Theflowersellingboy

Isnin, 28 Februari 2011

Yang Malang.......


 kesian katak ni....

Malang menurut Kamus Dewan , Edisi Baru , Cetakan Tahun 1991 memberi makna malang kepada tiga iaitu i) nasib yang tidak baik, kecelakaan atau sial; ii) kedudukan yang melintang (mengalang). Jika ditambah di hadapan atau dihujung perkataan tersebut seperti  meMalangI ia bertukar makna sebagai menghormati, menyegani; MalangAP bermaksud mulut dibuka luas  ketika memanggil; MalangBANG bermakna perahu(kapal); dan   MalangKAN merujuk kepada tumbuhan(pokok).
 
Yang selalu atau biasa kita fahamkan malang itu bermaksud nasib yang tidak baik, kecelakaan atau sial. Kita akan bertcerita  'Malang' dari sudut pengertian ini.
 
Malang itu dikatakan tidak berbau. Ertinya kita tidak tahu bila dan ketikanya malang itu menimpa keatas diri seseorang. Terdengar juga orang berkata' malang sekali'. Misalnya "malang sekali kita tidak dapat menuntun wayang". Ini boleh juga bermaksud tiada peluang , atau apa boleh buat. Perkataan sekali yang mengekori malang itu tidak bermaksud seseorang itu hanya sekali saja ditimpa kemalangan. Perkataan itu tidak boleh berdiri dengan sendiri tetapi mesti disebut bersekali ( bersama) iaitu malang sekali untuk mendapat maksud yang dijelaskan tadi.
 
Siapa atau apa yang malang? Kepada siapa malang ini dirujuk atau digunakan.
 
Kita suka melihat malang dari segi 'YANG MALANG'. Binatang, Warna, Status Abjad, Tempat, Pokok/Tumbuhan dan Objek.
 
Dalam banyak hal 'Yang Malang'  itu digunakan sebagai kiasan.
 
Binatang yang telah dikenalpasti  menjadi 'malang' yang digunakan untuk mengkiaskan perbuatan, kedudukan, moral dan situasi ialah katak, kucing, ayam, kambing kerbau, biawak, buaya, lembu. Yang malang atau paling malang sekali ialah katak.
 
Saya percaya sebagian besar daripada kita telah mengetahui dan mungkin juga menghafal lirik lagu Bangau oh Bangau. Selain dari bangau, disebutkan juga  ikan, rumput,kerbau, perut, kayu,hujan,katak  dan ular. Siapa/ apa yang malang?
 
Yang Malang ialah binatang katak. Katak tidak dapat mengelakkan diri melainkan menjadi mangsa kepada ular yang dengan senang hati mengatakan bahawa katak itu memang makanan si ular, 'sudah menjadi makananku'.
 
Katak  binatang 'Yang Malang', ini juga digunakan dalam kiasan seseorang yang mati percuma saja. Kata orang mati tak berbaloi. 'Mati  Katak'lah dia apabila hendak menjelas seseorang yang mati tanpa ada pembelaan, atau mati sia-sia sahaja. Biasa kita dengar orang yang tidak ada pendirian dan selalu berubah tempat atau organisasi terutamanya organisasi politik dikatakan orang itu seperti katak . "Biasalah dia memang suka tukar parti, macam katak". Lihat binatang katak juga digunakan untuk menggambarkan kelakuan orang seperti itu sedangkan binatang lain seperti rusa, anjing dan yang lain melompat juga.
 
Binatang lain 'Yang Malang' ialah kambing dan kerbau. Misalnya seseorang yang takut mandi dikatakan seperti kambing dan kalau mandi tidak bersih dikatakan mandi kerbau. Sebenarnya kah kambing takutkan air. Bagaimana dengan anjing dan kucing dan yang lainnya. Adakah kerbau disebabkan suka berkubang maka kita katakan sebagai perbuatan orang yang mandi tak bersih. Bagaimana dengan badak air?  Orang yang menjadi mangsa bagi sesuatu keadaan dikatakan ' dia telah dikambinghitamkan'.
 
Cukuplah  setakat itu contoh yang terdapat dalam kiasan orang Melayu yang menggunakan binatang bagi menggambarkan watak, perbuatan atau tabiat, perangai, maruah seseorang  yang dianggap tidak baik, sia-sia, pengotor, hina dan sebagainya. Binatang lain 'Yang Malang' bolehlah difikir-fikirkan sendiri.  

Tumbuhan/pokok lalang digambarkan sebagai orang yang tidak tetap pendirian yang boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian. Kata-kata "dia tu macam lalang. Sekejap sokong sianu , sekejap sokong yang lain". Lalang apabila ditiup angin menolak kesatu arah, akan melentuk kearah itu. Bagaimana dengan pokok/batang padi. Bukankah akan melentuk liuk seperti lalang juga?
 
Cuba kita lihat bagaimana orang Melayu menggambarkan seseorang yang kedekut. Kedudukan/status/ gelaran orang yang macam manakah akan dikatakan sebagai kedekut atau bakhil.  Bukankah kita selalu dengar kata-kata 'Haji Bakhil'. Gelaran/title 'hj'  adalah 'yang malang'. Kita tidak kedengaran kiasan orang kaya bakhil, atau Tan Sri bakhil' dan sebagainya. Yang Malang juga diberikan kepada 'Lebai' dalam cerita Lebai Malang dalam cerita penglipurlara orang Melayu.
 
Kita pergi kepada objek pula. Objek apa ' Yang Malang'. Kita ambil satu contoh saja iaitu 'tembuk'. Tembuk ini dikiaskan kepada orang yang tidak tahu malu. "kau ini macam muka tembuk  tak sedar diri tiap-tiap hari kerumah orang itu sedangkan dia tidak melayan kau".
 
Abjad terakhir juga membuatkan seseorang itu jadi malang. Kalau nama anda dieja berrmula dengan 'Z', sudah tentu nama anda diletakkan terakhir sekali. Itu tidak menjadi hal. Tetapi apabila katakan berlaku suatu keadaan darurat misalnya yang berlaku di Mesir baru-baru ini dalam hal mengangkut pulang pelajar balik ke Malaysia. Semua orang mahu pulang lebih awal supaya cepat selamat. Bagaimana agaknya pegawai pengurus mengaturkan siapa balik awal dan siapa yang kemudian. Sudah tentu mereka ambil pertimbangan  mendahulukan yang sakit, perempuan , mereka yang  tinggal berdekatan dengan tempat orang berdemo dan sebagainya. Katakan anda termasuk dalam kategori yang dinyatakan dan nama anda bermula dengan  abjad 'z'.  Sudah tentu anda orang yang tekemudian sekali dikalangan kategori tersebut. 'Yang Malang' lagi jika anda tidak dalam kategori tersebut, dan nama anda bermula dengan abjad 'z' maka kapalterbang akhirlah yang mengangkut anda. 
 
Warna Hitam adalah warna 'Yang Malang'. Kalau seseorang  itu hendak digambarkan  sangat jahat atau hati keras maka  ' hatinya sungguh hitam sekali'. Gambaran-gambaran lain fikirlah sendiri.
 

Yang kekal malang diantara  'Yang Malang' ialah sebuah daerah di Indonesia yang dipanggil sebagai 'MALANG'.  Pergilah kesana jika ada kelapangan.
 

 Tajuk 'Yang Malang', ini tidak bertujuan untuk mengkritik kiasan-kiasan yang digunakan oleh masyarakat Melayu. Ianya hanya sekadar mencatatkan kiasan-kiasan yang meMALANGkan binatang-binatang, warna, status,pokok/tumbuhan dan objek.
 
Masyarakat Melayu juga ada kiasan-kiasan menTUAHkan bagi subjek-subjek yang kita sebutkan tadi.

Ahad, 27 Februari 2011

Menghadapi Pilihanraya dan Perbelanjaan Keselamatan.......Pemilihan Calun 2

Walaupun masih isap puting saya pun nak berkhidmat juga. Boleh tak?





Kriteria usia juga perlu diberi perhatian. Tidak terlalu muda. Tidak juga terlalu tua. Hal ini juga boleh menyebabkan perdebatan yang panjang dan mungkin tidak ada kesudahannya.  Masing-masing ada hujahan bagi mempertahankan pendapat.

Saya lebih berminat untuk melihat faktor usia ini dari segi tahap kesihatan, kelayakan akademik dan pengalaman kerana ianya amat  penting kepada calun yang dipilih untuk dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti yang dihajatkan oleh parti.

Secara amnya orang muda lebih sihat dari orang tua. Mempunyai kekuatan fizikal dan stamina yang lebih. Kuasa cerapannya juga lebih pantas.Pendidikan yang lebih tinggi. 'World view" nya meluas sekali tanpa sempadan. Ingin tahu dan mahu mencuba dalam hal-hal yang mencabar.Mereka adalah idealistik dan kadang-kadang tidak berpijak dibumi nyata. Berani mengambil risiko dan banyak lagi.

Kenyataan itu tidaklah bermakna orang tua tidak mempunyai ciri-ciri yang disebutkan. Ada juga kekecualiannya. Tetapi tidak ramai.

Had usia berapa seseorang muda itu boleh dicadang menjadi calun? Ini juga persoalan yang yang akan dapat dijawab dengan nilai subjektif. Namun saya berhujah, bahawa  usia 30 tahun adalah had paling minima seseorang boleh dipilih untuk dijadikan calun untuk bertanding. Pada had umur ini mereka telah memasuki dan berhadapan dengan alam nyata setelah beberapa tahun tamat pengajian tinggi. Cabarlah mereka ketika ini dengan memberi kepercayaan untuk menjadi calun.

Usia yang dikatakan tua, buat ketika ini, pada pendapat saya ialah mereka yang telah berumur 60 tahun. Pada had umur ini, tidak wajar dicalunkan jika itu merupakan kali pertama percubaan. Tetapi jika sedang berkhidmat dan berhajat  pula untuk terus memberi khidmat bagi  penggal berikutnya boleh juga dipertimbangkan. Syaratnya  hanya penggal itu saja, tidak ada masalah yang terbeban pada diri, parti atau negara. Juga kalau sudah tiada yang muda.

Mungkin orang tua berhujah bahawa di negara Jepun, Korea dan Barat, pemimpin mereka banyak yang tua-tua melebihi 60 tahun. Dalam politik tiada had umur untuk menyumbang khidmat melainkan mati saja.

Saya sejalan dengan pemikiran itu tetapi asasnya berbeza. Dinegara-negara tersebut pemimpinnya sihat-sihat belaka walaupun telah menjangkau umur melebihi 60 tahun. Maaf saya tidak pula merujuk kepada mana-mana kajian, hanya mengikuti perkembangan saja.

Bukan saja sihat tubuh badan mereka juga sihat fikiran. Mereka utamakan harga diri, integriti ada moral atau bermoral tinggi. Kalau tidak percaya rujuklah ke Korea dan Jepun. Apabila ketuanya atau seseorang pemimpin  telah dikatakan ada masalah, atau memang bermasalah, tindakan minima mereka ialah meletakkan jawatan.Bukan saja pemimpin yang bermasalah itu meletak jawatan malah ketuanya juga meletak jawatan mengambil tanggungjawab bersama. Yang paling dahsyat ada yang bunuh diri di perkuburan. Saya percaya, setakat ini belum ada yang berbuat demikian, di Malaysia.  Lagi pun bunuh diri dari sudut Islam ianya dosa besar. Tapi tiada pula yang letak jawatan! Mengundurkan diri,sendiri.

Alasan bahawa orang politik tiada had umur menyumbang perkhidmatan juga saya setuju malah saya luaskan lagi kepada orang bukan politik. Memberi sumbangan atau berkhidmat tidak terhad samasa ada jawatan kerajaan atau politik. Sama juga yang lain misalnya pesara kerajaan. 

Ilmu pengetahuan pula amat penting. Kebanyakan kita mengukur ilmu pengetahuan dari segi kelulusan akademik. Saya bersetuju dan juga tidak bersetuju.

Hal ini saya akan bincangkan dipaparan yang akan datang.

Kayuhan ke Bukit Hantu 3

                                          "Dato' Lim jangan bagi itu pengerusi pening kepala la. Saya pening tak apa boleh tampal koyok. Jangan marah. Nanti tak dapat projek"



Aku sudah  pasti hantu itu ada. Ada di mana-mana. Asalkan ada ruang adalah hantu. Hantu ini jahat. Jadi jihadku mesti diteruskan untuk membunuhnya. Tapi bagaimana ,sebab hantu tidak dapat dilhat tidak juga dapat dipegang.

Satu hari aku teringat petua orang tua-tua .Apabila nampak seseorang yang kita tidak kenal, diwaktu malam pula dan kita mengesyakki orang ini adalah hantu, hendaklah kita mengalihkan muka kearah yang bertentangan kemudian membongkok dan melihat orang itu  melalui celah-celah diantara dua kaki. "Kita menonggeng", kata nenekku. Sekiranya orang itu kakinya tidak mencecah bumi itulah dia hantu.

Sungguh mudah orang tua-tua dulu melihat hantu. Aku telah cuba buat eksperimen menonggeng ini.  Aku telah meminta adikku berjalan diwaktu malam dan aku telah melihat adikku itu dengan menonggeng seperti petua yang telah diberi tahu. Nyata adikku bukan hantu. Itu eksperimen bodoh sebab adikku jelas seorang manusia. Kalau dia hantu maka aku pun hantu juga.Bodoh.

Tapi adakah  orang tua-tua dulu telah melihat hantu. Atau sengaja mengadakan petua untuk menjawab persoalan kewujudan hantu.

Bagi orang tua-tua dulu setiap yang dipersoal akan diberi jawapan.Soal logik, tepat atau betul bukan panduan. Yang penting berikan jawapan kepada perkara yang ditanya. Kalau tidak malulah. Mereka orang tua-tua. Mereka mesti lebih tahu. Mereka lebih dahulu makan garam. Kalau tidak bagaimana boleh meyakinkan anak cucunya. Boleh kawal anak cucu yang jahat macam hantu.  Mereka menjawab bukan saja secara mengeluarkan petua malah ada cara lain iaitu menerusi kiasan. Malah taktik menakut-nakutkan juga digunakan misalnya 'jangan tunjuk pelangi nanti kudung jari'.

Aku pernah mempertikaikan perkara ini apabila emakku terus mempercayai pesan nenekku yang aku percaya telah juga menerima pesan yang sama dari emaknya. Emakku sungguh marah sambil katanya "Itulah kau budak-budak tak percaya cakap orang tua-tua". Itulah biasanya jawapan yang diulang-ulang untuk mematikan persoalan.

Adakah fenomina ini tidak wujud sekarang? Semasa menghadiri satu ceramah agama, seorang ustaz telah ditanya apakah hukumnya kalau seseorang Islam itu tidak berpuasa. Ustaz itu pantas menjawab. Ditanya lagi bab tafsiran. Menjawab juga. Ditanya lagi perbankan Islam. Terus menjawab. Ditanya lagi apa bezanya perbankan Islam dengan perbankan konvensional. Beliau juga ada jawapan. Jawab mesti jawab sebab dia ustaz. Kalau tidak jawab malulah.,

Oh terlalu lama aku mengelamun. Sasaranku ialah membunuh hantu. Tetapi dimana hantu. Di Bukit Kayu? Di Lubuk Antu? Atau dalam rumahku?

Aku mesti applikasikan prinsip yang digunapakai orang tua-tua dulu. Juga ustaz yang berceramah dipejabatku itu. Prinsip serba tahu. Sekiranya tidak aku tidak ada jalan keluar. Jalan keluar mesti ada. Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya. Kalau ubat tidak ada jawabnya, matilah dia. Mati tiada jalan keluar. Semua orang tetap mati. Sudah pasti aku belum lagi mahu mati. Jalan keluar mesti dicari.

Aku telah buat keputusan untuk menjadi hantu. Aku yakin dengan pertukaran watak ini aku dapat menangkap dan membunuh hantu yang jahat itu. Ehh aku mesti jadi jahat ke? Bukankah aku benci orang jahat, penghisap darah. Tidak mengapa, demi keselamatan dan masa depan manusia aku mesti berkorban. Aku hendak pastikan kayuhan generasi akan datang bukan ke Bukit  Hantu atau Lubuk Antu tapi ke Bukit Aman atau Lubuk Aman. Aku akan jadi "Orang jahat berniat baik", macam Robin Hood. Kalau tidak tiada jalan penyelesaian.

Aku jadikan pejabatku sebagai markas untuk menjadi hantu.

Aku telah diberi tanggung jawab sebagai ketua sebuah organisasi. Kuasaku terlalu besar dan menyeluruh dalam hal yang berkaitan dengan pembelian dan perolehan. Aku perlu jelaskan apa maksud perolehan ini supaya ada keterbukaan, ketelusan. Perolehan itu terrmasuklah yang berkaitan dengan pertimbangan dan keputusan yang akan ku buat dalam satu jawatankuasa yang aku menjadi pengerusi bagi tawaran kerja dan perkhidmatan. Termasuk juga cadangan projek. Secara mudahnya aku boleh bagi orang projeklah! Boleh bagi kontrak lah! Lihat betapa hebatnya bidang kuasaku. Hendak jadi hantu mestilah begitu.

"Modal berbayar syarikat awak hanya dua ringgit tapi nak buat projek RM100 juta". Nada suara ku agak tinggi dan jelas. Dato' Lim tuan punya syarikat tenang saja. "I agree with you tuan. That we will solve later. No problem". Aku bertambah marah dan merenung muka Dato' Lim yang bersahaja itu seoalah-olah kebimbangan aku mengenai keupayaan syarikatnya diperlekehkan. Aku dengan mentah menolak cadangan syarikat Dato' Lim itu. Sambil sedikit membongkok dan menganggok kepala beliau meminta izin keluar sebaik saja keputusan dibuat. Aku rasa puas.

"Tuan, can I see you a minute". Pohon Dato' Lim sebaik saja aku sampai dipintu pejabatku. 'Apa pula halnya nak jumpa aku ini', bisik hatiku. 'Cadangan dah kena tolak, baliklah. Buat menyebuk saja', suara hatiku berkata lagi. "Sorry to take your time tuan, just a minute, please", Dato' Lim merayu lagi. Nampaknya aku kalah dengan rayuannya itu. "Ok", kata ku  ringkas.
 
(Cuba teka apa yang berlaku dalam bilik dan selepas itu).





Search Amazon.com for From Wall Street to Bukit Merah: Strategies of a corporate leader

Sabtu, 26 Februari 2011

Menghadapi Pilihanraya dan Perbelanjaan Keselamatan.........Pemilhan Calun

Hari ini 26 Februari 2011 adalah hari penamaan calun bagi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Merlimau di Melaka dan Kerdau di Pahang. Masing-masing parti yang bertanding, parti   Barisan Nasional, khususnya UMNO dan  Pakatan Rakyat, khususnya PAS telah pun mempunyai pilihan calun.
 
Kriteria yang utama dan pertama yang digunakan ialah calun yang boleh memberi kemenangan  iaitu yang boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat kawasan yang diwakili.

Apa kah yang dimaksudkan perkhidmatan yang terbaik. Apa ukuran terbaik?

Adakah terbaik itu boleh diukur dengan melihat kekerapan ahli yang dipilih itu turun ke padang; hadir majlis-majlis anjuran masyarakat misalnya maljis perkahwinan, berkhatan beramai-ramai dan sebagainya; atau ahli itu dapat mencetuskan idea dan buah fikiran semasa perbahasan dan perbincangan dalam merangka sesuatu dasar atau ordinan/akta  demi faedah masyarakat yang diwaklili.

Banyak lagi boleh diperkatakan jika mahu berbincang apakah maksud calun yang boleh memberi kemenangan dan yang boleh memberi perkhidmatan terbaik.
 
Pada pendapat saya ada satu kritera yang tidak diberi keutamaan apabila memilih calun iaitu tahap kesihatan calun. Sepatutnya tahap kesihatan dijadikan syarat utama jika mahu menjadi calun. Bakal calun mestilah melalui/menjalanani pemeriksaan kesihatan/perubatan sama seperti seseorang  yang bakal memasuki perkhidmatan awam. Penjawat awam yang sihat akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik. Sama juga  dengan wakil rakyat, diperingkat  negeri atau parlimen.  
  
Tahap kesihatan akan memberi isyarat awal setakat mana kemampuan bagi seseorang calun yang dipilih itu dapat memberi perkhidmatan yang bermakna dan berkesan kepada masyarakat. Hanya yang sihat saja yang mampu memberi buah fikiran dan tenaga fizikal yang terbaik. Kalau selalu saja minta cuti sakit lebih baik jangan jadi calun.

Yang merisaukan ialah apabila tidak sihat kemungkinan untuk mengadakan satu pilihanraya kecil adalah terlalu besar. Yang merugikan ialah rakyat terpaksa menanggung perbelanjaan. Bukankah lebih baik wang itu digunakan untuk tujuan yang lebih produktif misalnya memperbaikki kehidupan rakyat, menambahkan lagi peruntukan biasiswa supaya dapat mengurangkan anak-anak kita berhutang

Jadi kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi calun dalam pilihanraya tentukan tahap kesihatan tip top. Populariti bukan sesuatu yang utama walaupun penting. Semoga kita sama-sama menfaatkan sumber wang yang terhad itu untuk kebaikan bersama. Yang tahu sihat hanya diri kita, tidak perlu orang lain beritahu.


 

SELAMAT PANJANG UMUR, MURAH REZEKI DAN ANAK SOLEHAH

Hari ini 26 Februari 2011 bersamaan 23 Rabuilawal 1432 genaplah 28 tahun umur anakku Hazlin Azmira puteri sulong anak ketiga dari enam adik beradik. Papa dan mama mengucapkan selamat menyambut hari kelahiran agar Ira sentiasa dianugerahkan kesihatan, dipertingkatkan iman, ditambah zuriat, hidup berbahagia suami isteri dan dikurniakan rezeki yang halal dan barakah .  Amin.


Dari sumber yang boleh dipercayai, tetapi belum dapat disahkan khabar beritanya tahun ini dapat 'increament'. Alhamdulillah syukur. Bolehlah bawa papa dan mama ke ............."Ira fikirlah sendiri"

                     SEMOGA ALLAH SENTIASA MELINDUNGI IRA ,YAD DAN YOUSEF

Jumaat, 25 Februari 2011

KISS dan Warna-warna Islam


                                                     Inilah Rumah KISS Yang DiCadangkan.


1. Sebuah Kelab bagi mereka yang sentiasa sihat, sedang menerima rawatan bagi sesuatu penyakit, yang trauma, yang telah menerima rawatan dan pulih atau masih belum pulih sepenuhnya wajar ditubuhkan. Tujuannya ialah untuk ahli-ahli dapat membantu sesama mereka dengan menggunakan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran serta  kedudukan dalam satu jaringan sosial yang melebar luas tanpa batasan warna kulit, geografi, agama, budaya dan bangsa.

2.. Kelab itu dicadang diberi nama Kelab Insan Sihat Sejahtera atau KISS. Perlembagaan KISS dalam proses 'drafting'. Belum ada Jawatankuasa Sementara atau protem commitee ditubuhkan.

3. Logo kelab telah direka bentuk yang mengambil motif bibir mengukir senyuman.

4. Cogan kata atau motto kelab juga telah tersedia. Ada dua bahasa yang digunakan iaitu Bahasa Inggeris sesuai dengan tujuan kelab yang bersifat global tanpa sempadan, boleh dihayati sebahagian besar penduduk dunia. Bahasa Melayu pula digunakan kerana menghormati Bahasa Kebangsaan Malaysia dan Bahasa Rasmi Negara dimana lokasi idea penubuhan kelab ini mula dicetuskan. Mottonya pendek dan menarik, mudah difahami. Ada beberapa motto yang telah difikirkan.Akhirnya satu motto telah dipilih yang mengambil ciri atau sifat yang 'berkekalan' atau bertahan lama. Sustainable. Motto dalam Bahasa Melayu berbunyi: SENYUM SENTIASA. Boleh juga disebut sentiasa senyum tetapi kurang berirama, tiada kelembutan dan kehalusan. Apabila diterjemah ke Bahasa Inggeris motto itu berbunyi : KEEP SMILING.

5. Bahasa Inggeris tidak pula digunakan bagi maksud menamakan kelab ini. Cukup dengan  KISS iaitu ringkasan dari nama Kelab Insan Sihat Sejahtera. Bukankah KISS atau CIUMAN itu datangnya dari bibir yang mengukir senyuman.

6. Warna kelab sedang dicari. Hijau, merah, putih, kuning, hitam, biru, jingga, merah jambu, ungu, cokelat, kelabu, perang. Tidak boleh dipilih hanya satu atau dua atau tiga, empat atau kesemuanya. Warna mesti yang terbaik. Isu pemilihan bunga ini masih tergantung. Otak menjadi buntu.

7. Dipejabat pos seorang yang berkulit hitam legam bergegas kekaunter bayaran apabila nombornya dipanggil. Bil ditangan jatuh tercicir. Kerani dikaunter bayaran ingin membantu' "Ane, itu bil ada jatuh lah. Ane bagi pegang kuat-kuat lah". Yang si hitam legam lantas membongkok mengambil bil yang terjatuh dan berdiri tegak semula. Kerani kaunter menyapa, "Selamat pagi". Orang Hitam Legam mula bersuara, "Assalamulaikum". Kerani kaunter bayaran tersipu-sipu pohon maaf. Orang Hitam Legam, "Islam tak pilih warna", berdesup macam halilintar menerubusi telinga sikerani, yang sekali lagi minta maaf. "Tak apa", jawabnya bersahaja. Dia faham, kerani tersebut tidak berniat untuk membeza. Ini pun bukan kali pertama yang didengarnya.

8. Pilihan warna telah ada. Islam Tak pilih warna.   

Senaman Untuk Doktor

 
                                     
"oh yeah, really? Dr. Venu tahu. "Jangan buat malu tokpa. Kan dah tersipu-sipu", kata Yousef cucuku.                  


Hampir enam tahun aku menjalani pembedahan jantung terbuka. Alhamdulillah keadaanku sekarang ini lebih ceria berbanding sebelum pembedahan. Setiap pagi aku dan isteri membuat senaman berjalan kaki dihalaman rumah dengan melakukan seratus pusingan. Ianya mengambil masa diantara 46 ke 48 minit. Lebih dari masa yang dinasihatkan oleh doktor IJN yang membuat pembedahan dulu. "Now your heart is ok. But don't forget to do light exercises, at least 20 to 30 minutes a day. You also can do it alternately, and watch your 'makan'".Itulah nasihat yang diberikan padaku.

Selama enam tahun, senaman itu tidak pernah gagal ku lakukan melainkan jika aku pergi bercuti atau tidur semalam dua dirumah anak-anakku  di Kuala Lumpur atau pun di Muar. Tapi akhir-akhir ini nampaknya kegairahan itu semakin lama semakin pudar menurun. Selepas solat Subuh, aku dan isteri sambung tidur sehinggalah jam sepuluh. Tiada siapa yang nak ganggu. Dua orang anakku  masih lagi belajar, seorang di Mesir dan seorang di England. Jadi  bebaslah kami berdua.

Senaman berjalan kaki mengelilingi halaman rumah sudah tidak boleh bertahan. 'Senaman itu tidak ada persaingan. Isteriku bukan pesaing bagiku, hempah hempoh dia mengayuh. Selalu tertinggal sepuluh atau lima belas pusingan. Lokasi senaman pun menjemukan, tidak kondusif, boring'. Tidak mampu bersaing dengan tilam empok dibilik tidurku yang sentiasa dingin mengulit.

Suatu hari, dada dibahagian kiriku terasa bagai ditusuk. Tidaklah terlalu sakit tapi boleh merisaukan. " Angin agaknya", pujuk hatiku. Ini sudah tentu pukulan sayur nangka masak cili api.  Sedap bukan main. Nasi bertambah.  "Mungkin juga ada kaitan dengan jantung", yang ini sungguh menakutkan.

Temujanji dengan doktor IJN telah dibuat. Hari Rabu. Dua hari lagi.

Hari keesokannya iaitu sehari sebelum ke IJN, diwaktu pagi jam tujuh aku dan isteriku  berjalan menuruni bukit melakukan senaman diluar kawasan rumah, untuk berubah angin mendapat satu suasana baru yang  tidak jemu. Itulah yang telah kami sepakati sebelum melelapkan mata  tadi malam.

Bukan main laju kami menuruni bukit. Isteriku memegang tanganku takut-takut tergelincir jatuh. Kami melalui sekolah dan Hospital Pantai. Kemudian berpatah balik menuju kerumah. Kali ini giliran kami mendaki. Isteriku termengah-mengah sambil berpaut pada tanganku. Tercungap juga aku dibuatnya . Akhirnya sampai juga ke kawasan rumahku.

Isteriku sudah mengalah. Duduk bersandar diatas bangku kayu sambil mulut terkumat kamit membebel "habis mati pokok bunga, kering tak bersiram", kecewa nampaknya.

Aku meneruskan senaman. Mesti keluar banyak peluh. Keluar yang masin, pecahkan lemak-lemak. Semuanya itu penyebab darah tinggi, menyekat aliran darah.  Jantung terpaksa bekerja kuat mengepam aliran darah kerana saluran darah semakin menyempit. Saluran darah jadi tersumbat. Heart attack. "Aduh du dui dui,  jauhkan aku dari serangan jantung itu ya Allah" tangan kanan ku meraba-raba dada sebelah kiri seolah-olah jantungku diserang.

Langkah kakiku makin laju dan deras. Tujuanku untuk mengeluarkan air masin yang menjadi punca penyakit. Lemak-lemak mesti dihancurkan semua. Besok hari Rabu aku nak jumpa doktor. Sudah tentu, berat badanku ditimbang, tekanan darah dibaca, tahap kolestrol diambil, ecg dilakukan dan tahap gula direkodkan.

Aku tidak mengira berapa pusingan yang telah ku lakukan. Itu tidak penting .Tumpuanku kepada berapa banyak peluh yang menjejer diseluruh anggota badanku. Adakah  baju 't'dan track suit sudah
lencun.  Malulah kalau doktor mendapati berat badanku bertambah, paras gula dan kolestrol meningkat. Tekanan darah juga meningkat. Bacaan ecg, ah yang ini aku tidak tahu. Aku tidak faham graf yang ditunjukkan padaku. Aku lihat macam graf harga saham , turun naik. Agaknya yang naik itu adalah yang terbaik, boleh jual segera. Kesitu pula hayalanku.

Aku mesti berjalan lebih laju. Laju, laju,laju, lajuuuuuuuuu. Esok nak jumpa doktor. Jangan buat malu. Tiba-tiba kepalaku rasa pening, mata menjadi semakin kabur, tangan kananku melekat pada dada sebelah kiri. Aku rasa sakit. Tanganku lemah, kaki longlai nak melangkah dan......

"Bang, pa, bang, pa pa, bang ", aku membuka mataku apabila terdengar panggilan yang sayup sayup itu. Isteri dan anak-anakku  menangis syukur gembira kerana aku telah sedar dari pengsan. "Kat mana ni; IJN ke". Isteri dan anak-anakku menggeleng kepala. "Pantai", jawab mereka semua.

Besok aku ke IJN. Aku nak beritahu Dato' Dr. Venu "Everything is ok". "Oh yeah, really?". Aku mungkin tersipu-sipu. 

Khamis, 24 Februari 2011

Sekadar Kenangan....4

                        ."....baik sungguh Dato' Yau beri ekuiti percuma. Hutang BB pun dia tolong bayar gamaknya" bye see you in...........future 


Aku menyusun strategi bagi menguruskan tugasan pertama yang amat penting ini. Ini merupakan cabaran. Ini bukan beban. Aku mesti berfikiran positif kalau tidak  otakku akan jem. Ini adalah satu peluang yang mesti dimenfaatkan  sebaiknya.Ini adalah ujian yang berpijak dibumi nyata bukan ujian peperiksaan dahulu, 'A' bintang yang diperolehi.

"Tolong panggil En.Ali dan En. Ramli", mintaku pada Pembantu yang telah sedia berdiri mengucapkan salam sebaik aku melangkah masuk kearah bilikku. "Dapatkan juga Dato' Yau", sambungku.
En Ali ialah Penolong yang bertanggungjawab antara lain membuat analisis projek. En. Ramli pula Penolong yang bertanggungjawab dalam menentukan projek yang telah dipersetujui, dilaksanakan sebaik mungkin. Tugas dan tanggungjawab ini telah dimaklumkan kepadaku oleh penolong-penolong ini apabila mereka dipanggil dihari pertama aku bertugas. Semuanya terdapat dalam Fail Meja , aku diberitahu.

Aku menyelak helaian muka Fail Meja bagi  kedua-kedua Penolong tadi sementara menunggu kehadiran mereka.  Terdengar ketukan pintu, diikuti dengan salam.  Aku mempersilakan mereka masuk setelah menjawab salam rengkas. Mereka dijemput duduk.

"Kita ada satu tugasan yang perlu diurus segera", aku memulakan bicara sambil menyelak-nyelak buku cadangan yang telah diberikan oleh  BB, semalam.Buku itu tidaklah tebal, hanya sepuluh muka. Cadangan itu telah ku baca dan teliti sebaik saja aku selesai  menikmati makan malam pada jam lapan  sehingga jam dua belas malam, malam tadi.

Ada beberapa aspek cadangan itu yang perlu diberi perhatian demi menjaga kepentingan organisasi. Tidak ada pun tawaran equiti 30% percuma seperti yang dimaklumkan oleh BB. Tidak terdapat dalam buku cadangan mahupun dalam surat yang mengiringi cadangan tersebut.Tidak juga dimaklumkan sumber pembiayaan secara spesifik. Kos projek dinyatakan hampir RM 1bilion. Tidak ada perincian kos atau sekurang-kurang rengkasan projek atau 'project brief'. Yang ada hanya surat dari sebuah bank menyatakan bahawa Dato' Yau mempunyai kemudahan kredit bernilai RM50,000. Apakah cadangan struktur modal bagi syarikat usahasama yang bakal ditubuhkan. Banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu diketahui.

"BB hendakkan analisis dan perakuan bagi cadangan ini pada hari Sabtu ni". Aku semacam sudah mesra dengan sebutan BB bagi merujuk Bos Besar. Mataku segera menangkap wajah kedua-kedua penolongku untuk melihat reaksi dan air muka mereka. Kelihatan mereka tenang sahaja seolah-olah semuanya boleh dibereskan dalam tempuh yang ditetapkan. Ini satu isyarat yang baik dan menggalakkan. Sungguh bertuah akau mendapat penolong-penolong yang cekap, bisik hati kecilku.

"Saya ada satu salinan saja.....Rona cuba you minta dengan Pembantu Khas BB satu lagi salinan proposal ni".

Aku mengharapkan agar Dato' Yau telah  mengemukakan lebih daripada satu salinan cadangan tersebut. 
Sementara itu aku meminta supaya Ali membuat semakan dengan Pejabat Pendaftaran Syarikat bagi mendapatkan maklumat-maklumat  yang berkaitan dengan Syarikat Dato' Yau. Antara lain maklumat mengenai pemegang saham, modal, pengurusan dan lain-lain yang berkaitan. Ali mencatatkan apa yang kuarah dalam sebuah buku kecil .

"You pula Ramli.....", tidak sempat aku meneruskan tiba-tiba Ramli ingin menyatakan sesuatu  " Tuan haji, saya minta maaf, sebab saya tidak terlibat dengan analisis projek. Saya pelaksanaan dan monitoring", suaranya agak perlahan. Aku tersentak juga dengan kata-katanya itu.  'Tidak terlibat dan hanya pelaksana dan pemantau projek' maka itu alasannya untuk tidak bersama membantu. Ego sebagai seorang bos nampaknya hampir menyelinap dalam darahuku. Aku perlu bersabar. Ini baru hari kedua kerja takkan hendak mengujudkan suasana kerja yang tidak kondusif. Hubungan baik diantara bos dan pembantu perlu dijaga.

Talipon dimejaku berdering. Lantas segera aku mengangkat gagangnya. "Ok" kataku membenarkan talian disambung untuk bercakap dengan Dato' Yau. "No problem tuan haji. I will be coming to your office. By ten thirty I will be there. No problem", suara Dato' Yau berjanji untuk datang kepejabatku untuk membincangkan mengenai projek yang dicadangkan dan penubuhan syarikat usahasama.

Gagang talipon diletakkan diatas tempatnya. Kelihatan seorang pembantu pejabat memasuki ruang kerja pembantu dan menyerahkan satu buku.

Pembantu menyerahkan buku tersebut kepadaku dan aku pula memanjangkan kepada Ali. "Pukul sepuluh setengah nanti kita jumpa dalam bilik perbincangan. Dato' Yau akan datang berbincang.  Both of you". Ali dan Ramli meninggalkan bilikku bergerak longlai. "Kita dah ada Fail Meja........", terdengar perlahan kata-kata Ramli kepada kawannya Ali melepaskan perasaan tidak puas hati. Sekali lagi aku mengurut dada,sabar.

Perkara yang akan ku bangkitkan nanti telah tersedia disenaraikan. Dua perkara utama yang perlu dibereskan i) penubuhan syarikat usahasama dan ii) penglibatan syarikat dalam projek yang bakal dilaksanaka terutama dari segi daya maju projek dan sumber pembiayaan. Aku kurang yakin Dato' Yau akan dapat memberikan maklumat atau jawapan yang diharapkan. Mungkin perbincangan menjadi tegang? Ah peduli apa. Yang penting mesti utamakan kepentingan organisai kita terlebih dulu. 

Otakku yang berlegar -legar tadi tiba-tiba tersekat dan berhenti apabila pembantu masuk  tercegat berdiri.
"Minta maaf tuan aji", aku lantas merenungnya. Aku rasa ada sesuatu yang amat penting yang hendak disampaikan. "Dato' Yau tu kawan baik BB", sambung beliau, dengan nada yang mahu menyatakan supaya berhati-hati . ' Kawan baik BB'. Yang ini memang aku boleh teka dan baca semasa pertama kali berjumpa dalam bilik BB. Apa salahnya.

"En. Ali dan En. Ramli dah lama ke disini?' Tanyaku sudah mula mesra. "Lama juga. En. Ali tiga tahun. En. Ramli hampir lima tahun". Aku melihat jam ditanganku, sudah hampir sepuluh dua puluh minit. Aku mesti mendahului mereka masuk ke bilik perbincangan. Aku tidak mahu Dato' Yau singgah masuk bilikku. "Nanti kalau Dato' Yau datang, you tolong bawa ke bilik perbincangan", kakiku melangkah ke bilik perbincangan. aku ceria dan tenang.

Rabu, 23 Februari 2011

Menghadapi Pilihanraya dan Perbelanjaan Keselamatan.......1

 ....negara kita kan aman, tak usahlah belanja banyak-banyak untuk keselamatan, nanti saya besar bolehlah dapat biasiswa sebab ada lebihan simpanan. Selamat bertanding bakal YB




1. Pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Tan sri Abdul Aziz Mohd Yusuf bahawa SPR memerlukan peruntukan sebanyak RM45 bagi menguruskan pilihanraya Sarawak yang dijangka akan diadakan boleh menimbulkan berbagai  reaksi daripada masyarakat Malaysia.
2. Antara reaksi  adalah i) Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUNS) akan dibubarkan dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya tahun ini; ii)Jumlah peruntukan yang diperlukan itu adalah besar atau kecil dan tidak mencukupi;  iii) Ada yang tidak ambil peduli; iv)Mereka yang merasakan layak  menjadi calun untuk jadi YB perlu bergerak segera untuk melobi.
3. Bila Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan hanya dalam pengetahuan Ketua Menteri Sarawak dan Perdana Menteri. Banyak faktor diambil kira. Faktor yang pasti diambil kira ialah bolehkah Kerajaan yang ada, berkuasa semula selepas pilihanraya. Faktor ini yang dijadikan asas utama dengan melihat antara lain politik dan ekonomi semasa, mencari atau mengenengahkan calun yang dipercayai boleh menang (winable).
4. Namun SPR mesti 'sentiasa bersedia', seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi SPR supaya tidak terperangkap tanpa sedia jika DUNS dibubarkan. Antara persediaan yang paling penting ialah duit belanja sama seperti belanja kenduri kahwin. Yang berbeza, kenduri kahwin calun sudah tersedia ada tapi kadang-kadang disaat akhir waktu Imam nak memulakan akad nikah muncul yang lain pula. Tapi ini bukan kerja SPR.  Jangan pening kepala Tan Sri.
5. Adakah RM45 juta itu besar, mencukupi atau kecil dan tidak mencukupi?. Macam-macam pendapat dan pandangan boleh diberi bergantung kepada nilai dan kedudukan masing-masing pihak  semasa membuat sorotan.
6. Kita tidak pula diberikan pecahan perbelanjaan daripada jumlah RM45 juta itu. Dengan itu tidak mempunyai maklumat  perbelanjaan mengikut komponen misalnya untuk membayar elaun petugas, pengangkutan, sewa kapalterbang dan helikopter, sewa perahu, bot dan berbagai lagi.
7.Dalam pilihanraya diMalaysia, mungkin juga dinegara lain, urusan berkaitan dengan keselamatan amat penting dan diutamakan. Ini ada implikasinya dari segi keperluan kewangan.
8. Oleh kerana ianya sangat penting  dan utama saya beranggapan jumlah RM45 juta itu mestilah sebahagiannya bagi maksud perbelanjaan keselamatan, dan mungkin merupakan komponen terbesar perbelanjaan.
9. Kalau andaian saya itu tidak meleset ia membawa makna bahawa ada yang tidak kena kepada kita semua. Kita sentiasa menyatakan terutamanya kepada negara luar dan pelabur bahawa Malaysia sebuah negara yang stabil dan selamat. Perpaduan rakyat dikatakan 'intact'. Kita telah mengujudkan suatu suasana yang kondusif untuk segala bentuk kehidupan: untuk melancong, untuk melabur malah untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Kedua (your second home).
10. Tetapi hanya untuk beberapa hari, minggu atau bulan suasana itu tiba-tiba bertukar menjadi tidak selamat. Jumlah wang yang diperlukan bagi maksud itu menjadi penting dan utama. Mungkin ada orang mulutnya tidak ternganga atau perasaannya tdak merasa apa-apa kalau kita mengatakan penting dan utama. Tapi apabila digantikan perkataan-perkataan itu dengan nilai wang maka macam-macam akan ditanya, ada yang mulut terbuka ternganga-nganga.
11. Berasaskan bahawa perbelanjaan itu penting dan utama, jumlah perbelanjaan keselamatan itu adalah komponen yang paling besar. Kalau begitu ini dinamakan sebagai tidak menyalurkan atau menggunakan sumber kekayaan yang dikatakan sebagai 'scarce' kearah satu maksud yang produktif. Orang ekonomi kata, ketidakcekapan dalam menfaatkan sumber ( inefficiency in resource allocation).
12. Mengapa perlu jadi begini? Negara kita stabil dan aman. Kehidupan rakyat sentiasa berpadu, malah kita jemput orang luar menjadikan Malaysia sebagai negara kedua mereka.
!3. Semua kita rakyat Malaysia adalah bertangungjawab untuk menjawab soalan diatas. Saya tidak mahu menuding mana-mana pihak, rakyat umum, pemerintah atau pembangkang terlebih dulu. Tidak perlu tuding jari pada orang lain kerana katanya satu jari menuding orang, tiga lagi menuding pada kita. Anda bersetuju? Yang pasti saya tidak bersetuju.
14. Menuding jari amat perlu. Kalau tidak kita tidak dapat mencari sasaran. Sasaran itu perlu tepat .
15. Sasaran pertama saya ialah diri sendiri. Saya perlu berfikir mencari sebab mengapa jadi begini. Mengapa setiap kali pilihanraya negara kita yang begitu aman tiba-tiba diuruskan sebagai tidak aman. Mengapa perlu gunakan banyak wang bagi tujuan 'keamanan' dalam tempuh pilihanraya yang berlansung mungkin seminggu dua. Sedangkan kita ada keperluan-keperluan lain yang lebih penting dan utama misalnya peruntukan biasiswa kepada pelajar yang ketika ini sebahagian besarnya berhutang dengan PTPTN; mengadakan program atau projek mengatasi pengangguran dan sebagainya.
16. Jawapan yang dapat difikirkan adalah seperi berikut:
i)Pemilihan calun
ii)Konsep rakyat politik dan rakyat Malaysia
iii)Had tempuh perkhidmatan wakil rakyat
iv)Had tempuh perkhidmatan seseorang eksekutif terutama ketua eksekutif, Persekutuan dan Negeri
v)Had tempuh perkhidmatan ketua parti politik dan jawatan-jawatan utama.   

 

Isnin, 21 Februari 2011

Sekadar Kenangan ......3

.............. tak payah buat kajian 'project viability' tokpa, nanti BB isap jari, tokpa dihambat pergi....



Seminggu selepas kembali ketanah air aku diarah  melapor diri kesebuah organisasi yang tidak perlu diberitau. Alhamdulillah, berjaya juga aku. Sekarang tambah satu lagi title  yang boleh mengekori di hujung namaku. Boleh juga aku tayang pada kawanku Osman, minta maaf, YB Dato'Osman wakil rakyat kampongku, kawan sekelas semasa di sekolah rendah dulu.Sungguh tidak disangka tuah Dato' Osman ini. 

Namun semua orang  sedia tahu, beliau sangat disukai ramai, pandai berbicara ,mesra sekali. Kerja gotong royong tidak akan berjalan kalau bukan Osman penggeraknya. Kalau salam bersalaman ini , belajarlah dari Osman. Tertibnya bukan main. Kalau bersalaman tiada seorang pun yang tertinggal. Tidak ada yang kecil hati.  Merendah diri pada yang tua, mencium tangan pada yang disayangi, apatah lagi martabatnya tinggi. "Begitulah caranya kalau kita hendak disayangi", bisik si Osman suatu ketika dulu.

 Setelah melapor diri dan berjumpa tuan besar, aku lantas kebilik ditingkat satu. Seorang pembantu sedia menunggu. "Assalamualaikum tuan aji. Selamat datang", dia mengenepi memberi laluan padaku. "Salam", rengkas jawabku . Pembantu terus mengekori sambil memegang sebuah diari. Aku terus melabohkan punggong diatas kerusi yang tersedia. Selesa rasanya tidak seperti kerusi dirumah sewa tempat belajarku dulu.

"Minta maaf tuan aji. Boleh saya buatkan nescafe atau tuan aji suka teh?" Macam masuk restoran gayanya. Tak seminit pun duduk  ada orang nak buatkan minuman. Ini sudah bagus. "Terima kasih. Saya tak boleh minum nescafe.....pening kepala. Teh pula banyak angin", aku jual mahal pula. Sebenarnya kalau minuman telah tersedia habis ku hirupnya. Pembantu menulis sesuatu dalam diari ditangannya itu. Kemudian diselak beberapa helaian muka sambil memandang padaku. Ada sesuatu nak dimaklumkan. Deringan talipon diruang kerjanya yang mendahului bilikku berbunyi. "Minta maaf", sambil beliau melangkah menuju ke bilik kerja. "Ya tuan . Nanti saya maklumkan", beliau datang kebilikku semula.

"Bos Besar nak jumpa. Sekarang", suaranya macam ada satu kerisauan. Sambil aku bingkas bangun, kataku  "OK'.  "Tuan aji....aaaaa minta maaf. Tak ada apa. Selamat berbincang". Langkahku seperti biasa menuju ke lif untuk ketingkat lima. "Bos Besar nak jumpa saya ke?" Soalan pertama kepada Pembantu Khas kepada Bos Besar sebaik aku diruang kerjanya. Beliau mengangguk kepala. "Tapi sekarang BB ada tetamu. Nanti saya cek boleh masuk atau tidak", beliau menuju kearah bilik Bos Besar yang dipanggil BB. Satu benda baru aku belajar hari ini. Panggil Bos Besar BB.

Sebaik muncul Pembantu Khas tadi, beliau mengangguk-anggukkan kepada sebagai isyarat BB bersetuju untuk aku masuk.

Pintu telah tersedia dibuka oleh Pembantu Khas. "Masuk..... masuk", tak sempat aku nak mengucapkan selamat pagi atau beri salam. "Saya kenalkan. Ini Timbalan Bahagian A yang baru, haji...lupa saya". "Haji Ai", sambungku membantu BB. "Dato' Yau", bingkas bangun tetamu BB itu, sambil menghulurkan tangan padaku. Ada sedikit membongkok. Aku dipersilakan duduk.

Aku diberitahu bahawa syarikat Dato' Yau ada mengemukakan satu cadangan untuk satu usahasama diantara syarikatnya dan organisasiku dalam satu projek yang menelan belanja mencecah bilion ringgit. Asas kerjasama ialah bahawa syarikatnya ada kepakaran dalam bidang yang dicadangkan. Modal tiada masalah. Bagi pihak organisasiku pula dapat mempermudahkan segala urusan yang berkaitan. Modal tak perlu ada. Malah sebanyak 30% equity akan diberi percuma.

Buku cadangan syarikat Dato' Yau itu diserahkan oleh BB kepadaku sambil menyatakan " you study lah dulu dan beri ulasan dan perakuan. Next week boleh?" Aku mengangguk. Siapalah aku nak mengatakan " No". Malah mengikut pengalaman diorganisasi sebelumnya, berkata 'I'll do my best' pun menjadi taboo.

Dato' Yau nampaknya ceria. Tersenyum manis. Aku mohon mengundur diri. "See you later. May be we have some drink...", beliau menyambut tanganku bersalam sambil sedikit membongkok.

Sampai dibilikku, Pembantuku tanpa dijemput masuk berdiri dihadapanku. Diari masih dibawa bersama. "OK tuan aji", perlahan suaranya semacam ada kerisauan. "OK", pendek saja jawabku.

---ikuti seterusnya untuk mengetahui dapatkah 'aku' menunaikan janjinya.. Bagaimana pula BB. Bagaimana Dato' Yau?

Kayuhan ke Buikt Hantu....2

 "Jangan buang masa tokpa nak cari hantu. Tanya P.Ramli dalam lagu 'Aci-aci Buka Pintu' " nasihat cucuku.

Sudah agak lama perpustakaan kecil dirumahku yang bersetentangan dengan bilik tuidurku tidak dijenguk. Semasa berkhidmat dulu ianya tidak begitu. Ada saja buku yang dicari untuk mendapatkan bahan bagi penyediaan artikel atau kertas kerja. Daun pintu tengah perpustakaan kecil itu dibuka. Kepalaku bergerak-gerak atas kebawah dan bawah keatas membawa mataku mencari buku yang diperlukan. 'Hahhh  ini dia dah pun jumpa', dua buah buku tebal pantas ditarik keluar. Aku menuju ke sofaku dan meletakkan dua buku tersebut diatas meja kecil disebelah ku.


Kamus Dewan edisi baru cetakan tahun 1991 diselak segera. Perkataan 'Hantu' yang hendak diburu. Apakah definasi hantu yang bakal diberitahu. Ok, dah jumpa. 'Ahhh ini aku dah tahu', lantas kamus itu diletakkan kembali diatas meja. Giliran satu lagi kamus mengambil tempat untuk dirujuk. Kali ini kamus Inggeris The Home and Office Dictionary, cetakan tahun 1958 yang dibeli di pasar 'boot sale' di Warwick England pada tahun 1987 dulu.  Kamus orang putih, sudah tentu ada yang baru yang aku tidak tahu  walaupun usia hampir mendekati dengan usiaku, bisik hatiku melekehkan kamus Melayu.  Kecewa lagi. Tidak ada beza dengan kamus Melayu. Jelas sudah, hantu ini berada dimana-mana, bercirikan sama. Tidak boleh dilihat tak dapat dipegang. Jahat, suka mengganggu manusia, penghisap darah cerita nenekku dulu. Macam mana cara untuk aku dapat melihatnya. Mungkin aku mesti belajar jadi hantu. Bila jadi hantu dapat aku membunuhnya, atau aku kena bunuh. Kita lihat nanti, bisikku.

Tanganku terhenti sekejap semasa hendak meletakkan semula kamus itu diatas meja. Tak jadi. Aku meribanya semula sambil tersenyum mengingat peristiwa ketika diajak oleh kawanku Mokhtar semasa kami belajar di Birmingham dulu. Disebelah Mokhtar ialah Mahadi kawan sekolah menengah dulu. Beliau sudah hampir tiga tahun disini, buat Phd.

"Abang aji minggu depan kita pergi ke 'boot sale', cari barang", ajak si Mokhtar. Aku baru saja dua minggu menjejakkan kaki di negeri orang putih ini. Banyak keperluan yang belum ada. Dengar khabar macam-macam barang boleh diperolehi, murah pula harganya. Barang-barangnya tidaklah teruk sangat. Itulah yang diberitau. 
Si Mokhtar menghulurkan sehelai kertas kecil dimana terdapat nama-nama tempat yang ada 'boot sale'.

"Kita nak pergi kat mana" tanyaku, bersetuju dengan ajakannya tadi. "Abang aji bacalah senarai tu", sambil beliau tersenyum. Ada dua nama saja dalam kertas itu. Satu dieja 'Warwick' dan satu lagi 'Leicester'. "Wawick ke Lecester", tanyaku ingin tahu, disambut dengan ketawa besar si Mokhtar dan Mahadi. Aku kehairanan. "Pasal apa kau orang ketawa", sambil sedikit tersenyum. "Bang aji, bukan wawiklah. Worik. Lester", aku tersipu malu. "Hantu lah kau orang ni".

Aku terus membelek kamus itu. Ada catatan : From Pot to Bert". Aku percaya ini bukan catatan yang dibuat oleh hantu.

Ahad, 20 Februari 2011

Jerangau Merah Dari Bario





<--Ini adalah Jerangau Merah


                             

             Ini adalah Tongkat Ali  -->






Mungkin ada rakyat Malaysia  terutamanya  di semenanjung tidak tahu dimana letaknya Bario. Tetapi mungkin ramai sudah tahu beras Bario dan Orang Ulu.

Bagi anak-anak muda yang telah sebati dengan komunikasi moden mencari Bario tidak ada masalah. Ada GPS (Global Positioning System) untuk menunjuk pandu lokasi yang hendak dicari. Bagi generasi sebelum merdeka, tidak kesemuanya, ia merupakan  satu masalah.

Kita tidak pula mahu membicarakan GPS dan fungsinya. Tidak juga mengesahkan geograpi Bario itu sendiri secara terperinci. Cukuplah sekadar memberi maklum bahawa Bario itu terletak di negeri Sarawak Bumi Kenyalang, sebuah kawasan pedalaman. Kalau ada orang Serawak yang tidak tahu, lagi malu.Apa tah lagi wakil rakyat yang mungkin tidak pernah kesitu. Awas kuasa rakyat semua orang sedia tahu. Bagaimana sekarang bakal-bakal yb?:  Pilihanraya Serawak tidak lama lagi akan diberitahu. Jangan buat tak tentu nanti terkedu! 

Sebentar tadi, disebuah pasar besar disebuah negeri yang telah lama terkenal, seorang penjual ubat petah berbicara mempromosi obatnya minyak serbaguna.' Minyak ini telah terbukti dan sangat mujarab sekali untuk mengubati bermacam-macam penyakit. Ia adalah dibuat dengan bermacam akar kayu yang terdapat didalam hutan negeri Serawak'. Itulah yang dinyatakan dalam kertas kuning bersaiz kecil yang digunakan sebagai pembungkus botol yang berisi minyak yang dijual.

Penyakit-penyakit yang boleh diubati adalah' gila babi, sawan, terkancing gigi, kejang badan, pitam, pengsan, mabuk laut dan darat, sakit kepala, sakit pinggang, salah urat, sakit dada, ampus, sakit perut/kembung atau luka kena pisau dan digigit binatang berbisa, sapukannya saja ditempat yang sakit'. Demikianlah penyakit yang disenaraikan serta cara menggunakannya.

Penyakit yang disenaraikan dalam Bahasa Inggeris kurang dua dari yang diatas Mungkin ada masalah terjemahan atau dua penyakit tersebut tidak terdapat dikalangan Mat Salleh.

Oleh kerana tidak faham Bahasa Mandarin, tidak pula dapat dituliskan disini apa yang dinyatakan dalam kertas kuning pembungkus itu. Yang jelas tidak ada Bahasa Tamil. Tidak juga bahasa Orang Ulu Serawak.

Terdapat nama pengusaha minyak jerangau merah ini serta wakil penjualnya dalam cetakan kertas kuning kecil itu.

Pengalaman kita yang berkaitan dengan penjual obat dikaki lima  ini, menunjukkan bahawa mereka adalah seorang pembicara yang bijak dan meyakinkan. Mereka ada strategi untuk melakukan obat yang dijual. Mereka bukan orang tempatan. Obat yang dijual adalah obat serbaguna.

Banyak lagi ciri-ciri perniagaan obat dikaki lima ini. Tetapi kita hanya mahu bercakap mengenai empat hal yang dinyatakan diatas.

Mereka pembicara yang bijak dan meyakinkan. Kelihatan mereka menguasai bidang yang mereka  ceburi.Dengan petah dan lancar, menggunakan berbagai gerakan bahasa badan (body language), kata-kata yang menarik dan kadang-kadang lucu serta menghiburkan para pendengar. Tambah menarik, pakaiannya mestilah pakaian yang dianggap atau telah diterima sebagai pakaian daerah berkenaan walaupun para pendengar tidak pernah kedaearh tersebut atau tahu letak tempatnya. Misalnya pakaian yang dipakai oleh penjual obat minyak jerangau merah dari serawak ini adalah terdiri dari topi yang bercacakan bulu burung {burung kenyalang?), kalong leher bermanek (seperti buah tasbih) dan seluar pendek. Secara amnya pemikiran kita akan mengatakan, sekurang-kurangya saya, bahawa  orang ini dari daerah pedalaman.

Strategi perniagaan mereka tidak boleh dipandang lekeh. Merujuk penjual ubat dikaki lima pasar yang dimaksudkan, penjual obat itu membuka ruang niaga dipinggir pintu besar laluan memasuki pasar . Tidak  dipastikan samada permit atau lesen berniaga telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Ramai yang singgah dan yang membeli.

 Ada dua saiz botol yang digunakan . Satu kecil dan satu lagi besar. Menurut penjual, botol besar boleh menampung tiga kali isian botol bersaiz kecil. Bilangan botol bersaiz kecil tidak banyak berbanding yang besar.Harga minyak botol kecil hanya RM10.00, manakala yang botol besar RM20.00. Ini bermakna, menurut logik penjual, adalah menguntungkan jika kita beli minyak dalam botol besar kerana kandungannya bersamaan dengan tiga botol kecil yang dinilaikan satu botol RM10.00. Sudah selamat RM10.00.

Saya meragui apa yang dinyatakan oleh penjual minyak itu dan mengesyakki kejujuran cara berniaganya. . Pertama, secara mata kasar, botol besar itu diragaui boleh menampong  tiga kali isian botol kecil itu. Saya tidak mencabar kenyataan penjual minyak itu kerana ianya  mungkin boleh menimbulkan suasana yang tidak selesa apatah lagi sebahagian yang mendengar nampaknya tidak mengambil pusing, malah mempercayainya. Dimana pihak yang berkuasa.

Kedua, mengapa botol kecil sedikit berbanding botol besar. Dari segi perniagaan, peniaga  akan mementingkan volume jualan untuk meraih untung yang lebih. Adalah lebih menguntungkan jika minyak itu dimasukkan ke dalam botol kecil kerana bolih membuka luas bilangan pelanggan. Apa tah lagi sebahagian besar mereka yang berhenti mengerumuni penjual ubat itu terdiri daripada orang berpendapatan rendah, kalau lebih pun sederhana tinggi. Tempat itu bukan pasar raya.

Cuba kita kira berdasarkan strategi peniaga tadi. Katakanlah jumlah yang hendak di jual ialah dalam gabungan 5 botol kecil dan 10 botol besar. Strategi ini memberikan pendapatan, jika semuanya laku seperti berikut:
Satu botol kecil RM10x5 botol = RM50.00
Satu botol besar RM20x10 botol = RM200.00. Jumlah pendapatan RM250.00

Kalau peniaga tukar strategi jualan kepada menjual hanya dalam botol kecil saja. Jumlah botol yang boleh dijual ialah 35 biji iaitu 5 botol ditambah dengan 10 isian botol besar(3x10=30). Satu botol kecil RM10.00 jadi 35 botol  jika kesemuanya dibeli menjadi RM10.00x35= RM350.00. Strategi jualan ini membawa keuntungan sebanyak RM100.00.

Perbandingan kita berdasarkan kaedah 'apple to apple' tidak rambutan dengan apple. Ertinya minyak yang dijual pada isipadu yang sama.

Kita dapati strategi peniaga ini (menjual dengan kombinasi botol besar lebih banyak dari botol kecil) tidak menguntungkan sedangkan hujahan kita diatas menyatakan peniaga ini bijak berniaga. Mengapa strategi yang tidak menguntungkan itu di pilih? 

Seperti yang dihujah bahawa secara mata kasar dakwaan peniaga dari segi isipadu isisan botol besar adalah meragukan. Kitapun tidak yakin bahawa peniaga tidak mahu menggunakan strategi yang boleh meraih keuntungan yang lebih. Bukankah membuat untung itu matlamat seorang peniaga? Lagi banyak untung lagi baik. Tapi mengapa pilih strategi perniagaan yang merugikan (menjual dengan kombinasi botol besar lebih banyak dari botol kecil?).

Kita masih mengatakan bahawa peniaga ini menggunakan strategi mencari keuntungan yang besar iaitu dengan menggunakan kombinasi menjual botol besar lebih banyak dari botol kecil walaupun kiraan menunjukkan bahawa lebih menguntungkan jika peniaga menjual kesemuanya dalam botol kecil.. Ini bermakna ada unsur penipuan dalam perniagaannya..

Seorang yang bersama berdiri berdekatan dengan saya menghulurkan wang RM10.00 untuk mendapatkan botol yang kecil. Dengan manis penjual menyatakan minta maaf telah habis. Lain kali beliau akan bawa lebih. Kelihatan orang ini kecewa sambil memberitahu saya bahawa beliau telah pun beli dua botol kecil tetapi sudah habis. Berhadapan dengan saya pun meminta botol yang kecil. Jawapan sama diberi. Tapi yang ini tetap membeli minyak itu tetapi botol yang besar.

Adakah ini silap mata. Anda pembaca fikir sendiri.

Kita juga ingin membangkitkan beberapa perkara:
i) Adakah jualan obat dikaki lima ini tidak perlu lesen/permit. Saya fikir kita tahu, tetapi sudah terang lagi bersuluh.
ii) Tidak adakah pihak yang berkuasa misalnya Kementerian Kesihatan mengambil langkah tertentu supaya produk yang dijual selamat digunakan. Atau kita tunggu sehingga ramai yang jadi mangsa, misalnya cedera, kalaupun tidak mati baru kita teraba-raba hilang punca dan mula menuding jari. Kita perlu ada kes baru bertindak (buat case study).
iii)Adakah pihak penggubal undang-undang hanya berminat untuk menyampaikan sumbangan berbagai bentuk dan mengabaikan perkara-perkara asas peranan dan tanggungjawab ahli perundangan.
iv) Dimanakah pihak-pihak yang berkaitan dengan pembangunan usahawan kecil. Adakah perniagaan seperti minyak jerangau merah dari Bario ini tidak ada potensi untuk dikembangkan. Atau ianya datang dari Bario sebuah daerah pedalaman, apa perlu dikesahkan.

Kita tidak sesekali bersetuju dan mencadangkan untuk menghambat dan menghapuskan bentuk perniagaan khususnya penjual obat seperti ini malah kita wajib membangunkannya. Berilah mereka peluang berniaga menurut yang sepatutnya. Hindarkan atau kurangkan ciri-ciri berniaga yang diragui kejujuran dan tidak beretika. Mungkin orang akan berkata: berniaga mana boleh jujur dan lurus. Mana ada etika. Matilah.

Kalau anda mempercayainya dan berpegang kepada prinsip itu, andalah orang yang bertanggungjawab mengekalkan gejala penipuan. Dan anda jangan marah jika ditipu

Akhir kata, bakal-bakal YB apa khabar . Selamat melobi.

Sekadar Kenangan........2

                            ......... yousef kena buat exercise tak macam tokpa dah kena bypass



Aku menggeliat mendepakan tangan, membongkok dan tegak semula. Itu rutinku setiap bangun pagi. Buat exercise kecil. Tidaklah  lama, tidak melebihi dua minit. "Jangan tidak", kata orang. 

Jam digital yang  terletak bersaingan dengan tv berhadapan katil menunjukkan pukul 7.05 pagi. Yousef cucuku telah kembali kerumahnya di Ampang. Telah seminggu cucuku itu tidur ditengah diantara aku dan isteriku. Ummi dan ayahnya bercuti  selama seminggu di negara Kangaru. 

Isteriku bukan main seronok bila mendengar anakku Ira beritau untuk bercuti di Australia suami isteri. "Yousef tak pergi ......". "Beri mama jagalah", macam kilat isteriku memotong, tak sempat anakku Ira menghabiskan ayatnya. Memang itulah hasrat yang hendak disampaikan Ira, pucuk dicita ulam yang datang. "Duduk dengan Oma, Yousef ye", isteriku menyambug  membahasakan dirinya Oma sambil menghulur tangan mendapatkan Yousef.  'Lagi lama lagi bagus' itulah agaknya yang  diharapkan oleh isteriku. Maklumlah hanya ada seorang cucu.  Bulan depan InshaAllah dapat seorang lagi, senyum isteriku semakin melebar. Dah siap mencadangkan nama.

Oma lebih terkini  kata isteriku  seorang peminat filem dari seberang. Nenek boleh juga tapi , ah , Oma lebih sedap bunyinya kata isteriku meyakinkan diri  semasa kami berbincang apakah panggilan yang sesuai untuk kami berdua. Aku memilih Tokpa rengkasan dari datuk papa. Masing-masing hendak adakan identiti baru untuk menyambut cucu.

Aku melangkah malas menuju ke belakang rumah untuk mengambil mesin rumput kuasa elektrik.  Alangkah baiknya jika si Ah Chai , Cina baba tak sakit pinggang. Bolehlah beliau terus memotong rumput dengan mesin sangkutnya.Macam-macam kerja isteriku suruh si baba tu buat. Susun dan ubah -pindah pasu bunga. Hari ini disudut sana. Minggu depan disudut sini.. Kemudian pindah kesudut yang sama. "Jemu kalau ditempat yang sama" isteriku memberi tahu baba yang tersengeh setuju.

Empat tahun itulah kerja si baba dirumahku. Rajin sungguh. Tapi jangan ajak bercerita, semua dia tahu. Hal ekonomi ,politik, dalam negeri , luar negeri dan apa saja perkara, tidak jadi masalah. Tak bergeraklah penyapu ditangan mengumpul sampah. 'Tak lama lagi harga minyak naik" satu hari dia bercerita. " Macam mana baba tahu" tanya isteriku. "Tak percaya kita tunggu. Minyak naik, harga yang lain pun naik" nampak kekerutan mukanya, ada nada marah. "Jangan dengar khabar angin", sampukku yang berdiri disebelah isteriku,tidak bersetuju. Si baba diam mengorak langkah meneruskan kerja mengumpul sampah untuk dimasukkan dalam plastik hitam yang disediakan.

Biasanya begitulah, sibaba tidak pernah mahu berhujah denganku, segan agaknya. Kalau ada perbezaan pendapat beliau diam saja dan terus sambung kerja. Tapi kalau dengan isteriku tuhan sajalah yang tahu, sehinggakan kerja dapurnya terganggu.

" Minta maaflah saya tak dapat buat kerja lagi. Sakit pinggang".Isteriku tidak terkata-kata apabila mendengar keputusan sibaba itu. Nasib baik rumput dan pasu bunga telah disusun ubah seperti yang dipinta. Dua minggu lagi nak menyambut raya. Sibaba melangkah keluar menuju ke keretanya. " Terima kasih ba.  Raya nanti jemputlah",penghargaan isteriku kepada baba, wajahnya nampak sedikit kurang ceria.

Mesin rumput yang  kusorong kedepan telah sedia untuk dihidupkan.Tiba-tiba kedengaran  suara isteriku memanggil,ada panggilan talipon katanya. "Assalamualaikum" salamku kepada pemanggil sebaik memegang gagang talipon. Salam yang sama dibalas. "Eee apa kabar dah lama tak jumpa. Camne sekarang. Berapa cucu dah.". Soalan-soalan bertalu yang keluar dari mulutku kerana terlalu gembira mendapat panggilan dari kawan baik yang lama tak jumpa.  "Kalau sudi  jemputlah. Rumah kecil". Sambungku merendah diri. Gagang talipon diletakkan ditempatnya. "Siapa tu bang", isteriku mahu tahu. Aku tidak segera menjawab tapi melangkah menuju ke peti sejuk meninjau sesuatu ."Siapa tu bang", kali ni suara isteriku agak mendesak ingin tahu.

 "'Kawan sekolah dulu. Katanya nak datang  jemput anaknya kahwin. Buatkan sikit makanan, mee goreng ke", jawabku sambil berlalu naik keatas untuk mandi bersiap sedia menyambut tetamu yang lama tak jumpa.

Khabar cerita, Kassim kontraktor yang berjaya. Ketika ini menetap dibandaraya. Rumahnya tersergam diatas sebuah bukit katanya. Ada pengawal keselamatan. Wah hebat sungguh si Kassim. Sungguh tak sangka. Itulah yang dikatakan tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapakan tahu. Dari segi pendidikan, 'elek', meminjam kata kata dalam bahasa Tamil. Peperiksaan darjah enampun tak lulus.

" Bang turun bawah. Dah sampai dah" . Isteriku memanggil.

.....bersambung..."Aku juga nak cari makan. Bukan kau sorang saja" cerita Kassim mengingati kesah lama .
"Jadi, jawapan yang kau tiru daripada aku dan kau pass pada Daud dan Minah dulu, kau kenakan caj
" tanyaku. Rupanya SiKassim yang buat duit. Aku dapat lima sen, dia dapat sepuluh sen. Siapa pandai!
"Patutlah kau jadi kontraktor",pujiku ."Kontraktor kelas F lah" sambong Kassim sambil menepuk bahuku.

Jumaat, 18 Februari 2011

Dari Mansoura ke KLIA







....unta ini merenung masa depan. Mesir......Aman?
                                      

25 Januari 2011: Hari ini cuti umum sempena Hari Polis. Peperiksaan semester masih belum selesai. Esok, InshaAllah akan beres semuanya. Harap-harap semua soalan dapat dijawab dengan betul dan tepat untuk satu keputusan yang tidak mengecewakan.

Hari ini juga hari pertama belia-belia Mesir turun dijalan raya berdemo menentang Presiden Hosni Mubarak dan Rejimnya yang didakwa menyusahkan kehidupan mereka, ya kehidupan rakyat. Mubarak dan kawan-kawan yang seakrab dengannyalah,  dakwa mereka yang telah menyebabkan rakyat jatuh MISKIN. Gejala RASUAH dakwa mereka lagi telah berleluasa dan membarah dikalangan rejim. Namun selama tiga dekad pemerintahan, Mubarak masih lagi boleh bertahan. Kata mereka lagi, Mubarak adalah seorang  DIKTATOR yang menggunakan segala jentera, institusi dan instrumen yang dikuasainya bagi menekan, menyeksa, memenjara, menyekat, menghalang, mengekang dan yang lebih serious membunuh mana-mana individu, kumpulan individu samada bersifat politik mahupun yang bukan politik hanya semata-mata untuk kekal ditakhta pemerintahan.

Mesir seperti juga dinegara-negara dunia yang lain menghadapi fonemena kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Harga barang dan perkhidmatan yang MAHAL  ini, membuatkan kuasa beli atau berbelanja sebahagian rakyat terutamanya yang miskin, yang menganggur berkurangan dan mengecil. Sebaliknya pula, rakyat terus mendakwa, Mubarak dan yang bersekutu dengannya hidup mewah , harta bertimbun. Inilah yang meluapkan perasaan meluat rakyat, benci, marah dan sakit hati.

Cuaca di Mesir ketika ini, khususnya di Mansoura  masih lagi dingin. Tidaklah sehingga bisa menusuk tulang seperti yang dirasa abang Lukman di Sheffield England ketika ini. Di Mansoura, bahang demo tidaklah seperti di Cairo. Disini aman tiada apa yang dirisaukan.

26 Januari 2011:Hari terakhir peperiksaan bagi semester ini. Soalan peperiksaan telah dijawab kesemuanya. Berdoa untuk satu keputusan yang menggembirakan.

Disebelah malam, kami yang mendiami di tingkat 2 rumah yang disewa telah didatangi oleh anak tuan rumah menasihatkan supaya pintu rumah dikunci dan lampu tidak dipasang kerana dikhuatiri banduan yang terlepas lari datang mengganggu dan mencederakan kami. Mereka membawa kayu, dan batang besi, ceritanya lagi. Tidak semena-mena terdengar suara menjerit datangnya dari tingkat bawah , suara orang Arab, "Israel!". Kami mendiam diri. Ruang rumah menjadi sepi.

27 Januari 2011: Hubungan komunikasi melalui internet telah terputus. Tidak boleh menghantar dan menerima
khidmat pesanan rengkas (sms). Terputus hubungan dengan dunia luar. Tidak tahu kedudukan dan perkembangan yang sedang berlaku. Namun keadaan di Mansoura masih lagi selamat . Demo tidak kelihatan di kawasan kediaman tapi berlaku disekitar kawasan Mahafeah (pusat pentadbiran) dimana terdapat bangunan-bangunan kerajaan dan bank.

Perintah berkurung telah dikuatkuasakan kerajaan bermula Maghrib sehingga pukul lapan pagi keesokan harinya. Bekalan elektrik telah terputus selama tiga jam bermula jam 12 tengah hari.

28/29 Januari 2011: Keadaan semakin bertambah teruk terutama di Cairo dan Alexandria. Syukur, Mansoura masih lagi aman. Namun terdapat sedikit kesulitan untuk keluar rumah untuk membeli barang keperluan seperti makanan dan wang belanja disebabkan perintah berkurung. Mujurlah kami telah bersedia membeli barang keperluan, sebaik saja demo bermula pada 25 Januari.

Menerima panggilan talipon daripada Malaysia. Papa dan mama menasihatkan jaga diri baik-baik. Kalau berjalan mesti bersama dengan kawan-kawan. Beli makanan dan keperluan-keperluan yang lain termasuk mengeluarkan wang perbelanjaan. Pesanan yang paling banyak datangnya dari mama. Kedua-dua mereka telah diyakinkan bahawa di Mansoura keadaannya selamat.

Makanan seperti roti sudah mula naik harga dan susah diperolehi. Begitu juga top up. Simpanan wang masih lagi mencukupi untuk beberapa bulan yang mendatang. Mesin ATM masih beroperasi.

30 Januari 2011: Sepatutnya pada hari ini sebahagian daripada kami akan menghadiri Pesta Buku Antara Bangsa di Cairo. Itu perancangan yang telah dibuat. Namun Allah saja yang lebih mengetahui. Pesta buku tidak dapat dihadiri. Tidak ada seorang pun Pakcik Arab yang sanggup mengambil risiko mengangkut kami dengan 'tranco'nya untuk ke Cairo. Malah kami pun telah buat keputusan untuk tidak menghadiri pesta tersebut. Risikonya amat tinggi. Mungkin juga pesta itu tidak diadakan.

Sekali lagi internet disekat. Hubungan melalui fb saja. Keadaan darurat telah istiharkan pada tahap kuning. Perintah berkurung masih berkuatkuasa. Sebagai langkah berjaga-jaga, air telah ditadah dikhuatiri bekalannya disekat.

31 Januari 2011: Genap seminggu usia peristiwa kebangkitan ini. Persatuan Pelajar Perubatan Malaysia Cawangan Mansoura (PPPMCM) dari masa kesemasa menghubungi pelajar melalui talipon bagi memaklumkan perkembangan terkini. Kami telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia akan bertindak membawa kesemua rakyat/pelajar keluar dari Mesir dengan menggunakan kapal tentera laut Malaysia.
Pelan evakuasi akan bermula pada 5 Februari

Suasana di Mansoura mula berubah. Kereta tentera dari berbagai jenis (tank dan kenderaan angkutan yang lain) mula kelihatan bergerak dijalan raya. Sebahagiannya ditempatkan dihadapan bangunan pasaraya Metro dimana tempat yang sentiasa kami kunjungi untuk membeli keperluan dapur. Kelihatan beberapa kemudahan awam dirosakkan.

Kami menerrima berbagai perkhabaran yang tidak diketahui sumber asalnya, antaranya bahawa kami tidak akan lagi dibenarkan menyambung pelajaran di Mesir; rancangan menyelamat (evacuation) hanya untuk pelajar Cairo dan Alexandria saja. Ini menambahkan kerunsingan.

Di Alexandria diberitakan pasar raya city centre telah dimusnahkan. Habis barang-barang dicuri. Tugas polis telah diambil alih oleh orang awam.

1/2 Februari 2011:Keletihan. Rehat

3 Februari 2011:Arahan telah diterima bahawa kami akan dikeluarkan (evacuate) pada 5 Februari 2011. Untuk tujuan itu tempat berkumpul telah ditetapkan di Hotel Ramada. Kami akan dibawa keluar untuk ke Jeddah melalui Alexandria. Sementara itu kami masing-masing membuat hubungan/dihubungi dengan/ oleh ibubapa di Malaysia untuk mendapat/mengetahui perkembangan. Papa dan mama telah beberapa kali menalipon untuk mendapat berita sambil memaklumkan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia

Pelan evakuasi masih kabur, tidak ada kepastian. Namun, Berita dari Malaysia yang disampaikan oleh papa dan mama amat menyenangkan dimana Kerajaan bersetuju mengeluarkan kesemua pelajar termasuk rakyat Malaysia yang lain ke Jeddah dengan menggunakan pesawat TUDM, MAS dan Air Asia.Belanja ditangong kerajaan dibawah konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh). Tidak pasti maksud sebenar.

Aku dan kawan-kawan berbelah bagi samada nak balik atau tidak sebab diberitakan bahawa kelas akan bermula pada 12.02.2011 seperti jadual asal.

4 Februari: Pelan evakusi bertukar ke 4 Februari. Kemudian bertukar kembali ke 5 Februari sebab 4 Februari dijangka akan diadakan demo besar-besaran selepas solat Jumaat. Ramai lagi kawan-kawan di Cairo yang sepatutnya ke Jeddah, belum dibawa keluar (stranded)

Kami telah dimaklumkan tempat berkumpul di stadium Mubarak, University Mansoura.Dijangka bertolak Alexandria bermula jam 11 malam sehingga 7 pagi. Sebanyak 3 trip. Pelajar terdiri daripada perubatan dan pengajian Islam.  Sebanyak 3 buah bas disediakan. Aku trip yang kedua, jam 3 pagi.

Perjalanan lancar. Sepanjang perjalanan kami melalui 14 post yang dikawal oleh tentera dan orang awam. Mereka menaikki bas untuk memeriksa samada ada senjata atau tidak.

5 Februari 2011:Sampai Alexandria 5 pagi ditempatkan di bangunan MARA sebelum keJeddah. Pelajar di Alexandria masih lagi belum ke Jeddah. Jadi bilangan semakin bertambah.

Sebaik sampai buat keputusan untuk beli tiket dari Alexandria ke Malaysia. Beritahu Papa dan Mama melalui talipon.. Ketika hendak beli tiket di agensi pelancungan, terdapat demo aman. Kad kredit tak boleh digunakan, tak selamat kata agen. Cuba keluarkan wang. Ramai orang yang berbaris terutama orang Arab yang kadang-kadang ada yang potong Q. Buat keputusan tidak keluarkan wang, jadi tiket tak dapat dibeli.

6 Februari 2011:Menunggu giliran ke Jeddah. Menurut jadual awal pelan evakuasi yang disediakan , 3 penerbangan setiap hari. Nama aku dan kawanku masih lagi belum tersenarai.

Perlu bersabar kerana ini darurat. Kenalah terima realiti, tempat tinggal dan tidur tak selesa, bersesakan; bekalan air yang selalu terputus; makanan yang tidak disediakan terpaksa keluar untuk membelinya; wang tak dapat dikeluarkan. Dalam keadaan begini ada juga pelajar-pelajar yang pulang ke Malaysia tanpa memberi tahu pihak yang telah diberi tanggongjawab menguruskan pelan evakuasi ini. Boleh merumitkan kerja pegawai berkenaan.

Pegawai evakuasi telah menukar pelan. Maka berebut-berebutlah pelajar hendak ke Jeddah lebih awal. Aku dan kawan-kawan tak mahu berebut-rebut. Malu rasanya. Terbang kemudian  pun tak apalah.

7 Februari 2011;Dari bangunan MARA jam 3 pagi ke airport El-Noza dan terbang ke Jeddah jam 6. Sampai Jeddah jam 10 pagi waktu tempatan Disebabkab urusan passport terrpaksa berada diairport sehingga 6 petang untuk dibawa kebangunan tabong haji di Madinahtul Hujjaj.

Semasa kami di urusetia untuk mengetahui bagaimana hendak untuk membeli tiket, terdengar keluhan sesetengah pelajar mengenai ketidakselesaan seperti tempat tidur dan makanan. Lantas mereka mahu pulang segera . Memohon nama mereka untuk dimasukkan dalam senarai awal penerbangan.

8 Februari 2011Aku dan kawan-kawan sepakat untuk pulang dengan bayaran sendiri kerana dijangka nama kami akan tersenarai untuk penerbanmgan akhir.


Semasa berbaris untuk membeli tiket, terdapat juga pelajar yang potong Q . Namun setelah bersabar dapat juga aku membeli tiket dan terbang ke Malaysia jam 8 malam waktu Jeddah. Selamat sampai di KLIA jam 1 petang. Ibubapa kami masing-masing menyambut kami dengan kesyukuran.

Sekarang aku tak tahu bila akan balik ke Mansoura. Sentiasa menunggu berita dari pihak yang berkuasa. Diharapkan keadaan di Mesir kembali normal. InshaAllah.



Khamis, 17 Februari 2011

Kayuhan ke Bukit Hantu

 GAMBARAN HIASAN
 Ini bukanlah hantu,tapi mungkin hantu menyorok didalamnya

Aku teringat  semasa kecil zaman persekolahan dulu  akan cerita-cerita  hantu dan yang segolongan denganya yang selalu diulang cerita oleh mak dan nenekku diwaktu malam sebelum melelapkan mata. Aku , abang dan adik-adikku yang lain  tidak jemu-jemu mendengar cerita-cerita hantu itu. Kadang-kadang sepupuku juga turut serta. Ceritanya sungguh seram dan menakutkan. Apa saja nama hantu yang diceritakan wataknya tidak lepas dari menjadi pengacau, jahat suka mengganggu ,penghisap darah dan semua yang bersifat buruk. Muka, hidung, rambut ,mata , kepala, perut ,kaki, kuku kaki, kuku  tangan, telinga, suara, saiz badan dan  warna kulit semuanya dibayangkan amat menyeram dan menakutkan. Bukan saja aku, abangku dan adik-adik yang lain berhimpit-himpitan saling berpelukan sepanjang tangan menjangkau, malah nenekku juga menghampiri kami semua sambil bercerita.Tapi dengar tetap dengar. Cerita tetap cerita kalau tidak kami tak lelap mata.

Sebahagian dari nama-nama hantu yang aku ingat adalah hantu dapur, hantu kopek,  hantu air, hantu jerangkong. Makhluk yang segolongan dengannya pula adalah pontianak dan langsuwe.

Mengikut bacaanku, hantu ini ada dimana-mana, dibarat, ditimur, diutara mahupun di Selatan. Terdapat dinegara kafir dan juga negara Islam. Perangai dan wataknya sama saja, jahat, pengacau, penghisab darah. Yang berbeza hanya panggilannya saja. Ada yang panggil 'ghost', 'phantom', 'kui' dan macam-macam lagi.

Yang aku hairankan macam mana hantu ada  dinegara Islam. Sebab kita ada ayat-ayat al-Quran . 'Kita baca ayat-ayat al-Quran sudah pasti hantu lari lintang pukang. Tak tahan kepanasan', kata ustaz.

Kawanku, seorang anggota peace corp dari Amerika Syarikat yang bekerja sepejabat denganku tidak percaya wujudnya hantu. Steve pernah mengajakku malah mencabarku untuk pergi kesebuah kuaters kerajaan yang telah aku tolak tawaran untuk mendiaminya kerana dikatakan ada hantu. Beliau ajakku pergi pada malam Jumaat, yang dipercayai hantu selalu menjelma untuk mengambil gambar.  Dia mencabar cerita nenekku yang telah sebati dalam otak kepalaku ini.

Aku memendam perasaan marah. Aku nak buktikan kepada Steve, hantu-hantu ini memang ada dan berkeliaran. Kalau tidak bukit di kampongku itu tidak di panggil Bukit Hantu. Banyak nama yang boleh diberi misalnya Bukit Kayangan atau sekarang dimodenkan sikit menjadi Kayangan Heights. Sedap mulut untuk menyebutnya.

Aku bertekad akan membuat sesuatu , mencari jalan dan menuntut ilmu untuk menjahanamkannya.Hantu mesti dihapuskan. Tidak ada seekor, oh tidak pasti aku penjodoh bilangan  ini sesuai untuk hantu. Tapi buat ketika ini, aku panggil seekor sama dengan binatang. Kayuhan ke Bukit Hantu perlu diteruskan. Itu destinasiku.

Sebelum ke Bukit Hantu aku mesti membuat persediaan terlebih dahulu kerana seperti yang telah diberitahu, hantu-hantu ini suka mengacau dan mengganggu. Malah ada yang laparkan darah. "Sediakan payong sebelum hujan", itulah petua yang selalu dipesankan kepadaku.

Persediaan pertama, aku mesti mengenal siapa atau apa itu hantu . Kenal lihat wajahnya dulu. Setakat watak dan peribadai, aku sudah diberi tahu.Tapi itu adalah gambaran nenekku saja yang tidakpun pernah berjumpa dengan hantu. Ada juga filem hantu tetapi yang menjadi hantu adalah manusia seperti aku. Diatas kertas, dinding dan kain kanvas pun ada coretan dan contengan yang dikatakan hantu. Baju 't, kegemaran anak muda, tidak kurang situa bangka wajah hantu sentiasa bersama.

Sama seperti nenekku, para artis, pengeluar pakaian itu tidak juga pernah tengok hantu.

Nampaknya hantu ini telah menguasai kehidupan manusia . Hantu  telah mengambil satu dimensi baru. Hantu tak perlu ditakuti. Tidak perlu seram dan gerun. Malah wajahnya ada nilai komersil. Buat cerita hantu, mesti laku. Pengeluar filem tidak lagi senyum tersipu, malu-malu sebaliknya tersenyum lebar, ketawa berdekah, pendapatan lebih boleh ke Mekah, kalau orang Islamlah. Pembuat dan penjual baju 't' pun tumpang tuah. Upah pereka (designer), bayar lebih tak jadi hal sebab duit masuk mencurah. 'Jualan tentu laris punya', komen yang sentiasa dituturkan oleh pembuat untuk meyakinkan penjual yang sudah sedia yakin. Bulan lepas saja berduyun-duyun anak muda, termasuk situa berebut-rebut membeli baju 't' berwajah hantu.

Kedua, bagaimana nak menghadapinya, perlukah aku bawa senjata seperti parang, senapang, buluh runcing, pokok atau daun berduri seperti dahan enau atau daun mengkuang kerana khabarnya ada hantu yang takutkan duri, tangkal dan serapah, hafalan ayat-ayat Quran dan apa saja yang dirasakan boleh membantu. Mungkin juga dia perlu upah, aku rasuahkan dia. Sebelum buat begitu,  aku mesti berpakat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), maaf bukan berpakat. Kalau berpakat perbuatan itu dipanggil konspirasi yang ramai orang benci tetapi bekerjasama, kongsi maklumat. Sebab orang yang memberi juga boleh didakwa rasuah, dan kalau mahkamah dapati bersalah masuk penjaralah aku. Tidak  tidak  tidak. Aku ada anak, dua dah bekerja dan dua lagi masih belajar, ada isteri  dan masih ada emak. Siapakah nak tanggong mereka. Aku juga ada seorang cucu, seorang lagi akan muncul, tak adalah peluang aku mendukugnya.

Ketiga, kalau benarlah hantu-hantu itu tabiatnya suka mengacau dan mengganggu manusia, aku bertekad dan nekad untuk membunuhnya supaya generasi manusia yang akan datang dapat diselamatkan. Aku anggap ini satu jihad. Amal makruf nahi munkar, itu yang diajar oleh ustaz. Jihad ini, jika berjaya, aku tidak perlu lagi berkayuh ke Bukit Hantu kerana semua hantu dah tiada, mati.  Hilanglah nama Bukit Hantu dipeta dunia.

Tapi adakah hantu itu hanya tinggal di Bukit Hantu dikampongku saja. Bagaimana diLubuk Antu di Serawak. Kalau beginilah halnya, menjadi tangonggjawabku uintuk  naik belon terbang ke Serawak sebelum berdayung ke Lubuk Antu. Tidak mengapa. Ini Perjuangan. Ini Jihad. Kalau mati pun mati syahid. Terjamin masuk syurga.


 INI PUN GAMBAR HIASAN

..... kalaulah 'aku' dapat milikkinya tak perlu berkayuh ke Bukit Hantu.Entah-entah hantu dah beli

yang ini pula cucuku, dia tak takut hantu

(ikuti paparan seteusnya: macam mana 'aku' berjihad dengan menggunakan tiga strategi persiapan yang dikesahkan tadi. Berjayakah 'aku' buat kayuhan ke Bukit Hantu. Adakah masih ada lagi stamina 'aku' untuk berlawan dengan hantu selepas berkayuh beberapa batu, termengah-mengah lelah menaikki Bukit Hantu. Atau adakah 'aku' putus asa, putus harapan sebab hantu-hantu makin membiak, bukan saja berada di Bukit Hantu, Lubuk Antu malah dalam rumah pun telah ada hantu. Inilah yang menghantui 'aku' dalam berjihad melawan hantu.) Stay tuned.

 coretan ini berdasarkan kisah benar untuk menghibur hati. Kalau tak percaya tanyalah Pak Pandir yang tersenyum melihat anaknya  'ketawa besar' dalam kawah air panas.