makanan untuk berbuka puasa.


Maka dengan adanya berbagai makanan itu ianya telah menjadikan Ramadhan sebagai bulan festa makanan. Mereka yang datang membeli adalah juga termasuk orang bukan Islam. Sesungguhnya Ramadhan membawa rezeki kepada sebahagian dari umat Islam. Alhamdulillah.

Pada bulan Ramadhan juga pihak berkuasa agama Islam akan meningkatkan penguatkuasaan untuk menangkap dan mendakwa orang-orang Islam yang tidak berpuasa atau kedai-kedai makanan yang menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa. Ada juga pihak berkuasa itu setelah menangkap mereka yang tidak berpuasa akan membawa mereka dengan menggunakan kereta jenazah sebelum kenyataan diambil untuk tujuan pendakwaan.


Pada minggu akhir bulan Ramadhan bermulalah sebahagian anak-anak muda Islam bermain meriam buluh. Dan satu dari peristiwa yang selalu kita dengar ialah kecederaan yang dialami oleh pemain meriam buluh itu. Ada yang cedera teruk seperti putus jari, buta mata. Mati ada juga, tapi jarang sekali.


Itulah Empat Warna-warna Ramadhan yang sempat saya catatkan yang berulang setiap tahun. 

Soalnya sekarang adakah warna-warna itu berkekalan? Jawapan saya adalah ya dan tidak. 


Kita lihat warna yang pertama: bertambah orang mendekati Allah dan melakukan kebaikan. Selepas Ramadhan warna itu akan mula pudar seolah-olah mendekati Allah dan berbuat kebaikan hanya wajar pada bulan Ramadhan saja. Mungkin, mungkin saja, mereka iaitu sebahagian orang Islam yang tidak mengekalkan warna Ramadhan itu berpendapat bahawa oleh kerana amal ibadat dalam bulan Ramadhan telah dijanjikan pahala yang berganda melebihi bulan yang lain maka ianya sudah mencukupi untuk menampung kekurangan pahala dalam bulan-bulan yang lain. Jadi apabila datang saja bulan Ramadhan mereka kumpul semula pahala yang banyak. Begitulah seterusnya. Harap-harap pendapat saya ini tidak betul.


Bilangan peniaga Islam yang bertambah mendadak: Warna ini juga tidak kekal kerana selepas itu dibulan-bulan yang lain mereka ini hilang lesap entah kemana. Mengapa? Mungkin pada bulan Ramadhan rezeki yang diraih lebih barakah berbanding bulan yang lain. Dengan itu mereka berebut-rebut mendapat rezeki yang barakah. Harap-harap bukan begitu.


Penguatkuasa yang menangkap mereka yang tidak berpuasa: Yang penting kesan dari tindakan tangkapan itu. Nampaknya tindakan tangkapan belum lagi menunjukkan kesan yang diharapkan kerana setiap bulan Ramadhan ada saja tangkapan yang dibuat kerana orang tidak berpuasa. Ertinya warna ini sentiasa berulang setiap bulan puasa, kekal dalam bulan puasa.


Kecederaan kerana bermain meriam buluh: Inilah peristiwa yang tidak gagal mewarnai bulan puasa terutama menjelang menyambut hari raya. Mengapa? Sebabnya kita telah salah memilih aktiviti atau perbuatan atau kerja yang sepatutnya. Apakah ada kaitan bermain meriam buluh pada menjelang raya? Nak dapat pahala lebih? 

Orang Islam terutama orang Melayu masih lagi tidak sepenuhnya memahami atau tahu cara bagaimana untuk menguruskan diri dalam bulan Ramadhan. Mereka tetap berpuasa, bermain meriam buluh tidak boleh lupa. Mungkin mereka menganggap bahawa itulah caranya untuk menyatakan kegembiraan menjelang raya. Cedera tak mengapa. Warna ini kekal setiap bulan Ramdhan.


Jadi setiap tahun bulan Ramadhan pasti datang dan setiap tahun nampaknya warna-warna itu pasti berulang. Ada pula warna yang baik tetapi tidak berkekalan, dan yang tidak berfaedah pasti kekal berulang dalam Ramadhan. 


Ya Allah jauhkan perkara-perkara yang tidak baik itu berulang dan berkekalan. Amin.





 

Selasa, 19 Julai 2011

Pantang Larang Orang Dahulu Kala (ODUK) Kalau DiLanggar Tidak Masuk Penjara.

Masyarakat Melayu di zaman dulu-dulu, masyarakat yang simple yang belum banyak menerima pengaruh luar, yang tidak moden, yang hubungan diantara mereka sungguh rapat dan akrab, yang sebahagian besar masih mementingkan permuafakatan keluarga, mempunyai struktur keluarga besar (extended family)   yang saya golongkan sebagai 'Orang Dulu Kala' (Oduk) mempunyai banyak pantang larang yang mempengaruhi cara mereka berfikir dan bertindak apabila berhadapan dengan sesuatu finomina , keadaan atau gejala.  Begitulah satu dari caranya bagaimana kehidupan harian mereka diatur. Dan mereka patuh dan taat dengan pantang larang itu tanpa banyak soal.

Dalam kebanyakan hal pantang larang itu tidak sesuai dan tidak rasional serta tidak logik dari segi sudut pandang dan nilai 'Generasi Baru'  (Genba).

Namun begitu  ada lagi  kelompok kecil Genba yang masih lagi percaya dan mengamalkan pantang larang tersebut walaupun tidak setaat Oduk. 

Logik dan rasional bukanlah asas yang membentuk sesuatu pantang larang Oduk. Lagipun logik dan rasional adalah satu pemikiran yang bersandarkan akal, yang boleh nampak, yang boleh bau dan yang boleh rasa.  Pantang larang melampaui batas-batas logik dan rasional. Ia lebih kepada kepatuhan dan ketaatan atas satu kepercayaan yang diperturunkan tanpa mempersoalkan kewujudan dan hakikat/kebenarannya. 

Dari segi logik misalnya kalau lapar kita makan maka hilanglah lapar. Kalau dahaga kita minum untuk menghilangkan kehausan. 

Tetapi bagi Oduk, lapar bukan boleh dikenyangkan dengan sebarang makanan saja. Dan makanan yang hendak dimakanpun mesti ada kedudukan atau tahap atau usia tertentu untuk memakannya. 

Sebagai contoh ialah kerak nasi. Anak-anak kecil yang masih bersekolah, yang masih mengaji disurau selalu diingatkan oleh orang tua atau ibubapa supaya jangan sekali-kali makan kerak nasi kalau mahu jadi orang yang pandai atau tidak benak ( mudah menerima apa yang diajar) dalam pelajaran/pengajian.  

Apakah ada logik dan rasionalnya makan kerak nasi dengan pertumbuhan otak anak-anak itu dari terhalang menjadi pintar atau pandai. Memang tidak masuk akal dan tidak rasional.

Namun Oduk begitu taat dan percaya menerima apa saja yang datangnya dari orang tua. Kalau kita cuba bertanya mengapa , kedua ibubapa atau Oduk tidak ada jawapan. Kalau masih lagi bertanya berulang kali maka jawapan yang akan diterima ialah 'dengarlah cakap orang tua-tua, jangan banyak tanya'. Begitulah yang telah diaturkan tata cara kehidupan yang diwarisi turun temurun.

Saya tidak pasti apakah moral cerita disebalik larangan itu. 

Ada orang memberi pandangan bahawa kerak nasi itu keras dan dengan demikian tidak sesuai untuk diratah oleh gigi anak-anak yang masih kecil. Tetapi rasanya gigi anak-anak itu lebih kuat berbanding gigi ibubapa atau orang tua-tua. 

Apakah kerak nasi yang keras itu akan membentuk otak yang keras yang tidak mudah menerima apa yang diajar atau otak menjadi majal? Setengah yang lain bertanya untuk cuba mencari jawapan akan larangan itu.  

Satu lagi pendapat pula mengatakan bahawa kerak nasi itu adalah enak/sedap sekali dimakan apabila digaulkan dengan kuah yang banyak untuk melembutkannya sebelum dimakan. Ertinya orang tua-tua cuba menipu anak-anak untuk memuaskan selera mereka. 

Yang ini saya menolak sama sekali kerana tidak ada ibubapa yang sampai hati berbuat demikian. Malah apa saja yang menyelerakan, anak akan didahulukan. 

Bahkan saya berpendapat larangan itu merupakan satu isyarat bahawa ibubapa tidak mahu anak mereka makan makanan saki baki seperti kerak nasi itu. Ertinya biarkanlah anak-anak itu makan nasi yang lembut dan mudah dikunyah. Biarkan orang tua memakan saki baki nasi atau kerak nasi yang keras, tidak mengapa.  Demi anak yang disayangi.

Ibubapa sanggup makan yang kerak, yang saki baki  saja. Adakah ini satu cara mereka menyatakan kasih sayang? Sebab sudah menjadi satu kebiasaan kepada Oduk untuk menyatakan kasih sayang secara isyarat dan kiasan. Jarang sekali kasih sayang itu difafazkan. Sudah cukup dengan isyarat dan kiasan saja. Kerak nasi sebagai kiasan saja.

Satu lagi larangan Oduk ialah larangan duduk atas bantal. Jika sesiapa duduk atas bantal maka punggung orang itu akan kena/ditumbuhi  bisul. 

Mana ada logik dan rasional. 

Pada hal kita boleh  membuktikan sama ada benar atau tidaknya apa yang diperkatakan itu dengan secara senyap (bukan dihadapan mereka) duduk diatas bantal dan tunggu sama ada bisul akan keluar atau tidak. Sudah tentu tidak akan ada bisul. Tapi Oduk taat , percaya dan terima.


Mungkin larangan itu ada kaitan dengan nilai/penghormatan  yang amat tinggi yang diberikan oleh masyarakat Melayu terhadap kepala. Menjadi pantang orang Melayu jika kepala dipermain-mainkan. Jadi dengan meletakkan punggung diatas bantal bermakna kita telah tidak menghormati kepala kita. Maka dijadikanlah satu larangan untuk tidak berbuat demikian.


Sama ada kita mahu cari logik, rasional mahupun moral cerita pantang larang Oduk itu, satu yang saya pasti ialah pantang larang itu dapat kita samakan dengan peraturan dan undang-undang bertulis yang diamalkan dalam pentadbiran moden untuk dapat mengatur kehidupan masyarakat supaya menjadi mantap. 

Masyarakat dulu lebih cenderung untuk mengekalkan apa yang diterima dan   diperturunkan. Lebih suka kepada kesetabilan, status quo amat dihargai. Perasaan ingin tahu dan berubah tidak menjadi satu keutamaan, kadang-kadang tidak diperlukan.


Dengan itu diadakan pantang larang dengan menyediakan hukuman jika melanggarnya. Misalnya dalam hal kerak nasi jika anak kecil makan anak itu tidak akan jadi pandai; dan duduk diatas bantal akan tumbuh bisul dipunggung. Cuma hukuman Oduk hanya setakat menyatakan saja, dan minta orang percaya. Paling keras ialah jangan banyak bertanya.


Kalau begitu cara yang dilakukan oleh Oduk , nampaknya tidak banyak bezanya dengan apa yang ada pada masa ini. Cuma pantang larang pada masa ini dibuat secara dikanunkan, secara bertulis.  Dan hukumannya sungguh keras sekali.

Walaupun setengah yang dikanunkan itu tidak sesuai lagi dengan keperluan semasa tapi demi kesetabilan dan status quo, mengekalkan kuasa yang ada, sebahagian dari kanun itu masih mahu diteruskan.


Sikap mahu diteruskan itu pula diiringi dengan alasan demi menjaga keselamatan dan keamanan, sebagai rasional. Dan sekiranya ada pandangan dan cadangan untuk menggugurkan kanun yang tidak sesuai dengan keperluan semasa itu, pandangan dan cadangan itu tidak diberi perhatian yang positif malah cadangan dan pandangan itu dikaitkan dengan pengaruh kuasa luar. Dan jika pula ada pihak yang cuba menyatakan perasaan beramai-ramai dengan bersatu berjalan berarak dan berhimpun maka dikeluarkan fatwa mengharamkan cubaan itu. Dan jika berdegil, maka ada yang ditangkap dan kemungkinan dihumbankan kedalam penjara jika disabitkan kesalahan.


Jadi ada orang berkata kalau pantang larang Oduk yang tidak ada rasional dan logik boleh diterima dan ditaati oleh masyarakat Melayu dulu, mengapa pula kita tidak mahu terima pantang larang yang telah dikanunkan yang bercirikan rasional dan logik, demi keselamatan dan keamanan negara. Nampak sangat kita ini degil sangat. Banyak sangat tanya. Taat sajalah. Ok.

Oduk dan Genba adalah sama saja masing-masing mahukan kesetabilan, status quo. Cuma kalau Oduk ditanya jawapan yang diberikan 'jangan banyak tanya, taat saja'. Kalau berani cuba berkumpul ramai-ramai tanya orang yang menguruskan Genba, anda akan mendapat jawapan yang tidak sama: cedera dan masuk penjara.

Kalau begitu taatlah pantang larang Oduk. 

Isnin, 18 Julai 2011

Jari Manis Yang Dicari-cari

Kita tidak pasti bagaimana setiap jari ditangan kita diberikan nama. Setiap jari ada nama yang berlainan dan ada yang namanya sedap disebut dan ada jari yang sungguh malang sekali mendapat nama yang orang takut atau tidak suka. 

Untuk memudahkan nama-nama jari itu diperkenalkan, cuba kita buka tapak tangan secara menadah seperti orang berdoa untuk sesuatu tujuan dan  kita rapatkan kedua-dua tapak tangan itu.  Maka kita akan lihat jari terkecil bagi kedua-dua tapak tangan kita itu saling merapati. Kita mulakan pandangan dari jari kecil kekanan bagi tapak tangan kanan dan kekiri bagi tapak tangan kiri. Sudah sedia? Ya, telah sedia.


Jari yang kecil itu telah diberi nama Jari Kelengkeng, diikuti Jari Manis, kemudian Jari Hantu, seterusnya Jari Telunjuk dan diakhiri Jari Ibu.

Hanya dua jari saja yang kita dapat teka mengapa namanya diberi sebegitu rupa iaitu Jari Telunjuk dan Jari Ibu. Jari Telunjuk sudah pasti merujuk kepada kegunaan jari itu bagi menunjuk sesuatu atau kadang-kadang dikatakan untuk menuding. Dan Jari Ibu pula ialah kerana saiznya yang besar dari yang lain yang boleh dianggap sebagai anak-anak. Tiga lagi nama jari-jari itu iaitu Jari Kelengkeng, Jari Manis dan Jari Hantu kita tidak berani meneka mengapa setiap satu itu diberikan nama sebegitu. Kalau kita tekapun rasanya tidak akan meyakinkan mana-mana pihak. 

Jari Kelengkeng ada keistimewaannya apabila disebut bersama dengan jari telunjuk dalam satu Peribahasa Melayu yang bermaksud orang yang nampaknya seperti jujur tetapi sebenarnya tidak sebegitu. Kalau ada yang terlupa akan Peribahasa itu, maklumlah ketika ini perkara-perkara mengenai Kiasan, Pepatah, Petitir, Peribahasa dan Perumpamaan telah tidak menjadi satu perkara yang penting terutamanya dalam kehidupan harian masyarakat moden yang lebih berterus terang, maka molek rasanya kita sebutkan Peribahasa itu: Telunjuk lurus Kelengkeng berkait.  

Tentang Jari Hantu pula kedudukannya ditengah-tengah atau dibilangan yang ketiga sama ada dimulakan dari kiri atau kanan. Mungkin disebabkan kedudukan seperti itu maka orang Melayu menamakannya sebagai Jari Hantu mengambil anggapan bahawa sikap hantu yang suka mencelah dengan tujuan mengacau sesiapa saja dikiri kanan. Anda sudah tentu tidak yakin dengan rasional saya ini. Tidak mengapa kerana pada awal lagi saya sudah kata tekaan saya tidak akan orang percaya.


Jari Manis, yang ini pun susah juga untuk meneka mengapa manis diberikan nama. Tetapi secara pandangan mata, memang bentuknya, kedudukannya adalah sangat manis pada penglihatan mata. Mata kitalah, tidak pasti mata orang lain.Sebab itu kebanyakan orang akan menyarungkan cincin pada Jari Manis terutama tangan sebelah kiri. Cincin merisik, cincin bertunang dan apa saja jenis dan nilai cincin itu tempat untuk disarung ialah di Jari Manis. Manis mata memandang. Kalau dijari yang lain nampak janggal dan tidak ada kemanisannya, keindahannya walaupun memang ada orang menyarungkan cincin dimana-mana saja jari yang mereka suka.

Oleh itu Jari Manis adalah satu-satu jari yang mempunyai nilai tambah. Selain dari dipandang manis, jari itu juga diberi keistimewaan untuk disarungkan sesuatu yang bernilai dan berharga misalnya cincin tadi. Dari cincin biasa, cincin belah rotan, cincin pertunangan dari berbagai jenis misalnya yang dibuat dari suasa, perak dan emas dan bertahtakan berbagai permata hinggalah ke cincin yang dibentuk dan dipotong khusus dan istimewa untuk yang memakainya. Nilai hargapun sudah tentu dari yang rendah hingga yang terlalu tinggi. Maka disarungkanlah ke Jari Manis sesiapa saja. Bertuah sungguh si Jari Manis itu, baik orang itu orang biasa, berdarjat tinggi mahupun keturunan raja-raja, cincin tetap dijari manis mereka.


Dalam kedudukan yang manis dan bertuah itu, jari manis itu tidak terlepas lari dari cabaran dalam kehidupan yang serba moden ini. Cabaran semakin bertambah hebat sehingga boleh mengancam dan membahayakan keselamatan jari itu sendiri sekirannya terdapat perbezaan yang begitu besar dari segi tahap ekonomi sesama kita. Orang yang merempat miskin terlalu susah dalam mengharungi kehidupan, orang yang tiada pekerjaan dan masih perlu untuk hidup menangong diri sendiri dan yang lain, sudah tentu melihat mereka yang bercincin apatah lagi yang mahal-mahal , sebagai salah satu sumber yang boleh menjana pendapatan.


Maka janganlah merasa hairan jika jari manis itu akan menjadi tumpuan mereka. Jari manis itu adalah jari manis yang dicari-cari. Bagi mereka semua jari manis yang bersarung cincin itu mempunyai nilai tambah sama ada cincin yang dipakai itu berkeratkan dalam bentuk keratan yang dikenali sebagai 'Natural Fancy Blue Gray Cushion Cut Diamond Ring' atau keratan biasa-biasa saja.


Jari Manis yang bersarung cincin itu tetap menjadi Jari Manis Yang Dicari-cari.

Ahad, 17 Julai 2011

SAYANGILAH ANAK ANDA

Seronok sungguh apabila melihat keletah laku anak-anak kecil bersuka dan bergurauan sesama mereka di food court disebuah pasar raya membeli belah. 

Di sebuah meja makan untuk 4 orang , 3 orang anak , mungkin adik beradik, lelaki kesemuanya, sedang bermain sesuatu dengan begitu riang. Mereka lebih banyak ketawa sambil menunggu ibunya yang pergi memesan makanan. Umur mereka adalah dalam anggaran diantara 10, 8 dan 6 tahun. Yang terkecil diantara mereka bangun dari kerusi menuju ketempat simpan sudu dan garpu untuk digunakan semasa makan nanti dengan berlari-lari begitu ceria sekali.

Apabila ibu datang dengan menatang 3 hidangan makanan dalam sebuah dulang mereka nampaknya bukan main seronok lagi. Dengan segera masing-masing mengambil makanan. Dari  pandangan jarak dua meja makanan itu ialah 'chicken chop' bersama dengan kentang goring. Sungguh menyelerakan nampak gaya mereka menyuapkan makanan kedalam mulut menggunakan sudu dan garpu.

Ibunya masih lagi tiada bersama kerana mengambil makanannya pula. Yang penting anak-anaknya makan dulu. Ibu kemudian tidak mengapa. Begitulah rasa kasih sayang seorang ibu, mendahului anaknya. Tidak pula kelihatan ayah anak-anak itu. Mungkin ada urusan lain agaknya. Sesungguhnya, saya amat senang sekali melihat keletah anak-anak ini.


Terdengar pengumuman dari Pusat Informasi Pasar raya akan kehilangan seorang anak kecil, katanya berbangsa Melayu , seorang perempuan berumur lebih kurang 3 tahun. 'Sesiapa yang  kehilangan anak  sila datang ke Pusat Informasi.

Otak saya secara spontan mula teransang mengeluarkan beberapa soalan: i) mengapa tidak dipegang tangan anak itu seerat mungkin supaya tidak tercicir atau hilang, ii) mengapa khusyuk sangat 'bershopping' sehingga anak yang dibawa bersama tidak lagi jadi tumpuan utama. iii) bagaimana petugas di Pusat Informasi itu dapat mengatakan anak itu sebagai berbangsa Melayu kerana pada masa ini amat susah untuk membezakan bangsa berdasarkan warna kulit atau rupa/wajah. 

Kalau cucu saya, sudah tentu Pusat Informasi itu mengumumkan sebagai anak Cina atau  anak Korea. Pada hal emak dan bapanya Melayu.

Bagi soalan pertama dan kedua, reaksi spontan saya ialah sesungguhnya saya amat marah sekali dengan kejadian seperti ini. Namun rasa marah ini bertukar menjadi rasa amat malu dan insaf serta bersimpati dengan ibubapa yang kehilangan anak itu. 

Saya tergingat  akan satu peristiwa tentang kehilangan anak semasa 'bershopping' di sebuah pasaraya di bandara raya Birmingham, England. 

Sebelum itu kami berdua membuat komen mempersoalkan orang-orang putih membawa anak-anak kecil mereka dengan mengikat tali dipergelangan tangan anak itu bersambung dengan pergelangan ibunya dan menarik anak itu seperti seekor anak anjing. Kami mengatakan 'sungguh  tidak berperikemanusiaan  orang putih ini, dibuat anaknya seperti binatang,anjing' , kerana kami melihat perkara itu sebagai luar biasa dan tidak wajar dilakukan kepada anak-anak.  Bukankah lebih baik dipimpin tangannya saja




Tiba-tiba kami terdengar satu pengumuman meminta sesiapa yang kehilangan anak dipersilakan datang ke Pusat Informasi. Isteri saya dan saya pucat lesi apabila menyedarai anak perempuan kami yang berumur 3 tahun telah tiada bersama lalu kami dengan segera pergi ke Pusat Informasi dan sah anak yang berada di situ ialah anak perempuan kami. Yang menghairankan dia langsung tidak menangis, seronok bermain dengan petugas Pusat Informasi.

Saya terus memeluk dan mendukung anak saya itu. Kemudian ternampak seorang orang putih menarik anak dengan cara yang kami anggap sebagai tidak berperikemanusian itu lalu dihadapan kami. Saya mula sedar bahawa orang putih ini amat mementingkan keselamatan anak-anak. Mereka tidak emosional tetapi lebih praktikal dan rasional. Maka termalu-malu kucinglah kami kerana membuat komen tanpa mengetahui asas dan sebab mengapa mereka berbuat begitu.

Jadi kepada ibubapa yang membawa anak-anak kecil bershopping cuba-cubalah amalkan cara mat salleh itu. Anak kita dijamin tidak tercicir dan hilang semasa kita syok bershopping. Cuma mungkin banyak mata akan memberi tumpuan kepada kita sambil hati mereka mungkin berkata: Teruknya orang itu. Anak diikat dibuat macam anak anjing'. Tidak mengapa saudara kerana apabila anak mereka hilang seperti yang saya alami barulah mereka tahu cara saudara itu adalah yang terbaik demi keselamatan anak kita.

Selepas seronok memerhati tiga beradik yang riang menjamu selera itu kami pun meninggalkan food court. Sambil berjalan  saya teringat akan anak bongsu saya semasa seusia dengan anak-anak tadi yang sentiasa pergi ke tempat mainan kanak-kanak seperti buaian apabila kami keluar berjalan-jalan ditaman. Sekarang umurnya sudah 21 tahun. Saya tersenyum kerana memang seronok mempunyai anak-anak kecil.

Tapi mengapakah ada orang sanggup membunuh atau membuang anak. Sesungguhnya perbuatan ini amat zalim sekali. Orang seperti ini telah mempersia-siakan peluang yang diberi oleh Allah untuk mendapat suatu suasana yang amat seronok dan menghiburkan. 

SAYANGILAH ANAK ANDA! 





Jumaat, 15 Julai 2011

Salam Jumaat.....19: Apakan Daya Mereka Yang Berkuasa, Kita Yang Menurut Perintah

Salam Jumaat untuk anda sekalian yang dirahmati Allah SWT. Semoga sihat-sihat sentiasa.

Beberapa hari yang lepas kita telah melalui peristiwa yang amat penting juga dalam perjalanan sistem demokrasi di negara kita iaitu satu perhimpunan yang diberi nama Bersih 2.0 bagi menuntut satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang bersih dan adil.

Sehubungan dengan itu kita terpanggil untuk memperkatakan tentang bagaimana pihak berkuasa mengurus mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu dan kesan kepada kedua-kedua belah pihak khususnya Polis dan para peserta perhimpunan.

Pihak Polis atas arahan dari orang politik yang telah diamanahkan kuasa telah melakukan tanggongjawab mereka dalam menguruskan para peserta perhimpunan itu. Kita percaya dan yakin mereka iaitu anggota-anggota Polis disemua peringkat itu menjalankan tanggongjawab mereka dengan sebaik mungkin yang termampu dan tidak ada niat dihati mereka untuk mencederakan sesiapa. 

Ya, ada kemungkinan sebahagian kecil anggota Polis itu telah bertindak yang sangat melampau sehingga telah mencederakan para peserta. Namun kita juga wajar memahami akan tindakan mereka itu yang kita percaya disebabkan berbagai tekanan sama ada dari segi fizikal mahu pun mental. 

Terlalu penat keletihan tanpa mendapat rehat sewajarnya ditambah dengan arahan dari pihak atasan yang perlu dipatuhi , dan  terpaksa pula menghadapi para peserta yang ada diantaranya yang 'degil', menyebabkan kesabaran mereka menjadi menipis dan akhirnya diganti dengan kemarahan yang kadang-kadang tidak dapat mengawal perbuatan mereka.
 
Maka mereka bertindak dan membuatkan ada para peserta yang berhimpun secara aman itu tercedera.

Para peserta juga ada hujah mereka. Bahawa mereka berjalan dan berhimpun secara aman mengapa pula mereka perlu dibuat sedemikian rupa. Mereka bukan penjenayah dan bukan berhimpun untuk berlawan atau berperang dengan pihak Polis. Mereka tidak pula membawa senjata.

Nampaknya kedua-dua pihak Polis dan para penyokong  Bersih masing-masing mempunyai alasan yang kukuh bagi mempertahankan tindakan masing-masing. 

Jadi apakah bentuk dan sifat  tindakan yang sepatutnya perlu diambil dalam menguruskan perhimpunan Bersih pada 9 Julai yang lepas supaya tidak menimbulkan kesan yang tidak sihat dari segi hubungan orang ramai dan pihak Polis? Supaya tidak ada yang cedera.


Walaupun perkara yang akan kita perkatakan telah pun diperkatakan oleh banyak pihak namun kita mahu  menyebutkannya juga dalam ruangan Salam Jumaat ini.

Kita berpendapat punca kecelaruan tindakan yang menyebabkan kecederaan ialah orang politik yang telah diberi kuasa yang terlalu sangat sayang akan kuasa yang takut kehilangan kuasa. Biasanya kalau hilang kuasa bagi yang berkuasa atau terlalu berkuasa akan dirasakan sebagai hilang segala-galanya, hilang peluang untuk cepat jadi kaya dan berharta , tidak akan disanjung dan dirai dimana saja, dan arah perintah tidak boleh sewenang-wenangnya dihempokkan kepada siapa yang dia suka.
 
Sebab itu kita sedia maklum akan pendekatan mereka.

Maka pendekatan yang diambil lebih bersifat perseteruan dengan berlindung disebalik keperluan mengekalkan keamanan dan keselamatan awam sedangkan perkara yang berbangkit ialah 8 tuntutan mengenai sistem dan pengurusan pilihanraya.  Bukan menghadapi penjenayah atau musuh untuk berperang.


Pihak yang bekerja untuk menentukan keamanan dan keselamatan awam akan sentiasa kekal dan terkawal ialah Polis. Maka apa pilihan yang mereka ada selain dari menentukan supaya perhimpunan haram itu diuruskan sesuai dengan status yang telah dijatuhkan keatasnya.

Kalau kita  dalam kedudukan seperti mereka kita hanya berdaya untuk berkata-kata: Apakan daya mereka yang berkuasa, kita turutlah perintah mereka.


Mungkin ada setengah pihak dengan mudah mengatakan mereka ini hendak menjaga periuk nasi, nak hidup , nak cari makan dan dengan itu mengikut arahan membabi buta. Jangan berkata sedemikian tuan kerana tuan tidak berada dalam kedudukan mereka. Sepatutnya tuan perlu memahami dan simpati dengan tugas mereka.


Sekiranya perhimpunan itu tidak diharamkan kita percaya pihak Polis dengan senang hati akan membantu menguruskan mereka untuk berjalan dan berhimpun . Kita tidak percaya mereka, Polis suka bertindak sehingga membuatkan orang marah dan benci kepada mereka. 

Kalau mereka diberi pilihan oleh orang politik yang berkuasa itu, kita percaya mereka memilih untuk tidak berkonfrantasi dengan para peserta perhimpunan. Mengapa pula mereka  mahu memilih pendekatan bermusuhan yang tidak berfaedah itu. Mereka orang yang rasional sama macam kita.


Kepada yang tercedera sekali lagi kita berkata: Apakan daya mereka yang berkuasa. Kita hanya turut perintah mereka saja. Fahamilah tindakan Polis itu.


Jumpa lagi.


  

Khamis, 14 Julai 2011

Sokonglah Pasukan Malysia, Tolong,Please

Ketika ini negara kita Malaysia sedang menerima tetamu bolasepak dari kelab bola sepak premier Inggeris untuk mengadakan perlawanan persahabatan .

Malam tadi Malaysia telah bertemu dengan kelab dari Bandaraya London Arsenal yang berkeputusan 4 Arsenal dan 0 Malaysia.

Saya tidak berkesempatan melihat perlawanan itu sama ada di stadium atau melalui media siber. Cuma dapat melihat dalam berita tv . 

Apa yang menarik perhatian ialah tentang penyokong. Nampaknya Arsenal tidak perlu membawa bersama penyokong mereka dari London sebab  penyokong mereka telah sedia ada di Malaysia. Sedia ada dengan jumlah yang begitu banyak melebihi penyokong pasukan negara. 

Mereka terlalu teruja nampak gayanya, semua sekali baik yang tua, muda, lelaki, perempuan , teruna dan anak dara. Memakai apa saja tanda yang boleh mewakili pasukan itu termasuk menampal sesuatu dimuka atau mengecat muka dengan lambang pasukan kesayangan mereka itu.

Maka bersorak dan melompat keriuhan apabila Arsenal berjaya membolosi pintu gol Malaysia. Seronok sungguh tanpa sedikit rasa malu dan sedih serta bersimpati keatas pasukan negara yang menjadi belasahan Arsenal. Kesian sungguh Malaysia.

Ini bukan perkara yang baru kerana setiap kali perlawanan seperti ini diadakan inilah benda yang kita pasti dapat saksikan: Malaysia kena belasah dan rakyat Malaysia ramai ramai yang terkinja-kinja menyokong pasukan lawan khususnya dari kelab Inggeris.

Mengapa jadi begini? 

Mungkin jawapan yang dapat kita cuba teka ialah bahawa memang telah sedia ada peminat dan penyokong Arsenal dan kelab Inggeris yang lain seperti Chelsea, Manchester Unuted dan  Liverpool di Malaysia kerana rakyat kita sememangnya meminati permainan kelab-kelab tersebut. Apa tah lagi pada musim perlawanan liga Inggeris , kita sentiasa didedahkan dengan permainan kelab-kelab tersebut.

Seterusnya telah tertanam dalam pemikiran penyokong di Malaysia bahawa pasukan negara kita tidak mampu untuk menandingi pasukan kelab Inggeris itu. Walaupun disokong tetap kalah, 100% akan kalah. Jadi buat apa sokong pasukan yang tidak boleh menang.

Sepatutnya kita sokong pasukan yang lemah terutama ianya pasukan negara bagi memberi semangat para pemain berjuang bukan menghenyak mereka sambil ketawa riang.

Apa sudah jadi orang Malaysia ini. Patutlah kita selalu bergaduh sebab tidak bersatu. Ini maruah negara. Kita memang tahu pasukan kita memang tidak setanding dengan Arsenal, tapi bila menyokong , sokonglah Malaysia.  Kitakan warganegara Malaysia yang dicintai. 

Cuba-cuba tengok pasukan negara Korea dan Cina bagaimana kentalnya semangat rakyat mereka. Sebab itu mereka sentiasa berjaya. 

Jadi kalau pasukan kita sentiasa kalah teruk janganlah  kita jadikan alasan untuk tidak menyokong mereka. Kita perlu terus menyokong. Pemain sebenarnya ada maruah dan terlalu sangat mengidam untuk menang.  Tapi apa yang diidamkan itu tidak mendapat sokongan padu penuntun Malaysia sendiri. Sudah tentu kita tidak membantu perjuangan mereka. Tolonglah, please. 

Dalam beberapa hari lagi Malaysia akan bertemu dengan Liverpool. Saya dapat mengagak keadaan yang sama akan berulang lagi. Harap-harap apa yang saya sangka itu meleset.


Sokonglah pasukan kita sebab pasukan kita akan dibelasah oleh Liverpool. Takkan kita bergembira terlompat-lompat apabila kita kena belasah. Ada jati dirilah  , kalau tak banyak sekelumit pun tak apa asalkan semua kita sokong Malaysia. 

Tidak bermakna kita tidak boleh meraikan permainan pasukan Inggeris yang bermutu itu. Kita boleh tepuk tangan dan bersorak memuji permainan cantik mereka. Cuma jangan lupa pasukan kita . Mereka perlu sangat sokongan.


Sokonglah pasukan Malaysia.  Tolong sokong, please!

Rabu, 13 Julai 2011

SELAMAT HARI ULANG TAHUN KE 21

1. Hari  ini 13 Julai 2011 adalah hari ulang tahun ke 21 kelahiran Siti Nuradilla, puteri bongsu kami yang sekarang ini ditahun 3 perubatan di Universiti Mansoura Mesir..

2.Papa dan mama mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran. Semoga CT sentiasa diberikan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan dapat mengharungi kehidupan dengan penuh tabah dan keyakinan.

3. Dalam usia yang sebegini sudah tentu ct telah mengumpul banyak pengalaman, ada yang sukar, duka, pahit, dan seronok, manis, gembira dan menyenangkan. Itu adalah asam garam dalam sebuah  kehidupan . 

4. Kami semua disini berdoa semoga ct dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan dapat menjawab segala soalan denga betul dan mendapat kejayaan yang cemerlang. Semoga Allah memperkenankan doa ct dan papa mama , kakak Ira dan kakak Jaja dan Beman.

5. Tadi ambil buah durian di kebun. Tengah kutip durian sama Beman, tiba-tiba sebiji durian menghempap atas bahu papa. Tergaris sedikit.Beman pulak bila melangkah parit kecil hampir masuk dalam parit yang terlalu dalam. Nasib baik papa cepat tangkap tangan dia. Kalau tidak, tak tau apa akan terjadi. Jadi papa jadi hero menyelamtakan anak. 

6. Nampaknya tahun ini pokok dorian banyak berbuah. Tak tahulah ct sempat atau tidak bila balik nanti. 

7. Sekali lagi kami semua mengucapkan selamat hari jadi ct yang ke 21. Jadi anak soleha. Sentiasa ingatkan Allah , taat pada perintahnya. Sayangkan Rasullullah, ikut sunahnya,

SELAMAT HARI JADI YANG KE-21 , PANJANG USIA, MURAH REZKI, JADI ANAK SOLEHA DAN BERJAYA CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN. AMIN.

Selasa, 12 Julai 2011

Rupa-rupanya Tenaga Tidak Seperti Dulu.

Hari ini saya tiba-tiba berasa pening dan pitam semasa mendukung cucu. Nasib baik ada isteri dan anak untuk membantu. Kalau tidak apakan terjadi pada cucu, Allah saja yang tahu. Saya terus terduduk mahu rebah. Isteri sempat membantu memicit kepala dan menyapu minyak angin. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku.

Sebelum itu saya telah membuat kerja tidak sepadan dengan tenaga yang ada.


Maka setelah reda sedikit saya mahu menulis begini:

"Setiap hari kita akan melihat wajah kita dalam cermin semasa bersiap-bersiap merapi rambut, misai mahu pun janggut. Itu bagi lelaki yang mempunyai sifat-sifat sedemikian. Bagi lelaki yang tidak bermisai , berjanggut dan yang botak lain pula rapiannya semasa berhadapan dengan cermin. Wajahnya yang diapaparkan oleh cermin itu juga menjadi tumpuan matanya.

Begitu juga perempuan atau wanita yang berdandan, yang biasanya mengambil masa yang lama berbanding lelaki, akan tidak gagal menatap wajahnya yang terpapar dalam cermin. 

Tapi kita tidak pula pernah memikirkan apakah wajah kita itu telah menunjukkan perubahan setiap kali terpapar dalam cermin itu. Yang kita mahu lihat ialah wajah kita itu akan memberikan sesuatu yang enak dan sedap untuk dipandang, kita sendiri, dan lebih-lebih lagi untuk orang lain.

Dengan demikian selalunya kita merasakan peristiwa yang telah lama berlalu misalnya semasa zaman kanak-kanak  dulu hanya satu peristiwa yang baru saja berlaku.

Apabila kita menyedari bahawa ianya satu peristiwa yang lama, peristiwa pada zaman kanak-kanak maka pada masa itulah kita mula mengatakan bahawa cepat sungguh masa berlalu. Dan kita mula meraba-raba anggota badan kita terutama anggota yang selalu kita lihat dalam cermin iaitu wajah kita. Sudah tentu  kepala kita antara yang menjadi sasaran rabaan kita. Rupanya tangan kita mula merasa yang rambut kita telah mula menipis.

Kemudian cuba pergi berhadapan dengan cermin. Memang sah . Bukan saja menipis malah ada yang telah bertukar warna, hitam menjadi putih, sudah banyak uban. Pada masa itu barulah kita mengaku bahawa selama ini kita cuma memandang wajah dicermin dengan memberikan tumpuan bagi mendapatkan wajah yang sedap mata memandang sehingga kita lupa akan perubahan pada wajah yang telah dimakan usia.

Ya, ada diantara kita cuba berikhtiar untuk mendapat wajah yang dikatakan awet muda dengan berbagai cara. Sudah tentu melibatkan belanja. Besar atau kecil belanja adalah bergantung kepada setakat mana  tumpuan yang kita berikan kepada sedap mata memandang. 

Cuma dengan memandang wajah kita dalam cermin itu , kita mesti percaya dan ingat selalu bahawa masa yang berlalu akan tetap mengajak wajah kita bersama. Maknanya wajah kita hari ini akan menjadi semalam pada esok harinya, dan seterusnya menjadi basi bersama dengan perjalanan masa, dimakan usia.

Kalau begitu tidak perlu terlalu keterlaluan kita memberikan tumpuan kepada sedap mata memandang. Lagi pun mata kita pun tidak sejernih seperti dahulu.   

Itu mengenai sedap mata memandang. Bagaimana pula dengan kudrat dan tenaga? 

Sebenarnya kudrat dan tenaga yang mula-mula sekali memberi isyarat akan tahap usia kita. Semakin berusia semakin kuranglah kemampuan kita untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Kita mudah rasa letih dan penat. Dan kalau kita masih berdegil lagi dan mahu meneruskan kerja seperti dahulu, risikonya amat tinggi sekali. Boleh rasa pening kepala dan pitam kerana paru-paru kita tidak bekerja sebaik dulu, oksigen tidak masuk selancar dahulu.

Maka apabila kita memandang wajah dalam cermin jangan tumpu sangat kepada sedap mata memandang sehingga kita terlupa wajah kita telah dimakan usia. Dan apabila kita mula cepat merasa penat dan letih sedangkan dahulu tidak begitu maka jangan kita berdegil untuk terus melakukan kerja yang sememangnya bukan lagi layak bagi kita melakukannya".