Theflowersellingboy

Selasa, 31 Mei 2011

Mencari Jalan Keluar Mengatasi Belanjawan Defisit (Defisit Budget) Sebuah Keluarga

Bagaimana seorang Pemandu Kenderaan Kerajaan yang tinggal disebuah rumah pangsa yang dibeli secara ansuran bulanan bagi tempoh 25 tahun, mempunyai lima tanggongan iaitu dirinya, isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak yang bersekolah yang masing-masing berumur 15, 13 dan 11 tahun; dan  jarak rumah ke tempat kerja ialah 20 kilometer yang menghadapi perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak menentu membuatkan beliau terpaksa membeli sebuah motorsikal 150 c.c secara bayaran ansuran bulanan untuk tujuan ke pejabat, mampu menguruskan belanjawannya terutama dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurangan subsidi bagi item-item tertentu seperti minyak dan beberapa barang kawalan untuk menjalani kehidupan yang telah dijanjikan sejahtera oleh Kerajaan semasa merayu undi mereka dahulu. 

Bagaimana mereka mencari jalan keluar atau sebenarnya adakah jalan keluar terbuka untuk mereka atau adakah mereka mempunyai peluang untuk mencari jalan keluar?


Profil seorang pemandu kenderaan kerajaan

A.Pendapatan bulanan

1. Gaji dan elaun tetap yang lain RM1500.00
2. Elaun kerja lebih masa            RM   200.00
Jumlah                                         RM 1700.00 sebulan
Anggaran ini mungkin kurang tepat bagi setiap bulan . Ia cuma anggaran pendapatan purata dan mungkin anggaran ini lebih dari pendapatan sebenar yang didapati oleh seorang pemandu kenderaan kerajaan.           


B. Tanggongan 5 orang


C. Butir-butir Perbelanjaan Bulanan
   
     1. Belanja Dapur
     2. Bil utiliti (letrik, air, telepon, internet)
     3. Ansuran bulanan beli rumah
     4. Minyak motor ke pejabat
     5. Makan dipejabat
     6.Ansuran bulanan kenderaan motorsikal
     7. Belanja persekolahan anak (wang poket, sewa bas, tuisyen)
     8. Ansuran bulanan bagi hutang perabut, tv, peti ais, komputer,dll).
     9. Penyenggaraan motosikal
     10. Simpanan untuk PTPTN (untuk membiayai pelajaran anak apabila memasuki IPT)
     11. Kiriman wang kepada kedua ibubapa di kampong.
     Jumlah semua perbelanjaan RM1700.00 + X + Y + Z

C. Bajet atau belanjawan bulanan pemandu
     Pendapatan     RM1700.00
     Perbelanjaan   RM1700.00 + x +y + z
     Defisit            ( x +y + z )


D. Sumber Pembiayaan Untuk Menampong Defisit (mencari jalan keluar)


     1. Menjual di pasar malam
     2. Meminta isteri bekerja
     3. Mengurangkan butir perbelanjaan
     4. Berpuasa selang hari (bukan berpuasa mewah waktu berbuka)
     5. Menjual minyak kenderaan kerajaan
     6. Menipu inden minyak
     7. Mencuri dan merompak
     8. Bunuh diri kerana tidak sanggup melihat anak-anak merana kelaparan    

Agaknya itulah jalan keluar yang boleh difikirkan oleh pemandu itu.
Jalan keluar 5 hingga 7 boleh menempatkan pemandu dalam penjara kerana siapalah mereka untuk dapat dikecualikan dari tindakan dan hukuman daripada perbuatan yang menyalahi undang-undang negara. Tapi apa boleh buat demi tanggongjawab untuk kehidupan sebuah keluarga, itulah pilihan yang ada pada mereka. Jalan keluar ke 8 ialah jalan yang sesat. Itu bukan jalan keluar sebenarnya.    

Bagaimana pula seorang menteri dan ahli pentadbiran yang lain diperingkat negeri dan persekutuan mencari jalan keluar untuk mengatasi pemotongan subsudi nanti.  Atau mereka tidak perlu berbuat begitu kerana bajet mereka tidak pernah defisit malah sentiasa surplus melempah ruah. Apakan tidaknya, kerana pendapatan mereka entah berapa kali ganda berbanding dengan seorang pemandu. Berbagai kemudahan disediakan dibawah Peraturan Pentadbiran, Akta dan Enakmen/ Ordinan. Rumah dan kereta disediakan. Kalau tiada rumah disediakan elaun rumah. Minyak kereta tidak menjadi masalah jika subsidi dihapuskan. Belanja makan dan minumpun boleh dijimatkan kerana disediakan waktu mesyuarat, majlis atau perjumpaan.

Bagaimana agaknya rupa bajet keluarga mereka. Surplus, berimbang atau defisit. Kalau defisit bagaimana mereka mencari jalan keluar. Adalah lebih molek mereka membentangkan bajet keluarga untuk kita rakyat semua terutamanya pemandu kenderaan belajar bagaimana cara mereka menghadapi pemotongan atau pengurangan subsidi.  

Ya, memang mudah bagi menteri menyeru rakyat untuk mengurangkan belanja atau bersedia menghadapi kenaikan harga berikutan pengurangan subsidi kerana pemotongan subsidi itu tidak akan menyeksakan mereka.

Tetapi kita masih lagi belum mendengar syor atau cadangan untuk mengkaji dan seterusnya mengurangkan atau memotong beberapa jenis kemudahan yang dinikmati oleh menteri dan yang lain-lainnya sekarang ini .Dan tidak ada cadangan serta tindakan bagi mengkaji dan mengurangkan keuntungan yang diperolehi oleh beberapa pihak dalam beberapa perjanjian konsessi dan sebagainya, dan tidak juga kedengaran bagi mengurangkan perbelanjaan yang kurang perlu berbentuk ceremonial dan mengkedepankan imej. 

Jangan risau akan kata-kata orang bahawa mempertahankan subsidi sebagai tindakan mencari populariti kerana populariti itu lebih terserlah kalau kerajaan mengambil tindakan bagi mengkaji apa yang telah disebutkan diatas tadi. Atau adakah ianya satu alasan semata-mata kononnya kerajaan tidak mahu populariti.  Benar ke begitu? Kalau begitu baguslah dan jangan dapatkan suara majoriti kerana kerajaan tidak mahu popular!

Namun, kita masih mahu meneruskan soalan iaitu kenapa pula subsidi untuk merengankan kehidupan rakyat menjadi fokus dan sasaran untuk dihapuskan atau dikurangkan. Bagaimana pula nanti gamaknya pemandu itu  dapat mencari sumber tambahan apabila Goods and Services Tax (GST) dilaksanakan. Ya, kerajaan akan mempunyai liputan  cukai yang meluas termasuk pemandu tadi. Beban kewangan kerajaan pun menjadi rengan kerana telah berpindah kepada sebahagian besar rakyat. Tertekan lagi pemandu yang miskin itu.

Telah diberitakan juga tarif elektrik akan naik sebanyak 7 setengah peratus berkuatkuasa 1 Jun ini. Tambah lagi beban rakyat.

Sesungguhnya kita tidak akan merasa perit kesusahan kerana kita bukan seorang pemandu atau golongan yang senasib dengannya. Kasihanilah mereka kerana mereka juga diantara orang yang telah menyokong kita. Usahlah memaksa  mereka melakukan perbuatan yang tidak wajar seperti menipu dan membunuh diri.    


Bukankah kerana sokongan dari sebahagian besar dari mereka membolehkan kita duduk disitu?

Isnin, 30 Mei 2011

Rakyat Mesti Bersedia Menghadapi .........?

Ketika ini rakyat telah kerap diingatkan supaya bersedia menghadapi potongan subsidi kerana kerajaan tidak lagi dapat secara berterusan untuk menampong subsidi itu lagi kerana ianya membebankan kepada pendapatan negara. Atau dalam bahasa belanjawan yang di sebut bajet ketika ini, subsidi berterusan akan membuatkan defisit belanjawan negara akan melebar. Ertinya pendapatan negara adalah lebih kecil dari perbelanjaan. Adalah kurang bijak untuk negara berbelanja lebih dari pendapatan yang diterima. Sebaiknya pengurusan negara diuruskan secara berimbang dimana pendapatan negara bersamaan dengan perbelanjaan mengurus. Ertinya negara berbelanja berpandukan konsep 'ukur baju dibadan sendiri'.

Diatas ialah hujahan dari pihak Kerajaan bagi meyakinkan rakyat atas tindakan Kerajaan atau tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan untuk mengurang dan secara beransur menghapuskan subsidi atau bantuan bagi merengankan bebanan tanggongan negara. Kerajaan meminta rakyat menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan. Beli hanya yang perlu saja dan berusaha lebih lagi untuk meningkatkan pendapatan atau cadangan menanam sendiri sayuran untuk menghadapi perbelanjaan yang meningkat.

Rakyat pula terutama sebahagian besar rakyat terlalu mengharapkan supaya kerajaan tidak mengambil tindakan mengurangkan apatah lagi menghapuskan subsidi kerana ianya akan membebankan kehidupan mereka. Pendapatan mereka juga adalah kurang berbandingkan dengan perbelanjaan yang perlu akibat dari kenaikan kos hidup berpunca dari kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Bermakna mereka juga akan mengalami bajet yang defisit. 

Hujahan Kerajaan dan rakyat terbesar nampaknya menggunakan alasan yang sama bagi mempertahankan keperluan masing-masing iaitu 'membebankan'.

Bagi kerajaan jika subsidi diteruskan ianya akan membebankan kepada pendapatan negara. Lantas negara tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan untuk mengembangkan ekonomi negara. Jika ianya beterusan akibatnya negara akan menjadi bengkrap atau muflis.

Hujahan rakyat adalah jelas, menyusahkan. Boleh jadi miskin dan papa kedana sama seperti hujahan kerajaan yang mengatakan negara boleh jadi muflis.

Masing-masing pihak nampaknya mempunyai hujah masing-masing cuma yang berbeza ialah keupayaan untuk mencari jalan keluar sebagai cara penyelasaian bagi mengurangkan bebanan itu. Diantara rakyat dan kerajaan pihak manakah yang mempunyai kemampuan untuk mencari jalan keluar yang terbaik tanpa menyusahkan atau membebankan  sangat rakyat dan negara?

Disamping kita mengakui rakyat mempunyai peranan yang penting bagi membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan bebanan negara, kita lebih chenderung untuk mengatakan Kerajaanlah yang mempunyai kemampuan yang lebih untuk mencari jalan bagi mengurangkan bebanan rakyat dan negara. Bukankah itu sebenarnya tanggongjawab kerajaan? Tanggongjawab bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat? Adakah langkah mengurangkan subsidi terutama bagi barangan dan perkhidmatan yang amat perlu seperti minyak tidak menyusahkan rakyat. Bagi kita pilihan itu tidak bijak kerana ia boleh membebankan rakyat.

Banyak cara atau kaedah lain yang boleh difikir dan dilaksanakan sebelum kerajaan menggunakan potongan atau penghapusan subsidi sebagai kaedah bagi mengurangkan perbelanjaan negara. Mengapa tidak melihat kepada beberapa jenis perbelanjaan kerajaan, belanja pengurusan dan belanja pembangunan.

Dari segi belanja pengurusan mungkin boleh dlihat perbelanjaan-perbelanjaan yang berbentuk ceremonial atau acara rasmi sambutan.  Majlis-majlis seperti ini perlu dikurangkan atau setengahnya tidak perlu diadakan. Sebagai contoh majlis perhimpunan sejuta belia baru-baru ini. Apakah kesan ekonomi yang positif dari majlis itu. Perjalanan ke luar negara patut dikurangkan termasuk ahli rombongan. Dan sekiranya rombongan ke luar negara itu di beri Taraf Negara atau 'Guest Status' oleh negara tuan rumah maka ahli-ahli rombongan tidaklah wajar membuat tuntutan perbelanjaan bagi perbelanjaan yang telah ditanggong oleh negara tuan rumah. Adakah ini diamalkan.

Memang mudah bagi pemimpin kerajaan untuk mencadangkan atau menasihat rakyat untuk berjimat cermat atau mengurangkan perbelanjaan dan hanya belanja yang perlu sahaja, dan bersedia untuk menghadapi potongan subsidi kerana pemimpin kerajaan tidak akan merasa kesan kesusahannya. Rakyat tidak ada berbagai kemudahan seperti pemimpin kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang dapat menepis kesusahan akibat kenaikan harga. Apa ada hal harga minyak naik kerana tuan-tuan, YAB dan YB-YB sekalian mempunyai kereta rasmi yang pembiayaannya ditanggong oleh wang cukai rakyat. Tidak ada masalah harga tepung naik kerana anda sentiasa menghadiri majlis-majlis rasmi dengan dijamu berbagai juadah , dan kadang-kadang makanan itu berlebihan kerana sebahagiannya banyak pantang tidak boleh makan tetapi masih lagi dihidangkan, dibuang dan membazir. Wang siapa itu agaknya?

Apa ada hal untuk membiayai anak belajar sebab banyak sumber kewangan yang sedia membantu anda atau anda ada terlalu banyak 'access'. Pergi ke luar negeri pun selalu manakan anda boleh merasa kesusahan rakyat yang anda pesan-pesankan untuk berjimat cermat.


Banyak lagi kemudahan-kemudahan yang anda nikmati. Kenapa tidak dilihat kesemuanya ini supaya anda yang dipilih rakyat dapat bersama membantu mengurangkan defisit bajet negara.


Projek-projek pembangunan juga boleh dilihat semula supaya kita hanya memilih projek-projek yang secara langsong boleh meningkatkan pendapatan negara dan rakyat. Projek-projek untuk melonjak imej atau status untuk menjadi legasi kepada pemimpin hendaklah diketepikan.


Juga terlalu penting menghapusakan salah urustadbir. Rasuah dalam pelaksanaan projek melalui berbagai kaedah yang dikatakan telus tetapi penuh dengan silap mata. Memang sentiasa dikatakan tender terbuka bagi sesuatu perlaksaan projek. Tetapi keterbukaan itu tidak ada maknanya jika perlaksanaan itu boleh dilakukan mengikut pilihan yang kita suka kerana kita boelh berselindung di sebalik klausa ' pihak kerajaan tidak terikat untuk menerima mana-mana tawaran yang rendah' atau klausa-klausa yang membawa pengertian yang sama.


Selain dari itu perjanjian-perjanjian yang berat sebelah yang memberi kesan kepada kos kehidupan seperti konsessi air, tol dan pengeluaran tenaga bebas (IPP) yang diwarisi dari polisi-polisi kerajaan yang lepas perlu dikaji dan dirundingkan. Adalah menjadi tanggongjawab pihak berkenaan untuk bersama-sama menghadapi keadaan yang ada, kenaikan kos hidup, membantu dengan bersetuju mengurangkan keuntungan.


Oleh yang demikian kita bersetuju supaya rakyat bersedia untuk menghadapi kenaikan harga kerana tidak wajar selama-lamanya kita bergantung kepada subsidi. Namun kita lebih bersetuju supaya tindakan memotong subsidi itu mestilah didahului dengan tindakan pihak berkuasa mengurangkan perbelanjaan yang kurang perlu seperti yang dinyatakan dan melaksanakan urustadbir yang baik khususnya menghapuskan rasuah.


Kita percaya nasihat kerajaan supaya 'rakyat sedia menghadapi pemotongan subsidi ' akan lebih diyakini dan difahami jika inisiatif pengurangan perbelanjaan itu dimulakan oleh pihak yang berkuasa. InshaAllah kita semua, rakyat terbanyak dan kerajaan akan tidak sentiasa tertekan dik beban perbelanjaan yang meningkat.

Ahad, 29 Mei 2011

Menyusuri Sungai Melaka : Melaka River Cruising

Bergambar sementara menunggu giliran untuk menaikki bot di Taman Rempah.

Harga Tiket :RM 20/seorang dewasa
RM10/seorang kanak-kanak


 Ini ialah Kampong Morten sebuah kampong tradisional Melayu di tepi Sg. Melaka. Rumah-rumah kampong tersebut dijadikan sebahagian dari produk pelancungan negeri Melaka.

 Sebahagian lagi landasan monorel ditepi Sg Melaka

 Sebahagian dari rumah dipesisir sungai

 Hotel mewah berhmpiran dengan kuala sungai

Menyusur Sungai Melaka atau Melaka River Cruising merupakan salah satu dari produk pelancungan Negeri Melaka. Para pelancung boleh membeli tiket di Taman Rempah dengan harga RM20.00 seorang dewasa dan RM10.00 bagi kanak-kanak. Sepanjang penyusuran kita akan dapat temui bangunan-bangunan dari berbagai seni bena iaitu seni bina Melayu, Cina , Belanda, Inggeris dan Portugis.

Mula-mula kita akan temui kampong tradisi Melayu yang di panggil sebagai Kg Morten mengambil sempena nama Pesuruhjaya Tanah Negeri Melaka ketika itu. Kesemua rumah di sini telah dihiasi dengan lampu-lampu untuk mencantikkan lagi pemandangan diwaktu malam.

Kita juga akan menyusuri beberapa buah jambatan yang merentangi sungai itu. Diantaranya ialah Jambatan Hang Tuah dan Jambatan Kampong Jawa. Kita juga akan boleh ketemu pengangkutan mono rel.

Terdapat juga sebuah hotel mewah yang baru dibena.

Untuk menyusur Sg Melaka boleh juga dilakukan disebelah malam yang memberikan pandangan yang indah dan menarik.

Pada 1 sehingga 30 Jun akan berlangsong Pesta Sungai Melaka kali ke 5. Berbagai acara telah disusun untuk tujuan itu. Datanglah beramairamai.

Masih Ada Peluang Lagi: Usah Kecewa

Beberapa hari yang lepas mereka yang memohon untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM memberikan berbagai reaksi bergantung kepada berita yang mereka terima. Mereka yang berjaya  dalam permohonan mengikut pilihan sudah tentu merasa gembira, dan ada yang rasa sedikit kurang gembira walaupun permohonan mereka berjaya tetapi dik sebabkan bukan bidang pilihan pertama. Kita faham perasaan mereka yang tidak berjaya, sudah tentu tidak ceria , wajah muram seolah-olah itulah saja masa depan yang akan dibawa.

Ada juga yang berjaya itu tidak juga rasa sempurna kejayaan mereka kerana dapat tawaran biasiswa belajar dalam negeri sahaja kerana ada kawan dapat pergi USA, UK, Germany, Korea , Jepun dan mana-mana saja diseberang laut.

Kesemua reaksi-reaksi itu adalah gambaran jelas bahawa melanjutkan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi adalah  sesuatu yang memang menjadi cita-cata semua orang khususnya pelajar-pelajar lepasan SPM itu. Ertinya telah ada didalam hati bahawaitulah yang jadi keutamaan mereka.

Tetapi sayang sebahagian mereka yang tidak berjaya dalam permohonan itu telah menjadi luntur cita-caita hanya kerana permohonan mereka tidak berjaya. Jangan begitu. Anda masih muda dan perjalanan hidup anda masih jauh lagi. Peluang masih terbuka luas.

Marilah kita semua berdoa supaya anda memilih jalan yang terbaik untuk meneruskan kehidupan. Dan anda mesti juga berusaha dengan gigih, membina kekuatan diatas 'kegagalan' anda itu. Jauhkanlah dari memanjang-manjangkan ingatan kita tentang perkara yang lepas. Tidak ada gunanya kerana ia menambahkan sakit hati dan kecewa. Kenangan itu tidak membawa kita kearah yang lebih baik malah ia menghasutkan kita untuk memilih cara kehidupan yang tidak baik dan tidak sihat. Sebab itulah banyak kawan-kawan anda yang terlalu merasa kecewa memilih untuk mengambil dadah sebagai jalan keluar dalam meneruskan kehidupan yang mereka anggap tidak akan memberi apa-apa harapan. Ada yang terlibat dalam aktiviti kurang sihat seperti rempitan. Elakkan diri anda berfikir ke arah itu. Cahaya kehidupan masih ada lagi bagi anda , dan sinarannya sentiasa menunggu anda dengan syarat anda mesti yakin dan bekerja kuat menuju ke cahaya itu.

Banyak peluang yang terbuka bagi anda melanjutkan pelajaran walaupun gagal tadi. Banyak institusi pengajian, kerajaan atau swasta yang menyediakan berbagai kursus untuk menaikkan nilai pasaran anda. Bukankah itu yang kita hasratkan? Kalau begitu gunakan saluran yang lain pula untuk mendapatkan nilai pasaran itu. Kita ada Kolej Komuniti, Kolej-kolej dibawah pengurusan MARA seperti Kolej Professional MARA atau banyak lagi yang lain yang menawarkan berbagai jenis kursus, disampinh menyediakan pembiayaan. Kolej-kolej swasta yang terbaik pun ada menawarkan berbagai kursus. Cuma pembiayaannya saja yang mungkin menjadi halangan.

Diantara kursus-kursus yang belum mendapat sambutan yang hangat dari para pelajar khususnya pelajar Melayu ialah kursus untuk menjadi pekerja diperingkat pertengahan iaitu kursus-kursus kemahiran dan semi-professional.  Satu daripada kursus itu ialah CAT atau Certified Accounting Technician yang mengambil masa 1 tahun setengah atau dua tahun atau sehingga anda lulus kesemua kertas yang ditawarkan. Jika anda lulus anda berpeluang untuk meneruskan ke peringkat ACCA. Kalau anda berjaya diperingkat ACCA, nilai pasaran anda terbuka luas dan lumayan sekali. Malah berkemungkinan lebih baik daripada kawan-kawan anda yang telah berjaya sewaktu memohon masuk universiti yang mengambil bidang yang mungkin nilai pasaran tidak seberapa.

Banyak lagi bidang kursus yang masih terbuka luas. Satu lagi yang boleh difikirkan ialah Non-Destructive Testing (NDT). Kursus ini adalah satu kursus kemahiran yang menjurus kearah kejuruteraan. Anda bolehlah menyemak secara terperinci tentang kursus ini dan pihak-pihak yang ada menawarkannya.

Apa yang hendak disampaikan ialah bahawa kegagalan permohonan anda itu tidak sekali-kali menutup peluang anda untuk meneruskan pelajaran. Percayalah Allah sentiasa membukakan pintu rezekiNya sekiranya kita tidak mudah kecewa sebaliknya berusaha dengan lebih gigih kerana sumber rezeki terbuka luas. Peluang masih ada dan usahlah kita kecewa.

Sabtu, 28 Mei 2011

Ada Gangguan Teknikal

Blog the flower selling boy tidak dapat membuat paparan pada hari jumaat 26 Mei 2011 kerana masalah teknikal. Pada pukul 11 malam Sabtu 27 Mei 2011 barulah masalah itu dapat diatasi. Oleh itu mohon maaf diatas kegagalan membuat paparan. Paparan hari ini sebenarnya untuk hari Jumaat dibawah tajuk Salam Jumaat. Mulai esok, Ahad paparan baru akan dibuat, InshaAllah.

GST: Apa Bendanya Tu

Apa bendanya GST tu.

Kemungkinan besar itulah pertanyaan yang tercetus atau yang tersimpan dari atau dalam hati kebanyakan orang apabila terbaca atau mendengar sebutan dari mana-mana media perkhabaran pelbagai jenis.

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh dan Salam Jumaat yang ke Dua Belas untuk anda budiman.

SJ memulakan salam dengan pertanyaan seperti diatas, ya , apa itu GST. Anda semua bebas untuk memberikan jawapan mengikut sudut pandang masing-masing, mengikut kecenderungan berdasarkan fahaman politik, bidang keceburan atau minat dan kesukaan anda. Setengah pihak terlalu berminat untuk memperlekeh, menyindir, kata-mengata dengan tujuan untuk menjatuh atau memandang rendah pihak yang lain. Ada yang terlalu akademik dan serious sambil membuat kupasan yang mungkin tepat, bernas tetapi tidak mudah difahami oleh orang-orang pasar, pasar malam, pasar tamu, pekan rabu atau bazar ramadhan. Tidak kurang juga pihak yang terlalu yakin betapa bagus jika GST itu disokong dan diterima.

Tetapi apa itu GST? Macam mana kita hendak terima jika kita mempunyai berbagai tanggapan dengan memberikan setiap huruf dengan perkataan yang berbeza. Atau perkataan yang sama tetapi kita saja yang faham yang amat mengerti sedangkan sebahagian yang besar tidak faham terus tidak ambil peduli walau pun pada akhirnya mereka sendiri menerima implikasi.

Kalau anda seorang ahli sukan, katalah pelumba lari, tidak kira jarak dekat atau jarak jauh, semasa anda bersaing, semasa anda dan pelari-pelari yang lain hendak dilepaskan digaris permulaan, anda mungkin mendengar suara pelepas yang memegang pistol menyatakan, sebagai arahan: Get, Set (.senyap beberapa saat) peng (bunyi tembakan pistol, tak kisahlah peng ke pum ke atau beng atau yan lain-lain). Cuba anda susun huruf mengikut kaedah pelepasan tadi. Pertama sudah tentu huruf G, kedua S. Huruf ketiga, ada masalah. Takkan P untuk bunyi peng atau pum. Atau hurf B untuk bunyi beng. Mungkin ada yang mencadangkan huruf G kerana ianya boleh digunakan untuk 'go' seperti pelepas yang suatu masa dulu yang tidak menggunakan pistol. Maknanya kita telah dapat menyelesaikan masalah.

Belum lagi. Cuba aturkan huruf yang anda fikirkan tadi iaitu G , S, G. Sudah tentu tidak sama dengan huruf yang kita maksudkan iaitu GST.

Jawapan anda tidak salah kerana pada akhirnya pelari-pelari itu memecut juga. Itu pandangan anda. Tapi yang sebenarnya tahu ialah pelepas itu sendiri kerana dia yang terlibat menarik pemicu pistol itu . Dia tahu apa perlu dibuat selepas mengatakan 'set' iaitu tembak. Sekarang anda susun huruf itu berdasarkan perbuatan pelepas itu. Sudah tentu anda berjaya menyusun huruf  menjadi GST.
  
Sudah ke kita memberi jawapan yang sama akan huruf GST itu? Belum lagi tetapi sudah ada bau-bau bacang. Kalau dah masak ranum tak payah diberi tau semua akan terbau. Ada yang suka dan tak kurang yang lari sambil tutup hidung kerana tidak yahan dengan baunya.

Baiklah , GST ini kerajaan saja yang tahu dan pakar kerana sama seperti pelepas tadi, kerajaan yang menentukannya bila nak melepaskan tembakan. Kerajaan perlu melihat banyak perkara antaranya kesediaan rakyat dari segi keupayaan atau kemampuan, kefahaman rakyat, kesan dan faedah kepada negara dengan merujuk kepada kepentingan rakyat dan banyak lagi. Kalau pakai tembak saja, naya rakyat. Kita harap GST ini bukan satu senjata untuk tembak rakyat terbanyak  Sasaran biar betul.

Itulah yang dikatakan bau-bau bacang. Ada yang suka dan ada yang tutup hidung.

Maknanya Kerajaan mesti beri fahaman yang tepat dan betul apa itu GST. Gunakan pakar molek juga. Tapi pakar kita ni cakap selalunya mereka faham sendiri. Macam satu sessi mempertahankan tesis. Sudahlah begitu bercakap gunakan bahasa campur-campur. Sekejap orang putih, sekejap Melayu. Yang paling mengelirukan apabila ayat Melayu atau orang putihnya tak habis. Tergantung. Kalau anda tidak percaya ikutilah forum, perbincangan dalam semua saluran media perdana. Cubalah. "...you know we can't apa tu biarkan our negara keep on borrowing, abislah...". Mungkin bentuk macam ini yang anda boleh dengar.

Kalau nak cakap orang putih tidak salah. Teruskan kerana kita pun dapat belajar. Kalau nak cakap Melayu lebih baik kerana semua rakyat Malaysia boleh faham. Kalau tak faham maka sudah ingkar janji sebab syarat sebagai warga negara antaranya mesti tahu bahasa Melayu. Satu hal lagi, kalau cakap bahasa Melayu tu biarlah orang pasar boleh faham. Maksudnya orang pasar, pasar malam, pasar tani, pasar rabu, pasar tamu, pasar ramadhan dan yang setaraf dengan pasar Chow Ket faham. Apa yang mereka faham? Apa yang mereka mahu?

Yang mereka faham ialah  GST membawa erti wang mereka mencukupi  untuk tawar menawar dipasar.  Yang mereka mahu ialah supaya hidup mereka tidak tertekan dengan berbagai bayaran dan kenaikan kos hidup. Kalau nak beli ikan yang paling murah pun tak terdaya, fikir baik-baik jangan acukan picu pistol anda itu kepada mereka. Nanti mereka marah , mengamuk. Ingat mereka ini majoriti berbanding orang yang mengunjungi hyper market.

Apa saja nama diberikan kepada tiga huruf tadi bukan satu perkara yang merisaukan orang-orang pasar itu asalkan mereka dapat di fahami dan dihargai kemahuan mereka.

Bagi kerajaan GST itu ialah satu jenis cukai baru yang hendak diperkenalkan. Khabarnya pada tahun 2012 selepas pilihanraya umum gamaknya. Anda kena baca dan faham asas dan maksud GST ini. Jangan tunggu orang lain beritau. Sekarang kita semua mesti pandai berdikari dan cari sendiri. Jangan berangan-angan nak dapat subsidi berterusan. Subsidi itu candu. Bahaya.

Kita masih lagi belum memadankan huruf-huruf itu dengan perkataan yang sesuai. Baiklah, kita sudah kata GST itu sejenis cukai. Ada terkecuali ke? Mungkin ada yang terkecuali . Tapi yang pasti anda semua kena kerana anda perlukan barang-barang atau perkhidmatan. Melainkan anda berpuasa dan bertapa. Tapi itu pun tak tentu . Kena juga sebab anda perlukan pakaian dan berbuka puasa.

GST = Goods and Services Tax atau terjemahan Melayunya Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kalau pihak berkuasa tidak memberi penjelasan sebaiknya maka macam-macam orang boleh kata terutamanya yang cari fasal. Apatah lagi sekiranya memang kerajaan mahu cari fasal menyusahkan rakyat, menekan dengan beban belanja yang semakin meningkatkan sedangkan pendapatan meningkat tidak sebanyak mana. Maka GST itu dikatakan sebagai Gomen Suka Tekan; Gomen Suka Temberang dan yang teruk Gomen Sudah Teruk, dan yang legih teruk lagi Gomen Suka Tipu. Ada juga yang kaitkan sebagai Golongan Songkok Tinggi. Saya percaya anda faham kepada siapa gelaran itu dimaksudkan.
 
Oleh itu sekali lagi kita mengharapkan supaya pihak berkuasa Kerajaan dapat menjelaskan Goods and Services Tax ini dengan secara meluas dalam bahasa yang mudah difahami terutama dikalangan majoriti, orang pasar yang disebutkan tadi sebelum melaksanakan pada tahun 2012 nanti. Kalau ramai yang tak faham akan kebaikannya, mereka lebih yakin akan kata-kata GST itu sebagai Gomen Sudah Teruk dan Gomen Suka Tekan dan Gomen Suka Tipu.

Elakkan prasangka ini terlebih dulu.

Khamis, 26 Mei 2011

SUBSIDI ITU CANDU

Saya bertanya kepada isteri yang duduk disebelah semasa kami hendak ke pasar membeli keperluan harian: Apakah perkataan yang selalu disebutkan ketika ini yang boleh memberi kesan kepada kita dan negara? Isteri saya termenung dan berfikir panjang kerana terlalu banyak perkataan yang telah disebut dan diperkatakan dalam setiap detik dan masa. Cuma agaknya dia sedang mencari perkataan yang ada kait mengait dengan kehidupan harian, yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada kita dan negara. Isteri saya tersenyum dia telah jumpa agaknya perkataan itu. Dia jawab :'Pilihanraya.  Tidak lama lagi ada pilihanraya. Kita diberi peluang untuk memilih siapa yang akan memimpin'. Sukanya isteri saya seolah-olah dia telah memberi jawapan yang betul.

'Bukan' , saya merosakkan mood keceriaan isteri yang memang 100 peratus yakin itulah perkataan yang selalu diperkatakan ketika ini yang boleh memberi kesan kepada kita dan negara. Manakan tidak, sebab kalau salah pilih, kalau pilih pihak yang tidak memberi pertimbangan kepada kesejahteraan rakyat, bukankah naya jawabnya.

Saya pula tidaklah mengatakan jawapannya itu salah, cuma mengatakan 'bukan' saja kerana ianya tidak menepati dengan perkataan yang ada dalam otak kepala saya berdasarkan sudut pandang saya, tidak mesti saya yang betul. Mungkin perkataan 'pilihanraya' itu lebih tepat dan betul. Lagipun saya tidak ada pun buat kajian atau penyelidikan bagi menyokong secara saintifik dan statistik bahawa perkataan yang ada dalam otak kepala saya itu yang 'betul' bagi menjawab soalan yang ditanya.

'Tapi tak salah kan?' Kata isteri saya yang masih percaya dengan jawapannya itu. 'Memang tak salah tapi tak sama dengan perkataan yang abang ada'. 'Macam mana saya nak baca fikiran abang. Kalau betul pun abang boleh tukar perkataan lain sengaja tak mahu sama'. Isteri mengenakan tali pinggang keledar dan menggesa saya menghidupkan enjin kereta untuk ke pasar, semacam merajuk nampaknya.

Waktu menghidupkan enjin kereta saya melihat jarum penanda aras minyak melekat pada huruf 'E'. ' Wah bahaya ni,. Takut tak sempat sampai ke stesyen minyak, minyak habis'.  Isteri saya menempelak dengan mengatakan saya tidak memberi perhatian kepada ingatannya semalam supaya mengisi tangki minyak kereta Kelisa itu. Saya masih lagi mempertahankan diri dengan mengatakan 'kereta Kelisa tak kuat makan minyak. Setakat kestesyen Petronas yang jaraknya 2 kilo masih boleh sampai', walaupun saya sendiri merasa cemas.

Saya cemas kerana takut tak sempat sampai ke stesyen minyak. Saya juga cemas kalau-kalau harga minyak naik. Ketika ini  harga Ron 95 ialah RM1.90 seliter melebihi 15 sen seliter berbanding dengan harga sebelumnya yang juga melebihi dari harga sebelumnya. Maknanya harga minyak sentiasa naik. Alasan kenaikan ialah harga minyak dunia naik maka kita tidak ada pilihan melainkan menaikkan harga minyak. Itupun , kata pihak berkuasa, kerajaan kita masih menanggong subsidi minyak yang besar. Lagi pun , hujah kerajaan, harga minyak kita lebih murah dari negara jiran.

Cuma kerajaan terlupa nak beritahu pendapatan rakyat negara jiran yang jauh melebihi pendapatan rakyat kita. Kalau anda tidak percaya, anda bandingkan pendapatan seorang pemandu kereta kerajaan di Singapura (kakitangan peringkat rendah) dengan pegawai kerajaan Malaysia yang baru masuk kerja diperingkat pengurusan dan professional. Macam mana? Saya bernasib baik kerana mempunyai ramai sepupu di Singapura yang sentiasa berulang ke Malaysia melawat saudara mara  dengan kereta sendiri yang lebih besar berbanding dengan Kelisa seorang pesara , pegawai kanan kerajaan. Jangan banding dengan pemandu kita.

Hendak ke Singapura untuk membalas lawatan pun tak mampu. Asyik berkira fasal duit minyak. Duit tol. Kalau singgah di R&R nak minum teh dan makan goreng pisang atau apa saja, tentukan dulu duit cukup kerana harga secawan teh pun naik, harga makanan yang lain pun naik.  Semua naik. Alasan penjual ialah
harga gula naik, jadi harga secawan teh kenalah naik. Harga bawang naik maka harga makanan yang menggunakan bawang pun naik. Alasan yang popular ialah harga minyak naik, jadi harga yang lain kenalah naik sebab melibatkan pengangkutan.

Untuk mengurangkan beban kenaikan harga barang dan perkhidmatan, misalnya kenaikan harga gula kita telah dinasihatkan supaya jangan ambil gula terlalu banyak kerana ianya tidak baik dari segi kesihatan, kena kencing manis. Nasihat itu memang betul dan perlu diambil dan diamalkan. Pertama boleh kurang belanja. Kedua kesihatan kita terjaga. Namun apabila ada pihak yang menasihatkan supaya pengambilan gula dikurangkan kerana ianya racun, ini sudah lebeh.

Bagaimana pula kata-kata Perdana Menteri bahawa subsidi itu sudah menjadi sebagai satu candu?  Oleh kerana itu mereka yang sudah tercandu dengan subsidi tidak dapat menerima atau sentiasa tidak bersetuju apabila kerajaan bertindak atau bercadang untuk mengurangkan subsidi yang dikatakan 'membebankan' belanjawan kerajaan setahun ke setahun. Difisit semakin membesar. Takkan kerajaan nak meminjam bagi menguruskan negara semata-mata untuk mempertahankan pemberian subsidi berterusan. Macam mana dengan projek pembangunan? Pinjam juga. Macam ni matilah kerajaan.  Bengkrap. Muflis.

Itu yang diperkatakan oleh Kerajaan sebagai menyokong kenyataan bagi merengankan beban negara. Apa pula kata rakyat seperti saya dan yang lain. Macam-macam saya boleh kata. Anda pun sama. Mungkin kita berbeza dari sudut pandangan, sama seperti saya dan isteri dalam meneka soalan saya tadi. Yang pasti sama, ,ialah saya dan anda hendak hidup dalam keadaan yang sejahtera tidak sentiasa tetekan dengan kenaikan harga, boleh jadi papa, gila di buatnya.

Saya masih lagi belum memberi jawapan kepada pertanyaan saya kepada isteri tadi. Benar kah begitu? Sebenarnya saya telah menjawab cuma anda kena lebih perihatin dan teliti kerana jawapnnya ialah subsidi.

Masing-masing pihak , kerajaan dan yang menyokong dan pihak yang tidak menyokong terutama pihak yang bercita-cita untuk memimpin negara mempunyai pandangan yang sama iaitu 'subsidi' membebankan. Cuma yang berbeza ialah pihak yang pertama lebih cenderung untuk mengurangkan kalau tidak pun menghapuskannya, dan pihak yang kedua pula mempertahankannya , sebaik-baiknya subsidi minyak jangan dikurangkan tetapai subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) dikaji dan dikurangkan.

Saya tidak mahu mengatakan mana-mana pihak betul atau salah kerana saya tidak ada maklumat yang lengkap. Tapi saya terlalu pasti jawapan saya akan terjawab dalam pilihanraya nanti, termasuklah jawapan isteri saya, walaupun saya tidak mungkin dapat baca fikirannya dengan tepat. Saya hanya boleh baca apabila raut mukanya masam apabila saya mengurangkan duit belanja. Kurangkan SUBSIDI. Sebab itu CANDU.

Rabu, 25 Mei 2011

DUA-DUA CUCU AKU JUGA

Seorang khusuk bermain dan seorang lagi lena dalam impian. Siapakah gerangan mereka ini? Anda boleh memberi berbagai jawapan mengenai mereka. Saya percaya anda dengan cepat dan pantas menjawab anak-anak itu ada hubungan dengan penulis, mungkin anak atau cucu penulis. Jawapan yang  betul? , Ya cucu penulis.

Yang dikiri cucu pertama namanya Yousef Imran, dipanggil Yousef saja . Tapi gambar itu bukan yang terbaru. Waktu itu Yousef masih 4 bulan. Sekarang Yousef telah memasuki lapan bulan. Gambar disebelah kanan cucu yang kedua , namaya Ahmad Naqib, dipanggil Naqib saja. Gambar itu ialah semasa Naqib beberapa hari dilahirkan . Sekarang Naqib telah 2 bulan. Mereka itu adalah sepupu. Emak mereka adalah adik beradik, anak kepada penulis.

Yousef  dan Naqib ketika dilahirkan matanya cegelang terbuka seperti sudah biasa dengan alam yang baru. Apa yang penulis tahu, sebahagian besar bayi sekarang waktu dilahirkan matanya cegelang terbuka, berbeza dengan bayi dahulu, dua puluh tahun dahulu, dimana akan membuka mata paling cepat lima hari setelah dilahirkan.

Dalam sehari dua dilahirkan leher Yousef telah boleh menanggong kepalanya untuk tegak, tidak lentuk tapi kalau menangis air mata tidak keluar. Naqib pula sebaliknya, lehernya tidak sekuat leher Yousef selepas beberapa hari dilahirkan,  namun semakin hari semakin kuat seperti bayi yang lain, tetapi bila menangis mengeluarkan air mata berbeza dengan Yousef dan bayi-bayi yang lain yang pernah penulis saksikan.

Beza usia antara keduanya ialah 8 bulan. Ketika ini Naqib baru 2 bulan. Yousef  masih lagi belum berjalan tapi sudah laju merangkak dan boleh berdiri sambil memegang bibir katil atau apa saja yang dapat dipegang bagi menyokong  kaki untuk tegak berdiri. Naqib belum lagi, meniarap pun belum, cuma kadang-kadang ada usaha untuk mengereng badan ke kiri dan ke kanan semasa berbaring.

Yousef mahu dengan siapa saja walaupun dia sudah kenal orang. Tidak memilih. Tetapi kena ambil masa sedikit , tidak lama. Bila Yousef telah serasi dengan persekitaran, dan seminit dua telah menatap wajah seseorang, dia akan mudah didekati untuk diambil, didukung atau dibawa kemana saja.  Setelah dapat berbuat begitu, bawalah dia berjalan kerana kalau masih dekat dengan umminya kita hanya dapat sekejap saja bersama dengannya.

Naqib pula masih belum kenal orang. Siapa saja yang sanggup mendukung dan mendodoinya boleh saja berbuat begitu. Tapi perlu diberi peringatan bahawa Naqib ini kerap muntah. Kesian bila melihat Naqib semasa diasak oleh angin dalam perut sebelum mengeluarkan muntahnya. Beliau menangis semasa dalam keadaan seperti itu. Saya sendiri semacam sesak nafas apabila melihat Naqib hendak muntah, mahu menangis rasanya. Selepas muntah beliau mula merasa lega dan tidak menangis lagi. Walaupun  Yousef  selalu muntah pada usia yang sama dulu tapi muntahnya biasa saja.

Yousef mudah senyum. tengok cermin, dia senyum. Nampak orang walaupun baru bertemu dia senyum. Murah rezeki cucuku ini. Naqib pula telah pandai senyum dan ketawa bila dihagah. Pagi-pagi lagi dah bersuara ajak bermain.

Hal yang mesti juga diberitahu ialah tentang mandi. Biasanya yang memandikan ialah neneknya. Waktu mandi biasanya pada pukul 9 pagi . Yousef, semasa 1 hingga 3 bulan dulu suka sangat mandi, tak takut air. Oleh kerana lehernya kuat membuatkan kepalanya  tidak lentuk dan mudah untuk di mandikan. Tapi ada masalah juga sebab kakinya kuat menendang membuatkan neneknya terpaksa pegang kuat-kuat. Nenek pula tenaganya sudah semakin menurun. Nak bangkit dari duduk pun mengambil masa.

Naqib pula takut air, semasa beberapa minggu dilahirkan. Buka saja semua pakaian untuk dimandikan dia akan menangis, bukan perlahan, kuat , diterankan suaranya. Bila kena air, apa lagi  menjerit menangislah dia, menggeletar terlalu  kesejukan. Kesian juga tengok dia . Tapi sekarang, sudah ok, suka mandi dan tidak nangis.

"Yousef berhentilah main, tidur pulak".

"Naqib bangunlah, kita main-main".


Selasa, 24 Mei 2011

Terlalu Sedih Jika Itu Yang Kita Mahu.

Dari sehari ke sehari perjalanan masa di Malaysia disertai dengan isu-isu yang tidak memberansangkan bagi pembinaan sebuah negara bangsa, sebuah negara yang mana kesemua rakyatnya dapat hidup dalam suasana sebagai satu bangsa yang bersatu, aman dan harmoni.  Sehingga ada yang khuatir, sekiranya musuh datang menyerang mungkin kita tidak dapat secara bersama mempertahankan negara kerana telah timbul suara-suara yang lebih cenderung untuk melepaskan kewarganegaraan mereka dan berhijrah kenegara lain yang mereka suka. Keadaan bertambah teruk lagi apabila ada suara-suara yang terlalu gembira untuk mempersoalkan taat setia warga yang ada.

Sesungguhnya apa yang berlaku ketika ini akan membawa kesan negatif jangka panjang yang terlalu panjang,  yang merosakkan. Kesemuanya berpunca dari masing-masing kumpulan atau lebih tepat lagi masing-masing keturunan yang berasaskan kaum/asal usul mendakwa mereka tidak mendapat hak dan kedudukan sepatutnya sebagai warga negara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kesemuanya tidak berpuas hati walaupun ada yang senang lenang, tidak kira latarbelakang mereka.

Sebahagian besar Rakyat Malaysia sedar bahawa Persekutuan Tanah Melayu/Malaya  terbentuk adalah berpaksikan perbezaan. Mereka terdiri dari anak negeri atau orang asal (orang Melayu dan Bumiputera yang Lain) dan orang yang mendatang , mempunyai bahasa dan budaya serta agama yang berbeza. Perbezaan itu tidak pula menghalang mereka untuk berpakat , duduk bersama dan berunding untuk membebaskan diri dari penjajahan British. Maka mereka telah bersetuju  untuk hidup bersama dibawah naungan sebuah perlembagaan yang di panggil Perlembagaan Persekutuan, sebuah perlembagaan yang telah mengambilkira perbezaan-perbezaan itu yang diterjemahkan dalam semangat menang-menang. Ertinya kepentingan semua pihak terjamin walaupun masing-masing membuat pengorbanan.

Orang asal bersedia menerima orang yang mendatang sebagai warganegara manakala yang mendatang pula bersetuju  dengan kedudukan yang istimewa diberikan kepada yang asal dari segi bahasa dan budaya serta agama termasuk hak untuk membantu memperbaikki taraf sosio-ekonomi seperti peruntukan biasiswa. Bahasa dan agama yang mendatang tidak pula dilarang untuk diamalkan.

Apabila terbentuknya Malaysia terdapatlah peruntukan-peruntukan baru untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak. Namun peruntukan asal bagi hal-hal yang dinyatakan masih kekal.

Semua pihak telah bersetuju bahawa kita berbeza tetapi tetap bersama, tetap menjunjungi perlembagaan kita, perlembagaan yang sama. . Jadi apa masalah sampai kita tidak berpuas hati mahu berhijrah dan menganggap diri sebagai warga kelas kedua.? Dan ada pula yang mahu mengnyahkan warga sendiri. Apa sudah jadi? Tak terfikirkah perkara yang  tidak baik akan terjadi kalau kita sentiasa begini. Masing-masing tidak berpuas hati, kata-mengata yang pihak lain dilayan atau diberi lebih dari yang pihak sendiri perolehi dan sebaliknya. Benar ke begitu? Atau masing-masing terlalu tamak? Pentingkan pihak Sendiri.

Kalau masing-masing pihak berfikir begitu, dan/atau berperangai untuk membolot semua untuk tembolok pihak sendiri dan/atau hanya pihak sendiri saja perlu hidup sehingga kiamat maka semuanya tidak layak menjadi warga Malaysia kerana bukan itu yang dikehendaki semasa kita bermuafakat dulu. Tidak layak kita bernaung dibawah Perlembagaan Persekutuan kerana kita telah tidak percaya perlembagaan itu.
Jangan kita berfikir begitu, jangan tamak dan jangan mahu hidup sendiri. Kalau ada yang kita tidak setuju atau terdapat penyelewangan dari yang telah dipersetujui, rujuk semula kepada perlembagaan.

Ingatlah ada orang Cina yang miskin susah. Ada orang Melayu yang hidup merempat sehelai sepinggang, papa kedana. Orang India sama juga.. Kadazan-Dusun, Murut, Dayak Iban, Melanau, Orang Asli, Orang Ulu, dan banyak lagi rumah mereka masih lagi pakai pelita dan makan sekadar yang ada.

Orang Melayu pun ada yang senang lenang tapi sedikit saja. Orang Cina pun sama, tapi jumlahnya banyak juga. Orang India ada yang kaya , tidak semua tetapi masuk juga senarai antara yang terkaya di Malaysia sama juga dengan orang Cina. Yang lain-lain masih kedudukan yang sama,walaupun seorang dua telah kedepan sedikit.

Jadi mengapa kita cakap fasal susah orang sendiri. Kenapa mereka itu bukan orang kita? Kenapa sendiri yang senang tidak mahu membantu kita yang susah.

Orang-orang politik kesemuanya berfikiran begitu, tidak puas hati mahu sendiri hidup sampai kiamat. Kalau anda semua begitu tidak mengapa tetapi anda menyuburkan kepada yang lain walaupun anda sentiasa bercakap fasal keharmonian, perpaduan, keamanan, saling terima menerima dan banyak yang indah-indah lagi. Anda bolehlah berbuat begitu sebab kalau terjadi yang tidak baik,  anda boleh terbang atau sekurang-kurangnya naik kapal menyelamatkan diri. Kami yang sebahagian besar hidup sederhana dan ada yang miskin, yang baik-baik tidak mampu berbuat begitu.

Isnin, 23 Mei 2011

WARNA TEMA: Biru Cair Pun Boleh Juga. Wangnya Bagaimana?


Semua orang telah melelapkan mata. Isteri, anak, menantu dan cucu telah berada dimana-mana dalam alam mimpi mereka masing-masing.

Sufian masih lagi tidak mahu tidur. Dia masih bersandar diatas sofa  dalam bilik tidurnya yang diterangi lampu tidur 5 watt. Telah banyak kali mulutnya terbuka menguap untuk memberi isyarat kepada matanya supaya segera ditutup kerana badan perlu berihat. Tetapi otaknya tidak ke situ, otaknya masih memikirkan hal-hal yang telah dibincang bermula jam 8 malam sebaik saja selesai menikmati makan sekeluarga , tanpa anak bujangnya Sulaiman yang tidak dapat bercuti untuk duduk bersama. Sekarang sudah masuk 11.30 malam.

Dia menoleh kebelakang sambil memanjangkan lehernya melihat dalam kesamaran cahaya lampu tidur akan isterinya,Sufia, yang tidur lena dan berdengkuh.  Dia kembali ke kedudukan asal dan membetulkan sandaran badanya supaya lebih selesa.

Sementara semua orang ada, kecuali Sulaiman, Sufian telah mengajak mereka, isteri dan anak serta menantu untuk berbincang tentang persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan Sulaiman yang dijangka dalam tempoh dua bulan lagi. Perbincangan itu telah mengambilkira syarat-syarat yang telah ditetapkan Sulaiman semasa bersetuju dengan cadangan isterinya, emak Sulaiman yang menggesa Sulaiman cepat mencari pasangan kerana 'emak sudah tua'. Sufian walaupun tidak mendesak, bersetuju dengan nasihat isterinya itu kerana dia pun selalu tidak sihat setelah umur mencecah menghampiri usia nabi ketika wafat.

Sulaiman telah menetapkan syarat bahawa dia sendiri yang mencari pasangan. Syarat Sulaiman segera mendapat persetujuan isterinya yang terlalu gembira kerana itulah hasrat hatinya untuk melihat Sulaiman segera berkahwin. Majlis diadakan di dewan dan bukan dirumah supaya ada glamour. Apatah lagi kedua-dua kakaknya mengadakan majlis disebuah dewan yang ternama. Dan sewa dewan akan dibayar oleh Sulaiman hanya suku saja, bakinya tanggongjawab mereka berdua, Sufian dan Sufia. Sufia segera memandang Sufian yang berwajah selamba mendengar saja syarat-syarat yang dinyatakan oleh anaknya itu. Dia tidak memberi sebarang reaksi apabila mata Sufia melekat pada wajahnya yang meminta jawapan bersetuju atau bagaimana.

"Macam mana bang?" Sufia membuka mulutnya bertanya setelah matanya tidak berjaya mendesak Sufian memberi  reaksi segera akan syarat yang telah ditetapkan Sulaiman itu. "Dengar dulu. Ada apa lagi Man?" Belanja jamuan makan dan oleh-oleh Sufian yang tanggong. Belanja kad jemputan ditanggong sepenuhnya oleh Sulaiman tetapi sebanyak 100 kad jemputan khas diperuntukkan kepada Sulaiman untuk menjemput kawan kenalannya. "Ada lagi?" Sufian mula mahu cergas berbincang. Sulaiman diam tidak menjawab. Dia tahu dan dapat membaca makna dari intonasi cara bertanya bapanya itu.

"Macam mana belanja untuk pihak perempuan. Belanja nak pergi ke rumah perempuan?" Tanya Sufian. Sufia segera memandang tepat ke muka Sulaiman, kemudian mengalih pandangan ke muka Sufian. 'Nak pergi kerumah perempuan' mencetuskan kerisauan di hati Sufia. "Yang tu Man lah tanggong. Tapi rombongan kesana jangan ramai-ramai. Empat kereta cukup. Duit minyak kak Emi dan kak Isyah lah tanggong". Emi dan Isyah masing-masing memandang ke arah suami masing-masing minta restu persetujuan. Mereka , Lan dan Said diam, isyarat bersetuju gamaknya. Tapi wajah Sufia masih melukiskan rasa kerisauan dalam hati. 'Dah ada calun ke? Orang mana. Jauh ke dekat?'

"Man dah ada calun ke. Orang mana. Mak rasa baik cari yang dekat, sekampong lebih baik",  Sufia tidak dapat menahan rasa kerisauan yang ada dalam hatinya, dihamburkan keluar. "Tadi kan ke dah setuju. Man sendiri yang cari. Kalau nak suruh Man kawin cepatlah", Sulaiman mula memberi ancaman setelah mendiamkan diri.

Sufian bangkit dan menuju ketingkap yang tertutup rapat. Dia menyelak kain langsir bagi membolehkannya pandang keluar melalui cermin tingkap. Diluar lebih terang dik cahaya lampu ditiang elektrik dibahu jalan dihadapan rumahnya.Tetapi fikirannya masih lagi suram kabur tidak secerah pandangan diluar rumahnya. Belanja yang perlu ditanggong untuk majlis perkahwinan anaknya terlalu merisaukannya, berat. Wang ganjaran persaraannya yang tersimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) semakin menurun jumlah angkanya, berbaki empat angka, tidak mencapai sepuluh ribu. Dulu semasa bekerja sewaktu mengadakan majlis untuk dua orang anak perempuannya, Sufian tidak berjaga malam, bersunyi keseorangan seperti ini. Gaji dan simpanannya mencukupi. Kalau kurang boleh merujuk mana-mana bank untuk dapatkan pinjaman persendirian , atau pinjaman dari syarikat kerjasama MOCCIS, atau ada kawan-kawan yang bersedia memberi pinjaman.

Sekarang setelah bersara semua keistimewaan dan kemudahan itu telah menjuhkan diri , tiada yang sudi. Malah talipon dari kawan-kawan , semasa dia bekerja dulu yang sentiasa berdering-berdering walaupun pada awal pagi untuk mengajak bermain  golf atau di waktu malam sepi, pukul 12 untuk menjamu selera di warung, sudah tiada lagi senyap sepi. 'Begitulah' , Sufian mengakui akan realiti hidup.

Sufian kembali semula ketempat asal, duduk semula dan bersandar. Adik beradik Sufian saja ada sepuluh orang dan kesemuanya telah berkeluarga  serta mempunyai anak-anak. Disebelah isterinya pun sama cuma hanya lima adik beradik, sudah berkeluraga dan punya anak-anak. Saudara mara terdekat ramai juga. Kawan semasa bekerja di berbagai kementerian dan jabatan, kawan sekolah , kawan semasa menyewa rumah di berbagi kawasan. Kawan-kawan semasa kecil di kampong. Kawan-kawan Sulaiman yang telah diperuntukkan 100 kad jemputan . Kesemuanya melebihi 3,000 orang. Katakan satu kepala paling murah RM10.00, sudah mencapai RM30,000.00. Mati macam ni. 'Ahh jemput sikit saja', terkeluar kata hatinya cuba meredakan kerisauan.

Jemput adik beradik dan saudara mara yang terdekat, kawan Sulaiman 100, kenalan dan kawan hanya 200. Jumlah 300 tidak termasuk adik beradik dan saudara terdekat yang susah untuk dianggarkan. Mungkin yang datang seluruh anggota keluarga dari datuk, nenek sehingga ke anak cucu. Sufian buat anggaran,  golongan ini seramai 200 orang. Jumlah semua 500, jadi RM5,000.00. 'Ok, ok, okehhh', Sufian tersenyum dalam sinaran yang tidak terang.

Dia bangun seolah-olah jalan penyelesaian telah ditemui.  Apa lagi. Duit sewa dewan RM4,500.00 berdasarkan bayaran yang telah dikenakan semasa dua anaknya dulu. Sufian mengharapkan agar sewa dewan akan kekal. Turun, tidak mungkin. Kerisauan tiba-tiba menyelinap dalam otaknya. Sebab banyak harga barang telah naik. Bawang, gula, ikan, ayam dan banyak lagi harga telah naik seperti yang diberitahu oleh isterinya semasa mengadu kekurangan wang belanja bulanan yang diperuntukkan. Walaupun Sufian mendapat berita kenaikan harga itu tetapi dia tidak mahu memberatkan otaknya berfikir. Tanggongjawabnya cukup sekadar memberi peruntukan bulanan . Itu saja. Dia tidak terlibat dalam membeli barang keperluan harian.

'Harga minyak dah naik. Mungkin akan naik lagi'. Sufian terpaksa ambil berat tentang harga minyak kerana dia yang membayar setiap pembelian. Minyak naik yang lain pun turut naik. Mati macam ni.

'Pening kepala aku', sekali lagi tercetus keluar rintihan kesusahan yang mengasak dada Sufian. Isteri dan anak-anaknya telah mencadangkan dalam mesyuarat jam 8 tadi bahawa tema majlis pada kali ini mengambil warna biru muda. Mereka memberi alasan warna biru tua yang telah di gunakan semasa majlis perkahwinan dua anaknya terdahulu sudah jemu. Mesti ada perubahan. Kalau tidak, majlis tidak akan jadi glamour kerana jemputan akan dapat mengingati warna tema dua majlis dulu, biru tua. 'Dah tak ada warna lain ke?'

Dari segi tukar warna tema tidak menjadi masalah, Sufian bersetuju. Tetapi warna itu bukan sahaja untuk pakaian sekeluarga, hiasan di pelamin dan hiasan-hiasan dimeja tetapi semua adik beradik kedua belah pihak, Sufian dan Sufia akan juga memakai pakaian berwarna biru muda, biru cair pilihan yang telah dicadangkan. Itu pun tidak memeningkan kepala Sufian. Yang amat memeningkan kepala, sehingga Sufian menaikkan suara tinggi apabila isterinya mencadangkan  bahawa kesemua pakaian yang berwarna biru cair itu, yang dikatakan satu perubahan bagi meraikan tetamu jemputan, 'kita yang beli supaya mendapat warna yang benar-benar sama'. 'Cukuplah. Pening kepala aku', Kesemua ahli mesyuarat terdiam. Senyap sunyi. Perlahan-lahan anak dan menantu bangun menuju ke bilik masing-masing. Tinggal Sufian dan Sufia suami isteri. Sufia tunduk terlalu takut. Dia perlahan-lahan bangun dengan menongkat kedua-dua tangan membantu menegakkan badan berdiri dan dengan muram melangkah kedalam bilik. Sufian tinggal keseorangan.

Sufian menoleh pada kali yang kedua kearah isterinya yang sedang tidur. Dia dengan perlahan bangun untuk menaikki katil berbaring di sebelah isteri. Perasaan menyesal mula menguasai Sufian apabila menatap wajah isterinya yang sedang lena, masih berdengkor. 'Bukan aku tak setuju, tapi kan ke aku dah pencen. Siapa sudi nak tolong', Sufian melelapkan mata cuba lena. Harap-harap pening kepala hilang sama.



 

Ahad, 22 Mei 2011

Berehat Sebentar: Tarik Nafas Panjang, Tahan Nafas, Tahan , Tahan , Lepaskan

Berihat sebentar: Kita duduk diatas kerusi empuk, pandang kehadapan ,tarik nafas panjang lima saat, kemudian tahan nafas selama sepuluh saat dan hembus nafas sederas mungkin.. Ulang lagi sebanyak sepuluh kali.

Bagaimana ?  Berjaya merasa kerehatan keseluruhan? Maksud saya , rehat fizikal dan mental. Belum lagi?. Tidak mengapa. Jangan buat diri kita tertekan. Yang kita cari kerehatan tetapi dik tidak berjaya cara yang kita buat sebentar tadi kita merasa stress, tertekan. Lupakan cara itu buat sebentar dan jangan pula cuba memikirkan cara yang lain sebagai alternatif untuk mendapat kerehatan. Lupakan saja.

Habis apa yang perlu kita buat untuk  mendapat kerehatan yang menyeluruh? Jangan buat apa-apa, cuma kita  terus duduk diatas kerusi empuk itu, lihat dihadapan.  Kita terima seadanya apa yang kita lihat. Jangan buat sebarang ulasan, penilaian atau cuba mengadakan hubungan. Kemudian tarik nafas panjang lima saat, tahan nafas selama sepuluh saat, lepaskan. Buat sebanyak sepuluh kali. Macam mana ? Dah mula rasa kerehatan?  Tidak juga?

Jangan risau dan jangan kecewa. Nanti tertekan, stress. Jangan cuba berdiri mengubah kedudukan. Duduk, teruskan duduk diatas kerusi yang empuk itu. Mata masih lagi pandang ke depan, jangan toleh kiri atau kanan. Apa yang masih ada  dihadapan terima seadanya. Jangan buat ulasan, penilaian ataupun buat hubungan. Fokus. Tarik nafas panjang liama saat, tahan nafas sepuluh saat, hembus nafas sekuat mungkin. Macam mana? Sudah tentu mula rasa kerehatan. Tidak juga.

Kalau begitu kaedah ini tidak boleh pakai. Tipu saja. Nasib baik tidak dikenakan bayaran.

Penipu besar? Jawabnya tidak. Kita cuma cuba mencadangkan suatu kaedah cara bagaimana untuk mendapat kerehatan, mental dan fizikal. Kaedah ini tidak disokong oleh kajian yang saintifik. Tetapi ianya jika diamalkan dengan penuh keyakinan saya percaya ianya akan berkesan.

Cuba ulang baca. Apa sebenarnya yang hendak saya sampaikan. Saya percaya terlalu mudah bagi anda untuk menukil mesejnya. Bukan kaedah itu yang penting, mesejnya  yang penting.

Kalau anda masih tidak dapat menukil mesej yang hendak disampaikan itu, jangan rasa tertekan, jangan stress. Anda bangun dan berdiri, terus pandang kedepan dan tarik nafas panjang. Boleh? Kalau boleh maknanya anda seorang yang sihat walafiat kerana mampu berdiri setelah duduk tadi sewaktu buat eksesais tarik nafas. Alhamdulillah. Hembuskan nafas. Boleh juga? Anda punya masa depan , esok masih ada.

Sabtu, 21 Mei 2011

Al-Fatihah kepada anak-anak Sekolah Anak Yatim Al Takwa

Berita sedih yang menyayatkan dimana sebuah Sekolah Anak Yatim Al Takwa di Ulu Langat yang menempatkan 30 orang anak yatim telah terkambus akibat  dari runtuhan tanah. Telah diberitakan seramai 5 orang telah meninggal dunia. Dengan ini marilah kita bersama sedekahkan Al Fatihah dan menyampaikan salam takziah kepada keluarga mereka, jika mereka masih ada keluarga.  Dari Allah kamu datang dan kepada Allah kamu dikembalikan. Al-Fatihah.

Cuma kita ingin juga bertanya kepada pihak berkuasa, negeri dan persekutuan serta majlis tempatan yang berkaitan: i) Mengapakah bangunan sekolah itu boleh dibenar didirikan dikawasan lereng bukit.
                ii) Adakah bangunan itu dibena tanpa pelan
                iii) Sudahkah dibuat siasatan bangunan-bangunan seperti ini di tempat lain

Semoga kes seperti ini tidak akan berulang lagi.

SYMP? = Saya Yang Makan Petai

Inilah Petai Yang Busuk Menyelerakan

SYMP ? Empat huruf ini bagi setengah pihak memang sudah biasa dan sebati. Setengah pihak pula mungkin akan cuba mencari-cari perkataan yang sesuai bagi setiap huruf itu yang boleh memberi makna yang meyakinkan.

Bagi yang telah biasa dan sebati kita ketepikan sebentar ceritanya.

Kita cerita dulu mereka yang cuba mencari-cari itu. Mungkin SYMP itu bersamaan dengan Seri Yang Mulia Paduka? Yang mungkin merujuk kepada salah satu diantara gelaran yang diberi dalam penganugerahan bintang dan pingat. Tetapi ada semacam tidak lengkap dan tidak tersusun.  Nampaknya padanan itu tidak meyakinkan. Cuba kita gunakan juga dengan meletakkan pada hujung nama kita . Katakan nama kita Ali bin Abdullah, maka kita tulis Ali bin Abdullah SYMP. Nampaknya ok je. Tapi bila juru acara dalam sesuatu penganugerahan menyebut 'Encik Ali bin Abdullah dianugerahkan bintang Seri Yang Mulia Paduka' , maka sudah tentu kita menunggu untuk mendengar satu atau dua lagi perkataan kerana bunyinya macam tergantung. Tidak sedap, tiada merdu. Sudah tentu tidak akan menggamit banyak orang atau peminat untuk mendekati bersahabat erat dengan kita. SYMP bukan itu maksudnya.

Mungkin SYMP itu membawa maksud 'Saya Yang Makan Petai'. Ya, yang ini lebih sesuai . Tidak tergantung. Tetapi dia bukan satu bintang penganugerahan. Yang demikian tidak sesuai untuk dilekatkan di hujung nama. Tidak glamour.

Tetapi ada masanya perkara yang dianggap tidak glamour bagi setengah pihak, akan menjadi pilihan seseorang untuk meng'glamour'kan diri. Cuba lihat nama-nama penyanyi, penghibur dan mereka yang terlibat dalam  bidang yang bersamaan dengannya. Nama asal memang nama pilihan ibubapa setelah jenuh merujuk dengan pakar-pakar dan ilmuan termasuk yang tinggi ilmu agama. Maka diberikan nama Lukman al Hakim misalnya. Memang cantik. Tapi sebagai penghibur ditukar kepada Lekeh. Dapat sambutan pula.

Maksudnya, glamour atau tidak 'SYMP bersamaan 'Saya Yang Makan Petai' itu terpulang kepada nilai dan pandangan masing-masing. Nama lekeh yang selekeh itupun ramai peminat, diangkat dan dipuja. Apa salahnya SYMP dilekatkan pada hujung nama? 
 
Benarkah SYMP itu seperti tajuk yang diperkatakan bermaksud demikian, 'Saya Yang  Makan Petai?'.Rasanya lebih molek jika kita perkenalkan sepintas lalu apa itu petai sebelum meneruskan coretan mengenai SYMP.

Kita percaya sebahagian besar masyarakat Malaysia tidak kira latarbelakang mereka sudah kenal petai . Namun molek juga ditunjukkan gambar dan diberi gambaran apa itu petai. Petai (parkia speciosa) ialah sejenis buah-buahan yang boleh dibuat ulam untuk menaikkan selera makan. Pokok petai itu tinggi dan tumbuh meliar dan juga ada yang ditanam untuk dijadikan hasil jualan. Petai ini bolehlah kita kategorikan dari jenis kekacang dimana 'kacang-kacang'nya terdapat dalam tangkaian kulit yang memanjang yang dipanggil atau diberi penjodoh bilangan sebagai 'papan' iaitu sepapan petai. Rasanya, terpulang kepada yang memakannya, tetapi bolehlah dikatakan agak pahit sedikit. Cuma yang pasti, bau atau aromanya terutama setelah menjadi najis buangan amat menjelekkan, busuk. Dahsyat.
 
Yang busukpun ramai yang berminat sebab rasanya sedap menyelerakan, bagi sebahagian oranglah. Tidak hairanlah kalau nama yang cantik diubah kepada yang kurang cantik kerana seperti petai yang busuk itu sudah pasti nama itu boleh menarik sebahagian orang untuk meminatinya. Glamour.

Bagi setengah orang, mungkin majoriti, merasakan coretan diatas masih jauh untuk mendekati apa sebenarnya SYMP yang hendak dimaksudkan seperti tajuk. Kalau begitu sangkaannya kita beri jawapan negatif, tidak. Malah kita sudah mendekati maksud yang dihasratkan. Apa maksud yang ada dalam hati? Jawabnya BUSUK dan LEKEH.

Baru-baru ini, satu cerita ulangan sebenarnya, berbagai pihak sungguh naik angin dan marah ditujukan kepada pejawat awam yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam khususnya bahagian yang mengendali dan membuat 'keputusan' dalam agihan biasiswa kepada pelajar-pelajar bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Mereka marah  kerana berlaku ketidakadilan dimana menurut mereka yang sepatutnya ditawarkan biasiswa telah dinafikan hak mereka . Sebaliknya, tuduh mereka, yang tidak layak diberikan biasiswa. Perbuatan seperti  ini bercanggah dengan konsep meritokrasi dan arahan kabinet. Nampaknya penjawat awam, atau pegawai JPA ini melawan arus, berani dan hebat sungguh sehingga arahan kabinet pun dipandang sepi dan  dinyahbuangkan ke tepi. Kalau dalam istilah tatatertib perbuatan ini dipanggil 'INGKAR PERINTAH'. Boleh diambil tindakan dan dihukum. Mungkin boleh dibuang kerja. Sekali lagi kita kata 'berani sungguh pegawai JPA itu, hebat". 

Benarkah begitu?

Ada banyak lagi cerita mengenai penjawat awam ini. Kita cuma coretkan beberapa cerita saja. Selain dari hal diatas kita juga dalam beberapa tahun yang lepas mendengar kompleks sukan di negeri Terengganu yang runtuh termasuk stadium bolasepak. Kompleks itu baru dibena bagi mengadakan SUKMA di negeri itu. Maka sekali lagi penjawat awam diasak dan dihentam terutama pegawai dari Jabatan Kerja Raya Terengganulah. Macam-macam ulasan dan kritikan dihamburkan. Yang tidak gagal keluar dari mulut yang membuat serangan keatas penjawat awam itu ialah 'Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) mesti buat siasatan'. Mereka mengesyakki ada perbuatan menerima rasuah.

Maka tidak hairanlah apabila SPRM dalam usaha memerangi rasuah sentiasa mendahulukan penjawat awam dalam menyenaraikan pihak yang banyak terlibat dalam kes rasuah.

Mungkin ada yang tidak perasan atau tidak mahu perasan bahawa setiap kali kegagalan sesuatu pelaksanaan projek, program, perolehan awam (kerajaan) , penjawat awam sentiasa dikedepankan, untuk dijadikan sasaran. Seolah-olah penjawat awam itu hebat sangat. Mempunyai terlalu banyak kuasa dan berkuasa sepenuhnya dalam setiap keputusan dan tindakan. Boleh buat sesuka hati mereka.

Cuba juga anda ikuti kes-kes jenayah atau kes-kes lain sama ada dalam hal penyiasatan atau perbicaraan. Renung dan fikir baik-baik  akan kedudukan penjawat-penjawat awam yang bersama-sama membantu untuk menguruskan kes-kes tersebut. Kita percaya anda dapat memberi satu renungan yang baik dan adil.

Cukup setakat itu saja dapat kita coretkan cerita untuk memberi jawapan perkataan apa yang sesuai bagi empat huruf diatas. Anda masih belum jumpa jawapan?

Kalau begitu , anda ulang baca dan ambil bayangan dari perkatan 'BUSUK' yang dikaitkan dengan cerita petai dan perkataan 'LEKEH',  nama yang boleh meng'glamour'kan penghibur diatas tadi. Masih belum jelas?

Apalah ada kepada penjawat awam. Mereka itu orang suruhan. Disuruh ke atas pergilah dia. Disuruh ke bawah, segera turunlah dia. Disuruh ke kiri , tidak pernah ke kanan, di suruh ke kanan itulah pilihan yang ada. Disuruh terjun tingkap? Yang ini kita tak pasti sebab yang ini membunuh diri. Kalau mati siapalah yang nak beri nafkah anak isteri. Penjawat awam kan. Mereka kaya ke? Mungkin 'cikit' ada yang kaya. Ini SPRM jangan lupa.

SYMP itu telah sebati dengan penjawat awam. Sudah biasa. Itulah tumpuannya sehingga bersara. Seperti bau petai yang BUSUK itu tetapi menyelerakan  untuk dimakan maka ramai juga yang berebut-rebut untuk berkhidmat sebagai penjawat awam. Tak kisahlah menjadi sasaran hentaman. Kalau yang 'cikit' itu tidak menjadi hal tetapi yang banyak, majoriti yang harum mewangi dihentam. Kalau boleh jawab , reda sikit dihati. Tidak boleh, ada sekatan OSA. Nak mampus, masuk penjara jawabnya.

BUSUK busuklah, LEKEH, lekehlah, ramai juga orang yang suka, glamour juga.  SYMP,  saya yang menurut perintah. Apalah daya saya. Ada kuasa? Tanya kepada yang marah-marah tadi.

Jumaat, 20 Mei 2011

Salam Jumaat.....11: Itu Cerita Dulu, Sekarang Lain Cerita

Assalamualaikum warahmatullhhi wabarakatuh. Semoga anda budiman berada dalam keadaan sihat walafiat.

Perjalanan masa berlalu begitu saja tanpa dapat kita sekat . Kadang-kadang ketika ini kita merasakan ianya terlalu cepat dan pantas. Banyak perkara yang kita jangka boleh selesai diuruskan dalam tempoh sehari tetapi mengambil masa lebih dari itu. Akibatnya kita sentiasa merasa tertekan, ketika ini.. Ketika dulu  kita tidak  termengah-mengah berkejar ke sana dan ke sini untuk menguruskan sesuatu. Kita tidak rasa tertekan.  Malah ketika dulu kita mampu terhegeh-hegeh dalam melakukan sesuatu.

Bila kita kata dulu ia merujuk kepada masa-masa lampau yang telah berlalu 50 tahun atau lebih. Kita suka membangkitkan cerita dulu-dulu sebagai satu nostalgia  kerana kadang-kadang kita rasa ianya baru berlaku .
Untuk hari ini kita cuma ingin menyegarkan dua cerita saja, rasanya sudah cukup agar tidak jemu.

Pada tempoh ketika itu, waktu dulu-dulu,   kalau orang kampong berhajat ke bandar untuk sesuatu tujuan, biasanya mereka akan menaikki bas. Mereka akan menahan bas dan meminta pemandu bas itu untuk menunggu sementara mereka bersiap mengenakan pakaian.Kadang-kadang ia mengambil masa yang agak lama tetapi pemandu bas masih tetap menunggu, tidak pernah marah atau merungut. Ada juga terjadi dimana setelah menaikki bas dan sebelum bas berjalan mereka akan meminta pemandu bas itu menunggu sebentar jika ada barang yang tertinggal untuk diambil sebelum meneruskan perjalanan ke bandar. Pemandu bas tidak juga merungut malah sempat berjenaka pula, 'Itulah banyak angan-angan sampai barang penting pun terlupa'.

Adakah pengguna terlalu berkuasa semasa itu, ketika dulu-dulu? Jawabnya tidak. Pada masa itu tidak perlu gopoh gapah. Boleh ambil masa walaupun sukatan masa sama saja iaitu ada siang dan ada malam. Matahari terbit disebelah timur dan tenggelam menghilang di sebelah barat. Masih sama saja seperti sekarang. Kalau matahari terbit dari tempat yang berlainan sudah tentu kita gementar kerana banyak kesilapan belum sempat kita bertaubat.

Sekarang punya cerita untuk kebandar mungkin berbeza. Pemandu bas tidak akan mahu menunggu malah kadang-kadang bas yang kita tahan tidak mahu berhenti kerana telah diisi penuh. Hal itu jaranglah berlaku. Tapi yang memang selalu berlaku apabila pemandu teksi terutamanya di Kuala Lumpur menolak permintaan kita untuk pergi kesatu-satu destinasi tertentu. Katanya  destinasi itu memberi masalah kepadanya, aliran lalulintas tidak lancar, traffic jam. Tetapi perkara itu sudi diatasi oleh pemandu teksi itu jika pengguna bersetuju membayar menurut harga yang diminta melebihi dari tambang biasa..

Lihat , siapa yang berkuasa pada masa ini. Pemandu teksi ke atau pengguna? Jawabnya sudah tentu pemandu teksi. Tetapi kita selalu mendengar kata-kata 'pengguna diutamakan' atau 'pengguna itu sentiasa betul'. Seolah-olah membayangkan bahawa pengguna itu mempunyai kuasa penentu.  Tetapi yang nyata, sebaliknya.

Bagaimana pula dengan kerajaan? Rakyat didahulukan? Begitu ke? Anda fikirlah sendiri. Yang pasti apabila di peti undi kitalah yang berkuasa. Benar ke? Ada yang benar dan tidak benarpun boleh juga bila undi kita boleh dijual beli. Dulu sehelai kain batik. Sekarang, 'lu memang sudah tahu, wa tak perlu beritahu nanti wa terkedu'.

Bagaimana pula dulu-dulu orang menyebarkan berita atau maklumat. Pernahkah anda dengar 'heboh sekampong orang sudah tau'. Maknanya pada masa dulu yang alat komunikasi terlalu amat terbatas, berita atau maklumat juga tersebar luas sehingga satu kampong orang boleh mendapat berita atau maklumat. Yang menjadi penyebar maklumat ialah bisikan dari seorang ke seorang . Maka berita itu beralih atau mengalirlah dari seorang keseorang.  Kadang-kadang maklumat tambahan diselitkan untuk menyedapkan cerita sehingga boleh menenggelamkan cerita asal.  Mengelirukan. Kadang-kadang boleh bergaduh.

Sekarang bagaimana? Alat komunikasi berbagai-bagai dan terlalu canggih. Maklumat boleh dihantar dan diterima serta disebarkan begitu cepat sekali merentasi dunia dalam waktu sebenar (real time). Maknanya dimana saja maklumat perlu dihantar dan disebarkan penerima akan boleh dihubungi dan memenerima maklumat ketika itu juga. Secara langsong. Live.

Nampaknya cerita dulu dan sekarang memberikan gambaran yang amat berbeza walaupun bagi perkara atau hal yang sama seperti cerita menaikki bas atau kenderaan dan penyebaran maklumat.

Dulu menggambarkan keadaan yang tidak tertekan, tidak gopoh gapah apabila seseorang itu hendak menaikki bas untuk ke bandar. Pengguna seolah-olah nampak berkuasa. Sebenarnya tidak begitu. Pengguna dan pemandu bas tadi tidak perlu gopoh gapah. Masa tidak mendesak mereka untuk bertindak  begitu.

Tetapi sekarang, sungguh tertekan apabila pemandu teksi menolak permintaan kita untuk untuk ke destinasi yang kita mahu. Hanya pemandu teksi saja yang berhak menentukan destinasi. Apa kuasa pengguna? Boikot? Menyusahkan saja. Bayarlah tambang lebih yang diminta. Selesai perkara walaupun hati merana. Ada yang mencadangkan buat laporan kepada pihak berkuasa. Bagus juga cadangan ini. Cuma tunggu sajalah. Sampai bila? Anda sendiri cuba teka. 

Penyebaran maklumatpun juga terlalu jauh berbeza diantara dulu dan sekarang sama ada dari segi peralatan, cara, kelajuan dan liputan kawasan. Tetapi ada satu ciri yang sama, sama ada dulu mahu pun sekarang. Apa yang sama? Yang sama ialah mengujudkan kekeliruan atau penipuan . Dulu dibuat cara bisikan dari seorang ke seorang dengan ada tambahan kepada berita atau cerita asal sebagai penyedap cerita sehingga boleh menimbulkan kekeliruan. Sekarang sama saja malah lebih hebat kekeliruan yang boleh dicipta sehingga yang tidak ujudpun boleh diadakan membuatkan penerima berita terpesona percaya dan menyebarkannya kepada yang lain pula. Apatah lagi cerita itu diulang cerita, diulang berita dan diulang tayang.

Pendek kata antara cerita dulu dan cerita sekarang kita simpulkan begini : Ada seorang kawan bercerita mengenai satu berita yang dia terima mengatakan "Aku dengar berita itu dari kawan aku yang diberitahu oleh kawan dia punya kawan yang berkawan dengan kawan kepada kawan orang itu punya kawan yang pernah sebilik dengan kawan yang bekerja dengan orang itu bahawa memang benar dia itu jahat".

Macam mana? Anda tertekan tak kalau anda jadi orang itu.

Kalau anda bagaimana untuk menceritakan :Itu Cerita Dulu, Sekarang Lain Cerita.

Khamis, 19 Mei 2011

Nenen Untuk Naqib, Tokpa Pening Kepala


 Ahmad Naqib yang sedang nyenyak tidur selepas didodoi oleh tokpa
 
Selepas solat Subuh dia akan melelapkan matanya barang sepuluh minit, sudah cukup untuk dibangun semula bagi memulakan rutin pagi seterusnya. Semenjak dua bulan ini, rutin paginya telah berubah. Biasanya selepas Subuh dia akan bersiap sedia dengan pakaian sukan (track suit) untuk bersenam pagi mengelilingi halaman rumah sebanyak 100 kali pusingan yang mengambil masa hampir 1 jam. Itulah nasihat yang telah diberikan oleh doktor yang melakukan pembedahan pintasan jantung, supaya dia sentiasa melakukan senaman .Tetapi semenjak anak keduanya melahirkan seorang putera pada Mac yang lepas dan buat sementara tinggal bersama dengannya rutin hariannya telah diubahsuai .

"Pa ambil Naqib", kejut anaknya yang sedang mendukung cucunya. Dia membuka mata memandang kearah cucunya yang kedua-dua tangannya bergerak keatas kebawah seperti orang sedang bersilat. Dia bangun dan terus mengambil cucunya dengan meletakkan kepala diatas lengan kanan dan tapak tangan kanan menggalas badan dengan disokong tapak tangan kiri. Dia mula bergerak melangkah setapak dua ke hadapan dan berundur ke belakang untuk mendodoi cucunya sambil menghayun perlahan kekiri dan kanan cucu yang berada dalam dakapan tangannya.

"Naqib budak baik
Dia rajin sembahyang
Dia budak cantik
Semua orang sayang"

Itulah lirik yang sentiasa mengiringi hayunan semasa mendodoi cucu yang dalam dakapannya untuk melenakan anak kecil itu supaya melelapkan mata. Mundar mandirnya ke hadapan dan berundur ke belakang dilakukan selama mata cucunya belum tertutup. Akhirnya setelah 10 minit mundar mandir, dia telah berjaya menidurkan cucunya dan membaringkannya diatas katil.

Dia berihat duduk menyandarkan badan disofa. Dia mula memikirkan cara bagaimana anaknya itu akan menguruskan cucunya apabila cuti bersalin akan berakhir pada hujung Jun yang akan datang ini. Anaknya seorang yang bekerjaya, seorang penjawat awam, seorang doktor yang baru saja tamat latihan 'housemanship'nya. Bekerja disebuah hospital disebuah daerah di Johor. Menantunya bekerja dengan sebuah syarikat gas dan minyak di Kuala Lumpur . Pada setiap petang Jumaat akan balik ke rumah dan pada pagi Isnin akan ke Kuala Lumpur sehinggalah  hari Jumaat berikutnya.

'Kesian. Takkan nak berterusan', Dia bangun dan memandang ke arah cucunya. Kemudian duduk semula. Fikirannya mula diganggu dengan perkara-perkara yang negatif, perkara-perkara yang buruk yang akan menimpa keatas cucunya nanti. Dia teringat cerita pembantu rumah yang melarikan anak yang dibawah jagaan semasa kedua ibubapa bekerja. Pembantu yang memberi ubat tidur untuk memudahkan anak tidur. Sekali lagi dia mengalihkan pandangan kearah cucunya. Tiba-tiba air matanya mula mengalir membasahi pipinya. Dia tidak mahu perkara itu berlaku keatas cucunya. Dia terlalu takut. ' Ya Allah, jauhilah perkara ini. Lindungilah cucuku ini. Kasihannilah dia yang tidak berdosa', tercetus kerisauan hatinya memohon pertolongan dari Allah.

'Hantar ke nursery saja', hatinya membisik sebagai pilihan yang lebih selamat. Tapi dia juga terbaca dalam akhbar mengenai pengasuh di sebuah nursery yang membiarkan anak menyusu sendiri sehingga tersedak dan meninggal dunia. 'Ahh semua tak boleh harap. Tak boleh percaya. Bayaran mahal tapi apa telah terjadi?' Dia mula marah dan sakit hati.

Dia bertambah runsing. Fikirannya semakin buntu. Dia masih lagi belum dapat mencari jalan yang terbaik cara bagaimana penjagaan cucunya nanti. Masa telah dekat menghampiri. Pejam celik pejam celik tanpa disedari masa akan tiba, tidak dapat disekat. Dia kena cari penyelesaian yang terbaik demi cucu yang disayangi.

'Macam mana kalau Naqib dijaga buat sementara. Tapi berapa lama?' Dia mencadang dan dia mempersoalkan tempoh masa jagaan. Sebenarnya hati kecilnya juga tidak bersetuju untuk memisahkan diantara anak dengan kedua-dua ibubapanya. Seperti dia dahulu, sewaktu menimang anak kesayangan, dia tidak merelakan anaknya dijaga oleh ibubapanya atau mertuanya dengan memisahkan anak-anak darinya. Ini membuatkan nenek mertuanya bersetuju untuk tinggal bersama dengannya untuk menjaga cicitnya.

Dia sekali lagi bangun semacam telah nampak jalan keluar. Dia menuju ke tingkap yang masih lagi belum terbuka. Dia membuka tingkap seluas mungkin untuk menghirup udara luar. Terasa angin mencecah pipinya. Matanya menikmati kehijauan pokok dan warna-warni bunga di halaman rumah. Sungguh menyegarkan fikiran. Semuanya itu adalah hasil tangan isterinya yang sangat tekun dan rajin menguruskan persekitaran rumah. "Rumah kalau tak ada pokok dan bunga, nampak malap, bang. Tak ceria. Hidup kita pun tak tenang. Jam kalau tengok pokok dan bunga ni, rasa teeenang sangat. Seronok. Hilang stress" Dia tersenyum sendirian mengingatkan kata-kata isterinya semasa menyiram pokok bunga pada suatu pagi. 

Isterinya seorang yang meminati keindahan taman. Persekitaran rumah mesti dihiasi dengan pokok dan bunga-bungaan yang berbagai jenis yang menarik, yang mewangi mahupun yang cantik warnanya. Setiap pagi selepas sarapan akan diulit belai pokok-pokok bunga dengan siraman air dan baja serta semburan racun menghindar ulat serangga.. Daun-daun yang telah kuning tua, yang telah digigit ulat serangga akan digunting buang. Isterinya akan mengajak sama dia membantu melakukannya. Dia tidak keberatan untuk menolong sama tapi ada ketikanya dia memberi komen yang tidak disenangi isterinya.

"Minggu lepas kita dah ubah ke sudut sana. Hari ni nak balik ketempat asal semula. Penatlah" Komen ini membuatkan isterinya menarik muka seribu wajah, merosakkan mood cerianya. "Jemulah kalau tak diubah-ubah. Tempat yang sama saja. Kita mesti kreatif bang. Bukannya berat. Eksersais bang", Biasanya itulah alasan yang digunakan oleh isterinya semasa meminta dia membantu untuk mengalihkan pasu-pasu bunga kesudut atau tempat yang dirasakan boleh mewujudkan satu kelainan dan keindahan mata memandang.

Dia tersenyum lagi seperti pada mula-mula matanya menikmati keindahan pemandangan di halaman rumahnya. 'Betul juga kata si Jam tu. Kalau tidak boring tengok laman yang kosong', bisiknya mengakui kebenaran akan kata-kata isterinya itu. Dia menghargai apa yang telah dilakukan isterinya itu. Cuma kadang-kadang boleh menimbulkan masalah bagi dia suami isteri untuk keluar pergi bercuti sehari dua, mendapatkan suasana dan pemandangan yang baru kerana isterinya sentiasa risau pokok tanamannya akan layu dan mati, tidak disirami terutama pada musim panas kering. Apa tah lagi monyet, beruk dan kongkang selalu mengunjungi rumahnya untuk mencari makan di pokok-pokok besar yang tumbuh liar di persekitaran rumahnya. Kadang-kadang binatang itu merosakkan dan memecahkan pasu-pasu bunga kesayangan isterinya.

'Tak boleh. Duduk sana tak mungkin. Mesti Jam tak setuju'. Dia mula sedar bahawa pilihan untuk duduk bersama dengan anaknya untuk menjaga cucu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Dia meninggalkan kawasan tingkap yang dibiar terbuka dan melangkah menuju kekatil dimana cucunya sedang lena terbaring. Dia merenung cucunya. 'Abis macam mana', persoalan ditanya lagi untuk dia sendiri mencari jawapan. Tidak mungkin dan tidak wajar dia mencadangkan untuk anaknya memohon cuti tanpa gaji untuk menjaga anaknya. 'Berapa lama?'. 'Berhenti kerja'. Ini cadangan gila. Mana mungkin setelah belajar begitu lama, lima tahun lebih  dan telah tamat housemanship, tiba-tiba berhenti kerja.

Dia bertambah pening. Jalan penyelesaian belum kunjung tiba. Cucunya mula menggerak-gerakkan badan. Matanya mula dibuka. Suara mula keluar. Cucunya menangis dan dia dengan penuh kasih sayang mengangkat cucu untuk didakap dan dibawa untuk mendapatkan mamanya. Cucunya masih menangis, kehausan, dahaga. Nenen ibunya boleh memberhentikan tangisan. Tiada tangisan, hanya yang terdengar nyonyotan cucunya begitu deras sekali. Dia keluar dari bilik anaknya dengan membawa sama persoalan yang masih belum dapat diatasi. Kepalanya masih pening kerana masih lagi belum ketemu ubat yang mujarrab.

Rabu, 18 Mei 2011

Saluran ke ijazah pertama: saluran mana yang lebih popular dan lebih menguntungkan

Bertarikh 18 Mei 2011 hari Rabu, di Poliklinik Kerajaan , Air Keroh Melaka, pukul 10.20 pagi terdapat beberapa anak-anak muda lelaki dan perempuan sedang berurusan dengan pihak klinik untuk membuat Pemeriksaan Perubatan bagi tujuan memasuki Institut Pengajaian Tinggi. Saya sempat bertanya ringkas seorang daripadannya yang menyatakan akan mengikuti kursus Sains Kuantitatif di UiTM Lendu Melaka. Beliau adalah lepasan peperiksaan SPM tahun 2010 yang lepas.

Berbanding dengan tahun awal enam puluhan sehingga tujuh puluhan pada abad yang lepas, peluang untuk  belajar di institusi pengajian tinggi ketika ini amat terbuka luas. Pada tahun-tahun di abad yang lepas seseorang pelajar itu akan mula menghadapi proses penyingkiran iaitu peperiksaan seawal diperingkat rendah lagi. Untuk memasuki sekolah menengah pelajar wajib menduduki peperiksaan darjah enam. Jika lulus , alhamduliilah , bolehlah meneruskan pelajaran diperingkat menengah. Sebaliknya jika  gagal maka setakat itulah bekalan pendidikan yang akan dibawa bersama dalam meneruskan kehidupan. Biasanya mereka memasuki ke pasaran buruh pada umur yang terlalu muda, menjadi penorih getah atau nelayan menurut persekitaran mereka.

Ketika ini , paling rendah pendidikan yang akan diterima tanpa penyingkiran, walaupun ada peperiksaan UPSR  diperingkat rendah dan  PMR diperingkat menengah rendah, pelajar dengan keputusan yang kurang baik pun berpeluang untuk meneruskan pendidikan sehingga ke tingkatan lima sama ada dalam jurusan biasa mahu pun  bidang vokesyenal dan teknik. Seterusnya mereka ini akan menduduki peperiksaan SPM atau yang setaraf dengannya  untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi lagi, jika memnuhi syarat-syarat yang diperlukan. Bermakna proses penyingkiran pada ketika ini berlaku setelah seseorang itu diberi peluang mendapat pendidikan selama 11 tahun. Selepas SPM dan yang setaraf dengannya seseorang pelajar itu akan meneruskan kehidupan mereka sama ada masuk kepasaran buruh/menganggur atau meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.

Mereka yang berjaya dalam SPM yang mahu meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi  mempunyai pilihan untuk berbuat demikian melalui saluran-saluran seperti memasuki tingkatan enam untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan; memasuki Kolej Matrikulasi untuk menghadapi peperiksaan khas yang telah ditentukan; dan memasuki Universiti bagi mengikuti kursus di peringkat asas atau diploma.

Pelajar yang sempat saya ketemui tadi telah memilih untuk mengambil diploma. Kalau mendapat keputusan yang boleh melayakkan beliau untuk mengambil ijazah , saya percaya beliau tidak akan melepaskan peluang itu. 

Saya tidak mempunyai stastistik untuk membandingkan saluran mana yang menjadi pilihan yang popular bagi seseorang pelajar itu  bagi meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah pertama. Cuma saya melihat bahawa meneruskan pelajaran ke tingkatan enam dan menduduki peperiksaan STP untuk ke peringkat ijazah pertama telah menjadi kurang popular. Bahkan ada setengah pihak berpendapat bahawa saluran tingkatan enam itu adalah bagi pelajar-pelajar yang gagal untuk memasuki kolej matrikulasi atau gagal  dalam permohonan di peringkat diploma. Kelihatan bahawa saluran pilihan yang popular untuk keperingkat ijazah pertama ialah melalui kolej matrikulasi dan mendapatkan diploma terlebih dahulu.

Ada juga setengah pihak menyatakan bahawa saluran matrikulasi juga sudah menunjukkan aliran yang menurun dari segi pilihan  keperingkat ijazah pertama kerana katanya peperiksaan itu tidak mengeluarkan sijil yang diiktirafkan tidak seperti SPM dan STP. Ini akan merumitkan seseorang yang keluar dari kolej untuk mendapat pekerjaan setelah gagal memasuki universiti. Keputusan peperiksaan matrikulasi katanya tidak dapat digunakan bagi menilai tahap pendidikan yang diterima oleh seseorang. Dengan demikian mereka itu terpaksa menggunakan keputusan SPM semasa melamar pekerjaan. Sama ada kenyataan ini benar atau sebaliknya perlulah dibuat siasatan. Tapi saya lebih cenderong untuk mempercayainya kerana belum pernah terjumpa dalam mana-mana iklan pekerjaan, yang menyebutkan syarat keputusan peperiksaan matrikulasi.

Kalau anda bertanya saya, saluran yang mana yang akan saya cadangkan untuk dipilih saya suka mencadangkan saluran mendapatkan diploma terlebih dahulu, iaitu dapatkan keputusan peringkat diploma yang terbaik, kemudian teruskan keperingkat ijazah pertama. Kenapa? Saya tidak ada jawapannya.

Selasa, 17 Mei 2011

Sepanjang Perjalanan Dari Bukit Chandan Kuala Kangsar ke Bukit Istana: Warna-warna Kehidupan

Hari ini Selasa 17 Mei 2011 Kuala Kangsar: Waktu berangkat untuk balik ke Melaka telah dirancang pada  pada jam 8.30 pagi. Itulah jangkaan masa yang telah diberitahu oleh anakku Jaja yang bermalam dirumah mertua di Taman Raja Bendahara untuk mengambil kami berdua berangkat ke Melaka

.Justeru pada 8 pagi kami mengambil sarapan di cafe  tempat kediaman Rumah Rihat Kuala Kangsar (RRKK)  setelah semua barang-barang keperluan dimuatsiap dalam beg dan bekas isian yang lain. Jam, isterku memesan mehun goreng dan aku dengan kegemaran pagi sekeping roti bakar bersapukan kaya. Untuk membasahi tekak kami memesan air minuman yang sama iaitu segelas air suam untuk menelan ubat dan secawan milo 'o' setiap seorang.

Supaya tidak timbul kekeliruan , Jam menjelaskan milo'o' itu bermaksud milo yang tidak ada gula dan susu kerana dalam pengertian biasa atau pengertian setengah restoran/cafe/gerai milo'o' itu bermaksud milo yang tidak ada susu tetapi ada gula. Perkara ini telah berlaku beberapa kali kepada kami. Sepatutnya kata pengusaha restoran/cafe/gerai kami memesan milo kosong dan bukan milo 'o'. Kami pula berpendapat 'o' itu sama ertinya dengan kosong.

Itulah benda yang sama, sebutan berbeza membawa pengertian yang berbeza. Kadang-kadang pula sebutan berbeza tetapi bagi maksud behda yang sama misalnya sejenis kuih yang dipanggil  Buah Melaka. Yang peliknya kuih yang sama ini dipanggil Ondeh-ondeh oleh orang Melaka dan bukan buah Melaka.

Begitu juga perkataan semalam. Bagi orang dibahagian tengah hingga selatan semalam itu sama ertinya dengan yesterday dalam bahasa Inggeris. Bagi orang utara mereka menggunakan perkataan kemarin untuk yesterday.
Dengan yang demikian lebih baik kita menyatakan dengan tepat waktu dan hari untuk mengelakkan kekeliruan. Misalnya semalam pada hari Isnin 16 Mei 2011 pada pukul 2 petang saya telah mengadakan satu majlis khatam Quran.

Tetapi dalam masyarakat Melayu masih lagi menggunakan waktu solat sebagai penentuan masa bagi seuatu majlis. Contoh : Jemput kerumah selepas Zohor/'Asar/'Isya . Tidak dinyatakan dengan tepat pukul berapa. Maka orang yang dijemput itu akan datang pada waktu yang tidak sama. Kadang-kadang membuatkan majlis terpaksa lewat dimulakan atau dimulakan juga dengan bilangan yang tidak ramai tetapi kemudiannya bertambah semasa majlis sedang berjalan.

Anakku dan suaminya beserta Naqib cucuku, bapa dan ibu mertua serta adik-adik iparnya sampai di RRKK sepuluh minit memasuki pukul sepuluh pagi. Kelewatan adalah disebabkan untuk mengurus Naqib dari segi mandinya, kencing beraknya, muntahnya dan untuk mengisap nenen. Aku dan  isteri telah menjangka perkara seperti ini kerana itulah yang telah kami hadapi dulu semasa bersiap-siap untuk berjalan membawa sama anak kecil.


Kami meninggalkan RRKK pada pukul 10 pagi. Besanku suami isteri dan dua orang anak juga ke Kuala Lumpur atas  urusan tertentu.

Sepanjang perjalanan kami telah berhenti di tiga kawasan Rihat dan Rekreasi (R&R) iaitu di Tapah, Ulu Bernam dan Dengkil untuk berihat dan urusan bersih dan segar diri disamping membeli buah-buahan di Tapah dan Solat Zohor dan makan tengah hari di Dengkil. Nampaknya kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pengurusan R&R yang kami singgah adalah baik sekali.

Cuma ada satu perkara yang kurang menarik ialah tiadanya pokok-pokok besar yang ditanam disepanjang tempat letak kereta. Ini membuatkan keadaan yang tidak selesa dalam cuaca yang begitu panas apabila kita mahu masuk semula kedalam kereta bagi memulakan perjalanan selepas berihat terutama jika kita membawa sama anak kecil, apatah lagi yang baru lahir. Jika ada pokok-pokok besar dikawasan tempat letak kereta ianya boleh menjadi teduhan kereta disamping menghijaukan kawasan R&R itu sendiri. Bukankah hijau yang kita cari! Contohilah Melaka sebuah bandaraya hijau walaupun masih ada lagi tempat yang belum hijau. Tapi usaha tetap berjalan.

Satu perkara yang menjelekkan ialah perangai pengguna yang menggunakan kemudahan yang ada seperti tandas. Masih lagi kedapatan pengguna yang tidak mengguna dengan baik dan betul kemudahan yang disediakan. Contoh: Ada pengguna tidak tergerak tangannya untuk 'flush' najis buangannya sehingga menimbulkan rasa jijik bagi pengguna seterusnya. Ada yang membuang putung rokok pula kedalam mangkok tandas. Agaknya orang yang serupa inilah yang suka membuang putung rokok diatas jalan semasa pemanduan. Apa punya perangai manusia  ini? Jangan terperanjat, ada yang berkopiyah putih, tak kurang juga yang bersongkok  hitam dan yang paling banyak yang tak pakai kopiah atau songkok. Sungguh memalukan.

Akhirnya kami sampai di rumah pada jam 320 petang. Bersyukur kepada Allah kerana  memudahkan sepanjang perjalanan kami  dari Bukit Chandan Kuala Kangsar dan selamat sampai di kediaman kami di Persiaran Istana.